Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pusat 4S Mitsubishi kini dibuka di Bintulu, Sarawak

    Pusat 4S Mitsubishi kini dibuka di Bintulu, Sarawak

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dengan rakan pengedarnya Auto Pacifica Sdn Bhd telah membuka pusat 4S Mitusbishi baharu di Sarawak. Setakat ini MMM sudah memiliki tujuh bilik pameran di negeri berkenaan.

    Berada dalam bangunan dua tingkat dan berkeluasan 10,000 kaki persegi, pusat 4S ini menampilkan identiti Mitsubishi Motors bersama mesej jenama global ‘Drive Your Ambition’. Ia turut dilengkapi dengan ruang menunggu bersama kemudahan WiFi dan sudut kanak-kanak. Pusat 4S ini turut dilengkapi dengan lima petak penyelenggaran, serta turut menyediakan kemudahan pembaharuan insurans dan trade-in kenderaan.

    “Auto Pacifica mula beroperasi sebagai pengedar Mitsubishi Motors sejak tahun 2007, iaitu dua tahun selepas MMM ditubuhkan di negara ini. Selain pusat 4S yang terletak di Bintulu ini, Auto Pacifica turut mempunyai beberapa bilik pameran Mitsubishi, antara di Miri dan tidak lama lagi bakal melancarkan cawangannya yang ketiga iaitu di Kota Samarahan pada akhir Mac 2023,” kata Shinya Ikeda, CEO MMM.

    Pusat 4S seliaan Auto Pacifica ini terletak di Lot 4463 hingga 4470 (tingkat bawah) dan Lot 4467–4468 (tingkat satu), Pier 99-3 Storey Shophouse, Subdivision of Lot 4474, 97000, Bintulu. Ia beroperasi setiap hari Isnin hingga Sabtu, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, dan Ahad dari 10 pagi hingga 2 petang.

     
     
  • Honda City facelift 2023 didedahkan dalam video YouTube sebelum dilancarkan secara rasmi di India

    Honda City facelift 2023 didedahkan dalam video YouTube sebelum dilancarkan secara rasmi di India

    Minggu lalu rupa sebenar Honda City facelift 2023 telah pun tertiris di internet sebelum ia dilancarkan secara rasmi di India. Nak lebih jelas? Ini dia, model berkenaan sudahpun didedahkan dengan lebih terperinci dalam video Youtube yang dimuatnaik oleh Kamal Yadav sebelum ia sepatutnya dilancarkan di negara berkenaan pada 2 Mac nanti.

    Seperti yang telah bocor sebelum ini, City sedan generasi kelima dalam versi facelift ini diberikan sedikit penyegaran pada rupa sebelah luar. Pada bahagian muka, City masih diberikan kluster lampu utama dan juga bahagian ‘kening’ krom yang sama.

    Namun pada gril, panel krom kini lebih nipis manakala elemen gril sarang lebah diberikan bahagian lebih besar. Gril pada bampar juga nampak sedikit lebih besar dari sebelum ini, dan perumah lampu kabus pada sebelah sisi sudah dihubungkan dengan gril tengah berkenaan.

    Honda City facelift 2023 didedahkan dalam video YouTube sebelum dilancarkan secara rasmi di India

    Manakala di belakang, bampar yang kelihatan ringkas dan bersih sebelum ini telah diadun dengan kemasan seakan diffuser pada sebelah bawah. Reflektor yang sebelum ini diletakkan ‘berdiri’ juga kini telah dialih dan ‘dibaringkan’ pada diffuser tersebut.

    Rupa sedan ini disudahkan dengan pemadanan lip spoiler pada penutup but belakang serta menerima rim aloi dengan rekaan baharu. Manakala dalam kabin, rupa keseluruhannya masih nampak sama kecuali sedikit perubahan pada roda stereng dibuat di mana butang tekan untuk volume radio sebelum ini digantikan dengan suis jenis putar ke bawah.

    Dalam video ini dapat dilihat City pasaran India masih menerima perincian sedia ada seperti paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci, dan pelbagai lagi. Manakala perincian baharu yang ditambah termasuk tempat duduk hadapan dengan liang udara dan juga pengecas tanpa wayar.

    Honda City facelift 2023 didedahkan dalam video YouTube sebelum dilancarkan secara rasmi di India

    Bagi model sebelum facelift, City pasaran India ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter i-VTEC berkuasa 121 PS/245 Nm dan juga pilihan enjin turbodiesel i-DTEC berkuasa 100 PS/200 Nm. Kedua-duanya digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan sebagai standard, dan hanya versi i-VTEC diberikan pilihan untuk kotak gear CVT.

    Namun untuk versi facelift nanti, versi diesel bakal digugurkan dari pasaran kerana kerajaaan India bakal memperkenalkan piawaian emisi Real Driving Emissions (RDE) pada 1 April 2023 bagi menggantikan standard BS6 sedia ada.

    Walau bagaimanapun City pasaran India selepas ini bakal menerima pilihan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV berkuasa 126 PS/253 Nm, hanya ditawarkan dalam varian kemasan tertinggi ZX. City facelift ini juga bakal menawarkan satu lagi varian rendah dalam kemaskini kali ini.

    Honda City generasi kelima ini dilancarkan di India buat pertama kali pada Julai 2020, manakala Malaysia pula menerima model yang sama pada Oktober 2020. Ada kemungkinan model facelift ini akan tiba di Malaysia tahun ini atau awal tahun hadapan?

    https://youtu.be/fbJtYodAsro

    GALERI: Honda City 1.5L V 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • Nissan percepatkan lagi strategi Ambition 2030 – 27 kenderaan dengan kuasa elektrik menjelang 2030

    Nissan percepatkan lagi strategi Ambition 2030 – 27 kenderaan dengan kuasa elektrik menjelang 2030

    Nissan telah mengumumkan rancangan untuk mempercepatkan lagi strategi elektrifikasi Ambition 2030 yang pernah mereka bentangkan pada November 2021. Pada waktu itu, Nissan memberitahu akan mengeluarkan 23 kenderaan dengan kuasa elektrik, termasuk 15 daripadanya adalah elektrik penuh (EV), menjelang 2030.

    Tapi sekarang, rancangan yang dibuat adalah untuk meningkatkan jumlah model tersebut kepada 27, dengan 19 daripadanya adalah EV, menjelang 2030. Jumlah ini akan dibahagikan antara kenderaan jenama Nissan dan Infiniti, dan syarikat dari Jepun itu meletakkan sasaran penjualan kenderaan elektrik baru akan menyumbang kepada 55% jumlah jualan global menjelang 2030 – sebelum ini sasaran diletakkan pada 50%.

    Nissan juga merujuk kembali sasaran jualan kenderaan elektrik mereka di pasaran utama sehingga tahun 2026. Untuk Eropah, jumlahnya adalah 98%, dinaikkan daripada 75% sementara Jepun pula dijangka menyaksikan peningkatan sehingga 58% (sebelum ini 55%). Nissan menjangkakan jualan di China akan turun 35% (sebelum ini 40%) manakala Amerika Syarikat pula dijangka menjadi 40%.

    Sehingga tahun 2026, jualan kenderaan elektrik global Nissan dijangka mencecah 44% daripada jumlah jualan keseluruhan kenderaan mereka, dan sasaran ini ditingkatkan daripada 40% yang ditetapkan sebelum ini. Tahun depan Nissan diberitahu akan melancarkan EV khas untuk pasaran China sementara pasaran Eropah akan menyaksikan kerjasama yang lebih lagi dengan jenama Alliance.

     
     
  • Chery Omoda 5 sekali lagi dilihat diuji di Malaysia – pesaing Proton X50, dilancar pada suku kedua 2023

    Chery Omoda 5 sekali lagi dilihat diuji di Malaysia – pesaing Proton X50, dilancar pada suku kedua 2023

    Walaupun sudah diprebiu kepada media Oktober tahun lalu, Chery Omoda 5 nampaknya masih lagi diuji di atas jalan raya Malaysia. Unit prototaip Omoda 5 yang masih mengenakan pelekat penyamaran ini telah dijumpai oleh pengguna Twitter @knz_mp_ menggunakan trade plate yang sama pada unit ujian sebelum ini.

    Walaupun nampak besar, Omoda 5 merupakan SUV segmen-B yang akan bersaing terus dengan model seperti Proton X50 dan Honda HR-V. SUV ini menampilkan panjang 4,400 mm dan lebar 1,830 mm, menjadikan ia 15 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar berbanding HR-V terkini. Dengan ketinggian 1,585 mm, Omoda 5 adalah 5 mm lebih rendah berbanding HR-V, manakala jarak antara roda 2,630 mm pula adalah 20 mm lebih panjang.

    Chery mendakwa bahawa Malaysia bakal menjadi pasaran pertama dalam dunia yang menerima Omoda 5 dalam versi pemanduan sebelah kanan dan dilaporkan ia akan terus diperkenalkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang tentunya bakal menampilkan harga lebih kompetitif.

    Untuk pasaran China, Omoda 5 tampil dengan pelbagai unit rangkaian kuasa, antaranya gandingan enjin 1.6 liter TGDI berkuasa 194 hp/290 Nm dan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan bersama sistem AWD. Namun model yang dipamerkan di Malaysia tahun lalu merupakan versi dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 154 hp/230 Nm, yang digandingkan dengan kotak gear CVT menampilkan sembilan kelajuan maya.

    Walau bagaimanapun, Chery masih belum memuktmadkan pilihan unit rangkaian kuasa bagi model pasaran Malaysia. Omoda 5 dijangka bakal dilancarkan secara rasmi di sini pada suku kedua tahun ini.

    GALERI: Chery Omoda 5 diprebiu di Malaysia

     
     
  • Yamaha Tenere 700 Extreme dan Explore Edition 2023

    Yamaha Tenere 700 Extreme dan Explore Edition 2023

    Sementara kita masih lagi menunggu ketibaan Yamaha Tenere 700 ke dalam pasaran negara, Eropah pula menerima dua lagi versi untuk motosikal adventure ini iaitu Extreme Edition dan Explore Edition. Ia disediakan sebagai pilihan tambahan kepada tiga lagi versi sedia ada iaitu asas, World Raid dan Rally.

    Boleh diketahui melalui namanya, versi Extreme Edition dijadikan lebih lasak berbanding model asas tetapi tidak sehingga ke tahap versi World Raid dan Rally. Penampilannya juga masih sama seperti model asas, tetapi dipertingkat pada bahagian suspensi dengan penggunaan unit yang sama seperti World Raid.

    Bahagian hadapan mendapat fork Kayaba boleh laras sepenuhnya dengan jarak gerak 230 mm (+20 mm berbanding versi asas), sementara di belakang menggunakan penyerap boleh laras sepenuhnya dengan jarak gerak 220 mm (+20 mm berbanding versi asas). Tinggi tempat duduk meningkat 35 mm menjadi 910 mm dan tangki bahan apinya masih lagi 16 liter.

    Tenere 700 Extreme Edition juga mempunyai beberapa keistimewaan lain berbanding model asas, dan ini termasuk fender hadapan terletak tinggi seperti motocross, peletak kaki titanium (35% lebih besar dan 200 gram lebih ringan) serta pelindung radiator dan rantai aluminium.

    Pergi pula kepada versi Explore Edition, ia dijadikan lebih bersedia untuk tunggangan jelajah, dengan mendapat kelengkapan seperti penghadang angin yang lebih lebar dan tinggi, penukar gear khas yang lebih cepat serta tapak meletak beg barangan di tepi [beg masih dijual secara berasingan).

    Tempat duduk Tenere 700 Explore Edition juga telah menjadi 15 mm lebih rendah (860 mm) berbanding versi asas dan ini disebabkan oleh penggunaan suspensi yang juga adalah lebih rendah. Di hadapan terdapat fork Kayaba 43 mm dengan jarak gerak 190 mm (-20 mm), manakala di belakang terdapat penyerap Kayaba dengan jarak garak 180 mm (-20 mm). Kadar spring untuk suspensi Explore Edition juga telah diubah untuk menjadikannya lebih selesa.

    Bahagian lain yang tidak dinyatakan pada Extreme Edition dan Explore Edition ini adalah sama sahaja seperti versi asas, antaranya termasuk rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, cakera brek 282 mm berkembar di hadapan dan cakera 245 mm di belakang, ABS dual-channel dengan tiga mod dan boleh ditutup sepenuhnya, semua lampu jenis LED, soket pengecas USB serta panel paparan TFT lima inci yang boleh disambung kepada telefon.

    Tenere 700 dipacu oleh enjin dua silinder selari DOHC 689 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 73.4 PS pada 8,750 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Berat Tenere 700 Explore Edition adalah 211 kg, sementara Extreme Edition sama seperti versi asas, iaitu 205 kg.

    GALERI: Yamaha Tenere 700 Extreme Edition

    GALERI: Yamaha Tenere 700 Explore Edition

     
     
  • Lumba haram Lebuhraya DASH – 2 mekanik ditangkap, 2 Proton Satria disita, 4 suspek masih dicari polis

    Lumba haram Lebuhraya DASH – 2 mekanik ditangkap, 2 Proton Satria disita, 4 suspek masih dicari polis

    Selain dari video tular sebuah Nissan 180SX yang melakukan aksi drift di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) berhampiran Plaza Tol Denai Alam malam minggu lalu, semalam turut tular video (mungkin dari CCTV DASH sendiri) enam buah Proton Satria menjadikan plaza tol tersebut sebagai garis mula satu perlumbaan haram.

    Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (BSPTD) Shah Alam hari ini telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa kenderaan terlibat dalam video berkenaan telahpun disita bersama beberapa orang suspek yang sudahpun ditangkap.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Bin Ibrahim, pihaknya telah menerima satu laporan pada pukul 11.35 malam 27 Februari lalu berkenaan satu video viral samseng jalanan melibatkan enam buah kereta di Lebuhraya DASH.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 27 Februari 2023 jam lebih kurang 0030hrs sehingga jam 0130hrs melibatkan motokar jenis Satria yang melakukan aksi berlumba bermula daripada Plaza Tol Denai Alam sehingga ke KM 0 (susur ke Pulau Angsa) Lebuhraya DASH dan berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam.

    “Tangkapan dan rampasan kenderaan jenis Proton Satria telah dibuat ke atas 2 saspek (L)(M) berumur 20 tahun dan 29 tahun yang bekerja sebagai mekanik dipercayai terlibat dalam perlumbaan ini dan 4 lagi masih dikesan. Kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) APJ 1987 – memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” kata Iqbal dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Beliau turut meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Bin Razak di talian 019-4475767.

     
     
  • Hyundai Elantra facelift 2023 didedahkan di Korea

    Hyundai Elantra <em>facelift</em> 2023 didedahkan di Korea

    Hyundai Elantra generasi ketujuh (CN7) sudah pun berada sekitar tiga tahun dalam pasaran selepas diperkenalkan buat pertama kali pada Mac 2020. Jadi ia perlu menjalani facelift fasa pertama; ini dia, versi 2023 untuk sedan segmen-C berkenaan telah didedahkan di Korea Selatan di mana ia dikenali sebagai Avante di sana.

    Model yang disegarkan ini menerima muka yang diolah semula memberikan rupa yang lebih garang dan tajam. Ia diberikan lampu baharu dengan rekaan berbeza menyebabkan fender hadapannya juga perlu ditukar. Gril parametric signatur Hyundai masih diterapkan, tetapi kali ini gril atas dan juga gril bampar sudah diasingkan.

    Digandingkan dengan liang kemasan sisi yang turut diubah lebih besar dan bersegi, bahagian hadapan Elantra 2023 ini nampak lebih lebar dan lebih sporty dari sebelum ini.

    Garis-garis badan yang tegak dan tajam pada bahagian sisi Elantra ini masih tidak berubah. Selain dari bentuk lampu hadapan pada fender yang tidak sama, model 2023 ini juga dapat dibezakan dengan rekaan baharu diberikan pada rim aloi.

    Hyundai Elantra <em>facelift</em> 2023 didedahkan di Korea

    Pada bahagian belakang, lampunya masih nampak sama. Perubahan besar dibuat adalah pada bampar di mana bahagian kemasan diffuser direka lebih besar dari sebelum ini. Ia turut diberikan jalur perak berbentuk-U merentangi sepenuhnya bahagian diffuser tersebut yang kelihatan seperti spoiler dan diberikan sirip-sirip menegak di bawahnya.

    Rekaan asas bahagian kabin juga masih lagi sama, dengan papan pemuka menampilkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci; satu untuk paparan instrumen digital dan satu lagi untuk infotainmen. Bagi model kemaskini ini, Hyundai menawarkan opsyen upholsteri berwarna hijau seperti yang didedahkan dalam gambar awalan berkenaan.

    Untuk pasaran Korea Selatan ini, Elantra ditawarkan dengan beberapa pilihan unit rangkaian kuasa. Pertama ialah enjin petrol Smartstream 1.6 liter NA empat-silinder berkuasa 123 PS (121 hp atau 90 kW) dan tork maksima 154 Nm, dipadankan dengan kotak gear IVT (CVT yang beroperasi dengan rantai bagi menggantikan tali sawat) yang diberikan lapan-kelajuan maya. Ini merupakan gandingan yang sama diberikan pada Elantra pasaran Malaysia.

    Hyundai Elantra <em>facelift</em> 2023 didedahkan di Korea

    Selain itu, ia juga menerima versi hibrid menampilkan enjin Smartstream 1.6 liter yang dipadankan dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 141 PS (139 hp atau 104 kW) dan tork maksima 265 Nm. Pelanggan turut ditawarkan dengan varian yang digerakkan oleh bahan api gas petroleum cecair (LPG) dengan enjin Gamma 1.6 liter empat silinder berkuasa 120 PS (118 hp atau 88 kW) dan tork maksima 152 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional.

    Versi lebih berkuasa juga ditawarkan menerusi model Elantra N Line dan Elantra N. Model N Line menerima enjin petrol Smartstream 1.6 liter yang disuap pengecas turbo menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 265 Nm, bersama pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Manakala untuk model prestasi penuh Elantra N, ia berkongsi enjin dengan model N lain seperti i30 N dan Kona N, menampilkan unit petrol turbo Theta 2.0 liter berkuasa 280 PS (276 hp atau 206 kW) dan tork maksima 392 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau lapan-kelajuan DCT.

    GALERI: Hyundai Elantra 2021 pasaran Malaysia

     
     
  • Honda CR-V 2023 dilihat diuji di Putrajaya – Malaysia akan terima model VTEC Turbo & hibrid tak lama lagi?

    Honda CR-V 2023 dilihat diuji di Putrajaya – Malaysia akan terima model VTEC Turbo & hibrid tak lama lagi?

    Honda CR-V generasi ke-enam telahpun membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat pada Julai tahun lalu, dan setakat ini belum ada berita ia akan dilancarkan dalam masa terdekat di mana-mana pasaran ASEAN termasuk Thailand dan Indonesia.

    Tetapi ia pernah dilihat diuji di Thai pada September lalu, dan hari ini kelibat CR-V generasi baharu berkenaan dilihat sedang diuji di atas jalan raya awam di Malaysia; di Putrajaya dan sekali lagi di Plaza Tol Sungai Besi oleh pembaca paultan.org Jack0 dengan mengenakan pelekat penyamaran!

    Ketika diperkenalkan di AS, CR-V ini hadir dengan dua pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan juga dalam versi hibrid elektrik dengan enjin 2.0 liter NA. Bagi model 1.5 liter VTEC turbo, enjin berkenaan berupaya menghasilkan kuasa 193 PS pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 243 Nm bermula 1,700 rpm hingga 5,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT.

    Honda CR-V 2023 dilihat diuji di Putrajaya – Malaysia akan terima model VTEC Turbo & hibrid tak lama lagi?

    Manakala untuk model hibrid, ia menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid terkini dan paling berkuasa ditawarkan Honda iaitu sistem e:HEV dengan enjin 2.0 liter. Sistem berkenaan menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 2.0 liter yang kebanyakkan masanya hanya berfungsi sebagai generator untuk bateri lithium-ion, dan digandingkan dengan dua motor elektrik di mana salah satunya memacu terus roda hadapan dengan bekalan kuasa 207 PS dan tork maksima 335 Nm.

    Kedua-dua unit rangkaian kuasa ini sudahpun ditawarkan di Malaysia sebelum ini, dipasang pada model-model CKD yang dipasang dikilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka. Enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkenaan sudahpun menjadi enjin utama bagi model-model Honda di sini seperti Civic, HR-V dan CR-V generasi sedia ada, manakala unit hibrid e:HEV 2.0 liter pula sudah pun diperkenalkan pada Honda Civic RS Hybrid yang dilancarkan pada November tahun lalu.

    Honda CR-V 2023 ini dihasilkan lebih besar dari model sebelumnya dengan dimensi 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, tinggi 1,681 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi berbanding model generasi kelima, versi baharu ini adalah 69 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan jarak roda 40 mm lebih jauh. Namun dari segi tinggi, ia adalah 8 mm lebih rendah yang memberikan rupa lebih sporty.

    Dengan jarak roda yang lebih jauh, penumpang pada tempat duduk belakang kini menerima ruang kaki yang 15 mm lebih besar. Dan tidak kira varian turbo mahupun hibrid, kedua-duanya kini menerima ruang kargo lebih besar.

    Bagi model generasi sedia ada di Malaysia, CR-V dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM146,900 bagi model asas 2.0L 2WD yang menerima enjin 2.0 liter NA dan hanya memacu roda hadapan, diikuti tiga varian lebih tinggi menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan harga paling mahal RM171,400 untuk model 1.5L TC-P 4WD.

    Dengan saiz yang lebih besar dan juga pelbagai teknologi baharu diterapkan, mungkin harga untuk Honda CR-V 2023 ini akan meningkat dari model generasi terdahulu?

     
     
  • Proton buka pusat alat ganti serantau di Kuching bagi Sabah & Sarawak; penghantaran 30% lebih cepat

    Proton buka pusat alat ganti serantau di Kuching bagi Sabah & Sarawak; penghantaran 30% lebih cepat

    Proton hari ini mengumumkan bahawa Pusat Alat Ganti Serantaunya (RPC) di Kuching, Sarawak secara rasminya telahpun dibuka. Menurut Proton, operasi RPC berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualannya di Malaysia Timur.

    Proton menyatakan bahawa dengan sebuah RPC yang terletak di sana, ia dapat mengurangkan masa penghantaran alat ganti sekurang-kurangnya 30%, memastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik. Proton turut perlu menumpukan perhatiannya terhadap pasaran Malaysia Timur kerana bahagian pasarannya di Sabah dan Sarawak kini semakin besar selepas pengenalan dua model SUVnya iaitu X70 dan X50.

    RPC baharu Proton ini terletak di kawasan Perindustrian Bintawa dan dibina dengan keluasan 28,000 kaki persegi. Ia boleh menampung enam kontena berisi alat ganti di tapaknya secara serentak dan kini sedang memproses secara purata 17 buah kontena sebulan bagi menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk menyimpan stok sehingga tiga bulan. Selain itu, ia juga mampu menerima penghantaran terus dari luar negara.

    Proton buka pusat alat ganti serantau di Kuching bagi Sabah & Sarawak; penghantaran 30% lebih cepat

    “Dengan peningkatan permintaan pelanggan sejak empat tahun lalu, kemudahan gudang Proton di Malaysia Timur sebelum ini melimpah dengan alat ganti kerana keterbatasan ruang. Pusat Alat Ganti Serantau baharu di Kuching adalah tiga kali lebih besar daripada gudang sebelumnya dan akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sarawak serta Sabah jika perlu,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah.

    “Ruang tambahan itu juga membolehkan Proton meningkatkan penghantaran sebanyak 50% daripada 3,000 tempahan sebulan kepada 4,500 tempahan sebulan dengan kapasiti maksimum sebanyak 6,000 tempahan sebulan sekiranya diperlukan. Ini membolehkan kami mencapai lebih banyak pengeluaran alat ganti dan buat masa sekarang kami sedang menyelesaikan tempahan yang tertunggak daripada pengedar dan pelanggan kami,” tambahnya lagi.

    Menurut Proton, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang sebanyak 15% kepada jumlah jualan syarikat pada 2022, dan bahagian pasaran telah berkembang daripada 10% pada tahun 2018 kepada 20% pada tahun 2022. Rekod berkenaan menunjukkan satu peningkatan secara berterusan sejak tahun 2019 selepas Proton X70 diperkenalkan.

    Proton buka pusat alat ganti serantau di Kuching bagi Sabah & Sarawak; penghantaran 30% lebih cepat

    Proton turut mendakwa bahawa populariti model siri X baharu itu bukanlah satu-satunya punca jualannya naik di Sabah dan Sarawak. Ini kerana pada tahun lalu tiga model Proton yang menduduki tangga teratas dalam carta jualan di Malaysia Timur ialah Proton Saga dengan 10,242 unit diikuti Proton X50 dengan 4,181 unit dan Proton Persona dengan 2,605 unit.

    “Proton menjual 7,697 unit di Malaysia Timur pada 2018 tetapi tahun lepas, sebanyak 19,844 unit telah dijual, iaitu bersamaan dengan pertumbuhan jualan sebanyak 158%. Kami menyasarkan untuk mencapai angka yang lebih besar tahun ini dengan peningkatan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan serta pelancaran model baharu dan dikemaskini yang berada dalam perancangan.

    “Kepuasan pelanggan kekal sebagai matlamat kami, dan kami tahu Proton masih perlu berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan selepas jualan kami. Setiap langkah positif yang kami ambil membawa kami lebih dekat kepada sasaran kami, dan kami kekal komited untuk menyediakan produk berkualiti tinggi untuk seiring dengan tahap sokongan selepas jualan yang sama tinggi,” kata Roslan lagi.

     
     
  • Honda X-ADV pasaran Msia dapat warna baru – RM69k

    Honda X-ADV pasaran Msia dapat warna baru – RM69k

    Tahun lepas, Honda X-ADV (V2) yang pertama kali diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2021 diberikan penyegaran dengan penawaran dua warna iaitu Mat Ballistic Black Metallic dan Pearl Deep Mud Gray. Tahun ini, ia ditambah lagi dengan warna baru, Shasta White dan dijual pada harga RM68,899.

    Selain penampilan, bahagian lain tidak berubah, dengan penggeraknya adalah enjin dua silinder selari SOHC 745 cc, berkuasa 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm tork pada 4,750 rpm. Enjin yang sudah melepasi tahap Euro 5 ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan klac berkembar (DT) yang selain menyediakan penukaran gear automatik, juga mempunyai mod manual dengan kawalan naik dan turun gear menggunakan butang.

    Untuk kawalan kuasa, X-ADV menggunakan sistem ride by wire dan penunggang disediakan dengan lima mod iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Dalam empat mod yang pertama, tahap penyampaian kuasa, engine braking, Honda Selectable Traction Control (HSTC) dan ABS dilaras pada tahap tertentu sementara dalam mod User, penunggang boleh melaras semua ciri ini pada tahap yang mereka mahukan. HSTC mempunyai tiga tahap dan ia juga boleh ditutup terus.

    Honda X-ADV pasaran Msia dapat warna baru – RM69k

    Di hadapan pemandu terdapat panel digital TFT 5.0 inci berwarna untuk memaparkan segala informasi penting. Ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar serta headset (tidak disertakan) melalui Honda Smartphone Voice Control System dan membolehkan kawalan panggilan, emel, muzik dan navigasi.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada X-ADV adalah termasuk lampu hadapan LED dengan DRL LED, penghadang angin hadapan boleh laras lima tahap secara manual, rim spoked 17 inci dan brek cakera berkembar 296 mm dengan angkup empat piston di hadapan, rim 15 inci dan brek cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang, sistem kunci pintar, Emergency Stop Signal (ESS), tangki bahan api 13.2 liter serta ruang simpanan bawah tempat duduk 22 liter.

     
     
  • Royal Enfield Interceptor 650 dan Continental GT 650 2023 dapat peningkatan – serba gelap, tayar tanpa tiub

    Royal Enfield Interceptor 650 dan Continental GT 650 2023 dapat peningkatan – serba gelap, tayar tanpa tiub

    Dua model 650 daripada Royal Enfield, iaitu Interceptor 650 dan Continental GT 650 diberikan peningkatan untuk model keluaran tahun 2023. Perkara pertama yang diubah adalah penampilan yang lebih segar, dengan Interceptor kini ditawarkan dalam warna Barcelona Blue dan Black Ray, sementara Continental GT pula kini tiba dalam warna Apex Grey dan Slipstream Blue.

    Menjadikannya lebih garang, kedua-duanya juga kini ditawarkan dalam varian yang dipanggil sebagai Blacked Out, di mana hampir semua bahagian enjin dan ekzos yang sebelum ini berwarna krom telah dihitamkan termasuk penutup tepi. Bentuk ekzos itu sendiri masih sama.

    Kemudiannya, dua motosikal yang berkongsi asas sama, tetapi dengan identiti berbeza ini (Continental GT lebih kepada sebuah cafe racer manakala Interceptor lebih kepada cruiser) sekarang dipasang dengan rim aluminium 18 inci dengan tayar tanpa tiub, menggantikan rim spoked dan tayar tiub sebelum ini.

    Beberapa kelengkapan lain turut dinaik taraf, termasuk lampu hadapan, yang kini menggunakan unit LED, dan tambahan soket pengecas USB. Bahagian lain masih lagi sama termasuk enjin, iaitu unit dua silinder selari SOHC 648 cc suntikan bahan api yang digabungkan dengan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 47 hp pada 7,250 rpm dan 52 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Dua motosikal ini juga dilengkapi dengan brek cakera 320 mm di hadapan dan 240 mm di belakang, lengkap dengan ABS dual-channel, fork teleskopik serta dua penyerap hentak dengan tabung gas di belakang. Tangki bahan api Interceptor 650 adalah lebih besar, iaitu 13.7 liter, sementara Continental GT 650 dilengkapi tangki 12.5 liter. Berat kedua-dua motosikal ini adalah 400 kg.

    GALERI: Royal Enfield Interceptor 650 2023

    GALERI: Royal Enfield Continental GT 650 2023

     
     
  • Menu Rahmah di R&R PLUS: ada Sate Kajang, Yee Mee Crabstick dan pelbagai lagi semuanya berharga RM5

    Menu Rahmah di R&R PLUS: ada Sate Kajang, Yee Mee Crabstick dan pelbagai lagi semuanya berharga RM5

    Selepas secara rasmi melancarkan pilihan Menu Rahmah di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan bermula minggu lalu, hari ini pihak pengendali lebuhraya berkenaan iaitu PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menjemput pihak media dan juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Bin Ayub bagi meninjau sendiri pilihan menu berkenaan di R&R Dengkil Arah Selatan.

    Majlis tersebut turut disertai oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di mana kedua-dua menteri berkenaan bersama-sama memotong riben sebagai simbolik pelancaran Menu Rahmah ini untuk R&R PLUS seluruh negara. Pelancaran Menu Rahmah di R&R PLUS ini membolehkan pengguna lebuhraya tersebut menikmati pilihan juadah dengan harga lebih rendah bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

    Untuk R&R Dengkil ini sahaja pelbagai Menu Rahmah dengan harga RM5 dijual oleh gerai-gerai yang mengambil bahagian dan menyajikan hidangan termasuk Yee Mee Crabstick, Nasi Lemak Ayam Goreng, Nasi Ayam dan pelbagai lagi.

    Menu Rahmah di R&R PLUS: ada Sate Kajang, Yee Mee Crabstick dan pelbagai lagi semuanya berharga RM5

    Malah restoran sate ikonik iaitu Sate Kajang Hj. Samuri turut menyertai inisiatif ini dengan menjual set Menu Rahmah menampilkan tiga cucuk sate bersama nasi himpit dan timun, kesemuanya diisi dalam cawan plastik dengan kuah kacang ‘banjir’, juga dijual pada harga RM5.

    Walau bagaimanapun, Menu Rahmah ini hanya dijual di gerai-gerai berkenaan pada waktu makan tengah hari iaitu antara 12 tengah hari hingga 2 petang dan juga ketika waktu makan malam iaitu antara 7 malam hingga 9 malam.

    Fasa pertama Menu Rahmah untuk pengguna Lebuhraya PLUS ini telah bermula 23 Februari lalu dengan sembilan lokasi terpilih iaitu R&R Ulu Bernam (Arah Selatan), R&R Tapah (Arah Utara & Selatan), Restoran Jejantas Sg Buloh (Arah Utara & Selatan) dan R&R Seremban (Arah Utara), R&R Dengkil (Arah Selatan & Utara), Hentian Sebelah Nilai (Arah Utara & Selatan), Hentian Sebelah Serdang (Arah Utara & Selatan), R&R Rawang (Arah Utara) dan Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Utara & Selatan).

    Fasa kedua Menu Rahmah ini pula dijangka akan dilaksanakan sebelum 2 Mac melibatkan R&R dan Hentian Sebelah di Wilayah Utara, diikuti Fasa Ketiga yang melibatkan Wilayah Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dijadualkan dilaksanakan sebelum 9 Mac.

    Sebelum ini pihak PLUS mensasarkan lebih 100 gerai R&R untuk menyertai inisiatif Menu Rahmah berkenaan, dan hari ini Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sendiri mengumumkan bahawa sebanyak 101 gerai telah pun berdaftar sebagai penjual Menu Rahmah setakat ini.

     
     
  • Polis akan pantau kawasan ‘panas’ di Lebuhraya DASH susulan video drift di Plaza Tol Denai Alam minggu lalu

    Polis akan pantau kawasan ‘panas’ di Lebuhraya DASH susulan video drift di Plaza Tol Denai Alam minggu lalu

    Walaupun sudah dibuka sekitar empat bulan, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) masih lagi ‘lengang’ terutamanya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang buat masa sekarang hanya ada kemudahan asas seperti tempat letak kereta yang lapang serta tandas dan surau awam.

    Ini menyebabkan beberapa komuniti kelab kereta berminat untuk berkumpul di kawasan-kawasan R&R berkenaan, namun seperti kebanyakkan aktiviti seperti itu ia pasti akan melibatkan ‘aksi-aksi’ yang tidak sepatutnya dibuat di tempat awam.

    Semalam satu video telah tular di media-media sosial menunjukkan sebuah Nissan 180SX telah melakukan aksi drift di lebuhraya berkenaan berdekatan R&R dan juga Plaza Tol Denai Alam. Susulan insiden berkenaan pihak Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PROLintas) iaitu pemegang konsesi lebuhraya tersebut telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi.

    Menurut PROLintas, pihaknya memandang serius perhimpunan besar kenderaan berkelajuan tinggi dan aktiviti lumba haram yang berlaku di sekitar Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) Denai Alam malam minggu lalu.

    “Untuk rekod, tiada permit sah dikeluarkan oleh mana-mana pihak untuk sebarang perhimpunan besar sedemikian dijalankan dikawasan terbabit.

    “Pihak DASH bekerjasama rapat dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan kejadian berkenaan. Difahamkan pihak JSPT juga merancang untuk menjalankan operasi di kawasan yang dilaporkan berlaku aktiviti haram itu.

    “Hasil pemantauan mendapati, susulan kejadian itu, beberapa kesan tayar kenderaan ditinggalkan di sepanjang laluan dikenal pasti,” kata PROLintas dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam dan menambah bahawa pihaknya melarang sekeras-kerasnya kegiatan lumba haram di atas Lebuhraya DASH serta menasihatkan pengguna agar sentiasa mematuhi had laju dan semua peraturan pemanduan.

    “Kegiatan itu bukan sahaja membahayakan diri mereka malah mengancam keselamatan pengguna lebuh raya yang lain serta menimbulkan keresahan penduduk sekitar.

    “Pihak DASH mengalu-alukan maklum balas orang ramai dan akan terus komited menyelesaikan segala isu yang timbul demi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna serta komuniti sekeliling,” tulis kenyataan itu lagi.

    Lebuhraya DASH merupakan lebuhraya bertingkat yang dibina merentas kawasan perumahan dan perniagaan. Kehadiran komuniti-komuniti berkereta ini juga dilaporkan mengganggu penduduk tempatan di bawah lebuhraya berkenaan kerana deruman ekzos besar serta enjin yang telah ditala menghasilkan letupan ‘pops & bang’ menerusi tip ekzos dari kereta-kereta berkenaan.

     
     
  • Pusat pameran 3S Royal Enfield dibuka di P.Pinang

    Pusat pameran 3S Royal Enfield dibuka di P.Pinang

    Selepas di Petaling Jaya, kini satu lagi pusat pameran 3S Royal Enfield dibuka di Lot 1681 G1, Jalan Perusahaan, 13600, Perai, Pulau Pinang. Ia terletak bersebelahan dengan Motoplex Butterworth dan beroperasi dari hari Isnin hingga Khamis, jam 9.30 pagi hingga 6.00 petang.

    Semua model terbaru Royal Enfield ada di pusat pameran baru ini, dan di tempat sama turut terdapat ruang istirehat untuk pelanggan, bahagian jualan barangan gaya hidup dan aksesori, serta ruang servis motosikal.

    Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bogo memberitahu bahawa selepas ini, lima lagi kedai pop-up jenama ini akan dibuka di antara utara ke selatan Malaysia. “Ini akan dapat membawa kami lebih dekat dengan pelanggan, dan memberikan akses lebih mudah kepada jenama ini,” kata Rewi.

    Selain model sedia ada sekarang, kita juga boleh menjangkakan ketibaan beberapa model baru Royal Enfield untuk pasaran Malaysia seperti Hunter 350, yang diberitahu akan berlaku pada 9 Mac ini, dan Super Meteor 650 (mengikut perancangan, pada bulan Julai 2023).

     
     
  • Motoplex Butterworth kini dibuka – pusat sehenti untuk motosikal Piaggio, Vespa, Aprilia, Moto Guzzi

    Motoplex Butterworth kini dibuka – pusat sehenti untuk motosikal Piaggio, Vespa, Aprilia, Moto Guzzi

    Satu lagi pusat sehenti untuk motosikal Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi yang dipanggil sebagai Motoplex kini dibuka secara rasmi di Butterworth, Pulau Pinang.

    Dikendalikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd, Motoplex Butterworth terletak di sebuah bangunan berkeluasan 3,200 kaki persegi, dengan 2,600 kaki persegi dijadikan sebagai pusat pameran sementara 600 kaki persegi lagi untuk bahagian servis.

    Selain boleh melihat model-model terkini serta mendapatkan servis empat jenama motosikal Itali yang disebutkan tadi, Motoplex Butterworth juga menempatkan ruang istirehat untuk pelanggan serta bahagian jualan barangan gaya hidup rasmi jenama-jenama tersebut.

    “Motoplex adalah rumah untuk jenama ikonik Piaggio. Dengan adanya semua jenama ini di bawah satu bumbung, kami dapat menawarkan barisan model yang lebih pelbagai untuk bakal pelanggan yang mencari pengalaman bermotosikal Itali serta gaya hidup, teknologi, prestasi dan warisannya,” kata pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo.

    “Kami komited untuk memberikan servis kepada penunggang dengan penuh semangat dan dedikasi melalui kedai konsep berkeluasan 3,200 kaki persegi ini, lengkap dengan bahagian servis yang dikendalikan oleh pekerja berkemahiran. Kami bukan sahaja membuat motosikal. Kami juga juga mengubah cara orang bergerak,” kata pengarah GB Motorcycles, Kheoh Hock Seng.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025