Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ola Electric keluaran India sudah boleh ditempah – harga dari RM4.6k, banyak kelengkapan berteknologi

    Ola Electric keluaran India sudah boleh ditempah – harga dari RM4.6k, banyak kelengkapan berteknologi

    Ola Electric S1 dan S1 Pro yang anda lihat ini mungkin adalah skuter elektrik paling berteknologi tinggi yang berada di pasaran sekarang. Meskipun rupanya ada persamaan dengan skuter elektrik lain, kelengkapan yang diberi bukan sahaja menggunakan teknologi yang biasanya ada pada motosikal, tetapi juga kereta.

    Produk keluaran syarikat dari India ini akan ditawarkan dalam dua versi iaitu Ola S1 dan Ola S1 Pro. Harga sebenarnya masih belum didedahkan tetapi ia diberitahu bermula dari 79,999 rupee (RM4,562). Tempahan untuk dua model ini sudah dibuka melalui laman web rasmi syarikat, dengan bayaran awal 499 rupee sementara penghantaran kepada pelanggan dikatakan bermula pada bulan Oktober.

    Ola S1 menggunakan motor elektrik 8.5 kW yang dibangunkan sendiri oleh Ola, dan mampu memberikan tork maksimum 58 Nm. Spesifikasi terperinci baterinya tidak diberitahu tetapi Ola S1 dikatakan mampu memberikan jarak gerak 121 km dengan sekali cas penuh dan laju maksimum 90 km/j, sementara S1 Pro pula boleh mencapai 181 km dan 115 km/j.

    Di hadapan penunggang, terdapat skrin sesentuh tujuh inci yang dikuasakan oleh pemproses 1.8 GHz Quadcore dengan RAM 3 Gb, sambungan Bluetooth serta GPS binaan dalam. Selain kawalan sentuh, penunggang juga boleh menggunakan arahan suara untuk mengawal sistem ini kerana ia dilengkapi dengan mikrofon serta pembesar suara.

    Sudah tentu, dengan adanya sambungan Bluetooth, pelbagai lagi fungsi dapat digunakan apabila ia disambungkan kepada telefon pintar, seperti paparan informasi penting termasuk tahap bateri dan jarak, lokasi sebenar, memainkan muzik, memaparkan mesej serta membuat panggilan. Malah, untuk memulakan enjin juga, pemilik cuma perlu menyentuh skrin dan membawa telefon bimbit dekat kepada motosikal.

    Kelengkapan serta fungsi yang dinyatakan tadi mungkin nampak biasa, tetapi Ola S1 ada beberapa lagi keistimewaan. Seperti motosikal mewah atau berkuasa tinggi, ia dilengkapi dengan cruise control (Ola S1 Pro) Hill Hold Control, gear undur serta sistem amaran apabila motosikal keluar daripada jarak keliling yang telah ditetapkan oleh pemilik.

     
     
  • Puspakom Glenmarie, Teluk Kumbar dibuka semula, perkhidmatan trak, van mobiliti kembali beroperasi

    Puspakom Glenmarie, Teluk Kumbar dibuka semula, perkhidmatan trak, van mobiliti kembali beroperasi

    Kini kilang pemasangan kenderaan dan juga bilik pameran telah boleh beroperasi semula, sekaligus aktiviti membeli dan menjual kenderaan kembali berjalan selepas beberapa bulan ia tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Selain itu, perkhidmatan Puspakom turut ditagih, jadi cawangan yang ditutup sementara untuk kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi telah pun kembali beroperasi.

    Dalam masa yang sama Puspakom telah mengumumkan trak dan van mobiliti bagi unit pemeriksaan di sekitar Johor juga telah kembali beroperasi. Bagi menempah perkhidmatan tersebut untuk ke lokasi anda, bolehlah menghubungi talian 07-3530789.

    Selain itu, cawangan Glenmarie di Selangor dan Teluk Kumbar di Pulau Pinang juga telah kembali beroperasi sejak kelmarin. Sebelum ini, Puspakom Glenmarie telah ditutup sejak 30 Julai lalu, manakala cawangan Teluk Kumbar pula, ditutup sejak 12 Ogos. Waktu operasi bagi cawangan yang telah dibuka semula itu ialah dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Seperti biasa, jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan di Puspakom, hendaklah membuat tempahan slot temujanji secara dalam talian dan pilih cawangan mana yang dipilih. Malahan baru-baru ini juga Puspakom tidak lagi membenarkan daftar masuk (check-in) secara manual (tulis dalam buku log), dan hanya pelanggan yang menunjukkan status rendah risiko (low risk) menerusi aplikasi MySejahtera sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam premis.

    Turut dimaklumkan, Puspakom Langkawi telah ditutup sejak kelmarin untuk kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi, sehingga ke tarikh yang bakal diberitahu kelak. Semua pembayaran yang telah dibuat untuk temujanji berjadual sepanjang penutupan akan dipulangkan secara automatik. Anda boleh membuat temujanji bahari apabila cawangan terbabit dibuka semula kelak. Jika anda menerima mesej peringatan MyPuspakom, sila abaikan.

     
     
  • CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    Dalam satu sidang akhbar bersama wakil media Malaysia, ketua pegawai eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif telah menekankan bahawa usaha untuk membangunkan bakat lumba motosikal dalam negara dari akar umbi masih lagi berjalan dan akan diteruskan. Apabila tajaan Petronas sudah berakhir, SIC tidak akan terlibat lagi dengan Sepang Racing Team (SRT) dan kedua-duanya akan diletakkan sebagai entiti yang berbeza.

    “Ya, SRT, atau apa pun ia tahun depan, akan diletakkan di bawah Datuk Razlan Razali dan akan bersaing dalam MotoGP, manakala pasukan Moto2 dan Moto3 akan dibubarkan. Berkenaan apa perancangan beliau, saya biarkan pada beliau dan pasukan untuk menerangkan sendiri pada masa yang sesuai,” kata Shafriman.

    Petronas telah menamatkan kontrak tajaan mereka bersama SIC dalam pasukan MotoGP tahun ini, dan pihak pengurusan litar sekarang menjemput mana-mana pihak, besar atau kecil untuk menjadi penaja sama ada untuk sukan permotoran ataupun acara lain di litar.

    CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    “Kami terbuka untuk sebarang penajaan tetapi sudah tentu, dengan keadaan industri (sukan permotoran) yang sedang sukar sekarang dan bajet dikurangkan, kami boleh faham. Kami juga terbuka untuk meneroka jalan lain bagi tajaan bukan tradisional untuk pembangunan pembangunan sukan permotoran di Malaysia, tambah Shafriman.

    Petronas, melalui cabang produk pelincir Petronas Lubricants dan jenama Sprinta sebelum ini mempunyai kontrak selama lima tahun untuk tajaan pasukan lumba. Tujuan kontrak ini adalah untuk membawa pelincir Petronas lebih ke hadapan di persada global dan sumber kami mengatakan MotoGP dianggap sebagai satu platform yang ideal.

    “Seperti yang dinyatakan dalam siaran akhbar oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sasaran untuk kontrak ini berjaya dicapai,” kata Shafriman, “tetapi nanti masih akan ada peluang untuk SIC bekerjasama dengan Petronas di masa hadapan.” Apabila ditanya sama ada ini akan melibatkan hanya satu acara atau perlumbaan, Shafriman menjawab, “peluang untuk bekerjasama dengan Petronas dan penaja lain sentiasa ada.”

    CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    Untuk baki perlumbaan tahun 2021 ini, SIC mempunyai empat pelumba yang bersaing dalam kejuaraan FIM CEV iaitu Hakim Danish dan Sharul Ezwan dalam European Talent Cup, Syarifuddin Azman dalam kategori Moto3 FIM CEV dan Adam Norrodin dalam Moto2 FIM CEV.

    Berkenaan perancangan bagi pelumba motosikal muda Malaysia yang bersaing di Eropah sekarang, Shafriman memberitahu, perancangan untuk memperkuatkan lagi pasukan sudah ada, termasuk mengambil pengayuh basikal Olimpik negara, Josiah Ng sebagai pelatih kecergasan fizikal dan mental. Selain daripada itu, mereka juga mengambil personaliti TV dan sukan permotoran, Nurul Alis Aidil Akhbar untuk melaksanakan tugas perhubungan awam SIC Racing Team.

    “Kami masih belum berhenti membangunkan bakat lumba muda dalam negara, dengan sasaran meletakkan mereka di pentas dunia. Tetapi, ini juga bermakna terdapat kriteria prestasi yang perlu dicapai, dan kami tidak mahu mengambil penunggang Malaysia hanya mereka warga Malaysia sahaja,” jelas Shafriman.

    CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    “Pelumba kita di Malaysia mempunyai banyak bakat dan kami membuat sasaran memberikan mereka platform untuk mengembangkan lagi bakat tersebut,” kata beliau. Shafriman bagaimanapun bersikap realistik terhadap peluang pelumba muda SIC untuk diangkat naik ke MotoGP dan dua lagi perlumbaan dalam kejuaraan sama, iaitu Moto2 dan Moto3.

    Dalam menjawab persoalan sama ada pelumba Malaysia akan berhadapan keadaan lebih sukar kerana tiada lagi pasukan yang ditaja oleh warga Malaysia dalam MotoGP, Shafriman berkata, “ya, keadaan akan lebih sukar. Sudah tentu, tak pernah ada sesuatu yang dikatakan sebagai promosi automatik di dalam kelas premier. Kedudukan dalam pasukan adalah berdasarkan prestasi. Ini bermakna mereka perlu bekerja lebih keras dan bersaing dengan semua pelumba untuk mendapatkan tempat.”

     
     
  • MAA alu-alukan keputusan kerajaan benarkan sektor automotif beroperasi semula selepas rugi RM14 bilion

    MAA alu-alukan keputusan kerajaan benarkan sektor automotif beroperasi semula selepas rugi RM14 bilion

    Keputusan kerajaan untuk membenarkan jualan kenderaan dan pengilangan automotif disambung di negeri-negeri yang kini berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) disambut baik oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Persatuan itu memaklumkan, pembukaan semula sektor automotif ini tepat pada masanya memandangkan banyak syarikat berkaitan automotif berada dalam keadaan genting akibat pandemik dan juga PKP yang dikenakan.

    MAA yang sebelum ini telah menyuarakan gesaan terhadap kerajaan supaya membuka semula sektor automotif untuk membolehkan jualan kenderaan dan operasi dikilang disambung semula dengan SOP ketat, berkata bahawa industri automotif tempatan telah mencatatkan kerugian yang besar memandangkan kilang pemasangan, pusat edaran kenderaan dan cawangan jualan ditutup sepenuhnya sejak 1 Jun 2021 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

    Menurut Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, industri berkenaan telah kerungian lebih daripada RM14 bilion sepanjang Jun dan Julai akibat penutupan penuh operasi. “Ini hanya melibatkan kesan disebabkan oleh jualan kenderaan dalam pasaran tempatan,” jelasnya.

    MAA alu-alukan keputusan kerajaan benarkan sektor automotif beroperasi semula selepas rugi RM14 bilion

    Aishah menambah, penutupan operasi peniagaan itu sebenarnya memberi kesan yang lebih luas terhadap eko-sistem automotif tempatan. “Ahli persatuan kami juga banyak menanggung rugi melibatkan eksport kenderaan dan komponen serta jualan alat ganti dalam pasaran tempatan. Secara keseluruhannya, semua kerugian ini adalah sangat besar dan tidak dijangkakan awalnya,” tambah Aishah.

    Menurutnya lagi, pengedar kenderaan telah menerima kesan paling besar akibat PKP, terutama sekali perniagaan yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan daripada jualan kenderaan baru. Sebahagian besar kelompok ini berdepan dengan masalah aliran tunai yang teruk memandangkan mereka tidak boleh menjual apa-apa untuk menjana pendapatan. Ini menjurus pula kepada kesukaran mengekalkan tenaga kerja, terutamanya penasihat jualan.

    Aishah turut menambah sekiranya penutupan sektor ini berterusan, industri ini tidak akan dapat bertahan dengan sendirinya. “Ramai di antara kami yang terhimpit. Kami telah gunakan sebahagian besar simpanan selama setahun setengah ini. Jadi, adalah sangat melegakan apabila kerajaan akhirnya membenarkan perniagaan disambung untuk menghidupkan kembali indsutri ini,” jelasnya.

    MAA alu-alukan keputusan kerajaan benarkan sektor automotif beroperasi semula selepas rugi RM14 bilion

    Jualan dan pengeluaran kenderaan bagi tempoh dua setengah bulan terakhir ini menjadi cerminan betapa parahnya situasi. Bagi Jun, hanya 1,921 unit dan 7,086 unit pada Julai — jauh daripada angka asal sekitar 45,000 hingga 50,000 unit sebulan. Begitu juga dengan pengeluaran kenderaan, Jun dan Julai hanya menyaksikan masing-masing hanya 276 unit dan 2,775 unit dikeluarkan, berbeza dengan angka 40-50k unit bagi bulan-bulan biasa sebelum ini.

    Berkaitan vaksinansi, ahli MAA telah menyahut seruan kerajaan untuk mendaftar program berkenaan untuk semua pekerjanya. Banyak syarikat telah memulakan program vaksinasi untuk membolehkan seramai mungkin pekerja menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara pekerja di beberapa lagi syarikat telah menerima suntikan penuh ketika ini.

     
     
  • JPJ tawar 70% diskaun saman mulai 18 Ogos sehingga 16 September 2021 sempena Hari kemerdekaan ke-64

    JPJ tawar 70% diskaun saman mulai 18 Ogos sehingga 16 September 2021 sempena Hari kemerdekaan ke-64

    Sempena dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-64 yang bertemakan “Malaysia Prihatin” bagi tahun 2021, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman sehingga 70%. Ia bertujuan untuk meringankan beban rakyat, selaras dengan kemelut ekonomi yang melanda segenap lapisan masyarakat di negara ekoran daripada pandemik Covid-19.

    Menurut JPJ, tawaran pengurangan tersebut adalah untuk semua saman JPJ yang boleh dikompaun, kecuali kes yang masih dalam sebutan pihak Mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

    “Pengurangan kompaun yang bermula pada 18 Ogos sehingga 16 September 2021 ini, akan diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan Senarai Hitam (blacklist).

    JPJ tawar 70% diskaun saman mulai 18 Ogos sehingga 16 September 2021 sempena Hari kemerdekaan ke-64

    Pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ,” kata kenyataan JPJ.

    Walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam (blacklist), pesalah dikehendaki untuk hadir semula ke pejabat JPJ (Cawangan ataupun Negeri), bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.

    Tambahnya lagi, tawaran ini turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 September 2021.

    Urusan pembayaran notis saman ini boleh dibuat di semua pejabat JPJ Negeri, cawangan dan UTC, kiosk atau secara atas talian melalui portal mySIKAP JPJ.

     
     
  • Renault Hippie Caviar Hotel — konsep van camper EV dengan khidmat layanan dan kontena logistik

    Renault Hippie Caviar Hotel — konsep van camper EV dengan khidmat layanan dan kontena logistik

    Renault telah menunjukkan sebuah rekaan konsep van “camper” yang dikenali Hippie Caviar Hotel, sebuah rekaan yang yang membawakan “pengalaman hotel 5-bintang” terhadap rutin penggunanya.

    Bakal dipertontonkan di Düsseldorf Motor Show yang bermula 27 Ogos ini, rekaan konsep berkenaan menggunakan asas van Trafic, dan telah disertakan dengan kerus panjang yang boleh diubah menjadi tempat tidur berdimensi 145 cm x 195 cm yang boleh dipadang di dalam atau luar kenderaan.

    Kemasan dalaman terdiri daripada kayu eksotik, gentian asli (linen dan wool) serta foam berasaskan tumbuhan, sementara warna dan material yang digunakan pula mengambil ilham dan semangat tahun-tahun 1960an.

    Renault Hippie Caviar Hotel — konsep van camper EV dengan khidmat layanan dan kontena logistik

    Dua tataletak boleh dimanfaatkan; yang pertama tataletak “cosy” di mana kerusi panjang dan kerusi sudut diletakkan dalam kedudukan untuk ruang ala kawasan lounge, dan disertai oleh “rooftop terrace” yang lengkap dengan meja kopi dan sepasang penyandar, yang boleh diakses menggunakan tangga.

    Yang kedua ialah tetaletak “contemplation”, seperti yang ditunjukkan dalam gambar. Katil terletak di bawah pintu belakang, dengan tirai penghadang memberikan privasi dan perlindungan dari cuaca bagi kedua-dua sisi.

    Pengalaman perkhemahan premium ini dibayangkan pula dengan adanya sebuah kontena untuk bilik air, tempat pengecasan elektrik dan fungsi lain ke lokasi yang ditentukan oleh pelanggan, sebagai tambahan kepada servis layanan yang boleh dipesan secara dalam talian dan dihantar ke van berkenaan menggunakan drone.

    Renault Hippie Caviar Hotel — konsep van camper EV dengan khidmat layanan dan kontena logistik

    Van Tarfic kini dalam generasinya yang ketiga, dengan versi facelift telah dilancarkan dalam bentuk Trafic Combi form untuk kegunaan pengangkutan umum dan keluarga besar, sementara versi SpaceClass dan Signature menyediakan tempat duduk VIP dan ruang kelas perniagaan. Dalam tataletak biasa seperti ini, Trafic menyediakan 1,800 liter kapasiti kargo, atau boleh memuatkan sembilan penumpang dewasa.

    Tiga pilihan enjin diesel ditawarkan ketika pelancarannya; ini termasuk dCi 150 dengan transmisi manual dan EDC klac berkembar automatik; dCi 110 dengan transmisi manual; dan dCi 170 dengan transmisi EDC automatik sahaja.

    Ciri bantuan pemanduan yang ada pada Trafic facelift ini termasuk kawalan melayar adaptif, brek kecemasan dalam bandar aktif, amaran penukaran lorong, amaran titik buta dan beg udara rekaan baru untuk dua penumpang di depan.

     
     
  • Kawasaki Z900RS diperbaharui – skema warna baru, suspensi belakang Ohlins, fork USD boleh laras

    Kawasaki Z900RS diperbaharui – skema warna baru, suspensi belakang Ohlins, fork USD boleh laras

    Sejak diperkenalkan kepada dunia buat kali pertama pada tahun 2017, Kawasaki Z900RS telah beberapa kali diberikan peningkatan dan untuk model tahun 2022 ia terus lagi diperbaharui. Perkara pertama sudah tentu adalah penampilan, di mana ia sekarang didatangkan dengan pilihan warna emas/hitam seperti model Z1 tahun 1970-an.

    Satu lagi bahagian yang dipertingkat adalah suspensi, di mana Z900RS 2022 dipasang dengan monoshock belakang Ohlins yang boleh dilaras untuk pra beban dan lantunan, sementara di hadapan pula menggunakan fork USD 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya untuk pra beban, lantunan dan mampatan. Menjadikannya lebih menarik, fork tersebut dicat warna emas.

    Bahagian lain tidak diubah, termasuk enjin iaitu unit empat silinder 848 cc yang mampu menghasilkan 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan yang dilengkapi klac slip and assist, serta sistem pacuan rantai.

    Kawasaki Z900RS diperbaharui – skema warna baru, suspensi belakang Ohlins, fork USD boleh laras

    Untuk bahagian brek, Z900RS menggunakan tetapan cakera 300 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan tetapan cakera tunggal di belakang. Berat keseluruhan model yang berbentuk klasik ini adalah 215 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api 17 liter.

    Di Malaysia, pengedar motosikal Kawasaki sudah senyap beberapa tahun tanpa ada sebarang model baru yang dilancarkan, dan bagi Z900RS, semasa tiba, ia dijual pada harga RM67,900 bagi versi standard, RM69,900 bagi versi SE dan RM72,372 bagi versi Cafe Racer.

     
     
  • JPJ ingatkan pengguna untuk perbaharui lesen dan cukai jalan sebelum 30 September – tiada lanjutan lagi

    JPJ ingatkan pengguna untuk perbaharui lesen dan cukai jalan sebelum 30 September – tiada lanjutan lagi

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali mengingatkan pengguna bahawa tarikh akhir bagi pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan adalah pada 30 September nanti, dan tempoh itu tidak akan dilanjutkan lagi. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim memaklumkan, lanjutan tempoh yang telah diberikan sebelum ini (dari 1 Ogos kepada 30 September) akibat pandemik dan juga kawalan pergerakan, lapor Bernama.

    Menurut Zailani, selain servis di kaunter cawangan JPJ (dengan temujanji sahaja), pembaharuan lesen dan cukai jalan boleh dibuat di cawangan Pos Malaysia melalui temujanji menerusi portal MySikap JPJ atau servis dalam talian MyEG untuk mengelakkan kesesakan di premis. “Bagi yang mahir dengan internet, kami galakkan anda untuk lakukannya secara dalam talian,” tambah beliau.

    Berdasarkan rekod pembaharuan jabatan itu dari 1 hingga 15 Ogos, keseluruhannya terdapat 639,965 pembaharuan yang dibuat di kaunter, sementara Pos Malaysia mengendalikan sebanyak 373,805 transaksi, manakala MyEG dengan 322,231 dan Puspakom 8,400.

    JPJ ingatkan pengguna untuk perbaharui lesen dan cukai jalan sebelum 30 September – tiada lanjutan lagi

    Pos Malaysia pula hanya akan mengendalikan pembaharuan dokumen ini berdasarkan temujanji sahaja, dan ini boleh dilakukan secara dalam talian melalui ciri “Outlet Finder” dalam laman web atau aplikasi mudah alih dengan cara memilih negeri, cawangan pejabat pos dan klik pautan yang disediakan. Pelanggan dibenarkan membuat satu slot temujanji dalam sehari, dan maksimum tiga transaksi boleh dibuat bagi setiap temujanji.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif MyEG Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata syarikat itu juga telah melihat peningkatan ketara dalam transaksi berkenaan, dan memaklumkan pihaknya akan memastikan semua transaksi pembaharuan berkenaan diselesaikan dan diserahkan kepada pelanggan sebelum 30 September nanti.

     
     
  • Nissan Note Aura Nismo 2022 dilancarkan di Jepun – 136 PS/300 Nm, rupa dan prestasi dipertingkat, RM111k

    Nissan Note Aura Nismo 2022 dilancarkan di Jepun – 136 PS/300 Nm, rupa dan prestasi dipertingkat, RM111k

    Nissan Note Aura merupakan model yang diasaskan dari Note generasi ketiga, tetapi tampil dengan rupa yang lebih bergaya, dilancarkan di Jepun Jun lalu. Dan sekarang, sayap rasmi perlumbaan Nissan iaitu Nismo memperkenalkan pula Note Aura dengan sentuhan mereka, dikenali sebagai Note Aura Nismo.

    Model ini akan mula dijual di Jepun bermula pada musim luruh ini dengan harga 2,869,900 yen (RM111,257), dan menurut Nissan ia diinspirasikan dari jentera lumba Formula E mereka serta direka dengan tema “pelumba elektrifikasi dalam bandar yang pantas”.

    Model ini masih mengekalkan bentuk asas Note Aura kemudian diberikan pelbagai sentuhan Nismo bagi memberikan imej yang jauh lebih garang. Bampar hadapan asal telah ditukar dengan bampar baharu menampilkan kemasan hitam menempatkan lampu nyalaan siang yang bersambung dengn liang udara tengah, bersama “bilah sisi” tebal menegak dan juga spoiler bawah dengan serlahan merah.

    Nissan Note Aura Nismo 2022 dilancarkan di Jepun – 136 PS/300 Nm, rupa dan prestasi dipertingkat, RM111k

    Kit badan Nismo untuk model ini turut menampilkan skirt sisi lebih menyerlah, dan juga bampar belakang lebih agresif dengan kemasan hitam juga bersama bilah sisi serta serlahan-serlahan merah bersama lampu brek di tengah seperti kereta lumba. Menurut Nissan, kit badan ini memberikan aerodinamik daya downforce yang dioptimakan bagi memberikan lebih kestabilan dalam kelajuan tinggi.

    Penampilan luaran Note Aura Nismo ini dilengkapkan lencana-lencana Nismo, pelekat pada bonet hadapan, penutup cermin sisi berwarna merah dan juga rim berdiameter 17-inci. Model ini ditawarkan dalam lima warna badan, termasuk empat pilihan dengan tema dua-tona.

    Kabin Note Aura Nismo ini juga diberikan sentuhan lebih garang dengan tema warna gelap yang digandingkan bersama serlahan-serlahan merah, kemasan-kemasan gentian karbon dan juga lencana-lencana Nismo. Secara standard, model ini diberikan tempat duduk Nismo dengan upholsterik gandingan fabrik dan kulit sintetik, namun pembeli turut boleh ditawarkan dengan sepasang tempat duduk Recaro secara opsyen.

    Sama seperti Nissan Note standard dan Note Aura, model talaan Nismo ini juga hanya ditawarkan dalam versi rangkaian kuasa e-Power. Tayar hadapan Note Aura Nismo ini dipacu terus oleh motor elektrik EM47 yang menghasilkan kuasa 136 PS (134 hp/100 kW) dan tork maksima 300 Nm bermula dari rpm sifar. Namun tiada pilihan sistem pacuan semua roda diberikan seperti pada Note Aura biasa.

    Motor elektrik berkenaan menerima kuasa elektrik dari bateri litihium-ion. Bagi yang belum mengetahui, bateri untuk sistem e-Power ini tidak perlu dicaj menggunakan pengecaj seperti kereta elektrik lain, sebaliknya ia akan dicaj semula menerusi enjin petrol HR12DE 1.2 liter tiga silinder berkuasa 82 PS/103 Nm yang berfungsi seakan ‘generator pasar malam’.

    Walaupun jumlah kuasa yang dihasilkan pada model Nismo ini sama seperti Note Aura standard, ia diberikan satu mod pemanduan Nismo baharu yang memberikan respon yang lebih berkuasa serta menampilkan pecutan yang lebih pantas. Manakala mod pemanduan Normal dan Eco pada model ini pula telah ditala semula bagi memberikan pemanduan yang lebih selesa.

    Pengendalian model ini juga mendapat sentuhan Nismo di mana keseluruhan suspensi telah ditala semula bagi memberikan kestabilan stereng dan kualiti pemanduan lebih baik, penyerap hentak belakang ditukar menggunakan unit tiub mono bagi mendapatkan karekter lebih responsif serta dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 dengan saiz 205/50ZR17 pada rim dengan lebar 7-inci.

    Casis Note Aura ini juga diberikan perhatian semula oleh Nismo dimana beberapa bahagian telah diusik bagi meningkatkan ketegaran badan, serta menerima sistem Vehicle Dynamic Control yang dioptimakan.

    Kelengkapan lain yang turut diberikan pada Nissan Note Aura Nismo ini termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang dilengkapi sistem telematik NissanConnect, Android Auto dan juga Apple Carplay.

    Manakala untuk sistem keselamatan, model ini datang dengan pakej sistem bantuan pemanduan Nissan ProPILOT, menampilkan sistem seperti pemantau titik buta, cruise control adaptif dan juga brek kecemasan automatik.

    Pelanggan juga boleh ditawarkan dengan pelbagai aksesori Nismo lain untuk model ini. Antaranya pelbagai kemasan luaran, pelindung pembuka pintu, karpet kaki, karpet untuk ruang storan di belakang, visor tingkap dan pelbagai lagi.

     
     
  • Toyota Hilux, Fortuner dinaiktaraf di Australia – Hilux dapat antena shark fin, Connected Service standard

    Toyota Hilux, Fortuner dinaiktaraf di Australia – Hilux dapat antena shark fin, Connected Service standard

    Toyota telah memperkenalkan model Hilux dan Fortuner yang dinaiktaraf di Australia. Menawarkan Toyota Connected Services (TCS) secara standard untuk kedua-dua model, ia segera memberikan pelanggan bantuan sekiranya berlaku pelanggaran atau pun jika kenderaan dicuri.

    TCS akan membantu pelanggan membuat panggilan kecemasan ke Pusat Panggilan Kecemasan 24/7 Toyota dan terus menghantar lokasi kenderaan. Malah penumpang juga boleh menekan butang SOS secara manual untuk bantuan kecemasan sekiranya diperlukan. Untuk kenderaan yang dicuri, TCS akan membantu pihak berkuasa untuk mengesan lokasi menerusi perkhidmatan pengesanan kenderaan dicuri (SVT).

    Untuk barisan Hilux, setiap varian kini diberikan antena shark fin untuk mengurangkan potensi kerosakan. Bagi varian SR5 turut dipertingkatkan sistem kawalan suhu dwi-zon, manakala model perdana Hilux Rogue pula diberikan paparan pandangan panoramik secara standard.

    Peningkatan ini turut diberikan kepada barisan Fortuner. Bagi varian asas GX kini menerima kawalan pencerahan untuk iluminasi kluster instrumen, sementara varian GXL dan Crusade pula diberikan sistem kawalan suhu dwi-zon. Hanya varian tertinggi Crusade menerima paparan pandangan panoramik, sistem pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang.

    Walau bagaimana pun peningkatan ini didatangkan dengan kos tambahan. Bagi varian Hilux Workmate dan SR, kini ditawarkan pada kos tambahan sebanyak AUD$635 (RM1,973), sementara model pertengahan SR5 dan Rugged X pula dengan kos tambahan sehingga AUD$1,210 (RM3,759). Barisan Hilux ditawarkan pada harga bermula AUD$24,225 (RM75k) hingga AUD$70,750 (RM220k).

    Toyota Hilux, Fortuner dinaiktaraf di Australia – Hilux dapat antena shark fin, Connected Service standard

    Manakala Fortuner pula lebih mahal antara AUD$635 (RM1,973) hingga AUD$1,535 (RM4,770). Varian asas GX kini berharga dari AUD$49,715 (RM154k), sementara harga bagi Crusade pula sekitar AUD$62,945 (RM196k).

    Tiada perubahan dibuat pada penjana kuasanya, jadi Hilux masih kekal dengan barisan enjin yang sama, bermula dengan 2.4 liter turbodiesel dengan hamburan 150 PS dan tork 400 Nm. Manakala enjin 2.7 liter naturally-aspirated dengan lonjakan kuasa 166 PS dan tork 245 Nm, sementara penjana kuasa tertinggi pula dengan 2.8 liter turbodiesel yang mampu memberikan 204 PS dan tork 500 Nm.

    Kesemua varian 4×4 ini turut menampilkan low-range transfer case, manakala model yang paling mahal pula menerima rear differential lock secara standard. Hilux mempunyai kapasiti tundaan sehingga 3,500 kg dan Furtuner pula 3,100 kg.

    Timbalan presiden jualan, pemasaran dan operasi francias Toyota Australia, Sean Hanley berkata, peningkatan bagi Hilux dan Fortuner ini adalah membuktikan komitmen Toyota yang terus menambahbaik kenderaannya bagi manfaat pada pelanggan.

    “Bukan rahsia lagi bahawa orang Australia menyukai Hilux, dengan kebolehpercayaannya yang tahan lasak, utiliti dan prestasi yang luar biasa sama ada di jalan biasa mahu pun untuk pemanduan offroad. Untuk Fortuner yang turut mempunyai kapasiti tundaan, serta boleh dipandu lasak dan mempunyai tujuh tempat duduk, membuatkan ia juga menjadi pilihan di sini. Kunci utama penambaikan ini adalah untuk memberikan kepuasan dan kemudahan kepada para pemilik, selain memastikan tahap keselamatan dan keselesaan yang tinggi,” ujarnya.

     
     
  • Maverick Vinales berlumba untuk Aprilia tahun depan

    Maverick Vinales berlumba untuk Aprilia tahun depan

    Setelah banyak kontroversi yang disiarkan tentang Maverick Vinales dan pasukan factory Yamaha dalam MotoGP, kini kita sudah mengetahui bagaimana kedudukan pelumba dari Sepanyol ini tahun hadapan. Beliau akan berlumba bersama Aleix Espargaro dalam pasukan Aprilia Racing.

    Pengambilan Vinales oleh Aprilia ini menunjukkan kemahuan mereka untuk meningkatkan kemampuan dalam MotoGP dan merupakan salah satu strategi pembangunan dan pertumbuhan mereka. Kontrak yang ditandatangani oleh Vinales adalah untuk tempoh satu tahun dan beliau diberikan pilihan untuk sambung selepas tamat.

    “Kami sangat gembira dapat mengambil Maverick Vinales, seorang penunggang bertaraf tinggi dan antara bakat yang paling tulen dalam kategori premier. Projek kami sekarang telah diperkayakan lagi dengan nilai yang dibawa oleh Maverick – juara dunia yang telah mengesahkan bakat beliau sebagai pelumba paling hebat dalam MotoGP – pada waktu perubahan yang besar, selepas membawa motosikal yang diubah banyak ke litar,” kata CEO Aprilia Racing, Massimo Rivola.

    Maverick Vinales berlumba untuk Aprilia tahun depan

    Dilahirkan pada tahun 1995, Vinales membuat penampilan pertama dalam Kejuaraan Dunia pada tahun 2011 dalam kategori 125 cc bersama pasukan Aprilia dan berjaya mendapat empat kemenangan serta lima podium. Beliau kemudiannya berjaya mendapat kedudukan juara dalam Moto3 pada tahun 2013, dan kemudiannya beralih ke kategori Moto2 pada tahun seterusnya. Hasil daripada prestasi yang baik, beliau kemudiannya masuk berlumba dalam kategori MotoGP pada tahun 2015 bersama Suzuki, sebelum berpindah pula ke Yamaha pada tahun 2017.

    Dengan pemindahan Vinales ke pasukan Aprilia ini, terdapat satu tempat kosong dalam pasukan factory Yamaha. Ada desas-desus yang mengatakan tempat ini disimpan untuk Franco Morbidelli, sementara khidmat Fabio Quartararo masih lagi dikekalkan.

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Julai 2021 naik 269%

    Data jualan kenderaan di M’sia Julai 2021 naik 269%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Julai 2021 yang menunjukkan sebanyak 7,086 unit kenderaan telah dihantar pada bulan lalu. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 5,165 unit berbanding sekitar 1,921 unit yang terjual pada Jun, mewakili kenaikan sebanyak 269%.

    Walaui bagaimana pun, jumlah jualan keseluruhan yang dicatatkan bulan lalu adalah kurang sebanyak 51,792 unit (atau 88%) berbanding tempoh yang sama pada 2020 dengan sejumlah 58,878 unit. Manakala jumlah bagi tahunan-sehingga-ke-tarikh-berkenaan untuk tahun 2021 masih mendahului catatan pada tahun lalu, dengan sebanyak 256,215 unit terjual untuk tujuh bulan pertama tahun ini, iaitu lebih 23,792 unit (atau 10.2%) berbanding 232,423 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Jika tiada sebarang aktiviti di bilik pameran di seluruh negara pada bulan Jun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, pastinya angka yang mampu dicapai adalah melebihi jumlah tersebut. Sementara bilik pameran di Semenanjung kekal ditutup pada bulan lalu, namun operasi di Sabah dan Sarawak dibenarkan kerana ia berada di bawah fasa dua bagi Pelan Pemulihan Nasional (PPN), dan ini menunjukkan faktor peningkatan jualan berbanding Jun lalu. MAA turut menambah jualan secara dalam talian pula agak minimum.

    Malah turut berkata angka jualan bagi bulan ini akan lebih tinggi berbanding Julai disebabkan beberapa sektor ekonomi sudah boleh dibuka termasuk bilik pameran, biarpun beberapa negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur masih di bawah fasa satu PPN. Namun kapasiti operasinya dihadkan untuk individu yang sudah lengkap dengan dua dos vaksin yang dibenarkan untuk berkunjung ke bilik pameran.

    Justeru, anda yang sudah lengkap dengan dua dos vaksin dan mahu mencari kereta baharu untuk dimiliki, boleh mengambil peluang dengan harga pengecualian cukai jualan (SST) yang masih berlangsung sehingga 31 Disember ini.

    Namun perlu diingat di sini, biar pun anda sudah lengkap dengan dua dos vaksin, ini bukan bermakna anda ‘kebal’ daripada serangan virus Covid-19. Pastikan anda kekal patuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM termasuk sentiasa memakai facemask, memeriksa suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftar masuk menerusi MySejahtera dan juga menjaga penjarakkan sosial.

     
     
  • Hyundai-Sime Darby Motors raikan petugas barisan hadapan Covid-19 – rebat RM7,900, hadiah percuma

    Hyundai-Sime Darby Motors raikan petugas barisan hadapan Covid-19 – rebat RM7,900, hadiah percuma

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengadakan satu program penghargaan khas untuk petugas barisan hadapan di Malaysia. Ia melibatkan rebat istimewa, baucar barangan runcit serta pelbagai lagi hadiah lain yang keseluruhannya bernilai RM7,900, apabila mereka membeli kenderaan Hyundai. Selain petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang, HSDM juga memasukkan sekali ahli bomba serta guru sekolah awam.

    “Setiap hari, petugas barisan hadapan sektor kesihatan dan awam telah menunjukkan keberanian dan ketahanan mereka dalam memerangi pandemik ini. Kami sangat berterima kasih kepada mereka atas kerja berterusan ini, yang mana adalah sangat penting untuk memerangi virus ini. Kami berpadu sama dengan hero ini dan percaya kita boleh melakukannya bersama. Semangat mereka dalam waktu sukar ini adalah satu inspirasi bagi kita semua. Mereka layak diangkat dan dihargai,” kata pengarah urusan HSDM, Low Yuan Lung.

    “Kami harap program ini akan dapat memberikan sedikit kelegaan. Selain menjadikan kenderaan Hyundai lebih mampu milik bagi mereka, kami juga akan memberikan baucar barangan runcit sebagai tanda penghargaan untuk semua kerja keras, dedikasi serta pengorbanan mereka,” tambah beliau.

    Hyundai-Sime Darby Motors raikan petugas barisan hadapan Covid-19 – rebat RM7,900, hadiah percuma

    Sama seperti pemilik Hyundai baru yang lain, mereka yang menyertai program ini juga akan mendapat kad kesetiaan Hyundai, yang melayakkan pemegangnya menikmati pulangan balik pada alat ganti tertentu dan bayaran upah, serta promosi bulanan eksklusif.

    Semua model Hyundai datang dengan servis percuma tiga tahun atau 50,000 km, dan jaminan lima tahun atau 300,000 km. Bergantung kepada pakej pembiayaan, bayaran bulanannya boleh menjadi serendah RM958 dan anda juga boleh meminta keterangan berkenaan subsidi bayaran pendahuluan.

     
     
  • Toyota dan Lego bina replika GR Supra saiz sebenar – boleh dipandu, capai kelajuan maksima 28 km/j!

    Toyota dan Lego bina replika GR Supra saiz sebenar – boleh dipandu, capai kelajuan maksima 28 km/j!

    Menghasilkan sebuah replika kereta dalam saiz sebenar dengan bongkah Lego bukanlah sesuatu yang baharu. Namun untuk replika Lego Toyota GR Supra yang anda lihat ini bukan sesuatu yang biasa, kerana ia benar-benar boleh dipandu!

    Replika ini akan dipamerkan di Legoland Jepun sehingga 11 Oktober nanti, sebelum ia di bawa ke beberapa pusingan perlumbaan Super GT juga untuk dipamerkan. Replika ini dihasilkan oleh Toyota dan Lego adalah untuk meraikan ulangtahun ke-35 nama Supra itu sendiri.

    Ia didedahkan berberapa hari selepas model sebenar GR Supra edisi terhad juga dihasilkan sempena ulangtahun tersebut diperkenalkan untuk pasaran Jepun. Selain dari projek ini, Toyota turut bekerjasama dengan Lego untuk menghasilkan GR Supra dalam set Speed Champions untuk dijual dalam pasaran.

    Replika GR Supra ini dihasilkan dari 477,303 bongkah Lego, dan mengambil masa selama 2,400 jam untuk disiapkan. Jika diletakkan sebelah menyebelah dengan GR Supra sebenar, ia kelihatan hampir serupa, cuma tampil seperti dengan piksel dalam permainan video Gran Turismo 2 untuk pelantar Sony PS1.

    Dari segi saiz, replika Lego ini dibina dengan dimensi 435 cm panjang, 204 cm lebar dan 129 cm tinggi, atau 17.5 cm lebih lebar dan 3 cm lebih pendek dari GR Supra sebenar. Ia juga sebenarnya lebih berat iaitu 1,885 kg, berbanding hanya 1,640 kg untuk GR Supra produksi.

    Toyota GR Supra yang diperbuat dari Lego ini juga ia dipadankan dengan motor elektrik yang membolehkan ia dipandu dan mencapai kelajuan maksima 28 km/j.

    Malah, ia turut menerima beberapa komponen yang diambil terus dari GR Supra sebenar seperti tempat duduk pemandu, roda stereng serta rim aloi bersama tayar – bayangkan jika komponen-komponen ini semua turut diperbuat dari bongkah Lego, agaknya macam mana nak pandu? Terpijak Lego pun kita menjerit, inikan pula pandu kereta duduk atas tempat duduk Lego.

     
     
  • Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Proton baru sahaja melancarkan kembar dan hatchback segmen-B mereka iaitu Persona dan Iriz dalam versi facelift untuk kali kedua pada awal bulan ini. Facelift kali ini menampilkan perubahan rupa dan juga pelbagai kit kelengkapan baharu yang agak besar berbanding model sebelumnya, termasuk Iriz yang diberikan varian Active baharu yang nampak seperti SUV, tetapi masih mengekalkan enjin, transmisi serta sistem mekanikal lain dari model 2019.

    Atas faktor tersebut sepatutnya kos selenggara kedua-dua model ini sudah tentu tidak berubah. Namun setelah kami perhatikan jadual servis yang dikeluarkan oleh Proton untuk Persona dan Iriz 2022 ini, nampaknya kos untuk menyelenggara model baharu berkenaan adalah sedikit tinggi berbanding model 2019. Jadi, apa yang berubah? Kami kupas perkara tersebut menerusi artikel ini.

    Untuk perbandingan kali ini, kami hanya akan membandingkan kos selenggara untuk model yang dijana oleh enjin 1.6 liter VVT DOHC bersama kotak gear CVT sahaja. Bagi yang belum mengetahui, model Persona dan Iriz facelift 2022 ini tidak lagi ditawarkan dengan kotak gear manual bagi mana-mana varian. Perbandingan yang kami buat juga adalah meliputi tempoh lima tahun atau 100,000 km sahaja.

    Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Bagi model 2019, kos untuk menyelenggara bagi kedua-dua model Iriz dan Persona adalah sama iaitu RM3,051.80 dalam tempoh berkenaan. Manakala untuk Iriz dan Persona 2022 pula kos penyelenggaraan bagi tempoh tersebut adalah RM3,583.17, atau sekitar RM500 lebih mahal.

    Perkara pertama yang kami perhatikan menyebabkan peningkatan kos selenggara ini adalah penapis udara kabin. Proton telahpun memperkenalkan penapis udara kabin jenis N95 untuk model 2019, tetapi ia tidak diwajibkan untuk ditukar dalam mana-mana sesi servis. Manakala bagi model 2022, penapis berkenaan perlu ditukar setiap 20,000 km. Jadi sepanjang 100,000 km, penukaran berkenaan perlu dilakukan sebanyak lima kali dengan kos keseluruhan RM295 tidak termasuk kos upah.

    Satu lagi perkara yang menyebabkan peningkatan kos tersebut adalah penukaran cecair penyejuk radiator. Bagi model 2019, cecair penyejuk berkenaan hanya perlu ditukar ketika servis pada 90,000 km. Tetapi untuk model 2022, cecair tersebut perlu ditukar lebih kerap iaitu setiap 30,000 km.

    Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Jadual servis selenggara Proton Persona/Iriz 2022 (atas) dan Persona/Iriz 2019 (bawah). Klik untuk besarkan

    Selain dari dua perkara ini, item-item servis yang lain adalah masih sama. Jika kita jumlahkan secara ‘lump sum‘, jumlah tersebut mungkin dilihat besar. Tetapi jika ia dibahagikan selama lima tahun, kadar kenaikan berkenaan adalah hanya RM106 setahun.

    Namun ingin kami jelaskan sekali lagi, kos ini hanyalah melibatkan penyelengaraan berkala berdasarkan jadual yang rasmi yang dikeluarkan oleh Proton. Ada pelbagai komponen haus dan lusuh lain yang perlu ditukar berdasarkan penggunaan pemilik sendiri seperti pad brek, penyerap hentak, bateri dan sebagainya.

    Malah anda juga perlu ingat Persona dan juga Iriz 1.6 kini dipadankan dengan rim 16-inci berbanding 15-inci pada model 2019, sudah tentu kos untuk menukar tayar juga akan meningkat.

    GALERI:Proton Persona 1.6 Premium 2022

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Executive 2022

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025