Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan sejumlah RM10.5 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan segera kerosakan Jalan Persekutuan FT22 di sepanjang laluan Kota Kinabalu-Sandakan yang dikenal pasti mengalami kerosakan teruk.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, peruntukan itu merangkumi RM5 juta peruntukan segera yang disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan RM5.5 juta lagi disalurkan menerusi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Beliau berkata, sebanyak lima lokasi dikenal pasti memerlukan pembaikan segera melalui peruntukan segera RM5 juta kepada JKR Sabah iaitu Seksyen 173-174, Seksyen 174-175, Seksyen 175-176, Seksyen 176-177 dan Seksyen 143-144, semuanya di daerah Telupid, laporan Bernama.
“Surat arahan kebenaran belanja sudah dimajukan kepada JKR Sabah pada 22 Jun lalu dan kini kerja fizikal pembaikan yang termasuk penurapan berkala sudah bermula. Ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan sebagai antara langkah jangka pendek mengatasi ketidakselesaan pengguna jalan raya.
“Susulan kerja bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan pengurusan atasan KKR sempena FT Roadpedia Negeri Sabah Mei lalu, satu pasukan petugas khas yang saya ketuai dibentuk bagi mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi kesulitan pengguna jalan raya yang di laluan FT22 dari Sandakan ke Telupid,” katanya.
Jelasnya lagi, mesyuarat pertama diadakan pada 7 Jun lalu yang mana hala tuju pasukan khas tersebut menumpu kepada aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk mencari kaedah penyelesaian bersama.
Tambahnya, memandangkan jajaran Jalan Persekutuan FT22 itu adalah sebahagian laluan Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu dalam Pakej Kerja 28, 29 dan 30, kaedah penyelesaian memerlukan pembabitan pasukan projek lebuh raya berkenaan yang terdiri daripada JKR Sabah selaku Pegawai Penguasa Projek, pihak perunding dan kontraktor serta syarikat konsesi yang menyelenggara Jalan Persekutuan.
“Pada masa sama, sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan melalui Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Pakej Kerja 28, 29 dan 30 untuk melaksanakan kerja pembaikan di sepanjang laluan yang terbabit dengan pembinaan lebuh raya itu bermula dari Batu 32, Sandakan sehingga Sungai Baoto, Telupid.
“Kerja sudah bermula awal bulan ini membabitkan lokasi yang kritikal terlebih dahulu dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan. Malah kerja mengenal pasti laluan yang berisiko akan terus dibuat oleh JKR Sabah dan pihak perunding dan akan dibentangkan pada mesyuarat pasukan petugas khas secara berperingkat,” katanya.
Pada pertengahan Jun lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jalan yang menghubungkan Sandakan-Telupid tidak akan dibaikpulih dan meminta masyarakat di Sabah diminta bersabar dengan keadaan jalan yang daif dan banyak kerosakan di negeri itu, terutamanya yang menghubungkan laluan di daerah terbabit, jika mahu terus menggunakan jalan bebas tol.
Malahan penduduk di sana meminta untuk dikecualikan bayaran cukai jalan sehingga lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, memandangkan keadaan jalan raya yang rosak teruk. Namun perkara ini tidak dibenarkan oleh kerajaan pusat kerana kerajaan negeri memperoleh sebanyak RM3 bilion dari aliran pendapatan, menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula.
Bagi minggu bertarikh 14 hingga 20 Julai 2022, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi petrol RON97 mengalami penurunan harga sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM4.75 seliter berbanding RM4.80 seliter pada minggu sebelumnya.
Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 20 Julai 2022.
Untuk harga petrol RON 95 pula, ia telah mencapai harga siling dan masih dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.
Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Bagi sedan segmen-D, Hyundai Sonata hampir pasti akan dikuburkan, manakala Toyota Camry mungkin panjang lagi hayatnya. Honda Accord, walaupun sebelum ini jualannya agak merudum, ‘nyawa’ model ini mungkin masih lagi panjang untuk sekurang-kurangnya satu generasi lagi.
Ini kerana lukisan paten untuk model generasi ke-11 Accord sudahpun tertiris – masa yang agak tepat kerana model generasi ke-10 sedia ada sudahpun berada sekitar lima tahun dalam pasaran global. Menerusi imej yang dikesan dipatenkan di Brazil tersebut, dapat dilihat bahawa Accord masih akan diberikan bentuk badan fastback empat pintu, tetapi diberikan perincian yang membuatkan ia nampak lebih matang dan garang.
Muka Accord generasi ke-11 ini menampilkan lampu hadapan yang lebih tirus dan bersegi, mengapit gril utama yang berbentuk trapezoid, tanpa sebarang bar Solid Wing seperti model sedia ada. Bampar hadapan juga kelihatan sangat ringkas, dengan hanya menampilkan gril bawah yang nipis tanpa liang udara sisi.
Tiada lagi ‘jendul’ pada bahagian muncung hadapan Accord generasi ke-11 ini, dan penutup bonet hadapan tidak langsung bersentuh dengan gril mahupun lampu hadapan. Manakala di belakang, lampu utamanya juga direka lebih ringkas dengan kluster nipis merentangi sepenuhnya penutup but, berbeza dengan rekaan seakan ‘stapler’ pada model generasi sedia.
Penutup but belakang juga direka dengan spoiler ekor itik yang terbina sekali, namun rekaan pada bampar belakangnya nampak tidak jauh beza dengan Accord generasi ke-10.
Accord generasi baharu ini mungkin akan menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Honda CR-V 2023 yang baharu sahaja didedahkan minggu ini. CR-V berkenaan masih dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo, dan juga pilihan hibrid e:HEV, menampilkan unit rangkaian kuasa i-MMD menggandingkan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson dan dua unit motor elektrik.
Honda CBR150R yang dilancarkan pada September tahun lalu kini mendapat satu lagi pilihan warna yang lebih istimewa iaitu Repsol Edition, yang dijual pada harga RM13,499 tidak termasuk insurans. Ini sekaligus menjadikan harganya RM1,000 lebih tinggi berbanding harga model biasa sewaktu pelancaran iaitu RM12,499.
Keistimewaan model ini cuma pada grafiknya, di mana ia menggunakan rekaan ikonik Repsol, dengan warna utama oren, berserta selingan warna hitam, putih dan merah, manakala rimnya pula dicat warna oren, berbanding warna hitam pada model biasa. Hanya 800 unit akan dikeluarkan untuk pasaran, sementara spesifikasi lainnya adalah sama sahaja seperti model biasa.
Penggerak CBR150R adalah enjin satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac assist and slipper, untuk menghasilkan kuasa 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.
Suspensi model ini dipadankan dengan ciri sporty, menggunakan unit fork Showa USD berwarna emas di hadapan (tanpa sebarang pelarasan) dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua bahagian depan dan belakang menggunakan brek cakera, siap dengan ABS two-channel dan rim pula bersaiz 17 inci dengan dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang.
Pada bahagian meter, ia dilengkapi dengan unit digital yang lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter sementara berat keseluruhan motosikal adalah 139 kg.
Ducati Panigale V4 2022, yang diperkenalkan kepada dunia November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia dalam dua versi, iaitu V4 pada harga RM145,900 dan V4S RM188,900, tidak termasuk insurans. Peningkatan pada model ini termasuk bahagian aerodinamik, casis, enjin dan elektronik.
Masih lagi menggunakan unit Desmosedici Stradale empat silinder V 1,103 cc, enjin pada V4 2022 menerima silencer ekzos dan pam minyak baru, serta laluan minyak yang diperbaiki, menjadikan kuasanya meningkat kepada 215.5 hp pada 13,000 rpm dan 123.6 Nm tork pada 9,500 rpm.
Enjin ini juga sekarang melepasi penarafan Euro 5 dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan yang nisbah gear satu, dua dan enamnya telah ditukar.Pemetaan enjin ini telah diubah, dan kini dapat ditukar dalam empat mod iaitu Full, High, Medium dan Low (Full dan Low adalah baru).
Demi menjadikan motosikal ini lebih mudah ditunggang dan bersesuaian dengan penggunaan terutamanya di dalam litar, beberapa bahagian berkenaan ergonomik telah diubah, termasuk tangki dan tempat duduk. Rekaan sayap di bahagian tepi fairing juga adalah lebih nipis dan kompak, tetapi masih dapat menghasilkan daya tolakan 37 kg pada kelajuan 300 km/j, sama seperti rekaan sebelum ini.
Sementara suspensi belakang V4S masih lagi menggunakan monoshock Ohlins TTX36, fork hadapan pula dinaik taraf dengan unit Ohlins NPX 25/30 (kedua-duanya boleh dilaras secara elektronik). Model V4 menggunakan suspensi yang terdiri daripada fork Showa BPF 43 mm dan monoshock Sachs – boleh laras secara manual.
Kedua-dua Panigale V4 dan V4S datang secara standard dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP, tetapi V4S mendapat kelebihan rim aluminium Marchesini. Brek untuk V4 dan V4S terdiri daripada set cakera berkembar 330 mm dengan angkup Brembo Stylema M4.30 di hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup Brembo dua piston di belakang.
Turut dipertingkat untuk V4 baru ini adalah panel instrumen, di mana paparannya sekarang lebih mudah untuk dibaca dan mendapat mod paparan Track Evo baru. Dalam keadaan standard, V4 mencatat berat 198.5 kg manakala V4S pula 195.5 kg (termasuk minyak dan bendalir).
Pada bahagian elektronik, V4 2022 dilengkapi antaranya termasuk Cornering ABS, Ducati Traction Control EVO 3, Ducati Wheelie Control EVO, Ducati Slide Control, Engine Brake Control EVO, Ducati Power Launch dan Ducati Quick Shift EVO 2.
Gergasi automotif China, Geely Auto Group telah pun memperkenalkan satu lagi sub-jenama di bawahnya diberi nama Radar Auto. Cabang baharu ini disifatkan sebagai jenama kenderaan elektrik penuh (EV) gaya hidup outdoor, dan ini dia produk pertama mereka – trak pikap EV Radar RD6.
Trak pikap ini dihasilkan berasaskan platform modular untuk kenderaan elektrik terbaharu dari Geely iaitu Sustainable Experience Architecture (SEA). Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, platform SEA berkenaan mampu menghasilkan pelbagai kenderaan dari saiz sekecil segmen-A sehingga model mewah segmen-F, dan juga model lain seperti kereta sport dan juga kenderaan komersil. Ia sebelum ini sudah pun digunakan pada Shooting Brake EV Zeekr 001 dan juga kereta kompak Smart #1, membuktikan versatiliti platform tersebut.
Untuk trak pikap Radar RD6 ini, ia bakal ditawarkan dalam versi motor tunggal dan motor berkembar. Spesifikasi teknikal rasminya masih belum diumumkan, namum laporan dari CarNewsChina menyebut bahawa RD6 bakal ditawarkan dengan kuasa sekitar 200 hp hingga hampir 400 hp, dengan jarak gerak sehingga 600 km.
Dimensi untuk RD6 ini juga belum diumumkan, tetapi berdasarkan foto yang telah disiarkan, ia adalah trak pikap dengan saiz seperti Toyota Hilux/Ford Ranger/Mitsubishi Triton. Sesuai dengan statusnya sebagai trak pikap EV, RD6 diberikan muka yang futuristik menampilkan bar lampu merentangi sepenuhnya gril hadapan, bersambung dengan jalur LED lampu nyalaan siang yang bersepadu dengan lampu utama.
Manakala pada bampar, ia diberikan dua liang udara sisi palsu dengan rekaan tipikal model-model Geely lain (juga seiras dengan rekaan liang udara Geely Boyue/Proton X70), serta diberikan liang udara tengah yang nipis pada bahagian bawah. Imej lasak diserlahkan dengan skid plate pada dasar bampar berkenaan.
Tulisan “RADAR” diletakkan pada penghujung bonet depan trak pikap ini dengan gaya ala-Range Rover. Lencana yang sama turut diletakkan pada bahagian kedua-dua pintu hadapan.
Pada bahagian sisi, RD6 ini menampilkan rekaan yang ringkas dengan bahagian perumah roda dijelaskan menerusi garis lekuk di atasnya, sementara port mengecas diletakkan pada sebelah sisi kanan bed belakang. Tidak seperti trak pikap lain yang cenderung diberikan lampu belakang menegak, RD6 ini nampaknya diberikan lampu belakang tirus melintang dengan konfigurasi “2-piece”.
Terdapat juga port pada bed belakang yang membolehkan RD6 ini berfungsi sebagai “powerbank gergasi” bagi mengoperasikan pelbagai kelengkapan elektrik untuk berkerja dan berkhemah. Masih tiada sebarang imej bahagian dalaman RD6 ini disiarkan, tetapi dari luar boleh dilihat papan pemukanya diberikan skrin paparan instrumen untuk pemandu dan juga skrin utama di bahagian tengah untuk sistem infotainmen.
Radar Auto mempunyai fasiliti penyelidikan dan pembangunannya sendiri di Hangzhao, dan kilangnya terletak di Zibo, Shandong. Produksi RD6 ini akan bermula pada suku keempat tahun ini, namun Geely masih belum membuat sebarang pengesahan adakah Radar turut akan dipasarkan di luar China atau tidak.
Selain dari RD6, Radar turut menawarkan portfolio penuh untuk kenderaan gaya hidup elektrik yang lain seperti SUV, ATV dan “produk gaya hidup” lain. Radar Auto kini diterajui oleh CEOnya, Lin Shi Quan iaitu ketua kejuruteraan senior di Geey Auto Group dan pernah berkhidmat di Lynk & Co dan Geely Auto.
Tak berapa lama sejak iklan teaser Perodua Alza 2022 terbaru ditunjuk, kini ada beberapa lagi susulan sama dikeluarkan menjelang pelancaran rasmi MPV berkenaan.
Dua iklan yang paling baru misalnya memberi tumpuan kepada ruang penumpang belakang Alza. Satu daripadanya memaparkan tentang corong udara siling yang dihalakan terus kepada penumpang barisan kedua dan ketiga.
Dalam satu paparan ruang dalaman itu, kita juga boleh melihat tombol kawalan bagi kelajuan kipas bagi blower belakang. Tetapan ini hampir sama dengan apa yang ada pada Avanza, yang menjadi asas kepada Alza baru ini. Model terdahulu Alza tidak mempunyai corong udara belakang ini.
Turut boleh dilihat ialah alas bumbung warna kelabu dan sebahagian daripada papan pemuka; yang kedua ini kelihatan sama seperti rekaan yang ada pada Avanza, dengan sebuah skrin sentuh terletak di atas corong udara dan suis kawalan digital untuk pendingin.
Sementara itu, teaser #9 sebelum itu pula menunjukkan hal praktikalitinya, terutama untuk masuk ke barisan ketiga. Perodua memaklumkan, Alza mempunyai kedudukan yang lebih rendah dengan jarak kelegaan tanah 160 mm — sebagai perbandingan, Avanza di Indonesia misalnya mempunyai jarak kelegaan tanah 205 mm untuk varian 1.5L.
Kedudukan lebih rendah ini didakwa akan memberikan lebih kestabilan kepada MPV ini. Berdasarkan video berkenaan, kelihatan seperti ruang yang tersedia agak luas untuk memudahkan keluar-masuk barisak ketiga, dengan sebahagian daripad kerusi barisan kedua dilipatkan — sekurang-kurangnya mudah untuk kanak-kanak.
Bagi teaser #8 pula, ia menunjukan peninjau panoramik 360-darjah pada Alza, yang merupakan ciri pertama kali diperkenalkan oleh Perodua bersama dengan brek parkir elektrik. Ciri berkenaan membantu pemandu mengendali kenderaan di ruang sempit.
Akhir sekali, teaser #7 adalah tentang enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang digunakannya, dengan penarafan EEV serta motor Dual VVT-i yang didakwa mampu memberikan bacaan penggunaan minyak 22 km/l mengikut Malaysian Driving Cycle (MDC).
Harga anggaran untul Alza baru ini ialah RM62,000 bagi varian X, RM68,000 bagi H dan RM75,000 bagi AV. Ini harga atas jalan tidak termasuk insurans untuk Semenanjung. Jika ingin tahu lebih lanjut tentang Alza 2022 yang bakal dilancarkan tak lama lagi ini, boleh rujuk di sini.
Kalau ada yang berminat untuk tahu lebih banyak tentang kenderaan elektrik (EV), atau ada rasa nak memiliki sebuah EV, Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2022 anjuran paultan.org adalah tempat yang betul untuk anda mendapat maklumat sahih berkaitan semua aspek pembelian, pemilikan dan sebagai pengguna EV di Malaysia. Acara yang menyeluruh tentang EV ini bakal berlangsung pada 23 dan 24 Julai di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).
Di pameran EV menyeluruh pertama di Malaysia berkenaan, anda boleh mendekati kenderaan elektrik sepenuhnya daripada pelbagai jenama, serta memandu ujinya untuk mendapat pengalaman secara langsung aspek permotoran masa depan ini. Tidak lupa juga, anda boleh berinteraksi terus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan lain untuk faham bagaimana sebenarnya menjadi pengguna EV di negara ini. Inilah masa depan dunia automotif, dan semuanya akan dibawakan kepada anda — jangan ketinggalan!
Bagaimana membiayai EV, dan adakan kadar faedah serta tempoh pembiayaannya berbeza daripada kereta biasa? Untuk mengecas, adakah anda perlu bergantung kepada kemudahan awam atau ada pengecas sendiri di rumah? Berapa kos untuk pasang di rumah? Single phase atau three phase, 20 A atau 32 A, 7 kW atau 11/22 kW? AC atau DC? Bagaimana pengecas pantas berfungsi, dan berapa kosnya? Berapa lama bateri mampu bertahan, dan secepat mana prestasinya menurun mengikut masa?
Semua soalan ini sering bermain dalam fikiran ramai orang ketika membayangkan tentang EV. Ia topik yang agak baru di Malaysia, dan banyak juga maklumat yang tersebar, sama ada tepat atau sebaliknya. Di pameran EVx nanti, anda boleh mendapatkan maklumat terperinci dan jelas untuk semua persoalan yang dimaksudkan itu, sama ada daripada pihak terlibat atau pemilik sebenar dan juga pakar industri. Semuanya di bawah satu bumbung.
EVx akan meliputi segenap aspek minat yang berkaitan, termasuk kenderaan dan pameran produk, pandu uji, forum oleh pakar industri, perbincangan mengenai pemilikan dan banyak lagi. Jenama yang ikut serta termasuklah Pertronas, BMW, Mercedes-Benz, Volvo, Tesla (melalui Vision Motor Sports), EV Connection, Exicom, RHB dan banyak lagi.
Mereka yang ingin membuat tempahan untuk EV juga boleh berbuat demikian di acara ini, dengan 70 pelanggan pertama akan menerima hadiah EVx, lengkap dengan baucar filem penapis haba V-Kool dan penapis udara Blueair bernilai RM1,000. Pembeli juga akan menikmati kadar pinjaman yang menarik untuk EV daripada RHB.
Acara ini terbuka untuk orang ramai, dan masuk adalah percuma. Penulis dan hos dari paultan.org — yang kini juga pengguna EV — akan berada di lokasi sepanjang hujung minggu itu untuk menjawab sebarang pertanyaan anda. Jumpa di sana!
Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedia untuk dibida. Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Bermula hari ini, 13 Julai 2022, siri plat nombor dari Kedah, KFK, telah pun boleh dibida. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 17 Julai ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 18 Julai 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.
Manakala siri plat nombor dari Pahang pula, CEQ, akan mula dibuka bidaan pada 15 Julai 2022 (Jumaat ini) dan berlangsung selama lima hari serta berakhir jam 10 malam pada 19 Julai. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 20 Julai.
Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.
Pembangunan motosikal elektrik Project TE-1 yang melibatkan kerjasama antara Triumph Motorcycles, Williams Advanced Engineering, Integral Powertrain, dan WMG, University of Warwick kini sudah melengkapkan ujian Fasa 4, dan sedikit spesifikasinya didedahkan, sambil dikatakan sebagai jentera dua roda yang termaju bagi jenisnya di dunia.
Menurut Triumph, Project TE-1 itu sendiri bukanlah untuk dijual secara komersial, tetapi kemampuan yang dapat dibangunkan melaluinya akan diterapkan pada produk motosikal elektrik masa hadapan syarikat. Daripada perincian yang didedah, Project TE-1 dapat menghasilkan prestasi seperti Speed Triple 1200, termasuk pemetaan pendikit dan penyampaian kuasa, serta pengendalian memandangkan ia mengambil asas seperti ergonomik, geometri dan pembahagian berat seperti motosikal naked tersebut.
Kuasa yang mampu dihasilkan bersamaan dengan 175 hp, dan boleh memacu motosikal elektrik ini dari keadaan pegun hingga 100 km/j dalam masa 3.5 saat, dan 0-165 km/j dalam masa 6.2 saat. Daripada kosong, baterinya boleh dicas sehingga 80% dalam masa 20 minit sementara jarak gerak pula adalah 161 km.
Seterusnya, Triumph akan memperhaluskan lagi tetapan sistem elektronik, termasuk kawalan cengkaman serta kawalan daya angkat tayar hadapan melalui larasan pada tork motornya, bagi memastikan motosikal dapat melakukan pecutan awal dengan lebih baik, Project TE-1 juga mempunyai sistem penjanaan semula kuasa brek, yang dapat membantu kecekapan unit motor generator serta transmisi padanya, dan memberikan jarak gerak yang lebih baik. Berat motosikal ini adalah 220 kg.
“Kami sangat berbangga dapat berkongsi hasil yang positif apabila Project TE-1 tamat fasa ujian ini, di mana unit prototaip telah menjangkaui banyak sasaran dan jangkaan kami. Semua orang di dalam pasukan ini sangat teruja dengan keputusan yang kami terima bersama rakan kongsi kami, dan bagaimana projek ini nanti akan dapat membantu Triumph dalam dunia elektrik pada masa hadapan,” kata ketua pegawai eksekutif Triumph Motorcycles, Nick Bloor.
Honda e telah pun diberikan penampilan yang lebih menarik menerusi pengenalan versi Limited Edition baharu di Eropah. Terhad untuk 50 unit sahaja, setiap satunya diberikan warna Premium Crystal Red buat pertama kalinya bagi model ini.
Kereta elektrik ini turut ditampilkan dengan serlahan kontras hitam, selain diberikan roda aloi 17-inci, serta beberapa panel badan lain seperti lencana hadapan dan belakang. Versi Limited Edition ini dihasilkan berdasarkan varian Advance, jadi ia masih menerima ciri yang sedia ada.
Ini termasuklah Honda Parking Pilot (parkir sendiri), punca kuasa 230-voltan, roda stereng dengan fungsi haba panas, cermin pandang belakang dwi-fungsi yang disambung ke kamera belakang dan dwi skrin lebar sepenuhnya. Penjana kuasanya juga masih dikekalkan, dengan motor elektrik yang dipasang di belakang yang mampu memberikan kuasa 154 PS (113 kW0 dan tork 315 Nm. Kuasa ini disalurkan menerusi bateri lithium-ion 35.5-kWh yang boleh memacu kereta ini hingga jarak 220 km bagi pengecasan penuh.
Walau pun Honda tidak lagi mengambil bahagian dalam Formula 1, namun Max Verstappen dari pasukan Red Bull Racing masih menjadi model untuk Honda e Limited Edition ini. Katanya, “Honda e Limited Edition ini sangat menarik. Mempunyai imej yang funky, rekaan yang kompak dan seronok untuk dipandu. Ia merupakan kenderaan bandar elektrik yang hebat.”
Di United Kingdom, model keluaran istimewa ini dijual pada harga bermula 38,120 pound British (RM199,950), menjadikan ia lebih mahal berbanding Advance yang bermula dari GBP36,920 (RM193,773).
Selepas beberapa imej teaser disiarkan sebelum ini, nah ini dia – Honda CR-V generasi keenam sudahpun didedahkan secara rasmi! Model ini telah menerima rombakan rekaan sepenuhnya, dan bakal dijual di pasaran Amerika Syarikat sebagai model 2023 bermula musim panas tahun ini (antara Jun hingga Ogos).
Honda CR-V 2023 ini akan ditawarkan dengan enjin turbo terlebih dahulu, kemudian bakal menerima pilihan unit rangkaian kuasa hibrid petrol elektrik lewat tahun ini. Bagi varian EX dan EX-L, Honda mendakwa enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang dipadankan berkenaan kini sudah diperhalusi dengan port ekzos 4-2 pada kepala silinder, bersama respon, kadar efisien dan emisi yang lebih baik.
Tiada perubahan angka kuasa yang dilihat, tetapi kuasa puncak yang dihasilkan kini dapat dicapai pada takat rpm berbeza – enjin tersebut masih menghasilkan 190 hp (193 PS) pada takat 6,000 rpm (400 rpm lebih lewat) dan tork maksima 243 Nm bermula 1,700 rpm hingga 5,000 rpm (300 rpm lebih awal). Ia masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, di mana transmisi tersebut kini dipertingkat bagi memberikan bunyi dan getaran lebih rendah.
Manakala untuk versi hibrid, ia hanya ditawarkan untuk varian Sport dan Sport Touring. Sistem intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti dipadankan pada Civic e:HEV terbaharu digunakan untuk CR-V lebih mesra alam ini. Ia terdiri dari enjin petrol 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson, digandingkn dengan e-CVT dan dua motor elektrik bagi memberikan kuasa keseluruhan 204 hp (207 PS).
Jika dirujuk pada spesifikasi Honda CR-V hibrid generasi sebelumnya yang berkuasa 212 hp (215 PS), angka kuasa yang dihasilkan oleh model generasi baharu ini adalah lebih rendah. Namun, salah satu motor elektrik yang dibekalkan (bukan yang bertindak sebagai generator untuk bateri) sebenarnya kini menghasilkan tork yang lebih tinggi iaitu 335 Nm berbanding 315 Nm pada model sebelumnya.
Dengan unit rangkaian kuasa hibrid baharu ini juga membolehkan CR-V menerima kadar menunda seberat 454 kg (1,000 pound), di mana tiada sebarang angka disebut untuk aspek ini pada CR-V generasi kelima.
Kesemua varian pasaran Amerika Syarikat ini ditawarkan dengan opsyen sistem pacuan semua roda Honda Real Time AWD dengan Intelligent Control System. Sistem berkenaan mampu untuk menghantar sehingga 50% tork kepada roda belakang bagi memberikan cengkaman lebih baik pada permukaan licin seperti salji dan lumpur – Sport Touring dibekalkan dengan fungsi ini sebagai perincian standard.
Tiga mod pemanduan dibekalkan pada Honda CR-V 2023 ini iaitu Normal, Econ dan mod baharu iaitu Snow. Bagi varian-varian dengan unit rangkaian kuasa hibrid, ia menerima satu lagi mod pemanduan iaitu Sport.
Kemaskini mekanikal lain yang dibuat pada model generasi baharu ini termasuk subframe hadapan yang lebih keras bersama kedudukan rak stereng yang diubah bagi memberikan rasa dan ketepatan lebih baik, serta subframe belakang yang juga kini lebih keras bersama suspensi multilink yang ditala semula dengan kadar spring 15% lebih tinggi pada bahagian cagak sebelah atas. Suspensi hadapan CR-V baharu ini masih menggunakan sistem topang McPherson.
Seperti yang telah tertiris sebelum ini, Honda CR-V generasi keenam ini menampilkan rupa yang lebih tajam, garang dan lasak berbanding rekaan lebih ‘bulat’ dari model generasi sebelumnya. Menurut Honda, rekaan baharu untuk CR-V ini adalah diinspirasikan dari trak pikap Honda Ridgeline dan juga SUV lebih besar Honda Passport TrailSport.
Oleh itu, ia kini diberikan gril hadapan bersaiz besar dengan kemasan hitam berkilat, diapit dengan dengan lampu hadapan LED yang lebih tirus. Bampar CR-V ini juga direka lebih bersegi dari sebelumnya, dan varian-varian hibrid menerima liang udara bawah yang lebih lebar bersama kemasan krom dan juga elemen berbentuk-L yang sebenarnya turut befungsi sebagai liang udara yang diletak menegak. Manakala model dengan enjin petrol penuh nampak kurang garang seperti yang boleh anda lihat pada unit berwarna merah pada galeri yang kami sediakan di bawah.
Bonet CR-V 2023 ini juga direka lebih panjang, dan menyebabkan tiang-A SUV ini ditolak 119 mm ke belakang. Titik asas tiang-A berkenaan juga di alihkan 71 mm keluar, membolehkan ia berada pada kedudukan 35.6 mm lebih rendah dari CR-V generasi sebelumnya.
Garis bahu SUV generasi baharu ini juga nampak lebih tegap dengan satu garis yang diberikan menyambungkan lampu hadapan dan lampu belakang. Manakala cermin suku belakang menerima garis bawah yang lebih landai memberikan imej yang lebih matang pada model ini.
Di belakang, CR-V masih menerima lampu utama berbentuk-L, namun ia tidak lagi diberikan kemasan krom yang merentangi pintu tailgate, membuatkan ia nampak lebih ringkas seperti model-model SUV dari Eropah. Panel nombor pendaftaran juga kini diletak lebih tinggi, manakala hanya model Sport dan Sport Touring diberikan perumah corong ekzos pada bampar belakang.
Panel-panel pelindung plastik badan masih diberikan terdiri skid plate pada bampar hadapan dan belakang serta kemasan plastik pada bahagian bawah setiap pintu. Varian Sport dan Sport Touring masing-masing menerima set rim aloi 18- dan 19-inci berwarna hitam, manakala varian EX dan EX-L hanya diberikan rim 18-inci kemasan perak.
Honda CR-V 2023 ini bukan hanya nampak besar dari model sebelum ini, ianya memang benar-benar lebih besar. Atas kertas, dimensi model generasi baharu ini adalah 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, tinggi 1,681 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi berbanding model generasi kelima, versi baharu ini adalah 69 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan jarak roda 40 mm lebih jauh. Namun dari segi tinggi, ia adalah 8 mm lebih rendah yang memberikan rupa lebih sporty.
Dengan jarak roda yang lebih jauh, penumpang pada tempat duduk belakang kini menerima ruang kaki yang 15 mm lebih besar. Malah tempat duduk jenis bench di belakang itu juga kini boleh boleh direbah dengan lapan sudut berbeza bagi memberikan lebih keselesaan. Tidak kira varian turbo mahupun hibrid, kedua-duanya kini menerima ruang kargo lebih besar.
CR-V ini juga menerima papan pemuka yang seakan diambil terus dari Honda Civic generasi ke-11. Papan pemuka berkenaan lebih ringkas dan minimalis dari model generasi ini, menampilkan liang penghembus dengan gril sarang lebah yang merentangi sepenuhnya. Skrin infotainmen yang “berdiri sendiri” di bahagian tengah juga nampak seiras dengan Civic, di mana model EX dan Sport diberikan paparan bersaiz tujuh-inci, manakala model EX-L dan Sport Touring menerima paparan sembilan-inci.
Apa yang berbeza, konsol tengah CR-V ini nampaknya lebih besar berbanding Civic, membolehkan tombol gear diletak bersebelahan dengan suis pemilih mod pemanduan, butang kawalan menurun bukit dan suis brek parkir elektronik. Konsol tersebut turut menampilkan ruang storan kecil yang turut menempatkan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi (hanya untuk EX-L dan Sport Touring), manakala dua pemegang cawan diberikan antara konsol tengah dan juga perehat tangan.
Kesemua varian CR-V 2023 ini menerima sokongan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay, manakala pada varian EX-L dan Sport Touring kedua-dua fungsi tersebut boleh dihubungkan tanpa wayar. Paparan instrumen digital tujuh-inci juga adalah perincian standard untuk setiap varian, bersama perincian lain termasuk 10-beg udara, kawalan menurun bukit, pengingat pemakaian tali pinggang keledar belakang, pengingat tempat duduk belakang dan pemantau tumpuan pemandu.
Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga adalah standard untuk semua varian, memberikan fungsi termasuk kamera pandangan 90-darjah dan radar gelombang-milimeter pandangan 120-darjah baharu, Traffic Jam Assist (TJA), Low-Speed Braking Control dan Traffic Sign Recognition (TSR).
Sistem informasi titik buta (BSI) kini merupakan ciri standard. Sementara fungsi Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low-Speed Follow dan Lane Keeping Assist (LKAS) kini telah ditala semula bagi memberikan operasi yang lebih lancar dan respon lebih natural.
Model EX dan Sport menerima upholsteri fabrik, manakala varian EX-L dan Sport Touring pula diberikan balutan kulit. Semua varian diberikan port USB-A dan USB-C pada kabin hadapan, manakala model-model varian hibrid pula menerima dua port USB-C tambahan untuk kabin belakang. Sistem bunyi Bose 12-pembesar suara pula hanya diberikan pada model tertinggi Sport Touring.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri nombor pendaftaran AMN dan VJH telah pun dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Bagi AMN, siri nombor pendaftaran Perak ini telah pun dibuka bidaanya mulai hari ini, 12 Julai. Tempoh bidaannya selama lima hari, dan akan ditutup pada jam 10 malam, 16 Julai 2022 (Sabtu ini). Keputusannya pula akan diumumkan pada keesokan harinya, 17 Julai. Keseluruhan proses kini menerusi dalam talian, dan pembida akan menerima sama ada berita baik atau sebaliknya menerusi e-mel.
Turut dibuka bidaan menerusi platform yang sama ialah siri nombor pendaftaran Kuala Lumpur, VJH. Bidaannya telah pun dimulakan sejak 10 Julai lalu dan bakal berakhir jam 10 malam pada 14 Julai ini. Keputusannya juga akan diumumkan sehari selepas bidaannya ditutup iaitu pada 15 Julai 2022.
Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menyumbangkan sistem solar berkuasa tinggi untuk dikongsikan di antara komuniti Orang Asli atau lebih dikenali sebagai Rumah Adat. Sumbangan tersebut disempurnakan menerusi Global Peace Foundation, badan bukan kerajaan (NGO) dengan misi untuk membina masyarakat Orang Asli yang berdaya tahan dan bersatu padu.
Menurut MMM, disebabkan kekurangan akses untuk mendapatkan kemudahan elektrik di rumah Orang Asli juga telah memberikan kesan terhadap kesihatan, alam sekitar serta membabitkan kos yang mahal untuk mendapatkannya. Tanpa sumber elektrik, pada waktu malam, unggun api digunakan untuk membakar buah sawit kering, sekaligus menghasilkan banyak asap yang boleh menyebabkan masalah kesihatan termasuk batuk dan mata berair di kalangan penduduk kampung terutamanya kanak-kanak.
Tambahan pula, rumah dan kawasan komuniti dibina dari bahan yang diperoleh dari hutan termasuk kayu, buluh dan bahan tambahan lain termasuk zink dan PVC, di mana sesetengah daripada bahan tersebut mudah terbakar, menjadikan ia lebih berisiko.
Bukan itu sahaja, ada juga keluarga Orang Asli yang bergantung pada sumber lain termasuk petrol untuk menghidupkan generator dan bateri untuk mendapatkan sumber kuasa bagi menghidupkan peranti lain selain lampu.
“Sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia, kami mahu melihat rakyat Malaysia termasuk masyarakat peribumi menjalani kehidupan yang lebih baik. Dengan sistem solar berkuasa tinggi, kami akan menyediakan akses komuniti Orang Asli kepada tenaga mampu milik dan boleh diperbaharui yang meningkatkan produktiviti.
“Sekaligus membolehkan projek komuniti diteruskan walaupun selepas gelap, meminimumkan kesan kesihatan dan alam sekitar daripada tenaga tidak boleh diperbaharui, pencemaran alam sekitar yang lebih rendah, dan akhir sekali mengurangkan perbelanjaan tenaga daripada membeli sumber tenaga mahal yang tidak mampan,” kata Arba Rahman, Naib Presiden Kanan MMM.
Beliau menambah, “Usaha ini adalah bersama-sama dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) global Mitsubishi Motors Corporation (MMC), ‘Step to the future’ yang memfokuskan pada empat tema utama, mewakili masyarakat, keselamatan lalu lintas, alam sekitar dan juga orang ramai. Di MMM, kami juga fokus untuk memberikan manfaat kepada orang ramai melalui penekanan terhadap alam sekitar bagi mewujudkan masyarakat yang lebih baik yang kita boleh harapkan pada masa hadapan.”
Di Indonesia, ada imej model SUV kompak Honda yang baru telah mula muncul, dan dihebahkan oleh Autonetmagz. Kita tahu bahawa Honda memang ada rancangan untuk mengeluarkan SUV kecil untuk bersaing dengan model seperti Perodua Ativa, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia juga akan menjadi SUV pemula dalam barisan penawaran jenama itu, di bawah kedudukan HR-V yang lebih besar dan mahal — HR-V adalah SUV segmen B.
Di India misalnya, ada WR-V, tetapi itu hanyalah Jazz yang diberikan penggayaan SUV, bayangkan Perodua Axia Style. Mungkin, nama WR-V ini akan digunakan kelak untuk model baru tersebut? Ada satu lagi nama yang lebih kurang sama, iaitu “ZR-V”, yang digunakan untuk versi global bagi HR-V.
Kita juga tahu rancangan Honda dengan menunjukkan SUV RS Concept di Indonesia tahun lalu ada preview kepada model berkenaan. Unit yang dipertontonkan itu kelihatan sangat menarik, tetapi gambar yang bocor ini — seandainya merupakan versi produksi model konsep itu — menunjukkan rekaan yang lebih “selamat”.
Bahagian gril SUV RS berkenaan telah digantikan dengan rekaan yang lebih biasa, dengan mirip RS yang dikenakan kepada HR-V RS. Ada palang krom di atas gril, tetapi kereta yang kelihatan ini mempunyai lampu utama yang lebih besar, seperti yang selalu boleh dijangkakan.
Ada juga lampu kabus pada kereta sebenar itu, membuatkan bahagian bawah wajah depannya itu tidak terlalu minimalis. Juga ada skid plate warna perak juga kelihatan. “Hidung” kereta ini juga nampak lebih tegak. Kesimpulanya, wajahnya nampak biasa-biasa saja, tidak terlalu agresif perubahannya.
Bahagian belakang pula jauh berbeza daripada rekaan konsep sebelum ini, baik bentuknya mahupun perincian yang ada. Kereta konsep berkenaan menampilkan cermin belakang yang curam dengan lampu LED kelebaran penuh, sama seperti HR-V baru. Namun kereta produksi ini pula menampilkan rekaan belakang dengan sudut yang biasa, begitu juga dengan kluster lampunya.
Perincian lain yang dapat dilihat misalnya saiz spoiler yang sepadan, lampu belakang dengan gaya 3D dan kemasan warna perak pada kawasan diffuser untuk menyerupai bahagian depannya. Juga, perincian L terbalik untuk lampu LED, sama seperti Civic FE.
Jadi, Honda akan ada SUV kompak untuk lawan Rocky dan Raize di Indonesia? Kita tunggu dan perhatikan perkembangannya selepas ini. Adakah model sama akan tiba di Malaysia? Tiada yang mustahil, walaupun itu bukanlah pilihan yang baik untuk Honda di sini, kerana persaingan sedia ada dalam segmen berkenaan sudah terlalu sengit — sukar untuk menawarkan harga dan spesifikasi yang lebih menarik berbanding model dari jenama tempatan di sini.