Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

    Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

    Selepas sekitar tiga tahun berada dalam pasaran, bulan lalu versi facelift untuk Kia Picanto generasi ketiga sudahpun diperkenalkan di Korea (dikenali dengan nama Kia Morning). Dan kini, model tersebut didedahkan pula untuk pasaran Eropah.

    Di Benua berkenaan, Picanto facelift ini kekal ditawarkan dalam tiga kemasan iaitu versi standard, GT-Line yang lebih sporty serta model yang diberikan penggayaan seperti SUV digelar X-Line. Model yang disegarkan semula ini akan mula dijual di Eropah bermula suku ketiga tahun ini.

    Untuk versi GT-Line, ia diberikan penampilan sama seperti Morning Urban line di Korea, tetapi ia menerima serlahan merah pada gril hadapan, skirt sisi dan juga pada diffuser bampar belakang. Jalur kemasan pada bahagian bawah gril ‘hidung harimau’ model ini juga telah direka seakan bersambung terus dengan kemasan pada bahagian dalam lampu hadapan.

    Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

    Menurut Kia, rekaan baharu pada muka hatchback segmen-A ini membolehkan ia kelihatan lebih lebar dan nampak lebih stabil. Jika anda perhatikan lagi, lampu hadapan model ini juga kini diberikan lampu nyalaan dengan empat LED bina dalam, diposisikan pada sekeliling projektor lampu utama.

    Manakala di belakang, kluster lampu utama masih nampak sama tetapi diberikan grafik LED baharu. Bampar belakang juga telah direka semula dengan lampu kabus dan reflektor yang lebih nipis, kemudian pada diffuser ia menempatkan sepasang kemasan tip ekzos krom palsu.

    Untuk versi X-Line pula, ia hadir dengan elemen tengah gril hadapan yang berbeza, serta bampar hadapan yang diberikan kemasan seakan skid plate pada bahagian bawah. Rekaan tersebut diserasikan dengan kemasan pelindung sekeliling badan pada setiap ruang roda dan skirt sisi serta satu lagi skid plate palsu pada bampar belakang.

    Bagi model standard pula, walaupun gril dan lampu telah dikemaskini, rekaan pada bampar hadapan dan belakang masih tidak jauh berbeza dari model sebelumnya. Di Eropah, pelanggan boleh memilih 10 warna badan berbeza untuk Kia Picanto ini, bagi dipadankan dengan rim aloi pelbagai jejari 14-inci atau dua tona 16-inci.

    Dalam kabin, Picanto kini menerima skrin sesentuh ‘terapung’ lebih besar bersaiz lapan-inci, manakala panel instrumen pula hadir dengan skrin paparan pelbagai info 4.2-inci di bahagian tengah. Bergantung pada kemasan dan pasaran, Picanto ditawarkan dengan pilihan tempat duduk fabrik atau kulit sintetik berwarna hitam, serta pelbagai tekstur upholsteri baharu yang didakwa Kia dapat memberikan “rupa dan rasa lebih kotemporari serta berkualiti tinggi.”

    Seperti sebelum ini juga, Picanto turut ditawarkan dengan pek warna yang funky seperti Lime Pack yang akan memberikan serlahan kontras berwarna hijau limau nipis pada jahitan dan panel-panel tertentu. Selain warna ini, pilihan lain seperti oren, merah dan hijau juga disertakan.

    Untuk sistem infotainmen dengan sistem navigasi satelit, ia kini tampil dengan hubungan-multi Bluetooth yang membolehkan ia dihubungkan kepada dua peranti mudah alih dalam masa yang sama – satu untuk fungsi telefon bebas tangan dan penggunaan media, manakala lagi satu hanya untuk fungsi media sahaja. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kia Eropah turut menawarkan sistem UVO yang membolehkan Picanto ini mengakses info seperti keadaan trafik secara langsung, ramalan cuaca, harga pasaran bahan api, serta perincian tempat parkir seperti harga, lokasi dan status. Aplikasi UVO pada telefon pintar pula membolehkan pemilik menggunakan sistem ini pada jarak jauh. Kia turut mengumumkan bahawa Picanto akan menjadi model pertama yang akan menerima sistem UVO Fasa II yang akan didedahkan kemudian.

    Kia Picanto facelift pasaran Eropah ini dijana oleh dua pilihan enjin petrol Smartstream yang lebih efisien dan mesra alam berbanding versi sebelumnya. Pilihan asas adalah enjin 1.0 liter dengan sistem suntikan bahan api dua port, menghasilkan 67 PS.

    Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

    Untuk mereka yang mahukan lebih kuasa, enjin 1.0 liter turbo berkuasa 100 PS juga ada ditawarkan. Enjin tersebut dikemaskini dari versi sebelumnya dengan penggunaan penyuntik bahan api 350 bar yang lebih efisien.

    Kedua-dua enjin berkenaan menerima kemaskini pada sistem EGR serta injap kemasukan yang dioptimakan bagi menghasilkan pembakaran bahan api yang lebih efisien. Ia juga turut diberikan sistem pengurusan suhu bersepadu (ITMS) baharu yang memberikan sistem penyejukan kebuk yang lebih efektif, berfungsi dengan memberikan karekter penyejukan enjin berdasarkan poin operasi enjin.

    Model pasaran Eropah ini menerima kotak gear Automated Manual Transmission (AMT) baharu dari Kia – ia bukan kotak gear automatik konvensional dengan fungsi tukaran manual, sebaliknya ia sememangnya kotak gear manual lima kelajuan, dengan klac kering tunggal dan tukaran gear yang dioperasikan secara automatik oleh unit-unit actuator.

    Menurut Kia, pilihan kotak gear AMT ini merupakan opsyen yang paling baik untuk pelanggan yang mahukan kotak gear automatik tanpa mengorbankan penjimatan bahan api yang diberikan oleh kotak gear manual. Untuk pengetahuan anda juga, untuk pasaran Korea, Picanto hanya ditawarkan dengan enjin 1.0L NA dan kotak gear automatik empat-kelajuan sahaja.

    Walaupun kecil, Picanto sebelum ini telah pun dipadatkan dengan pelbagai ciri keselamatan seperti model-model lebih premium. Versi kemaskini ini juga tidak terkecuali – ia hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan terkini seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan pengesan pejalan kaki, Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik-Buta (BCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW) dan juga Bantuan Ikut Lorong (LFA).

    Sistem-sistem berkenaan adalah tambahan dari sistem sedia ada seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA), sistem kestabilan elektronik (VSM), tujuh beg-udara dan juga Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

     
     
  • Toyota Hilux — perbandingan antara lama vs baru

    Toyota Hilux 2020 telah pun ditunjuk kepada umum semalam. Tapi, apa sebenarnya pembaharuan yang ditampilkan kali ini? Dari segi reka bentuk, agak ketara juga kelainan yang ditonjolkan. Begitu juga dengan unit janaan kuasa serta kelengkapan yang dikemaskini.

    Dari depan, wajah terkini Hilux menggunakan bahagian gril hexagonal yang lebih besar dan tebal, mirip seperti yang ada pada Tacoma, dan kini disepadukan bersama ruang masukan udara di bawah. Rekaan lampu utama pula kini lebih bersegi, dengan kini menggunakan jenis projektor bi-LED, lampu isyarat LED dan lampu posisi pada varian yang lebih tinggi. Lampu kabus kini dengan bentuk L.

    Di belakang, rekaan lampu hadir dengan grafik baru mirip bentuk B, walaupun perumah di luarnya nampak sama seperti sebelum ini. Bagi roda pula, rim 18-inci dengan rekaan baru dipasang pada varian tertinggi, sementara versi lain datang dengan rim 17-inci.

    Perubahan pada ruang kabin pula tidak terlalu ketara. Bagaimanapun, kelengkapan dan paparan untuk pemandu menerima rekaan baru dan menempatkan paparan milti-info 4.2-inci. Model baru Hilux juga dilengkapi dengan sistem infotainmen dengan skrin sentuh lapan-inci dengan sokongan terhadap Android Auto dan Apple CarPlay berbanding unit 6.75-inci yang lama.

    Perubahan paling utama tentulah terhadap enjinnya; ia kini menggunakan unit 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel empat-silinder yang telah dipertingkat untuk menghasilkan janaan 204 PS dan 500 Nm – naik daripada 177 PS dan 450 Nm sebelum ini. Transmisi kekal menggunakan automatik enam-kelajuan atau kotak gear manual.

    Bagi unit 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel pula masih dikekalkan dengan angka janaan yang sama, 150 PS and 400 Nm – di Thailand, kedua-dua kapasiti enjin ini mempunyai janaan output yang pelbagai, misalnya dengan kuasa 150 PS yang sama, tetapi tork antara 400 Nm atau 343 Nm. Unit 2.8 liter pula ada di dalam beberap variasi – 170 PS/343 Nm, 204 PS/420 Nm dan output penuh 204 PS/500 Nm.

    Dari segi kemampuan, semua versi 4×4 automatik kini sepadan dengan versi manualnya dari sudut beban tanggungan satu tan dan juga 3.5 tan kapasiti menunda. Varian 4×2 kini mendapat tambahan 300 kg lagi bagi kapasiti menunda, menjadi 2.8 tan.

    Dari segi kelengkapan keselamatan, versi Rocco bagi Hilux Revo ditambah dengan kit keselamatan aktif seperti kawalan melayar radar dinamik, sistem pra-perlanggaran dan amaran pertukaran lorong dengan bantuan stereng – sama seperti kelengkapan pada Hilux pra-facelift di Australia sebelum ini; di Malaysia setakat ini belum lagi.

    GALERI: Toyota Hilux Revo Rocco 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo PreRunner 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo Z-Edition 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo B-Cab 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Invicible 2020 pasaran Eropah

     
     
  • Perodua sokong inisiatif kerajaan bantu industri automotif dalam berhadapan cabaran akibat COVID-19

    Perodua sokong inisiatif kerajaan bantu industri automotif dalam berhadapan cabaran akibat COVID-19

    Akibat wabak pandamik COVID-19 yang menyerang seantero dunia, boleh dikatakan hampir kesemua industri perniagaan turut terjejas, malah ada juga syarikat gergasi yang sukar untuk bertahan lagi. Malah Malaysia juga tidak terlepas daripada berhadapan cabaran kesukaran ini.

    Justeru, kerajaan Malaysia ditagih untuk terus membantu industri-industri di negara ini agar dapat terus bernyawa. Begitu juga dengan industri automotif yang mencatatkan prestasi agak mendukacitakan ekoran terpaksa berhentikan operasi perniagaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Marc lalu.

    Pada 10 April lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, beberapa sektor tambahan akan dibenarkan untuk memulakan operasi mereka bertujuan untuk menggerakkan ekonomi negara, ini termasuklah industri automotif. Kini, kilang pengeluaran dan pusat jualan kenderaan juga telah kembali beroperasi.

    Walau bagaimana pun, hasil kajian Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) baru-baru ini yang menjangka jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini akan menurun sebanyak 28% menjelang akhir 2020.

    Perodua sokong inisiatif kerajaan bantu industri automotif dalam berhadapan cabaran akibat COVID-19

    Oleh yang demikian, MARii dan juga Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mengharapkan agar kerajaan bersedia untuk membantu industri automotif. Perkara ini turut menerima sokongan daripada pemain industri, termasuk yang disuarakan oleh Perodua.

    “Perodua menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan untuk memperkukuh industri automotif Malaysia pada masa yang sukar ini, dan pelbagai inisiatif yang dikemukakan untuk mencapai matlamat tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Sambungnya lagi, “Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, kami rela dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk mengekalkan kemampanan industri dalam masa yang sukar ini.”

    Insentif-insentif yang disebutkan MARii adalah untuk merangsang jualan kenderaan termasuk pengecualian sementara bayaran pendahuluan, pengurangan kadar faedah pinjaman dan subsidi bersama antara pengeluar kenderaan dan kerajaan bagi cukai jalan dan insurans untuk jangka masa terhad.

    Perodua sokong inisiatif kerajaan bantu industri automotif dalam berhadapan cabaran akibat COVID-19

    “Sesungguhnya ini masa yang mencabar bagi semua. Namun Perodua yakin bahawa dengan kerjasama kerajaan, industri automotif bersama dengan ekosistem pembekal dan pengedar akan berjaya mengharungi masa sukar ini bersama,” kata Dato’ Zainal.

    Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41% pasaran berbanding TIV yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini (YTD). Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.

    “Perodua juga memainkan peranannya untuk menyokong ekosistem pembekal dan pengedarnya. Selain komitmen jumlah, kami membantu dan menyokong mereka melalui pelaburan dan pembelian dahulu, jangka masa kredit yang lebih lama serta pelbagai inisiatif transformasi dan program pembangunan,” kata Dato’ Zainal.

     
     
  • Keluarga mangsa boleh buat tuntutan saman pemandu mabuk yang sebabkan kemalangan maut – peguam

    Keluarga mangsa boleh buat tuntutan saman pemandu mabuk yang sebabkan kemalangan maut – peguam

    Berikutan statistik kes kemalangan maut yang berpunca dari pemandu mabuk makin meningkat, kebanyakan rakyat Malaysia mahu kerajaan menetapkan hukuman paling maksimum termasuklah gantung sampai mati atau pun penjara seumur hidup, jika disabit kesalahan.

    Walau pun ketetapan hukuman yang lebih berat akan dilaksanakan hasil pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung dengan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah tidak lama lagi (diharap kerajaan Pakatan Nasional berjaya melaksanakannya), bagaimana dengan nasib keluarga mangsa yang ditinggalkan. Nasib balu yang kematian suami, anak-anak yatim (ada yang yatim piatu) setelah kematian ibu bapa akibat dilanggar oleh pemandu mabuk. Adakah nasib mereka ini bakal terbela setelah si pelaku dikenakan hukuman setimpal?

    Menerusi program ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan RTM yang disiarkan pagi tadi, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata mangsa atau ahli keluarga boleh mengemukakan tuntutan sivil bagi menuntut pembelaan atas kecuaian pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan atau kematian.

    “Pihak polis hanya melakukan siasatan berpandukan peruntukan undang-undang dalam menentukan pihak mana yang melakukan kesalahan atau kecuaian. Pihak keluarga mempunyai hak untuk membuat tuntutan sivil dan berjumpa pihak guaman yang akan membantu memfailkan saman sivil berkenaan.

    Keluarga mangsa boleh buat tuntutan saman pemandu mabuk yang sebabkan kemalangan maut – peguam

    “Mungkin dengan cara itu boleh membantu pihak keluarga mangsa. Namun, ia bergantung kepada sejauh mana pembuktian kecuaian yang akan diputuskan mahkamah,” katanya seperti juga yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Beberapa hari lalu, seorang peguam, Mufarwa Farid dari Messrs Hanif Hassan & Co, telah menulis menerusi laman Facebook beliau mengenai cara untuk keluarga si mati mendapatkan ganti rugi daripada pemandu mabuk ini.

    Menurut Mufarwa, sekiranya keluarga mahu menyaman pemandu mabuk tersebut biar pun kes jenayah ini masih berlangsung, ini tidak mendatangkan sebarang masalah.

    “Ini bermakna, pemandu mabuk ni akan menghadap dua mahkamah berbeza. Satu, mahkamah yang membicarakan kes jenayah dia. Dua, mahkamah yang bicarakan kes saman keluarga si mati. Di mana, ia turut melibatkan hakim yang berbeza, malah perbicaraannya juga bukan pada tarikh yang sama, dan hukuman pun takkan sama.

    Keluarga mangsa boleh buat tuntutan saman pemandu mabuk yang sebabkan kemalangan maut – peguam

    “Yang sedang si pelaku alami sekarang merupakan prosedur jenayah iaitu berhadapan dengan saman (hukuman) daripada kerajaan Malaysia. Manakala untuk keluarga mangsa yang mengemukakan tuntutan saman adalah melibatkan prosedur sivil,” katanya.

    Mufarwa turut menjelaskan, lalam undang-undang Malaysia, mana-mana ahli keluarga yang merasai kesakitan atau suffer ke atas kematian yang dilakukan oleh orang lain, ada hak untuk menyaman. Di mana keluarga si mati boleh meminta sekurang-kurangnya dua tuntutan,

    Tuntutan yang pertama melibatkan Dependency Claim iaitu tuntutan keluarga si mati yang menuntut agar pemandu mabuk ini membayar sejumlah wang yang sepatutnya si mati boleh berikan sekiranya si mati masih hidup sehingga umurnya 55 tahun. Di mana hak ini telah termaktub dalam Seksyen 7(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956.

    “Contohnya, arwah ni masa hidup, dia provide RM 2,500 sebulan untuk menyara keluarga. Umur dia 45 tahun. Jadi, keluarga arwah boleh tuntut RM 2,500 x 12 bulan x 10 tahun segebuk daripada pemandu mabuk ni.

    Keluarga mangsa boleh buat tuntutan saman pemandu mabuk yang sebabkan kemalangan maut – peguam

    Sekadar gambar hiasan

    Keluarga hanya boleh tuntut pendapatan dia yang sampai 55 tahun sahaja. Lagi muda, lagi bergandalah tahun-tahun tersebut. Namun, ia semua tertakluk kepada keputusan Hakim,” jelas peguam ini lagi.

    Manakala tuntutan kedua pula dipanggil Bereavement Claim iaitu keluarga si mati boleh menuntut agar si pemandu mabuk tersebut untuk ‘membayar’ kesedihan yang dialami satu keluarga disebabkan kematian mangsa.

    Jelasnya, “Contohnya, disebabkan arwah meninggal, anak-anak menangis, sebut-sebut nama arwah siang malam, isteri jadi macam orang gila sebab hilang tempat bermanja, (atau) suami rasa trauma sebab isteri mati dalam keadaan tragis. Namun, tuntutan ini tak boleh lebih RM 10,000”.

    Bagi tuntutan ketiga pula iaitu Loss of Support. Berbeza dengan Dependency Claim, Loss Of Support ini lebih kepada perbuatan yang tidak mengeluarkan duit. Iaitu tuntutan ke atas kehilangan tempat untuk bergantung dari segi tenaga.

    Keluarga mangsa boleh buat tuntutan saman pemandu mabuk yang sebabkan kemalangan maut – peguam

    “Contohnya, arwah merupakan ibu yang ada anak kecil. Suami memang bergantung kat arwah untuk jaga anak, dari bagi susu, mandikan, pakaikan baju dan tidurkan anak tersebut. Disebabkan arwah dah meninggal, tiada siapa nak buat kerja-kerja tu. Maka, suami dia boleh tuntut kat pemandu mabuk tu tentang kehilangan support ini,” katanya.

    Tuntutan ke-empat pula ialah Estate Claim iaitu tuntutan kecederaan si mati. Keluarga tersebut boleh tuntut kepada pemandu mabuk ini sejumlah bayaran disebabkan ‘kesakitan’ yang dialami oleh si mati. Hak ini telah termaktub dalam Seksyen 8(5) Akta Undang-Undang Sivil 1956.

    “Kalau arwah masih hidup, arwah lah yang buat tuntutan ini. Tapi, sebab arwah sudah pergi (meninggal dunia), keluarga arwah pula yang menuntut, tapi, hanya bergantung kepada laporan perubatan doktor.

    “Sebab apa kena bergantung laporan perubatan doktor? Sebab, keluarga tak tahu pun si mati ni sakit macam mana. Tuntutan ini memang banyak bergantung kepada laporan perubatan.

    “Keluarga boleh tuntut kesakitan, penderitaan semasa kemalangan dan kehilangan tubuh badan si mati. Jumlah tersebut tidak dispesifikkan, dan keluarga boleh letak seberapa banyak yang dimahukan. Namun, semuanya terserah kepada Hakim. Dalam tuntutan ini juga, keluarga boleh tuntut bil hospital, duit transport dan duit baiki kenderaan yang terlibat dalam kemalangan,” jelasnya lagi.

    Keluarga mangsa boleh buat tuntutan saman pemandu mabuk yang sebabkan kemalangan maut – peguam

    Manakala tuntutan kelima ialah ‘Tuntutan Kos Guaman’, yang bermaksud sekiranya keluarga si mati menang (dalam tuntutan berkenaan), keluarga boleh tuntut supaya pemandu mabuk ini membayar kesemua kos guaman mereka.

    Mufarwa turut menambah, bagi Dependency Claim, Bereavement dan Loss of Support, tempoh untuk mulakan saman adalah dalam tempoh tiga tahun selepas kematian.

    “Kiranya, kalau meninggal pada 21 Mei 2020, tempoh akhir untuk saman adalah 20 Mei 2022. Lepas 20 Mei 2022 ni, keluarga tak boleh buat tuntutan ni.

    “Bagi Estate Claim, tempoh untuk mulakan saman adalah dalam tempoh enam tahun selepas kematian,”katanya.

    Keluarga mangsa boleh buat tuntutan saman pemandu mabuk yang sebabkan kemalangan maut – peguam

    Tapi bagaimana pula sekiranya keluarga si mangsa menang dalam tuntutan saman berkenaan, tetapi pemandu mabuk itu pula dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan jenayah tersebut, dan tidak boleh membayar saman yang dituntut oleh keluarga mangsa?

    Jawab Mufarwa, “Kalau pemandu ni dah kalah saman, tapi tak nak bayar, ada beberapa perkara yang keluarga ni boleh buat. Iaitu minta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sita semua aset dan barang yang pemandu mabuk ini ada, kemudian lelong sampai cukup duit.

    “Selain itu, minta orang lain yang berhutang dengan pemandu mabuk ni supaya lepas ni, segala hutang tu dibayar kepada keluarga itu sahaja. Bukan itu saja, jual share syarikat pemandu mabuk ni kalau ada.

    “Bukan itu saja, keluarga mangsa boleh meminta mahkamah untuk mengisytihar pemandu mabuk itu muflis sekiranya pampasan melebihi RM50,000,” akhirinya.

     
     
  • Yamaha Aerox atau NVX di Thailand punya grafik baru

    Bagi tahun 2020 ini, Yamaha Thailand memperbaharui barisan skuter Aerox 155 (atau digelar sebagai NVX 155 di Malaysia) dengan dua warna baru, iaitu satu untuk versi tertinggi yang dilengkapi dengan ABS, dan satu lagi untuk versi Standard.

    Bahagian lain tidak diubah dan spesifikasi teknikalnya masih lagi seperti sebelum ini. Aerox 155 dikuasakan oleh enjin satu silinder 155 cc SOHC yang mampu menghasilkan kuasa 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000rpm. Enjin suntikan bahan api yang dilengkapi dengan Variable Valve Actuation (VVA) ini dipadankan bersama transmisi automatik CVT.

    Di pasaran Thailand, Aerox dijual dalam tiga versi iaitu Standard, ABS dan R-Version. Suspensi belakang yang mempunyai tabung hanya diberikan pada R-Version manakala versi Standard dan ABS menggunakan suspensi biasa.

    Harga pula bermula 65,400 baht (RM8,852) untuk versi standard, 68,400 baht (RM9,258) untuk R-Version dan 75,900 baht (RM10,273) untuk versi ABS. Perincian bahagian lain sama sahaja seperti NVX 155 di negara kita, termasuk brek cakera hanya pada roda hadapan dan tangki bahan api 4.6 liter.

     
     
  • GALERI: Honda BR-V facelift 2020 gred V – berharga RM96,900 dengan rupa luar dan dalam disegarkan

    GALERI: Honda BR-V facelift 2020 gred V – berharga RM96,900 dengan rupa luar dan dalam disegarkan

    Selepas dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia semalam, hari ini barulah kami berpeluang untuk menatap Honda BR-V facelift 2020 ini di bilik pameran. Jadi, pada anda yang masih belum berkesempatan untuk melihatnya, terimalah galeri penuh SUV/MPV segmen-B yang telah dikemaskini ini dalam varian tertinggi gred V.

    Seperti yang diketauhui, BR-V hanya ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran Malaysia. Ia bermula dengan varian asas BR-V E berharga RM89,900 dan varian paling tinggi V seperti yang kami paparkan ini pula dijual pada harga RM96,900. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Jadi berbanding versi sebelumnya, BR-V kini dijual dengan harga lebih mahal – RM8,911 (+11%) lebih tinggi untuk gred E dan RM9,199 (+10.5%) lebih tinggi untuk gred V. Ia bukan sahaja kerana pelbagai ciri baharu yang diberikan pada model facelift ini, malah turut disebabkan kenaikan harga yang diumumkan oleh Honda Malaysia pada Februari lalu, yang menyaksikan harga bagi Jazz, City dan CR-V juga naik.

    GALERI: Honda BR-V facelift 2020 gred V – berharga RM96,900 dengan rupa luar dan dalam disegarkan

    Jadi apa perbezaan antara model facelift ini berbanding versi sebelumnya? Untuk bahagian luar, BR-V disegarkan dengan gril baru, bampar dikemaskini dengan perincian tambahan di bawah (hanya varian V datang dengan lampu kabus), rim aloi 16-inci baru dengan tayar Bridgestone Ecopia EP150 bersaiz 195/60R16, antena “shark fin” serta bampar belakang baru dengan reflektor cahaya menegak.

    Manakala dalam kabin, ia kini menerima ciri standard seperti tweeter pada sistem audio, pencahayaan kabin, pendingin hawa automatik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. BR-V juga kini hadir dengan penuras udara untuk kabin yang akan menapis dahulu udar yang disedut oleh motor penghembus sebelum keluar sebagai udara segar.

    Tambahan untuk varian tertinggi V, ia menerima sistem paparan audio tujuh-inci baru, kerusi kulit dengan serlahan merah, pedal penukar gear pada roda stereng serta tombol gear kemasan merah. Ciri sedia ada seperti lipatan kerusi 60:40 sekali sentuh dan tumble function bagi kerusi barisan kedua dan tiga masih dikekalkan.

    GALERI: Honda BR-V facelift 2020 gred V – berharga RM96,900 dengan rupa luar dan dalam disegarkan

    Tiada sebarang perubahan sistem mekanikal diberikan. Honda BR-V facelift 2020 masih kekal dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder SOHC i-VTEC yang menghasilkan 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Untuk keselamatan juga masih sama di mana kesemua varian BR-V dibekalkan dengan dua beg udara depan, sistem brek ABS dengan EBD, dua cagak tempat duduk Isofix di barisan kedua serta tujuh tali keledar tiga-poin. Model gred V ini pula turut menerima tambahan ciri kamera undur.

    Ketika Honda BR-V ini diperkenalkan secara rasmi semalam, Honda Malaysia (HM) turut melancarkan kempen Be Kind With BR-V iaitu kempen bantuan kemasyarakatan terhadap mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Menurut HM, bermula 2 Jun hingga 31 Ogos 2020, sebahagian dari hasil penjualan dari setiap unit BR-V akan disumbangkan kepada program bantuan berkenaan.

     
     
  • Vespa Sprint S 150, Primavera S 150 Special Edition dilancar untuk M’sia – harga RM16,900 dan RM18,300

    Vespa Sprint S 150, Primavera S 150 Special Edition dilancar untuk M’sia – harga RM16,900 dan RM18,300

    Didi Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia telah melancarkan dua model baru untuk pasaran iaitu Sprint 150 2020 dan Primavera S Special Edition 2020. Harganya masing-masing adalah RM16,900 dan RM18,300 tidak termasuk insurans.

    Perincian teknikal kedua-dua model ini masih lagi sama seperti model yang dilancarkan tahun lepas, termasuklah enjin iaitu unit satu silinder suntikan bahan api empat lejang 150 cc i-Get yang berkuasa 12.9 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Cuma beberapa bahagian kecil sahaja yang diubah dan apabila melihat kepada Sprint, ia kini datang dalam tiga pilihan warna baru iaitu kuning, putih dan hitam. Kemudiannya pada bahagian kemasan keliling panel meter, ia menggunakan warna hitam yang sama seperti rim.

    Pergi pula kepada Primavera S, model yang baru dilancarkan ini dipanggil sebagai Special Edition, di mana kemasan di keliling lampu serta badannya menggunakan warna kelabu gelap matt sama seperti warna rim. Kemudiannya, rak barangan yang berada di hadapan dan belakang dicat warna hitam matte.

    Kelengkapan lain yang diberi pada dua model ini adalah termasuk lampu jenis LED depan dan belakang, brek cakera hadapan, brek dram belakang, sistem ABS single channel, tangki bahan api 8.5 liter, rim 12 inci dengan tayar tanpa tiub, pemula elektrik dan soket pengecas USB.

    GALERI: Vespa Primavera Special Edition 2020

    GALERI: Vespa Sprint 150 2020

    16,900
    18,300

     
     
  • Five Petroleum akan jalin kerjasama dengan Green Packet, manfaatkan teknologi AI dan aplikasi khas

    Five Petroleum akan jalin kerjasama dengan Green Packet, manfaatkan teknologi AI dan aplikasi khas

    Five Petroleum Malaysia akan menjalin kerjasama dengan penyedia penyelesaian telekomunikasi Green Packet untuk memperkenalkan stesen minyak yang dikuasakan oleh kepintaran buatan (AI) pertama di negara ini.

    Menurut Pengarah Urusan Five Petroleum, Datuk Seri King Lim, kerjasama itu akan menyediakan pengalaman pembayaran tanpa tunai di semua stesen minyaknya, dengan memanfaatkan teknologi seperti AI dan machine learning.

    Five dijangka akan memanfaatkan penyelesaian berasaskan teknologi yang disediakan oleh Green Packet, antaranya termasuk electronic-Know Your Customer (e-KYC), sebuah proses online untuk mengenal pasti identiti pelanggan, e-wallet, gerbang pembayaran serta pengesanan nombor pendaftaran.

    Five Petroleum akan jalin kerjasama dengan Green Packet, manfaatkan teknologi AI dan aplikasi khas

    Syarikat itu menambah, ia juga akan bersama-sama membangunkan sebuah aplikasi mudah alih baru dengan Green Packet, menggunakan platform Kiple untuk melayani pembayaran tanpa tunai. Ciri kesetiaan dan ganjaran turut akan disertakan sekali di dalamnya. Aplikasi Setel oleh Petronas merupakan antara contoh penggunaan KiplePay ini.

    “Stesen petrol pertama kami yang dikuasakan AI tidak hanya akan menawarkan pengalaman pengisian minyak yang lebih mudah. Ia juga mengandungi rangkaian penyelesaian digital lain seperti pembayaran bahan api atau pembelian barangan di kedai runcit dalam satu platform bersepadu,” ujar Lim dalam satu kenyataan.

    Bulan Mac lalu Five membuka stesen minyaknya yang pertama di Kalumpang, Selangor yang juga menandakan penawaran sulang barisan minyak Ultimaxx. Dikendalikan oleh Seng Group dari Pahang, syarikat itu telah terlibat di dalam perniagaan runcit bahan api sejak lima dekad lalu. Mereka mensasarkan untuk membuka lebih daripada 200 stesen minyak di seluruh negara.

     
     
  • Toyota Fortuner facelift 2020 didedahkan – enjin 2.8L berkuasa 204 PS/500 Nm, varian Lagender untuk Thai

    Toyota Fortuner facelift 2020 didedahkan – enjin 2.8L berkuasa 204 PS/500 Nm, varian Lagender untuk Thai

    Serentak dengan pengenalan Hilux facelift 2020, hari ini Toyota turut mendedahkan sekali SUV lasak tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform ladder frame sama iaitu Fortuner facelift 2020. Antara pasaran awal yang menerima SUV ini sudah tentulah negara jiran kita, Thailand, hadir dengan versi tertinggi digelar Fortuner Lagender.

    Model facelift ini disegarkan dengan muka yang diberikan gril hadapan baharu, diapit dengan lampu hadapan bi-beam LED baharu yang turut bersepadu dengan lampu nyalaan siang LED bersepadu. Bampar hadapan juga direka semula dengan liang udara sisi bersama perumah lampu kabus lebih besar.

    Di belakang, kluster lampu utama masih kelihatan sama, tetapi diperbaharui dengan grafik LED baharu. Dua warna badan baharu ditawarkan iaitu Dark Blue Mica dan juga Emotional Red. Penampilan Fortuner 2020 ini dilengkapkan dengan pemadanan rim 18-inci rekaan baharu.

    Toyota Fortuner facelift 2020 didedahkan – enjin 2.8L berkuasa 204 PS/500 Nm, varian Lagender untuk Thai

    Pada bahagian dalaman, rekaan asas papan pemuka dilihat kekal sama. Namun ia kini nampak lebih segar menerusi kluster meter Optitron baharu dengan paparan pelbagai info 4.2-inci berwarna bersama skrin sesentuh multimedia utama lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, yang kini diberikan butang fizikal pada kedua-dua sisi.

    Selain itu, Fortuner juga menerima pedal penukar gear pada roda stereng, cermin pandang belakang elektrokromik, tempat duduk larasan berkuasa lapan hala dan juga kerusi baris kedua yang boleh dilipat dengan sekali sentuhan. Sistem cruise control juga masih dibekalkan, manakala sistem penghawa dingin automatik pula hanya boleh dilaras dengan zon tunggal.

    Toyota Fortuner facelift 2020 didedahkan – enjin 2.8L berkuasa 204 PS/500 Nm, varian Lagender untuk Thai

    Model varian lebih rendah ini masih dijana oleh enjin 2.4 liter turbodiesel berkuasa 150 PS dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 Nm hingga 2,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik. Apa yang baharu, ia kini menerima sistem stereng sensitif-kelajuan Kawalan Aliran Bervariasi.

    Fortuner juga hadir dengan sistem 4WD Sigma 4, yang membolehkan anda menukar mod pacuan roda belakang (2H) kepada pacuan empat roda (4H) atau gear rendah 4WD (4L) hanya menggunakan suis. Ia turut hadir dengan sistem Active Traction Control (ATC), kawalan menurun bukit dan juga grafik sudut pusingan roda pada skrin paparan pelbagai info.

    Untuk keselamatan pula, Fortuner dibekalkan dengan brek cakera untuk semua roda, sistem VSC dan juga tujuh-beg udara. Model pasaran Thailand juga kini hadir dengan sistem telemetik T-Connect Toyota yang dihubungkan pada aplikasi telefon pintar. Model ini dijual pada harga bermula 1.319 juta baht (RM178,060) untuk model asas 2.4G 2WD hingga 1.494 juta baht (RM201,684) untuk model 2.4V 4WD.

    Toyota Fortuner facelift 2020 didedahkan – enjin 2.8L berkuasa 204 PS/500 Nm, varian Lagender untuk Thai

    Beralih ke varian lebih tinggi Fortuner Legender, versi ini menerima muka yang lebih garang yang dihasilkan dari gril lebih nipis bersama ‘mulut’ lebih besar pada bampar hadapan. Ia juga diberikan lebih banyak kemasan hitam berkilat untuk imej lebih agresif.

    Legender juga menerima kelengkapan lebih premium antaranya lampu hadapan projektor bi-LED bersama lampu nyalaan siang yang nampak lebih garang (turut berfungsi sebagai lampu isyarat membelok), bampar belakang baharu yang lebih sporty, bumbung dan tiang berwarna hitam untuk konsep “bumbung terapung” serta rim aloi dua ton 20-inci baharu.

    Pada bahagian kabin pula, Lagender diberikan tempat duduk kulit dua tona. Bergantung pada varian, ia diberikan serlahan warna merah. Meter Optitron pada model ini juga direka berbeza, bersama paparan muka Legender yang keluar ketika enjin dihidupkan.

    Toyota Fortuner facelift 2020 didedahkan – enjin 2.8L berkuasa 204 PS/500 Nm, varian Lagender untuk Thai

    Model ini diberikan pelbagai ciri tambahan seperti dua port USB di belakang perehat tangan hadapan, sistem audio JBL, pemantau panaromik 360-darjah, pintu tailgate berkuasa bukaan tanpa sentuhan tangan, lampu suasana, pengecas tanpa wayar, serta skrin infotainmen bersaiz 9.0-inci.

    Berbeza dengan model biasa, Legender hadir dengan dua pilihan enjin iaitu versi 2.4 liter turbodiesel, serta versi 2.8 liter turbodiesel yang menjana 204 PS dan tork maksima 500 Nm, sama seperti Hilux facelift 2020. Toyota juga menala enjin tersebut agar boleh beroperasi dengan kelajuan melahu 680 rpm, lebih rendah dari 850 rpm sebelum ini bagi mendapatkan traction yang lebih baik dalam laluan off-road.

    Sistem penyejukan model ini juga diperbaiki bagi membolehkan penggunaan bahan api dikurangkan. Menurut Toyota, ia kini 17% lebih baik untuk penggunaan dalam bandar. Legender turut diberikan mod pemanduan Eco, Normal dan Sport yang boleh dipilih menerusi suis berhampiran tombol gear. Mod-mod ini akan merubah talaan respon pendikit dan berat stereng berdasarkan mod yang dipilih.

    Bagi ciri keselamatan pula, Fortuner Lagender menerima sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang terdiri dari Dynamic Radar Cruise Control, Pre-Collision System dan Lane Departure Alert. Tiga warna ditawarkan untuk Lagender iaitu hitam, Pearl White dan Emotional Red, tetapi kesemuanya hadir dengan bumbung hitam.

    Toyota Fortuner Lagender ditawarkan dalam empat varian untuk pasaran Thailand iaitu 2.4 2WD, 2.4 4WD, 2.8 2WD dan 2.8 4WD. Ia dijual pada harga bermula 1.577 juta baht (RM213,465) hingga 1.852 juta baht (RM250,689). Pelanggan pertama yang menempah Fortuner biasa akan menerima kereta mereka bulan ini, manakala penghantaran Legender pula hanya bermula bulan Ogos nanti.

    GALERI: Toyota Fortuner facelift 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Fortuner Lagender 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Fortuner facelift 2020 pasaran Australia

     
     
  • PKPB: Perjalanan rentas negeri di Semenanjung tidak perlu kuarantin diri selama 14 hari – Ismail Sabri

    PKPB: Perjalanan rentas negeri di Semenanjung tidak perlu kuarantin diri selama 14 hari – Ismail Sabri

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan rentas negeri di Semenanjung tidak memerlukan individu terbabit untuk kuarantin diri selama 14 hari selepas melakukan perjalanan terbabit.

    Menurut Ismail, tindakan tersebut adalah tidak mengikut peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), terutama sekiranya majikan terbabit memotong cuti tahunan atau mengarahkan bercuti tanpa gaji bagi tempoh kuarantin berkenaan.

    “Tindakan itu tidak dibenarkan kerana dari segi peraturan MKN, hanya rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara mesti dikuarantin 14 hari, selain rakyat dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Bagi rentas negeri di Semenanjung, kita tidak benarkan,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Kenyataan beliau adalah susulan terdapat segelintir majikan yang mengarahkan pekerja mereka untuk melakukan kuarantin diri selama 14 hari selepas merentas negeri di Semenanjung.

     
     
  • Honda Malaysia lancar dua kempen bantuan kemasyarakatan bagi yang terjejas akibat COVID-19

    Honda Malaysia lancar dua kempen bantuan kemasyarakatan bagi yang terjejas akibat COVID-19

    Sempena dengan pengenalan Honda BR-V facelift 2020, Honda Malaysia (HMSB) turut mengumumkan dua kempen bantuan kemasyarakatan terhadap mereka yang terjejas akibat pandamik COVID-19.

    Kempen pertama iaitu Be Kind With BR-V adalah didedikasikan untuk menyokong program bantuan COVID-19. HMSB berkata bermula 2 Jun hingga 31 Ogos 2020, pihaknya akan menyumbang sebahagian dari hasil penjualan dari setiap unit BR-V kepada program bantuan berkenaan.

    Manakala kempen kedua pula ialah Honda Dealer Donation Drive. Di mana HMSB akan bekerjasama dengan wakil pengedar dalam usaha memberikan bantuan buat masyarakat yang terjejas akibat wabak ini.

    Honda Malaysia lancar dua kempen bantuan kemasyarakatan bagi yang terjejas akibat COVID-19

    Menerusi inisiatif berkenaan, bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2020, pelanggan Honda bolehlah berkunjung ke mana-mana wakil pengedar berhampiran untuk menghulurkan sumbangan seperti makanan kering, barang keperluan rumah atau produk sanitasi termasuk penutup hidung dan mulut serta hand sanitiser. Sumbangan tersebut akan dikumpulkan dan dihantar ke masyarakat yang terjejas di kawasan sekitar oleh wakil pengedar.

    “Dengan menerapkan semangat Together As One, negara tetap kekal kuat dan berhati-hati ketika berhadapan dengan cabaran yang tidak terduga ini. Honda Malaysia berbesar hati untuk menyalurkan sumbangan kepada masyarakat di sekeliling kita yang memerlukan bantuan,” ujar MD dan CEO HMSB Toichi Ishiyama.

    Untuk maklumat lanjut mengenai kempen bantuan ini, anda boleh berkunjung ke mana-mana 101 wakil pengedar Honda di seluruh negara atau hubungi Honda Malaysia di talian 1-800-88-2020, atau pun layari www.honda.com.my.

     
     
  • Honda HR-V RS di M’sia kini terima pilihan upholsteri kulit perang gelap – harga kekal bermula RM124,800

    Honda HR-V RS di M’sia kini terima pilihan upholsteri kulit perang gelap – harga kekal bermula RM124,800

    Ini berita untuk mereka yang berminat untuk membeli Honda HR-V RS – jika anda rasa ruang dalaman dengan upholsteri kulit berwarna hitam agak bosan, Honda Malaysia kini turut menawarkan pilihan balutan kulit berwarna perang gelap untuk SUC segmen-B berkenaan.

    Lagi berita baik, tiada tambahan harga akan dikenakan jika anda memilih tema warna baharu ini, di mana ia kekal dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM124,800.

    Balutan kulit tersebut bukan hanya diberikan pada kesemua tempat duduk, malah ia turut meliputi kemasan kulit pada konsol tengah, panel papan pemuka dan juga pada panel pintu. Tiada perubahan pilihan untuk warna badan luar – anda masih ditawarkan dengan tiga warna berbeza iaitu Red Pearl, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl.

    Honda HR-V RS pasaran Malaysia dijana oleh enjin 1.8 ,iter SOHC i-VTEC berkuasa 142 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa dihantar hanya ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik. Selain dari rupa lebih sporty, model tertinggi RS ini juga menerima sistem stereng dengan nisbah gear bervariasi (VGR) yang tidak ditawarkan pada varian lain.

    Senarai kelengkapan lain juga masih kekal termasuk rim aloi 18-inci, pakej penggayaan RS, lampu hadapan dan lampu kabus LED, skrin Audio Display tujuh-inci, sistem pendingin hawa automatik, brek parkir elektronik, dan juga tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala.

    Untuk keselamatan, Honda HR-V RS ini dibekalkan dengan enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSA), bantuan mula mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan (ESS) dan juga kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch.

    GALERI: Honda HR-V RS pasaran Malaysia dengan upholsteri hitam

     
     
  • Pemandu mabuk penyebab 29 individu maut dalam kemalangan jalan raya bagi tempoh 2018-Mei 2020

    Pemandu mabuk penyebab 29 individu maut dalam kemalangan jalan raya bagi tempoh 2018-Mei 2020

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias mendedahkan sebanyak 70 kemalangan di seluruh negara membabitkan pemandu mabuk sepanjang tempoh 2018 hingga Mei 2020. Ia meliputi sebanyak 25 kes pada tahun 2018, 23 kes (2019) dan 13 kes bagi lima bulan pertama 2020.

    “Daripada 70 kemalangan direkodkan, 29 individu disahkan meninggal dunia, manakala 41 individu lagi dilaporkan cedera sepanjang tempoh itu. Berdasarkan kemalangan itu juga, kami melakukan 70 tangkapan dengan 20 kes masih dalam siasatan dan selebihnya pula sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya seperti yang disiarkan menerusi Buletin Utama TV3, malam tadi.

    Beliau turut berkata, bagi tahun 2018, jumlah tangkapan pemandu mabuk di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987, adalah seramai 1,589 orang menerusi 1,037 operasi penguatkuasaan (Op Mabuk) yang dijalankan di seluruh negara.

    Pemandu mabuk penyebab 29 individu maut dalam kemalangan jalan raya bagi tempoh 2018-Mei 2020

    “Manakala pada tahun lalu pula, ia membabitkan sebanyak 1,581 tangkapan dalam 933 operasi selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol. Bagi 1 Januari hingga 31 Mei 2020 pula, menerusi 278 operasi penguatkuasaan (Op Mabuk) yang dijalankan di seluruh negara, sebanyak 822 tangkapan telah dilakukan,” katanya.

    Beliau turut berkata, tindakan keras serta kompaun juga akan dikenakan terhadap individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

    “Op mabuk akan diteruskan di seluruh negara termasuk pemeriksaan di kawasan serta laluan berhampiran premis yang menyediakan minuman keras. Langkah ini diambil bagi membolehkan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan iaitu tidak memandu dalam keadaan mabuk bagi mengelak berlakunya kemalangan hingga meragut nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

    Pemandu mabuk penyebab 29 individu maut dalam kemalangan jalan raya bagi tempoh 2018-Mei 2020

    Kelmarin, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun 2020, sebanyak 800 pemandu mabuk telah ditahan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 kes telah dituduh di mahkamah dan selebihnya akan menyusul selepas kertas siasatan dilengkapkan.

    Hujung minggu lalu, menerusi entri di Facebook rasminya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

     
     
  • Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

    Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

    Naza Italia telah pun melancarkan Maserati Levante Trofeo, versi yang paling berkuasa bagi model SUV Trident yang diperkenalkan pada April 2018. Pengeluaran model ini hanya sebanyak 100 unit untuk pasaran global, dan untungnya kita menerima tiga unit untuk dijual di negara ini.

    Model edisi terhad ini dijual pada harga RM838,800 (sebelum cukai) dan ditawarkan dengan tiga warna luaran bagi Launch Edition, termasuklah Blu Emozione Matte (biru), Giallo Modenese (kuning) and Rosso Magma (merah), dengan pakej Nerissimo (bingkai tingkap hitam dan pemegang pintu sama dengan warna badan).

    Apa yang membuatkan Launch Edition lebih menyerlah berbanding Levante Trofeo biasa ialah perinciannya yang lebih spesifik, bermula dengan roda aloi pelbagai-jejari 22-inci dengan kemasan matte. Malah turut dihadirkan dengan kaliper brek sama ada dengan tona biru, merah atau kuning iaitu mengikut warna luarannya.

    Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

    Di dalamnya pula, setiap unit dilengkapi dengan lencana tersendiri yang ditempatkan di konsol tengah dengan perkataan “One of 100” untuk menunjukkan eksklusivitinya. Malahan jahitan kontras pada beberpaa bahagian kabin – termasuk tempat duduk balutan kulit “Pieno Fiore” – bersama logo Trofeo yang disulam pada perehat kepala, juga disuaipadan dengan warna luaran jentera ini.

    Lain-lain ciri yang menyerlahkannya termasuklah kemasan gentian karbon matte “3D Touch”, alas lantai dengan lencana metal Trofeo, jam analog Maserati yang unik pada papan pemuka dan instrumen kluster dengan grafik Trofeo.

    Selain daripada ciri Launch Edition yang eksklusif ini, rekaan lainnya masih sama dengan model standard Levante Trofeo. Ini temasuklah gril baharu dengan dua palang menegak berwarna hitam, bonet dengan pengudaraan, corong pengambilan udara besar dengan bilah gentian karbon, gril yang menyerlah di dalamnya, bersama pemisah hadapan gentian karbon serta skirt sisi.

    Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

    Pada belakangnya pula, ditampilkan pula diffuser gentian karbon dengan corong ekzos bulat, logo unik Trofeo pada tiang-C, dan signitur syarikat dengan “Saetta” yang kelihatan pada lencana Levante pada tailgate.

    Sudut mekanikalnya masih sama, dengan enjin 3.8 liter turbo-berkembar V8 buatan Ferrari, dengan hamburan kuasa 598 PS (590 hp) pada 6,250 rpm dan tork 730 Nm dari 2,500 hingga 5,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda Q4.

    Bagi prestasinya, SUV ini hanya mengambil masa sekitar 3.9 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 304 km/j. Dengan kuasa brek padu, jentera seberat 2,170 kg ini boleh berhenti dari pecutan 100 km/j dalam jarak antara 34.5 meter.

    Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

    Trofeo turut didatangkan dengan mod pemanduan Corsa baharu dan fungsi launch control, yang turut memberikan kesan terhadap karakteristik peredam adaptif Skyhook dan suspensi udara yang boleh merendahkan ketinggian jentera. Dalam mod Corsa, kawalan cengkaman dan sistem kestabilan jentera ini turut memberikan keseronokan pemanduan pada tahap maksimum.

    Ciri standard yang ditawarkan termasuklah sistem infotainmen Maserati Touch Control Plus dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan suhu empat-zon, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa, pedal penukar gear, tailgate larasan kuasa, lampu utama LED adaptif, bumbung matahari panoramik dan sistem bunyi Bowers & Wilkins 1,280-watt dengan 17-pembesar suara.

    Harga yang dinyatakan di atas hadir dengan waranti tiga-tahun/perbatuan tanpa had dan juga program penyelenggaraan percuma tiga-tahun/60,000 km. Jika pelanggan yang menempahnya dalam sepanjang Jun ini, akan berpeluang menerima program waranti “Serenity” eksklusif selama tujuh-tahun.

     
     
  • Toyota Hilux facelift didedahkan – rupa lebih garang, model 2.8L turbodiesel terima kuasa 204 hp/500 Nm

    Toyota Hilux facelift didedahkan – rupa lebih garang, model 2.8L turbodiesel terima kuasa 204 hp/500 Nm

    Selepas teaser yang disiarkan tempoh hari, kini Toyota telah mendedahkan sepenuhnya model kemaskini untuk trak pikap Toyota Hilux facelift 2020. Model ini bukan sekadar menerima sentuhan semula pada rupa, malah turut menerima tingkat taraf pada unit janakuasa dan juga talaan semula pada sistem suspensi.

    Berita paling besar, untuk Hilux dengan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel, ia kini ditala bagi menghasilkan kuasa 204 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 Nm – lebih berkuasa dari sebelum ini yang hanya menjana 177 PS/450 Nm.

    Enjin ini hadir dengan pilihan gandingan kotak gear manual enam-kelajuan iMT dan juga transmisi enam-kelajuan automatik. Ini membolehkan trak pikap tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10 saat, dan mampu mencapai penggunaan bahan api pada kadar 7.8 l/100 km.

    Toyota Hilux facelift didedahkan – rupa lebih garang, model 2.8L turbodiesel terima kuasa 204 hp/500 Nm

    Walau bagaimanapun, untuk versi 2.4 liter turbodiesel ia masih dijana oleh enjin 2GD-FTV berkuasa 150 PS/400 Nm bersama transmisi yang sama. Model dengan sistem pacuan empat roda kini dibekalkan dengan Kawalan Menurun Bukit, manakala model 4X2 pula diberikan sistem elektronik yang membolehkan gandar belakang beroperasi seakan diberikan LSD mekanikal, dakwa Toyota.

    Selain itu, perubahan mekanikal turut dibuat pada sistem suspensi di mana talaan penyerap hentaknya telah diusik semula, rekaan pada spring dedaun belakang ditingkat taraf serta menggunakan set bushing baharu. Menurut Toyota, kemaskini berkenaan dapat memberikan lebih keselesaan terutamanya ketika dipandu pada permukaan lasak dengan beban rendah.

    Seperti biasa, Hilux akan diberikan dua versi rupa luaran, standard dan satu lagi untuk gred lebih sporty. Bagi versi biasa (digelar sebagai Pre Runner untuk pasaran Thailand), ia kini menerima gril hadapan seakan Toyota Tacoma pasaran Amerika Syarikat bersama serta lampu hadapan projektor bi-LED yang lebih bersegi. Ia turut diberikan kemasan berbentuk-L untuk lampu posisi pada kedua-dua sisi bampar.

    Toyota Hilux facelift didedahkan – rupa lebih garang, model 2.8L turbodiesel terima kuasa 204 hp/500 Nm

    Manakala untuk versi lebih sporty (digelar sebagai Rocco di Thailand dan Invicible di Eropah), ia diberikan kemasan sekeliling gril berwarna hitam serta kemasan skid plate pada bawah bampar bagi memberikan imej lebih lasak. Manakala kemasan lampu kabus pula direka berpetak. Model lebih garang ini juga hadir dengan overfender yang berfungsi sebagai pelindung badan tambahan.

    Pada bahagian belakang pula, Hilux facelift ini diberikan lampu yang direka semula dengan diberikan grafik LED dengan elemen heksagonal. Manakala untuk varian Invicible di Eropah, ia menerima pilihan penutup bed belakang jenis roller shutter aluminium dengan bantuan elektrik.

    Hilux baharu ini hadir dengan dua pilihan rim iaitu 17- dan 18-inci, tiga warna baharu – Emotional Red II, Dark Blue dan Oxide Bronze metallic – serta kekal dengan tiga bentuk badan iaitu single, extra and double cab. Kesemua perincian ini ditawarkan bergantung pada spesifikasi pasaran masing-masing.

    Pada bahagian dalaman, bentuk asas papan pemuka masih lagi sama seperti sebelum ini. Perubahan yang dapat dilihat adalah penggunaan kluster instrumen baharu dengan skrin paparan pelbagai info 4.2-inci, serta skrin infotainmen bersaiz lapan-inci dengan sokongan Andoid Auto dan Apple CarPlay.

    Ciri lain yang turut ditawarkan termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, sistem navigasi satelit, sistem pendingin hawa automatik dan lain-lain lagi.

    Bagi pasaran Thailand, Hilux sah ditawarkan dengan sistem telemetik T-Connect. Manakala untuk pasaran Eropah pula, versi Invicible menerima sistem bunyi JBL 800-watt dengan amplifier lapan saluran dan teknologi Clari-Fi serta disambungkan kepada sembilan-pembesar suara.

    GALERI: Toyota Hilux Revo Rocco 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo PreRunner 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo Z-Edition 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo B-Cab 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Invicible 2020 pasaran Eropah

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025