Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KTMB umum perjalanan tren Komuter laluan Sungai Buloh-Kepong bakal alami kelewatan pada 6-25 Jun ini

    KTMB umum perjalanan tren Komuter laluan Sungai Buloh-Kepong bakal alami kelewatan pada 6-25 Jun ini

    Bagi pengguna KTM Komuter untuk laluan Sungai Buloh-Kepong, ini ada makluman penting buat anda. KTM Berhad (KTMB) telah memaklumkan bahawa perjalanan tren komuter bagi laluan berkenaan bakal mengalami kelewatan pada 6 hingga 25 Jun 2023.

    Di mana hanya satu landasan sahaja yang akan digunakan untuk tempoh berkenaan disebabkan kerja-kerja menaiktaraf perjalanan. Oleh yang demikian, KTMB berkata, perjalanan tren di laluan tersebut akan mengalami jangkaan kelewatan antara lima hingga 30 minit.

    Harap pengguna komuter di laluan terbabit dapat meningkatkan kesabaran sepanjang tempoh berkenaan. Sila gunakan pengangkutan awam alternatif termasuk perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sekiranya perlu.

     
     
  • Persimpangan Sri Petaling di Lebuhraya SUKE bakal dibuka – Ulu Kelang-Sri Petaling hanya 20 minit

    Persimpangan Sri Petaling di Lebuhraya SUKE bakal dibuka – Ulu Kelang-Sri Petaling hanya 20 minit

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) selaku pengendali Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengumumkan bahawa Persimpangan Sri Petaling di lebuhraya berkenaan bakal dibuka untuk kegunaan trafik tidak lama lagi.

    PROLINTAS berkata, menerusi Persimpangan Sri Petaling yang berada dalam fasa kedua Lehuhraya SUKE, perjalanan antara Ulu Kelang-Sri Petaling hanya mengambil masa sekitar 20 minit sahaja. “Persimpangan ini juga bakal menghubungkan anda dengan enam lebuhraya lain yang menghala ke selatan pusat bandar,” kata PROLINTAS tanpa memaklumkan tarikh sebenar pmbukaan persimpangan terbabit.

    Lebuhraya SUKE mula dibuka pada 16 September 2022 yang membabitkan Fasa 1 iaitu laluan bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km dengan 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang.

    Manakala Fasa 2 pula yang bakal dibuka tidak lama lagi ini melibatkan laluan dari Sri Petaling (di mana berakhirnya Lebuhraya Kesas, berdekatan Endah Parade) sejauh 7.8 km dengan tiga persimpangan dan satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai.

    Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. Lebuhraya ini menghubungkan Sri Petaling hingga ke Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, bertindak sebagai alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR), dengan 14 persimpangan secara keseluruhan.

     
     
  • Radar RD6, trak pikap elektrik dari Geely akan dijual di rantau ASEAN bermula dengan pasaran Thailand?

    Radar RD6, trak pikap elektrik dari Geely akan dijual di rantau ASEAN bermula dengan pasaran Thailand?

    Dengan ‘kemeriahan’ pelbagai jenama EV China masuk ke pasaran Thailand, Geely nampaknya turut tidak akan melepaskan peluang untuk ke negara berkenaan. Selain bakal muncul dengan jenama smart yang akan diuruskan oleh Proton di sana, Geely nampaknya akan ‘turun’ sendiri ke Thailand dan kini sedang mempertimbangkan model mana yang akan dibawa dan dikilangkan di Thailand, lapor Reuters.

    Menurut sumber yang tidak mahu dikenali kepada agensi berita berkenaan, Geely kini sedang mempertimbangkan untuk masuk ke pasaran Thailand sama ada menerusi model-model EV entry level, dan juga trak pikap elektrik penuh dari jenama Radar miliknya.

    Walau bagaimanapun, wakil rasmi syarikat tersebut enggan memberikan sebarang perincian berkenaan pelaburan tersebut. Namun menerusi jelajah yang dibuat oleh Lembaga Pelaburan (BOI) Thailand di China April lalu, negara berkenaan telah pun berbincang dengan beberapa pengeluar automotif China untuk membuat pelaburan.

    Setiausaha Agung lembaga berkenaan, Narit Therdsteerasukdi mendedahkan bahawa pihaknya telah berbincang dengan lima pengeluar EV China ketika jelajah itu berlangsung, termasuk Geely, BYD, Chongqing Changan Automobile, JAC Motors dan Jiangling Motors.

    Radar RD6, trak pikap elektrik dari Geely akan dijual di rantau ASEAN bermula dengan pasaran Thailand?

    “Semuanya menzahirkan minat dalam polisi Thailand untuk membangunkan pangkalan produksi EV serantau dan jaringan pembekalan EV bersepadu”, kata Narit.

    Thailand mensasarkan untuk mencapai produksi EV 30% dari keseluruhan produksi automotifnya menjelang 2030, dan ia menawarkan insentif kewangan kepada pembuat-pembuat automotif bagi menarik pelaburan dari luar. Dalam masa yang sama, subsidi turut ditawarkan kepada pembeli kereta bagi menggalakkan permintaan terhadap EV di negara itu.

    Seperti yang diketahui, Thailand merupakan pasaran yang cukup gemar terhadap trak pikap, dan buat masa sekarang menjadi hab produksi kenderaan sedemikian untuk beberapa jenama. Jadi ini mungkin menjadi faktor untuk Geely membawa Radar RD6 ke Thailand seterusnya mendorong peralihan penggunaan trak pikap berkuasa elektrik?

    Radar RD6, trak pikap elektrik dari Geely akan dijual di rantau ASEAN bermula dengan pasaran Thailand?

    Radar RD6 telah dilancarkan di China pada November tahun lalu, dijual pada harga bermula 178,800 yuan (RM116k) sehingga 268,800 yuan (RM174k), dan diberikan waranti selama 4 tahun atau 100,000 km. Trak pikap ini dibangunkan berasaskan platform modular untuk kenderaan elektrik terbaharu dari Geely iaitu Sustainable Experience Architecture (SEA).

    Ia dihasilkan dengan dimensi 5,260 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,830 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,120 mm. Jadi trak pikap EV ini sebenarnya mempunyai saiz yang hampir sama dengan Toyota Hilux yang tampil dengan dimensi 5,325 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,815 mm tinggi dan jarak roda 3,085 mm.

    Untuk unit rangkaian kuasa, malangnya RD6 hanya diberikan motor tunggal berkuasa 272 hp (200 kW) diletakkan pada gandar belakang – ini bermakna sistem berkenaan hanya akan memacu roda belakang, tanpa sistem pacuan semua roda yang diperlukan untuk pemanduan off-road.

    Radar RD6, trak pikap elektrik dari Geely akan dijual di rantau ASEAN bermula dengan pasaran Thailand?

    Walaupun hanya diberikan sebuah motor elektrik, ia sudah cukup untuk memberikan pecutan 0-100 km sekitar 6 saat pada trak pikap ini. Motor berkenaan disuap dengan kuasa elektrik yang dibekalkan dari bateri LFP 63 kWj untuk varian asas, memberikan jarak gerak 400 km. Varian pertengahan menerima bateri NMC 86 kWj untuk jarak gerak 550 km, dan varian paling mahal diberikan bateri NMC 100 kWj untuk jarak gerak 632 km.

    Seperti yang diketahui, Geely mempunyai portfolio jenama yang begitu luas di bawahnya dan menawarkan pelbagai jenis EV.”Mereka perlu membuat keputusan model mana yang perlu dibawa ke Thailand,” kata salah seorang sumber berkenaan, dan menambah kilang pemasangan turut akan dinilai.

    Antara jenama yang berada di bawah Zhejiang Geely Holding Group termasuk Geely Auto Group yang memiliki Geely Auto, Geometry, Lynk & Co dan Proton (kepentingan sebanyak 49.9%). Jenama lain adalah termasuk Zeekr Intelligent Technology (Zeekr), Lotus Group (Lotus Cars), smart Automobile (kerjasama dengan Mercedes-Benz), Volvo Car Group (Volvo Cars dan Polestar), LEVC (London Electric Vehicle Company), Radar New Energy Automobile (Radar) dan Geely New Energy Commercial Vehicle Group.

     
     
  • FF8 bernilai RM950k rupanya ke-3 termahal dalam sejarah bidaan plat nombor – senarai Top 20 di sini!

    FF8 bernilai RM950k rupanya ke-3 termahal dalam sejarah bidaan plat nombor – senarai Top 20 di sini!

    Jika anda menyangka bahawa plat nombor ‘FF8’ yang berjaya dibida baru-baru ini dengan nilai RM950,000 merupakan plat nombor paling mahal dalam sejarah bidaan, sebenarnya ia masih ‘belum cukup padu’ untuk menandingi ‘Malaysia1’ dari siri plat pendaftaran khas ‘Malaysia pada Ogos 2018. ‘Malaysia1’ berjaya dibida dengan nilai RM1,111,111 dan sehingga kini dikatakan masih menjadi plat nombor yang paling mahal di Malaysia.

    Kami mendapat senarai bidaan tertinggi nombor plat pendaftaran kenderaan tidak rasmi (bukan dari sumber Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)) yang dikongsikan menerusi Facebook. Walau bagaimana pun, senarai berkenaan tidak termasuk dengan plat pendaftaran khas bukan di bawah kendalian JPJ seperti siri khas Patriot, X, XX, dan sebagainya.

    Sebelum ini, JPJ ada menyenaraikan nama pembida yang berjaya memperoleh nombor plat panas atau pun yang menerima bidaan tertinggi. Contohnya dalam bidaan siri ‘Malaysia’, ‘Malaysia1’ berjaya dibida oleh Aldi International Sdn Bhd dan bidaan ‘Malaysia8’ pula dimenangi oleh Project Concept Sdn Bhd. Manakala bagi siri ‘F’, ‘F1’ dimenangi oleh Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Malahan baginda Sultan Johor juga berjaya mendapatkan siri nombor ‘V1’.

    FF8 bernilai RM950k rupanya ke-3 termahal dalam sejarah bidaan plat nombor – senarai Top 20 di sini!

    Pada tahun 2018, Antony Loke yang juga Menteri Pengangkutan ketika itu berkata, penjualan nombor plat kenderaan yang dikeluarkan oleh JPJ mampu menjana lebih pendapatan kepada tabung kerajaan. Antara siri nombor plat yang berjaya menerima keseluruhan jumlah nilai bidaan tertinggi ialah siri ‘FF’ dengan kutipan RM34.2 juta, ‘Malaysia’ (RM13 juta), ‘V’ (RM22 juta) dan ‘F’ (RM17 juta).

    Berikut merupakan senarai Top 20 nombor pendaftaran kenderaan yang menerima nilai bidaan tertinggi setakat ini:
    1- Malaysia1: RM1,111,111
    2- V1 : RM990,000
    3- FF8 : RM950,000
    4- FF9 : RM911,999
    5- V9 : RM899,800
    6- V8 : RM880,000
    7- V7 : RM877,800
    8-F1 : RM836,660
    9- VV1 : RM826,100
    10- W1N : RM748,000
    11- V2 : RM700,000
    12- V3 : RM660,000
    13- FB1 : RM660,000
    14- FF3 : RM639,000
    15- FF2 : RM638,000
    16- FF7 : RM633,000
    17- Malaysia8 : RM618,000
    18-V5 : RM599,000
    19- WWW1 : RM520,000
    20-FF88 : RM510,000

     
     
  • Proton Saga 2023 dapat kotak gear 4AT Aisin baru – masih guna enjin 1.3L sama, tiada perubahan harga

    Proton Saga 2023 dapat kotak gear 4AT Aisin baru – masih guna enjin 1.3L sama, tiada perubahan harga

    Berdasarkan maklumat yang kami terima, Proton telah menukar pembekal untuk transmisi automatik empat kelajuan pada Proton Saga MC2, daripada Hyundai kepada Aisin. Penukaran ini tidak diumumkan secara rasmi oleh Proton, dan tidak melibatkan sebarang perubahan kelengkapan lain atau harga.

    Tiada sebab yang dinyatakan kenapa transmisi ini ditukar, tetapi mengikut pemahaman kami, ia sekadar penukaran pembekal untuk sesuatu alat, dan bukannya dibuat atas sebab ketahanan atau prestasi bahagian tersebut. Oleh kerana itu, Saga dengan transmisi 4AT baru ini sepatutnya beroperasi sama sahaja seperti Saga lama yang menggunakan transmisi daripada Hyundai – diperkenalkan kali pertama pada Saga facelift tahun 2019 dan diteruskan pada model MC2 tahun lepas.

    Penukaran kepada transmisi Aisin ini telah dibuat pada bulan Mei 2023, sekaligus membawa makna Proton Saga yang diserahkan kepada pelanggan selepas ini sepatutnya datang dengan transmisi baru tersebut.

    Saga MC2 ditawarkan kepada pasaran dalam empat varian, dengan harga antara RM34,800 ke RM44,800, dengan kesemuanya dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 1.3 liter berkuasa 95 PS dan tork 120 Nm.

    Sementara ada yang menganggap transmisi ini sama seperti unit 4AT yang digunakan pada model lama Perodua (Aisin dimiliki oleh Toyota, dan sebab itu ia ada kaitan dengan Perodua dan Daihatsu), ia sebenarnya tidak. Unit 4AT Perodua dibuat oleh Akashi Kikai (sama seperti D-CVT sekarang), dan ia adalah pengeluar transmisi yang berbeza.

     
     
  • Honda RS150R pasaran Malaysia dapat warna baru

    Honda RS150R pasaran Malaysia dapat warna baru

    Kali terakhir diberikan perubahan pada bulan Mac tahun lepas, Honda RS150R kini diperkenalkan dalam warna baru yang dipanggil sebagai Mat Charcoal Gray Metallic. Ia akan mula berada di wakil pengedar Boon Siew Honda bermula 3 Jun 2023 dan dijual pada harga RM8,299 tidak termasuk insurans (tidak berubah berbanding tahun lepas).

    Selain warna dan grafik, tiada perubahan lain yang diberi pada motosikal ini dan ia masih lagi mempunyai kelengkapan yang sama, bermula dengan enjin satu silinder DOHC 149.16 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Enjin ini hanya boleh dihidupkan menggunakan pemula elektrik dan ia dipadankan bersama transmisi enam gear serta klac yang perlu ditarik dengan tuil di tangan. Panel meter yang memaparkan informasi penting termasuk kedudukan gear menggunakan jenis LCD digital.

    RS150R datang dengan rim 17 inci yang dibalut dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dan ia disambungkan kepada badan motosikal melalui fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, tangki bahan api 4.5 liter serta lampu utama LED. Setiap motosikal datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Neta S dipertonton di Malaysia – sedan EV dengan pintu buka ke atas, jarak gerak sehingga 715 km

    Neta S dipertonton di Malaysia – sedan EV dengan pintu buka ke atas, jarak gerak sehingga 715 km

    Neta, sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari China mula masuk ke Malaysia dengan menawarkan model Neta V, yang sekarang merupakan kereta elektrik (EV) paling murah, dengan harga jualan RM99,800 tidak termasuk insurans. Menurut syarikat pengedar Neta di sini, iaitu Intro Synergy, ini cuma baru permulaan dan ia seterusnya akan diikuti pula dengan ketibaan Neta U dan Neta S.

    Di sini, kita ingin melihat lebih lanjut kepada Neta S, yang mana sebuah unit telah tiba di negara kita untuk tujuan pra tonton, dari China. Ia bagaimanapun tidak menggambarkan spesifikasi model yang akan dilancarkan di negara kita, dan sebab itulah sistem infotainmennya juga dilihat masih tidak menggunakan Bahasa Inggeris dan soket pengecasnya adalah berbeza.

    Neta S adalah sebuah sedan elektrik penuh yang pertama kali ditunjuk kepada dunia sewaktu Auto Shanghai 2021. Ia membawa kesinambungan daripada model Eureka 03 Concept, dan dijual pada harga antara 189,800 hingga 341,800 yuan (RM123,138 hingga RM221,753) di China.

    Mempunyai ukuran panjang 4,980 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,450 mm dan jarak roda 2,980 mm, Neta S mempunyai saiz lebih besar berbanding Honda Accord yang ada sekarang dan menggunakan bentuk licin beralun yang mampu memberikan kecekapan rintangan udara serendah 0.216 Cd.

    Bagi ciri rekaannya, selain penggunaan lampu DRL LED nipis dan bukaan udara hiasan besar di hadapan, ia juga lebih menyerlah kerana menggunakan pintu hadapan yang terbuka ke atas. Jalur lampu di belakang pula bersambung dari kiri ke kanan.

    Di dalam kereta ini terdapat banyak skrin, bermula dengan panel instrumen digital 13.3 inci di hadapan pemandu, skrin sesentuh 12.3 inci bertentangan penumpang hadapan, dan yang paling besar, skrin 17.6 inci menegak di bahagian tengah papan pemuka yang juga digunakan untuk kawalan fungsi kenderaan termasuk pendingin hawa.

    Neta S dipertonton di Malaysia – sedan EV dengan pintu buka ke atas, jarak gerak sehingga 715 km

    Kelengkapan lain yang ada pada Neta S adalah termasuk bumbung panoramik, tempat duduk larasan kuasa, pengecas tanpa wayar di konsol tengah, head-up display, pengawal suhu tiga zon, panel sesentuh untuk mengawal cermin, tempat duduk belakang boleh sandar serta pelbagai sensor dan kamera untuk sistem bantuan pemandu ADAS.

    Neta S yang anda lihat ini mempunyai dua soket pengecas yang mengikut standard GB/T. Soket di bahagian kanan yang nampak seperti Type 2 biasa tetapi pinnya adalah berlainan berbanding Type 2 Eropah, adalah untuk pengecasan AC, sementara satu lagi soket untuk pengecasan DC hanya boleh menerima sambungan GB/T dan tidak bukannya CC2 atau CHAdeMO.

    Di China, Neta S ditawarkan dengan penggerak elektrik penuh dan juga range extender. Model range extender menggunakan bateri lithium ion 43.88 kWh atau 43.51 kWh, dan mendapat sokongan daripada enjin pembakaran dalaman 1.5 liter, memberikan jarak gerak CLTC sehingga 1,160 km. Model ini hanya datang dengan tetapan pacuan roda belakang, dengan motor elektrik itu boleh menghasilkan kuasa 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan tork 310 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum adalah 185 km/j.

    Untuk model elektrik penuh pula, dua jenis bateri disediakan dengan kapasiti yang pelbagai, termasuk lithium iron phosphate (64.46 kWh) dan ternary lithium ion berkapasiti 84.5 kWh, 85.11 kWh dan 91 kWh. Bateri LFP boleh memberikan jarak gerak sehingga 520 km dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, sementara bateri yang berikutnya, dalam kapasiti 84.5 dan 85.11 kWh boleh memberikan jarak gerak sehingga 715 km sekali cas dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Pek bateri paling besar hanya ditawarkan bersama sistem pacuan semua roda, yang mempunyai dua motor elektrik dan output keseluruhan 462 PS (456 hp atau 340 kW) dan tork 620 Nm. Model ini boleh memberikan jarak gerak sehingga 650 km dan membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

    Meskipun Neta S ini nampak menarik, ia sebenarnya masih lambat lagi untuk tiba dan dijual secara rasmi di Malaysia kerana menurut Intro Synergy, ketibaan sedan EV ini hanya dijangka berlaku pada suku pertama tahun 2025. Anda mahu tunggu?

     
     
  • Tengku Zafrul ditunjukkan prototaip Daihatsu Mira EV di Jepun – Perodua Axia elektrik untuk Malaysia?

    Tengku Zafrul ditunjukkan prototaip Daihatsu Mira EV di Jepun – Perodua Axia elektrik untuk Malaysia?

    Selepas menghadiri mesyuarat dengan pembekal komponen kenderaan D-ACT di Jepun baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut berkesempatan mengunjungi kilang produksi Daihatsu Motor Co. Ltd. (DMC) di Kyoto. Ia bertujuan untuk melihat kilang Daihatsu yang direka berasaskan agenda ESG.

    Selain itu, beliau turut berkata, lawatan ini juga untuk mendalami pelan pelaburan jangka panjang DMC di Malaysia terutamanya untuk kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

    Seperti mana yang kita semua tahu, Daihatsu memiliki hubungan rapat dengan Perodua, dan baru-baru ini Perodua juga telah mempertontonkan model EV dengan konsep Electric Motion Online (EMO) pada bulan lalu.

    Tengku Zafrul ditunjukkan prototaip Daihatsu Mira EV di Jepun – Perodua Axia elektrik untuk Malaysia?

    Walau bagaimana pun, Perodua pernah berkata, pihaknya akan membawa model hibrid terlebih dahulu ke pasaran, walau pun sebelum ini, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya telah bersedia untuk menerokai potensi bagi kerjasama strategik dengan pembekal dan vendor tempatan termasuk dalam menghasilkan komponen EV.

    Namun buat masa ini, Perodua masih belum mengesahkan jenis EV keluarannya yang akan diperkenalkan di sini, namun kebarangkalian Axia elektrik penuh mempunyai potensi ke arah itu, berdasarkan model prototaip yang ditunjukkan kepada menteri MITI ini. Berdasarkan foto yang dimuat naik oleh beliau menerusi Facebook, ia merupakan model asas bagi Daihatsu Mira e:S generasi kedua.

    Daihatsu Mira e:S

    Butiran mengenainya adalah terhad, namun model yang ditunjukkan ini merupakan pacuan roda-hadapan, dengan enjin KF-VE 658 cc naturally-aspirated tiga-silinder petrol dan CVT digandingkan dengan motor elektrik. Imej dalamannya nampak biasa-biasa saja, namun berdasarkan unit utamanya yang agak spesifik yang menunjukkan status penjana kuasa dan juga kluster instrumen yang disemak semula.

    Model asasnya diperkenalkan pada tahun 2017, dan nampak gayanya ia berkemungkinan digunakan untuk membangunkan teknologi EV yang boleh diaplikasikan pada model masa depan yang dibina dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang direka dengan CASE (Connected, Automated Driving, Sharing and Electrification). Model semasa Axia turut menggunakan platform ini, dan kita juga pernah melihat model elektrifikasi DNGA dalam bentuk hibrid bagi Rocky, Ativa dan Toyota Raize.

     
     
  • BMW 750e xDrive Pure Excellence 2023 di Malaysia – PHEV CKD; 489 PS, 87 km jarak EV; dari RM613k

    BMW 750e xDrive Pure Excellence 2023 di Malaysia – PHEV CKD; 489 PS, 87 km jarak EV; dari RM613k

    Seperti mana yang kami laporkan hujung bulan lalu, BMW 7 Series G70 in 750e xDrive Pure Excellence serba baharu telah pun berada di pasaran Malaysia. Untuk itu, kami membawakan pula galeri foto penuh untuk salah satu dari dua varian yang ditawarkan ini, manakala satu lagi varian yang ditawarkan ialah 750e xDrive M Sport. Untuk pasaran Malaysia, kedua-duanya adalah pemasangan tempatan (CKD), dan model yang dipaparkan dalam galeri foto ini berharga RM612,700 tanpa insurans.

    Ia turut didatangkan dengan waranti standard dua-tahun, tetapi jika ingin menambah pilihan waranti lanjutan lima-tahun dengan pakej servis, harganya melonjak menjadi RM649,800. Bagi varian M Sport, buat masa ini, ia hanya diberikan harga jangkaan iaitu RM700,000 dengan waranti lanjutan dan pakej servis.

    Penjana kuasa 750e xDrive ini ditampilkan dengan plug-in hybrid dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol, yang mampu menghamburkan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 450 Nm tork. Ia diganding bersama motor elektrik dengan kuasa 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 280 Nm, yang disepadukan ke dalam transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan, yang disertai juga dengan sistem pacuan semua roda BMW xDrive. Jumlah keseluruhan sistem kuasa yang terhasil mencecah 489 PS (483 hp atau 360 kW) dan 700 Nm.

    BMW 750e xDrive Pure Excellence 2023 di Malaysia – PHEV CKD; 489 PS, 87 km jarak EV; dari RM613k

    Bersama sistem pacuan semua roda BMW xDrive, limo bersaiz besar ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Dengan kuasa elektrik sepenuhnya, laju maksimum dihadkan kepada 140 km/j dengan jarak perjalanan 87 km.

    Antara penambahbaikan utama yang dilakukan berbanding model G12 740Le xDrive sebelumnya adalah pek bateri lithium-ion baru yang terletak di bahagian bawah lantai, kini dengan kapasiti tenaga boleh guna sebanyak 18.7 kWh (22.1 kWh kasar). Input pengecasan AC maksimum pula digandakan kepada 7.4 kW, dengan satu cas penuh mengambil masa kurang tiga jam.

    Tidak seperti 7 Series sebelum ini, G70 terkini ini tidak lagi ditawarkan dengan pilihan versi jarak antara roda yang lebih pendek, membuatkan tiada ‘L’ lagi pada namanya.

    BMW 750e xDrive Pure Excellence 2023 di Malaysia – PHEV CKD; 489 PS, 87 km jarak EV; dari RM613k

    Untuk aspek rekaannya, 7 Series terkini diberikan bingkai kidney grille dengan lampu Iconic Glow, lampu utama kristal dengan lampu nyalaan siang LED yang nipis. Selain itu, bahagian hadapannya turut menampilkan air curtain menegak yang ditempatkan pada sudut bampar dan corong pengambilan udara yang rendah.

    Bukan itu sahaja, pemegang pintu jenis ‘flush’ serta lampu belakang bentuk-L turut menambahkan lagi gaya luaran model ini. Sementara gaya bagi varian M Sport pula lebih agresif dengan bampar baharu yang kini ditampilkan dengan seksyen yang lebih besar dalam rona hitam.

    Varian Pure Excelllence juga diberikan kelengkapan standard termasuk roda aloi-ringan 903 jejari-berkembar 19-inci, bumbung panoramik Sky Lounge, pintu automatik dan juga suspensi udara adaptif dua-gandar.

    Di dalamnya, ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah upholstery kulit Merino dalam rona Hitam atau Tartufo, kemasan cermin kayuan oak dengan serlahan kelabu metalik, anthracite headliner, kaca kristal Crafted Clarity, kawalan suhu empat-zon, BMW Interaction Bar pencahayaan belakang, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, tempat duduk belakang dengan fungsi mengurut dan tirai suria untuk kesemua tingkap belakang.

    Turut diberikan sistem BMW Live Cockpit Professional, dengan BMW Curved Display yang menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen di tengah 14.9-inci, yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8, sistem infotainmen dengan Connected Package Professional berserta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay support, Intelligent Personal Assistant dan sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 21-speaker.

    Penumpang belakang juga kini diberikan panel kawalan sentuhan pada pintu serta tablet dengan larasan media. Untuk pemandu, Iconic Sounds Electric diberikan jika ingin ditemani dengan bunyi yang mengikut citarasa sendiri bagi pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan.

    Risalah spesifikasi BMW 750e xDrive Pure Excellence 2023; klik untuk besarkan imej

    Varian Pure Excellence juga didatangkan dengan kelengkapan Driving Assistant Professional untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, termasuklah Lane Change Warning, Rear Collision Prevention, Exit Warning, Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go function, Speed Limit Info, Automatic Speed Limit Assist, Lane Departure Warning, Front/Rear Crossing Traffic Warning dan Evasion Assistant.

    Selain itu ia turut diberikan Parking Assistant Plus dengan fungsi seperti Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Lateral Parking Aid, Surround View System dan Parking: Start-Up Monitoring.

    BMW Malaysia berkata Pure Excellence akan ditawarkan dengan kuantiti terhad, cuma 48 unit sahaja. Setiap pembelian datang dengan bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan Group Loyalty+ Mobile App – Kad Keistimewaan BMW.

    Spesifikasi BMW 750e xDrive G70:

    • Jumlah keseluruhan sistem kuasa : 489 PS (483 hp atau 360 kW)
    • Jumlah keseluruhan sistem tork: 700 Nm
    • Enjin: 3.0 liter enam-silinder sebaris petrol
    • Kuasa enjin: 313 PS (308 hp atau 230 kW)
    • Tork enjin: 450 Nm
    • Induksi enjin: Pengecas turbo
    • Kuasa motor elektrik: 197 PS (194 hp atau 145 kW)
    • Tork motor elektrik: 280 Nm
    • Kelajuan tertinggi motor elektrik: 140 km/j
    • Jarak elektrik: Sehingga 87 km
    • Transmisi: Automatik Steptronic lapan-kelajuan
    • Penjana pacuan: Pacuan semua-roda
    • 0-100 km/j: 4.9 saat
    • Kelajuan maksimum: 250 km/j

    Dimensi BMW 750e xDrive G70:

    • Panjang:5,391 mm
    • Lebar: 1,950 mm
    • Tinggi: 1,544 mm
    • Jarak roda: 3,215 mm

    Harga untuk 7 Series G70 ini adalah seperti berikut:

    BMW 750e xDrive Pure Excellence – RM649,800 harga atas jalan tanpa insurans
    BMW 750e xDrive M Sport – RM700,000 harga atas jalan tanpa insurans (jangkaan)

     
     
  • K’jaan bakal benarkan rakyat mohon peruntukan kecil untuk baiki lubang, longkang tersumbat – Rafizi Ramli

    K’jaan bakal benarkan rakyat mohon peruntukan kecil untuk baiki lubang, longkang tersumbat – Rafizi Ramli

    Jika anda berhajat mahu membaiki lubang di jalan raya tetapi tidak sanggup mengeluarkan bajet sendiri untuk berbuat demikian, tidak lama lagi kerajaan bakal bantu untuk membiayai kerja-kerja pembaikian berkenaan. Menurut laoporan oleh Malaysiakini, Kementerian Ekonomi bakal membuka peluang kepada rakyat untuk membuat permohonan peruntukan bagi sebarang projek pembangunan dan infrastruktur kecil awam secara terus kepada kementerian.

    Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sistem permohonan itu kini dalam persediaan akhir dan kementeriannya akan menerangkan secara lanjut mengenai bentuk permohonan projek yang dibenarkan serta syarat yang berkaitan apabila diperkenalkan nanti, dijangka dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu nanti. Ini termasuklah untuk kerja-kerja baiki jalan berlubang dan atasi masalah longkang tersumbat.

    “Kerajaan persekutuan sedang membuat perubahan bagi menyalurkan peruntukan kecil untuk rakyat. Selama ini, sebagai wakil rakyat, saya terpaksa melakukan pelbagai perkara seperti membaiki longkang dan sebagainya.

    “Kita merancang supaya selepas ini peruntukan untuk projek rakyat boleh dipohon terus kepada kementerian oleh sesiapa sahaja dan tidak perlu melalui semua lapisan (birokrasi),” kata Rafizi.

    Beliau turut berkata, peluang itu turut dibuka bagi memberi ruang kepada rakyat memberi input dan cadangan pembangunan kepada kerajaan yang kemudian akan dipadankan dengan perancangan jabatan berkaitan.

     
     
  • Dua lorong di Lebuhraya PLUS di Pulau Pinang bakal ditutup secara berasingan pada minggu hadapan

    Untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan di Pulau Pinang, PLUS telah mengumumkan bahawa dua lorong bakal ditutup secara berasingan minggu hadapan dan ia mungkin bakal menambahkan kesesakan trafik.

    Penutupan pertama membabitkan lorong kiri di Line N (CH 0.4 – CH 0.7) bagi kerja-kerja pembinaan di persimpangan Bayan Lepas – Georgetown oleh IJM Corporation Berhad. Tarikh penjadualan kerja-kerja pembinaan tersebut bermula pada 6 Jun (Selasa) sehingga 10 Jun 2023 (Sabtu), mulai jam 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.

    Justeru, pengguna lebuh raya bagi laluan tersebut dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka susulan penutupan lorong kiri di antara CH 0.4 hingga CH 0.7 (arah Georgetown) sepanjang tempoh tersebut.

    Manakala penutupan lorong kanan dan lencongan laluan kenderaan akan diaktifkan di KM138.50 – KM139.30 (arah selatan) dari laluan Sungai Dua ke Juru bagi kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan bermula 9 Jun (Jumaat) hingga 10 Jun 2023 (Sabtu), dari jam 8 malam hingga 10 pagi.

    Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

     
     
  • Motosikal milik JSPT KL disaman kerana letak kenderaan di kawasan parkir OKU – IPD PJ

    Motosikal milik JSPT KL disaman kerana letak kenderaan di kawasan parkir OKU – IPD PJ

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (IPD PJ) ACP Mohamad Fakharudin Abd.Hamid mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan saman ke atas sebuah motosikal Honda ST 1300 milik Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) atas kesalahan meletak kenderaan di kawasan petak parkir OKU di Apartmen Flora Damansara.

    “Kesalahan tersebut dikesan selepas terdapat satu video dan gambar yang tular menerusi laman media sosial Twitter yang dimuat naik oleh pemilik akaun @nanmanjoi8715 pagi tadi. Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 29 Mei lalu lebih kurang 11.30 pagi. Satu laporan polis telah dibuat pada hari ini dan siasatan di bawah Seksyen 79 (2) APJ 1987. Tindakan saman telah dikeluarkan kepada anggota polis yang menunggang motosikal terbabit.

    Motosikal milik JSPT KL disaman kerana letak kenderaan di kawasan parkir OKU – IPD PJ

    “Pihak polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan dan tidak berkompromi kepada mana-mana pihak termasuk agensi penguatkuasaan yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

    Menerusi video yang tular, kelihatan anggota polis berkenaan menunggu motosikalnya yang dikunci oleh seorang pengawal keselamatan apartmen berkenaan. Selepas kunci terbabit dibuka, anggota polis terbabit terus beredar dari kawasan parkir berkenaan.

     
     
  • Porsche Cayenne CKD – 1k unit telah dikeluarkan dari fasiliti produksi Sime Darby di Kulim, Kedah; RM575k

    Porsche Cayenne CKD – 1k unit telah dikeluarkan dari fasiliti produksi Sime Darby di Kulim, Kedah; RM575k

    Sebanyak 1,000 unit Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) telah dikeluarkan dari kilang pemasangan Sime Darby di Kulim, Kedah, seperti mana yang diumumkan oleh Porsche Malaysia menerusi laman Facebook rasminya.

    Sejarah ini tercipta selepas lebih kurang setahun dua bulan unit CKD SUV mula dihasilkan dari pusat pemasangan pertama Porsche di luar Eropah pada Mac tahun lalu. Cayenne pemasangan tempatan dilancarkan pada November 2021 pada harga RM550,000, termasuk duti dan cukai tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

    Ditawarkan dengan versi asas, Cayenne CKD ini adalah lebih murah sebanyak RM115,000 berbanding model CBU, dan harga yang dinyatakan adalah berdasarkan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CKD pada waktu itu. Menurut laman web Porsche Malaysia, harga runcitnya telah dinaikkan menjadi RM575,000 mulai 1 Julai 2022.

    Di bawah bonetnya, Cayenne diberikan enjin 3.0 liter pengecas turbo V6 petrol yang mampu menghamburkan kuasa 340 PS (335 hp) pada 5,300 rpm hingga 6,400 rpm dan tork 450 Nm pada 1,340 hingga 5,300 rpm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik Tiptronic lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda aktif, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan kelajuan maksimum cecah 245 km/j.

    Ciri standard yang diberikan termasuklah lampu utama LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, kawalan suhu empat-zon, Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sesentuh 12-inci, perkhidmatan Porsche Connect dan kesepaduan Apple CarPlay, Porsche Advanced Cockpit, roda stereng sport, pedal penukar gear, konsol tengah dilengkapi Direct Touch Control dan Comfort Access.

    Versi CKD juga menerima lebih banyak kelengkapan berbanding CBU, termasuk roda rekaan RS Spyder 21-inci, sistem bunyi sekeliling Bose, tempat duduk larasan kuasa 14-hala dengan fungsi memori, Park Assist dengan pandangan sekeliling, belakang dan hadapan. Pembeli juga boleh memilih antara tiga warna luaran – Carrara White Metallic, Jet Black Metallic dan Quartzite Grey Metallic – bersama dua pilihan warna kulit untuk dalaman – Hitam dan dua-tona Black-Bordeaux Red.

    Pelanggan juga boleh terus memilih beberapa pakej tambahan, temasuk Porsche Exclusive Manufaktur yang ditambah dengan pakej penggayaan SportsDesign (apron hadapan yang unik dan gerbang roda yang lebih menyerlah), sistem ekzos sport, kluster pencahayaan lapisan gelap, projektor pintu LED dengan logo jenama dan key fob yang sepadan dengan warna luaran dengan kesemuanya bernilai RM52,000 (sebelum ini ia berharga RM58,000). Selain itu, ia turut ditawarkan pakej personalisasi Porsche Design berharga RM38,888.

    Pilihan kelengkapan lain yang turut disenaraikan menerusi laman web Porsche Malaysia termasuk
    Porsche Tequipment yang merangkumi jaring tempat simpan barang RM536), boot liner (RM842), alas lantai untuk semua-cuaca (RM1,027), produk penjagaan kereta (RM1,095) dan rak basikal (RM3,032).

    GALERI: Porsche Cayenne CKD 2022

     
     
  • GALERI: Chery Tiggo 8 Pro 2023 di Malaysia – SUV 3 baris tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro 2023 di Malaysia – SUV 3 baris tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm

    SUV segmen-D tujuh tempat duduk dari Chery iaitu Tiggo 8 Pro sudah disahkan akan dilancarkan antara bulan ini atau bulan hadapan di Malaysia. Dan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow di MAEPS bulan lalu, model dalam versi spesifikasi pasaran tempatan sudahpun didedahkan.

    Dan kalau anda rasa tidak puas melihat SUV berkenaan hanya di dalam dewan, ini dia kami sajikan untuk anda galeri penuh SUV ini yang dibuat secara outdoor, memberikan gambaran sebenar bagaimana rupanya.

    Model pasaran Malaysia ini tidak diberikan perkataan “Max” supaya namanya lebih ringkas. Walaupun unit ini merupakan versi pemanduan sebelah kanan dengan spesfikasi penuh pasaran Malaysia, ia sebenarnya masih lagi unit yang diimport sepenuhnya (CBU), tetapi menampilkan perincian-perincian terkini yang sama seperti Chery Tiggo 8 Pro Max pasaran China, dan sama dengan versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan dijual kelak.

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro 2023 di Malaysia – SUV 3 baris tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm

    Untuk enjin, Tiggo nampaknya bakal menjadi antara model yang paling berkuasa dalam kelasnya – dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm. Kuasa dari enjin berkenaan hanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, serta diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

    Dari segi rupa, model sebenar spesifikasi tempatan ini agak sedikit berbeza dari versi yang dipratonton di Malaysia pada tahun lalu. Tiggo 8 Pro 2023 ini menampilkan gril “galaxy’ baharu pada sebelah muka, manakala di belakang ia hadir dengan lampu bar LED yang merentangi sepenuhnya bersama lampu brek ketiga berbentuk-T. Set roda juga dipertingkat dengan rim 19-inci, berbanding hanya 18-inci yang ditunjuk sebelum ini.

    Bahagian dalam Tiggo 8 ini juga dilihat menerima perincian yang agak mewah. Ia menerima papan pemuka dengan elemen melintang, bersama skrin gergasi berkembar dengan saiz 24.6-inci secara keseluruhan untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh.

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro 2023 di Malaysia – SUV 3 baris tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm

    Imej ‘mewah’ pada Tiggo 8 ini juga sebenarnya datang dari rekaan yang nampak dinspirasikan dari model-model dari Mercedes-Benz – cuba lihat pada bahagian-bahagian seperti suis-suis kawalan, kemasan kayu pada papan pemuka dan juga gril pembesar suara dengan gaya Burmester pada pintu serta jalur LED untuk lampu suasana kabin.

    Ia juga menerima roda stereng baharu, menampilkan tulisan ‘Chery’ bagi menggantikan logo rasmi. Kabin Tiggo 8 Pro 2023 pasaran Malaysia ini juga menerima lapan-pembesar suara dari Sony serta sembilan beg-udara.

    Antara perincian lain yang turut dibekalkan untuk Tiggo 8 Pro pasaran Malaysia ini termasuk brek parking elektonik bersama fungsi auto-hold, lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu selamat datang bersama lampu suasana kabin pelbagai warna, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan pemanas/liang udara, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, pendingin hawa automatik dua-zon dengan liang kabin belakang, pintu tailgate berkuasa, bumbung suria panaromik elektrik, pengecas tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Manakala untuk keselamatan, model ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju penuh yang memberikan fungsi termasuk amaran keluar dan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang, cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem kamera 540 darjah yang bukan sahaja memberikan pantauan sekeliling kereta, malah turut dilengkapi dengan kamera di bawah lantai kenderaan.

    Chery Malaysia masih belum memberikan sebarang bayangan berkenaan harga jualan bagi Tiggo 8 Pro ini. Namun dengan saiz serta kelengkapan yang diberikan, kami angggarkan ia mungkin dijual pada harga sekitar RM160k. Jadi anda rasa bagaimana? Adakah Tiggo 8 ini merupakan alternatif yang baik sekiranya anda tidak gemar dengan enjin 1.5L T-GDI bersama sistem hibrid ringkas pada Proton X90?

     
     
  • Yadea F200 didedah di Eropah – skuter elektrik yang dibangunkan bersama Porsche, tork sehingga 236 Nm

    Yadea F200 didedah di Eropah – skuter elektrik yang dibangunkan bersama Porsche, tork sehingga 236 Nm

    Pengeluar motosikal elektrik dari China iaitu Yadea telah mendedahkan sebuah model baru yang dipanggil sebagai F200 untuk pasaran Eropah. Bila waktu tepat ia akan dilancarkan masih belum diberitahu, tetapi beberapa perincian awal didedahkan bersama gambarnya.

    Sebelum pergi ke bahagian teknikal, antara perkara paling menarik bagi Yadea F200 ini adalah bentuknya, yang diberitahu dibangunkan bersama dengan bahagian rekaan dari Porsche dan mendapat inspirasi daripada bentuk kereta sports.

    Menurut Yadea, F200 boleh menghasilkan kuasa seperti motosikal berenjin pembakaran dalaman 125 cc, dengan kuasa datang daripada pek bateri berkembar dan motor elektrik 11 kW. Tork sehingga 236 Nm boleh dihasilkan sejak ia mula memecut, seterusnya membawa kepada laju maksimum 100 km/j. Jarak gerak dengan sekali cas penuh adalah 128 km.

    Harga F200 masih belum didedah, tetapi kita boleh melihat ia dilengkapi dengan barangan seperti panel meter TFT, lampu LED, sistem tanpa kunci, brek cakera di hadapan, ruang simpanan yang boleh memuatkan helmet di bawah tempat duduk serta dua penyerap hentak di belakang.

    Untuk negara kita, Yadea baru sahaja melantik pengedar rasminya, iaitu MForce Bike Holdings Sdn Bhd, dan mereka sudah membuat penampilan pertama melalui satu ruang pameran di Malaysia Autoshow. Pada waktu itu, beberapa model dipamerkan, dan model pertama dirancang akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran pada bulan ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025