Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia perkenal pasukan bergerak – dekati pelanggan bagi penukaran inflator beg udara Takata

    Honda Malaysia hari ini memaklumkan semua 84 pengedar sah Honda Service di seluruh negara akan menggerakkan petugas-petugasnya untuk pendekatan dari rumah ke rumah bagi pelanggan yang terlibat (untuk menukar beg udara Takata), di kediaman mereka bermula sekarang hingga 31 Disember nanti.

    Aktiviti berkenaan adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran dan menjelaskan kepentingan penukaran inflator beg udara Takata bagi pemandu dan penumpang depan sebagai lanjutan kepada kempen secara percuma yang dijalankan selama ini bagi tujuan yang sama.

    Pendekatan terbaharu ini adalah tambahan kepada aktiviti penukaran yang sama yang dijalankan di Hab Servis Honda, yang terletak di beberapa pusat beli-belah utama, serta acara jelajah seperti Honda Family Road Trip. Pelanggan adalah sangat digalakkan untuk menukar inflator beg udara Takata pemandu dan penumpang secepat mungkin.

    Honda Malaysia perkenal pasukan bergerak – dekati pelanggan bagi penukaran inflator beg udara Takata

    Inflator yang terkesan boleh mengelembung dengan tekanan dalaman yang berlebihan sekiranya diaktifkan. Bekas yang menempatkan inflator berkenaan mungkin akan menghasilkan serpihan, yang akan membawa kepada risiko kecederaan atau kemalangan maut kepada pemandu atau penumpang.

    Pasukan dari rumah ke rumah dari pengedar sah Honda Service ini akan mengenakan pakaian seragam Honda (sila rujuk gambar yang disertakan) berserta surat pengesahan untuk memudahkan pelanggan mengenal pasti kesahihan pasukan ini.

    Pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020 atau pengedar sah Honda Service untuk pengesahan lanjut ketika dikunjungi oleh pasukan ini. Pasukan bergerak ini juga akan membuat temujanji untuk menukar peralatan yang dimaksudkan terus di lokasi tersebut jika perlu, bagi pelanggan yang benar-benar tidak dapat berkunjung ke hab sementara atau pengedar berdekatan.

    Honda Malaysia perkenal pasukan bergerak – dekati pelanggan bagi penukaran inflator beg udara Takata

    Dalam masa yang sama, Honda Malaysia menggesa pelanggan yang terlibat untuk membuat temujanji di mana-mana pengedar sah Honda Service atau Hab Sentral Servis Honda untuk penukaran berkenaan. Setakat 8 Disember, Honda Malaysia telah berjaya menyelesaikan 68% daripada penukaran alat berkenaan, dan sedang sedaya-upaaya meningkatkan peratusan berkenaan.

    Sebagai tambahan, Honda Malaysia juga sedang giat berkerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendekati pemilik semasa model-model Honda yang terlibat, berdasarkan data jabatan itu. Untuk maklumat lanjut, pelanggan digalakkan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau memeriksa status kenderaan mereka di www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my.

     
     
  • Ford Mustang Shelby FP350S – kereta lumba terus dari kilang, untuk pasaran awam di Amerika Syarikat

    Ford Mustang Shelby FP350S – kereta lumba terus dari kilang, untuk pasaran awam di Amerika Syarikat

    Mustang ganas yang anda lihat ini adalah Ford Mustang Shelby FP350S, dipertonton semasa pameran industri lumba prestasi di Indianapolis, Amerika Syarikat (AS). Ia adalah sebuah kereta lumba yang tidak boleh dipandu atas jalan biasa, tetapi boleh dibeli oleh sesiapa sahaja di wakil pengedar sah Ford di AS.

    Shelby FP350S direka untuk acara perlumbaan jalan pecut dalam kelas termasuk, Trans Am (TA3 and TA4), NASA dan perlumbaan kelab SCCA (T1 and T2). Walaubagaimanapun, ia tidak terhad kepada kelas yang disebutkan tadi sahaja.

    Model ini adalah penawaran terbaru Ford Performance bagi kenderaan lumba yang siap terus dari kilang seperti model sebelum ini iaitu FR500C, Boss 302R, 302S dan terbaru, Ford Shelby GT350R-C dan GT4 yang dipertonton pertama kali semasa SEMA 2016 dan berjaya memenangi kejuaraan IMSA Continental Tire SportsCar Challenge.

    Ford Mustang Shelby FP350S – kereta lumba terus dari kilang, untuk pasaran awam di Amerika Syarikat

    Ford Mustang Shelby FP350S dikuasakan oleh enjin 5.2 liter V8 yang disiapkan oleh Ford Performance Parts, dan dilengkapi antaranya dengan takung minyak dan penyejuk minyak prestasi, sistem ekzos lumba dan transmisi manual dengan pam minyak di dalam, penukar gear dan nisbah pacuan akhir belakang (rear final drive ratio) 3.73 daripada Tremec 3160.

    Kelengkapan lain adalah termasuk casis unibody yang diperkuat dengan kimpalan jenis seam, roll-cage enam penjuru standard FIA, komponen suspensi berorientasikan lumba termasuk kalibrasi stereng elektronik dan sistem brek prestasi tinggi. Mustang lumba ini menggunakan rim 19 inci, dengan tayar 10.5 inci lebar di hadapan dan 11 inci di belakang. Terdapat juga pembelah angin dan sayap belakang gentian karbon daripada Ford Performance pada kenderaan ini. Data berkenaan operasi kereta ini boleh didapati dengan adanya unit MOTEC manakala kedudukan pemandu dijaga dengan tempat duduk Sparco spesifikasi FIA dan roda stereng yang boleh ditanggalkan.

    Barangan tambahan lain turut disediakan termasuk pakej rim 18 x 11 inci dan grafik khas. Ford juga ada membuat Mustang lumba untuk pasaran global seperti Mustang GT4.

    GALERI: Ford Mustang 5.0L GT V8 pasaran Malaysia

    GALERI: Ford Mustang 2.3L EcoBoost pasaran Malaysia

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz E-Class Coupe ditemui lagi; AMG E50 Coupe guna enjin enam silinder turbo baru

    SPYSHOT: Mercedes-Benz E-Class Coupe ditemui lagi; AMG E50 Coupe guna enjin enam silinder turbo baru

    Barisan kenderaan Mercedes-Benz E-Class Coupe akan didatangkan dengan paling tinggi, model Mercedes-AMG E 50 4Matic, yang mana akan menjadi antara kereta pertama yang menerima enjin baru enam silinder petrol oleh syarikat itu. Dalam keadaan standard, enjin 3.0 liter dengan turbo elektrik ini mampu menghasilkan 402 hp, dan ini juga adalah hasil daripada sistem elektrik 48V yang termasuk pemula generator bersepadu dan compressor elektrik yang dapat meningkatkan boost.

    Menurut laporan Autocar, barisan model Mercedes-Benz E-Class Coupe terdiri daripada yang menggunakan enjin empat dan enam silinder, dalam kedua-dua petrol dan diesel. Ini bermula dengan E 200 Coupe yang menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder petrol dengan pengecas turbo yang berkuasa 181 hp dan E 300 Coupe yang menggunakan enjin sama tetapi mempuyai kuasa 241 hp. Model petrol lain adalah E 400 Coupe yang menggunakan enjin enam silinder turbo.

    Bagi enjin diesel, model E 220 d Coupe akan menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbodiesel baru, dengan 192 hp, manakala E 350 d Coupe menggunakan enjin 3.0 liter V6 turbodiesel dengan 250 hp.

    SPYSHOT: Mercedes-Benz E-Class Coupe ditemui lagi; AMG E50 Coupe guna enjin enam silinder turbo baru

    E-Class Coupe akan ditawarkan dalam kedua-dua pacuan roda belakang dan pacuan semua roda di antara varian untuk semua model, kecuali E 300 Coupe yang cuma didatangkan dengan pacuan roda belakang sahaja. Transmisi standard adalah automatik sembilan kelajuan manakala transmisi manual hanya boleh didapati pada E 200 Coupe.

    E-Class Coupe menggunakan nama kod dalaman C238, dan ia dibina atas platform MRA, selain berkongsi kebanyakan bahagian dalamnya dengan varian sedan dan wagon. Walaupun bentuk papan pemuka dikongsi, model Coupe ini dilihat mempunyai corong pendingin hawa yang berbeza.

    Seperti biasa bagi model dua pintu, Mercedes-Benz melengkapkan E-Class Coupe dengan pembantu tali pinggang bagi memudahkan pemandu dan penumpang hadapan mencapai tali pinggang setelah duduk. E-Class Coupe ini juga akan menjadi asas kepada E-Class Cabriolet baru yang dijangka membuat penampilan semasa Geneva Motor Show tahun depan.

     
     
  • Perodua tawar jualan hujung tahun – diskaun RM1,200 untuk Axia, RM3k Alza, RM3,200 Bezza, RM5k Myvi 1.5

    Perodua tawar jualan hujung tahun – diskaun RM1,200 untuk Axia, RM3k Alza, RM3,200 Bezza, RM5k Myvi 1.5

    Pejam celik, pejam celik, kita sudah menghampiri detik terakhir 2016, dan seperti kebiasannya pengeluar kenderaan pasti akan memberikan tawaran diskaun untuk jualan sempena akhir tahun ini. Perodua juga tidak ketinggalan dalam hal ini, dengan menawarkan diskaun sehingga RM5,000 bagi beberapa modelnya yang terpilih.

    Tawaran tersebut akan berlangsung sepanjang Disember ini, termasuk rebat RM1,200 untuk Axia 1.0 Standard G auto, bagi yang mahu membeli MPV Alza, bakal menikmati penjimatan sebanyak RM3,000 untuk Alza 1.5 S dan RM2,000 bagi Alza 1.5 Advanced.

    Malah Bezza turut termasuk dalam tawaran ini, dengan potongan sebanyak RM1,500 bagi Bezza 1.0 Standard G, rebat RM3,000 untuk Bezza 1.3 Premium X dan Bezza 1.3 Advance ditawarkan dengan potongan sebanyak RM3,200. Akhir sekali, Myvi 1.5 bakal menerima penjimatan terbesar dengan potongan sebanyak RM3,800 untuk Myvi 1.5 SE manual, diskaun RM5,000 bagi Myvi 1.5 SE auto dan juga rebat RM4,000 untuk Myvi 1.5 Advance.

     
     
  • Lexus tayang teaser model unggul LS generasi akan datang – bakal diperkenalkan di Detroit 2017

    Lexus tayang teaser model unggul LS generasi akan datang – bakal diperkenalkan di Detroit 2017

    Imbas kembali sejarah terdahulu pada tahun 1989 apabila Lexus melakukan kejutan dengan memperkenalkan model mewah LS 400, yang dibikin untuk dipamerkan di Detroit Auto Show. Pelancarannya menandakan kelahiran jenama Lexus dan LS yang asalnya telah menawarkan prestasi, kesenyapan dan kemewahan yang berpadanan, bagi berhadapan dengan pesaingnya yang lain pada era tersebut.

    Tahun demi tahun berlalu, kini memasuki angka ke 28 tahun usianya, Lexus bakal memperkenalkan model unggul LS generasi kelima di North American International Auto Show 2017 yang bakal berlangsung bulan hadapan. Ia akan menjadi “kereta bertaraf dunia” dengan merentasi lebih 90 buah negara di seluruh global, ditampilkan dengan imej baharu yang lebih menonjol serta gaya ala coupe.

    Ia dibangun berdasarkan senibina global serba baharu ciptaan Lexus bagi kenderaan mewah (GA-L), platform pacuan roda-belakang – merupakan versi lanjutan yang pernah digunakan oleh LC Coupe, dengan menawarkan pengalaman lebih berdinamik di jalan raya, itu janji Lexus. Malah ia turut menawarkan kabin yang luas, sarat dengan elemen mewah dan dipenuhi pelbagai teknologi terkini. Malah ia juga disasarkan untuk bersaing dengan model termasuk Mercedes-Benz S-Class dan BMW 7 Series.


    GALERI: Spyshot Lexus LS akan datang

     
     
  • HSR KL-Singapura – bidaan tender akan dinilai pada penghujung 2018; akan dilakukan dengan telus

    HSR KL-Singapura – bidaan tender akan dinilai pada penghujung 2018; akan dilakukan dengan telus

    Bidaan tender untuk membina High-Speed Rail (HSR) yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur akan dinilai pada penghujung 2018. Ini adalah menurut agensi yang mengendalikan kepentingan Malaysia dalam projek berkenaan, MyHSR.

    Akhbar Singpura, The Straits Times melaporkan, dokumen tender bagi pakej sistem berkenaan – melibatkan trek sebenar dan gerabak kereta api – akan dikeluarkan penghujung tahun hadapan, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Eksekutif MyHSR, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal ketika pembentangan sulung projek berkenaan sebelum ini.

    “Selepas tender ini dibuka pada suku terakhir 2017, pembida akan diberikan tempoh setahun untuk mengemukakannya. Kemudian, kedua-dua negara akan menilainya,” jelas beliau dalam satu taklimat semalam. Taklimat oleh MyHSR dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu diadakan menjelang acara menandatangai persefahaman antara kedua-dua negara yang dijangka berlangsung minggu depan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Raza akan menyaksikan majlis tandatangan itu di Putrajaya bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. Proses tender berkenaan akan berjalan dengan adil dan telus. HSR dijangka akan libatkan kelajuan keretapi sehingga 320 km/j apabila ia siap dibina pada 2026, dan akan melibatkan masa perjalanan dari KL ke Singapura hanya dalam masa 90 minit sahaja.

    Selain laluan ekspres KL-Singapura, laluan berkenaan turut akan menempatkan perkhidmatan domestik di Malaysia, yang akan turut membuat hentian di Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Seremban dan Putrajaya.

     
     
  • AD: Jualan Mega Ulang Tahun Wheelcorp Premium – tawaran eksklusif, pandu uji di Premium Driving Circuit

    wheelcorp-850x616

    BMW Wheelcorp Premium akan mengadakan acara Jualan Mega Ulang Tahun pada hujung minggu ini, dari 9 hingga 11 Disember dan orang ramai dijemput hadir untuk menikmati tawaran-tawaran istimewa yang disediakan, dengan pulangan yang amat menakjubkan. Pelbagai aktiviti untuk disertai, termasuk mengalami sendiri pemanduan di dalam Premium Driving Circuit hinggalah kepada syiling emas untuk dimiliki.

    Sepanjang acara berkenaan berlangsung hujung minggu ini, anda boleh mengambil bahagian di dalam sesi pandu uji dari bilik pameran Wheelcorp Premium Setia Alam menuju Bukit Jelutong, dipimpin oleh pemandu bertauliah BMW di dalam model BMW pilihan anda. Anda juga boleh mempamerkan kemahiran memandu anda di dalam Premium Driving Circuit – litar seumpamanya yang pertama di negara ini. Akan ada lima sesi setiap hari, bermula dari 10 pagi hingga 6 petang.

    Selain itu, anda juga boleh memiliki syiling emas BMW Wheelcorp Premium edisi terhad dengan 999.9 keaslian yang bernilai RM3,888 jika anda membeli model-model terpilih BMW. Tawaran seperti ini sangat jarang diberikan. Untuk mendaftar, RSVP kepada Rebekah di talian 017-2618119, atau rujuk laman Facebook rasminya.

     
     
  • Maserati Ghibli dan Ghibli S 2017 kini di Malaysia – 3.0L Twin-Turbo V6, harga bermula RM619k, RM709k

    Maserati Ghibli dan Ghibli S 2017 kini di Malaysia – 3.0L Twin-Turbo V6, harga bermula RM619k, RM709k

    Naza Italia telah mengumumkan kemasukan Maserati Ghibli dan Ghibli S 2017 ke pasaran Malaysia, iaitu selepas dua bulan ia diperkenalkan secara rasminya di Paris Motor Show. Model terbaharu ini masih mengekal kesetiaan terhadap warisannya, tanpa melupakan soal kehandalan prestasi dan pengalaman pemanduan yang mengagumkan.

    Bagi ruang dalamannya, bahagian papan pemuka telah direka semula termasuk menampilkan skrin resolusi tinggi bersaiz 8.4-inci dengan teknologi pelbagai-sentuhan. Malahan sistem infotainmen turut boleh disambungkan pada telefon pintar menerusi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ia juga ditampilkan dengan tombol berputar atau rotary knob rekaan baharu untuk kawalan fungsi utama. Malahan ciri kemewahan dan gaya sporty juga tidak dilupakan kerana ia melambangkan karakter imej Ghibli ini.

    Ghibli S (kiri) & Ghibli (kanan)

    Ghibli 2017 juga didatangkan dengan pakej baharu bagi Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Blind Spot Alert, Lane Departure Warning, Forward Collision Warning dengan Advanced Brake Assist, dan Automated Emergency Braking. Surround View Camera turut ditawarkan dengan kombinasi pakej ADAS ini.

    Malah ia turut menaik taraf keselesaan aero-akustik, serta beberapa teknologi baharu termasuk penebat bunyi yang lebih optimum bagi mengurangkan bunyi bising di dalam kabin. Malah untuk menambahkan lagi keselesaan penumpang, Air Qualiti Sensor kini hadir sebagai elemen standard.

    Manakala bagi rekaan luarannya, ia menampilkan keunikan ciri termasuk menampilkan logo penuh ikonik “Saetta”, pintu tanpa bingkai, gril hadapan yang cukup menonjol dan membawakan imej Maserati dan paip ekzos krom untuk semua versi.

    Pakej Luxury dan Sport turut diberikan pilihan bagi mempersonalisasikan kekemasan. Menerusi pakej Luxury, kabin Ghibli dihiasi dengan Zegna Edition Silk dan kulit premium bagi upholsteri.

    Manakala pakej Sport pula merefleksikan gaya legenda perlumbaan untuk setiap Maserati termasuk menampilkan tempat duduk dan roda stereng sport serta pedal penukar gear aluminium. Malahan turut menampilkan dua pakej karbon, iaitu untuk luaran ddan dalaman yang hadir dengan pilihan kustom dan naik taraf bagi pakej Sport.

    Bagi bahagian penjana kuasanya, kedua-duanya dipadankan dengan enjin petrol 3.0 liter Twin-Turbo V6 bersama transmisi automatik ZF lapan-kelajuan dengan fungsi Start & Stop. Bagi Ghibli, ia mampu mencapai sehingga 350 hp, iaitu lebih 20 hp berbanding model sebelum ini dan kelajuan maksimumnya mencecah 267 km/j, dan pacuan 0-100 km/j sekitar 5.5 saat.

    Maserati Ghibli dan Ghibli S 2017 kini di Malaysia – 3.0L Twin-Turbo V6, harga bermula RM619k, RM709k

    Manakala untuk Ghibli S, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 410 hp, pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 5.0 saat dan kelajuan maksimum sehingga 285 km/j.

    Ghibli juga berkongsikan seni bina teras termasuk untuk casis, bentangan suspensi, enjin V6 dan transmisi dengan Quattroporte. Walau bagaimana pun, ia adalah 293 mm lebih pendek dan 50 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya.

    Bagi Ghibli dan Ghibli S 2017 ini, masing-masing dijual pada harga bermula RM618,800 dan RM708,800, termasuk waranti tiga tahun/pakej servis 60,000 km. Harga tersebut termasuk dengan duti dan cukai tempatan. Kedua-duanya juga sudah pun dipamerkan di bilik pameran Naza Italia, Petaling Jaya.

    GALERI: Maserati Ghibli 2017

    GALERI: Maserati Ghibli S 2017

     
     
  • Audi TT 2.0 TDI terima pacuan semua-roda quattro

    Audi TT 2.0 TDI terima pacuan semua-roda quattro

    Menurut Audi, 50% daripada model Audi TT yang terjual di seluruh dunia dilengkapi dengan sistam pacuan semua-roda. Oleh itu, Audi telah memutuskan untuk menawarkan sistem model generasi ketiga itu pada enjin 2.0 liter TDI.

    Boleh didapati bagi versi Coupe dan Roadster, penjana kuasa TDI ini mampu menyalurkan kuasa sehingga 184 hp dan tork 380 Nm, yang disalurkan menerusi transmisi dwi-klac S tronic enam-kelajuan, dan ke semua roda. Sistem quattro menggunakan klac pelbagai-plat elektro-hidraulic untuk mengedarkan tork pada kedua-dua gandar.

    Bagi prestasinya, TT Coupe 2.0 TDI quattro mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat, dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 234 km/j. Manakala bagi Roadster pula, ia mencecah tujuh saat bagi 0-100 km/j, dan kelajuan maksimumnya ialah 230 km/j. Berbanding setara dengan petrol (2.0 TFSI quattro S tronic), TDI lebih perlahan bagi 100 km/j iaitu 1.4 saat (bagi kedua-dua jenis kerangka) dan 16 km/j lebih perlahan untuk kelajuan maksimumnya.

    Walau bagaimana pun, bagi enjin diesel ini, Coupe menggunakan sekitar 5.2 liter per 100 km, sementara Roadster pula 5.4 liter per 100 km (jika mengikut kitaran NEDC). Dengan perbandingan itu, TDI quattro bagi TT ini menggunakan antara 1.2 hingga 1.3 liter per 100 kurang berbanding model yang sama yang menggunakan petrol.

     
     
  • Volvo ungguli anugerah IIHS Top Safety Pick Plus berbanding pengeluar Eropah lain untuk tahun 2017

    Dari tahun ke tahun, Institut Insuran Keselamatan Lebuhraya (IIHS) di Amerika Syarikat telah memperketatkan syarat-syaratnya bagi penganugerahan Top Safety Pick yang dianjurkannya. Oleh itu, sebagai sebuah jenama yang menumpukan ciri keselamatan, Volvo telah mengungguli pungutan anugerah tersebut berbanding pengeluar Eropah lain untuk tahun 2017.

    S60, V60 dan XC60 yang dilengkapi dengan lampu hadapan Active Dual Xenon menerima anugerah Top Safety Pick Plus, manakala S90 dan XC90 pula menerima anugerah Top Safety Pick. Bagi tahun hadapan, institut berkenaan telah menambah kadar ‘boleh diterima’ dan ‘baik’ untuk lampu hadapan sebagai keperluan untuk memenangi anugerah tertinggi Top Safety Pick Plus, sebagai tambahan kepada kadar ‘advanced’ atau ‘superior’ untuk pencegahan pelanggaran hadapan yang diperlukan sebelum ini.

    Untuk anugerah Top Safety Pick -satu tangga di bawah anugerah tertinggi- pula memerlukan sesebuah kereta berkenaan menerima penarafan yang baik dalam lima ujian pelanggaran iaitu pelanggaran overlap kecil di hadapan, sederhana overlap di hadapan, sisi, kekuatan bumbung serta sekatan kepala. Ia juga perlu penarafan ‘advanced’ atau ‘superior’ untuk pencegahan pelanggaran hadapan (lebih tinggi berbanding keperluan penarafan asas pada tahun lalu) bagi membolehkan sesebuah kereta itu layak.

    Volvo sebelum ini sememangnya telah diperakui oleh IIHS. Pada Ogos 2016, institut berkenaan melaporkan kereta-kereta yang dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik AEB Volvo City Safety berjaya mengurangkan pelanggaran belakang sebanyak 43% dan kadar kecederaan juga dapat dikurangkan sebanyak 45%. Untuk model S90 dan XC90, ia turut akan diperkenalkan dengan sistem pengesan haiwan besar lengkap bersama AEB pada tahun hadapan.

    “Komitmen Volvo terhadap keselamatan adalah jelas dalam Visi 2020 kami, yang menyatakan tiada seorang pun yang akan terbunuh atau mengalami kecederaan serius dalam kereta-kereta Volvo menjelang 2020, kata presiden dan CEO Volvo Car USA Lex Kerssemakers. “Kereta baharu kami membuktikan bahawa kemewahan, gaya dan prestasi mampu membawa kepada keselamatan paling maju di dunia.”

     
     
  • VIDEO: Infiniti Q60 di Havana, Cuba – kereta Amerika pertama yang didaftarkan dalam tempoh 58 tahun

    Pengarah Rekabentuk Eksekutif Infiniti, Alfonso Albaisa punya cara tersendiri untuk mengenang kembali nostalgia. Beliau yang membesar di Miami dan merupakan warga negara Amerika Syarikat tetap menganggap dirinya sebagai orang Cuba.

    Kini, beliau bertugas di Jepun di mana beliau memantau empat studio rekaan Infiniti di seluruh dunia. Di dalam video khas ini, Alfonso melawat tanah air nenek moyangnya buat pertama kali, dengan sebuah “hadiah” untuk Havana; sebuah Infiniti Q60 – yang menjadi kereta pertama dari Amerika Syarikat yang didaftarkan di Cuba dalam tempoh 58 tahun.

    Ia menjadi sebuah tugas yang penting dan sangat menurut beliau. Menelusuri sejarah tempat lahir ibu bapanya, Alfonso memandu model kenderaan itu ke serata tempat; Tropicana, Club Nautico serta rumah peninggalan ahli keluarga terdahulu, Max Borges-Recio.

    Di dalam perjalanan itu, Alfonso turut menemui asal mula DNA rekaannya yang diterjemahkan dengan unik pada model-model kenderaan Infiniti. Sebuah video yang intim dengan latar cerita yang sangat menarik. Jangan terlepas menontonnya. Infiniti Q60 merupakan saingan kepada model-model seperti Audi A5, BMW 4 Series dan Mercedes-Benz C-Class Coupe.

     
     
  • Honda Civic, Nissan Navara dan Toyota Sienta terima lima-bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP

    nissan-navara-asean-ncap_bm

    Program Penilaian Kereta Baharu untuk negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah menyiarkan hasil ujian terbaharu mereka. Kali ini, tiga kenderaan diuji iaitu trak pikap Nissan Navara, MPV Toyota Sienta dan juga sedan Honda Civic generasi kesepuluh.

    Nissan Navara masih mengekalkan penarafan lima bintang dalam sesi ujian keduanya, di mana kali ini ia dipadankan dengan tiga beg udara – tambahan satu beg udara pada bahagian lutut pemandu, dua lagi beg udara pada bahagian hadapan masih kekal. Hasilnya, untuk perlindungan penumpang dewasa (AOP), Navara memperolehi 14.44 markah dari 16 markah penuh. Angka ini menunjukkan peningkatan di mana pada ujian Mac lalu, trak pikap ini hanya memperolehi 12.34 markah.

    Perlindungan penumpang kanak-kanak (COP) turut menunjukkan peningkatan di mana Navara kini memenuhi 61% berbanding 37% sebelum ini. Walau bagaimanapun, varian 2.5 S MT yang tidak dilengkapi ESC hanya menerima penarafan empat-bintang kerana ASEAN NCAP menetapkan penarafan lima bintang hanya boleh diberikan kepada model yang mempunyai ESC serta sistem peringatan pemakaian tali pinggang keledar (SBR).

    honda-civic-asean-ncap_bm

    Bagi Honda Civic pula, sedan berkenaan berjaya memperoleh 14.74 markah dari 16 markah penuh dalam AOP, dengan memenuhi 86% dalam COP. Keputusan ini membolehkan Civic menerima penarafan lima bintang kecuali untuk model tanpa sistem peringatan pemakaian tali pinggang keledar hadapan hanya memperoleh empat-bintang.

    Untuk pengetahuan anda, kesemua varian Honda Civic di Malaysia, bermula varian asas 1.8 S hingga varian tertinggi 1.5 TC-P didatangkan standard bersama kelengkapan keselamatan penuh yang terdiri dari enam-beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, ABS dan EBD, Bantuan Brek (BA) serta Bantuan Mula Mendaki (HSA).

    toyota-sienta-asean-ncap_bm

    Akhir sekali, Toyota Sienta memperolehi 15.26 markah dalam AOP dan 74% memenuhi dalam COP membolehkannya menerima penarafan lima-bintang. Seperti juga model-model lain, varian Sienta yang tidak dipadankan dengan ESC hanya menerima penarafan empat-bintang.

    Walau bagaimanapun, kesemua varian Sienta yang dijual di Malaysia iaitu varian asas 1.5G dan varian tertinggi 1.5V menerima kelengkapan keselamatan penuh sebagai ciri standard yang terdiri dari Kawalan Tarikan, tiga-beg udara (dua di hadapan dan satu untuk lutut pemandu) serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.



     
     
  • Mercedes-Benz E-Class X213 All-Terrain beraksi lasak

    mercedes-benz-e-class-all-terrain-9-e1481175256726-850x438_bm

    Pertama kali dipamerkan ketika Pameran Permotoran Paris tahun ini, Mercedes-Benz E-Class X213 All-Terrain merupakan versi yang lebih ranggi bagi E-Class Estate. Kini, pengeluarnya mendedahkan perincian serta gambar model berkenaan, dalam aksi yang lebih “liar”.

    Dari luaran, imej off-roadnya disumbangkan oleh rekaan gril berkembar, pelapik hitam di bahagian lengkungan tayar serta skid plates dibahagian depan dan belakang. Ia 29 mm lebih tinggi daripada E-Class S213 Estate, dengan kelegaan dari permukaan tanah 156 mm.

    Penggunaan sistem suspensi Air Body Control multi-chamber membolehkan pemandu memilih tiga ketinggian yang berbeza; kereta ini boleh direndahkan sehingga paras 121 mm dari tanah. Antara ciri off-road lain yang ada padanya ialah sistem pacuan 4Matic kekal, yang mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang pada nisbah 45:55.

    mercedes-benz-e-class-all-terrain-2-850x567_bm

    Tugas janaan kuasa dipikul oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbodiesel yang menggantikan enjin 2.1 liter Mercedes sebelum ini. Pada varian E220d 4Matic, enjin ini menawarkan kuasa 194 hp pada 3,800 rpm dan 400 Nm pada 1,600 hingga 2,800 rpm, digandingkan dengan transmisi automatik 9G-Tronic. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa lapan saat, dengan kelajuan maksimum 231 km/j.

    Pemandu juga boleh memilik mod pemanduan – Comfort, Eco, Sport, All-Terrain dan Individual – melalui suis Dynamic Select. Setiap mod memberikan kadar bantuan yang berbeza terhadap stereng, maklum balas pendikit dan suspensi. Mod spesifik All-Terrain pada model ini juga membolehkan suspensi udaranya dinaikkan sebanyak 20 mm dalam kelajuan tidak melebihi 35 km/j.

    Dalam mod berkenaan, penunjuk khas di bahagian skrin akan turut memaparkan maklumat penting ketika off-road, termasuk sudut stereng, ketinggian kenderaan, sudut laluan, posisi brek/pendikit minyak serta kompas.

    mercedes-benz-e-class-all-terrain-4-850x532_bm

    Walaupun dengan semua ciri tambahan ini, ruang kabinnya kekal selesa dan elegan seperti E-Class yang lain. Ini termasuk skrin paparan 12.3 inci resolusi tinggi bagi sistem Comand Online, lampu suasana serta pengudaraan pada tempat duduk.

    E-Class All-Terrain menyediakan ruang barangan seluas 670 liter, dengan nisbah lipatan 40:20:40 bagi tempat duduk belakang; membolehkan ruang maksimum dinaikkan kapasitinya kepada 1,820 liter. Dari sudut persaingan, model ini bertembung secara langsung dengan Volvo V90 Cross Country dan Audi A6 Allroad.

     
     
  • VIDEO: Volkswagen Golf GTI Clubsport S perbaharui rekodnya di Nurburgring – 7 minit 47.19 saat

    Walaupun telah dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan paling pantas di litar Nurburgring dengan rekod 7 minit 49.21 saat sebelum ini, Volkswagen Golf GTI Clubsport S kembali semula ke litar “The Green Hell” berkenaan untuk memecahkan rekodnya sendiri.

    Menurut Volkswagen, dengan keadaan suhu lapan darjah Celsius, ia adalah sempurna bagi memastikan enjin dan tayar berada kondisi yang paling optimum bagi mencatatkan masa terbaik. Oleh itu, Golf GTI Clubsport S kini mencatatkan masa sepusingan terpantas 7 minit 47.19 saat dilitar tersebut, dua saat lebih pantas dari sebelum ini.

    Pada Jun 2014, rekod kereta pacuan roda hadapan paling pantas di Nurburgring di pegang oleh Renault Megane RS 275 Trophy-R dengan catatan masa 7 minit 54.36 saat. Rekod berkenaan kemudiannya dipecahkan pula oleh Honda Civic Type-R dengan catatan masa 7 minit 50.63 saat, sebelum kedudukan nombor satu berkenaan dirampas oleh Golf GTI Clubsport S.

    Selain itu, catatan masa Golf GTI Clubsport S ini juga menunjukkan ia lebih pantas berbanding BMW M2 (7 minit 58 saat) dan juga Mercedes-Benz SLR McLaren (7 minit 52 saat).

    Berbanding GTI biasa, Clubsport S ini masih menggunakan enjin TSI 2.0 liter tetapi telah diolah semula bagi memberikan kuasa keseluruhan 310 PS dan tork maksima 380 Nm. Model ini juga hanya hadir dengan transmisi manual enam-kelajuan bagi menyalurkan kuasa enjin ke roda hadapan.

    Selain itu, model istimewa ini turut menerima talaan casis bagi meningkatkan kestabilannya serta mengurangkan understeer. Ia didatangkan secara standard dengan tayar Michelin Sport Cup 2 yang lebih mempunyai daya cengkaman lebih baik, brek yang dipertingkatkan serta tiada tempat duduk belakang, semata-mata untuk mempertingkatkan prestasinya. Walau bagaimanapun, model ini hanya dibina terhad kepada 400 unit sahaja.

     
     
  • VPCM umum pelantikan pengarah urusan baharu

    erik_winter_joins_florian_steiner

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan pelantikan Erik Winter sebagai Pengarah Urusannya yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

    Winter menggantikan Pengarah Urusan sebelumnya, Alin Tapalaga yang kembali ke Eropah berikutan masalah kesihatan dan ditugaskan memantau operasi Jenama dan Sumber Manusia Syarikat. Malah beliau juga menyertai Pengarah Urusan VPCM untuk Selepas Jualan, Teknologi Maklumat dan Kewangan, Florian Steiner.

    Tidak asing dalam dunia peruncitan automotif, Winter membawa bersama pengalaman dan kepakaran yang diperolehinya selama 16 tahun berkhidmat di pelbagai unit perniagaan Porsche Holding Salzburg (PHS) di seluruh dunia. Sebelum ini beliau pernah bertugas di China dan bertanggungjawab ke atas operasi peruncitan salah satu jenama yang diwakili oleh PHS.

    Bersama-sama dengan Steiner, Winter akan memberi fokus ke atas strategi VPCM untuk meningkatkan perkongsian pasaran, mengukuhkan rangkaian pengedar Volkswagen serta meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas jualannya.

    volkswagen-passat-280-tsi-trendline-1

    Dengan barisan produk yang semakin mantap berikutan pelancaran model utama Volkswagen baru-baru ini iaitu Passat serba baharu, komitmen VPCM untuk mengembangkan lagi jenama Volkswagen di Malaysia semakin kukuh, biarpun di sebalik landskap automotif di Malaysia yang sangat kompetitif.

    Sebagai sebahagian daripada strategi untuk menambah baik pengalaman pemilikan produk Volkswagen, VPCM telah memperkenalkan jaminan pengeluar selama lima tahun ke atas semua kereta Volkswagen yang dibeli mulai 1 September 2016. Passat serba baharu yang dibeli dan didaftarkan sebelum 31 Disember 2016 turut hadir bersama penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

    Selain itu, VPCM turut memperkenalkan program “VPCM Customer Care Goodwill” yang memberikan pembaikkan goodwill dua-tahun tambahan kepada transmisi klac berkembar Direct Shift Gearbox (DSG) pada kereta-kereta VW yang diproduksi sehingga Disember 2013 dengan perbatuan sehingga 200,000 km. Waranti ini akan bermula selepas berakhirnya waranti lima tahun pada kereta-kereta berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025