Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Alza 2022 – aksesori GearUp luar dan dalam

    Perodua Alza 2022 – aksesori GearUp luar dan dalam

    Bersama dengan pelancaran Alza generasi kedua hari ini, Perodua turut memperkenalkan barisan aksesori GearUp untuk MPV tujuh tempat duduk tersebut. Ia melibatkan barangan untuk penampilan, kemasan dalam serta kemudahan dan aksesori lain.

    Bermula dengan kit badan, yang dipanggil sebagai Prime Bodykit, ia melibatkan tambahan kemasan pada bampar hadapan dan belakang, serta spoiler di atas penutup but belakang. Pakej ini ditawarkan pada harga RM2,500, sekali dengan pemasangan dan boleh dicat dalam semua warna yang disediakan untuk Alza baru ini.

    Untuk bahagian dalam, aksesori pertama yang disediakan adalah pembalut tempat duduk dua tona warna (merah dan hitam, dengan jahitan merah), yang dibuat daripada PVC dan mempunyai poket tempat simpanan barang di bahagian belakang tempat duduk hadapan. Harganya adalah RM1,000 dan disediakan untuk semua varian.

    Perodua Alza 2022 – aksesori GearUp luar dan dalam

    Pakej seterusnya yang disediakan adalah Utility Package, berharga RM390 dan pembeli akan mendapat pelapik ruang barangan belakang, visor cermin serta pelapik kaki. Barangan ini juga boleh dibeli secara berasingan dengan harga masing-masing RM80, RM160 dan RM200.

    Bagi menaikkan seri Alza baru ini, pemilik juga boleh mendapatkan pelapik tepi pintu berlampu serta lampu di bahagian lantai pada harga masing-masing RM300 dan RM250. Bagaimanapun, untuk memasang aksesori ini, pemilik juga perlu mendapatkan penyambung sistem pendawaian khas yang dijual berasingan pada harga RM75.

    Pada bahagian keselamatan, antara aksesori yang disediakan adalah tempat duduk kanak-kanak, pada harga RM680, perakam video pada harga RM500, pengunci nat tayar (RM200) serta pemerhati tekanan angin tayar (TPMS) bluetooth (RM430).

    Ada juga pelbagai lagi aksesori tambahan dalam katalog GearUp ini, antaranya seperti kain pelindung bahagian kabin, pemegang telefon, pelindung tepi pintu, kotak tisu, pemadam api, kotak barangan dan pelbagai lagi.

    GALERI: Perodua Alza AV 2022 dengan kit GearUp

    GALERI: Brosur Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

     
     
  • Perodua Alza 2022 terima tempahan lebih 30,000 unit

    Perodua Alza 2022 terima tempahan lebih 30,000 unit

    Perodua Alza 2022 yang dilancarkan sebentar tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah menerima tempahan melebihi 30,000 unit sejak tempahannya dibuka pada 23 Jun lalu.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad, tempahan yang diterima itu telah mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah syarikat setakat ini.

    “Pencapaian ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah para pelanggan memanfaatkan sepenuhnya inisiatif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang tamat pada 30 Jun lalu. Daripada lebih 200,000 tempahan yang telah diterima untuk kesemua model kami, hampir 15% adalah Alza serba baharu ini.

    Perodua Alza 2022 terima tempahan lebih 30,000 unit

    “Selain itu, faktor lain adalah daya tarikan nilai keseluruhan pakej Alza serba baharu. Ini termasuk ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti enam beg udara, Bantuan Keselamatan Termaju, ruang yang luas dan keselesaan pemanduan yang lebih baik,” katanya.

    Tambah beliau, hampir 4,000 pemilik model Alza sebelum ini telah membuat tempahan untuk versi serba baharu ini, walau pun sebelum pembukaan tempahannya dibuka secara rasmi.

    “Bermula hari ini, beberapa pelanggan kami akan menerima Alza serba baharu mereka daripada 195 bilik pameran jualan yang sah di seluruh negara. Selain itu, kami memberi jaminan kepada para pelanggan yang menempah Alza serba baharu ini pada atau sebelum 30 Jun 2022, mereka akan menerima kenderaan yang ditempah sebelum 31 Mac 2023 iaitu tarikh akhir pendaftaran bagi kenderaan yang menerima pengecualian SST,” kata Zainal Abidin lagi.

    Perodua Alza 2022 terima tempahan lebih 30,000 unit

    Perodua Alza 2022 didatangkan dengan tiga varian iaitu model asas 1.5L X yang berharga RM62,500, RM68,000 untuk varian 1.5L H dan model spesifikasi tertinggi, 1.5L AV pula berharga RM75,500. Kesemuanya adalah harga atas jalan dengan SST dan tanpa insurans. Jaminan lima-tahun diberikan secara standard.

    Diklasifikasikan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), Alza 2022 ini dipadankan dengan enjin 1.5 liter Dual VVT-i NA empat-silinder dengan kuasa mencecah 105 hp dan tork 138 Nm pada 4,200 rpm. Ia turut digandingkan bersama kotak gear D-CVT automatik. Kecekapan penggunaan minyak juga didakwa 40% lebih baik, di samping prestasi keseluruhan yang lebih baik. Eco Idle ditawarkan sebagai ciri standard.

    Pembeli boleh memilih daripada lima warna, tiga daripadanya warna baharu untuk Alza 2022. Ini melibatkan Vintage Brown, Garnet Red dan Elegant Black; sebagai tambahan Glittering Silver dan Ivory White. Warna coklat dan merah hanya eksklusif untuk varian H dan AV.

    Untuk mengetahui perincian penuh bagi setiap varian barisan Alza 2022, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

    Perodua Alza 2022 1.5L AV


    Perodua Alza 2022 1.5L H

    Perodua Alza 2022 1.5L X

    Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

    GALERI: Brosur Perodua Alza 2022

     
     
  • Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    Akhirnya, Perodua Alza 2022 secara rasminya telah pun dilancarkan secara rasmi hari ini, selepas model generasi pertamanya yang telah berada lebih 12 tahun dalam pasaran ditamatkan produksinya pada akhir April lalu. Model generasi baharu ini menampilkan teknologi yang jauh lebih moden kerana diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza/Veloz generasi baharu.

    Alza 2022 menerima enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA, digandingkan dengan kotak gear D-CVT untuk memacu roda hadapan – tiada lagi pilihan kotak gear manual untuk mana-mana varian model generasi baharu ini. Padanan unit rangkaian kuasa berkenaan telah pun mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan mencapai penggunaan bahan api serendah 22 km/l dalam ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC).

    Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    Konfigurasi enjin dan kotak gear yang sama sebenarnya sudahpun digunakan pada Perodua Myvi facelift 2022, yang menampilkan kuasa 103 PS (102 hp) dan tork maksima 137 Nm. Namun untuk Alza, enjin 2NR-VE tersebut menerima talaan lebih berkuasa, menghasilkan 106 PS dan tork maksima 138 Nm.

    Dari segi teknologi keselamatan juga, Alza 2022 ini diberikan kelengkapan yang jauh lebih moden dan agak terkehadapan berbanding saingan sekelasnya seperti Mitsubishi Xpander dan Honda BR-V. Secara standard, ia datang dengan perincian seperti enam-beg udara, serta sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) terkini.

    Malah varian lebih tinggi MPV segmen-B tujuh-tempat duduk ini turut menerima perincian yang agak canggih termasuk kamera pandangan panaromik 360-darjah, dan juga brek parkir elektronik. Tiga varian ditawarkan oleh Perodua untuk Alza 2022 ini, bermula dengan varian asas 1.5 X, varian pertengahan 1.5 H dan juga varian tertinggi 1.5 AV.

    Untuk perincian lengkap berkenaan harga dan juga spesifikasi yang diberi bagi setiap varian adalah seperti berikut:

    Perodua Alza 1.5X 2022 – Harga RM62,500

    Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter Dual VVT-i dengan Eco Idle
    • Transmisi automatik D-CVT
    • Brek dram untuk bahagian belakang

    Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    Luaran

    • Lampu utama LED dengan fungsi “follow-me home”, “leaving home”
    • Cermin sisi larasan kuasa dengan lipatan manual
    • Lampu isyarat cermin sisi LED
    • Lampu belakang LED dengan kemasan seakan lampu pada pintu tailgate

    Dalaman

    • Kerusi fabrik
    • Nisbah lipatan kerusi baris tengah 60:40, mekanisme satu-sentuhan
    • Nisbah lipatan kerusi baris belakang 50:50
    • Kawalan pendingin hawa digital di depan
    • Kawalan pendingin manual di belakang, dengan corong
    • Paparan multi-info LCD
    • Pemain audio standard tanpa skrin sentuh
    • Empat pembesar suara

    Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS, EBD, Brake Assist, Hill-start Assist, VSC
    • Sensor parkir belakang
    • Advanced Safety Assist (ASA)
    • Amaran Pra-Perlanggaran
    • Brek Pra-Perlanggaran (AEB, untuk kenderaan dan pejalan kaki)
    • Kawalan Salah Operasi Pedal
    • Amaran Pergerakan Depan
    • Amaran Penukaran Lorong
    • Penghindaran Penukaran Lorong
    • Lampu Tinggi Automatik

    Perodua Alza 1.5H 2022 — Harga RM68,000

    Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Mod pemanduan (Eco, Normal, Sport)

    Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    Luaran

    • Cermin sisi lipatan automatik
    • Lampu depan automatik
    • Lampu kabus LED
    • Lampu belakang LED dengan lampu sebenar pada pintu tailgate

    Dalaman

    • Perehat tangan
    • Paparan pelbagai-info 7.0-inci TFT
    • Pemain audio dengan skrin sesentuh 9.0-inci
    • Enam pembesar suara (termasuk tweeter)

    Keselamatan

    • Kamera undur
    • Sensor parkir depan
    • Lampu depan Adaptive Driving Beam dengan lampu isyarat sequential

    Perodua Alza 1.5AV 2022 — Harga RM75,500

    Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold
    • Brek cakera di bahagian belakang

    Luaran

    • Skirt sisi
    • Gril hadapan kemasan hitam berkilat dan krom

    Dalaman

    • Papan pemuka,panel pintu dan tempat duduk dua-tona (hitam-merah)
    • Konsol tengah dengan bezel krom dan kemasan perak
    • Konsol perehat tangan lebih tinggi bersama pada sentuhan lembut
    • Upholsteri balutan gabungan fabrik dan kulit
    • Pemain audio dengan skrin sesentuh 9.0-inci dengan hubungan Android Auto

    Keselamatan

    • Kawalan Melayar Adaptif
    • Kawalan Mengekalkan Lorong
    • Peninjau Titik Buta
    • Penggera Lintasan Trafik Belakang
    • Peninjau pandangan panoramik 360-darjah

    Perodua Alza 2022 – perincian varian X, H dan AV

    MPV baharu ini ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV. Ia hadir dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.

    Untuk lebih perincian berkenaan Perodua Alza 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L AV


    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L H

    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L X

    GALERI: Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

    GALERI: Brosur Perodua Alza 2022

     
     
  • Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Selepas mengeluarkan siri iklan teaser kebelakangan ini, Perodua akhirnya melancarkan secara rasmi MPV Alza 2022 generasi kedua untuk pasaran tempatan. Tiga varian ditawarkan, iaitu 1.5L X, 1.5L H dan 1.5L AV.

    Alza 2022 dijual pada harga seperti berikut; X (RM62,500), H (RM68,000) dan AV (RM75,500) — harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan SST. Harga ini sedikit tinggi daripada harga anggaran yang disebut-sebut sebelum ini. Untuk perbandingan, Alza dari model sebelumnya dijual antara RM52,661 hingga RM60,525.

    Namun, seperti yang dapat dilihat, model D27A yang terbaru ini sangat jauh berbeza dan hadir bukan sahaja dengan rekaan baru keseluruhannya, bahkan dengan senarai spesifikasi yang lengkap. Sejak model generasi pertamanya itu dilancarkan pada 2009, hampir 400,000 unit telah terjual. Dan, dengan rentang 13 tahun, wajarlah Alza diberikan pembaharuan secara menyeluruh. Sebelum ini, Alza diberikan dua kali facelift; pertama pada tahun 2014, dan terakhir pada tahun 2018.

    Perodua Alza 2022 ini berkongsi banyak persamaan dan asas dengan model-model seperti Toyota Avanza/Veloz dan Daihatsu Xenia — dua model yang mendapat sambutan di Indonesia. Jadi adakan ini model “rebadge”? Tidak. Sama seperti Ativa dahulu yang dibangunkan secara bersama dengan model Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, begitu jugalah Alza ini. Semua itu dilakukan atas nama penjimatan kos pembangunan modelnya, dan dalam masa sama memperluaskan capaiannya dalam pasaran.

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Tentang perbezaan Alza dengan Veloz (yang merupakan versi lebih premium Avanza), dapat dilihat wajah depannya yang punyai sentuhan sendiri. Bahagian bampar dengan rekaan unik tersendiri, begitu juga dengan rekaan grilnya yang lebih besar memberikan penampilan yang khusus untuk Alza. Bampar belakang dan rim lain, begitu juga dengan rekaan lampu depan dan belakang yang ada pada Alza.

    Perbezaan paling ketara ialah jarak kelegaan tanah antara keduanya, dengan beza yang agak besar juga iaitu 45 mm. Perodua ingin jadikan Alza lebih cenderung sebagai sebuah kereta dengan kedudukan lebih rendah dengan tanah, dan disebab itu jaraknya adalah 160 mm. Sebagai perbandingan, Veloz mempunyai jarak kelegaan tanah 205 mm — seperti lazimnya MPV di Indonesia.

    Untuk itu, Alza memang memiliki penampilannya yang tersendiri; lebih rendah dan nampak lebar dan sporty. Ini juga bermaksud, pergerakan keluar-masuk ke dalam kenderaan, terutamanya untuk kerusi barisan belakang, akan lebih mudah.

    Dibangun menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), Alza menjadi model kedua selepas Ativa yang berkongsi platform sama serta berada di bawah konsep Perodua Smart Build.

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Alza generasi kedua ini mempunyai ukuran dimensi 4,425 mm panjang dan 1,730 mm lebar. Ini bermakna jejaknya adalah 205 mm lebih panjang dan 35 mm lebih lebar berbanding yang lama, walaupun jarak antara rodanya masih dikekalkan dengan 2,750 mm. Ini sebuah MPV yang agak rendah, dengan ketinggian 1,670 mm (1,660 mm untuk X yang menggunakan rim 15-inci; H dan AV dengan rim dua-tona 16-inci) adalah kurang lebih 50 mm berbanding Alza lama, tetapi Alza baru ini juga 60 mm lebih rendah jika dibandingkann dengan Mitsubishi Xpander.

    Ukuran yang lebih besar ini diterjemahkan kepada ruang kabin yang lebih luas untuk penumpang dan barangan. Jika kerusi barisan kedua ditolak ke kedudukan paling belakang, panjang ruang berkenaan adalah 2,765 mm, berbeza 115 mm berbanding sebelum ini. Tambahan kelebaran 35 mm juga memberi kesan lebih luas.

    Bukaan pintu belakang pula ialah 240 mm, 90 mm lebih lebar dari yang lama. Fungsi satu sentuhan untuk kerusi barisan kedua pula memberikan capaian yang lebih mudah untuk ke kerusi barisan ketiga. Dengan kerusi barisan ketiga ditegakkan, Alza lama hanya menyediakan 83 liter ruang barangan. Kini, Alza baru menyediakan 137 liter (+54 liter). Dengan kerusi barisan ketiga direbahkan, ruang yang tersedia adalah 498 liter, melibatkan pertambahan 150 liter. Tayar ganti saiz penuh ada diletakkan di bahagian bawah kenderaan, di luar.

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Alza 2022 baru ini menggunakan sistem janaan kuasa dan pacuan yang sama dengan Myvi. Tiada lagi enjin 3SZ-VE 1.5L yang lama, dan ini digantikan dengan enjin NR 1.5L yang digunakan untuk model semasa Perodua dan Toyota ketika ini. Unit 2NR-VE berkenaan menghasilkan sebanyak 105 hp dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm; 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi. Kecekapan penggunaan minyak juga didakwa 40% lebih baik, disamping prestasi keseluruhan yang lebih baik. Eco Idle ditawarkan sebagai ciri standard.

    Enjin Dual VVT-i Euro 4 empat-silinder berkenaan digandingkan bersama kotak gear D-CVT yang sama digunakan untuk Ativa. Kotak gear ini kemudiannya ditawarkan juga untuk Myvi versi facelift. Untuk Alza 2022 ini, sama seperti untuk Ativa, D-CVT tersebut mempunyai mod manual, yang tiada pada Myvi.

    Dengan gandingan sistem pacuan ini, kadar penggunaan minyak adalah 22 km/l mengikut Kitaran Pemanduan Malaysia, yang mengambil kira keadaan pemanduan di sini. Perodua juga mendakwa yang Alza baru ini hanya memerlukan kurang daripada RM40 minyak untuk perjalanan KL ke Pulau Pinang (358 km), berdasarkan harga petrol RM2.05 seliter.

    Drive Modes merupakan ciri baru (bagi H dan AV). Mod Normal, Eco dan Power boleh dipilih melalui butang “Drive” di stereng, tempat sama dengan butang PWR Ativa dan Myvi. Tekan dengan cepat untuk Power, dan tekan lama untuk Eco.

    Selain itu, ada beberapa ciri dan fungsi yang diperkenalkan pertama kali oleh Perodua pada Alza baru ini, yang tidak pernah ditawarkan untuk mana-mana modelnya sebelum ini. Antarany, AV kini lengkap dengan brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold. EPB ini juga datang dengan brek cakera belakang.

    Turut ditawarkan eksklusif untuk AV ialah peninjau panoramik 360-darjah, yang akan memudahkan lagi pemandu untuk meletak kenderaan. Pemandu boleh menukar sudut pandang PVM ini melalui butang di sebelah kiri stereng — ruang butang yang dibiarkan kosong untuk Ativa.

    Satu lagi ciri baru untuk Alza adalah corong pendingin di bumbung untuk penumpang belakang. Tombol kelajuan penghembusnya ada tiga tahap, dan terletak di tengah untuk memudahkan capaian oleh penumpang. Perehat lengan barisan tengah juga adalah ciri baru, dan diberikan standard untuk semua varian.

    Turut ditawarkan standard untuk semua varian ialah Advanced Safety Assist (ASA) 3.0. Ia melibatkan ciri seperti Pre-collision Warning (PCW, kenderaan 4-120 km/j, pejalan kaki 4-60 km/j), Pre-collision Braking (PCB atau AEB, kenderaan 4-120 km/j, pejalan kaki 4-60 km/j), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Turut disertakan untuk varian X ke atas ialah Lane Departure Warning and Prevention serta enam beg udara.

    Perodua Alza 2022 dilancar — MPV 7- tempat duduk generasi kedua, ASA standard; harga dari RM62,500

    Alza baru ini juga lengkap dengan pemanduan semi-autonomous Tahap 2 dengan pertambahan ciri Lane Keep Control (LKC) dan Adaptive Cruise Control (ACC). ACC ini berfungsi antara kelajuan 30 hingga 125 km/j dengan tiga tahap jarak dari kenderaan di depan. Ciri berkenaan kini telah dipertingkat dengan fungsi Stop, Hold/Follow — Alza akan mengikut kenderaan di depan hingga berhenti. Jika kenderaan depan bergerak semula, pemandu sama ada perlu menekas semula butang “RES” atau tekan pedal pendikit untuk mengikut.

    Jika kenderaan di depan berhenti lebih dari tiga minit, ACC akan dinyahaktif secara automatik. Fungsi ini berguna dalam trafik sesak. Bersama ACC dan LKC, AV juga lengkap dengan Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

    Varian X yang paling asas dilengkapi lampu depan LED dan Auto High Beam (AHB), beserta fungsi Follow Me Home. H dan AV pula datang dengan Adaptive Driving Beam (ADB), yang turut hadir dengan lampu isyarat sequential. Tidak ketinggalan, lampu utama automatik dan lampu kabus LED untuk dua varian teratas tersebut. Dashcam depan hanya khusus untuk AV.

    Berikut perincian spesifikasi Perodua Alza 2022:

    2022 Perodua Alza 1.5X 2022

    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter Dual VVT-i dengan Eco Idle
    • Transmisi automatik D-CVT

    Luaran

    • Lampu utama LED dengan fungsi “follow-me home, leaving home”
    • Cermin sisi larasan elektrik dengan lipatan manual
    • Lampu isyarat LED cermin sisi

    Dalaman

    • Kerusi balutan fabrik
    • Kerusi tengah dengan nisbah mampatan 60:40, kaedah satu sentuhan dan boleh gelungsur
    • Kerusi barisan ketiga dengan nisbah mampatan 50:50
    • Kawalan pendingin digital di depan
    • Kawalan pendingin belakang manual dengan corong
    • Paparan LCD multi-info
    • Head unit tanpa skrin sentuh

    Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS, EBD, Brake Assist, Hill-start Assist, VSC
    • Sensor parkir belakang
    • Advanced Safety Assist (ASA)
    • Pre-collision Warning
    • Pre-collision Braking (AEB, bagi kenderaan dan pejalan kaki)
    • Pedal Misoperation Control
    • Front Departure Alert
    • Lane Departure Warning
    • Lane Departure Prevention
    • Auto High Beam

    Perodua Alza 1.5H 2022

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Mod pemanduan (Eco, Normal, Sport)

    Luaran

    • Cermin sisi lipatan automatik
    • Lampu utama automatik

    Dalaman

    • Perehat lengan belakang
    • Paparan multi-info 7.0-inci TFT
    • Head unit 9.0-inci skrin sentuh

    Keselamatan

    • Kamera undur
    • Sensor parkir depan
    • Lampu utama Adaptive Driving Beam dengan lampu isyarat sequential

    2022 Perodua Alza 1.5AV 2022

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold

    Dalaman

    • Kerusi balutan separa kulit

    Keselamatan

    • Adaptive Cruise Control
    • Lane Keep Control
    • Blind Spot Monitor
    • Rear Cross Traffic Alert
    • Peninjau pandangan panoramikk 360-darjah

    Ada lima warna ditawarkan untuk Alza 2022, termasuklah Ivory White (solid), Glittering Silver, Elegant Black, Garnet Red dan Vintage Brown. Dua warna terakhir ini dikhususkan hanya untuk H dan AV sahaja.

    Pelanggan juga boleh memilih untuk meningkatkan penampilan Alza 2022 dengan kit GearUp Prime — melibatkan lanjutan rekaan bampar depan dan belakang (termasuk DRL LED) dan spoiler belakang. Bodykit ini dipadankan dengan Alza dengan cara yang cukup kemas dan menarik, tidak terlalu berlebihan. Di dalam, ia melibatkan kerusi balutan kulit buatan dua-tona (dengan beberapa poket di bahagian belakang), scuff plate LED, lampu lantai, pelindung pintu, tikar gelung, talam barangan dan penebat hud.

    Perodua Alza ditawarkan dengan jaminan kilang selama lima-tahun atau 150,000 km.

    Perodua Alza 2022 1.5L AV

    Perodua Alza 2022 1.5L H

    Perodua Alza 2022 1.5L X

    Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

    Brosur Perodua Alza 2022

     
     
  • Polis Johor cari 7 Porsche no. pendaftaran Singapura yang memotong secara merbahaya di Kota Tinggi

    Polis Johor cari 7 Porsche no. pendaftaran Singapura yang memotong secara merbahaya di Kota Tinggi

    Susulan tersebarnya satu video di laman sosial memaparkan sekumpulan kereta sport berjenama Porsche yang kesemuanya mengenakan nombor pendaftaran dari Singapura memotong dengan cara merbahaya di Johor hujung minggu lalu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua kenderaan yang muncul dalam video tersebut kini sedang dicari.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt. Husin Bin Zamora, kejadian tersebut disahkan berlaku di KM42 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi arah Kota Tinggi menghala ke Bandar Penawar/Sungai Rengit. Kesemua kereta berkenaan dikesan memandu dan memotong secara merbahaya sehingga boleh menyebabkan kemalangan, tulis kenyataan itu lagi.

    Secara keseluruhan sebanyak tujuh buah Porsche dilihat terlibat dalam kejadian tersebut masing-masing dengan nombor pendaftaran SLW3839P, EN403M, SKH3888M, SMG80C, SBA479Z, SMZ986P dan SNF19A.

    “Polis Daerah Kota Tinggi memohon kerjasama pemilik kenderaan agar dapat hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi bagi membantu proses siasatan. Kes disiasat di bawah Kaedah 6(1) LN166/59 iaitu memotong secara merbahaya,” kata Husin dalam kenyataan tersebut.

    Dalam dua video yang tular pada 17 Julai berkenaan, kesemua Porsche tersebut dilihat berkonvoi dan memotong kenderaan yang sedang melalui sebatang jalan dua hala satu lorong di Kota Tinggi, Johor. Sebahagian mereka dilihat memotong di kawasan garis berkembar, malah ada yang memotong tanpa mempedulikan kenderaan yang sedang dipandu dari arah bertentangan.

     
     
  • BMW i7 dipertonton di M’sia – 7 Series G70 EV pesaing Mercedes-Benz EQS, 544 PS, jarak gerak 615 km

    BMW i7 dipertonton di M’sia – 7 Series G70 EV pesaing Mercedes-Benz EQS, 544 PS, jarak gerak 615 km

    April lalu, BMW telah mendedahkan buat kali pertamanya 7 Series generasi ketujuh, G70, yang juga ditawarkan dalam versi elektrik yang dipanggil sebagai i7. Tidak lama selepas itu, BMW Malaysia juga telah mula membuka pendaftaran minat untuk kendeaan tersebut, dan ia mula terpampang di laman web mereka.

    Tiba semalam, i7 membuat penampilan pertamanya di Malaysia dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur. Ingin kami maklumkan juga, model yang dipamerkan ini bukanlah model sebenar yang akan dilancarkan di Malaysia (pelancarannya juga masih belum diketahui bila akan berlaku), dan seperti yang boleh dilihat, ia menggunakan stereng di sebelah kiri.

    Semasa pengenalan pertamanya kepada dunia, sedan elektrik penuh i7 ini diberitahu akan ditawarkan bermula dengan varian xDrive60, sebelum diikuti varian lain seperti M70 xDrive. Melalui varian xDrive60, i7 akan menggunakan bateri lithium ion 101.7 kWh, yang menawarkan jarak gerak 625 km mengikut standard WLTP.

    Bateri ini menggerakkan dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar – bersama sistem pacuan semua roda, dengan kuasa maksimum 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan tork 745 Nm. Dengan pakej kuasa ini, i7 xDrive60 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat dan mencatat kelajuan maksimum 240 km/j. BMW Malaysia bagaimanapun memaparkan jumlah tork yang lebih tinggi, iaitu 795 Nm.

    Untuk pengecasan, i7 datang dengan Combine Charging Unit (CCU), yang membenarkan pengecasan AC pada kadar sehingga 11 kW melalui sambungan Type 2, dan mengambil masa 9.5 jam untuk penuh. Pemilik juga boleh menggunakan pengecas pantas DC sehingga 195 kW dengan sambungan CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari 10 ke 80% dalam masa cuma 34 minit.

    Daripada aspek penggayaan, i7 nampak sama sahaja seperti G7 biasa, tetapi ia dijadikan istimewa dengan kemasan khas EV seperti perincian biru pada panel tertentu serta logonya. Sebagai sebuah sedan yang terletak tinggi dalam barisan model BMW, bahagian dalam i7 ini dipenuhi dengan pelbagai kelengkapan premium dan teknologi canggih, termasuk skrin dari sekecil telefon bimbit di panel pintu, sehinggalah sebesar 31.3 inci sebagai BMW Theatre Screen.

    GALERI: BMW i7 G70

     
     
  • KTMB rugi RM6 juta setahun sekiranya teruskan perkhidmatan Ekspres Wau dari Tumpat-KL

    KTMB rugi RM6 juta setahun sekiranya teruskan perkhidmatan Ekspres Wau dari Tumpat-KL

    Pastinya ada di antara kita yang memiliki peristiwa menggamit kenangan merentasi perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur (atau sebaliknya) dengan menaiki Ekspres Wau kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, sayangnya, perkhidmatan tren terbabit terpaksa ditamatkan. Menurut Pengerusi Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor, KTMB tidak dapat meneruskan perkhidmatan Ekspres Wau kerana berdepan dengan kos operasi yang tinggi.

    Malahan perkhidmatan itu juga turut menyebabkan KTMB terpaksa berdepan dengan kerugian sebanyak RM6 juta setiap tahun, laporan Bernama.

    “Untuk makluman KTMB tidak dapat meneruskan perkhidmatan Ekspres Wau disebabkan terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dan berdepan dengan kerugian.

    “Selain itu, laluan juga tidak begitu sesuai ketika ini disebabkan KTMB ada menyediakan pilihan tren-tren lain yang boleh menghubungkan ke pantai timur melalui Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Gemas,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Amran Arifin (BN-Paloh) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kelantan, pagi tadi.

     
     
  • Volkswagen perkenal enjin 1.5 TSI evo2 – ACTplus, modul kawalan emisi baru; kini lebih mesra alam

    Volkswagen perkenal enjin 1.5 TSI evo2 – ACTplus, modul kawalan emisi baru; kini lebih mesra alam

    Walaupun diketahui bahawa Volkswagen kini lebih menumpukan terhadap model-model elektrik penuh (EV), jenama dari Jerman berkenaan masih lagi mengemaskini barisan enjin-enjin pembakaran dalamnya bagi memastikan ia masih relevan dalam pasaran dan terus memenuhi keperluan undang-undang emisi yang semakin ketat.

    Ini dia enjin petrol baharu yang diperkenalkan oleh Volkswagen, 1.5 TSI evo2. Ini bukanlah enjin baharu sepenuhnya, sebaliknya adalah versi kemaskini untuk enjin EA211 1.5 liter empat silinder TSI evo yang muncul pada 2016. Enjin ini diberikan beberapa perubahan signifikant yang membolehkan ia memberikan emisi lebih rendah dan juga prestasi lebih baik.

    Antara perubahan utama pada enjin baharu ini berbanding versi sebelumnya adalah ia kini menerima catalytic converter tiga hala dan juga penapis zarah petrol (petrol particulate filter) yang lebih dekat dengan enjin, di mana kedua-duanya disatukan dalam sebuah modul kawalan emisi.

    Rekaan ini telah mempertingkatkan keberkesanan sistem kawalan emisi tersebut, dan secara tidak langsung mengurangkan penggunaan logam dalam produksi, di mana ia akan menyumbang kepada emisi umum lebih baik pada masa akan datang

    Selain itu, sistem Active Cylinder Management (ACT) – sistem yang mampu “mematikan” dua silinder ketika enjin beroperasi – kini turut dipertingkat, digelar sebagai ACTplus. Dengan sistem ACTplus ini, dua silinder di bahagian tengah enjin iaitu silinder nombor-dua dan nombor-tiga kini boleh dimatikan fungsinya ketika enjin beroperasi pada kelajuan dan beban rendah dan sederhana.

    Volkswagen perkenal enjin 1.5 TSI evo2 – ACTplus, modul kawalan emisi baru; kini lebih mesra alam

    Pada masa yang sama, dua lagi silinder yang berfungsi iaitu silinder nombor satu dan nombor empat kini dioptimakan fungsinya bagi memberikan kadar efisien yang lebih baik. Volkswagen turut menyatakan bahawa perubahan fungsi dari empat silinder kepada dua silinder, dan kemudian berubah kepada empat silinder kembali adalah sangat lancar sehingga “sangat sukar untuk disedari.”

    Pengecas turbo dengan geometri bervariasi (VGT) masih lagi diberikan pada enjin 1.5 TSI evo2 ini, bersama komponen berteknologi tinggi lain termasuk sistem suntikan bahan api dengan tekanan setinggi 350 bar, dinding silinder yang disalut plasma bagi mengurangkan geseran, serta omboh yang diberikan liang penyejuk bina dalam bagi memberikan pembakaran yang optima bersama kadar efisien yang dipertingkat.

    Buat permulaan, enjin 15 TSI evo2 ini akan hadir dalam versi talaan 150 PS. Model pertama yang akan dipadankan crossover Volkswagen T-Roc dan T-Roc Cabriolet, serta akan dikembangkan pada model lain menjelang akhir tahun ini.

    Enjin ini juga direka untuk beroperasi dengan bahan api yang mengandungi bahan dari sumber tenaga boleh diperbaharui, untuk memastikan ia bersedia untuk memenuhi keperluan undang-undang akan datang. Ia juga bersedia untuk dipadankan dengan sistem hibrid elektrik dalam pelbagai tahap, contohnya diganding bersama sistem plug-in hybrid (PHEV) bagi menghasilkan kuasa sehingga 272 PS.

    Menurut Volkswagen, mereka mensasarkan 70 peratus dari jualan kenderaan mereka adalah EV menjelang 2030. Oleh itu, enjin pembakaran dalaman sedia ada masih perlu dikemaskini setiap masa kerana dua sebab utama; pertama bagi memastikan ia masih memenuhi standard emisi global contohnya Euro 7, dan kedua kerana enjin pembakaran dalam masih lagi popular di banyak pasaran, terutama di negara dengan kemajuan infrastruktur pengecas EV yang perlahan.

     
     
  • Modenas perkenal program keahlian baru dengan lebih faedah termasuk pelbagai diskaun dan tunda percuma

    Modenas perkenal program keahlian baru dengan lebih faedah termasuk pelbagai diskaun dan tunda percuma

    Modenas hari ini melancarkan program keahlian baru yang dapat memberikan lebih tawaran dan faedah kepada pelanggannya. Caj sebanyak RM60 akan dikenakan bagi pendafataran ahli baru, sementara untuk pembaharuan keahlian pula, cajnya adalah sebanyak RM40.

    Melalui program keahlian ini, setiap ahli antaranya boleh menikmati baucar pembelian alat ganti tulen, diskaun pembelian alat ganti tulen, diskaun khas pada hari kelahiran serta bantuan tundaan 24 jam untuk kerosakan di jalan raya percuma (dalam lingkungan 100 km pergi-balik dari pusat wakil servis MODENAS berdekatan dan sehingga empat kali bantuan setahun).

    “Kami sentiasa peka dan prihatin terhadap pelanggan kami. Dengan adanya program keahlian ini, serta tawaran menarik yang diberikan, kami meletakkan sasaran seramai 1,000 ahli baharu dalam suku kedua tahun ini. Dengan peningkatan jualan motosikal Modenas yang semakin rancak di pasaran serta rakan kongsi baharu, Kawasaki, tidak mustahil bagi syarikat untuk mencapai sasaran ini,” kata ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

    Pendaftaran ahli baru dan pembaharuan keahlian program keahlian dalam format baru ini dapat dilakukan di mana-mana pusat servis berdaftar Modenas di seluruh negara atau daftar dalam talian di laman www.modenas.my. Maklumat lanjut boleh hubungi talian Careline Modenas di 1-800-880-181.

     
     
  • Yamaha NMax diperkenal dalam warna baru – RM9.5k

    Yamaha NMax diperkenal dalam warna baru – RM9.5k

    Yamaha NMax yang berada dalam pasaran negara kita sekarang dilancarkan kali pertama pada Disember tahun 2020, dan kali terakhir ia diberikan pembaharuan warna adalah Jun tahun lalu. Kini selepas satu tahun, pilihan warnanya sekali lagi diubah, dan sekarang dijual dalam dua warna baru iaitu Matt Green dan Matt Blue.

    Bagi warna Matt Green, ia datang dengan rim warna emas, sementara warna Matt Blue datang dengan rim warna hitam. Harganya juga didapati sudah meningkat, menjadi RM9,498 (tidak termasuk insurans), berbanding RM8,998 pada tahun lepas. Selain warna, tiada perubahan lain yang diberi pada skuter ini.

    NMax dipacu oleh enjin Enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC 155 cc VVA yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm, dan dipadankan bersama transmisi jenis automatik CVT.

    Model yang dipasarkan di Malaysia adalah antara yang paling ringkas jika dibandingkan dengan negara lain, dan ia tidak mempunyai Y-Connect, kawalan cengkaman, ABS, suspensi belakang dengan tabung gas serta sistem kunci pintar.

    Walaubagaimanapun, ia masih dilengkapi dengan sistem start/stop, soket pengecas 12V, tangki bahan api 7.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.3 liter serta brek cakera depan dan belakang. Berat keseluruhan skuter ini adalah 130 kg dan ia menggunakan rim 13 inci di depan dan belakang.

     
     
  • Mercedes-Benz EQS 2022 dilancarkan di Malaysia pada 22 Julai – EQB, EQC juga akan diperkenalkan?

    Mercedes-Benz EQS 2022 dilancarkan di Malaysia pada 22 Julai – EQB, EQC juga akan diperkenalkan?

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bakal melancarkan Mercedes-Benz EQS secara rasminya pada Jumaat ini (22 Julai 2022), seperti mana yang diumumkannya menerusi laman web rasmi dan media sosial syarikat tersebut. Sedan elektrik sepenuhnya ini pertama kali diperkenalkan di persada dunia pada April 2021 dan telah membuka pendaftaran minat untuk pasaran Malaysia sejak Mac lalu.

    Pada Jun lalu, EQS telah dikesan di stesen Petronas di R&R Gambang arah-timur di Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Kereta berkenaan dilitupi balutan penyamaran, namun tidak sukar untuk mengenalinya.

    Buat masa ini, EQS dibarisi enam varian, termasuk EQS 350, EQS 450+, EQS 450 4Matic, EQS 500 4Matic, EQS 580 4Matic dan AMG EQS 53 4Matic+. Spesifikasi penjana kuasa untuk setiap varian adalah seperti di bawah:

    • EQS 350: bateri 90.6 kWh; jarak 638 km penilaian-WLTP; motor-tunggal RWD; 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan 565 Nm
    • EQS 450+: bateri 107.8 kWhy; jarak 785 km penilaian-WLTP; motor-tunggal RWD; 333 PS (329 hp atau 245 kW) dan 568 Nm
    • EQS 450 4Matic: bateri 107.8 kWh; jarak 685 km penilaian-WLTP; dwi-motor AWD; 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan 800 Nm
    • EQS 500 4Matic: bateri 107.8 kWh; jarak 685 km penilaian-WLTP; dwi-motor AWD; 449 PS (443 hp atau 330 kW) dan 855 Nm
    • EQS 580 4Matic: bateri 107.8 kWh battery; jarak 676 km penilaian-WLTP; dwi-motor AWD; 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 855 Nm
    • AMG EQS 53 4Matic+: bateri 107.8 kWh; jarak 586 km km penilaian-WLTP; dwi-motor AWD; 658 PS (649 hp atau 484 kW) dan 949 Nm, atau 761 PS (751 hp atau 560 kW) dan 1,020 Nm dengan pilihan pakej AMG Dynamic Plus

    Untuk pengecasan, barisan EQS boleh menggunakan pengecas onboard AC 11-kW secara standard dan juga pengecas 22-kW. Bukan itu sahaja, model ini juga boleh menggunakan pengecas pantas DC sehingga 200 kW, yang berkeupaya membekalkan jarak tambahan cecah 300 km dalam 15 minit (varian dengan bateri yang lebih besar).

    Setakat ini, apa yang diketahui model EQS bakal dilancarkan di sini, dengan senarai kit dan harga rasmi yang akan diumumkan. Selain EQS, MBM juga dijangka akan memperkenalkan dua lagi model EV di bawah barisan EQ, iaitu EQB dan EQC. Menerusi e-mel yang dihantar untuk sesiapa yang telah mendaftar minat, dua SUV elektrik tersebut turut kelihatan dalam gambar bersama EQS, walau bagaimana pun, setakat ini tiada pengesahannya.

    Sebelum ini, EQC pernah dipertontonkan di Malaysia pada Jun 2019 sempena dengan pelancaran S-Class PHEV (S 560 e). Pada waktu itu, MBM berkata EQC 400 4Matic – varian tunggal setakat ini – dibuka untuk tempahan dan harga jangkaannya sekitar RM600,000.

    Manakala berkenaan EQB pula iaitu model baharu di bawah barisan EQ, ia pertama kali didedahkan pada April tahun ini. Pada asasnya, versi semua-elektrik bagi GLB itu telah pun dijual di sini, ia diberikan konfigurasi tujuh-tempat duduk dan tiga pilihan penjana kuasa.

    Mercedes-Benz EQS 2022 dilancarkan di Malaysia pada 22 Julai – EQB, EQC juga akan diperkenalkan?

    Varian pertama ialah EQB 250 yang diberikan motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan kuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 385 Nm. Diikuti dengan EQB 300 4Matic yang digandingkan dengan dwi-motor dan pacuan semua-roda dengan kuasa 228 PS (225 hp atau 168 kW) dan 390 Nm, serta EQB 350 4Matic dengan 292 PS (288 hp atau 214 kW) dan 520 Nm. Ketiga-tiganya didatangkan dengan bateri lithium-ion 66.5 kWh yang memberikan jarak hingga 452 km untuk EQB 250 dan 412 km bagi kedua-dua varian 4Matic.

    Sehingga kini, hanya model EQA di bawah barisan EQ dilancarkan di pasaran tempatan pada Mac lalu dengan varian tunggal EQA 250 AMG Line yang ditawarkan pada harga RM286,888 (termasuk cukai SST), tetapi masih menerima insentif dari kerajaan untuk EV.

    Buat setakat ini, EQS telah disahkan akan dilancarkan pada 22 Julai ini, tapi kita kena tunggu adakah MBM turut akan memperkenalkan model EQ yang lain pada hari yang sama.

    GALERI: Mercedes-Benz EQS yang dikesan di Malaysia

    GALERI: Mercedes-Benz EQS

     
     
  • Alihkan kenderaan anda yang tersadai di kawasan PPR dan Perumahan Awam atau berdepan tindakan – DBKL

    Alihkan kenderaan anda yang tersadai di kawasan PPR dan Perumahan Awam atau berdepan tindakan – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan amaran agar pemilik kenderaan tersadai di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara supaya mengalihkan kenderaan terbabit dalam tempoh 14 hari, atau berdepan dengan tindakan penundaan dan pelupusan.

    Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail, tindakan berkenaan diambil mengikut peruntukan Seksyen 46(1)(e) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

    Tambah beliau, DBKL melalui Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Penguatkuasaan (JPK) bagi menangani aduan yang diterima berkaitan kenderaan usang yang tersadai di kawasan kediaman berkenaan.

    Alihkan kenderaan anda yang tersadai di kawasan PPR dan Perumahan Awam atau berdepan tindakan – DBKL

    “JPKKB bertanggungjawab menyediakan senarai kenderaan usang yang tersadai di lot tempat letak kereta di PPR atau PA DBKL dan dipanjangkan kepada JPK untuk tindakan selanjutnya. JPK hanya akan melakukan tindakan tunda terhadap pemilik kenderaan yang masih ingkar selepas Notis Penguatkuasaan dikeluarkan kepada pemilik supaya kenderaan itu dialihkan dalam tempoh tiga, tujuh atau 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

    “Sekiranya kenderaan berkenaan masih tidak dituntut oleh pemilik selepas sahaja tamat tempoh Notis Pemakluman, kenderaan itu akan disyorkan untuk proses pelupusan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Osman turut berkata, sepanjang 2021, sebanyak 1,346 kenderaan buruk atau tersadai di sekitar Kuala Lumpur sudah ditunda, manakala 129 buah bagi Januari hingga April lalu.

     
     
  • Johor bakal perbanyakkan stesen pengecas EV, termasuk kawasan luar bandar tumpuan pelancongan

    Johor bakal perbanyakkan stesen pengecas EV, termasuk kawasan luar bandar tumpuan pelancongan

    Kerajaan Negeri Johor sedang merancang untuk membina lebih banyak stesen pengecas kende­raan elektrik (EV) dalam tempoh beberapa tahun lagi, bukan sahaja di kawasan bandar, malah turut mensasarkan kawasan luar bandar yang menjadi tumpuan pelancong, lapor Utusan Online.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar, inisiatif berkenaan dibuat adalah untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri tersebut. Dan bagi merealisasikan perkara ini, pihaknya telah bekerjasama dengan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk menjalankan kajian dalam tempoh 18 bulan.

    “Pada masa ini, jumlah stesen EV di Johor masih kecil. Jadi, kita bercadang untuk menambah bilangan stesen yang menawarkan perkhidmatan tersebut, khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi tarikan pelancong,” katanya

    “Langkah ini juga selari dengan keputusan kerajaan Singapura yang sedang beralih menuju penggunaan kenderaan elektrik menjelang 2040. Jadi, adalah lebih baik untuk kita membuat persediaan awal. Ini kerana jika tiada persediaan, kita akan kerugian kerana kemudahan itu secara tidak langsung turut menyumbang kepada pendapatan dalam sektor pelancongan di negeri ini,” tambahnya dalam laporan berita semalam.

    Walau bagaimanapun, Raven menegaskan bahwa usaha ini turut memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak termasuk swasta, khususnya pemain industri yang berkepentingan.

    “Untuk menjayakan perkara ini, kita tidak boleh hanya berharap kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya pemain industri dan pelbagai sektor lain boleh turut melibatkan diri. Jika sesuatu lokasi tumpuan pelancongan menyediakan kemudahan stesen pengecas EV, itu pasti akan menjadi nilai tambah dalam menarik kehadiran pengunjung ke lokasi berkenaan,” jelasnya.

    Johor dilihat semakin proaktif dalam mempromosikan penggunaan EV di negeri berkenaan. Jun lalu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah menggantikan lima kereta rasminya dengan kereta elektrik, dan bercadang untuk menambah penggunaan EV lain seperti van-van elektrik.

    Langkah berkenaan adalah sebahagian dari rancangan jangka masa panjang untuk mengurangkan jejak karbon, bagi menjadikan bandaraya di Johor tersebut sebuah tempat yang moden dan mesra alam.

    “Kita perlu bergerak ke arah itu memandangkan negara jiran kita Singapura sudah mengambil langkah proaktif untuk mengehadkan penggunaan kenderaan yang menggunakan diesel, sambil menggalakkan penggunaan EV. Untuk mendapat manfaat daripada ekonomi Singapura, kita perlu setanding dengan mereka. Pada masa ini, kami mempunyai beberapa stesen pengecas EV di kawasan Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Pasir Gudang tetapi kami memerlukan lebih banyak lagi,” kata pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

     
     
  • JPJ eBid: QRR dan NDV bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak dan Negeri Sembilan bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QRR, akan boleh dibida mulai 22 Julai ini dan berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 26 Julai 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 Julai. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Turut bakal boleh dibida ialah siri nombor pendaftaran Negeri Sembilan, NDV. Bidaannya bakal dibuka bermula 24 Julai ini sehingga jam 10 malam pada 28 Julai 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 29 Julai.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton X50 kini boleh kemaskini gunakan ATLAS OS

    Proton X50 kini boleh kemaskini gunakan ATLAS OS

    ACO Tech dengan rasminya telah mengumumkan bahawa Proton X50 kini boleh menerima operasi sistem ATLAS (ACO Tech Local Automotive Services) melalui kemaskini over-the-air (OTA). Kemaskini berkenaan mungkin mengambil masa sehingga 14 hari untuk diterima oleh semua kenderaan yang berkaitan.

    Pertama kali diumumkan September tahun lalu, sistem operasi infotainmen yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia itu dilancarkan pada Jun lalu, memberikan pelbagai penambah baikan berbanding sistem Geely Smart Ecosystem (GKUI) terdahulu.

    Antara ciri terbaru yang dibawakan oleh OS ATLAS ini adalah antaramuka baru, menambahbaikan kepada sistem pengesanan suara serta tunjuk arah, serta aspek berkaitan yang lain.

    Bantuan suara digital kini lebih baik untuk mengendalikan ucapan biasa, susulan kepada usaha sama antara ACO Tech dan platfrom penstriman muzik popular berkenaan. Servis penstriman lainnya — seperti Joox dan Syok oleh Astro — turut akan ditawarkan kepada pengguna ATLAS, dan dengan itu turut membolehkan kawalan fungsi seperti kawalan pendingin, ciri keselamatan dan untuk memeriksa status kenderaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025