Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Polis Sarawak tawar 30% diskaun saman pada 22-23 Dis sempena pelancaran Op Selamat Krismas 2023

    Polis  Sarawak tawar 30% diskaun saman pada 22-23 Dis sempena pelancaran Op Selamat Krismas 2023

    Sempena dengan pelancaran Op Selamat Krismas 2023, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sarawak bakal menawarkan diskaun sebanyak 30% untuk pembayaran saman trafik selama dua hari.

    Di mana kaunter pembayaran trafik berkenaan bakal dibuka di Farley Supermarket, Sibu pada 22 Disember 2023, dari jam 9 pagi hingga 3 petang. Manakala pada 23 Disember pula, orang ramai boleh berkunjung ke kaunter trafik BSPTD Sibu, juga dari jam 9 pagi hingga 3 petang, untuk membayar saman trafik dengan diskaun yang ditawarkan itu.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada Negeri Sarawak, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Perodua siar kenyataan berkenaan ketidakaturan prosedur Daihatsu – buat penilaian, perbincangan

    Perodua siar kenyataan berkenaan ketidakaturan prosedur Daihatsu – buat penilaian, perbincangan

    Awal hari ini, Daihatsu membuat pengumuman bahawa mereka kini menangguhkan penghantaran untuk semua kenderaan yang dijual, termasuk model yang dikeluarkan di Jepun dan juga pasaran luar. Ia merupakan susulan selepas pembuat kereta itu menyerahkan laporan oleh panel bebas kepada kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun serta kementerian ekonomi, perdagangan dan industri (METI) Jepun.

    Panel bebas berkenaan telah menyiasat skandal berhubung penipuan ujian keselamatan oleh Daihatsu, yang didedahkan pada April lalu. Ketika itu, Daihatsu mengakui “perbuatan salah” yang dilakukan khususnya berkenaan ujian keselamatan kemalangan yang dibuat untuk permohonan kelulusan peraturan untuk empat model. Lebih 88,000 unit terjejas, dengan titik fokus ialah kemasan pintu yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dalam ujian impak pelanggaran sisi.

    Dalam kenyataan akhbar rasmi (diterjemahkan daripada bahasa Jepun), syarikat itu berkata, “hasil daripada penyiasatan, sebagai tambahan kepada penipuan kemasan pintu pada bulan April dan penipuan ujian perlanggaran sisi tiang pada bulan Mei, didapati terdapat 174 penyelewengan dalam 25 item ujian.”

    Perodua siar kenyataan berkenaan ketidakaturan prosedur Daihatsu – buat penilaian, perbincangan

    Syarikat itu mengesahkan terdapat 64 model dan tiga enjin terjejas, termasuk yang sedang dalam pengeluaran atau pembangunan, serta yang telah dihentikan. Rangkaian model yang terjejas meliputi yang dijual di bawah jenama Daihatsu dan yang dibekalkan secara OEM kepada Toyota, Mazda dan Subaru.

    Turut termasuk dalam senarai yang disiarkan dalam kenyataan tersebut adalah beberapa model Perodua seperti Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Aruz, Alza generasi kedua, Ativa, Myvi dan Bezza. Bagi model Toyota yang dipasarkan di Malaysia pula ia termasuk Rush, Yaris, Vios dan Veloz.

    Sedar akan perkara ini, Perodua pula mengeluarkan satu kenyataan yang turut memetik kata-kata daripada presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkenaan perkara ini. Ia adalah seperti berikut:

    Merujuk kepada pengumuman Daihatsu Motor Co., Ltd. (DMC) yang dikeluarkan pada hari ini mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh “ketidakaturan prosedur”.

    Perodua turut mengeluarkan kenyataannya sebagai maklumbalas kepada laporan jawatankuasa audit bebas mengenai “ketidakaturan prosedur” yang dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM)”, yang diumumkan awal pagi ini.

    Laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana yang diumumkan oleh DMC menyebut: “Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan”.

    Kami sedang melakukan penilaian terperinci mengenai isu tersebut dan sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluaran kami.

    Pada 28 April 2023, DMC telah mengumumkan berlakunya “ketidakaturan prosedur” semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas kenderaan di Jepun. Berikutan pengumuman itu, DMC telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.

    Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini. Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada para pelanggan yang kami hargai.

    Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan kami dalam masa terdekat.

    Secara dasarnya, Perodua menyatakan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan. Syarikat itu sedang melakukan penilaian terperinci berkenaan perkara ini dan sedang berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia tentang kesannya. Hasil daripada perbincangan tersebut akan diberitahu kelak.

     
     
  • Harga minyak RON97 21-27 Dis kekal — RM3.47 seliter

    Harga minyak RON97 21-27 Dis kekal — RM3.47 seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan untuk minggu bertarikh 21 hingga 27 Disember 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 27 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.

     
     
  • Tukar-Je CARnival myTukar di Puchong South dari 12-14 Jan 2024 — diskaun hingga RM8,888 untuk kereta

    Tukar-Je CARnival myTukar di Puchong South dari 12-14 Jan 2024 — diskaun hingga RM8,888 untuk kereta

    Tukar-Je CARnival anjuran myTukar bakal berlangsung dari 12-24 Januari 2024, bertempat di Puchong South Retail Experience Centre. Ada sesi pandu uji kenderaan melalui halangan slalom, kereta myTukar Certified yang dipamerkan atau datang untuk mengenali pakej badan dan cat oleh Carro Care serta tawaran myTukar Insurance — anda akan menikmati pelbagai tawaran dan promosi daripada myTukar bernilai lebih RM1 juta.

    Beli kereta daripada myTukar dan nikmati:

    • Diskaun sehingga RM8,888 untuk kereta terpilih.
    • Hadiah termasuk baucar diskaun RM30% untuk Pakej Badan dan Cat oleh Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans serta kad Touch n Go kustom bernilai RM50.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika membeli kenderaan myTukar Certified yang akan diserahkan dalam masa 14 hari.

    Kunjungi mana-mana pusat pemeriksaan myTukar di seluruh negara (tidak tersedia di myTukar Puchong South Retail Experience Centre) jika anda ingin trade-in kereta anda. myTukar akan melanjutkan sebahagian tawaran istimewa jika anda menjual kereta anda sepanjang Tukar-Je CARnival.

    Apa yang perlu anda lakukan ialah serahkan kereta anda yang akan dinilai segera. Jika anda menjual kereta anda dalam masa 24 jam selepas diberikan sebut harga, anda akan nikmati tawaran tambahan.

    Jual kereta kepada myTukar dan nikmati:

    • Baucar diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk memperbaharui insurans.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika anda menyerahkan kenderaan untuk diperiksan dan menjualnya dalam masa 24 jam selepas diberi sebut harga.

    Anda juga akan menikmati lebih banyak tawaran ketika servis dan memperbaharui insurans kereta anda melalui jenama ini.

    Carro Care:

    • Diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat berserta baucar kredit RM100.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan, serta minyak enjin dan penapis minyak percuma.

    Insurans:

    Nikmati diskaun 10% tambahan ketika anda memperbaharui insurans kenderaan dengan myTukar Insurans. Dapatkan sebut harga segera melalui servis insurans baru myTukar, yang membolehkan anda untuk mencari dan membandingkan sebut harga oleh pelbagai penyedia insurans seperti Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, MSIG, Allianz, Zurich dan AIA.

    Servis berkenaan termasuklah pembaharuan cukai jalan segera serta pengiraan NCB (No Claim Bonus). Dengan platform insurans myTukar, anda boleh merancang pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda.

    Jangkakan lebih banyak keseronokan!

    Tukar-Je CARnival myTukar di Puchong South dari 12-14 Jan 2024 — diskaun hingga RM8,888 untuk kereta
    Tukar-Je CARnival myTukar di Puchong South dari 12-14 Jan 2024 — diskaun hingga RM8,888 untuk kereta

    Bukan karnival namanya kalau tiada aktiviti menyeronokkan untuk anda dan keluarga. Bawa keluarga anda dan berhibur dengan konsert mini yang menampilkan beberapa artis tempatan. Anak-anak juga boleh mengalami sendiri bagaimana menjadi pemandu yang bertanggungjawab di Sekolah Memandu Kanak-kanak myTukar, dan mereka boleh memandu kenderaan elektrifikasi dalam litar khas dan akan diberikan lesen memandu eksklusif!

    Dan, jangan lupa untuk segarkan tenaga! Makan dan minum dengan hidangan jalanan yang disediakan, penuh dengan hidangan tempatan daripada pelbagai penyedia trak makanan yang terlibat.

    Berkunjunglah ke Tukar-Je CARnival myTukar di myTukar Puchong South Retail Experience Centre dari 12-14 Januari 2024, dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman web myTukar.

    myTukar Puchong South Retail Experience Centre
    Lot 14225, KM 3.8
    Lebuhraya Damansara–Puchong
    47100 Puchong, Selangor.

    Google Maps
    Waze

    *Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • KTM SX-F Factory Edition 450/250 2024 diperkenal

    KTM SX-F Factory Edition 450/250 2024 diperkenal

    KTM memperkenalkan SX-F Factory Edition 2024, iaitu model motocross jualan awam yang mendapat peningkatan serta ubah suai dengan input daripada pasukan lumba factory mereka, dan turut mendapat beberapa kelengkapan yang sama seperti yang digunakan dalam perlumbaan. Selain untuk 450, model tahun 2024 ini juga menyaksikan kemunculan semula versi Factory Edition untuk model 250.

    Melihat pertamanya kepada penampilan, selain panel plastik, rangka serta tempat duduknya (versi Factroy dengan jalur) juga menggunakan warna oren. Melengkapkannya adalah grafik Red Bull serta papan nombor lumba yang datang sama ada berlatar belakangkan hitam atau putih.

    Sebagai sebuah jentera edisi Factory, sudah tentu prestasi model ini diberi peningkatan, dengan diberi ekzos titanium Akrapovic, WP Factory Start Device, set rim Factory DID berwarna hitam dengan hab berwarna oren, kotak udara berliang dengan penapis udara Twin Air serta suspensi WP yang ditala semula dengan perubahan yang dibuat pada bahagian linkage.

    Satu lagi ciri menarik pada jentera Factory 2024 ini adalah Connectivity Unit Offroad (CUO). Ia adalah satu sistem yang melibatkan unit pengawal di belakang papan nombor hadapan serta komponen GPS di atas fender hadapan. Melaluinya, pengguna boleh membuat pelarasan tindakan enjin serta mendapat bantuan untuk tetapan suspensi melalui aplikasi KTMConnect.

    Selain daripada itu, sistem ini juga boleh memberikan akses kepada pelbagai informasi lain berkenaan motosikal, termasuk garis lumba, kedudukan pendikit, g-force, kelajuan serta gear yang digunakan semasa berlumba.

    Barangan istimewa lain yang diberi pada model Factory Edition ini secara standard adalah termasuk triple clamp Factory berwarna oren, tapak enjin hitam, pelindung brek hadapan Factory, skid plate Factory, pemegang pendikit ODI berwarna kelabu, tayar Dunlop Geomax, sprocket oren, rantai warna emas, penutup bahagian klac Hinson serta spoiler tepi tangki yang dapat membantu sistem penyejukan enjin.

     
     
  • Daihatsu hentikan penghantaran kereta baru kerana skandal ujian keselamatan; Perodua & Toyota terlibat

    Daihatsu hentikan penghantaran kereta baru kerana skandal ujian keselamatan; Perodua & Toyota terlibat

    Daihatsu hari ini mengumumkan bahawa penghantaran untuk semua kenderaan yang dijual akan ditangguhkan, termasuk model yang diproduksi di Jepun dan juga pasaran luar. Ini adalah susulan pembuat kereta itu menyerahkan laporan oleh panel bebas kepada kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun serta kementerian ekonomi, perdagangan dan industri (METI).

    Panel bebas berkenaan telah menyiasat skandal berhubung penipuan ujian keselamatan oleh Daihatsu, yang didedahkan pada April tahun ini. Ketika itu, Daihatsu mengakui “perbuatan salah” yang dilakukan khususnya ujian keselamatan kemalangan yang dibuat untuk permohonan kelulusan peraturan untuk empat model. Lebih 88,000 unit terjejas, dengan titik fokus ialah kemasan pintu yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dalam ujian impak pelanggaran sisi.

    Kemudian pada bulan Mei, Daihatsu mengumumkan ia telah menemui penyelewengan dalam prosedur pensijilan untuk ujian perlanggaran sisi yang melibatkan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize dalam versi hibrid. Menurut Daihatsu, bermula dengan laporan awal tersebut ia kini telah menemui lebih banyak penyelewengan dalam permohonan pensijilannya.

    Dalam kenyataan akhbar rasmi (diterjemahkan daripada bahasa Jepun), syarikat itu berkata, “hasil daripada penyiasatan, sebagai tambahan kepada penipuan kemasan pintu pada bulan April dan penipuan ujian perlanggaran sisi tiang pada bulan Mei, didapati terdapat 174 penyelewengan dalam 25 item ujian.”

    Syarikat itu mengesahkan bahawa 64 model dan tiga enjin terjejas, termasuk yang sedang dalam produksi atau pembangunan serta yang telah dihentikan. Rangkaian model yang terjejas meliputi yang dijual di bawah jenama Daihatsu dan yang dibekalkan secara OEM kepada Toyota, Mazda dan Subaru.

    Selain itu beberapa model Perodua juga telah disenaraikan dalam kenyataan terbaharu ini, iaitu Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Aruz, Alza generasi kedua, Ativa, Myvi dan Bezza. Manakala model Toyota yang disenaraikan berkaitan dengan pasaran Malaysia ialah Rush, Yaris, Vios dan Veloz.

    Daihatsu hentikan penghantaran kereta baru kerana skandal ujian keselamatan; Perodua & Toyota terlibat

    Menurut panel bebas berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan, punca utama penipuan ini adalah “masalah pengurusan yang menggalakkan pembangunan dalam jangka masa pendek tanpa mengambil langkah untuk menangani penipuan itu.”

    “Asas kepada penipuan ini ialah pasukan pengurusan tidak memahami sepenuhnya situasi sebenar di lapangan, dan hanya bertindak balas secara ad hoc. Kami percaya bahawa beban itu telah diabaikan dan ia telah mewujudkan persekitaran di mana pekerja tidak dapat bersuara apabila mereka menghadapi masalah,” tambah kenyataan itu lagi.

    “Kami benar-benar memohon maaf kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan kami dan pihak berkepentingan lain, dan menyebabkan mereka berada dalam kesulitan dan kebimbangan yang besar,” kata Daihatsu dalam kenyataannya.

    “Melangkah ke hadapan, berdasarkan cadangan jawatankuasa pihak ketiga, kami akan mengambil langkah menyeluruh untuk mencegahnya dari berulang, dan bukan sahaja akan menyemak operasi pensijilan kami, tetapi juga mengusahakan pembaharuan asas kepada budaya korporat kami yang mengutamakan kesedaran pematuhan,” tambah syarikat itu lagi.

     
     
  • Tesla kenderaan paling banyak kemalangan di AS

    Tesla kenderaan paling banyak kemalangan di AS

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh LendingTree, Tesla dikatakan menjadi jenama kenderaan yang mencatat kadar kemalangan tertinggi bagi setiap 1,000 pemandu di Amerika Syarikat. Laporan ini menggunakan data insurans yang dikumpul dari 14 November 2022 hingga 14 November 2023.

    Analisis oleh LendingTree ini menemui pemandu Tesla terlibat dalam 23.54 kemalangan bagi setiap 1,000 pemandu, dan kemudiannya diikuti oleh Ram, dengan catatan 22.76 kemalangan bagi setiap 1,000 pemandu dan Subaru yang mencatat 20.90 kemalangan bagi setiap 1,000 pemandu. Jenama lain pula mencatat tidak sampai 20 kemalangan bagi setiap 1,000 pemandu.

    Sementara itu apabila mengira pula kadar insiden mengikut jenama, Ram berada atas sekali dengan catatan 32.90 insiden bagi setiap 1,000 pemandu, diikuti Tesla dengan catatan 31.13 insiden bagi setiap 1,000 pemandu dan Subaru di tempat ketiga dengan catatan 30.09 insiden bagi setiap 1,000 pemandu.

    Melihat pula kepada rekod memandu di bawah pengaruh (DUI), pemandu BMW mencatat jumlah paling tinggi di Amerika Syarikat, iaitu 3.13 DUI bagi setiap 1,000 pemandu, diikuti Ram dengan catatan 1.72 DUI bagi setiap pemandu, dan Subaru sekali lagi di tempat ketiga dengan catatan 1.45 DUI bagi setiap 1,000 pemandu.

    Tesla kenderaan paling banyak kemalangan di AS

    Analisis LendingTree mengira jumlah insiden pemanduan bagi setiap 1,000 pemandu di semua negeri dalam Amerika Syarikat, dan kategori ini termasuk kemalangan, DUI, memandu laju dan saman.

    Kategori di bawah saman adalah termasuk:

    • Memandu dengan cuai atau melulu
    • Penggunaan lorong, memotong atau membelok secara tidak betul
    • Tiada insurans atau lesen untuk mengendali kenderaan
    • Gagal memberikan jalan kepada kenderaan atau pejalan kaki
    • Mengikut rapat kenderaan lain dan memotong bas
    • Tidak memberi lampu memotong
    • Langgar lari melibatkan basikal atau pejalan kaki
    • Kelengkapan tidak berfungsi atau menggunakan jalan yang salah
    • Komprehensif, kesalahan lain
     
     
  • Nikmati 1,500 Caltex Points dari transaksi pertama, terima kredit hotel Expedia dengan Caltex Rewards

    Nikmati 1,500 Caltex Points dari transaksi pertama, terima kredit hotel Expedia dengan Caltex Rewards

    Tawaran menarik memang sentiasa dinantikan, dan Caltex Malaysia sedang menawarkan promosi terkini mereka. Dengan kerjasama Expedia, Caltex menawarkan kredit untuk penginapan hotel melalui pembelian bahan api di stesen Caltex. Buat pembelian terkumpul bernilai RM200 untuk bahan api di stesen Caltex dengan Caltex Rewards, dan anda akan menerima RM200 kredit hotel Expedia.

    Bukan itu sahaja. Isi minyak dengan hanya RM50 untuk transaksi pertama dengan Caltex Rewards, dan anda akan menerima 1,500 mata ganjaran Caltex*, yang bersamaan dengan RM15.

    Bagi ahli Caltex Rewards baharu, lengkapkan pendaftaran keahlian anda dan buat transaksi pertama melalui pembelian bahan api minimum RM50. Bagi ahli Caltex Rewards sedia ada yang telah mendaftar tetapi masih belum membuat transaksi pertama, silakan berbuat demikian.

    Kunjungilah stesen Caltex berdekatan anda dan mula mengumpul mata ganjaran Caltex dengan pembelian bahan api menggunakan Caltex Rewards. Promosi ini sah sehingga 31 Disember 2023; klik di sini untuk maklumat lanjut dan layari juga laman Facebook Caltex Malaysia di sini.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Menteri minta k’jaan kenakan caj kesesakan untuk kenderaan di KL untuk bandaraya lebih mampan

    Menteri minta k’jaan kenakan caj kesesakan untuk kenderaan di KL untuk bandaraya lebih mampan

    Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengenakan caj kesesakan bagi kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur sebaik sahaja pembangunan infrastruktur pengangkutan awam telah mencapai tahap tertentu.

    Menurutnya dalam laporan FMT, langkah berkenaan perlu diambil bagi memastikan tahap kemampanan yang lebih baik untuk bandaraya tersebut. Beliau turut menambah walaupun perbincangan untuk mengenakan caj itu telah dibuat selepas Laluan Lingkaran MRT3 siap sepenuhnya, perkara ini tidak boleh dibiarkan dan dilupakan begitu sahaja.

    “Ia bukan keputusan saya, tetapi ia sesuatu yang perlu kita pertimbangkan jika kita mahu bercakap tentang bandar yang lebih mampan bergerak ke hadapan,” tegasnya.

    Nik Nazmi juga menambah walaupun untuk mengenakan caj kesesakan ini akan menjadi keputusan yang sukar, ia tetap perlu menjadi langkah yang perlu dibuat oleh kerajaan, sama seperti ketika ia memperkenalkan tarif elektrik yang disasarkan, seterusnya memaksa syarikat-syarikat terlibat meneroka tenaga solar.

    “Kita perlu ingat bahawa kita perlu mengubah tabiat kita. Tiada apa yang telah diputuskan, tetapi anda tahu, kerajaan perlu membuat keputusan yang sukar. Pada tahun lalu, sebagai contoh, kami memulakan perjalanan ke arah tarif elektrik yang disasarkan, dan selepas semua aduan dan sebagainya, banyak syarikat terpaksa mula memasang panel solar dan pelbagai langkah kecekapan tenaga,” jelasnya.

    Pada Mac tahun lalu, menteri pengangkutan ketika itu Datuk Seri Wee Ka Siong berkata caj kesesakan akan dipertimbangkan selepas MRT3 siap pada 2030, dengan struktur bayaran untuk kenderaan yang memasuki bandar perlu dilihat apabila sistem rangkaian pengangkutan awam siap sepenuhnya.

    Caj kesesakan bagi kenderaan yang memasuki pusat bandar bukanlah konsep baharu dan telah dilaksanakan di bandar-bandar seperti London, Singapura, Stockholm dan Milan. Disokong dengan infrastruktur pengangkutan awam yang betul, pengenalan caj ini dilihat sebagai antara cara terbaik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang, terutamanya di ibu negara. Langkah ini sudahpun dibincangkan dan dicadangkan sebelum ini, seawal tahun 2015 lagi.

     
     
  • Ada tol percuma sempena Krismas atau tidak? Pengumuman dibuat Jumaat ini – Ahmad Maslan

    Ada tol percuma sempena Krismas atau tidak? Pengumuman dibuat Jumaat ini – Ahmad Maslan

    Rakyat Malaysia sudahpun menikmati tol percuma untuk perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan juga Deepavali tahun ini. Jadi masih adakah tol percuma untuk perayaan Krismas yang akan disambut bulan ini?

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan sama ada kerajaan akan memberikan tol percuma atau tidak, keputusan berkenaan mungkin akan diumumkan pada Jumaat ini menerusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya, lapor Bernama.

    “… akan umum sama ada bila tarikhnya, ada atau tidak pengecualian tol sempena Krismas.

    “Saya diberitahu kemungkinan pada hari Jumaat ini pengumuman ada atau tidak, bagaimana, tarikhnya bila. Itu kita tunggu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) semalam.

    Beliau turut memberitahu secara puratanya, kerajaan memperuntukkan RM21 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya, menerusi pelaksanaan tol percuma. Pada tahun ini sahaja, katanya kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali RM42.31 juta dan Tahun Baru Cina RM41.21 juta.

     
     
  • Nissan Note facelift 2024 didedah di Jepun – enjin hibrid 1.2L e-Power, 2WD atau 4WD, dari RM75k

    Nissan Note facelift 2024 didedah di Jepun – enjin hibrid 1.2L e-Power, 2WD atau 4WD, dari RM75k

    Nissan telah memberikan facelift kepada model Note generasi ketiga pasaran Jepun, dengan ia akan mula dijual hujung bulan Januari tahun depan. Hatchback itu masih menggunakan enjin hibrid tiga silinder 1.2 liter sebagai penggerak utama, sementara peningkatan dibuat pada bahagian luaran serta dalamannya.

    Enjin Note ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 79 PS dan tork 103 Nm, dan menjadi generator untuk menghantar tenaga kepada motor elektrik, sama ada satu ataupun dua, untuk menjadikannya sebagai kenderaan pacuan dua roda ataupun empat roda.

    Secara visualnya, Note facelift 2024 ini menerapkan konsep rekaan terkini gril V-Motion, yang boleh didapati sama ada dalam warna yang sama dengan badan ataupun kelabu gelap metalik – bergantung kepada pilihan warna badan.

    Nissan Note facelift 2024 didedah di Jepun – enjin hibrid 1.2L e-Power, 2WD atau 4WD, dari RM75k

    Bahagian belakang Note facelift ini telah diberikan rekaan yang menggunakan garis-garis lurus, sementara rim 16 incinya pula mendapat rekaan geometri tradisional Jepun yang memberikan penampilan seakan tiga dimensi – kata Nissan. Lampu utama LED kini diberikan secara standard untuk semua varian.

    Konsep garis-garis terus digunakan ke bahagian dalam, di mana motif ‘mizuhiki‘ tampil pada bahagian papan pemuka, sementara jalur rawak digunakan pada fabrik tempat duduk, sementara tempat letak barangan dijadikan lebih besar.

    Demi memberikan lebih kemudahan kepada pengguna, Intelligent Key pada Note facelift ini sekarang mempunyai fungsi “approach unlock” yang membolehkan kunci dibuka secara automatik apabila pemegang kunci mendekati kenderaan. Ia juga boleh mengunci sendiri kenderaan apabila pemegang kunci beredar.

    Note facelift pasaran Jepun juga datang dalam varian yang mempunyai tempat duduk penumpang hadapan boleh pusing secara manual untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar dari kenderaan – sebagai bantuan kepada penumpang yang mempunyai masalah pergerakan. Tempat duduk ini juga datang dengan peletak kaki.

    Secara keseluruhannya ada 14 warna luaran yang ditawarkan oleh Nissan melalui Note facelift ini di Jepun, termasuk pilihan dua tona.

    Varian pula ada empat bermula dengan X 2WD berharga 2,299,000 yen (RM74,864) dan X Four 4WD berharga 2,580,600 yen (RM84,021). Jika diambil dengan tempat duduk penumpang boleh pusing, varian X dijual pada harga 2,409,000 yen (RM78,504) manakala X Four 2,690,600 yen (RM87,681).

     
     
  • 100 unit EV smart #1 telah dihantar kepada pelanggan dalam masa sebulan menerusi 10 cawangan pengedar

    100 unit EV smart #1 telah dihantar kepada pelanggan dalam masa sebulan menerusi 10 cawangan pengedar

    smart Malaysia mengumumkan bahawa sebanyak 100 unit EV smart #1 telah pun berjaya dihantar kepada pelanggan selepas model pertamanya untuk pasaran tempatan itu dilancarkan pada 21 November lalu.

    Menurut syarikat itu kejayaan berkenaan dapat dicapai menerusi kerjasama 10 cawangan pengedarnya yang telahpun wujud di seluruh negara dan berada pada lokasi yang strategik, serta ia berjaya membawa sejumlah stok kenderaan jauh lebih awal sebelum pelancaran rasminya.

    “Selepas berjaya menghantar 100 unit smart #1 dalam masa yang singkat, kami teruja untuk melihat kereta kami dimiliki oleh pembeli segmen yang mementingkan gaya dan identiti tersendiri. Mereka bukan hanya mahukan pengangkutan; mereka menghargai gabungan teknologi, keselamatan, dan keterhubungan yang ditawarkan oleh smart #1 kami. Kami gembira bahawa pelanggan menemui kualiti-kualiti ini dalam kereta kami,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

    100 unit EV smart #1 telah dihantar kepada pelanggan dalam masa sebulan menerusi 10 cawangan pengedar

    smart #1 ditawarkan dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia. Ia dijual dengan harga bermula RM189,000 bagi varian Pro, dengan varian Premium pula pada harga RM219,000 – kedua-dua varian ini menerima motor elektrik tunggal memacu roda belakang berkuasa 272 PS (200 kW)/343 Nm. Manakala bagi versi yang lebih berprestasi dengan dua motor AWD berkuasa 428 PS (315 kW)/543 Nm smart #1 Brabus pula dijual harga RM249,000.

    Setiap pembelian smart #1 ini datang dengan pakej waranti komprehensif menampilkan waranti bateri EV selama 8 tahun atau 200,000km, waranti komponen bervoltan tinggi selama 8-tahun atau 150,000km, waranti kenderaan selama 4-tahun tanpa had perbatuan dan waranti alat ganti selama 2-tahun tanpa had perbatuan. Pelanggan juga diberikan khidmat bantuan tepi jalan 24 jam sehari, 7-hari seminggu.

    Sebagai tambahan, smart Malaysia juga menawarkan pakej aksesori percuma bernilai RM2,000 dan data internet 60GB selama lima-tahun. Sempena pelancaran semula jenama smart di Malaysia, syarikat itu turut menawarkan smartCharge Home Charger bernilai RM3,200 secara percuma (tidak termasuk kos pemasangan, yang bermula dari RM2,488). Namun tawaran ini hanya sah sehingga 31 Disember 2023.

    GALERI: Pilihan warna luaran smart #1 2023

    GALERI: smart #1 Premium di Malaysia


    GALERI: smart #1 Brabus di Malaysia

     
     
  • Perodua Bezza generasi baru akan terap ilham rekaan daripada pemenang; bukan dalam masa terdekat

    Perodua Bezza generasi baru akan terap ilham rekaan daripada pemenang; bukan dalam masa terdekat

    Sejak Julai lalu, buat julung kalinya Perodua menganjurkan sebuah program rekabentuk kenderaan peringkat Asia yang dikenali sebagai Asian Compact Sedan Design Challenge 2023 (ACSDC), dengan kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

    Menariknya, Perodua hanya ada sebuah model sedan kompak ketika ini, dan melalui program berkenaan sudah agak jelas dan disahkan oleh Naib Presiden Perodua, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim sendiri bahawa Perodua akan menerapkan rekaan yang dihasilkan dalam pertandingan ini untuk model Bezza generasi akan datang. Bagaimanapun, itu bukanlah akan berlaku dalam masa terdekat: masih memerlukan beberapa tahun lagi untuk pembangunannya.

    Ini juga kali pertama Perodua menyatakan dengan agak jelas tentang perancangan syarikat itu untuk hari-hari ke depan. Biasanya umum akan hanya mengetahui apa yang sedang Perodua kerjakan ketika produknya sudah dalam fasa akhir sebelum pengenalan.

    Merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, program ACSDC 2023 berkenaan menerima keseluruhannya 93 penyertaan dari tujuh negara. Ia terbuka untuk dua kategori: profesional dan juga pelajar dari seluruh rantau Asia.

    “Melihat kepada angka penyertaan dari luar, ia agak memberangsangkan kerana kehadiran Perodua dan MRM di luar Malaysia amatlah terhad,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataannya.

    Penyertaan yang diterima melibatkan dari negara seperti Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Iran, India dan Malaysia sendiri. Dua pemenang utama dipilih dan diumumkan dalam satu majlis khas, hari ini.

    Bagi kategori Profesional, pereka dari Malaysia, Kenny Chan diangkat sebagai pemenang melalui rekaan kereta konsepnya, “Payung”. Menurut Ketua Juri, Muhamad Zamuren Musa, rekaan tersebut menunjukkan dinamik dengan bayangan fastback, kerektor badan yang kuat dan stabil dan nampak seimbang. Perincian dan elemen penggayaan lain juga menjadikan rekaan ini paling menonjol berbanding yang lain.

    Bagi kategori sama, dua lagi pemenang yang menerima hadiah ialah Philip Samuel Tandio dari Indonesia melalui rekaan konsep “Out Ride” dan diikuti oleh Muhammad Izhar Che Shukarno dengan rekaan “Fastback” yang ditampilkan.

    Sementara itu, bagi kategori pelajar, Bryan Teh Yea Quan dari Asia Pacific University (APU) Malaysia dipilih sebagai pemenang utama melalui ilham menariknya terhadap rekaan sedan. Beliau diikuti oleh Alfred Han Wen Hao dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Malaysia dan kemudian oleh Muhammad Amin Othman from Universiti Teknologi MARA (UiTM).

    Rekaan ini antara lain menggariskan keperluan ke atas rekaan yang dihasilkan agar menampilkan rekaan bagi kereta sedan serta yang mempunyai sentuhan dan selera yang unik untuk pasaran Asia.

     
     
  • Pelanggan pas perjalanan My50 meningkat dari 120k ke 200k, peruntukan akan ditingkatkan – Anthony Loke

    Pelanggan pas perjalanan My50 meningkat dari 120k ke 200k, peruntukan akan ditingkatkan – Anthony Loke

    Kerajaan memberitahu, penawaran pas perjalanan tanpa had My50 akan diteruskan kerana ia terbukti semakin diterima ramai di Lembah Kelang, dengan jumlah pelanggannya meningkat 66% tahun ini, dari sekitar 120,000 pengguna pada awal tahun ini, menjadi 200,000 pada masa sekarang.

    Disebabkan itu, menteri pengangkutan, Anthony Loke menyatakan inisiatif ini akan diteruskan, dengan peruntukan untuk program My50 untuk tahun-tahun akan datang dinaikkan dari RM115 juta kepada RM200 juta bagi menampung permintaan yang semakin meningkat – lapor New Straits Times.

    “Ia adalah satu pelaburan yang sangat berbaloi, dan kami harap lebih ramai penduduk bandar akan menggunakan peluang ini,” kata beliau sambil menambah bahawa jumlah pengguna yang meningkat ini boleh dikaitkan dengan pembukaan MRT Laluan Putrajaya yang memulakan operasi Mac lalu, menyambungkan Kepong ke Putrajaya.

    Loke memberitahu lagi, program ini menguatkan lagi komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat melalui pengangkutan awam mampu milik. “Tiada negara lain yang memberikan subsidi banyak seperti ini untuk pengangkutan awam, menjadikan ia satu pilihan yang mampu milik untuk rakyat. Bayangkan dengan hanya tidak sampai dua ringgit sehari, anda boleh menggunakan apa sahaja pengangkutan awam di Kuala Lumpur,” kata Loke.

    “Ada bermacam lagi inisiatif yang boleh dilaksanakan, tetapi kami tidak mahu membebankan rakyat. Kami sasarkan untuk menyediakan pilihan menarik untuk menangkap perhatian mereka dan mempromosikan penggunaan pengangkutan awam,” tambah beliau.

    Diperkenalkan pada tahun 2019, My50 adalah satu pas perjalanan tanpa had yang menawarkan penggunaan tanpa had selama 30 hari untuk Rapid KL LRT, MRT, monorel, BRT, bas Rapid KL dan bas perantara MRT di Lembah Kelang.

     
     
  • Gentari tandatangan MoU dengan IHI untuk bangunkan industri hidrogen, turbin kuasa ammonia hijau bersih

    Gentari tandatangan MoU dengan IHI untuk bangunkan industri hidrogen, turbin kuasa ammonia hijau bersih

    Gentari Hydrogen, yang merupakan anak syarikat milik penuh Gentari (divisi tenaga bersih Petronas) telah menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan IHI Corporation dari Jepun, yang akan menyaksikan kedua-dua pihak menguatkan lagi kerjasama mereka untuk membangunkan industri hidrogen.

    Melalui MoU tesebut, kedua-dua syarikat akan bersama meneroka pembentukan rangkaian nilai ammonia hijau global. Ini melibatkan pengeluaran, pengangkutan, penyimpanan serta penggunaan ammonia hijau di Asia Pasifik serta kawasan lain yang mempunyai kepentingan sama.

    Kerjasama ini akan meneroka kemajuan penggunaan komersial IM270, iaitu turbin kuasa gas ammonia penuh yang dibangunkan oleh IHI, dengan sokongan Organisasi Pembangunan Tenaga Baru dan Industri (NEDO) Jepun. Aplikasi komersial IM270 ini dijangka bermula pada tahun 2026 dan berpotensi menjadi turbin gas ammonia penuh pertama di dunia.

    Pengeluaran ammonia hijau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, dengan bahan mentah yang diperlukan terdiri daripada hidrogen yang diperoleh melalui elektrolisis air serta nitrogen yang didapati daripada udara melalui unit pengasingan. Ia adalah berbeza dengan “ammonia perang” yang dihasilkan menggunakan bahan bakar fosil. Sementara kebiasaannya digunakan untuk produk baja, ammonia hijau untuk boleh dijadikan sebagai sumber bersih untuk menghasilkan elektrik.

    Melalui kerjasama ini juga, Gentari dan IHI mempunyai perancangan untuk menaikkan permintaan ammonia hijau di Malaysia serta benua Asia Tenggara, seterusnya mempercepatkan lagi penerimaan hidrogen bersih.

     
     
  • Tiada lagi bas GoKL percuma untuk warga asing, bayaran RM1 akan dikenakan mulai 1 Jan 2024 – DBKL

    Tiada lagi bas GoKL percuma untuk warga asing, bayaran RM1 akan dikenakan mulai 1 Jan 2024 – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2024 warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas GoKL di bandaraya tersebut perlu membuat bayaran RM1 dan bukan lagi percuma seperti buat masa sekarang, lapor Bernama.

    Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, dan ia turut menambah caj ini bakal dilaksanakan secara berperingkat membabitkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu Laluan 01 (Hijau), Laluan 02 (Ungu), Laluan 03 (Merah) dan Laluan 04 (Biru).

    Warga asing yang menggunakan perkhidmatan ini hanya boleh melakukan pembayaran secara tanpa tunai menerusi kad Touch ‘n Go, kod QR, kad kredit atau kad debit, manakala kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah tidak kira warganegara atau tidak masih lagi percuma, kata kenyataan itu.

    Bagi warganegara Malaysia yang menggunakan Mykad dan mempunyai sistem Touch ‘n Go pula, anda perlu membuat pendaftaran MyKad bagi terus menikmati perkhidmatan bas GoKL berkenaan secara percuma.

    Untuk memudahkan orang ramai membuat pendaftaran, DBKL sudahpun menyediakan kaunter pendaftaran di tiga lokasi iaitu Hentian Bas KLCC, Hentian Akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan Hentian Akhir Pasar Seni dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga jam 7 malam mulai 1 Disember lalu.

     
     
  • Struktur cukai jalan EV: Draf perlu masa untuk ditambahbaik, tidak diumumkan bulan ini – Loke

    Struktur cukai jalan EV: Draf perlu masa untuk ditambahbaik, tidak diumumkan bulan ini – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan pihaknya masih memperincikan draf struktur cukai untuk kenderaan elektrik (EV). Katanya, sehingga kini terdapat beberapa perkara dalam draf berkenaan yang perlu ditambah baik, laporan MalaysiaGazette.

    “Saya nak lihat lagi ada beberapa perkara saya tidak puas hati dengan draf tersebut.Tapi tidak akan ada kesan kepada pengguna EV yang sekarang kerana masih pengecualian cukai. Bukan tahun ini,” katanya kepada pihak media baru-baru ini.

    Jelasnya, draf yang lengkap akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu EV terlebih dahulu. “Tapi buat masa ini saya nak tambah baik draf tersebut untuk kadar yang terbaik kepada pembeli,” katanya lagi.

    Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan struktur cukai jalan EV yang lebih kompetitif pada bulan ini sebagai usaha menggalakkan penggunaan kenderaan tersebut.

    Di mana, katanya,struktur cukai jalan itu hanya akan terpakai selepas 2025 iaitu selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jalan kepada kenderaan EV.

    Struktur cukai jalan EV: Draf perlu masa untuk ditambahbaik, tidak diumumkan bulan ini – Loke

     
     
  • Projek pelebaran laluan JB ke Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS dijangka siap dalam 3 tahun – MB

    Projek pelebaran laluan JB ke Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS dijangka siap dalam 3 tahun – MB

    Projek pelebaran laluan dari Johor Bahru (JB) ke Simpang Renggam di Lebuhraya Utara-Selatan bakal direalisasikan tidak lama lagi. Melalui perkongsian di laman Fecebook rasminya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, PLUS Malaysia Berhad akan melaksanakan kerja pelebaran lebuh raya bagi fasa pertama laluan berkenaan yang dijangka siap dalam tiga tahun.

    “Kerajaan Negeri juga telah mencadangkan agar kerja pelebaran ini dilaksanakan sehingga ke Tangkak pada fasa seterusnya.

    “Selain itu, menerusi perjumpaan dengan Datuk Nik Arina Nik Jaafar, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, beberapa perkara lain telah dibangkitkan dan dibincangkan terutamanya mengenai aliran trafik, penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur kemudahan untuk pengguna,” kata Onn.

    Projek pelebaran laluan JB ke Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS dijangka siap dalam 3 tahun – MB

    Jelasnya antara perkara yang dibincangkan termasuklah mengaktifkan smartlane atau lorong kecemasan di lebuh raya pada waktu puncak dan hujung minggu dan meningkatkan fasiliti RnR di lebuh raya..

    Selain itu, PLUS juga diminta agar memantau jadual waktu bagi melakukan kerja naik taraf atau baik pulih jalan di lebuh raya dan mengawal masa pergerakan lori dan kontena.

    “Semoga segala cadangan ini dapat diterjemahkan demi keselesaan dan keselamatan rakyat Johor,” katanya lagi.

    Sebelum ini kerajaan Johor dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami sepanjang laluan 70 km tersebut.

     
     
  • Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup pada Jumaat malam untuk acara PDRM 2023 Solidarity Fun Ride

    Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup pada Jumaat malam untuk acara PDRM 2023 Solidarity Fun Ride

    Hujung minggu lalu, Jambatan Pulau Pinang ditutup sementara untuk memberikan laluan kepada acara Penang Bridge International Marathon, kali ini giliran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), a.k.a. Jambatan Kedua Pulau Pinang pula.

    PLUS selaku pengendali jambatan tersebut telah memaklumkan bahawa JSAHMS akan ditutup kepada trafik mulai jam 10 malam pada Jumaat ini (22 Disember) untuk menjayakan acara berbasikal ‘Penang 2nd Bridge PDRM 2023 Solidarity Fun Ride’. Jambatan berkenaan akan ditutup sehingga jam 3 pagi Sabtu, 23 Disember 2023.

    Untuk pengguna jalan raya yang sering menggunakan jambatan berkenaan, yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar ke Batu Maung di bahagian pulau, diminta menggunakan Jambatan Pulau Pinang sepanjang penutupan JSAHMS sebagai laluan alternatif.

    Pengguna jalan raya juga dinasihati agar patuhi isyarat papan tanda serta arahan petugas trafik. Sila pandu berhati-hati.

     
     
  • Punca kebakaran kereta-kereta lumba atas treler pengangkut belum dapat dipastikan – Bomba Johor

    Pagi ini telah tular di laman-laman sosial gambar kebakaran tujuh buah kereta yang di bawa di atas treler, berlaku di Lebuhraya Utara Selatan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, secara spesifiknya kejadian itu berlaku pada pukul 4.52 pagi ini di KM38.1 (Kulai) Lebuhraya PLUS Arah Utara.

    Dalam kenyataan tersebut JBPM Johor memberitahu tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, BBP Skudai dan BBP Tebrau dengan kekuatan seramai 25 anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan. Menurut komander operasi Pegawai Bomba Kanan II Fauzi Bin Che Deris, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat kebakaran sebuah lori treler bermuatan 7 buah kereta.

    “Kereta yang terbakar jenis Honda sebanyak 5 buah, sebuah Toyota Yaris dan sebuah Proton Saga. Kebakaran memusnahkan lebih kurang 70% dari semua kenderaan. Pemadaman menggunakan 4 aliran salur bantu mula sehingga selesai. Kebakaran tidak melibatkan mangsa. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

    Difahamkan sebahagian besar kenderaan yang dibawa oleh treler berkenaan adalah kereta-kereta lumba milik pasukan R Engineering yang berpengkalan di Johor Bahru, Johor. Pasukan tersebut kemudiannya mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan kejadian tersebut menerusi laman facebook rasminya.

    “Kami faham bahawa banyak persoalan timbul daripada kejadian ini. Memandangkan kes itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan, kami akan memberikan maklumat terkini dalam masa terdekat. Kami mohon jasa baik anda untuk mengelakkan sebarang spekulasi semasa siasatan sedang dijalankan. Sekali lagi, terima kasih semua atas mesej keprihatinan anda. Kami berhasrat untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini dalam masa yang ditetapkan,” tulis kenyataan yang dikeluarkan tersebut.