Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pusat servis Mercedes-Benz Cycle & Carriage Bintang kembali dibuka untuk yang telah membuat temu janji

    Pusat servis Mercedes-Benz Cycle & Carriage Bintang kembali dibuka untuk yang telah membuat temu janji

    Pengedar kenderaan Mercedes-Benz di Malaysia iaitu Cycle & Carriage Bintang (CCB) telah mengumumkan pusat servis mereka kembali beroperasi dari 22 April, mungkin setelah mendapat kelulusan daripada kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (MITI).

    Walaubagaimanapun, syarikat itu memberitahu bahawa pusat servis hanya akan menerima pelanggan yang telah membuat temu janji lebih awal dan ia boleh dilakukan dengan menghubungi nombor 03-78661100 atau menghantar Wahtsapp menggunakan pautan ini.

    Di kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, pusat servis CCB terletak di Petaling Jaya, Mutiara Damansara, Glenmarie, Batu Caves dan Cheras manakala di kawasan utara terdapat pusat servis di Ipoh, Georgetown, Bukit Tengah, Alor Setar dan Gopeng. Satu lagi pusat servis CCB adalah di Johor Bahru.

    Selain untuk memastikan pusat servis ini bersedia untuk menerima kunjungan anda, tempahan awal juga penting untuk memastikan jumlah pelanggan yang terhad serta penjarakan sosial bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

     
     
  • Proton terima tempahan dalam talian dengan bayaran serendah RM9.99 – nikmati rebat sehingga RM800

    Proton terima tempahan dalam talian dengan bayaran serendah RM9.99 – nikmati rebat sehingga RM800

    Proton kini menerima tempahan menerusi dalam talian untuk kesemua modelnya, termasuk X70, Saga, Iriz, Persona dan Exora. Inisiatif ini diambil bagi memastikan pelanggannya masih dapat menempah mana-mana model Proton yang dihajati walau pun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan semua bilik pameran terpaksa ditutup sejak 18 Mac lalu.

    Untuk membuat tempahan, anda perlu melayari laman web rasmi Proton dan memilih mana-mana model yang ingin dimiliki. Kemudian isi butiran diri anda, pilih varian dan buat pembayaran tempahan, kemudian resit akan dihantar menerusi e-mel anda.

    Proton terima tempahan dalam talian dengan bayaran serendah RM9.99 – nikmati rebat sehingga RM800

    Selepas itu, penasihat jualan akan menghubungi anda dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja bermula dari tarikh resit penerimaan pembayaran tempahan diterima. Bayaran tempahan bagi Saga, Iriz, Persona dan Exora hanyalah RM9.90, manakala RM99 bagi X70 – pembayaran boleh dibuat sama ada menerusi transaksi kad kredit atau debit.

    Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada hujung Mei ini, Proton turut menawarkan rebat ‘duit raya’ sehingga RM800 untuk tempahan yang dibuat menerusi dalam talian. Untuk Saga, ia ditawarkan dengan rebat sebanyak RM288, sementara Persona pula RM588, RM688 untuk Iriz dan RM800 bagi Exora.

     
     
  • Keputusan untuk sambung PKP atau tidak masih belum dibuat oleh KKM – Dr. Noor Hisham

    Keputusan untuk sambung PKP atau tidak masih belum dibuat oleh KKM – Dr. Noor Hisham

    Hari ini masuk hari keempat berturut-turut jangkitan baru harian Covid-19 mencatatkan jumlah tidak mencapai angka 100 kes. Dengan penurunan jangkitan yang drastik ini, adakah tiada lagi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat setelah tempoh PKP fasa tiga berakhir 28 April ini?

    Menurut ‘Jeneral Perang Covid-19’ kita iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya petang tadi, tiada sebarang jaminan dapat diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada PKP tersebut bakal ditamatkan pada 28 April ini atau akan dilanjutkan lagi, lapor Astro Awani.

    Ini kerana menurut beliau, langkah pencegahan seperti penjarakan sosial masih perlu dilaksanakan sekiranya PKP ditamatkan. “Belum pasti PKP tamat atau dilanjutkan. Yang pasti kita perlu elakkan perhimpunan. Contohnya, kita ada pelajar-pelajar universiti, mereka ingin kembali. Kita kena pastikan tiada kesesakan berlaku di stesen sebagainya. Itu yang penting.

    Keputusan untuk sambung PKP atau tidak masih belum dibuat oleh KKM – Dr. Noor Hisham

    “Juga, kita pastikan amalkan penjarakan sosial antara satu individu dengan individu lain. Kerap mencuci tangan dan sebagainya,” jelasnnya. Tambah beliau lagi, ketika ini pihaknya masih memantau data harian dan belum membuat keputusan sama ada PKP akan disambung atau tidak.

    Dalam masa yang sama, Dr, Noor Hisham turut memaklumkan enam langkah atau strategi keluar PKP seperti yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini iaitu: Penularan COVID-19 adalah pada tahap rendah atau tanpa transmisi; Keupayaan sistem kesihatan dan kesihatan awam untuk kesan, uji mengasingkan/kuarantin setiap kes dan mengesan setiap kontak; Zon merah atau kawasan panas risiko jangkitan dikurangkan sama sekali atau dihapuskan; Langkah-langkah pencegahan seperti amalan penjarakan sosial dan mencuci tangan diteruskan dan dijadikan norma baru; Mengurangkan risiko kes jangkitan yang diimport dari luar negara, kawalan sempadan; Seluruh masyarakat terlibat sepenuhnya memahami dan memperkasa kehidupan seharian di bawah keadaan normal baharu. ?

     
     
  • PKP: Penulis hasilkan replika skala kecil kereta sendiri

    PKP: Penulis hasilkan replika skala kecil kereta sendiri

    Antara semua penulis dalam team paultan.org Bahasa Melayu, rasanya saya yang paling banyak menulis hal-hal berkenaan mainan. Sebabnya, walaupun umur dah tua bangka, saya masih lagi tidak boleh berpisah dengan mainan. Bukan kerana bersifat budak-budak, tetapi dalam usia begini seperti kebanyakkan lelaki lain, kami mula ‘membalas dendam’ apa yang yang kami tidak dapat ketika zaman kanak-kanak dahulu.

    Membina model kit kereta adalah salah satu minat sejak dari kecil dahulu. Namun disebabkan kekangan kewangan, hobi ini seolah-olah kenangan kanak-kanak yang tidak sempurna. Sepanjang ingatan penulis, hanya tiga model kit yang diperolehi penulis sepanjang usia sekolah rendah hingga sekolah menengah iaitu Lexus LS400, BMW Z3 dan juga Toyota Supra MA70 – ada yang berjaya diperolehi hasil memujuk orang tua, ada juga yang dibeli dengan mengumpul wang belanja harian sekolah.

    Jadi setelah tamat belajar mula bekerja, hobi ini saya mulakan kembali dengan membeli lebih banyak kit. Ketika bujang dahulu, masa bukan menjadi masalah untuk menyiapkan satu-satu kit. Namun setelah berkahwin, penulis masih membeli kit-kit yang diinginkan, tetapi sukar untuk menyiapkan satu-satu projek kerana waktu perlu lebih banyak dibahagi untuk menguruskan keluarga.

    Volvo 240 GL sebenar milik penulis

    Namun seperti yang kita semua tahu, pandemik Covid-19 telah memaksa semua orang di dunia ini memperlahankan rentak kehidupan mereka. Ya, penulis masih bekerja seperti biasa di rumah, tetapi aktiviti luar lain yang biasanya dibuat pada waktu malam dan hujung minggu tidak dapat berjalan seperti biasa. Rutin saya untuk ke rumah ibu bapa setiap dua minggu juga terbantut kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diwartakan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Coronavirus berkenaan.

    Jadi dengan tiada ajakan dari isteri untuk pergi ‘tengok tudung’ atau ‘tengok baju budak’ di pusat membeli-belah, atau anak-anak yang mengajak untuk ke restoran makanan segera dan ke taman-taman permainan, penulis secara tiba-tiba mempunyai begitu banyak masa yang boleh diluangkan di rumah. Dengan kesempatan ini, membolehkan penulis memulakan ‘projek-projek’ yang telah dirancang sebelum ini.

    Antaranya adalah untuk menghasilkan replika kereta Volvo 240 penulis sendiri, menggunakan asas dari kit kereta lumba Volvo 240 Turbo Group A keluaran jenama model kit dari Macau iaitu Beemax. Kit ini sebenarnya telah saya beli hampir dua tahun lalu, dan seperti penulis katakan tadi, kekangan masa membuatkan projek ini tertunda begitu lama.

    Dan untuk menjadikan ia replika kepada kereta sebenar saya juga bukanlah mudah, kerana kit kereta lumba ini adalah dari model dua pintu, sedangkan kereta penulis adalah dari versi empat pintu. Mujur, jarak roda kedua-dua model ini adalah sama, jadi ubahasuai yang perlu dilakukan hanyalah untuk mengubah kedudukan tiang-B dengan memotong badan model ini, serta membuat tiang-C baharu untuk pintu belakang.

    Satu lagi cabaran dalam menghasilkan replika ini – oleh kerana ia adalah kit kereta lumba tanpa kemasan dalam yang lengkap, saya perlu melengkapkan semula tempat duduk belakang, karpet kaki dan konsol terowong dengan tuil brek tangan. Mujur juga penulis berjaya mendapatkan aksesori yang sama dengan dengan kereta sebenar saya iaitu sepasang tempat duduk Recaro ‘Fishnet’ dan juga roda stereng Nardi Classico.

    Selesai semua, badan model ini saya cat dengan warna sama dengan kereta sebenar iaitu merah-hitam, dan untuk melengkapkannya, satu set rim Work Meister berwarna emas dipadankan pada Volvo 240 dalam skala 1/24 ini.

    Sebenarnya, sepanjang tempoh empat minggu PKP ini, saya telah berjaya menyiapkan empat model kit termasuk Volvo ini – ya, lebih kurang satu kit untuk satu minggu. Tiga kit lain yang telah disiapkan adalah Datsun Fairlady Roadster SR311, Mitsubishi Lancer EX Turbo A176 RAC Rally 1984 dan juga jentera yang Tommi Makinnen gunakan ketika memenangi Rally Sweden 1995 iaitu Mitsubishi Lancer Evolution III.

    Hobi saya ini bukan tertumpu hanya pada untuk membina model kit, saya juga telah mengembangkannya dalam menghasilkan versi-versi custom dari model diecast skala 1/64 seperti HotWheels, Majorette, Matchbox dan lain-lain.

    Berminat tapi susah nak mulakan hobi ini kerana sukar nak cari bahan? Kalau anda rajin untuk ‘menelaah’ aplikasi beli-belah secara atas talian, sebenarnya masih lagi banyak kedai-kedai hobi yang beroperasi menggunakan khidmat pos dalam tempoh PKP ini. Untuk cat pula, terus terang, saya tak pernah menggunakan air brush atau cat gred hobi, dan semua model yang saya buat ini menggunakan cat tin aerosol industri biasa yang hanya dibeli di kedai hardware.

    Hasilnya tidaklah cantik mana, tapi boleh la nak puaskan hati sendiri. Bukan nak masuk pertandingan atau ambil upah buat untuk orang lain pun kan?

    Anda ada hobi unik berkaitan automotif yang boleh diketengahkan dalam musim PKP ini? Jangan segan untuk kongsikannya kepada kami menerusi email [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

     
     
  • Proton Edar mungkin dijual kepada EON — laporan

    Proton Edar mungkin dijual kepada EON — laporan

    Masih ingat EON? Edaran Otomobil Nasional (EON) ini dulunya tidak asing lagi dengan Proton sebagai cabang pengedaran dan jualan kenderaan syarikat itu. Kurang lebih macam Auto Bavaria untuk BMW, dan Cycle & Carriage untuk Mercedes-Benz. Kini, ada laporan yang mendakwa EON akan kembali untuk menjual kereta-kereta Proton.

    Menurut laporan The Edge, Proton mungkin melalui penstrukturan semula yang akan menyaksikan pemisahan antara bahagian pengeluaran kenderaan dengan bahagian jualannya. Menurut laporan itu, Proton ada rancangan untuk menjual cadang pengedaran miliknya, Proton Edar, kepada EON dan rangkaian pengedaran selebihnya kepada pihak lain secara menyeluruh.

    “Sebagai contoh, jika EON tidak berminat untuk mengendalikan jualan di Sabah dan Sarawak, maka Proton akan mencari pihak lain untuk mengambil alih perniagaan itu. Tetapi keutamaan akan diberikan terhadap EON terlebih dahulu,” ujar sumber kepada laporan itu. Turut dinyatakan, pihak yang berminat untuk mengambil alih perniagaan itu sekiranya ada bahagian yang EON tidak berminat, sudah dikenal pasti. Sumber yang sama juga menambah, langkah ini akan disempurnakan dengan mudah memandangkan EON adalah milik sepenuhnya DRB-Hicom, yang memiliki pegangan sebanyak 50.1% dalam Proton.

    Menurut The Edge, pemeriksaan CTOS menunjukkan bagi tahun kewangan berakhir Mac 2019, Proton Edar mencatatkan kerugian selepas cukai bernilai RM159.24 juta di sebalik pendapatan yang berjaya diraih bernilai RM3.85 bilion. Pada tahun fiskal sebelumnya, syarikat itu rugi sebanyak RM271.52 juta disebalik meraih RM3.3 bilion.

    Proton Edar mungkin dijual kepada EON — laporan

    Selain itu, Proton Edar juga mempunyai kerugian terkumpul sebanyak RM289.92 juta pada hujung Mac 2019, RM1.02 bilion kerugian dalam aset keseluruhan dan RM1.29 bilin dalam liabiliti keseluruhan. Bagaimanapun, oleh kerana jualan menggalakkan model X70, semua itu hanya akan terlihat di dalam laporan bagi tempoh hujung Mac 2020.

    Jualan Proton memang semakin meningkat. Tahun lalu, Proton menduduki tangga kedua berbanding kedudukan keempat pada 2018 dari segi jualan di Malaysia. Itu satu-satunya perubahan kedudukan yang disaksikan bagi tempat 10 jenama teratas. Jumlah jualan 2019 juga sangat meyakinkan, dengan 100,183 unit terjual – itu pertambahan 35,439 unit berbanding 2018, atau peratusan peningkatan yang sangat besar pada 54.7%. Semua itu merupakan jualan setahun penuh bagi X70 dan juga model lain (Persona, Iriz, Exora, Saga), dan akan diperlihatkan dalam laporan kewangan tahunan berakhir Mac 2020.

    Sebelum suasana ekonomi menguncup dan penularan Covid-19, Proton mengeluarkan sasaran jualan tahunan 32% lebih tinggi untuk tahun ini, dijangka akan didorong oleh jualan model X70 CKD dan juga X50 yang bakal tiba. Nampaknya, angka ini perlu dinilai semula selepas ini.

    EON ditubuhkan pada 1984 untuk mengedarkan kenderaan Proton, tetapi selepas berlaku perselisihan dengan pengurusan Proton, jenama itu menubuhkan pula Proton Edar dan menjadikan EON berstatus super dealer. Pada 2009, EON dan Proton Edar menandatangani perjanjian pengedaran, yang membawa kepada penyerapan cawangan EON ke dalam Proton Edar.

     
     
  • PKP: Waktu operasi Jab. Imigresen Malaysia di Tambak Johor hanya 7 pagi-7 malam mulai 24 April ini

    PKP: Waktu operasi Jab. Imigresen Malaysia di Tambak Johor hanya 7 pagi-7 malam mulai 24 April ini

    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan waktu operasi Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan di Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor akan dihadkan kepada 7 pagi hingga 7 malam mulai Jumaat ini, 24 April 2020.

    Walau bagaimana pun, katanya, rakyat Malaysia dari Singapura boleh menggunakan pintu masuk ke dalam negara melalui Kompleks Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua yang akan terus beroperasi 24 jam, seperti biasa.

    “Maka jika ada kecemasan, ada keperluan rakyat kita untuk pulang ke Malaysia selepas waktu Tambak Johor (Bangunan Sultan Iskandar) ditutup, mereka boleh guna Link Kedua untuk pulang, jika ada kecemasan seperti kematian dan sebagainya.

    “Di Link Kedua, kenderaan komersial boleh bergerak seperti biasa,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama. Sementara itu, Ismail Sabri berkata berdasarkan laporan Jabatan Imigresen Malaysia, tiada kemasukan besar-besaran yang melibatkan kepulangan rakyat Malaysia dari Singapura dan purata kemasukan setakat empat hari lepas ialah 400 orang sehari.

    Namun demikian, ini bukan bermakna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rakyat Malaysia boleh keluar masuk ke Singapura sesuka hati. Hanya yang ada keperluan termasuk hal kecemasan sahaja dibenarkan untuk memasuki Malaysia.

     
     
  • Audi bakal buka balik kilang di Eropah hujung April ini

    Audi bakal buka balik kilang di Eropah hujung April ini

    Audi mengesahkan kilang pembuatannya di Eropah akan kembali beroperasi pada hujung Aprl ini, dan kini sedang mengambil langkah awal untuk memperkenalkan langkah berjaga-jaga bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pekerjanya.

    Pengerusi majlis pekerja am, Peter Mosch berkata, “Ia (pembukaan semula operasi) akan disertakan dengan pakej langkah komprehensif bagi memastikan kesihatan pekerja dilindungi.” Ini termasuklah peraturan penjarakkan dan kebersihan, serta mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung.

    Bukan itu sahaja, ruang kerja kritikal juga telah dipasang penghadang fizikal. Sebagai contoh, pekerja di bahagian pemasangan pintu (seperti foto di bawah) selalunya berkedudukan rapat antara sama lain, walau bagaimana pun, kini pihak kilang telah memasang penghadang lut sinar yang diperbuat daripada kepingan plastik untuk melindungi mereka antara satu sama lain.

    Audi bakal buka balik kilang di Eropah hujung April ini

    Audi turut mendakwa telah pun membangunkan solusi bagi semua bahagian, termasuk ruang berkumpulan, pintu masuk kilang, ruang parkir dan trafik dalam kilang, serta katering dan restauran dalam kilang.

    Semua pekerja juga telah dimaklumkan mengenai perkara ini, dan akan menerima arahan keselamatan komprehensif daripada ketua masing-masing kelak. Bagi yang tidak terlibat dengan bahagia produksi, terus bekerja dari rumah.

    “Bahagian produksi kenderaan akan beroperasi semula akhir April ini jika mengikut perancangan asal. Manakala produksi enjin di Gyor telah pun bermula minggu ini. Bagi pekerja di kilang di Jerman yang dapat meneruskan pekerjaan mereka semula dengan peraturan waktu kerja singkat akan diteruskan buat masa itu,” ujar syarikat pengeluar tersebut dalam satu kenyataannya baru-baru ini.

     
     
  • Porsche jual 53,125 buah kenderaan sepanjang tiga bulan pertama 2020 – kurang 5% berbanding 2019

    Porsche jual 53,125 buah kenderaan sepanjang tiga bulan pertama 2020 – kurang 5% berbanding 2019

    Porsche telah mengumumkan jumlah jualan global bagi suku pertama tahun 2020, di mana mereka berjaya menjual 53,125 buah kenderaan. Jumlah ini bersamaan dengan penurunan cuma 5% berbanding tempoh sama pada tahun 2019, dengan China dan Amerika Syarikat terus menjadi pasaran paling kuat bagi jenama ini.

    Di China, Porsche menjual 14,098 buah kenderaan, menjadikan negara itu sebagai pasaran paling besar sepanjang suku pertama ini. Di Amerika Syarikat pula, 11,994 buah kenderaan berjaya dijual, diikuti oleh Jerman dengan 5,214 buah. Secara keseluruhan, 16,787 buah kenderaan yang dijual adalah untuk pasaran Eropah sementara 22,031 lagi dihantar ke Asia Pasifik, Afrika dan Timur Tengah.

    Model Porsche paling popular adalah SUV Cayenne, dengan keseluruhannya mencatat 18,417 buah, diikuti Macan 15,547 buah dan 911 8,482 buah – bersamaan peningkatan 16% berbanding tempoh sama pada tahun 2019 (model generasi 992 mendapat permintaan lebih baik). Taycan yang mula dijual pada tahun 2019 pula mencatat jumlah 1,391 buah.

    Porsche jual 53,125 buah kenderaan sepanjang tiga bulan pertama 2020 – kurang 5% berbanding 2019

    “Kami tidak bersendirian dalam merasakan kesan krisis coronavirus kepada penghantaran kami. Tetapi fokus kami sekarang adalah untuk berdiri sama dengan rakan kerja perniagaan di seluruh dunia. Dengan adanya kerjasama, kami boleh bertindak pantas dan mengambil langkah sewajarnya untuk pembangunan seterusnya,” kata ahli lembaga pengarah bahagian jualan dan pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen.

    “Selepas suku pertama yang mencabar ini, kami sekarang bersiap sedia untuk memulakan semula pengeluaran. Keutamaan kami sekarang sudah tentu adalah kesihatan pekerja, pekerja rakan runcit dan pelanggan. Kami yakin keadaan akan bertambah baik kerana kami sudah nampak pasaran China kembali pulih; hampir semua Porsche Center di sana telah dibuka,” tambah Detlev.

     
     
  • PKP: 185 orang didakwa semalam; kena hukuman penjara atau disaman — tindakan lebih serius fasa tiga

    PKP: 185 orang didakwa semalam; kena hukuman penjara atau disaman — tindakan lebih serius fasa tiga

    Setakat Isnin, 20 April 2020, seramai 185 orang telah didakwa di beberapa negeri atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor Bernama. Ini sekali gus menunjukkan, sepanjang fasa tiga PKP, tindakan yang diambil terhadap mereka yang ingkar juga semakin diperketat.

    Di Pahang misalnya, 14 orang telah didakwa di Mahkamah Majistret Raub, dengan enam daripada mereka termasuk seorang warga asing telah dikenakan saman RM700 atau 14 hari penjara kerana menggali emas di hutan simpan Kekal Tersang di Batu Talam pada 16 April lalu. Lapan lagi individu berusia antara 32 hingga 52 tahun disaman RM600 atau 10 hari penjara setiap seorang kerana didapati membuka gerai tepi jalan di Kampung Gali Tengah, pagi semalam.

    Di Kedah, 23 lelaki dikenakan hukuman tujuh hari penjara dan disaman RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani atas kesalahan melepak dan kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan antara 27 Mac hingga 13 April. Sementara itu, seorang pengarah syarikat kitar semula pula telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan saman RM1,000 kerana membenarkan dua pekerjanya berkerja ketika PKP.

    Di Terengganu, 27 lekaki didakwa di Mahkamah Kuala Terengganu. Antara kesnya ialah seorang lelaki yang disaman RM5,000 atau tiga bulan penjara kerana engguna seorang pegawai polis ketika ditahan di sebuah sekatan jalan raya. Antara alasan yang diberikan oleh lain-lain pesalah pula ialah ingin ke kelas mengaji, menghantar burger dan pergi membuang sampah.

    PKP: 185 orang didakwa semalam; kena hukuman penjara atau disaman — tindakan lebih serius fasa tiga

    Sementara itu di Pulau Pinang, 37 orang termasuk tiga wanita telah disaman RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Butterworth atas pelbagai kesalahan melanggar PKP. Di Selangor pula, 44 individu didakwa di dua mahkamah berasingan, termasuk 41 orang warga Myanmar yang terlibat dalam perayaan festival air di Bandar Baru Salak Tinggi ketika PKP, baru-baru ini. Mereka dikenakan saman RM1,000 atau penjara sebulan setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Sepang.

    Sementara itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, dua warga Indonesia dipenjara tiga bulan, sementara seorang warga tempatan disama RM800 atau penjara tiga bulan kerana berkeliaran tanpa sebarang alasan kukuh. Di Kuala Lumpur pula, 33 orang termasuk beberapa orang warga asing didakwa di tiga mahkamah atas kesalahan sama. Sebahagiannya disaman antara RM800 hingga RM2,000, dan beberapa lagi dipenjara antara enam hari hingga dua bulan.

     
     
  • Polis ekori pemuda beri alasan palsu ketika sekatan jalan PKP, temui pusat operasi judi atas talian

    Polis ekori pemuda beri alasan palsu ketika sekatan jalan PKP, temui pusat operasi judi atas talian

    Kerana menipu polis dengan memberikan alasan palsu telah menyebabkan seorang pemuda mungkin berhadapan hukuman lebih berat selain ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setelah polis berjaya menemui premis kedai judi dalam talian, tempat pemuda berkenaan bekerja, lapor Astro Awani.

    Kejadian tersebut berlaku di Alor Star malam tadi, setelah polis mengambil keputusan untuk mengekori ke mana pemuda berusia 22 tahun itu pergi, selepas mencurigai alasannya yang mengatakan bahawa dia menerima arahan untuk ke kedai telefon bimbit milik majikannya di Kuala Sungai yang telah disamun.

    Sebaik tiba, polis mendapati premis yang didakwa sebagai kedai telefon adalah kedai judi dalam talian dan selepas siasatan dia mengaku bekerja di situ.

    Walau bagaimanapun, laporan berita ini hanya menyebut bahawa Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan suspek ditahan kerana ingkar (PKP) dan akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

     
     
  • Harga minyak mentah di US merudum paling rendah dalam sejarah – negatif US$37.63, jatuh lebih 300%

    Harga minyak mentah di US merudum paling rendah dalam sejarah – negatif US$37.63, jatuh lebih 300%

    Industri minyak antarabangsa minggu ini menyaksikan satu perkembangan yang luar biasa; di Amerika Syarikat, harga minyak mentah bagi West Texas Intermediate (WTI) yang akan tamat pada Mei menyaksikan kejatuhan mendadak lebih 300% kepada negatif US$37.63 setong pada Isnin – ini harga paling rendah yang pernah direkodkan.

    Sementara itu, harga minyak mentah Brent, yang diguna-pakai oleh kebanyakan negara-negara pengeluar minyak sebagai penanda aras, menurun dengan margin yang ketara iaitu 8.9% kepada US$25.57 bagi setong. Kejatuhan harga ini adalah akibat kesan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

    Baru-baru ini, OPEC+, yang terdiri daripada OPEC, serta Rusia dan juga negara-negara pengeluar minyak lain telah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah global menjadi 9.7 juta tong sehari bermula Mei tetapi ini masih tidak cukup untuk menaikkan semula harga di pasaran.

    Di Amerika Syarikat, penurunan mendadak harga minyak mentah WTI adalah disebabkan hal teknikal, memandangkan kontrak penghantaran bagi bulan Mei tamat pada Selasa, 21 April 2020, yang menjadi hari terakhir pengeluar boleh meniagakan minyak yang dijadualkan penghantarannya bulan depan (Mei), ketika simpanan minyak bagi WTI dijangka menghampiri hadnya.

    Harga negatif bagi WTI Mei ini bermaksud ada beberapa pembeli bagi komoditi berkenaan dan pengeluarnya akan membayar peniaga untuk mengurangkan minyak dalam simpanan mereka. Bagaimanapun, ini tidak dicerminkan di dalam WTI bulan Jun, yang akan menjadi harga default minyak WTI bermula hari ini – yang berada lebih tinggi daripada US$20 setong pada Isnin.

     
     
  • Hyundai Veloster N 2020 – tampil dengan pilihan kotak gear DCT lapan-kelajuan baharu yang lebih pantas

    Hyundai Veloster N 2020 – tampil dengan pilihan kotak gear DCT lapan-kelajuan baharu yang lebih pantas

    Ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang ‘geram’ dengan jentera N Hyundai, tetapi tak berminat nak pijak pedal klac dan tolak tombol gear sendiri – Hyundai sudahpun mendedahkan versi kemaskini Veloster N 2020 untuk pasaran Korea, dan ia kini hadir dengan pilihan kotak gear klac berkembar automotik DCT 8-kelajuan baharu!

    Selain tidak perlu mengimbangi pedal klac secara manual, serta didakwa Hyundai akan memberikan pemanduan lebih seronok, selesa dan efisien, versi dengan kotak gear DCT ini juga sebenarnya lebih pantas – pecutan 0-100 km/j kini dicatatkan pada 5.6 saat, atau 0.5 saat lebih pantas dari versi kotak gear manual enam-kelajuan, walaupun enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem suntikan terus masih menghasilkan 275 hp/353 Nm.

    Dengan transmisi baharu ini juga, Veloster N menerima satu lagi mod iaitu N Grin Shift (NGS), yang bukan sahaja meningkatkan tahap responsif kotak gear tersebut, ia turut berhubung dengan fungsi overboost pada enjin yang memberikan tujahan tork sehingga 377 Nm dalam masa 20 saat apabila diperlukan.

    Hyundai Veloster N 2020 – tampil dengan pilihan kotak gear DCT lapan-kelajuan baharu yang lebih pantas

    Manakala dalam mod paling hardcore iaitu mod N, model dengan kotak gear automatik ini juga diberikan fungsi N Power Shift (NPS), yang akan memberikan tukaran naik gear berdasarkan kelajuan enjin, serta memberikan karekter penukaran yang lebih agresif.

    Kereta ini juga mampu untuk mengesan sekiranya ia dipandu di dalam litar berdasarkan pecutan dan brek lebih agresif yang diberikan pemandu. Jika ia dikesan, fungsi N Track Sense Shift (NTS) pula akan diaktifkan – ia akan menurunkan gear setiap kali kereta sedang nyah pecut, dan Hyundai mendakwa ia seperti tindakan seorang pelumba profesional serta mampu memberikan catatan waktu dalam litar lebih baik berbanding Veloster N manual.

    Walau bagaimanapun, penggunaan kotak gear lebih kompleks ini menyebabkan kereta berkenaan diberikan berat tambahan sebanyak 50 kg. Jadi, bagi memastikan keseimbangan beratnya masih dalam keadaan yang baik, Hyundai telah memberikan talaan suspensi termasuk spring, bump stop, penyerap hentak, bar anti-oleng dan larasan sudut camber isitimewa untuk Veloster N DCT ini.

    Selain itu, model kemaskini berkenaan turut diberikan pilihan tempat duduk bucket yang lebih 2 kg lebih ringan serta datang dengan balutan Alcantara dan lencana N yang menyala. Selepas ini, Veloster N 2020 turut akan diperkenalkan ke pasaran lain di luar Korea Selatan. Dan berkemungkinan, kotak gear sama turut akan ditawarkan pada model-model N lain seperti i30 N Hatchback dan i30 N Fastback kerana kedua-dua model ini masih menggunakan enjin yang sama.

     
     
  • TVS beli Norton, pengeluaran kekal di United Kingdom

    TVS beli Norton, pengeluaran kekal di United Kingdom

    Jenama motosikal terkemuka dari United Kingdom (UK), Norton Motorcycles sudah bergelut dengan masalah kewangan agak lama dan sekarang ia telah pun dibeli oleh salah satu syarikat pengeluar motosikal terbesar di India iaitu TVS Motorcycles dengan harga 16 juta pound sterling (RM87.41 juta).

    Laporan media di UK menyatakan individu yang dinamakan sebagai pengarah untuk Norton sekarang terdiri daripada K N Radhakrishnan, iaitu Presiden dan CEO TVS, serta Sharad Mohan Mishra yang juga adalah Presiden Strategi Kumpulan TVS Motor Company.

    Perancangan masa hadapan Norton di bawah pemilikan baru ini masih belum diumum namun dalam laporan carandbike.com, Pengarah Urusan Bersama TVS, Sudarshan Venu menyatakan bahawa fasiliti rekaan dan pemasangan Norton masih akan kekal di Donington Park tetapi di premis yang baru.

    “Kami akan mengambil alih semua pekerja kecuali beberapa sahaja, iaitu pengurusan lama. Pasukan rekaan dan pemasangan yang cukup kuat akan berada di bawah kami, dan kami akan menggunakan kekuatan mereka dan bekerjasama untuk menghasilkan lebih banyak motosikal jenama ini,” kata Sudarshan.

    Beliau juga memberitahu setakat ini tiada perancangan untuk menghasilkan motosikal Norton berkapasiti rendah, dan memberitahu antara fokus sekarang adalah untuk meneruskan legasi serta produk yang ada serta membina semula nama Norton sebagai jenama motosikal premium.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan keluarkan garis panduan untuk perkhidmatan penghantaran bermotosikal


    klik untuk besarkan

    Sepanjang tempoh kawalan pergerakan (PKP) ini, penghantaran bermotosikal adalah antara khidmat yang beroperasi aktif setiap hari bagi memudahkan orang ramai. Bagi memastikan mereka yang terlibat dalam industri ini serta orang ramai tidak terkesan dengan penyebaran wabak Covid-19, kementerian pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan garis panduan khas terutamanya untuk penghantar bermotosikal.

    Kebanyakan perkara yang dinyatakan dalam garis panduan ini adalah perkara asas yang sepatutnya sudah diketahui (seperti mempunyai lesen, insurans dan mematuhi peraturan jalan raya lain), tetapi ia boleh dirujuk semula dan diberikan perhatian supaya tidak timbul sebarang masalah. Ada 16 perkara yang dinyatakan dalam garis panduan ini tetapi kami nyatakan beberapa yang penting di sini.

    • Mementingkan soal kesihatan, mengamalkan penjarakan sosial, menggunakan transaksi tanpa sentuhan, memakai topeng muka dan menggunakan pembasmi kuman.
    • Menjalankan proses pembasmian kuman pada kotak penghantaran setiap hari mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).
    • Beri kerjasama sepenuhnya kepada KKM untuk mengesan hubungan sekiranya ada pekerja yang dijangkit Covid-19.
    • Penunggang tidak dibenarkan meneruskan khidmat sekiranya dijangkiti Covid-19 atau mempunyai simptom.
    • Dinasihatkan tidak menggunakan lebuh raya antara negeri untuk penghantaran lebih 10 km dan tidak memasuki zon merah.
    • Hanya boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan barangan yang dibawa tertakluk kepada zon yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
    • Sentiasa membawa surat pengesahan syarikat atau surat pendaftaran dengan PBT.
    • Diwajibkan muat turun dan mendaftar di aplikasi mySejahtera (mysejahtera.malaysia.gov.my) dan menunjukkan bukti pendafataran kepada pihak berkuasa.

    Sekiranya terdapat sebarang aduan atau pertanyaan, anda boleh menghubungi MOT melalui emel ke [email protected], WhatsApp ke 0192907723, hubungi talian hotline MOT di 1800887723 atau Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara di 0388882010.

     
     
  • Ford Mustang kekal kereta sport paling laris di dunia tahun ke-5 berturut-turut, sejak dieksport pada 2015

    Ford Mustang kekal kereta sport paling laris di dunia tahun ke-5 berturut-turut, sejak dieksport pada 2015

    Selepas diperkenalkan buat pertama kali diperkenalkan pada tahun 1964, Ford Mustang hanya memenuhi “American Dreams” kerana muscle car berkenaan hanya dibuat khas untuk pasaran negara Uncle Sam tersebut. Mustang terus digilai di pasaran berkenaan dan diiktiraf sebagai kereta sport paling laris di Amerika Syarikat selama 50-tahun.

    Namun, Ford mengambil keputusan untuk menghasilkan Mustang sebagai kereta sport global (turut dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan dan dieksport secara rasmi ke seluruh dunia) menerusi model generasi keenam pada tahun 2015, dan ia ternyata satu langkah yang tepat kerana Mustang berjaya menjadi kereta sport paling laris didunia sehingga kini – memegang takhta tersebut selama lima tahun berturut-turut!

    Menurut Ford, dari bermulanya eksport berkenaan pada tahun 2015 sehingga Disember 2019, sebanyak 633,000 unit Mustang telah berjaya dijual. Data pendaftaran kenderaan IHS Markit pula menunjukkan bahawa 102,090 Mustang telah terjual diseluruh dunia, dengan jualan di Jerman naik 33%, manakala jualan di Poland naik hampir 50%.

    Ford Mustang kekal kereta sport paling laris di dunia tahun ke-5 berturut-turut, sejak dieksport pada 2015

    Di Eropah secara keseluruhannya tahun lalu, sebanyak 9,900 unit Mustang telah berjaya dijual, atau naik 3% berbanding tempoh sama pada tahun 2018. Dari jumlah tersebut, 1,300 unit daripadanya telah dijual di UK. Setakat ini, model yang dikelaskan sebagai kereta sport coupe dua pintu (termasuk model convertible) oleh IHS Markit tersebut telah dijual di 146 negara seluruh dunia.

    “Kami bangga dapat meluaskan model-model Mustang dan varian prestasinya. Dari Sweden hingga Shanghai, semakin ramai mereka yang suka memandu menikmati rasa kebebasan dan jalan terbuka Amerika dengan Mustang baharu ini. Kami bangga kerana dapat memberikan khidmat kepada pemilik, dan peminat selama 56 tahun dan mendatang,” kata COO Ford, Jim Farley.

    Mustang ‘dilahirkan’ pada 17 April 1964. Jadi pada tahun 2020, ia bukan sahaja berbangga sebagai kereta sport paling laris di dunia untuk tahun kelima berturut-turut, Mustang juga meraikan ulangtahunnya yang ke-56.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025