Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda SUV RS dipertonton, jadi petunjuk model ZR-V

    Honda SUV RS dipertonton, jadi petunjuk model ZR-V

    Taruhan terbaru Honda untuk Asia Tenggara akhirnya telah dipertontonkan dalam bentuk SUV RS Concept. Ini merupakan bayangan paling hampir bagi model produksi baru kelak yang akan menyaingi Daihatsu Rocky dan Toyota Raize (dan Perodua Ativa tentunya). Direka di Thailand, crossover kecil lima-tempat duduk ini baru saja didedahkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021 dan kemungkinan besar akan ditawarkan untuk pasaran rantau ini kelak.

    Perincian masih belum banyak yang diketahui, tapi kita tahu bahawa versi produksinya nanti — yang dikhabarkan akan dipanggil ZR-V — akan diasaskan daripada BR-V tujuh tempat duduk, dan dari kerangka sedan Amaze di pasaran India. SUV RS bagaimanapun tampil dengan rekaan lebih segar dan menarik sesuai untuk golongan belia.

    Di depan, lampu utama tirus dan tajam yang mengalir terus ke bahagian gril yang menampilkan corak petak — mirip seperti yang dilihat pada Peugeot 3008. Wajah agresif ini didorong lagi oleh bukaan udara di tengahnya serta inlet menegak segi tiga yang ada.

    Honda SUV RS dipertonton, jadi petunjuk model ZR-V

    Bahagian sisi, ada garis bahu yang ringkas kelihatan. Tiang C pula tidak seperti teaser sebelum ini; ia tidak dihitamkan, sebaliknya diberikan warna badan dan dan bertemu bahagian bumbung yang hitam. Lampu belakang dengan kelebaran penuh, bampar belakang dengan bentuk yang ketara serta skid plate depan dan belakang menjadi pemangkin kepada imej sporty ini.

    Honda belum mendedahkan sebarang spesifikasi, tetapi boleh diandaikan ZR-V akan berkongsi enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC 121 PS/145 Nm dari BR-V dan CVT. Enjin City untuk pasaran Thailand juga mungkin boleh jadi calon yang layak, dengan enjin 1.0 liter turbocas tiga-silinder dengan 122 PS/173 Nm, serta mungkin juga versi e:HEV hibrid.

    Kereta ini juga mungkin akan dilengkapi dengan Honda Sensing, termasuk AEB dan kawalan melayar adaptif. Di India, ZR-V boleh jadi akan menggantikan model WR-V. Apa pandangan tentang SUV RS Concept ini, cukup meyakinkan ke?

     
     
  • Naik taraf Laluan FT050 Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang bersifat mendesak, kurangkan nahas maut – Menteri

    Naik taraf Laluan FT050 Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang bersifat mendesak, kurangkan nahas maut – Menteri

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan projek naik taraf laluan FT050 yang menghubungkan daerah Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang adalah penting dan mendesak. Ia adalah bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut yang tinggi di sepanjang jajaran ini yang direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia.

    Menurut beliau, kerajaan persekutuan meluluskan peruntukkan RM250 juta bagi menaiktaraf laluan berkenaan selepas diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Naik taraf tersebut melibatkan Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam–Kluang FT050 daripada Parit Sempadan, Batu Pahat (Seksyen 21) hingga Jambatan Merentasi Lebuhraya PLUS (Seksyen 34.5) di Pekan Ayer Hitam.

    Projek berkenaan telah pun bermula sejak 26 Oktober lalu dan dijangkap siap pada 25 Oktober 2024, laporan Bernama.

    “Matlamat utama projek berkenaan adalah mengurangkan kes kemalangan serta memastikan aliran trafik lebih lancar dan terkawal. Daripada tahun 2015 hingga 2020, terdapat sejumlah 405 kes kemalangan dengan 227 kemalangan maut dicatatkan di laluan FT050,” katanya

    Tambah beliau, laluan yang menghubungkan Pekan Parit Raja ke Plaza Tol Ayer Hitam berkenaan juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi dan sering berlaku kesesakan teruk terutama pada musim cuti perayaan.

    Naik taraf Laluan FT050 Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang bersifat mendesak, kurangkan nahas maut – Menteri

    “Kajian trafik yang dijalankan pada tahun 2020 merekodkan 28,298 trafik dalam masa 16 jam dan 2,279 trafik dalam waktu puncak 5 petang hingga 6 petang. Jumlah trafik di laluan berkenaan adalah tertinggi di daerah Batu Pahat berbanding kawasan lain di daerah sama.

    “Projek berkenaan membabitkan pembinaan pembahagi jalan sepanjang 13.5 kilometer dengan tiga pusingan U bagi kenderaan berat, pelebaran bahu jalan sedia ada dari jalan tunggal empat lorong kepada jalan berkembar empat lorong 13.5 kilometer. Ia membabitkan kerja menaik taraf lima persimpangan (Persimpangan Parit Sempadan, Pekan Parit Raja, Parit Botak, Pekan Ayer Hitam dan Bandar Baru Ayer Hitam), membina tiga jejantas baharu untuk pejalan kaki dan laluan motosikal dan menaik taraf sistem perparitan dan pembentung sedia ada,” katanya.

    Sementara itu, Fadillah berkata, pihaknya akan meminta pasukan projek menyediakan saluran aduan bagi penduduk sekitar dan pengguna jalan raya yang ingin menyalurkan aduan dan cadangan ketika projek berkenaan berjalan.

    “Kita akan wujudkan ruangan untuk mereka buat aduan dan cadangan bagi memastikan projek naik taraf ini dapat dilakukan dengan baik dan pasukan ini dapat berbincang untuk atasi sebarang kesulitan,” katanya.

     
     
  • Puspakom bakal laksana transaksi tanpa tunai sepenuhnya bermula suku pertama tahun 2022

    Puspakom bakal laksana transaksi tanpa tunai sepenuhnya bermula suku pertama tahun 2022

    Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan bakal melaksanakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya di semua pusat pemeriksaannnya termasuk perkhidmatan mobile bergerak bermula suku pertama (Q1) tahun 2022. Setakat suku ketiga 2021, sebanyak 91% transaksi tanpa tunai telah dilaksanakan di semua pusat pemeriksaannya sejak April lalu.

    Menurut Puspakom, mod urusniaga tanpa tunai dan e-dompet membawa banyak kelebihan lain, seperti keselamatan kepada pengguna dan Puspakom sendiri, selain mengurangkan transmisi kuman atau virus yang mungkin berlaku dalam transaksi tunai. Bukan itu sahaja, pelaksanaan transaksi tanpa tunai ini dapat menjimatkan masa dan memastikan transaksi prmbayaran yang lebih selamat.

    Justeru, mod ini akan diperluaskan ke perkhidmatan mobile bergerak termasuk trak dan van Puspakom pada masa yang terdekat. Puspakom menjangkakan 100% penggunaan transaksi tanpa tunai di kalangan pelanggan akan dicapai pada suku pertama tahun 2022.

    Puspakom bakal laksana transaksi tanpa tunai sepenuhnya bermula suku pertama tahun 2022

    “Kadar penggunaan transaksi tanpa tunai yang semakin meningkat di Puspakom menunjukkan penerimaan e-pembayaran di kalangan pelanggan sangat menggalakkan. Selain kad debit dan kad kredit, Puspakom juga memberikan pilihan pelbagai e-dompet termasuk Puspakom e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaan Puspakom. Tiada alasan lagi sebenarnya untuk tidak menggunakan mod transaksi moden ini,” kata Shukor Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom.

    Katanya lagi, initiatif ini juga sejajar dengan langkah Kerajaan yang giat mempromosi penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga bagi merancakkan lagi transaksi digital yang mudah dan selamat, dan meningkatkan kebeskesanan sistem e-pembayaran di Malaysia.

    “Selari dengan ini, usaha mendigitalisasikan segala urusan di Puspakom dari temujanji dalam talian untuk pemeriksaan kenderaan, pembayaran yuran pemeriksaan dan pembaharuan insuran tanpa tunai, pemeriksaan kenderaan secara berkomputer juga terus meningkat,” jelasnya lagi.

     
     
  • Perodua Myvi 2022 facelift akan terima peningkatan ciri keselamatan, mod POWER, kawalan suara

    Perodua Myvi 2022 <em>facelift</em> akan terima peningkatan ciri keselamatan, mod POWER, kawalan suara

    Melihat kepada perkembangan masa terdekat ini, ramai sudah boleh jangkakan, Perodua Myvi facelift 2022 akan diperkenalkan tidak lama lagi. Terbaru, Perodua juga ada mendedahkan teaser untuk model ini. Gambar ini menunjukkan rekaan baru kluster instrumen dalam cahaya merah, paparan multi-info berwarna dalam saiz lebih besar dan… butang apa yang ada sterengnya?

    Sama seperti yang pernah dilihat sebelum ini, Myvi baru ini kelak akan menerima roda stereng tiga-jejari daripada Ativa, yang dilengkapi dengan dua kawalan empat-arah dan banyak suis kawalan untuk pelbagai fungsi yang ada. Dan lebih menarik, semua ini ada pada model AV, termasuk ciri bantuan pemandu yang ada ada pada kereta bawah RM60,000.

    Ini termasuklan kawalan melayar adaptif dan bantuan ke tengah lorong (kawalan mengekalkan lorong). Ini bermaksud, sekurang-kurangnya bagi model spesifikasi paling tinggi AV, ia akan didatangkan dengan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) dengan kemampuan pemanduan semi-autonomous Tahap 2 — pada sebuah Myvi!

    Perodua Myvi 2022 <em>facelift</em> akan terima peningkatan ciri keselamatan, mod POWER, kawalan suara

    Butang baru lain termasuk Up, Down dan Enter, mungkin untuk kawalan paparan multi-info, bersekali dengan butang kawalan suara yang mencadangkan naiktaraf juga dilakukan terhadap sistem infotainmen. Boleh nampak dengan jelas yang skrin sentuhnya juga lebih besar DIN berkembar yang ada dalam imej teaser sebelum ini, serta kemasan merah pada corong pendingin hawa.

    Semua ini menjadi sebab sah peningkatan harga sebanyak RM6,000 bagi 1.5 AV berbanding model sebelumnya. Menurut Perodua, PSDA juga akan ditawarkan untuk model asas 1.3 G (sebagai pilihan, tentunya), walaupun jangkaannya ada ciri yang digugurkan berbanding yang ada pada varian AV.

    Selain 1.3 G dan 1.5 AV, Perodua juga akan menawarkan Myvi facelift ini dalam varian 1.5 H dan 1.5 X baru — dengan yang terakhir itu dipertingkatkan dengan enjin lebih berkuasa, unit 2NR-VE 1.5 1.5 liter Dual VVT-i empat silinder dengan janaan 102 hp/136 Nm. Varian G kini satu-satunya yang akan menggunakan enjin 1NR-VE 1.3 liter dengan kuasa 94 hp/121 Nm.

    Perodua Myvi 2022 <em>facelift</em> akan terima peningkatan ciri keselamatan, mod POWER, kawalan suara

    Semua varian menggunakan transmisi automatik (tiada lagi kotak gear manual) dan akan kemungkinan besar akan menggunakan D-CVT Ativa, yang menggabungkan pacuan tali sawat dan gear agar lebih cekap. Walaupun masih belum disahkan, Perodua juga akan meningkatkan kecekapan penggunaan minyaknya menjadi 22.2 km per liter dengan enjin 1.3 liter yang sama, naik dari 21.1 km per liter sebelum ini. Teaser terbaru ini juga menunjukkan butang “PWR” di stereng, yang untuk Ativa berfungsi meningkatkan respon D-CVTnya.

    Selain daripada perubahan mekanikal yang terlibat serta beberapa kemaskini teknologi keselamatan, Myvi baru ini juga menampilkan perubahan rekaan wajah depan dalam spyshot yang dilihat sebelum ini. Ini termasuk hadir dengan gril lebih besar macam Ativa, spoiler depan ala skid plate warna perak, DRL LED menegak serta lampu utama rekaan baru untuk bahagian dalamanya yang telah menggugurkan lampu posisi halogen. Di belakang, bampar juga diberi rekaan baru dengan corong hiasan yang lebih kurus.

    Harga kini bermula dari RM45,700 bagi model asas 1.3 dan naik hingga RM58,800 bagi varian 1.5 AV. Tidak mengambil kira model manual, Myvi model semasa dijual dari RM43,029 hingga RM52,697. Ini maknanya model facelift terbaru nanti adalah kira-kira RM3,000 lebih mahal bagi varian rendahnya, dan lebih daripada RM6,000 bagi varian tinggi.

     
     
  • Hyundai Creta facelift terdedah sebelum pelancaran rasmi – dibuat di Indonesia, dapat pakej SmartSense

    Hyundai Creta facelift terdedah sebelum pelancaran rasmi – dibuat di Indonesia, dapat pakej SmartSense

    Hyundai Creta facelift sepatutnya membuat penampilan rasmi pertama di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS), tetapi gambar penuhnya telah telah terdedah awal. Ketibaan model facelift ini juga boleh dianggap cepat kerana Creta baru sahaja memasuki pasaran awal tahun lalu. Ia akan dipasang di sebuah kilang baru di Cikarang, Indonesia.

    Sekarang, SUV segmen B ini menggunakan muka serba baru, yang seakan mengikuti konsep Tucson generasi keempat. Grilnya lebih menonjol dengan di hujung terdapat DRL LED yang terbahagi kepada tiga bahagian di setiap penjuru manakala lampu utama diletakkan di bawah.

    Pintu but juga menggunakan bentuk baru, dengan tulisan Creta di bahagian tengah, sementara sedikit perubahan dibuat pada lampu belakang LED serta bahagian bawah bamparnya. Saiz rim dan kemasan plastik di keliling lengkuk roda masih lagi sama.

    Hyundai Creta facelift terdedah sebelum pelancaran rasmi – dibuat di Indonesia, dapat pakej SmartSense

    Keadaan di bahagian dalam kebanyakannya masih lagi sama seperti model tahun 2020, dan ia didatangkan dengan panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sesentuh lapan inci di tengah, brek parkir elektronik, pengecas telefon tanpa wayar dan pengawal suhu satu zon dengan sistem pembersihan udara dalaman.

    Bukan setakat itu, berdasarkan laporan, Creta varian paling tinggi juga akan diberikan dengan bumbung panoramik, sistem bunyi Bose, tempat duduk berliang serta pakej keselamatan Hyundai SmartSense yang termasuk Forward Collision Warning, Lane Keeping Assist, Blind Spot Collision Assist, Rear Cross-Traffic Assist dan pemerhati keadaan belakang. Walaupun begitu, tiada Adaptive Cruise Control dan Autonomous Emergency Braking.

    Penggerak model ini adalah enjin empat siinder NA 1.5 liter yang digabungkan bersama kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT), untuk menghantar kuasa sehingga 115 PS dan 144 Nm tork kepada roda hadapan. Transmisi manual enam kelajuan juga dikatakan bakal termasuk dalam pilihan.

    Sekurang-kurangnya tiga varian dijangka ditawarkan untuk pasaran Indonesia iaitu Prime, Style dan Active, bersama pilihan warna merah dua tona. Perincian penuh SUV ini akan didedahkan dalam masa beberapa hari lagi.

     
     
  • Benelli TRK 800 ditunjuk dalam teaser – pengenalan rasmi 23 November waktu pameran EICMA 2021

    Benelli TRK 800 ditunjuk dalam teaser – pengenalan rasmi 23 November waktu pameran EICMA 2021

    Rasanya di negara kita juga ramai yang kenal dengan motosikal adventure Benelli TRK kerana dua versi pernah dilancarkan, iaitu TRK 502 dan TRK 251, dengan harga masing-masing sekitar RM30k dan RM14k. Tidak lama lagi, Benelli akan menunjukkan TRK 800 pula kepada dunia.

    Satu video teaser untuk TRK 800 telah disiarkan melalui media sosial, dan pengenalan rasminya cuma akan dibuat pada 23 November waktu pameran EICMA di Milan. Apa yang boleh dilihat melalui teaser ini kebanyakannya adalah proses awal rekaannya serta bentuk kasar dalam bentuk digital.

    Apa yang boleh dikatakan, Benelli bakal masuk dalam segmen sengit dengan rekaan yang lebih ke arah moden, dan bukannya serba ringkas seperti Tenere 700 dan Tuareg 660. TRK 800 dilihat mempunyai garis-garis badan yang rumit dan pelbagai perincian rekaan.

    Motosikal di dalam teaser ini juga kelihatan berbeza berbanding satu lagi lukisan paten model touring kelas pertengahan yang didaftar oleh Benelli di China baru-baru ini. Bahagian belakang mungkin mempunyai persamaan, tetapi bahagian hadapannya memang jelas berbeza.

    Kita masih perlu menunggu kemunculan rasmi untuk mengetahui perincian teknikal motosikal ini, tetapi jika Benelli menggunakan enjin yang mereka sedia ada, mungkin mereka memilih enjin dua silinder selari 754 cc daripada Leoncino 800, dengan kuasa sekitar 80 PS dan 67 Nm tork.

     
     
  • Enam pengeluar utama setuju hentikan produksi kenderaan enjin pembakaran dalaman menjelang 2040

    Enam pengeluar utama setuju hentikan produksi kenderaan enjin pembakaran dalaman menjelang 2040

    Beberapa negara dan pengeluar kenderaan dunia telah sepakat untuk menghentikan pengeluaran kenderaan enjin pembakaran dalaman menjelang tahun 2040, sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan pencemaran alam dan pemanasan global.

    Perkara ini dizahirkan semalam dalam Sidang Kemuncak Iklim COP26 yang berlangsung di Glasgow, Scotlands. Berdasarkan perjanjian dalam persidangan berkenaan, Britain selaku tuan rumah, mahukan negara yang menandatanganinya hanya menjual kenderaan pelepasan karbon-rendah berkuatkuasa pada 2040 dan mula melaksanakannya di pasaran utama sebelum 2035 secara berperingkat, laporan Reuters.

    Walau bagaimana pun, tiga pengeluar kenderaan dunia iaitu Toyota Motor Corp, Volkswagen AG, dan Stellantis tidak dimasukkan dalam senarai perjanjian kerana tidak menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian. Begitu juga dengan Honda Motor Co Ltd, Nissan Motor Co Ltd, BMW dan Hyundai turut tidak tersenarai dalam penjanjian ini.

    Enam pengeluar utama setuju hentikan produksi kenderaan enjin pembakaran dalaman menjelang 2040

    Manakala Volvo, Ford, Mercedes-Benz, BYD Co Ltd, Jaguar Land Rover dan Tata Motors Ltd telah menyatakan komitmen untuk menghentikan pengeluaran model kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman serta menyertai perjanjian tersebut, malah mensasarkan pengeluaran kenderaan sifar pelepasan secara 100%.

    Britain turut berkata, pihaknya sedang merintis inisiatif ke arah mewujudkan kenderaan sifar pelepasan sebagai norma baharu. Malahan langkah tersebut menerima sokongan dari pelbagai pihak termasuk beberapa negara seperti New Zealand dan Poland yang turut menyatakan pendirian yang sama.

    Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Shapps berkata, dalam masa yang sama, pihaknya akan menghentikan penjualan kenderaan perdagangan berat menggunakan enjin diesel menjelang tempoh 2035 hingga 2040.

    Memberi maklum balas mengenai penolakan cadangan tersebut, Toyota berkata, model perniagaan global syarikat berkenaan bakal berdepan kesukaran jika menyertai ikrar yang sama. Pengurus Besar Kilang Toyota ZEV, Kohei Yoshida, yang menerajui bahagian pengeluaran kenderaan sifar pelepasan berkata banyak pendekatan lain yang boleh digunakan bagi mencapai neutral karbon, berbanding memeterai perjanjian itu.

     
     
  • Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

    Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

    Toyota Avanza generasi ketiga akhirnya membuat penampilan sulung di Indonesia bersama versi Veloz yang lebih sporty. MPV terbaru ini menggantikan model generasi keduanya yang sudah berada dalam pasaran lebih sedekad, membawakan perubahan menyeluruh yang penting untuk Avanza.

    Pertama, Avanza kini menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut digunakan oleh Raize serta Daihatsu Rocky dan Perodua Ativa. Peralihan dari ladder frame ini kepada binaan monocoque disertai juga oleh suspensi jenis MacPherson strut di depan, dan torsion beam di belakang.

    Lebih penting, ini kali pertama Avanza menerima pacuan roda depan, kerana semua generasi sebelum ini datang sebagai pacuan belakang sahaja. Pilihan enjin seperti biasa dilihat, termasuk unit 1NR-VE 1.3 litre NA DOHC empat-silinder dengan Dual VVT-i yang menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 121 Nm tork pada 4,200 rpm, yang digandingkan dengan hanya transmisi manual lima-kelajuan.

    Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

    Pilihan lain ialah unit 2NR-VE 1.5 liter yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm yang dipadankan dengan sama ada transmisi manual lima-kelajuan atau CVT (tiada lagi 4AT), bergantung kepada varian.

    Rekaan badannya kini lebih besar, dengan dimensi ukuran barunya ialah 4,395 mm panjang (+205 mm) dan 1,730 mm lebar (+70 mm). Bergantung kepada varian, ketinggian kenderaan ini sama ada 1,665 mm (-30 mm) atau 1,700 mm (+5 mm), sementara jarak antara roda bertambah kepada 2,750 mm (+95 mm).

    Dari aspek penggayaan, Avanza terbaru ini sangat jauh berbeza berbanding model lamanya, dengan wajah depan menggunakan gril kurus dua jalur dan lampu utama rekaan tajam. Semua ini pula terletak di atas bukaan udara bentuk trapezoidal yang kelihatan sangat ketara, yang turut menempatkan kawasan lampu kabus bersegi.

    Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

    Dari sisi, garis badannya kelihatan tajam, menghubungkan bahagian depan dan belakang kenderaan ini, melalui pemegang pintu. Lekuk tayar yang besar juga menyuntik imej SUV kepadanya. Untuk lebih kesan visual, bahagian kemasan pada dasar tiang D digelapkan untuk menjadikannya kelihatan seperti bumbung terapung.

    Di belakang, Avanza menerima rekaan lampu tirus yang bersambung dengan bahagian logo Toyota. Ruang yang menempatkan nombor plat pula kini lebih kemas, disertai juga dengan pemantul di bahagian bawah apronnya.

    Bagi Veloz, ia menampilkan beberapa sentuhan unik untuk membezakannya daripada model biasa. Antaranya rekaan gril utama bentuk hexagonal dengan mesh bentuk Y. Ini diikuti pula oleh rekaan lampu utama yang berbeza, dan kluster berkenaan bersambung ke tiang A oleh jalur krom.

    Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

    Bentuk gril baru itu juga dilengkapi lagi dengan bampar baru dengan seksyen lampu kabus yang lebih menegak dengan disertai kemasan krom, sementara skid plate terletak di bawah bukaan udara di bawahnya. Perbezaan lain termasuklah lampu belakang dengan kelebaran penuh dan juga skid plate untuk mengimbangi imej di depan.

    Ruang dalaman juga sangat segar rekaannya, dengan papan pemuka berimej kontemporari. Sistem infotainmen terletak di atas kawasan corong udara, dengan kawalan digital bagi sistem pendingin hawa manualnya turut tersedia dalam kabin, serta rekaan roda stereng baru.

    Tombol gear pula di bawa lebih ke depan pada kedudukan lebih tinggi yang menghubungkan bahagian tengahnya, sementara konsol tengah menempatkan brek tangan, ruang barangan dan perehat lengan. Ada tiga baris tempat duduk tersedia untuk memuatkan tujuh orang. Dengan ukuran yang bertambah itu, ruang juga jadi lebih luas.

    Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

    Avanza ditawarkan dalam empat varian di Indonesia, bermula dari yang paling asas 1.3E yang dijual pada harga 206.2 juta rupiah (RM60,173). Ini versi 1NR-VE, manual lima-kelajuan dengan rim aloi 15-inci, kerusi balutan fabrik, skrin sentuh tujuh inci, slot USB, VSC, ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki, dua beg udara dan amaran tali keledar untuk semua kerusi.

    Naik satu tingkat ialah 1.5G, dengan enjin 2NR-VE sama ada dengan transmisi manual berharga 228.5 juta rupiah (RM66,673) atau automatik dengan 241.4 juta rupiah (RM70,437). Kelebihan 1.5G berbanding 1.5E adalah dengan penggunaan rim 16-inci, sensor parkir belakang, sistem penggera dan immbobiliser, paparan multi-info TFT 4.2-inci, skrin sentuh sembilan-inci, sistem tanpa kunci serta stereng larasan kecondongan dan jarak dari pemandu.

    Varian paling tinggi adalah 1.5G CVT TSS pada harga 264.4 juta rupiah (RM77,148), yang ditambah dengan Toyota Safety Sense — ini antara naiktaraf terpenting bagi model tersebut. Ciri ini merangkumi Pre Collision System, Front Departure Alert, Lane Departure Assist, Pedal Misoperation Control, Rear Crossing Traffic Alert dan Blind Spot Monitoring. Varian ini juga menerima enam beg udara dan sistem telematik T Intouch.

    Veloz pula hadir dengan lebih banyak kelengkapan dan hanya dengan enjin 2NR-VE. Veloz hadir dalam tiga varian, bermula dengan varian MT pada harga 251.2 juta rupiah (RM73,295), diikuti dengan Q CVT pada harga 272.1 juta rupiah (RM79,393) dan Q CVT TSS pada 291.5 juta rupiah (RM85,054).

    Semua varian ini hadir dengan kerusi balutan gabungan fabrik dan kulit, kluster instrumen tujuh-inci, brek parkir elektrik dengan Brake Hold automatik, pengecas tanpa wayar, sistem infotainmen dengan skrin sentuh sembilan inci, pendingin hawa automatik, sistem lampu suasana, perehat lengan material lembut, skirn hiburan di belakang, sensor parkir belakang dan sistem keselamatan pasif.

    Khas untuk Q CVT pula ialah rim 17-inci, mod pemanduan dan peninjau sekeliling, sementara MT menggunakan rim 16-inci dan kamera undur. Q CVT TSS paling tinggi pula menerima Toyota Safety Sense dan enam beg udara (varian lain hanya dua). Dengan penampilan terbaru dan segar ini, adakah Avanza jadi lebih menarik?

    GALERI: Toyota Avanza 2022

    GALERI: Toyota Veloz 2022

     
     
  • Yamaha MT-09 dijual secara rasmi di M’sia – RM54,998

    Yamaha MT-09 dijual secara rasmi di M’sia – RM54,998

    Yamaha MT-09 2021 yang sebelum ini cuma dipertonton awal waktu pelancaran skuter T-Max 560 bulan lalu sudah mempunyai harga jualan untuk pasaran Malaysia. Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) meletakkan harga model naked ini pada RM54,998 tidak termasuk insurans, dan tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Icon Blue dan Storm Fluo.

    Perubahan utama pada MT-09 2021 adalah bentuknya, yang masih lagi ringkas tetapi mempunyai bentuk lampu hadapan lebih unik serta unit LED kompak untuk pencahayaan utama dan jalur DRL menegak. Di sebalik badan ini, Yamaha turut menggunakan kerangka aluminium baru yang lebih tegar untuk memberikan lebih stabiliti dan karekter pemanduan dinamik.

    Enjinnya adalah sama seperti Tracer 9 2021, iaitu unit tiga silinder 890 cc, yang berkemampuan 119 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm. Selain kuasa yang lebih tinggi berbanding model sebelumnya, enjin ini turut dipertingkat untuk mematuhi tahap emisi Euro 5 manakala muncung suntikan bahan api diperelok untuk memberikan lebih penjimatan bahan api.

    Yamaha MT-09 dijual secara rasmi di M’sia – RM54,998

    Transmisi adalah unit enam kelajuan, dan klac jenis A&S dilaras kembali untuk memadankannya dengan kuasa baru enjin. Kemudian, penukar gear quickshifter yang datang standard pada motosikal ini turut dipertingkat untuk memberikan penukaran naik dan turun gear yang lebih pantas serta lancar.

    Di hadapan pemandu kini terletak panel paparan TFT berwarna 3.5 inci baru yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan operasinya boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.

    Peningkatan elektronik tidak terhenti di situ kerana MT-09 2021 kini dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU) 6-axis untuk memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).

    Suspensi MT-09 2021 masih lagi menggunakan fork 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras, tetapi ia telah ditala semula untuk menyesuaikannya dengan casis serta lengan ayun baru. Pada bahagian brek, di hadapan ia kini menggunakan pam utama radial untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston.

    Jika anda lihat lebih terperinci, rekaan rim 17 inci MT-09 ini juga berlainan. Bukan setakat rekaan, ia juga adalah 700 gram lebih ringan sekaligus memperbaiki kawalan motosikal dan kecekapan bahan api. Tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Kelengkapan lain pada MT-09 2021 adalah seperti tangki bahan api 14 liter, berat keseluruhan 189 kg, tinggi tempat duduk 825 mm dan jarak dari tanah 140 mm. Jarak roda untuk model baru ini juga bertambah 30 mm menjadikannya 1,430 mm.

    GALERI: Yamaha MT-09 2021

     
     
  • Proton Saga CKD Pakistan terima peningkatan – perehat tangan, penebat bunyi dan perincian lain

    Proton Saga CKD Pakistan terima peningkatan – perehat tangan, penebat bunyi dan perincian lain

    Selepas produksinya diumumkan bermula bulan lalu, Proton Saga pasaran Pakistan yang kini dipasang secara tempatan (CKD) di negara berkenaan diumumkan menerima berberapa penambahan ciri berbanding unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Malaysia sebelum ini.

    Antara peningkatan yang ditunjukkan dalam satu hantaran laman Facebook rasmi Proton Pakistan adalah perehat tangan untuk tempat duduk hadapan, yang dibalut dengan kulit sintetik serta menempatkan ruang storan dan port USB tambahan – ciri ini tiada pada Saga pasaran Malaysia. Ia juga kini diberikan penebat bunyi pada penutup bonet hadapan dan penutup but belakang yang ditawarkan secara aksesori opsyen bagi Saga di Malaysia.

    Lain-lain peningkatan yang diberikan adalah perincian yang sudahpun ada pada Saga pasaran Malaysia iaitu penderia parkir hadapan, dan juga bar penstabil yang menghubungkan cagak sebelah atas suspensi hadapan. Walau bagaimanapun Proton Pakistan tidak memperincikan sama ada peningkatan ini diberikan standard untuk semua varian atau hanya untuk varian tertinggi.

    Proton Saga CKD Pakistan terima peningkatan – perehat tangan, penebat bunyi dan perincian lain

    Proton Saga untuk pasaran Pakistan ini dijana dengan enjin S4PE dengan kapasiti 1,299 cc, atau 33 cc lebih kecil berbanding model pasaran Malaysia dengan kapasiti 1,332 cc. Ini membolehkan Saga diklasifikasikan sebagai model dengan enjin dalam julat tidak melebihi 1.3L di Pakistan, dan menerima potongan cukai lebih banyak membolehkan ia dijual dengan harga lebih kompetitif di pasaran berkenaan.

    Sebanyak tiga varian ditawarkan untuk pasaran berkenaan iaitu Saga standard MT dijual pada harga 1.925 juta PKR (RM47k), Saga standard AT berharga 2.075 juta PKR (RM50k), varian tertinggi Saga Ace AT berharga 2.125 juta PKR (RM52k).

    Selepas Saga, kilang Proton Pakistan milik Al-Haj Automotive berkenaan akan mula memasang SUV segmen-C Proton X70. Dengan mensasarkan pengeluaran tahunan sebanyak 25,000 unit, kilang terbabit dibangunkan dengan kos bernilai US$20 juta (RM83 juta). Malahan Proton telah menempatkan 20 kakitangannya yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang berkaitan pengilangan ditempatkan di Karachi untuk membantu dalam proses pemasangan.

     
     
  • Daihatsu Mira Walkthrough Van dari Malaysia layak ke peringkat akhir Hot Wheels Legends Tour Global 2021!

    Daihatsu Mira Walkthrough Van dari Malaysia layak ke peringkat akhir Hot Wheels Legends Tour Global 2021!

    Kita di Malaysia ramai yang kenal akan Daihatsu Mira, iaitu model Kei-Car dari Jepun yang menjadi asas kepada model pertama keluaran jenama automotif nasional kedua negara iaitu Perodua Kancil. Tapi anda kenal dengan Mira Walkthrogh Van? Model ini juga diasaskan dari Mira, tetapi diberikan badan yang diubah untuk kegunaan komersil, khususnya bagi digunakan untuk tujuan seperti dijadikan food truck kompak atau penghantar barang di Jepun.

    Namun sekiranya ada Daihatsu Mira Walkthrough Van ini dijelmakan sebagai model die-cast keluaran Hot Wheels kelak, ia mungkin bukan kerana permintaan dari peminat Kei-Car dari Jepun, sebaliknya diasaskan dari kereta yang berada di Malaysia. Ini kerana Daihatsu Mira Walkthrough Van milik pemenang Hot Wheels Legends Tour Malaysia 2021 telah pun disahkan layak untuk bertanding di peringkat akhir!

    Mira Walkthrough Van berwarna hijau ini adalah milik Abdul Wahab Bin Bahari. Ia adalah model keluaran 1986, bermakna ini adalah Mira generasi L70 yang lebih awal dari Mira L200 yang dijelmakan sebagai Kancil di Malaysia. Bagi menambah keunikan kepada Mira ini, Abdul Wahab telahpun memadankan muka hadapan Mira Classic dari generasi L500.

    Daihatsu Mira Walkthrough Van dari Malaysia layak ke peringkat akhir Hot Wheels Legends Tour Global 2021!

    Bukan sahaja muka, Abdul Wahab turut memadankan bampar belakang Mira yang diinspirasikan dari Mini Cooper berkenaan, bersama lampu-lampu bulat di belakang yang diambil dari pelbagai model yang disusun menegak bagi memberikan rupa seolah-olah ia memang sebuah Walkthrough Van dalam versi Classic.

    Kesemua ruang roda dilebarkan lagi bagi menempatkan set roda dengan rim ‘mangkuk’ kemasan krom, bersama pelbagai perincian custom lain seperti rak bumbung bersama tangga sisi dan juga silinder krom pada setiap bendul sisi untuk disesuaikan dengan imej Classic berkenaan. Badan Mira ini kemudian disudahkan dengan warna hijau metalik, bersama efek seperti mutiara yang begitu menyerlah.

    Bahagian dalaman Mira Walkthrough Van ini juga menerima rombakan yang begitu menyeluruh. Papan pemuka asal telah digantikan dengan papan pemuka dari Mira L200, manakala roda stereng dan juga konsol gear diambil dari Daihatsu Move L900.

    Daihatsu Mira Walkthrough Van dari Malaysia layak ke peringkat akhir Hot Wheels Legends Tour Global 2021!

    Unsur-unsur klasik pada bahagian kabin Mira ini boleh dilihat menerusi panel sisi dan lantai yang diperbuat dari kayu. Malah Abdul Wahab turut menghasilkan jump seat yang boleh dilipat untuk penumpang belakang. Manakala untuk enjin, unit asal telah digantikan dengan enjin EF-JL 660 cc tiga-silinder turbo yang diambil dari Mira L200.

    Selepas menang pusingan Malaysia (mengalahkan secara keseluruhan 163 peserta lain) yang diadakan di Muzium RWB Johor Bahru pada 17 Oktober lalu , Mira Walkthrough Van milik Abdul Wahab ini seterusnya bertanding di peringkat separuh akhir pada 4 November, berentap dengan peserta dari Brazil, Chile, Jerman, Jepun, Australia, Mexico, UK, dan New Zealand.

    Antara kereta-kereta yang memberikan cabaran pada peringkat separuh akhir berkenaan termasuk Mazda 616 Capella 1973, Ford Escort 1974, Wenckstern 2018, ‘Aint No Saint’ Volvo P1800 1969, Volkswagen ‘Rat Rod’ 1990, ‘Yellow Black Lethal’ Chevrolet Opala Comodoro 4100 1977, Ford Coupe 1947 dan 1969 Nissan Cedric 130.

    Daihatsu Mira Walkthrough Van dari Malaysia layak ke peringkat akhir Hot Wheels Legends Tour Global 2021!

    Walaupun berhadapan dengan saingan sengit, Mira Walkthrough Van Abdul Wahab berkenaan telah terpilih sebagai lima finalis, dan berjaya membawa nama Malaysia untuk ke peringkat akhir serta bakal berhadapan dengan cabaran lebih sengit dari peserta UK, Mexico, Jerman, New Zealand dan juga finalis-finalis dari Amerika Utara.

    Tidak seperti sebelum-sebelum ini di mana pusingan akhir Hot Wheels Legends Tour diadakan ketika berlangsungnya acara SEMA di Las Vegas, tahun ini (dan juga tahun lalu) ia terpaksa diadakan secara atas talian kerana pandemik Covid 19 yang masih belum reda.

    Oleh itu, Hot Wheels Legends Tour Global Virtual Finale 2021 bakal disiarkan secara maya di laman facebook rasmi Hot Wheels di PAUTAN INI, pada 13 November 9 pagi waktu Amerika Syarikat atau bersamaan 14 November 1 pagi waktu Malaysia. Ayuh, banjirkan siaran langsung berkenaan dengan penonton dari Malaysia dan berikan sokongan padu kepada Abdul Wahab bersama Daihatsu Mira Walkthrough Van 1986 miliknya!

     
     
  • Honda ZR-V teaser depan baru, bakal dilancarkan esok

    Honda ZR-V teaser depan baru, bakal dilancarkan esok

    Seperti dilaporkan sebelum ini, Honda akan mendedahkan SUV kompak terbarunya ketika acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021 yang akan dibuka kepada media esok, 11 November. Beberapa bayangan imej model yang dikatakan akan diberi nama ZR-V ini juga sudah pernah kelihatan, tetapi kini ada teaser bahagian depan dan belakang terbaru.

    Paling jelas kelihatan adalah DRL LED dalam jalur tajam yang membawa kepada lencana Honda. Turut kelihatan adalah beberapa jalur LED lebih pendek di hujungnya. Elemen berpetak pada rekaan gril juga kini lebih besar. Tiada lagi imej gril seperti HR-V terbaru juga tiada lagi.

    Imej teaser sebelum ini menunjukkan badan crossover kompak ini agak bergaya dengan garisan tingkap sedikit bengkok seperti Proton X50 dan juga tiang-D gelap serta gaya ‘bumbung terapung’, bersama lampu belakang lebar sepenuhnya. Honda turut menunjukkan teaser untuk ZR-V ketika melancarkan Civic baharu di Indonesia, mendedahkan lampu utama yang tajam, paten gril chequered, grafik bertitik pada lampu belakang dan lencana RS.

    Honda ZR-V teaser depan baru, bakal dilancarkan esok

    Sehingga kini, Honda masih belum mendedahkan sebarang perincian mengenai model ini tetapi dijangkakan ZR-V ini bakal berkongsi elemen dengan BR-V iaitu enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC dengan 121. PS/145 Nm dan CVT (mungkin juga seperti model City pasaran Thailand dengan unit 1.0. liter pengecas turbo tiga-silinder 122 PS/173 Nm, seperti juga penjana kuasa e:VEV hybrid).

    Turut dijangkakan model ini mungkin akan didatangkan dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing, termasuk brek kecemasan sendiri dan kawalan kelajuan adaptif. Di India, ZR-V dikatakan bakal menggantikan WR-V yang berasaskan Jazz. Ada peluang ZR-V ini masuk pasaran Malaysia juga?

     
     
  • Subaru Solterra EV 2023 diperkenalkan di LA 17 Nov

    Subaru Solterra EV 2023 diperkenalkan di LA 17 Nov

    Subaru telah mengesahkan SUV elektrik sepenuhnya yang pertama dari pengeluar kereta ini, Solterra, akan membuat penampilan rasminya pada 17 November 2021 menerusi acara Los Angeles Auto Show. Susulan dengan pengumuman tersebut, Sebaru telah mengeluarkan satu lagi imej teaser dengan menampilkan imej fender hadapan EV itu.

    Seperti kebanyakan SUV lain, lapisan badan berwarna hitam turut ditampilkan pada Solterra, walau pun bentuknya agak sedikit unik. Bukan sekadar agak bersudut, lapisan tersebut juga melunjur ke hadapan hingga ke bawah lampu utama sebelum bertemu dengan apron bawah. Gambaran ini turut dikelihatan pada Toyota bZ4X, yang boleh dianggap sebagai ‘adik-beradik’ Solterra.

    Selain fender yang bergaya, teaser sebelum ini menunjukkan bZ4X dan dan Solterra memiliki rekaan badan serta dalaman yang lebih kurang sama. Walau bagaimana pun Solterra memiliki beberapa sentuhan unik termasuk pada rekaan unit pencahayaannya.

    Diposisikan di bawah SUV segmen-C, Solterra dibangunkan dengan platform EV hasil kerjasama dengan Toyota yang digelar e-Subaru Global Platform (e-SGP). Sebab itulah ia memiliki persamaan dengan bZ4X (yang menggunakan nama platform e-TGNA).

    Sebelum ini Subaru juga mengesahkan Solterra akan didatangkan dengan sistem Symmetrical All-Wheel Drive, di mana ia mempunyai larasan dwi-motor. Sementara bZ4X pula memiliki sistem pacuan roda-hadapan. Perincian penuh mengenai SUV EV ini akan kita dapat ketahui sepenuhnya dalam beberapa hari lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia panggil semula kenderaan yang berpotensi terjejas kerana beg udara Takata

    Mercedes-Benz Malaysia panggil semula kenderaan yang berpotensi terjejas kerana beg udara Takata

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun mengeluarkan notis panggilan semula terhadap kereta-kereta yang mungkin terjejas kerana dipadankan dengan modul beg udara Takata. Langkah ini merupakan sebahagian dari panggilan semula global terhadap kenderaan-kenderaan jenama tersebut sama ada dari barisan kereta penumpang dan juga komersil.

    Panggilan semula kali ini melibatkan model-model yang diproduksi antara tahun 2004 hingga 2016, secara spesifiknya model A-Class W169, C-Class W203 dan W204, GLK X204, E-Coupe C207 dan Convertible A207, E-Class W212, ML W164 dan GL-Class X164, R-Class W251, SLK W171, dan juga SLS AMG W197.

    Pemilik-pemilik model yang dinyatakan di atas digesa agar memeriksa nombor casis (nombor identifikasi kenderaan atau VIN) di laman mikro Mercedes-Benz pada PAUTAN INI atau pusat khidmat pelanggan di talian 1-800-88-1133 bagi memastikan kereta masing-masing terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini.

    Sekiranya ia disahkan terlibat, pemilik kenderaan berkenaan diminta untuk membuat temu janji di pengedar Mercedes-Benz bertauliah bagi menukar modul beg udara keluaran Takata berkenaan. Segala kos bagi kerja-kerja pembaikan dan juga penukar komponen tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh MBM.

    “Mercedes-Benz Malaysia dan Daimler AG ingin memastikan kepada semua pelanggan bahawa semua kenderaan penumpang Mercedes-Bnez yang dikeluarkan pada masa ini tidak lagi dilengkapi dengan beg udara Takata (atau pengeluar lain) yang berasaskan ammonium nitrat sebagai propelan utama,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut hari ini.

    “Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pelanggan dan untuk mendapatkan lebih kefahaman terhadap kondisi modul beg udara dalam kenderaan selepas tempoh yang lama,” tulis kenyataan itu lagi, dan menambah bahawa MBM juga terus mengamalkan ketelusan serta kawalan kualiti yang ketat, kerana keselamatan pelanggan diletakkan sebagai yang paling utama setiap masa.

     
     
  • Harga minyak 11-17 Nov – RON 97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 11-17 Nov – RON 97 naik 2 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) telah memaklumkan bagi minggu bertarikh 11 hingga 17 November 2021, harga runcit bagi bahan api petrol RON 97 sekali lagi mengalami kenaikan iaitu sebanyak dua sen seliter. Kini harganya menjadi RM3.08 seliter berbanding RM3.06 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan iaitu RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 17 November 2021.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025