Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Renault Zoe janaan elektrik sepenuhnya kini di bilik pameran Renault dengan harga bermula RM145,888

    2016-renault-zoe-malaysia-showroom-005_BM

    Kereta elektrik sepenuhnya (EV), Renault Zoe kini telah masuk ke pasaran Malaysia, dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM145,888. Hatchback lima-pintu segmen-B ini membuat penampilan sulung globalnya pada tahun 2012. Diumumkan tempahannya mula dibuka pada April tahun lalu, kini Zoe telah mula dipamerkan di bilik pameran Renault tempatan.

    Zoe secara kasarnya mempunyai dimensi seakan Ford Fiesta. Ia mempunyai panjang 4,084 mm, 1,730 mm lebar dan 1,562 mm tinggi, serta jarak roda yang berukuran 2,588 mm. Zoe EV menawarkan lima tempat duduk, dengan ruang kargo berkapasiti 1,223 liter jika tempat duduk belakang dilipat.

    Zoe menampilkan unit janakuasa elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik tunggal berkuasa 87 hp pada takat 3,000 hingga 11,300 rpm dan tork 220 Nm bermula seawal 250 hingga 2,500 rpm. Ini membolehkan Zoe mencapai 48 km/j dari kedudukan pegun dalam masa empat saat dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 13.5 saat. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksima 135 km/j.

    Motor elektrik Zoe dijana bateri lithium-ion 22 kWh yang diletakkan diatas lantai kereta ini. Tidak seperti pesaing lain, Renault membangunkan kereta ini khas untuk dijana oleh elektrik sepenuhnya, bukan salah satu varian yang mempunyai opsyen enjin petrol atau diesel. Kuasa motor elektrik kereta ini dihantar terus ke roda hadapan melalui kotak gear satu kelajuan.

    Zoe dilengkapi pengecas Caméléon yang telah dipatenkan oleh Renault, dimana ia boleh digunakan dengan mana-mana punca kuasa sehingga tahap 43 kW. Ini bermakna anda boleh mengecas Zoe dengan hampir apa jua punca kuasa elektrik, asalkan soketnya sama, cuma tempoh mengecasnya sahaja yang berbeza bergantung pada punca kuasa tersebut.

    Berdasarkan pengecas 3.6 kWh, Zoe mengambil masa sembilan jam untuk dicas sepenuhnya. Dengan pengecas pantas 7.0 kWh, cas penuh hanya mengambil masa empat jam. Pengecas Delta pemasangan dinding 3.6 kWh adalah standard didatangkan dengan setiap pembelian Zoe. Dengan bateri yang dicas penuh, Zoe mampu untuk dipandu sejauh 210 km (berdasarkan ujian NEDC).

    Renault Zoe menampilkan rekaan luaran yang konvensional yang tidak kelihatan janggal atau kelihatan seperti kapal angkasa berbanding kereta janaan bahan api fosil yang lain. Kemasan biru elektrik adalah satu-satunya petunjuk yang ia adalah sebuah kereta elektrik sepenuhnya. Bahagian luaran kereta ini dibekalkan secara standard dengan lampu hadapan halogen, lampu belakang kombinasi LED dan roda aloi 16-inci. Buat masa sekarang, hanya warna Putih Glasier ditawarkan untuk Zoe.

    Bahagian dalaman pula, Zoe direka seiras dengan Renault Clio. Ia menawarkan tempat duduk balutan fabrik, paparan skrin sesentuh tujuh-inci R-Link Renault, sistem audio 3D enam-pembesar suara Arkamys, penghawa dingin zon tunggal, butang penghidup tekan dan monitor paparan panel instrumen LCD sepenuhya. Ia juga mempunyai hab penyambungan USB, operasi handsfree Bluetooth dan juga soket kuasa 12-volt.

    Untuk ciri keselamatan, Zoe menawarkan empat beg udara, ABS, EBD, ESC, dan ASR serta tali pinggang keledar hadapan dengan pretensioner . Tempat duduk belakang dan tempat duduk penumpang hadapan juga dilengkapi dengan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Dengan setiap pembelian Renault Zoe, waranti pengeluar tiga tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu) adalah standard. Manakala untuk bateri dan unit janakuasa elektrik pula dilindungi dengan waranti lima tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Untuk info lanjut berkenaan Renault Zoe, anda boleh lawati Carbase.my

     
     
  • Goodyear Eagle F1 Asymmetric 3 dilancar, tampil prestasi lebih baik berbanding Eagle F1 Asymmetric 2

    goodyear-eagle-asymmetric-3-cross-top_BM

    Goodyear telah pun melancarkan tayar terbaharu dalam barisan tayar berprestasi tinggi ultra (UHP) Eagle F1 iaitu Asymmetric 3, menggantikan Asymmetric 2 yang telah berada dalam pasaran tempatan sejak 2011.

    Tiada perubahan besar pada corak bunga tayar dapat disaksikan berbanding A2,cuma sedikit perbezaan pada blok bunga tersebut jika diperhatikan secara terperinci. Tetapi, dibawah lapisan bunga tayar baharu ini, pelbagai kejuruteraan baharu telah diterapkan di dalam pembangunan tayar tersebut, menghasilkan prestasi yang jauh lebih baik.

    Berdasarkan ujian perbandingan bebas yang dibiayai Goodyear, Eagle F1 A3 ini mampu untuk mengatasi pesaing terdekatnya dalam pasaran tayar UHP seperti Michelin Pilot Sport 3, Bridgestone Potenza S001 dan Continental Sport Contact 5 di mana ia mampu berhenti 2.6 meter lebih pendek (atau 9 peratus lebih bagus) diatas permukaan jalan basah.

    Asymmetric 3 baharu ini juga menawarkan jarak pemberhentian yang lebih pendek diatas permukaan jalan kering di mana ia diuji berhenti 1.3 meter lebih awal berbanding pencabarnya yang lain. Goodyear juga mendakwa tayar ini memberikan prestasi 4% lebih baik ketika dikawal diatas permukaan basah dan mendapat tempat kedua dalam aspek rintangan golekkan berbanding pesaing utama.

    Goodyear Eagle F1 Asymmetric 3 (kiri) dan keluaran sebelumnya – Asymmetric 2(kanan)

    Elemen rekaan terbaharu termasuklah teknologi membrek aktif, di mana ia meningkatkan hubungan permukaan dan cengkaman ketika membrek, membolehkan ia berhenti dengan lebih cepat. Tayar ini juga dibina dengan kompaun grip booster dan juga resin pelekat yang mampu meningkatkan cengkaman semasa membrek dan pengendalian. Ia juga direka dengan teknologi binaan yang diperkuat, di mana ia mengurangkan berat keseluruhan tayar ini tanpa mengorbankan kekuatan binaannya.

    Goodyear menyatakan pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan prestasi tayar ini. Lebih 36,000 jam kejuruteraan digunakan dalam proses pembangunan, termasuk 3,800 jam di lima lokasi ujian di lima negara berbeza, dengan jarak perjalanan keseluruhan sejauh 330,000 km.

    Eagle F1 Asymmetric 3 akan dikeluarkan dengan 41 saiz untuk pasaran global, dengan saiz bermula dari 17 hingga 20 inci. Tiada lagi berita berkenaan bila A3 ini akan masuk ke pasaran Malaysia.



     
     
  • Honda CR-Z facelift dilancarkan di Indonesia – RM168k

    Honda-CR-Z-FL-Indonesia-02

    Honda CR-Z facelift telah pun dilancarkan di Indonesia oleh PT Honda Prospect Motor. Setelah diumumkan kehadirannya sejak Ogos tahun lalu, ini merupakan model facelift yang kedua di pasaran Indonesia. Di mana model facelift pertama diperkenalkan di peringkat dunia sewaktu penganjuran Indonesian International Motor Show (IIMS) 2012 dan kemudian dilancarkan di Malaysia pada awal 2013.

    Model facelift di Indonesia ini seperti mana yang pernah disaksikan di Jepun, dan ia telah dilengkapi dengan pelbagai elemen. Termasuklan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, HDMI dan dua USB port, lampu utama LED dengan rekaan baharu (termasuk lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok) dan kamera parkir pelbagai-pandangan dengan head unit 2-DIN bersama skrin sesentuh.

    Selain itu, ia turut menampilkan brek parkir elektronik yang diletakkan di tengah-tengah tempat duduk hadapan, yang merupakan perubahan terbesar pada bahagian kabin yang turut menambahkan ruang pada konsol tengah dan perehat tangan. Bukan itu sahaja, jahitan kontras berwarna oren juga ditampilkan pada tempat duduk, balutan roda stereng, tombol gear, dan panel pintu.

    Klik untuk besarkan imej

    Untuk luaran, model 2016 ini turut menambah baik bahagian hadapan termasuk bampar serta menampilkan lampu utama LED rekaan baharu. Bukan itu saja, rim dua-tona stail-kepingan bilah 17-inci turut ditampilkan bersama bampar belakang baharu dan peresap yang bergaya lebih mantap. Bahagian hadapan dan belakang yang diperkemaskinikan nampak lebih bersudut berbanding model sebelumnya.

    Bagi penjana kuasanya, tiada perubahan dan masih mengekalkan enjin 1.5 liter dengan kombinasi Integrated Motor Assist (IMA), yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 136 PS dan tork 190 Nm (lebih 12 PS/16 Nm berbanding model asal CR-Z). Motor elektriknya pula dikuasakan oleh 144-voltan, bateri lithium-ion 18.8 kW. Namun kotak gear manual enam-kelajuan tidak ditawarkan buat pasaran Indonesia, hanya transmisi CVT dengan pedal penukar gear sahaja yang ditampilkan.

    Didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Milano Red, Premium White Pearl, Hellios Yellow Pearl II dan Smart Black. Ia dijual pada harga atas jalan Rp 535 juta (RM167,660).

    GALERI: Honda CR-Z facelift di Tokyo 2015


    GALERI: Honda CR-Z 2015 facelift

     
     
  • Kilang Enjin Toyota Karawang, Indonesia mula beroperasi – hasilkan 216,000 unit enjin NR setahun

    Toyota-NR-engine-e1457431889448_BM

    PT. Toyota Manufacturing Indonesia (TMMIN) telah mengumumkan kilang enjin baharu mereka di Jawa Barat telah pun memulakan operasinya. Kilang Enjin Kerawang ini telah mula beroperasi sejak penghujung Februari lalu, dibina dengan pelaburan sekitar 2.3 trillion rupiah (RM718 juta).

    Kilang tersebut mempunyai kakitangan seramai 400 orang, dan mampu untuk menghasilkan 216,000 unit enjin setahun. Buat masa ini, kilang tersebut memproduksi enjin siri NR 1.3 dan 1.5 liter, di mana sebahagian enjin tersebut bakal dieksport ke luar Indonesia. Enjin siri NR tersebut dibina untuk menjana model-model Toyota seperti Sienta, Avanza, Vios dan Yaris (bergantung pada pasaran).

    Kilang Enjin Karawang ini adalah sebahagian rancangan Toyota untuk meminimakan impak negatif semasa proses produksi, dan membolehkan kesemua proses penghasilan enjin dijalankan dalam satu kilang sahaja. Kilang di Karawang ini juga turut memproduksi Kijang Innova, Fortuner, Etios Valco, Vios dan Yaris. Khabar angin mengatakan juga kilang ini turut akan memproduksi Sienta spesifikasi-Indonesia kelak.

    Kilang ini turut menjalankan proses peleburan, implementasi pertama seumpamanya di kilang Toyota luar Jepun. Dengan proses peleburan dijalankan di tempat yang sama, kilang ini dapat mengurangkan risiko yang berkaitan penghantaran logam lebur ketika proses pembentukan komponen utama.

    Selain itu juga, ruang yang diperlukan untuk proses peleburan dan pembentukan dapat dikurangkan kerana proses penghantaran telah tiada dalam senarai proses. Permintaan yang tidak menentu juga dapat dihadapi dengan lebih responsif, kerana amaun pengeluaran logam lebur dapat dilaras seiring permintaan.

    Kilang ini juga turut menampilkan teknologi teras pasir bukan organik, juga pertama seumpamanya di kilang Toyota luar Jepun. Teras tersebut diletakkan di dalam acuan pembentuk untuk mewujudkan rongga dalaman pada proses akhir pembentukan sesebuah komponen. Setelah logam lebur dituang ke dalam acuan dan mengeras, teras tersebut akan pecah.

    Secara tradisi, teras adalah bahan organik yang digunakan semasa proses pembentukan, kerana ia memerlukan kombinasi supaya mudah dipecahkan, kuat, kalis haba dan mempunyai sifat pengacuan. Walaubagaimana pun, penggunaannya menghasilkan banyak kesan sampingan seperti pencemaran bau dan penghasilan tar.

    Menerusi penggunaan bahan bukan organik, kesan sampingan tersebut boleh dikurangkan dari segi kuantiti, penggunaan penyedut habuk dan penyahbau yang lebih kecil, yang mana akan mengurangkan ruang yang dibuat untuk proses pembentukan dan juga mengurangkan pelaburan awalan.

     
     
  • KTM Komuter pertingkatkan frekuensi tren pada waktu bukan-puncak – mampu elak penumpang tunggu lama

    ktm-komuter-2

    Kini penumpang KTM Komuter tidak perlu menunggu tren dalam tempoh waktu yang lama pada waktu bukan-puncak, mulai Mei ini. Walau pun jadual pada waktu puncak masih kekal sama, iaitu setiap 15 minit ketibaan antara tren, frekuensi pada waktu bukan-puncak pula akan dipertingkatkan iaitu dari sejam menjadi selang setengah jam, menurut laporan The Star.

    Operator rel berkata penjadualan semula ini bagi meningkatkan semula perkhidmatan pengangkutan awam ini dan ia membabitkan laluan Komuter di sekitar Lembah Klang. Walau bagaimana pun, penjadualan semula ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Mei atau Jun, ujar Presiden KTM Datuk Sarbini Tijan.

    Beliau turut menambah ini tidak bermakna dua laluan Komuter iaitu Seremban dan Pelabuhan Klang akan mengambil masa yang lama untuk trennya tiba di semua lokasi. Hanya sesetengah laluan sahaja yang terlibat dengan penjadualan semula ini, selebihnya masih bergerak seperti biasa.

    “Kami melaksanakannya mengikut fasa demi fasa. Dalam masa-masa tertentu, kami jangkakan hanya 20% penumpang akan terjejas apabila mereka menggunakan perkhidmatan Komuter,” ujarnya. Laluan yang terlibat dalam penjadualan semula ini ialah Rawang-Batu, Batu-Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Klang-Salak Selatan.

    Peningkatan perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada projek jangka masa panjang yang dikenali sebagai peningkatan sistem dan infrastruktur Trek Berkembar Lembah Klang. Di mana ia melibatkan trek-berkembar rangkaian, pengisyaratan dan sistem komunikasi. Ini termasuklah perubahan pada komponen trek dan penaiktarafan sistem pengesan tren.

     
     
  • Yamaha NMax 2016 sah dijual pada harga RM8,812

    Hong Leong Yamaha telah mengesahkan skuter Yamaha NMax akan dijual pada harga RM8,812. Skuter 155 cc dengan penyejuk cecair, satu-silinder empat injap SOHC dengan sistem injap bukaan bervariasi (VVA) dan digandingkan bersama kotak gear CVT dengan nisbah akhir tali sawat tersebut telah dilancarkan di Genting Highland akhir Januari lalu.

    Direka sebagai “model skuter global” Yamaha, dan menggunakan enjin “Bluecore” Yamaha, skuter ini menjadikan anak muda dengan gaya hidup moden sebagai sasaran pasaran. Enjin NMax berupaya menjana 14.8 hp dan tork dicatatkan 14.4 Nm pada takat 6,000 rpm.

    Sistem ABS tidak akan disertakan untuk NMax CKD, tetapi sistem brek masih dilengkapi dengan cakera berdiameter 230 mm pada bahagian hadapan dan belakang. Sistem pancitan bahan api turut dibekalkan untuk memastikan kuasa optimum dan penggunaan bahan api yang efisien dapat dicapai.

    Harga rasmi untuk Yamaha NMax ialah RM8,812 selepas GST, tanpa cukai jalan dan insuran, dan akan mula berada dipasaran selepas April 2016. Yamaha NMax bakal bersaing dengan skuter sekelas dengannya – Honda PCX 150 yang dijual pada harga RM11,990.

     
     
  • VIDEO: Hyundai Verna baharu di India – RM47k

    Hyundai India telah memperkenalkan Hyundai Verna baharu, yang dipaparkan menerusi tayangan komersil untuk siaran televisyen. Video tersebut memaparkan sasaran jualan Verna, selain menampilkan imejnya yang telah ditambah baik, termasuk dengan adanya butang penghidup enjin, sistem Smart Touch Infotaiment 7.0-inci serta kabin yang lebih senyap dan pemanduan yang lebih selesa.

    Turut dikenali sebagai Hyundai Accent di sesetengah pasaran, Verna dijual pada harga bermula 780,000 rupees (RM47.5k) di India, turut mempunyai enam varian, dengan output kuasa dari 90 hingga 128 hp.

    2016-hyundai-verna-india-tvc-002

    Elemen yang dipertonjolkan menerusi klip video tersebut ialah yang ada pada varian tertinggi termasuk rim aloi potongan berlian 16-inci, kamera pandang belakang, kemasukan tanpa kunci, kulit upholstery, sistem hiburan AVN dan banyak lagi.

    Model sebelum ini juga telah dipasarkan di Malaysia, Hyundai Verna (a.k.a Hyundai Accent) merupakan model kompak yang diposisikan antara Hyundai Elantra. Memasuki generasi keempat, model ini juga dipasarkan di Korea, China, Amerika Utara dan Rusia, selain India.

     
     
  • Malaysia yakin mampu implementasi program B10 Biodiesel tahun ini, ujar menteri KPPK

    biodiesel1

    Kerajaan yakin mampu mengimplementasi program B10 biodiesel pada tahun ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

    Beliau berkata langkah itu sejajar dengan komitmen negara sebagai ahli Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOC) dengan Indonesia untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam biodiesel, laporan Bernama.

    “Indonesia ketika ini melaksanakan B15 dan sedang beralih ke arah B20. Kita memaklumkan kepada mereka bahawa kita akan beralih kepada B10 sebaik sahaja kita merasakan ia praktikal,” katanya.

    Beliau berkata kementerian ketika ini sedang mengadakan perundingan menyeluruh dengan semua pemegang kepentingan bagi memastikan penerimaan dasar yang akan dilaksanakan.

    “Beberapa siri ujian perlu dilakukan dan perbincangan akhir akan diadakan untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar,” katanya.

    Mengenai pelaksanaan program biodiesel Malaysia yang agak perlahan berbanding Indonesia, Uggah berkata situasi itu disebabkan oleh sistem struktur yang berbeza dalam kedua-dua negara serta kos yang terlibat dan bekalan stok minyak sawit mentah (MSM) yang tersedia.

    “Kita mahu menjadi praktikal. Ini kerana kita merasakan B10 mencukupi buat masa ini memandangkan stok dan kos kita yang terlibat,” katanya.

    Bagaimanapun, Uggah berkata, beliau yakin Malaysia memiliki kemudahan yang cekap untuk membuat adunan baharu biodiesel secepat mungkin selepas keputusan diambil.

    “Berkaitan dengan kemudahan, Malaysia telah membina sistem yang cekap yang boleh mengadunkan biodiesel baharu ini dalam masa dua hari,” katanya.

     
     
  • Lexus LC 500h dilengkapi dua kotak gear dalam satu sistem transmisi – hapus kelemahan kotak gear CVT

    AQ2Y0289-e1457424227647_BM

    Lexus LC 500h, merupakan LC 500 versi yang lebih mesra alam digandingkan dengan sistem transmisi yang agak unik. Kereta ini mempunyai dua kotak gear iaitu kotak automatik empat-kelajuan digandingkan bersama kotak gear CVT dan dipadankan kepada dua unit motor elektrik.

    Dalam laporan Automative News, Koji Sato, ketua jurutera untuk LC 500h berkata rekaan baharu ini bertujuan untuk menghilangkan efek ‘rubber band feel‘ pada kotak gear CVT sedia ada.

    Jika anda pengguna atau pernah memandu kereta dengan transmisi CVT, anda akan dapat merasai ‘rubber band feel‘ tersebut. Ia adalah situasi di mana ketika anda menekan pedal pendikit secara agresif untuk memecut, kelajuan enjin (rpm) akan bertambah tinggi tetapi nisbah kelajuan pada kotak gear tidak bergerak menyebabkan pemandu berasa seolah-olah “tertunggu-tunggu” untuk kereta tersebut menukar gear. Ini membuatkan sesetengah pemandu tidak gemar dengan kotak gear CVT kerana ia tidak memberikan perasaan ‘klimaks’ setelah gear ditukar. Masalah inilah yang bakal diselesaikan oleh kotak gear terbaharu Lexus ini. Kotak gear empat-kelajuan konvensional digabungkan bersama kotak gear automatik untuk memberikan perasaan yang lebih ‘umph’ ketika gear ditukar.

    Lexus_LC_500h_020_5D569E6ADF3985D8205EBBB24C5F76230F98F501_BM

    Sato berkata semasa memecut, kotak gear baharu LC 500h ini akan memberikan pemandu enam rasa penukaran gear dari empat penukaran gear yang sebenar, tetapi sukar untuk pemandu mengetahui yang mana penukaran sebenar atau tidak tersebut. Gabungan dua kotak gear dalam satu sistem transmisi ini adalah sebahagian dari Sistem Hibrid Pelbagai Peringkat pada LC 500h, yang juga terdiri dari enjin petrol 3.5 liter V6 berkuasa 295 hp dan tork 348 Nm, digandingkan dengan motor elektrik 59 hp serta pek bateri lithium-ion 44.6 kW.

    Kuasa keseluruhan yang menjana kereta ini ialah 354 hp, dan Lexus mensasarkan ia mampu untuk memecut dari kedudukan 0-100 km/j dalam masa bawah lima saat. Sebagai perbandingan model janaan petrol sepenuhnya Lexus LC 500 yang dilengkapi enjin 5.0 liter V8 tanpa induksi paksaan dan digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan mampu untuk memecut 0-100km/j dalam masa hanya 4.5 saat.

    Menurut Sato lagi, Presiden Toyota Akio Toyoda berusaha untuk sistem transmisi tersebut, di mana beliau berharap agar ia boleh dipadankan pada model hibrid Lexus yang lain pada masa akan datang, seperti LS generasi selepas ini dan juga sedan bersaiz sederhana GS. Model hibrid Toyota juga mungkin bakal menggunakan sistem transmisi ini.

     
     
  • VIDEO: Audi SQ7 TDI vs Red Bull Alpha Jet 10,600 hp

    Beberapa hari lalu, Audi telah memperkenalkan model SQ7 TDI yang didakwa sebagai SUV diesel yang paling berkuasa di dunia. Adakah ia sekadar berkuasa ‘di atas kertas’ atau pun secara realitinya…benar?

    Tidak mahu dianggap sekadar omong kosong, Audi telah ‘membawakan’ SQ7 TDI ini untuk berentap dengan pesawat pejuang Red Bull Alpha Jet yang memiliki kuasa sehingga 10,600 hp. Pertarungan ini berlaku di atas landasan dengan jarak sepanjang 300 meter.

    SQ7 TDI ini dilengkapi dengan enjin 4.0 TDI V8 yang baharu dibangunkan bersama pemampat kuasa elektrik. Penjana turbodiesel ini juga mampu memberikan kuasa sehingga 435 hp dan tork setingga 900 Nm bermula 1,000 rpm, membolehkan SQ7 TDI ini dipacu dari 100 km/j dalam hanya 4.8 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Sekali gus memberikan peluang SQ7 TDI ini sebagai SUV diesel paling berkuasa yang pernah dihasilkan di dunia setakat ini.

    Audi juga berkata, apabila penjana kuasa tersebut bekerjasama dengan dua gas ekzos pengecas turbo, di bawah rpm yang rendah, ia mampu menyalurkan prestasi “kuasa yang sangat dinamik” dengan jarak masa 250 milisaat.

    Jadi menerusi klp video ini, anda boleh saksikan sehebat mana SQ7 TDI ini yang dianggap sebagai jagoan. Apa pendapat anda mengenai kekuasaan yang cuba diserlahkan menerusi SQ7 TDI ini? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen di bawah.

     
     
  • BMW Vision Next 100 tampil konsep teknologi yang bakal diterapkan BMW untuk 100 tahun akan datang

    P90212587_highRes_bmw-group-the-next-1-e1457360339495_BM

    Sempena menyambut ulang tahun ke-100 nya, BMW telah mendedahkan kepada dunia kereta konsep terbaharu mereka, direka dengan ciri-ciri yang mungkin akan diterapkan pada model-model mereka untuk 100 tahun akan datang.

    Kereta yang diberi nama BMW Vision Next 100 ini diperkenalkan kepada dunia pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 tahun BMW yang diadakan di Munich Olympic Hall, Jerman. Ia direka dalam bentuk sedan sports empat-pintu dan merupakan model yang pertama dalam siri konsep Vision yang dirancang dan bakal dibina oleh BMW Group. Versi untuk jenama dibawah BMW Group yang lain iaitu MINI dan Rolls-Royce pula akan didedahkan di London pada 16 Jun akan datang, manakala konsep motorsikal BMW Motorrad pula akan dipamerkan di Los Angeles pada 11 Oktober.

    BMW Vision Next 100 masih lagi kelihatan seperti sedan BMW yang ada sekarang ini. Dengan asas rekaan ‘one-box‘, ia menampilkan bonet-panjang tradisional BMW. Badan berbentuk batu kerikil dan diwarnakan dengan warna gangsa menampilkan gril tradisi BMW dibahagian hadapan bersama empat lampu hadapan utama dengan bentuk jalur, lampu belakang berbentuk-L, dan juga tiang-C ‘Hofmeister Kink‘ – tipikal sebuah BMW.

    Motif segi-tiga yang digelar BMW sebagai ‘Alive Geometry‘ mendominasi sebahagian besar badan kereta ini yang dibina dari 800 panel di bahagian dalam dan luar di mana ia boleh bergerak dan berubah apabila diperlukan. Pada bahagian luar, ruang roda yang besar ditutup menyembunyikan roda yang besar didalam, dimana ia akan berpusing sekali jika stereng dipusingkan. Rekaan ini membolehkan Vision Next 100 mencapai pekali geseran (CoD) hanya 0.18.

    BMW mengatakan kereta konsep ini mempunyai dimensi yang kompak. Mempunyai panjang keseluruhan 4.9 meter, panjang kereta ini hampir menyamai dimensi pada BMW 5 Siries. BMW juga mendakwa Vision Next 100 mempunyai keluasan pada ruang dalaman sama seperti “sedan mewah BMW” (mungkin 7 Series). Jadi, rekaan ini bukan sahaja unik, tetapi ia juga mampu membuatkan ruang dalamannya menjadi lebih luas.

    Setelah pintu ‘suicide‘ yang direka seperti kepak rama-rama kereta ini dibuka, dapat disaksikan bahagian kabin kereta ini direka dengan rekaan yang minimalis. Terdapat dua mod pada bahagian kabin ini iaitu Boost, dipilih jika pemandu mahu memandu sendiri kereta ini dan dibantu pelbagai ciri bantuan pemanduan. Dan yang kedua ialah Ease, di mana kereta ini dipandu secara automatik tanpa pemandu.

    Dalam mod Boost, panel ‘Alive Geometry‘ dibahagian dalam – yang diinspirasikan dari bulu burung – memberikan garis pemanduan yang ideal kepada pemandu dan memberi amaran dalam bentuk tindak balas intuitif kepada kereta yang datang dari arah bertentangan jika terdapat halangan. BMW mendakwa amaran tersebut lebih berkesan dari amaran berbentuk bunyi atau visual. Tempat duduk pemandu turut berubah kedudukan serta konsol tengah dihadapkan lebih kepada pemandu.

    Paparan ‘Head-up‘ (HUD) akan memberi informasi garis pemanduan yang ideal, poin stereng dan kelajuan kereta kepada pemandu menggunakan sepenuhnya cermin hadapan kereta ini. Ia juga turut memberikan paparan kenderaan yang melintas dihadapan dalam keadaan cuaca yang teruk dan kadar penglihatan yang kurang.

    Kesemua ini dapat berfungsi melalui gabungan pelbagai sistem pintar, yang sentiasa mengesan tindak balas pemandu dan mengadaptasikan ia untuk memberikan bantuan yang betul dan panduan visual. Bantuan visual tersebut dihasilkan dari arca berbentuk batu permata yang terletak dibahagian bawah cermin hadapan dimana ia akan disembunyikan pada mod Boost untuk mengurangkan gangguan dan menyala pada Mod Ease bagi menandakan ia dipandu secara automatik. Sistem tersebut juga memberikan paparan lampu hijau di bahagian hadapan kereta untuk memberikan isyarat kepada pejalan kaki menandakan mereka selamat untuk melintas jalan.

    Suasana di dalam kabin akan berubah sekiranya mod Ease dipilih. Roda stereng dan konsol tengah bergerak menjauhi penumpang dan tempat duduk bergerak kearah pintu membolehkan penumpang duduk pada posisi dan sudut yang sesuai, membolehkan mereka senang untuk bertentang muka sesama sendiri. Paparan HUD pula akan berubah menjadi paparan infotaimen.

    Kemampanan merupakan bahagian yang penting pada Vision Next 100. Kereta ini diperbuat dari gentian karbon dan plastik, dengan komponen seperti panel sisi dibina dari sisa gentian karbon produksi biasa. Bahagian dalam juga menggunakan tekstil berkualiti tinggi dan bahan-mono menggantikan tempat kayu dan kulit tradisional.

     
     
  • JPJ Perak sita 125 kereta klon sejak Mei 2015

    Cloned-cars-

    Selepas berhabisan berpuluh ribu ringgit, kebanyakan pemilik kereta klon akhirnya ‘berputih mata’ apabila kereta yang dibeli disita oleh pihak berkuasa. Itulah senario yang terjadi sekarang terhadap pemilik kereta klon. Kebanyakan daripada mereka mengetahui ia adalah kereta klon, namun tetap ‘menutup hati’ untuk memiliki kereta jenama mewah yang dijual pada harga cukup murah.

    Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Ramli Awang Seberang, tempoh paling lama seseorang berkesempatan ‘melaram’ dengan kereta klon yang dibeli adalah setahun dan paling singkat cuma tiga hari sebelum ia dikesan seterusnya disita oleh JPJ, laporan Bernama.

    Beliau berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengesan sebarang kereta klon yang berada di atas jalan raya kerana ia mempunyai fizikal yang agak luar biasa berbanding kereta sebenar.

    Sejak dilancarkan pada Mei tahun lalu, sehingga kini, JPJ Perak telah menyita 125 kenderaan pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan lebih daripada RM3 juta.

    Beliau berkata 73 daripada kereta klon itu disita di Ipoh, Manjung (20), Taiping (12), Tapah (10), Kuala Kangsar (enam) dan Teluk Intan (empat).

    Katanya jenama kereta klon paling banyak disita adalah Honda terdiri daripada pelbagai model termasuk Jazz, Odyssey, Civic dan Stream selain Toyota, Subaru, Audi, BMW, Mazda, Mercedes, Mitsubishi, Mini Cooper serta Volvo.

    Ramli Awang berkata hasil siasatan mendapati nombor casis kenderaan klon yang dirampas tiada dalam sistem pendaftaran JPJ selain nombor pendaftaran dan cukai jalan yang diguna adalah palsu.

    Beliau memberi amaran mana-mana pihak yang menggunakan cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk didakwa di mahkamah.

    “Selepas disaman, mereka akan didakwa di mahkamah, jika gagal hadir ke mahkamah, waran tangkap dikeluarkan dan nama mereka disenarai hitam,” katanya menambah setakat ini belum ada pembeli di Perak didakwa kerana proses siasatan sedang dijalankan.

    Ramli Awang berkata pihak JPJ juga akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk melupuskan kenderaan klon yang disita.

    “Menggunakan kereta klon ini banyak risiko lebih-lebih lagi apabila berlaku kemalangan kerana pembeli tidak boleh membuat tuntutan insurans,” katanya.

     
     
  • MRT : Penutupan jejambat Jalan Sungai Buloh dan jalan susur ke Jalan Kuala Selangor mulai hari ini

    MRT_SgBuloh

    MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan media berhubung dengan penutupan jangka masa panjang di jejambat Jalan Sungai Buloh dan jalan susur ke Jalan Kuala Selangor (arah Kepong). Penutupan ini berlangsung selama 45 hari iaitu mulai 8 Mac hingga 17 April 2016 pada setiap hari iaitu dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

    Penutupan ini dilaksanakan bagi kerja-kerja pemasangan jambatan pejalan kaki di Stesen MRT Sungai Buloh.

    Sepanjang penutupan ini, semua pengguna jalan raya dinasihati mengikuti isyarat lencongan dan sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan terbabit.

    Bagi yang datang dari arah Jalan Hospital menuju ke Kepong, akan dilencongkan untuk menyeberang jejambat masuk Jalan Kuala Selangor (arah Kuala Selangor) dan membuat pusingan U di The Store, Bandar Baru Sungai Buloh sebelum memasuki semula ke Jalan Kuala Selangor untuk menuju ke Kepong (sila rujuk tanda arah berwarna hijau pada peta di atas).

    Sementara bagi yang datang dari Jalan Sungai Buloh menuju ke Kepong, akan dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor (arah Kuala Selangor) dan membuat pusingan U di The Store, Bandar Baru Sungai Buloh sebelum memasuki semula ke Jalan Kuala Selangor untuk ke Kepong (rujuk tanda arah berwarna biru pada peta di atas).

     
     
  • Dabong gantikan Gua Musang sebagai stesen terakhir KTM bagi tren ulang alik di Wilayah Timur

    ktm-intercity-antarabandar-train

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua perkhidmatan tren ulang alik di Wilayah Timur bermula dari stesen Tumpat dan berakhir di stesen Dabong sejak 6 Mac baru-baru ini.

    Sebelum ini, perkhidmatan tren berkenaan bermula dari stesen Tumpat dan berakhir di stesen Gua Musang. KTMB berkata perubahan destinasi itu bagi memberi laluan kepada pihak kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja membaik pulih jambatan dan landasan kereta api yang telah musnah akibat banjir pada 2014.

     
     
  • Chevy Camaro Edisi Ulangtahun ke-50 diperkenalkan

    Chevy_Camaro_50th_1

    Dalam diam-diam Chevrolet telah memperkenalkan Camaro Edisi Ulangtahun ke-50. Digambarkan sebagai “Camaro yang paling epik” yang pernah dibina, model edisi istimewa ini menampilkan warna luaran Nightfall Gray Metallic dengan pemisah hadapan dan rim aloi rekaan unik bersaiz 20-inci. Ia juga dilengkapi dengan gril hadapan yang dipertingkatkan, kaliper brek berwarna oren dan jaluran badan Ulangtahun ke-50.

    Varian paling tinggi juga didatangkan dengan RS Appearance Package termasuk lampu utama HID, lampu belakang LED dan spoiler belakang.

    Walau bagaimana pun, Chevrolet masih enggan mendedahkan foto rekaan kabinnya namun berkata, ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit lembut berwarna hitam. Malah ia juga dipadankan dengan jahitan kontras berwarna oren, plat ambang iluminasi dan rekaan khas sempena ulangtahun ke-50 pada panel instrumen, penyandar tempat duduk dan roda stereng.

    Model edisi terhad ini boleh didapati dengan varian 2LT, 2SS Coupe atau Convertible. Ia menampilkan enjin 6.2 liter V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 455 hp dan tork 610 Nm. Enjin ini juga dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan tetapi pelanggan juga diberikan pilihan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Camaro Edisi Ulangtahun ke-50 akan mula dijual pada musim panas ini dan harganya akan diumumkan menjelang tarikh pelancarannya.

     
     
  • BMW Group Malaysia umum 10 pemenang #myBMW100Years – ditaja sepenuhnya ke Munich

    10. Passing the Torch – BMW ‘Coupe Sport Lightweight' - Adam Muza Muhayen

    Sempena ulangtahun ke-100 BMW Group, BMW Group Malaysia telah mengumumkan 10 pemenang bagi pertandingan #myBMW100Years, iaitu sebahagian daripada aktiviti dan acara bagi meraikan sambutan tersebut.

    Setiap individu yang menyertai pertandingan ini telah berkongsi memori terbaik masing-masing mengenai kereta BMW dan motosikal BMW, dengan mengetengahkan karakteristik jenama ini yang membawakan kegembiraan dalam kehidupan mereka.

    Setiap pemenang bakal menerima pakej percutian yang ditaja sepenuhnya iaitu melawat BMW Welt dan BMW Museum di Munich, di mana mereka berpeluang menikmati pengalaman penuh bermakna dan mengenali jenama BMW dengan lebih dekat lagi.

    Pemenang bagi #myBMW100Years ialah:

    1. BMW Birthday Cake? – Wan Aznir
    2. My BMW is Family – Iylia Hakim Bin Abdul Wahid
    3. BMW 1st SUV – Carmen Tan Lee Wei
    4. My Love Affair with the BMW Marque – Eng Kim Leng
    5. Beautifully Made for Winners – Elaine Tan Lay Poh
    6. Pride, with Prejudice – Thanendran Thanesvaran
    7. Don’t Wait Until 40 to Get BMW – Kasman Bin Kamis
    8. Riding to the Top of the World With Friends – Lim Soon Hin
    9. Nostalgia – Lai Joo Koi
    10. Passing the Torch – BMW ‘Coupe Sport Lightweight’ – Adam Muza Muhayen

     
     
  • Jepun mahukan ujian emisi dan kecekapan bahan api dunia nyata, berikutan ujian makmal yang kurang tepat

    Mazda-2-SkyActiv-D-Clean-Diesel-Challenge-41_BM

    Kementerian pengangkutan Jepun akan mengimplementasikan ujian emisi diesel berdasarkan dunia nyata berikutan ujian yang dilakukan pada model keluaran beberapa pengeluar gagal memperoleh keputusan yang mematuhi garis panduan undang-undang emisi negara matahari terbit tersebut.

    Menurut The Japan Times, varian diesel Nissan X-Trail, Land Cruiser Prado dan van komersial Toyota Hiace menghasilkan 10 kali lebih banyak gas nitrogen oksida (NOx) berbanding yang dibenarkan. Tidak seperti skandal diesel Volkswagen, tiada sebarang “defeat device” dijumpai pada kesemua kenderaan yang diuji tersebut.

    Kereta keluaran Mazda yang diuji iaitu SUV Mazda CX-5 2.2 diesel dan Mazda Demio (dikenali sebagai Mazda 2 di sini) 1.5 liter diesel menunjukkan prestasi yang baik dalam ujian tersebut, menunjukkan ujian pada dunia nyata hampir menyamai ujian makmal enjin itu. Akhbar terbitan Jepun itu juga turut mendakwa tiada pengeluar automotif yang mengambil berat penalti yang bakal dikenakan berikutan ujian yang dilakukan hanyalah memerlukan sesebuah kenderaan itu lulus ujian makmal sahaja dan bukan pada ujian dunia nyata.

    Kerajaan Jepun terpanggil untuk membuat keputusan tersebut berikutan CEO Volkswagen Group baharu, Matthias Muller yang turut menyuarakan kepada pihak berkuasa di Eropah untuk membuat ujian sedemikian di sana.

    “Percanggahan hasil ujian antara ujian rasmi dan penggunaan sebenar tidak lagi boleh diterima. Kami, iaitu industri ini, perlu untuk mengambil langkah baharu,” kata Muller. Pembuat kereta dari Perancis, PSA Peugeot Citroen, turut mengumumkan bermula Oktober tahun lalu laporan yang diterbitkan berkenaan angka penggunaan bahan api pada “kereta-kereta utama” mereka adalah berdasarkan ujian sebenar pada dunia nyata.

    Salah satu jalan penyelesaian untuk isu ini telah dikenal pasti sebagai program ujian-atas-jalan Emmission Analytic, yang dikatakan sangat hampir dengan hasil ujian dunia nyata. Prosedur Ujian Ringan Sedunia (WLTP) yang dirancang, dibangunkan di bawah forum UNECE WP29, ia mensasarkan hasil ujian kecekapan bahan api dan pencemaran/emisi CO2 yang lebih realistik.

     
     
  • ‘The Proton Search’ mencari pemilik kereta Proton paling lama – hadiah utama Proton Saga serba baharu

    Print

    Pengeluar kenderaan nasional, Proton, sedang ligat mencari pemilik atau sesiapa yang mewarisi kereta Proton yang paling lama. Menerusi ‘The Proton Search’, pertandingan ini dianjurkan selama 13 minggu, bagi mencari pemilik kereta Proton yang paling setia di Malaysia.

    ‘The Proton Search’ ini mencari pemilik yang setia bagi sama-sama berkongsi cerita menarik tentang kereta Proton yang dimiliki ini. Pemenang akan ditentukan berdasarkan perbatuan tertinggi. Pencarian ini telah pun bermula sejak 8 Mac lalu dan akan berakhir pada 8 Jun ini.

    Pertandingan ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan dan lesen memandu sah. Kereta Proton berkenaan juga perlu mempunyai cukai jalan yang sah dan insurans tahunan yang diperbaharui sejak pemilikannya. Selain itu, kereta Proton tersebut mestilah kegunaan peribadi, bukannya untuk komersil, maknanya ia bukan digunakan sebagai teksi dan ia perlu dimiliki oleh pemilik tunggal atau disimpan oleh keluarga pemilik asalnya sejak ia dibeli. Syarat lain ialah kereta Proton berkenaan mestilah masih boleh digunakan, diselenggara dengan baik dan kelihatan seperti yang asal (bukan yang telah dimodifikasi).

    Proton-1-at-Asia-Klasika-Motor-Festival-2015-e1457343717984

    Pertandingan ini adalah sebahagian daripada kempen ‘The New Proton’ yang memberikan pengalaman dan nilai yang lebih baik bagi pemilik kereta Proton dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh disertai.

    “Sejak diperkenalkan, kami telah menjual lebih empat juta kereta Proton dan ini adalah pencarian pemilik kereta Proton yang setia dan memberikan peluang kami untuk mendekati mereka. Kami akan mengutamakan para pelanggan, dan sangat berbangga dengan mereka yang banyak menyokong kami selama ini,” ujar Datuk Abdul Harith Abdullah, CEO Proton.

    Untuk menyertainya, para peserta hendaklah menghantar borang penyertaan ini bersama cerita pendek atau rakaman video berdurasi 60 saat tentang kereta Proton yang dimiliki. Borang penyertaan boleh didapati di cawangan Proton terpilih atau muat turun dari laman web rasmi Proton. Borang yang difotostat juga diterima.

    “Kami mencari 11 pemenang dan hadiah utama yang ditawarkan ialah Proton Saga baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Sementara 10 hadiah saguhati berupa pakej membaikpulih kereta Proton milik mereka bernilai RM5,000 dan juga wang tunai sebanyak RM1,000. Malah kesemua pemenang juga akan dibawa melawat kilang Proton,” tambah Harith lagi.

    Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan ini, sila layari laman web rasmi Proton www.proton.com, www.facebook.com/ProtonCarsOfficial atau instagram @ProtonCars.

     
     
  • LaFerrari Spider bersedia untuk diperkenalkan?

    Screen Shot 2016-03-07 at 4.29.34 PM

    Agak lama juga perkhabaran Ferrari akan membikin LaFerrari Spider, supercar hibrid versi one-top ini. Baru-baru ini jurugambar automotif David Benoit telah memuat naik teaser mengenainya menerusi Facebook, seakan mengesahkan perkhabaran ini.

    Malah foto yang dimuat naik turut menampilkan kotak perhiasan gentian karbon dengan logo Ferrari di hadapannya, bersama lakaran ilustrasi LaFerrari tanpa bumbung pada bahagian atasnya. Ia turut memberikan bukti bahawa model supercar tersebut julung kali bakal ditampilkan pada umum, walau pun tidak menyatakan bilakah masanya.

    Kemungkinan besar, lokasi yang bakal dipilih untuk menampilkan supercar itu ialah di Paris Motor Show yang bakal berlangsung pada Oktober ini. Perincian mengenainya masih terkunci rapi, namun dijangkakan LaFerrari Spider ini mungkin akan berkongsi sedikit elemen yang sama dengan versi hardtop, termasuklah dikeluarkan secara edisi terhad (antara 150-200 unit sahaja) dan juga harganya.

    FerrariLaFerrari_05-850x478

    LaFerrari Spider mungkin akan dipadankan dengan penjana kuasa hibrid 6.3 liter V12 bersama sistem HY-KERS yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 950 hp dan tork 900 Nm. Kuasanya dihantar ke roda belakang menerusi transmisi klac-berkembar tujuh-kelajuan.

    Berkenaan dengan bumbungnya, LeFerrari Spider sepatutnya menampilkan bumbung keras yang mudah untuk dibuka kerana ia menampilkan mekanisme yang mekanikal tetapi akan menambahkan lagi beratnya. Tetapi jika menampilkan bumbung yang lebih lembut pula, ia kurang sesuai jika supercar dipacu dalam kelajuan yang tinggi. Bumbung keras tidak mendatangkan masalah jika jentera ini dipacu sehingga 350 km/j.

    GALLERY: LaFerrari di Ferrari World Abu Dhabi

     
     
  • Platform global terbaharu Subaru didedahkan, bakal dijadikan asas pembangunan model akan datang

    Subaru-Global-Platform-1_BM

    Fuji Heavy Industries (FHI) telah mendedahkan platform terbaharu Subaru untuk model mereka yang akan datang. Platform yang diberi nama Subaru Global Platform itu direka untuk model baru yang bakal dibina sehingga tahun 2025.

    Platform baharu tersebut dikatakan mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini. Keteguhan pada badan platform ini sendiri telah ditingkatkan secara dramatik (peningkatan 70% hingga 100% berbanding terdahulu) dengan cara mengoptimakan struktur kerangka dan cantuman yang lebih kuat, serta lebih banyak penggunaan plat keluli tegangan tinggi serta material yang dibentuk dengan proses ‘hot press‘.

    Aspek bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) juga dapat diperbaiki dengan keutuhan yang dipertingkat, membolehkan pengagihan resonan dan herotan melalui badan yang lebih baik. Ini akan menghilangkan getaran yang banyak dari roda stereng, lantai dan tempat duduk.

    Olahan yang dibuat pada sistem suspensi membolehkan pusat graviti (COG) pada platform ini lima mm lebih rendah. Pemasangan pada sistem suspensi yang lebih tegar pula membolehkan kebolehan menyerap hentakan yang lebih bagus, menghasilkan pemanduan yang lebih lembut dan selesa. Penstabil belakang dipasang terus pada badan untuk mengurangkan kadar olengan kurang 50% berbanding model terdahulu.

    Keselamatan merupakan antara fokus utama pembangunan platform ini,oleh itu kebolehan menyerap tenaga ketika berlaku pelanggaran direka dengan lebih efisien. Subaru menyatakan peningkatan 40% dalam kebolehan menyerap tenaga pada platform terbaharu ini berbanding platform sebelumnya, dan ia bakal meningkat dari masa ke masa seiring dengan penggunaan material baru pada masa akan datang.

    Akhir sekali, platform baharu ini juga direka agar selari dengan rekaan semua model baharu Subaru untuk masa akan datang. Ini turut termasuk dalam penyesuaian bukan sahaja unit janakuasa petrol, ia turut bakal dikuasakan dengan unit hybrid, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Platform ini juga dibina agar ia boleh diproduksi dalam sebuah fasiliti produksi yang sama walaupun dengan komponen yang berbeza dan pelbagai varian model, berbanding model sebelum ini yang perlu diproduksi di beberapa kilang berbeza.

    Subaru Global Platform bakal digunakan untuk pembangunan semua kenderaan baharu Subaru bermula sekarang, dimulakan dengan pembangunan generasi terbaharu Subaru Impreza yang bakal masuk ke pasaran akhir tahun ini. Impreza serba baharu tersebut telah ditampilkan sebelum ini, dengan varian konsep hatchback lima pintu dan sedan di Tokyo dan Los Angeles. Model lain akan diikuti kemudian termasuk crossover XV terbaharu, yang juga telah ditampilkan pada Geneva Motor Show 2016 awal bulan ini.

    GALERI: Subaru XV Concept


    GALERI: Subaru Impreza Sedan Concept

    GALLERY: Subaru Impreza 5-Door Concept

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026