Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kereta sadai libat kos tinggi untuk DBKL setiap tahun

    Kereta sadai libat kos tinggi untuk DBKL setiap tahun

    Masalah kenderaan tersadai bukan setakat menyusahkan orang dan menyakitkan mata, tetapi untuk mengalih dan melupuskannya juga memerlukan kos yang tinggi. Ini sesuatu yang diutarakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Katanya, jumlah besar terpaksa dibelanjakan setiap tahun untuk mengatasi masalah ini, dan hanya sedikit sahaja pulangan kewangan yang diperoleh – lapor The Star. Pengarah eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin memberitahu, DBKL membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk mengalihkan kenderaan tersadai ini daripada jalan, tapi hanya mendapat sedikit sahaja pulangan melalui lelongan.

    “Kami membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk menguruskan kenderaan sadai ini setiap tahun dan sebahagian besar kosnya pergi ke bahagian logistik – penggunaan lori, kren dan trak tunda – dan membayar gaji lebih masa kepada pekerja,” kata beliau.

    Kereta sadai libat kos tinggi untuk DBKL setiap tahun

    Ismadi memberitahu, proses ini memakan masa kerana DBKL hanya mempunyai 14 trak tunda. “Dalam kes tertentu, kami perlu menggunakan kren untuk mengangkat kenderaan tersebut daripada tempat yang sempit. Jika kenderaan itu terlalu besar untuk akses, kami perlu menunggu masa lain untuk menggunakan pengangkut yang lebih sesuai,” kata beliau.

    Sebagai tambahan, prosedur panjang untuk mengalih dan melupuskan kenderaan tersadai boleh mengambil masa sehingga enam bulan atau lebih, bermula dengan notis 14 hari. Beliau berkata, proses ini biasanya terganggu oleh pemilik yang cuba mengelak tanggungjawab dengan meletakkan kenderaan mereka di tempat lain.

    “Notis diletakkan pada kenderaan, seterusnya memberikan masa 14 hari untuk pemilik mengalihkannya. Walaubagaimanapun, ada pemilik yang cuba mengelak proses ini dengan hanya membawa kenderaan mereka ke tempat lain. Ini memaksa kami untuk memulakan kembali proses dari awal dengan mengeluarkan notis sekali lagi,” kata beliau.

    Kereta sadai libat kos tinggi untuk DBKL setiap tahun

    Selepas tempoh 14 hari, kenderaan tersadai ini kemudiannya ditunda ke depoh simpanan, di mana DBKL membuat pengesahan statusnya dengan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis. “Semasa kami mengambil kenderaan ini, kami perlu membuat laporan polis. Terdapat kemungkinan kenderaan tersebut adalah kenderaan curi atau digunakan untuk membuat jenayah,” kata beliau.

    Pemilik kemudiannya diberikan tempoh tiga ke enam bulan untuk mengambil kembali kenderaan mereka, dan jika ini tidak dibuat, kenderaan tersebut akan dijual secara lelong kepada syarikat besi buruk. Tambah Ismadi, lelongan ini biasanya dibuat sekali setiap tahun dan melibatkan 500 hingga 1,000 buah kenderaan. Pulangan yang diterima cuma sekitar RM300,000.

    Awal tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan e-Dereg, iaitu satu platform dalam talian untuk memudahkan proses membatalkan pendaftaran kenderaan sekiranya mereka mahu melupuskan kenderaan tersebut, melalui Authorised Automotive Treatment Facility (AATF).

     
     
  • MATTA Fair 2024, 6-8 Sept di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair 2024, 6-8 Sept di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair kini kembali dan akan berlangsung hujung minggu ini dari 6 hingga 8 September 2024. Ia akan dianjurkan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), bukan lagi di PWTC, inilah peluang untuk anda yang mencari pakej percutian dan pelancongan dengan harga yang lebih berpatutan.

    Tapi teragak-agak mahu ke sana kerana masalah kesesakan lalu lintas dan juga parkir? Jangan risau, kawan-kawan. Anda boleh menggunakan bas perantara percuma untuk ke MITEC. Disediakan oleh Rapid KL, bas perantara percuma ini disediakan dari jam 8 pagi sehingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut.

    Kekerapan ketibaan bas adalah setiap lima hingga 10 minit namun tertakluk kepada keadaan trafik. Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah di KL Sentral (Hentian Bas Balai Ketibaan ERL KLIA) dan juga hentian bas di Sunway Putra Mall (bertentangan PWTC).

    Untuk terus memberi insentif kepada penggunaan bas percuma ini, penganjur pameran Malaysian Association of Tour & Travel Agents turut menawarkan hadiah menarik. Untuk menyertai, anda hanya perlu imbas kod QR di tempat menunggu atau dalam bas dan ikut arahan yang diberikan. Selamat berlibur di MATTA Fair 2024!

     
     
  • GWM Tank 500 akan tiba di Malaysia tahun hadapan?

    GWM Tank 500 akan tiba di Malaysia tahun hadapan?

    Great Wall Motor (GWM) Tank 500, yang ditunjukkan kali pertama semasa Bangkok Motor Show pada tahun 2023 berkemungkinan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Ini diketahui berdasarkan maklumat daripada sumber yang berada dalam syarikat itu sendiri. Tahun lepas, Tank 500 juga diperkenalkan dengan sistem plug-in hybrid Hi4-T.

    Penggerak ini menggabungkan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo bersama motor elektrik yang disepadukan pada transmisi sembilan kelajuannya, dan disambung kepada sistem pacuan empat roda. Bateri untuk sistem hibrid itu pula berada di bahagian belakang casis.

    Mempunyai kapasiti 37.1 kWh, bateri hibrid ini dikatakan boleh memberi jarak gerak elektrik penuh 110 km, sementara secara keseluruhannya pula, penggerak ini mampu menghasilkan kuasa 408 PS dan tork 750 Nm.

    Semasa Chengdu Motor Show 2024 yang sedang berlangsung sekarang juga Tank 500 ada dipamerkan, dalam versi Black Warrior Edition yang mempunyai penampilan serba gelap. Kemasan yang biasanya berwarna krom juga dihitamkan, termasuk gril hadapan, keliling tingkap, pada bampar serta rim.

    Konsep sama digunakan pada bahagian dalam, dengan tempat duduk yang dibalut kulit hitam serta kemasan kayu coklat untuk memberi kontras. Kelengkapan dalam kabin masih kekal, termasuk panel instrumen 12.3 inci serta skrin sesentuh 16.2 inci di tengah untuk infotainmen.

    Mengikut laporan daripada Car News China, Tank 500 dijual di sana pada harga 335,000 yuan (RM205,995). Jika masuk ke Malaysia nanti, anda rasa berapa harganya? Tank 300 dijual di sini pada harga RM250k.

     
     
  • Puspakom teruskan perkhidmatan sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia

    Puspakom teruskan perkhidmatan sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia

    Walau pun telah menamatkan gelaran sebagai penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan kenderaan pada 31 Ogos lalu, kini Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) memulakan operasi sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan yang pertama di Malaysia sejak 1 September 2024.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, anugerah lesen operasi ini membuka peluang bagi Puspakom untuk menjadi entiti yang lebih lestari dan kompetitif dalam sektor automotif Malaysia.

    “Puspakom berbangga menjadi pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama negara, dan akan terus mengekalkan misi kami untuk menjadikan pengangkutan jalan raya yang lebih selamat melalui pemeriksaan kenderaan. Ketika persiapan untuk menghadapi landskap yang kompetitif, kami telah merangka pelan yang komprehensif untuk penambahbaikan agar kami lebih bersedia pada masa hadapan. Ini termasuk naik taraf dalam perkhidmatan pelanggan, produk dan perkhidmatan baharu serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menjadikan Puspakom bersedia untuk persaingan,” kata Mahmood.

    Puspakom teruskan perkhidmatan sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia

    Tambahnya, Puspakom juga akan memanfaatkan pengalaman selama 30 tahun, digabungkan dengan teknologi, untuk kekal sebagai pilihan utama pelanggan di seluruh negara.

    “Persaingan bermakna, kami perlu lebih baik daripada syarikat lain, dan pengalaman tiga dekad Puspakom tidak dapat ditandingi. Apabila kami menggabungkannya dengan AI, kami dapat menjadikan perkhidmatan kami lebih cekap. Kecekapan bermakna kami dapat mengembalikan masa produktiviti kepada pelanggan, sambil menyediakan lebih banyak slot pemeriksaan kepada pasaran.

    “Suatu ketika dahulu, pemeriksaan kami mengambil masa lebih daripada 75 minit. Hari ini, dengan penggunaan teknologi serta aliran kerja yang lebih baik, secara purata kami menyelesaikan pemeriksaan dalam 34 minit. Puspakom tetap komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik meskipun kini berhadapan dengan pemain baru dalam industri pemeriksaan kenderaan,” kata Mahmood.

    Puspakom juga telah memulakan operasi selama 16 jam sehari sebagai percubaan di mana cawangan Glenmarie di Shah Alam kini beroperasi dalam dua syif, bermula pada jam 7 pagi sehingga 11 malam.

    “Percubaan operasi selama 16 jam ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan. Percubaan ini bertujuan untuk mengumpulkan data dari segi cabaran operasi dan penerimaan pelanggan. Walaupun cawangan Glenmarie hanya untuk kereta persendirian, ia akan membolehkan kami mendapatkan data yang diperlukan dan membuat penambahbaikan sebelum melaksanakannya di lebih banyak cawangan,” jelas Mahmood.

    Menurut Puspakom, waktu operasi yang lebih panjang akan dilaksanakan di kawasan tumpuan pasaran utama setelah fasa percubaan berjaya dan data yang diperoleh dikaji. Fasa percubaan di Glenmarie akan berakhir pada 3 Januari 2025.

     
     
  • MSF Merdeka Race 2024 – Honda Civic EF #60 Super 1800 juara, Myvi Trackerz Racing kecundang di lap-72

    MSF Merdeka Race 2024 – Honda Civic EF #60 Super 1800 juara, Myvi Trackerz Racing kecundang di lap-72

    Perlumbaan tahunan sempena hari kemerdekaan, Malaysia Speed Festival (MSF) Merdeka Race untuk edisi 2024 yang dikuasakan oleh Petronas Primax telah berlangsung dengan jayanya hujung minggu lalu di Litar Antarabangsa Petronas Sepang. Tahun ini cabaran perlumbaan dalam format endurance berkenaan dipertingkatkan lagi kerana pelumba perlu mengharungi sebanyak 99-lap, berbanding 88-lap tahun lalu.

    Dan apa yang mengejutkan, perlumbaan lasak ini dimenangi oleh trio Gan Kim Koa, Lee Wai Cong dan Hayden Haikal, dengan menggunakan Honda Civic EF dengan nombor perlumbaan #60 yang berusia lebih dari 30 tahun, menewaskan jentera-jentera lain yang jauh lebih moden!

    Namun kemenangan yang dikecapi ini bukan sesuatu yang mudah. Civic EF yang berentap dalam kategori Super 1800 (dengan enjin B18 tanpa sistem VTEC) tersebut memulakan perlumbaan di grid keempat, di belakang jentera-jentera dalam kelas lebih berkuasa seperti Toyota GR Yaris pasukan Fawster 55Twelve (dipandu Hafez Kamarudin dan Faidzil Alang), Honda Integra Type R DC5 pasukan Tedco Racing (dipandu Jonathan Lee dan Justin Toh) serta Honda Civic Type R FD2R pasukan Sokudo Shenzo Racing (dipandu oleh Mohd Irwan dan Aiyub Alamghir​​)​.

    MSF Merdeka Race 2024 – Honda Civic EF #60 Super 1800 juara, Myvi Trackerz Racing kecundang di lap-72

    Cabaran getir bermula babak awal perlumbaan apabila Civic EF tersebut berpusing menyebabkan posisinya jatuh sehingga ke kedudukan terakhir. Persaingan peringkat awal ini juga menyaksikan GR Yaris pasukan Fawster 55Twelve terpaksa pulang ke pit seawal lap ke-3 kerana menghadapi masalah mekanikal.

    Perlumbaan semakin menarik apabila Perodua Myvi generasi pertama pasukan Trackerz Racing yang dipandu oleh “Boy” Soh Zhi Xian dan Tan Wai Hoong mula memimpin perlumbaan pada lap ke-26, berada di hadapan bukan sahaja jentera-jentera saingan sekelas seperti segerombolan Honda Jazz/Fit GK dan Suzuki Swift Sport, malah kereta-kereta yang lebih berkuasa seperti Civic Type R dan Toyota GT86/Subaru BRZ.

    Myvi #335 yang bersaing dalam kelas Super Production berkenaan walau bagaimanapun dilihat berhenti di selekoh ke-4 pada lap ke-72 seterusnya menamatkan terus perjuangannya dalam MSF Merdeka Race 2024 ini. Ketika ini Civic EF #60 yang secara perlahan-lahan memotong semula kenderaan di hadapannya sebenarnya telahpun berada di tempat kedua, dan ia mula berada pada kedudukan pertama selepas Myvi #335 tidak lagi dapat berlumba.

    MSF Merdeka Race 2024 – Honda Civic EF #60 Super 1800 juara, Myvi Trackerz Racing kecundang di lap-72

    Dalam satu ketika Civic EF #60 tersebut mempunyai kelebihan sekitar 50 saat di hadapan berbanding saingannya di tempat kedua. Akhirnya selepas 4 jam 54 minit dan 31.789 saat dengan jarak hampir 550 km, ia berjaya melepasi garisan penamat dengan berada lebih 20 saat di hadapan Honda Integra Type R DC5 pasukan Millenium Racing yang dipandu oleh Faizal Naim, William Yong dan Al Amin Mohd.

    “Kami sebenarnya berhadapan dengan masalah pada dua lap terakhir dan saya cuba yang terbaik untuk memastikan kereta ini bergerak,” kata Hayden Haikal yang memandu Civic EF #60 itu pada babak-babak terakhir. Apa yang menarik, Hayden yang kini hanya berumur 20-tahun adalah jauh lebih muda dari jentera yang dipandunya, malah ini adalah kemunculan kedua Civic EF #60 berkenaan selepas direhatkan selama enam tahun, dan ia merupakan juara MSF untuk enam tahun berturut-turut ketika ia sedang aktif berlumba.

    Hanya 42 dari 77 kereta yang berjaya menamatkan perlumbaan MSF Merdeka Race 2024 ini. Ia bermula pada lewat petang 1 September selepas lagu Negaraku dinyanikan dan hanya berakhir hampir pukul 12 malam. Dengan pelbagai drama yang berlaku, safety car terpaksa masuk ke litar untuk memimpin perlumbaan sebanyak empat kali.

    Keputusan penuh perlumbaan mengikut kategori adalah seperti berikut:

    Keseluruhan
    1. Gan Kim Koa/Lee Wai Cong/Hayden Haikal​​ ​​​99 lap
    2. Faizal Naim/William Yong/Al Amin Mohd​ (Millennium Racing 1) ​​99 lap
    3. Mohd Fahrizal Hasan/Syed Mohd Rizal​​ (FAWSTER SMRT​​) ​99 lap

    Rennplatz Standard Production
    1. Siah Woei Ping/Chong Chin Young​​​​ ​​98 lap
    2. Chio Wen Cheng/Kingston Tan/Tse Ka Hing​​​​​ 97 lap
    3. Freddie Ang/Jwan Hii​​​​ ​​​​96 lap

    Rennplatz Standard Production Max
    1. Tan Wooi Loon/Roni Risman​​ (​Piston Project​​​) 96 lap
    2. Ahmad Firdaus/Mohamad Najib/Lee Kun San​ (Fawster 22ProShop​​) +14.626s
    3. David Kang/Gerald Goh​​​​ (Sokudo Shenzo Racing X Agi​) 95 lap

    Vision HKS Super Touring
    1. Faizal Naim/William Yong/Al Amin Mohd (​Millennium Racing 1​) ​99 lap
    2. Jonathan Lee/Justin Toh​​​ (TEDCO Racing​​​) +1:19.160
    3. Mohd Irwan/Aiyub Alamghir​​ (​Sokudo Shenzo Racing) ​​96 lap

    Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup
    1. Mohd Fahrizal Hasan/Syed Mohd Rizal (​​FAWSTER SMRT​​​) 99 lap
    2. Muhd Khairul Nizam/Sean Khoo​​​ (EXN-JR Speed Sucimuci​) ​97 lap
    3. Kenneth The/Danny Chang​​​​ ​​​94 lap

    Super 1800
    4. Gan Kim Koa/Lee Wai Cong/Hayden Haikal​​​​ ​99 lap
    5. Yau Weng Wai/Low Zhe Wei​​​​​​​ 94 lap
    6. CY Khoo/Gilbert Ang​​​​​​​ ​89 lap

    Super Production
    1. Jonathan Xie/Leong Jia Le Kent​​​Xie-Kent​​​ 98 lap
    2. Muhammad Nurazmi/Shamir Aizan/Raha Ahmad (55twelve X A RC Racing​) 96 lap
    3. Ng Tiam Lai/Eugene Lin/Mark Darwin​​​​​​ 94 lap

     
     
  • BMW 520i M Sport G60 2024 kini di Malaysia, RM350k

    BMW 520i M Sport G60 2024 kini di Malaysia, RM350k

    Tiga bulan selepas memperkenalkan BMW 520i di Malaysia Autoshow, BMW Malaysia melancarkan pula versi paling bawah G60, dengan BMW 520i M Sport yang ditawarkan pada harga asas RM349,800, iaitu RM17K lebih mahal berbanding 520i standard. Dengan pakej BMW Service & Repair Inclusive dengan waranti lima-tahun dan penyelenggaran berjumlah RM26,900, mnjadikan harga atas jalan mencecah RM376,700 tanpa insurans.

    Ciri luarannya termasuklah pakej M Sport, roda jejari-berkembar 935 M bicolour 19-inci dan kemasan M high-gloss shadowline, menjadikan sedan ini nampak lebih menarik. Di dalamnya, kabin 520i M Sport dipertingkatkan dengan M anthracite headliner, serlahan M dalam krom gelap serta kemasan aluminium rhombicle serta roda stereng balutan kulit tiga-jejari rekaan M Sport.

    Kelengkapan standard yang diberikan termasuklah BMW Curved Display yang merangkumi panel instrumen 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9-inci, sistem bunyi Harman Kardon HiFi dan BMW Interaction Bar, bersama lampu ambien yang membolehkan pemandu membuat tetapan mengikut kesesuaian. Kereta ini juga dilengkapi alas pengecas telefon pintar tanpa wayar, bersama dengan Connected Drive Services dan Connected Package Professional.

    Risalah spesifikasi/harga BMW 520i M Sport

    Secara mekanikalnya, M Sport ini berkongsikan penjana kuasa yang sama dengan model asas 520i, dengan unit B48 2.0 liter empat-silinder sebaris pengecas turbo petrol, yang turut menampilkan binaan hibrid ringkas 48V, menghasilkan 208 hp dan tork 330 Nm yang menyalurkan pacuan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan. Angka prestasinya juga lebih kurang sama dengan 520i asas, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum cecah 230 km/j.

    Sistem bantuan pemanduan untuk model ini termasuklah Driving Assistant Plus, yang terdiri daripada sistem bantuan berasaskan radar dan kamera, dengan Kawalan kelajuan Aktif bersama fungsi stop & go, Bantuan Kawalan Lorong dan Stereng serta Amaran Ketibaan Lorong. Turut diberikan ialah Bantuan Parkir Tambahan.

    Sebanyak empat warna luaran diberikan untuk M Sport, iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Cape York Green Metallic dan Oxide Grey Metallic, dengan tiga warna pertama sama dengan 520i asas. M Sport turut menerima Veganza perforated upholstery, dalam rona hitam quilted atau espresso brown.

     
     
  • KTMB tugaskan polis bantuan untuk rondaan berkala di dalam tren bagi elak isu pencerobohan koc wanita

    Isu pencerobohan penumpang lelaki ke dalam koc wanita untuk mana-mana perkhidmatan tren di negara ini memang kerap berlaku terutamanya pada waktu puncak. Ada penumpang lelaki berkenaan memberi alasan, koc biasa penuh hingga memaksanya ‘ceroboh’ koc wanita, dan tak kurang juga yang ‘tidak mahu berpisah’ dengan isteri atau kenalan perempuan yang duduk di koc wanita.

    Bagi mengelakkan isu ini terus berleluasa, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil inisiatif dengan menugaskan polis bantuan di tren yang menjalankan rondaan secara berkala serta menasihati penumpang mengenai penggunaan koc wanita bagi mengelak berlaku pencerobohan, laporan Berita Harian

    Selain itu, KTMB juga masih pada peringkat perbincangan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengatasi masalah pencerobohan koc wanita. Di mana perbincangan secara berterusan itu masih dijalankan dalam usaha mewujudkan undang-undang, seterusnya tindakan penguatkuasaan, selain mengadakan kempen kesedaran, kata KTMB.

    “Kita komited menangani isu pencerobohan koc wanita dengan menempatkan pegawai dan kakitangan polis bantuan yang kerap menjalankan rondaan secara berkala di tren untuk memastikan tidak ada lelaki menceroboh koc wanita.

    “Koc wanita ini diperkenalkan KTMB pada 2010 untuk memenuhi keselesaan dan keselamatan penumpang wanita dan ini termasuk di tempat menunggu yang tertera pelekat ‘Wanita Sahaja’. Selain usaha pemantauan berterusan oleh KTMB, kami juga menggesa orang ramai membantu mengingatkan antara satu sama lain berkenaan manfaat dan kepentingan koc wanita kepada semua penumpang,” kata KTMB.

    Beberapa hari lalu, seorang pengguna Facebook, Sheahnee Iman Lee memuat naik hantaran mengenai kejadian buruk menimpa ibunya yang berusia 72 tahun yang merupakan warga Australia terapi telah menetap di Malaysia lebih 50 tahun, di koc wanita ketika dalam perjalanan dari Stesen Bukit Badak ke Stesen Shah Alam.

    Dalam kejadian itu, ibunya telah menegur sekumpulan remaja lelaki yang berada di koc wanita, tetapi sebaliknya dimarahi mereka. Malah ibunya dikasari turut kumpulan berkenaan dan mengatakan mereka layak berada di koc itu kerana mereka adalah rakyat Malaysia. Namun kumpulan terbabit segera beredar ke koc normal setelah menyedari aksi mereka dirakam.

    Susulan itu, KTMB memaklumkan, Unit Khidmat Pelanggan KTMB sudah menghubungi Iman Lee dan menjelaskan koc wanita diperkenalkan untuk menyediakan persekitaran selamat untuk wanita menggunakan perkhidmatan Komuter KTM. “Penumpang turut dinasihati menggunakan butang interkom atau menghubungi polis bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

     
     
  • Motosikal baharu 150cc ke atas wajib ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) mulai 1 Jan 2025 – Ahmad Zahid

    Motosikal baharu 150cc ke atas wajib ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) mulai 1 Jan 2025 – Ahmad Zahid

    Kerajaan mewajibkan semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas yang dijual di pasaran Malaysia wajib memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bermula 1 Januari 2025.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia antara insiatif yang diambil kerajaan dalam menangani kes kemalangan jalan raya, khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, laporan Bernama.

    “Mari kita bermula dengan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat kerana 65% daripada jumlah kematian jalan raya tahun lalu, membabitkan penunggang motosikal. Jadi bermula 1 Januari 2025, semua motosikal baharu dengan enjin kapasiti 150cc ke atas wajib dipasang ABS,” katanya dalam Majlis Pelancaran Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 semalam.

    Jelas beliau, kerajaan memutuskan perkara itu kerana berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.

    Motosikal baharu 150cc ke atas wajib ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) mulai 1 Jan 2025 – Ahmad Zahid

    “Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini. Walaupun kadar kematian per 100,000 orang turun daripada 27% pada 2,000 kepada 22.5% pada 2019, ia tetap antara yang tertinggi di dunia. Jadi saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia,” katanya.

    Beliau juga berharap insiatif terbabit dapat menjadi inspirasi kepada negara ASEAN lain untuk melaksanakan langkah sama, sekali gus menjadikan motosikal sebagai kenderaan yang selamat digunakan.

    Selain itu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP) dilaksanakan di seluruh negara ASEAN atau Asia. Di mana MyMAP yang memberi penarafan kepada motosikal berdasarkan piawaian kenderaan itu mampu memberi kelebihan kepada pengguna untuk membuat penilaian sebelum membeli kenderaan berkenaan.

    “Setakat ini, MyMAP sudah menilai 28 jenis model motosikal dihasilkan tujuh syarikat pengeluar dan kenderaan ini diberikan rating ‘bintang’,” katanya.

     
     
  • GWM Haval H6 HEV sudah boleh ditempah; harga anggaran RM145k, waranti enjin & hibrid sejuta KM

    GWM Haval H6 HEV sudah boleh ditempah; harga anggaran RM145k, waranti enjin & hibrid sejuta KM

    GWM Malaysia hari ini mengumumkan bahawa SUV segmen-C yang sebelum ini dijangka akan dilancarkan di sini pada suku ke-3 2024 iaitu Haval H6 sudahpun boleh ditempah. Pengumuman berkenaan dibuat menerusi satu hantaran yang dibuat menerusi laman Facebook rasmi syarikat itu sebentar tadi.

    Dalam hantaran berkenaan GWM Malaysia menayangkan model ini dalam versi hibrid iaitu Haval H6 HEV. Ia diumum akan dijual pada pasaran Malaysia dengan harga anggaran RM145,000, dan pelanggan yang menempah (dengan yuran tempahan RM1,000) akan menerima ganjaran istimewa bernilai RM3,000 – namun ia belum dijelaskan dalam bentuk apa.

    Selain itu GWM Malaysia turut akan memberikan warant enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) dan juga waranti untuk sistem hibrid elektrik selama 8-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) – kedua-dua ini juga hanya ditawarkan untuk pelanggan-pelanggan terawal yang menempah model ini dalam tempoh pra-tempahan yang diumum hari ini, serta hanya sah untuk pemilik pertama dan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian sahaja.

    Untuk sistem hibrid elektrik tersebut komponen yang terlibat dalam waranti yang ditawarkan adalah termasuk kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bateri dan kabel voltan tinga dan juga kotak komputer kawalan transmisi (TCU).

    Dalam pengumuman yang dibuat sebelum ini, GWM mengumumkan bahawa Haval H6 ini akan terus ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan dibuat menerusi kilang milik EPMB di Melaka.

    Model ini pernah ditayangkan kepada umum ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow awal tahun ini. Bagi varian HEV, ia menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

    Dari segi saiz, dimensi H6 ini mencatatkan ukuran panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,724 mm. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,738 mm, lebih jauh berbanding saingan-saingan terdekatnya seperti Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    Manakala untuk kelengkapan, spesifikasi awalan yang telah diumum sebelum ini termasuk lampu utama LED matriks, lampu belakang LED, tempat duduk hadapan larasan kuasa, panel instrumen digital 10.25 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3 inci, lampu suasana, bumbung suria, enam beg udara, kamera 360 darjah dan sistem bantuan letak kereta.

    Untuk keselamatan pula, H6 pasaran Malaysia ini menerima sensor ultrasonik, kamera dan juga radar bagi memberikan sistem bantuan pemandu (ADAS) dengan fungsi termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, Rear Cross Traffic Alert, Lane Change Assist dan Wisdom Dodge System yang boleh menjaga jarak selamat daripada kenderaan yang besar.

    GALERI: Haval H6 HEV

     
     
  • Pusat 4S Chery Seremban kini dibuka secara rasmi

    Pusat 4S Chery Seremban kini dibuka secara rasmi

    Chery Malaysia secara rasmi telah merasmikan pembukaan pusat 4S terbaharunya di Negeri Sembilan iaitu Chery Seremban, yang dioperasikan oleh Taycn Kredit. Majlis perasmian fasiliti tersebut telah berlangsung pada hujung minggu lalu, disertai oleh ahli kumpulan WCWL (With Chery, With Love) yang turut berkonvoi sekitar bandar Seremban.

    Pusat 4S Chery Seremban ini terletak di Lot 2413, Pekan Rahang Baru, Jalan Tampin. Fasiliti yang dibina dengan keluasan 1,317 meter persegi serta dilengkapi dengan empat ruang servis ini sebenarnya sudahpun mula beroperasi sejak tahun lalu.

    “Sejak prapelancaran Chery Seremban tahun lalu (2023), Taycan Credit telah menjadi rakan kongsi yang kuat kepada Chery, dan kami benar-benar bersyukur mendapat sokongan mereka selama ini,” kata pengarah rangkaian Chery Malaysia, Soon Boon Ping.

    “Chery Seremban memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan automotif dalam negeri ini yang semakin meningkat, melengkapkan operasi Chery Nilai, yang mula melayani pelanggan sejak Mei, mengukuhkan lagi kehadiran Chery di Negeri Sembilan,” tambahnya.

    Bilik pameran Chery Seremban dibuka setiap hari, dari 9 pagi hingga 5.30 petang pada hari bekerja, 9 pagi hingga 5 petang pada hari Sabtu, dan 10 pagi hingga 3 petang pada hari Ahad. Waktu operasi pusat servis adalah dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari bekerja dan dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari Sabtu, tetapi ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

     
     
  • Stellantis Malaysia lancar pusat 2S Peugeot Subang Jaya; pusat servis beroperasi pada suku ke-3 tahun ini

    Stellantis Malaysia lancar pusat 2S Peugeot Subang Jaya; pusat servis beroperasi pada suku ke-3 tahun ini

    Peugeot Malaysia telah melancarkan bilik pameran Peugeot baharu di Lembah Kelang, iaitu Peugeot Subang Jaya yang dikendalikan oleh Allure Auto. Ini merupakan pelancaran pengedar baharu pertama selepas pengedaran, pemasaran, jualan dan servis selepas jualan jenama automotif Perancis tersebut di sini diambil alih oleh Stellantis Malaysia akhir tahun lalu.

    Operasi bilik pameran Allure Auto ini akan bermula sebagai pusar 1S terlebih dahulu, dan ia akan ditingkat taraf kepada pusat 2S tidak lama lagi menerusi pusat servis yang sedang dibina di atas tapak seluas 5,800 kaki persegi.

    Pusat servis berkenaan terletak berhampiran dengan bilik pameran ini, dan ia kini sudah 70% siap dan dijangka akan beroperasi pada suku ke-3 tahun ini. Selepas siap kelak, fasiliti tersebut akan menyediakan lapan-ruang servis, serta bahagian untuk kerja-kerja pembaikan badan dan cat.

    Stellantis Malaysia lancar pusat 2S Peugeot Subang Jaya; pusat servis beroperasi pada suku ke-3 tahun ini

    Manakala bagi bilik pameran di Taipan ini, ia boleh mempamerkan sebanyak empat kereta dalam satu-satu masa dan disediakan satu ruang penghantaran, serta menampilkan identiti korporat terbaharu Peugeot. Bilik pameran ini juga menyediakan alat konfigurasi 3D bagi memberikan pangalaman pembelian yang interaktif untuk pelanggan.

    “Allure Auto mewakili satu kejayaan dalam perjalanan kami untuk mempunyai 30 pengedar dalam rangkaian kami menjelang akhir 2024. Stellantis Malaysia komited untuk menyampaikan jenama dan pengalaman pemilikan peringkat tinggi kepada pelanggan kami, dan kami mengalu-alukan Allure Auto ke dalam keluarga Peugeot,” kata pengarah urusan Stellantis Malaysia Jamie Francis Morais.

     
     
  • Volvo EX30 EV dengan pelekat samaran kini berdaftar — pelancaran awam di KL Base, 26-29 September

    Volvo EX30 EV dengan pelekat samaran kini berdaftar — pelancaran awam di KL Base, 26-29 September

    Volvo EX30 akan dilancarkan bulan ini, dan Volvo Car Malaysia (VCM) sedang giat melakukan guerrilla marketing dengan unit berpelekat samaran ini, yang sudah pun didaftarkan. Hujung minggu lalu, rakan setugas kami, Danny Tan terserempak dengan unit terbabit yang diletakkan di Subang Ria Park, bagi satu acara pelancaran sebuah telefon pintar yang dihadiri oleh golongan muda.

    Dalam dilihat tertera di balutan samaran berkenaan tertulis ‘Big On Safety’ dan ‘Big on Tech’ serta pelawaan untuk menjadi yang terawal memandu kereta tersebut di KL Base pada 26-29 September nanti. Memandangkan itu lokasi yang sama VCM pernah menganjurkan Volvo Safety Driving Experience, tarikh berkenaan mungkin akan menjadi acara pengenalan untuk pelanggan, memandangkan pengenalan rasmi EX30 ini akan diadakan pada 25 September.

    Volvo EX30 EV dengan pelekat samaran kini berdaftar — pelancaran awam di KL Base, 26-29 September

    Pendaftaran minat sudah dibuka, dan beberapa unit model ini sudah pernah dilihat di atas trailer pengangkut menuju ke Pelabuhan Klang, bulan lalu. Ini mencadangkan bahawa pemasangan tempatan di kilang Volvo Shah Alam telah dimulakan, begitu juga dengan eksportnya.

    Volvo EX30 merupakan antara EV yang menarik ketika ini, kerana ia berbeza. Rekaannya unik, saiznya juga unik (ia bahkan kecil bukan hanya dalam barisan kenderaan Volvo), begitu juga unik dari aspek kepenggunaannya termasuk unik untuk pemanduannya.

    EX30 adalah kereta Volvo paling kecil setakat ini. Dibangun menggunakan platform Scalable Electric Architecture (SEA) oleh Geely yang turut digunakan untuk smart #1, smart #3 dan Zeekr X akan datang. EX30 ini mempunyai ukuran dimensi 4,223 mm panjang, 1,837 mm lebar dan 1,555 mm tinggi — ini masing-masing 202 mm, 26 mm dan 97 mm kurang berbanding XC40. Jarak rodanya pula ialah 2,650 mm, 52 mm lebih pendek berbbanding XC model yang paling kecil. XC30 juga lebih kecil berbanding “saudara” smart-nya.

    Volvo EX30 sudah dijual di Thailand dan Indonesia. Di Thailand, tiga varian ditawarkan, denga semuanya menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 69 kW dengan kadar pengecasan maksimum 11 kW AC dan 153 kW DC.

    Varian Core Single Motor Extended Range dan Ultra Single Motor Extended Range dilengkapi dengan motor di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm, dengan jarak WLTP 480 km. Bagi varian paling lengkap, Ultra Twin Motor Performance pula didatangkan dengan motor depan yang menjana 428 PS (315 kW), 543 Nm dengan jarak WLTP 460 km.

    Di Indonesia pula, tiada model AWD, tetapi untuk versi RWD ada dia pilihan bateri. Varian asas Plus datang dengan 51 kWh lithium iron phosphate (LFP) dengan jarak 344 km, sementara varian paling tinggi Ultra Extended Range menerima bateri NMC 69 kWh bateri dengan jarak 480 km.

    Volvo EX30 EV dengan pelekat samaran kini berdaftar — pelancaran awam di KL Base, 26-29 September

    Varian untuk Malaysia akan diumumkan nanti. Volvo EX30 akan menjadi tambahan terbaru bagi EV sedia ada di sini yang kerap menerima perhatian ramai, misalnya seperti BYD Seal dan Tesla Model 3, dan tidak lupa MINI Cooper SE dan Countryman SE.

    Tanda harga adalah faktor penting untuk EV. Dan jika dilihat, saiz EX30 ini adalah lebih kecil daripada Volvo XC40 Recharge Pure Electric yang dijual di sini dengan harga RM280k. Harga EX30 di Indonesia adalah sekitar RM248k — jadi harga di sini akan lebih rendah?

     
     
  • Bentley Mulliner Collections kini di Malaysia – Conti GT, Flying Spur, Bentayga EWB; dari RM3.25 juta

    Bentley Mulliner Collections kini di Malaysia – Conti GT, Flying Spur, Bentayga EWB; dari RM3.25 juta

    Bentley Mulliner Collections kini telah pun tiba di Bentley Kuala Lumpur dan ia dibarisi oleh model
    Bentley Continental GT coupe, Flying Spur limo dan SUV Bentayga Extended Wheelbase. Kesemuanya ditampilkan dengan elemen serba mewah, eksklusif dan kemasan penuh sofistikated, bersesuaian dengan harga dan jenama jentera ini.

    Untuk pengetahuan anda, Bentley Mulliner merupakan couchbuilder automotif yang paling senior di dunia. Ia mengendalikan tiga bahagian yang berbeza dengan setiap satunya memiliki kepakaran masing-masing. Coachbuilder memberikan perkhidmatan kepada pelanggan yang inginkan menaiktaraf kenderaan mereka dengan menampilkan gaya badan yang lebih unik, pemilihan material yang berbeza dan kepelbagaian pilihan yang lebih menepati citarasa pemiliknya.

    Di bawah Mulliner, ia menciptakan semula dan memulihkan model ikobik daripada arkib Bentley. Manakala barisan Collections pula menawarkan pelanggan yang mahukan jentera yang lebih mewah daripada rangkaian teras Bentley, dan berpeluang untuk mencipta kelainanan buat kenderaan mereka. Sebilangan besar pilihan tersedia, daripada padanan warna yang unik, kombinasi jahitan hinggalah kandungan ciri yang diingini yang perlu dilakukan menerusi tempahan khas.

    Jika Continental GT Speed lebih kepada tahap model supercar dengan prestasi dan dinamik yang padu, manakala Continental GT Mulliner ditampilkan sebagai model perdana serba mewah dalam barisan GT.

    Mulliner Collection diterjemahkan menerusi gril ‘Double Diamond’ matrix yang boleh dilihat menerusi ketiga-tiga model di sini. Dengan keindahan rekabentuk gril nampak serba mewah dan eksklusif, dipadankan dengan ‘corong’ fender hadapan dengan motif yang sama dan perkataan Mulliner dalam serlahan krom.

    Selain itu, pakej unik lain yang ditampilkan untuk ‘pakej standard Mulliner Collections’ ini termasuklah perumah cermin sisi dalam kemasan Satin Silver dan lampu ‘welcome’ Mulliner serya ambang pintu iluminasi dengan perkataan Mulliner.

    Menambahkan lagi keunikan gayanya, ia diberikan roda besar, dengan kemasan Tungsten, berjejari-10 bersaiz 22-inci bersama logo ikonik Bentley ‘B’ ditengahnya yang menegak pada setiap masa walaupun pada ketika roda sedang berpusing.

    Di dalamnya, motif ‘Diamond in Diamond’ dipaparkan pada tempat duduk, kemasan pintu dan panel di bahagian belakang dengan jahitan kontras. Untuk pengetahuan anda, sebanyak 400,000 jahitan dilakukan untuk segenap ruang di seluruh kabin kereta ini, dengan setiap berlian mempunyai 712 jahitan.

    Bentley juga masih menerapkan elemen kulit dan kayuan. Bagi Continental GT Mulliner Bespoke Interior, ia diberikan sepenuh lapisan kulit (termasuk pada bahagian bumbung), dengan tona Portland dan Burnt Oak. Sekaligus menambahkan elemen penuh mewah dengan kelas tersendiri untuk ruang dalamannya.

    Bentley Mulliner Collections kini di Malaysia – Conti GT, Flying Spur, Bentayga EWB; dari RM3.25 juta

    Bentley KL memilih sentuhan Grand Black Veneer untuk bahagian kokpit dan pada bahagian penumpang sisi, bersama dengan tindanan serlahan siluet bersama perkataan jenama Mulliner. Manakala elemen kayuan pila membaluti panel pintu dengan logo ‘B’ pada setiap hujungnya. Rona deep black veneer juga diberikan kontras Diamond Milled Technical Finish pada konsol tengah. Untuk Continental GT ini, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM3,257,400 dengan cukai, tanpa insurans.

    Bagi Flying Spur Mulliner pula, ia diberikan warna Onyx, yang pertama kalinya diperkenalkan menerusi Continental Flying Spur Speed generasi pertama. Nampak macam biru tua, tetapi dicampurkan dengan tona yang lebih gelap untuk memberikan bayangan umpama kemasan hitam pekat.

    Seperti Continental GT, ia juga diberikan kemasan krom di kebanyakan bahagian luar dan dalamnya, dengan gril Double Diamond, dipadankan bersama fender hadapan applique, perumah cermin sisi perak, welcome light, ambang pintu dan rim Mulliner 22-inci.

    Kalau dilihat dari pandangan mata kasar, nampak macam kembar dengan Continental GT tetapi berlainan saiz. Flying Spur diberikan beberapa ciri khas termasuk lencana Flying B, bampar/gril unik dan kemasan wing hadapan yang diposisikan di atas. Selain itu, ia turut diberikan material kulit (Portland) dengan warna cream dicampurkan dengan tona gelap (Beluga). Kombinasi Grand Black Veneer dan Diamond Milled Technical Finish turut diberikan, bersama Diamond-in-Diamond quilting.

    Ciri ekstra untuk Flying Spur termasuk dua ‘meja piknik’ utuk VIP, dalam kemasan Grand Black, di mana meja yang boleh dilipat ini turut menampilkan rekaan tindanan krom inspirasi-berlian, yang sebenarnya refleksi 2D bagi kemasan teknikal berlian 3D pada konsol tengah.

    Sedikit menjadi tanda tanya, mengapa model ini diberikan sentuhan merah terang Hotspur pada ruanga kabin dan kaliper brek, jika dibandingkan dengan gaya lebih sporty pada Continental GT. Flying Spur ini dtawarkan pada harga atas jalan RM3,432,700, juga dengan cukai dan tanpa insurans.

    Bentley Mulliner Collections kini di Malaysia – Conti GT, Flying Spur, Bentayga EWB; dari RM3.25 juta

    Satu-satunya ‘pahlawan putih’ dalam famili Mulliner Collections ialah Bentayga EWB Mulliner, model perdana mewah bagi Bentayga Extended Wheelbase (EWB). Seperti namanya, ia memiliki jarak roda yang lebih panjang (+180 mm) untuk ruang kaki di bahagian belakang dan juga diberikan pilihan Bentley Airline Seat Specification. Dengan tempat duduk individual, ia menampilkan 22-cara larasan, sistem penderia suhu automatik pertama di dunia dan teknologi pelarasan postur termaju.

    Ia juga diberikan warna putih solid dengan Blackline Specification, bersama kemasan luaran yang lebih terang digantikan elemen hitam berkilat, termasuk pemegang pintu, bezel lampu utama, corong ekzos, gril bampar, rel bumbung dan sekeliling tingkap, selebihnya masih dengan kemasan krom.

    Sentuhan perak diberikan pada logo dan juga gril Double Diamond. Manakala roda Mulliner bersaiz 22-inci dengan kemasan hitam. Manakala perumah cermin sisi perak turut menampakkan gaya yang lebih sporty dan kontemporari.

    Bentley Mulliner Collections kini di Malaysia – Conti GT, Flying Spur, Bentayga EWB; dari RM3.25 juta

    Untuk dalamannya, pemilihan tiga rona gelap dengan tema ‘Storm’ hasil kombinasi biru dan hitam Brunel serta Beluga dengan kemasan ala ‘pancaran kilat merentasi langit malam’. Grand Black Veneer dan Diamond Milled Technical Finish masih diberikan, dengan tindanan krom pada sisi penumpang hadapan dan ‘meja piknik’, sama seperti Flying Spur Mulliner. Walau bagaimana pun, tiada kemasan Diamond-in-Diamond, tetapi dengan paten quilt yang nampak lebih menonjol. Untuk SUV mewah ini, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM3,321,200, dengan cukai tetapi tanpa insurans.

    Untuk penjana kuasanya, ketiga-tiga model diberikan enjin 4.0 liter V8 dengan hamburan kuasa 550 PS dan tork 770 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm.

    Unit TSI turbo-berkembar dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan pecutan 0-100 km/j sekitar 4.0 saat untuk Continental GT, 4.1 saat untuk Flying Spur dan 4.6 untuk Bentayga EWB. Ketiga-tiga varian ini juga menerima Bentley Dynamic Ride dan dua limo diberikan electronic all-wheel steer.

    Untuk audio, model empat-pintu diberikan pembesar suara Bang & Olufsen, sementara Continental GT menerima sistem Bentley dengan 20 saluran – 18 loudspeaker dan dua ‘shakers’ dan 2,200-watt amplifier.

    GALERI: Bentley Continental GT Mulliner

    GALLERY: Bentley Flying Spur Mulliner

    GALLERY: Bentley Bentayga EWB Mulliner

     
     
  • BYD Seal Dynamic tiba di Malaysia 6 September – 204 PS, 310 Nm, jarak gerak 460 km, bawah RM160k?

    BYD Seal Dynamic tiba di Malaysia 6 September – 204 PS, 310 Nm, jarak gerak 460 km, bawah RM160k?

    Semasa pelancaran BYD Seal Februari lalu, pengedarnya, Sime Darby Beyond Auto sepatutnya melancarkan juga varian Dynamic Standard Range, tetapi ia dibatalkan pada saat-saat akhir. Sekarang, model yang lebih murah daripada varian Premium Range RWD dan Performance Range AWD itu diberitahu sudah sedia untuk pelancaran, dan akan dibuat pada 6 September ini.

    Sebagai satu varian permulaan, Seal Dynamic datang dengan kuasa paling sedikit dalam barisan model Seal, dan jarak geraknya juga paling rendah bagi model kenderaan elektrik (EV) itu. Walaubagaimanapun, ia masih mampu menghasilkan kuasa 204 PS (150 kW), tork 310 Nm dan memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.

    Bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 61.4 kWh yang digunakan pada model ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 460 km, dan ini lebih rendah berbanding 570 km oleh varian Premium dan 520 km oleh Performance AWD. Sama seperti model lain, Dynamic juga boleh dicas menggunakan sumber AC sehingga 7 kW – 8.6 jam untuk penuh – dan DC hanya 110 kW.

    BYD Seal Dynamic tiba di Malaysia 6 September – 204 PS, 310 Nm, jarak gerak 460 km, bawah RM160k?

    BYD Seal Premium

    Selain jumlah kuasa lebih rendah dan bateri yang lebih kecil, teaser yang dikeluarkan juga mengesahkan bahawa Seal Dynamic akan mendapat rim yang lebih kecil, berukuran 18 inci. Kita boleh menjangkakan senarai kelengkapan juga berkurangan bagi menurunkan lagi harganya.

    Berkenaan harga, masih belum ada informasi yang diperoleh, tetapi memandangkan terdapat beza RM20,000 antara Premium (RM179,800) dan Performance (RM199,800), kita boleh menjangkakan jurang yang sama antara Dynamic dan Premium, bermakna sekitar RM150,000 untuk Dynamic.

    BYD Seal Premium Range RWD

     
     
  • JPJ eBid: Siri QDB dan SWM dibuka untuk bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Sarawak, QDB, telah pun dibuka bidaan sejak 30 Ogos lalu. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 3 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 4 September 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah pula, SWM, bidaannya pula bakal dibuka mulai 19 September dan akan berakhir jam 10 malam pada 23 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 September 2024.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Honda Civic Coupe EJ8 1996 USDM – spesis terancam dari Amerika Syarikat kini di Selatan Tanah Air

    Honda Civic Coupe EJ8 1996 USDM – spesis terancam dari Amerika Syarikat kini di Selatan Tanah Air

    Kalau anda ingat lagi permainan video Need For Speed:Underground, Honda Civic generasi ke-enam dalam permainan tersebut agak berbeza dengan apa yang kita dapat di Malaysia. Civic berkenaan masih mempunyai but belakang seperti sedan, tetapi hanya mempunyai dua pintu utama seperti hatchback.

    Ya, Civic dalam permainan video itu adalah dari versi badan Coupe seperti Proton Putra, dan ia dihasilkan khas untuk pasaran Amerika Utara. Honda sebenarnya mula menawarkan Civic dalam badan Coupe ini bermula pada model generasi ke-lima, seperti yang anda boleh lihat dalam filem pertama The Fast and the Furious di mana Dominic Toretto menggunakan tiga buah Civic Coupe (generasi kelima) tersebut untuk merompak lori.

    Untuk dua generasi pertama iaitu generasi ke-lima dan ke-enam, Civic Coupe ini turut ada ditawarkan dalam jumlah yang kecil di pasaran Jepun dan Eropah. Tetapi bermula Civic generasi ke-tujuh, Civic Coupe ini hanya boleh ditemui di Amerika Syarikat dan Kanada. Namun malangnya Honda hanya menghasilkan Civic Coupe ini sehingga generasi ke-10, dan ia tidak lagi ditawarkan pada Civic generasi ke-11 yang ada sekarang.

    Honda Civic Coupe EJ8 1996 USDM – spesis terancam dari Amerika Syarikat kini di Selatan Tanah Air

    Baik, cukup sudah sedikit sebanyak latar belakang berkenaan Civic Coupe ini. Dan yang anda lihat dalam artikel ini adalah Civic Coupe 1996 sebenar yang dipasang di kilang Honda di Ohio, Amerika Syarikat, masih dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD), dan sekarang dimiliki oleh Joe yang menetap di Johor Bahru!

    Menurut Joe, dia adalah pemilik keempat Civic ini selepas ia mendarat dan didaftarkan di Malaysia pada tahun 2004. Namun Joe tidak mengetahui secara terperinci bagaimana Civic berkenaan boleh sampai ke Malaysia.

    Civic Coupe dengan kod casis EJ8 ini bukanlah dari varian tertinggi Si yang datang dengan enjin B16A 1.6 liter DOHC VTEC, tetapi ia dari varian EX yang dibekalkan dengan enjin D16Y8 1.6 liter SOHC VTEC berkuasa 130 PS dari kilang. Namun ia kini telahpun menerima unit rangkaian kuasa yang jauh lebih berkuasa iaitu enjin B18C 1.8 liter DOHC VTEC berkuasa 200 PS dan tork maksima 176 Nm.

    Honda Civic Coupe EJ8 1996 USDM – spesis terancam dari Amerika Syarikat kini di Selatan Tanah Air

    Isi perut enjin berkenaan pernah dirombak rawat untuk menjadikannya seperti baharu termasuk menukar semua gegelang omboh dan gasket, tetapi masih lagi dalam keadaan standard kecuali penggunaan galas-galas utama aci engkol dari ACL.

    Antara pengubahsuaian yang dibuat hanyalah sistem ekzos telah menggunakan extractor 4-2-2-1 bersama muffler lebih besar, penggunaan sistem pengambilan udara aftermarket dengan penuras jenis open pod dan ram udara gentian karbon, cip P30 dalam ECU asal diperkemas dengan talaan baharu serta unit radiator aloi dari SARD.

    Enjin tersebut datang sekali dengan kotak gear manual lima-kelajuan S80 dari Type R DC2 yang lengkap dengan LSD dari kilang, hanya plat klac asal ditukar menggunakan set Super Single dari Ogura.

    Honda Civic Coupe EJ8 1996 USDM – spesis terancam dari Amerika Syarikat kini di Selatan Tanah Air

    Walaupun agak sukar untuk dipandu, Civic ini masih kekal dalam konfigurasi LHD selama berada di Malaysia. Jadi papan pemukanya masih kekal, tetapi komponen yang boleh dipasang secara plug and play dari Civic Type R EK9 (yang hanya dihasilkan dalam versi JDM pemanduan sebelah kanan) seperti panel meter, konsol tengah dan sebagainya telah disalin pada Coupe ini.

    Begitu juga dengan komponen-komponen dalaman lain seperti panel pintu, karpet kaki merah dan tombol gear titanium. Ia juga kini menggunakan tempat duduk semi-bucket OEM Civic Type R EK iaitu Recaro SR3, tetapi dibalut dengan upholsteri hitam berbanding merah. Manakala roda stereng asal kini telah ditukar dengan Momo Monte Carlo balutan kulit.

    Proses restorasi turut dibuat pada bahagian luar Civic Coupe ini. Lampu hadapan dan belakang, getah-getah cermin dan pintu kini semuanya baharu, manakala bonet hadapan kini menggunakan komponen yang diperbuat dari gentian karbon. Ia juga menerima komponen yang diambil dari spesifikasi Civic Coupe Si iaitu cermin sisi dan juga spoiler belakang.

    Badan kereta ini pula telah dilayangkan dengan warna oren yang diambil dari katalog Porsche 911 GT3. Rupa keseluruhannya dilengkapkan dengan penggunaan rim aloi forged Rays Gramlight 57C 16-inci asli dari Jepun yang dibalut dengan tayar ‘perang’ Yokohama Advan Neova AD08 R bersaiz 205/45R16.

    Menurut Joe, kebanyakkan kerja restorasi Civic ini termasuk proses overhaul enjin, mengecat badan dan mencari alat-alat ganti yang tidak dijual di kedai-kedai alat ganti tempatan dibuat oleh pemilik keduanya di Malaysia.

    Dia turut mengakui untuk kereta ini di Malaysia juga agak mencabar, terutamanya ketika mahu membayar parkir atau tol menggunakan kad touch n go, serta sukar untuk memotong sekiranya memandu pada jalan satu lorong kerana pemandu tidak nampak trafik yang datang dari arah hadapan.

    Honda Civic Coupe EJ8 1996 USDM – spesis terancam dari Amerika Syarikat kini di Selatan Tanah Air

    Malah Civic ini turut tidak pernah dipandu menyeberang Tambak Johor, kerana ia memerlukan permit khas dari kerajaan Singapura bagi membolehkan kereta luar LHD dipandu di republik tersebut.

    Dari segi nilai, sudah tentulah Civic dalam badan Coupe yang seksi ini sangat rare bukan sahaja di Malaysia, malah di negara rantau Asia yang lain (kecuali Jepun) kerana ia memang tidak pernah dijual secara rasmi oleh Honda. Sehingga kini Joe masih belum menerima tawaran untuk membeli kereta ini, namun dia memberi nilaian bahawa Civic Coupe ini boleh dijual pada harga sekitar RM90,000.

    Agak munasabah juga harga yang diletakkan oleh Joe ini, kerana sebelum ini ada Civic EK Hatchback yang disalin dengan enjin dan komponen Type R pernah dijual pada harga melebihi RM100k. Anda pula rasa bagaimana?

     
     
  • MG ZS 2025 didedah – SUV segmen B generasi kedua tiba dalam versi hibrid dahulu, petrol dan EV kemudian

    MG ZS 2025 didedah – SUV segmen B generasi kedua tiba dalam versi hibrid dahulu, petrol dan EV kemudian

    Sementara di negara kita MG baru sahaja mula menjual model ZS, di luar pula mereka telah memperkenalkan model generasi kedua terbaru. SUV segmen B yang baru didedahkan ini membawa teknologi lebih maju bersama ciri keselesaan dan prestasi yang ditambah baik.

    Selain bahagian gril yang diperbaharui, penampilan luar model ini masih lagi sama seperti sebelumnya dan bahagian yang lebih banyak diberi naik taraf adalah di dalam. Ini bermula dengan rekaan papan pemuka lebih moden bersama konsol tengah minimalis serta tombol gear berpetak.

    Antara teknologi yang diberi adalah termasuk panel instrumen digital tujuh inci serta skrin sesentuh 12.3 inci untuk infotainmen dengan ciri navigasi sendiri, servis atas talian serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Di United Kingdom, ZS akan datang secara standard dengan pakej bantuan pemandu penuh yang termasuk Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Lane Keeping Assist, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitoring dan Traffic Jam Assist.

    Buat masa sekarang hanya model Hybrid+ sahaja yang baru didedah, menggunakan padanan enjin petrol NA 1.5 liter 102 PS/128 Nm dengan motor elektrik 136 PS/250 Nm dan bateri 1.83 kWh. Kuasa keseluruhannya adalah 196 PS dan tork 465 Nm. Dengan pakej kuasa ini, ZS mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat manakala penggunaan bahan api berada di sekitar 5.1 l/100 km mengikut kitaran WLTP.

    Perincian varian lain masih belum didedah, tetapi laman CarExpert melaporkan bahawa varian petrol akan tiba di Australia terlebih dahulu, diikuti Hybrid+ dan pengganti ZS EV pada tahun hadapan. Untuk tiba ke Malaysia mungkin lambat lagi kerana ZS EV baru sahaja dilancarkan.

     
     
  • Jajaran Seksyen 1 WCE Banting-SKVE dibuka bermula tengah malam ini — tol percuma hingga 29 September

    Jajaran Seksyen 1 WCE Banting-SKVE dibuka bermula tengah malam ini — tol percuma hingga 29 September

    Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) hari ini menyaksikan pembukaan rasmi bagi Seksyen 1 projek berkenaan, yang melibatkan jajaran laluan dari Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

    Jajaran Seksyen 1 ini merupakan susur masuk dan keluar paling selatan bagi WCE yang menghubungkan Banting hingga ke Taiping. Jajaran tersebut meliputi jarak sepanjang 12.5 kilometer dan akan dibuka kepada umum bermula tengah malam ini. Laluan ini mampu menjimatkan 30 minit masa perjalanan dari Banting menuju ke KESAS.

    Perasmian lalun terbaru ini dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Dan sempena sambutan Hari Merdeka negara yang ke-67 esok, jajaran WCE yang dimaksudkan ini akan dikecualikan daripada kutipan tol selama sebulan, dan akan berakhir pada 29 September 2024 nanti. Bagaimanapun, perlu dijelaskan, pengecualian tol ini hanya untuk WCE Seksyen 1 sahaja, dan tidak melibatkan laluan SKVE yang menghubungkannya (sila rujuk rajah untuk maklumat kadar tol).

    Untuk peringkat awal ini, WCE menganggarkan kadar penggunaan harian jajaran Seksyen 1 ini adalah sekitar 8,000 hingga 10,000 kenderaan sehari. Bagi Seksyen 1 WCE ini, hanya terdapat kawasan rehat biasa dengan kemudahan asas seperti tandas dan surau. Untuk kawasan Rehat & Rawat yang lebih besar dan lengkap berdekatan, ia akan disediakan dalam jajaran Seksyen 2 kelak.

    Ketika ini, tujuh daripada 11 seksyen WCE telah siap dan dibuka kepada umum. Dan pada Disember nanti, jajaran Seksyen 2 pula akan menyusul untuk dirasmikan dan dibuka kepada umum. Sejak penghujung 2019, WCE mula dibuka kepada secara berperingkat, bermula dengan jajaran Seksyen 5 yang melibatkan laluan dari Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) ke Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja.

    Kemudian pada November 2023, jajaran Seksyen 6 pula dibuka, melibatkan laluan dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, melibatkan jarak 21.8 km.

    Pada Mac tahun ini pula, jajaran Seksyen 11 dari Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas pula dirasmikan, melibatkan jarak laluan sepanjang 35.5 km, sekaligus melengkapi beroperasinya semua seksyen laluan WCE yang berada dalam negeri Perak.

    Lebuhraya WCE merupakan sebuah lebuh raya antara bandar yang merentasi bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia dan menghubungkan Changkat Jering di negeri Perak (Utara) ke Banting di negeri Selangor (tengah) melibatkan jarak keseluruhan sepanjang 314.5 km.

    Lebuhraya ini melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di negeri Perak dan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting di Selangor. Beberapa bahagian lebuhraya ini juga bersambung dengan jalan Persekutuan biasa, misalnya seperti di kawasan sekitar Sabak Bernam/Sekinchan dan juga Seberang Perak selepas Teluk Intan menuju Lekir.

     
     
  • Kerajaan luluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk selenggara Jalan Persekutuan di Semenanjung

    Kerajaan luluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk selenggara Jalan Persekutuan di Semenanjung

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan bahawa kerajaan telahpun meluluskan peruntukan tambahan penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung berjumlah RM100 juta bulan ini.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, peruntukan itu adalah untuk memperkasakan Kontraktor Bumiputera G1-G4 di mana sebanyak RM70 juta dari jualan berkenaan diperuntukkan bagi 79 kerja penyenggaraan Berkala Pavemen dan RM30 juta untuk 200 kerja penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen.

    “Bagi Zon Selatan meliputi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, sejumlah 18 kerja Berkala Pavemen bernilai RM15.06 juta ditawarkan … manakala bagi Berkala Bukan Pavemen, 36 kerja bernilai RM6.5 juta ditawarkan,” katanya.

    Ahmad turut menyatakan bahawa Johor menerima peruntukan terbesar bagi Zon Selatan dengan jumlah RM11.75 juta diikuti Negeri Sembilan (RM6.645 juta) dan Melaka (RM2.165 juta). Beliau menjelaskan Johor mendapat peruntukan RM8.05 juta untuk 10 kerja penyenggaraan jalan Berkala Pavemen sementara Negeri Sembilan menerima RM5.4 juta (enam kerja penyenggaraan) dan Melaka RM1.61 juta (dua kerja penyenggaraan).

    Kerajaan luluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk selenggara Jalan Persekutuan di Semenanjung

    Manakala bagi kerja Berkala Bukan Pavemen, Ahmad memberitahu sebanyak RM3.7 juta untuk 36 kerja penyenggaraan diperuntukkan kepada Johor manakala Negeri Sembilan memperoleh RM2.245 juta (11 kerja penyenggaraan) dan Melaka RM555,000 (enam kerja penyenggaraan).

    “Kerja-kerja penyenggaraan jalan Berkala Pavemen melibatkan kerja pembaikan turapan dan struktur jalan yang rosak menggunakan pelbagai teknik yang bertepatan dengan jenis kerosakan seperti mill and pave, overlay, pembinaan semula struktur jalan dan menurap semula turapan jalan.

    “Penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen pula melibatkan kerja-kerja pembaikan aset-aset jalan selain struktur dan turapan jalan, seperti mengecat garisan jalan, penyenggaraan jambatan, membaiki longkang, membaik pulih papan tanda, membaiki penghadang jalan dan sebagainya,” katanya.

     
     
  • Hyundai N Vision 74 sah akan diproduksi – termasuk dalam 21 model EV baharu dilancar menjelang 2030

    Hyundai N Vision 74 sah akan diproduksi – termasuk dalam 21 model EV baharu dilancar menjelang 2030

    Sekejap jadi, sekejap tak jadi. Namun dalam pembentangan Hari Pelabur Hyundai 2024 baru-baru ini, Hyundai akhirnya secara rasmi mengumumkan bahawa model konsep Hyundai N Vision 74 yang muncul pada 2022 bakal dihasilkan sebagai model produksi sebenar yang bakal dijual di bilik pameran!

    Model berkenaan tersenarai dalam 21 model EV baharu yang akan dilancarkan menjelang 2030. Namun Hyundai masih belum memperincikan anggaran masa sebenar bila ia akan dilancarkan dan juga unit rangkaian kuasa yang akan digunakan – sama ada serupa dengan versi konsep yang digerakkan oleh sel bahan api hidrogen untuk menggerakkan motor elektrik, atau EV penuh menggunakan bateri.

    Hyundai N vision 74 ini didedahkan pada Julai 2022, dan ia diumumkan sebagai ‘makmal ujian bergerak prestasi tinggi’ bagi membolehkan Hyundai menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan unit rangkaian kuasa yang lebih jitu. Kereta konsep ini dibekalkan dengan dua motor elektrik untuk memacu gandar belakang yang berkuasa lebih dari 671 hp (500 kW) dan tork maksima melebihi 900 Nm, didakwa boleh mencapai kelajuan melebihi 250 km/j.

    Hyundai N Vision 74 sah akan diproduksi – termasuk dalam 21 model EV baharu dilancar menjelang 2030

    Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri berkapasiti 62.4 kWh bersama kebolehan mengecas cepat 800-volt. Manakala untuk sistem sel bahan api hidrogen yang digunakan untuk menghasilkan kuasa untuk disimpan pada bateri, ia menerima tangki berkapasiti 4.2 kg yang boleh dipenuhkan dalam masa 5 minit, dengan stack sel bahan api 85 kW (maksimum 95 kW). Ini membolehkan N Vision 74 tersebut bergerak dalam jarak lebih 600 km.

    Namun apa yang paling menarik adalah rekaan luarannya. Bentuk retro seperti mesin masa Delorean DMC 12 Doc Brown pada kereta konsep ini sebenarnya diilhamkan dari model konsep Hyundai Pony Coupe yang didedahkan pada 1974 direka oleh pereka lagenda Itali, Giorgetto Giurgaro. Hyundai menyatakan bahawa bentuk profil dinamik, permukaan dan tiang-B yang unik pada N Vision 74 ini ditiru terus dari Pony Coupe Concept 1974.

    Ia kemudiannya diberikan kit aerodinamik seakan kereta rali Group B era 80’an, menampilkan kesemua fender yang direka lebar dan berpetak, spoiler ‘sodok’ di hadapan, diffuser yang agresif pada bampar belakang serta spoiler belakang dengan sayap gergasi.

    Manakala lampu hadapan dan belakang dibentuk menyerupai lampu Pony Coupe Concept menggunakan susunan lampu Parametric Pixel seperti pada model EV produksi Hyundai Ioniq 5 dan Ioniq 6. Gril hadapan N Vision 74 ini juga menggunakan mesh seiras Pony Coupe. Manakala untuk roda, ia diberikan rim seakan rim kereta lumba jenis aerodisc era 80’an yang bersaiz besar, sesuai dengan rekaan kit aero retro yang diberikan.

    Beberapa khabar angin telah bertiup sebelum ini menyatakan bahawa model konsep ini akan dijelmakan dalam versi produksi sebenar, dan Hyundai kemudiannya mengeluarkan kenyataan untuk menafikannya. Jadi dengan pengumuman rasmi ini maka tamatlah sebarang spekulasi dan kita tunggu sahaja model sebenar disiapkan dan diperkenalkan dalam pasaran kelak.