Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia Malaysia buka pusat 3S di Kuala Terengganu

    Kia Malaysia buka pusat 3S di Kuala Terengganu

    Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, pengedar rasmi bagi Kia Motors di Malaysia, telah pun membuka pusat 3S terbaharu di Kuala Terengganu, dengan kerjasama pengedar bertauliah Autohaus Prima Sdn Bhd.

    Terletak di kawasan seluas 10,000 kaki persegi, Kia Kuala Terengganu mampu mempamerkan sehingga lima buah kereta di bilik pameran ini serta mempunyai satu petak penyelenggaraan yang berkeupayaan menyelenggara sehingga 15 buah kereta sehari. Model terkini Kia yang turut dipamerkan ialah Rio, Cerato, Optima, Sportage, Sorento dan Grand Carnival.

    Beroperasi di 159, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, bilik pameran ini melibatkan perlaburan sebanyak RM1 juta, merangkumi jualan, servis, fasiliti alat ganti serta lounge bagi pelanggan, merupakan cawangan kedua yang beroperasi di Pantai Timur selepas Kia Red Cube, Kuantan, yang dibuka pada 2014.

     
     
  • Puspakom bakal lantik bengkel swasta – perluas khidmat ke luar bandar dengan kos lebih rendah

    Puspakom bakal lantik bengkel swasta – perluas khidmat ke luar bandar dengan kos lebih rendah

    Dalam tempoh sebulan dari sekarang, Perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan diperluaskan dengan membolehkan agensi itu melantik bengkel-bengkel kenderaan swasta untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaaan kenderaan, lapor Bernama.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, kementerianya bersetuju untuk membolehkan Puspakom melantik bengkel-bengkel swasta tersebut khususnya di luar bandar bagi menjimatkan perbelanjaan agensi tersebut.

    “Kaedah itu juga boleh memberi peluang kepada bengkel-bengkel yang terpilih untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan penambahan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan namun, ia mestilah mengikut garis panduan yang ditetapkan Puspakom,” jelas Aziz.

    “Fokus kita ialah memperluaskan perkhidmatan Puspakom ke kawasan luar bandar dan kaedah ini dapat menjimatkan perbelanjaan berbanding jika kita membina cawangan baharu yang menelan kos pembinaan lebih tinggi,” tambahnya lagi.

    Puspakom merupakan agensi yang menjalankan pemeriksaan kenderaan berkomputer yang dilantik oleh kerajaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memastikan kenderaan-kenderaan komersial diperiksa untuk memastikan ia selamat digunakan diatas jalan raya, dan juga pemeriksaan-pemeriksaan lain bagi tujuan kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan misalnya pemeriksaan bagi tujuan penukaran hak milik serta lain-lain.

    Selain dari pemeriksaan-pemeriksaan mandatori ini, Puspakom turut menjalankan pemeriksaan sukarela yang dibuka untuk orang awam bagi memastikan tahap ‘kesihatan’ kenderaan mereka. Perincian lanjut berkenaan pusat ini boleh anda baca DI SINI, setelah kami diberi peluang untuk menjadi pemeriksa kenderaan selama sehari.

     
     
  • Triumph Tiger 800 Tramontana untuk Rali Pan-Africa

    Triumph Tiger 800 Tramontana untuk Rali Pan-Africa

    Jurutera Triumph Motorcycles dari ibu pejabatnya di Hinckley, bersama dua beradik, David Lopez dan Felipe Lopez telah membangunkan sebuah Triumph Tiger 800 XCX khas untuk perlumbaan Rali Pan Africa 2017. Motosikal ini diubah suai supaya dapat berhadapan dengan cabaran getir rali 2,000 km ini.

    Walaupun Tiger 800 XCX sudah dianggap cukup berkemampuan dalam keadaan asalnya, perubahan masih perlu untuk menjadikannya lebih ringan dan dapat menyediakan kelengkapan bersesuaian bagi penunggang. Antara perubahan penting adalah bahagian hadapan yang ditukar supaya dapat menyediakan instrumen penting seperti peta perjalanan, ICO dan lampu isyarat GPS.

    Pada bahagian itu juga terdapat lampu hadapan yang lebih ringan, manakala subframe pula diperkuat untuk menampung beberapa komponen baru. Selain panel badan, motosikal ini juga turut diberi perlindungan tambahan, terutamanya pada bahagian enjin.

    Triumph Tiger 800 Tramontana untuk Rali Pan-Africa

    Suspensi juga diubah, dengan melihatkan unit daripada Ohlins, dan ia mempunyai jarak pergerakan yang lebih tinggi, sesuai dengna perlumbaan rali yang banyak melibatkan lompatan dan jalan-jalan kasar yang sukar diduga. Bahagian belakangnya juga lebih pendek bagi memperbaiki titik graviti.

    Walaupun begitu, motosikal hanya menyumbang kepada separuh sahaja kejayaan dalam perlumbaan ini. Ia masih bergantung kepada penunggangnya sendiri. Oleh itu, kedua-dua David dan Felipe telah bekerja keras untuk mempersiapkan diri secara mental dan fizikal supaya mereka dapat terus bertahan dalam perlumbaan tersebut.

     
     
  • Invois tuntutan bernilai RM1.24 juta dari pasukan F1 HAAS terhadap SIC yang tular adalah palsu – laporan

    Minggu lalu telah tular satu ‘invois’ bernilai US$295,000 (kira-kira) RM1.24 juta daripada pasukan Formula 1 HAAS kepada pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menuntut ganti rugi terhadap kerosakan yang dialami oleh jentera pasukan yang dipandu oleh Romain Grosjean yang telah terlanggar dengan penutup longkang yang teralih pada sesi latihan bebas Grand Prix Malaysia, Jumaat lalu.

    Namun menurut CEO SIC, Datuk Razlan Razali dalam laporan Berita Harian, dokumen yang telah dikongsi oleh ramai netizen tersebut sebenarnya adalah dokumen palsu.

    “Setakat ini saya difahamkan dokumen yang disiarkan di media sosial adalah palsu kerana sehingga sekarang, kami masih tidak dapat lagi kenyataan rasmi daripada FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan pasukan Haas,” kata Razlan. Beliau juga hairan mengapa pihak tertentu melakukan perkara ini pada perlumbaan terakhir Formula 1 diadakan di Litar berkenaan.

    “Ia seolah-olah mencari pasal untuk memuat naik status seperti ini di media sosial yang mana sepatutnya kita harus sokong, meraikan F1 terakhir ini berbanding mengeluarkan isu yang saya tak tahu nak gambarkan sama ada hasad dengki,” kata Razlan lagi.

    Invois tuntutan bernilai RM1.24 juta dari pasukan F1 HAAS terhadap SIC yang tular adalah palsu – laporan

    Kemalangan yang dialami oleh Grosjean berkenaan menyebabkan tayar belakang sebelah kanannya berkecai, menyebabkan dia terus terbabas ke dinding penahan. Sebelum insiden tersebut terjadi, Valteri Bottas yang memandu jentera pasuka Mercedes AMG Petronas dan Kimi Raikkonen dari Scuderia Ferrari telah terlebih dahulu melanggar penutup longkang di selekoh 13 berkenaan dan menyebabkan ia teralih.

    Malah, selepas berlakunya kemalangan tersebut ada juga dakwaan yang tersebar di internet menyatakan perlumbaan Formula 1 terakhir yang diadakan di Malaysia berkenaan akan dibatalkan.

    “Jadi saya nak maklumkan di sini yang perlumbaan F1 ini sama sekali tidak akan dibatalkan seperti dihebohkan dan dokumen yang disebarkan itu adalah palsu,” jelas Razlan.

    Beliau turut menambah bahawa SIC dan FIA sendiri telah melakukan pemeriksaan trek pada Khamis lalu dan mereka memberi lampu hijau untuk meneruskan perlumbaan ini.

    “Sebulan sebelum itu, mereka juga ada menghantar nota kepada kami yang menyatakan kereta kali ini lebih laju dan kami perlu meningkatkan sesuatu di selekoh dan sebagainya. Kami mengikut arahan itu sebelum mereka datang (pada Khamis) dan bila pemeriksaan pada Khamis, semuanya sempurna,” tegas Razlan.

    Menurut CEO SIC berkenaan lagi, FIA berkata ini adalah perkara yang tidak dijangka, jadi susah untuk menyalahkan mana-mana pihak dan mereka tidak boleh menyalahkan pihaknya.

    “Malah, kami juga diarahkan untuk memperkukuhkan lagi (keselamatan) sistem perparitan sejak dari semalam lagi dan kami juga diberitahu oleh penyelenggaraan trek yang semuanya sudah dipatri sejak dulu lagi. Dan sistem perparitan ini pun sudah kita periksa dan patri semula,” tambah Razlan.

     
     
  • Naza Italia buka bilik pameran kedua Ferrari di KL

    Naza Italia buka bilik pameran kedua Ferrari di KL

    Naza Italia telah membuka bilik pameran kedua Ferrari di Lembah Klang. Terletak di Tower 1, Platinum Park, Kuala Lumpur, bilik pameran ini telah pun dilancarkan pada petang Khamis baru-baru ini.

    Bilik pameran Ferrari baharu ini berkeluasan 3,115 kaki persegi dan mampu mempamerkan tiga model kenderaan dalam satu masa. Ia juga menempatkan ruang lounge mewah untuk pelanggan, selain mempunyai bilik untuk konfigurasi dan pemilihan untuk elemen bagi model Ferrari yang dipilih. Dengan kos perlaburan berjumlah RM2.8 juta, Ferrari Platinum Park ini dibuka pada jam 9 pagi hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat, dan dari jam 10 pagi hingga 4 petang pada hari Sabtu.

    Menurut Datuk Wira Hj SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, pengerusi eksekutif kumpulan Naza World Group of Companies, bilik pameran Ferrari di Platnium Park ini mensasarkan kunjungan yang lebih ramai malah menyediakan pengalaman yang optimum buat para pelanggannya seperti mana yang ditampilkan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya.

    Selain itu, syarikat ini turut memaklumkan pusat servis selepas jualan yang terletak di belakang bilik pameran PJ telah pun diubahsuai mengikut ketetapan terkini Ferrari. Naza Italia berkata dengan peningkatan yang melibatkan kos berjumlah RM5 juta, ia mampu memperluaskan lagi jenama ini di Malaysia.

     
     
  • Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio – SUV paling pantas di Nürburgring, 8 saat lebih laju dari Porsche Cayenne

    Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio kini sah sebagai SUV terpantas di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 51.7 saat. Catatan berkenaan secara tidak langsung telah memadam rekod 7 minit 59.74 saat yang dicatatkan oleh SUV Porsche Cayenne Turbo S yang dilakukan pada tahun 2015.

    Dengan rekod baharu tersebut, Alfa Romeo kini memegang dua rekod produksi di Nürburgring di mana Giulia Quadrifoglio yang dibina dengan platform yang sama dengan Stelvio kini memegang rekod untuk sedan empat pintu terpantas dengan catatan masa 7 minit 32 saat.

    Stelvio hadir dalam pasaran dengan dua pilihan enjin iaitu enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 280 hp/400 Nm, manakala varian yang digunakan untuk mencatatkan rekod ini merupakan versi tertinggi dengan enjin V6 2.9 liter turbo berkembar berkuasa 510 hp dan tork maksima 600 Nm.

    Kesemua kuasa dari setiap pilihan enjin disalurkan ke keempat-empat tayar menerusi sistem pacuan semua roda Q4 dan juga kotak gear lapan-kelajuan dari ZF yang mampu menukar gear sepantas 150 milisaat dengan menggunakan mod Race. Sistem AWD crossover ini membenarkan 60% tork ke gandar hadapan, manakala unit torque vectoring differential turut dipadankan untuk mempertingkatkan daya tarikan serta kestabilan.

    Selain itu, SUV ini juga diberikan sistem Chassis Domain Control (CDC) dan juga menampilkan drive shaft yang diperbuat dari material gentian karbon, manakala kerangka badannya pula dibina dengan material ringan bersama agihan berat 50/50 secara keseluruhan.

     
     
  • MRR2 laksana lencongan laluan kanan sehingga tahun 2019 untuk kerja-kerja pembinaan Lebuhraya SUKE

    MRR2 laksana lencongan laluan kanan sehingga tahun 2019 untuk kerja-kerja pembinaan Lebuhraya SUKE

    Untuk pengguna Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd.(Prolintas) telah mengeluarkan kenyataan lencongan pada lorong kanan akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Oktober sehingga 28 Februari 2019. Ia adalah bagi memberikan laluan kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

    Menurut Prolintas, lencongan lorong kanan kedua-dua arah sepanjang 1.8 kilometer di MRR2 itu melibatkan kerja-kerja pemasangan cerucuk, struktur dan rasuk.

    Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi panduan keselamatan yang ditetapkan. Bagaimanapun, laluan tiga lorong di kawasan tersebut masih dikekalkan. Ciri-ciri keselamatan seperti pemasangan kon keselamatan, papan tanda, penghadang plastik dan konkrit akan ditempatkan di kawasan terbabit. Di samping itu, ‘Emergency Traffic Response Patrol’ akan bertugas selama 24 jam bagi menghadapi sebarang kecemasan.

    Sebagai alternatif, pengguna digalakkan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) untuk ke pusat bandar.

     
     
  • Olskool Mega Gathering (OMG) – kumpul pemilik dan peminat kereta lama sembilan tahun berturut-turut

    Olskool Mega Gathering (OMG) – kumpul pemilik dan peminat kereta lama sembilan tahun berturut-turut

    Olskool Mega Gathering (OMG) edisi 2017 telah pun selesai, dan ini merupakan tahun ke-sembilan berturut-turut perhimpunan kereta lama terbesar di Malaysia berkenaan diadakan sejak edisi pertamanya bermula pada tahun 2009. Tahun ini, sebanyak hampir 400 buah kereta lama dari seluruh Malaysia berhimpun di perkarangan tempat letak kereta Giant Leisure Mall Johor Bahru, dan lebih 300 buah daripadanya merupakan peserta berdaftar.

    Seperti tahun-tahun sebelum ini, penganjur memberikan syarat ringkas untuk peserta mengambil bahagian dalam acara berkenaan iaitu kereta-kereta mereka perlulah dihasilkan pada tahun 1984 dan ke bawah, tanpa mengira buatan negara mana, atau konsep restorasi serta modifikasi yang ditampilkan.

    Namun, diantara genre restorasi dan modifikasi yang paling menonjol dalam OMG adalah JDM Olskool – anda akan bertemu dengan pelbagai jenis kereta-kereta lama buatan Jepun seperti Toyota Corolla, Corona, Carina, Celica, dan juga pelbagai Datsun seperti C210 Skyline, Bluebird 510, Sunny 120Y B110, B210 dan juga B310.

    Kereta-kereta buatan Eropah turut tidak ketinggalan dimana sebahagian dari peserta datang ke OMG dengan memandu jentera-jentera klasik dari jenama Volkswagen, Volvo, Ford, Fiat dan pelbagai lagi. Turut hadir pada perhimpunan kali ini adalah komuniti pemilik dan peminat kereta lama yang bukan sahaja dari Sabah dan Sarawak, malah dari Indonesia dan Brunei Darussalam.

    Selain dari perhimpunan kereta, pihak OMG juga menyediakan gerai-gerai jualan pelbagai barangan seperti alat ganti kereta lama, baju dan cenderamata dan juga permainan. Gerai-gerai jualan makanan dan minuman juga disediakan bagi memudahkan pengunjung, terutamanya mereka yang datang dengan keluarga.

    Berbeza dari acara-acara lain yang diselia oleh syarikat penganjur acara, OMG kekal dengan konsep mereka iaitu diuruskan oleh komuniti Olskool.my (dikenali sebagai Olskool.org sebelum ini), iaitu komuniti pemilik dan peminat kereta lama yang bergerak bukan seperti kelab – tidak mempunyai pengerusi dan jawatan kuasa lain, tetapi lebih berkonsep seperti kumpulan ‘kawan-kawan’.

    Untuk acara yang diadakan di Johor Bahru pada kali ini, penganjuran OMG berkenaan diterajui oleh Olskool.my Johor atau lebih dikenali sebagai Olskool.my Johor Tribe (OSJT), dengan saudara Mohamed Sidek Bin Samsudin dilantik sebagai ketua penyelaras projek. Ini juga merupakan kali kedua Johor dipilih sebagai tuan rumah, di mana sebelum ini OMG 2 pada tahun 2010 telah diadakan di Mersing.

     
     
  • Honda Riding Assist-e akan buat penampilan global pertama di Tokyo Motor Show – boleh imbang sendiri

    Honda Riding Assist-e akan buat penampilan global pertama di Tokyo Motor Show – boleh imbang sendiri

    Hujung bulan hadapan akan berlangsungnya Tokyo Motor Show, dan Honda telah bersiap-sedia dengan pelbagai model untuk dibawa ke sana. Bagi bahagian motosikal, sebuah model akan membuat penampilan global pertama iaitu Riding Assist-e. Walaubagaimanapun, tidak banyak perincian yang disiarkan tentang motosikal ini.

    Apa yang diberitahu adalah, Riding Assist-e menggunakan kuasa motor elektrik dan disertakan dengan teknologi robotik yang membolehkan ia mengimbangkan badan motosikal secara sendiri. Dengan imbangan sendiri pada kelajuan rendah ini, penunggang akan kurang penat dan lebih selesa.

    Apa yang boleh dilihat daripada gambar yang disiarkan oleh Honda adalah motosikal ini menggunakan kerangka asas seperti motosikal biasa, lengan ayun tunggal pada sebelah kiri, brek cakera di depan dan belakang bersama angkup Nissin, fork konvensional di hadapan dan monoshock di belakang, tempat duduk tunggal, lampu LED depan dan belakang, pendikit throttle-by-wire dan panel meter digital.

    Bagi mengecas bateri motosikal ini, terdapat soket di bahagian tepi, kiri. Berkenaan posisi menunggang, kelihatan seperti tempat duduk Riding Assist-e agak rendah, dengan bahagian pemegang pula mudah dicapai. Ini sekaligus memberi gambaran ia mudah dan selesa untuk tunggangan harian terutamanya dalam kawasan urban.

     
     
  • Honda bakal perkenal model konsep Sports EV di Tokyo Motor Show 2017 – turut terapkan rekaan retro?

    Honda bakal perkenal model konsep Sports EV di Tokyo Motor Show 2017 – turut terapkan rekaan retro?

    All-new Honda Sports EV Concept unveiled at Tokyo Motor Show

    Honda telah menyiarkan teaser kereta konsep elektrik baharunya digelar Sport EV Concept yang bakal membuat penampilan di Tokyo Motor Show (TMS) 2017 Oktober ini.

    Menurut Honda, kereta sport dengan janakuasa elektrik sepenuhnya itu menampilkan bayangan badan yang begitu menarik, muka yang ‘mesra’ dan juga permukaan badan dihasilkan dengan rekaan yang lembut, bagi memastikan ia sesuai digunakan dalam apa jua jenis gaya hidup.

    Pasukan pembina model elektrik baharu ini menghasilkan kereta berkenaan bagi memberikan perasaan yang seronok dan beremosi ketika dipandu, yang dapat dicapai secara efisien dengan gabungan sistem janakuasa elektrik dan teknologi AI dalam bentuk badan yang kompak, menurut Honda.

    Berdasarkan imej teaser yang disiarkan dalam bentuk lakaran dari sudut belakang-sisi kereta tersebut, ia seolah-olah direka seperti model hardtop Honda S600 klasik. Ini tidak mustahil kerana kereta konsep elektrik Honda Urban EV Concept yang muncul di Frankfurt Motor Show baru-baru ini turut direka seakan jelmaan semula hatchback Honda Civic genarasi pertama.

    Model Honda Urban EV tersebut turut akan membuat penampilan sekali lagi pada TMS kali ini, bersama barisan motosikal ‘kapcai’ lagenda Honda – Super Cup – yang meraikan ulangtahun ke-60 serta kejayaan penghasilannya sebanyak 100 juta unit.

    Tokyo Motor Show kali ini juga merupakan medan bagi SUV Honda CR-V generasi kelima membuat kemunculan sulungnya di Jepun – ya, CR-V generasi baharu yang sudah dilancarkan di Malaysia berkenaan masih lagi belum tiba di pasaran Jepun.

     
     
  • Mazda CX-8 bakal dijual di luar pasaran Jepun

    Mazda CX-8 bakal dijual di luar pasaran Jepun

    Dalam sidang akhbar selepas majlis permulaan pemasangan bagi Mazda CX-5 baharu semalam, turut didedahkan ialah CX-8 juga bakal dijual di luar pasaran Jepun. Perkara ini dinyatakan oleh Hiroshi Inoue, pegawai eksekutif pengurusan bagi perniagaan ASEAN dan presiden Mazda Asia Tenggara.

    Jualan bagi CX-8 di Jepun akan bermula 14 Disember tahun inu, dengan pengedarnya telah pun mula mengambil tempahan. Model ini diposisikan sebagai SUV di negara berkenaan, iaitu sebagai abang kepada CX-5, kerana CX-9 tidak dipasarkan di sana.

    Di Jepun, SUV tiga-barisan tempat duduk ini hanya ditawarkan dengan enjin 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel dengan padanan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penjana kuasa ini mirip dengan salah satu enjin yang ditawarkan pada CX-5, namun dengan output yang telah dipertingkatkan iaitu 188 hp dan 450 Nm (dari 173 hp dan 420 Nm). Pelanggan juga boleh memilih sama ada pacuan roda-hadapan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ AWD, dengan G-Vectoring Control diberikan untuk semua varian.

    Bagi pasaran negara lain, Inoue tidak mendedahkan sebarang perincian mengenainya, termasuk negara mana yang bakal menerima kemasukan model ini. Walau bagaimana pun, beliau turut menyebut bahawa Datuk Seri Ben Yeoh, CEO bagi Bermaz pernah menyuarakan hasratnya terhadap model ini. Model CX-9 telah pun dijual di Malaysia, adakah kebarangkalian CX-8 juga akan dibawa masuk ke sini? Nantikan perkembangan selanjutnya jika ada.

     
     
  • MV Agusta keluarkan model edisi khas kerjasama dengan Lewis Hamilton – terhad hanya 44 unit sedunia

    MV Agusta keluarkan model edisi khas kerjasama dengan Lewis Hamilton – terhad hanya 44 unit sedunia

    Bagi meraikan ulang tahun model F4 yang ke-20, MV Agusta telah mengeluarkan sebuah model edisi khas dinamakan sebagai F4 LH44 yang dihasilkan dengan kerjasama juara dunia F1 tiga kali, Lewis Hamilton. Masa yang lama diperlukan untuk membangunkan model ini kerana setiap input yang diterima daripada Hamilton diselidik kesesuaiannya untuk model produksi.

    Hasilnya, seperti yang anda boleh lihat adalah sebuah motosikal yang cukup garang, dan dalam masa sama kekal elegan. Asas model istimewa ini adalah F4 RC, yang diambil terus daripada MV Agusta Reparto Corse Superbike. Sumber kuasanya adalah enjin Corsa Corta empat silinder 998 cc yang berkuasa 205 hp. Untuk model istimewa ini, ia mendapat ekzos titanium dan unit kawalan komputer baru yang meningkatkan kuasanya menjadi 212 hp.

    Penampilan unik motosikal ini bermula dengan warna merah Candy Red, yang digunakan pada kebanyakan panel badannya, bersama warna Pearl White pada bahagian kerangka Trellis. Teknik yang dihasilkan untuk warna merah ini juga adalah unik, di mana ia menggunakan asas daripada dakwat. Seterusnya, terdapat pelekat grafik berwarna hitam bersama logo harimau kumbang yang sinonim dengan Hamilton.

    Bahagian suspensi model istimewa ini turut dipertingkat, melihatkan penggunaan unit fork O?hlins USD NIX 30 TiN-coated di hadapan, O?hlins TTX 36 di belakang, warna khas untuk peralatan ini dan tempat duduk yang dibalut dengan kulit asli dan Alcantara.

    Bahagaian cermin penghadang udara di hadapan motosikal ini juga dijadikan lebih gelap – pertama kali bagi F4 produksi – manakala beberapa bahagian lain seperti fairing utama dihasilkan daripada gentian karbon. Antara barangan khas lain yang unik bagi motosikal ini adalah penutup tempat mengisi minyak gaya lumba, rim forged dan skru tayar CNC anodized.

    MV Agusta F4 LH44 ini hanya akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu sebanyak 44 unit, dan nombor itu sendiri datang daripada nombor perlumbaan Lewis Hamilton. Harga jangkaannya adalah 44,000 pound (RM250,000).

     
     
  • Proton tetap mahu hasilkan model EV – Syed Faisal

    Proton tetap mahu hasilkan model EV – Syed Faisal

    Pada tahun 2014, syarikat elektronik terkemuka Korea Selatan, LG Electronics, dilihat komited dalam menghasilkan prototaip kenderaan elektrik (EV) bagi model Iriz. Model prototaip berkenaan dijanakan oleh kuasa elektrik sepenuhnya dan mampu dipacu sehingga 240 km dengan bateri yang dicas penuh.

    Setahun kemudian, Proton mempertontonkan model prototaip Iriz EV di International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2015. Walau pun daripada sudut luarannya, ia tidak ada perbezaan dengan versi biasa, namun di bawah hudnya, model prototaip Iriz EV tersebut dikuasakan oleh motor elektrik magnet AC yang memberikannya janaan tenaga sehingga 155 hp dan tork 360 Nm.

    Namun demikian, sehingga kini, tiada lanjutan perkhabaran mengenai kedua-dua model prototaip berkenaan.

    Dalam sidang media sempena majlis mengumumkan senarai barisan terkini pengurusan tertinggi Proton pagi tadi, pertanyaan mengenai perancangan Proton untuk menghasilkan model EV telah dikemukakan.

    Proton tetap mahu hasilkan model EV – Syed Faisal

    Dato’ Sri Syed Faisal Albar selaku Pengerusi Proton Holdings Berhad (PHB) berkata, “Ya, ini merupakan sesuatu yang kami mahu capai dan Geely juga mempunyai teknologinya (EV). Ini salah satu sebab utama mengapa Proton memerlukan rakan strategik, di mana kami boleh mendapatkan akses bagi teknologi EV ini.”

    Katanya lagi, ia juga adalah berkaitan dengan pelan perancangan baharu Proton pada masa hadapan, termasuk penghasilan kenderaan hibrid, plug-in hybrid selain EV.

    Menurut ahli lembaga Proton, Daniel Donghui Li pula, “Geely akan menyalurkan teknologi transmisi yang juga cukup fleksibel dengan solusi kuasa baharu termasuk hibrid, plug-in hybrid dan elektrik. Kita juga akan menyalurkan perbangunan produk baharu, termasuk model baharu kita dan juga hibrid serta EV.”

    Li turut berkata memandangkan Geely telah membuat pelaburan signifikan terhadap teknologi-teknologi berkenaan, jadi Proton tidak perlu berbuat perkara yang sama, sebaliknya berkongsi teknologi yang ada ini untuk membangunkan produk baharu atau memberi penambahbaikan pada model yang sedia ada.

    GALERI: Model prototaip Proton Iriz EV yang dipertontonkan pada 2015 lalu

     
     
  • Geely bakal salur teknologi janakuasa kepada Proton – transmisi, enjin Euro 6, hibrid dan plug-in hybrid

    Geely bakal salur teknologi janakuasa kepada Proton – transmisi, enjin Euro 6, hibrid dan <em>plug-in hybrid</em>

    Ketika majlis pengumuman barisan pentadbiran baharu Proton pagi tadi, pakatan Proton-Geely turut mendedahkan sebahagian rancangan mereka dari segi perkongsian teknologi pada masa akan datang, khususnya untuk teknologi enjin serta transmisi.

    “Geely akan memberikan semua sokongan yang diperlukan. Geely akan membekalkan enjin dengan teknologi terkini kami. Untuk pengetahuan anda, enjin Proton buat masa ini hanya diiktiraf pada tahap emisi Euro 4. Geely bakal membekalkan enjin Euro 6 dan keatas,” kata naib presiden eksekutif dan ketua pegawai kewangan Zhejiang Geely (ZGH), Daniel Li Dong Hui.

    Teknologi yang bakal disalurkan ini bukan sahaja terdiri dari enjin petrol konvensional, malah turut melibatkan unit janakuasa dengan teknologi elektrik. “Geely akan menyediakan transmisi yang bukan sahaja boleh digunakan pada berberapa kereta, malah turut fleksibel untuk digunakan pada teknologi yang menggunakan sumber tenaga baharu, termasuk hibrid, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Kami akan menyediakan pembangunan produk baharu, termasuk model baharu kami serta kereta hibrid dan elektrik,” tambah Li lagi.

    “Ya, ini merupakan perkara yang bakal kami kecapi, dan Geely sudah mengecapi teknologi berkenaan. Ini merupakan salah sebab utama mengapa Proton perlukan rakan stretegik, di mana kami dapat menerima akses lebih cepat kepada teknologi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV),” jelas Pengerusi Proton Holdings, Datuk Sri Syed Faisal Albar.


    Geely Emgrand EV

    Geely mempunyai latar belakang teknologi elektrik yang sangat baik berikutan kerjasama pembangunan teknologi yang dijalankan bersama sebuah lagi syarikat jenama premium di bawah naungannya iaitu Volvo dari Sweden. Kerjasama berkenaan telah menghasilkan model elektrik sepenuhnya Emgrand EV, dan ia akan diikuti oleh versi plug-in hybrid yang dijangka akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.

    Geely juga telah menubuhkan divisi mewahnya (seperti Toyota-Lexus, Nissan-Infiniti) dengan jenama Lynk & Co, yang mendapat kerjasama lebih rapat dari Volvo dari segi platform kenderaan, pembangunan unit janakuasa serta teknologi elektrik.

    Apa yang pasti, buat permulaan kerjasama Proton-Geely ini bakal membuahkan SUV pertama Proton dan model pertama pakatan berkenaan yang dijangka akan menjengah pasaran Malaysia pada penghujung tahun 2018. Selepas itu, Proton dengan bantuan Geely bakal memperkenalkan model baharu untuk setiap tahun, dan akses teknologi yang bakal diterima ini tentunya bakal membawakan pelbagai lagi model-model yang mengujakan.

    Geely Boyue dipasarkan di China dengan pelbagai jenis varian enjin. Ia termasuk versi dengan enjin empat-silinder 2.0 liter petrol NA berkuasa 139 hp/178 Nm), 2.4 liter petrol NA berkuasa 153 hp/225Nm dan yang paling berkuasa 1.8 liter petrol suntikan bahan api terus dengan pengecas turbo berkuasa 161 hp/250 Nm.

    Untuk Boyue versi Proton, ia dijangka bakal menggunakan enjin 1.8 liter turbo dengan transmisi automatik enam-kelajuan, memacu hanya roda hadapan. Rakan kami dari paultan.org versi bahasa inggeris telah pun menguji SUV berkenaan di China baru-baru ini, dan anda boleh membaca ulasannya DI SINI.

    Walau bagaimanapun perincian berkenaan bila unit-unit janakuasa berteknologi tinggi ini akan digunakan pada model-model Proton masih lagi belum diketahui. Sama ada ia turut akan digunakan pada model-model sedia ada ataupun hanya akan digunakan pada model-model akan datang juga masih lagi samar. Apa yang pasti, kerjasama ini pastinya disasarkan bagi keuntungan kedua-dua pihak.

    “Geely perlu melabur puluhan bilion dolar untuk kesemua pembangunan produk baharu ini. Kami tidak meminta untuk Proton membuat perkara yang sama dengan pelaburan tambahan. Jadi Proton hanya perlu melabur untuk mempertingkatkan produksi dan kelengkapan kilang, kualiti dan juga pengenalan produk-produk baharu,” jelas Li.

     
     
  • Proton-Geely Boyue hanya akan diperkenalkan hujung tahun 2018, masa diperlukan untuk buat pelarasan

    Proton-Geely Boyue hanya akan diperkenalkan hujung tahun 2018, masa diperlukan untuk buat pelarasan

    Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, model pertama yang akan diperkenalkan di Malaysia hasil kerjasama Proton dan Geely adalah sebuah SUV yang diasaskan daripada model Boyue. Model ini dilancarkan di China Mac lalu, dengan dua pilihan enjin di pasaran sana, iaitu 2.0 liter NA 139 hp/ 178 Nm dan 1.8 liter turbo 161 hp/ 250 Nm. Walaubagaimanapun, model yang akan dipasarkan di Malaysia masih belum diketahui menggunakan enjin yang mana.

    Model ini hanya dijangka dapat berada di pasaran Malaysia pada penghujung tahun 2018, dan ini sekaligus menimbulkan pertanyaan mengapa mengambil masa yang begitu lama, sedangkan model tersebut sudah pun lengkap dan dijual dengan sambutan yang baik di China.

    Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar mengulas, masa tersebut diperlukan kerana model ini asalnya adalah model panduan sebelah kiri, dan beberapa pelarasan perlu dibuat untuk mengubahnya ke panduan sebelah kanan. Selain itu, Proton juga perlu menguruskan hal berkaitan alat ganti untuk pemasangan tempatan kenderaan ini.

    Proton-Geely Boyue hanya akan diperkenalkan hujung tahun 2018, masa diperlukan untuk buat pelarasan

    “Dalam struktur yang ada di Malaysia, sekiranya lebih banyak komponen dalam negara yang digunakan, maka banyaklah insentif yang diterima. Ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira,” tambah Faisal.

    Berkenaan harga model berasaskan Boyue ini, ia diketahui akan dipasarkan dalam harga yang lebih rendah berbanding model yang mempunyai kelengkapan sama. Walaupun begitu, Faisal tidak memberitahu berapakah jangkaan harganya dan mengatakan bahawa Proton perlu berusaha untuk mengurangkan kos pengeluaran kenderaan ini terlebih dahulu.

    Selain SUV berasaskan Boyue ini, gabungan Proton dan Geely juga akan memperkenalkan model baru setiap tahun, dan bukan itu sahaja, enjin serta transmisi baru juga akan diperkenalkan, dengan kemungkinan terdapat model hibrid, plug-in hybrid atau elektrik kerana transmisi itu sendiri sudah bersedia untuk penjana kuasa mesra alam yang disebutkan.

    Geely Boyue di Malaysia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025