Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Puspakom umum cawangan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditutup pada 18 November 2022

    Puspakom umum cawangan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditutup pada 18 November 2022

    Puspakom telah mengumumkan semua cawangannya di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan ditutup pada 18 November 2022, Jumaat ini. Ia susulan pengisytiharaan cuti umum oleh ketiga-tiga negeri terbabit sempena dengan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), yang bakal berlangsung pada 19 November ini.

    Menurut Puspakom, pelanggan yang terkesan dengan penutupan cawangan ini boleh menjadualkan semula temujanji secara dalam talian iaitu MyPuspakom, sebelum 18 November. Jika pelanggan tidak mahu menjadualkan semula temujanji, mereka akan menerima pulangan semula bayaran secara automatik dan tempahan temujanji perlu dibuat sekali lagi pada masa akan datang. Puspakom turut memaklumkan, cawangannya juga akan dibuka pada 26 November, Sabtu hadapan.

    Untuk yang bakal memandu jauh pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi, jangan lupa periksa keadaan kenderaan anda. Pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan selamat untuk dipandu. Selain itu, pastikan juga baki dalam kad Touch ‘n Go atau e-wallet anda mencukupi untuk pembayaran kadar tol.

     
     
  • BYD Atto 3 Standard Range EV di Thailand – bateri 49.9 kWh, jarak NEDC 410 km, 1.1m baht atau RM141k

    BYD Atto 3 Standard Range EV di Thailand – bateri 49.9 kWh, jarak NEDC 410 km, 1.1m baht atau RM141k

    BYD Atto 3 Standard Range (SR) telah pun diumumkan perincian dan harganya untuk pasaran Thailand. Sebelum ini versi Extended Range telah pun dijual di sana. Untuk SR dengan bateri berkapasiti 49.9 kWh ini dijual pada harga 1,099,900 baht (RM140,921), di mana ia lebih murah sebanyak 100,000 baht (RM12,810) berbanding ER yang berharga 1,199,900 baht (RM153,705) dengan pek bateri 60.48 kWh.

    Dengan bateri Blade, Atto 3 Standard Range turut menyokong pengecas pantas DC (CCS2) sehingga 70 kW, lebih rendah berbanding 80 kW pada extended Range. Jarak bagi SR mengikut NEDC mampu mencapai 410 km, di mana kurang 70 km berbanding ER. Walau bagaimana pun, jarak mengikut kitaran WLTP (lebih realistik) pula sekitar 300 km lebih. SR boleh didapati dalam warna Frost White dan Graphite Gray, tidak seperti ER yang ditawarkan dengan lima pilihan warna.

    Selain itu, spesifikasi SR lebih kurang sama dengan ER, namun bezanya ia diberikan e-motor tunggal dengan kuasa 204 PS dan tork 310 Nm untuk pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat.

    BYD Atto 3 Standard Range EV di Thailand – bateri 49.9 kWh, jarak NEDC 410 km, 1.1m baht atau RM141k

    Pembeli Atto 3 SR juga bakal menerima pakej Rever Care yang sama dari pengedar BYD. Ini termasuklah waranti lapan-tahun bagi 160,000 km (untuk kereta dan bateri) serta penyelenggaran percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk tempoh yang sama. Ia juga diberikan sokongan bantuan 24 jam dan lapan-tahun bagi permotoran sifar-kos. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan perlindungan insurans selama setahun dan pengecas rumah. Banyak bonus yang diberikan, patutlah rakyat Thai sanggup beratur panjang untuk menempahnya.

    Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, Atto 3 dan MPV e6 juga bakal dilancarkan di Malaysia pada awal Disember ini, dengan penghantarannya bermula pada suku pertama tahun hadapan. Harga jangkaan bagi kedua-dua EV ini dari RM150k hingga RM170k. Ini dikhabarkan oleh kakitangan BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM) sendiri, yang memberikan maklumbalas pendaftaran minat kami untuk EV ini. Katanya, kedua-dua versi Atto 3 akan dijual di sini, termasuk Standard Range.

    Adakah kehadiran Atto 3 ini bakal memberikan persaingan sengit buat pencabarnya di sini termasuk Hyundai Kona Electrik (RM156k-RM208k) dan versi asas Lite 58 kW dari barisan Hyundai Ioniq 5 (RM207k), serta Ora Good Cat yang kini telah dibuka tempahannya dari RM14X,XXX hingga RM16X,XXX.

     
     
  • 329 kes tangkapan direkodkan melibatkan sindiket kenderaan klon di Selangor antara 2011 hingga kini

    329 kes tangkapan direkodkan melibatkan sindiket kenderaan klon di Selangor antara 2011 hingga kini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah merekodkan sebanyak 329 kes tangkapan yang melibatkan sindiket kenderaan klon antara tahun 2011 hingga sekarang.

    Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, tangkapan berkenaan adalah hasil Operasi Khas Kenderaan Klon yang dilaksanakan oleh JPJ Selangor. Ini termasuklah operasi khas yang dilaksanakan baru-baru ini yang memfokuskan aktiviti penangkapan sindiket yang membawa masuk kenderaan klon diseludup dari Singapura.

    “Hasil siasatan JPJ mendapati sindiket penyeludupan kenderaan dari Singapura ini memiliki Certificate of Entitlement (COE) yang akan tamat dalam tempoh antara tiga hingga tujuh hari sebelum dilupuskan.

    “Kenderaan klon ini kemudiannya dijual dengan harga yang murah bergantung kepada model kenderaan dan tahun kenderaan tersebut dibuat dengan harga antara 3,000 SGD (RM10,049) hingga 5,000 SGD (RM16,749.29) bagi kenderaan model BMW, Lexus, Mercedes, Honda dan Toyota dengan mensasarkan individu berusia 25 hingga 40 tahun,” katanya dalam sidang media di JPJ Selangor baru-baru ini.

    Tambahnya lagi, sindiket ini juga menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Wechat, dan aplikasi jualan kenderaan secara dalam talian untuk memperdaya orang awam.

    Untuk rekod, bermula tahun 2011 sehingga kini, jumlah tangkapan kes kenderaan klon di Selangor melalui Operasi Khas Kenderaan Klon adalah sebanyak 329 kes. JPJ Negeri Selangor juga telah melaksanakan Pelupusan Kenderaan Klon ini melalui Lelongan Awam pada tahun 2019 dengan penjualan sebanyak 234 buah kenderaan manakala pada tahun 2022, sebanyak 46 buah kenderaan melibatkan pelbagai jenis dan model telah berjaya dijual sekaligus menyumbang kutipan hasil kerajaan sebanyak RM4,693,050.

     
     
  • LRT Kelana Jaya: Perincian perjalanan percuma 7 hari bagi pengguna tunai, kad Touch ‘n Go dan pas My50

    LRT Kelana Jaya: Perincian perjalanan percuma 7 hari bagi pengguna tunai, kad Touch ‘n Go dan pas My50

    Petang tadi RapidKL mengumumkan bahawa perkhidmatan LRT Kelana Jaya yang diberhentikan minggu lalu akan mula beroperasi semula pada jam 6 pagi, Isnin, 14 November 2022 — lebih awal daripada pengumuman asal. Gangguan perkhidmatan itu melibatkan penutupan 16 stesen di jajaran berkenaan sejak 9 November lalu, dan dijangka dibuka semula pada 16 November.

    Dalam kenyataan sambungan semula operasi itu juga turut dimaklumkan tentang pampasan yang akan diberikan kepada semua pengguna: perkhidmatan percuma selama tujuh hari. Walaupun perkhidmatan itu terganggu bagi tempoh lima hari, pampasan dalam bentuk perkhidmatan percuma itu tetap diberikan mengikut jumlah tujuh hari gangguan perkhidmatan yang diumumkan awalnya.

    Pampasan ini terpakai untuk semua pengguna jajaran LRT Kelana Jaya, baik bagi pemegang pas My50 ataupun tunai serta kad Touch ‘n Go. Berikut perincian bagaimana perjalanan percuma itu akan diberikan bagi setiap kaedah bayaran tersebut.

    LRT Kelana Jaya: Perincian perjalanan percuma 7 hari bagi pengguna tunai, kad Touch ‘n Go dan pas My50

    Pemegang pas My50

    Bagi pengguna pas My50, mereka akan diberikan tambahan perjalanan percuma selama tujuh hari ketika memperbaharui pas mereka yang tamat tempoh kelak. Pembaharuan pas berkenaan boleh dilakukan bermual 21 November hingga 20 Disember 2022. Pelanggan hanya perlu ke mana-mana pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorail dan BRT dan pegawai khidmat pelanggan akan mengesahkan tambahan perjalanan percuma berkenaan.

    Bagi pemegang pas My50 yang akan tamat tempoh antara Isnin, 14 November hingga Ahad, 20 November, mereka boleh menggunakan pas mereka seperti biasa tanpa sebarang caj. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk memastikan kad berbaki sekurang-kurangnya RM5.

    Pengguna kad Touch ‘n Go

    Bagi pengguna kad TnG, mereka boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa dikenakan sebarang caj antara Isnin, 14 November hingga Ahad, 20 November 2022, selagi permulaan dan destinasi perjalanan mereka berada di mana-mana stesen sepanjang LRT Kelana Jaya. Baki kad juga perlu dipastikan berada sekurang-kurangnya RM5.

    Bayaran tunai sehala

    Bagi pelanggan yang menggunakan bayaran tunai untuk membeli token perjalanan di sepanjang LRT Kelana Jaya pula akan menikmati perjalanan percuma antara 14 November hingga 20 November. Pelanggan hanya perlu ke pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorail dan BRT untuk mendapatkan token perjalanan sehala khas, selagi perjalanan mereka bermula dan berakhir di mana-mana stesen jajaran LRT Kelana Jaya.

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi mulai 6 pagi pada 14 Nov – tambang percuma selama 7 hari

    LRT Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi mulai 6 pagi pada 14 Nov – tambang percuma selama 7 hari

    Rapid Rail telah mengumumkan LRT Laluan Kelana Jaya bakal kembali beroperasi sepenuhnya mulai 6 pagi esok, 14 November 2022, dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan, setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    Syarikat berkenaan berkata, berdasarkan analisa keatas ujian meluas yang dijalankan pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM Thales Group, APAD telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

    “Kami berterima kasih kepada APAD dengan kelulusan yang telah diberikan untuk menyambung operasi LRT Laluan Kelana Jaya. Kini kami boleh kembali memberi perkhidmatan sebaiknya kepada seluruh warga kota. Pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.

    “Kami sekali lagi menekankan bahawa keputusan yang diambil adalah demi keselamatan pengguna. Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah dilalui oleh pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya,” kata Mohd Azharuddin Mat Sah selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad

    Rapid Rail turut menambah semua pengguna perkhidmatan berkenaan akan diberikan tambang percuma selama tujuh hari. Sebelum ini, syarikat tersebut mengumumkan kadar tambang percuma untuk pengguna Laluan Kelana Jaya pada setiap hari gangguan perkhidmatan terbabit. Walaupun sebahagian perkhidmatan itu akan digantung selama lima hari, pengguna akan diberikan perjalanan percuma selama tujuh hari. Ini akan terpakai kepada semua pengguna, sama ada pemegang pas My50 dan mereka yang menggunakan kad atau token Touch ‘n Go.

    Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya. Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang.

    “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua diatas kesabaran anda ketika tempoh yang sangat mencabar ini. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menghulurkan bantuan dan sokongan terutama sekali pihak Smart Selangor, MARA Liner, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga rakyat Malaysia yang telah memberi bantuan kepada penumpang-penumpang yang terjejas,” tambah Azharuddin.

     
     
  • LRT tutup: pilihan pengangkutan awam untuk KLSCM

    LRT tutup: pilihan pengangkutan awam untuk KLSCM

    KL Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2022 bakal berlangsung hujung minggu ini (12 dan 13 November) akan melibatkan penutupan banyak jalan-jalan di sekitar ibu negara, seperti yang sudah dimaklumkan sebelum ini.

    Kini, dengan perkhidmatan LRT yang terpaksa diberhentikan akibat masalah teknikal, yang melibatkan penutupan 16 stesen sepanjang jajaran Kelana Jaya, Prasarana dan penganjur KLSCM, Dirigo Events telah mengumumkan pilihan alternatif percuma kepada peserta yang menggunakan pengangkutan awam, esok dan lusa.

    Mereka mempunyai pilihan untuk menaiki bas (Laluan 2) dari stesen LRT Gombak ke LRT Maluri, dan dari sama mereka boleh menyambung perjalanan ke jajaran LRT Ampang dan turun di Masjid Jamek. Pilihan lain untuk peserta adalah untuk menaiki bas (Laluan 1) dari LRT Ara Damansara ke stesen MRT Phileo Damansara, dan boleh menyambung perjalanan mereka ke Dataran Merdeka menggunakan jajaran MRT Kajang, dan turun di Pasar Seni.

    LRT tutup: pilihan pengangkutan awam untuk KLSCM

    Sementara itu, peserta yang tinggal di sekitar KLCC boleh berjalan ke stesen monorel terdekat untuk ke Dataran Merdeka. Mereka juga dinasihatkan untuk turun di MRT Pasar Seni dan berjalan ke Dataran Merdeka.

    Laluan 1 akan menggunakan bus dua tingkat dengan kapasiti berdiri 115 orang, sementara Laluan 2 akan menggunakan bas biasa dengan kapasiti berdiri 53 orang, dengan kekerapan setiap 15 minit. Perkhidmatan pengangkutan awam akan bermula dari 4.30 pagi hingga 6 pagi pada Sabtu, 12 November, dan 1.30 pagi hingga 6 pgi pada Ahad, 13 November.

    Perincian lanjut tentang laluan perlumbaan dan jalan yang ditutup ada di sini.

     
     
  • EICMA 2022: Benelli BKX 250, BKX 250S diperkenal

    EICMA 2022: Benelli BKX 250, BKX 250S diperkenal

    Benelli turun ke EICMA 2022 dengan membawa pelbagai model, dan selain TNT 500, dua lagi model serba baru yang diperkenalkan adalah BKX 250 dan BKX 250S. Asas dua motosikal ini adalah sama, tetapi bentuk dan kelengkapannya dijadikan bersesuaian dengan karekter masing-masing iaitu BKX 250 sebagai sebuah jentera adventure, manakala BKX 250S sebuah motosikal naked.

    Enjin sama seperti barisan model 250 cc Benelli sebelum ini digunakan pada BKX 250 dan 250S, iaitu unit satu silinder DOHC 249 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan, namun telah diberi naik taraf pada beberapa bahagian termasuk sistem penyejukan, pengudaraan dan ekzos. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 25.8 hp pada 9,250 rpm dan 21 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Suspensi kedua-dua model ini menggunakan padanan fork USD 41 mm (tanpa pelarasan) di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, tetapi jarak geraknya berbeza, iaitu 180 mm untuk 250, dan 150 mm untuk 250S. Hasilnya, 250 menyediakan jarak dari tanah 220 mm serta tinggi tempat duduk 835 mm manakala 250S 175 mm dan 800 mm.

    Bersesuaian dengan kegunaan masing-masing juga, 250 diberi dengan rim spoked 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, sementara 250 datang dengan rim aluminium 17 inci. Brek adalah sama, iaitu unit cakera 280 mm tunggal dengan angkup empat piston di hadapan, dan cakera 240 mm tunggal dengan angkup satu piston. ABS dual-channel diberikan standard.

    Panel LCD ringkas digunakan untuk memaparkan maklumat penting, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 13.5 liter. Berat motosikal ini masing-masing adalah 165 kg untuk 502, dan 160 kg untuk 250S. Turut ditambah kepada 250 adalah soket pengecas USB.

    Walaupun dengan rekaan yang futuristik ini, tiada satu ayat pun yang mengatakan ini adalah model konsep, dan Benelli memberitahu ia akan dikeluarkan untuk pasaran pada pertengahan tahun hadapan, bersama versi 125 cc untuk kedua-duanya.

    GALERI: Benelli BKX 250

    GALERI: Benelli BKX 250S

     
     
  • Subaru Rex 2023 didedah di Jepun – kembar Perodua Ativa, bermula RM59k, tiada enjin turbo, hanya 1.2L NA

    Subaru Rex 2023 didedah di Jepun – kembar Perodua Ativa, bermula RM59k, tiada enjin turbo, hanya 1.2L NA

    Subaru telahpun mendedahkan model generasi baharu untuk Rex di Jepun, dan ia kini bukan lagi hatchback kei-car seperti model-model generasi sebelum ini. Malah Subaru Rex ini juga jelas merupakan model rebadge dari Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa!

    Tidak seperti Raize dan Ativa yang muncul dengan muka dan perincian lain yang lebih tersendiri, Rex merupakan model yang di’fotostat’ hampir keseluruhannya dari Daihatsu Rocky. Pada sebelah luar, Rex menerima lampu hadapan LED, bampar hadapan dan belakang, lampu belakang dan set rim yang diambil terus dari Rocky.

    Ia cuma dibezakan sedikit dengan elemen gril hadapan dengan rekaan seperti Subaru Forester, lencana ‘REX’ pada pintu tailgate belakang, dan semua emblem logo ‘D’ Daihatsu diganti dengan emblem ‘Pleiades Star’ Subaru.

    Di Jepun, Rex generasi baharu ini ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan model asas G dijual pada harga 1.82 juta yen (RM59k) dan juga model tertinggi Z dijual pada harga 2.171 juta yen (RM71k). Kedua-dua varian berkenaan hanya ditawarkan dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin petrol WA-VE 1.2 liter tiga-silinder tanpa turbo berkuasa 87 PS dan tork maksima 113 Nm bersama kotak gear CVT automatik pacuan roda hadapan.

    Pilihan tersebut dilihat sangat terhad berbanding Raize dan Rocky kerana selain enjin 1.2L NA, kembarnya dengan logo Toyota dan Daihatsu berkenaan turut menerima pilihan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 98 PS/tork 140 Nm, dan pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda. Sementara Perodua Ativa di Malaysia hanya menerima enjin 1.0L turbo tanpa pilihan enjin 1.2L NA.

    Bergantung pada varian, Subaru Rex JDM ini tampil dengan rim 16- atau 17-inci, lampu hadapan LED, lampu kabus LED, brek parkir manual atau elektronik, roda stereng urethane atau balutan kulit, paparan instrumen digital tujuh-inci, skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci dengan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta upholsteri fabrik dengan jalur serlahan merah.

    Kembar Daihatsu Rocky (atas kiri), Subaru Rex (atas kanan), Toyota Raize (bawah kiri) dan Perodua Ativa (bawah kanan)

    Subaru Rex ini juga menerima sistem bantuan pemanduan Smart Assist, dan ia tidak menjenamakan semula sistem berkenaan sebagai sistem Subaru EyeSight. Sistem tersebut memberikan fungsi sama seperti kembar-kembarnya yang lain termasuk pemantau titik buta, brek kecemasan automatik, pengenal papan tanda trafik, bantuan lampu tinggi, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, amaran keluar jalan, amaran lintasan trafik belakang serta pemantau pandangan panaromik. Sistem bantuan parkir pula ditawarkan sebagai ciri opsyen.

    Ketika memperkenalkan Subaru Rex 2023 ini, Subaru berterus terang bahawa ia adalah model OEM yang dibekalkan oleh Daihatsu dan mensasarkan jualan sebanyak 150 unit sebulan di Jepun. Ini bukan kali pertama Subaru menyertai barisan kembar Toyota-Daihatsu-Perodua. Sebelum ini Subaru pernah menghasilkan hatchback Subaru Justy generasi keempat pasaran Eropah yang merupakan kembar kepada Daihatsu Boon-Toyota Passo-Perodua Myvi generasi pertama.

     
     
  • UMWT kini catat jualan melepasi 80k unit, naik 47%

    UMWT kini catat jualan melepasi 80k unit, naik 47%

    Jualan kenderaan Toyota dan Lexus oleh pengedar rasminya UMW Toyota Motor (UMWT) telah melepasi angka 80k unit. Jualan tahunan setakat ini bagi tempoh 10 bulan 2022 adalah 80,153 unit, peningkatan sebanyak 47% bagi tempoh sama tahun lalu (54,618 unit).

    Daripada jumlah tersebut, 79,308 unit adalah daripada jenama Toyota, yang juga mendahului jualan kereta bukan-nasional. “Ini adalah sambungan kepada corak peningkatan yang ditunjukkan sejak awal tahun dan jenama ini juga terus menjadi pendahulu pasaran sepanjang tahun ini, terutama dalam segmen trak pikap,” jelas UMWT dalam satu kenyataan.

    Bulan lalu, UMWT menyerahkan sebanyak 9,281 unit kenderaan, terdiri daripada 9,175 Toyota dan 106 Lexus. Jualan keseluruhan pada Oktober 2022 adalah 0.5% lebih tinggi berbanding September, dan 9% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya (8,500 unit pada Oktober 2021).

    UMWT kini catat jualan melepasi 80k unit, naik 47%

    “Walaupun suasana ekonomi masih mencabar, pasaran kenderaan perlahan-lahan kembali pulih dan mengukuh dalam tempoh tahun ini. Terima kasih kepada pelanggan setia yang terus menyokong kami, permintaan terhadap kenderaan Toyota tetap tinggi. Bagi mereka yang terpaksa menunggu lama untuk menerima kenderaan yang ditempah, kami dalah usaha untuk mempercepatkannya,” ujar Presiden UMWT, Ravindran K.

    “Kadar pengeluaran kami masih lagi terkesan, tetapi kami berusaha sehabis baik untuk menyerahkan kendearan baru pelanggan dalam tempoh yang paling cepat,” tambah beliau.

    Terbaru untuk pasaran tempatan, Toyota memperkenalkan Veloz, sebuah “crossover premium” yang menjadi model “saudara” bagi Perodua Alza tetapi dengan lebih banyak kelengkapan, sentuhan penampilan unik yang tersendiri serta kedudukan lebih tinggi yang dijual pada harga RM95k. Veloz sudah menerima 7,000 tempahan sebelum tarikh pengenalan rasminya pada 18 Oktober lalu.

     
     
  • LRT Kelana Jaya akan beroperasi semula lebih awal

    LRT Kelana Jaya akan beroperasi semula lebih awal

    Masalah yang menyebabkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya terpaksa diberhentikan sebelum ini khabarnya telah dapat diselsaikan, dan perkhidmatannya akan disambung sepenuhnya lebih awal daripada tempoh asal yang diumumkan terdahulu. Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan Sementara, Datuk Seri Wee Ka Siong. 9 November lalu, RapidKL mengumumkan 16 stesen terpaksa ditutup hingga 15 November.

    Dengan perkembangan terbaru ini, sambungan semula perkhidmatan tersebut dijangka akan dilakukan lebih awal. Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Wee memaklumkan dengan penggantian moden dan pembekal kuasa bagi landasan berkenaan yang telah dilakukan, masalah yang dihadapi sebelum ini telah pun diatasi, lapor FMT. Beliau menambah, perkhidmatan itu akan menjalani ujian sehari esok sebelum keputusan pembukaan semulanya diumumkan kelak.

    “Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga perlu memastikan yang pengesahan daripada pakar Thales Group bahawa landasan ini selamat dan stabil untuk digunakan sebelum semua operasi diteruskan. Jika tiada lagi sebarang masalah, maka perkhidmatan akan diteruskan, dan Prasarana akan membuat pengumuman itu pada jam 6 petang sehari sebelumnya,” jelas beliau.

    Wee berkata, ujian yang akan dijalankan esok akan meneliti operasi tren di sepanjang jajaran Kelana Jaya selama sehari. “Kami ingin memastikan tren berkenaan boleh beropersi selama sehari tanpa sebarang masalah dan akan membuat penilaian berdasarkan hal itu,” tambah beliau. Walaupun tarikh spesifik belum diumumkan, LRT KJ berkemungkinan besar akan beroperasi semula sepenuhnya pada 13 November.

     
     
  • Kemalangan maut berlaku di Lebuhraya PLUS di KM 280.1 Nilai ke Bandar Ainsdale arah Selatan

    Kemalangan maut berlaku di Lebuhraya PLUS di KM 280.1 Nilai ke Bandar Ainsdale arah Selatan

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman Facebook rasminya melaporkan ada kemalangan maut berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di kawasan Nilai-Bandar Ainsdale (KM 280.1 menuju ke Selatan) yang baru sahaja terjadi pada pukul 12.31 tengah hari tadi.

    LLM menyatakan bahawa kesemua lorong pada laluan berkenaan telah terhalang berikutan kemalangan tersebut, dan menyebabkan trafik dari Kuala Lumpur/Lembah Klang menuju ke Selatan terhenti terus, serta menyebabkan kesesakan sepanjang 5 km dari Selatan ke Utara.

    Oleh itu LLM menasihatkan orang ramai untuk menggunakan laluan alternatif dan keluar dari lebuhraya menerusi persimpangan keluar Exit 213 Putra Mahkota.

    Kemalangan maut berlaku di Lebuhraya PLUS di KM 280.1 Nilai ke Bandar Ainsdale arah Selatan

    Tiada perincian lanjut diberikan berkenaan kemalangan berkenaan, namun LLM ada menyatakan bahawa kemalangan tersebut melibatkan lima kenderaan dan ada menyebabkan kehilangan nyawa.

    Menerusi rakaman dashcam yang kami perolehi dari Whatsapp, dapat dilihat lori treler berkenaan pada mulanya berada di lorong paling kiri jalan menuju ke Utara. Namun tiba-tiba ia kelihatan hilang kawalan sehingga terbabas masuk ke lorong menuju arah Selatan dan merempuh kenderaan bertentangan, akhirnya menutup terus kesemua lorong tersebut.

    Sehingga 2:32 PM tadi, kerja-kerja membersihkan kawasan kemalangan masih lagi berjalan, dan lorong paling kanan telah pun dibuka untuk kenderaan ringan. Namun PLUS masih menutup lebuhraya berkenaan dan mewajibkan semua kenderaan keluar melalui tol plaza Nilai, dan laluan aliran kontra telah dibuka bermula KM279.05 hingga KM281.3 menghala ke Utara.

    Kesesakan masih berlaku sepanjang tujuh kilometer dan menambah kesulitan, hujan telah pun mula turun di kawasan berkenaan.

    Rakaman dashcam di bawah adalah dari Whatsapp

    VIDEO: Rakaman dashcam ketika kemalangan (arah sama)

    VIDEO: Rakaman dashcam ketika kemalangan (arah bertentangan)

    VIDEO: Rakaman dari telefon pintar selepas berlaku kemalangan

     
     
  • Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    2023 Honda Accord.

    Selepas menyiarkan teaser bulan lalu, Honda kini mendedahkan sepenuhnya rupa dan spesifikasi untuk Honda Accord generasi ke-11 bagi pasaran Amerika Syarikat. Seperti imej paten yang terdedah sebelum ini, Honda Accord 2023 menampilkan rekaan yang lebih sporty, matang dan ringkas dengan imej seakan sedan dari Eropah.

    Untuk muka, tiada lagi rekaan Solid Wing pada model generasi ke-11 ini dan ia menerima gril hadapan besar berbentuk heksagon, seakan mendapat inspirasi dari gril model-model Acura yang lebih mewah.

    Gril berkenaan diapit dengan lampu hadapan yang tirus, dan turut menampilkan jalur lampu nyalaan siang LED. Apron hadapan ini dilengkapkan dengan kemasan liang ambilan udara sebelah bawah yang direka lebar merentangi keseluruhan bampar.

    Model generasi ke-11 ini masih tampil dengan bentuk badan fastback, tetapi ia diperkemas dengan garis-garis yang lebih tegak dan bersegi. Kemasan krom pada bahagian atas cermin tingkap sisi masih diberikan, dan ia kini lebih panjang sehingga ke bahagian bawah cermin suku belakang.

    Di belakang, tiada lagi lampu berbentuk ‘stapler’ seperti model sebelumnya, dan ia digantikan dengan rekaan lampu nipis yang lebih ringkas bersama bar yang merentangi sepenuhnya. Penutup but masih direka dengan hujung yang nampak seperti diberikan spoiler ‘ekor itik, manakala kemasan diffuser di bawah bampar kini lebih menonjol.

    Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    2023 Honda Accord.

    Honda menyatakan bahawa ia kini menggunakan proses pemasangan menggunakan teknologi kimpalan laser, dan membolehkan bumbung Accord ini tidak perlu diberikan perapi penutup kimpalan, memberikan rekaan yang lebih ringkas dan kemas.

    Dalam kabin, Accord 2023 ini menerima papan pemuka lebih ringkas seperti Civic FE, diberikan corong pendingin hawa yang kelihatan seperti merentangi sepenuhnya papan pemuka. Tiada lagi kawalan penghawa dingin digital menerusi skrin, dan ia sudah diganti semula dengan suis-suis putar analog yang lebih mudah digunakan.

    Skrin infotainmen juga kini diletakkan secara ‘berdiri sendiri’ pada bahagian tengah. Skrin sesentuh bersaiz 12.3-inci berkenaan merupakan yang paling besar pernah ditawarkan pada sebuah Honda. Menurut jenama itu lagi, pada bahagian bawah skrin tersebut turut direka dengan permukaan rata sebesar satu-inci, membolehkan anda meletakkan jari bagi mengoperasikan skrin tersebut dengan stabil.

    Ia turut menampilkan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh dihubungkan tanpa wayar, serta dihubungkan kepada sistem infotainmen yang berintegrasi dengan servis-servis terhubung Google untuk model varian tertinggi Touring pasaran AS. Servis-servis tersebut termasuk aplikasi Google Assistant, Google Maps dan pelbagai aplikasi lain boleh dipilih pada Google Play. Ini membolehkan pelbagai fungsi pada Accord ini dioperasikan menerusi arahan suara Google Assistant, mendapat navigasi dari maklumat trafik dari Google Maps serta memuat turun muzik, podcast, audiobooks dan lain-lain dengan Google Play.

    Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    2023 Honda Accord.

    Model Touring juga diberikan paparan head-up bersaiz enam-inci bersama sistem bunyi 12-pembesar suara dari Bose. Menurut Honda, sistem bunyi berkenaan menggunakan teknologi Bose Centerpoint dan pemproses isyarat digital Bose SurroundStage, yang didakwa “direka khas dengan jitu untuk kabin Accord supaya pemandu dan penumpang – tanpa mengira kedudukan tempat duduk mereka – diletakkan di tengah-tengah muzik, dengan pengalaman mendengar yang jelas dan luas.”

    Walau bagaimanapun, untuk varian-varian lebih rendah, Accord 2023 ini hanya diberikan skrin bersaiz 7-inci, bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay yang dihubungkan dengan wayar.

    Pemandu diberikan tempat duduk larasan elektrik lapan-hala (untuk varian EX dan ke atas) roda stereng baharu yang nampak seiras dengan roda stereng Civic FE, bersama paparan insrumen digital dengan skrin 10.2-inci. Bagi model hibrid, ia tidak disertakan dengan takometer pada skrin tersebut, tetapi digantikan dengan paparan aliran kuasa. Tombol gear telah diarahkan kepada pemandu pada sudut 5 darjah, yang bukan sahaja memudahkan capaian pemandu, malah ia turut membolehkan pemegang cawan bersiaz besar diletakkan di sebelah.

    Kesemua varian Accord ini diberikan kebolehan untuk mengemaskini perisian secara Over the Air (OTA) untuk hampir kesemua modul komputer dalam kereta tersebut bagi mengemaskini fungsi dan kemampuan dari masa ke masa.

    Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    Honda menyatakan bahawa Accord generasi ke-11 ini menawarkan ruang penumpang paling luas dalam kelasnya iaitu 2,994 liter, bersama ruang kaki penumpang belakang 1,036 mm. Ia diberikan tempat duduk hadapan baharu yang dipanggil Kerusi Penstabil Badan, menampilkan kerangka yang mampu memegang badan serta mengurangkan keletihan ketika memandu dalam masa yang lama. Manakala tiang-A hadapan pula direka lebih ‘kurus’ bagi memberikan pendangan luar yang lebih luas.

    Menurut Honda lagi, kabin Accord 2023 ini diberikan komponen-komponen yang diperbuat dari material berkualiti tinggi, terutamanya pada titik-titik sentuh bagi memberikan rasa yang premium. Antara material yang digunakan termasuk kemasan yang ‘menarik pandangan mata’ seperti perapi-perapi Piano Black, gril mesh logam untuk liang pendingin hawa dan lain-lain.

    Ruang kargo untuk Accord ini juga didakwa paling besar dalam kelasnya dengan kapasiti ruang but 473 liter, dan tempat duduk belakang turut boleh dilipat bagi memberikan ruang lebih besar.

    Honda Accord 2023 ini diasaskan dari platform global Honda yang telah dipertingkat, memberikan ketegaran casis lebih tinggi serta sokongan badan lebih keras, bersama bar-bar pendakap hadapan yang memberikan pengendalian, pemanduan dan juga perincian keseluruhan yang diperhalusi.

    Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    2023 Honda Accord

    Talaan untuk suspensi hadapan dengan sistem bebas sepenuhnya telah dibuat semula, dengan galas cagak penyerap hentak hadapan direka dengan rintangan geseran lebih rendah bagi memberikan stereng yang lebih lancar. Menurut Honda, talaan baharu pada suspensi dan stereng ini membolehkan Accord lebih seronok untuk dipandu, dalam masa yang sama memberikan kualiti pemanduan lebih baik. Kesemua varian juga menerima trek roda belakang empat-inci lebih lebar dari sebelum ini bagi memberikan rupa lebih garang serta kestabilan lebih baik.

    Dua jenis unit rangkaian kuasa disediakan untuk Accord generasi baharu ini iaitu dalam versi petrol penuh dan hibrid. Bagi model petrol, ia diberikan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo yang dikemaskini, memberikan prestasi emisi lebih baik. Antara penambahbaikkan yang dibuat termasuk menaik taraf sistem suntikan bahan api terus, menggunakan pemangkin aktif-sejuk baharu, serta aci engkol dan takung minyak enjin lebih keras bagi mengurangkan bunyi enjin.

    Enjin ini dipadankan dengan kotak gear CVT automatik yang telah diperhalusi bagi mengurangkan bunyi, serta talaan semula yang dibuat bagi memberikan rasa seperti tukaran gear sebenar ketika dipandu dengan pedal pendikit yang ditekan sepenuhnya. Namun Honda masih belum mengumumkan sebarang angka kuasa, penggunaan bahan api dan juga prestasi Accord dengan enjin VTEC Turbo ini.

    Manakala untuk model Hybrid, ia masih menggunakan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggandingkan dua motor elektrik dan juga enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson. Namun untuk model baharu ini, enjin petrol tersebut sudahpun diberikan sistem suntikan terus.

    Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    2023 Honda Accord.

    Menurut Honda, konfigurasi baharu ini membolehkan enjin tersebut digandingkan dengan motor elektrik lebih berkuasa, dan kini ia menerima kuasa keseluruhan 204 hp dan tork maksima 335 Nm. Jika dibandingkan dengan Accord Hybrid generasi sebelumnya, model baharu ini menghasilkan kuasa 8 hp lebih kecil tetapi dengan tork 20 Nm lebih besar.

    Honda juga menyatakan bahawa perubahan telah dibuat pada sistem kawalan hibrid yang memberikan pengurusan enjin dan kuasa elektrik lebih baik dalam pelbagai situasi berbeza bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih baik.

    Empat mod pemanduan diberikan pada Accord baharu ini iaitu Econ, Normal, Sport (hanya untuk hybrid) dan juga Individual. Tiga mod pertama tersebut diberikan pra-tetapan prestasi yang telah dibuat berdasarkan keperluan dan keadaan pemandu termasuk respon rangkaian kuasa, tahap bantuan stereng, corak paparan instrumen dan sistem cruise control adaptif. Manakala mod Individual pula membenarkan pemandu membuat tetapan mengikut ‘selera’ mereka sendiri.

    Untuk keselamatan, Accord 2023 ini menerima beg udara hadapan yang direka bagi mengurangkan potensi untuk mengalami trauma otak yang teruk biasanya terjadi dalam pelanggaran hadapan bersudut. Beg udara untuk pemandu pula menggunakan jahitan yang lebih inovatif bagi menguatkan lagi setiap sisi beg tersebut.

    Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    Manakala beg udara penumpang hadapan pula menggunakan rekaan tiga kebuk baharu dengan dua kebuk luar direka bagi melindungi kepala serta mengurangkan putaran. Buat pertama kali, Accord diberikan beg udara untuk lutut dan hentaman sisi penumpang belakang sebagai ciri standard.

    Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing pada Accord ini turut diberikan pelbagai kemaskini. Antaranya, ia kini diberikan kamera pandangan lebih lebar 90 darjah serta radar juga dengan pandangan lebih lebar 120-darjah. Kamera dan radar baharu ini memberikan prestasi untuk mengelak pelanggaran yang lebih baik menerusi kebolehan lebih tepat untuk mengenal objek seperti kenderaan atau pejalan kaki, serta garisan putih, sempadan jalan, penunggang basikal, motosikal dan papan tanda jalan.

    Kamera sudut lebar ini juga membolehkan pelbagai kawalan untuk sistem bantuan pemanduan di kawasan persimpangan. Manakala sistem informasi titik buta juga kini lebih baik dengan radar yang boleh mengesan sehingga 25 meter. Juga buat pertama kali, Accord diberikan sistem Traffic Jam Assist (TJA) yang sebelum ini sudahpun diberikan pada Civic FE.

    Antara perincian keselamatan baharu yang lain termasuk Rear Seat Reminder bagi mengingatkan pemandu agar tidak tertinggal barang, haiwan peliharaan atau kanak-kanak di tempat duduk belakang sebelum keluar dari kereta, serta sistem pengesan kedudukan kenderaan sekiranya dicuri, immobilizer jarak jauh dan fungsi Find-My-Vehicle sekiranya anda terlupa di mana anda memarkir kenderaan.

    Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

    Enam varian Accord 2023 ditawarkan di Amerika Syarikat bermula dengan varian yang menerima enjin turbo iaitu LX dan EX, diikuti model yang dijana sistem hibrid iaitu Sport, EX-L, Sport-L dan Touring. Lapan warna badan disediakan termasuk tiga warna baharu iaitu Meteorite Gray Metallic, Urban Gray Pearl dan Canyon River Blue Metallic. Rim bersaiz 17-inci hingga 19-inci disediakan bergantung pada varian.

    Honda Accord 2023 ini akan terus diproduksi kilang Honda Marysville Auto Plant di Ohio, dan pada 1 November lalu merupakan ulangtahun ke-40 sejak Accord pertama diproduksi di Ohio pada 1982.

    Di Malaysia, kita baru sahaja menerima Accord generasi ke-10 pada Februari 2020, jadi adakah model generasi ke-11 ini akan dibawa ke sini dalam masa terdekat? Dalam laporan sebelum ini, Honda ada menyatakan bahawa kitaran hayat untuk Accord pasaran AS dan juga pasaran Asia, Asia Tenggara dan Australiasia (termasuk Jepun, Malaysia dan Australia) adalah berlainan. Jadi boleh dijangka Accord sedia ada akan terus dijual di Malaysia sehingga tempoh sekitar enam tahun dalam pasaran.

     
     
  • EICMA 2022: Benelli TNT 500 2023 diperkenal – bentuk serba baru, enjin dua silinder 500 cc 47 hp, skrin TFT

    EICMA 2022: Benelli TNT 500 2023 diperkenal – bentuk serba baru, enjin dua silinder 500 cc 47 hp, skrin TFT

    Benelli memperkenalkan beberapa model baru di EICMA dan salah satunya adalah Tornado Naked Twin 500. Menurut Benelli, model ini adalah satu pendekatan baru bagi motosikal naked, dan konsep yang ditunjukkan melaluinya akan menjadi tanda aras bagi barisan model sports baru jenama itu.

    Keseluruhan rekaan TNT 500 ini adalah baru, dengan menampilkan lampu utama jenis projector LED di tengah, dan jalur DRL LED yang dianggap pembawa identiti dengan bentuk huruf T. Tempat duduk penunggang dan penumpang dijadikan berpisah, sementara lampu penunjuk arah LED pula disepadukan kepada pelindung tangan kiri dan kanan.

    Enjin sama seperti TRK 502 dan Leoncino 500 digunakan pada TNT 500 ini, iaitu unit dua silinder selari 500 cc penyejukan cecair, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan klac jenis slipper, menghasilkan 47 hp pada 8,500 rpm dan 46 Nm tork pada 6,000 rpm. Penutup tepi transmisi dan klac bagaimanapun telah diubah untuk menyesuaikan enjin tersebut dengan penampilan serta kedudukannya pada motosikal ini.

    Dipanggil sebagai sebuah model yang sporty dan agresif, TNT 500 diberikan dengan set brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan, cakera 260 mm dengan angkup satu piston belakang, fork USD 50 mm dengan pelarasan lantunan, monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan, rim aluminium 17 inci serta skrin TFT lima inci berwarna penuh untuk memaparkan informasi dan boleh disambung kepada telefon pintar.

    Tiada mod tunggangan atau sistem kawalan cengkaman pada model ini, sementara ABS dual-channel diberikan standard. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter, sementara tinggi tempat duduk adalah 784 mm dan berat keseluruhan 199 kg.

     
     
  • EICMA 2022: Ducati Scrambler 2023 – generasi kedua dapat skrin TFT, mod tunggangan, 4 kg lebih ringan

    EICMA 2022: Ducati Scrambler 2023 – generasi kedua dapat skrin TFT, mod tunggangan, 4 kg lebih ringan

    Model generasi kedua bagi Scrambler telah pun diperkenalkan oleh Ducati, dengan melibatkan bukan sahaja perubahan gaya, tetapi juga peningkatan di bahagian mekanikal dan kelengkapan. Sebagai permulaan, model baru ini diperkenalkan dalam tiga versi iaitu Icon, Full Throttle dan Nightshift.

    Masih lagi mengekalkan bentuk ikoniknya, Scrambler baru ini bagaimanapun menggunakan rekaan baru, yang termasuk pada bahagian lampu hadapan (kini unit LED penuh dengan DRL LED), lampu belakang (LED), tangki (13.5 liter), panel tepi serta rim (masih lagi bersaiz 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang).

    Selain tiga warna asas yang disediakan untuk versi Icon (kuning, hitam dan merah), pemilik juga boleh menukar penampilan motosikal ini dengan mendapatkan panel yang disediakan dalam enam pilihan warna. Full Throttle cuma datang dalam warna merah/hitam sementara Nightshift pula hanya disediakan dalam warna biru gelap.

    Secara keseluruhannya, Scrambler generasi baru ini 4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini, dan ia adalah hasil daripada casis serba baru serta enjin yang lebih ringan. Lengan ayun juga adalah baru, sementara kedudukan penyerap hentak belakang diubah lebih dekat kepada titik tengah motosikal.

    Enjin Desmodue dua silinder L 803 cc penyejukan udara yang sama masih digunakan pada Scrambler generasi kedua, tetapi ia telah dipertingkat untuk menjadikan berat keseluruhannya berkurang 2.5 kg. Transmisi enam kelajuan pada motosikal ini dinaik taraf dengan klac lapan cakera baru, dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Buat pertama kalinya, sistem ride-by-wire diperkenalkan kepada Scrambler, dan hasil daripada itu, ia dapat menyediakan dua mod tunggangan (Road dan Wet), kawalan cengkaman, Cornering ABS serta quickshifter (pilihan tambahan bagi Icon dan Nightshift, standard bagi Full Throttle).

    EICMA 2022: Ducati Scrambler 2023 – generasi kedua dapat skrin TFT, mod tunggangan, 4 kg lebih ringan

    Turut dinaik taraf adalah panel instrumen, dengan sekarang Scrambler mendapat skrin TFT 4.3 inci berwarna penuh. Dalam keadaan standard ia boleh memaparkan pelbagai informasi, tetapi sistem sambungan kepada telefon pintar disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Selain perkara yang dinyatakan di atas, setiap versi Scrambler generasi kedua ini juga menerima peningkatan khas masing-masing. Bagi Icon, ia mendapat bentuk pemegang baru yang lebih rendah dan dekat kepada penunggang, bentuk tempat duduk baru dan panel tepi warna hitam.

    Full Throttle yang disediakan sebagai pilihan paling berprestasi datang secara standard dengan quickshifter, balutan tempat duduk sports, panel nombor di tepi, pelindung bawah enjin, pelindung ekzos warna hitam, fender hadapan pendek, tiada fender bawah lampu, ekzos Termignoni serta lampu penunjuk arah LED Ducati Performance.

    Nightshift yang lebih elegan juga datang dengan panel nombor tepi, fender hadapan pendek, tiada fender bawah lampu serta lampu penunjuk arah LED Ducati Performance, tetapi dijadikan lebih istimewa dengan rim spoked, tempat duduk balutan kulit, pemegang jenis khas serta cermin sisi di hujung bahagian pemegang (bar-end mirror).

    Kelengkapan lain Scrambler generasi kedua ini masih sama seperti sebelumnya, termasuk fork hadapan USD 41 mm Kayaba, monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban, brek cakera tunggal 330 mm bersama angkup empat piston di hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston di belakang,

    GALERI: Ducati Scrambler Icon 2023

    GALERI: Ducati Scrambler Full Throttle 2023

    GALERI: Ducati Scrambler Nightshift 2023

     
     
  • Jualan Perodua untuk 2022 sudah lebih 200,000 unit; naik 51.2%, dijangka capai sasaran 247,800 unit

    Jualan Perodua untuk 2022 sudah lebih 200,000 unit; naik 51.2%, dijangka capai sasaran 247,800 unit

    Berbaki dua bulan untuk menamatkan tahun 2022, Perodua mengumumkan bahawa jualan kumulatif tahunannya iaitu dari Januari hingga Oktober kini sudahpun melepasi paras 200,000 unit! Secara spesifiknya, sehingga bulan lalu jenama automotif nasional kedua itu sudahpun mencatatkan pendaftaran sejumlah 222,203, selepas menjual sebanyak 25,849 unit kenderaan sepanjang Oktober 2022.

    Jualan yang dicatatkan tahun ini juga naik sehingga 51.2% berbanding 146,951 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2021. Manakala untuk jualan bulanan Oktober 2022 pula naik 5% berbanding 24,626 unit yang dicatatkan pada September 2022.

    “Terdapat jurang pada jualan antara Jun dan Ogos tahun lalu berikutan penutupan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk membendung kes Covid-19.

    “Kami menjangkakan momentum pendaftaran akan terus meningkat sehingga akhir tahun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Jualan Perodua untuk 2022 sudah lebih 200,000 unit; naik 51.2%, dijangka capai sasaran 247,800 unit

    Dari angka keseluruhan tersebut, sedan segmen-A Bezza merupakan model paling laris bagi Perodua dijual sebanyak 6,768 unit sepanjang Oktober 2022. Ia diikuti Myvi dengan 6,130 unit dan Axia dengan 4,989 unit.

    Untuk produksi kilang pula, Perodua telah menghasilkan sebanyak 22,974 unit kenderaan pada Oktober, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dikeluarkan adalah sebanyak 229,811 unit antara Januari dan Oktober tahun ini.

    “Kami merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan jumlah jualan kami kerana kami cuba melepasi sasaran jualan yang ditetapkan sebelum ini bagi tahun 2022 dan ini akan dapat mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

    Beliau menambah bahawa prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan telah memberi kesan positif kepada ekosistem automotif tempatan, memandangkan secara purata 95% alat ganti Perodua adalah diperoleh secara tempatan.

    Jualan Perodua untuk 2022 sudah lebih 200,000 unit; naik 51.2%, dijangka capai sasaran 247,800 unit

    “Malah, kadar penyetempatan yang tinggi juga telah membantu melindungi Perodua daripada turun naik pasaran pertukaran matawang asing pada masa ini. Hasrat kami adalah untuk menambah baik lagi rantaian bekalan automotif tempatan kerana dengan adanya industri ini, ia memberi banyak manfaat kepada Perodua dan para pengguna,” kata Dato’ Sri Zainal.

    Sebelum ini Perodua telahpun mengumumkan bahawa ia mensasarkan jualan sebanyak 247,800 unit untuk 2022. Ini bermakna untuk tempoh dua bulan berbaki, Perodua perlu menjual sekitar 26,000 unit kenderaan lagi. Jadi berkemungkinan jualan Perodua untuk tahun ini mungkin akan melebihi sasarannya kerana syarikat berkenaan lazimnya menjual lebih 20,000 unit kenderaan sebulan dengan momentum yang ada sekarang.

    Sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini juga sebenarnya 30.2% lebih tinggi berbanding rekod 190,291 unit yang dijual sepanjang 2021, dan 12.6% lebih tinggi berbanding rekod jualan 220,163 unit yang dicatatkan sepanjang 2020. Jika sasaran tahun ini dapat dicapai, Perodua bakal memecahkan rekod jualan tahunan tertingginya sendiri iaitu 240,341 unit yang dicatatkan pada 2019.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025