Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tempoh jaminan Ford Ranger di M’sia kini lima-tahun — pelan lanjutan disediakan untuk pemilik sedia ada

    Tempoh jaminan Ford Ranger di M’sia kini lima-tahun — pelan lanjutan disediakan untuk pemilik sedia ada

    Pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan tempoh jaminan baru selama lima-tahun/160,000 km bagi barisan model Ranger di Malaysia. Ini sah untuk semua model Ranger tahun 2021 ke atas dan merupakan peningkatan daripada tempoh tiga-tahun/100,000 km yang ditawarkan sebelum ini.

    “Kami faham, bagi pemilik Ranger, kenderaan mereka bukan setakat pengangkutan. Ia adalah cerminan kepada gaya hidup; untuk bekerja dan juga urusan harian lainnya termasuk untuk kegunaan keluarga. Dengan tempoh jaminan lima-tahun yang baru ini, kami mensasarkan untuk menambah lagi nilai kepada pelanggan Ranger,” ujar Ketua Jualan SDAC, Turse Zuhair.

    Pemilik Ranger sedia ada yang diberikan tempoh jaminan tiga-tahun/100,000 km boleh mempertingkatkan perlindungan tersebut dan menambah dua-tahun/60,000 km lagi dengan cara membeli satu daripada dua pelan jaminan yang ditawarkan.

    Pilihan pertama yang lebih komprehensif ialah pelan PremiumCARE, yang menyediakan perlindungan ke atas 1,000 komponen pada harga RM5,000, termasuk manfaat kenderaan sewa sehingga 10-hari. Pelan berikutnya ialah PowertrainCARE pada harga RM3,500, tetapi hanya memberi perlindungan ke atas enjin, transmisi dan sistem pacuan sahaja.

    Semua ini merangkumi baik pulih yang dilakukan di pusat servis sah oleh juruteknik bertauliah dan menggunakan alat ganti asli Ford. Jika ada yang berhasrat untuk menjual kenderaan mereka dalam tempoh jaminan itu, pelan jaminan lanjutan boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya.

    Merujuk kepada laman web SDAC, kedua-dua pelan tersebut turut disediakan untuk SUV Everest, dengan pelan PremiumCARE pada kos RM5,800 dan pelan PowertrainCARE pada RM3,800.

     
     
  • Weststar Maxus buka pusat 3S baru di Petaling Jaya

    Weststar Maxus buka pusat 3S baru di Petaling Jaya

    Jenama automotif dari China, Maxus menerusi pengedarnya di Malaysia iaitu Weststar Maxus telah mengumumkan bahawa pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) flagship mereka di Petaling Jaya sudahpun dibuka. Fasiliti dengan keluasan 46,000 kaki persegi tersebut terletak di alamat Lot 5, Jalan 51A/219, Petaling Jaya, yang sebelum ini merupakan fasiliti Kia Red Cube PJ milik Naza Kia Malaysia.

    Menurut syarikat tersebut, pusat berkenaan masih lagi belum dilancarkan secara rasmi dan beroperasi sepenuhnya, namun pelanggan dari Lembah Klang sudahpun boleh menghantar kenderaan Maxus mereka untuk diservis serta diselenggara di fasiliti berkenaan. Ia dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang, manakala hari Sabtu dibuka bermula 9 pagi hingga 1 petang.

    Weststar Maxus buka pusat 3S baru di Petaling Jaya

    Pengarah eksekutif Weststar group Datuk Vikram Menon menyatakan bahawa fasiliti 3S baharu ini menjelaskan komitmen jenama berkenaan untuk mengembangkan sokongan dan juga servis selepas jualannya, yang kini sudah pun mencapai 40 cawangan jualan dan servis di seluruh negara.

    “Penambahbaikkan servis selepas jualan dan juga sokongan akan melibatkan tingkat taraf berkala pusat jualan dan servis sedia ada. Sementara itu, pusat 3S baharu di Petaling Jaya ini akan berperanan sebagai hab untuk alat ganti, sebagai sokongan kepada jaringan sedia ada kami,” katanya.

     
     
  • Sistem e-PG dilancarkan untuk OKS buat akuan salah menerusi online – projek perintis di S’gor mulai 2 Feb

    Sistem e-PG dilancarkan untuk OKS buat akuan salah menerusi online – projek perintis di S’gor mulai 2 Feb

    Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (sistem e-PG) telah pun dilancarkan untuk orang awam yang mempunyai saman kesalahan trafik di Shah Alam atau Selangor. Di mana mulai 2 Februari ini, pesalah trafik di negeri berkenaan boleh membuat pengakuan salah melalui teknologi komunikasi jarah jauh dan tidak perlu hadir secara fizikal ke mahkamah.

    Menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor akan mengaplikasi sistem e-PG bagi semua kes trafik yang didaftarkan di Mahkamah Majistret 3 Shah Alam bermula pada 2 hingga 5 Februari 2021, laporan Bernama.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh PKPMP turut menyebut sistem e-PG dapat mengurangkan keperluan penerima saman kesalahan trafik untuk hadir ke mahkamah selain dapat menjimatkan masa, wang ringgit, menjaga keselamatan dan kesihatan. Apatah lagi dalam situasi negara yang sedang dilanda pandemik COVID-19 yang memerlukan masyarakat untuk menjaga jarak fizikal dan mengelakkan tempat sesak.

    Sistem e-PG dilancarkan untuk OKS buat akuan salah menerusi online – projek perintis di S’gor mulai 2 Feb

    “Orang awam yang mempunyai kes yang didaftarkan di Mahkamah Majistret berkenaan boleh melayari sistem e-PG di https://ecourt.kehakiman.gov.my bermula 2 Februari ini.

    “Sistem e-PG membenarkan 43 kesalahan bagi Orang Kena Saman (OKS) menggunakan aplikasi ini termasuk kesalahan mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, pendaftaran kenderaan dan pemunya, lesen kenderaan motor, tiada lesen memandu dan memperagakan nombor pendaftaran.

    “Bagaimanapun, individu yang menghadapi kesalahan memandu kenderaan melebihi had kelajuan, tidak boleh menggunakan aplikasi sistem e-PG dan perlu hadir secara fizikal ke mahkamah,” ujar PKPMP.

    PKPMP turut berkata, statistik di Mahkamah Majistret menunjukkan terdapat lebih sejuta kes saman trafik didaftarkan yang kebanyakannya berakhir dengan pengakuan bersalah dan hukuman denda.

    Sistem e-PG dilancarkan untuk OKS buat akuan salah menerusi online – projek perintis di S’gor mulai 2 Feb

    “Justeru, bagi mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan trafik sekali gus mempercepatkan proses pelupusan kes tersebut,” menurut PKPMP.

    Badan Kehakiman berharap akan dapat melancarkan sepenuhnya sistem e-PG di Mahkamah Majistret seluruh Semenanjung Malaysia bermula 1 April manakala bagi Mahkamah Majistret Sabah dan Sarawak bermula pada Jun depan.

    Selain itu, inisiatif pendigitalan teknologi seperti sistem e-PG ini juga diharap akan lebih memperkasakan pentadbiran keadilan dan memperluaskan akses kepada keadilan untuk semua pihak.

     
     
  • Ford Mustang Mach-E diperbuat di China, untuk China

    Ford Mustang Mach-E diperbuat di China, untuk China

    Ford telah mengumumkan bahawa model crossover elektrik Mustang Mach-E baharu bakal dipasang oleh Changan Ford di China, tetapi ia juga hanya akan dijual untuk pelanggan di republic berkenaan. Jualannya disasarkan pada tahun ini juga.

    Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jenama ini iaitu “Best of Ford, Best of China” untuk menawarkan pelanggan di China kenderaan pintar dan berteknologi maju. Ia akan menampilkan Ford Co-Pilot 360 (sistem bantuan pemandu terpintar) dengan keupayaan pemanduan sendiri Level 2, serta fungsi kemaskini over-the-air.

    Bukan itu sahaja, Ford juga akan memproduksikan model tertinggi Mach-E GT Performance Edition di China. Syarikat ini berkata langkah untuk memproduksi secara tempatan bagi edisi prestasi tinggi sebegitu adalah belum pernah dilakukan oleh pengeluar kereta global.

    Untuk pengetahuan, Mustang Mach-E akan ditawarkan sama ada versi pacuan roda-belakang atau semua-roda. Bagi Mach-E GT Performance Edition, dengan kuasa sehingga 480 hp dan tork 860 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.5 saat. Bateri lithium-ion 88 kWh boleh memberikan jarak hingga 376 km (jangkaan EPA), tetapi Ford berkata model pacuan roda-belakang boleh mencapai lebih 600 km dengan hanya pengecasan tunggal.

    Bercakap mengenai pengecasan, Mach-E boleh mencapai kadar pengecasan puncak sehingga 150 kW dengan menggunakan pengecas DC, dan menurut Ford lagi, ia boleh menambah jarak sehingga 93 km dalam hanya 10 minit. Bagi model asas (yang dilengkapi bateri 75.7 kWh), pengecasan dari 10% hingga 80% hanya mengambil masa sekitar 38 minit.

    Tiga mod pemanduan ditawarkan – Whisper, Engage dan Unbridled. Pilihan prestasi termasuklah kaliper brek aluminium Flexira terbaharu daripada Brembo, sementara model GT dilengkapi dengan penyerap hentak MagneRide adaptive magnetorheological dampers. Penghantaran untuk model ini dijangka akan bermula tahun ini juga.

    GALERI: Ford Mustang Mach-E GT Performance Edition

    GALERI: Ford Mustang Mach-E

     
     
  • Touch ‘n Go batalkan surcaj letak kereta menjelang Q1 tahun ini — isian semula kad dari eWallet hujung 2021

    Touch ‘n Go batalkan surcaj letak kereta menjelang Q1 tahun ini — isian semula kad dari eWallet hujung 2021

    CEO Kumpulan Touch ‘n Go, Effendy Shahul Hamid, dalam satu wawancara bersama The Star telah mengesahkan bahawa akan ada dua perubahan besar yang akan dilakukan tahun ini, yang memberikan kelebihan kepada pengguna.

    Pertama, bayaran surcaj ke atas kadar letak kenderaan yang dikenakan jika menggunakan kad Touch ‘n Go akan dimansuhkan pada suku pertama tahun ini. Syarikat itu sebelum ini juga pernah memaklumkan pihaknya akan menamatkan surcaj berkenaan secara berperingkat, dan ini selari dengan janji tersebut.

    “Dengan senang hati saya memaklumkan menjelang suku pertama tahun ini, kami akan memansuhkan surcaj letak kenderaan itu. Ia memerlukan inovasi dan sedikit pengorbanan daripada pihak kami, tetapi saya rasakan itu perkara yang betul untuk dilakukan. Kami berhasil meyakinkan rakan operator parkir untuk memansuhkan surcaj berkenaan mengikut masa seperti yang dinyatakan,” ujar Effendy.

    Satu lagi perubahan besar ialah menjelang penghujung 2021 ialah penjualan kad TnG yang boleh diisi semula terus dari telefon melului aplikasi TnG eWallet. Ini akan memudahkan lagi pengguna kerana tidak perlu laku ke mana-mana untuk membuat isian semula kad terbabit.

    Touch ‘n Go batalkan surcaj letak kereta menjelang Q1 tahun ini — isian semula kad dari eWallet hujung 2021

    Ketika ini, satu-satunya hubungan antara kad fizikal TnG dan eWallet ialah fungsi PayDirect, yang akan menolak terus caj tol secara automatik daripada baki eWallet berbanding dari baki kad semasa — hanya jika baki eWallet tidak mencukupi, caj berkenaan akan ditolak dari kad.

    Ini juga boleh dihalang dengan cara menaktifkan ciri auto-reload dalam eWallet, yang dilakukan melalui aplikasi telefon dari kad kredit atau debit, perbankan dalam talian atau TNG Reload PIN tanpa sebarang caj tambahan.

    Tentang caj isian semula pula, TnG dalam perbincangn bersama agennya untuk memansuhkan yuran 50 sen yang dikenakan ketika isian semula di beberapa lokasi. “Seperkara yang perlu difahami ialah TnG tidak menerima sebarang nilai pun daripada surcaj isian semula itu,” ujarnya.

    “Surcaj berkenaan sebelum ini dipungut oleh agen isian semula kami untuk menampung kos spesifik bagi menyediakan servis itu. Dan bila anda mengisi semula kad nanti, kami akan membayar agen berkenaan jumlah yang terlibat itu,” tambah beliau.

     
     
  • Proton sasar untuk gandakan jualan eksport pada 2021

    Proton sasar untuk gandakan jualan eksport pada 2021

    Selepas menjadi antara jenama yang mencatatkan pertumbuhan jualan di Malaysia walaupun terjejas akibat pandemik Covid-19 tahun lalu, Proton mengumumkan bahawa mereka akan mengharungi cabaran 2021 dengan berusaha untuk menggandakan jualan eksport ke luar negara.

    Menurut Proton, pelbagai usaha telah dibuat untuk usaha ini bermula pada Disember tahun lalu, termasuk permulaan operasi CKD di Kenya, serta pelancaran Proton X70 di Pakistan. Syarikat berkenaan menyatakan bahawa langkah-langkah tersebut telah pun menyumbang kepada pertumbuhan jualan eksport sebanyak 50% pada akhir tahun 2020 berbanding pasaran tempatan yang hanya mencatakan pertumbuhan sebanyak 8.8%.

    Untuk tahun ini, Proton mengandaikan pasaran eksport tidak akan terjejas kerana wabak Covid-19. Syarikat berkenaan menyatakan bahawa Proton Saga akan menerajui usaha yang disasarkan tersebut, manakala model-model terkini termasuk SUV Proton X70 dan X50 turut akan dieksport keluar secara beransur-ansur.

    Proton menyatakan pasaran eksport adalah sangat penting buat mereka untuk jangka masa panjang, dengan sasaran untuk menjadi jenama automotif dalam kelompok tiga tertinggi di ASEAN dari segi jualan. “Walaupun mendahului jualan di pasaran tempatan akan tetap menjadi matlamat utama, pihak syarikat akui bahawa kami perlu menambah jumlah jualan antarabangsa untuk berkembang pada masa hadapan,” jelas Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Proton sasar untuk gandakan jualan eksport pada 2021

    Jenama berkenaan turut mengumumkan bahawa tugas untuk memperluaskan pasarannya ke luar negara akan digalas oleh Pengarah Jualan Antarabangsa, Steven Xu.

    “Bahagian jualan antarabangsa Proton telah mencari banyak peluang bagi menambah jualan eksport dalam dua tahun kebelakangan ini. Kami telah menggunakan pelbagai strategi untuk mencapai matlamat ini termasuk menjual kenderaan CBU yang dibina di Malaysia serta menandatangani perjanjian dengan syarikat tempatan bagi membina kenderaan CKD di luar negara,” jelas Steven.

    “Kami menyasarkan penambahan yang mendadak bagi 2020 tetapi rancangan tersebut terjejas akibat Covid-19. Walau bagaimanapun, kami berjaya menambah jualan eksport dan menembusi pasaran baru seperti Kenya serta melancarkan Proton X50 di Brunei hanya dua bulan selepas ia dilancarkan di Malaysia dan ini memberi dorongan positif untuk usaha kami tahun ini,” tambahnya lagi.

    Antara usaha unik yang dibuat oleh Proton adalah memasarkan Saga dengan enjin berkapasiti 1,299 cc di Pakistan, berbanding 1,322 cc bagi pasaran Malaysia, bagi membolehkan Saga dijual pada harga lebih kompetitif bersesuaian struktur cukai di sana. Manakala untuk pasaran Mesir dan Nepal, Saga turut hadir dengan sistem pemanas kabin yang amat diperlukan ketika musim sejuk.

    Proton juga menjelaskan bahawa model-model terkini seperti X70 dan X50 akan dijual diluar negara bagi memberikan imej bahawa Proton adalah sebuah jenama yang canggih bagi membolehkan mereka bersaing terus dengan jenama Jepun dan Korea. Kedua-dua model berkenaan menampilkan fungsi-fungsi terkini seperti sistem arahan suara dan juga sistem-sistem bantuan pemanduan (ADAS).

    “Proton Saga tetap menjadi model yang popular di banyak negara kerana ketahanan, praktikaliti dan harga yang memberi nilai wang yang tinggi tetapi untuk menaikkan imej jenama kami, adalah penting bagi Proton X70 dan Proton X50 untuk dieksport juga. Ini adalah kerana kedua model ini dapat mempamerkan kebolehan Proton dan ini akan membantu membuka jalan bagi model kami yang lain pada masa hadapan,” tambah Steven.

    Syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama rapat dengan entiti tempatan pada setiap pasaran eksport berkenaan bagi memastikan rancangan pengenalan, promosi dan pelancaran produk adalah sesuai dengan keadaan pasaran tempatan.

    “Jenama Proton kini berusia lebih 35 tahun dan walaupun ia mempunyai pengiktirafan jenama yang kuat dari aktiviti eksport dahulu dan penyertaan dalam sukan permotoran antarabangsa, produk kami tidak boleh didapati di banyak pasaran antarabangsa. Produk baru kami yang dikemas kini dan dikembangkan bersama Geely mempersembahkan peluang untuk mengubah naratif ini dan kami optimis ia akan menerima sambutan yang hebat di banyak pasaran baru,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah

    “Dengan kerjasama rakan antarabangsa kami, Proton berhasrat untuk menyampaikan mesej yang konsisten di semua pasaran eksport kami dan ini akan mempermudah nama jenama Proton untuk memantapkan dirinya di lebih banyak pasaran antarabangsa. Ini sejajar dengan tujuan kami untuk mempromosikan Malaysia dan vendornya di peringkat serantau dan global. Akhirnya ini akan meningkatkan daya saing mereka dan memberi manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan,” tambah Roslan lagi.
    .

     
     
  • Harga minyak 30 Jan-5 Feb 2021 – Diesel turun 2 sen

    Harga minyak 30 Jan-5 Feb 2021 – Diesel turun 2 sen

    Bagi minggu bertarikh 30 Januari hingga 5 Februari 2021, Kementerian Kewangan Malaysia telah memaklumkan bahawa harga runcit bagi bahan api petrol kekal seperti minggu sebelumnya. Namun, bahan api diesel pula mengalami penurunan harga sebanyak dua sen seliter.

    Ini bermakna, harga petrol RON 97 masih kekal pada paras RM2.20 seliter dan RON 95 pula RM1.90 seliter.

    Manakala harga runcit diesel yang turun sebanyak dua sen seliter menjadi RM2.07 seliter bagi gred Euro 2M dan untuk Euro 5 pula berharga RM2.17 seliter.

    Kesemua harga ini efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 5 Februari 2021.

     
     
  • PKP 2.0: Pembaharuan lesen memandu, cukai jalan kenderaan persendirian dikecuali mulai 1 Feb-31 Mac

    PKP 2.0: Pembaharuan lesen memandu, cukai jalan kenderaan persendirian dikecuali mulai 1 Feb-31 Mac

    Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL, tidak termasuk Lesen Vokasional) dan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan, tidak termasuk kenderaan perdagangan) bagi kenderaan persendirian yang tamat tempoh, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0), dikecualikan mulai 1 Februari hingga 31 Mac 2021. Perkara ini dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

    Ini berikutan perkhidmatan operasi di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak telah dihadkan susulan pelaksanaan PKP mulai 13 Januari lalu.

    Menurut kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, perkhidmatan yang disediakan pada ketika ini hanyalah untuk urusan berkaitan kenderaan perdagangan dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) sahaja. Dalam masa yang sama, orang ramai digalakkan untuk menggunakan platform atas talian yang disediakan oleh JPJ dan rakan kerjasama bagi tujuan memperbaharui LKM dan CDL.

    PKP 2.0: Pembaharuan lesen memandu, cukai jalan kenderaan persendirian dikecuali mulai 1 Feb-31 Mac

    “Walau bagaimana, atas dasar keprihatinan rintihan rakyat yang sukar untuk membuat urusan berkenaan dan juga bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), maka MOT mengambil keputusan untuk memperkenalkan semula pengecualian bagi tujuan pembaharuan LKM dan CDL dalam tempoh PKP 2.0 ini iaitu berkuatkuasa 1 Februari hingga 31 Mac ini,” ujar Dr. Wee.

    Sambungnya lagi, “Namun, para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurance) mereka kepada anggota penguatkuasa trafik sekiranya diminta.”

    Dr Wee turut menambah, pemegang LKM dan CDL yang telah/bakal tamat tempoh, hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu sehingga 30 April 2021.

    PKP 2.0: Pembaharuan lesen memandu, cukai jalan kenderaan persendirian dikecuali mulai 1 Feb-31 Mac

    “Namun demikian, pengecualian ini tidak diberikan kepada pemilik Kenderaan Perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan masih dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu (Essential Services) merujuk kepada Jadual Peraturan 3.

    “Pembaharuan untuk perkhidmatan ini boleh dilakukan di semua kaunter atau cawangan JPJ, APAD dan LPKP di seluruh negara di sepanjang tempoh PKP 2.0 ini. Malahan semua pusat pemeriksaan Puspakom juga beroperasi seperti biasa bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan pembaharuan ini,” ujar Dr. Wee lagi.

     
     
  • Tesla Model S facelift 2021 – stereng seperti kapal terbang, dilengkapi sistem permainan video, 1,020 hp

    Tesla Model S facelift 2021 – stereng seperti kapal terbang, dilengkapi sistem permainan video, 1,020 hp

    Tesla telah memberikan peningkatan yang komprehensif kepada sedan mewah mereka, Model S. Bahagian luar mungkin tidak nampak banyak beza tetapi keseluruhan bahagian dalamnya direka semula bersama pek baterinya, serta pengenalan varian Plaid yang mempunyai kuasa 1,020 hp.

    Stereng Model S baru ini menggunakan bentuk seperti stereng kapal terbang, dengan bahagian atasnya dipotong dan tiada batang pengawal untuk penunjuk arah atau lampu seperti kereta biasa di belakangnya. Tesla memanggilnya sebagai “fokus muktamad untuk pemanduan.”

    Untuk menggunakan fungsi seperti lampu penunjuk arah, pengelap cermin serta suis lampu, pemandu kini perlu menekan ibu jari pada permukaan rata di stereng itu. Dalam gambar ia mungkin tidak begitu jelas, tapi bila diteliti, barulah anda akan nampak tandanya. Pemilih mod pemanduan juga menggunakan cara sama, tetapi papan suisnya berada di konsol tengah, berhampiran pengecas telefon tanpa wayar.

    Tesla Model S facelift 2021 – stereng seperti kapal terbang, dilengkapi sistem permainan video, 1,020 hp

    Walaupun masih mempunyai suis kawalan, Tesla mensasarkan semua fungsi ini boleh beroperasi sendiri satu masa nanti, termasuklah penukaran mod Park, Reverse, Neutral ataupun Drive. Ini sekaligus dapat mengurangkan satu lagi kerja bagi pemandu kereta produksi paling canggih di dunia ini.

    Skrin 17 inci di atas papan pemuka kini diletakkan secara melintang, dan disertai satu lagi skrin lapan inci di konsol tengah untuk penumpang belakang serta skrin 12.3 inci di hadapan pemandu. Menariknya, skrin ini turut dilengkapi dengan sistem permainan video dengan kuasa memproses 10 teraflops, iaitu sama kemampuan seperti Sony Playstation 5, dan boleh digunakan dengan pengawal tanpa wayar.

    Menurut Tesla, Model S ditawarkan dengan kemampuan Full Self-Driving (FSD) pada harga USD10,000 (RM40,540), dan ini memberikan fungsi navigasi pada Autopilot, Auto Lane Change, Autopark, Summon, Full Self-Driving Computer, Autosteer di bandar, serta Traffic Light and Stop Sign Control menjelang akhir tahun ini. Sistem yang ada sekarang masih memerlukan pemerhatian aktif pemandu.

    Kelengkapan lain yang diberikan pada Model S baru ini adalah 22 pembesar suara premium, semua tempat duduk dengan fungsi pemanas, pendingin hawa tiga zon Airwave, sistem penapis udara HEPA, profail pemandu yang boleh diubah, lampu suasana, perlindungan ultraviolet dan infrared untuk semua cermin, pengecas USB-C untuk setiap penumpang, pengecas tanpa wayar, pintu but bukaan kuasa serta fungsi Phone Key.

    Untuk pasaran Amerika Syarikat (AS), terdapat pakej Premium Connectivity yang memberikan fungsi pemerhati trafik langsung, peta pandangan satelit, stream video melalui Netflix, Hulu, Youtube, Twitch serta pelbagai lagi, stream muzik serta pelayar internet.

    Bagi model tahun 2021 ini, ia disediakan dalam dua varian iaitu Long Range dan Plaid. Kedua-duanya menggunakan sistem pacuan semua roda, dengan varian Long Range menggunakan tetapan dua motor sementara Long Range menggunakan tetapan konfigurasi tiga motor.

    Tesla Model S facelift 2021 – stereng seperti kapal terbang, dilengkapi sistem permainan video, 1,020 hp

    Daripada namanya, anda mungkin sudah tahu Long Range menyediakan jarak gerak lebih jauh, iaitu 659 km dengan sekali cas sementara kuasa maksimum pula pada kadar 670 hp, menghasilkan pecutan 0-96 km/j dalam masa 3.1 saat. Varian Plaid yang menggunakan tiga motor pula boleh memberikan jarak 624 km, dengan kuasa maksimum 1,020 hp dan pecutan 0-96 km/j dalam masa 1.99 saat.

    Kedua-dua varian ini boleh menerima pengecas 250 kW, dengan varian Long Range boleh menyediakan jarak gerak 320 km setelah dicas selama 15 minit. Di AS, harga yang ditetapkan untuk Model S Long Range bermula USD79,990 (RM324,279) manakala varian Plaid pula USD119,990 (RM486,439).

     
     
  • Blu-Kar dari ZullDesign Autotronic – mesin rumput kawalan jauh 4WD yang mampu menebas belukar!

    Syarikat rekaan tempatan, ZullDesign Autotronic telah memperkenalkan mesin rumput yang boleh beroperasi hanya dengan alat kawalan jauh. Apa yang membuatkan mesin ini sangat menarik bukan sahaja cara ianya dikendalikan, malah ia turut direka untuk kegunaan lasak seperti untuk membersihkan kawasan belukar dan semak samun!.

    Menerusi video yang disiarkan pada laman Facebook rasmi syarikat tersebut, mesin rumput Blu-Kar ini digerakkan dengan enjin diesel berkuasa 10 hp, dan boleh dihidupkan dengan mudah menggunakan kunci pemula. Ia boleh bergerak dengan kelajuan 10 km/j, dan boleh dikawal dalam jarak radius 150 meter.

    Kalau anda tonton video di atas, anda boleh lihat Blu-Kar boleh membersihkan kawasan semak samun yang cukup tebal. Bagaimana mesin ini melakukannya? Pertama, ia diberikan kipas pemotong jenis logam karbon kelajuan tinggi yang tahan lasak.

    Kemudian, ia turut dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda (4WD), malah dengan rekaan juntaian hadapan dan belakang yang cukup pendek serta jarak roda yang sangat dekat, membolehkan Blu-Kar ini melepasi apa sahaja halangan di hadapannya.

    Blu-Kar dari ZullDesign Autotronic – mesin rumput kawalan jauh 4WD yang mampu menebas belukar!

    Ini bukan sahaja membolehkan anda memotong rumput sambil duduk pada jarak jauh, malah ia juga lebih selamat untuk anda dari berhadapan sebarang risiko ketika membersihkan kawasan belukar seperti ancaman haiwan berbisa dan sebagainya.

    Walau bagaimanapun, ZullDesign Autotronic tidak mendedahkan harga untuk mesin rumput Blu-Kar ini. Jika anda berminat, mungkin boleh terus berhubung dengan mereka.

    Nanti sekejap, macam pernah dengar nama ZullDesign Autotronic ni kan? Ya, anda tak salah, ini adalah syarikat yag diasaskan oleh pereka tempatan yang popular sejak era 80’an dulu iaitu Zulkifli Hj. Haron. Encik Zul yang juga popular digelar sebagai ‘MacGyver Malaysia’ ini pernah menggemparkan tanah air dengan menghasilkan rekaan kereta tanpa pemandu pada tahun 1986 dahulu berasaskan Peugeot 404, yang diinspirasikan dari siri TV ‘Knight Rider’.

     
     
  • Toyota bakal lancar Fortuner & Innova 2021 melalui laman Facebook dan Youtube, 2 Februari jam 8.30pm

    Toyota bakal lancar Fortuner & Innova 2021 melalui laman Facebook dan Youtube, 2 Februari jam 8.30pm

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan syarikat itu akan melancarkan secara rasmi model Toyota Fortuner facelift 2021 dan Innova facelift 2021 pada 2 Februari nanti melalui acara dalam talian di Facebook dan Youtube. Siaran akan dipancarkan pada 8.30pm.

    Kedua-dua model berkenaan telah dibuka untuk tempahan awal bulan ini. Fortuner facelift, yang terlebih dahulu di Thailand tahun lalu, akan ditawarkan dalam tiga varian CKD. Dan hanya 2.4 AT 4×4 akan ditawarkan untuk pasaran Sarawak, Sabah dan Labuan.

    Dua penawaran utama ialah varian 2.7 SRZ AT 4×4, yang dijual pada harga RM172,244, dan varian dengan enjin diesel 2.8 VRZ AT 4×4, yang dijual pada harga RM203,183. Kedua-dua harga berkenaan ialah harga atas jalan tidak termasuk insurans.

    Toyota bakal lancar Fortuner & Innova 2021 melalui laman Facebook dan Youtube, 2 Februari jam 8.30pm

    Varian 2.8 VRZ, yang menggantikan versi 2.4 VRZ AT 4×4 sebelum ini, dilengkapi dengan enjin
    1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel empat-silinder yang turut digunakan pada Hilux Rogue. Menghasilkan 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm, unit ini menghasilkan lebih banyak output berbanding model yang digantikan itu, yang hanya hadir dengan 150 PS dan 400 Nm.

    Bagi 2.7 SRZ pula, ia menggunakan unit 2TR-FE 2.7 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 166 PS dan 245 Nm, sementara varian khusus untuk Sabah & Sarawak, 2.4 AT 4×4 pula menggunakan unit 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel. Semua varian menggunakan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda separuh masa. Bagaimanapun, bagi 2.7 SRZ dan 2.8 SRZ, ada pertambahan ciri limited-slip differential automatik belakang.

    Toyota bakal lancar Fortuner & Innova 2021 melalui laman Facebook dan Youtube, 2 Februari jam 8.30pm

    Sementara itu, tiga varian bagi Innova facelift yang telah membuat penampilan di Indonesia Oktober tahun lalu juga akan turut ditawarkan untuk pasaran tempatan. Variannya bermula dengan Innova 2.0E yang dijual pada RM111,622. Ini diikuti oleh 2.0G pada harga RM121,483.

    Yang terakhir, varian paling tinggi 2.0X, dijual pada harga RM129,677. Semua harga yang dinyatakan ialah harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian cukai SST. Tidak ketinggalah ialah satu versi komersil (teksi) Innova 2.0E, dijual pada harga RM97,978.

    Hanya ada satu pilihan enjin untuk barisan Innova ditawarkan, iaitu unit 1TR-FE 2.0 liter NA empat-silinder petrol. Enjin ini menghasilkan 139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm pada 4,000 rpm, bersama kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter.

     
     
  • Peminat lancar #Subaru_is_rally, respon kepada ‘jenama orang tua’ yang disifatkan bos Subaru UK

    Peminat lancar #Subaru_is_rally, respon kepada ‘jenama orang tua’ yang disifatkan bos Subaru UK

    Baru-baru ini Subaru UK telah mengumumkan bahawa prestasi jualan mereka untuk 2020 adalah sangat teruk; mereka hanya menjual sebanyak 951 unit kereta sepanjang tahun berkenaan, jatuh merudum sebanyak 68% berbanding 2019.

    Ketika mengumumkan prestasi yang disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’ dan ‘memalukan’ tersebut, pengarah urusan Subaru UK yang baru sahaja dilantik pada musim panas tahun lalu, John Hurtig menyebut bahawa Subaru sekarang merupakan ‘jenama orang tua’ yang tiada kaitan lagi dengan Subaru yang hebat dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) ketika era 90’an dan awal Y2K dahulu.

    “Subaru UK telah membuat banyak kesalahan sebelum ini, dari segi membangunkan jenama Subaru untuk menjadikan ia luar biasa sudah tidak ada. [Impreza] adalah kereta berprestasi, kereta rali. Ia adalah era yang baik di UK. Tapi ia tinggal sejarah; ia sudah lama berlalu. Ia sudah tidak ada kaitan lagi dengan jenama Subaru sekarang,” kata Hurtig kepada portal Autocar.

    Peminat lancar #Subaru_is_rally, respon kepada ‘jenama orang tua’ yang disifatkan bos Subaru UK

    Namun apa yang disebutkan oleh Hurtig berkenaan jelas tidak disenangi oleh peminat Subaru bukan sahaja dari UK, malah dari seluruh dunia. Sehubungan dengan itu, satu tanda pagar bertajuk #Subaru_is_rally telah dilancarkan di laman sosial Twitter bagi menunjukkan peminat Subaru dengan semangat rali masih lagi ramai dari seluruh dunia.

    Dengan tanda pagar berkenaan, peminat membanjiri laman sosial tersebut dengan gambar-gambar serta video kereta rali Subaru dari era hujung 80’an (Subaru Legacy RS) sehingga sekarang, bukan sahaja dari pasukan utama Subaru World Rally Team (SWRT), bahkan jentera-jentera milik pasukan nasional seperti Subaru Rally Team America serta kereta-kereta rali milik pasukan dan individu persendirian dari seluruh dunia.

    Selain Jepun, Subaru dan sukan rali adalah sangat rapat UK. Ini kerana bagi membawa jenama tersebut ke kancah WRC, Subaru telah melantik firma kejuruteraan dari Banbury iaitu Prodrive bukan sahaja untuk membangunkan kereta lumba, malah mengendalikan SWRT sejak ia ditubuhkan pada 1989, sehingga menarik diri dari WRC pada tahun 2008.

    Tahun 1995 merupakan satu lagi detik bersejarah untuk Subaru dan rakyat UK, di mana pemandu muda dari Scotland yang menyertai pasukan berkenaan sejak 1991 iaitu Colin McRae, dinobatkan sebagai pemandu rali UK pertama yang berjaya merangkul gelaran juara dunia WRC dengan memandu Subaru Impreza WRX Group A.

    Satu lagi sejarah tercipta pada tahun 2001 apabila Subaru dan Prodrive berjaya melahirkan seorang lagi juara dunia UK, Richard Burns, di mana gelaran tersebut disahkan sejurus Burns menamatkan pusingan terakhir WRC musim berkenaan yang berlangsung di UK iaitu Rally GB 2001.

    Walaupun Subaru mempunyai sejarah yang cukup hebat dan begitu diminati oleh golongan muda di UK, imej tersebut dilihat semakin pudar selepas ia tidak lagi menyertai WRC. Subaru UK juga bukan sahaja tidak lagi menjual model WRX STi sejak tahun 2018, malah model generasi baharu kereta sport pacuan belakang Subaru BRZ juga tidak akan dipasarkan di Eropah. Jadi pemasaran dan penjenamaan untuk disasarkan kepada pelanggan yang lebih muda mungkin sukar untuk Subaru di UK.

    “Kami telah tukar pentadbiran, kami sudah tukar pasukan, kami sudah buat banyak perubahan dalam separa kedua 2020. Sebab itulah kami sekarang sudah pun mulakan langkah pemulihan,” kata Hurtig tempoh hari, dan menambah bahawa kini mereka telah pun membuat sistem tempahan secara dalam talian. Model kemaskini untuk XV, Forester facelift dan wagon off-road Subaru Outback juga akan tiba di UK tahun ini.

     
     
  • Suzuki siar teaser Hayabusa 2021 – pelancaran 5 Feb

    Suzuki siar teaser Hayabusa 2021 – pelancaran 5 Feb

    Suzuki Hayabusa, yang pernah terkenal sebagai motosikal produksi paling laju di dunia akan diperkenalkan dalam versi yang terbaru 5 Februari ini. Tapi sebelum itu, Suzuki menyiarkan satu video teaser pendek di Youtube.

    Tidak banyak yang boleh dilihat dalam video ini, kecuali kelibat motosikal tersebut di atas litar ujian dan pandangan bahagian meter yang menunjukkan ia dikerah sehingga putaran maksimum meter yang kelihatan seperti mencecah 180 bsj atau 299 km/j.

    Peningkatan lain yang boleh dijangka pada motosikal ini adalah seperti kenaikan kapasiti enjin, suspensi elektronik separa aktif, ciri-ciri elektronik lain seperti cruise control, traction control dan mod tunggangan, serta kemungkinan pendesak kuasa seperti turbo atau supercharger.

    Hayabusa 2021 akan menjadi generasi ketiga bagi model itu sementara generasi pertama dulu yang dikenali sebagai GSX1300R mempunyai kuasa 162.6 hp pada 9,750 rpm dan 133.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Dengan berat 255 kg, Hayabusa bukanlah sebuah motosikal yang ringan tapi untuk pecutan, ia pernah mencatat 9.84 saat untuk mencapai kelajuan 229.75 km/j pada tahun 1999.

    Model generasi kedua muncul pada tahun 2007, dengan gaya badan yang diubah dan peningkatan pada bahagian head silinder, piston, ekzos serta injap titanium. Kuasanya juga dikatakan meningkat menjadi 197 hp dan 138.7 Nm tork.

     
     
  • PKP 2.0: PDRM diharap benarkan rentas negeri untuk beli barang keperluan jika lokasi itu paling terdekat

    PKP 2.0: PDRM diharap benarkan rentas negeri untuk beli barang keperluan jika lokasi itu paling terdekat

    Mendengar keluhan segelintir rakyat yang mengadu terpaksa pergi ke lokasi yang lebih jauh dari rumah semata-mata untuk membeli barangan keperluan waima lokasi yang terhampir terletak di negeri berlainan, membuatkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menggunakan budi bicara dalam memberikan kebenaran merentas negeri.

    Menurut beliau, sebagai contoh penduduk di kawasan Hulu Bernam, Selangor, hanya perlu menempuh perjalanan sejauh tiga kilometer untuk membeli barangan keperluan harian di Bandar Muallim (Tanjung Malim), Perak. Berbanding jarak perjalanan hingga 30km untuk mereka ke bandar Kuala Kubu Bahru atau 60km lagi ke Rawang.

    Bahkan perkara itu dikesan banyak berlaku bukan hanya di kawasan sempadan Selangor tetapi juga Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, laporan Berita Harian.

    PKP 2.0: PDRM diharap benarkan rentas negeri untuk beli barang keperluan jika lokasi itu paling terdekat

    “Rentas negeri memang tidak dibenarkan, namun saya berharap pihak polis memberi pertimbangan sewajarnya dalam kes seperti ini kerana adalah munasabah untuk membeli barangan keperluan di kawasan lebih dekat.

    “Saya berharap polis menggunakan budi bicara dalam memberi kebenaran berhubung perkara sebegini kerana lebih baik pergi membeli barang keperluan di tempat lebih dekat,” katanya.

    Walau bagaimana pun, sekali lagi beliau menegaskan bahawa larangan merentas negeri ditetapkan bagi mengelak berlaku penularan, lebih-lebih lagi wujud kluster berkait aktiviti balik kampung apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk merentas negeri.

    “PDRM juga tidak akan lagi berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak kira di bandar mahupun kampung,” ujarnya sambil menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa aktiviti merentas negeri tidak menyumbang kepada kenaikan kes COVID-19.

     
     
  • Honda NC750X 2021 didedah – transmisi sama ada manual atau DCT, enjin ditingkatkan kepada 745 cc

    Honda NC750X 2021 didedah – transmisi sama ada manual atau DCT, enjin ditingkatkan kepada 745 cc

    Model baru Honda NC750X kini sudah pun didedah, dengan ia datang dalam dua varian iaitu transmisi manual dan DCT (Dual Clutch Transmission). Kapasiti enjin juga ditingkatkan menjadi 745 cc berbanding 700 cc pada model sebelumnya.

    Enjin yang digunakan pada NC750X adalah sama seperti X-Adv 750, iaitu unit dua silinder selari yang mampu menghasilkan kuasa 58 PS pada 6,750 rpm dan 70 Nm tork pada 4,750 rpm. Kedua-dua transmisi manual dan DCT yang digunakan mempunyai enam kelajuan dan nisbah gear yang hampir sama.

    Prestasi motosikal ini juga ditambah baik lagi dengan pengurangan berat pada bahagian enjin dan kerangka, sekaligus menghasilkan catatan keseluruhan 214 kg bagi model manual dan 224 kg bagi model DCT.

    Honda NC750X 2021 didedah – transmisi sama ada manual atau DCT, enjin ditingkatkan kepada 745 cc

    Bahagian brek menggunakan cakera hidraulik di depan dan belakang sementara rim pula adalah unit 17 inci pada kedua-dua bahagian. Di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan berkapasiti 23 liter dan tempat duduk mempunyai ketinggian 800 mm.

    Ada tiga warna yang ditawarkan bagi NC750X di Jepun iaitu Grand Prix Red, Pearl Glare White dan Matte Ballistic Black Metallic, dengan harga 924,000 yen (RM35,771) untuk versi manual dan 990,000 yen (RM38,326) untuk versi DCT.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025