Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KTM Shuttle Tebrau untuk JB-Woodlands kembali beroperasi selepas dihentikan sejak Mac 2020

    KTM Shuttle Tebrau untuk JB-Woodlands kembali beroperasi selepas dihentikan sejak Mac 2020

    Susulan pembukaan kembali pintu sempadan Malaysia-Singapura, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memutuskan untuk mengembalikan operasi KTM Shuttle Tebrau yang menghubungkan JB Sentral di Malaysia dengan Woodlands di Singapura. Sebelum ini, perkhidmatan tren terbabit terpaksa dihentikan sejak 24 Mac 2020 susulan pandemik Covid-19 dan penutupan pintu sempadan.

    Perkhidmatan shuttle merentasi sempadan itu kembali beroperasi sejak semalam dengan tren SH71 memulakan perjalanan dari JB Sentral ke Singapura. Pelepasan tren terbabit disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

    “Untuk peringkat permulaan ini, kita hanya menyasarkan 240 penumpang (untuk satu perjalanan) bagi minggu pertama ini kerana kita perlu menyelaraskan perkara-perkara tertentu seperti MySejahtera dan ciri-ciri lain. Kita juga menyasarkan 7,000 penumpang dapat menggunakan perkhidmatan ini setiap hari apabila ia beroperasi sepenuhnya,” kata Wee semalam, laporan Bernama.

    Klik untuk besarkan

    Datuk Onn Hafiz pula berkata, “Melihat penyambungan semula perkhidmatan ulang-alik ini adalah detik bersejarah selepas operasinya digantung selama dua tahun. Sejak itu orang ramai tertunggu-tunggu ia kembali beroperasi. Selain itu, ia juga boleh membantu Johor mengurangkan kesesakan lalu lintas.”

    Bagi perkhidmatan shuttle ini, sebanyak 31 perjalanan disediakan antara kedua-dua laluan bermula jam 5 pagi berakhir 11.45 malam dengan 13 perjalanan dari Johor Bahru-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Johor Bahru.

    Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau mengekalkan tambang sedia ada iaitu RM5 sehala bagi perjalanan JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral.

     
     
  • Renault Zoe 2022 diperkenal dengan jarak gerak EV 395 km, bateri 52 kWh, kuasa 109 PS dan 136 Nm

    Renault Zoe 2022 diperkenal dengan jarak gerak EV 395 km, bateri 52 kWh, kuasa 109 PS dan 136 Nm

    Renault Zoe sudah berada di pasaran agak lama, dengan pengenalan pertamanya pada tahun 2012, dan pernah dijual di Malaysia sejak tahun 2016. Menurut pengeluar Perancis itu, sehingga Mei 2022, sebanyak 380,000 unit Zoe telah berjaya dijual dan ia adalah kereta elektrik paling laku di Eropah.

    Bagi mengekalkan momentum itu, tahun ini Zoe telah dipertingkat, dengan tiga varian baru ditawarkan dan semuanya masih mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 52 kWh seperti model facelift tahun 2019, bersama pilihan tetapan dua motor elektrik.

    Varian pertama adalah R110, yang menyediakan kuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 225 Nm tork, dengan jarak gerak 395 km mengikut ujian WLTP. Sementara itu, varian R135 pula menjana kuasa yang lebih tinggi, iaitu 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 245 Nm, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi 386 km. Dua motor elektrik pada varian ini menggerakkan roda hadapan.

    Melihat kepada kelengkapan, varian asas dipanggil sebagai Equilibre dan ia datang dengan pengecas AC 22 kW yang mengambil masa tiga jam untuk memenuhkan baterinya menggunakan pengecas bersesuaian. Di Perancis, varian ini dijual pada harga 27,700 euro (RM128,273), termasuk cukai dan insentif kerajaan.

    Barangan standard lain yang diberikan adalah seperti empat beg udara, Advanced Emergency Braking System (AEBS), cruise control, sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, pendingin hawa kawalan manual, empat pembesar suara, rim besi 15 inci, balutan fabrik, panel instrumen TFT 10 inci, serta skrin sesentuh tujuh inci untuk sistem infotainmen bersama sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Varian lebih tinggi daripada itu adalah Evolution, dijual pada harga 29,800 euro (RM137,982), dan menerima tambahan sistem pengenalan tanda jalan, amaran keluar lorong dan bantuan kekal lorong, pendingin hawa automatik, fungsi pencegahan lebih laju, rim aloi 16 inci, roda stereng PET, panel pintu balutan bahan lembut dan tempat duduk balutan fabrik kitar semula.

    Varian paling mahal adalah Iconic, berharga 30,900 euro (RM143,127). Ia menerima kelengkapan sama seperti Evolution, tetapi ditambah lagi dengan lampu tinggi automatik, pemerhati titik buta, skrin sesentuh 9.3 inci untuk sistem infotainmen, cermin sisi boleh lipat, cermin pandang belakang malap sendiri, tingkap bukaan kuasa, soket USB di belakang, kamera undur, pengesan jarak hadapan, fungsi parkir automatik, pengecas Qi tanpa wayar, rim 17 inci, cermin belakang gelap dan jalur pelekat warna emas di luar.

    Pilihan lain yang disediakan adalah seperti sistem pengecas DC 50 kW (20-80% dalam masa 50 minit) untuk semua varian, rim rekaan Seidon 16 inci (Iconic), sistem pembesar suara premium Bose dan varian yang lebih rendah juga boleh menambah barangan daripada varian lebih tinggi.

     
     
  • SAH: Insentif pengecualian SST untuk kereta baru tamat 30 Jun, tarikh akhir pendaftaran 31 Mac 2023

    SAH: Insentif pengecualian SST untuk kereta baru tamat 30 Jun, tarikh akhir pendaftaran 31 Mac 2023

    Menteri Kewangan Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembelian kereta baharu selepas ianya berakhir pada 30 Jun ini.

    Walau bagaimanapun, untuk mereka yang telah membuat tempahan kereta sebelum 30 Jun masih lagi layak untuk menerima insentif pengecualian cukai tersebut sekiranya kereta berkenaan diterima dan didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Mac 2023.

    “Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” ujar Zafrul dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    SAH: Insentif pengecualian SST untuk kereta baru tamat 30 Jun, tarikh akhir pendaftaran 31 Mac 2023

    Sebelum ini Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Perodua sudahpun membuat permohonan kepada kerajaan agar insentif pengecualian SST berkenaan disambung lagi selepas 30 Jun nanti. Ini kerana dengan pelbagai masalah yang berlaku selepas pandemik termasuk perang Ukraine dan juga kekurangan cip, telah menjejaskan operasi produksi di kilang menyebabkan banyak pelanggan lambat menerima kenderaan mereka, sekaligus tidak sempat menerima pengecualian cukai berkenaan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini turut menyebut bahawa sejumlah 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian tersebut masih belum siap proses pemasangan di kilang dan tidak dapat diserahkan kepada pembeli.

    Tempoh pengecualian SST berkenaan telah pun disambung semula sebanyak tiga kali sebelum ini sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 5 Jun 2020. Ia sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020, namun ia dilanjutkan sehingga ke Jun 2021. Ia kemudiannya dilanjutkan lagi hingga ke Disember 2021, dan pada pembentangan Bajet 2022 ia kemudiannya sekali lagi diumum dilanjutkan sehingga ke 30 Jun 2022.

    SAH: Insentif pengecualian SST untuk kereta baru tamat 30 Jun, tarikh akhir pendaftaran 31 Mac 2023

     
     
  • Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Hujung minggu lalu, Honda Malaysia buat pertama kalinya mempamerkan HR-V 2022 terbaru di bilik pamerannya — melibatkan lima lokasi, dengan varian tunggal yang berbeza di setiap lokasi. Kami sempat berkunjung ke empat lokasi tersebut (termasuk di Kuala Selangor), dan boleh mengesahkan bahawa Honda Malaysia telah pamerkan empat varian yang akan dijual di sini kelak. Maka kami kumpulkan perincian spesifikasi setiap satunya di sini.

    Semua varian akan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter L, tetapi dengan konfigurasi yang berbeza; Malaysia mungkin menjadi satu-satunya pasaran di dunia yang menerima ketiga-tiganya. Varian paling asas S menggunakan unit L15ZE yang digunakan untuk model City petrol, enjin NA dengan DOHC i-VTEC empat-silinder yang menjana 121 PS pada 6,000 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Ini 21 PS dan 27 Nm kurang daripada model sebelumnya, yang menggunakan enjin lebih besar, 1.8 liter.

    Varian E dan V menerima enjin VTEC Turbo yang lebih berkuasa, L15C3. Spesifikasi tepat untuk enjin ini tidak diketahui, tetapi melalui dokumen yang sempat diperhatikan, ia sepatutnya sama output dengan HR-V Turbo di Indonesia, yang menghasilkan 177 PS dan 6,000 rpm dan 240 Nm antara 1,700 dan 4,500 rpm. Angka ini 5 PS kurang berbanding Civic; kedua-duanya dipadankan dengan CVT.

    Sama seperti City RS, HR-V RS yang paling tinggi menjadi satu-satunya yang menerima janaan e:HEV hibrid. Motor elektrik yang digunakan pula sedikit lebih berkuasa berbanding pada model sedan dan hatchback berkenaan, menghasilkan 22 PS menjadikan 131 PS, dengan tork kekal sama 253 Nm.

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Enjin petrol NA dengan kitaran Atkinson yang berfungsi sebagai generator dan boleh memacu kenderaan secara langsung dalam kelajuan tinggi ini menghasilkan 7 PS lebih menjadi 105 PS dari 6,000 hingga 6,400 rpm dan 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm. Semua model adalah pacuan roda depan.

    Di luar, semua HR-V 2022 untuk Malaysia akan dilengkapi dengan lampu utama reflektor LED automatik dan lampu belakang LED, walaupun V dan RS akan turut datang dengan lampu isyarat sequential di depan. Lebih menarik, semua varian lengkapi dengan bodykit RS kecuali yang paling asas S. Ini melibatkan gril rekaan kemasan petak bersegi (S hanya dengan gril palang biasa hitam berkilat), spoiler depan dengan grafik “denyutan” serta rekaan bampar depan yang lebih sporty. Model Turbo juga menampilkan muncung ekzos berkembar.

    RS menampilkan perbezaan khusus dengan adanya pin krom pada gril, “denyutan” merah dan kemasan pelindung badan dalam warna hitam berkilat. Terdapat juga kemasan krom di bahagian bawah badan, tetapi tanpa pilihan untuk bumbung hitam seperti di Thailand dan Indonesia.

    Bagi roda pula, S dan E menggunakan saiz 17-inci enam-jejari dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2, dengan warna dua tona untuk S; unit pra-produksi yang dilihat bagaimanapun menggunakan rim kemasan yang sama untuk E, unit pasarannya kelak akan diberikan warna perak tunggal. V dan RS akan menggunakan rim 18-inci yang identikal, dengan tayar Continental UltraContact UC6.

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Di dalam anda akan dapati papan pemuka dengan sentuhan lembut diberikan untuk semua model, serta kemasan perak untuk E dan ke atas. Untuk V dan RS, material lembut berkenaan turut dilanjutkan ke panel pintu depan, serta ada juga kemasan hitam berkilat di keliling suis tingkap dan jejari stereng. Stereng pula, untuk dua varian paling tinggi diberikan balutan kulit, dengan kerusi balutan kulit hitam — bagi RS, ia dibezakan dengan benang merah, pedal aloi dan lapik bumbung hitam.

    Kelengkapan standard termasuk sistem tanpa kunci dengan kunci automatik, butang Push Start, kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang, butang mod Econ, kluster instrumen analog, dua slot USB di depan, head unit dengan skrin sentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, empat pembesar suara, kerusi Ultra Seat belakang dengan nisbah lipatan 60:40 dan tayar ganti saiz penuh.

    E pula menerima tambahan lampu kabus depan, penghidup enjin jarak jauh, paddle shifter, kluster instrumen separa digital dengan paparan tujuh-inci, pemilih mod pemanduan dengan tetap Sport tambahan, dua slot USB tambahan di belakang dan perehat lengan belakang. Naik ke V, akan ada tambahan kerusi pemandu larasan lapan-hala, cermin hias berlampu dan stereng Variable Gear Ratio yang sebelum ini hanya ada pada RS secara eksklusif. Varian ini juga lengkap dengan servis jarak jauh Honda Connect melalui aplikasi pintar.

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    RS pula ditambah dengan ciri pengilap automatik, pintu ruang belakang berkuasa bebas kendalian tangan, kawalan pendingin dua zon, yang mana Civic saja tidak ada ciri ini. Kerana bateri lithium-ion terletak di bawah lantai but belakang, tayar gantian diganti dengan kit baik pulih, sama seperti model hibrid Honda yang lain. Tidak seperti di Thailand, kita tidak akan mendapat ciri bumbung kaca panoramik atau pengecas tanpa wayar Qi.

    HR-V 2022 ini juga akan datang dengan Honda Sensing sebagai standard. Ini termasuklah ciri AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go (Low Speed Follow), bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong dan lampu tinggi. Ada juga pengingat kerusi belakang untuk semua varian, beserta kawalan menuruni bukit, empat sensor dan kamera undur.

    Bagaimanapun, sama seperti sebelum ini, HR-V tidak datang dengan enam beg udara sebagai ciri standard — S hanya menerima empat beg-udara sahaja. Dan hanya V serta RS sahaja yang menerima kamera titik buta LaneWatch.

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Honda HR-V 1.5 S 2022 — dianggarkan RM120,000
    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 litre DOHC i-VTEC
    • 1,498 cc NA empat-silinder petrol
    • 121 PS pada 6,600 rpm, 145 Nm pada 4,300 rpm
    • Continuously variable transmission (CVT)
    • Pacuan roda depan
    • Mod pemanduan Econ dan Normal
    • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Cakera brek berliang (depan), cakera tertutup (belakang)

    Luaran

    • Lampu reflektor LED automatic
    • Lampu belakang kombinasi LED
    • Gril palang hitam berkilat
    • Pelindung badan plastik tanpa cat
    • Kemasan bawah hitam berkilat
    • Rim 17-inci enam-jejari dua tona
    • Muncung ekzos tunggal dan terselindung
    • Cermin sisi lipatan berkuasa
    • Sistem tanpa kunci dengan ciri kunci automatik ketika jauh

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Dalaman

    • Butang Push Start
    • Papan pemuka material sentuhan lembut
    • Stereng multifungsi Urethane
    • Larasan stereng tinggi/rendah dan rapat/jauh
    • Kluster instrumen analogue dengan paparan multi-info
    • Tingkap kuasa untuk pemandu dengan Auto naik/turun
    • Tombol gear Urethane
    • Kerusi balutan fabrik hitam
    • Kerusi depan larasan manual
    • Kerusi belakang Ultra Seat dengan nisbah lipatan 60:40
    • Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
    • Head unit 2-DIN lapan-inci skrin sentuh dengan Apple CarPlay dan Android Auto
    • Empat pembesar suara
    • Dua slot USB di depan
    • Empat sensor parkir
    • Kamera undur
    • Penutup ruang barangan boleh lipat
    • Tayar ganti saiz penuh

    Keselamatan

    • Empat beg udara (depan dan sisi)
    • ISOFIX belakang dengan cagak atas
    • Bantuan pemandu Honda Sensing
      • AEB
      • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
      • Bantuan ke tengah lorong
      • Bantuan mengekalkan lorong
      • Lampu tinggi automatik
    • ABS dengan EBD dan bantuan brek
    • Kawalan kestabilan
    • Agile Handling Assist (AHA)
    • Bantuan mula mendaki
    • Kawalan menuruni bukit
    • Lampu isyarat berhenti kecemasan
    • Peringatan tali keledar untuk semua kerusi
    • Peringatan kerusi belakang

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Honda HR-V 1.5 Turbo E 2022
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo
    • 1,498 cc turbocas empat-silinder petrol
    • 177 PS pada 6,600 rpm, 240 Nm dari 1,700 dan 4,500 rpm
    • Pedal penukar gear di stereng
    • Mod pemanduan Econ, Normal dan Sport

    Luaran

    • Lampu kabus depan LED
    • Gril petak hitam berkilat
    • Bodykit depan dan belakang
    • Grafik “denyutan” depan warna perak
    • Rim aloi 17-inci enam jejari kelabu
    • Muncung ekzos berkembar
    • Penghidup enjin jarak jauh

    Dalaman

    • Kemasan papan pemuka warna perak
    • Kluster instrumen separa digital dengan paparan tujuh-inci
    • Perehat lengan belakang
    • Dua slot USB di belakang

    Keselmatan

    • Enam beg udara

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Honda HR-V 1.5 Turbo V 2022
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Stereng nisbah boleh ubah

    Luaran

    • Lampu isyarat depan LED
    • Rim 18-inci sepuluh jejari aloi kelabu

    Dalaman

    • Bahagian pintu permukaan lembut
    • Keliling suis tingkap hitam berkilat
    • Stereng balutan kulit
    • Tombol gear balutan kulit
    • Kerusi balutan kulit hitam
    • Kerusi pemandu larasan kuasa lapan-arah
    • Dua cermin hias dengan lampu
    • Lapan pembesar suara
    • Servis Honda Connect

    Keselamatan

    • Kamera titik buta LaneWatch

    Honda HR-V 2022 di M’sia — Perbandingan spesifikasi varian; 1.5L NA S, Turbo E, Turbo V, RS e:HEV

    Honda HR-V 1.5 RS 2022 — RM140,000 estimated
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Motor elektrik di depan
    • 131 PS, 253 Nm
    • Enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC
    • 1,498 cc NA kitaran Atkinson empat-silinder petrol
    • 105 PS dari 6,000 hingga 6,400 rpm, 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm
    • Transmisi kelajuan tunggal dengan klac pengunci

    Luaran

    • Gril petak krom
    • Pelindung badan hitam berkilat
    • Grafik “denyutan” merah
    • Kemasan krom di bawah
    • Muncung ekzis tunggal terselindung

    Interior

    • Pengilap automatik
    • Kawalan pendingin automatik dua zon
    • Kit baik pulih tayar
    • Pintu ruang belakang bebas kendalian tangan

    HR-V baru ini akan ditawarkan dalam lima warna — Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl. Perunding jualan di bilik pameran yang sempat kami temui memberi gambaran bahawa pelancarannya akan dilakukan ada Ogos nanti. Terus perhatikan ruang ini untuk perincian lanjut kelak.

     
     
  • Belum sesuai lupus kereta lebih 10 tahun – Wee

    Belum sesuai lupus kereta lebih 10 tahun – Wee

    Minggu lalu, kecoh di media sosial pendebatan di kalangan netizen berhubung sebuah mekanisme telah dicadangkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di ibu kota.

    Mekanisme yang dimaksudkan itu ialah kenderaan di Malaysia yang berusia lebih 10 tahun perlu dilupuskan dan polisi terbabit bertujuan bagi menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.

    Walau bagaimana pun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, cadangan berkenaan masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini.

    Katanya, dasar besar sebegitu jika ingin dilaksanakan, memerlukan kajian terperinci di samping kesediaan dan kemampuan rakyat negara ini, laporan Berita Harian

    Belum sesuai lupus kereta lebih 10 tahun – Wee

    “Kerajaan sentiasa dengar pandangan dan idea pakar, namun dasar supaya melupuskan kenderaan melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita. Penyelesaian isu kesesakan di jalan raya kita bukan itu sahaja (pelupusan kenderaan lebih 10 tahun) kerana ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.

    “Jika dasar itu mahu dilaksanakan, kita terlebih dahulu perlu ada jaringan pengangkutan sempurna termasuk di kampung-kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina,” katanya.

    Katanya lagi, terdapat lebih 34 juta kenderaan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 22 juta sahaja yang aktif memperbaharui cukai jalan. Antara faktor kenderaan tidak aktif itu termasuk terdapat pemilik atau pewaris yang hendak menyimpan nombor pendaftaran kenderaan lama di samping hanya menggunakan kenderaan itu di kampung-kampung.

    “Kita ada data, siapa tidak bayar cukai jalan tetapi sistem yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenalpasti kenderaan aktif dan tidak aktif ini. Kemudian bila sudah ada sistem yang lengkap, kita akan lihat secara terperinci punca sebenar kenderaan tidak aktif ini.

    Belum sesuai lupus kereta lebih 10 tahun – Wee
    “Banyak lagi perkara perlu diteliti jika mahu melaksanakan sebarang dasar besar termasuk pelupusan kenderaan melebihi 10 tahun kerana isu berkenaan cukup kompleks meskipun terdapat banyak negara yang sudah membuat dasar itu termasuk Singapura.

    “Jika hendak dilaksanakan, dasar automotif negara perlu dilihat semula kerana dasar itu menggalakkan pemilikan kenderaan buatan Malaysia,” katanya.

    Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021, isu mengenai polisi penghujung hayat kenderaan (ELV), yang akan menghadkan kitaran hayat sesebuah kenderaan turut disebutkan. Walau bagaimana pun, sehingga kini polisi berkenaan masih belum dimuktamadkan.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC300e Coupe muncul dalam teaser – model PHEV bakal tiba di Malaysia dalam versi CKD?

    Mercedes-Benz GLC300e Coupe muncul dalam teaser – model PHEV bakal tiba di Malaysia dalam versi CKD?

    Menyusuli teaser minggu lepas, Mercedes-Benz Malaysia sekali lagi telah menyiarkan teaser untuk GLC300e generasi X253. Tajuk “Take Charge” yang digunakan dalam teaser ini memberi gambaran ia adalah varian elektrik, sementara ayat “plugging in soon” menunjukkan ketibaannya bakal berlaku tidak lama lagi. Tarikh sebenar bagaimanapun masih belum didedah.

    Melalui gambar yang disiarkan dalam teaser terbaru ini, kita boleh mengetahui bahawa versi GLC300e Coupe yang akan tiba ke Malaysia, dan jika melihat ke negara Thailand, ia dijual pada harga antara 3.79 juta baht (RM504k) ke 4.09 juta baht (RM544k).

    Di bawah bonet GLC300e terdapat enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo berkuasa 211 PS pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,200 hingga 4,000 rpm. Di antara enjin ini dengan transmisi automatik sembilan kelajuannya terdapat motor elektrik yang mampu menghasilkan 122 PS dan 400 Nm, sekaligus menyumbang kepada kuasa keseluruhan 320 PS dan 700 Nm tork.

    Mercedes-Benz GLC300e Coupe muncul dalam teaser – model PHEV bakal tiba di Malaysia dalam versi CKD?

    Melalui penggunaan sistem 4Matic, GLC300e dapat memacu dengan keempat-empat rodanya, dan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 230 km/j atau 130 km/j apabila berada dalam mod elektrik penuh.

    Pemanduan elektrik datang daripada bateri lithium ion 13.5 kWh yang menawarkan jarak gerak elektrik sehingga 43 km mengikut kitaran ujian WLTP, dan penggunaan bahan api bercampur antara 2.25 hingga 2.5 liter bagi setiap 100 km.

    Versi GLC lain di Malaysia seperti Mercedes-AMG GLC43 dipasang dalam negara (CKD), jadi kita boleh menjangkakan GLC300e Coupe ini juga mengikut jejak sama. Dengan itu, harganya dapat menjadi lebih menarik hasil daripada pengurangan cukai yang diberi untuk kenderaan hibrid pemasangan tempatan.

     
     
  • Had umur penghantar bermotosikal akan diturunkan dari 21 kepada 18 tahun – Menteri Pengangkutan

    Had umur penghantar bermotosikal akan diturunkan dari 21 kepada 18 tahun – Menteri Pengangkutan

    Kerajaan Malaysia bakal menurunkan had umur minima untuk penghantar bermotosikal dari 21 tahun buat masa sekarang kepada 18 tahun, lapor Free Malaysia Today.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, langkah itu adalah untuk membolehkan lebih ramai belia mempunyai pilihan memperoleh pendapatan tambahan melalui perkhidmatan p-hailing dan platform penghantaran barangan lain.

    “Pindaan itu akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang. Ini membolehkan golongan muda Malaysia memperoleh pendapatan tambahan atau mungkin mempertimbangkan kerjaya dalam ekonomi gig,” katanya kepada portal berita berkenaan.

    Jumlah penghantar e-hailing bermotosikal dilaporkan menurun bulan lalu, di mana 25% daripada mereka telah meninggalkan perkerjaan tersebut.

    Had umur penghantar bermotosikal akan diturunkan dari 21 kepada 18 tahun – Menteri Pengangkutan

    Menurut naib presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani, ia berikutan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi selepas Malaysia beranjak ke fasa peralihan ke endemik, menyebabkan ramai penghantar-penghantar berkenaan kembali melakukan kerja asal mereka, serta penurunan kadar tempahan penghantaran khususnya pada waktu puncak.

    FMT turut melaporkan bahawa rombakan yang dibuat pada had umur penghantar bermotosikal ini merupakan sebahagian dari banyak lagi cadangan yang akan dibentangkan oleh kementerian pengangkutan, termasuk pelbagai rombakan penting.

    Ia termasuk perkara lain seperti mewajibkan pemandu bas persiaran untuk mempunyai lesen vokasional seperti mana pemandu bas lain, serta membolehkan (Used Car Dealer-UCD) memiliki pemilikan kenderaan buat sementara waktu sambil mencari pembeli baharu dan memastikan hak pengguna dilindungi.

     
     
  • JPJ eBid: PQJ bakal dibuka bidaan tidak lama lagi

    JPJ eBid: PQJ bakal dibuka bidaan tidak lama lagi

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan PQJ akan menjadi siri plat nombor yang seterusnya bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Merupakan siri nombor terkini dari Pulau Pinang, PQJ bakal dibuka bidaan pada 23 Jun 2022 dan tempoh dibida menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, bakal berakhir pada 10 malam 27 Jun ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 28 Jun. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Honda Cub 110 dipertingkat dengan brek cakera, ABS

    Honda Cub 110 dipertingkat dengan brek cakera, ABS

    Di Jepun, barisan model Honda Cub 110, yang terdiri daripada Super Cub 110 dan Cross Cub 110 dipertingkat tahun ini dengan kelengkapan yang dapat meningkatkan prestasi, serta keselamatannya di atas jalan raya.

    Paling utama adalah pada bahagian brek. Tetapan dram yang digunakan sebelum ini pada bahagian hadapan telah diganti dengan set brek cakera bersama angkup dua piston, dan dilengkapi terus dengan ABS one-channel. Brek belakang bagaimanapun masih lagi menggunakan sistem dram.

    Enjin satu silinder OHC penyejukan udara pada model ini masih mempunyai kapasiti 109 cc, tetapi stroknya telah diubah menjadi lebih panjang dan kini menepati peraturan emisi semasa di Jepun (Reiwa 2). Dipadankan bersama transmisi empat kelajuan, enjin ini mampu menghasilkan 8.0 PS pada 7,500 rpm dan 8.8 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Satu lagi bahagian yang diubah adalah rim, di mana Super Cub 110 dan Cross Cub 110 kini menggunakan unit 17 inci aluminium dengan tayar tanpa tiub bersaiz sama, 80/90 di hadapan dan belakang. Suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang tidak diubah.

    Walaupun menggunakan asas sama, perincian dan penggayaan Super Cub 110 dan Cross Cub 110 mempunyai sedikit perbezaan termasuk pada bahagian lampu hadapan dan ekzos. Untuk panel badan, Cross Cub 110 lebih minimalis di hadapan bagi menyampaikan gaya lasak dan ranggi. Tangki minyak model ini berkapasiti 4.1 liter.

    GALERI: Honda Super Cub 110 2022

    GALERI: Honda Cross Cub 110 2022

    GALERI: Honda Super Cub Pro 110 2022

     
     
  • Waktu operasi baru JPJ di UTC – kini dibuka hingga 9 malam pada hari biasa, hujung minggu 8 pagi-5 petang

    Waktu operasi baru JPJ di UTC – kini dibuka hingga 9 malam pada hari biasa, hujung minggu 8 pagi-5 petang

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan waktu operasi baharu untuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, bermula hari ini, 20 Januari 2022. Waktu baharu memberikan lebih banyak kemudahan kepada orang ramai yang bekerja yang tidak dapat menyelesaikan urusan berkaitan dalam tempoh waktu bekerja.

    Kini, kaunter JPJ di UTC dibuka dari 8 pagi hingga 9 malam untuk setiap hari biasa. Ia melibatkan waktu operasi selama 13 jam dan tidak seperti waktu operasi pejabat kerajaan yang lain, dan juga tidak ditutup pada waktu rehat tengahari. Kecuali pada hari Jumaat, ia ditutup dari jam 12.15 tengahari hingga 2.45 petang untuk solat Jumaat. Manakala pada hujung minggu, ia dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Walau bagaimana pun, waktu operasi dan waktu rehat pada Jumaat untuk kaunter JPJ di UTC bagi Sarawak, Sabah dan Labuan adalah berbeza – rujuk imej di atas untuk maklumat lanjut. Untuk pengetahuan anda, UTC dibuka setiap hari kecuali pada cuti umum.

     
     
  • 312 motosikal sedang berkonvoi disaman atas pelbagai kesalahan di Tanjung Malim semalam

    312 motosikal sedang berkonvoi disaman atas pelbagai kesalahan di Tanjung Malim semalam

    Berikutan satu hantaran tular di Twitter berkaitan sekumpulan penunggang motosikal berkonvoi di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Tanjung Malim semalam, Polis Daerah Muallim segera mengambil tindakan pantas dengan mengadakan sekatar jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 116 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata, hasil dari SJR berkenaan, seramai 312 penunggang motosikal yang sedang berkonvoi disaman atas pelbagai kesalahan.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan motosikal itu bergerak secara berkonvoi dari arah utara dan selatan ke salah sebuah restoran di Tanjung Malim.

    “Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi pandang belakang, nombor pendaftaran tidak lengkap dan fancy serta ubahsuai ekzos.

    “Walaupun negara berada pada fasa peralihan endemik dan aktiviti berkumpulan dibenarkan, tetapi polis ingin mengingat dan menasihatkan orang ramai supaya tetap menjaga penjarakan fizikal dan tidak sesekali melakukan perkara yang menyalahi peraturan serta undang-undang,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

    @md.aniq98 mcm biosa ca alip bot #fyp ? original sound – mohamad aniq

     
     
  • Toyota bakal hasilkan trak pikap lebih kompak dari Hilux, asas pacuan hadapan, guna platform TNGA

    Toyota bakal hasilkan trak pikap lebih kompak dari Hilux, asas pacuan hadapan, guna platform TNGA

    Kalau kita berbicara berkenaan pasaran trak pikap di Amerika Syarikat, sudah tentu akan terbayang trak-trak bersaiz besar seperti Ford F-150 dan juga Chevrolet Silverado bukan? Namun realitinya, ada satu segmen trak pikap yang sedang dilihat sedang meningkat naik di sana buat masa sekarang iaitu trak kompak.

    Dua pesaing utama dalam segmen ini di negara berkenaan adalah Hyundai Santa Cruz dan juga Ford Maverick – kedua-dua trak ini bukan diasaskan dari casis ladder frame, tetapi berkongsi platform dengan SUV, menampilkan casis unibody dengan enjin diletakkan secara melintang bagi memacu roda hadapan secara primari, serta menampilkan saiz lebih kecil berbanding trak pikap yang biasa dilihat di Malaysia seperti Toyota Hilux dan Ford Ranger.

    Melihat kepada perkembangan ini, Toyota nampaknya ‘tak boleh tahan’ untuk turut masuk ke segmen yang sama, bagi melengkapkan penawaran trak pikap mereka di pasaran berkenaan yang kini diwakili oleh model-model besar seperti Toyota Tundra dan Tacoma.

    Toyota bakal hasilkan trak pikap lebih kompak dari Hilux, asas pacuan hadapan, guna platform TNGA

    “Salah satu ruang yang kami sedang lihat – yang bukan sekadar jangka masa pendek – adalah di mana halatuju trak pikap kompak. Anda ada Santa Cruz dan Meverick dalam pasaran, dan agak menarik untuk melihat Scout (jenama trak pikap kompak dari VW). Hari ini kami mempunyai pasaran yang baik telah diliputi oleh Tacoma, tetapi [pikap kompak] adalah kemungkinan dan sesuatu yang perlu untuk terus diperhatikan,” kata naib presiden eksekutif jualan Toyota North America, Bob Carter kepada Motortrend.

    Carter turut menyatakan bahawa Toyota mungkin tiada model-model baharu untuk 2023, jadi trak pikap kompak berkenaan mungkin akan membuat kemunculannya pada 2024 atau 2025.

    Menurut naib presiden kumpulan perancangan produk dan strategi Toyota North America, Cooper Ericksen pula, trak pikap kompak berkenaan boleh sahaja dihasilkan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini menjadi asas kepada model-model terkini Toyota dari hatchback kompak Toyota Yaris, sedan Toyota Camry sehingga ke SUV seperti RAV4.

    Hyundai Santa Cruz (kiri) dan Ford Maverick (kanan)

    “Jika ada pelanggan yang mahukan kenderaan yang lasak, dengan badan-di atas-kerangka yang lebih kecil, kami boleh pertimbangkan perkara itu, tetapi jika ia lebih untuk kegunaan dalam bandar dan kurang untuk laluan off-road yang ekstrem, jadi agak logik untuk menggunakan platform unibody TNGA,” kata Cooper.

    Trak pikap kompak Toyota ini berkemungkinan akan menggunakan platform TNGA yang sama dengan SUV RAV4. Jadi ia mungkin akan turut berkongsi barisan enjin, transmisi dan juga sistem pacuan semua roda yang sama seperti SUV berkenaan. Malah ia juga berpotensi untuk menerima sistem rangkaian kuasa hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV).

    Hyundai Santa Cruz dihasilkan dari platform M3 yang sama seperti Hyundai Tucson, dan turut berkongsi pilihan enjin 2.5 liter petrol NA dan turbo seperti SUV tersebut. Manakala Ford Maverick pula diasaskan dari Ford Escape/Kuga, dan kini turut ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid yang sama seperti model SUV berkenaan.

    Anda rasa macam mana? Boleh terima sekiranya Toyota menghasilkan trak pikap yang lebih kecil dari Hilux serta casis yang tak jauh beza dari Toyota Corolla?

     
     
  • Honda HR-V 2022 di M’sia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, e:HEV hibrid; Honda Sensing, jangka RM120-RM140k

    Honda HR-V 2022 di M’sia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, e:HEV hibrid; Honda Sensing, jangka RM120-RM140k

    Honda HR-V 2022 kini sudah mula ditunjuk di Malaysia, dengan penampilan pertamanya dilakukan dalam acara pratonton kepada pelanggan hujung minggu ini di lima premis pengedar berasingan, sebagai yang pertama dalam siri jelajah untuk merancakkan tarikan minat terhadap SUV ini sebelum pelancaran rasminya kelak.

    Kenderaan yang ditunjukkan adalah dari versi pra-produksi, dan tiada sebarang fotografi dibenarkan. Namun, ia memberi petunjuk kepada barisan model dan pilihan enjin yang bakal ada dalam pasaran tempatan. Empat gred varian bagi HR-V generasi ketiga ini akan dijual di Malaysia, terdiri daripada 1.5L S, 1.5L E, 1.5L V dan yang paling tinggi, 1.5L e:HEV RS.

    Seperti juga versi hibrid untuk City sedan dan hatchback, HR-V hibrid menampilkan sistem i-MMD, yang menggabungkan enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson (105 PS/127 Nm) dengan dua motor, dengan yang paling besar menjana 131 PS dan 253 Nm. Sistem ini merupakan lonjakan besar berbanding versi hibrid HR-V yang sebelum ini dengan sistem i-DCD, yang berfungsi lebih kepada EV “range extender”.

    Honda HR-V 2022 di M’sia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, e:HEV hibrid; Honda Sensing, jangka RM120-RM140k

    Dua varian seterusnya, Grade E dan V pula menggunakan unit L15C 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 177 PS dan 240 Nm, sementara S yang paling asas menerima unit Earth Dreams 1.5 liter NA i-VTEC yang menawarkan 121 PS dan 145 Nm tork; enjin yang sama dengan City sedan dan hatchback. Ini bermakna, Malaysia akan menerima tiga pilihan enjin untuk HR-V 2022 ini, berbeza dengan Thailand yang hanya ada versi hibrid. Indonesia pula hanya ada enjin 1.5 NA dan turbo, tanpa versi hibrid.

    Dari segi kelengkapan, antara yang sudah boleh disahkan adalah semua varian HR-V terbaru ini akan dilengkapi dengan Honda Sensing, skrin sentuh lapan-inci di tengah (dengan sistem audio dan empat pembesar suara untuk S dan E, dan lapan pembesar suara untuk V dan RS) dan lampu utama LED sebagai ciri standard.

    Honda HR-V 2022 di M’sia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, e:HEV hibrid; Honda Sensing, jangka RM120-RM140k

    Selebihnya, Grade S, E dan V datang dengan pendingin zon tunggal, manakala RS datang dengan sistem dwi-zon — semua varian lengkap dengan corong pendingin di belakang. S dan E pula datang dengan kerusi balutan fabrik, sementara V dan RS dengan balutan kulit.

    Bagi rim, S dan E dilengkapi rim saiz 17-inci (dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 215/60), manakala V dan RS dengan rim 18-inci (Continental Ultra Contact UC6 225/50).

    Harga bagi HR-V 2022 belum diumumkan, tetapi perunding jualan di empat lokasi yang kami kunjungi meramalkan harganya akan bermula di sekitar RM120k hingga RM140k. Terus perhatikan ruang ini untuk perincian lanjut mengenai SUV ini.

     
     
  • Siri jelajah Baiki Cermin Hadapan Berjaya Sompo kini berlangsung di 1Utama – baiki berbanding ganti

    Siri jelajah Baiki Cermin Hadapan Berjaya Sompo kini berlangsung di  1Utama – baiki berbanding ganti

    Hari ini Berjaya Sompo telah melancarkan siri jelajah Baiki Cermin Hadapan di pusat membeli-belah One Utama, yang sedang berlangsung sehingga Ahad ini (19 Jun 2022). Tujuan penganjuran acara ini adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai berhubung dengan isu alam sekitar dan untuk mempromosikan penyelesaian yang lebih mesra alam, iaitu baikpulih cermin depan.

    Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp Malaysia), rakyat Malaysia telah menghasilkan sejumlah 38,200 tan sisa setiap hari, yang berjumlah hampir 14 juta tan dalam setahun, dengan anggaran kos sekitar RM2 bilion.

    Daripada jumlah tahunan itu, sisa kaca menyumbang 3.3% atau 460,000 tan metrik yang menelan belanja sekitar RM66 juta. Cermin depan diklasifikasikan sebagai sisa kaca dan lazimnya tidak boleh dikitar semula kerana penghasilan kelas berlamina dalam pembuatannya memerlukan penggunaan polyvinyl butyral (PVB) yang mengambil masa yang lama untuk terurai.

    Oleh itu, kebanyakan cermin depan akhirnya ddibiarkan di tapak pelupusan sampah dan berakhir dengan isu alam sekitar. Menerusi siri jelajah Baiki Cermin Hadapan, Berjaya Sompo bekerjasama dengan Mobile Windscreen, Nanmar Motor Service, Dr. Cermin, DW Windscreen serta E. P. Ong Associates dan RSA Auto Network untuk menggalakkan orang ramai mengutamakan pembaikan daripada melupuskan cermin depan.

    Acara itu turut mendapat sokongan Jabatan Alam Sekitar (JAS), yang mempromosikan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar. Ini adalah satu lagi inisiatif Berjaya Sompo selaras dengan usaha ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.

    Antara kebaikan membaikpulih cermin depan berbanding penggantian termasuk jumlah masa yang dijimatkan, kerana cip boleh dibaiki sepantas 30 minit. Berjaya Sompo mempunyai lebih 42 pembaikan panel cermin dengan 208 cawangan di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggannya.

    “Skrin cermin diperbuat daripada pasir berbanding bahan lain, dan ia memerlukan banyak tenaga untuk menghasilkan cermin depan yang menyumbang kepada pencemaran. Membuang cermin depan walaupun cip kecil atau retak pada asasnya membuatkan ia akan terbiar di tapak pelupusan di mana ia akan kekal di sana untuk masa yang lama. Adakah kita benar-benar perlu menggantikan setiap cermin depan yang sumbing atau retak? Jawapannya adalah tidak perlu. Teknologi untuk membaiki cermin depan telah wujud selama bertahun-tahun,” kata Tan Sek Kee, CEO Berjaya Sompo.

    Tambahnya lagi, “Jadi mengapa tidak membaiki cermin depan anda yang sumbing? Kita boleh menyumbang untuk mengurangkan pencemaran global dan perubahan iklim. Paling penting, anda menjimatkan premium insurans kerana membaiki cermin depan tidak memerlukan anda membayar premium tambahan selepas pembaikan berbanding menukar cermin depan anda. Kita boleh melindungi dunia dan dalam masa yang sama, terus berjimat cermat menyimpan wang titik peluh kita!”

     
     
  • Universiti Sains Malaysia keluarkan siri plat khas “USM” – bidaan bermula RM250 pada 17-29 Jun

    Universiti Sains Malaysia keluarkan siri plat khas “USM” – bidaan bermula RM250 pada 17-29 Jun

    Universiti Sains Malaysia (USM) telah melancarkan penjualan siri nombor pendaftaran khas kenderaan USM 1 – USM 9999 secara rasminya. Untuk mendapatkan nombor pendaftaran ini, orang ramai boleh membidanya secara dalam talian, bermula hari ini (17 Jun) sehingga 29 Jun 2022.

    Di mana pembida boleh memulakan bidaan serendah RM250 bagi empat digit nombor pendaftaran, di mana ia bergantung kepada nilai yang telah ditetapkan di dalam sistem bidaan. Bidaan boleh dibuat dengan memuat turut aplikasi carplates.my di Google Store dan Apple Store.

    Universiti Sains Malaysia keluarkan siri plat khas “USM” – bidaan bermula RM250 pada 17-29 Jun

    Selain itu, nombor yang dibida memiliki tempoh bidaan tertentu walau pun kesemuanya bermula pada 17 Jun. Misalnya, bagi digit 1 hingga 99, bidaannya akan tamat pada 20 Jun ini. Manakala nombor 100 hingga 1999 pula, boleh dibida sehingga 21 Jun. Tempoh bidaan adalah seperti jadual pada foto di atas.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pihak universiti terbabit berbesar hati mengekalkan kombinasi huruf USM bagi mewakili Universiti Sains Malaysia dalam pemilihan plat khas ini. Tambahan pula, dana yang diperoleh dari penjualan nombor plat ini akan disalurkan bagi membantu pihak universiti menyokong mempertingkatkan lagi kerja-kerja penyelidikan yang sedang giat dijalankan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025