Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Pemandu kurang upaya makin sukar dapat ruang parkir kerana lambakan pelekat palsu di pasaran

    SONY DSC

    Gejala lambakan pelekat parkir palsu di pasaran, membuatkan pemandu-pemandu kurang upaya kecewa kerana ia membuatkan mereka sukar mendapatkan ruang parkir di tempat awam, laporan The Star.

    Akhbar berbahasa Inggeris tempatan itu melaporkan ahli Persatuan Orang Kurang Upaya Damai telah membuat aduan, ramai pemandu normal dengan pelekat parkir palsu tersebut telah mengambil tempat letak kereta orang kurang upaya di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, termasuklah di pusat membeli-belah dan kawasan umum lain.

    Pelekat parkir palsu ini dijual secara terbuka di kebanyakan kedai perkakasan dengan harga antara RM7 dan RM20 setiap satu.

    Sebenarnya, pelekat-pelekat tulen hanya boleh diperoleh dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas satu taksiran keadaan si pemohon, ujar presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Damai V.Murugeswaran.

    “Kami berasa sedih kerana kurangnya penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan. Di mana sepatutnya pemandu normal yang tidak bertanggungjawab ini harus dikenakan denda yang tinggi kerana menggunakan ruang parkir khas bagi orang kurang upaya ini,” ujarnya.

    handicap-oku-abuse-parking-lot

    Sambungnya lagi, “Kami berharap agak pihak berkuasa tempatan mempertimbangkan untuk memperkenalkan satu sistem khas seperti mana yang dilaksanakan di Jerman dan beberapa buah negara lain di mana terdapat satu mesin yang akan menghantar foto kenderaan tanpa pelekat yang sah secara terus ke pihak polis atau penguatkuasa tempatan.”

    The Star juga telah membuat tinjauan dan mendapati beberapa kedai perkakasan telah menjual pelekat khas orang kurang upaya ini kepada awam, walau pun hakikatnya ia sepatutnya hanya dikeluarkan oleh pihak JPJ sahaja. Di mana ia bukannya boleh dibeli sewenang-wenangnya di kedai-kedai sedemikian.

    Menurut CEO Pusat Membeli-Belah Sunway, HC Chan, yang juga merupakan penasihat bagi Persatuan Pusat Membeli-Belah Malaysia, berkata, parkir khas untuk orang kurang upaya ini selalunya berdasarkan sistem kepercayaan. “Jika terdapat pelekat ini, pastinya pemandu boleh memarkir kenderaan di ruang khas yang disediakan. Namun jika pengawal keselamatan dapat mengesan pemandu normal yang memarkir di ruang tersebut, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

     
     
  • Volkswagen Golf 1.4 TSI tampil dengan ciri dan dua varian baharu, lebih mampu milik – bermula RM149k

    Volkswagen Golf Mk7 untuk pasaran Malaysia telah ditingkat taraf dengan sedikit pembaharuan. Kunjungan kami ke bilik pameran Volkswagen Glenmerie menyaksikan Golf varian 1.4 TSI telah dilengkapi beberapa ciri yang tidak terdapat padanya sebelum ini. Berdasarkan maklumat dari Penasihat Jualan Volkswagen di situ, Golf 1.4 TSI kini telah dibahagikan kepada dua trim iaitu varian asas Comfortline dan varian Highline yang menampilkan beberapa ciri tambahan.

    Varian Highline seperti di dalam gambar menampilkan roda aloi 17-inci “Madrid” dan lampu hadapan yang direka semula dengan lebih elemen krom (di tempat lampu nyalaa siang LED pada model lama). Pada bahagian belakang, sepasang lampu belakang baru dipadankan dengan rekaan seiras Golf R yang sememangnya nampak lebih garang.

    Ciri baharu yang dipadankan termasuk sistem kunci pintar KESSY yang menampilkan suis penghidup enjin tekan diletakkan pada konsol tengah (bersebelah tombol gear), dan juga tempat duduk hadapan baharu yang lebih sporty dibalut dengan fabrik bermotif “Mel Stripe”.

    Turut ditampilkan pada varian Highline ini ialah Bantuan Parkir untuk membantu pemandu memarkir kenderaan pada kedudukan sisi, dan Bantuan Rehat yang akan memberi amaran jika ia mengesan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk.

    Dengan semua kelengkapan terkini diterapkan, Golf 1.4 TSI Highline dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM159,888. Varian Comfortline dengan hanya kelengkapan asas (lampu hadapan dibekalkan dengan hanya lampu halogen) pula dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM149,888. Walaubagaimana pun, kedua-dua varian ini sebenarnya dijual pada harga yang lebih mampu milik berbanding Golf TSI terdahulu yang dijual pada harga RM163,888.

     
     
  • DBKL tarik 1,136 kenderaan buruk pada tahun 2015

    kedai-potong

    Sepanjang tahun 2015 lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menarik 1,136 kenderaan buruk yang ditinggalkan pemilik di kawasan parkir sekitar ibu kota.

    Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad jumlah itu meningkat berbanding 634 kenderaan pada tahun 2014 dan 415 pada 2013, laporan Bernama.

    Di mana sepanjang tempoh Januari dan Februari tahun ini sahaja, sebanyak 288 kenderaan buruk yang ditinggalkan berjaya dialihkan menerusi tinjauan harian dan operasi selepas menerima 196 aduan daripada orang ramai.

    Mohd Sauffi berkata kenderaan buruk yang ditinggalkan menjejaskan imej kawasan persekitaran selain mengundang kepada pembiakan nyamuk.

    Beliau berkata kebanyakan kawasan yang dikesan mempunyai kenderaan buruk terbiar ialah di kawasan perumahan awam dan pangsapuri sekitar Kepong dan Bukit Bintang. Di mana setiap aduan kenderaan buruk akan diambil tindakan awal dengan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk mengalihkan kenderaan mereka.

    “Sekiranya mempunyai pendaftaran nombor plat, kami akan mencari pemilik kenderaan itu dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia dan memberikan notis untuk mengalihkannya,” katanya.

    Katanya lagi, jika pemilik gagal mematuhi arahan notis itu, kenderaan mereka akan dihantar ke depoh simpanan DBKL Salak Selatan sebelum surat makluman diberi kepada pemilik untuk membuat tuntutan dalam tempoh sebulan. Malah pemilik kenderaan akan dikenakan caj tuntutan iaitu kos alihan oleh DBKL sebanyak RM100 dan kos penyimpanan di depoh sebanyak RM10 sehari.

    “Jika tiada tuntutan dalam masa sebulan selepas surat makluman dikeluarkan, maka kenderaan tersebut akan dilupuskan. Bagi rangka kenderaan dan kenderaan tanpa enjin yang tiada nombor plat, tindakan pelupusan dilakukan serta merta,” katanya.

     
     
  • W205 Mercedes-Benz C180 Avantgarde (RM229k) dan C300 AMG Line (RM308k) diperkenalkan di Malaysia

    Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan dua model pemasangan tempatan (CKD) bagi varian W205 C-Class iaitu Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line dan Mercedes-Benz C 300 AMG Line. Kedua-duanya akan menyertai barisan model sedia ada iaitu C 200 Avantgarde Line, C 200 Exclusive Line dan C 250 AMG Line.

    C 180 Avantgarde Line mengambil alih C 200 sebagai varian asas baharu yang dijual pada harga atas jalan RM228,888 (tanpa insurans), menyaksikan penurunan harga sehingga RM20k. Manakala C 300 AMG Line baharu pula menduduki posisi selepas C 250 AMG Line, dan ditawarkan pada harga RM307,888, dalam lingkungan RM20k lebih tinggi berbanding model terdahulu.

    Bermula dengan varian asas baharu, C 180 menampilkan enjin 1.6 liter empat-silinder pengecas turbo dengan kuasa sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan tork 250 Nm antara 1,200 dan 4,000 rpm, sama seperti A 200, tetapi ia digandingkan dengan 7G-Tronic auto (bukan 7G-DCT). Ia membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.5 saat sahaja, sedikit perlahan berbanding C 200 dengan 2.0 liter turbo (184 hp/300 Nm), yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat.

    Model baharu ini mempunyai persamaan dengan C 200 Avantgarde, di mana kedua-duanya menggunakan kit luaran yang sama. Ia menampilkan gril radiator dua-bar dengan Three-Pointed Star di tengah dan lampu utama LED Prestasi Tinggi, serta dua corong ekzos di belakang. Tetapi C 180 digandingkan dengan set roda yang lebih kecil iaitu roda aloi lima-jejari 17-inci (seperti foto di atas) berbanding 18-inci pada model C 200.

    Di dalamnya, rekaan Avantgarde Line cukup menonjol dan juga mempunyai persamaan antara C 180 dan C 200 Avantgarde. Walau bagaimana pun, jika dilihat pada risalah spesifikasi, ia hanya menampilkan zon-tunggal penghawa dingin dan tempat duduk hadapan tidak disertakan dengan fungsi memori. Dan pencahayaan ambien serta kamera undur tidak ditampilkan pada C 180 ini.

    Selain itu, ia kelihatan standard, sama seperti C 200 Avantgarde. Kekemasan asas hitam berkilat dibentangi pada bahagian tengah bersama kulit upholstery Artico, sistem hiburan Audio 20 CD (pra-pemasangan GPS Garmin Map) dengan skrin paparan tujuh-inci dan Mercedes-Benz Touchpad pada konsol tengah. Tiada kemasukan tanpa kunci (hanya penghidup enjin tanpa kunci), seperti model C 200.

    Manakala Mercedes-Benz C 300 AMG Line baharu ini lebih spesifik menyamai model C 250 AMG Line, tetapi dengan enjin bertalaan-tinggi, rim aloi lebih besar 19-inci, sistem ekzos sport dan sistem kawalan suhu automatik dengan tiga zon suhu. Ini menyebabkan ia lebih mahal sebanyak RM20k berbanding C 250.

    Ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork 370 Nm antara 1,300 dan 4,000 rpm iaitu lebih 34 hp dan 20 Nm berbanding C 250 (211 hp/350 Nm). Jika C 250 boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.6 saat, C 300 pula hanya 5.9 saat, tetapi memiliki kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

    Kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi penukaran tork automatik 7G-Tronic tujuh-kelajuan, dan ia turut menerapkan bahagian luaran AMG Line termasuk dipadankan dengan suspensi sport, dengan jarak yang lebih rendah sebanyak 15 mm. Malah C 300 juga dilengkapi dengan sistem ekzos sport kawalan elektronik yang mampu menghasilkan bunyi ekzos yang lebih agresif hasil pelarasan injap pada alur paip dengan memilih mod Sport+ pada fungsi Dynamic Select.

    Selain dari logo rekaan khas, perbezaan lain antara C 300 dan C 250 ialah saiz rodanya. C 300 baharu dilengkapi dengan roda AMG pelbagai-jejari 19-inci, sementara C 250 pula lima-jejari 18-inci. Namun kedua-duanya memiliki persamaan identiti termasuk kit luaran AMG Line – bampar yang lebih sporty, skirt sisi dan cakera brek hadapan berliang.

    Lebih kurang sama seperti C 250, C 300 ini juga dipadankan dengan gril radiator dua-bar dengan Three-Pointed Star di tengah dan lampu utama LED Sistem Pencahayaan Pintar dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif. Model ini juga dipadankan dengan bumbung matahari.

    Bahagian dalaman C 300 AMG Line juga tidak banyak berbeza dengan C 250, ia dilengkapi dengan tempat duduk sport AMG Line, roda stereng leper di bawah dan papan pemuka dengan balutan kulit Artico. Malah kekemasan kayuan berwarna hitam juga menjadi hiasan pada bahagian tengan papan pemuka, serta turut menampilkan jam analog. Corong penghawa dingin juga dilingkari kekemasan krom dengan identiti AMG Line.

    Selain itu, ia turut menampilkan sistem hiburan COMAND Online (dengan navigasi), skrin paparan 8.4-inci dan touchpad pada konsol tengah. Malah ia didatangkan dengan 13-speaker, sistem bunyi sekeliling Burmester 590-watt sebagai standard. C 300 turut dilengkapi dengam Bantuan Parkir Aktif (sama seperti C 180), kamera undur, kemasukan tanpa kunci, kawalan penutup bonet belakang dan pakej wangian Air-Balance.

    Imbas kembali harga atas jalan (tanpa insurans) bagi model pemasangan tempatan varian W205 Mercedes-Benz C-Class di Malaysia adalah seperti berikut :

    Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line – RM228,888
    Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line – RM248,888
    Mercedes-Benz C 200 Exclusive Line – RM252,888
    Mercedes-Benz C 250 AMG Line – RM287,888
    Mercedes-Benz C 300 AMG Line – RM307,888

    GALERI: Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line

    GALLERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line

     
     
  • Bermaz taja Mazda 3 SkyActiv untuk Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016, uji kemahiran anak muda

    2016-bermaz-asean-skills-competition-006_BM

    Bermaz Motor mengumumkan akan menaja sebanyak enam buah Mazda 3 untuk acara Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Acara yang mengangkat pembangunan pelbagai kemahiran anak muda dalam pelbagai bidang dari teknologi automobil sehingga rekaan lawan web tersebut, bakal berlangsung di Kuala Lumpur bermula 19 hingga 29 September tahun ini.

    Pengedar sah Mazda di Malaysia tersebut akan menyediakan empat Mazda 3 generasi kedua kepada penganjur acara (gambar di atas) yang bakal digunakan sebagai kenderaan promosi untuk memberi pencerahan kepada masyarakat seluruh negara berkenaan pertandingan ini.

    Untuk kegunaan di dalam pertandingan itu sendiri, Bermaz akan menyediakan dua unit Mazda 3 SkyActiv generasi terbaharu kepada penganjur acara. Kereta-kereta ini bakal digunakan untuk menguji kemahiran dan kebolehan para peserta peringkat akhir dalam sektor Teknologi Automobil.

    2016-bermaz-mazda-ben-yeoh-002_BM

    Sembilan orang finalis bakal beraksi mewakili Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Mereka akan diuji dalam lima lapangan kemahiran berbeza iaitu sistem pengurusan enjin, transmisi, casis (stereng, suspensi dan brek), rombak rawat enjin, dan juga sistem elektrikal badan kenderaan. Finalis akan diuji selama tiga hari, dengan mengambil masa keseluruhan tiga jam dalam setiap lapangan kemahiran.

    “Industri kini perlu untuk melihat kearah program pembangunan, bukan sahaja untuk keperluan mereka sendiri, tetapi keperluan kepada industri, khususnya dalam pembangunan modal insan,’ kata Datuk Ben Yeoh, Ketua Pegawai Esekutif Bermaz.

    “Kami mempunyai objektif industri, tetapi untuk mencapainya, kami memerlukan modal insan yang berkemahiran tinggi dan kuat. Saya harap kerajaan akan terus memberikan penekanan dalam perkara ini.” tambah beliau, sebagai berkata berkenaan kepentingan program seperti Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016.

     
     
  • Persimpangan bertingkat Kajang Utama mula dibuka

    12801198_1089635737742608_1894904237102439337_n

    Persimpangan bertingkat Kajang Utama di Lebuh Raya Kajang SILK telah pun dibuka mulai semalam, ia bakal memberi manfaat kepada 25,000 pengguna untuk menikmati aliran trafik yang lebih lancar, laporan Bernama. Projek pembinaan yang berlangsung selama 24 bulan ini telah siap pada akhir Januari lalu menelan belanja sebanyak RM22.4 juta.

    Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya, persimpangan bertingkat ini adalah di atas permintaan penduduk di sekitar kawasan Kajang Utama yang sebelum ini terpaksa melalui persimpangan Jalan Reko, Lebuhraya SILK untuk ke Bandar Kajang atau ke arah Semenyih dan Sungai Long. Manakala perjalanan dari Bandar Kajang ke Taman Kajang Utama perlu melalui pusingan-U di Lebuhrya SILK. Di mana penduduk terpaksa menempuhi perjalanan yang lebih jauh dan berhadapan dengan kesesakan di sekitar Persimpangan Reko khususnya pada waktu puncak.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, persimpangan bertingkat berkenaan mula dibuka kepada lalu lintas jam 10 malam tadi dan akan mengurangkan kesesakan jalan raya di Persimpangan Jalan Reko, selain menjimatkan petrol dan masa pengguna.

    “Dalam keadaan trafik yang lancar, tempoh perjalanan untuk ke Kajang Utama dari arah Kajang dan Putrajaya dijimatkan sehingga lima minit dengan pengurangan jarak perjalanan sebanyak 4 kilometer.

    “Perjalanan dari Kajang Utama ke arah Semenyih dan Sungai Long, juga dapat dijimatkan tempoh perjalanan sehingga 8 minit,” katanya sewaktu majlis perasmian pembukaan persimpangan bertingkat berkenaan.

    Selain itu, pembukaan persimpangan bertingkat Kajang Utama itu akan membawa kesan positif kepada pembangunan baharu iaitu Bandar Kajang 2 serta memberi keselesaan kepada penduduk beberapa taman perumahan berhampiran iaitu Taman Kajang Sentral, Taman Kajang Utama dan Taman Seri Mewah.

     
     
  • Honda Malaysia bakal lancar dua model CKD baharu pada 2016 – adakah Civic baharu dan Accord facelift?

    Honda-new-models-2016

    Honda Malaysia telah mengumumkan bakal memperkenalkan dua model CKD (pemasangan tempatan) baharu untuk dipasarkan pada tahun ini. Tidak perlu untuk bermain teka-teki, kerana dua model tersebut sudah pastinya Honda Civic 2016 serba baharu dan Accord facelift.

    Salah satu daripadanya adalah model gantian bagi sedia ada (iaitu Civic baharu), sementara satu lagi ialah Minor Model Change (MMC), yang memberikan gambaran lebih jelas merupakan Accord facelift. “Kita akan terus menawarkan elemen yang terkini, menarik dan mempunyai nilai mata wang untuk model-model ini,” ujar CEO Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

    Malah Honda Malaysia turut melakar kejayaan cemerlang. Dengan jualan keseluruhan sebanyak 94,902 unit pada 2015, telah meletakkan ia sebagai jenama bukan-nasional di kedudukan teratas dengan perkongsian pasaran sebanyak 14.2%. Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 22%, dan pernah mencatatkan rekod jualan bulanan tertinggi iaitu pada Disember 2015 dengan jumlah 10,741 unit.

    Honda-sales-2015

    Untuk tahun 2016 ini, Honda Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 90,000 unit, dengan margin yang sedikit rendah berbanding 2015. Walau bagaimana pun, dijangka Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) Malaysia juga menurun sebanyak 5%, menjadi 630,000 unit.

    Bagi mengekalkan momentum ini, Honda Malaysia akan mengembangkan lagi rangkaian cawangan jualan dari 87 ke 95 pada tahun ini, serta menambahkan lagi Pusat Membaikpulih dan Mengecat Badan dari 14 ke 20, di seluruh negara.

    GALERI: Honda Civic 2016 (spesifikasi US)

    GALERI: 2016 Honda Accord facelift 2016 (spesfikasi Thai)

     
     
  • Honda Jazz-berbadan SUV a.k.a ‘WR-V’ diuji di Brazil

    Honda-WR-V-Brazil

    SUV kompak Honda berasaskan model Jazz dilihat sedang diuji di Brazil. Dengan menggunakan nama kod ‘Honda 2FM’ dan memilih nama produksi ‘Honda WR-V’, menurut QuatroRodas. Tidak seperti Honda HR-V, yang menggunakan platform Jazz dan City, ‘SUV’ yang akan datang ini tidak akan begitu banyak berbeza daripada model hatchback lima-pintu segmen-B.

    Dijangka ia tampil dengan gaya yang lebih rugged termasuk dengan adanya rel bumbung, skid plate dan juga lapisan hitam pada bahagian bawah kereta terbabit. Ia bukanlah konsep baharu, agak sama dengan Fit Twist iaitu Jazz generasi sebelum ini yang diperkenalkan di Brazil pada tahun 2012, tetapi dalam versi ‘SUV’.

    Menurut sumber, Honda WR-V ini akan melakukan penampilan perdana di Sao Paulo Motor Show hujung tahun ini sebelum ke India pada tahun 2017. Memandangkan HR-V tidak dijual di India, jadi WR-V yang diposisikan di bawah Honda BR-V tujuh-tempat duduk di negara tersebut. Di Brazil, Jazz yang bergaya ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter i-VTEC dengan pilihan transmisi manual dan CVT, tetapi India juga menerima enjin diesel 1.5 liter i-DTEC.


    GALERI: Brazil-market Honda Fit Twist pasaran Brazil

     
     
  • Malaysia bakal laksana sistem M-Bike di Tambak Johor, Laluan Kedua bagi atasi kesesakan di imigresen

    johor causeway jam bernama pix

    Bagi perjalanan yang lebih lancar buat semua penunggang motosikal, Malaysia bakal melaksanakan pemeriksaan imigresen automatik bagi motosikal atau M-Bike di Tambak Johor dan Laluan Kedua. Penyediaan kemudahan dan infrastruktur M-Bike akan menyaksikan sebanyak 100 lorong di Bangunan Sultan Iskandar dan 50 lorong di Kompleks Sultan Abu Bakar, laporan Bernama.

    Kemudahan ini adalah sama sama seperti digunakan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura dikenali sebagai Bikes II yang membolehkan penunggang motosikal melepasi pemeriksaan imigresen secara automatik dengan mengimbas cap jari dan pasport pada mesin.

    Bikes II akan mempunyai sejumlah 164 kaunter di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas menjelang akhir tahun ini. Kemudahan perjalanan itu telah dibincangkan pada Mesyuarat ke-12 Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) yang berlangsung semalam.

    Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Malaysia Datuk Seri Abdul Wahid Omar. Turut hadir ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pembangunan Negara Singapura Lawrence Wong, dan beberapa pegawai kanan dari kedua-dua negara.

     
     
  • Mazda CX-4 dikesan sedang diuji di China

    mazda-cx4-china-this-4-660x366

    Mazda CX-4 telah terang-terangan menunjukkan dirinya tanpa diselimuti penyamaran, sewaktu ditemui sedang diuji di China. Ia dijangka bakal melakukan penampilan perdana di Auto China 2016 di Beijing tidak lama lagi. Menerusi foto dari portal CarNewsChina ini, memberikan sedikit gambaran yang lebih jelas mengenai “CX-5 coupé” ini.

    Walau pun ia tidak seperti model konsep Koeru, namun ia kelihatan seperti lebih kepada model produksi dengan kekemasan dan pencahayaan, roda yang lebih kecil dan cermin sisi yang besar. Ia kelihatannya mempunyai sedikit persamaan dengan Mazda 3 hatchback, walau pun masih tidaklah begitu ketara.

    Dengan bonet yang panjang, permukaan yang lebih bersudut dan cermin hadapan yang menonjol, turut membuatkan CX-4 ini kelihatan agak sama dengan model hatch tersebut. Namun perbezaan yang kelihatan pula termasuklah bar krom yang lebih tebal dengan kedudukan plat nombor, serta tiang-A yang membaluti cermin hadapan.

    Di bahagian dalamnya, papan pemukannya mirip dengan Mazda 3 dan Mazda 6 facelift, menampilkan paparan MZD Connect, roda stereng tiga-jejari, kluster instrumen tiga-pod, dan tombol Commander Control untuk sistem hiburan. Malah ia turut menampilkan brek parkir elektronik, yang pertama kalinya diperkenalkan pada Mazda 6 dan CX-5 facelift.

    Pilihan enjin kelihatan sama seperti CX-5, termasuk 2.0 liter 155 hp/200 Nm dan 2.5 liter suntikan-terus SkyActiv-G 184 hp/250 Nm (sama dengan apa yang kita dapat di sini) dan 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel 148 hp/350 Nm. Seperti biasa, ia juga dipadankan dengan transmisi manual SkyActiv-MT enam-kelajuan atau SkyActiv-Drive automatik, sama ada dengan pilihan pacuan dua- atau empat-roda.

    GALERI: Mazda Koeru Concept di Frankfurt 2015

     
     
  • Laluan sehala di Seksyen 1, PJ Old Town mulai 16 Mac

    MBPJ-one-way-Seksyen-1-01

    Bagi memperbaiki aliran trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya menjelang waktu puncak di kawasan komersial dan perumahan di sekitar Seksyen 1 PJ Old Town, beberapa perubahan trafik bakal dilaksanakan mulai 16 Mac ini, laporan The Sun Daily. Menurut wakilrakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakarn, notis pemberitahuan menerusi papan tanda dan banner telah diletakkan di empat lokasi mulai awal bulan ini untuk memberitahu orang ramai mengenai perubahan trafik ini.

    Perubahan tersebut akan melibatkan Jalan 1/10 dan 1/19 akan ditukar menjadi jalan sehala (berhampiran kedai kopi Heng Kee Bak Kut Teh dan Soon Lee). Pengguna jalan rayayang ingin ke Jalan 1/14 perlu memasuki simpang pertama di Jalan 1/14, kerana tidak boleh melalui simpang kedua.

    Sementara itu, Jalan Dispensary (Jalan 2/28) dan Jalan 1/18 juga akan menjadi jalan sehala. Pengguna jalan raya dari Jalan 1/12 yang ingin ke Jalan Othman perlu memasuki simpang selepas Restoran C&S atau selepas Medan Selera Jati.

    Rajiv turut berkata, pembahagi jalan juga akan diletakkan di Jalan Pasar 1/21 untuk mengelakkan orang ramai dari meletakkan kenderaan secara berlapis (double-parking) di bahu jalan dan bagi menghalang pemandu daripada terus membelok ke Jalan 2/38. Malah pusingan-U akan dibina di lampu isyarat Jalan Othman untuk mengurangkan kesesakan. Walau bagaimana pun, kedua-dua perkara tersebut masih belum dimuktamadkan kerana sedang menanti keputusan daripada majlis bandaraya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa agar orang ramai tidak membuat sebarang andaian mengenai implementasi ini kerana memahami semua perubahan dan polisi akan mengambil sedikit masa untuk diterima oleh semua.

     
     
  • Ford Focus baharu dilancarkan- dari RM119k, varian Trend, Sport+ hatch dan Titanium+ sedan

    2016-Ford-Focus-facelift-launch-1

    Hari ini Ford dan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah melancarkan Focus baharu. Ditawarkan pada harga atas jalan (tidak termasuk insurans) bagi Focus Trend (5-pintu) RM118,888 (Semenanjung Malaysia) dan RM123,388 (Malaysia Timur). Manakala Focus Titanium+ (4-pintu) dan Sport+ (5-pintu) pula berharga RM139,888 (Semenanjung Malaysia) dan RM144,588 (Malaysia Timur).

    Dikatakan sebagai kereta kompak paling berkuasa di Malaysia, Focus baharu ini turut dijanakan oleh enjin petrol EcoBoost 1.5 liter empat-silinder. Ia juga menggunakan teknologi utama EcoBoost iaitu pengecas turbo, pancitan bahan api terus bertekanan tinggi dan pemasaan injap boleh ubah bebas berkembar (Twin-independent Variable Cam Timing) demi menawarkan prestasi yang optimum.

    Dengan enjin ini, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 PS dan tork 240 Nm. Penghantaran kuasa ini dibantu oleh transmisi automatik enam-kelajuan SelectShift baharu yang ringan dan efisien. Sementara pedal penukar gear yang diletakkan di bahagian belakang stereng memberikan pemanduan sporty yang sebenar.

    C346-Focus-FL-Hatch-MY-1

    Focus baharu turut membawakan DNA dinamik pemanduan dan keseronokan ke satu tahap baru dengan pengendalian yang telah dipertingkatkan hasil suspensi dan penyerap hentak yang ditala dengan lebih khusus untuk membuatkan kereta ini berasa lebih mantap serta responsif.

    Sistem Electric Power Assisted Steering (EPAS) yang lebih tepat turut meningkatkan pengalaman pemanduan. Ia juga mengurangkan rasa redaman yang tidak perlu dan menawarkan maklum balas terbaik kepada pemandu.

    Dilengkapi sehingga enam beg udara, Focus baharu memberikan pemandu lebih keyakinan bersama pelbagai teknologi bantuan pemandu seperti Enhanced Transitional Stability. Teknologi itu mampu menjangkakan gelinciran dan bertindak lebih awal untuk mengelak daripada kemungkinan berlakunya masalah hilang kawalan dan meningkatkan ciri Active City Stop.

    C346 Focus FL Sedan MY-9

    Focus juga menjadi satu-satunya model kompak yang menampilkan sistem Active Park Assist yang telah dipertingkatkan dan Blind Spot Information System (BLIS) dengan Cross Traffic Alert.

    Bagi membolehkan pemandu menggalakkan tabiat pemanduan selamat, Focus baharu ini turut dilengkapi dengan ciri Ford MyKey. Di mana para pemilik Focus baharu boleh memprogramkan kunci simpanan untuk mengurangkan kelajuan maksimum, mendapat amaran awal tentang takat bahan api, mengehadkan suara sistem hiburan di dalam kereta atau mematikannya terus jika tali pinggang keledar tidak dipakai. Teknologi ini boleh memberi lebih jaminan kepada pemilik apabila meminjamkannya kepada pemandu yang kurang berpengalaman.

    Tampil dengan imej yang lebih bergaya dan sofistikated, model facelift ini menerima lampu utama baharu yang lebih nipis, bonet yang dipertingkatkan dan juga bampar baharu. Malah gril pemisah hadapan juga telah disambungkan dengan gril trapezoidal honeycomb, menyerlahkan lagi imejnya. Selain itu, lampu kabus segi empat tepat juga ditampilkan, bagi menggantikan yang lama iaitu berbentuk bulat.

    Pada bahagian belakang pula, kesemua varian turut dilengkapi dengan lampu aharu dengan profil yang lebih nipis dan bamparnya juga telah diprofil semula. Ia turut menampilkan lampu kabus dan reflektor yang lebih besar.

    Menjengah bahagian kabinnya, ternyata ia lebih ringkas dan intuitif. Ini membolehkan pemandu mengawal ciri-ciri kenderaan dengan mudah. Ini termasuklah konsol ubah suai boleh menempatkan pelbagai bentuk botol minuman dan cawan. Ruang itu juga boleh menempatkan botol minuman berkapasiti satu liter dan cawan 400ml.

    Focus baharu menawarkan tahap kualiti kesenyapan kabin yang mengagumkan. Ini adalah hasil penggunakan material penyerap bunyi seperti kaca cermin utama, kaca tingkap dan karpet lebih tebal, peningkatan penebat pada kemasan pintu dan enjin agar lebih senyap.

    “Focus baharu telah mengalami evolusi pada hampir semua segi termasuk reka bentuk, teknologi pintar, dinamik pemanduan, rangkaian kuasa dan kehalusan buatannya. Kami yakin semua ini akan menguatkan lagi tarikannya kepada pelanggan di Malaysia,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

    Ia hadir dalam enam warna menarik iaitu Frozen White, Panther Black, Ingot Silver, Candy Red, Magnetic dan Winning Blue. Selain dari itu, semua pemilik kenderaan Ford juga kini boleh menikmati rebat tunai sebanyak RM3,000 apabila mereka membeli Ford Focus baharu mulai hari ini hingga 30 April 2016.

    GALERI: C346 Ford Focus Mk3 facelift, Sport+ hatchback

    GALERI: Ford Focus Mk3 facelift, Titanium+ sedan

     
     
  • VIDEO: BMW Vision Next 100, idea dan teknologi

    BMW telah menyiarkan video Konsep BMW Vision Next 100, yang ditampilkan pada sambutan bersejarah 100 tahun BMW di Munich tempoh hari. Kereta dengan rekaan yang radikal tersebut menampilkan idea yang tidak terfikir sebelum ini, pada kedua-dua mod iaitu mod dengan pemandu dan mod dipandu secara automatik. Ia begitu asing dengan konsep ‘Ultimate Driving Machine‘ BMW sebelum ini yang menitik beratkan kepuasan memandu pada setiap kereta binaan mereka.

    Video yang disiarkan tersebut memudahkan penerangan konsep dan falsafah disebalik pembinaan kereta berkenaan bermula dari proses rekaan hingga teknologi yang ditampilkan padanya, di mana BMW memandang jauh untuk 100 tahun berikut.

    Vision Next 100 didominasi motif grafik berbentuk segi-tiga yang digelar ‘Alive Geometry‘ oleh BMW. 800 panel motif grafik tersebut dilengkapkan pada bahagian luaran dan dalaman Vision Next 100, yang membolehkan ia bergerak dan membentuk rupa berbeza untuk menghasilkan pelbagai fungsi berbeza seperti ruang roda yang bergerak seiring putaran stereng dan arah roda dan juga untuk memberikan amaran kepada pemandu berkenaan bahaya yang bakal dihadapi di hadapan seperti kereta dari arah bertentangan dan juga pejalan kaki yang mahu melintas jalan.

    Kereta tersebut dikendalikan dalam dua mod berbeza iaitu mod Boost jika anda ingin memandu sendiri Vision Next 100, atau Ease yang membolehkan kereta tersebut bergerak tanpa pemandu. Dalam mod Boost, kedudukan tempat duduk pemandu berubah, konsol tengah dihadapkan lebih kepada pemandu. Paparan ‘head-up‘ (HUD) BMW menggunakan sepenuhnya cermin hadapan memberikan informasi seperti garisan pemanduan yang ideal, poin kedudukan stereng dan juga kelajuan. Bahaya pada jalan raya di dalam cuaca yang buruk juga turut dipaparkan berikutan kadar penglihatan yang terhad.

    Suasana bahagian dalaman ketika mod Ease adalah berbeza. Roda stereng dan konsol tengah dijauhkan, tempat duduk dilaras pada sudut tertentu bagi membolehkan penumpang berhadapan muka antara satu sama lain dengan mudah. Paparan HUD pada cermin hadapan juga berubah fungsi menjadi paparan sistem infotaimen.

     
     
  • Isuzu MU-X facelift di Thailand – terima enjin 1.9L Ddi Blue Power turbodiesel dan elemen dalaman baharu

    2016-Isuzu-MU-X-01

    Pada November lalu, Isuzu D-Max facelift telah pun diluncurkan di pasaran Thai, di mana ia telah dipertingkatkan termasuk bahagian hadapannya dan kabinnya juga ditampilkan dengan pelbagai elemen baharu. Malah ia juga dijanakan oleh enjin baharu 1.9 liter Ddi Blue Power turbodiesel. Kini, tibalah pula giliran Isuzu MUX dengan penambahbaikan yang lebih segar.

    MU-X facelift ini juga digandingkan dengan enjin 1.9 liter Ddi, yang menawarkan kuasa sehingga 150 PS pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm pada 1,800 hingga 2,600 rpm. Ia turut dipadankan dengan dua transmisi iaitu manual enam-kelajuan atau automatik Rev Tronic enam-kelajuan.

    Unit 1.9 liter ini menggantikan enjin 4JK1-TCX 2.5 liter pada Isuzu D-Max/MU-X. Isuzu berkata penggantian pada enjin yang lebih kecil ini tidak menjejaskan prestasinya. Sebaliknya enjin baharu ini 16 hp lebih berkuasa dan 30 Nm lebih kuasa tork serta 20% lebih ringan.

    Bagi versi 3.0 liter, tiada perubahan, ia masih mampu menyalurkan kuasa 177 PS pada 3,600 rpm dan tork 380 Nm pada 1,800 hingga 2,800 rpm. Hanya satu transmisi sahaja yang ditawarkan iaitu automatik Rev Tronic enam-kelajuan.

    Terdapat enam varian MU-X ditawarkan di Thailand, dengan lima daripadanya versi dua-roda, dan barisannya bermula dari 1.9 CD 6AT 2WD dan 1.9 DVD 6MT 2WD, manakala paling tinggi ialah 3.0 DA DVD 6AT 4WD.

    Banyak perubahan dilakukan pada bahagian kabinnya rermasuk penambahan material lapisan tambahan bagi mengurangkan tahap bising dalaman kabin. Bagi kekemasan, pembeli boleh memilih dekorasi kayuan Nature Touch atau hitam berkilat, termasuk beige ivory atau kulit upholstery hitam, mengikat spesifikasi permintaan.

    Senarai elemen yang ditampilkan termasuk kawalan kelajuan, cermin pandang belakang anti silau dengan perakam video, kamera undur, dan sistem audio skrin sesentuh lapan-inci (penumpang belakang menerima skrin 10.2-inci).

    Kit keselamatan standard pula adalah untuk semua varian, termasuk ABS dengan EBD dan bantuan brek, ESC dan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki dan dua beg udara. Untuk pasaran di Thai, terdapat empat warna pilihan ditawarkan dengan Grey Iceberg Silver sebagai warna baharu yang diperkenalkan.

    Isuzu MU-X 2016 dijangka akan dipertontonkan di Bangkok International Motor Show 2016 tak lama lagi.

     
     
  • SUV segmen-C Haval H2, padat dengan pelbagai ciri terkini bakal dilancar di Malaysia suku kedua tahun ini

    Haval-H2-1_BM

    Pada NST-MAI ASEAN Auto Show tahun lalu, jenama dari China, Great Wall Motors (sekarang dikenali sebagai Haval Motors) membuat prebiu model Haval H2. Kini, ia disahkan akan masuk ke pasaran Malaysia sekitar suku kedua tahun ini dan bakal bersaing dengan SUV segmen-C yang lain seperti Hyundai Tucson, Kia Sportage, Honda CR-V dan juga Mazda CX-5.

    Berdasarkan kertas spesifikasi yang dipamerkan pada prebiu tersebut, H2 hadir dengan dua opsyen iaitu model 2WD dan juga 4WD. Tiga varian disenaraikan iaitu City, Luxury dan Dignity, tetapi tiada lagi kata putus varian yang mana bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

    H2 ini bakal dijana enjin petrol 1.5 liter turbo dual-VVT 4G15B yang mampu menghasilkan 147 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 210 Nm bermula 2,200 hingga 4,500 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Peralatan yang dilengkapi pada H2 ini agak menarik. Lampu hadapan halogen automatik dengan fungsi “follow-me-home” dipadankan bersama lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada bahagian apron hadapan. Pakej estetika juga termasuk roda aloi 18-inci bersama cat badan dengan dua tona.

    Pada bahagian dalaman, tempat duduk bahagian pemandu diberikan fungsi larasan enam-arah berkuasa bersama sokongan lumbar. Kesemua tempat duduk dan juga roda stereng menerima balutan kulit. Ciri mewah lain pada SUV ini termasuklah sistem kunci pintar, paparan pelbagai informasi TFT berwarna 3.5-inci, unit infotaimen dengan skrin sesentuh, penghawa dingin automatik dua zon dan juga kamera undur/sistem radar.

    Untuk bahagian keselamatan, Haval H2 menawarkan enam beg udara, (dua di hadapan, sisi, dan langsir), bersama kawalan stabiliti elektronik (ESC) serta sistem ABS bersama EBD dan bantuan brek. Sistem pantauan tekanan angin tayar (TPMS) juga turut dilengkapi pada SUV ini. Setakat ini, harga dan spesifikasi akhir untuk Haval H2 masih lagi belum didedahkan.

     
     
  • Rolls-Royce Phantom edisi istimewa bakal diperkenalkan tahun ini – model generasi ke-8 mendahului sebelum ketibaan SUV pada 2018

    2013-rolls-royce-phantom-drophead-coupe

    Rolls-Royce Drophead Coupe

    Beberapa hari lalu, perkhabaran mengenai Rolls-Royce Phantom generasi ketujuh akan dihentikan pengeluarannya telah diumumkan oleh CEO Roll-Royce kepada ArabGT.com. Di mana ia juga akan memproduksi dua model baharu edisi istimewa sebagai mengucapkan selamat tinggal pada Phantom Coupe dan Drophead Coupe.

    Kedua-duanya akan ‘berehat selamanya’ menjelang November ini, di mana CEO Roll-Royce Torsten Mueller-Oetvoes telah mengesahkan Phanton generasi ke-lapan hanya akan ditawarkan dalam bentuk sedan. Manakala dua edisi istimewa pula akan diletakkan dalam Phantom Zenith Collection, yang hanya diperoduksi sebanyak 50 unit sahaja.

    Malah beliau turut mengesahkan, Phantom generasi ke-lapan itu akan tiba pada tahun ini, yang akan dibina dengan senibina aluminium baharu. Manakala Rolls-Royce Cullinan SUV/crossover pula sah bakal diperkenalkan selepas Phantom baharu, dijangka pada 2018.

    Roll-Royce juga akan memperkenalkan model konsep yang pertama tahun ini yang dikenali sebagai Rolls-Royce Grand Sanctuary.

     
     
  • Promosi Mac Honda – rebat tunai, penyelenggaraan percuma selama dua tahun serta lain-lain hadiah

    Honda-March-Promo_BM

    Peneraju kategori bukan jenama nasional di Malaysia – Honda, kini sedang menjalankan promosi jualan bulan Mac ini. Promosi yang akan berakhir hujung bulan March tersebut menawarkan rebat tunai untuk semua model keluaran Honda termasuk SUV ‘terlajak laris’ Honda HR-V disamping pakej servis percuma selama dua tahun yang merangkumi alat ganti dan kos buruh. Bagi model terpilih, Honda Malaysia bukan sekadar memberikan rebat tunai dan pakej servis percuma, ia juga bakal diberikan beberapa hadiah yang lain menerusi promosi ini.

    Rebat paling besar diberikan adalah untuk model Civic, dimana setiap varian (1.8L, 2.0L, 2.0L Navi) Civic akan diberikan rebat tunai RM6,800 diikuti model Accord (RM3,700 untuk 2.4L, RM2,800 untuk 2.0 VTi dan VTi-L). Kesemua tiga varian CR-V (2.0 2WD, 2.0 4WD, dan 2.4 4WD) akan menerima rebat tunai RM1,500, begitu juga dengan MPV diimport sepenuhnya dari Jepun iaitu Honda Oddysey.

    Model-model yang laris dalam pasaran turut diberikan rebat tunai, dimana setiap pembelian City akan diberikan rebat RM1,300, Jazz akan diberikan rebat RM1,500, manakala SUV kegilaan ramai Honda HR-V diberikan rebat RM1,000.

    Klik untuk besarkan

    Bukan sekadar rebat, kesemua model kecuali HR-V turut diberikan pakej servis percuma yang merangkumi alat ganti dan juga kos buruh. Nilai untuk pakej ini bermula dari RM1,149 hingga RM1,512 bergantung pada model. Pembeli juga tidak semestinya bersetuju dengan pemberian pakej servis percuma ini kerana pihak Honda Malaysia turut memberikan pilihan sama ada terus dengan pakej servis percuma atau pembeli boleh menerima wang tunai yang sama nilai dengan pakej servis tersebut.

    Untuk model Jazz, hadiah tambahan bakal diberikan iaitu pakej filem penapis haba yang sah dari Honda – “Ray Barrier 4” – yang bernilai RM1,500. Hadiah ini tidak boleh ditukar kepada tunai. Kesemua pembeli juga bakal diberikan “Tool Set” Ikea dengan setiap pembelian kereta, sah sehingga kehabisan stok.

     
     
  • Toyota Fortuner TRD Sportivo dilancarkan di Thailand

    fortuner-trd-21_BM

    Toyota Fortuner TRD Sportivo telah pun diperkenalkan di Thailand. Lencana TRD Sportivo yang dilekatkan pada badan kereta ini bukan bermaksud hanya sekadar kit badan istimewa TRD, ia lebih daripada itu.

    Pada bahagian luaran, dapat disaksikan beberapa perubahan termasuk bampar hadapan dan belakang yang telah direka semula dimana kedua-dua lips diwarnakan sama dengan warna badan, gril bersalut krom gelap, bumbung disalut filem berwarna hitam mati (8,000 baht tambahan untuk kereta berwarna Putih Mutiara, hitam hanya untuk warna luaran lain), hiasan nombor pendaftaran belakang berwarna krom gelap, lencana-lencana TRD Sportivo dan juga tip ekzos.

    Fortuner ini juga dilengkapi dengan roda aloi TRD enam-jejari bersaiz 20-inci disaluti tayar Dunlop 265/50/R20. Sistem suspensi pula ditingkat taraf dengan penggunaan penyerap hentak dan spring TRD Sportivo, begitu juga dengan sistem brek.

    Bahagian dalaman SUV tujuh-tempat duduk ini menerima sistem audio JBL merangkumi unit utama dengan skrin sesentuh beserta sistem navigasi, dihubungkan dengan 11 unit pembesar suara. Kemasan balutan kulit berwarna hitam dan merah disulami benang merah mendominasi kesemua tempat duduk, panel pintu, papan pemuka, serta roda stereng dan tuil penukar gear yang turut menerima kemasan kevlar karbon. SUV ini juga dibekalkan dengan kunci istimewa TRD Sportivo serta boleh dihidupkan dengan menekan suis penghidup berwarna merah, juga khas keluaran TRD Sportivo.

    fortuner-trd-20_BM

    Panel meter juga menerima sentuhan grafik merah dan karbon, beserta logo TRD Sportivo pada paparan tengah meter dan juga logo TRD dibelakang meter kelajuan. ‘Scuff plate‘ dengan logo TRD yang menyala dan set lengkap karpet juga dilengkapkan beserta lampu puddle yang menyuluh kebawah memaparkan logo TRD ketika pintu tailgate belakang dibuka.

    Varian TRD Sportivo untuk Fortuner ini hanya hadir dengan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel berkuasa 177 hp dan tork 450 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik. Walaubagaimana pun pembeli boleh memilih sama ada untuk membeli Fortuner TRD Sportivo yang hanya dipacu roda belakang sahaja atau pun model yang dilengkapi sistem pacuan empat roda “Sigma4” 4WD. Harga yang ditawarkan bermula dari 1,679,000 baht (RM196,193) hingga 1,769,000 baht (RM206,701).

    Toyota Fortuner dan trak pikap yang dibina dari platform sama iaitu Hilux bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini. Varian TRD Sportivo kemungkinan besar turut akan ditawarkan dalam pasaran Malaysia. SUV ini kini kerap muncul melakukan ujian diatas jalan raya sekitar Lembah Kelang, mungkin memberikan isyarat ia akan dilancarkan dalam masa terdekat.

     
     
  • BHPetrol Infiniti Euro 5 Diesel kini ada di R&R Tapah – bakal diperluaskan ke Perak, Penang dan Pahang

    BHPetrol

    Setelah diperkenalkan di beberapa buah stesen BHPetrol di Lembah Klang dan selatan tanahair, Boustead Marketing telah mengumumkan jajahan bagi BHPetrol Infiniti Euro 5 Diesel diperluaskan di kawasan utara pula. Kini bahan api ini sudah boleh didapati di stesen BHPetrol di Hentian R&R Tapah (arah selatan menuju ke KL). Malah turut berkata, bilangannya akan bertambah ke Perak, Penang dan Pahang dalam beberapa bulan akan datang.

    Diperkenalkan di Johor pada November 2014 lalu bagi memenuhi peraturan emisi yang ditetapkan oleh Singapura (di mana kenderaan dari Malaysia yang gagal ujian asap tidak akan dibenarkan masuk ke republik berkenaan). Malah Ogos tahun lalu, bahan api ini turut diperkenalkan di Lembah Klang.

    Sehingga hujung Februari 2016, sebanyak 62 stesen telah menjual Infiniti Euro 5 Diesel ini di seluruh negara, dengan stesen yang terletak di Johor, Melaka dan Lembah Klang. Majoritinya adalah Lembah Klang iaitu sebanyak 37 buah stesen. Senarai semua stesen yang terbabit ada pada laman web BHPetrol.

    Bahan api ini dikatakan lebih baik untuk alam sekitar kerana kandungan sulfurnya yang rendah iaitu hanya 10 bahagian per juta (ppm) berbanding 550 ppm bagi gred Euro 2M Malaysia buat setakat ini.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI TCR didedah – 330 hp, 410 Nm

    Autodesk VRED Professional 2014 SR1-SP7

    Sebagai salah satu cara meraikan ulang tahun ke-40 Golf GTI, Volkswagen telah mendedahkan model baharu Gold GTI TCR, versi kustom bagi Golf GTI Mk7, yang pernah bersaing dalam TCR International Series.

    Dibangunkan dengan divisi permotoran Seat, hanya 20 model untuk Golf GTI TCR yang akan diproduksi pada tahun ini, dan difahamkan semuanya telah habis dijual.

    Jentera hatchback ini juga dibina mengikut peraturan FIA untuk perlumbaan TCR, di mana Golf ini menampilkan enjin 2.0 liter pengecas turbo dari Golf R yang mampu memberikan kuasa sehingga 330 hp pada 6,200 rpm dan tork puncak 410 Nm dari 2,500 rpm. Ia turut membolehkan hatchback ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.2 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 230 km/j.

    Golf GTI TCR ini juga dipadankan dengan gear penjujukan enam-kelajuan yang menghantar kuasanya ke roda hadapan. Jika dilihat dari foto ilustrasi ini, hatchback ini juga didatangkan dengan kit badan yang lebar, pemisah hadapan dan wing belakang yang besar.

    Autodesk VRED Professional 2014 SR1-SP7

    Volkswagen juga menambahkan elemen menarik termasuk roda racing 18-inci, casis yang dimodifikasi yang 40 sm lebih lebar dari platform biasa Golf dan beberapa elemen perlumbaan yang diiktiraf FIA termasuk tangki bahan api, roll cage, tempat duduk khas dan sebagainya.

    “Golf GTI TCR mengalu-alukan pelanggan untuk merasai sendiri kehebatan nilai sukan permotoran bersama Volkswagen. Selain itu, pasukan lumba GTI TCR ini mampu mengembangkan lagi komitmen permotoran, di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar Pengarah Permotoran Volkswagen, Jost Capito.

    “Kami memberikan mereka jentera ini yang sesuai dengan kegunaan, Golf bukan setakat dihasilkan untuk tampil menonjol, bahkan ia juga mempunyai potensi hebat dalam perlumbaan,” sambungnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026