Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda WR-V dilancarkan di Indonesia — 1.5L NA CVT, bawah HR-V, jadi pesaing bagi Ativa, Rocky dan Raize

    Honda WR-V dilancarkan di Indonesia — 1.5L NA CVT, bawah HR-V, jadi pesaing bagi Ativa, Rocky dan Raize

    Honda WR-V serba baru akhirnya membuat penampilan sulung hari ini di Indonesia. SUV kompak yang merupakan versi produksi bagi model SUV RS Concept yang mula muncul di Indonesia tahun lalu. Posisinya terletak di bawah HR-V dalam segmen B, dan merupakan pesaing terbaru bagi Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, yang juga “saudara” kepada Perodua Ativa.

    Dengan rekaan yang lebih realistik berbanding penampilan pada model konsep sebelum itu, WR-V tetap nampak menarik. Ia mempunyai ukuran 4,060 mm panjang dan 1,780 mm lebar, iaitu 4 mm lebih pendek berbanding Ativa, tetapi 70 mm lebih lebar. Dengan tinggi 1,608 mm, WR-V ini 27 mm lebih rendah berbanding Ativa. Jarak antara rodanya 2,485 mm pula adalah 40 mm lebih pendek berbanding Ativa. Ini juga bermakna WR-V ini lebih kecil berbanding HR-V.

    Honda WR-V menggunakan enjin 1.5 liter NA, yang menjana sebanyak 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Unit DOHC i-VTEC Euro 4 ini adalah enjin yang sama digunakan pada City dan HR-V paling asas. Kotak gear semuanya juga sama, unit CVT automatik.

    Honda WR-V dilancarkan di Indonesia — 1.5L NA CVT, bawah HR-V, jadi pesaing bagi Ativa, Rocky dan Raize

    Ciri selebihnya juga sudah boleh dijangka — suspensi MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang, brek cakera di depan dan brek dram di belakang. Dua varian ditawarkan di Indonesia — E yang paling asas dengan rim 16-inci lima-jejari dengan tayar 215/60, sementara RS dengan rim 17-inci dua tona dengan tayar 215/55.

    WR-V E datang dengan kelengkapan seperti penghidup enjin jarak jauh, butang Push Start, skrin sentuh 7-inci, kamera undur dengan pandangan pelbagai sudut, empat pembesar suara, panel pendingin digital, kerusi fabrik dan empat beg udara dengan VSA.

    RS pula menerima tambahan lampu depan LED dengan DRL LED, ciri kunci pintu automatik ketika bergerak meninggalkan kereta, kluster meter digital dengan paparan 4.2-inci, enam pembesar suara, kerusi gabungan kulit dan fabrik, stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin automatik dan cermin sisi lipatan automatik.

    Honda WR-V dilancarkan di Indonesia — 1.5L NA CVT, bawah HR-V, jadi pesaing bagi Ativa, Rocky dan Raize

    Ciri keselamatan Honda Sensing bukan ciri standar untuk RS: ada juga penawaran RS dengan Sensing. Peringkat paling lengkap ini hadir dengan ciri ADAS serta LaneWatch, enam beg udara dan lampu automatik.

    Honda WR-V dijual pada harga Rp.271.9 juta untuk varian E, bersamaan dengan RM82,395. RS pula pada harga
    Rp.289.9 juta (RM87,865), sementara RS dengan Sensing Rp.309.9 juta (RM93,939). Tambahan bumbung hitam untuk warna Ignite Red Metallic RS pula akan melibatkan tambahan Rp.2.5 juta (RM757).

    Pilihan warna terdiri daripada Taffeta White (E only), Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl, Stellar Diamond Pearl (RS sahaja) dan Ignite Red Metallic (RS sahaja). Warna dua tona hanya untuk pilihan merah khas itu sahaja.

    Adakah Honda WR-V ini cukup menarik, dengan kelengkapan dan tanda harganya ini? HR-V yang paling asas di sini misalnya menggunakan enjin yang sama dan dijual pada harga RM114,800, sementara Ativa 1.0 liter turbo pula dijual pada harga RM62,500 hingga RM73,400. Ada yang akan pilih WR-V?

     
     
  • Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

    Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

    Selepas tewas kepada Ford dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam dengan Ferrari 330 P3 pada tahun 1966 (seperti yang boleh anda tonton dalam filem Ford V Ferrari), Ferrari tidak pernah lagi menang dalam perlumbaan ketahanan berkenaan dan kemudian menarik diri dari perlumbaan tersebut pada 1973.

    Dan kini selepas 50 tahun, Ferrari memperkenalkan jentera lumba 499P yang bakal berlumba dalam kategori tertinggi prototaip (kini menggunakan undang-undang Hypercar) FIA World Endurance Championship (WEC) termasuk pusingan Le Mans 24 Jam bermula tahun hadapan! Ini adalah jentera lumba endurance pertama yang dibina Ferrari selepas jentera terakhir Ferrari 312 P yang mula digunakan pada perlumbaan Sebring 12 Jam dan Le Mans 24 Jam 1969.

    Jentera ini dihasilkan mengikut spesifikasi teknikal Le Mans Hypercar yang ditetapkan oleh FIA – digerakkkan dengan unit rangkaian kuasa menggandingkan enjin V6 3.0 liter turbo berkembar bersama sistem hibrid elektrik yang menghasilkan kuasa 680 PS (500 kW), dengan berat keseluruhan tidak melebihi 1,030 kg.

    Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

    Enjin turbo berkembar berkenaan diletakkan pada sub-casis di bahagian tengah badan kereta dan memacu roda belakang bersama kotak gear sequential tujuh-kelajuan. Menurut Ferrari, enjin tersebut diasaskan dari enjin V6 turbo berkembar Ferrari yang sama dengan jentera lumba 296 GT3, serta turut digunakan pada kereta produksi jalan raya biasa, dan diubahsuai bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh FIA untuk kelas Hypercar.

    Manakala untuk sistem hibrid elektrik yang digelar sebagai Energy Recovery System (ERS), motor elektrik berkuasa 272 PS (200 kW) yang dibekalkan diletak pada gandar hadapan, bersama unit differential untuk memacu roda hadapan, menjadikan ia sebuah kereta lumba pacuan semua roda. Motor berkenaan turut berfungsi untuk mengecas semula pek bateri 900v yang dibekalkan ketika nyah pecut dan membrek.

    Ferrari menyatakan bahawa teknologi pek bateri yang digunakan pada kereta lumba Hypercar ini dihasilkan dari pengalamannya dalam Formula 1 yang kini turut menggunakan sistem hibrid elektrik. Manakala bagi menghasilkan kuasa elektrik dari tenaga kinetik semasa membrek, sistem brek kereta lumba 499P ini menggunakan teknologi brake-by-wire.

    Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

    Ferrari 499P diasaskan dari casis monocoque gentian karbon serba baharu. Ferrari mendakwa bahawa geometri untuk sistem suspensi double wishbone dan juga penyerap hentak jenis pushrod yang digunakan membolehkan jentera lumba berkenaan mengambil selekoh dengan laju, manakala sistem elektronik yang digunakan dibangunkan dari pengalamannya dalam perlumbaan GT.

    Rekaan kereta lumba 499P ini diperhalusi oleh Ferrari Styling Centre di bawah pengawasan pengarah rekaan Ferrari sendiri iaitu Flavio Manzoni. Aliran udara yang merentasi kedua-dua belah pod sisi kereta lumba ini di bawa untuk menyejukkan radiator yang terletak di bawah badan. Rekaan lingkungan roda pada jentera ini pula dibuat bagi mengurangkan tekanan di dalam ruang roda berkenaan.

    Muka kereta lumba ini termasuk jalur lampu LED dan lampu utama pula menampilkan elemen rekaan seperti model jalan raya edisi terhad Daytona SP3. Manakala pada bahagian belakang, ia mendedahkan banyak komponen gentian karbon seperti penutup enjin serta sayap dan diffuser belakang. Komponen mekanikal pada bahagian suspensi dan juga roda juga sengaja dibiarkan terdedah.

    Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

    Spoiler gergasi yang dipadankan pada 499P ini menampilkan dua sayap utama; sayap paling atas berfungsi memberikan downforce untuk mencapai prestasi maksima, manakala sayap bawah yang turut diberikan jalur LED memberikan rupa yang lebih mantap untuk kereta lumba ini. Liang-liang udara lain yang terdapat pada sebelah belakang ini pula berfungsi membekalkan udara kepada enjin serta menyejukkan pelbagai komponen termasuk bateri untuk sistem hibrid dan juga kotak gear.

    Ferrari bakal berkerjasama dengan AF Corse untuk berlumba dalam WEC 2023 dan kereta lumba 499P ini bakal membuat kemunculan sulungnya di pusingan pertama WEC 2023 iaitu di perlumbaan Sebring 1000 Miles pada bulan Mac tahun hadapan.

    Livery perlumbaan merah-kuning pada jentera ini adalah sempena untuk memperingati jentera 312 P pada 1970, dan nombor perlumbaan 50 dan 51 yang digunakan adalah sempena kali terakhir pasukan dari Itali tersebut menyertai perlumbaan prototaip endurance 50-tahun lalu. Sebelum ini Ferrari telah berjaya merangkul sebanyak 20 kemenangan dalam perlumbaan endurance, sembilan daripadanya adalah juara keseluruhan di Le Mans 24 Jam.

    Dari 2018 hingga tahun ini, siri WEC dan perlumbaan Le Mans 24 Jam didominasi sepenuhnya oleh Toyota selepas dua pencabar utama dalam kategori tertinggi perlumbaan tersebut menarik diri; Audi pada 2016, diikuti Porsche pada 2017. Namun untuk musim 2023, persaingan dalam kategoti Hypercar ini dilihat menarik kerana bukan sahaja ia disertai semula oleh Ferrari dan Porsche, malah turut akan menampilkan pasukan Peugeot dan Cadillac.

     
     
  • Harga minyak 3-9 Nov – Semuanya tiada perubahan

    Harga minyak 3-9 Nov – Semuanya tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan untuk minggu bertarikh 3 hingga 9 November 2022, harga bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara ini masih dikekalkan. Termasuklah dengan harga runcit bagi petrol RON 97 ditetapkan pada paras RM3.95 seliter. Ini merupakan minggu keempat harga runcit bagi RON 97 masih dikekalkan.

    Begitu juga dengan petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, turut masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya juga dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Harga yang diumumkan ini dilaksanakan mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 9 November 2022.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • CFMoto akan bawa model konsep baru termasuk skuter elektrik di bawah jenama Zeeho ke EICMA 2022

    CFMoto akan bawa model konsep baru termasuk skuter elektrik di bawah jenama Zeeho ke EICMA 2022

    Pengeluar motosikal dari China, CFMoto mengumumkan bahawa selain model sedia ada, mereka juga akan membawa model baru, termasuk konsep ke EICMA 2022 yang akan berlangsung 10 hingga 13 November ini. Turut menyertai CFMoto adalah satu lagi jenama khas untuk kenderaan elektrik di bawahnya, iaitu Zeeho.

    Model baru CFMoto yang akan diperkenalkan sewaktu acara pameran motosikal Eropah ini adalah sebuah model konsep, yang dipanggil sebagai NK C22. Daripada nama NK itu, kita sudah tahu ia adalah sebuah model naked, dan gambaran awal bentuknya ditunjuk melalui beberapa gambar teaser.

    Apa yang boleh dilihat adalah motosikal tersebut menggunakan rekaan yang futuristik, dengan nyalaan lampu LED unik depan dan belakang, tetapan cakera brek berkembar dengan angkup radial di hadapan serta muncung ekzos SC Project berkembar.

    CFMoto akan bawa model konsep baru termasuk skuter elektrik di bawah jenama Zeeho ke EICMA 2022

    Untuk motosikal di bawah jenama Zeeho pula, ia adalah sebuah skuter elektrik konsep yang dipanggil sebagai Magnet. Sama seperti NK C22, spesifikasi teknikal skuter ini juga tidak didedah, tetapi bentuknya ditunjuk melalui gambar teaser.

    Memetik ayat yang dikeluarkan bersama teaser tersebut, Zeeho menyatakan ia “lebih daripada sebuah skuter biasa” dan “memecahkan semua peraturan rekaan biasa.” Skuter ini dilihat mempunyai nyalaan lampu berbentuk C di hadapan dan belakang, tempat duduk jenis rata serta skrin digital yang mungkin boleh disambung dengan sistem CFMoto Ride yang akan juga diperkenalkan di acara itu.

     
     
  • BYD Atto 3 — Pembeli Thai tunggu lama, baris panjang sejak malam sebelum tempahan dibuka di Bangkok

    BYD Atto 3 — Pembeli Thai tunggu lama, baris panjang sejak malam sebelum tempahan dibuka di Bangkok

    Dilancarkan untuk pasaran Thailand bulan lalu, SUV elektrik BYD Atto 3 menerima sambutan yang cukup hangat di sana, menarik minat orang ramai sehingga terpaksa beratur panjang pada hari pembukaan tempahannya semalam, 1 November 2022.

    Permintaan juga sangat meyakinkan: jika dilihat daripada barisan yang terbentuk itu, ia sebenarnya sudah bermula pada 31 Oktober sejak jam 8 malam di bilik pameran BYD Kwang Thai Ekamai-Ramindra, seperti dilaporkan oleh laman web Thai, Blink Drive, dengan lebih daripada 30 orang menunggu di situ menjelang jam 4 pagi. Pelanggan berkumpul di bilik pameran BYD yang lain seluruh Thailand bagi mendapatkan slot untuk membeli Atto 3. Di bilik pameran BYD Phetkasem contohnya, 100 orang beratur untuk ini sejak jam 3 pagi.

    Pengedar rasmi BYD di Thailand, Rever Automotive memaklumkan pihaknya sedang bersiap untuk penyerahan 5,000 unit Atto 3 tahun ini, lapor Bangkok Biz News. Daripada jumlah itu, 2,507 tempahan dikumpul pada hari pertama, lapor Headlight Magazine. Varian Extended Range untuk pasaran Thailand ini akan disertai pula oleh versi Standard Range bermula 11 November nanti.

    Ogos lalu, CEO Rever, Pratarnwong Phornprapha berkata pihak pengedar mensasarkan BYD untuk menjadi jenama pengeluar lima terbesar di Thailand dalam masa lima tahun.

    BYD Atto 3 — Pembeli Thai tunggu lama, baris panjang sejak malam sebelum tempahan dibuka di Bangkok

    Untuk pasaran di sana, BYD Atto 3 dipasarkan dalam versi Extended Range dengan bateri Blade LFP 60.49 kWh BYD, yang boleh dicas 0-80% dalam masa 45 minit melalui pengecas DC 80 kW. Satu cas penuh, kitaran WLTP akan memberikan jarak 420 km, dan boleh menjadi punca kuasa bagi barangan elektrik melalui sistem V2L (vehicle-to-load) sehingga 2.2 kW.

    Kuasa utama SUV ini adalah dari motor elektrik yang ditempatkan di depan dan menghasilkan 204 PS dan 310 Nm tork, yang didakwa mampu memberikan pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat. Rim standard bersaiz 18-inci dengan tayar 215/55, dengan suspensi menggunakan jenis MacPherson strut di depan dan tetapan multi-link di belakang.

    Atto 3 pasaran Thailand juga datang dengan ciri kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, AEB, amaran perlanggaran depan dan belakang, amaran titik buta, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, amaran lintasan trafik belakang dengan brek.

    Turut melengkapinya adalah ciri bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, ABS, peninjau tekanan tayar dan sensor parkir belakang, kamera 360-darjah, pengingat tali keledar depan dan belakang dan Isofix.

     
     
  • KTMB Komuter Utara tambah 12 unit tren 3 gerabak menjelang 2025; kini tawar pas perjalanan jimat 33%

    KTMB Komuter Utara tambah 12 unit tren 3 gerabak menjelang 2025; kini tawar pas perjalanan jimat 33%

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menambah sebanyak 12 unit tren tiga gerabak untuk perkhidmatan Komuter Utara selewat-lewatnya menjelang tahun 2025. Ia adalah bagi mempertingkatkan lagi perkhidmatan sedia ada, di samping memberikan keselesaan yang lebih optimum buat para penumpang.

    Menurut CEO KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, inisiatif ini melibatkan pembelian tren baharu yang akan dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan, laporan Bernama.

    “KTM Komuter Utara mendapat sambungan hangat dalam kalangan penumpang. Segmen ini mempunyai dua jajaran iaitu Padang Besar-Butterworth yang paling digemari penumpang dan Butterworth-Padang Rengas. Set tren itu boleh disambungkan menjadi tren enam gerabak apabila berlaku permintaan tinggi.

    “Pada masa ini, kita berupaya untuk membawa sehingga 11,000 penumpang pada satu-satu masa. Bagaimanapun, jumlah itu belum menyamai bilangan penumpang sebelum Covid-19 iaitu sehingga 17,000 atas faktor mungkin masih ramai yang bekerja di rumah ketika ini. Tetapi kita jangka berlaku peningkatan secara mendadak menjelang hujung tahun ini apabila semua akan kembali bekerja di pejabat semula,” katanya.

    KTMB Komuter Utara tambah 12 unit tren 3 gerabak menjelang 2025; kini tawar pas perjalanan jimat 33%

    Buat masa ini, KTM Komuter Utara beroperasi dengan enam set tren iaitu dua unit tren enam gerabak dan empat unit tren tiga gerabak, yang sebelum ini digunakan oleh syarikat itu dalam operasinya di Lembah Klang.

    Dalam pada itu, KTMB baru sahaja memperkenalkan pas perjalanan secara mingguan dan bulanan bagi pengguna komuter di kawasan utara. Di mana para penumpang berpeluang menikmati penjimatan kos sehingga 33% berbanding pembelian tiket biasa.

    Mohd Rani berkata, pihaknya memperkenalkan pas itu sebagai satu inisiatif baharu dalam usaha memberi kemudahan perjalanan yang lebih mampan dan membantu meringankan beban pengguna dalam pasca COVID-19.

    Beliau berkata, KTMB turut mengambil maklum berhubung peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar, di samping menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan awam.

    KTMB Komuter Utara tambah 12 unit tren 3 gerabak menjelang 2025; kini tawar pas perjalanan jimat 33%

    “Pas ini diperkenalkan bagi dua laluan iaitu Butterworth- Padang Besar-Butterworth- Padang Rengas dan Padang Rengas-Butterworth-Padang Rengas membabitkan 38 perkhidmatan sehari.

    “Bagi pas perjalanan secara bulanan, pengguna dapat menikmati penjimatan sehingga 10 hari, manakala pengguna pas mingguan pula akan memperoleh penjimatan selama dua hari berbanding membeli tiket biasa,” katanya selepas majlis pelancarannya semalam.

    Jelas beliau, pas perjalanan mingguan dan bulanan itu boleh didapati mulai semalam (1 November 2022) menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan laman sesawang KTMB.

    “Bagi tiket konsesi seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak yang berusia antara empat hingga 12 tahun pula, pas ini hanya boleh didapati di kaunter tiket sahaja. Setakat Oktober lalu, sejumlah lebih 1.3 juta pengguna telah berdaftar dengan KITS,” katanya.

     
     
  • Toyota GR Corolla Rally Concept muncul di SEMA 2022 – tunjuk potensi Corolla sebagai jentera rali!

    Toyota GR Corolla Rally Concept muncul di SEMA 2022 – tunjuk potensi Corolla sebagai jentera rali!

    Tidak seperti GR Yaris, GR Corolla bukan model homologasi khas yang dibuat oleh Toyota untuk menyertai Kejohanan Rally Dunia (WRC). Namun dengan enjin dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four yang sama seperti GR Yaris, tentu sahaja GR Corolla ini boleh dijadikan jentera rali bukan?

    Jadi, ini dia – Toyota GR Corolla Rally Concept yang didedahkan di acara SEMA 2022 berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat, menunjukkan potensi GR Corolla untuk dijadikan kereta rali.

    Model konsep ini diasaskan dari GR Corolla dalam varian Circuit Edition untuk pasaran AS. Ia masih dijana oleh enjin asal G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang menghasilkan 304 PS (300 hp) dan tork maksima 370 Nm dalam keadaan standard. Enjin tersebut diperkemas dengan sistem ekzos custom sepenuhnya dari MagnaFlow, bersama penuras udara aliran tinggi dari GR.

    Toyota GR Corolla Rally Concept muncul di SEMA 2022 – tunjuk potensi Corolla sebagai jentera rali!

    Manakala rupa luaran GR Corolla Rally Concept ini pula dihasilkan dengan inspirasi dari jentera WRC GR Yaris Rally1. Ia diberikan kit badan tiga-inci lebih lebar (menjadikan ia enam-inci lebih lebar dari asal) yang diperbuat dari logam 20-tolok. Fender flare yang lebih lebar ini bukan sahaja memberikan kesan downforce yang lebih baik kepada GR Corolla berkenaan, malah ia turut berfungsi untuk mengeluarkan udara kotor dari ruang roda.

    Ia juga dipadankan dengan splitter udara pada bampar hadapan sepanjang 4.5-inci dan juga skirt sisi – kedua-duanya dibina dengan bahan komposit karbon. Di belakang, GR Corolla ini menerima spoiler bersaiz gergasi dari material gentian karbon, memberikan dua elemen downforce.

    Skup udara besar yang diletakkan pada kedua-dua sisi cermin suku belakang pada GR Corolla ini bukan bertujuan untuk aspek kosmetik, tetapi ia berfungsi untuk mengalirkan udara sejuk terus ke penyejuk minyak dan transmisi yang terletak di kabin belakang.

    Toyota GR Corolla Rally Concept muncul di SEMA 2022 – tunjuk potensi Corolla sebagai jentera rali!

    GR Corolla ini menerima suspensi rali boleh laras sepenuhnya Tein Gravel, manakala ruang roda yang jauh lebih besar berkenaan diisi dengan set roda terdiri dari rim OZ Racing bersaiz 17-inci dan lebar 8j, bersama tayar gravel Continental VikingContact 7 bersaiz 215/60R17.

    Menurut Toyota, set brek asal GR Corolla yang terdiri cakera 14-inci berliang dan bertebuk bersama angkup empat omboh ini sudah pun memadai untuk kegunaan perlumbaan rali. Namun ia diberikan angkup brek tambahan dari Willwood untuk roda belakang, khas untuk brek tangan hidraulik bagi memudahkan kawalan pada laluan SS rali.

    Kabin GR Corolla ini masih mengekalkan perincian sebuah kereta jalan raya biasa, diadun dengan kelengkapan-kelengkapan jentera rali. Karpet dan panel-panel pintu tidak dibuang, tetapi tempat duduk asal hadapan telah ditukar menggunakan tempat duduk bucket perlumbaan OMP lengkap dengan tali keledar.

    Posisi tuil gear juga diubah sedikit bagi memberikan capaian yang lebih baik kepada pemandu, manakala tuil brek tangan hidraulik pula diletakkan di sebelahnya, sementara brek tangan manual untuk parkir pula masih dikekalkan. Apa yang menarik, walaupun kabin GR Corolla Rally Concept ini menerima roll cage penuh, tempat duduk belakang masih lagi dikekalkan dan tidak dicabut keluar.

    Ruang but belakang digunakan untuk diletakkan tayar gantian lengkap dengan jek, dan dapat dilihat satu kill switch turut diletakkan pada bahagian berkenaan berfungsi untuk mematikan terus bekalan elektrik dari bateri sekiranya berlaku kecemasan. Kelengkapan jentera rali lain yang turut dipadankan pada GR Corolla ini termasuk sistem pemadam kebakaran perlumbaan dari OMP dan juga set intercom rali dari ZeroNoise bagi memudahkan pemandu dan juruarah berinteraksi.

    Toyota kembali menyertai semula WRC pada tahun 2017 selepas mengundurkan diri pada tahun 1999. Jentera terakhir yang digunakan oleh Toyota sebelum “tidur” selama 18 tahun dari perlumbaan berkenaan adalah Toyota Corolla GT-Four WRC – jadi sekiranya Toyota kembali ke WRC masih dengan Corolla, jentera yang digunakan mungkin menampilkan rupa yang hampir sama seperti GR Corolla Rally Concept ini.

     
     
  • ACE 2022: Skuter Royal Alloy akan dipamerkan di SCCC, 5-6 Nov — ada TG250S ABS, GP125 dan GP180

    ACE 2022: Skuter Royal Alloy akan dipamerkan di SCCC, 5-6 Nov — ada TG250S ABS, GP125 dan GP180

    Hujung minggu ini jangan lupa untuk berkunjung ke acara Auto Car Expo (ACE) anjuran paultan.org di Pusat Persidangan Setia City dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Anda akan disajikan dengan pelbagai tawaran menarik untuk pelbagai jenis dan barisan kenderaan yang dipamerkan.

    Ia juga tidak hanya menampilkan kenderaan empat roda semata-mata. Untuk motosikal, sebuah syarikat skuter yang berpangkalan di UK, Royal Alloy, akan turut membawakan barisan skuter keluaran mereka, seperti model TG250S ABS dalam warna baru. Ini turut akan disertai oleh model GP125 dan GP180.

    Royal Alloy TG250S ABS datang dengan enjin 244 cc sejukan cecair, silinder tunggal yang menjana 21.3 hp pada 8,000 rpm dan 21 Nm tork pada 6,500 rpm, disalurkan melalui CVT. Kapasiti tangki minyak ialah 10.5 liter, dengan beratnya 152 kg.

    Melengkapinya adalah brek cakera depan dan belakang dengan Bosch ABS. Lampu depan dan belakang pula dari jenis LED: ia dilenkapi dengan peralatan moden, tetapi tampil dalam imej retro yang menawan. Tidak ketinggalan ada panel instrumen digital, serta slot pengecas USB di ruang barangan depan.

    ACE 2022: Skuter Royal Alloy akan dipamerkan di SCCC, 5-6 Nov — ada TG250S ABS, GP125 dan GP180

    GP125 dan GP180 pula masing-masing memanfaatkan enjin berkapasiti 125 cc dan 169 cc. GP125 menghasilkan 9.65 hp pada 7,500 rpm dan 9.2 Nm tork pada 7,000 rpm. Sementara GP180 pula menjana 10 hp pada 7,250 rpm dan 10.6 Nm tork pada 5,250 rpm. Kedua-duanya menggunakan CVT dan brek cakera depan dan belakang, dengan GP180 menerima ciri ABS. Pengecas USB di depan turut disediakan.

    Selain Royal Alloy, jenama automotif lain yang akan terlibat termasuklah Honda, Toyota, Nissan, Hyundai, Proton, Perodua dan Subaru. Bagi mewakili jenama premium pula, Volvo (melalui Ingress Swede Automobile), Mercedes-Benz (melalui Cycle & Carriage) dan BMW/MINI (melalui Wheelcorp Premium).

    200 pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan baru akan menerima gabungan baucar bernilai RM2,500 yang terdiri daripada baucar RM500 bagi filem penapis haba V-Kool, RM500 bagi baucar Dodomat, baucar RM500 untuk penapis udara Blueair, baucar RM500 Recaro untuk kerusi keselamatan kanak-kanak dan baucar RM500 DK Schweizer bagi balutan kulit kustom untuk ruang dalaman kenderaan.

    myTukar juga menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan pertama yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.

    ACE 2022: Skuter Royal Alloy akan dipamerkan di SCCC, 5-6 Nov — ada TG250S ABS, GP125 dan GP180

    Hadiah tidak berakhir di situ. Tempahan kereta baru yang telah disahkan pula akan membolehkan anda untuk layak dalam cabutan bertuah dengan tawaran pelbagai hadiah, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM2,300 setiap satu dan hadiah utama terdiri daripada pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000!

    Walaupun dengan peraturan pandemik Covid-19 yang semakin longgar kini, kami masih akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua orang. Pengunjung adalah digalakkan untuk menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di dalam ruang pameran, dan cecair sanitasi tangan juga akan diletakkan di beberapa tempat di sepanjang acara berlangsung.

    Banyak lagi perincian promosi yang akan kami kongsikan daripada jenama-jenama yang ikut serta nanti, jadi teruskan bersama kami. Sementara itu, tandakan kalendar anda untuk 5-6 November 2022 untuk ACE 2022 di SCCC. Jumpa hujung minggu ini!

     
     
  • Yamaha Tenere 700 2023 dapat skrin TFT lima inci boleh sambung kepada telefon, sistem ABS tiga mod

    Yamaha Tenere 700 2023 dapat skrin TFT lima inci boleh sambung kepada telefon, sistem ABS tiga mod

    Februari lalu, Yamaha telah memperkenalkan Tenere 700 World Raid, yang merupakan sebuah versi prestasi bagi Tenere 700, dan dijual pada harga USD2,500 (RM10,000) lebih tinggi berbanding model biasa. Sekarang, mereka mengambil keputusan membawa beberapa peningkatan yang ada pada versi World Raid, kepada model biasa keluaran tahun 2023.

    Ini termasuklah skrin TFT lima inci yang boleh disambung kepada telefon bimbit melalui aplikasi MyRide untuk memaparkan notifikasi, sistem ABS yang mempunyai pilihan tiga mod iaitu On, Rear Off dan ABS Off, serta penukar gear yang sudah tersedia untuk dipadankan bersama quickshifter. Bagi Tenere biasa model keluaran tahun 2023, semua ciri ini diberikan secara standard.

    Bahagian lain motosikal dual purpose ini masih sama, termasuklah enjin, iaitu unit dua silinder selari DOHC 689 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 73.4 PS pada 8,750 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Tangki bahan api masih berkapasiti 16 liter (versi World Raid mempunyai dua tangki bahan api tambahan berkapasiti 23 liter di bahagian tepi).

    Kedua-dua suspensi hadapan dan belakang Tenere 700 2023 boleh dilaras, dan ia terdiri daripada fork USD 43 mm dengan jarak gerak 210 mm (World Raid mempunyai jarak gerak 230 mm), serta monoshock dengan jarak gerak 200 mm di belakang. Rim menggunakan padanan saiz 21 inci di hadapan, dan 18 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Rally.

    Perincian lain Tenere 700 2023 adalah tinggi tempat duduk 875 mm (World Raid 890 mm), jarak kelegaan dari tanah 240 mm, brek cakera 282 mm berkembar di hadapan, 245 mm di belakang, kesemua lampu jenis LED, penghadang angin jenis Rally serta penghadang tangan plastik.

     
     
  • My50 Rapid KL – beli satu, percuma satu pada 11.11

    My50 Rapid KL – beli satu, percuma satu pada 11.11

    Untuk penduduk Lembah Klang yang mahu cuba menggunakan pengangkutan awam sebagai pengangkutan harian bagi mengurangkan kos sara hidup, inilah masanya untuk berbuat demikian. Rapid KL sedang menawarkan promosi beli satu, percuma satu untuk pas perjalanan bulanan My50 sempena dengan 11.11, seperti mana promosi B1F1 pada bulan lalu.

    Pas perjalanan bulanan tanpa had untuk rangkaian bas dan tren kendalian Rapid KL ini hanya bernilai RM50 untuk dua orang. Untuk mengambil bahagian dalam promosi “My50 Buddy 2 Untuk 1” ini, pengguna baharu perlu memuat turun aplikasi perancang perjalanan Pulse dari Rapid KL untuk pendaftaran. Isi butiran diri menerusi aplikasi berkenaan untuk kedua-dua penerima pas ini. Jika permohonan berjaya, anda akan menerima e-mel pengesahan sebelum 11 November ini iaitu tarikh penebusan.

    Penebusan boleh dilakukan di stesen LRT KL Sentral dan Hab Bas Pasar Seni pada 11 November ini.Kedua-dua penerima perlu ada ketika penebusan ini, dan perlu menunjukkan MyKad dan surat baucar bercetak. Pemohonan untuk mendapakan dua pas dalam satu harga ini sedang berlangsung sehingga 7 November ini. Maklumat penting, promosi ini hanya untuk pengguna baharu My50 sahaja. Selamat mencuba!

     
     
  • Kadar ChargEV di Starbucks di Malaysia – RM1.20/min bagi DC 60 kW, RM5/20 min untuk AC 11 kW

    Kadar ChargEV di Starbucks di Malaysia –  RM1.20/min bagi DC 60 kW, RM5/20 min untuk AC 11 kW

    ChargEV telah mengumumkan kadar pengecasan terkini bagi pengecas EV yang ditempatkan di 17 cawangan Starbucks, di mana ia merupakan hasil kerjasama dengan Starbucks Malaysia dan Yinson GreenTech.

    Dicaj mengikut minit, kada bagi menggunakan pengecas DC berkapasiti sehingga 60 kW ialah RM1.20 setiap minit, sementara RM5 untuk setiap 20 minit sekiranya menggunakan pengecas AC yang berkapasiti hingga 11 kW. Untuk ahli ChargEV (RM240 setahun) penggunaan pengecas AC adalah secara percuma.

    Sebagai peringatan, jika anda menggunakan pengecas DC, anda mungkin mendapati beberapa penyambung berbeza (Type 2, CCS2 dan CHAdeMO). Sekiranya anda menggunakan pengecasan AC dari pengecas DC, anda akan dicaj mengikut kadar pengecasan DC (RM1.20 seminit).

    Bagi pengecas AC tunggal, kadarnya seperti yang dinyatakan iaitu RM5 untuk setiap 20 minit. Jadi pastikan anda memilih pengecas yang bersesuaian dengan kenderaan elektrik (EV) atau plug-in hybrid anda. Kadar pengecasan yang tinggi bukanlah bermakna kenderaan anda akan dicas secara lebih cepat sekiranya ia tidak menyokong pengecasan pantas.

    17 cawangan Starbucks yang menyediakan pengecas EV adalah seperti di bawah:

    • Starbucks Kota Kemuning Drive-Thru (pengecas DC)
    • Starbucks Reserve Setia Alam (pengecas DC)
    • Starbucks Ukay Perdana Drive-Thru (pengecas DC)
    • Starbucks Eco Gradeur Drive-Thru (pengecas DC)
    • Starbucks Conezion Putrajaya Drive-Thru
    • Starbucks Rimbayu Drive-Thru
    • Starbucks Jade Hill Drive-Thru
    • Starbucks Reserve Eco Majestic Drive-Thru
    • Starbucks Eco Horizon Drive-Thru
    • Starbucks Icon City Drive-Thru
    • Starbucks Hillside Drive-Thru
    • Starbucks Juru (R&R) Drive-Thru
    • Starbucks Tanjong Tokong Drive-Thru
    • Starbucks Malim Jaya Drive-Thru
    • Starbucks Bandar Seri Alam Drive-Thru
    • Starbucks Seri Austin Drive-Thru
    • Starbucks Skudai (R&R) Drive-Thru

    Selain itu, ChargEV turut mendedahkan kadar pengecasan di Hard Rock Hotel Desaru Coast, Johor, iaitu RM1.20 seminit untuk pengecas DC 60 kW dan RM5 bagi setiap 20 minit untuk pengecas AC 11 kW. Tapi untuk ahli ChargEV, penggunaan pengcas AC di sana adalah percuma.

     
     
  • Petronas Mesra Bonanza Lagi Onz dilancar; menangi Mercedes-Benz EQA, pakej percutian bernilai RM15k

    Petronas Mesra Bonanza Lagi Onz dilancar; menangi Mercedes-Benz EQA, pakej percutian bernilai RM15k

    Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah melancarkan kempen penghargaan terkini, yang dinamakan sebagai Kempen Mesra Bonanza Lagi Onz khas untuk para pelanggan setianya. Ia menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi, termasuklah kenderaan elektrik, skuter, telefon pintar dan banyak lagi.

    “Kami sentiasa mencari cara terbaik untuk menggembirakan pelanggan setia kami. Hari ini, kami teruja untuk memperkenalkan Mesra Bonanza Lagi Onz, kempen ganjaran kesetiaan yang inklusif yang kami pasti akan mengujakan pelanggan kami, kata pengurus besar bahan api runcit PDB Norazlan Subaha.

    Kempen ganjaran kesetiaan Mesra Bonanza Lagi Onz ini berlangsung selama tiga bulan bermula 1 November 2022, sehingga 31 Januari 2023, di mana pemenang akan diberikan ganjaran setiap bulan, serta berpeluang memenangi hadiah utama yang berupa sebuah Mercedes-Benz EQA, sementara dua pemenang di tempat kedua pula masing-masing bakal menerima baucar percutian bernilai RM15,000.

    Petronas Mesra Bonanza Lagi Onz dilancar; menangi Mercedes-Benz EQA, pakej percutian bernilai RM15k

    Terdapat juga hadiah yang bakal dimenangi setiap bulan, termasuklah skuter Honda ADV150 (seunit untuk setiap bulan), Apple iPhone 14 128GB (enam unit untuk setiap bulan), jam pintar Garmin Venu SQ2 (12 unit untuk setiap bulan), baucar minyak bernilai RM50 (110 setiap bulan), baucar Setel bernilai RM50 (60 untuk setiap bulan), baucar membeli-belah bernilai RM50 (50 untuk setiap bulan), cenderahati Petronas LPG bernilai RM100 (20 untuk setiap bulan), minyak pelincir Petronas Syntium (20 untuk sebulan), dan 5,000 mata ganjaran Mesra bernilai RM50 (120 untuk setiap bulan).

    Untuk menyertainya, pelanggan Petronas yang berbelanja minimum RM40 ketika mengisi minyak di mana-mana stesen Petronas atau melalukan transaksi runcit bernilai RM10 dalam satu resit di Kedai Mesra berpeluang memenangi cabutan hadiah bulanan. Manakala pelanggan yang berbelanja sejumlah RM700 ke atas sepanjang tempoh kempen ganjaran ini, berpeluang memenangi hadiah utama iaitu kereta elektrik Mercedes-Benz EQA.

    Sebagai tambahan, pelanggan yang membayar pembelian mereka menerusi aplikasi mobil Setel, memberikan peluang berganda untuk menyertai kempen ini. Manakala pelanggan yang membayar menggunakan kad debit atau kredit atau CardTerus menerusi aplikasi Setel dapat peluang empat kali ganda untuk penyertaan.

    “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Petronas sekali lagi dalam kempen Mesra Bonanza Visa. Pemegang kad kami yang dihargai berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah bernilai lebih RM500,000 setiap kali mereka membayar minyak dan pembelian lain di Petronas menggunakan kad Visa mereka,” kata Ng Kong Boon selaku pengurus negara Visa untuk Malaysia.

     
     
  • Ford Ranger XL Single-cab 2023 – RM99k, diesel 2.0L turbo, hanya manual, bed paling besar dalam kelasnya

    Ford Ranger XL Single-cab 2023 – RM99k, diesel 2.0L turbo, hanya manual, bed paling besar dalam kelasnya

    Jika anda mahukan sebuah trak pikap semata-mata bagi digunakan untuk bekerja, ini ada satu pilihan baharu untuk anda – Ford Ranger XL Single-cab kini telah pun dijual secara rasmi di Malaysia, bersama varian dual-cab XL, XLT, XLT Plus, Wildtrak dan juga trak prestasi tinggi Ranger Raptor generasi baharu yang sudahpun dilancarkan pada pasaran tempatan sebelum ini.

    Bagi Ranger XL Single-cab ini, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM98,888 untuk semenanjung Malaysia, dan RM104,388 bagi Sabah dan Sarawak. Varian ini hanya datang dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin diesel 2.0L empat silinder dengan pengecas turbo tunggal berkuasa 170 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 405 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,500 rpm.

    Ia juga hanya hadir dengan kotak gear enam kelajuan manual tanpa pilihan kotak gear automatik, dan ia turut menerima sistem pacuan empat roda dengan pilihan gear 2H, 4H dan 4L yang boleh dipilih secara elekronik menggunakan suis putar yang disediakan.

    Ford Ranger XL Single-cab 2023 – RM99k, diesel 2.0L turbo, hanya manual, bed paling besar dalam kelasnya

    Dengan hanya menampilkan kabin tunggal tempat duduk sebaris, Ranger XL Single-Cab ini menawarkan ruang bed belakang berukuran 2,332 mm panjang, 1,420 mm lebar serta 540 mm tinggi, yang lebih luas dari model Double-cab dan ia didakwa paling besar di dalam kelasnya.

    Ford mendakwa bahawa konfigurasi Single-cab tersebut juga membolehkan bed belakang Ranger XL ini membawa barang lebih besar seperti papan lapis binaan dalam jumlah yang banyak, atau palet bersaiz penuh. Ruang berkenaan juga diberikan enam cangkuk untuk mengikat pada tiub rel logam, manakala pintu tailgate pula direka bagi membolehkan ia dibuat meja kerja bersama poket bersepadu untuk menggunakan pembaris dan pengapit.

    Walaupun Ranger XL ini merupakan varian yang paling “kosong”, ia masih menerima paparan instrumen digital sepenuhnya, bersama skrin infotainmen besar bersaiz 10.1-inci yang diletak secara potret. Skrin tersebut memberikan fungsi arahan suara serta sokongan untuk sistem Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh disambungkan tanpa wayar.

    Perincian lain yang diberikan termasuk rim aloi 16-inci, bampar hadapan dengan warna badan, gril hadapan dan bampar belakang kemasan hitam, lampu hadapan halogen, lampu kabus belakang, cangkuk menyelamat hadapan, lampu nyalaan siang serta lampu brek ketiga LED yang diletakkan pada pintu tailgate.

    Empat warna badan ditawarkan untuk Ford Ranger XL Single-cab ini iaitu Absolute Black, Aluminium Metallic, Arctic White dan Meteor Grey. Pembelian trak pikap ini dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km yang mana sampai dahulu, tetapi pembeli boleh memilih pakej perlindungan waranti yang dipanjangkan sehingga tujuh tahun.

    Ford Malaysia turut menawarkan pilihan pakej lanjutan untuk servis berjadual sehingga lima tahun, yang mana pelanggan boleh membuat bayaran pendahuluan dan ‘mengunci’ kos servis tersebut, serta pembayaran boleh dimasukkan ke dalam pembiayaan kenderaan untuk mengurangkan mana-mana kesan kenaikan kos.

     
     
  • BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

    BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

    Walaupun kerajaan telah memberikan insentif pengecualian cukai dan duti bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU), sehingga kini masih lagi tiada kereta elektrik yang boleh dijual pada harga mampu milik di Malaysia bukan? Namun dengan inisiatif Sime Darby Motors membawa jenama EV China iaitu BYD (dikenali sebagai BYD SDM), kita mungkin akan menerima EV yang mampu milik tidak lama lagi.

    Kami telahpun menerima pengesahan sebelum ini bahawa BYD SDM bakal melancarkan EV Atto 3 dan e6 pada awal Disember nanti, dengan penghantaran pertama kepada pelanggan dijadualkan pada suku pertama tahun hadapan. Dan menerusi jawapan terbaharu yang kami terima dari staf BYD SDM, syarikat tersebut mendedahkan bahawa ia merancang untuk melancarkan dua lagi model EV tahun depan iaitu BYD Dolphin dan BYD Seal.

    Kedua-dua model berkenaan dijangka bakal dilancarkan di Malaysia pada suku ke-4 2023, dan pada artikel kali ini kami akan mengupas berkenaan BYD Dolphin, iaitu sebuah hatchback lima-pintu, dengan saiz hampir sama dengan hatchback segmen-B biasa. Dolphin turut dikenali dengan nama EA1, dan ia dihasilkan sedikit lebih kecil berbanding crossover Atto 3 yang bakal dilancarkan bulan hadapan. Di China, Atto 3 dijual pada harga 150k yuan, manakala Dolphin dijual pada harga 94k yuan.

    BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

    Sebelum ini BYD SDM sudahpun membuat jangkaan bahawa Atto 3 bakal dijual pada harga RM150k, dan oleh sebab itu ada harapan Dolphin mungkin boleh dijual pada harga bawah RM100k – menjadikan ia sebagai model EV paling mampu milik di Malaysia selepas ini.

    Dari segi saiz, Dolphin diukur dengan 4,125 mm panjang dan 1,770 mm lebar. Oleh itu ia adalah 220 mm lebih pendek dan 22 mm lebih lebar berbanding Honda City Hatchback, manakala jarak rodanya pula mencecah 2,700 mm – sudah berada dalam julat jarak roda model-model segmen-C.

    Jadi, BYD Dolphin ini boleh dikatakan berada dalam saiz yang sama seperti model-model segmen-B dengan enjin petrol biasa, dia ia bukan EV mikro seakan kereta mainan seperti Wuling Air EV yang dijual pada harga bermula RM74k di Indonesia – kini merupakan EV paling mampu milik di republik berkenaan buat masa sekarang.

    BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

    Rupa BYD Dolphin ini juga masih nampak normal seperti hatchback biasa. Ia menampilkan juntaian hadapan dan belakang yang pendek, dan diberikan garis sisi badan berbentuk-Z, bersama tiang-C yang digelapkan bagi memberikan kesan seakan bumbungnya terapung. Di belakang, model ini menampilkan lampu yang merentangi sepenuhnya pintu hatch dengan grafik LED yang menarik, bersama emblem ‘Build Your Dreams’ – maksud sebenar BYD.

    Dolphin digerakkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 174 hp dan tork 290 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.0 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium fosfat logam (LFP) Blade yang dibangunkan sendiri oleh BYD berkapasiti 44.9 kWj. Jangan tak tahu, BYD turut membekalkan bateri LFP Blade ini kepada Toyota untuk model bZ3 yang baru sahaja didedahkan di China tempoh hari.

    Dengan satu cas penuh bateri tersebut, Dolphin boleh bergerak sejauh 401 km dalam kitaran NEDC – tolak 20% dari jarak tersebut adalah anggaran untuk jarak dalam dunia sebenar. Untuk mengecas, pengecas AC 7 kW memerlukan 6 jam 25 minit untuk memenuhkan bateri tersebut, manakala dengan pengecas pantas DC 60 kW membolekan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa hanya 30 minit.

    BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

    Dolphin turut ditawarkan dalam versi motor berkuasa lebih rendah iaitu 94 hp/180 Nm, tetapi masih menerima bateri berkapasiti 44.9 kWj. Bagi model ini ia mengambil masa 0.9 saat lebih perlahan dalam pecutan 0-50 km/j. Namun jarak geraknya hanya sedikit lebih baik iaitu 405 km dalam kitaran NEDC.

    Di China, Dolphin juga hadir dalam varian paling asas yang menerima motor 94 hp/180 Nm yang digandingkan dengan bateri berkapasiti hanya 30.7 kWj. Bagi model ini jarak geraknya hanya 301 km dalam kitaran NEDC. Pengecas pantas DC turut boleh memenuhkan bateri dari 30-80% SOC dalam masa 30 minit, tetapi kadar maksimumnya hanya 40 kW.

    Buat masa sekarang, antara EV yang paling mampu milik yang boleh anda beli adalah Hyundai Kona Electric yang dijual pada harga bermula RM150k. Dan bulan ini juga satu model EV China iaitu Ora Good Cat turut akan dilancarkan di Malaysia, yang mungkin sedikit murah dari Kona Electric. Sekiranya BYD Dolphin ini tiba di Malaysia kelak dengan harga di bawah RM100k, adakah anda bersedia untuk beralih menggunakan EV?

     
     
  • Isuzu buka cawangan 3S berimej korperat baru sulung

    Isuzu buka cawangan 3S berimej korperat baru sulung

    Isuzu Malaysia hari ini memperkenalkan cawangan dengan penampilan imej korporat baru oleh Autoexec Corporation 3S Centre, di Kuala Lumpur.

    Cawangan ini menampilkan imej jenama yang kuat untuk mencerminkan perubahan wajah depan perniagaan Isuzu di sini. Elemen rekaan moden dan kemudahan yang dipertingkatkan dihadirkan bagi memastikan pelanggan bukan sekadar membeli barisan produk yang bagus, tetapi turut menerima layanan jualan dan lepas jualan yang cemerlang di bawah satu bumbung,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

    Pusat 3S terbaru Autoexec Corporation terletak di atas kawasan dengan keluasan 1,400 meter persegi di Jalan Jinjang Permai di pinggir Kuala Lumpur dan menawarkan barisan lengkap produk serta servis Isuzu, dari trak pikap Isuzu D-Max hinggalah kepada lori tugasan ringan, medium, berat dan juga penggerak utama (prime mover).

    Bilik pamerannya menampilkan ruang berpendingin di mana trak pikap dipamerkan serta lori juga ditunjukkan di bawah kawasan berbumbung untuk keselesaan semua. Cawangan ini juga menempatkan ruang servis luas yang boleh menampung sehingga empat kenderaan tugasan ringan serta dua trak tugasan sederhana dalam satu masa. Pelanggan yang membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan lepas jualan boleh menikmati hidangan ringan yang disediakan di ruang menunggu yang sangat selesa sementara juruteknik terlatih melayani keperluan
    kenderaan Isuzu mereka.

    Isuzu buka cawangan 3S berimej korperat baru sulung

    Cawangan Isuzu selepas ini juga akan dibezakan dengan penggunaan logo Isuzu baru yang ditampilkan di depan bangunan serta di menara logo khas di gerbang masuk ke premis. Pusat 3S, yang khususnya menawarkan penjagaan lepas jualan untuk trak juga menampilkan ruang yang cukup luas bagi memudahkan parkir serta pengendalian keluar-masuk.

    Di dalam, cawangan baru ini juga hadir dengan penampilan lebih berkarismatik dengan ciri khusus sebagai panduan mudah untuk pengunjung mengetahui keseluruhan tataletak di premis berkenaan. Cawangan Autoexec Corporation di Kuala Lumpur menjadi cawangan pertama yang menampilkan wajah baru ini dan langkah sama akan diikuti di seluruh negara selepas ini. Peralihan dan perubahan ini akan mengambil masa hampir dua tahun untuk diselesaiakan dengan keseluruhan rangkaian dijangka akan mempamerkan identiti baru ini menjelang Disember 2024.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025