Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kawasaki ZX-25R masuk pasaran Thailand – RM36k

    Kawasaki ZX-25R masuk pasaran Thailand  – RM36k

    Selepas Indonesia, Thailand menjadi negara seterusnya yang mendapat Kawasaki Ninja ZX-25R apabila ia dilancarkan semalam waktu acara Bangkok International Motor Show. Pilihan warna untuk pasaran Thailand cuma ada dua iaitu hitam (rangka merah) dan juga hijau, dengan harga jualan 269,000 baht (RM36,450).

    Berbeza berbanding dengan Indonesia, hanya satu versi sahaja yang diperkenalkan di Thailand, iaitu yang sudah dilengkapi dengan barangan seperti quickshifter serta brek ABS sementara versi Standard yang lebih ringkas tidak dijual.

    Kelengkapan asas motosikal ini sama sahaja seperti yang sudah didedahkan, termasuk enjin empat silinder empat strok 249.8 cc DOHC penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 51 PS pada 15,500 rpm (dengan ram air) dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm. Laju maksimum yang diberitahu adalah 197 km/j. Pada bahagian transmisi, model ini menggunakan unit enam kelajuan bersama klac jenis assist and slipper.

    Walaupun cuma adalah model 250 cc, ZX-25R didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Sebagai keselamatan, kunci motosikal ini juga datang dengan sistem immobilizer.

    ZX-25R dibangunkan atas kerangka trellis serba baru untuk menjamin tunggangan sporty seperti siri sports bike ZX-6R dan ZX-10R, manakala brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang. Tayar adalah bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Perincian lain untuk ZX-25R adalah suspensi USD SFF-BP 37 mm tanpa pelarasan di hadapan, monoshock Horizontal Back-link dengan pelarasan pra beban di belakang, berat keseluruhan 182 kg, tangki bahan api 15 liter, jarak roda 1,380 mm dan jarak dari tanah 125 mm.

    GALERI: Kawasaki ZX-25R pasaran Indonesia

    GALERI: Kawasaki ZX-25R di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Ford Bronco 2021 didedahkan – pintu, bumbung dan panel badan boleh ditanggal, 2 pilihan enjin EcoBoost

    Ford Bronco 2021 didedahkan – pintu, bumbung dan panel badan boleh ditanggal, 2 pilihan enjin EcoBoost

    Pre-production versions of the 2021 Bronco, shown here, include Bronco two-door in Cyber Orange Metallic Tri-Coat and Bronco four-door in Cactus Gray.

    Selepas Land Rover Defender, kini satu lagi kenderaan SUV klasik dijelmakan dalam versi generasi baharu yang jauh lebih moden – kali ini giliran ikon dari Amerika Syarikat iaitu Ford Bronco. Seperti yang anda boleh lihat, Bronco generasi keenam ini tidak dihasilkan dengan kesinambungan dari model sebelumnya, tapi lebih seakan model kelahiran semula Bronco klasik generasi pertama.

    Namun tidak seperti Land Rover Defender yang telah beralih ke casis jenis monocoque, Bronco generasi baharu ini masih kekal dengan casis jenis ladder-frame. Model ini diasaskan dari platform yang sama dengan Ford Ranger T6, dan ia ditawarkan dalam bentuk badan dua-pintu dan empat-pintu.

    Kedua-dua bentuk badan Bronco ditawarkan dalam tujuh kemasan – bermula dari varian asas, Big Bend, Black Diamond, Outer Banks, Wildtrak, Badlands dan juga model edisi terhad First Edition yang hanya dihasilkan sebanyak 3,500 unit.

    Ford Bronco 2021 didedahkan – pintu, bumbung dan panel badan boleh ditanggal, 2 pilihan enjin EcoBoost

    Pre-production 2021 Bronco two-door SUV takes its rugged off-road design cues from the first-generation Bronco, the iconic 4×4 that inspired generations of fans.

    Bukan sahaja nampak sahaja seperti Bronco generasi pertama, panel-panel badan Bronco moden ini juga dihasilkan dengan konsep serupa – ia boleh dicabutkan dengan mudah. Untuk model dua-pintu, ia hadir dengan bahagian kiri dan kanan hadapan, belakang dan juga bumbung tiga bahagian yang boleh dicabut. Pembeli juga boleh memilih versi bumbung modular empat bahagian dengan kemasan cat premium, dan ia hadir sekali dengan panel tempat duduk serta bahagian kargo yang turut boleh dicabut.

    Manakala untuk versi empat pintu, ia datang standard dengan bahagian panel kiri dan kanan hadapan, keseluruhan panel tengah, panel bahagian belakang serta bumbung dengan empat bahagian yang boleh dicabut. Kesemua varian Bronco ini juga hadir dengan pintu yang boleh dicabut, bersama cermin pandang belakang yang diletakkan pada bahagian cowl dan tidak terjejas sekiranya pintu sudah dicabut.

    Khas untuk versi empat pintu, kesemua pintu yang telah dicabut boleh disimpan di dalam beg isitimewa yang disediakan untuk melindungi pintu-pintu tersebut. Kesemua jenis bentuk badan turut diberikan sepasang cagak pada kedua-dua fender hadapan yang boleh menampung beban sehingga 68 kg.

    Ford Bronco 2021 didedahkan – pintu, bumbung dan panel badan boleh ditanggal, 2 pilihan enjin EcoBoost

    With more than 200 factory-backed accessories available at launch, this 2021 Bronco two-door prototype shows how owners can personalize their SUV to get more out of their outdoor experiences. (Aftermarket accessories shown not available for sale. Prototype not representative of production vehicle.)

    Ketika dilancarkan, Bronco 2021 ini hadir dengan dua pilihan enjin petrol. Yang pertama adalah enjin petrol turbo empat-silinder 2.3 liter EcoBoost berkuasa 270 hp dan tork maksima 420 Nm. Manakala yang kedua adalah enjin petrol turbo V6 2.7 liter EcoBoost berkuasa 310 hp dan tork maksima 542 Nm. Kotak gear manual tujuh-kelajuan dari Getrag hanya ditawarkan untuk enjin 2.3 liter, manakala transmisi 10-kelajuan automatik pula boleh dipilih untuk kedua-dua jenis enjin.

    Semua varian Bronco menerima sistem Terrain Management bersama mod pemanduan G.O.A.T (Go Over Any type of Terrain). Varian asas akan menerima lima mod pemanduan menerusi sistem ini, manakala varian lebih tinggi Big Bend dan Outer Banks diberikan enam serta tujuh mod pada Black Diamond, Badlands dan First Edition.

    Antara mod pemanduan berkenaan adalah mod Baja yang diberikan pada Wildtrak, manakala varian Badlands dan First Edition menerima mod Baja tersebut bersama mod Rock Crawl.

    Ford Bronco 2021 didedahkan – pintu, bumbung dan panel badan boleh ditanggal, 2 pilihan enjin EcoBoost

    The four-door 2021 Bronco will have available removeable modular roof sections – left and right front panels, a full-width center panel and a rear section. Roof panels on both two- and four-door models can be easily removed by unlocking the latches from the interior to provide the largest overall open-top view in its class to take in the sunshine or to gaze at the stars at night. (Prototype not representative of production vehicle.)

    Untuk model yang menggunakan transmisi manual tujuh-kelajuan, ia sebenarnya disifatkan sebagai kotak gear enam-tambah-satu kelajuan. Ini kerana satu lagi gear adalah gear rendah bagi membolehkan kenderaan ini merangkak untuk mendaki. Nisbah untuk gear akhir biasa adalah 4.283:1, manakala nisbah untuk gear rendah tersebut adalah 6.588:1.

    Ford juga menawarkan dua jenis transfer case untuk sistem pacuan empat roda pada Bronco ini. Unit standard menampilkan sistem 4X4 dengan pilihan separa-masa, menawarkan dua kelajuan yang boleh dipilih elektronik shift-on-the-fly, dan nisbah rendah yang diberikan adalah 2.72:1.

    Manakala sistem yang ditawarkan secara opsyen pula adalah sistem 4X4 automatik dengan 4H on-demand, bersama transfer case dua-kelajuan jenis elektromekanikal, menyediakan nisbah rendah 3.06:1. Jika model transmisi manual digandingkan dengan transfer case elektromekanikal ini, ia akan memberikan nisbah untuk merangkak 94:1, menurut Ford.

    Bronco 2021 hadir dengan gandar belakang solid Dana 44 yang dihubungkan kepada sistem suspensi lima-hubungan bersama spring jenis gegelung. Manakala pada bahagian hadapan ia diberikan sistem suspensi bebas dengan lengan-A dari material aloi.

    Bronco ditawarkan dengan penyerap hentak sensitif-kedudukan dari Bilstein, manakala model terpilih turut datang dengan fungsi pemutus hubungan bar penstabil. Pembeli turut ditawarkan dengan opsyen unit locking differential elektronik dari Spicer Performa-Tek untuk gandar belakang dan hadapan.

    Untuk rim pula, model asas diberikan rim besi 16-inci berwarna perak dengan tayar 255/70R16, manakala varian Big bend diberikan rim aloi 17-inci dalam kemasan Carbonized Gray bersama tayar 255/75R17. Untuk varian Black Diamond, dua pilihan 17-inci diberikan sama ada rim besi berwarna hitam berkilat atau rim aloi dalam kemasan hitam berkilat – kedua-duanya dibaluti tayar 265/70R17.

    Varian Outer Banks pula menerima rim aloi 18-inci dua tona bersama tayar 255/70R18, manakala varian Badlands diberikan rim aloi 17-inci dua tona. Model Wildtrak dan First Edition diberikan rim aloi forged 17-inci dengan beadlock dalam kemasan hitam berkilat – rim ini juga boleh dipilih secara opsyen jika membeli Bronco dalam varian Badlands.

    Sebagai sebahagian dari pakej Sasquatch, rim aloi forged dengan beadlock tersebut digandingkan dengan tayar Mud Terrain bersaiz 315/70R17. Pakej ini juga terdiri dari kelengkapan off-road yang lain termasuk unit dfferential elektronik dengan nisbah akhir 4.7:1, suspensi dengan jarak kelegaan tanah lebih tinggi, penyerap hentak sensitif-posisi Bilstein dan juga fender flare dengan jarak kelegaan yang besar. Pakej ini boleh dipadankan pada semua varian, tetapi adalah ciri standard pada model Wildtrak, Badlands dan First Edition.

    Pada bahagian dalaman, pemegang tangan dihasilkan bersepadu terus dengan panel instrumen modular dan juga konsol tengah Bronco ini. Manakala cangkuk Molle pula boleh dijumpai pada perehat badan tempat duduk.

    Ford Bronco 2021 didedahkan – pintu, bumbung dan panel badan boleh ditanggal, 2 pilihan enjin EcoBoost

    Prototype version, not representative of production model, of the all-new 2021 Bronco interior is highlighted by an available 12-inch SYNC® 4 system, optional leather trim seating, console-mounted transmission shifter/selector and G.O.A.T. Modes™ control knob. (Static display on private property with aftermarket accessories not available for sale.)

    Ford turut memadankan cagak bersepadu pada papan pemuka bagi membolehkan pengguna meletakkan peranti mudah alih mereka pada rak peranti, manakala port 12-volt pada Bronco ini membolehkan ia mengecas semula kamera, telefon bimbit, alat navigasi dan pelbagai lagi.

    Bronco turut diberikan sistem infotainmen Ford SYNC 4 dengan skrin 12-inci, serta menyokong kemaskini over-the-air serta boleh berintegrasi dengan aplikasi FordPass Performance bersama navigasi off-road. Sistem SYNC juga memaparkan visual dari kamera 360-darjah bersama paparan ‘off-road spotter’ yang akan membantu ketika permukaan yang lebih teknikal seperti sedang memanjat batu.

    Pakej Lux turut ditawarkan untuk Bronco, yang terdiri dari sistem bunyi B&O dengan 10-pembesar suara, roda stereng dengan pemanas, dua lagi port pengecas USB pintar, navigasi skrin sesentuh dengan operasi arahan suara serta pad pengecas tanpa wayar.

    Varian terpilih Bronco akan hadir dengan lantai dengan lapisan getah yang boleh dibasuh serta alur longkang bersepadu bagi membuang air yang bertakung pada bahagian dalaman. Ia diberikan bersama tempat duduk dengan permukaan vinyl gred marin bagi mengelakkan ia berkulat. Suis-suis utama pada papan pemuka pula diberikan getah silikon, manakala suis-suis yang terletak di bahagian atas pula diberikan salutan silikon bagi melindunginya dari pelbagai elemen.

    Untuk keselamatan pula, Bronco dilengkapi dengan beg udara hadapan, beg udara tirai sisi bersepadu yang diletakkan pada struktur atas, kawalan kestabilan olengan dan kawalan goyangan treler. Jika pembeli memilih pakej Mid, ia akan ditambah dengan Co-Pilot360 dengan bantuan pra-pelanggaran serta brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik, dan juga kamera undur.

    Pakej High pula akan diberikan sistem kamera 360-darjah, sistem Forward Sensing, dan juga cermin sisi LEDS. Manakala pelanggan yang memilih pakej Lux akan menerima sistem bantuan stereng bagi mengelekkan kemalangan.

    Model asas Bronco dalam versi dua-pintu akan dijual pada harga bermula US$29,995 (RM128,093), manakala model asal untuk versi empat-pintu pula dijual pada harga bermula US$34,695 (RM148,165). Bronco ditawarkan dalam 11 warna badan, serta lebih 200 aksesori yang boleh dipasang oleh pengedar, bersama pilihan pakej Mid, High dan Lux bergantung pada varian.

    Ford Bronco generasi keenam ini diproduksi oleh kilang yang sama mnghasilkannya pada model generasi sebelum ini iaitu di kilang pemasangan Michigan di Wayne, Michigan, dan Ford akan mula mengambil tempahan untuk kedua-dua versi bentuk badan dengan bayaran tempahan US$100 (RM427).

     
     
  • Bodykit Modellista untuk Toyota RAV4 tiba di Malaysia

    Bodykit Modellista untuk Toyota RAV4 tiba di Malaysia

    UMW Toyota Motor baru saja perkenalkan Toyota RAV4 bulan lalu, sebagai tambahan terkini bagi segmen SUV dengan nama itu untuk pasaran tempatan. Datang dengan dua pilihan enjin, iaitu 2.0L dan 2.5L Dynamic Force, SUV yang dibawa masuk secara CBU dari Jepun ini masing-masing dijual pada harga RM196,436 dan RM215,664, atas jalan tanpa insurans, denga pengecualian SST bagi tahun 2020.

    Bagi mereka yang tidak gemar melihat SUV berkenaan tampil dalam reka bentuknya yang standard dan nampak kosong, kini kit badan daripada jenama di bawah Toyota sendiri, iaitu Modellista mula ditawarkan melalui pengedar Toyota, Wing Hin Balakong.

    Ia terdiri daripada aerokit Modellista, termasuk spoiler bampar depan, skirt sisi dan kit belakang. Bahagian lanjutan di depan diberikan elemen krom dan logo kecil Modellista di tengah. Terdapat juga lampu LED bentuk klip di kedua-dua belah, menjadikan lampu depan RAV4 tampil dalam tiga lapisan bertindih.

    Bodykit Modellista untuk Toyota RAV4 tiba di Malaysia

    Skirting sisi juga diberikan perincian krom, sementara bahagian belakangnya tidak menempatkan bodykit dengan kelebaran penuh. Ia melibatkan kemasan tambahan yang dipasang di antara skid plate standard. Untuk kereta putih, ia mungkin sedikit sukar dilihat.

    Selain daripada lima bahagian aerokit berkenaan, unit contoh ini turut menampilkan “kit berkilau” Modellista. Ini termasuk kemasan pada gril (perhatiakan “sayap” pada logo Toyota), kemasan lampu utama (ada elemen “ekor”) serta kemasan pada pintu belakang berupa satu jalur krom berkelebaran penuh pada bahagian gelap pintu belakang.

    Yang tidak dipaparkan di sini hanyalah rim Modellista 19-inci dua tona kerana unit yang ditampilkan ini masih menggunakan rim standard 18-inci lima-jejari. Bodykit Modellista ini dijual pada harga RM7,920.

     
     
  • Honda Forza 350 diperkenal di Thailand – dari RM25k

    Honda Forza 350 diperkenal di Thailand – dari RM25k

    Disebabkan pandemik Covid-19, kebanyakan pameran kereta dan motosikal untuk tahun ini telah dibatalkan. Di Thailand, dengan keadaan yang semakin lega, pengedar motosikal Honda di sana telah mengambil keputusan untuk membuat satu pameran khas sendiri.

    Selain pameran model-model yang sudah sedia berada dalam pasaran, mereka juga telah mengambil kesempatan untuk memperkenalkan dua model baru untuk pasaran sana iaitu CT125 Hunter Cub dan juga skuter Forza 350. CT125 itu sudah kita lihat sebelum ini di Tokyo Motor Show tahun lepas tetapi Forza 350 itu pula adalah penampilan pertama di dunia.

    Sepanjang siaran langsung pelancaran motosikal ini di atas talian, pengacaranya tidak menjelaskan secara terperinci spesifikasi teknikal enjin tersebut tetapi sudah tentu kita boleh jangkakan ia lebih berkuasa berbanding 24.8 hp yang dihasilkan Forza 300 berenjin 278 cc dan diperkenalkan untuk pasaran Eropah Mac lalu.

    Honda Forza 350 diperkenal di Thailand – dari RM25k

    Bahagian lain Forza 350 ini kelihatan sama seperti Forza 300 di Eropah, dengan menggunakan semua lampu jenis LED, penghadang angin berketinggian 150 mm yang boleh dilaras secara elektronik, panel meter premium, brek ABS 2-channel, kunci pintar, sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang.

    Honda Thailand memperkenalkan Forza 350 dalam empat warna iaitu hitam, merah, putih dan biru, serta dua versi iaitu Standard pada harga 173,500 baht (RM23,461) dan Touring yang mempunyai beg barangan di belakang pada harga 182,900 baht (RM24,732). Kami akan mengemas kini perincian skuter ini apabila maklumatnya sudah disiarkan secara rasmi nanti.

    GALERI: Honda Forza 300 2020 pasaran Eropah

     
     
  • M’sia-S’pura setuju buka pintu sempadan; dijadualkan mulai 10 Ogos dengan peraturan yang ditetapkan

    M’sia-S’pura setuju buka pintu sempadan; dijadualkan mulai 10 Ogos dengan peraturan yang ditetapkan

    Bagi tujuan membenarkan kembali perjalanan rentas sempadan antara dua negara, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk melaksanakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA), dengan tarikh pelaksanaan yang disasarkan pada 10 Ogos 2020. Keputusan ini diambil bagi memenuhi keperluan penduduk kedua-dua negara.

    Perkara ini diumumkan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr. Vivian Balakrishnan.

    Menurut kenyataan itu, mereka yang melakukan perjalanan perlu memenuhi syarat kedua-dua skim, mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19, yang disepakati kedua-dua negara, termasuk menjalani ujian swab tindak balas rantai polimerase (PCR). RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan rasmi dan perniagaan penting antara kedua-dua negara.

    Manakala PCA pula membolehkan rakyat Singapura dan Malaysia, yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan bekerja, memasuki negara itu.

    “Mereka yang melakukan perjalanan juga perlu menyerahkan kepada pihak berwajib kedua-dua negara mengenai jadual perjalanan dan mematuhinya sepanjang tempoh lawatan mereka,” jelas kenyataan itu seperti mana yang disiarkan oleh Bernama.

    M’sia-S’pura setuju buka pintu sempadan; dijadualkan mulai 10 Ogos dengan peraturan yang ditetapkan

    “Setelah sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut di negara tempat mereka bekerja, mereka boleh balik ke negara asal untuk tujuan cuti pendek, dan kemudian masuk semula ke negara tempat mereka bekerja untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi,” tambah kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan Malaysia dan Singapura juga sepakat untuk mengeluarkan syarat, protokol kesihatan dan proses permohonan melibatkan keluar dan masuk ke kedua-dua negara, 10 hari sebelum pelaksanaan RGL dan PCA.

    Kedua-dua menteri itu berkata, pegawai di Malaysia dan Singapura sedang bertungkus lumus ke arah pelaksanaan RGL dan PCA yang disasarkan pada 10 Ogos.

    “Ini akan memberi peluang kepada agensi berkaitan di kedua-dua negara untuk terus berunding bagi memuktamadkan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) kedua-dua inisiatif itu,” kata mereka.

    Malaysia dan Singapura juga setuju membangunkan skim lain yang sesuai untuk perjalanan rentas sempadan, termasuk cadangan perjalanan ulang-alik setiap hari atas urusan kerja penduduk kedua-dua negara, dengan mengambil kira protokol kesihatan diperlukan dan sumber perubatan tersedia demi keselamatan rakyat.

     
     
  • PKPP: Sekolah memandu dibenar lanjut waktu operasi

    PKPP: Sekolah memandu dibenar lanjut waktu operasi

    Untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berbaki lebih kurang tujuh minggu lagi, mulai hari ini, kerajaan telah memutuskan untuk memberikan kebenaran kepada sekolah memandu bagi memanjang waktu operasi, dari jam 7.30 pagi hingga 8.30 malam.

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua sekolah memandu juga dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti pekerja 100%.

    “Langkah itu diputuskan selepas menerima aduan daripada pengusaha sekolah memandu mengenai jumlah pelatih yang terpaksa beratur panjang kerana waktu operasi dan latihan terlalu singkat. Untuk waktu pejabat, kerajaan bersetuju untuk membenarkan operasi sekolah memandu dari jam 7.30 pagi hingga 8.30 malam.

    “Bagi waktu kursus dan latihan pemanduan pula dibenarkan bermula jam 8.30 pagi hingga 8 malam.
    Kapasiti pekerja juga dibenarkan 100%, namun semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini mestilah dipatuhi,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

     
     
  • Pusat 3S Honda Elmina Motors dibuka di Shah Alam

    Pusat 3S Honda Elmina Motors dibuka di Shah Alam

    Honda Malaysia dan Elmina Motors telah membuka Pusat 3S Honda yang ke-28 di negara ini, terletak di Kampung Baru Subang, Shah Alam. Fasiliti yang dibangunkan di kawasan seluas 85,377 kaki persegi ini menelan kos pelaburan sebanyak RM22 juta.

    Pusat 3S baharu ini memiliki 12 petak penyelenggaraan, empat petak membaiki biasa, dua petak penyelenggaraan tayar, satu petak penyelenggaraan pendingin hawa, dan satu petak elektrikal. Ia membolehkan sejumlah 30 kereta diselenggara dalam masa satu hari.

    Fasiliti ini turut menempatkan ruang lounge dengan kemudahan WiFi secara percuma, ruang permainan kanak-kanak, sudut makanan dan minuman, ruang membasuh kenderaan, serta turut menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan dan perlindungan insurans.

    Walau bagaimana pun, ruang kanak-kanak dan sudut makanan ditutup buat sementara waktu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. Malah pelanggan yang mahu menghantar kenderaan masing-masing dinasihatkan agar membuat temujanji lebih awal dan mematuhi langkah-langkah kesihatan yang disyorkan.

    Sementara itu, Honda Malaysia berkata pihaknya telah mencatatkan lebih daripada 647,100 bagi penyelenggaraan di bahagian sentral pada tahun 2019, meningkat sebanyak 5.4% berbanding tahun 2018. Pembukaan fasiliti ini dilihat mampu memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat di bahagian tersebut.

     
     
  • 2.7 juta saman pelbagai kesalahan lalu lintas bernilai RM800 juta sejak 2010 belum dijelaskan – KP JPJ

    2.7 juta saman pelbagai kesalahan lalu lintas bernilai RM800 juta sejak 2010 belum dijelaskan – KP JPJ

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid memaklumkan sehingga kini sebanyak 2.7 juta saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sejak tahun 2010 bernilai kira-kira RM800 juta masih belum dijelaskan.

    “Saman tersebut merangkumi kesalahan seperti memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tiada lesen memandu. Pihak JPJ akan mengambil tindakan kepada pengguna jalan raya yang tidak mahu membayar saman tertunggak antaranya dengan menyenarai hitam nama mereka sekiranya memperbaharui lesen memandu,” katanya menerusi temubual bersama Bernama.

    Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata pihaknya sedang menyelaraskan had laju maksimum pada kelajuan 110 km sejam di semua laluan di lebuh raya utama di seluruh negara.

    Beliau berkata had laju itu terpakai di lebuh raya utama kecuali di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi laluan Terowong Menora di Ipoh, Perak dengan had laju 70 km sejam bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan terbabit.

     
     
  • Shell Helix Power dan Shell Helix Protect tawaran terbaru untuk pengguna, pilihan mengikut keperluan

    Shell Helix Power dan Shell Helix Protect tawaran terbaru untuk pengguna, pilihan mengikut keperluan

    Shell Malaysia Trading Sdn Bhd kini memperkenalkan dua jenis minyak enjin Shell Helix terbaru dalam pasaran, dikenali sebagai Shell Helix Power dan Shell Helix Protect. Kedua-duanya dihasilkan khusus untuk dua keadaan pemanduan utama.

    Pertama di lebuh raya dan laluan sukar yang memerlukan kuasa dan daya pecutan yang lebih; atau kedua, dalam lalu lintas terhenti-henti di bandar yang menyebabkan tekanan tinggi pada enjin dan perlindungan lebih diperlukan.Kedua-dua minyak pelincir baru ini sesuai digunakan untuk kebanyakan jenis kereta di Malaysia dengan spesifikasi kelikatan minyak 0W, 5W ataupun 10W.

    “Dengan Shell Helix Power dan Shell Helix Protect baru, matlamat kami ialah untuk mengembalikan proses pilihan minyak enjin kepada pemilik kereta. Sebagaimana yang tertera di label, satu produk menjanjikan lebih kuasa manakala produk yang satu lagi pula menawarkan lebih perlindungan. Anda hanya perlu memilih produk yang paling sesuai dengan cara pemanduan atau keperluan anda,” kata Pengurus Besar Shell Lubricants bagi Malaysia dan Singapura, Nyon Kam Yew.

    Shell Helix Power dan Shell Helix Protect tawaran terbaru untuk pengguna, pilihan mengikut keperluan

    Shell Helix Power menggunakan rumusan khas dengan tumpuan kepada prestasi yang memaksimumkan kuasa enjin dan memberikan pecutan yang lebih pantas untuk pemanduan yang lebih lancar di lebuh raya, kawasan berbukit dan jalan-jalan terbuka. Harga runcit bagi pek 4 liter ialah RM280.

    Sementara itu, rumusan Shell Helix Protect yang memberi tumpuan kepada perlindungan pula mampu membersihkan komponen enjin untuk memanjangkan lagi hayat enjin kereta yang sering berdepan keadaan trafik sesak di kawasan bandar. Harga runcit yang disyorkan bagi pek 4 liter ialah RM240.

    Kedua-dua produk ini merupakan minyak enjin sintetik sepenuhnya yang berkelikatan rendah, alirannya lebih pantas untuk menyaluti dan melindungi komponen penting semasa enjin dihidupkan. Ini dapat mengurangkan kehausan enjin yang disebabkan oleh permulaan sejuk, mengurangkan penggunaan bahan api, mengurangkan kadar pelepasan karbon dan kos penyenggaraan juga akan lebih rendah dengan perlindungan enjin yang lebih tinggi.

    Shell Helix Power dan Shell Helix Protect tawaran terbaru untuk pengguna, pilihan mengikut keperluan

    Mulai hari ini, dengan pembelian pek 4 liter Shell Helix Power atau Shell Helix Protect dari mana-mana bengkel yang mengambil bahagian, pelanggan akan menerima hadiah percuma sebuah replika kereta lumba Scuderia Ferrari, sementara stok masih ada.

    Di samping itu, Shell Malaysia juga menjalankan inisiatif #BecauseWeCare sempena pelancaran Shell Helix Power dan Shell Helix Protect. Shell telah mengedarkan minyak enjin baharu tersebut dan Pek Perlindungan Shell Helix secara percuma kepada pemandu Grab.

     
     
  • Jeep Wrangler Rubicon 392 Concept – enjin V8 6.4 liter

    Jeep Wrangler Rubicon 392 Concept – enjin V8 6.4 liter

    Ford baru sahaja melancarkan Bronco serba baru di Amerika Syarikat dan Jeep tidak mahu semua perhatian tertumpu kepadanya. Oleh itu, mereka mendedahkan sebuah model konsep Wrangler Rubicon 392 V8. Model ini masih belum boleh dibeli, tetapi dihasilkan hanya untuk melihat reaksi orang ramai terlebih dahulu sebelum ia boleh memasuki pasaran.

    Disebabkan Bronco cuma dilancarkan dengan enjin V6, Jeep nyata mahu melakukan sesuatu yang lebih dengan menggunakan enjin V8 392 HEMI berkapasiti 6.4 liter (392 inci padu) yang mampu menghasilkan kuasa 450 hp dan 610 Nm tork.

    Untuk memuatkan enjin ini dalam Wrangler, tapak enjin perlu dipertingkat manakala kerangka juga telah diubah suai. Hasil padanan transmisi automatik lapan kelajuan, model lasak ini boleh memecut 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa kurang lima saat dan dipasang dengan sistem ekzos dua mod untuk menghasilkan bunyi yang garang.

    Jeep Wrangler Rubicon 392 Concept – enjin V8 6.4 liter

    Bukan setakat enjin sahaja yang menjadi perhatian, Wrangler ini turut dipasang dengan gandar Dana 44, transfer case Selec-Track dan pengunci gandar hadapan dan belakang elektrik Tru-Lok. Kemudiannya ia dipertingkat lagi dengan rel pelindung Rubicon, bampar besi dengan winch Warn, pelindung bawah enjin besi, tayar lumpur 37 inci, kit tinggi dua inci Mopar serta penyerap monotube Fox.

    Semua peningkatan ini menjadikan jarak Wrangler Rubicon 392 Concept 336 mm dari tanah, boleh meredah air sehingga 863 mm, sudut menjunam 51.6 darjah, sudut breakover 29.5 inci dan sudut mendongak 40.1 darjah.

    Model konsep ini tidak mempunyai penampilan yang banyak berbeza berbanding Wrangler biasa, kecuali skup udara pada bonet dan pintu yang cuma separuh. Ia juga menggunakan warna luar Granite Crystal berserta cangkuk, lencana, spring, penyerap dan rim warna gangsa. Bumbung menggunakan unit Sky One-touch yang boleh dibuka. Bahagian dalam menyaksikan tempat duduk balutan kulit Red Rock dengan jahitan warna emas, serta stereng sports.

     
     
  • Porsche kini hasilkan omboh untuk 911 GT2 RS dengan pencetak 3D, ekstrak 30 ps lebih berkuasa

    Porsche kini hasilkan omboh untuk 911 GT2 RS dengan pencetak 3D, ekstrak 30 ps lebih berkuasa

    Pembuat kereta sport dari Jerman, Porsche kini telah menghasilkan omboh untuk enjin model hardcore bagi 911 iaitu versi GT2 RS dengan menggunakan pencetak 3D. Dengan kaedah penghasilan ini, ia bukan sahaja dapat diproduksi dengan lebih mudah, malah dengan kemampuan untuk membentuk yang lebih diperhalusi, ia turut boleh menghasilkan omboh yang dapat mengekstrak kuasa lebih besar.

    Dengan proses pencetak 3D ini, omboh yang dihasilkan dengan kerjasama Mahle dan Trumps tersebut direka dengan struktur yang dioptimumkan untuk beban yang bertindak padanya. Jadi, berbanding omboh yang dihasilkan secara forged sebelum ini, omboh yang dibuat dengan proses pencetak 3D berkenaan boleh dihasilkan 10 peratus lebih ringan.

    Omboh baharu ini juga mempunyai liang penyejuk bersepadu dan tertutup pada bahagian atas omboh berkenaan yang tidak boleh dibuat sekiranya ia diproduksi menggunakan kaedah konvensional. Dengan berberapa penambahbaikkan ini, omboh berkenaan mampu menghasilkan kuasa yang lebih besar, dakwa Frank Ickinger dari jabatan pembangunan pemanduan termaju Porsche.

    “Terima kasih kepada omboh baharu, yang lebih ringan ini, kami mampu menaikkan kelajuan enjin, merendahkan beban suhu pada omboh dan mengoptimakan pembakaran. Ini membolehkan ia menghasilkan 30 PS lebih kuasa dari enjin biturbo 700 PS, dalam masa yang sama memperbaiki kadar efisien,” jelas Ickinger.

    Omboh baharu untuk 911 GT2 RS ini dihasilkan dengan material serbuk logam berketulenan tinggi menggunakan proses pelakuran logam laser (LMF). Seperti komponen-komponen hasil pencetak 3D yang lain, omboh ini turut dihasilkan dengan proses lapisan demi lapisan tanpa sebarang acuan, dan ia dicetak berdasarkan rekaan terus dari komputer, serta dioptimakan dengan kepintaran buatan (A.I).

    Setelah produk siap dicetak, kualiti dan kebolehan prestasinya akan disahkan dengan menggunakan teknologi menyukat dari rakan projek mereka, Zeiss. Selain dari menghasilkan omboh ini, Porsche sudah pun menghasilkan pelbagai komponen lain dari pencetak 3D berkenaan, terutamanya komponen-komponen model klasik yang tidak lagi diproduksi seperti tuas pelepas bagi sistem klac Porsche 959.

     
     
  • Honda CR-V facelift 2020 dilancar di Thailand – kekal enjin 2.4L NA petrol dan 1.6L diesel, RM186k-RM239k

    Honda CR-V facelift 2020 dilancar di Thailand – kekal enjin 2.4L NA petrol dan 1.6L diesel, RM186k-RM239k

    Diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun lalu, Honda CR-V facelift telah pun dilancarkan di peringkat ASEAN dalam acara Bangkok International Motor Show (BIMS) minggu ini. SUV ini dilancarkan di Thailand dengan wajah baharu dan beberapa penambahan ciri, namun masih mengekalkan pilihan penjana kuasa petrol natural-aspirated dan turbodiesel.

    Seperti yang dapat dilihat, bahagian luaran hanya melibatkan sedikit perubahan. Bampar hadapannya telah direka semula menampilkan plastik hitam dan krom beralun, manakala jaluran krom di belakang telah menggantikan skid plate. Honda juga telah menukar palang gril krom dengan tona hitam berkilat dan menambah indikator hadapan, lampu belakang yang digelapkan, kemasan tailgate dengan krom gelap dan roda aloi 18-inci baharu.

    Di dalamnya, kelihatan konsol tengah yang disemak semula, kini disambung dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi untuk varian tertinggi, yang turut menerima ketatapan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu dan juga bumbung matahari panoramik yang sebelum ini tidak ditawarkan di Thailand. Tailgate berkuasa juga merupakan ciri standard dan kini didatangkan dengan fungsi bukaan bebas-tangan.

    Honda CR-V facelift 2020 dilancar di Thailand – kekal enjin 2.4L NA petrol dan 1.6L diesel, RM186k-RM239k

    Pilihan enjin termasuk 2.4 liter naturally-aspirated i-VTEC petrol empat-silinder yang mampu menghasilkan 173 PS pada 6,200 rpm dan tork 224 Nm pada 4,000 rpm serta dipadankan dengan CVT. Varian tertinggi juga menerima pilihan enjin 1.6 liter i-DTEC empat-silinder turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa 160 PS pada 4,000 rpm dan tork 350 Nm pada 2,000 rpm, dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dengan pedal penukar gear dan butang pemilih gear. Enjin yang kita terima untuk pasaran Malaysia iaitu 1.5 liter VTEC Turbo petrol tidak pula ditawarkan di Thailand.

    Bagi varian petrol diberikan pilihan tujuh dan lima-tempat duduk, dengan model tertinggi bersama pacuan empat-roda. Bagi varian asas 2.4 S dan E menerima lampu utama dan lampu kabus LED, aloi 17-inci, kemasukan tanpa kunci dan penguncian automatik, kawalan suhu dwi-zon, cermin pandang belakang anti silau, tempat duduk hadapan larasan kuasa (lapan hala untuk pemandu, empat hala untuk penumpang), skrin sesentuh infotainmen tujuh-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan pembesar suara.

    Bagi model 2.4 ES dan EL 4WD dan DT-EL 4WD diesel pula menerima larasan lampu utama automatik, lampu kabus LED, aloi 18-inci dan navigasi (yang turut memberikan maklumat untuk kawalan suhu mengikut posisi matahari), selain ciri yang disebutkan sebelum ini. Varian DT-EL pula merupakan model tunggal dengan Honda Connect, yang membolehkan pengguna mengakses beberapa fungsi dan informasi kenderaan menerusi aplikasi telefon pintar.

    Ciri lain yang hanya ditawarkan untuk DT-EL pula ialah elemen keselamatan Honda Sensing, termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop/go, bantuan kekal lorong dan lampu tinggi auto. Enam beg udara, kawalan kestabilan dan kamera titik buta LaneWatch pula ditawarkan secara standard.

    Harga bermula 1,369,000 baht (RM186,000) untuk 2.4 S, meningkat ke 1,529,000 baht (RM207,800) untuk 2.4 ES 4WD. Bagi modekl tujuh-tempat duduk, 2.4 E ditawarkan pada harga 1,419,000 baht (RM192,800), 2.4 EL 4WD pula 1,579,000 baht (RM214,500) dan DT-EL 4WD berharga 1,759,000 baht (RM239,000).

     
     
  • VIDEO: Volvo S60 T8 2020 CKD — review di Malaysia

    Volvo S60 T8 R-Design dilancarkan untuk pasaran Malaysia buat pertama kali pada Oktober tahun lalu. Tetapi ketika itu dalam versi pemasangan CBU dari Amerika Syarikat. Pada bulan Mei 2020, versi CKD pula diperkenalkan, dengan sedikit perbezaan.

    Ia dijual pada harga RM295,888 ketika pengenalannya, dengan pakej prestasi dan senarai kelengkapan yang lengkap dan menarik. Sepanjang tahun ini – bagi tempoh pengecualian SST – S60 dijual dengan harga yang lebih murah, RM282k, melibatkan potongan harga sekitar RM13k lagi.

    Volvo S60 ini merupakan sedan eksekutif kompak yang menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E petrol dengan gandingan motor elektrik, dengan angka janaan keseluruhan sebanyak 407 hp dan 640 Nm tork. Transmisi automatik lapan-kelajuan menjadi gandingannya, membolehkan kereta ini untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat dan mencapai laju maksimum 250 km/j.

    Banyak perkara menarik yang boleh diperkatakan tentang model ini. Antaranya, mungkin buat pertama kali, Volvo sudah ada lawan yang setanding untuk merapatkan jurangnya dengan pesaing-pesaing yang lain. Terdekat adalah BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class. Tonton video ini sepenuhnya untuk mengetahui pandangan kami tentang Volvo S60 ini.

     
     
  • Ares Design Panther ProgettoUno – supercar 650 hp guna asas Lamborghini Huracan, penampilan retro

    Ares Design Panther ProgettoUno – supercar 650 hp guna asas Lamborghini Huracan, penampilan retro

    Pengubah suai kenderaan buatan khas yang berasal dari Modena, Itali iaitu Ares Design telah melancarkan sebuah supercar yang menggabungkan teknologi moden dengan penampilan klasik, dipanggil sebagai Panther ProgettoUno. Hanya 21 unit akan dihasilkan untuk pasaran sedunia, dan setiap tempahan akan mengambil masa 12 minggu untuk siap.

    Kereta ini adalah satu versi produksi bagi kereta konsep Project Panther dan dibina atas asas Lamborghini Huracan. Malah enjin yang sama turut digunakan, iaitu unit V8 NA 5.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa 650 hp pada 8,250 rpm dan tork 600 Nm pada 6,500 rpm.

    Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan, dan membolehkan Panther ProgettoUno melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.1 saat dengan laju maksimum 325 km/j. Sistem pacuan kereta ini turut dipasang dengan differential Holdex kawalan elektronik generasi kelima dengan fungsi pengunci mekanikal.

    Ares Design Panther ProgettoUno – supercar 650 hp guna asas Lamborghini Huracan, penampilan retro

    Semua penjuru kereta ini menggunakan suspensi independent double wishbone manakala brek pula terdiri daripada unit cakera seramik karbon 380 mm berserta angkup enam piston di hadapan dan cakera 365 mm dengan angkup empat piston di belakang. Sebagai tambahan ciri keselamatan, bahagian dalam dipasang dengan roll cage besi. Rim adalah 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli P Zero.

    Bahagian teknikal kereta ini ternyata adalah moden tetapi penampilannya pula lebih kepada klasik, dengan mendapat inspirasi daripada model De Tomaso Pantera yang dihasilkan oleh De Tomaso antara tahun 1971 hingga 1993. Keseluruhan panel badan kereta ini dibuat oleh gentian karbon dan lampu hadapannya menggunakan jenis boleh lipat.

    Semua kerja rekaan dibuat sendiri oleh Ares menggunakan Computational Fluid Dynamics (CFD) dan menurut mereka kadar rintangan anginnya cuma 0.324 Cd. Antara bahagian penting adalah bukaan udara gentian karbon pada bahagian tepi untuk menyampaikan udara kepada enjin, bonet berliang untuk menyampaikan udara kepada bahagian belakang serta cermin sisi gentian karbon.

    Bahagian dalam juga menggunakan rekaan seperti kereta lama tetapi dipasang dengan kelengkapan berteknologi seperti panel instrumen digital penuh. Tiada unit infotainmen pada kenderaan dan di bahagian tengah cuma terdapat dua corong pendingin hawa petak.

    Pada konsol tengah terdapat tiga meter penting manakala di bawahnya terdapat banyak butang kawalan untuk fungsi kenderaan. Untuk kemasan, pemilik diberi pilihan sama ada mahukan balutan kulit Nappa ataupun Alcantara.

    Satu lagi yang istimewa, Ares Design telah bekerjasama dengan sebuah syarikat audio prestasi tinggi yang diasaskan oleh Mark Levinson, iaitu Daniel Hertz, dan ini adalah kali pertama jenama tersebut digunakan dalam industri automotif (jenama ini lebih terkenal untuk sistem audio kegunaan rumah).

     
     
  • Suzuki XL7 ‘SUV Ertiga’ dilancarkan di Thai, RM106k

    Suzuki XL7 ‘SUV Ertiga’ dilancarkan di Thai, RM106k

    Suzuki XL7 telah pun dilancarkan di Thailand, dengan menawarkan varian tunggal GLX yang dijual pada harga 779,000 baht (RM106,107). Versi SUV bagi MPV Ertiga ini lebih murah berbanding pesaingnya iaitu Honda BR-V dan Mitsubishi Xpander Cross, yang masing-masing berharga dari 835,000 baht (RM113,590) dan 899,000 baht (RM122,296).

    Dilancarkan di Indonesia pada Februari lalu, XL7 secara asasnya adalah XL6 yang diperkenalkan di India pada Ogos 2019, tetapi tanpa pilihan tempat duduk ‘kapten’ di barisan kedua – namun masih mengekalkan tujuh tempat duduk, seperti mana namanya XL7. Ia boleh dikatakan seangkatan dengan Perodua Aruz dan adik beradik Daihatsu Terios dan Toyota Rush.

    Di Thailand, ia dijenamakan sebagai “multi-dynamic crossover”, dijanakan oleh enjin yang sama dengan Ertiga iaitu unit K15B 1.5 liter, dengan 105 PS dan tork 138 Nm. Enjin VVT ini dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan 16-inci (tayar 195/60). Menurut laporan, nisbah akhir 4ST ini dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api, dan turut memberikan bar anti-oleng hadapan yang lebih besar untuk memantapkan lagi pengendaliannya.

    Antara kelainan antara Ertiga dan XL7 ialah SUV ini memiliki 22 mm lebih tinggi bagi jarak kelegaan tanah, iaitu mencecah 200 mm. Bagi imej yang lebih bergaya, ia ditampilkaj dengan bahagian hadapan yang lebih unik dan juga gear inspirasi SUV seperti lapisan plastik hitam pada bahagian hujung bawah kereta, “skid plates” perak pada kedua-dua hujung, rel bumbung dan kepingan kecil pada A-pillar, kelihatan seperti corong.

    Kit yang membuatkan ia kelihatan lebih menyerlah termasuklah lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, paparan LCD pelbagai-info berwarna yang nampak bergaya dengan pemetaan G-force dan meter tork/real-time power, kemasan ala gentian karbon, roda stereng yang leper di bawah dengan material kulit bersama butang audio/panggilan telefon, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, pendingin hawa auto, dan corong penyejukan untuk tempat meletak cawan di hadapan.

    Turut diberikan unit utama skrin sesentuh 10-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan port bagi HDMI. Bagi keselamatan, XL7 didatangkan dengan ESP, hill-hold control, ABS/EBD, cagak Isofix dan kamera undur serta hanya dua beg udara. Ia berkonfigurasi tujuh-tempat duduk (dengan barisan kedua boleh dipisahkan dengan nisbah 60:40. 50:50 untuk barisan ketiga), didatang dengan empat pilihan warna – hitam, kelabu, putih dan warna signatur Rising Orange Pearl Metallic.

    GALERI: Suzuki XL7 di Indonesia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025