Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic Si 2017 sedan, coupe dilancarkan 6 April

    Honda Civic Si 2017 sedan, coupe dilancarkan 6 April

    Civic Si Prototype

    Pertama kali dipertontonkan sebagai model konsep pada November 2016 ketika Pameran Permotoran Los Angeles, Honda Civic Si 2017 akhirnya akan membuat penampilan sulungnya pada 6 April ini dan rekabentuk sedan dan coupe.

    Dari segi prestasi, ia masih lagi sama dengan spesfikasi yang diumumkan sebelum ini. Enjin 1.5 liter turbocaj empat-silinder digunakan, dengan ciri dual variable cam timing (VTC) dan suntikan terus. Ia dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Tiada maklumat berkaitan pertambahan kuasa setakat ini, tetapi, memandangkan Civic Si sepatutnya datang dengan prestasi yang lebih tinggi daripada Civic biasa, kuasanya mungkin akan diberikan peningkatan. Seperti dinyatakan sebelum ini, Civic Si akan menerima naik taraf prestasi, misalnya bagi sistem penyerap hentak, sistem stereng aktif, limited-slip differential dan tayar berprestasi tinggi.

    “Dengan Honda Civic Si, kami memberikan sentuhan lebih sporty kepada model berkenaan. Ini akan menjadi versi terpantas dengan pengendalian mantap bagi model Si yang pernah kami tawarkan kepada pelanggan,” kata Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Honda, Jeff Conrad.

    Pada model konsep sebelum ini, Si dilengkapi antaranya dengan kit Honda Factory Performance (HFP) termasuk bodykit, spoiler belakang dan rim aloi 19 inci dengan tayar prestasi bersaiz 235/35. Semua perincian ini mungkin akan dilanjutkan kepada versi produksinya nanti.

     
     
  • Pindaan undang-undang untuk Grab, Uber dibentang

    Pindaan undang-undang untuk Grab, Uber dibentang

    Pindaan terhadap dua undang-undang untuk mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab telah dibentangkan buat kali pertama hari ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri membentangkan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Awam Darat (LPT) 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB) 1987.

    Seperti dilaporkan The Sun, Nancy turut menambah, kedua-dua pindaan itu akan dibentangkan untuk kali kedua dan ketiga pada sesi yang sama nanti. Rang undang-undang LPT, yang tertakluk di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melibatkan pindaan terhadap undang-undang untuk memperkenal perniagaan perantaraan (intermediation business) dan memperluas definisi sedia ada.

    “Perniagaan perantaraan bermaksud perniagaan untuk memudah cara susunan, tempahan atau transaksi bagi perkhidmatan berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam darat,” merujuk kepada rang undang-undang terbabit.

    Pindaan yang dicadangkan termasuk untuk memperkenalkan seksyen baru bagi mengawal selia perlesenan perniagaan perantaraan itu, merangkumi permohonan, syarat-syarat, pembaharuan dan pembatalan lesen yang dikeluarkan oleh SPAD.

    Setelah diluluskan nanti, rang undang-undang LPT itu akan memberi kuasa kepada SPAD untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang “menyerang atau menghalang” pemegang lesen, pemilik perniagaan dan pengusaha. Lesen yang dikeluarkan juga tidak boleh dipindah milik kepada individu lain, melainkan mendapat pengesahan SPAD.

    Sementara itu, pindaan terhadap undang-undang CVLB pula akan membolehkan perkhidmatan seperti Uber dan Grab menjadi kenderaan pengangkutan awam. Sama seperti rang undang-undang LPT, pindaan yang dicadangkan ini akan berfungsi untuk mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian dan perniagaan pengantaraan yang terlibat dengan cara memperkenalkan seksyen baru bagi perlesenan yang sepatutnya.

     
     
  • Tidak semua plaza tol PLUS akan mempunyai lorong tambah nilai bagi kad PLUSMiles, Touch ‘n Go

    Tidak semua plaza tol PLUS akan mempunyai lorong tambah nilai bagi kad PLUSMiles, Touch ‘n Go

    Mulai 26 April ini, semua plaza tol di bawah kendalian PLUS akan melaksanakan sistem bayaran secara elektronik iaitu melalui kad Touch n’ Go, PLUSMiles dan SmarTAG. Bayaran tunai tidak lagi akan diterima selepas tarikh tersebut.

    Menurut ketua bahagian Komunikasi Korporat PLUS Malaysia Berhad Mohd Nizam Ismail, walau bagaimana pun, tidak semua plaza tol kendalian syarikat berkenaan akan menyediakan lorong tambah nilai bagi kad bayaran terbabit.

    Katanya lagi, di plaza tol berskala kecil, terutamanya yang hanya mempunyai dua atau tiga lorong tol, tidak akan disediakan lorong tambah nilai terbabit bagi mengelakkan kesesakan trafik.

    Justeru, beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan memastikan kad PLUSMiles atau Touch’n Go masing-masing masih mempunyai jumlah nilai kredit yang mencukupi sebelum memasuki lebuhraya.

    “Kami mempunyai banyak lokasi di mana pengguna PLUS boleh menambah nilai kad mereka di sepanjang lebuhraya, termasuklah di stesen minyak dan kios layan-diri Touch ‘n Go,” ujarnya sewaktu dihubungi oleh The Sun.

    Mohd Nizam turut berkata, bagi tol plaza besar, lorong untuk tambah nilai atau membeli kad PLUSMiles atau Touch’n Go akan disediakan seperti biasa.

    Ketika ditanya adakah sistem bayaran secara elektronik ini akan ditangguhkan, Mohd Nizam menjelaskan, “Kami telah pun melaksanakannya di daerah utara, dan ia menampakkan keberkesanan. Jadi, sudah tiba masanya untuk ia dilaksanakan di seluruh negara.”

    Pada Februari lalu, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail berkata, pelaksanaan itu turut melibatkan semua transaksi tol di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

    Buat setakat ini, sebanyak 94 plaza tol di lebuh raya kendalian PLUS bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor telah dikendalikan secara elektronik

    Azman berkata pelaksanaan ETC dapat mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan transaksi di lorong pembayaran khususnya ketika musim perayaan.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing kini di M’sia – anjur perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge dalam TGR Racing Festival

    Toyota Gazoo Racing kini di M’sia – anjur perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge dalam TGR Racing Festival

    Bagi mereka yang belum tahu, kini semua aktiviti perlumbaan Toyota adalah di bawah selian divisi perlumbaan rasminya – Toyota Gazoo Racing (TGR), yang bertanggung jawab keatas pasukan rasmi Toyota di World Endurance Championship (WEC) dan juga Kejohanan Rali Dunia (WRC). TGR juga secara rasmi telah menghasilkan jentera jalan raya berprestasi tinggi dengan jenamanya iaitu Gazoo Racing Master of Nurburgring (GRMN) dengan pengenalan Yaris GRMN untuk peingkat global bulan lalu.

    Kini TGR secara rasminya telah tiba di Malaysia, di bawa oleh UMW Toyota Motor sendiri – dimulakan dengan TGR Racing Festival yang menampilkan perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge. Perlumbaan yang menggunakan sedan segmen-B Toyota ini akan dibarisi 30 pemandu, berlumba dengan Toyota Vios generasi ketiga dengan spesifikasi sama sepenuhnya, dalam tiga pusingan di litar jalan raya yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Johor serta Pulau Pinang.

    Pada setiap perlumbaan itu juga, penganjur akan turut mengadakan festival yang bakal membawa sekali aktiviti kekeluargaan seperti pelbagai permainan, makanan serta hiburan untuk semua pengunjung.

    Toyota Gazoo Racing kini di M’sia – anjur perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge dalam TGR Racing Festival

    Dari keseluruhan 30 orang pelumba, lapan orang daripadanya merupakan selebriti terkenal tempatan, antaranya ialah Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle dan Janna Nick. Perlumbaan ini juga merupakan acara yang berdaftar dengan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan setiap pelumba wajib mempunyai lesen perlumbaan nasional yang dikeluarkan oleh AAM. Bagi jentera yang digunakan pula, kesemua Vios yang diambil dari model asas J 1.5 liter manual ini disediakan oleh Wing Hin Motorsport di bawah seliaan Toyota Racing Development (TRD) Jepun.

    Secara asasnya, kesemua Vios ini merupakan model produksi sebenar yang dihasilkan di kilang UMW Toyota Shah Alam. Ia masih menggunakan enjin asal 1.5 liter 2NR-FE dengan kesemua bahagian dalamannya tidak langsung disentuh. Tetapi, ia dipadankan dengan sistem ekzos lengkap keluli tahan karat dari TRD bermula dari bahagian header hingga hujung muffler. Unit pengurusan enjin asal juga telah ditukar kepada sistem komputer dari Motec, mengekstrak 10% lebih kuasa dari jumlah asal.

    Begitu juga dengan transmisi, kotak gear lima-kelajuan manual asal masih dikekalkan, tetapi unit karbeda standard telah ditukar kepada LSD dari TRD bagi memberikan lebih cengkaman pada roda hadapan ketika meredah selekoh. Kesemua Vios ini juga menerima kit lengkap suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari TRD. Ia merupakan kit ‘plug and play‘ untuk Vios yang dipadankan terus pada casis, serta tiada langsung perubahan geometeri dibuat pada sistem torsion beam suspensi belakang.

    Toyota Gazoo Racing kini di M’sia – anjur perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge dalam TGR Racing Festival

    Keseluruhan sistem brek jentera perlumbaan ini juga masih kekal sama dengan versi jalan raya, termasuk brek dram pada bahagian belakang, tetapi pad pada angkup standard hadapan diberikan pad berprestasi tinggi TRD bagi memendekkan jarak membrek serta memastikan tiada masalah brake fade ketika digunakan secara ekstrem.

    Bahagian luaran, Vios untuk perlumbaan ini diberikan kit badan dari TRD, bersama spoiler belakang lebih besar dari versi jalan raya. Ia turut diberikan livery perlumbaan merah-putih TGR bersama pelekat-pelekat penaja. Khas untuk siri perlumbaan ini, kesemua Vios diberikan rim Enkei RPF-1 berdiameter 15-inci tajaan Enkei Malaysia, disaluti tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 195/50R15 tajaan Toyo Tyres.

    Pada bahagian kabin pula, papan pemuka asal (dengan sistem penghawa dingin masih berfungsi!) dan juga panel-panel pintu asal Vios lengkap dengan tingkap berkuasa masih lagi dikekalkan. Tetapi karpet, alas bumbung (headliner) serta tempat duduk belakang telah dibuang. Tempat duduk hadapan pula digantikan dengan tempat duduk bucket perlumbaan sepenuhnya, lengkap dengan tali pinggang serta stereng perlumbaan tiga jejari – kesemuanya dari OMP.

    Unit pemain audio utama juga telah ditanggalkan dan bahagian berkenaan ditempatkan ‘kill switch‘ untuk memutuskan kuasa elektrik secara keseluruhan sekiranya dalam situasi kecemasan. Sebagai melengkapkan ruang dalaman jentera perlumbaan ini, ia turut dibekalkan dengan paparan informasi perlumbaan Motec yang memberikan pelbagai bacaan seperti rpm, speedo meter, suhu enjin dan pelincir, masa lap, serta pelbagai lagi. Ia turut diberikan rollcage penuh TRD yang dibina khas untuk Vios generasi ketiga ini.

    Kesemua Vios tersebut akan berlumba di bawah pasukan-pasukan yang diwujudkan dari jaringan pengedar sah Toyota di Malaysia. Menurut Toyota, setiap jentera perlumbaan Vios yang lengkap dihasilkan dengan harga RM90,000. Pusingan pertama perlumbaan berkenaan akan bermula pada Ogos ini dan dijangka tamat pada suku pertama 2018.

    “Perlumbaan bermotor telah menjadi sebahagian dari DNA Toyota sejak ia ditubuhkan. Kejayaan kami dalam pelbagai disiplin sukan bermotor membolehkan kami membina produk dan teknologi yang lebih baik untuk pelanggan dan juga masa depan kami,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Akio Takeyama.

     
     
  • Alat penipu emisi dijumpai pada Fiat 500X di Jerman

    Alat penipu emisi dijumpai pada Fiat 500X di Jerman

    Skandal emisi nampaknya masih belum tamat apabila terbaru, Automotive News Europe memetik laporan majalan Jerman, Der Spiegel bahawa kementerian pengangkutan Jerman menjumpai alat pemesong pada Fiat 500X, seterusnya menimbulkan perselisihan dengan pengeluar dari Iali tersebut. Fiat walaubagaimanapun menafikan kenderaan mereka dilengkapi dengan alat penipu ujian emisi.

    Kementerian itu tidak mendedahkan sebarang perincian apa yang ditemui, tetapi memberitahu bahawa keputusannya telah dihantar kepada European Commission. Alat ini berada pada bahagian ekzos, dan didapati menutup operasi penapis selepas 90 minit, dan dijumpai semasa ujian yang dijalankan oleh German Federal Motor Transport Authority (KBA), seterusnya membawa kesimpulan bahawa ia adalah alat pemesong keputusan kata Der Spiegel.

    Sebelum itu, menurut majalah Jerman itu juga, satu lagi model Fiat yang tidak dinamakan turut ditemui mematikan sistem pemulihan ekzos selepas 22 minit, dan ujian emisi Eropah dijalankan selama hanya 20 minit. “Dalam keadaan ini, kami tidak boleh memberikan sebarang komen berkenaan kesahihan atau ketepatan dokumen dalaman ini, atau laporan ujian yang kami sendiri belum lihat,” kata wakil daripada Fiat Chrysler Automobiles.

     
     
  • Insentif kenderaan hibrid, PHEV dan EV di Thailand akan termasuk perlepasan, potongan cukai import

    Insentif kenderaan hibrid, PHEV dan EV di Thailand akan termasuk perlepasan, potongan cukai import

    Lewat bulan lepas, Lembaga Pelaburan Thailand (BoI) telah meluluskan pemberian keistimewaan tambahan kepada pengeluar ‘kenderaan hijau’ termasuk hibrid, plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik penuh (EV). Antara yang diberi adalah cuti daripada cukai selama lima hingga lapan tahun, dengan tujuan untuk menjadikan negara tersebut yang terkenal sebagai pengeluar utama kenderaan kecil dan pikap kepada hab kenderaan hijau masa hadapan.

    Jenis kenderaan yang layak antaranya termasuk kenderaan penumpang, trak pikap dan bas, dengan keistimewaan yang berbeza disediakan bergantung kepada tahap teknologi, mengikut laporan Bangkok Post.

    Pengeluar kenderaan hibrid layak untuk pengecualian cukai bagi mesin yang diimport manakala pelaburan PHEV layak untuk perlepasan cukai pendapatan korporat selama tiga tahun dan pengecualian cukai import mesin. Pelabur PHEV yang mengeluarkan lebih daripada satu bahagian EV akan layak untuk tambahan satu tahun lagi perlepasan cukai pendapatan korporat bagi setiap bahagian, tetapi secara keseluruhannya pengecualian cukai tersebut tidak boleh melepasi enam tahun.

    Insentif kenderaan hibrid, PHEV dan EV di Thailand akan termasuk perlepasan, potongan cukai import

    Sementara itu, pelaburan bagi EV pula layak untuk perlepasan cukai korporat selama lima hingga lapan tahun. Pelabur EV yang mengeluarkan lebih daripada satu bahagian utama EV layak untuk mendapat perlepasan cukai pendapatan korporat selama satu tahun untuk setiap bahagian, dan gabungan keseluruhannya tidak boleh melebihi 10 tahun. Bas kuasa elektrik layak untuk mendapat perlepasan cukai untuk mesin yang diimport dan tiga tahun pengecualian cukai korporat. Lebih banyak bahagian EV yang dikeluarkan, lebih banyak perlepasan cukai yang diberi, namun tidak boleh melebihi enam tahun.

    10 komponen penting EV yang datang dengan pengecualian cukai pendapatan korporat adalah bateri, motor cengkaman, servis pengurusan bateri, converter DC/DC, inverter, pengecas mudah alih kenderaan elektrik, pemecah litar elektrik dan sistem pengecas pintar EV.

    Kerajaan Thailand juga cuba untuk meningkatkan permintaan domestik terhadap kenderaan mesra alam ini, dengan memotong cukai eksais untuk kereta mesra alam import, dan ini adalah hampir sama dengan apa yang dibuat oleh Malaysia pada kenderaan hibrid dan EV CBU beberapa tahun lalu.

    Insentif kenderaan hibrid, PHEV dan EV di Thailand akan termasuk perlepasan, potongan cukai import

    BMW X5 xDrive 40e Exterior colour: Glacier Silver, Upolstry: Ivory White Nappa Leather, Pure Excellence Exterior Design, max. system output: 230kW/313 hp; average consumption: 3,4-3,3 Liter/100 km 15,4-15,3kWh/100km
    – CO2-emissions: 78 Ð 77 g/km

    Namun di Malaysia ia hanya dilaksanakan sehingga tahun 2013, menyaksikan beberapa pengeluar mengambil kesempatan menawarkan model yang menarik seperti antaranya Toyota Prius, Prius C, Lexus CT200h, Honda Insight, Civic Hybrid dan Audi A6 Hybrid. Turut diperkenalkan adalah kenderaan elektrik Nissan Leaf dan Mitsubishi i-MiEV.

    Rancangan sementara selama dua tahun oleh Thailand ini juga akan menyaksikan cukai eksais untuk kenderaan hibrid dan PHEV CBU yang mengeluarkan karbon dioksida kurang daripada 100 g/km dikurangkan kepada 5% berbanding sekarang ini 10%. Kenderaan EV pula hanya akan dikenakan cukai eksais 2%. Kenderaan hibrid dan PHEV dengan pengeluaran karbon dioksida 101-150, 151-200, dan lebih 200 g/km akan dikenakan cukai eksais masing-masing 10%, 12.5% dan 15% berbanding sekarang ini 20%, 25% dan 30%.

    Pengeluar kenderaan menerima berita ini secara positif, di mana timbalan presiden Nissan Motor Thailand, Piengjai Kaewsuwan memberitahu bahawa keistimewaan yang diberi ini adalah sangat menarik dan ia boleh meningkatkan permintaan domestik terhadap kereta jenis ini.

    Insentif kenderaan hibrid, PHEV dan EV di Thailand akan termasuk perlepasan, potongan cukai import

    “Pakej BoI untuk kenderaan EV ini berkemungkinan dapat menarik banyak pelaburan baru, terutamanya dalam pengeluaran bateri elektrik dan motor dalam negara ini kerana semua projek ini berkaitan dengan EV dan pengeluar kenderaan berminat untuk menjadikan Thailand pusat pengeluaran mereka,” kata Kaewsuwan.

    Pengeluar paling laris di Thailand iaitu Toyota juga kin bersedia untuk mengeluarkan kenderaan hibrid di Thailand, dan mereka akan mengumumkan rancangan pelaburan dalam masa 12 bulan lagi, menurut timbalan pengerusi Toyota Motor Thailand, Ninnart Chaitharapinyo.

    “Toyota akan mengeksport kenderaan hibrid dari Thailand ke pasaran lain pada masa hadapan. Rancangan pengeluaran kenderaan EV Toyota akan fokus lebih kepada hibrid, memandangkan PHEV dan EV memerlukan teknologi yang lebih maju,” kata beliau.

     
     
  • Suzuki Swift Sport baharu seberat 870 kg – laporan

    Suzuki Swift Sport baharu seberat 870 kg – laporan

    Laporan Car Throttle menyatakan Suzuki Swift Sport generasi akan datang telah dikurangkan beratnya, pastinya menimbulkan keterujaan di kalangan peminatnya sendiri.

    Model semasanya memiliki berat 1,070 kg dengan transmisi manual enam-kelajuan, namun sumber dalaman Suzuki mengesahkan kepada majalah terbabit, bagi model akan datang, ia hanya seberat 879 kg sahaja. Iaitu kurang lebih 200 kg berbanding versi standard Swift terkini.

    Dengan pengurangan berat tersebut, model hatch ini bakal dipadankan dengan enjin baharu pengecas turbo berkapasiti 1.4 liter BoosterJet empat-silinder dengan terjahan kuasa 138 hp dan tork 220 Nm yang sama dengan model Vitara S. Ia bagi menggantikan penjana kuasa 1.6 liter naturally-aspirated sebelum ini. Ia membolehkan nisbah kuasa-ke-berat pada 159 hp per tan, yang mengatasi model Toyota 86 dengan kuasa 197 hp bagi perolehan nisbah 158 hp per tan.

    Swift Sport baharu ini dijangka akan hadir dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan CVT seperti sebelum ini, bersama penggayaan yang lebih agresif termasuk gril hadapan yang lebih besar, bersambung dengan corong udara, peresap belakang dengan corong ekzos berkembar serta kekemasan merah untuk ruang dalaman. Rekaan luaran dan dalamannya telah pun bocor dari persidangan pengedar di Perancis lebih setahun yang lalu.

    GALERI: Suzuki Swift baharu

     
     
  • Enjin baharu F1 menjelang 2018 – bukan sekadar akan dijadikan lebih berkuasa, bunyi juga diambil penting

    Enjin baharu F1 menjelang 2018 – bukan sekadar akan dijadikan lebih berkuasa, bunyi juga diambil penting

    Satu perjumpaan rasmi diadakan di ibu pejabat International Automobile Federation (FIA) di Paris, Perancis, menemukan wakil FIA dengan pembekal unit kuasa, pengeluar automotif dan pemegang hak komersial baru Formula One, Liberty Media untuk menilai semula hala tuju berkenaan enjin F1 pada masa hadapan.

    Laporan yang dikeluarkan oleh sebuah laman web Jerman, Spox mengatakan bahawa Audi juga menyertai perjumpaan ini. Ia berakhir dengan semua yang hadir setuju bahawa F1 perlu diteruskan sebagai platform penting untuk teknologi sukan permotoran, serta ‘makmal’ untuk membangunkan inovasi yang berkait dengan kereta atas jalan biasa.

    Fokus perjumpaan ini kemudiannya beralih kepada meningkatkan kuasa bagi enjin generasi baru yang akan digunakan, sambil memerhati kepada pengurangan kos dan kesukarannya. Bunyi – iaitu aspek penting bagi penonton F1 – juga dikata akan mendapat peningkatan dengan penggunaan enjin baru ini.

    Enjin baharu F1 menjelang 2018 – bukan sekadar akan dijadikan lebih berkuasa, bunyi juga diambil penting

    “Pastinya, kami masih perlu berbincang perincian tepat bagaimana keadaan sebenar enjin bagi tahun 2021 nanti – tetapi kami telah bermula dengan betul, dan saya tidak sabar untuk melalui proses ini, demi mendapatkan keputusan yang terbaik bagi Formula One di masa hadapan,” kata presiden FIA, Jean Todt.

    Perhatian yang lebih sepatutnya diberikan kepada bunyi untuk enjin F1 generasi baru ini, kata ketua bahagian sukan permotoran Mercedes-AMG, Toto Wolff. “Jika kita dapat menggabungkan teknologi yang bagus dan berpatutan dengan kuasa yang tinggi dan bunyi yang bagus, ia pastinya akan berjaya.”

    Pada masa ini, siri perlumbaan F1 menggunakan enjin hibrid 1.6 liter turbo petrol-elektrik dan ia akan digunakan sehingga penghujung musim tahun 2020. Sejak enjin ini mula digunakan, ramai penonton yang mengatakan bahawa bunyinya tidak begitu menarik seperti sebelumnya.

     
     
  • Mercedes-Benz A200 kini RM3k lebih mahal – RM209k

    Mercedes-Benz A200 kini RM3k lebih mahal – RM209k

    Mungkin ini khabar yang kurang menggembirakan buat anda yang merancang untuk membeli Mercedes-Benz A 200 AMG Line. Kini ia RM3,000 lebih mahal, dengan harga atas jalan RM208,888 tanpa insurans. Walau bagaimana pun, harga bagi dua lagi model iaitu A 180 Urban Line dan A 250 AMG Line, tiada perubahan iaitu masih kekal masing-masing RM195,888 dan RM238,888.

    Untuk kos tambahan ini, anda akan menerima spesifikasi dan elemen yang sama seperti sebelum ini,termasuk lampu utama Prestasi Tinggi LED, bampar sporty dan skirt sisi AMG Line, gril berlian dengan pin krom, aloi pelbagai-jejari AMG 18-inci dan suspensi sport yang keras dengan merendahkan ketinggiannya sebanyak 15 mm.

    Di dalamnya, ia ditampilkan dengan roa stereng AMG, kekemasan papan pembuka dengan gentian karbon tiruan, kulit tiruan Artico dan upholsteri gentian mikro Dinamica bersama jahitan merah dan pedal aloi. Kit standard termasuk tempat duduk hadapan berkuasa boleh laras dengan memori, pendingin hawa manual, Bantuan Parkir Aktif, kamera undur, pemilih mod pemanduan Dynamic Select dan asas sistem infotainmen Audio 20 Cd dengan Paparan media lapan-inci.

    Kuasa disalurkan dari enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan tork 250 Nm dari 1,250 hingga 4,000 rpm. Pemacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Semak spesifikasi dan elemen penuh untuk barisan Mercedes-Benz Class, lihat tawaran menarik bagi kereta baharu menerusi CarBase.my.

     
     
  • Peugeot 308 facelift – hanya perubahan ringkas diberi

    Peugeot 308 facelift – hanya perubahan ringkas diberi

    Anda nampak gambar ini hanya seperti Peugeot 308 GT Line yang ada sekarang? Sebenarnya, ini adalah apa yang dikatakan sebagai Peugeot 308 facelift 2018, dan terdapat sedikit perubahan padanya. Jika betullah perkara itu, ini akan menjadi facelift yang paling ringkas pernah diberi pada model tersebut.

    Jika dibandingkan dengan 308 GT Line yang ada sekarang, kereta ini ada beberapa rekaan yang berbeza, seperti bahagian dalam grilnya yang berwarna krom – sebelum ini rekaannya seperti sarang telur tapi kini kotak-kotak. Profail bampar juga diubah, dan corong udara di tepinya lebih besar dan jelas. Setelah diperhatikan juga, penampilan baru ini lebih menyerupai Peugeot 308 sedan yang diperkenalkan untuk pasaran China tahun lepas.

    Peugeot 308 facelift – hanya perubahan ringkas diberi

    Rim 18 inci yang digunakan kelihatan sama seperti sebelum ini, tetapi lampu siang LED padanya ditukar daripada yang menyala dengan bintik-bintik kepada garisan tidak putus. Kami tidak dapat melihat dengan jelas bahagian bawah bampar, tetapi pada bahagian belakang seperti tiada perubahan dengan lampunya masih lagi menggunakan unit LED bentuk ‘cakaran’ yang sudah menjadi tanda unik jenama itu.

    Bahagian dalam juga seperti tidak berubah, di mana panel instrumen dan susun atur keseluruhannya masih lagi sama. Pada bahagian tengah papan pemuka, terdapat skrin sesentuh yang dominan manakala sterengnya menggunakan unit yang rata di bahagian bawahnya.

     
     
  • Penjualan 51% ekuiti Proton kepada rakan strategik asing tidak akan beri kesan buruk – Kem. Kewangan

    Penjualan 51% ekuiti Proton kepada rakan strategik asing tidak akan beri kesan buruk – Kem. Kewangan

    Keputusan DRB-Hicom untuk mencarikan rakan strategik asing (FSP) bagi Proton turut menerima pelbagai anggapan negatif dari segelintir rakyat Malaysia. Termasuk ada yang menganggap langkah tersebut adalah bagi menggadai syarikat Malaysia kepada negara asing.

    Hari ini, di Dewan Rakyat, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan membuat kenyataan bertulis, menjangkakan penjualan 51% ekuiti Proton ini tidak mendatangkan sebarang kesan buruk.

    Menurut laporan Bernama, kenyataan tersebut menyebut usaha sama dengan rakan kongsi strategik mampu meningkatkan keupayaan Proton untuk menghasilkan pelbagai kenderaan dengan harga yang kompetitif dan berteknologi terkini.

    Katanya lagi, pengeluaran produk baharu hasil daripada perkongsian strategik dijangka akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran kilang.

    Penjualan 51% ekuiti Proton kepada rakan strategik asing tidak akan beri kesan buruk – Kem. Kewangan

    Secara keseluruhannya, dengan peningkatan jumlah pengeluaran kenderaan dan komponen tempatan, perkongsian ini akan memberikan skala ekonomi dan model perniagaan yang lebih berdaya maju kepada Proton, pembekal dan wakil pengedar di Malaysia.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian terbabit adalah bagi menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-PJ Selatan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan akibat yang lebih buruk terhadap Proton selepas kesanggupan kerajaan membenarkan pegangan ekuiti 51 peratus kepada pengusaha otomobil negara asing terutama dari negara China.

    Kementerian Kewangan turut menyatakan DRB-Hicom selaku pemegang saham tunggal Proton, kini dalam proses penilaian akhir ke atas bidaan yang diterima bagi memastikan pertimbangan sepenuhnya.

    Ia juga dianggap mampu memberikan manfaat yang menyeluruh serta dapat diperoleh oleh semua pihak yang berkepentingan, termasuklah pemegang saham, pekerja, rangkaian pembekal dan pengedar serta pengguna dan rakyat Malaysia amnya.

     
     
  • India haramkan terus penjualan kenderaan yang diberikan penarafan standard emisi Euro 3 ke bawah

    India haramkan terus penjualan kenderaan yang diberikan penarafan standard emisi Euro 3 ke bawah

    Mahkamah Tinggi India telah mengharamkan terus penjualan kenderaan yang hanya menerima penarafan standard emisi Bharat Stage (BS) 3 di negara berkenaan, yang sama dengan standard emisi Euro 3 pada kenderaan Eropah keluaran antara 2000 hingga 2005.

    Laporan Reuters menyebut, mahkamah berkenaan, dalam penghakimannya yang telahpun berkuatkuasa sejak 1 April, menyatakan tahap kesihatan rakyat lebih diutamakan berbanding kerugian yang akan dialami oleh mana-mana syarikat.

    Pada tahun 2015, India telah mengumumkan bahawa pembuat kenderaan perlu menghasilkan kenderaan yang memenuhi standard emisi Euro-4 bermula 1 April 2017, kerana ia bakal mengurangkan kadar pencemaran. Walau bagaimanapun, pada waktu itu, ia tidak menyatakan bahawa larangan untuk penjualan kenderaan dengan standard emisi Euro 3 akan dikuatkuasakan pada hari yang sama. Buat masa sekarang, kenderaan yang memenuhi standard BS 4 (atau Euro 4) telah pun dijual pada negeri-negeri terpilih di India.

    Langkah yang tidak dijangka diambil oleh India ini telah menyebabkan banyak saham pengeluar kenderaan utama di negara berkenaan jatuh. Saham pengeluar motosikal Hero MotoCorp telah jatuh sebanyak 4.4%, saham pengeluar trak Ashok Leyland jatuh 6.6%, manakala untuk Tata Motors pula jatuh hampir 2%.

    Kejatuhan berkenaan adalah kerana lambakan stok yang banyak banyak dan tidak lagi boleh dijual, di mana firma broker dari Mumbai – Angel Broking mendakwa lebih dari 800,000 kenderaan BS 3 terjejas, bernilai lebih dari 120 bilion rupee (RM8,188,419,450). “Berberapa hari sebelum tarikh akhir, mereka kata anda tidak lagi boleh jual. Saya tidak rasa inventori sebanyak ini boleh dijual dalam masa berberapa hari selepasnya,” kata Vinod Dasari, Presiden Persatuan Pengeluar Automobil India (SIAM) dan juga pengarah urusan Ashok Leyland.

    Untuk pengetahuan anda, kereta penumpang di Malaysia setakat ini hanya disyaratkan untuk melepasi standard emisi Euro 2 sahaja.

     
     
  • Brabus Rocket 900 – Maybach dengan tork 1,500 Nm

    Brabus Rocket 900 – Maybach dengan tork 1,500 Nm

    Maybach juga tidak terlepas daripada sentuhan Brabus, seperti yang boleh dilihat pada model ini, yang digelar sebagai Brabus Rocket 900. Ia diasaskan daripada model limosin Mercedes-Maybach S 600, iaitu sebuah model yang terletak lebih tinggi daripada S-Class biasa.

    Mercedes-Maybach S 600 datang daripada kilang dengan enjin V12 6.0 liter twin turbo, dan berkupayaan 530 hp dan 830 Nm tork. Apabila sudah ‘disentuh’ oleh Brabus, kuasanya dinaikkan menjadi 900 hp dan 1,500 Nm tork. Jumlah yang tinggi ini membolehkan Brabus Rocket 900 memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 3.7 saat sahaja, meskipun ia adalah sebuah limosin dengan berat 2.8 tan. Laju maksimumnya pula boleh mencecah lebih 350 km/j dan meternya mempunyai takat sehingg 400 km/j.

    Untuk mencapai jumlah yang tinggi ini, Brabus meningkatkan kapasiti enjin kereta ini dari 6.0 kepada 6.3 liter dan ia dipasang dengan crankshaft billet khas dengan stroke yang lebih panjang, silinder lebih besar, piston forged berpadanan dan penyambung rod yang diimbang secara tepat.

    Bahagian enjin lain turut dipertingkat, melibatkan turbin turbo serta pemampat lebih besar, bersama manifold ekzos khas. Untuk sistem ekzos, terdapat down pipe berdiameter 80 mm, free flow metal catalyst dan sistem ekzos stainless steel dengan injap aktif secara terkawal.

    Brabus Rocket 900 – Maybach dengan tork 1,500 Nm

    Pada bahagian kemasukan udara pula, modul salur karbon – yang mengambil udara melalui saluran di hud hadapan dan gril baru – digunakan. Intake manifold baru pada kenderaan ini termasuk kotak udara lebih besar, penapis udara khas dan pelindung “Gold Heat Reflection” untuk mengurangkan suhu. Walaupun dengan ubah suai ini, Brabus Rocket 900 masih lagi menepati tahap Euro 6 kerana diberikan pemetaan yang bersesuaian.

    Perubahan luar pada kenderaan ini menggunakan elemen biasa pada kenderaan Brabus – komponen aerodinamik, rekaan gri baru dan rim 21 inci “Platinum Edition” Brabus Monoblock. Orang ramai juga boleh mendapatkan rim Monoblok G 22 inci untuk kenderaan empat tempat duduk ini. Melalui penggunaan suspensi udara Magic Body Control, kedudukan Brabus Rocket 900 dapat direndahkan sebanyak 25 mm.

    Pada bahagian dalam, pilihan yang diberi lebih meluas, di mana pemilik boleh memilih pelbagai warna pada bahan kulit, Alcantara, kemasan kayu serta karbon yang disediakan. Lebih menarik lagi, konsep ‘in-car business‘ yang diketengahkan berpusat pada komputer tablet Microsoft Surface yang ada. Dua unit tablet ini disimpan dan boleh dicas secara selamat dan terlindung daripada pandangan apabila berada di konsol tengah antara dua tempat duduk di belakang.

    Brabus Rocket 900 boleh ditempah sebagai sebuah kenderaan yang lengkap, tetai bagi yang sudah memiliki Mercedes-Maybach S 600, mereka boleh menaik taraf kenderaan mereka sama seperti kenderaan ini.

     
     
  • Laluan khas BRT KL-Klang akan mula dibina tahun ini

    Laluan khas BRT KL-Klang akan mula dibina tahun ini

    Pembinaan laluan Bus Rapid Transit (BRT) dari Kuala Lumpur ke Klang yang pernah dicadangkan sebelum ini akhirnya berkemungkinan akan dimulakan tahun ini.

    Setelah diluluskan oleh kerajaan negari pada April 2014, laluan khusus untuk bas sepanjang 34.3 km dengan cadangan 25 buah stesen itu terpaksa ditangguh oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akibat kekangan bperbelanjaan, seperti dilaporkan The Star.

    Ini antara perkara yang dibangkitkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini. Fasa pertama projek berkenaan sepatutnya dimulakan pada November 2014 hingga April 2016, melibatkan laluan dari Pasar Seni di Kuala Lumpur hingga ke Subang Jaya, sebelum tol Batu Tiga.

    Fasa dua pula sepatutnya dijalankan dalam masa yang hampir sama, iaitu dari Jun 2015 hingga Disember 2016, melibatkan laluan dari tol Batu Tiga hingga ke Bandar Klang.

    “Matlamat projek ini adalah untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang, sekaligus untuk menawarkan tahap perkhidmatan aam yang lebih cekap dan bersepadu dengan rangkaian pengangkutan yang lain,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

    Beliau turut menambah, laluan itu akan melalui lima kawasan utama yang mempunyai kepadatan penduduk dan trafik yang tinggi – Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. BRT dirancang mempunyai tiga laluan utama; Jalan Tun Sambanthan, Jalan Syed Putra dan Lebuhraya Persekutuan. Jaringan ini akan dapat menghubungkan Klan dan Kuala Lumpur.

    Ia juga akan menghubugkan capaian yang lebih mudah kepada perkhidmatan bas dan keretapi lain, dan akan memanfaatkan sejumlah 1.9 juta orang. Kadar penumpang dijangkakan melebihi 400,000 orang. Pembinaan laluan BRT ini akan dilakukan berdasarkan jalur dan jalan sedia ada.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025