Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Personal Mobiliti Aids dibenar digunakan di laluan pejalan kaki; OKU boleh guna PMA untuk lintas jalan

    Personal Mobiliti Aids dibenar digunakan di laluan pejalan kaki; OKU boleh guna PMA untuk lintas jalan

    Pada 26 April lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan mengenai larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu adalah di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (“Kaedah Larangan”). Kenderaan mikromobiliti yang terbabit ialah Moped, Personal Mobiliti Devices termasuk skuter elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan Personal Mobiliti Aids (PMA).

    Walau bagaimana pun, timbul kekeliruan orang ramai bagi larangan penggunaan PMA, justeru menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah memberikan penjelasan mengenai larangan kenderaan mikromobiliti tersebut.

    “Masih terdapat sedikit kekeliruan mengenai pemahaman orang ramai terutamanya daripada golongan OKU berkaitan peraturan penggunaan peralatan PMA. Saya ingin menjelaskan bahawa kenderaan mikromobiliti di bawah klasifikasi PMA secara umumnya adalah merupakan kenderaan yang mana direka bentuk dan dibina bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan dan khasnya untuk golongan OKU.

    “Walau bagaimana pun, penggunaan PMA di atas jalan adalah dilarang. Ini bermakna, tiada mana-mana orang dibenarkan menggunakannya di atas jalan yang bercampur dengan aliran trafik kenderaan motor yang lain seperti kereta, lori pasir dan bas,” katanya.

    Personal Mobiliti Aids dibenar digunakan di laluan pejalan kaki; OKU boleh guna PMA untuk lintas jalan

    Tambahnya lagi, jika tidak dilarang, penggunaan PMA di atas jalan termasuk di atas lebuhraya akan mendatangkan risiko nahas jalan raya dan kehilangan nyawa atau kecederaan yang tinggi. Ia adalah bagi mengelakkan PMA ini disalah guna oleh individu yang sihat tubuh badan untuk menggunakan sewenang-wenangnya di atas jalan.

    “Namun, penggunaan PMA ini tidaklah dilarang untuk digunakan di atas permukaan (surface) selain daripada jalan kerana ia adalah di luar daripada skop Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah Larangan ini. Penggunaan di atas permukaan atau lokasi seperti di dalam kawasan pusat membeli-belah, laluan pejalan kaki/kaki lima kedai dan di taman-taman adalah tertakluk kepada kuasa-kuasa oleh pihak berkuasa yang berkenaan dan/atau pemilik taman/pusat membeli-belah.

    “Untuk pengetahuan semua pihak, dalam membangunkan dasar ini, MOT juga telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU Central dan persatuan-persatuan OKU pada 23 April 2021, bagi mendapatkan input daripada pihak-pihak tersebut dalam pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti,” jelasnya lagi.

    Beliau sekali lagi menekankan bahawa hanya golongan yang benar-benar jatuh di bawah kategori OKU dan/atau mempunyai masalah kesihatan, individu berkenaan boleh menggunakan lintasan pejalan kaki yang diadakan di atas jalan (dengan berada di atas PMA) untuk melintas jalan tersebut. Namun, pengguna adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan menjaga keselamatan diri dan pejalan kaki yang lain semasa melintas jalan.

     
     
  • Honda Civic Type R Limited Edition 2021 – satu unit ditawarkan di Malaysia menerusi Sakan Auto; RM668k

    Honda Civic Type R Limited Edition 2021 – satu unit  ditawarkan di Malaysia menerusi Sakan Auto; RM668k

    Honda Civic Type R Limited Edition merupakan hot hatch yang berasaskan FK8 dan diumumkan pada Februari 2020, sebelum pengeluar kereta Jepun itu mengumumkan sedang membangunkan Civic Type R (CTR) generasi akan datang.

    Tidak seperti CTR FK8, Limited Edition ini, ditawarkan dengan kuantiti yang terhad, hanya 1,020 unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, 600 unit adalah untuk Amerika Syarikat, 200 unit untuk Jepun, 20 unit untuk United Kingdom, manakala Eropah dan Kanada masing-masing menerima 100 unit. Ini menjadikan Limited Edition benar-benar rare, malahan ia sungguh ‘laku keras’ dan habis dijual di beberapa pasaran termasuk UK dan Kanada.

    Jika anda dah lama menyimpan impian untuk memilikinya, pengedar kereta terpakai tempatan, Sakan Auto, ada menawarkan hanya satu unit bagi CTR ini, spesifikasi Jepun dengan warna Phoenix Yellow (satu-satunya warna yang ditawarkan untuk versi ini). Sebelum ini, syarikat terbabit memiliki dua unit namun satunya telah pun terjual.

    Honda Civic Type R Limited Edition 2021 – satu unit  ditawarkan di Malaysia menerusi Sakan Auto; RM668k

    Harga yang ditawarkan ialah RM668,000, di mana ia hampir sekali ganda dari RM320,000 (termasuk SST) bagi CTR biasa yang dijual oleh Honda Malaysia ketika pertama kali ia dilancarkan pada tahun 2017.

    Untuk pengetahuan, versi ini dihasilkan 47 kilogram lebih ringan dari versi FK8 facelift 2021, di mana Honda melakukan perkara yang hampir sama yang dilakukan untuk EK9 Type R termasuk mengurangkan penebat-penebat bunyi, dan membuang berberapa ciri yang tidak penting untuk kelajuan termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio dan juga sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang.

    Ia juga menerima set rim aluminium forged yang lebih ringan buatan BBS, tetapi masih mengekalkan diameter yang sama iaitu 20-inci. Honda turut turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

    Dari segi rupa luaran, model edisi terhad ini masih lagi kekal sama dengan versi facelift standard. Tetapi ia hadir dalam hanya satu warna iaitu Phoenix Yellow, yang begitu sinonim dengan Civic Type R EK9, khususnya yang pernah ditala oleh tuner lagenda Honda, Spoon.

    Model ini juga diberikan kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

    Walaupun sangat racing, Type R Limited Edition ini masih diberikan pakej lengkap sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong dengan amaran dan juga cruise control adaptif.

    Bagaimana pun, Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.

    GALERI: Honda Civic Type R Limited Edition

     
     
  • Harga minyak 28 April-4 Mei — RON 97 naik 13 sen

    Harga minyak 28 April-4 Mei — RON 97 naik 13 sen

    Bagi minggu bertarikh 28 April hingga 4 Mei 2022, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi semua bahan api utama di Malaysi naik 13 sen berbanding minggu sebelumnya. Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 untuk seminggu ke depan adalah pada paras RM3.94 seliter, berbanding RM3.81 minggu lalu.

    Harga bagi petrol RON 95 pula masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter dan ia telah pun mencapai harga siling serta tidak berubah sejak setahun yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang juga kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Pelitup muka tak lagi wajib bermula 1 Mei, namun perlu dalam pengangkutan awam dan bangunan tertutup

    Pelitup muka tak lagi wajib bermula 1 Mei, namun perlu dalam pengangkutan awam dan bangunan tertutup

    Kini rasmi. Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah umumkan penggunaan pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kawasan terbuka di Malaysia bermula 1 Mei. Ini langkah kelonggaran SOP Covid-19 terbaru yang diambil oleh kerajaan.

    Anda boleh untuk tidak menggunakan pelitup muka di luar rumah, bangunan pejabat dan pusat beli-belah, dan mana-mana kawasan luar yang terbuka. Bagi golongan berisiko pula, penggunaan pelitup muka masih digalakkan.

    Bagaimanapun, untuk kawasan atau bangunan tertutup, penggunaannya masih diwajibkan kecuali untuk tujuan makan, bersenam sendirian, persembahan pentas atau memberi ucapan. Anda juga perlu menggunakan pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan e-hailing. Tiada lagi penjarakan sosial diperlukan, walaupun disarankan untuk menjaga jarak masing-masing terutama ketika tidak menggunakan pelitup muka.

    Selain itu, bermula 1 Mei juga tidak perlu lagi mengimbas MySejahtera ketika memasuki premis komersial. Individu yang telah divaksin atau belum akan dibenarkan memasuki premis. Apapun, mereka yang didapati positif atau sedang menjalani kuarantin tetap dilarang masuk. Pemilik perniagaan perlu memeriksa status risiko pengunjung menerusi MySejahtera, seperti sebelum ini.

     
     
  • Tol percuma, tapi tetap perlu sentuh kad Touch ‘n Go atau guna lorong RFID — untuk tujuan kumpul data

    Tol percuma, tapi tetap perlu sentuh kad Touch ‘n Go atau guna lorong RFID — untuk tujuan kumpul data

    Seperti yang diumumkan oleh PM sebelum ini, tol percuma menanti penggguna di lebuhraya sempena cuti perayaan Aidilfitri nanti. Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur merupakan antara yang akan dibuka percuma bermula tengah malam Sabtu, 30 April hingga 11.59pm Ahad, 1 Mei untuk semua kenderaan. Tempoh tol percuma untuk perjalanan balik pula adalah dari tengah malam Sabtu, 7 Mei hingga 11.59pm Ahad, 8 Mei.

    Dalam persiapan PLUS untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna turut mengingatkan bahawa pengguna perlu menyentuh kad Touch ‘n Go ketika masuk dan keluar lebuhraya, seperti biasa. Jika menggunakan SmarTag, lalu lorong berkenaan seperti biasa juga, begitu juga dengan pengguna RFID.

    Tol percuma akan dikira nanti ketika pengguna keluar daripada lebuhraya, dan semua ini adalah sebahagian daripada proses perakaman data trafik oleh pihak PLUS. Pengguna perlu pastikan kad TnG dalam keadaan aktif sebelum memulakan perjalanan. Kad yang telah dorman atau luput tarikh akan ditolak oleh sistem dan akan menyebabkan kesesakan.

    “PLUS juga menasihatkan mereka yang merancang untuk bergerak sepanjang hari-hari puncak, terutamanya ketika empat hari mengikut jadual cadangan perjalanan (TTA) yang dikeluarkan. Kami nasihati mereka agar merancang perjalanan dengan cermat untuk mengurangkan kesesakan dan agar perjalanan menjadi lebih selesa untuk semua. Ini termasuklah mengenal pasti lokasi hentian yang diinginkan,” ujar Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

    Senarai lebuhraya yang memberikan perjalanan percuma sempena Raya kali ini, ada di sini.

     
     
  • Lexus NX 2022 di M’sia — SUV serba baru kini dibuka untuk tempahan, 2.5L RM371k, 2.4L turbo RM390k

    Lexus NX 2022 di M’sia — SUV serba baru kini dibuka untuk tempahan, 2.5L RM371k, 2.4L turbo RM390k

    Lexus Malaysia telah umumkan yang SUV Lexus NX generasi kedua serba baru kini mula dibuka untuk tempahan di Malaysia. Ada dua versi ditawarkan; varian NX 250 Luxury, pada harga RM370,888 dan NX 350 F Sport dengan harga RM389,888 — harga atas jalan tidak termasuk insurans, dan tidak termasuk pengecualian SST yang bakal berakhir 30 Jun nanti.

    NX 250 Luxury dikuasakan oleh enjin 2.5 liter NA yang menghasilkan 204 hp pada 6,600 rpm dan 243 Nm tork dari 4,000 hingga 5,000 rpm, sementara NX 350 F Sport pula menerima enjin 2.4 liter turbocas yang menghasilkan 275 hp pada 6,000 rpm dan 430 Nm tork dari 1,700 hingga 3,600 rpm.

    Kuasa disalurkan ke roda depan, dengan sistem pacuan semua roda kawalan elektronik juga akan pengalih tork ke gandar depan dan belakang bila diperlukan. Transmisi pula menggunakan jenis automatik lapan-kelajuan dengan kawalan AI Shift, yang menggunakan kamera untuk mengimbas jalan di hadapan dan menyesuaikan protokol pertukaran mengikut kesesuaian.

    Lexus NX 2022 di M’sia — SUV serba baru kini dibuka untuk tempahan, 2.5L RM371k, 2.4L turbo RM390k

    Model generasi kedua ini menggunakan platform GA-K Lexus Global Architecture, yang menampilkan 30% lebih kukuh berbanding generasi sebelumnya untuk mendapatkan kawalan dan kendalian lebih baik.

    Bagi kelengkapan keselamatan, datang standard untuk NX 2022 ini ialah Lexus Safety System Plus (LSS+), yang termasuk di dalamnya ciri seperti Pre-Collision System (PCS) dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh basikal, bantuan pengesan lorong (LTA), kawalan melayar radar dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop/Go serta sistem lampu tinggi adaptif (AHS).

    Sebagai tambahan bantuan kepada pemandu, turut ada ialah bantuan isyarat jalan (RSA) yang akan membaca papan tanda had laju, peninjau pandangan panoramik (PVM) dan sokongan brek parkir (PKSB) yang mengawal output enjin dan mengenakan brek autonomous ketika masuk parkir.

    Lexus NX 2022 di M’sia — SUV serba baru kini dibuka untuk tempahan, 2.5L RM371k, 2.4L turbo RM390k

    Infotainmen dalam Lexus NX 2022 dilengkapi dengan unit skrin sentuh 14-inci, dengan sokongan untuk Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Kedua-dua varian ada ciri lampu suasana, dengan 64 pilihan warna tersedia.

    Kelengkapan lain termasuklah e-latch door opener, yang membolehkan penumpang hanya menekan satu butang dan pintu akan terus terbuka. Lapan warna disediakan sebagai pilihan, termasuklah Sonic Chrome. Varian F Sport pula diberikan dua warna eksklusif. Warna ruang dalaman pula hitam dan gelap, sementara varian Luxury menerima perincian Hazel.

     
     
  • Polis laksana Op Lancar bersama Op Selamat 18 sempena Aidilfitri untuk pastikan kelancaran trafik

    Polis laksana Op Lancar bersama Op Selamat 18 sempena Aidilfitri untuk pastikan kelancaran trafik

    Selain dari melancarkan Op Selamat 18 sempena cuti Hari Raya bermula 29 April hingga 8 Mei nanti, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut melancarkan sekali Operasi Lancar (Op Lancar) di kawasan yang dijangka berlaku kesesakan lalu-lintas.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam laporan Harian Metro, Op Lancar akan berjalan sekali seiring dengan Op Selamat 18.

    “Sepanjang operasi ini berlangsung, PDRM melalui JSPT bakal melaksanakan Op Lancar di kawasan ‘hotspot’ yang dijangka berlaku kesesakan lalu-lintas akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas musim perayaan nanti,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Menurutnya lagi, seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota balai, Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan bit akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan kesesakan trafik di lebuh raya, jalan negeri serta jalan bandar.

    Polis laksana Op Lancar bersama Op Selamat 18 sempena Aidilfitri untuk pastikan kelancaran trafik

    “Pengguna jalan raya diminta peka dengan maklumat terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi JSPT bagi membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

    “Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu-lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau meletak kenderaan sehingga menghalang laluan,” katanya lagi.

    Beliau turut menyatakan bahawa PDRM juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik dengan berkongsi video atau gambar kepada pihak JSPT supaya tindakan lanjut dapat diambil.

    “Melalui Op Selamat 18, PDRM komited memastikan orang ramai dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan demi kesejahteraan dan selamat sepanjang perjalanan.

    Polis laksana Op Lancar bersama Op Selamat 18 sempena Aidilfitri untuk pastikan kelancaran trafik

    “Kerjasama daripada orang ramai sepanjang operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.

    Terdahulu, polis turut melancarkan Op Selamat 18 yang bukan sahaja difokuskan terhadap kelancaran aliran trafik bagi pengguna jalan raya, malah memastikan keselamatan harta benda dan kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah dan kemalangan semasa musim perayaan.

    Dalam operasi berkenaan, JSPT akan mengoptimumkan penggunaan alat iCOPS pada kereta peronda bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik – individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya, manakala mereka yang memiliki saman tertunggak akan diminta menjelaskan saman tersebut.

     
     
  • Mercedes-AMG C 43 4Matic W206 – kini guna enjin 2.0L turbo elektrik, 408 PS/500 Nm, ganti enjin V6

    Mercedes-AMG C 43 4Matic W206 – kini guna enjin 2.0L turbo elektrik, 408 PS/500 Nm, ganti enjin V6

    Selepas model generasi kelima Mercedes-Benz C-Class iaitu W206 didedahkan tahun lalu, kini giliran versi prestasi tinggi pertama dengan lencana Mercedes-AMG pula diperkenalkan – ini dia Mercedes-AMG C 43 4Matic W206! Model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin 3.0L V6 Turbo seperti versi generasi sebelum ini, tetapi kini menerima enjin 2.0L Turbo empat-silinder yang lebih kecil; namun kuasa yang dihasilkan adalah jauh lebih besar.

    Enjin yang dimaksudkan adalah enjin M139l sama seperti pada model SL 43, iaitu enjin M139 (seperti terdapat dalam perut Mercedes-AMG A 45) tetapi diletakkan dalam posisi menegak ke belakang bagi memacu gandar belakang secara primari. M139l pada C 43 ini turut menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti M139 A 45 iaitu 408 PS (402 hp) dengan tork maksima 500 Nm.

    Walaupun dengan kapasiti 1.0 liter lebih kecil, enjin ini sebenarnya menjana jumlah kuasa yang lebih besar berbanding enjin V6 turbo sebelumnya yang hanya mengerah 367 PS (362 hp) dan tork maksima 520 Nm. Juga anda perlu tahu, M139l pada SL 43 hanya menghasilkan kuasa 381 PS (375 hp) pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 480 Nm.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic W206 – kini guna enjin 2.0L turbo elektrik, 408 PS/500 Nm, ganti enjin V6

    Juga sama seperti A 45, enjin C 43 ini turut menerima pengecas turbo yang dibantu oleh motor elektrik, didakwa sebagai siri produksi pertama di dunia yang menggunakan teknologi diambil terus dari perlumbaan Formula 1 itu.

    Menurut Mercedes-AMG, motor elektrik yang dihasilkan senipis 4 cm tersebut dipadankan secara bersepadu pada syaf tengah yang menghubungkan kipas turbin pada belah ekzos dan kipas pemampat pada belah ambilan udara. Motor tersebut akan memutarkan syaf berkenaan pada kadar putaran enjin rendah sebelum ia diputarkan oleh gas ekzos, yang bukan sahaja dapat menghilangkan turbo-lag, malah memberikan respon lebih baik bemula dari kelajuan pepura sehingga keseluruhan tahap rpm enjin.

    Motor ini juga dihubungkan kepada sistem hibrid ringkas 48-volt, yang turut termasuk unit stater generator pacuan tali sawat (RSG), memberikan kuasa tujahan tambahan 14 PS (13 hp) bergantung pada situasi. Secara alternatif, ia turut menyumbang kepada operasi yang lancar untuk fungsi start-stop dan juga mod gliding.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic W206 – kini guna enjin 2.0L turbo elektrik, 408 PS/500 Nm, ganti enjin V6

    Sama seperti SL 43, C 43 W206 ini juga menerima kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Dengan lencana 4Matic, sudah tentu model ini dipadankan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, dengan agihan tork lebih kepada gandar belakang (31% hadapan dan 69% belakang).

    C 63 baharu ini bukan hanya diperkenalkan dalam versi sedan, malah ia juga tampil dalam badan wagon (S206). Bagi C 43 sedan, ia mampu memecut 0-100 km/h sedikit lebih pantas berbanding model W205 terdahulu dengan catatan 4.6 saat. Manakala versi wagon yang lebih berat, pecutan yang sama mengambil masa 4.7 saat.

    Kedua-duanya mampu mencapai kelajuan maksima 250 km/j, tetapi jika pembeli memilih opsyen AMG Driver Package, ia mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 265 km/j. Ia juga ditawarkan dengan opsyen AMG Real Performance Sound, yang memberikan bunyi enjin yang lebih baik ke dalam kabin.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic W206 – kini guna enjin 2.0L turbo elektrik, 408 PS/500 Nm, ganti enjin V6

    Suspensi AMG Ride Control dibekalkan secara standard untuk C 43, dalam konfigurasi sistem double wishbone aluminium hadapan dan belakang, spring gegelung dan juga penggunaan penyerap hentak adaptif. Ia turut diberikan stereng gandar belakang dengan sudut putaran maksima 2.5 darjah.

    Untuk brek, sistem AMG Sports turut diberikan secara standard menampilkan cakera berdiameter 370 mm bersama angkup tetap empat omboh di hadapan dan cakera 320 mm digandingkan dengan angkup terapung omboh tunggal di belakang.

    Karekter sistem pada kereta ini boleh diolah sendiri oleh pemandu menerusi sistem AMG Dynamic Select, yang menawarkan lima mod pemandua iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. AMG Dynamics juga menawarkan tiga mod untuk sistem program kestabilan elektronik (ESP) iaitu Basic, Advanced, Pro. Setiap sistem kenderaan ini turut boleh ditala lagi secara individu bagi mendapatkan tetapan yang sesuai dengan kehendak pemandu.

    Mercedes-AMG C 43 4Matic W206 – kini guna enjin 2.0L turbo elektrik, 408 PS/500 Nm, ganti enjin V6

    Untuk rupa, C 43 ini menerima kit penampilan yang sama pada pakej AMG Line pada C-Class biasa, termasuk bampar hadapan dan belakang AMG, skirt sisi dan juga apron belakang yang berbentuk diffuser. Namun dengan brek lebih besar, gril Panamericana serta empat tip ekzos oval bersaiz besar di belakang, C 43 ini jelas nampak lebih ‘sasa’ berbanding C-Class biasa dengan kit badan AMG-Line.

    Model ini diberikan set rim aloi ringan AMG bersaiz 18-inci secara standard, namun pembeli boleh menaik taraf dengan pilihan rim AMG lain bersaiz 19- atau 20-inci.

    Manakala pada bahagian dalaman, kabin C 43 ini menerima tempat duduk AMG balutan kulit buatan Artico dan gentian mikro Microcut bersama serlahan jahitan merah. Pembeli juga boleh memilih upholsteri kulit sebenar atau kulit Nappa dengan tambahan kos.

    Selain itu, kokpit C 43 ini turut menerima tali pinggang keladar merah, roda stereng AMG Performance, pedal penukar gear aluminium kemasan perak, perapi-perapi gentian karbon, set pedal AMG Sports, karpet kaki dengan logo AMG serta kemasan bendul pintu dengan nyalaan lampu.

    Sistem infotainmen MBUX pada C 43 ini juga menerima fungsi dan paparan khas AMG, termasuk butang pintas untuk mod pemanduan AMG Dynamic Select dan AMG Track Pace bagi memudahkan pemandu yang mahu merekodkan data ketika mereka memandu di litar lumba.

     
     
  • Bezza hitam langgar motosikal dari belakang — polis minta kerjasama orang awam salurkan maklumat

    Bezza hitam langgar motosikal dari belakang — polis minta kerjasama orang awam salurkan maklumat

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd Iqbal Bin Ibrahim telah mengeluarkan satu kenyataan memohon sesiapa yang ada maklumat tentang kejadian sebuah Perodua Bezza hitam yang melanggar sebuah motosikal, di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan menuju Klang, untuk tampil menyalurkan maklumat.

    Kemalangan itu berlaku tengah malam, 9 April lalu di KM12.5 Lebuhraya Persekutuan arah ke Klang. Daripada video yang dirakam oleh sebuah kereta yang bergerak bersebelahan lorong motosikal, Bezza hitam berkenaan dilihat dipandu di dalam lorong motosikal dan dua buah motosikal turut kelihatan — satu di depan kereta, dan satu lagi di belakang.

    Kereta berkenaan cuba memotong motosikal di depan dan melanggarnya. Pemandu Bezza bagaimanapun tidak berhenti. Kereta yang merakam kejadian itu kemudiannya memecut untuk mengejar Bezza terbabit, sebelum menefon polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

    Bezza berkenaan melalui stesen Petronas yang ada laluan susur yang membolehkannya keluar dari lorong motosikal terbabit, tetapi pemandunya masih kekal di lorong kecil berkenaan.

    Menurut polis, penunggang motosikal dengan nombor pendaftaran BJK 4776 itu jatuh dan cedera di muka dan tangan. Beliau dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya.

    Nombor plat Bezza hitam itu ialah VAL 7553. Saksi atau orang awam yang ada maklumat berkaitan diminta untuk membantu penyiasatan polis dan boleh menghubungi Sjn 190068 Wan Zafirah Binti Wan Mohd Sukri (017-5718125) dari Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam.

     
     
  • Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

    Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

    Mesti ramai yang dah tahu yang kini ada kad Touch ‘n Go baru dengan ciri dipertingkat telah diperkenalkan dalam pasaran tempatan — dinamakan sebagai Enhanced Touch ‘n Go Card. Ia dijual melalui aplikasi TnG eWallet dan juga rangkaian runcit terpilih.

    Kad baru ini nampaknya mendapat sambutan hangat. Stok habis dijual; hanya dalam masa tiga jam pertama selepas ia diumumkan melalui aplikasi eWallet. Ia kembali dijual tak lama selepas itu, dan kami sempat mendapatkan kad berkenaan. Dengan kad Touch ‘n Go biasanya hanya digunakan untuk membayar tol, menarik untuk melihat bagaimana kad baru ini — dengan teknologi baru — memudahkan lagi (atau sebaliknya) urusan pengguna.

    Apa perbezaannya, dan berapa kos?

    Ciri utama kad baru ini adalah teknologi built-in near-field communication (NFC), yang membolehkan tambah nilai melalui sentuhan di telefon pintar dan tidak perlu lagi ke kaunter (dan tiada caj tambah nilai kerana tambah nilai NFC ini percuma). Bagaimanapun anda masih tidak boleh menambah nilai kad secara jarak jauh dan baki kad masih berasingan daripada eWallet anda.

    Caraya, untuk tambah nilai menggunakan kad baru ini menggunakan eWallet, letakkan kad di bahagian belakang telefon anda. Ini memerlukan telefon Android atau iPhone yang ada cip NFC, seperti kebanyakan model yang ada kini (termasuk iPhone 7 ke atas). Touch ‘n Go memaklumkan kad baru ini mempunyai ciri penyulitan (encryption) yang lebih baik, menjadikannya lebih selamat.

    Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

    Kad baru ini dijual pada harga yang sama dengan kad biasa; RM10 (sesetengah stesen LRT dan MRT menjual kad lama pada harga RM15, termauk nilai sedia ada RM10), dengan pesanan dari eWallet melibatkan yuran penghantaran RM5. Setakat semalam, kad baru ini kehabisan stok lagi, dan ada pihak yang menjualnya semula dalam talian. The Star melaporkan harga jualan semula pada harga RM90 di laman seperti Lazada atau Shopee — harga yang tak masuk akal kerana ada pihak yang kaut untung atas angin. Lepaklah, tunggu stok baru.

    Penampilan kad baru ini juga berbeza dengan kad lama. Ia lebih ringkas dengan gradien warna biru dan pink, setidaknya untuk versi awal yang telah beredar ini. Turut ada ikon gelombang menandakan fungsi NFC, serta logo TnG eWallet yang semuanya dicetak dalam warna krom. Di belakang kad terdapat kod QR untuk aplikasi eWallet, nombor siri dan tarikh luput (sah selama tujuh tahun).

    Macam mana nak tambah nilai?

    Pertama sekali perlu kemaskini aplikasi eWallet. Selepas itu akan ada butang short cut TNG Card tertera di laman utama. Pertama kali akses menu berkenaan, anda akan diberikan pengenalan bagi kad baru itu dan arahan untuk menambah kad anda kepada aplikasi menggunakan NFC. Kalau nak masukkan nombor siri secara manual untuk tujuan ini pun boleh.

    Kemudian anda akan diminta menyediakan kad Enhanced tersebut, yang mana telefon anda akan memaparkan arahan agar meletakkan kad di bahagian belakang selama lima saat. Selepas kad dibaca, nombor siri akan dimasukkan secara automatik ke dalam ruang kotak pada paparan; anda kemudian perlu memasukkan PIN enam-digit yang didaftarkan dengan eWallet sebelum kad berkenaan ditambah ke katalog anda. Dengan aplikasi terbaru, anda kini boleh menghubungkan lima kad TnG (termasuk kad baru ini), daripada hanya tiga kad sebelum ini.

    Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

    Tambah nilai kad adalah mudah. Dalam menu TnG Cards, anda hanya perlu memilih butang Reload untuk kad yang spesifik, dan anda akan diminta sekali lagi untuk meletakkan kad di belakang telefon untuk pengesahan. Pilih nilai yang diinginkan dan anda akan diminta meletakkan kad di belakang sekali lagi. Bagi tambah nilai pertama (tiada nilai sedia ada dalam kad baru), anda juga perlu menyediakan nombor PIN. Itu saja.

    Ambil maklum yang kedudukan cip NFC telefon adalah berbeza mengikut model, jadi anda perlu tahu kedudukan tersebut untuk telefon anda. Sebagai contoh, iPhone 12 Pro dalam gambar ini, anda perlu meletakkan kad di bucu atas, berhampiran kamera.

    Beberap kali juga berlaku, telefon memaklumkan terdapat kesilapan ketika cuba membaca kad, yang mana jika untuk tambah nilai, anda perlu memulakan keseluruhan proses semula. Seperinya anda tidak boleh kalut menletakkan kad; jauhkan dari telefon sebelum anda diminta berbuat demikian. Selepas membiasakan diri, ia akan menjadi lebih mudah.

    Ada apa-apa lagi yang perlu diketahui?

    Seperti dimaklumkan, nilai kad baru ini berasingan daripada nilai eWallet — anda tidak boleh membayar untuk barangan dengan kad melalui baki dalam eWallet (melainkan anda menggunakan fungsi PayDirect). Tambah nilai akan dipotong secara automatik dari eWallet anda, dan tiada pilihan untuk menambah nilai menggunakan kad kredit atau debit. Jika baki dalam eWallet tidak mencukupi, anda terlebih dahulu akan diminta untuk menambah nilai eWallet.

    Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

    Tidak seperti kad lama, kad baru ini tidak mempunyai tempoh beku (dorman). Ini bermaksud, anda boleh menggunakan kad berkenaan sekerap atau sejarang mungkin dalam tempoh tujuh tahun itu. Sebelum ini, anda perlu mengunakan kad TnG paling kurang sekali setahun untuk membiarkannya aktif, walaupun ini hanya untuk kad yang tidak dihubungkan kepada aplikasi eWallet.

    Ingin pindahkan baki dari kad lama? Anda perlu membuat permohonan refund melalui servis Touch ‘n Go eRefund, yang akan memasukkan nilai baki sama ada ke akaun bank atau eWallet anda (refund dari kad tak aktif akan dikenakan RM5). Bila duit itu sudah di dalam eWallet anda, anda boleh gunakannya untuk menambah nilai kad baru seperti biasa. Dalam proses ini, kad lama akan dinyah-aktif.

    Selain fungsi tambah nilai NFC ini, kad baru berkenaan mempunyai fungsi yang sama saja dengan kad TnG yang lain dan boleh digunakan untuk tol, parkir, bas dan tren serta pembelian runcit. PayDirect juga membolehkan anda menggunakan baki eWallet untuk bayaran, walaupun itu hanya boleh dilakukan di beberapa plaza tol sahaja serta parkir pusat beli-belah terpilih.

    Namun anehnya, Lebuhraya Utara-Selatan masih tidak menyokong PayDirect, walaupun lorong RFID kini telah ditambah di plaza tol. Sekurang-kurangnya kad baru ini tidak memerlukan anda untuk meletak kereta dan berjalan ke kaunter tambah nilai, membantu mengurangkan kesesakan di tol. Sama seperti sebelum ini, menggunakan kad anda di tol atau parkir yang ada PayDirect akan dipotong melalui eWallet dahulu, melainkan baki kurang.

    Jadi, inilah hal-hal yang perlu anda tahu berkaitan Enhanced Touch ‘n Go Card terbaru ini. Anda fikir fungsi terbaru berkenaan akan lebih memudahkan atau sebaliknya?

     
     
  • Penggunaan e-Skuter dan Moped diharamkan serta merta di atas jalan raya; basikal dikecualikan – MOT

    Penggunaan e-Skuter dan Moped diharamkan serta merta di atas jalan raya; basikal dikecualikan – MOT

    Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan penetapan larangan penggunaan serta merta di atas jalan raya terhadap tiga jenis kenderaan mikrobiliti yang dikelaskan dalam tiga kategori iaitu Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA).

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam laporan Astro Awani semalam, larangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Dis 2021.

    MOT menyatakan bahawa kenderaan mikromobiliti ini adalah merujuk kepada kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik, enjin pembakaran dalaman, atau kuasa manusia, atau kuasa manusia yang digabungkan dengan mana-mana dua jenis kuasa yang disebutkan tadi, dengan kelajuan maksima 50 km/j

    “Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan adalah membahayakan bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut tetapi pengguna lain,” kata Wee

    Penggunaan e-Skuter dan Moped diharamkan serta merta di atas jalan raya; basikal dikecualikan – MOT

    “Seperti nahas basikal lajak yang telah meragut lapan nyawa, penggunaan kenderaan ini dengan percampuran dengan aliran trafik kenderaan motor lain di atas jalan akan menimbulkan risiko berlaku tragedi yang sama,” katanya dalam sidang media semalam.

    Antara contoh moped dan PMA yang diharamkan berkenaan adalah termasuk kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti, manakala PMD pula ada termasuk kenderaan seperti e-Skuter, papan luncur, hoverboards dan skuter kaki.

    Wee berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

    “Kita bimbang apabila Aidilfitri nanti ramai pengguna kenderaan mikromobiliti akan ke bandar untuk berkumpul kerana tahu tiada kenderaan di jalan. Ia sesuatu yang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

    Namun menurutnya lagi, penggunaan tiga kategori kenderaan mikromobiliti ini masih dibenarkan di dalam bangunan dan kawasan yang tiada percampuran aliran trafik.

    Penggunaan e-Skuter dan Moped diharamkan serta merta di atas jalan raya; basikal dikecualikan – MOT

    “Saya tiada halangan kalau mereka ingin gunakan kenderaan ini di rumah atau tanah persendirian asalkan ia bukan di jalan raya.

    “Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan akan dipertimbangkan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan infrastruktur jalan yang menyokong penggunaan kenderaan itu,” katanya.

    Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan basikal, beca dan basikal elektrik adalah dibenarkan namun perlu mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    “Bagi penggunaan basikal dengan bantuan elektrik, hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514 : Electric Bicycles Specification sahaja dibenarkan digunakan di atas jalan raya,” katanya.

     
     
  • Kerajaan akan implementasi subsidi bahan api bersasar untuk B40, ganti sistem subsidi sedia ada

    Kerajaan akan implementasi subsidi bahan api bersasar untuk B40, ganti sistem subsidi sedia ada

    Bagi pengguna petrol RON 95, anda mungkin tidak merasai beban kenaikan harga bahan api yang berlaku di seluruh dunia kerana petrol tersebut diberikan subsidi oleh kerajaan Malaysia bagi membolehkan ia terus dijual pada harga RM2.05 seliter.

    Walau bagaimanapun dengan kaedah pemberian subsidi sedia ada, kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan yang besar kerana setiap kenaikan US$ 1 pada harga minyak mentah dunia akan menyebabkan negara kehilangan RM410 juta. Oleh itu, kerajaan dijangka akan merubah kaedah pemberian subsidi bahan api sedia, dan bakal memberikannya hanya pada golongan yang benar-benar memerlukan.

    Perkara berkenaan ‘subsidi bersasar’ tersebut pernah disebut sebelum ini, dan ia sekali lagi diulang oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. Menurutnya, kerajaan kini masih sedang merangka struktur subsidi bahan api yang baru dan ia dijangka bakal lengkap tak lama lagi.

    Kerajaan akan implementasi subsidi bahan api bersasar untuk B40, ganti sistem subsidi sedia ada

    Buat masa sekarang, kaedah pemberian subsidi bahan api sedia ada akan terus digunakan, namun beliau menjelaskan bahawa ia bakal berubah tak lama lagi dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

    “Mereka yang berkemampuan perlu membayar lebih dan orang yang tidak layak menerima (subsidi) tidak boleh diberikan subsidi sama sekali. Subsidi adalah untuk golongan miskin, terutamanya B40 (kumpulan pendapatan 40% terbawah). Isunya ialah masa bila ia akan dilaksanakan,” kata Mustapa dalam Bernama TV semalam.

    Beliau berkata, subsidi bahan api memainkan peranan penting dalam mengawal kenaikan inflasi di Malaysia, dan kerajaan mampu mengekalkan kenaikan harga antara 2% dan 3% sejak 10 hingga 20 tahun lepas. “Bagaimanapun, ia akan menjadi beban besar pada bajet. Ketika kita mengumumkan bajet kita tahun lepas, anggaran subsidi adalah kira-kira RM5 bilion. Kini anggarannya sekitar RM30 bilion, mewakili peningkatan enam kali ganda dalam jumlah subsidi,” katanya.

     
     
  • Op Selamat 18: Pesalah ada waran tangkap, saman tertunggak atas jalan raya akan ditahan Aidilfitri ini

    Op Selamat 18: Pesalah ada waran tangkap, saman tertunggak atas jalan raya akan ditahan Aidilfitri ini

    Bagi mereka yang mempunyai waran tangkap dan juga saman tertunggak, anda mungkin akan ditahan oleh pihak berkuasa ketika menggunakan jalan raya pada cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam tempoh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan Op Selamat yang berlangsung dari 29 April hingga 8 Mei nanti.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, pesalah-pesalah berkenaan akan dikesan menerusi alat ‘In-Car Radar’ atau iCOPS di mana penggunaan alat tersebut akan dioptimumkan sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat berlangsung.

    Menurutnya lagi, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya. “Manakala mereka yang memiliki saman tertunggak akan diminta menjelaskan saman tersebut,” katanya pada sidang akhbar yang berlangsung semalam seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

    Op Selamat 18: Pesalah ada waran tangkap, saman tertunggak atas jalan raya akan ditahan Aidilfitri ini

    Razarudin menjelaskan, iCOPS akan digunakan di sepanjang lebuh raya dan jalan raya utama sepanjang Op Selamat ini berjalan.

    “Alat tersebut membolehkan semua kereta peronda polis mengesan mana-mana kenderaan yang terbabit dalam kegiatan jenayah serta pemilik yang memiliki rekod jenayah dikehendaki polis.

    “Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga akan menggunakan alat iCOPS yang turut diperluaskan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik pada operasi kali ini,” katanya.

     
     
  • Nissan Fairlady Z 2023 mula dijual di Jepun, dari RM178k, 3.0L V6 turbo berkembar, 405 PS/475 Nm

    Nissan Fairlady Z 2023 mula dijual di Jepun, dari RM178k,  3.0L V6 turbo berkembar, 405 PS/475 Nm

    Selepas didedahkan di peringkat global di Amerika Syarikat Ogos lalu, nampaknya Jepun masih menjadi negara pertama yang menerima kereta sport Nissan Z generasi baharu kerana ia secara rasmi telah mula dijual di sana. Seperti model-model generasi sebelum ini, Jepun masih kekal memanggil kereta sport berkenaan sebagai Fairlady Z, berbanding hanya ‘Z’ untuk pasaran lain.

    Seperti yang disebutkan sebelum ini, Z generasi baharu ini hadir dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual dan juga sembilan-kelajuan automatik. Di Jepun, Nissan Fairlady Z 2023 ini dijual pada harga bermula 5,241,500 yen (RM178k) sehingga 6,966,300 yen (RM236k).

    Menurut dokumen media yang disiarkan, model dengan kotak gear automatik dijual pada harga lebih murah berbanding versi yang datang dengan kotak gear manual. Sejumlah sembilan pilihan warna badan disediakan, di mana enam daripadanya adalah pilihan warna dua tona menampilkan bumbung dengan warna Super Black, termasuk pilihan warna Seiran Blue dan Ikazuchi Yellow.

    Nissan Fairlady Z 2023 mula dijual di Jepun, dari RM178k,  3.0L V6 turbo berkembar, 405 PS/475 Nm

    Harga jualan untuk Nissan Fairlady Z 2023 ini juga dilihat lebih mahal dari Toyota GR Supra di Jepun. Sebagai perbandingan, model asas Supra A90 tersebut dijual pada harga bermula 4.9 juta yen (RM166k) – perlu diingat, model paling asas Supra di Jepun hanya dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo. Manakala varian paling mahal Supra dengan enjin enam-silinder turbo berkembar adalah 6.9 juta yen (RM234k).

    Untuk Fairlady Z pula, tak kira varian mana yang dipilih, ia tetap hadir dengan enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 turbo berkembar, menghasilkan kuasa 405 PS dan tork maksima 475 Nm. Kuasa hanya dihantar ke roda belakang menerusi gandar yang hadir dengan pilihan LSD mekanikal.

    Model dengan transmisi manual diberikan sekali sistem Launch Control, Downshift Rev Matching (heel and toe automatik) serta aci pacu dari kotak gear ke gandar belakang yang diperbuat dari komposit gentian karbon. Versi automatik juga hadir dengan sistem Launch Control bersama pedal penukar gear.

    Nissan Fairlady Z 2023 mula dijual di Jepun, dari RM178k,  3.0L V6 turbo berkembar, 405 PS/475 Nm

    Antara perincian standard yang diberikan pada Z pasaran Jepun ini termasuk lampu hadapan LED penuh dengan dua jalur LED lampu nyalaan siang, rim 19-inci (dengan lebar berbeza antara hadapan dan belakang bagi varian lebih tinggi), paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen, meter ‘tiga-beradik’ di tengah papan pemuka (bacaan boost turbo, putaran turbo dan voltan), serta sistem bunyi Bose dengan lapan pembesar suara.

    Penghantaran pertama kepada pelanggan akan dibuat pada hujung Jun nanti. Nissan Fairlady Z 2023 pasaran Jepun ini juga ditawarkan dalam versi Proto Spec, iaitu model dengan rupa hampir sama dengan model prototaip ‘Z Proto‘ yang didedahkan pada 2020 – namun ia hanya dihasilkan terhad sebanyak 240 unit, sebagai memperingati model generasi pertama Fairlady 240Z yang muncul pada 1969.

    “Bagi kami di Nissan, Z adalah sebahagian daripada siapa kami sebenarnya, dan mewakili komitmen yang lama kami terhadap pelanggan. Menerusi Z, kami bawakan rekaan, prestasi dan keterujaan terkini untuk kereta sport kepada seramai mungkin orang yang kami mampu,” kata CEO dan CPO Nissan, Ashwani Gupta.

    “Untuk lebih dari 50 tahun, Z telah menjadi kereta sport impian yang mampu dimiliki. Penampilannya yang tidak ditelan zaman adalah hasil dari semangat dan dedikasi sedia ada dari kakitangan yang tidak terkira, berkerja untuk memberikan keterujaan Z dan generasi sebelum dan masa hadapan,” tambahnya lagi.


     
     
  • R&R dan hentian sebelah sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dibuka 24 jam — tandas, tangki air tambahan

    R&R dan hentian sebelah sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dibuka 24 jam — tandas, tangki air tambahan

    Lepas dua tahun tak boleh balik beraya, tahun ini pihak PLUS menjangkakan sejumlah dua juta kenderaan akan berada di laluan berkenaan sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri ini. Untuk itu, kesesakan adalah dijangka, dan perancangan serta persiapan tambahan perlu dibuat.

    PLUS mengumumkan yang pusat R&R dan hentian sebelah akan dibuka 24 jam sepanjang tempoh puncak perjalanan sempena Raya nanti. “Dua tahun orang ramai tidak dapat balik ke kampung, kali ini rakan niaga kami di semua R&R dan hentian sebelah akan beroperasi seperti biasa untuk menyediakan yang terbaik kepada semua pengguna lebuhraya,” jelas COO PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    “Dengan ratusan cawangan F&B dan kiosk, surau serta tandas awam dibuka 24 jam, pengguna tidak perlu risau dan boleh meneruskan perjalanan dengan selesa di sepanjang Lebuhraya PLUS,” ujar dalam satu kenyataan. Petugas RELA juga akan berada di kawasan rehat untuk mengawal aliran trafik, serta tandas mudah alih dan tangki air juga akan ditambah.

    Dan, jangan terkejut sekiranya ada kawasan rehat yang ditutup sementara, bertujuan untuk mengelakkan terlalu ramai pengguna di situ dalam satu-satu masa. Sekiranya adan berdepan situasi ini, teruskan perjalanan ke kawasan rehat berikutnya. Ambil maklum, juga ada tandas dan surau di semua plaza tol susur keluar lebuhraya.

    R&R dan hentian sebelah sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dibuka 24 jam — tandas, tangki air tambahan

    “Sekiranya terlalu ramai orang dan aliran trafik terganggu, sebahagian kawasan rehat akan ditutup sementara untuk meredakan situasi berkenaan dan akan segera dibuka semula selepas keadaan reda,” jelas Zakaria.

    Tidak lupa juga 109 stesen minyak di sepanjang Lebuhraya PLUS berkenaan turut menyediakan F&B, tandas dan surau. Akan ada juga kopi percuma diberikan di kawasan rehat terpilih. Kepada yang memandu, ingat untuk berhenti rehat sekiranya perlu, demi keselamatan semua.

    Selain itu, PLUS juga akan menempatkan 1,500 pembantu khidmat pelanggan di 1,100 lorong lebuhraya ini untuk membantu masalah pembayaran. Syarikat itu juga akan menggerakkan “HQ Reserve Team” di lokasi strategik dan menggunakan khidmat pegawai RELA untuk membantu aliran trafik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025