Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Korea Selatan mahu gandakan jumlah penggunaan kenderaan elektrik dan hidrogen pada tahun 2022

    Korea Selatan mahu gandakan jumlah penggunaan kenderaan elektrik dan hidrogen pada tahun 2022

    Korea Selatan mensasarkan untuk menggandakan jumlah kenderaan elektrik (EV) dan hidrogen di jalan raya pada tahun hadapan, sebagai sebahagian daripada dorongan utama ke arah elektrifikasi dan mobiliti sel bahan api, laporan Yonhap News Agency.

    Negara tersebut sedang mencari jalan untuk meningkatkan penggunaan EV dan hidrogen di sana kepada 500,000 unit pada tahun hadapan, sekali ganda daripada 248,000 unit pada masa kini. Menurut menteri persekitaran negara berkenaan, EV dijangka dapat menyumbangkan sebanyak 200,000 unit untuk mencapai sasaran berkenaan tahun hadapan.

    Kerajaan di sana juga berkata ia juga akan mengembangkan rangkaian pengecasan EV dan tempat mengisi minyak hidrogen di seluruh negara tahun depan. Awal bulan ini, kementerian pengangkutan negara tersebut berkata ia akan meningkatkan bilangan pengecas EV di kawasan perkhidmatan lebuh raya di seluruh negara kepada lebih 1,000 menjelang akhir 2022, meningkat daripada 435 pengecasan yang terdapat di hentian rehat lebuh raya negara itu sekarang.

    Korea Selatan turut berkata peningkatan itu adalah sebahagian daripada usaha negara itu untuk mencapai matlamat 2030 untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40% daripada rekod pada 2018, serta berusaha untuk ke arah sasaran pelepasan sifar menjelang 2050.

    Pembuat kereta negara berkenaan juga dilihat berusaha keras untuk menyokong rancangan itu. Antaranya, Hyundai Motor Group yang telah menutup pusat pembangunan enjinnya sebagai sebahagian daripada penyusunan semula ibupejabat pembangunan dan penyelidikan, Namyang Technology Research Centre, dengan semua bahagian berkaitan penjana kuasa telah disusun semula untuk menjadi unit pembangunan elektrifikasi.

     
     
  • Toyota GR Corolla dalam teaser guna gear manual

    Toyota GR Corolla dalam teaser guna gear manual

    Cara Toyota USA memainkan teaser GR Corolla adalah berada di tahap yang lain. Anda sudah tengok dua teaser sebelum ini, yang kalau mahu diterjemah, memang perlu dikaji seperti teori konspirasi dan sekarang, keluar satu lagi teaser.

    Kali ini, mereka menyelit GR Corolla dalam video promosi GR 86 di Instagram. Tajuknya adalah “anda perlu cepat untuk menangkapnya”, dan memang benar, kalau betul-betul pantas barulah anda boleh melihat terdapat GR Corolla di dalam video itu.

    Apa yang lebih menarik, Toyota USA juga seakan memberi pengesahan bahawa GR Corolla akan ditawarkan dengan transmisi manual kerana terdapat sedutan yang menampakkan tetapan tiga pedal seperti GR Yaris (enam kelajuan).

    Untuk pasaran Amerika Syarikat, GR Corolla boleh dianggap sebagai bakal pengganti kepada GR Yaris yang tidak dijual di negara itu. Melalui teaser sebelum ini, kita boleh ‘membaca’ ia bakal hadir dengan enjin tiga silinder 1.6 liter turbo (268 hp) serta sistem pacuan semua roda GR-Four seperti GR Yaris.

    Apabila dibandingkan dengan Corolla hatchback biasa pula, GR Corolla ini dilihat mempunyai rim lebih sporty dan terdapat intercooler yang besar di sebalik grilnya. Kita boleh membuat jangkaan, tetapi untuk mengetahui spesifikasi sebenarnya, kita perlu menunggu pelancaran rasmi yang setakat ini juga masih belum diberitahu bila akan berlaku.

     
     
  • Proton tambah bantuan untuk mangsa banjir – diskaun 50% alat ganti terpilih, 25% caj buruh, tunda percuma

    Proton tambah bantuan untuk mangsa banjir – diskaun 50% alat ganti terpilih, 25% caj buruh, tunda percuma

    Berita ini pasti mampu memberikan sedikit kelegaan buat pemilik kenderaan Proton yang terjejas dengan banjir besar baru-baru ini. Hari ini, Proton telah mengumumkan program bantuan tambahan untuk pelanggannya yang menjadi mangsa banjir.

    “Memandangkan skala kerosakan akibat banjir baru-baru ini menjadi lebih ketara, Proton membuat keputusan untuk mengumumkan pakej bantuan pelanggan yang dipertingkatkan bagi meringankan beban kewangan mereka. Untuk pelanggan terbabit, diskaun sebanyak 50% bagi alat ganti terpilih untuk semua model kecuali Proton X50 dan X70. Selain itu, kami turut menawarkan servis tunda dan pembersihan luar serta ruang enjin secara percuma,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Untuk pemilik Proton X50 dan X70, diskaun untuk alat ganti terpilih telah dinaikkan kepada 25% berbanding dengan 20% yang telah diumumkan sebelum ini. Malahan diskaun sebanyak 25% juga akan diberikan untuk caj buruh bagi semua model.

    Bukan itu sahaja, pelanggan yang diinsuranskan di bawah Program Insurans Proton (PIP) layak menerima bayaran bantuan banjir sebanyak RM1,000.

    Proton tambah bantuan untuk mangsa banjir – diskaun 50% alat ganti terpilih, 25% caj buruh, tunda percuma

    “Selain daripada pakej bantuan, Proton juga akan berunding dengan pihak bank untuk membenarkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran melalui kad kredit bagi pembayaran bil. Kemudahan ini bermakna mereka tidak akan dikenakan bayaran faedah serta tidak perlu membuat bayaran penuh secara sekaligus.

    Menurut beliau lagi, sehingga kini, lebih kurang 600 kenderaan telah diterima oleh pusat servis Proton dan dijangkakan banyak lagi unit akan tiba pada hari dan minggu yang akan datang. Tawaran bantuan ini boleh didapati di pengedar 3S/4S Proton terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat.

    Pada 22 Disember lalu, Proton telah mengumumkan bantuan banjir kepada pelanggannya yang terjejas dengan bencana alam ini. Bantuan tersebut merupakan tawaran diskaun sebanyak 20% bagi alat ganti tertentu dan caj buruh. Selain itu, caj tunda sebanyak RM200 dan caj pembersihan bahagian luar dan ruang enjin sebanyak RM100 akan dibayar oleh syarikat tersebut.

     
     
  • Honda N-WGN Picnic, N-One K-Climb, N-Van Third Place serta konsep lain akan dibawa ke TAS 2022

    Honda N-WGN Picnic, N-One K-Climb, N-Van Third Place serta konsep lain akan dibawa ke TAS 2022

    Honda telah mendedahkan beberapa lagi model lain yang akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2022, selain Civic Type R prototaip. Acara ini akan berlangsung dari 14 Januari hingga 16 Januari 2022 di Tokyo, Jepun.

    Model pertama dipanggil sebagai N-WGN Picnic, yang dibuat untuk pengguna “menikmati perkelahan bersama keluarga di hujung minggu.” Perinciannya tidak diberitahu, tetapi melalui lukisan yang dihasilkan oleh Honda Access, kita boleh melihat ia menggunakan warna dua tona, rim gaya retro serta kemasan kayu di bahagian luar.

    Satu lagi model daripada Honda Access adalah K-Climb Concept, yang menggunakan N-One varian RS. Ia seperti diserapkan dengan semangat kereta lumba, dengan mendapat bampar serta gril lebih sporty, sayap belakang besar, muncung ekzos di tengah serta roll cage di dalam.

    Turut akan dibawa adalah Fit e:HEV Crosstar, yang membawa konsep rekaan crossover kepada hatchback kompak tersebut. Melaluinya, Fit mendapat bampar lebih ranggi dengan lampu tambahan, skid plate hiasan, tayar lebih tebal, rak bumbung, kemasan plastik tepi pintu serta kedudukan yang nampak lebih tinggi.

    Satu N-Van unik juga akan dibawa ke TAS 2022. Ia dipanggil sebagai Third Place, dan melibatkan ubah suai yang menjadikan van kecil tersebut kafe bergerak. Dalamnya terdapat rak kayu untuk pelbagai peralatan, dan dihias dengan barangan seperti langsir, kanopi serta lampu neon.

    Model lain yang akan dipamerkan oleh Honda adalah Step WGN e:HEV Spada Concept, Vezel e:HEV Modulo X Concept, N-Box Custom Style + Black dan satu N-Box edisi khas.

     
     
  • Polestar 4 bakal diperkenalkan pada tahun 2023 – saingan Porsche Macan janaan elektrik baharu

    Polestar 4 bakal diperkenalkan pada tahun 2023 – saingan Porsche Macan janaan elektrik baharu

    Sebelum ini Polester telah menyiarkan teaser tiga model baharunya yang dijangka bakal diperkenalkan pada tahun akan datang. Di mana Polestar 3 menjadi model pertama yang disebut-sebut akan dilancarkan pada tahun hadapan. Menurut temubual bersama Car Magazine, CEO Polestar Thomas Ingenlath telah berkongsi perincian mengenai Polestar 4, salah satu model yang akan datang dari jenama itu.

    Menurut Ingenlath, Polestar 4 dirancang untuk diperkenalkan pada tahun 2023 dan bakal menjadi pesaing Porsche Macan generasi akan datang yang bakal ditukarkan dengan pacuan elektrik. Polestar 4 akan dibangunkan sebagai crossover, lebih kecil berbanding model semasa Polestar 3 dan “memiliki lebih banyak juntaian-tanah” serta “garisan bumbung dengan sedikit imej ala-coupe“.

    Beliau turut berkata Polestar 4 akan ditawarkan dengan harga bermula sekitar 55,000 euro (RM260,269), sedikit murah berbanding Polestar 3 yang berharga dari 75,000 euro (RM354,925). Pesaing Macan ini juga dijangka akan menjadi kenderaan paling laris bagi pengeluar kereta berkenaan pada pertengahan dekad ini, mengatasi jualan tahunan yang disasarkan untuk Polestar 2 iaitu sekitar 79,000 unit. Dengan sektor SUV premium saiz-pertengahan ini yang dijangka akan meningkat sehingga 46% menjelang 2025, Polestar juga sedang mencari peluang untuk memanfaatkan produk baharunya ini.

    Tidak banyak perincian teknikal yang dikongsikan, tetapi Polerstar 4 ini dilaporkan akan dibangunkan dengan platform Pure-electric Modular Architecture (PMA), versi Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely. Penjana kuasa elektrik yang lebih padu juga dijangka akan dipadankan dengan aerodinamik yang lebih efisien bagi memaksimakan prestasinya.

    Polestar 4 ini dijangka akan dipasang di kilang Hangzhou milik Geely di China, dengan produksi dijangka akan bermula sebelum tahun 2023 berakhir. Selain Polestar 3 dan 4, pengeluar kereta ini juga mensasarkan akan memperkenalkan Polestar 5 dalam bentuk produksi yang diambil dari model konsep Precept yang diperkenalkan pada tahun 2020.

     
     
  • Suzuki Every dengan kit badan DAMD – muka seperti Land Rover Defender, mula dijual tahun hadapan

    Suzuki Every dengan kit badan DAMD – muka seperti Land Rover Defender, mula dijual tahun hadapan

    Pengeluar aksesori dari Jepun, iaitu DAMD sebelum ini sudah terkenal dengan pengeluaran kit badan yang menjadikan Suzuki Jimny kelihatan seperti Mercedes-Benz G-Class (Little G) dan juga Land Rover Defender (Little D). Sekarang, mereka melakukan perkara yang sama, tetapi untuk Suzuki Every pula.

    Kit ini akan mula dijual pada tahun hadapan dan mengubah keseluruhan muka hadapan van kecil ini menjadi seperti Defender. Lampu asal yang berbentuk petak ditukar dengan bentuk bulat manakala bampar pula menggunakan unit yang berwarna hitam tanpa cat.

    Untuk menggunakan lampu ini, fender tepi juga perlu ditukar sementara gril hadapan juga mengikuti konsep sama dengan bentuk petak. Di atasnya terdapat tulisan “LITTLE:D”. Bahagian lain badan Every ini tidak ditukar, tetapi ia dicat dengan warna hijau gelap baru untuk melengkapkan penampilannya.

    Suzuki Every dengan kit badan DAMD – muka seperti Land Rover Defender, mula dijual tahun hadapan

    Di Jepun, Every termasuk dalam kategori kereta kei car dan dipacu oleh enjin tiga silinder turbo 660 cc R06A yang menghasilkan kuasa 64 PS dan 95 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik empat kelajuan, untuk menghantar kuasa ke roda belakang atau kesemua empat tayar.

    Satu lagi model yang menerima ubah suai daripada DAMD adalah Spacia Gear, tetapi ia tidak mendapat kit badan yang menyerupai mana-mana model lain. Ia cuma diberi kemasan keliling lampu, gril serta jalur krom, dan dipanggil sebagai Nomad.

     
     
  • Baucar RM1k untuk baikpulih/pembelian ganti kenderaan peribadi ‘total lost’ disebabkan banjir -PM

    Baucar RM1k untuk baikpulih/pembelian ganti kenderaan peribadi ‘total lost’ disebabkan banjir -PM

    Menerusi Bantuan Banjir Keluar Malaysia dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan pemberian baucar RM1,000 untuk pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang total lost kepada mangsa banjir.

    Menurut beliau, inisiatif diperkenalkan itu dapat meringankan beban mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan peribadi mereka, laporan Bernama.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, hampir semua syarikat kereta juga menawarkan khidmat tunda percuma selain potongan harga lebih 25% bagi baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir, ini termasuklah Perodua dan Proton.

    Baucar RM1k untuk baikpulih/pembelian ganti kenderaan peribadi ‘total lost’ disebabkan banjir -PM

    “Hampir semua (syarikat kereta) bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25% atau lebih untuk alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis berdaftar. Malah beberapa syarikat pula menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Pada 22 Disember lalu, Ismail Sabri turut mengumumkan moratorium bayaran balik selama enam-bulan juga akan ditawarkan kepada mangsa banjir yang melibatkan pinjaman pembiayaan kenderaan, perumahan dan hartanah, pinjaman peribadi dan/atau baki kad kredit tertunggak. Malahan antara kemudahan yang disediakan termasuklah penangguhan bayaran balik atau pengurangan bayaran ansuran.

    Beliau turut berkata, bagi menambah akses tunai kepada mangsa, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik sehingga 41 bulan termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

     
     
  • myTukar AutoFair 2022, 7-9 Jan – beli kereta terpakai dengan jaminan pulangan balik dalam masa lima hari

    myTukar AutoFair 2022, 7-9 Jan – beli kereta terpakai dengan jaminan pulangan balik dalam masa lima hari

    Sekiranya bercadang membeli sebuah kenderaan terpakai, anda pastinya tidak mahu terlepas acara myTukar AutoFair 2022 yang akan berlangsung 7 hingga 9 Januari 2022 di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan. Dengan lebih daripada 1,000 kenderaan terpakai akan dipamer, anda disediakan dengan pelbagai pilihan dalam acara yang akan menjadi acara kereta terpakai terbesar di Malaysia.

    Pilihan kenderaan terpakai berkualiti tinggi yang komprehensif menunggu anda, dan ia tersedia untuk apa juga bajet yang ada, daripada Perodua dan Proton, pelbagai Honda dan Toyota, hinggalah model premium seperti Mercedes-Benz, BMW dan pelbagai lagi.

    myTukar AutoFair 2022, 7-9 Jan – beli kereta terpakai dengan jaminan pulangan balik dalam masa lima hari

    Setiap pembelian myTukar akan termasuk sekali lanjutan waranti setahun dan servis percuma setahun — tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya berdepan masalah atau berubah fikiran tentang kereta yang dibeli itu, anda hanya perlu memulangkannya dalam tempoh lima hari, tanpa sebarang soalan ditanyakan.

    Bukan setakat itu, anda juga akan menerima tawaran istimewa lain jika membeli kereta di acara berkenaan, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.68%, kelulusan pinjaman dan serahan kenderaan pada hari yang sama* serta pengalas kaki Trapo untuk setiap pembelian kereta.

    myTukar AutoFair 2022, 7-9 Jan – beli kereta terpakai dengan jaminan pulangan balik dalam masa lima hari

    Tawaran yang diberi tidak terhenti di situ kerana anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui promosi myTukar Lucky Spin Promo. Ada enam hadiah disediakan untuk pemenang, termasuk Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500.

    Jika itu masih lagi tidak cukup, anda juga mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar, yang boleh disertai dengan membeli kenderaan sewaktu acara tersebut.

    myTukar AutoFair 2022, 7-9 Jan – beli kereta terpakai dengan jaminan pulangan balik dalam masa lima hari

    myTukar juga boleh menyediakan tawaran trade-in di lokasi dengan nilai maksimum untuk kenderaan semasa anda ketika acara berlangsung, sekaligus menjadikan urusan lebih mudah. Liputan meluas myTukar di seluruh negara kini termasuk bilik pameran kenderaan premium yang lebih besar serta kemudahan servis sendiri yang menyeluruh memberikan anda pengalaman penyelenggaraan kenderaan lebih menenangkan, meskipun untuk kenderaan terpakai.

    Apa yang pasti, ada banyak sebab untuk anda hadir ke acara myTukar AutoFair 2022. Tahap keselamatan yang tinggi akan dipraktikkan sewaktu acara berlangsung – prosedur pencegahan Covid-19 yang ketat akan dikuat kuasakan, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal.

    Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, atau layari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan. Jumpa di sana!

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South,
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara-Puchong
    47100 Puchong, Selangor, Malaysia

     
     
  • GAC GS3 di Malaysia – 1.5L NA 114 PS/150 Nm, harga RM89k-97k; SUV saingan Perodua Ativa, Proton X50

    GAC GS3 di Malaysia – 1.5L NA 114 PS/150 Nm, harga RM89k-97k; SUV saingan Perodua Ativa, Proton X50

    Beberapa hari lalu, Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) telah pun melancarkan model pertama GAC Motor untuk pasaran Malaysia iaitu SUV segmen-B GAC GS3.

    Ia tiba di pasaran Malaysia dalam versi facelift terbaharu, dan diimport sepenuhnya (CBU), ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Standard dan Premium. Kedua-dua varian yang ditawarkan ini hanya dipadankan dengan satu pilihan penjana kuasa iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder NA (tanpa pengecas turbo).

    Enjin ini mampu menjana 114 PS (113 hp) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik torque converter enam-kelajuan dari Aisin. Ini membolehkan ia mencapai pengunaan bahan api 6.9 l/100 km (14.5 km/l) mengikut kitaran NEDC.

    GAC GS3 di Malaysia – 1.5L NA 114 PS/150 Nm, harga RM89k-97k; SUV saingan Perodua Ativa, Proton X50

    Dari segi casis pula, ia diberikan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, sistem brek cakera untuk hadapan dan belakang serta stereng bantuan kuasa elektrik (EPS).

    Untuk dimensinya pula, SUV ini berukuran 4,358 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,660 mm/1,685 mm tinggi (dengan/tanpa rel bumbung) serta jarak roda 2,560 mm. Berbanding saingan dalam kelas SUV segmen-B yang sama iaitu Proton X50, GS3 ini adalah 28 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dan 51 mm/76 mm lebih tinggi, tetapi menampilkan jarak roda 40 mm lebih pendek.

    Ruang but belakang GS3 ini direka bagi memuatkan kapasiti kargo 356 liter, dan boleh mencapai 780 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) rata.

    Untuk membezakan varian, model Standard diberikan rim aloi 17-inci bersama tayar 215/60R17, lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, upholsteri gabungan fabrik dan leatherette, mod pemanduan Eco, sistem pendingin hawa manual (dengan penapis udara kabin RM2.5), tempat duduk hadapan larasan manual serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan phone mirroring.

    Manakala varian Premium pula menerima kelengkapan tambahan seperti lampu kabus hadapan, cermin sisi lipatan berkuasa, antena sirip yu, kemasan hitam pada bumbung, rel bumbung dan cermin sisi, paparan instrumen dengan skrin LCD 3.5-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri leatherette penuh dan perehat kepala untuk tempat duduk baris kedua.

    Bagi aspek keselamatan pula, varian Standard diberikan empat-beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, sistem kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, kamera undur dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model Premium hanya diberikan tambahan dua lagi beg udara, bagi menjadikan ia enam unit secara keseluruhan.

    Bagi model Standard, ia boleh dipilih dengan dalam warna badan Lunar Grey, Ivory White atau Starlight Silver, manakala model Premium pula hadir dengan warna badan dua tona dengan pilihan Rosefinch Red dan Ivory White, kedua-duanya dipadankan dengan bumbung hitam. Versi tertinggi ini juga ditawarkan dengan satu pilihan warna tona tunggal iaitu Lunar Grey.

    Harga bagi GS3 Standard ialah RM88,800, manakala GS3 Premium pula berharga RM96,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insuran bersama insentif potongan cukai jualan (50% untuk CBU) sehingga 30 Jun 2022. Setiap pembelian disertakan dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, bersama servis percuma (kos buruh sahaja) lima kali dalam tempoh tiga tahun atau 100,000 km.

    Jika anda berminat untuk melihat model ini secara lebih dekat, boleh berkunjung ke bilik pameran pertama GAC Motor di Malaysia, yang terletak di Lot 72, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur. Menurut WTCA, pihaknya telah merancang untuk membuka lebih banyak bilik pameran di luar kawasan Lembah Klang.

    GALERI : GAC GS3 1.5L Premium

    GALERI : GAC GS3 1.5L Standard

     
     
  • Program lanjutan waranti, pakej servis percuma untuk kenderaan terpakai di Malaysia – adakah berbaloi?

    Program lanjutan waranti, pakej servis percuma untuk kenderaan terpakai di Malaysia – adakah berbaloi?

    Kami di paultan.org bukan sahaja menyiarkan berita automotif terkini, tetapi juga pelbagai panduan yang berkaitan dengan pemilikan kenderaan.

    Topik seperti pembelian kereta baru, perbandingan antara model dan panduan pembelian kenderaan terpakai adalah antara yang pernah kami siarkan sebelum ini, dan sekarang, kita akan menyentuh pula berkenaan pakej lanjutan waranti.

    Jika sudah biasa membeli dan menjual kereta, anda pasti tahu, hanya sejak baru-baru ini sahaja banyak pengedar kenderaan yang menawarkan pakej lanjutan waranti. Sebelumnya, kalau anda membeli kereta terpakai, ia memang sudah biasa tidak didatangkan dengan sebarang waranti.

    Pengedar yang lebih ternama pula akan memberikan servis asas sebelum kenderaan diserahkan kepada pelanggan, atau menyediakan waranti melalui pihak ketiga. Memandangkan mereka kebanyakannya lebih memberikan perhatian kepada jualan, aspek waranti boleh jadi berbeza antara pengedar.

    Program lanjutan waranti, pakej servis percuma untuk kenderaan terpakai di Malaysia – adakah berbaloi?

    Jenama seperti myTukar pergi lebih ke hadapan lagi. Sebagai contoh, semua kenderaan yang dijual melalui platform ini datang dengan lanjutan waranti, serta servis percuma selama satu tahun. Tawaran seperti ini memang susah untuk didapati jika anda pergi ke tempat jualan kenderaan terpakai yang lain.

    Satu lagi inisiatif hampir sama adalah program lanjutan waranti Hyundai Promise yang disediakan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) untuk model lebih lama seperti Elantra MD, Elantra AD, Sonata LF, Tucson LM, Tucson TL, Santa Fe DM dan Starex.

    Satu syarat yang ditetapkan adalah kenderaan tersebut mestilah berusia tidak lebih daripada lapan tahun dari tarikh ia dikeluarkan, dan ia juga mestilah belum mencecah jarak batuan 300,000 km dalam masa lima tahun dari tarikh pembelian. Lanjutan waranti ini bertindak sama seperti program waranti kenderaan baru, tetapi tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun dan terhad kepada 30,000 km setahun.

    Program lanjutan waranti, pakej servis percuma untuk kenderaan terpakai di Malaysia – adakah berbaloi?

    Adakah ia benar-benar menguntungkan? Cuba anda anggap ia sebagai satu insurans. Anda sebenarnya tidak tahu bila enjin atau transmisi kereta itu akan rosak. Tapi apabila ia terjadi, anda akan rasa lega kerana ada “insurans” itu, kerana kalau tidak, kos yang diperlukan untuk baik pulih adalah agak tinggi.

    Manfaat lain yang datang dengan lanjutan waranti boleh termasuk bantuan tepi jalan 24 jam serta upah tunda percuma. Selain daripada itu, apabila kenderaan mempunyai waranti yang aktif, harga jualan semulanya juga adalah lebih baik.

    Berkemungkinan, pemilik kenderaan sebegitu menjaganya dengan baik dan tidak sesuka hati melenjan kereta bagi mengelakkan potensi kegagalan bahagian mekanikal. Cuba anda fikir – tidakkah anda juga sanggup membayar lebih bagi sebuah kenderaan terpakai yang dijaga elok dan masih mempunyai waranti?

    myTukar AutoFair 2022 – kereta terpakai tanpa rasa risau

    Program lanjutan waranti, pakej servis percuma untuk kenderaan terpakai di Malaysia – adakah berbaloi?

    Seperti yang dinyatakan di atas, setiap pembelian melalui myTukar bukan sahaja diberi tambahan jaminan satu tahun, tetapi juga servis percuma selama satu tahun. Ini dapat mengurangkan risau pembeli kenderaan terpakai. Anda juga diberi dengan jaminan pulangan-balik selama lima hari – tanpa sebarang soalan – sekiranya anda bertukar fikiran.

    Acara myTukar AutoFair 2022 akan berlangsung dari 7 hingga 9 Januari 2022 di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan. Ini bakal menjadi acara jualan kenderaan terpakai terbesar di Malaysia dengan lebih 1,000 unit kenderaan terpakai akan dipamerkan, dari model biasa seperti Perodua Myvi dan Axia, Proton Saga dan Persona, serta pelbagai model Honda dan Toyota, hinggalah model premium seperti BMW, Mercedes-Benz and Volvo.

    Selain manfaat yang dinyatakan tadi, apabila membeli kereta ketika acara ini nanti, anda juga akan menerima tambahan servis percuma selama setahun (maksudnya menjadi dua tahun), kadar faedah serendah 1.68%, kelulusan dan serahan kenderaan pada hari yang sama dan pengalas kaki Trapo untuk semua kereta. myTukar juga ada menyediakan penilaian kenderaan untuk trade-in kereta semasa anda ketika acara ini nanti.

    Program lanjutan waranti, pakej servis percuma untuk kenderaan terpakai di Malaysia – adakah berbaloi?

    Ada lagi. Pembeli juga layak menyertai promosi myTukar Lucky Spin Wheel untuk memenangi satu daripada enam hadiah, termasuk iPad generasi kesembilan; mereka juga berpeluang untuk membawa pulang sebuah Proton X70 melalui peraduan Ulang Tahun Ke-4 myTukar. Pelawat juga boleh menikmati hidangan ringan dan ruang pameran jenama rakan niaga yang lain.

    SOP Covid-19 yang ketat juga dipraktik, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal. Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, dan anda juga melayari inventori di sini untuk mencari kereta yang diinginkan.

     
     
  • Harga minyak 30 Dis-5 Jan – RON97 naik 1 sen seliter

    Harga minyak 30 Dis-5 Jan – RON97 naik 1 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 30 Disember 2021 hingga 5 Januari 2022, Kementerian Kewangan telah memaklumkan peningkatan harga bagi bahan api petrol RON 97 iaitu sebanyak satu sen seliter. Ini bermakna, sepanjang minggu tersebut, harga RON 97 menjadi RM3.00 seliter, berbanding RM2.99 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari 2021 dan telah pun mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 5 Januari 2022.

     
     
  • Tokyo Auto Salon 2022 – Subaru STI E-RA Concept, WRX S4 STI Performance Concept dan BRZ GT300

    Tokyo Auto Salon 2022 – Subaru STI E-RA Concept, WRX S4 STI Performance Concept dan BRZ GT300

    Subaru telah memberitahu bahawa mereka akan membawa sebuah kereta prototaip yang dibuat untuk kajian jentera lumba neutral-karbon, dipanggil sebagai STI E-RA Concept. Huruf ‘E’ tersebut mungkin menunjukkan ia menerima kuasa elektrik sementara RA itu pula adalah bermaksud Record Attempt, iaitu lencana yang sebelum ini pernah digunakan pada model serba ringan dan lebih memberi fokus kepada pemanduan litar.

    Setakat ini cuma bahagian muka hadapan kereta konsep itu sahaja yang ditunjuk, dan ia menampakkan rekaan lampu yang seakan mengingatkan kembali kepada model konsep Viziv Performance yang pernah ditunjukkan padan tahun 2017. Kemasan akhir dan catnya pula seakan model konsep Viziv Performance STI tahun 2018.

    Dalam gambar ini kita tidak boleh melihat lencana Subaru, tetapi di atas gril terdapat lencana STI berwarna merah jambu seperti biasa. Gril pula kelihatan berbeza berbanding model konsep Viziv Performance, dan mungkin menggunakan unit yang lebar dan bersambung sehingga ke lampu.

    Turut akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2022 adalah model konsep WRX S4 STI Performance, yang merupakan versi lebih sporty bagi WRX generasi terkini, dan mendapat tambahan panel pada bampar hadapan, belakang serta side skirt yang dicat warna merah jambu. Melengkapkan penampilannya adalah sayap belakang gentian karbon seperti yang digunakan pada model S204.

    Subaru juga akan mempamerkan kereta lumba BRZ GT300, iaitu jentera yang digunakan untuk perlumbaan Super GT musim 2021, dalam kategori GT300. Model lain yang juga akan berada di kawasan pameran adalah BRZ STI Performance dan Levorg STI Performance Concept.

     
     
  • SmartTAG lebih maju, 10,000 lebih pantas dari RFID; lorongnya perlu ditambah, bukan dikurangkan – Efkon

    SmartTAG lebih maju, 10,000 lebih pantas dari RFID; lorongnya perlu ditambah, bukan dikurangkan – Efkon

    Sementara kerajaan berhasrat untuk melaksanakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai transaksi pembayaran tol baharu yang disifatkan lebih praktikal, Efkon Asia pula berkata sistem SmartTAG tidak sepatutnya disingkirkan, sebaliknya harus dipertingkatkan penggunaannya. Ini kerana sistem berkenaan juga dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol dan mempercepatkan pelaksanaan rangkaian aliran bebas trafik berbilang lorong pada masa hadapan.

    Penyedia teknologi Austria bagi sistem kutipan tol Infra-Merah (IR) di lebuh raya Malaysia itu menegaskan sistem IR yang menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTAG mempunyai gabungan pangkalan pelanggan seramai lima juta pengguna dan jumlah ini semakin berkembang.

    Menurut Pengarah Efkon Asia, Helmuth Blasch, ditambah dengan usaha menaik taraf produk berterusan yang telah meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan pengalaman pengguna dengan ketara, sistem ini menjadi titik persediaan yang ideal dan jauh lebih maju untuk mencapai objektif lebuh raya bebas kesesakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) berbanding dengan sistem pembayaran RFID yang masih baru.

    “Pada tahun ini sahaja, dianggarkan 75% daripada 270,000 kereta penumpang dan kenderaan komersial baharu yang didaftarkan di Semenanjung Malaysia sehingga September 2021 telahpun diserahkan kepada pembeli lengkap dengan pembaca tol terbina dalaman atau peranti mudah alih yang serasi dengan SmartTAG.

    SmartTAG lebih maju, 10,000 lebih pantas dari RFID; lorongnya perlu ditambah, bukan dikurangkan – Efkon

    “Ini merupakan petunjuk jelas bahawa sistem IR terus menikmati keyakinan pengeluar, penjual dan pemilik kenderaan dan telah membuktikan nilainya sebagai sistem kutipan tol tanpa tunai yang cekap, mudah dan kos efektif,” ujarnya.

    Blasch percaya bahawa pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya harus melihat kepada menambah dan bukannya mengurangkan lorong SmartTAG jika objektifnya adalah untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.

    “Di Jerman, Sistem Tol Trak Seluruh Negara yang dipasang di semua lebuh raya dalam konfigurasi Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) telah terbukti sangat berkesan, memenuhi keperluan lebih dua juta trak yang bergerak sehingga 100 km/j. Ia menggunakan teknologi IR yang serupa, seperti di Malaysia, untuk mengesahkan pembayaran. Kami juga telah berjaya mengulangi ujian ini di Malaysia.

    “Unit serasi SmartTAG kami mematuhi piawaian DSRC (Dedicated Short-Range Communication) dan diperakui ECE R10. Mereka beroperasi dalam jalur 400THz dan, oleh itu, dapat memindahkan data 10,000 kali lebih cepat daripada RFID. Memandangkan dikuasakan bateri, setiap unit aktif dengan masa bangun hanya dua milisaat berbanding RFID pasif 45 milisaat,” jelas beliau.

    Tambahnya, berdasarkan maklum balas orang ramai terhadap pengumuman baru-baru ini oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), kebanyakan pengguna lebuh raya jelas lebih mengutamakan kemudahan unggul, kebolehpercayaan yang terbukti dan pengalaman pengguna yang lebih baik yang diberikan oleh sistem IR, yang telah digunakan di negara ini sejak tahun 2005.

    Katanya lagi, Efkon Asia telah bekerjasama rapat dengan pengeluar tempatan peranti serasi SmartTAG untuk terus memperkenalkan peningkatan dan menambah baik pengalaman pengguna.

    “Bagi pengguna, pembaca tol terbina dalaman yang serasi dengan SmartTAG dikuasakan secara langsung oleh bateri kereta manakala unit mudah alih seperti MaxTAG kini didatangkan dengan bateri 1000 mAh boleh dicas semula yang berkuasa dan tahan lama serta port USB untuk pengecasan mudah di dalam kereta bagi memastikan ketersediaan pada setiap masa. Bagi syarikat konsesi lebuh raya, kami kini menawarkan antena sisi lorong baharu pada kos subsidi untuk menaik taraf prestasi lorong SmartTAG bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar,” ujarnya.

    Blasch turut berkata, pada suku pertama tahun 2022, syarikat ini akan bergerak ke arah pendigitalan dengan mendayakan sambungan Bluetooth antara peranti dan telefon pintar serta sistem media kereta. “Sambungan ke e-dompet untuk tambah nilai mudah juga boleh dilakukan,” tambah beliau lagi.

     
     
  • Yamaha Cygnus Gryphus dilancar di Jepun – enjin 125 cc VVA, brek cakera depan dan belakang, rim 12 inci

    Yamaha Cygnus Gryphus dilancar di Jepun – enjin 125 cc VVA, brek cakera depan dan belakang, rim 12 inci

    Di Jepun, Yamaha mempunyai beberapa model skuter 125 cc, dan sekarang, ia ditambah dengan satu lagi iaitu Cygnus Gryphus. Ia disediakan sebagai pilihan yang lebih sporty berbanding Cygnus X, tetapi masih terletak di bawah NMax 155 di negara itu.

    Sedikit lebih kecil berbanding NVX 155, Cygnus Gryphus menampilkan bentuk yang mengikut konsep rekaan terkini jenama itu, dengan lampu hadapan LED berbentuk tajam serta lampu belakang yang terpecah kepada tiga bahagian. Rim pula bersaiz 12 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Padan dengan konsep prestasi yang mahu dibawa, skuter ini turut dipasang dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera, namun tanpa sistem ABS. Yamaha sebaliknya menggunakan sistem Unified Brake System (UBS) yang bertindak seperti CBS oleh Honda, dengan mengaktifkan kedua-dua brek apabila tuil sebelah kiri ditarik kuat.

    Penggerak Cygnus Gryphus adalah enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 125 cc dengan teknologi VVA dan Bluecore, yang dipadankan bersama kotak gear CVT untuk menghasilkan kuasa 12 PS pada 8,000 rpm dan 11 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini juga dilengkapi dengan Smart Motor Generator (SMG) yang dapat membantu operasi pemula enjin menjadi lebih senyap.

    Operasi penting enjin dapat dilihat melalui panel skrin LCD di hadapan penunggang, dan skuter ini juga datang dengan soket pengecas USB, tangki bahan api 6.1 liter, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang serta ruang simpanan 28 liter (boleh memuatkan satu helmet) di bawah tempat duduk.

     
     
  • Millennium Welt laksana majlis pecah tanah bagi BMW 4S di Seremban – dijadualkan siap pada Q1 2023

    Millennium Welt laksana majlis pecah tanah bagi BMW 4S di Seremban – dijadualkan siap pada Q1 2023

    Millennium Welt, pengedar BMW bertauliah di Malaysia, telah melaksanakan majlis pecah tanah untuk memnina fasiliti 4S yang terletak di Seremban 2, Negeri Sembilan. Dengan pelaburan berjumlah RM60 juta dan dijadualkan siap sepenuhnya pada suku pertama 2023, fasiliti berkeluasan 153,948 kaki persegi ini akan direka berasaskan konsep terkini BMW Retail NEXT.

    Apabila siap kelak, pusat BMW 4S Seremban 2 ini akan menempatkan 12 petak penyelenggara untuk perkhidmatan selepas jualan, serta bakal mempunyai 181 petak parkir. Ia juga akan menempatkan bilik pameran untuk mempamerkan kenderaan di bawah jenama BMW Group Malaysia, termasuk BMW, MINI, BMW Motorrad, dan juga kenderaan pra-pemilikan.

    “Sebagai pengedar bertauliah tunggal untuk portfolio BMW Group Malaysia untuk kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad di Negeri Sembilan, Millennium Welt telah menjadi rakan kongsi yang tidak ternilai dan boleh dipercayai untuk terus memberikan pengalaman pemilikan premium. Dengan kemudahan baharu ini, kami yakin, bukan setakat standard yang dapat dikekalkan, bahkan ia akan memberikan yang terbaik apabila fasiliti ini beroperasi untuk para pelanggan di Seremban kelak,” kata Hans de Visser, pengarah urusan BMW Group Malaysia.

    Pengarah urusan Millennium Welt, Bryan Wong pula berkata, “Di Millennium Welt, pengalaman pemilikan premium bermula apabila pelanggan berkunjung ke wakil pengedaran. Adalah menjadi keazaman bagi kami untuk membantu pelanggan mencari dan memilih kenderaan BMW, MINI atau BMW Motorrad yang bertepatan dengan keperluan mereka.

    “Bukan itu sahaja, kami juga komited untuk memberikan yang terbaik untuk pengalaman selepas jualan premium. Dengan adanya fasiliti baharu ini, kami tidak sabar untuk menyemarakkan rasa persona terhadap kenderaan premium kami di kalangan para pelanggan di Negeri Sembilan.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025