Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Prasarana memperluaskan penggunaan pas perjalanan tanpa had My30 ke Pulau Pinang dan Kuantan

    Prasarana memperluaskan penggunaan pas perjalanan tanpa had My30 ke Pulau Pinang dan Kuantan

    Seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, pas perjalanan tanpa had MY30 bakal diperluaskan ke Pulau Pinang dan Kuantan. Susulan pengumuman tersebut tersebut, Kumpulan Prasarana mengalu-alukan inisiatif terbabit sebagai meringankan beban perbelanjaan pengangkutan awam penduduk di kawasan berkenaan.

    Bukan itu sahaja, ia juga akan dapat meningkatkan jumlah penumpang Rapid Penang dan Rapid Kuantan yang berkurangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ujar pengerusinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, laporan Bernama.

    “Prasarana sememangnya berpendirian bahawa menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah langkah yang paling berkesan bagi meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi serta aktiviti-aktiviti komersial yang amat kritikal ketika ini,” katanya.

    Prasarana memperluaskan penggunaan pas perjalanan tanpa had My30 ke Pulau Pinang dan Kuantan

    Tambahnya, sepanjang tempoh PKP, Rapid Penang telah mencatat secara purata sejumlah 72,000 penumpang sehari, kini hanya mencatat 36,000 penumpang sehari. Sementara Rapid Kuantan pula kini secara purata mencatat 3,300 penumpang sehari berbanding 7,000 penumpang sehari pada tahun lepas.

    Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan memperhalusi pelaksanaan pas perjalanan My30 itu sebelum membenarkan Prasarana melaksanakan inisiatif berkenaan di Pulau Pinang dan Kuantan secepat mungkin.

    “Prasarana turut menyokong penuh Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti, yang mana akan diperluaskan lagi ke negeri-negeri dan bandar-bandar bagi meluaskan jaringan pengangkutan awam bas mulai tahun depan. Inisiatif ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan perkongsian saiz penggunaan pengangkutan awam kepada 40% menjelang tahun 2030,” katanya.

     
     
  • Yamaha Y15ZR diperkenal dalam grafik baru di M’sia

    Yamaha Y15ZR diperkenal dalam grafik baru di M’sia

    Pengedar motosikal Yamaha di Malaysia iaitu Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan empat grafik baru untuk model Y15ZR, terdiri daripada Matt Titan, Cyan, Red dan Blue. Harga cadangan asas tanpa insurans dan pendaftaran masih lagi kekal pada RM8,168.

    Selain model GP Edition dan Doxou, ini adalah kali pertama warna Y15ZR V2 diperbaharui sejak ia dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Mac 2019. Sebagai tambahan, pembeli juga akan menerima kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

    Y15ZR dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api, dan digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Bagi versi dipanggil V2 yang berada dalam pasaran sekarang, ia dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

     
     
  • Ismail jelaskan perkara yang perlu, tidak perlu daftar masuk MySejahtera/secara manual di stesen minyak

    Ismail jelaskan perkara yang perlu, tidak perlu daftar masuk MySejahtera/secara manual di stesen minyak

    Bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan dengan keperluan mendaftar masuk (check-in) menerusi aplikasi MySejahtera atau pun secara manual di stesen minyak, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob memberikan penjelasan mengenainya dalam sidang media harian petang ini.

    “Semalam timbul isu kekeliruan mengenai SOP di stesen minyak. Di mana saya juga terbaca ada seorang individu yang dikenakan tindakan kerana tidak mendaftar MySejahtera di stesen minyak. Jadi, mesyuarat hari ini memperincikan lagi jadi SOP di stesen minyak,” ujarnya.

    Menurut Ismail, setiap individu yang mengunjungi mana-mana stesen minyak, perlulah mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera sekiranya mereka masuk ke dalam premis berkenaan. Iaitu sama ada berurusan terus di kaunter pembayaran, menggunakan mesin ATM, membeli barang di kedai serbaneka, menghantar kereta untuk diservis di pusat servis yang berada sebelah kedai serbaneka berkenaan, atau pun mendapatkan perkhidmatan basuh kenderaan secara manual. Malah perkara ini juga diwajibkan bagi individu yang mahu ke surau atau pun tandas di premis berkenaan.

    Ismail jelaskan perkara yang perlu, tidak perlu daftar masuk MySejahtera/secara manual di stesen minyak

    “Ini bermakna, sekiranya berada di premis berkenaan, mungkin ada ramai lagi pelanggan lain di dalam premis tersebut, oleh itu, ada kontak di antara satu sama lain…jadi MySejahtera perlu. Mesti mendaftar melalui MySejahtera atau pun secara manual (buku daftar yang disediakan oleh pemilik premis). Jika berlaku apa-apa kes positif di dalam kedai tersebut, maka kontak rapat dapat dikesan,” jelasnya lagi.

    Walau bagaimana pun, menurut Ismail, bagi individu yang mengisi minyak dengan transaksi tanpa tunai iaitu membayar menggunakan kad debit/kredit atau aplikasi dalam talian, tiada kontak rapat dengan pekerja atau sesiapa, membayar menerusi tetingkap (pigeon hole) dan tidak memasuki kedai untuk membuat pembayaran, jadi mereka tidak perlu mendaftar aplikasi MySejahtera atau pun secara manual.

    “Kecuali, kalau ada yang beratur beramai-ramai masa hendak membuat pembayaran menerusi tetingkap, mungkin perkara ini berbeza. Begitu juga yang singgah ke stesen minyak untuk mengepam tayar, secara bersendirian, mereka juga tidak perlu mendaftar aplikasi tersebut atau secara manual

    “Bagi individu yang hantar kereta untuk dibaiki atau servis di pusat servis di sebelah stesen minyak, menunggu atau jumpa foreman, perlu daftar masuk MySejahtera atau secara manual. Begitu juga jika menggunakan khidmat car wash secara manual, juga perlu daftar masuk MySejahtera atau secara manual.

    “Tetapi jika menggunakan khidmat auto car wash yang tidak membuat pembayaran di kedai dan hanya bayar melalui tetingkap atau tidak bertemu dengan cashier di dalam premis, juga tidak perlu daftar masuk..,”kata Ismail lagi.

    Beliau turut menambah, sekiranya ada lagi kekeliruan mengenai perkara ini, orang ramai bolehlah merujuk laman sesawang KPDNHEP yang bakal mengeluarkan SOP yang lebih terperinci untuk setiap transaksi atau urusan di stesen minyak.

     
     
  • Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV, versi jarak roda panjang

    Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

    Setelah membuat kemunculan sulungnya September lalu, Hyundai Tucson generasi keempat diumumkan akan mula dijual pada pasaran Amerika Syarikat bermula pada musim bunga 2021, sebagai model 2022. Seperti yang didedahkan sebelum ini, Tucson generasi baharu ini menampilkan asas rekaan “Sensuous Spotiness” terkini Hyundai yang nampak begitu futuristik serta jauh dari rekaan generasi ketiganya.

    Antara ciri yang menarik perhatian sudah tentulah rekaan gril “Parametric Dynamic” pada mukanya, menampilkan elemen seakan batu permata pada gril yang sama dengan lampu nyalaan siang, di mana kedua-duanya nampak dibezakan hanya ketika lampu tersebut menyala.

    Rekaan bahagian sisi SUV ini pula tampil dengan jarak roda yang panjang bersama juntaian hadapan dan belakang yang pendek, bersama garis-garis dan sudut geometrik tajam. Ia turut diberikan jalur krom atas tingkap yang diberikan bermula pada cermin sisi hingga ke tiang-C.

    Di belakang, Tucson baharu ini turut menerima lampu yang direka seakan kuku tajam, bersama jalur lampu yang menrentasi keseluruhan pintu tailgate. Satu lagi rekaan yang agak unik adalah logo Hyundai yang diposisikan hingga ke bahagian cermin belakang, bersama pengelap cermin yang disorokkan di sebalik spoiler.

    Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

    Amerika Syarikat adalah antara pasaran yang menerima Tucson dalam versi jarak roda panjang. Dari segi dimensi, model ini dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,630 mm, 1,864 mm lebar, menjadikan ia 155 mm lebih panjang dan 15 mm lebih lebar dari model sebelumnya.

    Jarak roda pula diukur sejauh 2,756 mm, atau 86 mm lebih panjang dari Tucson generasi ketiga. Keluasan bahagian penumpang naik 170 liter, manakala kapasiti kargo pula kini mencapai 1,096 liter atau 218 liter lebih besar dari Tucson sedia ada.

    Rekaan futuristik Tucson ini turut di bawa ke bahagian kabin. Jika anda lihat, panel pintu dan juga papan pemuka SUV ini seakan bersambung, dan jalur dari pintu nampak seperti mengalir ke tengah papan pemuka dan berakhir pada ‘air terjun’ yang mengapit konsol tengah. Kabin ini juga turut diberikan lampu suasana dengan 64 warna serta 10 tahap kecerahan yang boleh dilaras.

    Kelengkapan lain yang turut dibekalkan pada Tucson pasaran Amerika Syarikat ini termasuk skrin sesentuh 10.25-inci, panel instrumen digital sepenuhnya tanpa perumah dan juga penukar gear tanpa tombol dan hanya menggunakan butang seperti pada Sonata.

    Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

    Tucson generasi baharu ini juga menerima sistem penghawa dingin dengan sistem liang pelbagai udara. Menurut Hyundai, ini adalah sistem unik dari mereka yang belum digunakan lagi pengeluar lain dalam industri automotif, di mana ia boleh melaras suhu dan aliran udara yang disebarkan untuk penumpang hadapan.

    Untuk pasaran Amerika Syarikat, Tucson hadir dengan tiga varian enjin iaitu petrol NA, turbo hybrid dan juga plug-in hybrid (PHEV). Untuk model petrol NA, ia dibekalkan dengan enjin 2.5 liter Smartstream berkuasa 187 hp dan tork maksima 241 Nm. Enjin ini menampilkan pembakaran dengan kadar efisien tinggi, sistem EGR yang disejukkan serta sistem penyejukkan ITMS yang dioptimakan.

    Ia digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik untuk memacu roda hadapan. Model ini turut ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda menerusi sistem HTRAC AWD Hyundai dengan mod Normal, Sport (lebih tork ke gandar belakang) serta Smart.

    Menurut Hyundai, sistem AWD berkenaan menawarkan kadar variasi agihan tork yang lebih banyak berbanding sistem kompetitif yang lain, dan ditala untuk situasi seperti pecutan lurus, mengambil selekoh dalam kelajuan separa-tinggi dan tinggi dan juga ketika mula mendaki.

    Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

    Manakala untuk model hybrid dan PHEV, kedua-duanya dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter berkuasa 177 hp dan tork maksima 254 Nm, bersama kotak gear enam-kelajuan automatik. Ia digandingkan dengan motor elektrik 44.2 kW, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 226 hp dan tork maksima 350 Nm.

    Untuk model hybrid, motor berkenaan menerima bekalan kuasa elektrik dari pek bateri 1.49 kWj, dan Hyundai mendakwa penggunaan bahan apinya adalah 30% lebih efisien dari model petrol biasa, dengan bekalan tork 20% lebih tinggi.

    Manakala untuk model PHEV pula, ia diberikan pek bateri lebih berkuasa dengan kadar 13.8 kWj. Ini membolehkan Tucson PHEV bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dengan satu caj penuh bateri sejauh 45 km. Bateri berkenaan boleh di caj penuh dalam masa tidak sampai dua jam menggunakan pengecaj on-board.

    Buat pertama kali juga SUV hybrid dan PHEV ini menerima sistem pacuan semua roda HTRAC AWD. Menurut Hyundai, model lebih mesra alam ini bukan sahaja memberikan kadar penggunaan bahan api lebih baik, malah ia dihasilkan secara seimbang dengan mengambil kira keseronokan memandu, berbanding pesaing lain yang mengabaikan faktor tersebut.

    Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

    Oleh itu, model hybrid dan juga PHEV turut menampilkan e-Handling pada motor elektrik berkenaan bagi mengawal tork berdasarkan input dinamik serta keadaan jalan bagi memberikan prestasi mengambil selekoh lebih baik. Ketika SUV ini mula masuk ke selekoh, sistem berkenaan akan memberikan kuasa membrek pada roda hadapan, bagi memberikan traction dan respon stereng lebih baik.

    Selepas itu ketika ia mula keluar dari selekoh, motor elektrik akan memberikan tork yang tepat pula kepada gandar belakang, bagi meningkatkan cengkaman pada permukaan tayar terhadap jalan bagi memberikan traction dan kawalan yang lebih baik ketika mula untuk memecut semula.

    Tucson pasaran Amerika Syarikat ini turut menerima fungsi Remote Smart Park Assist yang membolehkan anda parkir dan keluar dari parkir dengan hanya menggunakan kunci pintar tanpa perla anda berada dalam kereta. SUV ini juga boleh dihidupkan dari jarak jauh dengan kawalan pemanas tempat duduk hadapan menggunakan aplikasi Blue Link Hyundai.

    Ia turut diberikan aplikasi kunci digital yang membolehkan fungsi kunci pintar anda digantikan dengan hanya menggunakan telefon pintar. Fungsi pengecas tanpa wayar Qi dan juga sokongan Android Auto serta Apple CarPlay tanpa wayar juga diberikan.

    Untuk keselamatan, Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika Syarikat ini menerima sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense yang terdiri dari sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan bersama pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Perhatian Pemandu, dan Amaran Penumpang Belakang – kesemua ini hadir sebagai ciri standard.

    Sistem SmartSense ini juga ditawarkan dengan opsyen lebih baik terdiri dari sistem Bantuan Pengelak Kemalangan Titik Buta, Bantuan Pengelak Kemalangan Lintasan Trafik Belakang, Amaran Selamat Keluar, cruise control pintar dengan fungsi stop & go, Amaran Penumpang Belakang dengan penderia ultrasonic, dan juga Bantuan Parkir Pintar jarak jauh.

     
     
  • Semua model Hyundai, Kia, Genesis akan guna Nvidia Drive pada 2022 — lebih pintar dan berkuasa

    Semua model Hyundai, Kia, Genesis akan guna Nvidia Drive pada 2022 — lebih pintar dan berkuasa

    Hyundai Motor Group dan syarikat teknologi utama Nvidia telah mengumumkan platform “capaian kenderaan” yang dikenali sebagai Nvidia Drive, yang merupakan sisten infotainmen terbaru bagi kenderaan generasi akan datang semua jenama di bawah kumpulan syarikat itu.

    Semua kenderaan Hyundai, Kia dan Genesis akan dilengkapi dengan Nvidia Drive bermula dari tahun 2022. Ini termasuklah kereta peringkat kemasukan sekali, walaupun ia ketika ini hanya ditawarkan untuk model Genesis G80 dan GV80. Nvidia Drive merangkumi aspek peralatan dan perisian sekali gus, menawarkan perkhidmatan sambungan berasaskan kepintaran buatan (AI), audio, video dan sistem tunjuk arah. Syarikat juga memaklumkan sistem berkenaan boleh dikemaskini dan akan menjadi lebih baik di masa akan datang.

    Nain Presiden Kanan Elektronik, Hyundai Motor Group, Paul Choo memaklumkan: “Platform Nvidia Drive telah terbukti – boleh dilanjutkan pembangunannya, cekap tenaga dan ada prestasi untuk menyokong perisian yang digunakan pada kenderaan akan datang.” Ia juga merupakan platform terbuka yang membolehkan pihak lain untuk menawarkan perkhidmatan yang relevan kepada pemilik.

    Semua model Hyundai, Kia, Genesis akan guna Nvidia Drive pada 2022 — lebih pintar dan berkuasa

    Naib Presiden Kenderaan Autonomous Nvidia, Ali Kani pula berkata; “Nvidia membawa fungsi penggunaan elektronik dan antaramuka dengan kesan grafik yang kaya kepada sistem infotainmen kenderaan lebih dari sedekad lalu. Kini, kami sekali lagi mengubah sistem berkenaan dengan memanfaatkan AI, membolehkan Hyundai Motor Group meningkatkan keselamatan dan nilai untuk manfaat pengguna.”

    Hyundai dan Nvidia telah bekerjasama sejak 2015, dan ketika ini sedang membangunkan kokpit digital maju yang akan diperkenalkan pada penghujung 2021 nanti.

     
     
  • Toyota C-HR GR Sport, C-HIC diperkenalkan di Eropah

    Toyota C-HR GR Sport, C-HIC diperkenalkan di Eropah

    Satu lagi model GR Sport diperkenalkan di Eropah dan kali ini adalah untuk C-HR. Tidak seperti di Jepun, crossover segmen B ini tidak mendapat sebarang panel badan yang unik, dan hanya warna, kemasan serta beberapa lagi perincian lain diubah.

    Muka hadapan C-HR GR Sport Eropah ini masih lagi sama seperti model facelift, tetapi mendapat lip hadapan, bar bampar serta kemasan keliling lampu kabus yang berwarna hitam. Kemudiannya, perumah lampu turut digelapkan dan gril menggunakan kemasan krom gelap.

    Tema gelap ini diteruskan lagi pada bahagian lain termasuklah panel bawah pintu serta keliling pemantul cahaya belakang, dan kemudian rim menggunakan unit 19 inci dan bampar diberikan kemasan warna perak di bawah. Sembilan warna dua tona ditawarkan, termasuk Dynamic Grey yang khas untuknya.

    Pada bahagian dalam, kenderaan ini datang dengan pilihan balutan fabrik atau gabungan kulit dan Alcantara, bersama perincian kelabu serta jahitan merah dan kelabu. Anda juga dapat melihat roda stereng dibalut kulit, animasi GR pada panel instrumen serta lencana GR pada tempat duduk, butang pemula dan panel tepi pintu.

    Cermin jenis gelap, sistem masuk tanpa kunci, lampu utama LED dan cermin sisi boleh lipat sendiri datang secara standard. C-HR GR Sport ini juga menggunakan suspensi yang ditala khas untuk meningkatkan pengendaliannya sambil mengekalkan keselesaan, serta tayar Continental Premium Contact 6 yang lebih besar.

    Selain versi GR Sport, Toyota juga telah memperkenalkan varian C-HIC untuk model tahun 2021. Model ini datang dengan rim 18 inci dan empat pilihan warna dua tona termasuk warna baru Oxide Bronze. Ia juga mendapat balutan kulit dua tona Orchid/Black, tempat duduk kawalan kuasa dan lapik bumbung warna kelabu.

    Toyota C-HR GR Sport, C-HIC diperkenalkan di Eropah

    Akhir sekali, C-HR 2021 dipasang dengan pakej sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense yang dipertingkat. Ciri Autonomous Emergency Braking pada kenderaan ini sekarang boleh mengesan kenderaan yang datang dari hadapan waktu di persimpangan manakala Emergency Steering Assist pula boleh memberikan tambahan tork stereng apabila mengelak secara tiba-tiba.

    Fungsi Adaptive Cruise Control pula boleh mengawal kelajuan berdasarkan had laju jalan raya menggunakan pengesan tanda jalan, sementara Lane Centring Assist juga turut ditambah. Bagi enjin, C-HR 2021 terus menggunakan penggerak hibrid sama seperti sebelum ini di Eropah, terdiri daripada unit 1.8 liter dan 2.0 liter yang masing-masing mampu menghasilkan kuasa 122 hp dan 184 hp.

     
     
  • Perlukah check-in MySejahtera/secara manual ketika isi minyak? MKN telah menjelaskan kekeliruan ini

    Perlukah <em>check-in</em> MySejahtera/secara manual ketika isi minyak? MKN telah menjelaskan kekeliruan ini

    Nampak gayanya isu mengenai perlukah semua pengguna mendaftar masuk (check-in) aplikasi MySejahtera untuk mengisi minyak di stesen minyak, menimbulkan kekeliruan di kalangan netizen. Baru-baru ini tular di media sosial mengenai luahan seorang lelaki yang bapanya dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 oleh polis kerana tidak check-in aplikasi berkenaan sewaktu mengisi minyak, walau pun ketika itu dia memakai pelitup muka.

    Susulan kejadian berkenaan, China Press melaporkan, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang berkata, apabila tiba sahaja di stesen minyak, setiap individu perlulah check-in aplikasi MySejahtera walau pun tidak memasuki kedai serbaneka di stesen berkenaan.

    Perkembangan terkini jam 4.55 petang, 10/11/2020

    Datuk Seri Ismail telah memberikan penjelasan mengenai urusan yang perlu dan tidak perlu yang melibatkan daftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera atau secara manual. Katanya, daftar masuk menerusi aplikasi berkenaan atau secara manual tidak diperlukan sekiranya:

    • Melakukan transaksi pembayaran menggunakan kad kredit/debit atau aplikasi seperti Setel
    • Melakukan pembayaran di tetingkap (pigeon hole) tanpa melibatkan kontak rapat dengan pekerja atau individu lain
    • Mengepam tayar kenderaan
    • Mendapatkan perkhidmatan auto car wash dengan melakukan pembayaran menerusi mesin pembayaran yang disediakan

    Walau bagaimana pun, setiap individu perlu untuk mendaftar masuk dengan mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri secara manual sekiranya:

    • Memasuki premis untuk membuat pembayaran di kaunter pembayaran, menggunakan mesin ATM atau pun membeli barangan di kedai serbaneka
    • Menggunakan tandas dan/atau surau
    • Menghantar kereta untuk diservis di pusat servis yang berada di sebelah kedai serbenaka stesen minyak terbabit
    • Menggunakan perkhidmatan mencuci kereta secara manual

    Perlukah <em>check-in</em> MySejahtera/secara manual ketika isi minyak? MKN telah menjelaskan kekeliruan ini

    Menerusi laporan The Star pagi ini pula, Presiden Persatuan Pengedar Petrol (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, individu hanya perlu mengimbas kod QR pada aplikasi MySejahtera apabila memasuki kedai serbaneka, surau atau tandas di stesen minyak berkenaan.

    “Ia tidak diperlukan (mengimbas kod QR tersebut) jika hanya mengisi minyak kenderaan (jika tidak berurusan di kaunter, menggunakan kad debit/kredit). Apa yang dimaklumkan kepada kami, hanya kod QR dan pemeriksaan suhu badan diperlukan apabila seseorang individu memasuki kedai serbaneka, tandas dan surau. Selain daripada itu, tidak perlu,” ujarnya yang mengakui telah mendapat pengesahan daripada pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC).

    Walau bagaimana pun, pagi tadi, kami turut menghubungi pihak CPRC dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk maklumat lanjut dan pengesahan mengenai perkara ini. Pegawai dari kedua-dua pihak berkenaan mengesahkan, perkara ini (penggunaan aplikasi MySejahtera) adalah diwajibkan sebaik sahaja seseorang individu memasuki mana-mana premis walau pun hanya untuk mengisi minyak kenderaan.

    Dan untuk kali kedua, kami menghubungi CPRC sebentar tadi. Pegawai yang menjawab panggilan kami mengatakan, perkara ini sebenarnya masih dalam peringkat perbincangan dan keputusannya akan diumumkan dari semasa ke semasa. Malah beliau turut menyarankan agar kita semua menantikan pengumuman yang lebih tepat dan sahih dari Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri sendiri.

    Jadi, tak perlulah nak berdebat, kerana sebenarnya perkara ini masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada keputusan muktamad. Kena tunggu menteri umumkan nanti. Apa pun, kami sarankan agar anda check-in MySejahtera jika ingin mengisi minyak, sebagai langkah keselamatan supaya pihak berkuasa boleh melakukan pengesanan kontak sekiranya ada kes Covid-19 di stesen minyak berkenaan.

     
     
  • Subaru BRZ 2022 tidak akan dilancarkan di Eropah

    Subaru BRZ 2022 tidak akan dilancarkan di Eropah

    Berita gembira buat para penggemar jentera sport. Dikhabarkan Subaru BRZ generasi kedua akan diperkenalkan pada 18 November ini. Walau demikian, tidak seperti model generasi pertama, ia tidak akan lagi menjadi model global.

    Menurut laporan Autocar UK dan Carscoops yang telah mengesahkan BRZ baharu ini tidak akan dilancarkan di Eropah, dan ia hanya model untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja. Namun tidak dipastikan adakah ‘kembar’ BRZ iaitu Toyota GR 86 juga akan mengalami nasib yang sama. Kena tunggu informasi selanjutnya daripada kedua-dua pengeluar kereta berkenaan.

    Kami telah pun memaparkan beberapa teaser BRZ ini, bersama spyshot model prototaip GR 86. Walau bagaimana pun, perincian teknikal bagi kembar Toyobaru baharu ini masih kekal misteri, terutamanya berkaitan dengan mekanikalnya.

    Subaru BRZ 2022 tidak akan dilancarkan di Eropah

    Ada ura-ura menyatakan kereta sport ini akan dilengkapi enjin FA24F 2.4 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, sama seperti SUV tiga-barisan tempat duduk, Ascent, yang diberikan kuasa hingga 260 hp dan tork 376 Nm.

    Baru-baru ini pula, ada video teaser yang disebarkan oleh Subaru of America yang berkata BRZ tidak akan menerima enjin pengecas turbo, sebaliknya dipadankan dengan unit FA24D 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan ledakan 217 hp dan 240 Nm. Sekaligus, ia lebih berkuasa berbanding model semasa dengan enjin FA 20D 2.0 liter (205 hp dan 212 Nm), bersama pacuan roda-belakang dan diberikan pilihan sama ada transmisi manual atau automatik.

    Ia menjadi kebarangkalian enjin BRZ baharu ini tidak menepati piawaian yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah, membuatkan model ini tidak akan dilancarkan di benua berkenaan. Namun, ini bukanlah perkara baharu, ia pernah berlaku pada Suzuki, melibatkan model Jimny, yang kemudiannya diperkenalkan semula sebagai kenderaan komersil ringan bagi memastikan model berkenaan melepasi pemeriksaan emisi CO2.

     
     
  • Hyundai Tucson N Line 2021 berkuasa lebih 300 hp?

    Hyundai Tucson N Line 2021 berkuasa lebih 300 hp?

    Sayap perlumbaan Hyundai iaitu Hyundai N semakin rancak memperkenalkan model baru, dan selepas Elantra N, kini mereka mengeluarkan pula beberapa gambar teaser untuk Tucson N Line. SUV segmen C yang lebih sporty ini dikatakan bakal menembusi pasaran seawal bulan Mac tahun depan, yang bermakna hari pengenalannya semakin hampir.

    Berdasarkan gambar ini, bahagian bampar Tucson N Line diubah sedikit, iaitu pada bahagian bukaan udara di tepi serta lip bawahnya, fender sama warna dengan badan bersama lencana N Line, rim 19 inci yang dibalut tayar Continental Premium Contact SSR, kemasan hitam berkilat di luar menggantikan kemasan krom serta warna badan baru.

    Pada bahagian belakang, Tucson N Line menggunakan lampu LED yang sama, tetapi bahagian bawah bampar direka semula dan menampilkan diffuser bersepadu serta dua muncung ekzos berbentuk bulat. Bahagian kabin juga dijangka mengalami sedikit perubahan pada kemasannya.

    Hyundai Tucson N Line 2021 berkuasa lebih 300 hp?

    Setakat ini informasi berkenaan pilihan enjin Tucson N Line masih belum diberitahu tetapi ia dijangka dipacu oleh unit petrol turbo yang lebih berkuasa. Ada laporan yang mengatakan ia bakal mendapat enjin 2.5L turbo yang mampu menghasilkan kuasa 300 hp dan 420 Nm tork. Kuasa dihantar ke semua roda melalui transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan.

    Satu lagi kemungkinan, ia boleh datang dengan enjin 1.6 liter T-GDI yang lebih ringan dan menghasilkan kuasa lebih 200 hp. Tucson N Line sebelum ini boleh didapati dengan enjin diesel hibrid ringkas serta beberapa pilihan lain. Untuk yang baru ini, pastinya ia lebih dinamik.

     
     
  • Honda HR-V 2021 dalam imej render, lebih bersegi

    Honda HR-V 2021 dalam imej <em>render</em>, lebih bersegi

    Setelah tujuh tahun berada dalam pasaran, kita boleh jangkakan sudah sampai masanya untuk versi terbaru bagi Honda HR-V generasi seterusnya. Ini bukanlah rahsia, memandangkan sebelum ini sudah ada spyshot yang kelihatan. Dan, daripada situ, Theophilus Chin menghadirkan pula satu rekaan digital yang membayangkan HR-V terbaru itu.

    Paling ketara, HR-V baru yang dibayangkan ini menerapkan rekaan yang cenderung lebih bersegi. Bingkai cermin makin bersegi, dan tiada lagi garis bahu yang biasa kita lihat pada SUV segmen B ini; ia digantikan dengan garis lurus dari lampu depan hingga lampu belakang. Pemegang pintu belakang bagaimanapun masih tersorok.

    Di depan, bukaan gril lebih besar, dan bersambung terus pada lampu utama dalam rekaan trapezoid dan dilengkapi dengan palang melintang. Palang krom “Solid Wing Face” Honda juga ada diterapkan. Honda bagaimanapun tidak lagi menggunakan elemen berkenaan pada model terkini yang ada.

    Honda HR-V 2021 dalam imej <em>render</em>, lebih bersegi

    Bahagian belakang juga berubah agak ketara, dengan rekaan lampu yang lebih kurus (dengan elemen melintang pada kelebaran penuh) serta kemasan yang menonjol. Kedudukan nombor pendaftaran juga diturunkan sedikit lagi. Rim aloi dua-tona rekaan turbin melengkapkan imej HR-V ini.

    Honda HR-V akan datang berkemungkinan besar akan menggunakan asas yang sama dengan Jazz dan City, bahkah sistem janaan kuasa hibrid juga mungkin sama – Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Motor elektriknya menghasilkan 109 PS/253 Nm, sementara enjin dengan janaan 98 PS/127 Nm dari unit 1.5 liter kitaran Atkinson yang akan mengambil alih ketika kelajuan tinggi. Pengesahan perincian lain tentulah akan diketahui ketika model berkenaan diperkenalkan secara rasmi nanti.

     
     
  • Toyo Proxes CR1 akan dilancarkan di M’sia 19 Nov ini

    Toyo Proxes CR1 akan dilancarkan di M’sia 19 Nov ini

    Toyo Tyre Malaysia telah mengumumkan bahawa tayar siri baharu Proxes CR1 akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada 19 November 2020 ini. Lagi berita baik, majlis perasmian berkenaan akan dibuat secara maya dan boleh ditonton oleh semua orang pada pukul 9 pagi hari berkenaan, di laman Facebook rasmi Toyo Tyre Malaysia.

    Tayar Proxes CR1 ini dihasilkan bagi memberikan pemanduan yang lancar dan santai untuk kereta penumpang biasa dan juga SUV. Ia menampilkan teknologi T-Mode dan Nano Balance signatur dari Toyo Tires bagi menangani keadaan dunia sebenar serta mengoptimakan prestasi komponen-komponen pada bunga tayar.

    Menurut Toyo lagi, tayar Proxes CR1 ini turut memberikan prestasi tinggi ketika basah dan kering, dalam masa yang sama tahan lebih lama serta menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih baik, hasil dari kerja-kerja pembangunan yang intensif.

    Maklumat teknikal yang lebih terperinci, saiz yang ditawarkan serta informasi berkenaan harga akan diumumkan ketika majlis pelancarannya nanti. Istimewa untuk peminat sukan permotoran, Prince of Drift Malaysia, Tengku Djan Ley turut akan membuat penampilan pada pelancaran berkenaan.

    Tengku Djan akan berkongsi maklum balas peribadinya terhadap tayar Toyo Proxes CR1 ini, yang telah dipasang pada Mercedes-Benz C 230 dan telah dipandu uji di tempat letak kereta Pusat Konvensyen Setia City baru-baru ini.

    Selain dari input yang diberikan oleh pemandu profesional ini, acara pelancaran maya interaktif ini turut akan menawarkan hadiah kepada 53 pemenang bertuah. Tiga penonton pertama yang memberikan ‘like’ dan berkongsi (share) video siaran langsung berkenaan serta menjawab lima soalan dengan betul bakal memenangi satu set tayar Proxes CR1 ini! Manakala 50 pemenang yang lain akan menerima kad minyak Petronas yang masing-masing bernilai RM20.

     
     
  • CPRC, MKN sahkan wajib check-in MySejahtera ketika masuk premis – RM1k jika gagal berbuat demikian

    CPRC, MKN sahkan wajib <em>check-in</em> MySejahtera ketika masuk premis – RM1k jika gagal berbuat demikian

    Semalam ada kenyataan menyebut, selain memakai pelitup muka, adalah wajib untuk semua individu mendaftar (check-in) dengan aplikasi MySejahtera sebelum mengisi minyak kenderaan di semua stesen minyak. Jika gagal berbuat demikian, kompaun sebanyak RM1,000 boleh dikenakan oleh pihak berkuasa.

    Kenyataan tersebut yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang berkata, apabila tiba sahaja di stesen minyak, setiap individu perlulah mendaftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera walau pun tidak memasuki kedai serbaneka di stesen berkenaan.

    Walau bagaimana pun, selepas berita ini disiarkan, kami mendapati ada satu mesej yang tular di laman media sosial. Mesej tersebut dikatakan dari seorang individu yang pernah menghantar e-mel kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada pertengahan Oktober lalu, untuk pengesahan daftar masuk MySejahtera jika mahu mengisi minyak di stesen minyak. Menerusi mesej berkenaan, CPRC telah memberikan maklumbalas bahawa tiada keperluan untuk mendaftar masuk MySejahtera ketika membuat pembayaran atau mengisi minyak di stesen minyak.

    CPRC, MKN sahkan wajib <em>check-in</em> MySejahtera ketika masuk premis – RM1k jika gagal berbuat demikian

    Pagi ini, kami telah menghubungi CPRC sendiri untuk mendapatkan pengesahan. Menurut pegawai yang menjawab panggilan, adalah wajib untuk setiap individu yang memasuki mana-mana premis untuk mendaftar masuk MySejahtera atau pun menulis maklumat diri di dalam buku yang disediakan oleh pemilik premis. Selain wajib memakai pelitup muka. Ini adalah untuk pengesanan kontak sekiranya ada kes Covid-19 di premis berkenaan.

    “Memang sudah ada dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa setiap individu yang memasuki mana-mana premis adalah wajib untuk memakai pelitup muka dan mendaftar masuk aplikasi MySejahtera, atau pun menulis butiran diri pada buku daftar yang disediakan oleh pemilik premis.

    “Ini adalah untuk pengesanan kontak sekiranya terdapat kes penularan Covid-19 di premis berkenaan. Jadi memudahkan pihak berkuasa untuk mengesan pengunjung yang memasuk premis terbabit pada tarikh-tarikh yang tertentu itu,” ujar CPRC.

    Perkembangan terkini jam 4.55 petang, 10/11/2020

    Datuk Seri Ismail telah memberikan penjelasan mengenai urusan yang perlu dan tidak perlu yang melibatkan daftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera atau secara manual. Katanya, daftar masuk menerusi aplikasi berkenaan atau secara manual tidak diperlukan sekiranya:

    • Melakukan transaksi pembayaran menggunakan kad kredit/debit atau aplikasi seperti Setel
    • Melakukan pembayaran di tetingkap (pigeon hole) tanpa melibatkan kontak rapat dengan pekerja atau individu lain
    • Mengepam tayar kenderaan
    • Mendapatkan perkhidmatan auto car wash dengan melakukan pembayaran menerusi mesin pembayaran yang disediakan

    Walau bagaimana pun, setiap individu perlu untuk mendaftar masuk dengan mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri secara manual sekiranya:

    • Memasuki premis untuk membuat pembayaran di kaunter pembayaran, menggunakan mesin ATM atau pun membeli barangan di kedai serbaneka
    • Menggunakan tandas dan/atau surau
    • Menghantar kereta untuk diservis di pusat servis yang berada di sebelah kedai serbenaka stesen minyak terbabit
    • Menggunakan perkhidmatan mencuci kereta secara manual

    CPRC, MKN sahkan wajib <em>check-in</em> MySejahtera ketika masuk premis – RM1k jika gagal berbuat demikian

    Walau bagaimana pun, pada pagi ini, terdapat beberapa laporan media yang menyebut, bukan satu keperluan untuk daftar masuk MySejahtera jika ingin mengisi minyak. Malah ada juga laporan yang agak keliru bila mana ada pegawai berasingan dari agensi berkaitan yang memberikan jawapan yang tidak senada; ada yang kata wajib, dan ada yang kata tidak. Pastinya perkara ini memang cukup mengelirukan kita semua.

    Untuk mendapatkan kepastian yang lebih jelas, kami turut menghubungi Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengesahkan perkara ini adalah wajib untuk dipatuhi oleh semua individu.

    “Walau pun perkara ini tidak ditulis secara terperinci dalam SOP yang dikeluarkan oleh MKN, namun adalah wajib untuk semua individu check-in aplikasi MySejahtera bila memasuki mana-mana premis. Termasuk jika sekadar mengisi minyak di stesen minyak. Bayangkan jika tak check-in dan polis buat pemeriksaan mengejut serta mendapati anda tidak berbuat demikian (mendaftar masuk MySejahtera), anda boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000,” jelas pegawai MKN yang menjawab panggilan kami.

    Jadi, untuk mengelakkan kita didenda sebanyak RM1,000, lebih baik kita patuhi peraturan yang telah ditetapkan ini. Waima, masuk ke kawasan stesen minyak berkenaan untuk ke tandas, surau atau pun mengisi minyak. Mandatori!

     
     
  • Wajib daftar MySejahtera ketika isi minyak – PDRM

    Wajib daftar MySejahtera ketika isi minyak – PDRM

    Selain memakai pelitup muka, adalah wajib untuk semua individu mendaftar (check-in) dengan aplikasi MySejahtera sebelum mengisi minyak kenderaan di semua stesen minyak. Jika gagal berbuat demikian, kompaun sebanyak RM1,000 boleh dikenakan oleh pihak berkuasa.

    Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, apabila tiba sahaja di stesen minyak, setiap individu perlulah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera walau pun tidak memasuki kedai serbaneka di stesen berkenaan, laporan China Press.

    Perkembangan terkini jam 4.55 petang, 10/11/2020

    Datuk Seri Ismail telah memberikan penjelasan mengenai urusan yang perlu dan tidak perlu yang melibatkan daftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera atau secara manual. Katanya, daftar masuk menerusi aplikasi berkenaan atau secara manual tidak diperlukan sekiranya:

    • Melakukan transaksi pembayaran menggunakan kad kredit/debit atau aplikasi seperti Setel
    • Melakukan pembayaran di tetingkap (pigeon hole) tanpa melibatkan kontak rapat dengan pekerja atau individu lain
    • Mengepam tayar kenderaan
    • Mendapatkan perkhidmatan auto car wash dengan melakukan pembayaran menerusi mesin pembayaran yang disediakan

    Walau bagaimana pun, setiap individu perlu untuk mendaftar masuk dengan mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri secara manual sekiranya:

    • Memasuki premis untuk membuat pembayaran di kaunter pembayaran, menggunakan mesin ATM atau pun membeli barangan di kedai serbaneka
    • Menggunakan tandas dan/atau surau
    • Menghantar kereta untuk diservis di pusat servis yang berada di sebelah kedai serbenaka stesen minyak terbabit
    • Menggunakan perkhidmatan mencuci kereta secara manual

    Wajib daftar MySejahtera ketika isi minyak – PDRM

    “Jika tidak mendaftar atau mengimbas kod QR premis berkenaan, bagaimana pihak polis boleh mengesan individu terbabit jika terdapat kes Covid-19 di situ?,” ujarnya sambil memaklumkan stesen minyak merupakan kawasan awam yang sering dikunjungi ramai.

    Beliau turut berkata, adalah diwajibkan untuk semua pengunjung memakai pelitup muka, mendaftar masuk aplikasi MySejahtera bagi pengesanan kontak, memeriksa suhu badan dan menggunakan hand sanitiser.

    Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas susulan tersebarnya rakaman klip suara seorang lelaki yang mendakwa bapanya dikompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal mendaftar aplikasi MySejahtera ketika mengisi minyak, walau pun dia memakai pelitup muka.

     
     
  • Honda Odyssey facelift 2020 dengan aksesori Modulo

    Honda Odyssey facelift 2020 dengan aksesori Modulo

    Honda telah pun melancarkan Odyssey facelift di Jepun, dan ini merupakan peningkatan kali kedua untuk MPV generasi kelima yang sebelum ini pernah menerima penambahbaikan besar pada tahun 2017. Generasi RC ini telah mula ada sejak 2013.

    Model facelift ini diberikan sentuhan hujung hadapan yang lebih tegak dan bonet yang lebih rata. Wajah baharunya juga dapat dilihat berdasarkan bahagian pengambilan atas dan bawah yang terpisah, dengan bilah krom mendatar, sekaligus menyerlahkan lagi penampilannya. Lampu utama “jewel eye” direka semula, dengan menempatkan palang krom yang lebih tebal bersambung dengan kluster lampu, sementara apron bawah pula dilengkapi jaluran LED.

    Namun, tidak lengkap rasanya Odyssey facelift jika ia hadir tanpa aksesori tulen, justeru, Honda telah memperkenalkan kit Modulo untuk Absolute. Sekali pandang, dah macam CR-V pula. Kepingan gril melintang telah ditukar untuk kemasan honeycomb di dalamnya dan ditambah pula dengan wing krom dengan tona hitam. Walau pun tidak hitam sepenuhnya, namun ada satu garisan krom dan lip yang berkilat masih dikekalkan. Lencana Absolute pula diletakkan pada gril.

    Honda Odyssey facelift 2020 dengan aksesori Modulo

    Untuk bahagian belakangnya pula, lampunya lebih melintang berbanding kluster yang agak condong pada model lama. Ia juga didatangkan dengan grafik LED baharu dengan garisan yang lebih tebal. Jaluran krom yang lebih nipis umpama merapatkan bahagian lampu. Spoiler belakang juga didatangkan secara standard buat Absolute, tetapi wing pilihan Modulo lebih panjang. Jaluran krom juga ditampilkan pada perumah cermin sisi.

    Di dalamnya, papan pemuka baharu telah dipertingkatkan, malah pemilik boleh memilih plat ambang pintu, semua jenis pencahayaan ambien (bahagian kaki, pemegang pintu), balutan kulit pada tombol gear, pedal keluli, port pengecasan USB tambahan, solusi storan dan juga aksesori Honda Dog.

    Ia juga didatangkan dengan sistem infotainmen navigasi Gathers 10-inci dengan pembesar suara Diatone Sound dan skrin Full HD TV/DVD 11.6-inci yang dipasang di bumbung.

    Di Jepun, Odyssey menerima dua pilihan penjana kuasa. Pertama, digandingkan dengan unit K24W 2.4 liter empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 175 PS (173 hp) pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan CVT, dengan penawaran pacuan roda-hadapan dan semua-roda.

    Pilihan kedua pula ialah sistem hibrid Intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) atau e:HEV, yang turut digunakan untuk StepWGN. Sistem ini sama dengan 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan kuasa 145 PS (143 hp) dan tork 175 Nm, digandingkan bateri lithium-ion sebagai penjana.

    Bateri tersebut digunakan untuk menyalurkan kuasa pada motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan kadar 184 PS (181 hp) dan 315 Nm, di mana ia menyalurkan pacuan untuk semua situasi pemanduan. Walau bagaimana pun, enjin boleh menyalurkan pacuan secara terus pada kelajuan yang lebih tinggi, menggunakan klac lock-up dan transmisi kelajuan-tunggal, di mana ia lebih efisien berbanding motor elektrik pada kelajuan tersebut.

    Harga untuk Odyssey baharu di Jepun bermula dari 3.495 juta yen (RM139,208) dan meningkat sehingga 3.9294 juta yen (RM156,515) untuk varian petrol sahaja. Manakala bagi varian yang dilengkapi e:HEV, ia berharga dari 4.198 juta yen (RM167,214) hingga 4.58 juta yen (RM182,429).

    GALERI: Honda Odyssey facelift 2020 dengan aksesori with Modulo

    GALERI: Honda Odyssey facelift 2020

     
     
  • Waris kanak-kanak yang tular tunggang motosikal Honda EX5 diambil tindakan oleh PDRM Kubang Pasu

    Mengambil respon dari video yang tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak lelaki menunggang motosikal, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kubang Pasu telah menjalankan satu siasatan awal dan berjaya mengesan individu yang terlibat.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Daerah Kubang Pasu, Kedah, video tular yang berdurasi selama 19 saat yang memaparkan seorang kanak–kanak lelaki yang sedang menunggang sebuah motosikal berjenama Honda Ex5 berwarna hitam dengan nombor pendaftarannya agak kabur.

    “Di dalam video tersebut kelihatan kanak–kanak berkenaan berada di satu simpang tiga dan telah menunggang motosikal keluar dari simpang dan sehingga tamat video tersebut. Setelah siasatan lanjut dijalankan mendapati, rakaman video berlaku pada 08/11/2020 jam lebih kurang 1800hrs di Kampung Paya Chegar, Jitra,” tulis kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

    PDRM mengesahkan bahawa kanak-kanak berkenaan telah di bawa ke Ipd Kubang Pasu oleh waris dan telah diambil tindakan lanjut di bawah kesalahan lalulintas iaitu, menunggang di bawah umur, cukai jalan tamat tempoh dan tidak dilindungi perlindungan insuran dan serta tidak memakai topi keledar.

    Malah, waris kanak–kanak tersebut juga telah diambil tindakan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur, memandu/menunggang kenderaan bermotor.

    Justeru itu, PDRM Kubang Pasu menasihatkan agar ibu bapa lebih memberikan perhatian kepada kanak–kanak terutama dalam aspek keselamatan lalulintas agar kejadian–kejadian yang tidak dingini dapat dielakkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025