Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz V-Class W447 2019 dapat enjin baru

    Mercedes-Benz V-Class W447 2019 dapat enjin baru

    Untuk 2019, MPV Mercedes-Benz V-Class diberikan facelift kecil dari segi penampilan. Selain itu ada juga penambahan kit keselamatan baru, dan lebih penting sebuah enjin diesel yang juga baru.

    Dari sudut keselamatan, V-Class ini datang dengan ciri Active Brake Assist (brek kecemasan automatik) dan Highbeam Assist Plus sebagai pilihan – kedua-duanya di”ambil” dari kenderaan penumpang Mercedes yang lain.

    Perubahan paling besar ialah enjinnya; menggunakan unit terbaru 2.0 liter OM 654 turbodiesel yang pertama kali diperkenalkan untuk W213 E-Class. Ini menggantikan enjin lama 2.2 liter OM 651. Model ini ditawarkan dalam versi V 250 dan V 300 – dengan output masing-masing 190 hp/440 Nm dan 239 hp/500 Nm. V 300 juga menampilkan ciri “overboost” yang menyediakan 30 Nm tambahan bagi tempoh terhad.

    Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.9 saat, dan kelajuan maksimumnya ialah 200 km/j. Penggunaan minyak bagi kedua-dua versi ini ialah antara 5.9 hingga 6.3 liter bagi setiap 100 km. Kotak gear manual enam-kelajuan masih ditawarkan, tetapi satu lagi pilihan ialah transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan yang menggantikan versi 7G-Tronic dahulu. Sistem pacuan semua roda 4Matic ada sebagai pilihan.

    Versi elektrik sepenuhnya juga ada, sebagai tambahan kepada model eVito. Model eVito menggunakan motor elektrik 85 kW (116 hp)/300 Nm, dengan bateri lithium-ion 41.4 kWh dengan jarak perjalanan 150 km. Bagi V-Class EV pula, ia dijangka akan dilengkapi dengan janaan kuasa yang lebih tinggi, yang akan dipamerkan sebagai EQV Concept pada pameran Geneva nanti.

     
     
  • Mazda tayang teaser CX-3 gen-2 sebelum ke Geneva?

    Mazda tayang teaser CX-3 gen-2 sebelum ke Geneva?

    Mazda telah mengumumkan bakal memperkenalkan SUV kompak baharu di Geneva Motor Show tahun ini, yang mungkin merupakan CX-3 generasi kedua.

    Model “misteri” ini akan menjadi barisan generasi baharu syarikat ini yang kedua, dan ia dibangunkan dengan SkyActiv-Vehicle Architecture. Malah ia juga akan mengadaptasi falsafah rekaan Kodo yang terkini, yang telah diaplikasikan oleh Mazda 3 generasi ke-empat.

    Bersama pengumuman ini, Mazda turut menyebarkan teaser bahagian belakang SUV baharu ini, yang mempunyai sedikit persamaan dengan model semasa CX-3. Walau bagaimana pun, jika perasan, SUV baharu ini mempunyai garisan bumbung yang lebih mengalir untuk penampilan yang lebih lebar.

    Gambaran paling jelas melibatkan lampu belakang yang disambung dengan grafik berbentuk bundar di antaranta, yang lebih kurang sama pada model semasa CX-5. Turut kelihatan ialah bar lampu di antara kluster yang bersambung ke lampu belakang – dengan logo Mazda kelihatan sedikit pada bahagian ini.

    Di bawah bonetnya, Mazda berkata campuran enjin pembakaran dalaman SkyActiv akan ditawarkan, termasuklah enjin penyalaan mampatan SkyActiv-X. Walau bagaimana pun, Mazda belum mengesahkan perincian selanjutnya untuk model baharu ini, dan ada juga yang mendakwa ia mungkin CX-4. Apa pun, kita akan tahu selanjutnya bila Geneva Motor Show berlangsung pada Mac ini.

    GALERI: Mazda CX-3 facelift 2018

     
     
  • Yamaha Monster Energy sedia untuk MotoGP 2019

    Yamaha Monster Energy sedia untuk MotoGP 2019

    Selepas menghadapi waktu yang sukar dalam musim MotoGP 2018, pasukan factory Yamaha kini bersedia untuk menyahut cabaran tahun 2019 dan pasukan serta jenteranya telah didedahkan di Indonesia hari ini dengan tema “Beast Mode On“, memberi tanda mereka akan bersaing lebih garang.

    Tahun ini juga menyaksikan pasukan factory Yamaha tidak lagi mempunyai kerjasama dengan Movistar sebagai penaja utama, sebaliknya diganti dengan Monster Energy Drink. Dengan itu, anda akan dapat melihat jentera tahun ini banyak menggabungkan warna hitam dan hijau dari Monster, serta warna biru daripada Yamaha.

    Untuk pelumba, pasukan yang kini digelar sebagai Monster Energy Yamaha ini masih lagi menggunakan khidmat Valentino Rossi serta Maverick Vinales, yang mana pada musim 2018 masing-masing sekadar berada di kedudukan ketiga dan keempat setelah ia berakhir.

    Selain daripada penampilan baru hasil daripada kerjasama dengan Monster, pasukan ini turut mengumumkan bahawa sepanjang tahun 2019, mereka akan meletakkan pelbagai slogan yang melibatkan cabang syarikat Yamaha di Indonesia, Vietnam, Filipina dan juga Thailand.

    “Saya tidak sabar untuk memulakan musim baru. Ujian di Sepang dalam masa beberapa hari ini adalah sangat penting, kerana ia adalah peluang pertama untuk seluruh pasukan bekerja bersama-sama dan mencuba semua peningkatan yang telah dilakukan pada musim sejuk sebelum ini. Kami mahu melakukan peningkatan yang besar, jadi kami harus bekerja keras,” kata Rossi.

     
     
  • Perodua jual lebih dari 20k unit kereta pada Jan – 1k unit Aruz dari 8k tempahan didaftar dalam masa sehari

    Perodua jual lebih dari 20k unit kereta pada Jan – 1k unit Aruz dari 8k tempahan didaftar dalam masa sehari

    Masuk tahun baharu, satu lagi rekod luar biasa direkodkan oleh Perodua – jenama kereta nasional kedua berkenaan berjaya mencatatkan jualan lebih dari 20,100 unit kereta pada bulan Januari 2019, atau 13.6% lebih tinggi dari bulan yang sama tahun lalu (17,700 unit). Dari jumlah tersebut, sebanyak 1,025 unit Perodua Aruz telah didaftarkan dalam masa sehari pada akhir bulan berkenaan.

    “Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami berjaya memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangkamasa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin.

    Menurut beliau lagi, Perodua masih menunggu jumlah rasmi daripada MAA, namun menganggarkan bahagian pasaran syarikatnya itu adalah sebanyak 41.7% pada Januari 2019 dan pertumbuhan sebanyak 9.2% daripada 18,400 unit kenderaan Perodua yang dijual pada Disember 2018.

    Dato’ Dr. Zahari turut menambah bahawa SUV MPV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz yang baharu sahaja di lancarkan pada 15 Januari lalu telah mendapat respon yang baik dengan tempahan sebanyak 8,000 unit setakat ini, manakala model-model lain telah didaftarkan dengan lebih daripada 19,000 unit telah didaftarkan pada bulan lalu, dengan Myvi terjual lebih dari 8,400 unit.

    Menurutnya lagi, pada masa ini komposisi pesanan bagi Aruz adalah 85% untuk varian Advance dan baki 15% adalah untuk varian X.”Permintaan yang tinggi untuk Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu terutamanya bagi varian AV. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu tersebut,” kata beliau.

    Bos Perodua Sales itu turut memberitahu bawah orang ramai tidak perlu risau dengan khabar angin bahawa harga Aruz akan meningkat kerana Perodua mengesahkan bahawa harga atas jalan tanpa insuran model tersebut kekal RM72,900 untuk varian X dan RM77,900 untuk varian Advance.

     
     
  • Suzuki Ecstar dedah jentera, pelumba MotoGP 2019

    Suzuki Ecstar dedah jentera, pelumba MotoGP 2019

    Pasukan Suzuki Ecstar menjadi pasukan seterusnya yang memperkenalkan pelumba serta jentera untuk musim 2019 yang akan bermula Mac nanti. Setelah sekian lama tidak menyertai MotoGP, Suzuki telah kembali pada tahun 2015, dan dalam masa yang singkat, mereka telah menunjukkan prestasi yang mengejutkan.

    Bagi tahun 2019, Suzuki Ecstar akan terus menggunakan jentera GSX-RR 1000 dan dua pelumba muda dari Sepanyol iaitu Alex Rins yang berusia 22 tahun dan Joan Mir, 21 tahun. Walaupun masih muda, Rins dianggap mempunyai pengalaman yang cukup dengan jentera Suzuki tersebut, manakala Mir masih perlu menyesuaikan diri kerana beliau baru menyertai pasukan ini.

    Menurut ketua projek pasukan ini, Shinichi Sahara, melalui semua pelumba yang ada, mereka dapat meningkatkan pakej teknikal pada jentera yang digunakan dan kali ini mensasarkan kedudukan paling atas dalam kejuaraan itu. Spesifikasi enjin, casis, elektronik dan juga fairing jentera Suzuki ini diberikan beberapa perubahan penting berdasarkan maklum balas pelumba.

    Antara perincian yang didedahkan berkenaan jentera Suzuki Ecstar ini adalah termasuk laju maksimum 340 km/j, berat 157 kg, kuasa sehingga 240 PS, kotak gear enam kelajuan seamless, ECU Magneti Marelli (sama untuk semua jentera MotoGP lain) dan sistem GPS.

    Pada tahun lepas, pasukan Suzuki Ecstar telah berjaya menamatkan musim dengan berada di tempat keempat secara keseluruhan dan beza cuma 136 mata dengan pasukan Repsol Honda yang berada paling atas. Pelumba terbaik mereka adalah Alex Rins, yang menduduki tempat kelima keseluruhan dengan kutipan mata 169 (-152 berbanding Marc Marquez).

     
     
  • Hyundai Tucson N – SUV bakal jana sekitar 340 hp

    Hyundai Tucson N – SUV bakal jana sekitar 340 hp

    Selain dari Veloster, i30 hatchback dan i30 fastback N, sebelum ini terdapat juga laporan bahawa Hyundai bakal memproduksi SUV berprestasi tinggi talaan divisi perlumbaan Hyundai N berasaskan SUV segmen-C Tucson. Menerusi laporan Auto Express, Hyundai Tucson N tersebut dikhabarkan bakal muncul dalam masa dua tahun akan datang.

    Sumber dalaman memberitahu kepada portal berkenaan bahawa Tucson N bakal dijana enjin yang berkuasa sekurang-kurangnya 340 hp, dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa di bawah enam saat. Setelah ia dipasarkan nanti, model ini bakal memberikan saingan terus kepada SUV kompak berprestasi tinggi lain seperti Cupra Ateca dan VW T-Roc R yang juga akan muncul tidak lama lagi.

    Selain dari SUV ini, sumber berkenaan turut menyatakan bahawa satu lagi kereta sport halo akan dihasilkan Hyundai N. Tidak dinyatakan kereta tersebut dibangunkan dari platform mana, tetapi prototaip pembangunannya dilihat mempunyai sistem pacuan semua roda dan juga kotak gear dari i30 N.

    Sayap perlumbaan tersebut juga dikatakan sedang membuat kajian terhadap platform serba baharu dengan janaan elektrik sepenuhnya. Tambah sumber berkenaan lagi, Hyundai mahu semua kereta yang dijual dengan logo N akan dibangunkan secara serius dan bukan sekadar melepaskan batuk ditangga dalam apa jua persaingan pada mana-mana kelas.

     
     
  • Indonesia bakal umum polisi baru berkaitan EV, beri insentif cukai untuk tarik pelabur automotif dan bateri

    Indonesia bakal umum polisi baru berkaitan EV, beri insentif cukai untuk tarik pelabur automotif dan bateri

    Jangan ingat Malaysia saja yang cuba nak jadi hab tumpuan automotif untuk rantau ini. Negara-negara jiran lain pun mengintai perkara yang sama. Jadi, apa yang paling berkesan untuk menarik perhatian pelabur datang dan berniaga di sini? Satu yang paling utama tentulah dasar-dasar yang ketengahkan.

    Dalam perkembangan terbaru, seperti dilaporkan oleh Reuters, Indonesia dalam perangkaan akhir untuk mengumumkan dasar-dasar kenderaan elektrik (EV) negara itu, dengan menawarkan potongan cukai kepada pengeluar bateri EV dan pengeluar kenderaan asing.

    Minggu lalu, Timbalan Menteri Perindustrian Indonesia, Harjanto menyatakan, Indonesia sangat-sangat menggalakkan syarikat dan juga pelabur dari Jepun dan Korea untuk menceburkan diri dalam perniagaan kenderaan elektrik di Indonesia dalam semua peringkat yang terlibat dalam pengeluarannya.

    “Lebih rendah pembebasan karbon EV, lebih rendah juga kadar cukai yang dikenakan. Sasaran kami ialah untuk mencapai 20% daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dikeluarkan di Indonesia ialah EV menjelang 20205,” ujar beliau.

    Harjanto bagaimanapun menolak untuk menamakan syarikat yang sedang dalam perbincangan dengan pihaknya, tetapi Hyundai mungkin satu daripada syarikat yang dimaksudkan itu. Hujung tahun lalu ada laporan menyatakan bahawa Hyundai bersedia untuk melabur sebanyak US$880 juta (RM3.6 bilion) di Indonesia, dan ada perancangan untuk mengeluarkan kenderaan elektrik dari sana.

    Indonesia bakal umum polisi baru berkaitan EV, beri insentif cukai untuk tarik pelabur automotif dan bateri

    Selain itu, penghujung 2017 juga menyaksikan Mitsubishi Motors mengumumkan sedang dalam perbincangan dengan kerajaan Indonesia untuk menjalankan kajiselidik prasarana EV di negara berkenaan. Bagi Renault dan Volkswagen pula, walaupun tidak menyatakan EV secara terperinci, bakal beroperasi dari kilang pemasangan di Indonesia juga.

    Indonesia, yang merupakan hab pengeluaran kenderaan kedua terbesar di ASEAN selepas Thailand, turut mensasarkan untuk dalam usaha untuk mewujudkan perjanjian persefahaman berkaitan tarif yang terlibat dengan negara-negara yang mempunyai permintaan EV yang tinggi. Ini termasuklah untuk menjadi hab pengilangan bateri lithium di rantau ini, dan bersaing dengan Malaysia yang juga telah mengumumkan rancangan itu sebelum ini.

    Menurut Harjanto, pembinaan kilang bateri lihtium bernilai US$4 bilion (RM16.3 bilion) di Sulawesi akan selesai dalam tempoh 16 bulan. Lapaoran itu juga menyebut bahawa Indonesia mempunyai sumber bijih nickel laterite yang banyak. Ia merupakan bahan penting bagi pengeluaran bateri lithium-ion.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Mitsubishi Triton 2019, dari RM100k

    Mitsubishi Triton facelift 2019 kini telah pun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ada lima varian semuanya, dengan harga bermula dari RM100,200 (bagi varian VGT MT) hingga RM135,200 (bagi varian Adventure X).

    Seperti yang dapat dilihat, penampilan terbaru Triton ini antaranya perubahan wajah depan trak pikap berkenaan, yang kini menggunakan rupa paras apa yang dipanggil sebagai Dynamic Shields. Ia nampak lebih lebar dan tinggi berbanding yang sebelumnya.

    Enjin pula masih kekal menggunakan unit sama dari Triton yang ada sebelum ini; unit 4N15 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang menghasilkan sebanyak 181 PS dan 430 Nm. Varian automatik pula mendapat sistem transmisi baru – kini dengan enam-kelajuan berbanding yang lama, hanya dengan lima-kelajuan. Varian manual pula memang kekal dengan transmisi enam-kelajuan sebelum ini.

    Bagi varian tertinggi pula, kelengkapan sistem keselamatannya sangat mengkagumkan, banyak ciri yang pertama kali diperkenalkan dalam kelasnya. Sebagai contoh, tujuh beg udara dan sistem amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

    Mitsubishi Triton 2019 ini dipasang di Thailand, dan datang dengan jaminan lima-tahun atau 200,000 km. Apa lagi kelebihan model trak pikap ini berbanding pesaingnya? Jangan susah-susah, tonton video yang kami sediakan ini. Siap ada perbandingan penawaran antara varian lagi untuk memudahkan anda tahu lebih lanjut.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton Premium MT 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton Premium AT 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton AT 2019

     
     
  • Koenigsegg bakal guna enjin tanpa aci sesondol selepas ini, sasar supercar dengan kadar CO2 neutral

    Koenigsegg bakal guna enjin tanpa aci sesondol selepas ini, sasar supercar dengan kadar CO2 neutral

    Lebih dua tahun lalu, Koenigsegg menerusi syarikat subsidiarinya, Freevalve AB telah mendedahkan enjin empat lejang yang berfungsi tanpa aci seseondol (camshaft), sebaliknya buka dan tutup injap kemasukan serta ekzos dikawal sepenuhya oleh komputer. Tetapi bila teknologi ini akan masuk ke pasaran? Pengasas pengeluar supercar dari Sweden tersebut kini telah mengasahkan bahawa model baharu mereka selepas ini bakal dilengkapkan dengan teknologi sedemikian.

    Bercakap kepada Top Gear, supercar baharu tersebut turut akan dilengakapi dengan sistem hibrid elektrik dan akan dijual pada harga sekitar 1 juta euro, yang bakal melonjakkan jualan tahunan mereka untuk berberapa ratus unit lagi. Manakala untuk sistem hibrid yang dinyatakan ini, Koenigsegg akan mendapat bantuan dari National Electric Vehicle Sweden (NEVS).

    Minggu lalu, Koenigsegg mengumumkan telah menjual 20% saham mereka kepada NEVS dan salah satu tujuannya adalah membangunkan teknologi seperti ini. NEVS merupakan pihak yang bertanggung jawab membeli satu lagi jenama Sweden, Saab pada 2012 setelah syarikat berkenaan diisytiharkan bankrap.

    “Cita-cita kami adalah untuk menghasilkan kereta ini CO2 neutral sepenuhnya. Dengan teknologi Freevlave, kami boleh menghidupkan enjin tersebut dalam keadaan sejuk dengan menggunakan alkohol, sehingga suhu -30 darjah selsius, jadi ia tidak memerlukan campuran apa-apa bahan api fosil. Idea ini adalah untuk membuktikan kepada dunia bahawa enjin pembakaran dalaman pun boleh dihasilkan dengan CO2 neutral sepenuhnya,” jelas Koenigsegg.

    Bagaimana enjin tanpa aci sesondol ini berfungsi dan apa pula kelebihannya? Bukan sahaja aci sesondol, malah ia turut tidak mempunyai komponen lain yang berkaitan seperti tali/rantai pemasa (timing belt/timing chain) dan takal aci sesondol (cam pulley). Komponen-komponen tersebut digantikan dengan teknologi Penggerak Pneumatik Hidraulik Elekrik (Pneumatic Hydraulic Electric Actuator – PHEV), yang membolehkan setiap bukaan injap kemasukan (intake valve) dan bukaan injap ekzos (exhaust valve) dikawal sepenuhnya oleh sistem pengurusan enjin dan digerakkan dengan komponen sistem pneumatik, hidraulik dan elektrik pada bahagian atas injap-injap tersebut, pada setiap lejang semasa enjin tersebut beroperasi.

    Dengan kata mudah, Koenigsegg membayangkan sistem ini dengan: “Cuba anda bayangkan anda bermain piano dengan kedua-dua tangan diikat pada kayu penyapu. Muzik yang dihasilkan tentunya tidak bagus bukan?. Anggap piano tersebut sebagai enjin kereta dan kayu penyapu tersebut sebagai aci sesondol konvensional. Kehadiran teknologi Freevalve ini digambarkan sebagai membuka tangan anda tadi dari kayu penyapu, dan terus bermain piano menggunakan jari-jemari anda sendiri.”

    Kesemua injap berkenaan dapat dikawal secara individu sama ada darjah bukaannya, tempoh tertutup sepenuhnya mahupun untuk ditahan pada darjah bukaan tertentu. Liang kemasukan juga dibina berasingan untuk setiap injap (kemasukan dan ekzos) dan tidak lagi hanya satu liang kemasukan dan satu liang ekzos untuk setiap silinder pada enjin biasa. Liang-liang berkenaan turut mempunyai bentuk berbeza untuk memberikan putaran kemasukan dan pengeluaran asap ekzos yang berbeza bergantung pada situasi. Ini memberikan peningkatan secara drastik pada pembakaran dalam kebuk.

    Liang ekzos individu berkenaan juga membolehkan gas ekzos dibahagikan kepada dua bahagian iaitu satu terus keluar ke muncung ekzos, manakala bahagian satu lagi dihalakan terus ke pengecas turbo. Dengan cara ini dan juga pergerakkan injap ekzos yang boleh dikawal secara individu, pergerakan dan tekanan boost turbo kini tidak lagi perlu dikawal menggunakan wastegate. Back pressure untuk gas ekzos yang keluar juga dapat direndahkan dengan mengawalnya menggunakan injap ekzos pada kepala silinder, membolehkan suhu ekzos dan suhu catalytic converter dikawal bagi memudahkan enjin dihidupkan pada suhu sejuk, malah penggunaan pre-catalytic converter juga dapat disisihkan.

    Dengan setiap injap kemasukan boleh dikawal secara individu, enjin ini tidak lagi memerlukan unit throttle body. Pedal pendikit dihubungkan terus kepada injap kepala silinder, bermaksud kadar kelajuan enjin kini dikawal sepenuhnya oleh bukaan injap kemasukan. Jadi, dengan tiadanya unit throttle body berkenaan, enjin ini bukan sahaja lebih ringkas dan ringan, malah kehilangan kuasa yang terjadi pada bahagian berkenaan kerana udara dengan tekanan atmosfera terus masuk ke kebuk pembakaran tanpa berlegar terlebih dahulu pada bahagian plenum kemasukan. Ini sahaja telah pun menjimatkan sekitar 4-5% penggunaan bahan api secara keseluruhan.

     
     
  • Guna telefon bimbit sewaktu memandu boleh buat hilang fokus antara lima hingga 10 saat – kajian

    Guna telefon bimbit sewaktu memandu boleh buat hilang fokus antara lima hingga 10 saat – kajian

    Walau pun penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu termasuk dalam perkara yang dilarang keras dalam undang-undang lalu lintas, namun masih ramai yang tidak mengendahkan larangan ini. Kita seakan terlupa atau tidak memperdulikan, setiap larangan itu ada sebabnya.

    Menurut Pakar Kejuruteraan Lebuh Raya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Ezree Abdullah, budaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu secara tidak langsung boleh mengakibatkan fokus pemanduan terjejas sekitar lima hingga 10 saat atau pada kelajuan normal di lebuh raya, kenderaan seolah-olah bergerak tanpa kawalan kira-kira 160 meter, seperti yang dilaporkan Bernama.

    Budaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu secara tidak langsung boleh mengakibatkan fokus pemanduan terjejas sekitar lima hingga 10 saat atau pada kelajuan normal di lebuh raya, kenderaan seolah-olah bergerak tanpa kawalan kira-kira 160 meter.

    Guna telefon bimbit sewaktu memandu boleh buat hilang fokus antara lima hingga 10 saat – kajian

    Ini termasuk pemandu menggunakan aplikasi seperti navigasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), menghantar atau menerima mesej, mengemas kini status dalam media sosial dan bermain permainan video. Dalam situasi itu tidak ramai pemandu menyedari yang mereka sebenarnya telah mengalihkan pandangan pemanduan mereka dan menghilangkan fokus terhadap kenderaan yang sedang dikawal sekali gus boleh mengundangkan kemalangan jalan raya.

    Menurutnya lagi, memandu dalam kesesakan trafik dan kenderaan bergerak perlahan pula seperti di lebuh raya semasa musim perayaan ketika ini seharusnya diberikan tumpuan yang lebih berbanding pemanduan biasa.

    “Budaya masyarakat kita bila jalan sesak atau kereta bergerak perlahan sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam, masa itu mereka ambil peluang untuk ‘bermain’ telefon dengan merakam gambar, menghantar atau membalas mesej dan bermain permainan video. Tingkah laku sedemikian boleh mengundang kemalangan kerana ada perkara yang boleh berlaku di luar jangkaan kita seperti kereta di hadapan brek mengejut, motosikal atau kenderaan lain melintas secara tiba-tiba dan sebagainya,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Ezree menasihatkan pemandu mengubah sikap dengan memberi perhatian yang lebih serius khususnya ketika memandu pada jarak yang jauh dan pada cuti panjang kerana terdapat peningkatan kenderaan di jalan raya yang boleh menyebabkan peningkatan kadar kemalangan.

     
     
  • M’sia akan bincang dengan S’pura berhubung larangan kemasukan kenderaan asing yang ada saman

    M’sia akan bincang dengan S’pura berhubung larangan kemasukan kenderaan asing yang ada saman

    Baru-baru ini, Singapura telah mengeluarkan kenyataan berhubung kemungkinan tidak membenarkan kenderaan asing yang mempunyai sejumlah denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan asap kenderaan daripada memasuki negara tersebut, mulai 1 April ini.

    Susulan kenyataan tersebut, Malaysia mengambil keputusan untuk berbincang dengan republik berkenaan untuk mencari penyelesaian.

    Dalam masa yang sama, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya meminta dan menasihatkan mana-mana pihak pada masa ini agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memberikan persepsi negatif kepada hubungan Malaysia-Singapura, laporan Bernama.

    “Kita difahamkan bermula 1 April, larangan tersebut dikeluarkan dan saya rasa kita perlu ada perbincangan lanjut lagi. Kita ada kaedah tersendiri untuk berunding mengenai hal ini dengan pihak Singapura dengan perbincangannya akan dibuat serentak dalam mesyuarat bilateral dengan republik itu nanti, ” katanya kepada pemberita semalam.

    Mengulas lanjut Marzuki berkata sebarang tindakan berhubung cadangan dan langkah berkenaan adalah bergantung kepada keputusan daripada kerajaan Pusat.

     
     
  • Singapura mungkin larang kenderaan asing masuk ke negaranya mulai 1 April jika belum bayar saman trafik

    Singapura mungkin larang kenderaan asing masuk ke negaranya mulai 1 April jika belum bayar saman trafik

    Mulai 1 April ini, Singapura mungkin tidak membenarkan kenderaan asing yang mempunyai sejumlah denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan asap kenderaan daripada memasuki negara tersebut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kira-kira 60,000 kenderaan asing memasuki Singapura setiap hari, laporan Bernama.

    “Kami memandang serius kegagalan mereka berbuat demikian. Untuk mengingatkan pemilik kenderaan asing untuk membayar denda yang belum dijelaskan, risalah telah diedarkan, dan papan iklan dipasang di tempat pemeriksaan darat. Polis trafik dan agensi kerajaan yang lain juga menjalankan operasi di pusat pemeriksaan darat untuk mengesan pemandu kenderaan terbabit supaya menjelaskan denda,” kata kenyataan itu.

    Walaupun langkah-langkah ini dilaksanakan, agensi itu berkata beberapa pemandu kenderaan asing terus mengabaikan denda yang belum dilunaskan.

    Singapura mungkin larang kenderaan asing masuk ke negaranya mulai 1 April jika belum bayar saman trafik

    Oleh itu, untuk terus menghalang perlakuan sedemikian dan menguatkuasakan secara lebih berkesan terhadap mereka yang gagal membayar denda, kenderaan asing yang mempunyai denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan berkaitan kenderaan mungkin tidak akan dibenarkan memasuki Singapura mulai 1 April 2019.

    Untuk mengelakkan daripada tidak dibenarkan memasuki Singapura, pemandu asing dinasihatkan supaya menyemak sama ada mereka mempunyai denda yang belum dijelaskan untuk kesalahan berkaitan kenderaan dan menjelaskannya dengan segera. Pemandu boleh membuat semakan bagi semua denda dengan melayari www.axs.com.sg.

    Pada awal Disember lalu, Senator Datuk Rabiah Ali, ahli Dewan Negara telah mencadangkan mana-mana kenderaan dari Singapura yang masih tidak menjelaskan saman tertunggak haruslah tidak dibenarkan keluar dari Malaysia.

     
     
  • 6,284 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2018, turun 21% berbanding 2017 – Anthony Loke

    6,284 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2018, turun 21% berbanding 2017 – Anthony Loke

    Sebanyak 6,284 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara sepanjang 2018, menunjukkan penurunan sebanyak 21% atau 456 kematian berbanding 6,740 kematian pada 2017.

    “Walaupun ada penurunan tetapi kita tidak boleh berasa lega kerana 6,200 orang meninggal dunia tahun lalu, itu satu angka yang sangat besar. Bagi pihak kementerian, kita memang setiap tahun mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan kadar kematian, kalau boleh kita hendak sifarkan bilangan kematian,” ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memetik laporan Bernama.

    Loke turut berkata, kementeriannya akan melancarkan silibus baharu mengenai keselamatan jalan raya dalam buku teks dengan kerjasama Kementerian Pendidikan pada bulan ini.

    6,284 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2018, turun 21% berbanding 2017 – Anthony Loke

    “Kita akan serapkan unsur keselamatan jalan raya dalam kurikulum pendidikan. Itu antara langkah untuk membudayakan aspek keselamatan jalan raya dalam minda anak-anak kita di bangku sekolah,” katanya.

    Selain itu, tambahnya, kerajaan masih menunggu maklum balas syarikat insurans berhubung cadangan kementerian memberi ganjaran berupa diskaun insurans kereta buat ‘pemandu berhemah’ di jalan raya.

    “Saya sudah sampaikan cadangan kepada PIAM (Persatuan Insurans Am Malaysia) untuk mereka perkenalkan satu mekanisma bagi melaksanakan insentif seperti diskaun insurans kereta buat pemandu yang tidak ada saman trafik untuk tempoh tertentu. Kami harap untuk sekurang-kurangnya dapat membuat pengumuman dan melaksanakan insentif berkenaan tahun ini,” katanya.

     
     
  • Toyota Mega Web History Garage – selusuri sejarah automotif Jepun dari era selepas perang dunia ke-2

    Toyota Mega Web History Garage – selusuri sejarah automotif Jepun dari era selepas perang dunia ke-2

    Toyota Mega Web adalah satu pusat yang dibina oleh Toyota sendiri yang disifatkan sebagai ‘Taman Tema Automotif’, disajikan dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan dunia permotoran. Semasa kunjungan kami ke Tokyo Auto Salon 2019 baru-baru ini, kami turut mengambil kesempatan untuk berkunjung kesini.

    Secara amnya, Toyota Mega Web mempunyai tiga bahagian utama iaitu Toyota City Showcase, Ride Studio dan History Garage. Disebabkan kaki saya sendiri telah diseksa oleh 11 dewan besar di Tokyo Auto Salon selama tiga hari, lawatan ke Toyota Mega Web ini hanya saya tumpukan kepada subjek yang paling saya minat iaitu History Garage.

    Toyota Mega Web ini dibina di pulau buatan di Tokyo Bay. Bertolak dari stesen Tokyo menaiki tren, anda bakal merentasi jambatan besar dari daratan ke pulau berkenaan yang dikenali sebagai Rainbow Bridge, yang juga sebahagian dari lebuhraya Wangan. Dari stesen Tokyo teleport, berjalan kaki ke Mega Web memerlukan anda menempuhi DiverCity Tokyo Plaza, iaitu tempat dimana terletaknya figura robot Gundam dengan skala 1:1.

    Toyota Mega Web History Garage – selusuri sejarah automotif Jepun dari era selepas perang dunia ke-2

    Tiba dipintu masuk History Garage, kami terlebih dahulu disambut oleh Toyota Publica generasi pertama UP10 tahun 1965 dari versi convertible. Kalau anda nak tahu, dari abjad ‘P’ pada kod casis UP10 Publica ini menunjukkan ia adalah moyang kepada Toyota Starlet (KP47, KP60/61, EP70/71, EP80/82 dan EP91), dan juga Toyota Yaris/Vitz (XP10, XP90, dan XP130).

    Selepas melepasi pintu utama, anda akan terasa seolah-olah berada di Tokyo pada era 60’an, bukan sahaja kerana kereta-kereta yang dipamerkan, malah dengan props seperti replika bangunan-bangunan dan papan tanda lama, serta ‘gajet-gajet’ pada era tersebut seperti kamera, permainan-permainan tin dan juga set model kit, juga kelengkapan elektrik seperti kipas KDK.

    Ruang ini tidak diisi dengan model-model Toyota semata-mata, tetapi juga turut menampilkan jenama-jenama Jepun lain, serta model-model dari Amerika dan Eropah. Pada saya, orang-orang yang bertanggungjawab menghasilkan ruang pameran ini bukan sahaja mahu ‘bercerita’ berkenaan industri automotif ketika itu, tetapi dengan sudut lebih luas bagi menggambarkan bagaimana seluruh dunia menghadapi cabaran selepas perang dunia kedua.

    Kereta pertama yang dipamerkan sebaik sahaja memasuki ruang pameran adalah Subaru 360 dan Mazda Carol. Kedua-dua kereta ini sebenarnya antara Kei-car terawal yang dihasilkan di Jepun. Segmen Kei-Car ini sebenarnya telah diwujudkan kerajaan Jepun pada tahun 1949. Dari tahun tersebut sehingga 1998, undang-undangnya telah dirombak berberapa kali – dari saiz asal maksimum panjang 2.8 meter dan lebar 1 meter (ya, 1 meter seperti saiz pembaris kuning yang digunakan di sekolah!) sehingga 3.4 meter panjang dan 1.48 meter lebar.

    Kapasiti enjin juga meningkat dari hanya 150 cc pada 1949 (enjin dua-lejang hanya 100 cc) sehingga 660 cc pada 1998. Setiap kereta yang berjaya direka menepati spesifikasi Kei-Car ini bukan sahaja lebih murah, malah pembeli turut akan menerima potongan cukai dan insuran.

    Tujuan kerajaan Jepun mewujudkan segmen ini antaranya adalah untuk menggalakkan pengeluar menghasilkan kereta mampu milik untuk rakyat lebih-lebih lagi dalam suasana selepas perang dunia, kerana dengan kereta tentunya ekonomi dapat dipacu dengan lebih laju kerana orang ramai dapat bergerak dengan lebih cepat.

    Toyota Mega Web History Garage – selusuri sejarah automotif Jepun dari era selepas perang dunia ke-2

    Subaru 360 adalah kereta pertama keluaran Subaru dan ia diproduksi dari tahun 1958 sehingga 1971 dengan saiz panjang hanya 2.99 meter dan lebar 1.3 meter. Bukan bentuknya sahaja nampak seperti VW Beetle, kereta ini juga menempatkan enjin di bahagian belakang. Seperti namanya, Subaru kecil ini dijana enjin 360cc dua-lejang dengan hanya dua silinder, serta menggunakan sistem penyejukkan udara.

    Beralih ke Mazda Carol pula, ia adalah kereta pertama Mazda yang mampu memuatkan empat-orang di dalamnya, diproduksi dari 1962 hingga 1970. Kereta ini mempunyai dimensi yang hampir sama dengan Subaru 360, dijana enjin empat-silinder OHV 358 cc, berkuasa hanya 18 PS. Ia menggunakan sistem penyejuk cecair, dan enjinnya juga diletakkan di bahagian belakang.

    Selepas itu, anda akan disajikan dengan kereta bersaiz normal Toyopet Corona RT21 1961 iaitu generasi kedua Corona, dan kemudian dua buah sedan bersaiz besar Toyopet Crown RS41 1963 (Crown generasi kedua) dan Toyota Crown MS51 1969 (generasi ketiga) yang menunjukkan Jepun sudah mampu untuk membina kereta sedemikian ketika itu.

    Sebuah trak pikap Datsun Truck 1000 G222 yang dibina pada tahun 1960 juga dipamerkan. Trak pikap ini dibina berasaskan sedan Datsun 1000 210 yang telah menjadi juara dalam kelasnya pada Rali Australia tahun 1958.

    Dihujung sudut pertama, sebuah Cadillac Series 62 1959 diletakkan yang kelihatan seperti seekor rasaksa dikalangan kereta-kereta lain terutamanya Fiat 500 yang berada disebelahnya. Mungkin lima hingga enam buah Fiat ‘kerang’ berkenaan baru sama besar dengan sebuah Cadillac ini?

    Ini juga gambaran sebenar situasi pada zaman tersebut – Amerika sebuah negara yang begitu besar dan tidak kisah dengan saiz jalan yang luas, juga kaya dengan hasil petroleum membolehkan mereka menghasilkan kereta yang berat bersama enjin yang sama besar dengan enjin lori, sementara Jepun dan Eropah masih lagi dalam pemulihan selepas perang dunia kedua dan menghasilkan kereta-kereta yang lebih efisien.

    Toyota Mega Web History Garage – selusuri sejarah automotif Jepun dari era selepas perang dunia ke-2

    Buat pertama kali juga, saya berpeluang melihat dihadapan mata sebuah BMW Issetta 300 1960, kereta yang hanya saya ketahui menerusi rancangan-rancangan restorasi di televisyen sebelum ini. Isetta adalah salah satu ‘bubble car‘ yang dibuat oleh pelbagai pengeluar ketika era ini.

    Seperti juga Kei-Car, bubble car dihasilkan bagi membolehkan masyarakat mempunyai pengangkutan persendirian yang murah, jimat petrol terutamanya pada negara-negara yang sedang pemulihan selepas perang, dalam masa yang sama lebih selamat dari motosikal.

    BMW Isetta ini sebenarnya direka lebih kecil dari Subaru 360 dan Mazda Carol tadi dan ia hanya boleh dinaikki oleh dua orang, manakala pintunya pula terletak pada bahagian muka hadapan. Kereta ini pada asalnya adalah model rekaan pengeluar Itali, Iso, tetapi BMW telah menerima lesen bagi memproduksinya.

    Berbanding model asal, Isetta buatan Jerman ini diberikan enjin BMW sebenar iaitu enjin satu silinder 300 cc yang mampu menghasilkan 13 hp dan tork maksima 18.4 Nm. Dengan berat hanya sekitar 500 kg, BMW Isetta ini mampu mencapai kelajuan maksima 85 km/j.

    Selain BMW Issetta, History Garage turut mempunyai sebuah lagi bubble car buatan Jerman iaitu Messerschmitt KR175 1954. Model ini sebenarnya lebih menyerupai motosikal di mana ia dikawal menggunakan hendal, manakala penumpang perlu duduk di belakang pemandu. Pintu? Bahagian atas termasuk kanopi perlu dibuka seperti peti harta karun untuk masuk kedalam.

    KR175 ini dijana oleh enjin silinder tunggal dua-lejang 173 cc dengan sistem penyejukkan udara. Enjin diletakkan dibelakang pemandu, digandingkan dengan kotak gear empat-kelajuan dengan konfigurasi seakan skuter. Oh ya, ‘kereta’ ini juga sebenarnya hanya mempunyai tiga tayar.

    Setelah habis menyelurusuri jalan di ‘Tokyo era 60’an’ ini, anda akan akan masuk pula pada satu ruangan seakan ruang pameran muzium yang menempatkan kereta-kereta berprestasi Jepun dari era 60’an hingga 80’an. Ia dimulakan dengan model istimewa Nissan Fairlady Z S30Z 432 yang menggunakan enjin S20 sama seperti Nissan Skyline GT-R KPGC10 ‘Hakosuka’.

    Kemudian disebelah kiri anda akan bertemu dengan ‘Japanese Mustang‘ Toyota Celica Liftback 1600 GT TA27 1974 bersama Toyota Sprinter Trueno TE27 1973 yang kedua-dua dijana enjin 2T-G 1.6L Twin Cam dengan sepasang karburator perlumbaan. Dibaris yang sama, turut ditempatkan Toyota Corolla Levin AE86 1983 dan juga Toyota Soarer MZ11 1981 dijana enjin 5M-GEU 2.8 liter DOHC enam-silinder sebaris.

    Manakala di sebelah kanan, anda akan melihat roadster kecil Toyota Sports 800 UP15 ‘Yotahachi’ yang dijana enjin boxer dua-silinder dengan sistem penyejukkan udara, memacu roda belakang. Dua lagi jentera lagenda terletak Sports 800 ini, iaitu model asli Nissan Skyline GT-R KPGC10 dan juga moyang kepada Honda S2000 iaitu Honda S800.

    ‘Lexus LF-A era 60’an’ iaitu Toyota 2000 GT juga boleh anda jumpa di sini, diletakkan pada kedudukan istimewa. Berbanding kereta sport lain, 2000 GT nyata nampak lebih premium dan kereta ini sebenarnya mempunyai taraf yang saya rasa setanding atau lebih tinggi dari kereta sport buatan British atau Itali pada zaman tersebut.

    Selain dari kereta-kereta sebenar ini, History Garage turut menyediakan satu koridor yang penuh dengan model-model skala kecil dan buku-buku berkenaan pelbagai kereta-kereta klasik dari seluruh dunia. Malah sebenarnya, ada juga ruang pameran outdoor yang menempatkan Ferrari Dino dan juga Chevrolet Corvette Stingray ‘split window‘ 1963.

    Kesemua ini sebenarnya berada ditingkat kedua, dan ada lagi ruang pameran tambahan ditingkat satu. Pada ruang outdoor tingkat bawah yang direka seakan taman, anda boleh lihat depan mata Delorean DMC 12 yang popular dalam trilogi filem Back to the Future. Di taman ini juga ada dipamerkan Jaguar E-Type, Porsche 356 dan Lotus Elan S4.

    Masuk ke ruang pameran indoor pula, anda akan disajikan dengan jentera-jentera rali Toyota era 80’an dan 90’an. Antaranya adalah Toyota Corolla WRC 1997, Toyota Celica GT4 ST165 1990 dan juga jentera Group B Toyota Celica Twin Cam Turbo TA64 1985. Ruangan ini turut mempamerkan jentera Group B yang tidak sempat untuk berlumba (setelah Group B diharamkan pada tahun 1987) iaitu Toyota 222D dibina berasaskan Toyota MR2 AW11.

    Turut menjadi perhatian adalah Toyota Celica ST185 WRC Group A yang menjuarai Safari Rally 1995, dipandu pelumba Jepun Yoshio Fujimoto. Kereta ini dalam keadaan asalnya selepas mengharungi ‘rali paling lasak di dunia’ itu tanpa diperbaiki atau direstorasi, membolehkan anda melihat setiap kemik dan ‘battle scar‘ ketika kereta itu bertarung dan menjuarai perlumbaan tersebut.

    Untuk pengetahuan anda juga, kereta-kereta yang dipamerkan di History Garage kebanyakkannya direstorasi sendiri oleh mereka di garaj yang terletak ditingkat bawah ini. Apa yang menarik, anda boleh melihat kerja-kerja restorasi itu dilakukan menerusi tingkap besar yang disediakan. Ketika kunjungan kami ini, dua buah kereta sedang dibaik pulih iaitu Nissan Skyline GT-R R32 dan juga Toyota Corona Hardtop RT50.

    Sebelum beredar, History Garage turut menyediakan cafe untuk anda melepak seketika, dan juga kedai cenderamata yang menjual pelbagai barangan dan juga model-model kereta skala kecil yang akan menggoyahkan iman, serta bakal mengoyakkan poket sekiranya mengikut nafsu!

     
     
  • Diskaun tol untuk kenderaan kelas satu di BESRAYA, NPE dan LEKAS sempena Tahun Baharu Cina ini

    Diskaun tol untuk kenderaan kelas satu di BESRAYA, NPE dan LEKAS sempena Tahun Baharu Cina ini

    Syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) , IJM Corporation Berhad, telah mengumumkan pemberian diskaun tol untuk ketiga-tiga plaza tol berkenaan sempena Tahun Baharu Cina ini.

    Ia melibatkan diskaun sebanyak 20% untuk BESRAYA, NPE dan LEKAS, serta 10% diskaun di Plaza Tol Ampangan di Lebuhraya LEKAS, yang akan berkuatkuasa mulai jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 5 Februari ini.

    Menurut IJM, pemberian diskaun ini adalah sebagai inisiatif tanggungjawab korporat sempena perayaan Tahun Baharu Cina bagi pengguna lebuhraya yang ingin mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga.

    Bagi pengguna yang ingin menuju ke selatan, disaran menggunakan Lebuhraya LEKAS sementara ke pantai timur pula boleh menggunakan Lebuhraya BESRAYA melalui Plaza Tol Loke Yew untuk ke MRR2.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025