Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lamborghini Kuala Lumpur lancar bilik pameran baru di Glenmarie — 2,249 unit terjual di Asia Pasifik 2021

    Lamborghini Kuala Lumpur lancar bilik pameran baru di Glenmarie — 2,249 unit terjual di Asia Pasifik 2021

    Lamborghini Kuala Lumpur telah melancarkan bilik pameran dan pusat servis serba barunya di Glenmarie, yang diuruskan oleh SunAgata Supercars, pengedar tunggal dan penyedia khidmat lepas jualan Lamborghini di Malaysia.

    Terletak di 27, Jalan Perintis U1/52 Temasya Industrial Park Glenmarie, 40150 Shah Alam, Selangor, kemudahan terbaru ini menampilkan bilik pameran dengan identiti korperat baru Lamborghini, serta ruangan khusus untuk pelanggan membuat pilihan kustom untuk kenderaan mereka melalui khidmat Ad Personam.

    Sementara itu, pusat servisnya pula dilengkapi dengan kelengkapan canggih dan juruteknik berkemahiran tinggi untuk memastikan kenderaan pelanggan diselenggara dengan betul menggunakan standard dan kualiti tertinggi. Khas sempena pelancarannya, beberapa model Lamborghini dengan enjin V12 dipamerkan, termasuklah Countach 5000 S, dua versi Murcielago (standard dan SV) serta Aventador SVJ.

    “Lamborghini adalah jenama besar di dunia, dan suasana bilik pameran terbaru kami ini mencerminkan semua itu. Kami percaya dengan adanya kerjasama baik antara Lamborghini dan SunAgata Supercars akan mampu menyampaikan nilai jenama serta pengalaman pemilikan yang kami inginkan kepada pemilik,” ujar Pengarah Serantau Automobili Lamborghini Asia Pacific, Francesco Scardaoni.

    “Kami mengalu-alukan semua pelanggan lama dan baru untuk mengalami sendiri suasana di bilik pameran Lamborghini Kuala Lumpur ini,” tambahnya. Scardaoni diiringi CEO SunAgata Supercars, Roland Chan turut menunjukkan Aventador LP 780-4 Ultimae buat pertama kali di Malaysia.

    Menurut Scardaoni, pengeluar kereta dari Itali itu menyaksikan pertumbuhan 14% di Asia Pasifik tahun lalu, dengan sejumlah 2,249 unit terjual di rantau ini. SUV Urus menjadi model popular jenama ini, menyumbang sehingga 60% daripada keseluruhan kenderaannya yang terjual.

     
     
  • Mercedes-Benz GLA CKD dipertingkat untuk Malaysia – GLA 200 naik RM9k, GLA 250 AMG Line naik RM5k

    Mercedes-Benz GLA CKD dipertingkat untuk Malaysia – GLA 200 naik RM9k, GLA 250 AMG Line naik RM5k

    Nampaknya, A-Class Sedan CKD bukanlah satu-satunya model yang diberi peningkatan oleh Mercedes-Benz Malaysia tahun ini, kerana GLA H247 juga telah menerima tambahan kelengkapan dan ciri, selepas hanya empat bulan dilancarkan untuk pasaran.

    Peningkatan yang dibuat pada GLA 200 Progressive Line adalah sama seperti A-Class Sedan, di mana ia kini menerima lampu suasana 64 warna, pemerhati titik buta serta pengecas tanpa wayar. Model ini, bersama GLA 250 AMG Line juga ditambah dengan sistem bantuan kekal lorong serta lampu tinggi automatik.

    Dengan pembaharuan ini, harga SUV tersebut juga berubah, dengan GLA 200 kini dijual pada harga RM241,379 manakala GLA 250 AMG Line RM271,164 – tidak termasuk insurans, dikira sekali dengan pengecualian cukai sehingga 30 Jun. Harga ini sekaligus menunjukkan bahawa GLA 200 telah meningkat RM9,000 manakala GLA 250 pula meningkat RM5,000 berbanding harga waktu ia dilancar sebelum ini.

    Tiada perubahan mekanikal yang dibuat, bermakna GLA 200 terus dipacu oleh enjin petrol empat silinder turbo 1.3 liter dengan kuasa 163 PS dan 250 Nm, manakala GLA 250 yang menggunakan enjin 2.0 liter M260 mampu menghasilkan 224 PS dan 350 Nm tork. Transmisi adalah unit klac berkembar tujuh kelajuan untuk GLA 200 dan DCT lapan kelajuan untuk GLA 250.

    Kelengkapan lain yang ada pada model ini adalah seperti sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan panel instrumen serta infotainmen 10.25 inci, pendingin hawa satu zon, sistem tanpa kunci, butang pemula enjin, bantuan parkir, kamera undur, pakej Light and Sight, pintu but bukaan tanpa sentuh serta tampat duduk hadapan larasan kuasa dengan memori.

    Mercedes-Benz GLA 200 2021 CKD


    Mercedes-Benz GLA 250 AMG Line 2021 CKD

     
     
  • Proton arah pusat servis bertauliah simpan stok alat ganti untuk 3 bulan bagi atasi masalah sedia ada

    Proton arah pusat servis bertauliah simpan stok alat ganti untuk 3 bulan bagi atasi masalah sedia ada

    Walaupun sentiasa mencatatkan rekod-rekod jualan yang luar biasa akhir-akhir ini, Proton sedar mereka kini berhadapan dengan masalah di bahagian servis selepas jualan iaitu kekurangan alat ganti yang diperlukan segera.

    Bersama laporan prestasi jualannya untuk bulan Februari yang dikeluarkan hari ini, Proton turut menyatakan bahawa mereka kini sedang giat untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

    “Proton menyedari isu yang dihadapi berkaitan servis selepas jualan dan isu ketersediaan alat ganti. Pelanggan kami telah menghubungi kami dan kami amat menyesali sebarang kesulitan yang berlaku. Saya ingin menegaskan bahawa kami mengambil serius setiap aduan yang diterima dan pihak pengurusan telah mengenalpasti beberapa kekurangan dan isu operasi yang memerlukan pembaikan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Proton arah pusat servis bertauliah simpan stok alat ganti untuk 3 bulan bagi atasi masalah sedia ada

    “Langkah pertama adalah menangani ketersediaan alat ganti dan kami telah melaksanakan peraturan mandatori di mana semua pengedar dikehendaki memegang stok tiga bulan untuk 22 alat ganti permintaan tinggi. Pusat alat ganti kami juga tertakluk kepada peraturan yang sama, dan kami berharap ini akan mengurangkan masa menunggu pelanggan.

    “Kami juga memperkukuhkan keupayaan dan pengetahuan pengedar kami untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang kepada semua pelanggan Proton. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan tetapi kami akan memaklumkan perkembangan kami sepanjang tahun ini,” tambah Roslan Abdullah.

    Masalah kekurangan alat ganti yang tersedia ini dilaporkan telah menyebabkan berberapa kereta pelanggan ‘tersangkut’ di pusat servis bertauliah Proton kerana menunggu stok. Malah ada juga pelanggan melaporkan bahawa kereta mereka hanya separa siap ketika diservis kerana ketiadaan stok alat ganti tertentu, menyebabkan mereka terpaksa datang semula ke pusat servis untuk kali kedua apabila stok sudah tersedia bagi menyudahkan kerja tersebut.

     
     
  • Jualan Proton bagi Februari 2022 naik 107% — catat jualan 9,225 unit untuk pasaran domestik dan eksport

    Jualan Proton bagi Februari 2022 naik 107% — catat jualan 9,225 unit untuk pasaran domestik dan eksport

    Jualan kenderaan Proton bagi bulan Februari 2022 kembali mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan jualan sebanyak 107% berbanding Januari 2022. Proton berjaya menjual keseluruhannya sebanyak 9,225 unit (untuk pasaran domestik dan eksport) sepanjang Februari dan meraih semula kedudukan kedua dalam pasaran.

    Pegangan pasaran domestik Proton untuk bulan Februari dianggarkan pada 20.2%, manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, pegangan pasaran terkumpul dianggarkan pada 15.9%. Bagi pasaran automotif secara amnya, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi tahun ini dianggarkan meningkat sebanyak 11.4% berbanding dua bulan pertama 2021.

    Perkembangan ini disumbang oleh aktiviti pengeluaran beroperasi sepenuhnya di Shah Alam dan Tanjung Malim, membolehkan jualan juga lebih rancak. Proton Saga mencatatkan 2,951 unit jualan pada bulan Februari. Walaupun kurang daripada purata bulanan biasa, angka itu dijangka kembali ke tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang.

    Jualan Proton bagi Februari 2022 naik 107% — catat jualan 9,225 unit untuk pasaran domestik dan eksport

    Bagi Proton X50 dan X70, masing-masing menutup tirai Februari dengan jualan sebanyk 3,002 unit dan 1,119 unit. Ini membolehkan kedua-dua SUV itu menjadi pendahulu dalam segmen masing-masing. X50 juga menjadi SUV paling laris dalam negara yang telah meraih lebih daripada 100,000 unit tempahan dalam masa 16 bulan.

    Exora juga kembali mendahului segmen C bagi MPV, dengan jualan 157 unit. Sementar itu, Iriz pula mencatatkan jualan 321 unit (tangga keempat segmennya) dan Persona dengan 1,675 unit (kedua dalam segmennya).

    Walaupun jualan domestik masih dengan jumlah yang sama seperti tahun lepas, jualan eksport pula semakin meningkat, bertambah sebanyak 72.8% pada tahun 2022. Untuk dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 323 unit pelbagai kereta Proton telah dijual dalam pasaran eksport berbanding hanya 187 unit dijual pada tahun 2021.

    Jualan Proton bagi Februari 2022 naik 107% — catat jualan 9,225 unit untuk pasaran domestik dan eksport

    “Keupayaan syarikat untuk mengeluarkan lebih banyak kereta merupakan punca utama pemulihan jualan bulan Februari. Ini hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor dan kakitangan Proton, yang bekerja bertungkus lumus untuk mengembalikan kami ke landasan yang betul. Syukurlah, buku tempahan kami kekal sihat, dan kami yakin boleh mencapai sasaran kami untuk tahun ini.

    “Bagi industri automotif Malaysia, dua bulan pertama tahun ini menyaksikan permintaan kukuh yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dalam TIV berbanding tahun 2021. Ini berita baik untuk kedua-dua syarikat kereta dan komuniti vendor dan juga bukti keberkesanan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

     
     
  • Kerajaan tak rancang hapuskan kutipan tol – menteri

    Kerajaan tak rancang hapuskan kutipan tol – menteri

    Tiada sebarang rancangan dari kerajaan untuk menghapuskan kutipan bayaran tol pada masa hadapan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dalam sidang Parlimen awal minggu ini.

    Ini kerana kerajaan tidak mampu untuk mengambil langkah sedemikian kerana perlu membayar sejumlah amaun yang besar kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi menghapuskan bayara tol, lapor The Edge Market.

    “Kami kini sedang berunding bagi mencari solusi menang-menang yang tidak akan membebankan rakyat dan juga kerajaan dalam aspek kedudukan kewangan kita,” kata menteri berkenaan.

    Perbahasan berkenaan tol di Parlimen ini sudah tentu turut membincangkan hal bayaran menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari tol Juru hingga tol Skudai bermula Januari lalu, yang mencetuskan kesesakan di beberapa tempat kerana sistem berkenaan kurang efisien.

    Fadillah mempertahankan penggunaan sistem tersebut kerana RFID adalah selari dengan sasaran kerajaan untuk mengimplementasikan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menampilkan gantri tanpa palang, yang kini telah digunakan secara meluas oleh negara-negara membangun.

    Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan sudah pun meminta agar Touch ‘n Go Sdn Bhd mengkaji semula harga tag pelekat RFID yang didakwa terlalu mahal, berikutan hantaran Facebook yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa tag tersebut hanya menelan kos tidak sampai RM1 untuk dihasilkan.

    Berikutan itu, kerajaan telah pun meminta laporan terperinci dari PLUS dan Touch ‘n Go untuk kepastian. Dan semalam kerajaan telah pun menggesa Touch ‘n Go agar menurunkan harga kit pemasangan sendiri RFID berkenaan, yang kini dijual pada harga RM35.

    Dalam sidang ini juga Fadillah menjelaskan bahawa kerajaan tidak menggunakan sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang lebih efisien seperti digunakan oleh Singapura kerana ia lebih mahal dan membebankan pengguna di Malaysia. “Disebabkan kekangan kos dan pelaksanaan yang akan membebankan rakyat, sistem ini tidak akan [diperkenalkan] di Malaysia,” jelasnya.

    Sistem ERP di Singapura tersebut sebenarnya turut menggunakan teknologi RFID sebagai asas. Apa yang berbeza adalah ERP menggunakan transponder aktif yang digelar sebagai unit dalam-kenderaan atau IU. Peranti berkenaan beroperasi menggunakan kuasa elektrik dari kenderaan itu sendiri membolehkan ia mengesan isyarat dari gantri ERP dengan lebih baik.

    Namun peranti IU tersebut bukan murah – ia berharga SGD155.80 (RM480) seunit, dan ia wajib dipasang untuk setiap kereta baharu yang dijual di republik itu.

    Berbalik kepada sistem bayaran tol tanpa palang menggunakan teknologi RFID menerusi sistem MLFF, ia bakal diimplementasikan sepenuhnya pada tahun 2025. Pembuktian konsep (POC) bagi sistem tersebut sudahpun beroperasi di Lebuhraya Besraya awal tahun ini, dengan gantri operasi sistem berkenaan telah pun dipasang di KM5.5 (Arah Utara) dan dijadualkan untuk membuat pengumpulan data selama tiga bulan bermula awal 2022.

     
     
  • Kerajaan desak TNG kurangkan harga pelekat RFID

    Kerajaan desak TNG kurangkan harga pelekat RFID

    Isu mengenai Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) masih belum surut dan tetap diperkatakan oleh orang ramai, malah ia juga masih mendapat perhatian pihak kerajaan. Terbaru, kerajaan telah mendesak Touch ‘n Go (TNG) untuk mengurangkan harga bagi kit pasang-sendiri RFID, yang buat masa ini dijual pada harga RM35 seunit.

    Menurut laporan The Star, permintaan itu disuarakan sendiri oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen kelmarin. “Pihak kerajaan telah meminta Touch ‘n Go Sdn Bhd mengkaji semula kos (pelekat RFID) bagi tujuan mengurangkan harga jualan.

    “Touch ‘n Go Sdn Bhd ialah penyedia perkhidmatan untuk sistem kutipan tol di semua lebuh raya di Malaysia, dan pelantikan kontraktor atau pembekal tag RFID diuruskan sepenuhnya oleh syarikat terbabit,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

    Kerajaan desak TNG kurangkan harga pelekat RFID

    Fadillah sebelum ini berkata kerajaan menuntut justifikasi daripada Touch ‘n Go dan PLUS mengenai kos kit tersebut. Ini berikutan entri menerusi Facebook bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tular, mengatakan tag pasif sebenarnya berharga kurang daripada RM1 untuk dibuat.

    Dalam sesi yang sama, Fadillah turut mengesahkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT) dan 2 (LPT2) juga akan mengguna pakai sistem RFID bermula akhir Jun ini, menjadikannya sebanyak 28 lebuhraya yang telah menggunakannya. Ia adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Fasiah Mohd Fakeh, yang bertanya sama ada kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih boleh digunakan di lebuh raya PLUS dan LPT2.

     
     
  • PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus Special Edition lebih garang dengan gril ala Raptor, tawaran menarik

    PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus Special Edition lebih garang dengan gril ala Raptor, tawaran menarik

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org bakal kembali pada 2022, dan acara dua hari itu nanti akan membawakan tawaran terbaik bagi kereta premium baru dan terpakai, kelebihan lain untuk pembeli, serta hadiah menarik untuk direbut. Kosongkan jadual anda untuk 19-20 Mac dan berkunjunglah ke Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    Inilah masa terbaik untuk membeli kenderaan, sekiranya anda mempunyai perancangan, kerana pengecualian cukai jualan yang diberikan kini — 50% untuk CBU dan 100% untuk CKD — bakal berakhir pada 30 Jun nanti. Jangan berharap untuk lanjutan tempoh berkenaan kerana itu sudah beberapa kali dilakukan oleh kerajaan yang ada dan ini mungkin yang terakhir. Tambahan pula, beli kereta di acara ini dan pandu untuk Hari Raya!

    Jenama yang ikut serta termasuklah Mercedes-Benz (diwakili Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan ikut serta.

    PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus Special Edition lebih garang dengan gril ala Raptor, tawaran menarik

    Dari Ford, antara model yang akan mereka bawa adalah Ranger XLT Plus Special Edition, yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu. Varian terbaru Ranger T6 ini menggunakan asas daripada XLT Plus, tetapi ditambah dengan barangan yang menjadikannya nampak lebih gagah termasuklah gril ala Raptor dengan tulisan Ford yang besar.

    Kemudiannya model SE ini juga mendapat tambahan kemasan plastik warna hitam di keliling lengkuk rodanya, menjadikan ia nampak lebih lebar manakala di belakang, terdapat palang sports yang menggunakan besi bentuk bulat. Bukan setakat itu, varian SE ini juga datang dengan plet tepi pintu berlampu serta kamera dashcam dengan kad memori 32 GB serta sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi khas.

    Spesifikasi lain adalah sama seperti varian XLT Plus, di mana ia menggunakan enjin diesel turbo EcoBlue 2.0 liter, menghasilkan 180 PS dan 420 Nm tork, dipadankan bersama kotak gear automatik 10 kelajuan, sistem pacuan empat roda serta differential belakang limited-slip. Harga Ford Ranger XLT Plus Special Edition ini adalah RM136,888.

    PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus Special Edition lebih garang dengan gril ala Raptor, tawaran menarik

    Seperti biasa, membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD dipertingkat tahun ini – A200 naik RM9.5k, A 250 AMG Line naik RM4k

    Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD dipertingkat tahun ini – A200 naik RM9.5k, A 250 AMG Line naik RM4k

    Dalam senyap-senyap, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memberi peningkatan kepada A-Class Sedan CKD tahun ini, dengan model V177 itu mendapat beberapa ciri dan kelengkapan baru, seperti yang boleh dilihat dalam laman web MBM dan disahkan sendiri oleh syarikat itu.

    A 200 kini mendapat lampu suasana 64 warna serta tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa, sama seperti model CBU sebelum ini. Selain daripada itu, MBM juga memberitahu bahawa sistem pengawal suhu telah diubah kepada Thermatic satu zon, dan varian ini ditambah dengan pemerhati titik buta.

    A 200 dan A 250 AMG Line juga sekarang datang dengan pengecas tanpa wayar, akses but tanpa pegang, bantuan kekal lorong aktif serta lampu tinggi automatik. Bagi ciri terakhir itu, semasa kereta ini diimport dari luar, ia memang sudah ada, tetapi apabila dijadikan CKD ia telah dikeluarkan.

    Penambahan ciri-ciri ini menjadikan harga kedua-dua varian A-Class Sedan CKD ini meningkat sedikit, dengan A 200 Progressive Line sekarang dijual pada harga RM220,459 dan A 250 AMG Line RM243,858, tidak termasuk insurans, sekali dengan pengecualian cukai SST sehingga 30 Jun. Harga ini bersamaan dengan tambahan RM9,556 bagi A 200 dan RM4,000 bagi A 250.

    Bahagian lain termasuk mekanikal tidak berubah, di mana A 200 terus menggunakan enjin empat silinder turbo 1.33 liter 163 PS dan 250 Nm, manakala A 250 menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo M260 dengan kuasa 224 PS dan 350 Nm tork. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

    GALERI: Mercedes-Benz A 250 AMG Line Sedan CKD V177

    GALERI: Mercedes-Benz A 200 Sedan CKD V177

     
     
  • SDAC bekerjasama dengan SpareXHub untuk alat ganti stok lama Ford – jimat dari 64% hingga 31 Mac

    SDAC bekerjasama dengan SpareXHub untuk alat ganti stok lama Ford – jimat dari 64% hingga 31 Mac

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) selaku pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia telah bekerjasama dengan platfrom e-dagang SpareXHub untuk menawarkan penjimatan hebat bermula dari 64% untuk alat ganti stok lama Ford yang terpilih. Tawaran itu sedang berlangsung dan bakal tamat pada 31 Mac ini.

    “Kami sentiasa berusaha memberikan nilai tambahan dan kemudahan kepada para pelanggan kami. Selaras dengan usaha mendigitalkan pengalamanan jualan runcit kami, gandingan bersama SpareXHub ini memberikan platform kepada pelanggan untuk mendapatkan alat ganti tulen stok lama Ford dengan cara mudah di samping dapat berjimat,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion-Ford.

    Tambah beliau, pelanggan Ford pastinya berasa lega apabila kenderaan mereka boleh diselenggara dengan alat ganti pengeluar tulen walaupun tempoh waranti telah tamat. Selain itu, pelanggan juga dapat memastikan kualiti, kesesuaian dan kemasan yang terbaik kerana semua alat ganti direka khusus untuk kenderaan Ford demi prestasi yang hebat.

    Untuk maklumat lanjut tentang produk yang turut dipaparkan sekali harganya dan penjimatan jualan hebat ini, sila layari www.sparexhub.com, serta ikuti Facebook SpareXHub. Bagi mengetahui maklumat lanjut tentang SDAC dan Ford pula, ikuti Facebook, Instagram, Twitter dan saluran YouTube atau layari www.sdacford.com.my.

     
     
  • Proton EON 3S-Platinum dibuka di Alor Setar, Kedah

    Proton EON 3S-Platinum dibuka di Alor Setar, Kedah

    Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) telah melancarkan pusat Proton 3S baharu di Alor Setar, Kedah. Ia merupakan pusat 3S-Platinum pertama EON, dan pusat EON-Proton yang ke-10 di negara ini, menjadikan EON sebagai rangkaian pengedar terbesar buat pengeluar kereta nasional ini.

    Terletak di lokasai strategik di Pusat Komersial Souq di Timur-Laut bandar Alor Setar, Proton EON 3S-Platinum Alor Setar ini merupakan pusat Platinum pertama di Kedah. Dengan keluasan 35,992 kaki persegi, Proton EON 3S-Platinum ini boleh mempamerkan sehingga tujuh buah kereta, dan mempunyai ruang lounge pelanggan yang luas dan selesa, dilengkapi dengan kemudahan seperti sudut F&B, stesen pengecasan komputer riba/telefon bimbit, WiFi percuma, Netflix dan bilik permainan kanak-kanak

    Pusat ini juga mempunyai enam ruang servis dengan sistem pengangkat, tiga ruang tanpa sistem pengangkat, ruang servis untuk penjajaran tayar dan ruang Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS).

    “Pelancaran Proton EON 3S-Platinum di Alor Setar ini telah menguatkan komitmen EON untuk mengukuhkan kehadiran Proton di negara ini, terutamanya di wilayah Utara. Ini adalah sebahagian daripada rancangan perluasan perniagaan EON dan usaha berterusan untuk memenuhi keperluan pasaran kereta Malaysia yang semakin berkembang,” kata Akkbar Danial.

    Tambah beliau, “Pengguna hari ini telah menjadi lebih arif, lebih berpengetahuan, dan menuntut lebih nilai bukan sahaja dari aspek kenderaan malah perkhidmatan yang ditawarkan harus memenuhi jangkaan mereka. Keazaman kami adalah untuk menyediakan kemudahan berkualiti premium, perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, selain terus meningkatkan perkhidmatan daripada peringkat pra-pembelian, pembelian, hingga selepas pembelian.

    EON merupakan pengedar Proton terbesar di Malaysia, dengan pengedaran di bahagian Tengah, Selatan dan Utara Malaysia. EON mengutamakan pembangunan rangkaian dan penambahbaikan cawangan sebagai sebahagian daripada strategi untuk menaikkan jualan. Pada 2021, EON berjaya menjual hampir 5,000 unit kereta Proton di seluruh negara.

     
     
  • Sistem tol RFID lebih efisien dari SmartTAG, selari pengenalan sistem tanpa palang MLFF – menteri

    Sistem tol RFID lebih efisien dari SmartTAG, selari pengenalan sistem tanpa palang MLFF – menteri

    Dalam sidang parlimen yang berlangsung minggu ini, menteri kerja raya Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan beberapa perkara berkenaan isu bayaran tol menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID). Sistem tersebut dilihat tidak begitu efisien dan telah menyebabkan kesesakan di plaza tol tertentu, namun mengapa kerajaan masih mahu terus menggunakannya?

    Fadillah menjelaskan bahawa RFID merupakan sistem masa hadapan untuk Malaysia, dan ia adalah lebih baik berbanding teknologi infra merah yang digunakan oleh SmartTAG. Menurut laporan Bernama, Fadillah menyatakan bahawa RFID dilihat lebih efektif dari teknologi infra merah.

    “Teknologi infra merah yang digunakan pada peranti SmartTAG tidak boleh digunakan untuk implementasi sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), berbanding teknologi RFID yang telah digunakan secara meluas oleh negara-negara membangun yang telah mengimplementasikan sistem kutipan tol tersebut.

    “Implementasi teknologi RFID adalah selari dengan sasaran kerajaan bagi memperkenalkan sistem kutipan tol MLFF menggunakan teknologi RFID dan dijangka akan diimplementasikan sepenuhnya menjelang 2025,” katanya dalam Dewan Rakyat kelmarin, bagi menjawab soalan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

     
     
  • Sistem tol RFID dipilih kerana kos lebih rendah; ERP seperti Singapura mungkin bebankan rakyat – menteri

    Sistem tol RFID dipilih kerana kos lebih rendah; ERP seperti Singapura mungkin bebankan rakyat – menteri

    Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya mengapa kerajaan memilih untuk menggunakan sistem bayaran tol Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Malaysia untuk masa hadapan, berbanding sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang telah terbukti efisien digunakan oleh negara jiran iaitu Singapura.

    Dalam laporan The Star semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa sistem RFID yang digunakan oleh Touch ‘n Go sekarang ini dipilih kerana ia lebih murah dan tidak membebankan pengguna.

    “Teknologi RFID ini merupakan pilihan yang lebih sesuai berbanding teknologi infra merah yang digunakan pada peranti SmartTAG kerana ia menggunakan gelombang radio yang mempunyai had pengesanan yang lebih luas, dalam masa yang sama ia menampilkan kos yang lebih rendah,” katanya.

    Sistem tol RFID dipilih kerana kos lebih rendah; ERP seperti Singapura mungkin bebankan rakyat – menteri

    Beliau turut menyatakan bahawa sistem RFID yang ada sekarang ini adalah selari dengan sasaran kementeriannya untuk memperkenalkan tol tanpa palang menerusi sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang dijadualkan akan diimplementasi sepenuhnya pada 2025. Fadillah turut menegaskan bahawa negara-negara maju yang menggunakan sistem MLFF berkenaan turut berasaskan teknologi RFID.

    Menteri tersebut turut menyatakan dengan menggunakan sistem tol tanpa palang ERP seperti di Singapura akan menambahkan beban terhadap pengguna di Malaysia. “Disebabkan kekangan kos dan pelaksanaan yang akan membebankan rakyat, sistem ini tidak akan [diperkenalkan] di Malaysia,” jelasnya.

    Sistem ERP di Singapura berkenaan sebenarnya turut menggunakan teknologi RFID sebagai asas. Apa yang berbeza adalah ERP menggunakan transponder aktif yang digelar sebagai unit dalam-kenderaan atau IU. Peranti tersebut beroperasi menggunakan kuasa elektrik dari kenderaan itu sendiri membolehkan ia mengesan isyarat dari gantri ERP dengan lebih baik.

    Sistem tol RFID dipilih kerana kos lebih rendah; ERP seperti Singapura mungkin bebankan rakyat – menteri

    Namun peranti IU tersebut bukan murah – ia berharga SGD155.80 (RM480) seunit, dan ia wajib dipasang untuk setiap kereta baharu yang dijual di republik itu. Kos tersebut nyata lebih tinggi berbanding tag pelekat RFID berharga RM35 yang digunakan oleh Touch n’ Go buat masa sekarang.

    Singapura bakal beralih menggunakan sistem ERP baharu tahun hadapan yang akan menyisihkan penggunaan gantri RFID, bagi digantikan dengan sistem bayaran berasaskan teknologi GPS. Sistem tersebut juga tidak lagi menggunakan peranti IU, sebaliknya ia akan beroperasi dengan peranti unit on-board (OBU) baharu yang akan diberikan secara percuma.

    Sistem berkenaan sepatutnya diimplementasikan lebih awal tetapi terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali. Ia pada awalnya dijadualkan untuk beroperasi pada akhir 2020 hingga akhir 2021 tetapi ditangguh kerana pandemik Covid-19, kemudian ditangguhkan sekali lagi dan dijadualkan akan beroperasi pada separa kedua 2023 kerana krisis bekalan cip semikonduktor global.

     
     
  • Volvo C40 2022 kini di Thailand – bermula RM353k, CBU China, 408 PS/660 Nm, jarak gerak EV 420 km

    Volvo C40 2022 kini di Thailand – bermula RM353k, CBU China, 408 PS/660 Nm, jarak gerak EV 420 km

    Setelah setahun didedahkan pada peringkat global, kembar SUV XC40 dengan rupa coupe iaitu crossover Volvo C40 telah tiba ke pasaran negara jiran kita, Thailand. Jika model-model lain seperti XC90 dan S60 di Thailand dibekalkan oleh kilang Volvo di Shah Alam, C40 yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya (EV) ini pula diimport sepenuhnya (CBU) dari China.

    Model ini dijual pada harga 2.75 juta baht (RM353,260), atau 160,000 baht (RM20,553) lebih mahal dari XC40 Recharge (juga janaan elektrik penuh, berbanding model Recharge T5 yang masih menggunakan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid) yang telah dilancarkan di sana Mac tahun lalu.

    C40 ini turut menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya P8 AWD sama seperti XC40 Recharge. Ia menampilkan dua motor elektrik untuk setiap gandar bagi memacu roda hadapan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan juga tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan crossover tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima model ini turut dihadkan hanya pada 180 km/j.

    Volvo C40 2022 kini di Thailand – bermula RM353k, CBU China, 408 PS/660 Nm, jarak gerak EV 420 km

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa yang disimpan dalam bateri lithium-ion 78-kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420 km (kitaran ujian WLTP) dengan satu cas penuh. Bateri tersebut boleh dicas semula menerusi penghubung AC Type 2, yang memerlukan masa sekitar tujuh hingga lapan jam untuk dipenuhkan menggunakan palam tiga-fasa 11 kW.

    Ia juga boleh dicas semula menggunakan sistem pengecas pantas DC yang menggunakan penghubung CCS. Sistem tersebut mampu menampung sehingga 150 kW, membolehkan ia dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya sekitar 32 hingga 37 minit.

    Selepas XC40 menerima versi facelift yang baru sahaja didedahkan di Eropah bulan lalu, model tersebut kini berkongsi muka hadapan yang sama dengan C40. Apa yang berbeza, C40 menampilkan garis bumbung yang lebih sporty dan landai kebelakang, bagi disesuaikan dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.

    Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

    Perincian lain yang diberikan pada C40 ini dilihat sama seperti XC40 Recharge. Ia termasuk bumbng panaromik, paparan instrumen digital 12.3-inci, upholsteri tekstil, sistem pendingin hawa dua zon, sistem bunyi Harman Kardon dengan 13-pembesar suara, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang dikuasakan oleh OS Android Automotive. Aspek keselamatan termasuk sistem bantuan pemanduan termaju antara kedua-dua model ini turut dilihat seiras.

     
     
  • Harga minyak 3-9 Mac – RON97 naik 16 sen seliter

    Harga minyak 3-9 Mac – RON97 naik 16 sen seliter

    Seperti yang dijangka, kenaikan harga minyak utama adalah berita ‘sedih’ yang perlu disajikan untuk petang yang sedang dilanda hujan kala ini. Untuk minggu bertarikh 3 hingga 9 Mac 2022, kenaikan harga runcit hanya melibatkan bahan api petrol RON 97, di mana Kementerian Kewangan memaklumkan ia bakal naik sebanyak 16 sen seliter. Menjadikan harga petrol RON 97 mencecah RM3.45 seliter pada tempoh ini, berbanding RM3.29 seliter pada minggu sebelumnya.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi petrol RON 95 pula masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Ia telah pun mencapai harga siling dan dikekalkan sejak setahun yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 28 Februari lalu, harga minyak dunia dilaporkan terus meningkat hampir 30% atau lebih lebih daripada AS$7 dalam dagangan selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengeluarkan arahan kepada angkatan nuklearnya untuk bersiap siaga susulan sekatan Barat dan Jepun terhadap bank-bank negara itu. Malahan ‘ancaman’ dari Rusia itu turut mencetuskan ‘perang harga’ dalam menentukan harga minyak dunia.

     
     
  • PACE 2022 – dapatkan Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD dan GLA di Hap Seng Star, tawaran menarik

    PACE 2022 – dapatkan Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD dan GLA di Hap Seng Star, tawaran menarik

    Acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org kembali tahun ini, dengan akan berlangsung pada 19-20 Mac di Setia City Convention Centre (SCCC). Sepanjang dua hari ia berlangsung, anda akan dapat menikmati pelbagai tawaran untuk kereta premium bukan sahaja baru, tetapi juga terpakai.

    Bagi yang membeli kenderaan di acara ini, anda bukan sahaja akan disediakan dengan pelbagai kelebihan dan hadiah menarik, tetapi juga yang lebih penting, adalah penjimatan yang diperoleh daripada pengecualian cukai yang masih lagi berlangsung sehingga 30 Jun ini, iaitu 50% bagi kenderaan CBU dan 100% bagi kenderaan CKD.

    Jika ada yang berminat dengan sedan Mercedes-Benz A-Class, anda boleh mendekati model A 200 dan A 250 AMG CKD secara lebih dekat waktu acara ini. Versi CKD bagi model V177 ini diperkenalkan untuk pasaran Oktober lalu, menggantikan model CBU sebelumnya, dan datang dengan harga lebih murah.

    PACE 2022 – dapatkan Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD dan GLA di Hap Seng Star, tawaran menarik

    A 200 dipacu oleh enjin empat silinder turbo 1.33 liter dengan kemampuan 163 PS dan 250 Nm, manakala A 250 pula menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter berkuasa 224 PS dan 350 Nm. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

    Turut akan dibawa ke acara ini adalah GLA versi CKD, yang terdiri daripada GLA 200 Progressive Line dan GLA 250 AMG Line. Kedua-dua model ini masih mengekalkan kelengkapan seperti model CBU, tetapi seperti biasa, hasil daripada pemasangan tempatan, harganya menjadi lebih rendah.

    Selain daripada tawaran yang disediakan oleh HSS, mereka yang membeli kenderaan di PACE juga akan menerima pelbagai lagi hadiah. Ini kerana semua kenderaan yang ditempah akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022 – dapatkan Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD dan GLA di Hap Seng Star, tawaran menarik

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Mercedes-Benz akan diwakili oleh Hap Seng Star di acara PACE ini, dan jenama lain yang menyertainya adalah seperti BMW, MINI (melalui Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Bukan setakat kereta, BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan berada di acara ini. Jadi, jangan lupa, 19 dan 20 Mac ini!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025