Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TuneD perkenal kit badan untuk Proton Persona generasi pertama, harga bermula RM2,100-RM3,320

    TuneD perkenal kit badan untuk Proton Persona generasi pertama, harga bermula RM2,100-RM3,320

    Jika sebelum ini TuneD hadir dengan kit badan untuk model-model Proton yang masih dijual di bilik pameran, kali ini jenama talaan aftermarket tempatan berkenaan memperkenalkan kit untuk model lama Proton iaitu Proton Persona generasi pertama.

    Seperti juga kit-kit badan TuneD untuk model lain, kit pada Persona 2007 ini menampilkan bampar hadapan dengan liang udara yang lebih agresif, lengkap dengan lampu nyalaan siang jalur LED, serta gril utama berwarna hitam bersama jalur serlahan berwarna merah.

    Set kit ini datang sekali dengan skirt sisi lebih labuh serta bampar belakang yang direka agresif dengan liang udara pada setiap sisi, serta kemasan yang menyerupai diffuser berwarna hitam.

    Tidak seperti pakej kit lain yang hadir dengan warna badan signatur TuneD iaitu Fierce Red, pakej standard tertinggi untuk Persona generasi pertama ini menawarkan warna badan yang dipilih sendiri oleh pemilik dengan harga RM3,320. Anda juga boleh memilih pakej tanpa mengecat semula warna badan dengan harga RM2,100.

    Walau bagaimanapun, harga untuk kit Persona 2007 ini tidak termasuk sekali dengan rim aloi TuneD. Anda boleh membelinya secara berasingan di mana rim berdiameter 16-inci dijual pada harga RM1,500 dan unit yang berdiameter 17-inci pula berharga RM1,800.

     
     
  • SPAD sediakan 67,000 Kad Bantuan Teksi 1Malaysia – nafi dakwaan ia akan diberikan selepas PRU14 ini

    SPAD sediakan 67,000 Kad Bantuan Teksi 1Malaysia – nafi dakwaan ia akan diberikan selepas PRU14 ini

    Pada 13 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia mengandungi nilai RM800 untuk pembelian petrol atau gas asli (NGV) di stesen minyak Petronas. Di mana seramai 67,000 pemandu teksi di seluruh negara menerima kad bantuan yang diagihkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Kementerian Kewangan, dan melibatkan dana sebanyak RM53.6 juta.

    Melalui kad bantuan itu, pemandu teksi juga mendapat kemudahan lain di bawah program kesetiaan Mesra Petronas, termasuk perlindungan insurans kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

    Najib berkata nilai RM800 dalam kad bantuan itu akan dikaji dari semasa ke semasa bergantung kepada kemampuan kerajaan.

    SPAD sediakan 67,000 Kad Bantuan Teksi 1Malaysia – nafi dakwaan ia akan diberikan selepas PRU14 ini

    Dalam masa yang sama, SPAD menafikan dakwaan kad terbabit hanya akan diberikan selepas Pilihanraya umum ke-14 ini yang tersebar menerusi media sosial. Menurut SPAD, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis supaya penyebar berita tersebut disiasat pihak berkuasa, jika dakwaan liar itu masih berleluasa, laporan Berita Harian.

    SPAD turut berkata, pemandu teksi tidak perlu risau kerana SPAD sudah menyediakan 67,000 kad bantuan yang boleh diambil dalam tempoh tiga bulan bermula semalam hingga 16 Julai depan.

    Pemandu teksi boleh mengambil kad bantuan berkenaan dari pejabat-pejabat cawangan SPAD, tertakluk kepada waktu pejabat dan hari-hari kelepasan am setempat.

    Menurut kenyataan itu, tarikh dan tempat pengambilan bagi para pemandu teksi di Sabah dan Sarawak pula akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di negeri berkenaan.

     
     
  • SYM CruiSYM 250i dan Jet 14 tiba di Malaysia – skuter berkapasiti 250 cc dan 125 cc, harga RM20k, RM7k

    SYM CruiSYM 250i dan Jet 14 tiba di Malaysia – skuter berkapasiti 250 cc dan 125 cc, harga RM20k, RM7k

    Selain kapcai 183 cc VF3i, MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang merupakan pengedar rasmi motosikal jenama SYM turut melancarkan dua model skuter iaitu CruiSYM 250i dan Jet 14, dengan harga masing-masing RM20,021.28 (warna merah) dan RM7,089.28. Bagi model CruiSYM 250i, varian SE yang terdiri daripada warna matte hitam dan putih pula dijual pada harga RM20,339.28. Semua harga ini termasuk GST, tanpa insurans.

    Melihat kepada CruiSYM 250i, ia adalah model pengganti bagi MaxSYM yang dipasarkan sebelum ini. Model ini juga menggunakan asas sama dengan CruiSYM 300 yang dijual di Eropah, tetapi kapasiti enjinnya telah dikurangkan supaya pengguna di Malaysia tidak perlu menaik taraf lesen B2 mereka kepada B untuk menggunakan motosikal ini.

    CruiSYM 250i menggunakan enjin satu silinder SOHC empat strok berkapasiti 249.4 cc, dan dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 21.2 hp pada 7,500 rpm dan 23.5 Nm tork pada 5,500 rpm. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai adalah 140 km/j.

    Sebagai sebuah skuter, ia menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna termasuk pengecas USB dan 12 V dalam ruang simpanan bawah pemegang, ruang bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua topi keledar fullface, serta tangki bahan api 12 liter.

    Pada bahagian depan motosikal ini terdapat fork teleskopik, brek cakera 260 mm dengan ABS, rim 14 inci dan tayar 120/70, manakala di belakang pula terdapat dua penyerap hentak, brek cakera 240 mm, rim 13 inci dan tayar 140/60. Berat kering motosikal ini adalah 196 kg.

    Melihat kepada SYM Jet 14 pula, ia adalah skuter yang bersaiz sedikit kecil daripada CruiSYM 250i, dan menggunakan asas daripada CruiSYM 180 yang dipasarkan di negara lain. Ia digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api empat strok berkapasiti 124.65 cc, dan dipadankan bersama transmisi automatik. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin ini adalah 10 hp pada 8,500 rpm dan 9.2 Nm tork pada 7,000 rpm, manakala kelajuan maksimum pula adalah 110 km/j.

    Di bawah tempat duduk Jet 14 terdapat ruang yang boleh menempatkan satu topi keledar fullface, dan di bawah pemegangnya terdapat satu lagi ruang simpanan kecil. Tangki bahan api motosikal ini adalah 7.5 liter, menggunakan rim 14 inci di kedua-dua bahagian, brek cakera 260 mm di depan dan brek dram di belakang.

    GALERI: SYM CruiSYM 250i


    GALERI: SYM Jet 14


     
     
  • SYM VF3i – Malaysia negara pertama terima “kapcai berkapasiti paling tinggi di dunia”, 183 cc, RM8,467

    SYM VF3i – Malaysia negara pertama terima “kapcai berkapasiti paling tinggi di dunia”, 183 cc, RM8,467

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi motosikal jenama SYM di Malaysia hari ini melancarkan sebuah model yang mereka panggil sebagai “kapcai berkapasiti paling tinggi di dunia”, bernama SYM VF3i. Malaysia juga menjadi pasaran pertama di dunia yang menerima model ini.

    Sementara pasaran Malaysia ‘panas’ dengan kapcai berkapasiti 150 cc seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan Benelli RFS150i, SYM pula cuba memberi cabaran yang lebih dengan menawarkan SYM VF3i yang menggunakan enjin empat strok satu silinder penyejukan cecair SOHC berkapasiti 183 cc.

    Bersama padanan transmisi enam kelajuan, enjin suntikan bahan api ini mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 8,500 rpm, 15.3 Nm tork pada 7,500 rpm dan turut menerima penarafan emisi Euro 3. Palam pencucuh yang digunakan pula masih lagi hanya satu. Laju maksimum yang boleh dicapai adalah 155 km/j (mengikut meter).

    Melihat kepada bentuk luar motosikal ini, ia menggunakan unit LED bagi lampu siang (DRL), lampu penunjuk arah serta lampu belakang. Warna yang ditawarkan pula ada tiga, iaitu biru dan merah untuk model standard yang dijual pada harga RM8,467.28 dan warna hitam matte, iaitu model SE pada harga RM8,785.28 (termasuk GST, tanpa insurans).

    Kelengkapan lain yang terdapat pada SYM VF3i ini adalah termasuk fork teleskopik, brek cakera 250 mm dengan angkup dua piston serta tayar 90/80R17 di hadapan, dan monoshock, brek cakera 200 mm dengan angkup dua piston di belakang, serta tayar 120/70R17 di belakang.

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah 124 kg, dan ia menyediakan tangki bahan api tujuh liter. Menurut SYM, melalui ujian mereka, dengan isian bahan api penuh motosikal ini dapat pergi dari Alma, Bukit Mertajam ke Kuala Perlis. Jika menurut Google Map, jarak antara dua tempat ini adalah 171 km.

    SYM VF3i akan tiba di wakil pengedar motosikal SYM menjelang bulan Mei ini, dan ia datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.


     
     
  • Tiada kutipan tol untuk semua kenderaan di Jambatan Pulau Pinang jika PH menang PRU 14 – Lim Guan Eng

    Tiada kutipan tol untuk semua kenderaan di Jambatan Pulau Pinang jika PH menang PRU 14 – Lim Guan Eng

    Memberi respon terhadap janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa motorsikal tidak akan dikenakan tol di Jambatan Pulau Pinang sekiranya BN kembali mengusai negeri itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng menyatakan bukan sahaja kenderaan dua roda, malah semua kenderaan yang melalui jambatan berkenaan tidak perlu lagi membayar sebarang tol sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat memerintah negara pada Pilihanraya Umum kali ini.

    Perkara ini dinyatakan pada laman facebook rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan menyebut, “Undi PH dan caj tol untuk jambatan pertama akan dihapuskan setelah kami mengambil alih Putrajaya.”

    Dalam kenyataan Perdana Menteri sebelum ini, beliau berjanji untuk melupuskan kutipan tol bagi motsikal di Jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang sekiranya BN dipilih kembali memerintah oleh rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. Buat masa ini, penunggang motosikal dikenakan tol RM1.40 pada jambatan pertama, manakala di jambatan kedua pula ialah RM1.70 untuk sekali masuk ke pulau berkenaan.

     
     
  • Pagani Huayra L’Ultimo – model coupe terakhir khas

    Pagani Huayra L’Ultimo – model coupe terakhir khas

    Selepas tujuh tahun dan 99 unit dikeluarkan, akhirnya Pagani Huayra telah diberhentikan pengeluarannya. Bagi menandakan pengakhirannya secara istimewa, pengeluar tersebut telah menunjukkan model terakhir, iaitu L’Ultimo. Menurut duPont Registry, model ini dibina khas untuk CEO pengedar Pagani di Miami, Brett David.

    Kereta ini akan keluar pada bulan Jun, dan merupakan hasil kolaborasi selama lapan bulan antara pengeluar kenderaan dari Itali tersebut dengan David. Ia juga menggunakan satu teknologi baru yang membolehkan pelanggan mereka lukisan render kenderaan mereka secara virtual.

    Huayra L’Ultimo menggunakan warna perak serta perincian hijau yang memberi penghormatan kepada kenderaan F1 Mercedes-AMG yang mendominasi perlumbaan tersebut menggunakan khidmat Lewis Hamilton. Ia juga diberikan sedikit naik taraf berbanding coupe biasa, termasuk splitter hadapan lebih besar dan sayap belakang yang tetap. Bahagian dalam juga menggunakan warna sama, dipadankan bersama tempat duduk putih dan tentunya kemasan gentian karbon.

    Bahagian mekanikal tidak berubah, bermakna ia masih lagi menggunakan enjin 6.0 liter V12 twin turbo daripada Mercedes-AMG. Sudah jelas ia tidak memerlukan kuasa yang lebih kerana dalam pakej standard sahaja, ia sudah mampu menghasilkan 720 hp pada 5,800 rpm dan 1,000 Nm tork antara 2,600 hingga 4,200 rpm. Transmisi adalah unit manual automatik sequential tujuh kelajuan daripada XTrac.

    Jika masih ada yang berminat dengan Huayra, Pagani sebenarnya masih lagi menghasilkan Huayra Roadster dan Huayra BC yang lebih berprestasi. Malah, anda juga mungkin boleh mendapatkan model khas tersendiri sekiranya mampu kerana melihat kepada Zonda, walaupun dikatakan sudah diberhentikan pengeluarannya, masih ada model baru yang diperkenalkan.

     
     
  • PEDA gesa kerajaan jalankan polisi Jangka Hayat Kenderaan untuk naikkan jumlah jualan kereta baharu

    PEDA gesa kerajaan jalankan polisi Jangka Hayat Kenderaan untuk naikkan jumlah jualan kereta baharu

    Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA) telah menggesa kerajaan untuk melupuskan kereta lama untuk meningkatkan jualan dan pertumbuhan sektor automotif, lapor The Malaysian Reserve.

    Menurut berita tersebut, PEDA mahu kerajaan meneruskan polisi Jangka Hayat kenderaan yang diketengahkan pada 2009 dahulu. Ketika dicadangkan, polisi berkenaan memerlukan pemilik kenderaan yang berusia lebih dari 15-tahun atau lebih untuk dibawa ke pemeriksaan mandatori bagi membolehkan cukai jalan dihidupkan semula.

    Sekiranya kenderaan tersebut gagal ujian, ia perlu diperbaiki sehingga mematuhi kesemua kriteria, atau dilupuskan terus seperti yang dibuat di Singapura. Polisi ini sepatutnya telah dijalankan pada tahun 2014, namun atas rungutan orang ramai, menteri MITI Datuk Seri Mustapa Mohamed mennyatakan bahawa “rakyat masih belum bersedia” untuk polisi sedemikian.

    Isu ini sekali lagi ‘berbunyi’ pada 2015 apabila Institut Automotif Malaysia (MAI) mencadangkan agar polisi tersebut ditukar kepada skim yang menawarkan wang tunai untuk kenderaan lama. Skim yang dicadangkan ini membolehkan pemilik mendapat rebat tunai RM5,000 apabila mereka mahu menukar kereta lama ke kereta baharu (tidak kira apa-apa jenama) dari mana-mana pengilang OEM. Untuk rekod, Proton sendiri telah menjalankan skim sedemikian pada tahun 2007 menerusi Program Proton Xchange.

    Sistem yang dicadangkan ini nampak seperti akan dijalankan, namun tarikh implementasinya masih lagi belum diumumkan. Tahun lalu, menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata polisi ini penting kerana makin berusia sesebuah kenderaan itu, makin banyak masalah yang akan timbul. Beliau turut menyatakan bahawa kajian terhadap polisi tersebut kini dalam peringkat akhir.

    “Setakat ini, kira-kira sejumlah 28 juta kenderaan telah didaftarkan, tetapi banyak daripadanya tidak lagi selamat untuk dipandu,” kata penasihat PEDA Datuk Armin Baniaz Pahamin. Beliau turut menambah bahawa skim pelupusan kenderaan ini telahpun diamalkan di negara membangun seperti Singapura, dan ia merupakan faktor untuk memacu jualan kereta baharu. “Kerajaan mesti perlu untuk membawa isu ini ke rebiu Dasar Automotif Nasional (DAN) seterusnya kerana pasaran kini sudah matang,” katanya.

    Walaupun skim ini diamalkan dinegara membangun sebagai contoh yang diberikan penasihat PEDA tadi iaitu Singapura, pasaran, situasi dan kemampuan antara republik berkenaan dengan negara kita tentunya berbeza. Apa pula pendapat anda? Kongsikannya pada ruang komen di bawah, atau pada laman facebook kami.

     
     
  • Toyota Prius facelift 2019 muncul dalam majalah Jepun

    Toyota Prius facelift 2019 muncul dalam majalah Jepun

    Jika apa yang muncul dalam majalah Best Car dari Jepun ini boleh dipercayai, nampaknya Toyota Prius akan diberikan facelift tidak lama lagi. Model hibrid generasi keempat sekarang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2015, dan waktu untuk pembaharuan sememangnya diperlukan.

    Melihat kepada gambar ini, bahagian depan Prius baru nampaknya akan menggunakan lampu utama yang lebih nipis, dan tiada lagi bahagian yang menurun ke bawah. Selain daripada itu, terdapat juga jalur LED menegak di hujung bampar tersebut, bersama bukaan udara bawah yang direka semula untuk menempatkan lampu kabus berbentuk bulat.

    Toyota Prius facelift 2019 muncul dalam majalah Jepun

    Pergi pula ke bahagian belakang, lampunya serba baru, dengan bentuk lebih tajam, dan garisannya bersambung dengan ‘spoiler‘ di atas penutup but belakang. Bampar juga adalah baru, dengan rekaan yang lebih bersih dan terdapat garisan ke bawah di penjurunya.

    Masih belum dapat dipastikan sama ada enjin hibrid pada kenderaan ini akan diberikan naik taraf, dan kita perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Toyota sendiri. Prius yang ada sekarang menggunakan enjin petrol empat silinder 1.8 liter Atkinson Cycle VVT-i berkuasa 97 hp/ 142 Nm dan dipadankan bersama motor elektrik 71 hp/ 163 Nm tork.

     
     
  • Tol LPT2 turun 50% jika BN menang di Terengganu

    Tol LPT2 turun 50% jika BN menang di Terengganu

    Bahang pilihanraya makin terasa, dan bermacam ‘tawaran’ diberikan kepada pengundi oleh kesemua parti yang bertanding, termasuk tawaran-tawaran untuk sistem pengangkutan.

    Pagi tadi kami menyiarkan berita bahawa Barisan Nasional akan memansuhkan kutipan tol untuk pengguna motosikal di Jambatan Pulau Pinang, dan yang terbaharu ini parti yang sama berjanji akan mengurangkan kadar sehingga 50% untuk tol Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) jika mereka dapat menawan Terengganu.

    Pengumuman tersebut dinyatakan oleh timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah satu perkara dalam manifesto 20-poin parti berkenaan untuk Terengganu ketika berkunjung ke negeri di Pantai Timur berkenaan.

    “Kami akan mengurangkan kadar tol di LPT2 sehingga 50% secara berperingkat,” kata menteri besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman selepas merasmikan jentera pilihanraya Barisan Nasional Kuala Berang.

    Buat masa sekarang, kenderaan Kelas 1 yang melalui lebuhraya itu bermula di Karak hingga ke Kuala Terengganu akan dikenakan bayaran RM43.30. Kadar berkenaan dikira berdasarkan kiraan 12 sen untuk setiap kilometer.

     
     
  • PSA Group lantik Laurence Noël sebagai CEO bagi usaha sama Naza Automotive Manufacturing di M’sia

    PSA Group lantik Laurence Noël sebagai CEO bagi usaha sama Naza Automotive Manufacturing di M’sia

    Susulan kepada pengambil alihan majoriti kepentingan di dalam Naza Automotive Manufacturing (NAM) oleh PSA Group, syarikat Perancis itu telah melantik Laurence Noël sebagai Ketua Pegawai Operasi (CEO) untuk usaha sama dengan NAM di Malaysia. Beliau juga akan menyandang jawatan Naib Presiden Kanan, Operasi ASEAN untuk kumpulan itu.

    Laurence pertama kali menyertai PSA Group pada 1995, dan memegang jawatan terakhir sebagai di bahagian projek powertrain. Pada 2014, beliau diberi tanggungjawab untuk mengetuai jabatan Powertrain, Platform and Module Programmes bagi PSA Group.

    Jawatan terbaru ini nanti, yang akan memerlukan beliau bertugas di Kuala Lumpur, beliau bertanggungjawab untuk mempercepat pembangunan syarikat itu di Asia Tenggara, seperti yang diumumkan dalam pelan “Push to Pass” pada 2016. Ini termasuk mengeluarkan dan memasarkan kenderaan Peugeot, Citroen dan DS Automobiles di Malaysia dan pasaran ASEAN yang lain.

    Seperti dilaporkan sebelum ini, pelaburan PSA di NAM akan menyaksikan pelaksanaan pemasangan platform modeular EMP2 untuk kenderaan segmen C dan D. Model pertama yang akan dipasang di Gurun, Kedah itu tahun ini ialah Peugeot 3008 (ketika ini dijual sebagai unit CBU) serta Citroen C5 Aircross pada 2019.

    Kilang NAM telah beroperasi sejak 2004 dan mempunyai kapasiti 50,000 unit setahun, dengan tenaga kerja seramai 450 orang. NAM dijangka akan menjadi hab eksport bagi PSA di rantau ini, dengan sasaran pengeluaran 18,000 unit pada 2019 dan 21,000 unit pada 2020.

     
     
  • Terowong Smart akan ditutup sementara malam Sabtu ini untuk acara Viper Tunnel Challenge 2018

    Terowong Smart akan ditutup sementara malam Sabtu ini untuk acara Viper Tunnel Challenge 2018

    Perhatian untuk pengguna jalan raya sekitar Kuala Lumpur, berberapa jalan sekitar Terowong Smart bakal ditutup kepada semua kenderaan bermula 11 malam pada Sabtu ini, dan dijangka akan dibuka semula pada hari Ahad pukul 8 pagi. Penutupan berkenaan adalah untuk memberi laluan untuk penganjuran acara Viper Tunnel Challenge yang akan dijalankan di kawasan tersebut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengendali Terowong Smart, penutupan tersebut akan melibatkan berberapa jalan dan pintu masuk terowong berkenaan, termasuk keseluruhan Jalan Imbi di hadapan Berjaya Times Square. Walau bagaimanapun lorong bertentangan Jalan Imbi ke Jalan Sultan Ismail akan dibuka seperti biasa.

    “Tambahan lagi, penutupan jalan ini turut melibatkan jalan masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui persimpangan lampu isyarat di Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail serta jalan masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui Jalan Barat.

    “Penutupan ini turut melibatkan jalan masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui Jalan Changkat Thambi Dollah dan jalan masuk ke Jalan Sultan Ismail dari bulatan Kampung Pandan, kenderaan akan dilencongkan ke Jalan Davis manakala laluan di bulatan Kampung Pandan akan dibuka seperti biasas,” kata kenyataan tersebut lagi.

    Jalan masuk ke Jalan Kampung Pandan dari Jalan Perkasa menuju ke Jalan Sultan Ismail turut ditutup. Jika anda merancang untuk ke kawasan-kawasan terlibat pada masa yang dinyatakan, anda dinasihatkan untuk membuat perancangan semula bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

     
     
  • Hapus tol untuk motosikal di jambatan P.Pinang – BN

    Hapus tol untuk motosikal di jambatan P.Pinang – BN

    Satu lagi janji dibuat oleh presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan kali ini adalah untuk penunggang motosikal. Menurut laporan The Sun, jika parti itu menang PRU 14 9 Mei nanti, Najib memberitahu akan menghapuskan tol jambatan Pulau Pinang untuk pengguna motosikal.

    Perkara ini diberitahu semasa beliau melancarkan satu program di SMK Seri Balik Pulau, dan akan dimasukkan dalam manifesto BN Pulau Pinang selepas berbincang dengan pemimpin di negeri itu.

    Pada masa ini, pengguna motosikal perlu membayar tol berharga RM1.40 untuk laluan jambatan dari Perai, manakala untuk jambatan kedua, ia berharga RM1.70. Kedua-dua bayaran ini dikenakan untuk satu hala sahaja, iaitu sewaktu menghala ke pulau.

    Menurut Najib lagi, janji ini juga dibuat sebagai tambahan kepada manifesto sedia ada, yang turut termasuk peruntukan untuk membina jambatan lintasan untuk motosikal di Kampung Seronok, Sungai Ara, Pulau Pinang sebanyak RM10.5 juta.

     
     
  • Peugeot 5008 2018 dibuka untuk tempahan – RM174k

    Peugeot 5008 2018 dibuka untuk tempahan – RM174k

    Pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn Bhd bakal melancarkan crossover 5008 terbaru di Malaysia 25 April ini, tetapi sebelum itu, ia dipertonton kepada orang ramai di Sunway Velocity Mall sehingga Ahad ini. Di bawah, kami ada galeri penuh untuk crossover tujuh tempat duduk ini.

    Hanya satu varian, iaitu Allure THP ditawarkan untuk 5008 yang diimport sepenuhnya (CBU) ini, dan ia telah pun dibuka untuk tempahan pada harga RM173,888 atas jalan tidak termasuk insurans. Ini menjadikan ia RM18,000 lebih mahal berbanding 3008 Allure THP, tetapi dengan menawarkan lebih tempat duduk dan ruang yang lebih besar. Turut disertakan adalah jaminan lima tahun/120,000 km serta 24-hour Peugeot Assistance selama tiga tahun.

    Jika melihat kepada dimensi, 5008 boleh dikatakan agak besar berbanding 3008, dengan ukuran 4,641 mm panjang (lebih 194 mm), 1,640 mm tinggi (lebih 16 mm) dan 1,844 mm lebar (lebih tiga mm). Jarak roda 5008 pula adalah 2,840 mm, iaitu 165 mm lebih panjang berbanding 3008.

    Peugeot 5008 2018 dibuka untuk tempahan – RM174k

    Anda juga mungkin boleh melihat beza badannya yang panjang serta cermin belakang yang lebih tegak berbanding 3008, tetapi bahagian lain masih lagi mirip antara keduanya. Ini termasuklah lampu hadapan LED penuh dengan lampu siang LED dan lampu penunjuk arah sequential, rim 18 inci “Los Angeles” dan lampu belakang LED dengan pencahayaan seperti cakar harimau.

    Bahagian dalam juga sama seperti 3008, menggunakan rekaan Peugeot i-Cockpit. Di atas roda sterengnya terdapat panel instrumen digital 12.3 inci, manakala di bahagian tengah mempunyai satu lagi skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen – dengan sambungan MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bila pergi ke bahagian belakang, barulah bezanya lebih jelas. Tempat duduk baris kedua 5008 ini boleh dilipat secara 40:20:40, dan apabila tegak, ia boleh disandar dan dilungsur ke depan dan belakang. Dengan hanya satu sentuhan, tempat duduk ini boleh dilipat dan dilungsur sedikit ke hadapan untuk masuk pula ke tempat duduk baris ketiga, dan bahagian ini boleh dilipat rata dengan pembahagian 50:50 atau dicabut terus kalau mahu.

    Seperti kebanyakan crossover tujuh tempat duduk lain, ruang simpanan apabila semua tujuh tempat duduk tegak adalah terhad, tetapi apabila baris ketiga dilipat, ia boleh memberikan ruang 702 liter – lebih 182 liter berbanding 3008. Apabila tempat duduk baris kedua juga dilipat, ruangnya menjadi 1,862 liter, dan anda boleh meningkatkannya lagi menjadi 1,940 liter apabila tempat duduk baris ketiga dicabut terus. Sama seperti 3008, tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dilipat rata untuk memuatkan barang yang lebih panjang.

    Barangan standard yang diberikan adalah sama dengan 3008 Allure, termasuk lampu kabus LED, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, kemasan dalam kulit “Claudio”, papan pemuka dan trim pintu yang dibalut fabrik, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan memori, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri, corong pendingin hawa baris kedua dan kamera undur.

    Untuk aspek keselamatan pula, kenderaan ini didatangkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), Electronic Stability Programme (ESP), Hill Assist Descent Control (HADC), Hill Start Assist, Lane Departure Warning, pengenalan tanda jalan, pemerhati tekanan angin tayar serta pengesan jarak depan dan belakang.

    Peugeot 5008 2018 dibuka untuk tempahan – RM174k

    Model baru ini masih lagi menggunakan khidmat enjin empat silinder 1.6 liter THP 165 turbo dengan sistem start/stop, dan ia mampu menghasilkan sehingga 165 hp pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork pada 1,400 rpm. Transmisi adalah daripada Aisin dengan enam kelajuan automatik, dan kuasa dihantar ke roda hadapan.

    Walaupun merupakan kenderaan pacuan dua roda, pengguna masih boleh menggunakan ciri Advanced Grip Control untuk membenarkan bahagian elektronik pada casis untuk menghasilkan cengkaman yang bersesuaian dengan permukaan jalan. Turut disediakan adalah lima mod pemanduan – Mud, Snow, Sand, ESP Off dan Standard – yang boleh dipilih menggunakan tombol di konsol tengah.

     
     
  • Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018 – spesifikasi dan harga didedahkan, bermula di bawah RM140k

    Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018 – spesifikasi dan harga didedahkan, bermula di bawah RM140k

    Kini bukan lagi rahsia; selepas agak lama menyepi dari memperkenalkan model baru untuk pasaran tempatan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Sdn Bhd bakal memperkenalkan MPV Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018.

    Selepas pernah dilihat sedang diuji di jalan raya Malaysia, serta dipertontonkan di Bagan Datok, Perak beberapa minggu lalu dan kemudiannya dibuka untuk tempahan, kini MPV ini dipertontonkan secara rasmi buat pertama kali kepada wakil media.

    ETCM turut mengumumkan MPV ini turut akan ditawarkan di dalam varian Premium Highway Star sebagai tambahan kepada varian Highway Star biasa, dengan harga anggaran masing-masing ialah di bawah RM155k dan di bawah RM140k.

    Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018 – spesifikasi dan harga didedahkan, bermula di bawah RM140k

    Bagi membezakan varian Premium Highway Star daripada model asas, antara tambahan ciri yang ditawarkan padanya ialah warna luaran dwi-tona dan senarai kelengkapan eksklusif untuk varian ini. Tiga pilihan warna dwi-tona disediakan – Imperial Umber (bumbung)/Cashmere Gold (badan), Diamond Black (bumbung)/Tungsten Silver (badan) dan Diamond Black (bumbung)/Brilliant White (badan).

    Di dalam, ia hadir dengan tempat duduk material gabungan kulit dengan dua pilihan warna – dwi-tona Truffle Brown/Chesnut atau dalam warna hitam sepenuhnya. Kelengkapan lain yang ada termasuk panel LCD 10.1-inci pada bumbung, Tech-On Tray Mat, perakam video DVR, lampu kabin LED, rim aloi 16-inci, visor pintu, filem keselamatan V-Kool 4Mil dan body coating ThreeBond Ultra Glass.

    Secara umumnya, MPV ini menggunakan penjana kuasa yang sama seperti C26 Serena, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018 – spesifikasi dan harga didedahkan, bermula di bawah RM140k

    Unit ini turut dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO (1.9 kW) untuk mengawal fungsi Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyah-pecutan. Ia juga mempunyai 48 Nm tork tambahan.

    Tahap penggunaan minyak yang dicatatkan oleh model ini pula ialah 14.2 km/l (kitaran NEDC). Ini memberikan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 13% berbanding yang sebelumnya.

    Untuk keselesaan penumpang, ruang kabinnya juga menerima keluasan tambahan – lebar ruang dalamnya ditambah sebanyak 65 mm, manakala panjang ruang berkenaan pula ditambah 180 mm berbanding versi sebelum ini. Barisan kedua juga menggunakan “captain seat” dengan dua perehat lengan.

    Ciri-ciri menarik lain yang ada pada model ini adalah seperti tujuh slot USB untuk mengecas peranti elektronik setiap penumpang, pintu belakang yang mempunyai dua bahagian untuk bukaan, Intelligent Key dengan fungsi Push/Start serta paparan audio Clarion 6.75-inci dengan enam pembesar suara.

    Antara pembaharuan yang diberikan pada model baru Serena S-Hybrid ini termasuk kabin yang lebih senyap, nisbah steering rack yang ditingkatkan (untuk maklum balas yang lebih cepat) serta variable assist pada stereng kuasa elektriknya agar menjadi lebih ringan ketika kelajuan rendah dan menjadi lebih berat ketika kelajuan ditingkatkan.

    Selain itu, mounting suspensi depan dan belakang juga dikeraskan, disertakan dengan injap prestasi tiggi di dalam penyerap hentak, menjadikan pemanduan lebih stabil dan selesa.

    Kelengkapan standard yang ada bagi MPV tujuh-tempat duduk ini (dengan 13 konfigurasi berbeza) termasuk pintu gelungsur dwi-kuasa, Paparan Pandangan Sekeliling 360-sudut (I-AVM) dengan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD). Kelengkapan keselamatan yang tersedia termasuklah kawalan dinamik kenderaan (VDC), ABS dan EBD, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman (TCS) enam beg udara dan dua cagak Isofix.

    Nissan Serena S-Hybrid 2018 Highway Star

     
     
  • Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

    Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

    Setelah versi yang dijana enjin V12 diperkenalkan pada pasaran tempatan hampir dua tahun lalu, kini Aston Martin membawa pula model DB11 yang dijana enjin V8 ke Malaysia secara rasmi.

    Untuk versi enjin lapan-silinder ini, DB11 dijana enjin yang dibekalkan oleh rakan teknikal Aston Martin iaitu Mercedes-AMG, dengan unit V8 turbo berkembar dari siri ’63’. Enjin M177 yang turut boleh ditemui pada model Mercedes-AMG C63 S tersebut menggunakan sistem pelinciran jenis takungan basah, berbanding enjin M178 pada AMG GT S yang menggunakan sistem takungan minyak pelincir jenis kering.

    Dari segi kuasa pula, versi V8 ini menghasilkan 510 PS dan tork maksima 675 Nm, berbanding versi V12 5.2 liter turbo berkembar yang mampu menjana 608 PS/700 Nm. Walau bagaimanapun, Aston Martin tidak menggunakan sekali kotak gear klac berkembar AMG SpeedShift tujuh-kelajuan untuk mengalirkan kuasa dari enjin ke roda belakang, sebaliknya menggunakan unit automatik konvensional lapan-kelajuan dari ZF.

    Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

    Walaupun kuasa yang dihasilkan kurang 98 PS/25 dari model V12, versi V8 ini masih mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 301 km/j, atau hanya 0.1 saat lebih lambat dan 21 km/j kurang pada kelajuan maksima.

    Ini adalah kerana model dengan enjin lebih kecil ini dibina 115 kg lebih ringan (1,760 kg) berbanding model V12 yang ditimbang pada 1,875 kg. Bagi memuatkan enjin yang jelas berbeeza tersebut, cagak enjin untuk DB11 V8 ini telah direka semula. Talaan suspensi pada badan yang kini lebih ringan ini juga telah dibuat kembali.

    Rupa keseluruhan model V8 ini sebahagian besarnya masih sama seperti versi V12. Bagi membezakan antara keduanya, model V8 diberikan sepasang liang udara pada bonet (empat pada model V12), bezel lampu lebih gelap dan juga rim aloi berbeza.

    Bahagian dalam juga direka hampir seiras untuk kedua-dua model. Ia dilengkapi dengan kluster informasi digital dengan paparan TFT LCD bersaiz 12-inci, serta skrin tengah utama pada bahagian tengah yang dihubungkan pada sistem infotaimen COMAND – satu lagi contoh kerjasama teknikal antara Mercedes dan Aston Martin.

    Aston Martin DB11 V8 ini dijual ‘lebih murah’ dengan harga asas termasuk cukai “sekitar RM1.8 juta” berbanding versi V12 yang dijual pada harga “sekitar RM2 juta”. Ok, sekarang boleh berangan, nak yang V8 ke atau nak tambah lagi RM200k untuk versi V12?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025