Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Data jualan kenderaan di M’sia untuk April 2016 – Nissan turun 30.7%, Volkswagen naik 116.8%

    Perodua_Axia_Standard_vs_Advance_-001_BM

    Data mengenai jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk April 2016 telah pun dikeluarkan. Secara keseluruhan, majoriti jenama di Malaysia mengalami penurunan jualan, berbanding jualan pada Mac lalu.

    Untuk April 2016, sebanyak 42,177 unit jualan telah dicatatkan. Dari keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 37,893 unit adalah kenderaan penumpang, dan 4,284 unit bagi kenderaan komersial. Berbanding Mac lalu, sebanyak 48,877 unit jualan dicatatkan untuk (penurunan sebanyak 13.7%).

    Perodua, yang mendahului pasaran, telah mengalami penurunan dengan 14,898 unit untuk April, berbanding 17,629 unit bulan sebelumnya. Begitu juga dengan Proton yang menurun sebanyak 19.1% (4,477 unit vs 5,535 unit pada Mac).

    Honda juga mengalami nasib yang sama dengan penurunan sebanyak 19.6% (5,964 vs 7,418). Manakala Toyota pula di tangga ke-empat dengan 4,089 unit terjual (-5.3%), dan Nissan di belakangnya dengan 3,015 unit bagi April iaitu menurun 30.7%. Mazda pula menduduki tangga ke-tujuh dengan hanya 1,305 unit terjual (-7.8%).

    Volkswagen pula telah ‘merampas’ tempat Mazda pada April 2016, dengan menduduki tangga ke-enam. Malah jenama ini juga telah mencatatkan jualan drastik pada bulan lalu iaitu dari 649 pada Mac meningkat 1,407 unit pada April, iaitu peningkatan sebanyak 116.8%. Selain itu, beberapa jenama turut mencatatkan peningkatan jualan termasuk BMW (666 unit, naik 3.9%), Peugeot (178 unit, 17.9%), Lexus (138 unit, 14.0%), Audi (113 unit, 11.9%) dan MINI (76 unit, 7%).

    Setakat ini, Perodua masih mengunggul keseluruhan jualan pasaran dengan penguasaan sebanyak 35.8% (62,078 unit), diikuti dengan Honda (24,741) dan Proton (23,702). Ia diikuti oleh Toyota (14,305) dan Nissan (13,788).

    Klik jadual di bawah untuk melihat data dengan lebih jelas.

    April-2016-Malaysian-car-sales_01

     
     
  • GALERI: Kia Sorento 2016 dipamerkan di bilik pameran pengedar sebelum hari pelancaran

    Kia_Sorento_Petrol_HS_Ext-2

    Walaupun Kia Sorento 2016 hanya akan dilancarkan esok, pengedar di Lembah Klang sudah pun mula mempamerkan SUV tujuh-tempat duduk berkenaan, lengkap dengan spesifikasi kesemua varian. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, model generasi UM yang bakal menggantikan generasi XM sebelum ini akan ditawarkan dalam varian 2.2 diesel LS, bersama dengan varian petrol 2.4 MS dan 2.4 HS.

    Sorento ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu sama ada enjin 2.2 liter CRDi turbodiesel yang berkuasa 200 PS pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 1,750 hingga 2,750 rpm, atau enjin petrol 2.4 liter MPI CVVT berkuasa 172 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 224 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa dari enjin dihantar kesemua roda menerusi sistem pacuan empat roda dan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Model 2.2 LS dijangka akan dijual pada harga RM158k, meletakkan ia sedikit mahal berbanding varian asas berkuasa petrol pesaing sekelasnya. Ia menerima lampu nyalaan siang LED, roda aloi 17-inci, sistem kunci pintar serta butang penghidup enjin.

    Kia_Sorento_Petrol_HS_Ext-17

    Pada bahagian dalaman, ia dilengkapi dengan cermin pandang belakang anti-silau, penghawa dingin automatik dua zon beserta ionizer, liang penghawa dingin pada tempat duduk barisan kedua, penderia parkir hadapan dan belakang serta paparan pelbagai informasi Supervision dengan skrin 3.5-inci. Walau bagaimanapun, kesemua tempat duduk hanya dibalut dengan fabrik dan tiada kamera undur disediakan untuk SUV bersaiz besar ini. Ia turut tidak dilengkapi dengan hubungan Bluetooth.

    Varian 2.4 MS yang dijangka akan dijual pada harga RM168k, dilengkapi dengan roda aloi dengan jejari-Y berdiameter 19-inci, lampue belakang LED, antena sirip yu, cermin hadapan acoustic, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh serta hubungan Bluetooth, kamera undur, tempat duduk elektrik larasan lapan-hala dengan sokongan lumbar elektrik pada bahagian pemandu, upholstery balutan kulit, penghadang cahaya matahari barisan-kedua, penghembus penghawa dingin berasingan untuk tempat duduk barisan ketiga, pintu tailgate berkuasa elektrik dan skrin untuk kargo belakakng.

    Kesemua ciri tadi turut dilengkapi pada varian tertinggi 2.4 HS dengan tambahan lampu hadapan xenon adaptif, roda aloi krom berdiameter 19-inci, Bantuan Parkir, dan paparan pelbagai info serta meter kelajuan dengan skrin Supervision penuh tujuh inci. Varian ini dijual pada jangkaan RM178k.

    Untuk keselamatan, kesemua varian dilengkapi dengan enam beg udara, ABS serta EBD dan Bantuan Brek (BA), kawalan kestabilan, sistem pantauan tekanan tayar serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

     
     
  • Honda Civic 2016 di Malaysia – tiga varian diperincikan

    Honda Caryn Civic variant list

    Nampaknya pengedar-pengedar Honda sekarang telah mula untuk menjual Honda Civic generasi ke-10 walaupun ia belum lagi dilancarkan. Posting dari laman Facebook Honda Caryn ini secara tidak langsung memperincikan varian dan spesifikasi model terbaharu yang akan menembusi pasaran Malaysia ini.

    Berdasarkan “brosur” tersebut, Honda Civic 2016 akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu varian NA tunggal dan dua lagi varian dengan pengecas turbo. Varian 1.8L NA akan dikuasakan dengan enjin 1.8 liter i-VTEC SOHC empat silinder berkuasa 141 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 174 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Varian ini akan dilengkapi dengan enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir), kamera undur, brek parkir elektronik (dengan fungsi auto brake hold), liang penghawa dingin belakang, tempat duduk hadapan larasan berkuasa lapan-hala, penghidup enjin kawalan jauh, kunci pintu automatik walk away dan sistem infotaimen Honda Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci sebagai ciri standard.

    Untuk model 1.5L VTEC Turbo varian pertengahan pula, ia ditambah dengan tempat duduk balutan kulit, cermin pandang belakang anti-silau, roda aloi dua ton berdiameter 17-inci, penukar gear dan kemasan-kemasan yang lebih premium.

    Akhir sekali varian tertinggi 1.5L VTEC Turbo Premium. Bersesuaian dengan namanya, kesemua ciri yang ada pada varian turbo lebih rendah dilengkapi pada model ini, dengan tambahan penghawa dingin automatik, lampu hadapan LED penuh dengan fungsi larasan sendiri serta lampu kabus LED.

    Kedua-dua varian dikuasakan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo baharu yang berupaya menjana 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 220 Nm yang bermula pada 1,700 rpm hingga 5,500 rpm. Tiada lagi kotak gear automatik lima-kelajuan ditawarkan dan kedua-dua jenis enjin Civic kini dipadankan dengan sistem transmisi CVT automatik.

    Ciri-ciri yang disenaraikan di sini nampak agak menarik, menampilkan pelbagai ciri yang tidak ditawarkan oleh pesaing sekelas dengannya. Walau bagaimanapun, kita perlu menunggu hari pelancaran model ini untuk mengesahkan kesemua ciri yang akan dipadankan. Sementara itu, anda boleh membaca dahulu ulasan berkenaan Civic generasi ke-10 ini yang telah kami uji di Thailand baru-baru ini.

    GALERI: Prebiu Honda Civic generasi ke-10 di Malaysia

     
     
  • Honda Future FI dengan warna baharu dan waranti tambahan, harga bermula RM6,072 hingga RM6,358

    Boon Siew Honda memperkenalkan tiga warna baharu untuk barisan Honda Future FI 2016. Selain itu, Future FI turut ditawarkan dengan tempoh perlindungan waranti yang dipanjangkan.

    Tiga warna baharu tersebut adalah Candy Red, Vital Blue Metallic dan Mariana Purple. Dua varian ditawarkan iaitu model yang dilengkapi brek cakera di hadapan dan belakang, manakala varian asas hanya dilengkapi dengan brek cakera di hadapan dan brek dram di bahagian belakang.

    FI merujuk kepada sistem pancitan bahan api (Fuel Injection) yang dipadankan pada enjin satu-silinder 124.9cc penyejukkan udara kapcai ini yang berkuasa 9.27 PS pada takat 7,500 rpm dan tork maksima 10.02 Nm pada takat 5,500 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.

    Motosikal ini ditimbang dengan berat hanya 105 kg untuk model brek cakera tunggal dan 107 kg untuk model brek cakera hadapan dan belakang. Ia dilengkapi dengan tangki bahan api 5.4 liter dan turut dipadankan dengan roda aloi sport. Ruang storan pada bahagian bawah tempat duduk juga agak besar dengan kapasiti 18 liter yang boleh memuatkan topi keledar full-face dan kelengkapan tunggangan yang lain.

    Seperti yang dinyatakan tadi, Boon Siew turut menawarkan waranti tambahan untuk Future FI iaitu tempoh perlindungan waranti selama dua tahun atau 20,000 km bersama waranti tambahan setahun atau 10,000 km khas untuk enjin. Honda Future FI model brek cakera tunggal dijual pada harga RM6,072, manakala untuk model brek cakera penuh ia dijual pada harga RM6,358. Kesemua harga yang dinyatakan adalah termasuk dengan GST.

     
     
  • GALERI: Honda HR-V berwarna Dark Ruby Red Pearl

    Honda_HRV_Red_Ext-2

    Honda Malaysia baru-baru ini memperkenalkan warna baharu dalam senarai pilihan warna untuk Honda HR-V. Warna yang dikenali sebagai Dark Ruby Red Pearl ini menggantikan warna Crystal Black Pearl dalam senarai pilihan warna sebelum ini. Bagi mereka yang belum berkesempatan mengunjungi bilik pameran Honda untuk melihat sendiri HR-V dengan warna baharu tersebut, anda boleh terlebih dahulu ‘mencuci mata’ di galeri yang kami sediakan ini.

    Seperti yang dapat dilihat, warna baharu ini turut hadir bersama roda aloi dua ton dengan kemasan akhir aloi-hitam berkilat berdiameter 17-inci. Roda aloi berkenaan adalah seiras dengan roda aloi HR-V untuk pasaran Thailand dan Indonesia. Roda aloi tersebut menggantikan roda aloi kemasan silver berdiameter 16-inci sebelum ini dan dipadankan ke kesemua varian HR-V iaitu 1.8 S, 1.8 E dan 1.8 V.

    Model pada galeri kami ini merupakan dari varian tertinggi 1.8 V, yang boleh dikenali dengan pemadanan lampu hadapan LED projektor. Selain dari warna dan roda, tiada lagi perubahan lain dilakukan bahagian luaran HR-V.

    Honda_HRV_Red_Ext-15

    Begitu juga dengan bahagian dalaman, ia kekal sama kecuali tambahan aksesori opsyenal terbaharu iaitu rak untuk bahagian kargo belakang yang ditawarkan pada harga RM550 termasuk GST. Harga jualan HR-V juga kini naik RM672.44 untuk semua varian.

    Oleh itu, HR-V varian asas 1.8L S kini dijual pada harga RM99,129.67 (sebelum ini RM98,457.23), varian pertengahan 1.8L E berharga RM108,481.63 (sebelum ini RM107,809.19). Manakala untuk varian tertinggi 1.8L E, ia kini berharga RM118,606.03 (sebelum ini RM117,933.59).

    Kesemua harga yang disebut adalah harga atas jalan dan tanpa insurans dan termasuk dengan perlindungan waranti lima tahun (perbatuan tanpa had) serta servis penyelenggaran enam kali berselang seli secara percuma dengan penyelenggaran berbayar sehingga 100,000 km.

    Selain dari warna Dark Ruby Red Pearl, HR-V masih lagi ditawarkan dengan warna Ruse Black Metallic, Taffeta White dan Modern Steel Metallic. Warna Alabaster Silver Metallic turut digugurkan dari senarai pilihan warna dan dikhabarkan akan digantikan dengan warna lain pada masa akan datang.

     
     
  • Pusat 4S BMW Kuantan dilancarkan

    BMW 01

    BMW Group Malaysia memperkenalkan Millennium Welt Kuantan sebagai penambahan terbaharu dalam rangkaian pengedarnya di Malaysia. Dengan premis yang terletak di Jalan Teluk Sisik di Kuantan, Millennium Welt Kuantan menyediakan kemudahan 4S yang komprehensif kepada para pelanggan di seluruh negeri Pahang dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Negeri Pahang dan kawasan sekitarnya di Pantai Timur adalah pasaran yang sedang membangun untuk kami. Kawasan ini menyumbangkan lebih 150 buah kenderaan kepada segmen premium dan mempunyai potensi pertumbuhan sehingga 20% untuk beberapa tahun akan datang.”

    Memiliki ruang binaan seluas 28,000 kaki persegi, pengedar 4S baharu ini diselia oleh lebih 20 orang kakitangan yang berdedikasi. Ia juga mampu mempamerkan sehingga enam buah kenderaan di ruang pamerannya.

    Konsep dan seni bina Millennium Welt Kuantan menampilkan perabot serta identiti terkini jenama BMW. Ia juga menepati semua standard dan spesifikasi bertaraf antarabangsa yang ketat. Pengedaran ini turut merangkumi ruang kerja untuk kakitangan jualan dan penasihat jualan, Isetta Café, sebuah lounge pelanggn, ruang penyerahan kenderaan dan tempat perbincangan.

     
     
  • Pelan pemulihan Proton dijangka akan berjalan dengan pinjaman RM1.5 bilion dari kerajaan

    Proton_Perdana-10

    Proton dijangka akan mengurangkan hutangnya dan mula untuk menjalankan usaha pemulihannya dengan pinjaman RM1.5 billion yang diluluskan oleh kerajaan bulan lalu, lapor The Sun.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berkata pinjaman berkenaan diluluskan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Proton dalam industri automotif dalam dan luar negara.

    “Objektif utama pinjaman bernilai RM1.5 bilion tersebut adalah untuk membolehkan Proton membayar kesemua vendor yang membekalkan komponen kepada syarikat berkenaan. Ini akan memberi peluang kepada Proton untuk mengurangkan hutang dan fokus kepada pemulihan dan pembangunan semulanya,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli semasa sesi perbahasan parlimen. Beliau turut menambah kerajaan turut mengambil kira aspek penting yang lain seperti pekerjaan, ekosistem perniagaan serta penyelidikan dan pembangunan.

    “Kami turut mengambil berat kepentingan sekitar 60,000 orang pekerja dan vendor. Ini adalah sebab mengapa kami membuat keputusan untuk memberikan mereka pinjaman. Kami harap Proton akan melakukan yang lebih baik kerana ia penting untuk 60,000 pekerja yang bekerja di bawah syarikat tersebut,” kata Mustapa pada April lalu.


    Klik untuk besarkan

    Apabila pinjaman tersebut telah diluluskan pada 8 April lalu, Mustapa berkata kerajaan telah menetapkan beberapa syarat untuk dipenuhi Proton, termasuk syarikat tersebut perlu untuk “meyakinkan kerajaan” dengan model perniagaan baharu mereka. Proton juga perlu menyediakan pelan strategik untuk mengembangkan pasaran domestik dan antarabangsa mereka, dan jawatankuasa khas yang diketuai oleh CEO Pemandu Datuk Seri Idris Jala yang akan memantau pelan transformasi Proton tersebut.

    Proton yakin nasib mereka akan berubah. “Pengumuman dari kerajaan berkenaan akan memangkin pelan pemulihan Proton, termasuk pelancaran tiga model baharu yang dijadualkan pada tahun ini bermula dengan Perdana. Dengan rombakan semula yang dilakukan pada ahli baharu dalam pengurusan, kami yakin akan pulih semula,” kata CEO baharu Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali selepas pengumuman pinjaman tersebut dibuat.

    “Proton juga sentiasa berhubung dengan rakan kongsi strategiknya untuk meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan tawaran produknya dalam pasaran. Saya percaya bantuan dari kerajaan akan mengukuhkan keyakinan rakan kongsi kami dalam Proton,” kata Fuaad. “Kami mengalu-alukan pembentukan jawatankuasa khas tersebut dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan mereka untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan dicatatkan oleh Proton,” tambah beliau.

    Proton dijangka akan melancarkan Perdana, Persona dan Saga baharu tahun ini. Laporan dari The Edge sebelum ini juga mengatakan Renault and Groupe PSA (sebelum ini dikenali sebagai PSA Peugeot Citroen) sedang berbincang dengan pengeluar automotif nasional tersebut berkenaan kerjasama strategik yang mungkin dapat dilakukan. Proton juga kini sedang bekerjasama dengan Suzuki dan dijangka akan melancarkan MPV Ertiga versi mereka yang turut dijadualkan mula menembusi pasaran tahun ini.

     
     
  • Singapura turunkan kadar ERP sempena cuti sekolah

    johor causeway jam bernama pix

    Pastinya ada ibu bapa yang merancang membawa anak-anak pergi bercuti ke Singapura sempena cuti sekolah pertengahan tahun yang bermula hujung minggu ini. Sehubungan itu, pihak kerajaan Singapura telah membuat keputusan untuk menurunkan kadar Bayaran Jalan Raya Elektronik (ERP) bagi jalan dan lebuh raya terpilih, laporan Bernama

    Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura berkata kadar disemak semula itu terpakai dari 28 Mei hingga 26 Jun dan akan kembali kepada kadar pracuti sekolah mulai 27 Jun.

    Orang ramai boleh menyemak kadar ERP melalui laman sesawang LTA.

    Dalam tempoh tertentu, kadar itu diturunkan antara 50 sen hingga satu dolar dan sesetengahnya akan menyaksikan kadar ERP antara sifar hingga dua dolar.

    Cuti sekolah di Malaysia dari 28 Mei hingga 12 Jun adalah lebih pendek daripada di Singapura, yang bermula pada tarikh sama tetapi berakhir pada 26 Jun.

    Dalam masa yang sama, LTA juga mengumumkan waktu operasi Permit Masuk Kenderaan (VEP) dipendekkan sepanjang cuti sekolah Jun ini dan akan berakhir pada tengah hari pada hari biasa mulai 28 Mei hingga 26 Jun.

    LTA berkata pemandu kereta dan penunggang motosikal dengan nombor pendaftaran asing tidak perlu membayar sebarang bayaran VEP pada sesuatu hari sekiranya mereka masuk ke Singapura selepas tengah hari dan meninggalkan republik ini menjelang 2 pagi hari berikutnya pada hari biasa dalam tempoh itu.

    Bayaran VEP terus tidak dikenakan pada Sabtu, Ahad dan cuti umum di Singapura, katanya.

    Skim VEP diperkenalkan bagi mengawal selia kemasukan kereta dan motosikal yang didaftarkan di luar negara ke Singapura.

     
     
  • 200,260 EEV dijual pada tahun 2015 – Mustapa

    Perodua-GearUp-Axia-Live-22

    Sebanyak 200,260 unit kenderaan cekap tenaga (EEV) atau 34% telah terjual iaitu daripada jumlah keseluruhan 591,298 unit kenderaan penumpang pada tahun lalu, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed,jumlah itu meningkat sebanyak 19% berbanding tahun sebelumnya.

    “Dakwaan mengenai kenderaan EEV dan hibrid tidak mendapat sambutan yang menggalakkan adalah tidak benar,” ujarnya pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Ia adalah bagi menjawab pertanyaan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Teluk Kemang) mengenai galakan yang diberikan kerajaan terhadap orang ramai untuk membeli kenderaan EEV dan Hibrid selain punca kenderaan itu tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.

    Mustapa berkata inisiatif kerajaan memberi pengecualian duti import dan duti eksais telah menggalakkan semakin banyak syarikat yang memperkenalkan model hibrid masing-masing untuk pasaran tempatan.

    Menurutnya setakat ini kenderaan yang diiktiraf sebagai EEV termasuk model di bawah jenama Perodua, Honda, Toyota, Mercedes, BMW, Nissan dan Renault.

     
     
  • Honda Malaysia lanjutkan panggilan semula terhadap 58,140 lagi kenderaan keluaran mereka berhubung masalah inflator beg udara bahagian pemandu Takata

    Honda-May-24-Recall_BM

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengeluarkan kenyataan panggilan semula terhadap 58,140 lagi kenderaan-kenderaan keluaran mereka berhubung masalah inflator beg udara.

    Jumlah kenderaan, jenis kenderaan dan tahun dibuat yang terlibat dalam sesi panggilan semula kali ini adalah seperti seperti jadual diatas.

    Unit inflator beg udara bahagian pemandu pada kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini akan ditukar dengan unit yang baharu. Langkah proaktif ini dilakukan adalah untuk memastikan keselamatan pelanggan.

    Kesemua pemilik kenderaan yang terlibat akan diberitahu melalui surat pemberitahuan yang turut mengandungi butiran panggilan semula ini. Pelanggan yang menerima surat tersebut adalah dinasihatkan untuk menghantar kenderaan anda ke pusat servis Honda yang sah untuk diperiksa. Penukaran alat ganti yang terlibat akan dilakukan sejurus selepas alat ganti tersebut diterima. Segala kos alat ganti dan kos buruh juga ditanggung sepenuhnya oleh pihak HM.

    Honda Malaysia kesal dengan kesulitan yang dihadapi oleh kesemua pelanggan yang terlibat. Mereka juga turut sekali lagi menyatakan kesemua model yang dijual buat masa sekarang adalah sama sekali tidak terlibat dengan panggilan semula yang dijalankan ini. Mereka juga turut sedang berusaha untuk menggesa semua pemilik kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula melibatkan beg udara bahagian pemandu ini agar datang segera ke pusat servis Honda bertauliah untuk diperiksa.

    Panggilan semula terhadap unit inflator beg udara Takata ini berlaku di peringkat global. Inflator tersebut dilaporkan pecah dahulu sebelum ia meletupkan beg udara atas beberapa faktor.

    Bagi mereka yang mempunyai kenderaan Honda terutamanya yang telah lama tidak berhubung dengan Honda Malaysia, anda digalakkan untuk menyemak kenderaan anda sama ada terlibat atau tidak dengan panggilan semula yang diumumkan di laman web Honda Malaysia atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020. Anda juga boleh kunjungi mana-mana pusat servis bertauliah Honda untuk menyemak status tersebut.

    Screen Shot 2016-05-04 at 9.50.41 PM

     
     
  • MIROS mencadangkan had umur minima pemegang lesen motosikal diturunkan dari 16 ke 15 tahun

    saigon-motorbike

    Dengan lebih 90,000 pelajar menunggang motosikal ke sekolah setiap hari tanpa lesen yang sah, satu cadangan dibuat untuk menurunkan had umur permulaan pemegang lesen motosikal dari 16 tahun ke 15 tahun bagi membenarkan golongan muda memiliki lesen yang sah, lapor New Starits Times.

    Cadangan tersebut dibuat oleh pengerusi Institut Keselamtan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Tan Sri Lee Lam Thye, yang mengatakan jika ia dilakukan, bakal meningkatkan keselamatan jalan raya.

    Ia sebagai respon beliau terhadap laporan yang mengatakan 80% dari sekitar 117,000 pelajar sekolah di Malaysia yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen. Mereka-mereka yang melakukan kesalahan berkenaan adalah terdiri daripada pelajar berumur antara 11 hingga 20 tahun di kawasan luar bandar.

    “Dengan menurunkan had umur permulaan yang dibenarkan, ia akan menggalakkan golongan muda untuk memohon lesen memandu yang sah dan melalui latihan yang betul sebelum menunggang di jalan raya. Saya berharap kerajaan dan JPJ boleh mengimplementasi had umur baharu ini untuk membolehkan golongan remaja memohon lesen menunggang motosikal. Mereka perlu diberikan lesen ‘L’ yang sah, dengan syarat mereka tidak dibenarkan untuk membonceng individu lain bersama mereka,” kata beliau.

    driving riding licence categories

    Lee turut menambah kerajaan perlu juga menimbangkan untuk menyediakan insentif kepada remaja bagi menggalakkan mereka memohon lesen memandu yang sah, dan ibu bapa perlu berusaha untuk mendidik anak-anak mereka tentang kepentingan keselamatan jalan raya.

    Walau bagaimanapun cadangan beliau tidak dipersetujui oleh pihak lain. Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sistem di mana penguatkuasaan, pendidikan, dan hukuman yang tegas perlu digunakan. “Peraturan yang lebih baik dalam undang-undang adalah lebih penting daripada merombak semula had umur. Secara am, pelajar belum lagi bersedia untuk menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab pada umur 15 tahun dan ini merupakan sebab utama mengapa had umur minima yang ditetapkan sekarang ialah 16 tahun,” jelas beliau.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut menentang cadangan tersebut. Beliau berkata ibu bapa perlu bertanggungjawab kerana membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.

    “Kami mahu ibu bapa dibimbing melalui pendidikan. Mereka boleh ditegur, jika tidak mustahil, dan mereka perlu memahami yang kita ada undang-undang dan peraturan khas semasa menggunakan jalan raya. Kami akan mengeluarkan saman kepada mereka yang ditangkap menunggang tanpa lesen. Ada pihak yang perlu bertanggungjawab kerana melakukan kesalahan jalan trafik,” jelas Liow.

     
     
  • Bukit Aman: 455,458 saman tertunggak dan waran tangkap dikeluarkan kepada warga asing sejak 2010

    operation-ops-police-overdue-summons-foreigner-pdrm

    Bahagian Trafik Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan, sebanyak 455,458 saman tertunggak dan waran tangkap terhadap warga asing direkodkan sejak 2010, laporan Bernama.

    Menurut Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus, daripada jumlah itu, sebanyak 364,473 melibatkan saman pelbagai kesalahan dan 90,985 pula melibatkan waran tangkap.

    “Daripada jumlah itu, warga Singapura telah mencatatkan jumlah saman tertunggak paling tinggi iaitu 173,667 saman dan waran tangkap tertinggi melibatkan warga Brunei dengan 77,857 waran.

    “Ops Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) yang dilaksanakan sejak empat hari lepas, merekodkan 2,735 saman dan 165 waran tangkap berjaya dikeluarkan selepas melakukan pemeriksaan terhadap 6,776 kenderaan,” ujarnya.

    Katanya lagi, polis menggunakan peranti Sistem Bayaran Kompaun Dalam Talian (MCOPS) dan juga alat pengimbas nombor plat kenderaan (ANPR) untuk kesan pemilik kenderaan yang memiliki waran tangkap dan saman trafik tertunggak.

    Beliau berkata menerusi operasi itu, seramai 166 anggota dan pegawai polis ditugaskan melaksanakan operasi tersebut melibatkan tiga negeri bersempadan dengan negara jiran iaitu Kedah, Perak dan Perlis.

    Mahamad Akhir berkata bagi pesalah trafik tempatan, mereka perlu menyelesaikan hampir sejuta saman tertunggak dan waran tangkap.

     
     
  • Isuzu D-Max Beast edisi terhad dilancar – hanya 360 unit, 2.5L dan 3.0L, harga bermula RM120k – RM128k

    Isuzu-D-Max-Beast-8

    Isuzu Malaysia baharu sahaja melancarkan trak pikap edisi terhad Isuzu D-Max Beast sebentar tadi. Trak pikap edisi terhad ini hanya dihasilkan sebanyak 360 unit, menjadikannya ia sebuah jentera yang eksklusif.

    D-Max Beast masih lagi mengekalkan ciri-ciri asas D-Max varian tertinggi tetapi dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri tambahan dan aksesori ‘edisi-terhad’ bagi meletakkannya pada tahap tersendiri.

    Pada bahagian luaran, boleh dilihat D-Max Beast tampil dengan rupa keseluruhan yang lebih garang dan agresif. Trak pikap ini ditawarkan dengan hanya warna Magnum White dan Titan Silver sahaja, digabungkan dengan kemasan hitam berkilat pada pelindung bampar hadapan. Keseluruhan trim krom pada D-Max biasa diganti dengan dengan kemasan hitam berkilat pada model Beast ini.

    Isuzu-D-Max-Beast-38

    Kemasan lain yang turut diwarnakan dengan warna hitam termasuk rel bumbung, gril hadapan, penutup cermin sisi, kemasan ruang roda dan juga bampar belakang. Kemasan berwarna hitam yang unik juga dilengkapkan pada kedua-dua belah lampu hadapan.

    Trak pikap edisi terhad ini juga turut dilengkapi dengan pelekat ‘BEAST’ pada bahagian sisi dan pintu tailgate belakang serta pemegang nombor pendaftaran ’Beast’ edisi terhad.

    Antara ciri lain yang masih kekal sama seperti D-Max varian tertinggi adalah lampu hadapan sistem Elipsoid, lampu nyalaan siang LED, dan lampu belakang LED.

    Bahagian dek belakang Beast menerima ‘bar kuku’ pada bahagian sisi, penutup dan juga spoiler dek sama seperti yang terdapat pada D-Max Diablo edisi terhad.

    D-Max Beast dilengkapi dengan roda aloi istimewa ‘Ravenous’ berdiameter 17-inci pelbagai jejari dengan kemasan hitam. Roda-roda aloi ini dibaluti dengan tayar bersaiz 255/65R17.

    Bahagian dalaman, Beast diberi dominasi kemasan berwarna kelabu gelap. Kesemua tempat duduk menerima balutan kulit premium itali dua ton, manakala bahagian upholstery lain seperti roda stereng tiga jejari dan perehat tangan tengah hadapan turut menerima balutan kulit. Beast juga menerima set karpet edisi terhad istimewa.

    Panel instrument pula dilengkapi dengan skrin paparan pelbagai informasi TFT e-Lumax. Manakala untuk sistem infotaimen, trak pikap ini dilengkapi dengan skrin sesentuh Kenwood dengan sistem DVD beserta sistem audio BONGIOVI Acoustic.

    Isuzu-D-Max-Beast-34

    Ciri lain yang turut terdapat pada bahagian dalaman termasuk sistem kunci pintu berpusat automatik dengan penderia kelajuan, tingkap berkuasa dengan sistem anti-sekatan pada bahagian pemandu dan juga bendul sisi dengan lampu berlogo Isuzu.

    Hanya varian 3.0L ditawarkan dengan sistem penghawa dingin automatik manakala untuk varian 2.5L, ia hanya dilengkapi dengan sistem penghawa dingin manual.

    Trak pikap edisi terhad ini masih dikuasakan dengan dua varian enjin yang sama seperti D-Max biasa. Enjin turbodisel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm menjana varian 2.5L. Manakala varian 3.0L, ia dijana dengan enjin turbo diesel 3.0 liter 4JJ1-TCX VGS berkuasa 177 PS dengan tork maksima 380 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm.

    Isuzu-D-Max-Beast-9

    Kedua-dua varian enjin hanya dilengkapi dengan pilhan transmisi automatik lima-kelajuan automatik dengan mod manual, tetapi tanpa penukar gear di roda stereng. Sistem pacuan empat roda juga tidak berubah dengan suis pemilih jenis putaran kekal diletakkan pada bahagian belakang tuil gear.

    Untuk ciri keselamatan, Isuzu D-Max Beast dilengkapi dengan dua beg udara, brek ABS dengan sistem EBD dan BA, kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

    Isuzu D-Max Beast varian 2.5L di jual pada harga RM119,559.44 manakala untuk varian 3.0L dijual pada harga RM127,547.56. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Trak pikap ini juga dilindungi dengan waranti pengeluar tiga tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu).

     
     
  • Proton panggil semula Inspira dan Exora CPS 1.6

    Proton-Exora-Inspira-Recall

    Berikutan panggilan semula global yang dilakukan oleh Mitsubishi Motors Corporation (MMC) berhubung suis indikator sebelah kanan yang tidak berfungsi pada Mitsubishi Lancer, Proton turut memanggil semula Proton Inspira yang diasaskan dari sedan segmen-C yang sama untuk memperbaiki kerosakan yang serupa.

    Panggilan semula tersebut melibatkan sejumlah 20,330 unit Proton Inspira yang diproduksi antara 2010 hingga 2014.

    Dalam masa yang sama, Proton turut memanggil semula sekitar 90,000 unit Exora CPS 1.6 yang diproduksi dari 2009 hingga 2015. Proton memanggil semula unit-unit Exora tersebut untuk dilakukan pemeriksaan pada bahagian sistem penghantaran bahan api.

    Pelanggan dinasihatkan untuk membuat temu janji terlebih dahulu untuk memperbaiki kerosakan-kerosakan yang dinyatakan di pusat servis Proton bertauliah. Kesemua kos alat-ganti dan kos buruh adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak Proton. Untuk info lanjut, pelanggan boleh menghubungi Proton di talian bebas tol 1800-888-398 atau email kepada [email protected].

     
     
  • Kerajaan Johor akan pastikan lubang pada jalan raya di negeri tersebut diperbaiki dalam masa 24 jam

    Bad-road-2

    Kerajaan Johor kini menetapkan lubang pada jalan raya perlu diperbaiki dalam masa 24 jam di negeri tersebut. Syarikat konsesi di negeri itu juga perlu menyediakan talian pusat khas untuk menangani aduan orang ramai menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor Datuk Ir. Haji Hasni Bin Haji Mohammad, lapor The Star.

    Sejumlah RM390 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Johor untuk menyelenggara jalan raya dengan jarak keseluruhan 1,942 km dalam negeri tersebut untuk tiga tahun akan datang. “Kesemua syarikat konsesi ini perlu memperbaiki jalan yang berlubang dalam masa 24 jam,” kata Hasni, kemudian mencadangkan kesemua syarikat konsesi menubuhkan pasukan bergerak sendiri untuk memantau jalan raya dalam kawasan mereka.

    “Memperbaiki jalan berlubang merupakan tugas yang penting. Setakat ini, salah sebuah syarikat konsesi yang dilantik telah pun mewujudkan talian pusat mereka dan yang lain sedang dalam usaha melakukan perkara yang sama. Selain memperbaiki lubang, mereka turut bertanggungjawab dalam tugas lain termasuk memastikan papan tanda kekal bersih, memperbaiki jalan yang tidak rata dan memotong rumput,” jelas Hasni lagi.

    Beliau juga turut menjelaskan kawasan sekitar kuari perlu dipantau secara lebih dekat, terutamanya jalan yang biasa dilalui oleh kenderaan berat. “Jalan di sekitar Pasir Gudang dan kawasan bandar di mana banyak dilalui oleh kenderaan berat perlu di pantau,” tambah Hasni.

    Hasni turut memberitahu jawatankuasa kerja raya negeri akan memantau kesemua kerja-kerja pembaikkan yang dilakukan oleh syarikat konsesi. Kempen “lubang jalan raya sifar” telah dilancarkan minggu lalu oleh Menteri Besar Johor Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memastikan jalan raya dalam negeri tersebut di selenggara dengan betul. DBKL turut mensasarkan perkara yang sama untuk jalan raya sekitar Kuala Lumpur menjelang tahun 2017.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024