Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Daimler AG akan ditukar nama, dikenali sebagai Mercedes-Benz Group bermula 1 Februari 2022

    Daimler AG akan ditukar nama, dikenali sebagai Mercedes-Benz Group bermula 1 Februari 2022

    Daimler AG, pemilik kepada jenama Mercedes-Benz bakal dikenali sebagai Mercedes-Benz Group bermula 1 Februari 2022, lapor Reuters. Langkah ini diambil selepas setahun selepas ia mengasingkan jenama trak dan bas sebagai Daimler Truck, manakala divisi kereta penumpang hanya dikenali sebagai Mercedes-Benz.

    Penjenamaan semula ini adalah langkah terbaharu dalam rombakan Daimler, yang diwujudkan pada 1926, dikenali sebagai Daimler-Benz AG. Dalam rombakan tahun lalu, ia bukan sahaja melibatkan perubahan nama, malah Daimler Truck dan Mercedes-Benz kini adalah dua syarikat berbeza, dengan pengurusan dan juga pengerusi yang berbeza.

    Langkah terbaharu ini juga merupakan bahagian kedua pembahagian berkenaan yang ditetapkan untuk dimuktamadkan. Menurut syarikat tersebut, langkah menukar nama dari Daimler kepada Mercedes-Benz ini dapat membebaskan pertumbuhan dan juga potensi penuh bagi perniagaan masa hadapan yang bebas-emisi serta dipacu oleh perisian.

    “Kami ada peluang sebenar untuk melonjak secara berganda,” kata CEO Daimler, Ola Kaellenius minggu lalu, dengan merujuk kepada bagaimana beberapa aspek pertumbuhan kewangan syarikat diukur. Namun beliau tidak menyebut sasaran nilai untuk syarikat secara spesifik, yang buat masa sekarang bernilai di bawah €77 bilion (RM360 bilion).

    Walau bagaimanapun, penganalisis menyatakan bahawa Daimler kini sedang bersaing sengit dalam pasaran mewah, atau secara realitinya adalah kecil dan terhad, serta hanya boleh berkembang dalam kadar tertentu. “Pelabur mungkin akan mula melihat Mercedes seperti Lucid Motors dan Tesla dan mula menberikan gandaan EV,” kata Tom Naraya, seorang penganalisis auto Eropah di RBC Capital Markets.

    “Tetapi Lucid dan Tesla bermula dengan 100% EV. Untuk Mercedes, ia perlu menukar perniagaan enjin pembakaran dalamannya kepada EV. Itu mungkin menjadi limitasi bagaimana gandaannya hanya boleh naik dalam tempoh masa yang tidak lama,” jelasnya.

     
     
  • Gordon Murray Automotive T.33 diperkenal – supercar dengan enjin V12 NA 3.9 liter 615 PS, harga RM7.7 juta

    Gordon Murray Automotive T.33 diperkenal – supercar dengan enjin V12 NA 3.9 liter 615 PS, harga RM7.7 juta

    Selepas memperkenalkan kepada dunia T.50 dan versi litarnya, T.50s Niki Lauda, Gordon Murray Automotive kini mendedahkan pula supercar kedua mereka, iaitu T.33. Sama seperti T.50, model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja, dan harganya kurang sedikit berbanding T.50, iaitu 1.37 juta pound British (RM7.7 juta).

    Dengan harga itu, pembeli akan mendapat enjin sama seperti T.50, iaitu unit NA V12 3.9 liter yang direka bersama Cosworth, dan mampu menghasilkan 615 PS pada 10,500 rpm dan 451 Nm tork pada 9,000 rpm. Apabila digabungkan bersama berat kenderaan yang disasarkan berada bawah 1,100 kg, T.33 mencatat nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik (564 PS bagi setiap tan) berbanding McLaren F1.

    Meskipun kuasa ini lebih rendah berbanding T.50 (663 PS dan 467 Nm), 75% daripada torknya dapat dilepaskan pada tahap 2,500 rpm sementara 90% tork keluar dari 4,500 hingga 10,500 rpm. Ini dapat dicapai melalui larasan semula tahap rpm maksimum menjadi 11,100 rpm, iaitu 1,000 rpm lebih rendah berbanding T.50.

    Tahap rpm maksimum yang lebih rendah itu dibuat bagi memudahkan penggunaan harian dan menjadikan T.33 kurang “ekstrem.” Kemudiannya, Murray juga bukan setakat akan menyediakan transmisi manual enam kelajuan Xtrac untuk T.33 ini, tetapi pelanggan juga boleh mendapatkan unit semi automatik dengan pedal penukar gear di stereng.

    Pakej penggerak ini dijadikan sebagai sebahagian daripada struktur monocoque gentian karbon dan iFrame, yang masih lagi mempunyai daya tahan kilasan yang kuat meskipun ringan. Suspensi hadapan menggunakan unit double wishbone dengan coil spring serta penyerap aluminium.

    Kereta ini juga dipasang dengan sistem Inclined Axis Shear Mounting (IASM), di mana suspensi belakang disambungkan terus kepada kotak transmisi, dengan beban kilasan disokong oleh casis serta keseluruhan enjin yang dipasang atas getah anti gegaran. Sistem stereng menggunakan unit hidraulik demi memberikan maklum balas yang memuaskan pemandu.

    Gordon Murray Automotive T.33 diperkenal – supercar dengan enjin V12 NA 3.9 liter 615 PS, harga RM7.7 juta

    Rim berbeza saiz digunakan pada T.33, iaitu 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, dengan dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4 S dan di sebaliknya terdapat brek seramik karbon Brembo yang terdiri daripada cakera 370 mm dan angkup enam piston di hadapan, serta cakera 340 mm dan angkup empat piston di belakang.

    Menutupi semua bahagian mekanikal ini adalah badan gentian karbon sepenuhnya dan sudah tentu, ia direka dengan mengambil kira kecekapan aliran udara untuk membantu kenderaan menjadi lebih aerodinamik dan melekap atas jalan.

    Tiada spoiler yang besar pada T.33, dan ia sebaliknya menggunakan unit aktif yang boleh tenggelam apabila tidak diperlukan. Kemudiannya di atas bumbung, terdapat salur yang menghalakan angin kepada bahagian intake.

    Walaupun dengan semua elemen prestasi ini, Murray masih mengambil kira praktikaliti dan menghasilkan ruang simpanan barang di bahagian hadapan kenderaan, serta dua poket khas di tepi dengan jumlah ruang 280 liter.

    Bahagian dalam T.33 dibuat serba ringkas seperti kereta untuk nikmat pemanduan dan tiada sebarang skrin sesentuh di bahagian tengah papan pemuka. Di hadapan pemandu terdapat satu tolok analog untuk rpm dan di kiri dan kanannya terdapat skrin digital untuk paparan fungsi lain termasuk sistem infotainmen dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Butang kawalan menggunakan tombol bulat.

    Dengan harga yang tinggi dan ciri eksklusifnya, setiap komponen pada T.33 dibuat khas menggunakan bahan berkualiti. Malahan, mereka yang mahu membeli model ini juga perlu melalui proses spesifikasi khas demi memastikan ergonomiknya bersesuaian.

     
     
  • Michelin Pilot Sport 5, Primacy 4+ diperkenal secara rasmi, dilancar ke pasaran global bermula Mac 2022

    Michelin Pilot Sport 5, Primacy 4+ diperkenal secara rasmi, dilancar ke pasaran global bermula Mac 2022

    Selepas pengenalan tidak rasmi Michelin Pilot Sport 5 minggu lalu, pembuat tayar dari Perancis berkenaan kini memperkenalkan secara rasmi tayar ultra prestasi generasi kelima tersebut dan juga siri Primacy 4+ baharu.

    Bermula 1 Januari lalu, Pilot Sport 5 tersebut sudahpun mula dijual di pasaran Eropah, ditawarkan dalam 50 saiz berbeza untuk digunakan pada rim 17- hingga 21-inci. Manakala untuk pasaran lain di seluruh dunia, jualannya akan bermula pada 1 Mac ini.

    Siri baharu yang menggantikan Pilot Sport 4 tersebut menampilkan teknologi “Dynamic Response” dari Michelin yang menggunakan hybrid belt dihasilkan dari aramid dan nylon bagi mengukuhkan struktur tayar dan mengekalkan kestabilan permukaan sentuhan.

    Manakala “MaxTouch Construction Technology” Michelin yang digunakan pada tayar ini pula akan mengagihkan beban ketika memecut, membrek dan mengambil selekoh secara sekata, membolehkan bunga tayar bertahan lebih lama. Dengan rekaan Dual Sport Tread pada bunga tayar Pilot Sport 5 ini pula, Michelin menjanjikan “kawalan maksima dengan cengkaman dan prestasi membrek atas permukaan kering dan basah yang sangat baik”.

    Rekaan Dual Sport Tread tersebut menampilkan bunga pada sebelah luar yang diberikan blok yang tegar bagi mengoptimakan cengkaman ketika kering, manakala bunga sebelah dalam pula direka bagi memberikan cengkaman ketika basah.

    Michelin turut menyatakan bahawa Pilot Sport 5 ini diberikan ciri “Groove Clear”, iaitu alur memanjang yang besar bagi mengalirkan air kepada alur melintang yang lebar bagi ‘membuang’ air berkenaan, untuk memberikan pengendalian dan keselamatan yang lebih baik ketika memandu dalam hujan.

    Merujuk kepada laman sesawang rasmi Michelin Jepun, tayar Michelin Pilot Sport 5 ini mencatatkan masa lap 1.7% lebih pantas berbanding Pilot Sport 4 di litar ujian rasmi mereka, dalam keadaan basah. Ia juga secara purata 1.5% lebih pantas berbanding tayar dari siri lama tersebut.

    Manakala untuk tayar Michelin Primacy 4+, ia adalah versi kemaskini dari siri Primacy 4 sebelumnya. Tayar untuk musim panas berkenaan dihasilkan untuk hampir kesemua jenis kenderaan penumpang termasuk sedan dan SUV. Ciri unik untuk tayar ini adalah kelebihannya untuk memberikan prestasi membrek yang lebih baik pada permukaan basah walaupun dengan bunga tayar yang sudah berkurangan.

    Menurut Michelin, ini membolehkan Primacy 4+ mencapai “keselamatan dari perbatuan pertama sehingga terakhir yang lebih baik”. Ia menggunakan teknologi Evergrip, yang menggabungkan dua lapisan getah bagi membolehkan ia terus memberikan cengkaman serta ‘membuang’ air walaupun bunga sudah mula haus.

    Seperti juga Pilot Sport 5, Primacy 4+ juga sudahpun mula dijual di Eropah pada 1 Januari. Ia akan ditawarkan dalam 82 saiz untuk rim berdiameter 16- hingga 19-inci pada Mac nanti. Manakala menjelang akhir tahun, ia akan dihasilkan dalam 121 saiz untuk rim bermula 16- hingga 21-inci.

     
     
  • Mugen akan bersaing dalam perlumbaan motosikal elektrik offroad musim 2022 guna jentera E.Rex

    Mugen akan bersaing dalam perlumbaan motosikal elektrik offroad musim 2022 guna jentera E.Rex

    Walaupun nama Mugen lebih dikenali sebagai pengubah suai kereta Honda, mereka juga sebenarnya terlibat dalam pelbagai perlumbaan motosikal termasuklah yang di atas jalan biasa dan juga offroad. Memasuki dunia elektrik, Mugen juga telah mencipta nama dalam kategori motosikal elektrik Isle of Man TT melalui jentera Shinden Go.

    Dalam perkembangan terbaru, Mugen mengumumkan bakal menyertai perlumbaan FIM E-Xplorer World Cup 2022, iaitu satu siri perlumbaan motocross khas bagi motosikal elektrik, dengan menghantar pasukan factory yang menggunakan jentera mereka sendiri.

    Spesifikasi jentera elektrik ini masih belum didedahkan, tetapi Mugen sebelum ini, pada tahun 2017 pernah menunjukkan motocross elektrik konsep di pameran Tokyo Motorcycle Show, dikenali sebagai E.Rex. Selain daripada itu, motocross elektrik ini juga sudah pernah menyertai beberapa perlumbaan terutamanya di Jepun sebagai sebahagian daripada proses pembangunannya.

    Mugen akan bersaing dalam perlumbaan motosikal elektrik offroad musim 2022 guna jentera E.Rex

    “Kami yakin perlumbaan ini akan menjadi tempat terbaik untuk kami menggunakan pengetahuan yang ditimba daripada penyertaan dalam Isle of Man TT-Zero (kelas motosikal elektrik), serta pembangunan yang sedang dijalankan untuk motosikal EV-MX E- REX, dan memberi lebih cabaran kepada diri sendiri,” kata pengarah urusan M-TEC Co., Ltd (nama syarikat untuk Mugen).

    Mugen melihat FIM E-Explorer World Cup sebagai satu tapak ujian kompetitif bagi pembangunan teknologi baru dan inovatif untuk motosikal elektrik mereka. Perlumbaan FIM E-Xplorer World Cup 2022 akan melibatkan tiga litar offroad, 10 pasukan dan 20 pelumba.

     
     
  • Pendaftaran kereta elektrik di Malaysia ditangguh, JPJ tidak jelas tentang pengecualian cukai jalan untuk EV

    Pendaftaran kereta elektrik di Malaysia ditangguh, JPJ tidak jelas tentang pengecualian cukai jalan untuk EV

    Sepatutnya, jualan kenderaan EV di Malaysia dijangka bertambah rancak bermula tahun ini susulan daripada pengumuman pengecualian cukai import, duti eksais dan cukai jualan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022. EV juga sepatutnya menikmati pengecualian penuh daripada cukai jalan, sementara pembeli akan diberikan pengecualian cukai pendapatan sehingga RM2,500 bagi pengecas EV. Semua ini untuk EV diimport, sah sehingga 31 Disember 2023.

    Sebelum ini, syarikat kenderaan mengambil sedikit masa untuk mengumumkan senarai harga baru bagi model-model berkaitan. Kemudian, selepas harga mula muncul, berlaku pula perbandingan antara harga di Semenanjung bagi 2022 berbanding harga bebas cukai di Langkawi. Baru diketahui selepas itu, pengecualian berkenaan tidak melibatkan cukai jualan yang dikenakan ke atas EV CBU.

    Kini, muncul pula satu lagi halangan, dengan pembeli EV mengadu tidak dapat mendaftarkan kenderaan mereka dengan JPJ, jika mereka ingin menikmati pengecualian cukai jalan 100% itu ketika ini. Bunyi macam kelakar, tetapi ketika ini didakwa berlaku penangguhan terhadap pendaftaran EV di sini, disebabkan pihak JPJ belum diberikan arahan untuk memansuhkan bayaran cukai jalan bagi EV baru. Perkembangan ini juga telah disahkan oleh beberapa pemain industri yang sempat paultan.org hubungi, walaupun satu sumber menyatakan JPJ perlu mengemaskini sistemnya, dan bukan disebabkan masalah arahan yang belum sampai.

    Ada sumber lain mengatakan JPJ sedang berusaha mengatasi masalah ini, dijangka menjelang suku pertama nanti. Namun, ketika ini pendaftaran EV masih boleh dilakukan sekiranya pemilik sangguo membayar cukai jalan dan tidak mahu menunggu pengecualian penuh tersebut. Bagaimanapun, tiada siapa yang pasti ketika ini sama ada bayaran cukai jalan berkenaan boleh dituntut semula selepas pengecualiannya dilaksanakan nanti.

    Pendaftaran kereta elektrik di Malaysia ditangguh, JPJ tidak jelas tentang pengecualian cukai jalan untuk EV

    Dengan cukai jalan EV dikira mengikut output kilowatt motor berbanding kapasiti cc enjin bagi kereta biasa, sesetengan pemilik memilih untuk menunggu, dan sebahagian lagi mungkin tidak kisah. Sebagai contoh, pembeli Kona Electric e-Max 64 kWh mungkin merasakan RM463 yang perlu dibayar untuk motor 150 kW ke bawah bukan satu bebanan dan akan membayarnya. Tetapi bagi pemilik Taycan 4S pula misalnya, mereka mungkin ingin menunggu kerana kapasiti motornya 390 kW dan cukai jalan yang dikenakan ialah RM7,504 — satu angka yang besar, walaupun melihat kepada kemampuan untuk membeli kereta berkenaan, ini bukanlah satu angka yang pemiliknya tidak mampu bayar.

    Apa pun, pemilik Taycan ketika ini tentunya tidak akan membayar jumlah berkenaan, kerana apa yang difahami, pengurangan cukai jalan 50% bagi kereta elektrik dan hibrid yang diumumkan oleh kerajaan PH pada 2019 masih digunapakai.

    Untuk itu, cukai jalan untuk Taycan adalah RM3,752 ketika ini, dan ini ditambah pula dengan penjimatan RM105,000 daripada pengecualian duti import dan eksais. Tetapi kerana sudah diumumkan cukai jalan percuma, maka tak salah untuk pembeli menuntut perkara itu. Kami akan bawakan perkembangan seterusnya berkaitan hal ini, terutama maklum balas daripada pihak berwajib nanti. Perhatikan ruang ini.

     
     
  • Bantuan Automotif Keluarga Malaysia: Hanya 4,227 permohonan dalam talian diterima setakat ini – MOF

    Bantuan Automotif Keluarga Malaysia: Hanya 4,227 permohonan dalam talian diterima setakat ini – MOF

    Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, setakat ini hanya sejumlah 4,227 permohonan secara dalam talian diterima untuk Bantuan Automotif Keluarga Malaysia. Permohonan tersebut dianggarkan dengan nilai tuntutan sebanyak RM5.47 juta, diterima sejak ia dilancarkan pada 18 Januari lalu.

    Menurut Timbalan Menteri MOF, Datuk Mohd Shahar Abdullah, jumlah itu dilihat masih sedikit walaupun tidak mengambil kira mereka yang membuat permohonan manual, namun beliau berharap mereka yang belum berbuat demikian untuk segera melakukannya sebelum tarikh tutup pada 31 Mac ini, laporan Bernama.

    “Mangsa yang mengalami kerosakan kenderaan akibat banjir harus peka dan memanfaatkan bantuan yang disediakan kerajaan yang bertujuan meringankan beban ditanggung mereka dalam kerosakan disebabkan bencana itu,” katanya.

    Bantuan Automotif Keluarga Malaysia: Hanya 4,227 permohonan dalam talian diterima setakat ini – MOF

    Mohd Shahar berkata Bank Negara akan berbincang dengan pihak insurans dan takaful untuk meningkatkan kesedaran pengguna untuk mengambil perlindungan insurans bagi bencana banjir.

    “Ini juga melibatkan perancangan untuk keperluan industri terlibat menyediakan perlindungan komprehensif pada harga yang lebih mampu milik,” katanya sambil menambah hanya 16% atau 1.8 juta kenderaan mempunyai perlindungan insurans atau takaful komprehensif termasuk untuk banjir.

    Inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak adalah untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

     
     
  • SPYSHOT: Proton X90 dilihat sekali lagi, kali ini di KL

    SPYSHOT: Proton X90 dilihat sekali lagi, kali ini di KL

    Seminggu selepas sebuah Geely Haoyue dalam jelmaan yang dijangka sebagai sebuah model Proton dilihat sedang mendaki laluan ke Genting Highland, model yang mungkin akan menjadi SUV Proton paling besar itu dilihat sekali lagi, kali ini di sekitar Segambut menuju tol Jalan Duta oleh seorang pembaca paultan.org, Ackmed A.

    Unit ini sama seperti yang dikesan tempohari, dengan menggunakan plat pendaftaran yang sama, serta pelekat samaran yang identikal. Di Filipina, model yang juga dikenali dengan nama Okavango ini menggunakan enjin petrol 1.5 liter turbocas tiga-silinder dengan bantuan daripada sistem 48-volt mild-hybrid.

    Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 190 PS dan 300 Nm tork, yang disalurkan ke roda depan melalui transmisi automatik tujuh-kelajuan klac basah berkembar. Sementara itu di China, Haoyue menggunakan enjin 1.8 liter petrol empat-silinder yang menjana 181 hp dan 300 Nm dengan gandingan transmisi yang sama.

    SPYSHOT: Proton X90 dilihat sekali lagi, kali ini di KL

    Ditawarkan dalam versi lima-tempat duduk atau tujuh-tempat duduk di China, konfigurasi yang bakal diperkenalkan pada X90 di Malaysia masih belum diketahui. Mungkin, SUV dengan tiga baris tempat duduk akan memberi kelainan penawaran di sini kerana Proton sudah mempunyai X70 dengan konfigurasi lima-tempat duduk.

    Dengan X90 kini lebih kerap dilihat di jalanraya kita, ini maksudnya model berkenaan sedang diuji dalam situasi sebenar di sini, dan sudah tentu ia sedang dipersiapkan untuk pengenalannya bagi pasaran Malaysia. Ramai yang tunggu model ini?

     
     
  • JPJ akan batalkan permit sekolah memandu sekiranya ramai lepasan dikesan terlibat dalam kemalangan

    JPJ akan batalkan permit sekolah memandu sekiranya ramai lepasan dikesan terlibat dalam kemalangan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyatakan bahawa pihaknya akan membatalkan atau menggantung permit institut memandu (IM) sekiranya ramai pemegang lesen yang dilatih mereka didapati melakukan kesalahan trafik dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim dalam laporan Bernama, langkah itu akan dilaksanakan dengan meletakkan kod pada lesen yang dikeluarkan ini bagi mengesan daripada institut memandu mana pesalah trafik itu menerima latihan.

    Namun beliau menjelaskan kaedah itu masih dalam peringkat cadangan dan dijangka disenaraikan di bawah sistem e-Testing yang bermula di seluruh negara April tahun ini.

    “Kita akan buat satu jejak audit apakah kesilapan atau apa-apa yang tidak betul sama ada infrastruktur yang tidak lengkap atau apakah sebab hingga disaman dan dibuat dalam konsep pendigitalan JPJ,” katanya.

    Menurut beliau lagi, berdasarkan rekod sedia ada terdapat 10,569 pengajar SPIM di Malaysia disijilkan selari dengan Kaedah 11 (4) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992.

    “Walau bagaimanapun terdapat lebih kurang 1,779 permohonan tertunggak yang masih belum diselesaikan akibat daripada sekatan aktiviti program seperti pelaksanaan kursus, seminar, bengkel, latihan dan ceramah yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

    Beliau turut memberitahu bahawa berdasarkan statistik yang direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia dan JPJ, sebanyak 80 peratus punca kemalangan jalan raya adalah sebabkan faktor kecuaian oleh manusia, mankala kebanyakan yang terlibat dalam kemalangan adalah motosikal iaitu lebih 60 peratus.

     
     
  • PDRM tingkatkan penguatkuasaan secara show off di lebuhraya bagi bendung aktiviti lumba haram

    PDRM tingkatkan penguatkuasaan secara show off di lebuhraya bagi bendung aktiviti lumba haram

    Bagi membendung aktiviti lumba haram di lebuhraya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan serta penguatkuasaan secara ‘show off’ atau terang-terangan. Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, walau pun pelbagai tindakan dilakukan untuk membendung gejala samseng jalanan itu namun dilihat semakin berleluasa saban hari.

    Justeru, JSPT mengambil beberapa pendekatan antaranya meningkatkan kekerapan rondaan dan pemantauan oleh anggota peronda lebuh raya, lebih-lebih lagi sekiranya menerima maklumat adanya pergerakan sesuatu konvoi kenderaan.

    “Kita akan buat tindakan susulan untuk mengesan lokasi serta pelakunya. Setiap perbuatan melanggar undang-undang, pasti akan menerima padah dan kesannya. Tindakan sita kenderaan dalam tempoh masa yang lama akan dikenakan terhadap pelaku, selain saman dengan kadar maksimum bagi memastikan aktiviti sama tidak berulang,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    PDRM tingkatkan penguatkuasaan secara show off di lebuhraya bagi bendung aktiviti lumba haram

    Jelas beliau, perbuatan berlumba di lebuh raya itu jelas melanggar undang-undang selain boleh mengundang bahaya dan padah kepada diri sendiri serta pengguna lebuh raya yang lain. Justeru, JSPT akan menggandakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya di kawasan ‘hot spot’ lumba kereta haram.

    Selain itu, JSPT juga akan membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya kegiatan itu sebagai isyarat kepada ‘kaki lumba haram’ berfikir dua kali kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu lebih awal oleh pihak berkuasa.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai satu rakaman video di akaun Facebook kelmarin, yang menunjukkan beberapa kereta berlumba sesama sendiri di lokasi yang tidak dapat dikenal pasti. Video berdurasi empat minit lapan saat itu dipercayai daripada rakaman ‘dashcam’ sebuah kenderaan yang berlumba dan kelihatan beradu kelajuan dengan beberapa kenderaan rakannya selain mencelah secara berbahaya antara kenderaan lain di lebuh raya itu.

     
     
  • Nombor pendaftaran UC boleh dibida pada 1-14 Feb

    Nombor pendaftaran UC boleh dibida pada 1-14 Feb

    Pada hujung November lalu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah pun menguar-uarkan pihaknya bakal membuka bidaan untuk nombor pendaftaran kenderaan ‘UC’ bersempena dengan ulang tahun ke-20 universiti tersebut. Bidaan secara dalam talian itu bakal bermula pada 1 hingga 14 Februari ini.

    Ini merupakan inisiatif yang diterajui oleh Yayasan UMP yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi pelbagai usaha kebajikan termasuk membantu pelajar, keluarga dan masyarakat setempat.

    Pengerusi Lembaga Pengarah Urusan UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata UMP mensasarkan penjualan siri nombor pendaftaran UC mampu mencecah sehingga RM3.5 juta bagi fasa pertama, laporan Harian Metro.

    “Kombinasi dua huruf UC ini diambil bagi mewakili huruf U iaitu awalan perkataan UMP, manakala C adalah nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri ini yang juga identiti Pahang. Jika bidaan berjaya dilakukan, pendaftaran bagi nombor pilihan terbabit boleh dibuat bermula 1 Mac sehingga Oktober 2024,” katanya hari ini.

    Proses bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal. Jika anda berminat dengan nombor perdaftaran ini, boleh melayari laman sesawang http://www.ucplat.com.my bermula 1 hingga 14 Februari ini.

     
     
  • Mitsubishi ASX generasi baharu – teaser disiar, muncul pada 2023; rebadge dari Renault Captur?

    Mitsubishi ASX generasi baharu – <em>teaser</em> disiar, muncul pada 2023; <em>rebadge</em> dari Renault Captur?

    Sebelum ini ramai yang menyangka bahawa Mitsubishi akan menggantikan ASX dengan Eclipse Cross, kerana kedua-dua SUV tersebut dihasilkan dalam saingan segmen-B. Namun ketika Eclipse Cross dijual, ASX masih ditawarkan dalam pasaran walaupun sudah diperkenalkan sejak 2010 dan diberikan versi facelift pada tahun 2019.

    Nampaknya Mitsubishi akan terus menggunakan nama ASX ini, dan Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi sudahpun mengumumkan bahawa ASX generasi baharu akan dilancarkan pada 2023. Pengenalan ASX generasi baharu ini adalah sebahagian dari pelan jangkamasa panjang yang telah diumumkan oleh Pakatan berkenaan, selain merancang untuk menghasilkan 35 model elektrik sepenuhnya menjelang 2030.

    Mitsubishi ASX generasi baharu ini akan menggunakan asas “model terlaris Renault”, menurut Pakatan berkenaan. ASX generasi baharu ini juga merupakan salah satu model dari dua Mitsubishi yang sebelum ini dikatakan akan dihasilkan sebagai model rebadge dari model Renault bagi membolehkan Mitsubishi bertapak semula di Eropah.

    Berdasarkan petunjuk-petunjuk ini, Mitsubishi ASX generasi baharu tersebut mungkin akan diasaskan dari Renault Captur. ASX bukan satu-satunya model yang akan diasaskan dari Captur, malah Nissan Juke generasi kedua juga diasaskan dari platform crossover segmen-B CMF-B yang sama.

    Mitsubishi ASX generasi baharu – <em>teaser</em> disiar, muncul pada 2023; <em>rebadge</em> dari Renault Captur?

    Pengumuman ini turut disertai dengan imej teaser, yang memberi bayangan bahawa Mitsubishi ASX generasi baharu ini akan tampil dengan badan yang lebih bulat seakan coupe, berbanding rekaan bersegi untuk model generasi sedia ada. Lakaran teaser tersebut juga menunjukkan bahawa ASX akan diberikan rekaan lampu hadapan yang kelihatan bersepadu dengan gril hadapan.

    Menerusi slaid pembentangan ASX baharu ini turut menunjukkan bahawa ia akan berkongsi unit rangkaian kuasa dan juga kilang pembuatan dengan model Renault yang menjadi asas binaannya nanti. Oleh itu, Mitsubishi ASX generasi baharu ini kelak mungkin akan menggunakan unit rangkaian kuasa Renault E-Tech hybrid 140 hp dan E-Tech PHEV 160 hp yang sama dengan Captur.

    Menurut laporan Car Expert, model kedua yang akan mengiringi ASX untuk masuk semula ke pasaran Eropah adalah model gantian untuk hatchback kompak Mitsubishi Mirage sedia ada.

     
     
  • ANIH jangka Lebuhraya KLK, LPT1 sesak sempena Tahun Baharu Cina – saran pengguna rujuk TTA

    ANIH jangka Lebuhraya KLK, LPT1 sesak sempena Tahun Baharu Cina – saran pengguna rujuk TTA

    ANIH Berhad (ANIH), pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan jumlah trafik lebuh raya kendaliannya meningkat sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut Selasa hadapan.

    Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH, Radzimah Mohd Radzi, ini kerana ia kali pertama sejak dua tahun lalu, masyarakat Cina dibenarkan merentas negeri bagi menyambut perayaan itu bersama keluarga berjauhan. Selain itu, orang ramai pelbagai bangsa juga pasti mengambil peluang cuti perayaan ini untuk berkunjung ke mana-mana destinasi pilihan termasuk pulang ke kampung halaman

    Justeru, beliau menyarankan agar pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit yang merancang perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan mengikut jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan ANIH. Sila rujuk gambar di bawah untuk mengetahui TTA terbabit.

    ANIH jangka Lebuhraya KLK, LPT1 sesak sempena Tahun Baharu Cina – saran pengguna rujuk TTA

    “Sebagai persediaan berdepan jangkaan itu, kami meningkatkan kekerapan jadual sanitasi dan pembersihan di semua kemudahan awam di Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya. Ia bagi memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) pergerakan digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Beliau turut berkata, TTA turut diedarkan kepada orang awam bersama 1,400 pelitup muka di plaza tol sepanjang KLK dan LPT1. Dalam masa yang sama, semua pengguna jalan raya dinasihati agar memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum serta mempunyai baki kad Touch N’ Go yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pusat tambah nilai.

    “Bagi mereka yang bakal melakukan perjalanan menggunakan KLK dan LPT1, maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini tentang keadaan trafik boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 09 5479111/1-700-818-700.

    “Manakala pengguna LPT2 boleh mendapatkan maklumat trafik melalui Twitter @LPT2Trafik, papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya atau menghubungi LPT2Line di talian 1800-88-0220,” katanya.

     
     
  • Op Selamat 17/2022 – Polis kenalpasti 12 kawasan black/hotspot kemalangan maut di negeri Melaka

    Op Selamat 17/2022 – Polis kenalpasti 12 kawasan black/hotspot kemalangan maut di negeri Melaka

    Sebanyak 12 kawasan kawasan hitam (blackspot) dan panas (hotspot) yang sering menjadi lokasi kemalangan maut di Melaka setiap kali tiba musim perayaan telah dikenalpasti.

    Menurut Ketua Polis Negeri Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, 12 kawasan hitam dan panas itu adalah lima di Melaka Tengah, empat di Alor Gajah dan tiga di Jasin dengan antara kawasan dikenal pasti adalah Lebuh AMJ, Jalan Umbai-Sungai Udang, Jalan Rembia-Kendong, Jalan Sungai Udang-Lubuk Cina, Jalan Melaka-Muar dan Jalan Tehel-Bemban-Chabau.

    Katanya, dengan jangkaan lebih 120,000 kenderaan akan memasuki negeri ini, 220 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang Op Selamat 17 yang bermula hari ini hingga 6 Februari 2022 sempena perayaan Tahun Baru Cina.

    “Sebab itu antara sasaran kita adalah sifar kemalangan maut, memandangkan tahun lepas hanya satu kes dan tahun 2020 mencatat 15 kes kemalangan maut,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Tambahnya penglibatan agensi sepanjang Op Selamat seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan pihak berkuasa tempatan dilihat mampu mengurangkan kadar kemalangan maut sepanjang perayaan Tahun Baru Cina ini.

     
     
  • Nissan Almera generasi seterusnya dapat varian EV?

    Nissan Almera generasi seterusnya dapat varian EV?

    Susulan pengumuman Nissan yang mengesahkan rancangannya untuk memperkenalkan varian elektrik penuh untuk Micra yang akan datang, ada kemungkinan Almera generasi selepas ini juga akan menerima versi yang sama.

    Model semasa Micra, yang juga dikenali sebagai March untuk beberapa pasaran, merupakan hatch segmen-B yang menggunakan platform Nissan V. Banyak model turut menggunakan platform yang sama, termasuklah Latio, Sylphy, Note, Kicks, dan tentu sekali Almera (turut dikenali sebagai Versa dan Sunny di kebanyakan pasaran lain).

    Berdasarkan perancangan baharu yang didedahkan oleh Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, ketiga-tiga pengeluar kereta ini akan menggunakan platform pada tahap yang lebih tinggi, jadi tidak mustahil Almera akan datang juga bakal menggunakan platform Renault–Nissan Common Module Family (CMF).

    Jika ia dilaksanakan, Nissan boleh menghasilkan varian elektrik penuh, dan sepatutnya menggunakan platform CMF-BEV yang sama seperti Micra, yang menurut Pakatan terbabit ia boleh memuatkan bateri yang cukup besar untuk jarak pacuan sehingga 400 km dalam cas penuh.

     
     
  • Sime Darby Auto Selection jalin kerjasama dengan Bosch — pusat servis untuk semua jenama kenderaan

    Sime Darby Auto Selection jalin kerjasama dengan Bosch — pusat servis untuk semua jenama kenderaan

    Sime Darby Auto Selection (SDAS), pengedar kenderaan terpakai pelbagai jenama di bawah Sime Darby Motors kini menjalinkan kerjasama dengan Bosch untuk menyediakan khidmat nasihat, baik pulih dan servis penyelenggaraan kepada pelanggan, yang mempertemukan pasukan lepas jualan profesional dengan kelengkapan bengkel bertaraf dunia.

    Pusat servis dengan kelengkapan Bosch ini bertujuan untuk memenuhi permintaan lepas jualan yang semakin berkembang di Malaysia, terutama bagi pelanggan yang inginkan servis penjagaan kenderaan premium.

    “Kerjasama kami denga Bosch akan memastikan bengkel kami bersedia untuk menampung keperluan masa depan dengan menawarkan penyelesaian baik pulih serta diagnostik profesional serta alat ganti dan aksesori berkualiti yang sesuai untuk pelbagai jenama dan model yang kami kendalikan,” ujar Pengarah Urusan Sime Darby Auto Selection, Vi Thim Juan.

    Lebih menarik, walaupun dengan penggunaan sistem dan komponen Bosch ini, servis dan baik pulih masih akan dikenakan harga kompetitif agak pelanggan tidak perlu risau dengan kos dan menerima servis dan kualiti produk yang terbaik.

    Sime Darby Auto Selection jalin kerjasama dengan Bosch — pusat servis untuk semua jenama kenderaan

    Pusat Servis SDAS ini turut melakukan khidmat lepas jualan bagi semua jenama kenderaan. Pemilik dengan kenderaan yang telah tamat tempoh jaminan boleh menikmati tahap dan kualiti servis yang sama seperti yang disediakan oleh pusat servis khas pengeluar kenderaan mereka. Juruteknik yang terlibat juga diberikan latihan mahir untuk memberikah khidmat yang konsisten dan teliti.

    “Kerjasama dengan SDAS ini menjadi wadah terbaik untuk kami mempamerkan produk dan servis yang inovatif, mapan, selamat dan menarik yang akan memenuhi keperluan pelanggan kami,” jelas Pengurus Negara, Bosch Automotive Aftermarket Malaysia, Dillion Goh. Selain daripada penyelenggaraan kenderaan, Pusat Servis SDAS dengan kelengkapan Bosch ini turut akan menyediakan perkhidmatan baik pulih, pembersihan dan pemeriksaan kenderaan.

    Terletak di Lot 33, Temasya Industrial Park, Glenmarie, Shah Alam, Pusat Servis SDAS ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat, dan 9 pagi hingga 12.30 tengahari pada Sabtu. Ia ditutup setiap Ahad. Untuk membuat tempahan, pelanggan perlu mengisi borang dengan butiran mereka di www.simedarbyautoselection.com.my dan penasihat servis akan menghubungi anda selepas itu.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan pusat servis baru ini atau untuk membuat tempahan dan pertanyaan, pelanggan juga boleh menghubungi 03-4065 2502.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024