Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS tawar rebat tol sebanyak 20%, keluarkan jadual cadangan perjalanan sempena Tahun Baharu Cina

    PLUS tawar rebat tol sebanyak 20%, keluarkan jadual cadangan perjalanan sempena Tahun Baharu Cina

    Sempena dengan Tahun Baharu Cina yang bakal berlangsung hujung minggu hadapan, sudah pasti ramai di antara kita yang merancang untuk pulang ke kampung atau pun bercuti ke mana-mana destinasi. Bagi yang memilih untuk memandu ke mana jua destinasi menggunakan di bawah kelolaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi tersebut telah mengumumkan pemberian rebat tol sebanyak 20%.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, rebat tol ini bakal ditawarkan pada empat hari bukan puncak iaitu 12, 13, 20 dan 21 Februari. Pada tarikh-tarikh tersebut, rebat 20% diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membuat perjalanan melebihi 100 kilometer dan membayar tol menggunakan kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang telah didaftarkan menerusi portal PLUSMiles.

    “Penawaran rebat tol 20 peratus tersebut merupakan langkah PLUS untuk menggalakkan orang ramai bergerak pada hari-hari bukan puncak di samping memberi penghargaan kepada pemegang-pemegang kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go yang berdaftar dengan portal PLUSMiles kami,” tambah Azman.

    Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 20% akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go masing-masing (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang berdaftar menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Mac sehingga 14 Jun 2018.

    Untuk mendaftar, pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go boleh melayari portal PLUSMiles di www.plusmiles.com.my untuk melayakkan mereka menikmati rebat tol yang ditawarkan.

    Walau bagaimanapun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

    PLUS tawar rebat tol sebanyak 20%, keluarkan jadual cadangan perjalanan sempena Tahun Baharu Cina

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menjangkakan kira-kira 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada setiap hari puncak pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina iaitu peningkatan sebanyak 10.3% berbanding hari-hari biasa.

    Selain daripada pemberian rebat tol, PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membolehkan orang ramai merancang perjalanan mereka pada musim perayaan yang akan datang.

    Menurut Azman, “TTA yang dikeluarkan untuk perjalanan lebuh raya pada 9 Februari hingga 25 Februari ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan terkumpul dan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama kerana ia boleh menyumbang kepada kesesakan.”

    Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang jauh seperti Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi.

    Manakala orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih dekat seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak Selatan dan Perak Tengah pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.

    “Dengan mematuhi TTA yang dikeluarkan PLUS, pergerakan trafik di lebuh raya akan menjadi lebih lancar kerana kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh tidak akan bertembung dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat,” jelas Azman.

     
     
  • DBKL akan audit semula laluan basikal di ibu kota

    DBKL akan audit semula laluan basikal di ibu kota

    Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz mengesahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengaudit semula laluan basikal di sekitar ibu kota.

    Katanya laluan sepanjang 11 km tersebut akan diaudit dalam tempoh dua bulan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya untuk jangka masa panjang. Kos penambahbaikan laluan basikal berkenaan adalah berjumlah RM4 juta, dilaporkan oleh Bernama.

    “Antara perkara yang perlu diselaras semula adalah laluan bas, pejalan kaki dan basikal yang dikatakan bertindih di kawasan-kawasan tertentu. Contohnya di Jalan Raja Laut, laluan bas turut digunakan sebagai laluan pejalan kaki dan basikal, ia dilihat bertindih dan sebenarnya berbahaya jika laluan itu digunakan secara serentak.

    “Kami sebenarnya mempunyai pelan induk untuk menambah baik laluan basikal sepanjang 11km itu, namun, kami perlu mendapatkan maklum balas daripada orang awam dahulu untuk pengauditan semula,” katanya pemberita selepas merasmikan ‘World Urban Village’ sempena World Urban Forum 9 (WUF9) semalam.

    Malah sempena dengan persidangan WUF9, beliau turut akan mengambil pandangan daripada datuk bandar serta duta-duta dari negara Eropah untuk penambahbaikan laluan basikal.

    “Di negara-negara Eropah misalnya, mereka sudah lama melaksanakan laluan basikal dan ia dilihat sangat sistematik. Malaysia baru sahaja melaksanakannya, jadi banyak perkara yang perlu dipelajari daripada mereka. Laluan basikal yang ada pada masa sekarang masih lagi dalam tempoh percubaan. Sekiranya mendapat sambutan positif, kami akan memanjangkan laluan basikal ke kawasan-kawasan lain,” katanya.

     
     
  • Ford Ranger Raptor didedahkan di Thai – 2.0L diesel, 2 pengecas turbo, 213 PS/500 Nm, 10-kelajuan auto!

    Ford Ranger Raptor didedahkan di Thai – 2.0L diesel, 2 pengecas turbo, 213 PS/500 Nm, 10-kelajuan auto!

    Seperti dijanjikan sebelum ini, trak pikap berprestasi tinggi sebenar Ford Ranger Raptor telah membuat kemunculan sulung peringkat globalnya di Thailand semalam. Nama ‘Raptor’ pada trak yang diasaskan dari Ranger T6 ini bukan diberikan berdasarkan rupanya yang lebih garang, tetapi ia sememangnya diberikan prestasi yang jauh lebih liar dari versi standard, bayangan kepada abang besarnya – F-150 Raptor.

    Berbanding versi biasa yang menerima enjin Puma turbodiesel 2.2 liter dan 3.2 liter Duratorq, Ranger Raptor diberikan enjin Panther turbodiesel 2.0 liter EcoBlue baharu, dengan dua unit pengecas turbo. Enjin tersebut mampu menjana 213 PS dan tork 500 Nm – 13 PS/30 Nm lebih berkuasa dari enjin 3.2 liter Duratorq – dan takat redline pula ditetapkan 4,500 rpm.

    Berbeza dari enjin EcoBlue pada Ford Transit atau model-model lain, unit janakuasa pada Ranger Raptor ini hadir dengan manifold kemasukan yang lebih besar. Manakala untuk sistem turbonya pula, Ford memberikan dua buah pengecas berlainan saiz bagi memastikan kuasa maksima dapat diberikan pada setiap peringkat kelajuan enjin.

    Pada takat rpm rendah, kedua-dua pengecas turbo kecil dan besar tersebut beroperasi bersama bagi mengelakkan berlakunya turbo-lag serta memperbaiki penghantaran tork serta respon enjin. Manakala pada takat rpm tinggi, hanya unit pengecas turbo besar beroperasi bagi memberikan tekanan boost maksima.

    Ford Ranger Raptor didedahkan di Thai – 2.0L diesel, 2 pengecas turbo, 213 PS/500 Nm, 10-kelajuan auto!

    Kuasa dari enjin berkenaan dialirkan ke kotak gear automatik 10-kelajuan Getrag 10R80 – sama seperti yang digunakan pada Raptor F-150. Namun menurut Ford, unit pada Ranger Raptor ini diberikan nisbah gear yang ditala semula bagi disesuaikan secara sempurna kepada enjin diesel Bi-turbo berkenaan (F-150 menggunakan enjin petrol V6 turbo 3.5 liter EcoBoost), agar kuasa optimal dan kadar kecekapan dapat dicapai pada setiap gear.

    Dengan 10-gear tersebut juga, nisbah dapat disebarkan lebih luas dan menurut Ford lagi penukaran gear juga lebih pantas. Kotak gear ini dibina dengan gabungan material logam berketahanan tinggi, aluminium serta komposit bagi memastikan ia teguh serta mengekalkan berat yang rendah. Transmisi ini turut dibantu dengan perisian penukaran gear adaptif baharu manakala pedal penukar gear pada stereng diberikan sebagai ciri standard.

    Ranger Raptor juga dikatakan mempunyai kebolehan off-road lebih baik dari versi Ranger lain. Kerangka serta rel sisi Raptor ini dibina menggunakan logam aloi rendah berkekuatan tinggi (HSLA), membolehkan ia menerima asakan laluan off-road pada kelajuan tinggi.

    Manakala untuk suspensi pula, geometrinya telah diubah semula serta menerima pelbagai peralatan berprestasi tinggi. Untuk bahagian hadapan, ia diberikan set penyerap hentak yang menonjol, manakala bahagian belakang pula menerima sistem dengan spring jenis gegelung. Gandar belakang juga dibekalkan dengan Watt’s Linkage bagi memastikan ia hanya bergerak turun-naik, dan mengurangkan peralihan sisi walaupun pada kelajuan tinggi.

    Ford Ranger Raptor didedahkan di Thai – 2.0L diesel, 2 pengecas turbo, 213 PS/500 Nm, 10-kelajuan auto!

    Keempat-empat ‘kaki’ Ranger Raptor ini menerima penyerap hentak 46.6 mm berprestasi tinggi Fox Racing Shox bersama sistem Position Sensitive Damping (PSD). Sistem tersebut mampu menyerap kejutan tinggi apabila trak pikap ini dibelasah pada laluan off-road, serta memberikan keselesaan ketika dipandu pada jalan raya biasa.

    Trak ini diberhentikan dengan sistem brek yang ditingkat taraf, menggunakan cakera berliang 332 mm bersama angkup brek dua-piston yang 9.5 mm lebih besar dari Ranger standard pada bahagian hadapan, serta cakera dengan angkup 54 mm di belakang. Versi istimewa ini juga diberikan set rim yang direka khas untuknya bersaiz 17-inci, dibaluti tayar all-terrain dari BF-Goodrich bersaiz 285/70R17.

    Bahagian luaran, Raptor lebih kecil ini turut dipengaruhi dengan rekaan dari F-150 Raptor. Gril hadapan kemasan dengan tulisan ‘FORD’ besar diberikan pada trak ini. Bampar hadapan pula direka bagi membolehkan ia dipasang terus pada kerangka badan dan ia dibina dengan prestasi ketahanan tinggi dan turut menempatkan lampu kabus LED dan liang aliran udara yang berfungsi.

    Flare pada setiap fender pula dibina dari bahan komposit bagi membolehkan ia bertahan dari kerosakan fizikal seperti calar dan lekuk, dan direka bagi disesuaikan dengan pergerakan strok suspensi lebih panjang serta roda yang lebih besar.

    Dengan rekaan semula tersebut, secara tidak langsung dimensi Raptor ini turut berbeza dengan Ranger T6 standard. Versi lebih liar ini diukur dengan tinggi 1,873 mm, 2,180 mm lebar, 5,398 mm panjang, trek hadapan dan belakang yang 150 mm lebih lebar (1,710 mm) serta kelegaan tanah juga meningkat kepada 283 mm. Ranger Raptor turut direka dengan sudut approach 32.5 darjah, sudut ramp over 24 darjah dan sudut departure 24 darjah – membolehkan ia melalui laluan off-road dengan lebih baik.

    Step board trak pikap ini juga direka secara spesifik bagi memastikan batu yang terkais dari tayar tidak terkena pada bahagian belakang. Menurut Ford, komponen tersebut dibuat dari aloi aluminium yang mampu menahan beban 100 kg yang dikenakan sebanyak 84,000 kali. Ia juga menerima proses salutan dua-peringkat bukan sahaja untuk kelihatan lasak, malah tahan terhadap calar, kotoran atau apa sahaja ancaman sekitar.

    Manakala pada bampar belakang pula, ia turut dilengkapi dengan bar tunda bersama dua cangkuk penyelamat yang mampu menampung beban 3.8 tan. Kapasiti menunda trak ini pula ditetapkan pada 2,500 kg sementara bed belakang direka dengan dimensi 1,560 mm lebar dan 1,743 mm, dan turut dilengkapi dengan lubang bagi melepaskan air, pasir, lecak atau salji yang terperangkap.

    Bagi memastikan komponen bawah badannya sentiasa dilindungi, Ranger Raptor diberikan kepingan logam pelindung yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi dengan tebal 2.3 mm. Plat dengan kemasan perak berkenaan melindungi komponen sistem transmisi, radiator, sistem stereng berkuasa elektrik (EPAS), penggerak aksesori hadapan (FEAD), cross-member hadapan, takung minyak enjin dan juga differential hadapan.

    Masuk ke kabin, Ranger Raptor menampilkan imej sebuah model Ford Performance sebenar. Tempat duduk trak ini direka bagi menampung prestasi ketika pemandu berseronok di laluan off-road, disokong dengan roda stereng sport bersama pedal penukar gear dari material magnesium. Secara keseluruhan, kabin ini diberikan upholsteri kulit bersama serlahan jahitan benang biru, manakala kluster paparan pula dibina untuk kawalan pelbagai mod pemanduan.

    Mod pemanduan tersebut dikawal dengan Terrain Management System – menyediakan enam mod pemanduan berbeza. Dua daripadanya – Normal dan Sport – direka untuk pemanduan di atas permukaan tar. Manakala empat mod lain – Grass/Gravel/Snow, Mud/Sand, Rock dan Baja – direka untuk prestasi maksimum pada laluan off-road. Jika Ranger Raptor ini sampai ke Malaysia kelak, mod Gravel dan Baja mungkin kita boleh gunakan di ladang sawit dan getah, untuk memandu seperti Karamjit Singh.

    Kelengkapan lain yang turut hadir pada trak pikap ini termasuk skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotaimen SYNC 3, kamera undur, serta sistem bantuan pemanduan lain seperti ESC, Trailer Sway Control, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Bukit dan Load Adaptive Control.

    Ford Ranger Raptor ditawarkan dalam lima warna – Lightning Blue, Race Red, Shadow Black, Frozen White dan warna utama unik yang digelar Conquer Grey – yang mana kesemuanya menerima serlahan kontras Dyno Grey. Menurut Ford, trak pikap liar ini “akan di bawa keseluruh Asia Pasifik serta serata dunia.” Jadi, ini bermaksud peluang untuk ia tiba ke Malaysia sangat cerah – sama-sama lah kita berharap ya!

     
     
  • Isuzu D-Max Premium dan Z-Prestige diperbaharui

    Isuzu D-Max Premium dan Z-Prestige diperbaharui

    Isuzu Malaysia Sdn Bhd telah mengumumkan trak pikap mereka, iaitu D-Max diperbaharui untuk jualan tahun 2018. Pembaharuan luar dan dalam ini melibatkan varian 2.5L 4×4 MT-P dan 3.0L 4×4 AT-P, iaitu varian Premium bagi kedua-dua model yang menggunakan enjin 2.5L dan 3.0L, serta varian Z-prestige.

    Pembaharuan yang diberi pada semua model ini dimulakan dengan sistem informasi dan hiburan lengkap dengan skrin sesentuh 8-inci, serta navigasi GPS, Smart Mirroring, Wi-Fi, soket AUX, USB, iPod dan Bluetooth. Di dalam sistem ini juga telah dimuat naik lokasi untuk pusat servis rasmi Isuzu untuk memudahkan pengguna.

    Bagi varian Z-Prestige, ia mendapat satu lagi kelengkapan tambahan iaitu pelapik kargo gelungsur yang diletakkan di bahagian belakang. Pelapik ini boleh dilungsurkan keluar daripada bahagian kargo, menjadikannya lebih mudah bagi pengguna untuk mengambil barang. Bagi varian lain, pelapik ini boleh didapati sebagai pilihan tambahan.

    Isuzu D-Max Premium dan Z-Prestige diperbaharui

    Satu lagi peningkatan yang diberi untuk D-Max ini adalah dikongsi untuk varian 3.0L 4×4 AT-P dan juga Z-Prestige, iaitu tempat duduk yang dibalut dengan kulit. Varian lain masih lagi menggunakan tempat duduk fabrik. Selain daripada itu, D-Max yang dipertingkat ini juga boleh didapati dalam pilihan warna baru Cavalry Purple, yang menggantikan warna Nautilus Blue Mica sebelum ini.

    Harga bagi Isuzu D-Max 2.5L 4×4 MT-P adalah RM105,811.20, 3.0L 4×4 AT-P RM123,517.40, Z-Prestige 2.5L bermula RM119,379.20 manakala Z-Prestige 3.0L pula bermula RM130,354.40. Semua harga ini adalah termasuk GST, tetapi tidak termasuk insurans, untuk pendaftaran individu.

     
     
  • Harga minyak 8-14 Februari – petrol naik, diesel turun

    Harga minyak 8-14 Februari – petrol naik, diesel turun

    Minggu lalu, harga runcit bagi bahan api petrol dan diesel masing-masing naik dua dan tiga sen. Untuk tempoh seminggu akan datang, harga berkenaan akan berubah lagi.

    Bagi petrol harga jualan bagi RON 95 menjadi RM2.33 seliter atau naik 2 sen, manakala manakala RON 97 pula pada harga RM2.61 seliter – naik 3 sen berbanding minggu lalu

    Bagaimanapun, harga bagi bahan api diesel sebaliknya akan turun tiga sen. Harga jualan bagi diesel Euro 2M akan menjadi RM2.31 seliter, manakala diesel Euro 4 akan dijual pada harga RM2.41 seliter. Harga baru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti dan berlangsung sehingga Rabu minggu hadapa, 14 Februari 2018.

     
     
  • Maruti Suzuki Concept Future-S buat penampilan kali pertama di India – bawa gaya menarik untuk crossover

    Maruti Suzuki Concept Future-S buat penampilan kali pertama di India – bawa gaya menarik untuk crossover

    Semasa acara pameran kenderaan Auto Expo 2018 yang sedang berlangsung di New Delhi, India, Maruti Suzuki telah mempertontonkan buat kali pertama di dunia, sebuah model konsep yang dinamakan sebagai Concept Future-S. Kenderaan ini membawa gaya crossover yang lebih futuristik, dan dibangunkan sendiri oleh pasukan pereka Maruti Suzuki.

    Seperti yang boleh dilihat dalam gambar rasmi ini, Concept Future-S menggunakan dua tona warna utama iaitu oren terang, dan putih, pada badannya yang terletak tinggi. Lampu utama yang terdapat di kedua bucu kenderaan ini adalah nipis dan garisannya bersambung di tengah. Bawah pada lambang Suzuki yang besar itu pula, terdapat panel yang berlubang, menggantikan gril biasa.

    Apabila dilihat dari tepi pula, kita dapat menyaksikan kenderaan ini mempunyai bumbung yang rendah, manakala pintu pula hanya ada dua. Walaupun sekali imbas rekaannya sedikit mengingatkan kita kepada kereta dalam cerita kartun, ia masih lagi nampak tegap dengan lengkuk tayar yang membonjol.

    Rekaan bahagian belakang juga seperti satu cerminan kepada bahagian hadapan – dengan juga menggunakan lampu nipis yang ditemukan di bahagian tengah, light guide berpetak di bawahnya, dan diffuser yang menempatkan ekzos di bahagian tengah.

    Masuk ke bahagian dalam yang juga menggunakan tona warna oren dan putih, rekaannya lebih ringkas dan di hadapan pemandu tidak kelihatan sebarang panel instrumen (mungkin menggunakan head-up display), dan tiada sebarang butang kawalan kecuali di konsol perehat tangan tengah untuk membuka kunci dan juga tempat mengisi minyak.

     
     
  • Toyota Avanza 1.5X bakal diperkenalkan di Malaysia – tempahan telah dibuka, harga bermula RM82,700

    Toyota Avanza 1.5X bakal diperkenalkan di Malaysia – tempahan telah dibuka, harga bermula RM82,700

    Menambahkan lagi varian bagi barisan Avanza di pasaran Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn Bhd bakal memperkenalkan Avanza 1.5X tidak lama lagi. Tempahannya telah pun mula dibuka sejak 5 Februari lalu dengan harga dari RM82,700 (tidak termasuk insurans, untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung).

    Avanza 1.5X ini hadir dengan penampilan yang lebih ranggi dan menarik termasuklah dengan bampar depan dan belakang dengan lanjutan kemasan hitam serta perak, begitu juga dengan kemasan tambahan pada bahagian lengkungan ruang tayarnya, juga dalam penyudah hitam bagi memberikan perlindungan daripada serpihan ketika di jalan raya.

    Bukan itu sahaja, pelekap bahagian sisi juga turut menyumbang kepada imej segar yang ingin dibawa, di samping memberikan perlindungan kepada cat pada badan kenderaan. Gabungan reflektor pada bahagian belakang pula disepadukan dengan lampu, memberikan sentuhan yang lebih bergaya. Turut ditawarkan sebagai aksesori pilihan ialah hiasan pada bumbung serta rim aloi 16-inci dengan rekaan unik. Kedua-duanya akan memberi kelainan kepada penampilan keseluruhan Avanza 1.5X.

    Toyota Avanza 1.5X bakal diperkenalkan di Malaysia – tempahan telah dibuka, harga bermula RM82,700

    Untuk bahagian kabinnya, tiada perubahan besar yang dilakukan. Namun diberikan pilihan untuk pelanggan yang ingin menaiktaraf sistem infotainmen boleh berbuat demikian dengan memilih sistem DVD-AVX atau DVD-AVN. Kedua-duanya hadir dengan skrin sentuh yang besar lengkap dengan paparan kamera undur. Bagi unit DVD-AVN, ia turut dilengkapi dengan pelayar internet (memerlukan sambungan WiFi dari pengguna) dan sistem navigasi GPS.

    Ia juga masih mengekalkan bahagian mekanikalnya termasuklah enjin 1.5 Dual VVT-i yang mampu memberikan kuasa sehingga 105 PS/136Nm dan 1.3 liter pula dengan kuasa 97PS/121Nm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Toyota Avanza 1.5X bakal diperkenalkan di Malaysia – tempahan telah dibuka, harga bermula RM82,700

    Barisan varian Avanza termasuk 1.5X terbaharu ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terbaik dari sudut impak perlanggaran. Terdapat dua beg udara di bahagian depan, dengan setiap tujuh tempat duduk yang ada dipasangkan dengan tali keledar tiga-poin serta dua tapak ISOFIX pada barisan kedua.

    Semua model Toyota kini datang dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan untuk pengalaman pemilikan terbaik kepada pengguna. Waranti berkenaan turut sah bagi pemilik seterusnya kenderaan itu, asalkan ia masih berada dalam tempoh waranti lima-tahun. Ini memberikan nilai tambah kepada kenderaan tersebut.

    Avanza 1.5X akan mula dipamerkan bermula 24 Februari ini dalam acara hujung minggu Toyota Weekender di semua bilik pameran Toyota terlibat. Untuk pertanyaan lanjut, sila layari laman toyota.com.my.

     
     
  • Platform Mercedes-Benz A Class 2018 bakal digunakan sebagai asas untuk lapan lagi model baharu lain

    Platform Mercedes-Benz A Class 2018 bakal digunakan sebagai asas untuk lapan lagi model baharu lain

    Platform modular pacuan hadapan baharu yang digunakan untuk Mercedes-Benz A-Class 2018 (didedahkan baru-baru ini) bakal digunakan sebagai asas untuk sekurang-kurangnya lapan lagi model baharu lain, kata Gorden Wagener, ketua pegawai pereka Daimler dalam laporan CarAdvice.

    “Saya boleh jamin bahawa semua varian pada platform ini, ada sekurang-kurangnya lapan, akan menjadi model yang mengkagumkan,” kata Wagener. Beliau turut menjelaskan platform berkenaan membolehkan berberapa elemen – jarak juntaian pendek, bahagian hadapan yang rendah, saiz roda yang besar, nisbah dari papan pemuka ke gandar – yang penting bagi mendapatkan rekaan yang baik.

    Namun Wagener masih tidak menyatakan senarai model-model berkenaan. Walau bagaimanapun, dari laporan-laporan sebelum ini serta panduan dari model generasi sedia ada, CLA, GLA, GLB dan B-Class adalah calon yang berkemungkinan besar, manakala A-Class sedan pula telah disahkan sebagai salah satu daripadanya.

    Bagaimana dengan dua lagi? masih terlalu awal untuk diagak dan berkemungkinan ada model yang tidak disangka akan dihasilkan oleh Mercedes untuk barisan kompak baharu mereka kelak.

    GALERI: Mercedes-Benz A-Class 2018

     
     
  • Geely boleh jadi pemegang saham terbesar Daimler

    Geely boleh jadi pemegang saham terbesar Daimler

    Zhejiang Geely Holding Group, pemilik Volvo dan juga rakan strategik Proton yang dilaporkan sebelum ini ingin memiliki pegangan kepentingan di dalam syarikat induk Mercedes-Benz, Daimler didakwa berkemungkinan menjadi pemegang saham terbesar syarikat Jerman itu. Hal ini dilaporkan oleh Bild am Sonntag, edisi hujung minggu harian Bild di Jerman.

    Sumber Bild menyatakan, Daimler telah menolak tawaran Geely pada November tahun lalu untuk memiliki 5% kepentingannya melalui pemilikan saham dengan diskaun. Bagaimanapun, pengeluar kenderaan Jerman itu berkata Geely bebas untuk membeli sahamnya dipasaran terbuka. Berdasarkan laporan awal minggu ini, Geely telah pun berbuat demikian, dan pembelian 5% kepentingan itu akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi.

    Jika jumlahnya 5%, saham Geely sebenarnya lebih kecil berbanding saham 6% yang dipegang oleh BlackRock dan Kuwait Investment Authority dengan 6,8%. Tetapi jumlah itu adalah lebih besar daripada pegangan 3.1% oleh pakatan Renault-Nissan. Dana dari negera-negera Teluk merupakan pemegang saham tunggal terbesar Daimler, dengan 71.2% dimiliki oleh institusi pelaburan.

    Sumber dalaman berpandangan semua ini adalah disebabkan teknologi kenderaan elektrik, dengan kuata baru di China yang mensasarkan pengurangan pencemaran dan mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap minyak. Ada sumber mendakwa Geely berhasrat untuk mendapat akses kepada teknologi bateri Daimler dan ingin memulakan usaha sama EV di Wuhan.

    Ketika ini, Daimler memang sudah mempunyai rakan kongsi dari China – ini termasuk BYD, pembuat EV terkemuka di sana, serta BAIC. Syarikat kedua ini telah juga mengumumkan bahawa ia akan menamatkan pengeluaran dan jualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman menjelang 2025 dan beralih kepada kenderaan elektrik sepenuhnya.

     
     
  • Honda Cross Cub diperkenal di Jepun – lebih ranggi

    Honda Cross Cub diperkenal di Jepun – lebih ranggi

    Oktober tahun lalu, Honda telah melancarkan semula model lagenda mereka iaitu Super Cub, yang boleh didapati dalam versi yang menggunakan enjin 109 cc dan 49 cc di Jepun, dan kemudiannya diikuti di Thailand Januari lalu. Terbaru, syarikat itu memperkenalkan versi yang lebih ranggi dikenali sebagai Cross Cub.

    Asas motosikal ini masih sama seperti versi standard, iaitu menggunakan enjin suntikan bahan api empat strok 109 cc satu silinder berkuasa 8 PS/ 8.5 Nm untuk Cross Cub 110, dan enjin 49 cc 3.7 PS/ 3.8 Nm untuk Cross Cub 50, bersama padanan kotak gear empat kelajuan.

    Menjadikan model Cross Cub ini istimewa adalah ia mempunyai gaya lebih ranggi – seperti inspirasi daripada motosikal jelajah, tetapi masih menggunakan tayar yang lebih kepada penggunaan di atas jalan biasa. Bahagian pemegangnya lebih lebar, panel pelindung kaki dibuang dan diganti dengan pelindung enjin, lampu utama LED padanya diletakkan rendah dan mempunyai pelindung, ekzos dengan pelindung dan panel meter mempunyai grafik camouflage.

    Bagi versi Cross Cub 110, ia dilengkapi dengan rim 17 inci jenis jejari (spoked) berwarna hitam, manakala Cross Cub 50 mempunyai rim lebih kecil, seperti Super Cub Pro, iaitu bersaiz 14 inci untuk menjadikan ia lebih mudah dikendali di kawasan sesak. Kedua-dua model ini juga boleh dipasang dengan tempat duduk belakang.

    Harga tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain yang disiarkan untuk Cross Cub 110 adalah 334,800 yen (RM12,004), manakala untuk Cross Cub 50 pula adalah 291,600 yen (RM10,455). Ini sekaligus menunjukkan ia sedikit mahal berbanding Super Cub biasa yang dijual pada harga 275,400 yen (RM10,299) untuk Super Cub 110 dan 232,200 yen (RM8,683) untuk Super Cub 50.

     
     
  • Honda Amaze 2018 – gen kedua diperkenal di India

    Honda Amaze 2018 –  gen kedua diperkenal di India

    Generasi kedua Honda Amaze diperkenalkan di India menerusi acara Auto Expo 2018, dan dijangka bakal mula dijual tidak lama lagi. Amaze baharu ini telah direka semula bagi penampilan yang lebih signifikan, dan masih terus diposisikan dalam segmen sedan sub empat-meter.

    Secara visualnya, model ini kelihatan banyak persamaan dengan model semasa Honda. Bahagian hadapannya hadir dengan gril krom yang lebih tebal yang diinspirasikan dari Civic generasi ke-10, sementara lampu utama reflektor yang sedikit tajam telah digantikan dengan unit yang lebih bersudut . Bamparnya juga telah diperkemaskinikan, dan didatangkan dengan lampu kabus yang lebih kecil.

    Bahagian profilnya kelihatan garisan karakter mendatar dari lampu utama hingga ke pemegang pintu. Tiang-A pula lebih tegak berbanding sebeelum ini, serta tiang-C pula menerima bentuk baharu bagi tingkap sisi.

    Honda Amaze 2018 –  gen kedua diperkenal di India

    Manakala bahagian belakangnya, lampunya kini lebih memanjang, dengan kepingan kekemasan krom bagi logo ‘H’. Logonya juga telah bertukar posisi, dengan ‘Amaze’ kini terletak di bahagian atas kiri (sebelum ini di kanan), sementara jenis enjin pula di kanan bawah.

    Tiada foto kabin disebarkan, namun dijangka ia menerima perubahan yang juga banyak seperti mana yang dilakukan pada bahagian luarannya. Amaze baharu ini dibangunkan di Honda R&D Asia Pacific yang berlokasi di Bangkok, Thailand, mengikut kaji selidik pasaran India yang luas, sesuai dengan keperluan dan gaya hidup masyarakat di sana.

    Amaze generasi pertama (versi sedan bagi Brio hatchback) boleh didapati dengan dua pilihan enjin – 1.2 liter i-VTEC petrol dan 1.5 liter i-DTEC diesel. Sementara spesifikasi Amaze baharu ini belum dibongkar, kebarangkalian dua enjin tersebut juga akan dikekalkan, namun prestasi/penjimatannya mungkin dipertingkatkan.

     
     
  • Perancis perkenalkan peraturan baru; larang pemandu berhenti tepi jalan untuk guna telefon, saman 135 Euro

    Perancis perkenalkan peraturan baru; larang pemandu berhenti tepi jalan untuk guna telefon, saman 135 Euro

    Menggunakan telefon bimbit ketika memandu sama sekali dilarang dibanyak negara. Tetapi Perancis mengambil satu lagi langkah berani yang lebih drastik dengan memperkenalkan peraturan baru. Menurut laporan Le Figaro, adalah satu kesalahan serius bagi pemandu yang menggunakan telefon mereka ketika berada di dalam kenderaan, tidak kira sekiranya enjin hidup ataupun sebaliknya (kecuali dalam beberapa situasi tertentu).

    Tidak kiralah jika anda berhenti di bahu jalan atau sedang menunggu lampu isyarat, saman sebanyak 135 Euro (RM653) dan tiga mata demerit akan dikenakan kepada pemandu yang didapati membuat kesalahan itu – tindakan yang sama akan dikenakan apatah lagi kepada pemandu yang ditangkap memegang atau bermain dengan telefon ketika memandu.

    Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian terhadap peraturan itu, antaranya penggunaan Bluetooth (atau kaedah hands-free lainnya) adalah dibenarkan ketika menerima atau ingin membuat panggilan. Juga, sekiranya pemandu berhenti dikawasan yang telah ditetapkan untuk menggunakan telefon, itu juga tidak menjadi kesalahan. Sekiranya berlaku hal kecemasan atau kenderaan rosak di pinggir jalan, pemandu juga dibenarkan untuk menggunakan telefon mereka seperti biasa untuk mendapatkan bantuan.

    Walaupun peraturan itu agak ekstrem, tetapi ada juga kebenaran langkah seperti ini. Walaupun pemandu berhenti ditepi jalan untuk menggunakan telefon dan ia adalah lebih selamat, namun mereka tetap perlu mencari kawasan yang bersesuaian untuk tujuan itu, agar tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan supaya tidak menghalang lalu lintas.

    Di Malaysia sendiri, pernah dilaporkan bahawa JPJ akan memantau dengan lebih dekat – menggunakan kamera – terhadap mereka yang menggunakan telefon ketika memandu. Untuk itu, saman RM300 akan dikenakan. Adakah anda rasa peraturan baru di Perancis ini wajar juga dilaksanakan di sini?

     
     
  • Porsche 911 GT3 RS 2018 – foto rasmi, info bocor

    Porsche 911 GT3 RS 2018 – foto rasmi, info bocor

    Foto rasmi dan info Porsche 911 GT3 RS 2018 telah pun bocor, dilaporkan oleh laman web automotif Drive dari Australia. Walau pun entri terbabit telah pun dipadamkan, namun sempat juga gambarnya disalin terlebih dahulu.

    Menurut laporan, model prestasi ini ditampilkan dengan 20 hp kuasa ekstra, yang mampu mencapai 520 hp dari enjin 4.0 liter naturally aspirated enam-silinder dengan rev sehingga 9,000 rpm. Di mana RS ini memiliki kuasa lebih daripada GT3 biasa (500 hp). Walau bagaimana pun tork tidak didedahkan, tapi kalau ikut model semasa GT3 RS dan GT3 ia memiliki 460 Nm. GT3 RX 2018 ini juga dijangka akan dipadankan dengan kotak gear auto PDK, maknanya tiada transmisi manual akan ditawarkan.

    Malah ia juga dikatakan mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.2 saat dengan kelajuan maksimum sehingga 321 km/j iaitu 2 km/j lebih laju berbanding sebelum ini.

    Porsche juga dikhabarkan dengan menala semula sistem stereng roda-belakang dan menambahkan lagi aerodinamiknya. Selain itu ia juga tampil dengan saluran gaya-NACA, bampar hadapan yang dibentuk semula dengan saluran aliran udara yang dipertingkatkan, dan bampar belakang juga dibentuk semula dengan saluran pengekstrakan udara yang lebih besar. Rekaan wing belakang juga baharu, begitu juga dengan lampu belakangnya yang telah dipertingkatkan. 911 GT3 RS ini juga ditampilkan dengan roda hadapan 20-inci dan roda belakang 21-inci.

    Porsche juga akan menawarkan pakej pilihan Clubsport dengan menampilkan tali keledar enam-poin, pemadam api dan aluminum roll cage. Panel pintu dan kerangka tempat duduk juga dijangka lebih ringan dengan penggunaan nilon, malah material penyerap bunyi turut disingkirkan. Malah enjinnya juga dikatakan lebih ringan.

    GALERI: Spyshot Porsche 911 GT3 RS

    GALERI: Porsche 911 GT3 RS di Malaysia

     
     
  • Dorna Sports anjur perlumbaan motosikal elektrik bermula 2019, dinamakan sebagai FIM Enel MotoE

    Dorna Sports anjur perlumbaan motosikal elektrik bermula 2019, dinamakan sebagai FIM Enel MotoE

    Dorna Sports telah mengumumkan bakal menganjurkan perlumbaan motosikal elektrik yang dinamakan sebagai FIM Enel MotoE World Cup bermula pada tahun 2019. Perlumbaan ini akan dimasukkan sebagai kelas baru dalam acara FIM MotoGP™ World Championship dan mengambil manfaat daripada rancangan TV serta pelbagai platform komunikasi acara itu.

    Pada masa ini, tempoh perlumbaan yang dicadangkan adalah selama 10 pusingan, dan sebarang evolusi yang diperoleh pada aspek motosikal itu sendiri atau kuasanya akan digunakan untuk memperbaiki prestasi, berbanding jumlah pusingan dalam perlumbaan. Mengikut perancangan, perlumbaan MotoE ini akan berlangsung di lima litar Eropah dalam kalendar MotoGP. Sesi ujian pertama akan dilakukan di Jerez pada Februari 2019.

    Dorna Sports anjur perlumbaan motosikal elektrik bermula 2019, dinamakan sebagai FIM Enel MotoE

    Seperti yang boleh dilihat pada nama siri perlumbaan ini, syarikat teknologi tenaga, iaitu Enel telah dipilih sebagai penaja nama perlumbaan ini, dan sebanyak 18 motosikal elektrik Energica akan digunakan. Tujuh pasukan persendirian dalam MotoGP akan menerima masing-masing dua buah motosikal untuk perlumbaan, manakala empat motosikal lagi akan diberi kepada pasukan Moto2 dan Moto3 yang mahu bertanding.

    Untuk tayar pula, motosikal lumba elektrik ini akan menggunakan tayar daripada Michelin, yang juga membekalkan tayar untuk kategori MotoGP. Walaupun motosikal elektrik ini lebih senyap berbanding motosikal lain yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP, FIM menyatakan penonton masih dapat merasakan sensasi perlumbaan yang berlainan, seperti bunyi motosikal membelah angin dan decitan tayar yang lebih jelas.

     
     
  • Mazda 6 Wagon 2018 – gambar awal mula ditunjukkan

    Mazda 6 Wagon 2018 – gambar awal mula ditunjukkan

    Bakal dipertontonkan ketika Geneva Motor Show pada Mac nanti, Mazda kini telah mendedahkan beberapa gambar terawal bagi model facelift Mazda 6 2018. Dengan pengenalan ini nanti, versi wagon berkenaan akan menyertai model Mazda 6 sedan yang telah pun diperkenalkan diperingkat global tahun lalu ketika Los Angeles Auto Show.

    Perubahan yang terlibat sama seperti yang dilakukan kepada model sedan, dengan bahagian depan mewarisi rekaan dari CX-5 terbaru – gril rekaan baru yang tidak lagi dilanjutkan kepada lampu utama. Selain itu, grafik pada lampunya juga diberi sentuhan baru, dengan DRL LED.

    Bahagian bawah pada bamparnya juga memuatkan kemasan krom nipis pada sudutnya. Daripada gambar yang ada ini, model berkenaan kelihatan menggunakan rim 19-inci serupa yang digunakan pada sedan. Walaupun tiada gambar yang menunjukkan bahagian belakang, ia dijangka akan turut diberi perubahan.

    Mazda 6 Wagon 2018 – gambar awal mula ditunjukkan

    Di bahagian dalam, suasana dan rekaan model wagon ini serupa sahaja dengan yang terdapat pada versi sedannya – dengan rekaan papan pemuka serba baru. Corong pendingin hawa kini lebih tirus, disertai dengan kemasan kayu Japanese Sen serta balutan material UltraSuede NU.

    Turut akan dilakukan ialah pembaharuan kepada pilihan enjin – dengan penggunaan SkyActiv-G 2.5T turbo daripada CX-9. Ia menghasilkan 250 hp dan 420 Nm pada model sedan, dengan gandingan hanya transmisi automatik enam-kelajuan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025