Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tesla Cybertruck – bahagian dalam trak pikap elektrik terdedah semasa acara di AS, produksi tahun ini?

    Tesla Cybertruck – bahagian dalam trak pikap elektrik terdedah semasa acara di AS,  produksi tahun ini?

    Tiga tahun selepas ia dipersembahkan sebagai prototaip, Tesla Cybertruck berkemungkinan diperkenalkan sebagai sebuah model produksi tahun ini. Semasa acara Electrified Cars & Coffee di Petersen Automotive Museum, ketua pereka Tesla, Franz von Holzhausen dilihat mengejutkan tetamu dengan memandu trak pikap elektrik tersebut.

    Biasalah, apabila kereta seperti ini muncul, ramai yang akan mengambil gambar dan videonya untuk dimuat naik ke dalam media sosial. Turut terlihat adalah bahagian dalamnya yang membawa konsep rekaan rekaan minimalis dan berpetak. Paling menonjol adalah skrin sesentuh besar di bahagian tengah, yang digunakan untuk kawalan semua fungsi.

    Kalau dibandingkan dengan model prototaip, roda stereng jenis yoke telah diganti dengan bentuk petak lengkap, manakala tempat duduk hadapan bersambung pula telah diganti dengan tempat duduk biasa yang berasingan dan mempunyai konsol tengah. Selain cermin yang luas, kenderaan ini turut mempunyai bumbung panoramik serta tempat duduk berliang udara.

    Tesla Cybertruck – bahagian dalam trak pikap elektrik terdedah semasa acara di AS,  produksi tahun ini?

    Bentuk luaran trak pikap elektrik ini masih lagi sama seperti pertama kali ia ditunjuk, tetapi dengan sedikit perubahan seperti pemasangan kamera untuk sistem bantuan pemandu serta tempat mengecas yang disorok pada fender. Tarikan utama pada Cybertruck ini adalah ruang simpanan bahagian belakangnya yang dipanggil sebagai “vault” atau bermaksud “bilik kebal.”

    Spesifikasi awal yang didedahkan untuk Cybertruck menyatakan ia akan ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan Single Motor RWD yang boleh memberikan jarak gerak hingga 400 km, pecutan 0-96 km/j dalam masa 6.5 saat dan laju maksimum 175 km/j.

    Ia kemudiannya diikuti oleh Dual Motor AWD (480 km, 4.5 saat, 195 km/h), Tri Motor AWD (800 km, 2.9 saat, 210 km/h) dan paling tinggi Quad Motor AWD (1,000 km, 2.5 saat, 240 km/h). Kesemua empat varian ini diberitahu mempunyai kemampuan membawa barang sama, iaitu 1,600 kg, dengan kapasiti menarik antara 3.4 ke 6.8 tan, bergantung kepada pakej.

    GALLERY: Tesla Cybertruck

     
     
  • Kembar Perodua Alza, Daihatsu Xenia hanya terima 3-Bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP

    Kembar Perodua Alza, Daihatsu Xenia hanya terima 3-Bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP

    Ketika Perodua Alza 2022 dilancarkan Julai tahun lalu MPV berkenaan telahpun diumumkan menerima pengiktirafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP). Namun baru-baru ini ASEAN NCAP telah menguji kembar Alza untuk pasaran Indonesia iaitu Daihatsu Xenia, dan model berkenaan hanya menerima pengiktirafan tiga-bintang.

    Menurut ASEAN NCAP, Xenia merupakan model pertama Daihatsu yang diuji oleh badan berkenaan. Ia menerima markah lebih rendah kerana varian asas MPV ini diberikan perincian keselamatan yang lebih rendah dari Alza.

    Seperti biasa, markah keseluruhan ujian ASEAN NCAP ini manggabungkan empat aspek penilaian di bawah protokol 2021-2015, dan Xenia menerima 32.63 markah untuk Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP), 14.37 markah untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) 10.00 markah untuk Bantuan Keselamatan (SA) dan 7.50 markah untuk Keselamatan Penunggang Motorsikal (MS).

    ASEAN NCAP menyatakan bahawa varian asas Daihatsu Xenia ini hanya ditawarkan dengan dua-beg udara manakala varian tertinggi diberikan enam-beg udara. Sebagai perbandingan, Perodua Alza diberikan enam-beg udara untuk semua varian yang dijual di Malaysia.

    Xenia juga datang standard dengan sistem brek anti-kunci (ABS), sistem pengingat pemakaian tali pinggang keledar (SBR) hanya untuk pemandu dan juga teknologi Perlindungan Pejalan Kaki untuk semua varian. Manakala sistem kestabilan elektronik (ESC) pula hanya ditawarkan pada varian 1.3L CVT dan semua varian yang dijana enjin 1.5L, berbanding Alza yang menerima sistem ini juga pada semua varian.

    Daihatsu juga menawarkan teknologi bantuan pemanduan sebagai ciri opsyen, yang terdiri dari sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB) untuk bandar, AEB antara bandar, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Pengesan Titik Buta (BSD).

    “Walaupun Xenia mempamerkan keputusan yang baik dalam membekalkan perlindungan semasa kemalangan, kelengkapan peralatan keselamatan aktif masih perlu dipertingkatkan. Namun begitu, Daihatsu terus berusaha dengan menyediakan pilihan kepada pelanggan untuk memilih model varian yang lebih tinggi. Tahniah kepada Daihatsu yang meletakkan inisiatif sebegini demi meningkatkan keselamatan jalan raya,” kata ASEAN NCAP dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Toyota C-HR 2024 — generasi kedua dengan gaya lebih berani; 1.8L dan 2.0L hibrid, 2.0L PHEV

    Toyota C-HR 2024 — generasi kedua dengan gaya lebih berani; 1.8L dan 2.0L hibrid, 2.0L PHEV

    Toyota C-HR 2024 generasi kedua kini secara rasminya telah diperkenalkan di Eropah. Dan, ia tidak terlalu berbeza berbanding rekaan C-HR Prologue yang pernah ditunjuk pada Disember lalu. Model serba baru ini direka di Eropah, untuk menepati keperluan pasaran Eropah.

    Dengan pendekatan rekaan luaran yang mempamerkan “reka bentuk konsep untuk jalan raya”, C-HR generasi kedua ini hadir dengan imej yang lebih tajam berbanding model awalnya, yang diserlahkan lagi oleh profil coupe yang agresif. Wajah depannya selari dengan wajah SUV Toyota yang lain ketika ini — misalnya bagi model EV bZ4X.

    Toyota C-HR 2024 ini menampilkan wajah depan dengan lampu yang khusus, dengan DRL bentuk C yang disepadukan dengan kemas dalam lampu utama. Bahagian hidung yang menonjol pada C-HR Prologue juga dikekalkan, dengan kemasan bentuk U di sekeliling gril utama serta bukaan udara kecil di bahagian bawah bampar. Di bahagian sisi, model produksi ini menggunakan rim dengan rekaan yang normal, dan cermin sisi sebenar; bukan kamera kecil digital.

    Toyota C-HR 2024 — generasi kedua dengan gaya lebih berani; 1.8L dan 2.0L hibrid, 2.0L PHEV

    C-HR 2024 ini bagaimanapun mengekalkan bucu tajam di badannya, serta warna dua-tona. Tetapi, pemegang pintu belakang kini berada di posisi yang biasa dan bukan di tiang C seperti pada Prologue. Rim pula C-HR 2023 ini mampu memuatkan sehingga saiz 20-inci.

    Di dalam, model ini menampilkan skrin digital 12.3-inci dengan paparan grafik yang jelas dan tajam untuk memudahkan bacaan, dan boleh disesuaikan paparannnya mengikut keinginan pemandu. Ia mempunyai tiga gaya paparan untuk dipilih, yang boleh disesuaikan mengikut selera peribadi. Model generasi baru ini juga datang dengan sistem kunci digital, yang membolehkan pengguna menghidupkan kenderaan menggunakan telefon sahaja.

    Ciri lampu suasananya lebih komprehensif, dengan pilihan 64 warna. Ia juga datang dengan program peralihan 24 suasana, yang akan merespon kepada persekitaran. Sebagai contoh, ketika amaran Safety Exit Assist, ruang dalaman akan dinyalakan dengan pencahayaan merah untuk memberi amaran jika pintu dibuka dan ada risiko berlakuknya perlanggaran dengan basikal.

    Untuk pasaran Eropah, model ini turut akan didatangkan dengan pakej multimedia Toyota Smart Connect, yang terdiri daripada skrin sentuh lapan atau 12.3-inci, ciri voice command serta sambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi model EV, sistem ini juga akan memaparkan maklumat jarak perjalanan serta lokasi pengecas.

    Pemandu juga boleh memanfaatkan aplikasi MyT dalam telefon pintar mereka untuk mengawal fungsi kenderaan ini dari jarak jauh, sebagai contoh fungsi pendingin hawa sebelum masuk kereta dan mulakan perjalanan. Aplikasi ini juga membolehkan fungsi parkir jarak jauh sepenuhnya, dengan pemandu berada di luar kenderaan.

    Toyota C-HR 2024 serba baru ini ditawarkan dalam empat sistem janaan elektrifikasi, yang terdiri daripada versi 1.8L empat-silinder dengan janaan 140 PS (138 hp atau 103 kW) dan 2.0L hybrid electric (HEV) dengan janaan 197 PS (194 hp atau 145 kW), serta satu versi 2.0L dengan sistem plug-in-hybrid (PHEV) dengan janaan 223 PS (220 hp atau 164 kW). Dengan bateri penuh, model PHEV ini boleh berhegerak sejauh 66 km dalam mod elektrik. Model 2.0L HEV juga ada yang didatangkan dengan pilihan ciri pacuan semua roda pintar (AWD-i).

    Semua versi C-HR 2023 ini turut memanfaatkan sistem bantuan pemandu aktif Toyota Safety Sense, dengan fungsi yang diperluaskan. Antara yang dimaksudkan ialah ciri Acceleration Suppression yang memperlahankan penggunaan pendikit yang mendadak sekiranya ada risiko berlaku perlanggaran. Selain itu ada juga Proactive Driving Assist (PDA) yang berfungsi dalam kelajuan rendah, memperlahankan kenderaan dengan tenang ketika pemandu lepaskan pendikit dan sedang mendekati kenderaan di depan.

    Toyota C-HR juga diperkenalkan dalam dua model Premiere Edition, dengan penggayaan dan kelengkapan tertinggi antara semua varian yang ada. Ini melibatkan GR SPORT Premiere Edition yang hadir dengan tambahan penggayaan GR, lencana GR, kemasan Liquid Black di konsol tengah dan kerusi sport dengan logo GR di perehat kepala — dengan warna khusus Precious Silver dwi-tona dengan bumbung hitam. Ia juga hadir dengan ciri head-up display dan sistem audio JBL premium.

    Satu lagi ialah High Premiere Edition yang hadir dengan warna luaran khas Sulphur dwi-tona, dengan pilihan warna lain juga akan ditawarkan. Selain kerusi kulit dengan jahitan kontras warna Sulphur, ada juga head-up display dan bumbung panoramik.

     
     
  • Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dibuka semula – KKR

    Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dibuka semula – KKR

    Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa Jalan Gua Musang-Kuala Lipis telah pun kembali dibuka sejak petang semalam. Pembukaan jalan tersebut pastinya mampu melancarkan lagi perjalanan orang ramai menuju ke Kelantan, terutamanya pada Aidiladha yang bakal disambut Khamis ini.

    Sebelum ini, ia ditutup sejak 4 April lalu bagi memberi laluan kepada penanaman cerucuk Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C.

    Menurut Alexander, pembukaan laluan itu membabitkan satu lorong sahaja iaitu dari lampu isyarat Taman Wangi di Kuala Lipis hingga ke Petronas Persiaran Raya, Gua Musang.

    “Laluan ini telah dibuka kepada kenderaan ringan selepas ia (laluan terbabit) siap dibina pada 22 Jun lalu. Pembukaan laluan ini tentunya akan memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur dan khususnya penduduk tempatan.

    “Saya juga berharap pembukaan laluan ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya yang akan pulang menyambut Hari Raya Aidil Adha yang bakal tiba dan juga selepas musim perayaan nanti,” katanya.

    Sebelum ini, terdapat beberapa isu yang timbul apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) memutuskan untuk menutup Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. Di mana pengguna jalan raya yang mahu ke bandar Gua Musang atau ke Kuala Lipis, perlu melalui jalan alternatif, iaitu FT 008 – Jalan Bentong-Gua Musang Bentong. Walau bagaimana pun, jalan alternatif yang disebut ini mempunyai banyak simpang dan agak sempit, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada kesesakan jalan jika banyak kenderaan melalui jalan itu.

    Apatah lagi penutupan laluan berkenaan ‘tidak kena pada masanya’ kerana dilaksanakan pada bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang lalu. Ketika itu, banyak pihak memohon agar JKR untuk menangguhkan penutupan laluan berkenaan. Namun JKR Kelantan menegaskan bahawa Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis tidak boleh ditangguh memandangkan kerja sudah dilakukan. Malahan sekiranya laluan itu dibuka, ia tetap tidak boleh dilalui kenderaan memandangkan pemasangan cerucuk sudah dilakukan.

     
     
  • Honda Forza 250 2023 tiba di Indonesia – bentuk dan kelengkapan sama seperti Forza 350 tapi enjin 250 cc

    Honda Forza 250 2023 tiba di Indonesia – bentuk dan kelengkapan sama seperti Forza 350 tapi enjin 250 cc

    Oktober tahun lalu kita telah menyaksikan pasaran Thailand menerima Forza 350 baru yang dipertingkat pada banyak bahagian. Panel badannya adalah serba baru, meter juga adalah baru sementara enjin ditingkatkan menjadi 329 cc, dengan kuasa 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.5 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Penggemar skuter di negara kita juga teruja dengan model ini tapi nampaknya ia juga datang dengan versi 250 cc seperti yang baru dilancar untuk pasaran Indonesia. Bentuk serta kelengkapan untuk Forza 250 baru ini sama sahaja seperti Forza 350, tetapi hanya enjin sahaja yang berbeza.

    Dalam perincian yang didedahkan, Forza 250 ini menggunakan enjin satu silinder SOHC eSP+ 249 cc suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 22.8 hp pada 7,750 rpm dan tork 24 Nm pada 6,250 rpm. Melalui enjin yang lebih kecil ini juga, beratnya cuma berkurang 1 kg berbanding Forza 350, menjadi 186 kg.

    Honda Forza 250 2023 tiba di Indonesia – bentuk dan kelengkapan sama seperti Forza 350 tapi enjin 250 cc

    Kelengkapan lain semua adalah sama, malahan Honda Indonesia juga menggunakan gambar Forza 350 (seperti pasaran Eropah) untuk Forza 250 di dalam laman web. Skuter ini antaranya didatangkan dengan semua lampu jenis LED, panel meter gabungan analog dan digital, serta padanan rim 15 inci di hadaan dan 14 inci di belakang.

    Memberi kemudahan kepada pengguna, Forza 250 pasaran Indonesia juga datang dengan penghadang angin hadapan boleh laras, pengecas USB, sistem tanpa kunci serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan dua helmet. Pada bahagian keselamatan, selain ABS, ia juga dilengkapi dengan kawalan cengkaman HSTC.

    GALERI: Honda Forza 350 pasaran Thailand

     
     
  • Mazda CX-3 1.5L Core 2023 di Malaysia – varian asas dengan 114 hp/149 Nm; CBU Thai; dari RM108k

    Mazda CX-3 1.5L Core 2023 di Malaysia – varian asas dengan 114 hp/149 Nm; CBU Thai; dari RM108k

    Barisan Mazda CX-3 telah pun diperluaskan pada tahun lalu termasuk dengan dua varian baharu, salah satunya yang ditampilkan menerusi artikel ini, 1.5L Core. Ia dijual pada harga atas jalan mencecah RM107,920 tanpa insurans, dengan varian asas ini diposisikan di bawah 2.0L Core (RM118,359) dan 2.0L High (RM131,559).

    Varian Core dijanakan oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter Skyactiv-G yang digunakan sebelum ini untuk Mazda 2, menghasilkan sebanyak 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik Skyactiv-Drive enam-kelajuan dan menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Berbanding High dengan hamburan kuasa 154 hp dan 206 Nm dari enjin 2.0 liter, varian Core menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik iaitu sekitar 5.7 liter per 100 km berbanding 6.3 liter per 100 km.

    Bagi kelengkapannya, varian asas ini didatangkan dengan roda aloi 16-inci (dengan tayar profil 215/60), lampu utama projektor halogen, dan lampu nyalaan siang jenis mentol. Jika inginkan lampu utama LED automotik, lampu kabus LED, pengelap cermin dengan pengesan hujan, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik dan penderia parkir, anda perlu memilih 2.0L High.

    Mazda CX-3 1.5L Core 2023 di Malaysia – varian asas dengan 114 hp/149 Nm; CBU Thai; dari RM108k

    Ciri lain yang turut diberikan untuk varian Core termasuklah tempat duduk upholstery fabrik, kawalan pendingin hawa manual, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, cermin sisi larasan kuasa, roda stereng pelbagai-fungsi, kluster instrumen TFT LCD 4.6-inci dan mod Sport. Selain itu, Core turut didatangkan dengan brek parkir elektronik (dengan penahan brek automatik) dan kawalan kelajuan pasif.

    Ia juga diberikan sistem infotainmen Mazda Connect termasuk skrin sesentuh lapan-inci serta Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem ini juga disepadukan dengan kamera undur dan sistem bunyi enam-pembesar suara. Ciri ini juga diberikan untuk varian 2.0L Core.

    Walau bagaimana pun, Core tidak mendapat beberapa ciri yang ada pada High termasuk paparan utama, pedal penukar gear, pengecas tanpa wayar Qi, sistem pendingin hawa automatik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, upholstery kulit dan kamera 360-darjah.

    Mazda CX-3 1.5L Core 2023 di Malaysia – varian asas dengan 114 hp/149 Nm; CBU Thai; dari RM108k

    Ia juga tidak diberikan sistem bantuan pemandu dan keselamatan seperti mana yang diterima oleh varian High, ini termasuk enam beg udara, Smart City Brake Support hadapan dan belakang (Autonomous Emergency Braking), Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitoring, High Beam Control serta Driver Attention Alert. Namun diberikan dua beg udara dan sistem pasif yang merangkumi ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Traction Control, Hill Launch Assist, Brake Auto Hold serta cagak ISOFIX

    CX-3 ini diberikan kemasan Polymetal Grey, iaitu antara tujuh pilihan warna yang ditawarkan, termasuklah Soul Red Crystal, Snowflake White Pearl, Machine Grey, Platinum Quartz dan Jet Black. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaran percuma.

    Untuk pasaran Malaysia, crossover kompak segmen-B ini adalah unit import sepenuhnya (CBU) dan Thailand, berbanding sebelum ini, ia didatangkan dari Jepun.

     
     
  • Harley-Davidson X440 – bunyi enjin 440 cc pula disiar

    Harley-Davidson X440 – bunyi enjin 440 cc pula disiar

    Dalam masa beberapa hari lagi, Harley-Davidson (H-D) akan memperkenalkan model kapasiti rendah terbaru mereka yang dihasilkan bersama syarikat dari India, Hero Motocorp. Demi menaikkan keterujaan terhadap model yang dipanggil sebagai X440 ini, beberapa teaser sudah dikeluarkan sejak beberapa minggu lalu.

    Bentuknya keseluruhannya sudah dapat dilihat, dan sekarang teaser baru memperdengarkan pula bunyinya. Dentuman bunyi padat dapat didengar melalui video ini dan melalui teaser sebelum ini kita sudah mengetahui bahawa X440 menggunakan enjin satu silinder dan ekzosnya keluar satu sahaja di sebelah kanan.

    Kapasiti enjin tersebut setakat ini masih belum didedah, tetapi media dari India kebanyakannya menjangka ia berkapasiti 440 cc dan menggunakan sistem oil-cooled serta sistem suntikan bahan api, menghasilkan kuasa sekitar 38 PS dan tork 30 Nm.

    Jika melihat kepada gambar pula, kita boleh mengetahui X440 mendapat kelengkapan seperti rim aluminium, brek cakera tunggal di hadapan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, semua lampu jenis LED, ekzos di sebelah kanan serta klac yang menggunakan kabel. Bahagian meter pula menggunakan unit TFT.

    Selebihnya kita perlu tunggu sehingga pengenalan rasminya yang akan dibuat di India 3 Julai ini. Melalui apa yang sudah diketahui, apa pendapat anda dengan model Harley-Davidson dengan kapasiti paling rendah ini? Adakah ia dapat menarik lebih ramai pelanggan atau kurang sambutan?

     
     
  • Proton S50 dijumpai lagi sedang diuji; pemanduan sebelah kanan, ADAS, pelancaran semakin hampir?

    Proton S50 dijumpai lagi sedang diuji; pemanduan sebelah kanan, ADAS, pelancaran semakin hampir?

    Sedan terbaharu dari Proton iaitu model yang dijangka akan digelar sebagai Proton S50 kini dijumpai sekali lagi diuji di atas jalan raya awam. Imej unit prototaip tersebut diambil oleh pembaca paultan.org, Putra Azran ketika berkeliaran sekitar Subang Jaya, Selangor.

    Berdasarkan kedudukan pengelap cermin hadapan, unit prototaip ini adalah versi pemanduan sebelah kanan menandakan ia mungkin adalah prototaip versi akhir sebelum dijelmakan dalam versi produksi sebenar. Malah pada sebelah hadapan juga unit ini sudah diberikan gril signatur infinite weave Proton.

    Seperti yang sudah dilaporkan sebelum ini, sedan terbaharu Proton ini diasaskan dari Geely Emgrand pasaran China. Namun berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50 bakal menampilkan spesifikasi lebih canggih kerana ia menerima sistem bantaun termaju (ADAS) berbanding Emgrand yang tidak ditawarkan dengan sistem tersebut.

    Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

    Proton S50 dijumpai lagi sedang diuji; pemanduan sebelah kanan, ADAS, pelancaran semakin hampir?

    Selain dari itu, S50 nampaknya mungkin akan menerima rupa yang hampir sama dengan Emgrand termasuk profil sisi dan juga rekaan sebelah belakang.

    Namun S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear DCT.

    Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

    Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya. Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.

    Proton S50 dijumpai lagi sedang diuji; pemanduan sebelah kanan, ADAS, pelancaran semakin hampir?

    Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.

    Menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 ini bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini. Dr. Li turut bahawa mengesahkan S50 merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

    Proton S50 dijumpai lagi sedang diuji; pemanduan sebelah kanan, ADAS, pelancaran semakin hampir?

    Jadi apa yang diumumkan oleh Dr. Li tersebut menjadi satu lagi petunjuk bahawa S50 bukanlah sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona yang kini masih lagi dijual, tetapi sedan segmen-C yang akan menggantikan tempat Proton Preve.

    Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-B. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

    Jadi kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k untuk varian paling asas. Setakat ini apa pendapat anda? Ada yang nak tangguh dulu untuk beli Civic atau Corolla sebab nak tengok dulu apa yang Proton tawarkan pada S50 ini? Mungkin Honda City dan Toyota Vios juga akan ‘terancam’ sekiranya S50 dijual pada harga sedemikian?

     
     
  • VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam real!

    VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam <em>real</em>!

    Pembuat automotif dari Korea Selatan, Hyundai mengumumkan bahawa model elektrik penuh (EV) dengan lencana sayap perlumbaan Hyundai N iaitu Ioniq 5 N kini telah pun melengkapkan ujian ketahanan 10,000 km di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife, di Jerman sebelum ia membuat kemunculan sulung di Goodwood Festival of Speed (GFOS) yang akan berlangsung bulan depan.

    Nürburgring merupakan ‘rumah kedua’ bagi Hyundai N selain pusat R&D jenama itu yang terletak di Namyang, Korea Selatan, dan ujian ini adalah penting bagi memastikan Ioniq 5 N memenuhi tiga kriteria utama untuk N Performance iaitu nakal di selekoh, mempunyai keupayaan di litar lumba dan juga menjadi kereta sport yang boleh digunakan setiap hari.

    Ioniq 5 N ini diasaskan dari model biasa hatchback EV Hyundai Ioniq 5 yang dibina dari platform Electrified-Global Modular Platform (E-GMP), tetapi ditala semula dengan pengetahuan Hyundai N yang diperolehi dari dunia perlumbaan sebenar.

    Menurut Hyundai, Ioniq 5 N ini diberikan sistem penyejukkan yang membolehkan suhu bateri kekal walaupun kereta ini ‘dibelasah’ di dalam litar dalam tempoh waktu yang lama. Naib presiden dan ketua jenama N & sukan permotoran Hyundai, Till Wartenberg menyatakan bahawa pembangunan sistem pengurusan haba pada EV adalah lebih mencabar dari enjin pembakaran dalaman biasa.

    Untuk itu, Ioniq 5 N ini diberikan pakej radiator N dengan bahagian penyejukan yang lebih besar serta menerima penyejuk minyak dan penyejuk bateri serta menerima perisian seperti N Battery Preconditioning dan N Race bagi menyelia dan mengurus kelengkapan-kelengkapan tersebut.

    Sistem N Battery Preconditioning akan menetapkan suhu sel bateri kepada suhu paling cekap kuasa. Fungsi sistem tersebut dibahagikan kepada dua mod iaitu mod ‘Drag’ dan mod ‘Track’ yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi.

    Dalam mod Drag, suhu optimum ditetapkan untuk penggunaan segera kuasa maksimum. Manakala dalam mod Track, suhu bateri yang paling rendah dioptimumkan bagi membolehkan kereta ini dipandu lama dalam litar lumba. Manakala N Race memberi pemandu lebih kawalan langsung ke atas penggunaan tenaga kereta, mengutamakan pemanduan ‘Sprint’ atau ‘Endurance’.

    ‘Sprint’ menjadi tetapan asal untuk Ioniq 5 N dan ia mengutamakan kuasa penuh yang diperlukan pemandu. Manakala ‘Endurance’ pula ialah tetapan yang memaksimumkan jarak gerak Ioniq 5 ini dalam litar lumba. Ini dicapai dengan mengehadkan lonjakan kuasa secara tiba-tiba yang melambatkan pembentukan suhu dan meningkatkan daya ketahanannya.

    VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam <em>real</em>!

    Ioniq 5 N ini juga diberikan sistem Regenerative Braking yang bukan sahaja membolehkan kuasa kinetik ditukarkan kepada kuasa elektrik ketika membrek, malah ia juga membantu memberikan kuasa pemberhentian yang lebih baik. Menurut Hyundai sistem pada Ioniq 5 N ini direka khas bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa nyah pecut maksima 0.6 G, iaitu yang paling besar pernah ditawarkan dalam industri.

    Sistem regenarative braking tersebut masih berfungsi walaupun ABS sedang aktif dengan memberikan kuasa nyah pecut maksima 0.2 G. Manakala untuk sistem brek konvensional, Ioniq 5 N ini dibekalkan dengan cakera berdiameter 400 mm, menampilkan material ringan dan direka bagi memaksimakan aliran udara.

    Seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, Ioniq 5 N turut dilengkapi dengan sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT – dan ia kedengaran jelas dalam video teaser terbaharu untuk ujian akhir di Nürburgring ini!

    Menurut Hyundai, sistem ini dibangunkan bukan hanya untuk memberikan sensasi pemanduan seperti kereta sport dengan enjin pembakaran dalaman biasa, malah ia turut akan memberikan tindak balas dan juga kawalan lebih tepat kepada pemandu.

    VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam <em>real</em>!

    Bagi menghasilkan N Active Sound ini, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang!

    Untuk tema bunyi Evolution pula akan memberikan bunyi elektrik yang diinspirasikan dari bunyi model konsep RN22e dan N 2025 Vision Gran Turismo Concept. Manakala bagi Supersonic, ia menghasilkan bunyi seakan jet pejuang yang akan memberikan “sensasi pemanduan seperti juruterbang jet pejuang”, dakwa Hyundai. Kesemua tema bunyi ini boleh dilaras sendiri oleh pemandu bagi disesuaikan dengan selera masing-masing.

    Untuk N e-Shift pula, ia akan berfungsi secara integrasi dengan N Active Sound. Rasa seakan tukaran gear kotak gear DCT tersebut dihasilkan dengan kawalan terhadap kuasa tork motor elektrik Ioniq 5 N ini. Hyundai menyatakan sistem ini direka bagi membolehkan pemandu menggunakan teknik memandu laju kereta dengan enjin pembakaran dalaman pada Ioniq 5 N ini, dan ia rasa lebih seperti sebuah kereta dengan enjin petrol berbanding EV.

    Kemunculan Ioniq 5 N ini di GFOS pada 13 Julai nanti turut menjadi detik bersejarah di mana ia merupakan kali pertama Hyundai menyertai acara sukan permotoran ikonik tersebut. Hyundai turut akan membawa model-model N yang lain untuk beraksi di Goodwood tahun ini termasuk model konsep prestasi hidrogen Hyundai N Vision 74.

     
     
  • Lorong SmartLane diaktifkan di wilayah tengah Lebuhraya PLUS hingga 2 Julai sempena Aidiladha

    Lorong SmartLane diaktifkan di wilayah tengah Lebuhraya PLUS hingga 2 Julai sempena Aidiladha

    Sempena dengan perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 29 Jun ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedang mengaktifkan lorong SmartLane untuk Lebuhraya Utara-Selatan bagi wilayah tengah. Ia sudah pun bermula sejak 24 Jun lalu dan akan dilaksanakan hingga 2 Julai ini.

    Bertujuan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada serta membantu melancar dan menyuraikan trafik pada musim perayaan Hari Raya Aidiladha ini, lorong SmartLane tersebut beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

    Ia melibatkan laluan Tapah (KM306.7) hingga Persimpangan Gopeng (KM297.0) arah utara, laluan Slim River (KM367.3) hingga ke susur masuk Persimpangan Sungkai (KM354.1) arah utara dan laluan dari R&R Rawang (KM439.6) ke susur masuk Persimpangan Sungai Buaya (KM435.5) arah utara.

    Klik untuk besarkan

    “Sepanjang tempoh tersebut, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada dan membantu melancarkan trafik pada waktu puncak pagi.

    “Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan ‘SmartLane’ ini melalui papan tanda laluan ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik,” kata PLUS.

    Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit.

    PLUS turut mengeluarkan larangan penutupan jalan bagi kerja-kerja penyelenggaran, naiktaraf atau pembinaan di laluan utama lebuhrayanya sehingga 3 Julai ini. “Pengecualian hanya diberikan untuk kerja-kerja penyelengaraan dan kecemasan yang memerlukan tindakan segera sahaja,” kata PLUS lagi.

     
     
  • JPJ, JSPT laksana Ops Khas Motosikal Modifikasi di DUKE – 691 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan

    JPJ, JSPT laksana Ops Khas Motosikal Modifikasi di DUKE – 691 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan Ops Khas terhadap motosikal diubahsuai secara ekstrem yang menggangu dan menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar melalui aktiviti rempit dan lumba haram.

    Menurut Bahagian Penguatkuasa JPJ, operasi ini adalah susulan aduan awam yang diterima dan dilaksanakan di Lebuhraya DUKE selama tujuh jam mulai 10 malam, melalui strategi sekatan jalan raya (SJR) dengan melibatkan 75 anggota bagi memantau di kedua-dua arah lebuhraya berkenaan.

    “Di mana anggota penguatkuasaan yang terbabit ditempatkan termasuk di lokasi-lokasi lorong tikus dan menahan mana-mana kenderaan yang cuba membuat pusingan lari daripada tindakan penguatkuasaan.

    “Hasil daripada Ops Khas ini, sebanyak 691 saman dan 155 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada insurans, LKM tamat tempoh serta kesalahan-kesalahan kegagalan mematuhi piawaian teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai motosikal secara ekstrem, yang menyebabkan disita sebanyak 56 buah kenderaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    JPJ turut berkata, pihaknya akan terus meningkatkan usaha pelaksanaan pematuhan kepada Akta 333 dan Akta 715 bagi tujuan mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.

     
     
  • Dataran Kemerdekaan Shah Alam ditutup dari laluan trafik bermula 6.30 petang ini hingga 6 pagi Isnin

    Dataran Kemerdekaan Shah Alam ditutup dari laluan trafik bermula 6.30 petang ini hingga 6 pagi Isnin

    Ini ada makluman buat penduduk Shah Alam. Terdapat penutupan jalan di tengah bandaraya Shah Alam sepanjang hujung minggu ini. Ia melibatkan Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sepanjang Jalan Persiaran Bandar Raya yang ditutup dari laluan trafik mulai jam 6.30 petang ini, hinggalan 6 pagi pada Isnin (26 Jun).

    Penutupan jalan berkenaan adalah bagi menjayakan Karnival Arus Merah Kuning dan Jelajah Madani yang berlangsung hujung minggu ini.

    Sebelum ini, kami melaporkan terdapat beberapa jalan di sekitar bandaraya ini bakal ditutup pada Ahad, 25 Jun 2023, bagi memberikan laluan untuk acara berbasikal PKNS Selangor International Race.

    Jalan yang terlibat ialah Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Kayangan, Persiaran Hishamuddin, Persiaran Sukan, Persiaran Raja Muda, Persiaran Dato’ Menteri, Persiaran Bestari, Persiaran Serai Wangi, Jalan Kristal 7/64 dan Jalan Pegaga U12/9. Di mana jalan berkenaan akan ditutup secara berperingkat mulai jam 6 pagi hingga 12 tengahari.

    Manakala Jalan Indah di Seksyen 14 pula akan ditutup sepenuhnya dari tengahmalam Sabtu hingga 6 pagi pada Ahad.

    Jadi cara terbaik ialah mengelak dari mendekati lalua berkenaan, jika boleh. Ikuti arahan petugas dan papan isyarat yang diletakkan. Untuk peserta yang terlibat dalam acara ini, berhati-hati sewaktu menunggang basikal.

     
     
  • Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Kita tahu bahawa Proton merupakan jenama automotif pertama dari Malaysia, ditubuhkan pada 7 Mei 1983. Dan dua tahun selepas itu, Proton muncul dengan produk pertamanya untuk dijual dalam pasaran iaitu Proton Saga, dirasmikan oleh Perdana Menteri ke-4 (yang juga pengasas Proton) Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 9 Julai 1985.

    Sehingga kini, Saga merupakan model nasional paling lama pernah dijual. Penghasilannya tidak pernah dihentikan – ia berterusan sehingga kini dan sudahpun masuk ke generasi keempat versi facelift kedua (MC2) yang boleh ditemui di bilik-bilik pameran Proton sama ada di Malaysia dan juga pelbagai pasaran eksport.

    Proton telah merekodkan jualan melebihi 1.9 juta unit untuk Saga sehingga tahun lalu, di mana 1.2 juta unit daripadanya adalah Saga generasi pertama yang dijual sejak 1985 sehingga awal 2008. Dengan tempoh jualan lebih 27 tahun dan jumlahnya di atas jalan raya yang begitu banyak, sudah tentu kebanyakkan rakyat Malaysia ada cerita-cerita nostalgik bersama Saga generasi pertama ini kan?

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Begitu juga dengan pemilik Saga generasi pertama yang kami tampilkan kali ini – kenangan yang begitu indah bersama kereta tersebut telah ‘membakar semangat’ sehingga ianya dapat direstorasi sepenuhnya, dan kondisinya kini adalah jauh lebih baik dari keadaannya ketika meninggalkan kilang Proton di Hicom Shah Alam kira-kira 33 tahun yang lalu!

    Ini merupakan Proton Saga generasi pertama keluaran 1990, dan ia adalah dari varian 1.5S yang menggunakan enjin Megavalve 4G15 1.5 liter 12-injap dengan suapan sistem karburator, dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual. Kereta ini dibeli baru oleh bapa mertua pemilik sedia ada dan digunakan sebagai pengangkutan harian keluarga.

    ‘Ikatan’ pemilik sedia ada bersama Saga ini bermula selepas dia mengenali isterinya (ketika itu masih lagi teman wanita). Menurutnya, apabila hubungan mereka semakin rapat, dia kerap ke Kulim, Kedah untuk berjumpa bakal mertuanya itu – walaupun ketika itu dia sudah pun memandu kereta buatan Eropah, dia tetap akan bersiar-siar sehingga ke Pulau Pinang dengan memandu Saga ini.

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Jadi kenangan ketika bercinta kekal pada Proton Saga berwarna Gerimis Grey berkenaan. Dan bagi membolehkan kenangan itu kekal berpanjangan, Saga ini perlu direstorasi sehingga ia boleh diwarisi oleh anak-anak mereka kelak. Dan segala kerja-kerja berkenaan diserahkan kepada pakar restorasi Proton iaitu Dream Street Restoration (DSR) yang kini bertapak di Taman Industri Subang, Subang Jaya, Selangor.

    Pada asalnya Saga ini mahu di bawa pulang ke Kuala Lumpur ketika semua ahli keluarga berkenaan berpindah dari Kedah ke Ibu Negara, namun segala perancangan tidak menjadi apabila virus Covid-19 mula melanda negara. Jadi Saga ini terpaksa ditinggalkan di rumah jiran (yang juga ahli keluarga terdekat) di Kulim, dan syukur ia dijaga dan enjinnya dihidupkan sekali sekala bagi memastikan ia tidak ‘mereput’ kerana ditinggalkan.

    Setelah badai Covid mula reda, kereta ini terus diangkut dari Kulim menggunakan trak flat bed terus ke Kuala Lumpur pada 31 Disember 2021. Saga ini hanya dapat dihantar ke DSR pada Februari 2022 (ketika itu DSR masih lagi berkongsi tempat dengan Sterling Automotive juga di Subang Jaya) kerana mengikut giliran yang sudahpun ditetapkan.

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Kerja-kerja restorasi dimulakan dengan membaraikan semua panel badan Saga ini. DSR turut membina dolly stand khas untuk meletakkan kerangka kosong Saga berkenaan bukan sahaja bagi memudahkan ia dialih ke sana ke sini, malah ia juga penting bagi memastikan semua bahagian yang perlu diperbaiki dapat diakses.

    Hampir kesemua panel badan Saga ini adalah baharu – bonet hadapan, penutup but belakang, keempat-empat pintu (dari Saga LMST), bumbung kesemua cermin adalah antara komponen baharu yang dapat dijumpai bagi menggantikan panel-panel asal Saga ini.

    Malah ketika kerangka badan Saga ini dalam keadaan ‘bogel’, DSR turut melakukan pelbagai kerja memperbaiki struktur badan, termasuk menggunakan produk anti-kakisan dari Roberlo bagi memastikan ‘tulang-tulang’ utama dalam badan Saga ini tahan lebih lama.

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Satu lagi permintaan pemilik Saga ini kepada DSR adalah untuk memadankan set tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang. Ini kerana undang-undang yang mewajibkan semua kereta baharu wajib mempunyai tali pinggang keledar belakang hanya bermula pada 1 Januari 1995, dan Saga ini memang tidak mempunyai set tali pinggang keledar belakang ketika baharu dulu.

    Untuk memadankan set tali pinggang tersebut, DSR bukan hanya sekadar menebuk tiang-C sebelah dalam, tetapi keseluruhan panel tersebut telah dipotong dan digantikan dengan panel dari model Saga Iswara yang sememangnya diberikan lubang skru untuk memasang tali pinggang keledar berkenaan.

    Selepas panel-panel badan dipadankan kembali, badan Saga ini disudahkan dengan warna aslinya kembali iaitu Gerimis Grey.

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Walaupun Saga ini tidak mensasarkan sebarang tingkat taraf kuasa, DSR masih melakukan proses blueprinted pada enjin dan juga kotak gear, bagi memastikan ia boleh dipandu dengan lebih lancar selepas siap nanti. Jadi enjin 4G15 yang telah dikeluarkan dari perut, kemudian dibaraikan komponennya satu persatu.

    Apa yang dijumpai, laluan air (water jacket) pada blok enjin tersebut telah tersumbat dengan karat. Minyak pelincir pada enjin berkenaan juga sudah lama tidak ditukar (kerana PKP ketika pendemik) telah menyebabkan dinding pada silinder omboh, aci engkol dan juga galas pada rod penghubung omboh telah calar.

    Oleh itu, proses blueprinted pada enjin 4G15 ini turut melibatkan proses rebore pada silinder dan omboh ditukar kepada unit yang berdiameter lebih besar untuk disesuaikan dengan silinder lebih besar. Menurut DSR, segala komponen dalaman enjin yang perlu ditukar termasuk omboh, kit gasket, kit rombak rawat karburator dan sebagainya berjaya diperolehi baru dari Jepun.

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Proses blueprinted juga turut meliputi sistem transmisi, di mana semua komponen dalam kotak gear dikeluarkan dan diperiksa, sementara semua galas bebola telah diganti baharu.

    Setelah siap, unit rangkaian kuasa tersebut dimasukkan semula ke ruang enjin Saga ini. Seperti yang anda boleh tengok, ruang enjin berkenaan kini nampak seperti baru keluar kilang; buka sahaja enjin dan kotak gear dalam keadaan berkilat, malah segala skru cagak serta komponen logam telah disadur anod semula, dan komponen lain seperti tangki air tambahan dan tangki pencuci cermin, radiator, kipas elektrik dan pelbagai lagi telah diganti baru.

    Kalau anda perasan, pelekat-pelekat spesifikasi pada ruang enjin ini juga nampak seperti baru bukan? Ini kerana semua pelekat berkenaan telah direka dan dicetak semula, dan DSR turut mengemaskini maklumat berkenaan selari dengan spesifikasi semasa, contohnya jenis minyak brek yang telah ditukar kepada DOT4 (berbanding DOT3 sebelum ini) dan juga spesifikasi minyak enjin yang digunakan.

    Bukan hanya pelekat pada ruang enjin ini sahaja telah dicetak semula, malah pelekat ‘anti karat’ dan spesifikasi angin tayar pada pintu, pelakat spesifikasi RON minima pada penutup pengisi petrol serta simbol-simbol pada tuil pelaras tempat duduk hadapan turut mendapat sentuhan yang sama.

    Dalam sesi penggambaran yang dibuat di Putrajaya ini, penulis turut berpeluang memandu Saga ini. Terus terang, ini adalah Saga generasi pertama paling baik pernah dipandu oleh penulis. Dengan proses blueprinted yang telah dibuat pada enjin, anda akan terasa gegaran yang sangat minimal walaupun memandu dalam kelajuan rendah tetapi dengan gear tinggi.

    Malah bunyi knocking ikonik pada enjin Megavalve setiap kali ia dipandu mendaki bukit turut tidak kedengaran pada Saga ini – bukan sahaja kerana proses blueprinted yang dibuat, malah sejak ianya siap, tangki minyak Saga ini tidak pernah dituang dengan petrol RON95 dan hanya diisi dengan petrol RON97.

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Casis Saga yang telah diperbaiki sepenuhnya ini turut digantikan dengan sistem suspensi yang dibina semula. Segala getah-getah bushing, penyambungan dan juga lengan-lengan telah diganti. Manakala sistem torsion beam belakang turut dibuka dan segala komponen haus dan lusuh di dalamnya telah diganti baru, kemudian ia dicat semula untuk kelihatan seperti baru.

    Penyerap hentak Saga ini mungkin nampak standard, namun ia juga sebenarnya telah mendapat sentuhan bekas pakar pengendalian Proton R3 iaitu Faidzil Alang dari Fawster Motorsport. Manakala sistem stereng kini telah dipertingkat dengan pemadanan rak stereng yang mempunyai bantuan kuasa hidraulik.

    Pada sebelah luar, Saga ini kelihatan hampir ‘standard kilang’, cuma cermin sisinya sahaja telah ditukar dengan komponen dari kembarnya di Jepun iaitu Mitsubishi Lancer Fiore. Ada komponen asli yang tidak dapat dibeli baru telah direstorasi semula oleh DSR sehingga ke tahap kelihatan hampir baru, contohnya logo Proton hadapan yang kini bernyala semula.

    Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

    Begitu juga dengan kesemua penutup rim besi pada keempat-empat roda – ia tidak dapat dibeli baru, yang dapat cuma set terpakai yang kemudian direstorasi semula. Penutup rim yang tidak lagi rata berkenaan terpaksa dipanaskan untuk ‘diluruskan’ kembali, kemudian ia disembur dengan cat berwarna perak, sementara tulisan ala-jawi ‘Proton’ pada penutup tersebut dibuat semula dengan airbrush.

    Kerja-kerja pembaikkan turut dibuat pada sebelah dalam kabin. Seperti yang anda boleh lihat, papan pemuka, panel pintu, roda stereng, panel meter, panel suis-suis kawalan semuanya telah dibersihkan semula dan direstorasi sehingga kelihatan seperti ia dipelihara dalam muzium.

    Manakala pelapik bumbung telah dibalut semula dengan material lebih moden dan ia kini berwarna hitam. Apa yang menarik, kesemua tempat duduk Saga ini telah dibalut dengan pembalut aksesori ketika ia masih baru dahulu, dan ia terpelihara di bawah pembalut berkenaan sehingga kini.

    Jadi selain menjimatkan masa dan wang untuk merestorasi semula tempat duduk tersebut, ia juga menyajikan ‘aroma’ bau sabut di dalam kusyen berkenaan, iaitu bau kabin yang sama ketika Saga ini diambil dari bilik pameran dahulu!

    DSR turut mengambil berat berkenaan faktor NVH dalam merestorasi Saga ini. Oleh itu, sebelum segala komponen kereta ini dipasang, kerangka Saga ini sebenarnya telah dipasang dengan bahan penebat pada bahagian lantai, bumbung sehingga ke ruang but belakang. Anda turut boleh lihat bahan penebat berkenaan turut dipasang pada penutup hud enjin hadapan dan penutup but belakang.

    Walaupun kabin Saga ini nampak standard, DSR sebenarnya telah memberikan sistem audio yang cukup padu. Pemain kaset utama Blaupunkt Phoenix asli pada papan pemuka Saga ini telah direstorasi untuk kelihatan dan berfungsi semula seperti baru.

    Namun tak cukup dengan itu, ada satu lagi pemain utama dari Kenwood yang lebih moden disorokkan dalam glovebox bagi membolehkan pelbagai sumber media lain seperti USB, Bluetooth dan sebagainya dapat dimainkan. Kedua-dua pemain utama ini disambungkan pada pemproses bunyi bagi mendapatkan bunyi lebih baik, dan pemandu boleh menukar sama ada untuk menggunakan pemain klasik Blaupunkt atau Kenwood hanya dengan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

    Bunyi-bunyian tersebut disalurkan kepada empat pembesar suara Infinity Kappa dari Harman, dan disokong oleh subwoofer juga dari Harman yang disorokkan di bawah tempat duduk hadapan. Jadi jangan tertipu dengan rupa standard kabin Saga ini, kerana bunyi audio yang dihasilkan adalah lebih baik dari kereta yang diberikan subwoofer ‘kedai abang’ sebesar peti ais di dalam but belakang.

    Menurut pengasas bersama DSR, Suriya Sankaran, proses restorasi Saga ini merupakan antara projek paling sukar dan mengambil masa paling lama yang pernah dibuat oleh syarikatnya kerana faktor seperti kesukaran untuk mendapatkan alat ganti yang benar-benar asli dan sebagainya.

    Projek ini bermula pada Februari 2022, dan ia hanya siap pada bulan Jun tahun ini, iaitu hampir setahun setengah untuk disiapkan. Suriya menjelaskan dalam tempoh sedemikian, syarikatnya mampu untuk menyudahkan dua projek restorasi penuh Proton Satria GTi, tetapi hanya sebuah Saga siap dalam tempoh yang sama!

    GALERI: Proses restorasi Proton Saga 1.5S 1990 oleh Dream Street Restoration

     
     
  • BMW i7 xDrive60 2023 kini di Malaysia — jarak EV sehingga 615 km, 544 PS/795 Nm, skrin 31.1-inci

    BMW i7 xDrive60 2023 kini di Malaysia — jarak EV sehingga 615 km, 544 PS/795 Nm, skrin 31.1-inci

    Susulan pengenalan BMW 7 Series generasi ketujuh Mei lalu, BMW Malaysia kini memperkenalkan versi elektrik sepenuhnya sedan mewah berkenaan untuk pasaran tempatan, model i7. Ditawarkan dalam satu varian tunggal xDrive60 M Sport, i7 ini dijual pada harga RM729,800 atas jalan, tidak termasuk insuran — dan termasuk lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis.

    Dengan ini, i7 dijual lebih mahal berbanding model plug-in hybrid 750e xDrive yang datang dalam dua versi; Pure Excellence pada harga RM649,800, dan M Sport dengan harga anggaran RM700,000. Ini kerana, versi EV datang dengan lebih banyak kuasa, dengan bantuan sepasang motor elektrik — satu di setiap gandar — yang memberikan janaan keseluruhan 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan 795 Nm tork.

    BMW i7 xDrive60 2023 kini di Malaysia — jarak EV sehingga 615 km, 544 PS/795 Nm, skrin 31.1-inci

    Angka ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.7 saat dan laju maksimum dihadkan secara elekronik pada 240 km/j. Jarak perjalanan pula ialah 615 km dengan kitaran WLTP, serta bateri yang terletak di bahagian lantai kenderaan membekalkan kapasiti 105.7 kWh (101.7 kWh bersih).

    Untuk pengecasan, i7 datang dengan Combine Charging Unit (CCU) yang membenarkan pengecasan AC pada kadar sehingga 22 kW melalui sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh dalam masa 5.5 jam. Untuk pengecasan pantas DC pula, kadarnya sehingga 195 kW dengan sambungan CCS2, yang membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 34 minit sahaja. Ia juga datang dengan Integral Active Steering (stereng roda belakang) sebagai ciri standard.

    BMW i7 xDrive60 2023 kini di Malaysia — jarak EV sehingga 615 km, 544 PS/795 Nm, skrin 31.1-inci

    Kelengkapan lain, i7 ini hadir dengan pakej luaran M Sport dengan bampar yang lebih agresif, rim 21-inci M Aerodynamic Style 909 dalam penyudah Jet Black. Ada juga kemasan luaran Chromeline, penutupan pintu perlahan automatik, bumbung kaca panoramik Sky Lounge serta pencahayaan Iconic Glow di “kidnye grille” dan lampu kristalnya — serta ciri HBA untuk lampu depan juga.

    Bahagian dalaman lengkap dengan balutan kulit BMW Individual Merino dalam warna Amarone serta perincin kayu Fineline hitam dan kemasan kesan logam berkilat M, ciri kristal Crafted Clarity, BMW Interaction Bar, stereng M balutan kulit dan kerusi Executive Lounge berserta konsol khusus di belakang.

    BMW i7 xDrive60 2023 kini di Malaysia — jarak EV sehingga 615 km, 544 PS/795 Nm, skrin 31.1-inci

    Bagi infotainmen, i7 menerima sistem BMW Live Cockpit Plus dengan paparan melengkung (kluster instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh di tengah bersaiz 14.9-inci) dan BMW Operating System 8. Sistem ini terdiri daripada Connected Package Professional, My Modes dan IconicSounds Electric sebagai tambahan kepada ciri media dan sambungan lainnya.

    Sistem audio adalah daripada Bowers & Wilkins, ada juga Rear-seat Entertainment Professional (dengan skrin BMW Theatre Screen 31.3-inch), pengecas telefon tanpa wayar, kawalan pendingin empat-zon, lampu suasana komprehensif, pelindung matahari boleh laras dan kerusi balutan kulit Veganza (dengan liang udara) juga tersedia untuk dinikmati. Setiap i7 juga datang dengan bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan BMW Group Loyalty+ Mobile App – BMW Privileges Card.

    BMW i7 xDrive60 2023 kini di Malaysia — jarak EV sehingga 615 km, 544 PS/795 Nm, skrin 31.1-inci

     
     
  • Vespa Disney Mickey Mouse Edition 2023 diperkenal

    Vespa Disney Mickey Mouse Edition 2023 diperkenal

    Kita sudah melihat banyak model Vespa keluaran istimewa yang melibatkan kerjasama dengan pelbagai jenama terkenal dan ini adalah yang terbaru, dipanggil sebagai Vespa Disney Mickey Mouse Edition. Ia dibuat bersempena dengan sambutan ulang tahun Disney yang ke-100.

    Menggunakan model Primavera sebagai asas, Vespa Disney Mickey Mouse Edition ini menggunakan kombinasi warna pada kuning, hitam dan merah pada badannya, sementara beberapa bahagian seperti kemasan keliling lampu hadapan, pemegang belakang dan kemasan panel tepi masih kekal berwarna krom.

    Menjadikannya lebih istimewa adalah grafik watak kartun popular Mickey Mouse pada bahagian panel depan serta tepi. Kemudiannya pada tempat duduk, terdapat cop tanda tangan Mickey Mouse pada kain pembalut.

    “Kolaborasi antara Vespa dan Disney ini melambangkan sambutan untuk dua syarikat bersejarah yang mempunyai impian sama: untuk membenarkan semua orang meluahkan imaginasi mereka secara bebas,” kata ketua eksekutif bahagian strategi, produk, pemasaran dan inovasi global Piaggio Group, Michele Colaninno.

    “Sama seperti Mickey Mouse, Vespa juga adalah satu lambang budaya, meletakkan rasa seronok dan mahu menjelajah, dan bersama-sama, mereka membentuk satu kombinasi yang menarik, mengembangkan lagi kisah penceritaan kami,” kata timbalan presiden kanan produk Disney, Claire Terry.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025