Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Amarok 2023 ditunjuk — generasi kedua, lima pilihan enjin, badan SingleCab dan DoubleCab

    Volkswagen Amarok 2023 ditunjuk — generasi kedua, lima pilihan enjin, badan SingleCab dan DoubleCab

    Selepas 12 tahun dan lebih daripada 830,000 unit terjual, trak pikap generasi kedua Volkswagen Amarok kini diperkenalkan dalam dua bentuk badan — Single Cab dua-pintu dan Double Cab empat-pintu.

    Hasil daripada usaha sama antara Volkswagen dan Ford sejak 2019 — dan mempunyai pertalian dengan Ranger 2022 — ini merupakan model serba baru dengan rekaan yang khas untuk Amarok.

    Dimensinya kini lebih besar, dengan 5,350 mm panjang dengan jarak antara roda 3,270 mm, masing-masing melibatkan pertambahan 96 mm dan 173 mm. Lebar keseluruhan pula kini 1,910 mm (tidak termasuk cermin sisi) dan tinggi 1,888 mm. Ini menjadikan ruang kabin lebih besar, terutama untuk barisan belakang.

    Volkswagen Amarok 2023 ditunjuk — generasi kedua, lima pilihan enjin, badan SingleCab dan DoubleCab

    Perubahan ini juga memberi manfaat kepada keupayaan off-roadnya, dengan sudut depan kini diperbaiki menjadi 29 darjah. Ketinggian meredah air juga lebih baik, dari 500 mm kepada 800 mm.

    Kapasiti tanggungan beban Amarok baru ini juga ditambah dari satu tan kepada 1.16 tan, dengan ukuran ruangan kargo bari versi DoubleCab ialah 1,544 mm panjang. Bagi SingleCab pula, ia lebih panjang, dengan 2,305 mm. Kelebaran dan ketinggian ruang berkenaan pula masing-masing 1,224 mm dan 529 mm. Amorok ini juga boleh dipilih untuk hadir dengan penutup kawalan elektrik untuk ruang berkenaan, dengan bahagian bumbung boleh menampung beban 350 kg.

    Untuk enjin, Amarok ditawarkan dengan lima enjin turbocas; empat diesel dan satu petrol. Paling asas menggunakan 2.0 liter TDI turbodiesel, menghasilkan 150 PS dan 350 Nm yang digandingkan bersama kotak gear manual lima-kelajuan dan pacuan roda belakang — untuk pasaran Afrika.

    Volkswagen Amarok 2023 ditunjuk — generasi kedua, lima pilihan enjin, badan SingleCab dan DoubleCab

    Enjin lain yang lebih banyak ditawarkan untuk barisan model ini ialah 2.0 liter TDI yang menghasilkan 170 PS dan 405 Nm tork, dan versi ini digandingkan dengan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda dengan transmisi automatik atau manual enam-kelajuan.

    Sementara itu, enjin diesel ketiga ialan unit turbodiesel empat-silinder dengan kapasiti 2.0L juga, tetapi dengan turbo berkembar untuk menghasilkan janaan 204 PS dan 500 Nm tork. Ini digandingkan dengan sama ada transmisi automatik enam atau 10-kelajuan dan pacuan semua roda tetap melalui transfer case elektromekanikal tambahan.

    Paling tinggi untuk model diesel menggunakan unit 3.0 liter TDI V6, yang datang dengan talaan janaan 241 PS atau 250 PS bergantung kepada pasaran mana, dengan gandingan transmisi automatik 10-kelajuan dan pacuan semua roda 4Motion. Kapasiti menunda Amarok ini adalah 3.5 tan.

    Enjin petrol tunggal pula melibatkan unit 2.3 liter turbocas petrol empat-silinder, menghasilkan 302 PS dan 452 Nm tork, dengan transmisi automatik 10-kelajuan dan pacuan semua roda tetap.

    Selai itu, ada enam mod pemanduan yang tersedia — Normal, Eco, Slippery, Snow/Sand, Mud/Rut dan Tow/Haul. Ada juga lima tingkat kemasan untuk Amarok generasi kedua ini; biasa, Life dan Style, serta yang lebih kemas, PanAmericana dan Aventura. Rim pula dari saiz 16 hingga 21-inci.

    Varian asas misalnya datang dengan lampu LED standard, cermin sisi lipatan elektrik, dengan ruang dalaman dilengkapi paparan instrumen digital 8-inci dan skrin sentuh infotainmen 10-inci dengan radio digital, sambungan online, empat pembesar suara, stereng dengan butang multifungsi dan lain-lain.

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor DEL bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Plat nombor DEL bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri plat nombor dari Kelantan, DEL, bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), nombor plat DEL ini bakal boleh dibida pada 21 Julai ini, selama lima hari dan berakhir pada jam 10 malam, 25 Julai ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 26 Julai 2022. Keseluruhan proses kini menerusi dalam talian, dan pembida akan menerima sama ada berita baik atau sebaliknya menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Rempuhan lori di Tambak Johor: Brek lori rosak, pemandu negatif dadah, ada 33 rekod saman – Polis

    Rempuhan lori di Tambak Johor: Brek lori rosak, pemandu negatif dadah, ada 33 rekod saman – Polis

    Susulan kejadian sebuah lori yang merempuh sejumlah kenderaan kerana gagal untuk berhenti di Tambak Johor semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya telah pun menahan pemandu lori terbabit, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis (ACP), Raub Selamat, pemandu lori yang merupakan lelaki tempatan berumur 34 tahun berkenaan telah ditahan pada pukul 1.15 tengah hari semalam, selepas dia terlibat dalam insiden tersebut pada pukul 9.25 pagi hari yang sama.

    Raub juga menyatakan bahawa insiden ini adalah disebabkan oleh lori yang membawa muatan habuk batu berkenaan mengalami masalah teknikal, dan merempuh 11 unit kenderaan lain di hadapannya.

    “Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu telah hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek, lalu melanggar kenderaan lain di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Beliau turut menyatakan dalam kemalangan itu, enam kenderaan merupakan kenderaan tempatan, manakala enam lagi merupakan kenderaan asing; sembilan dari 11 kenderaan tersebut adalah kereta, dan masing-masing satu van dan bas.

    Raub juga mengesahkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan ini dan hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori itu pula adalah negatif. Namun menerusi video yang disiarkan oleh saluran TV rasmi PDRM di YouTube iaitu PDRM RMP, hasil semakan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai 33 rekod sama pelbagai kesalahan dan enam daripadanya belum dijelaskan.

    Video tersebut turut menyebut pemandu lori berkenaan juga akan direman hari ini (8 Julai 2022) di Mahkamah Johor Bahru bagi membantu siasatan. Kes ini di siasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun dan denda tidak kurang dari RM 5,000 serta tidak melebihi RM15,000.

     
     
  • Mekanisme subsidi bersasar dikaji di stesen minyak, tarikh pelaksanaan belum ditentukan – Tengku Zafrul

    Mekanisme subsidi bersasar dikaji di stesen minyak, tarikh pelaksanaan belum ditentukan – Tengku Zafrul

    Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan kerajaan sedang dalam tempoh mengkaji keberkesanan mekanisme subsidi bersasar bahan api sebelum pelaksanaan menyeluruh kepada rakyat. Menurut menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kajian keberkesanan penting bagi memastikan kelancaran subsidi bersasar itu kelak.

    “Saya hari ini (semalam) meninjau di beberapa stesen minyak mengenai pelaksaan subsidi bersasar bahan api ini. Hasil daripada kajian ini akan dibentangkan kepada kabinet untuk sebarang keputusan akhir sama ada adakah kita yakin dan selesa dengan platform ini,” katanya yang turut mengesahkan hingga kini masih tiada tarikh tepat untuk pelaksanaan subsidi bersasar itu dilaksanakan.

    Tambahnya, ketika ini juga perbincangan mengenai pelaksanaan subsidi bersasar masih berjalan di peringkat beberapa kementerian terbabit, laporan Berita Harian.

    “Kerajaan ingin melaksanakan satu mekanisme subsidi bersasar yang kukuh dan tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat

    “Kajian terlebih dahulu dilaksanakan bagi bahan api katanya adalah kerana ia subsidi terbesar kerajaan dengan unjuran sebanyak RM30 bilion daripada keseluruhan nilai subsidi bagi tahun ini sebanyak RM70 bilion,” ujarnya lagi.

    Mekanisme subsidi bersasar dikaji di stesen minyak, tarikh pelaksanaan belum ditentukan – Tengku Zafrul

    Unjuran itu katanya dibuat berasaskan kepada harga minyak brent yang telah pun mencecah RM5 bilion sebulan.

    “Keutamaan kerajaan adalah sebarang mekanisme subsidi bersasar ini dapat manfaat kepada semua. Subsidi kita tetap akan laksanakan tetapi memastikan sistem dan pelaksanaannya adalah tepat.

    “Ujian seperti ini memberikan hasil tepat kepada kerajaan bagi menentukan tahap penggunaan rakyat.Ini kerana setiap pengguna bahan api adalah berbeza antara luar bandar dan bandar. Sub-segmen subsidi ini perlu diperhalusi,” katanya.

    Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi ke golongan T20 manakala hanya 15 sen dimanfaatkan oleh golongan B40.

    Justeru, katanya adalah penting bagi memastikan subsidi yang diberikan kerajaan ini sampai ke golongan yang memerlukan serta mengelakkan berlakunya ketirisan.

     
     
  • UMW Toyota jual 45,951 unit Toyota & Lexus pada separa pertama 2022, naik 35%; Veloz dibakal dilancar

    UMW Toyota jual 45,951 unit Toyota & Lexus pada separa pertama 2022, naik 35%; Veloz dibakal dilancar

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 8,939 kenderaan sepanjang Jun 2022, terdiri dari 8,870 unit Toyota dan 69 unit Lexus. Jumlah berkenaan dilihat turun sedikit berbanding jualan pada Mei di mana syarikat tersebut menjual sebanyak 7,442 unit of Toyota dan 137 unit Lexus (7,579 unit secara keseluruhan).

    Walau bagaimanapun, dengan angka jualan pada Jun tersebut membolehkan UMWT kini mencapai jualan kumulatif tahunan berjumlah 45,911 unit untuk separa tahun 2022, atau 35% lebih tinggi dari jumlah jualan tempoh sama pada 2021.

    Menurut syarikat tersebut, insentif pengecualian cukai jualan yang berakhir hujung bulan lalu “dijangka bakal memberi kesan negatif jangka pendek pada jualan”, tetapi ia akan dikurangkan dengan “tanda-tanda awal pemulihan semula isu bekalan semikonduktor dan cip mikro global” pada separa kedua tahun ini.

    UMWT menyatakan perkembangan berkenaan akan membolehkan produksi dipertingkatkan dan dengan pelancaran model lebih baharu dan lebih canggih bakal memberikan pembeli lebih banyak pilihan.

    UMW Toyota jual 45,951 unit Toyota & Lexus pada separa pertama 2022, naik 35%; Veloz dibakal dilancar

    “Masuk ke separa kedua 2022, UMWT kini menumpukan pada ‘Extra Mile’ untuk memberikan pemilik Toyota pengalaman pemilikan dan selepas jualan yang terbaik dengan mengubah semula maksud pemilikan. Melihat ke hadapan, peralihan tabiat pengguna mungkin akan menyebabkan teknologi automotif termaju dan ciri keselamatan komprehensif yang disokong oleh pelbagai perkhidmatan selepas jualan ditambah nilai,” kata presiden UMWT Ravindran K.

    Selepas ini UMWT bakal melancarkan MPV tujuh-tempat duduk Toyota Veloz. Model yang akan menggantikan tempat Toyota Avanza berkenaan sudah pun boleh ditempah bermula bulan lalu. Veloz merupakan kembar kepada Perodua Alza D27A yang turut bakal dilancarkan tidak lama lagi, namun diberikan pelbagai perincian lebih premium seperti skrin infotainmen bersaiz sembilan-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan pelbagai lagi.

    Veloz masih dijana oleh enjin 1.5 liter NA yang sama seperti Alza 2022, dan diberikan perincian lain termasuk pakej sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense.

     
     
  • QJMotor 250 RS, 250 RR dan WMoto 250 RR ditunjuk – ada yang dilengkapi skrin TFT, lengan ayun tunggal

    QJMotor 250 RS, 250 RR dan WMoto 250 RR ditunjuk – ada yang dilengkapi skrin TFT, lengan ayun tunggal

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd hari ini melakukan pra tonton tiga model sports permulaan kepada media, bagi mendapatkan maklum balas sebelum dibawa masuk ke dalam pasaran. Ia terdiri daripada dua model QJMotor, iaitu 250 RS dan 250 RR, serta satu model WMoto, iaitu Voge 250 RR. Setiap model ini mempunyai kelebihan tersendiri yang berbeza.

    Bermula dengan WMoto Voge 250 RR yang berwarna biru, ia adalah sebuah motosikal yang dipacu enjin satu silinder 249 cc SOHC daripada Loncin, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 27 hp dan 23 Nm tork.

    Keistimewaan model ini adalah ia datang dengan panel meter TFT berwarna penuh, yang selain memaparkan informasi penting motosikal, juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui fungsi Bluetooth. Melalui demonstrasi yang ditunjukkan oleh wakil MForce, skrin ini boleh memaparkan apa sahaja daripada telefon anda (seperti fungsi mirroring), termasuk video.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera depan dan belakang dengan fungsi ABS dual-channel, fork USD di hadapan, monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, soket USB, dua mod tunggangan, tuil klac jenis kabel, serta lampu LED.

    Pergi pula kepada QJMotor 250 RS (warna kelabu), ia juga menggunakan enjin satu silinder 249 cc dan transmisi enam kelajuan, tetapi dilengkapi dengan sistem DOHC dan mampu menghasilkan 27 hp dan 22.5 Nm tork. Ia sebenarnya adalah model yang sama seperti QJMotor SRK250RS yang dipasarkan di China.

    Panel meter model ini cuma menggunakan unit digital LCD, dan bukannya TFT seperti WMoto Voge 250 RR, tetapi ia mempunyai kelebihan lain iaitu lengan ayun jenis tunggal (single sided) dan rim dua tona warna. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera, dan dilengkapi dengan ABS dual-channel.

    Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk fork USD, monoshock dengan pelarasan pra beban, pengecas USB, lampu LED, tangki bahan api 12.5 liter, berat keseluruhan 159 kg, tinggi tempat duduk 780 mm dan rim 17 inci yang dibalut tayar masing-masing 110/70 di hadapan dan 140/60 di belakang.

    Apabila ketiga-tiga model ini dihidupkan, paling sedap didengar adalah QJMotor 250 RR (warna hitam). Ini kerana ia datang dengan enjin dua silinder sebaris 249 cc DOHC, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan. Dalam laman web QJMotor, model yang mempunyai bentuk sama dengan 250 RR ini adalah QJ400GS-G, tetapi ia datang dengan enjin 400 cc. Berkemungkinan kapasiti enjinnya telah diturunkan untuk dijadikan sebagai 250 RR, dan MForce memberitahu, ia boleh menghasilkan 27 hp dan 21 Nm tork.

    Ia juga cuma menggunakan panel instrumen LCD seperti 250 RS (bukannya TFT seperti WMoto Voge 250 RR), dan dilengkapi lengan ayun biasa (bukan single sided), sementara kelengkapan lainnya adalah termasuk brek cakera dengan ABS dual-channel, lampu LED, fork USD, monoshock dengan pelarasan pra beban serta pengecas USB. Jika betul 250 RR ini menggunakan badan sama dengan QJ400GS-G, tangki bahan apinya mungkin berkapasiti 14 liter dan berat keseluruhan yang mungkin kurang sedikit daripada 187 kg.

    Harga serta tarikh pelancaran tiga model ini masih belum didedahkan, dan seperti yang dinyatakan tadi, MForce cuma mahu mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenainya. Bayangan yang diberikan, jika QJMotor 250 RR boleh dijual pada harga sekitar RM20k, berapa pula harga yang boleh diterima untuk model QJMotor 250 RS dan WMoto Voge 250 RR? Adakah spesifikasinya cukup bagus bagi anda?

    GALERI: QJMotor 250 RR

    GALERI: QJMotor 250 RS

    GALERI: WMoto Voge 250 RR

     
     
  • Honda HR-V 2022 di Malaysia – tempoh menunggu kini cecah 12 bulan walaupun belum lagi dilancarkan!

    Honda HR-V 2022 di Malaysia – tempoh menunggu kini cecah 12 bulan walaupun belum lagi dilancarkan!

    Honda HR-V generasi ketiga belum lagi dilancarkan di Malaysia. Namun tempahan untuk SUV segmen-B berkenaan sudah pun dibuka, dan ia sudah diprebiu di bilik-bilik pameran terpilih bulan lalu yang dibuat dalam bilik tirai. Menerusi pemerhatian kami, sambutan yang diberikan ketika sesi berkenaan agak memberangsangkan, dan ramai yang mula membuat tempahan sebelum 30 Jun bagi membolehkan mereka mendapat pengecualian cukai jualan.

    Buat masa sekarang, masih tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Honda Malaysia berkenaan berapa unit HR-V 2022 yang sudah ditempah sehingga kini. Namun menerusi memo dalaman yang dikeluarkan oleh Honda Malaysia bertarikh semalam yang telah dilihat oleh paultan.org, tempoh menunggu untuk model ini sudah pun mencecah 12-bulan!

    Dalam memo berkenaan, Honda Malaysia menasihatkan semua pengedarnya agar memberitahu dengan jelas kepada pelanggan dan prospek dengan situasi sebenar yang dihadapi sekarang, serta “elakkan sebarang janji yang berlebihan dan pastikan pelanggan menerima kemaskini setiap masa berkenaan tempoh penghantaran kereta baharu mereka.”

    Jika tempoh masa menunggu tersebut benar, ada kemungkinan terdapat pelanggan yang tidak sempat menerima insentif pengecualian cukai SST tersebut walaupun telah menempah model ini sebelum 30 Jun lalu. Ini kerana satu lagi syarat yang diletakkan oleh kerajaan untuk menerima insentif berkenaan adalah mereka perlu menerima dan mendaftarkan kereta baharu tersebut sebelum 31 Mac 2023, iaitu sekitar sembilan-bulan dari sekarang.

    Honda HR-V 2022 ini bakal dijual pada pasaran Malaysia dalam empat varian berbeza, bermula dengan varian asas 1.5L S, diikuti 1.5L E, 1.5L V dan varian paling tinggi 1.5L e:HEV RS. Bagi model 1.5L e:HEV RS, ia merupakan model hibrid yang menggunakan unit rangkaian kuasa intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD), dengan prinsip operasi sama seperti pada model City dan City Hatchback e:HEV RS.

    Unit rangkaian kuasa berkenaan menampilkan gandingan enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson berkuasa 105 hp dan tork maksima 127 Nm serta dua buah motor elektrik yang memberikan kuasa mutlak 131 PS dan tork maksima 253 Nm, serta menerima kuasa dari bateri lithium-ion. Honda mendakwa HR-V e:HEV ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api serendah 25.6 km/l.

    Dalam kebanyakkan masa, model hibrid ini akan bergerak hanya dengan dipacu motor elektrik, sementara enjin petrol 1.5 liter berkenaan kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri lithium-ion, dan hanya memacu roda hadapan pada kelajuan tertentu.

    Dua varian seterusnya iaitu E dan V pula dibekalkan dengan enjin L15C 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 177 PS dan 240 Nm, sementara varian S yang paling asas menerima enjin Earth Dreams 1.5 liter NA i-VTEC sama seperti City sedan dan hatchback yang menjana 121 PS dan tork maksima 145 Nm.

    Honda HR-V 2022 di Malaysia – tempoh menunggu kini cecah 12 bulan walaupun belum lagi dilancarkan!

    Ini bermakna, Malaysia akan menerima tiga pilihan enjin untuk HR-V 2022 ini, berbeza dengan Thailand yang hanya ada versi hibrid, manakala Indonesia pula hanya ada enjin 1.5 NA dan turbo, tanpa versi hibrid.

    Dari segi kelengkapan, antara yang sudah boleh disahkan adalah semua varian HR-V terbaru ini akan dilengkapi dengan Honda Sensing, skrin sentuh lapan-inci di tengah (dengan sistem audio dan empat pembesar suara untuk S dan E, dan lapan pembesar suara untuk V dan RS) dan lampu utama LED sebagai ciri standard.

    Selebihnya, Grade S, E dan V datang dengan pendingin hawa zon tunggal, manakala RS datang dengan sistem dwi-zon — semua varian lengkap dengan corong pendingin di belakang. S dan E pula datang dengan kerusi balutan fabrik, sementara V dan RS dengan balutan kulit.

    Bagi rim, S dan E dilengkapi rim saiz 17-inci (dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 215/60), manakala V dan RS dengan rim 18-inci (Continental Ultra Contact UC6 225/50). Harga bagi HR-V 2022 belum diumumkan, tetapi perunding jualan di empat lokasi yang kami kunjungi sebelum ini meramalkan harganya akan bermula di sekitar RM120k hingga RM140k.

    Untuk lebih mengetahui lebih terperinci berkenaan perbezaan antara varian Honda HR-V 2022 ini anda boleh baca artikel yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

     
     
  • Kem. Pengangkutan akan siasat insiden lori gagal berhenti, langgar banyak kenderaan di Tambak Johor

    Kem. Pengangkutan akan siasat insiden lori gagal berhenti, langgar banyak kenderaan di Tambak Johor

    Tular hari ini satu video memaparkan insiden sebuah lori yang gagal berhenti dan melanggar sejumlah besar kenderaan yang berlaku di Tambak Johor, sempadan Johor Bahru-Woodlands (arah Singapura). Berikutan itu, menteri pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sudah pun mengarahkan beberapa siasatan oleh pelbagai agensi dibuat segera berhubung kejadian tersebut.

    Menurutnya, Agensi di bawah kemenerian pengangkutan, iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden ini, manakala pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori tersebut.

    Beliau menyatakan bahawa tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah JPJ melengkapkan audit ICOP. Ia termasuklah tindakan seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    Selain itu, Wee turut menyatakan bahawa pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menyiasat dari aspek teknikal, untuk mencari punca kemalangan tersebut berlaku. Beliau turut meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan tersebut berlaku untuk menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video jika ada, bagi membantu siasatan.

    “Saya amat memandang serius kes-kes seperti ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya lagi.

     
     
  • Toyota Hilux Rogue 2022 pasaran Australia kini lebih lebar, lebih tinggi, dan dapat brek cakera belakang

    Toyota Hilux Rogue 2022 pasaran Australia kini lebih lebar, lebih tinggi, dan dapat brek cakera belakang

    Toyota Australia telah pun mendedahkan model kemaskini untuk varian tertinggi Toyota Hilux di pasaran berkenaan iaitu Hilux Rogue 4X4, yang kini menerima tingkat taraf sistem brek dan suspensi, yang bukan sahaja memberikan prestasi off-road lebih baik, malah menampilkan rupa yang lebih agresif. Model ini bakal dilancarkan di negara berkenaan pada suku keempat tahun ini.

    Model kemaskini tersebut diberikan brek cakera pada roda belakang, yang menggantikan sistem brek dram sedia ada. Manakala pada sebelah hadapan, ia menerima cakera bersaiz 17-inci, atau satu inci lebih besar dari sebelum ini. Tingkat taraf paling signifikant bagi Hilux Rouge 2022 pasaran Australia ini adalah pada bahagian suspensinya. Ia bukan sahaja ditinggikan sekitar 20 mm dari sebelumnya, malah jarak trek roda juga kini meningkat sekitar 140 mm!

    Ubahsuai yang dilakukan untuk memberikan jarak trek roda yang lebih lebar berkenaan melibatkan penggunaan lengan suspensi serta bar penstabil hadapan yang lebih panjang. Sudut penyerap hentak juga ditala semula bagi memberikan keberkesanan yang lebih baik.

    Toyota Hilux Rogue 2022 pasaran Australia kini lebih lebar, lebih tinggi, dan dapat brek cakera belakang

    Manakala di belakang, gandar telah dipanjangkan lagi, bersama penyerap hentak yang telah dialih lebih keluar ke arah roda. Buat pertama kali, bar penstabil belakang telah dipasang bagi menambah baik kestabilan ketika mengambil selekoh dan keselesaan ketika pemanduan.

    Menurut Toyota Australia, tingkat taraf yang dibuat pada sistem suspensi ini bukan sahaja memberikan kebolehan meredah jalan off-road yang lebih baik, dalam masa yang sama menambah baik prestasi di atas permukaan jalan raya biasa. Ini kerana ketegaran olengannya telah meningkat sebanyak 20%, serta memberikan rasa stereng yang lebih baik ketika mengambil selekoh dan menukar lorong.

    Dengan trek roda yang lebih lebar, keempat-empat overfender pada Hilux Rouge 2022 pasaran Australia ini juga diganti dengan komponen yang lebih lebar bagi memastikan tayar tidak terkeluar dari ruang roda. Ia juga menerima mudguard yang lebih besar pada setiap ruang roda. Ini secara tidak langsung memberikan rupa yang lebih agresif pada trak pikap ini.

    “Tingkat taraf suspensi yang signifikant kepada Hilux Rouge ini bukan sahaja menambahbaik kebolehan off-road, tetapi turut menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih stabil dan selesa di atas jalan raya. Penambahbaikkan secara berterusan ini merupakan aspek utama falsafah Toyota dan telah dicapai dengan jelas menerusi model premium Hilux terbaharu ini,” kata naib presiden untuk jualan, pemasaran dan operasi franchise Toyota Australia, Sean Hanley.

    Tiada sebarang perubahan diumumkan pada unit penjana Hilux Rogue 2022 Australia ini, jadi berkemungkinan ia kekal dengan kelengkapan sedia ada. Sebelum ini Hilux Rouge pasaran Australia menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti Hilux Rouge pasaran Malaysia iaitu enjin 1G-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel berkuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm, digandingkan standard dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Selain dari Hilux Rouge yang dipertingkat ini, Toyota Australia turut bakal mendedahkan varian prestasi untuk off-road baharu bagi menggantikan varian Rugged X. Tiada sebarang perincian lagi didedahkan untuk varian berkenaan, namun beberapa laporan membayangkan ia adalah varian yang akan menerima lencana sayap prestasi Toyota iaitu Gazoo Racing (GR).

    Menurut Toyota Australia lagi, sejak diperkenalkan pada 2018, Hilux Rouge dan Hilux Rugged X telah dijual lebih dari 17,000 unit di negara berkenaan, menjadikan kedua-duanya varian halo berbanding varian Hilux yang lain.

     
     
  • JPJ eBid: Nombor plat JVM bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Nombor plat JVM bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan JVM bakal menjadi siri plat nombor akan datang yang bakal dibuka bidaannya menerusi platform bidaan dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor terkini dari Johor, JVM ini akan mula dibida esok, 8 Julai 2022 dan akan berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam 12 Julai. Manakala keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 13 Julai 2022. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Dengan adanya platform bidaan secara dalam talian seperti JPJ eBid ini, pastinya proses untuk mendapatkan siri plat nombor yang diingini lebih mudah dan tidak lagi perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Harga SST Hyundai 2022: Santa Fe naik RM8k, Kona naik RM4.5k, Ioniq 5 naik RM10.5k; Staria naik RM7.9k

    Harga SST Hyundai 2022: Santa Fe naik RM8k, Kona naik RM4.5k, Ioniq 5 naik RM10.5k; Staria naik RM7.9k

    Hyundai-Sime Darby Motor (HSDM) telah mengemaskini senarai harga baharu bagi semua model Hyundai yang masih berada di pasaran Malaysia, selepas berakhirnya pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 30 Jun 2022. Walau bagaimana pun, masih terdapat beberapa model yang belum diumumkan harga baharunya dan kami akan mengemaskini artikel ini apabila mendapat maklumat yang diperlukan.

    Seperti dijangka, harganya memang naik, sehingga RM10,520, atau 6.29%. Bagi model Elantra, untuik varian 1.6 Premium, harganya lebih RM10,000 tanpa pengecualian SST, kini mencecah RM168,888 atas jalan tanpa insurans.

    Untuk Santa Fe pula, SUV pemasangan tempatan (CKD) ini diumumkan mengalami kenaikan sehingga RM8,000. Di mana varian 2.2D Executive SE kini berharga RM196,888 dan RM215,888 untuk 2.2D Executive Plus SE.

    Harga SST Hyundai 2022: Santa Fe naik RM8k, Kona naik RM4.5k, Ioniq 5 naik RM10.5k; Staria naik RM7.9k

    Manakala Kona pula dinaikkan harga hingga RM4,500 untuk empat varian yang ditawarkan, dengan model spesifikasi penuh 1.6 TGDI N-Line kini dijual pada harga RM161,388. Versi semua-elektrik crossover terbabit pula mengalami kenaikan harga yang lebih tinggi, dengan e-Lite dan e-Plus (kedua-duanya dengan bateri 39.2 kwh) kini lebih RM7k, sementara e-Max (bateri 64 kWh) pula kini RM208,348 (+RM8,460).

    Satu lagi barisan kenderaan elektrik (EV) yang ditawarkan iaitu Ioniq 5, kini dinaikkan harga sebanyak RM10,520 tanpa pengecualian SST. Varian Max (dengan bateri 72.6 kWh) menyaksikan kenaikan yang paling tinggi, sementara varian Plus dan Lite (kedua-duanya dengan bateri 58 kWh) pula masing-masing naik hingga RM8,520 dan RM7,920.

    Bagi yang berminat untuk mendapatkan jentera yang lebih besar, Grand Starex 11-tempat duduk kekal pada harga RM165,999 untuk varian Executive Plus memandangkan MPV ini dikategorikan sebagai kenderaan komersil dan tidak menerima manfaat dari pengecualian SST. Namun, berbeza dengan Staria yang menerima pengecualian SST sebelum ini dan dijual pada harga RM358,888. Tetapi mulai 1 Julai 2022, ia dinaikkan harga sebanyak RM7,880, kini RM366,768.

     
     
  • Chery Omoda 5 dibuka untuk tempahan di China — 197 PS/290 Nm enjin 1.6 liter TGDI, juga 1.5 liter TCI

    Chery Omoda 5 dibuka untuk tempahan di China —  197 PS/290 Nm enjin 1.6 liter TGDI, juga 1.5 liter TCI

    Chery kini mula mengambil tempahan bagi SUV Omada 5 untuk pasaran China, selepas pengenalannya di sana November lalu. SUV segmen B yang menjadi pesaing dalam kelas yang sama seperti Proton X50 dan Honda HR-V ini turut telah disahkan akan tiba di Malaysia, menjadi antara yang terawal untuk pasaran antarabangsa model berkenaan termasuk Australia dan Eropah.

    Di China, Omoda 5 akan ditawarkan dalam tujuh varian, dengan pilihan enjin 1.6 liter TGDI turbocas petrol dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan dan 1.5 liter TCI dengan 9CVT. Bagi varian 1.6L, Omoda 5 menghasilkan 197 PS dan 290 Nm tork, membolehkan pecutan 100 km/j dalam masa 7.8 saat.

    Menurut Chery, turut ada sistem janaan lain untuk SUV berkenaan, dengan memanfaatkan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) oleh pengeluarnya sendiri, yang terdiri daripada dua motor, sembilan mod, 11 kombinasi gear dan pacuan twin-shaft.

    Chery Omoda 5 dibuka untuk tempahan di China —  197 PS/290 Nm enjin 1.6 liter TGDI, juga 1.5 liter TCI

    Empat mod pemanduan disediakan untuk Omoda 5 — Eco, Normal, Sport and Super Sport — yang dibezakan dengan puncak outpun enjinnya, dengan perubahan juga paparan meter. Dalam mod Super Sport, lampu suasana juga berubah kepada kuning dengan “gelombang bunyi” di mainkan dari sistem audionya.

    Dari segi saiz, Omoda 5 dihasilkan dengan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar and 1,585 mm tinggi, dengan jarak roda sejauh 2,630 mm. Sebagai perbandingan, Honda HR-V terbaharu (generasi ketiga yang belum dilancarkan di Malaysia) dihasilkan dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610 mm – jelas Omoda 5 adalah sedikit lebih besar.

    Dalam kabin, Omoda 5 diberikan perincian seperti roda stereng balutan kulit rata di bawah, skrin berkembar 12.3-inci (untuk instrumen dan infotainmen, seperti Mercedes-Benz), kawalan pusat untuk media dan pendingin hawa, dan juga terowong tengah yang tinggi untuk memisahkan ruang pemandu dan penumpang hadapan, serta tempat duduk sport yang kelihatan mewah.

     
     
  • Trak myTukar hantar kereta depan rumah pelanggan

    Trak myTukar hantar kereta depan rumah pelanggan

    Trak yang membawa kereta di dalamnya dan menggunakan dinding lutsinar seperti ini mungkin sudah pernah anda lihat, digunakan sama ada sebagai promosi dan iklan, atau penghantar kenderaan baru terutamanya jenama mewah. Sekarang, myTukar juga mahu membawa pengalaman yang sama kepada pelanggan kenderaan terpakai mereka.

    Bagi myTukar, semua pelanggan dianggap istimewa. Disebabkan itu, mereka cuba membawa pusat pameran kepada pelanggan, sekiranya mereka mahu penyerahan dilakukan di tempat lain. Dengan cara ini juga, rasa sambutan meraikan ketibaan kereta itu juga dapat dikekalkan.

    Ini membawa kepada penciptaan satu pengalaman penghantaran kenderaan unik, yang mana bagi myTukar, pelanggan kenderaan terpakai juga patut merasakan sambutan yang sama seperti apabila membeli kenderaan baru.

    Semua kenderaan yang ditawarkan oleh myTukar telah melalui pemeriksaan 160 bahagian yang ketat, serta proses baik pulih dan pemulihan menyeluruh untuk memastikan ianya sama seperti baharu. myTukar mempunyai Refurbishment Centre tercanggihnya sendiri untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih kenderaan.

    Seperti yang boleh dilihat dalam gambar, trak flatbed yang membawa kenderaan pelanggan ini tertutup sepenuhnya, dan kedua-dua bahagian mempunyai dinding lutsinar seakan kotak kereta mainan, dan membolehkan pelanggan melihat kereta mereka sebelum ‘unboxing’.

    Bagi memastikan kereta tersebut selamat sepanjang perjalanan, keempat-empat tayarnya diikat dengan tali ratchet ke lantai trak, dan apabila mahu diturunkan, lantai itu sendiri boleh turun ke jalan dan menjadikan proses lebih mudah dan kurang risiko kerosakan.

    Penampilan trak ini juga agak sangat menyerlah, dengan warna oren yang sekarang menjadi identiti baru myTukar. Kalau anda sedang menunggu kereta anda dan tiba-tiba trak ini datang dengannya, pasti ia dapat membeawa keceriaan.

     
     
  • JPJ laksana Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 pada 7-8 Julai, 12-13 Julai – fokus sembilan kesalahan utama

    JPJ laksana Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 pada 7-8 Julai, 12-13 Julai – fokus sembilan kesalahan utama

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula laksanakan Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 pada 7-8 Julai dan 12-13 Julai bagi memantau situasi keselamatan sempena musim perayaan ini. Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi) Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan operasi itu bagi mengesan, memantau dan mengambil tindakan terhadap kenderaan awam termasuk pemandu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, laporan Harian Metro.

    “Pada masa sama, kita juga mahu memastikan sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan dan kematian dipatuhi sepenuhnya oleh pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal dan pemandu kenderaan persendirian.

    “Selain itu, kita mahu memastikan keselamatan perjalanan pengguna jalan raya ke arah kelancaran trafik bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di musim perayaan,” katanya ketika mengetuai Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 di Plaza Tol Sungai Besi malam tadi.

    JPJ laksana Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 pada 7-8 Julai, 12-13 Julai – fokus sembilan kesalahan utama

    Tambah beliau, pihaknya memfokuskan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap sembilan kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas.

    “Selain itu, kami turut menumpukan kesalahan memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, membawa lebih muatan dan muatan bahaya.

    “Pada masa sama, kami juga akan mengambil tindakan sita terhadap penunggang atau pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

    Dalam operasi yang dilaksanakan malam tadi turut membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sejumlah 1,317 kenderaan telah diperiksa dan didapati sebanyak 441 kesalahan dikesan termasuk 14 kenderaan disita membabitkan sembilan motosikal serta lima kereta. Antara kesalahan yang dikesan ialah menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah.

     
     
  • RTS Link JB-Singapura – Ekovest menang kontrak pembinaan bernilai RM1.98b; bakal siap hujung 2026

    RTS Link JB-Singapura – Ekovest menang kontrak pembinaan bernilai RM1.98b; bakal siap hujung 2026

    Ekovest Construction (ECSB) telah memenangi kontrak bernilai RM1.979 bilion untuk projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungan antara Johor Bahru-Singapura.

    Anak syarikat milik penuh Ekovest telah dilantik oleh Malaysia Rapid Transit System (MRTS) – anak syarikat Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) – sebagai rakan kerjasama kepada Adil Permata (APSB), kontraktor utama bagi projek RTS Link.

    Dalam pemfailan Bursa pada 5 Julai lalu, Ekovest berkata ECSB menerima surat pelantikan oleh APSB sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan untuk projek RTS Link. Pada November tahun lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dan rakan sejawatnya dari Singapura S Iswaran telah bertukar perjanjian RTS Link.

    Projek RTS Link ini terdiri daripada sambungan ulang-alik kereta api sepanjang kira-kira 4 km dengan dua stesen di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura. Untuk bahagian Malaysia, ia meliputi 2.7 km, dan selebihnya 1.3 km di Singapura.

    Laluan untuk Projek RTS Link ini adalah sistem transit aliran ringan moden yang akan menyediakan sistem pengangkutan dengan volum yang tinggi, pantas dan cekap antara kedua-dua stesen, mengadakan pengangkutan alternatif yang akan membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen bagi kedua-dua negara.

    Projek ini juga bakal melibatkan pembangunan fasiliti kompleks kuarantin, kastam dan imigresen (ICQ) baharu bersebelahan stesen Bukit Chagar, dengan tren sambungan KTM dan juga Iskandar Rapid Transit. Sementara itu, stesen Woodlands pula akan mempunyai fasiliti kuarantin, imigresen dan kastam (CIQ), dan pertukaran dengan MRT Laluan Thomas-East Cost.

    Dijangkakan akan siap sepenuhnya pada hujung 2026, majlis pecah tanahnya telah pun dilangsungkan pada November lalu. Projek itu akan menjadi sistem transit aliran ringan (LRT) moden dengan kapasiti 10,000 penumpang sejam, setiap arah dan jangkaan penumpang kira-kira 40,000 penumpang sehari selepas beroperasi kelak.

    Ini akan dicapai dengan set kereta api empat gerabak yang boleh mencecah kelajuan maksima 80 km/j. Anggaran perjalanan kereta api adalah enam minit antara stesen dengan kekerapan 3.6 minit pada waktu puncak, yang memberikan kemudahan kepada penumpang dengan sistem pengangkutan yang pantas dan cekap yang akan membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen bagi kedua-dua negara.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025