Sekali lagi Haval H6 dikesan di Malaysia, kali ini tanpa sebarang balutan penyamaran. H6 ini merupakan antara model yang dijangka akan dilancarkan oleh Great Wall Motors Malaysia, selain Haval Jolion dan Ora Good Cat.
Berdasarkan lencana ‘HEV’ pada badannya, unit merah dan biru yang dilihat menerusi foto ini menampilkan penjana kuasa hibrid. H6 Hybrid pertama kali diperkenalkan di Thailand pada Mac lalu, dengan penawaran dua varian, menurut Headlightmag. Bagi pilihan asas, HEV Pro, berharga 1.149 juta baht (RM142,286), sementara model tertinggi HEV Ultra pula ditawarkan dengan harga 1.249 juta baht (RM154,670).
Penjana kuasa H6 Hybrid ini merupakan gandingan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan yang mampu menghasilkan output mencecah 167 PS dan tork 285 Nm. Penjana kuasa ini turut dibantu oleh motor elektrik dengan kuasa 177 PS (130 kW), sekaligus menghasilkan kuasa hingga 243 PS dan 530 Nm.
Kedua-dua kereta di dalam foto ini berkongsi kelengkapan yang sama, termasuk roda 19-inci, kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci, upholstery kombinasi kulit/fabrik, sistem bantuan pemandu termaju (termasuk penderia radar hadapan).
Untuk makluman anda, wajah hadapan yang anda lihat di sini berkongsi dengan varian Plug-in Hybrid yang menampilkan gril yang menyerlah dengan garisan krom. Di mana versi hibrid dan enjin pembakaran dalaman bagi H6 sepatutnya menerima gril paten berlian.
Walau bagaimana pun, media China melaporkan terdapat model edisi istimewa H^ didedahkan di negara berkenaan pada tahun lalu, dikenali sebagai Supreme Plus, yang hadir dengan wajah Plug-in Hybrid tetapi ditawarkan dengan penjana kuasa hibrid dan bukan-hibrid. Kita akan mengetahui lebih banyak perinciannya apabila ia dilancarkan kelak. Untuk pasaran Malaysia, H6 ini bakal bersaing dengan SUV segmen-C yang lain termasuk Honda CR-V, Mazda CX-5 dan Proton X70.
Minggu lalu arena sukan permotoran negara dikejutkan dengan berita sedih di mana seorang pelumba drag tempatan, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin (lebih mesra dengan panggilan Apeh Jamal) meninggal dunia setelah Mitsubishi Lancer Evolution IX berkuasa lebih dari 1,000 hp yang dipandunya dalam perlumbaan drag Battle of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Drag Antarabangsa Gong Badak, Terengganu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok berhampiran litar berkenaan.
Justeru, wakil Persekutuan Automobil Dunia (FIA) di Malaysia iaitu Motorsports Association of Malaysia (MAM) hari ini mengeluarkan kenyataan berhubung insiden tersebut. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MAM terlebih dahulu meluahkan rasa dukacitanya terhadap insiden yang menimpa Apeh Jamal pada perlumbaan yang berlangsung Sabtu lalu.
Namun MAM menegaskan bahawa penganjuran perlumbaan BOTK 2022 tersebut sebenarnya tidak mendapat kelulusan dan dikawal-selia (sanctioned) oleh pihaknya.
“Sepertimana semua sedia maklum, sukan permotoran merupakan suatu sukan yang merbahaya. Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran baik selaku penganjur, pemilik litar atau pelumba berkewajipan untuk mematuhi segala kaedah-kaedah, peraturan-peraturan, protokol-protokol yang ketat yang telah ditetapkan demi memastikan tahap keselamatan yang tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirya memberi peluang kepada pelumba dan penonton untuk menikmati acara perlumbaan tersebut.
“Acara-acara yang dikawal-selia (sanctioned events) oleh pihak MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak FIA dan FIM berkaitan dengan penganjur-penganjur, kemudahan-kemudahan, peserta-peserta dan kenderaan-kenderaan. Acara-acara sukan permotoran yang dikawal-selia akan memberi parameter yang jelas kepada penganjur-penganjur dan peserta-peserta mengenai persekitaran perlumbaan yang selamat,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh MAM.
“Malangnya, Acara Drag BOTK 2022 tidak diluluskan dan dikawal-selia oleh pihak MAM. Untuk tahun 2022, kemudahan Litar Gong Badak hanya dibenarkan oleh pihak MAM untuk acara litar 2 roda iaitu, Petronas Malaysian CubPrix, dengan keperluan keselamatan tambahan. Pihak MAM tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk lumba drag di litar Gong Badak,” tambah persatuan itu lagi.
MAM turut menegaskan bahawa penganjur-penganjur perlumbaan amat digalakkan untuk mendapat kelulusan dan kawal selia dari pihaknya, dan menambah bahawa kelulusan dan pengawalan-selia mana-mana acara adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah pihak FIA, FIM serta Peraturan-Peraturan Pertandingan Kebangsaan (NCR), yang dikenakan, dipantau dan harus dipatuhi tanpa kompromi.
Persatuan tersebut turut menyatakan bahawa pihaknya telahpun mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia & Sukan (KBS) sebelum ini berkenaan dengan spesifikasi kemudahan perlumbaan drag yang diluluskan oleh pihak FIA dan FIM. Antara spesifikasi-spesifikasi berkenaan adalah termasuk kemudahan penyelenggaran yang murah dan rendah serta keselamatan yang tinggi bagi membolehkan sukan perlumbaan drag membangun dan berkembang selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob baru-baru ini.
“MAM juga telah dijemput oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk meneliti kejadian tersebut dan yang lebih penting, untuk membincangkan dengan lebih lanjut mengenai keperluan bagi memastikan keselamatan litar diperbaiki bagi mengelak kejadian sedemikian berulang. MAM akan terus mempromosikan acara-acara yang dikawal-selia untuk menjadikan sukan permotoran lebih selamat dari segi semua disiplin di dalam Sukan Permotoran,” kata MAM.
Selepas dibuka untuk tempahan sejak Jun lalu, UMW Toyota Motor (UWMT) akhirnya melancarkcan secara rasmi model MPV kompak tujuh-tempat duduk Toyota Veloz untuk pasaran tempatan. Hanya satu varian ditawarkan, ia dijual pada harga RM95k.
Seperti yang ramai sudah maklum, Veloz ini merupakan pengganti kepada model Avanza yang sudah terlalu lama berada dalam pasaran. Dan, Veloz juga merupakan “saudara” kepada Perodua Alza 2022 yang diperkenalkan Julai lalu. Dan untuk itu, antara keduanya berkongsi banyak persamaan.
Sama seperti Alza, Toyota Veloz menggunakan reka bentuk dan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama, serta berkongsi sistem janaan kuasa — enjin 2NR-VE 1.5 liter empat—silinder NA berkuasa 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. Transmisi juga sama, D-CVT automatik. Ini model kedua selepas Aruz/Rush yang menjadi model “kembar” yang dikeluarkan oleh dua jenama ini untuk pasaran tempatan.
Walaupun nampak sama, tapi sebenarnya tak serupa. Terdapat banyak perbezaan antara kedua model terbabit. Pertama wajah depannya berlainan. Veloz hadir dengan rekaan hud yang lain. Lampu utama pula lebih tirus dengan adanya jalur position light/lampu isyarat di dalamnya, serta tulisan Veloz di bahagian tepi lampu — ini sentuhan-sentuhan rinci yang menjadikan Veloz lain berbanding Alza yang sudah kita lihat sebelum ini.
Penting juga untuk disebut, Veloz datang dengan lampu DRL LED yang terletak di sudut bamparnya. Ini ciri yang khusus untuk Veloz pasaran Malaysia: bahkan versi di Indonesia juga tiada ciri DRL yang sama ini. Bamparnya juga hadir dengan rekaan yang tak sama, dengan yang paling ketara kelihatan ialah kemasan krom T yang ada. Rekaan bukaan serta perincian bahagian gril juga berbeza, dengan Veloz tampil dengan kemasan hitam berkilat yang luas.
Dari sisi, Veloz hadir dengan rim 17-inci (manakala bagi Alza AV hanya dengan saiz 16-inci). Panel bahagian fendernya juga berbeza rekaan yang ditampilkan terutama untuk bahagian lengkungnya: lengkung belakang diberi kemasan body cladding plastik dalam warna badan. Jadi, kalau ada yang berangan untuk convert wajah Alza kepada Veloz atau sebaliknya, itu akan memerlukan banyak kos.
Bahagian cermin sisinya juga tak sama — selain kamera, Veloz turut menempatkan lampu dengan pancaran logo ke bahagian permukaan tanah. Jalur krom dari lampu depan juga boleh dilihat sambungannya sampai ke belakang. Untuk visor tingkap, Veloz datang standard dengan aksesori berkenaan dan tidak perlu ditambah berasingan. Tidak lupa, ciri bukaan pintu keyless untuk Veloz juga boleh dilakukan untuk sebelah penumpang, tidak hanya untuk sebelah pemandu seperti Alza.
Satu lagi pilihan yang penting untuk disebutkan, Veloz ditawarkan untuk dimiliki dalam versi dua tona warna: warna badan dan bumbung hitam, dan pilihan ini akan memerlukan pelanggan menambah kos sebanyak RM1,300. Di bumbungnya, landasan yang kelihatan itu bukan hiasan semata-mata: ia boleh digunakan dan mampu tanggung beban sehingga 75 kg. Seperkara lagi, Veloz dan Alza berbeza ketinggian dari tanah — Veloz ada kelebihan 30 mm ketinggian dengan 190 mm jarak dari tanah, sementara Alza berada di kedudukan lebih rendah dengan 160 mm.
Di belakang, Lampu LED dalam jalur kelebaran penuh membezakan Veloz daripada Alza. Tulisan nama Veloz juga lebih besar dan mudah kelihatan, terletak di bahagian tengah. Di belakang ini, sebagai pilihan dengan tambahan kos RM380 adalah ciri perakam video digital (DVR) turut ditawarkan. Bampar juga sama menempatkan perbezaan, dengan bahagian kemasan bawah pada Veloz ini rekaannya berlekuk, manakala hanya rata pada Alza AV.
Ruang dalam juga tidak terlepas daripada perbezaan. Pertama, kombinasi warna hitam dan kelabu cerah pada Veloz turut melihatkan bahagian soft touch seperti pada bahagian glove box dan juga perehat lengan di panel pintu. Di panel yang sama dan juga konsol tengah turut dihadirkan ciri lampu suasana untuk menjadikan kabin rasa lebih premium.
Skrin sembilan-inci di tengahnya pula selain menggunakan sistem antaramuka yang lebih cantik dan lancar, turut datang dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Ini menjadi satu kelebihan pada Veloz. Sedikit di bawahnya terletak suis kawalan pendingin yang juga berbeza — Veloz ada ciri kawalan automatik untuk pendinginnya, dengan rekaan juga berlainan.
Satu lagi kelebihan Veloz, di konsol tengahnya juga disediakan ruang pengecasan tanpa wayar. Namun, satu kekurangannya yang lain adalah Veloz tidak ada suis central lock di tengah-tengah: kawalan untuk kunci pintu perlu dilakukan terus melalui tombolnya di bahagian pembuka pintu di panel sisi.
Lagi ciri yang menyenangkan untuk Veloz adalah stereng dengan larasan teleskopik – yang pada Alza hanya diberikan larasan atas dan bawah, tiada ciri untuk mendekatkan stereng kepada pemandu. Berbanding Alza, di stereng Veloz tiada butang untuk mod kamera: ini diganti ke dalam sistem skrin sentuhnya. Selain itu, kerusi Veloz adalah daripada campuran balutan kulit dan fabrik yang dalam kebanyakan waktu, dirasakan lebih selesa.
Di tempat duduk belakang, rekaan poket di belakang penyandar kerusi depan ada sedikit perbezaan untuk Veloz. Ia juga tampil dengan rekaan penyandar tersebut yang melengkung ke dalam, memberikan sedikit lagi ruang tambahan untuk merehatkan kaki penumpang belakang.
Selebihnya, saiz dan ukuran Veloz adalah sama identik dengan Alza, dengan ukuran berikut: 4,425 mm panjang dan 1,730 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,750 mm. Dari segi keselamatan juga Veloz tampil dengan ciri yang sama dengan Alza. Ciri seperti AEB, amaran penukaran lorong serta kawalan melayar adaptif ada disertakan sekali.
Untuk perincian lanjut tentang spesifikasi Toyota Veloz 2022, boleh rujuk di carbase.my.
Ketika Great Wall Motors (GWM) mengumumkan jenama ini kembali ke pasaran Malaysia pada Julai lalu, kami dimaklumkan bahawa produk pertama syarikat ini bakal dilancarkan pada suku ke-empat tahun ini. Antara model yang dirancang bakal dilancarkan termasuklah Ora Good Cat EV dan dua model SUV Haval iaitu H6 dan Jolion.
Dan sekali lagi, SUV segmen-B Jolion dikesan di Malaysia, bagai memberi petanda ia bersedia untuk dilancarkan. Unit berwarna biru tanpa balutan penyamaran ini kelihatannya ada lencana ‘HEV’ menandakan ia adalah janaan hibrid, berbanding model yang pernah dikesan sebelum ini dengan warna putih dan tanpa lencana tersebut.
Untuk makluman, Jolion Hybrid telah pun diperkenalkan di peringkat global di Thailand pada November tahun lalu. Bagi spesifikasinya, SUV ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang dipadankan bersama transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan dengan motor elektrik. Jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil mencapai 190 hp dan tork 375 Nm.
Bagi pandangan visualnya, varian hibrid dibezakan dari model bukan-hibrid berdasarkan kemasan gril (digelar Star Matrix) dan serlahan biru pada lampu utamanya. Ciri lain masih kelihatan mirip. SUV ini juga didatangkan dengan roda 18-inci, upholstery kulit, pendingin hawa automatik (dengan corong belakang), kluster instrumen tujuh-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh 10.25-inci.
Di Thailand, Jolion Hybrid didatangkan dengan kelengkapan standard termasuk enam beg udara, kawalan kestabilan dan sistem bantuan pemandu yang merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, amaran pelanggaran belakang, kepekaan trafik lintasan belakang dan brek, bantuan mengundur dan bantuan parkir untuk letak kereta secara selari, menegak atau pun pepenjuru (diagonal).
Menurut Headlightmag, Jolion ditawarkan dengan tiga varian – HEV Tech, HEV Pro dan HEV Ultra – harganya dari 879,000 hingga 999,000 baht (RM109,077 hingga RM123,968).
Apabila Jolion dilancarkan ini di sini kelak, ia bakal memberikan persaingan buat Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, Peugeot 2008 dan Mazda CX-30 yang telah pun berada di pasaran. Buat masa ini, kami sedang menantikan GWM Malaysia memberikan perincian lanjut mengenai model ini, termasuk bila ia akan dilancarkan dan harganya.
Etiqa telah mengumumkan bahawa mereka kini sudah ada menyediakan perlindungan insurans dan takaful untuk pengecas kenderaan elektrik (EV) di rumah. Perlindungan ini ditawarkan sebagai satu tambahan percuma (sehingga 31 Mac 2023) bagi polisi kenderaan EV kuasa bateri atau plug-in hybrid (PHEV) persendirian yang baru didaftarkan.
Turut ditawarkan adalah perlindungan berasingan untuk pengecas EV rumah, di bawah insurans dan pelan takaful All Risks. Ia disediakan untuk pemilik EV yang membeli pengecas EV rumah secara berasingan dengan insurans/takaful kenderaan mereka.
Perlindungan tambahan pengecas EV rumah ini memberikan bayaran balik sehingga RM12,000 untuk membaiki atau mengganti pengecas EV rumah anda sekiranya terdapat kerosakan akibat kebakaran, kecurian, kilat, letupan, tangki atau paip yang melimpah, ribut, gempa bumi serta banjir.
Pada akhir Ogos lalu, Indonesia menyuarakan kenyataan bahawa negara tersebut mungkin terpaksa menaikkan harga bahan api hingga 30% dan subsidi sedia ada bakal dikurangkan. Perkara ini telah membangkitkan kemarahan rakyatnya sendiri yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana ia bakal meningkatkan kos sara hidup.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri 1 Badan Usaha Milik Negara, Pahala Mansury berkata, penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara lebih meluas di negara berkenaan dilihat mampu mengurangkan bajet subsidi bahan api kerajaan, laporan Antara News Agency.
“Dengan orang ramai berhenti menggunakan kenderaan berkuasa bahan api dan bertukar kepada EV, kita boleh menjimatkan subsidi kerajaan berkaitan bahan api,” katanya ketika ditemuramah pihak media tempatan di Bali pada Isnin lalu.
Jelas beliau, pembangunan ekosistem EV di Indonesia adalah penting. Di mana EV akan dapat mengurangkan pergantungan terhadap bahan api, dan seterusnya akan membolehkan Indonesia mampu mengurangkan import dan subsidi bahan api.
“Semua orang akan mendapat manfaat jika Indonesia dapat membangunkan ekosistem kenderaan elektrik,” tambahnya.
Perkara ini senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi, yang menyatakan sokongan terhadap usaha untuk meneruskan peralihan kenderaan bahan api fosil kepada EV. Ia bermula dengan sasaran untuk mempunyai sekitar dua juta motosikal elektrik di Indonesia menjelang tahun 2025.
Dalam pada itu, beliau turut menyenaraikan tiga aspek penting yang perlu dipertimbangkan dan terus ditambah baik, iaitu kualiti bateri, mempercepatkan pembangunan stesen pengecasan atau tempat menggantikan bateri yang boleh diperoleh dengan mudah, dan kualiti enjin kenderaan elektrik.
Budi berkata, peningkataan bilangan penggunaan motosikal elektrik juga mampu melestarikan alam sekitar daripada pencemaran udara, dan ia juga dijangka membantu dalam mengurangkan subsidi bahan api yang jumlahnya kini mencecah $502 trilion rupiah.
EP Manufacturing Berhad (EPMB) dalam satu kenyataan memberitahu bahawa syarikat telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Saean Group dari California, untuk pembangunan bersama serta pengeluaran kenderaan elektrik empat tayar.
Kerjasama ini juga bakal menyaksikan EPMB masuk ke dalam dunia kenderaan elektrik dengan sasaran mengeluarkan model segmen A lima pintu, empat tempat duduk, serta menghala kepada pengeluaran kenderaan elektrik kegunaan berat untuk sektor pembinaan.
Dalam perjanjian tersebut, Saean akan menyediakan pengetahuan teknikal serta rekaan untuk EV yang akan dibangunkan, sementara EPMB pula akan memberikan sokongan melalui sumber serta informasi pasaran untuk projek EV tersebut, serta “berusaha keras untuk pengeluaran, pembekalan serta jualan.”
Saean adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2013, dan selain kereta EV segmen A lima pintu, empat tempat duduk yang dinyatakan tadi, juga memiliki lebih daripada 120 paten yang berkaitan dengan EV melalui pusat R&D mereka di Korea Selatan.
Dalam barisan kenderaan elektrik yang ditawarkan oleh Saean, paling hampir sebagai EV kompak adalah Wid-U, seperti yang ditunjuk dalam gambar. Walaubagaimanapun, ia cuma boleh menempatkan dua orang dan hanya mempunyai dua pintu. Model ini dipacu oleh motor elektrik 40 Nm, dengan bateri 15 kWh dan boleh mencapai kelajuan maksimum 80 km/j.
Auto Car Expo (ACE) anjutan paultan.org bakal kembali tahun ini pada hujung minggu 5-6 November 2022 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Untuk edisi kali ini, beberapa penaja juga turut ikut serta , seperti Petron, Yinson GreenTech dan myTukar.
Tidak hanya akan menampilkan barisan model kenderaan baru dari pelbagai jenama dan pengedar rasmi, ACE 2022 juga akan menampilkan model-model kereta terpakai dari inventori myTukar — sejumlah 50 buah kereta terpakai yang berkualiti tinggi akan dijual ketika acara ini kelak (senarainya lebih panjang di laman rasmi myTukar). Kelebihannya, kereta-kereta ini adalah stok tersedia, dan tidak memerlukan tempoh menunggu.
Akan turut disediakan adalah penilaian kenderaan di lokasi sekiranya anda berhasrat untuk membeli kereta lain dan trade-in kereta lama, dan ia hadir dengan tempoh harga tidak berubah selama 30-hari. Pastikan anda bawa geran kereta sedia ada. Dengan trade-in, anda akan menerima rebat segera bernilai RM1,000.
Pembelian kereta terpakai anda dari myTukar akan diserahkan ke rumah dalam tempoh seminggu, lengkapi dengan jaminan pulangan wang selama lima hari. Pembelian tersebut juga datang dengan jaminan setahun dan dua slot servis penyelenggaraan percuma.
Untuk ACE 2022, penganjur akan menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.
Pengunjung ACE 2022 juga boleh memandu uji dan membeli kenderaan ketika acara, sama ada kereta baru atau terpakai, dan bakal ada banyak tawaran hebat diberikan. Lebih banyak perincian tawaran yang akan kami umumkan dalam masa terdekat, jadi terus perhatikan ruang ini. Tandakan kalender, dan jumpa hujung minggu 5-6 November 2022 di SCCC!
Ketahui lebih lanjut tentang ACE 2022 di sini, dan klik di sini untuk maklumat terperinci berkaitan promosi kereta terpakai myTukar.
Unit prototaip untuk MPV tujuh-tempat duduk Toyota Innova generasi ketiga telah dilihat sedang diuji di atas jalan raya awam di India baru-baru ini, dan ia sempat dirakam oleh pemilik saluran YouTube Naveen Gowda. Menurut laporan Autocar India, Innova generasi seterusnya ini dijangka bakal membuat kemunculan sulung di Indonesia bulan hadapan, dan turut akan dilancarkan di India tahun ini juga.
Portal berkenaan turut menyebut bahawa Innova baharu ini tidak lagi menggunakan casis ladder frame pacuan roda belakang seperti model generasi sedia ada, tetapi diganti dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) pacuan roda hadapan dari versi TNGA-C yang jauh lebih moden. Dengan platform ini, Innova dijangka bakal memberikan ruang dalaman lebih luas dengan lantai belakang yang rata dan lebih rendah
Bagi model generasi baharu ini, ia akan dikenali sebagai Innova Hycross di India, mengantikan Innova Crysta generasi sedia ada. Autocar India menyatakan bahawa Innova Hycross ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid, menjadi model kedua hibrid Toyota diperkenalkan di negara berkenaan tahun ini selepas SUV Toyota Hyryder.
Menerusi video yang disiarkan ini, boleh dilihat Innova generasi baharu berkenaan masih menampilkan bonet hadapan yang panjang. Ia juga diberikan lampu hadapan tirus dengan gril yang tinggi, mungkin akan menampilkan rupa seakan Corolla Cross versi lebih besar. Lampu nyalaan siang melintang turut dapat dilihat pada bampar MPV ini.
Profil sisi Innova ini juga nampak lebih seperti SUV berbanding MPV, tetapi bentuknya tidak canggung seperti model sebelumnya yang berkongsi casis ladder frame dengan trak pikap Toyota Hilux. Manakala di belakang, ia diberikan lampu ‘2-piece’ yang disusun melintang, serta spoiler bumbung yang nampak disekalikan dengan bingkai kiri dan kanan cermin belakang.
Video ini juga memperlihatkan bahawa Innova turut menerima skrin infotainmen berdiri sendiri pada bahagian tengah papan pemuka dengan saiz yang agak besar sehingga boleh dilihat dari sebelah luar, yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana model Toyota di negara berkenaan sebelum ini, dakwa Autocar India.
Portal berkenaan juga menjangkakan Innova Hycross ini bakal menyajikan kelengkapan lebih mewah dari Innova Crysta. Ia termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya untuk varian lebih tinggi, kamera 360-darjah, cermin suria, pengecas telefon pintar tanpa wayar, papan pemuka dengan bahagian sentuhan lembut, brek parkir elektronik dan juga tempat duduk kapten dengan fungsi ottoman pada baris kedua.
Laporan berkenaan turut menyebut bahawa tiada varian dengan enjin diesel ditawarkan untuk Innova Hycross ini di India di mana ia hanya hadir dengan enjin petrol 2.0 liter bersama sistem hibrid hampir sama ditawarkan pada Toyota Hyryder. Namun, dijangka pelanggan masih boleh membeli Innova dengan enjin diesel kerana model Innova Crysta diesel akan terus dijual bersama Innova Hycross di bilik pameran.
Di Indonesia, laporan sebelum ini menyebut bahawa Innova generasi baharu tersebut mungkin akan diperkenalkan pada 22 November nanti, dan bakal diberi nama Innova Zenix atau mungkin hanya akan dikenali sebagai Toyota Zenix bagi varian paling tinggi.
Ia adalah untuk mengikut apa yang telah dibuat pada MPV tujuh-tempat duduk yang lebih kecil iaitu Toyota Avanza. Buat masa sekarang varian tertinggi Avanza di Indonesia hanya dikenali sebagai Toyota Veloz dan bukan lagi Toyota Avanza Veloz seperti generasi sebelumnya. Ini bagi membolehkan Avanza dipisahkan dengan Veloz bagi memberikan imej lebih premium pada Veloz, seolah-olah ia tiada kaitan dengan Avanza.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Audi Q8 2022 telah pun dibawa masuk ke pasaran tempatan selepas beberapa hari PHS Automotive Malaysia (PHSAM) dilantik sebagai pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia.
Untuk itu, kami membawakan galeri foto SUV bersaiz besar ini yang ditetapkan harganya mencecah RM867,422 atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had, penyelenggaran percuma selama tiga-tahun serta bantuan tepi jalan selama lima-tahun.
Untuk Malaysia, Q8 dijanakan oleh enjin petrol V6 turbo 3.0 liter bersama padanan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan empat roda Quattro, menghasilkan 335 hp dari 5,200 hingga 6,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,370 hingga 4,500 rpm.
Enjin ini juga dipadankan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt yang boleh beroperasi sewaktu meluncur pada jarak jauh serta bergerak perlahan sehingga kelajuan 22 km/j. Daripada aspek prestasi, Q8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.
Perubahan yang diperkenalkan untuk model naik taraf ini termasuklah roda lima-jejari W-style 21-inci yang lebih besar berbanding unit sebelum ini. Pakej S Line juga terus diberikan secara standard untuk SUV ini, yang kini tampil dengan kemasan hitam untuk gril bingkai tunggal dan pakej Black Appearance (kemasan luaran dan tingkap hitam) untuk rupa yang lebih dinamik.
Sementara itu, Audi Pre-Sense di bahagian belakang turut diberikan sebagai tambahan kepada unit Adaptive Cruise Control di hadapan sedia ada. Tempat duduk kini menggunakan unit sport larasan 12-arah dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu yang sebelum ini dengan larasan 18-arah yang turut didatangkan bersama fungsi liang udara.
Selain daripada itu, kit lain masih kekal sama seperti model pra-peningkatan, termasuk suspensi udara adaptif, Drive Select, lampu utama HD matrix LED , upholstery kulit Valcona, sistem infotainmen MMI navigation plus dengan MMI touch response, sistem bunyi Bang & Olufsen dan kokpit maya Audi.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim mengesahkan pihaknya akan mengetatkan pemeriksaan terhadap kenderaan sukan permotoran di negara ini. Ia adalah mengelakkan kemalangan di litar lumba berulang seperti mana yang berlaku hingga mengorbankan seorang pelumba drag di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, Sabtu lalu.
Menurut Zailani, menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pihaknya juga akan memastikan setiap pelumba menitikberatkan aspek pemeriksaan teknikal kenderaan sebelum menyertai perlumbaan, laporan Harian Metro.
“Sekarang sudah ada kelulusan standard terhadap sukan drif dan drag termasuk spesifikasi kenderaan. Sebelum ini kita tidak pernah dengar kes kenderaan drag terbabit kemalangan sebegini. Bagi kes berlaku di Terengganu itu, kita akan semak dengan PDRM yang menyiasat dari segi pemanduan pemandu dan keadaan jalan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambah beliau, JPJ pada setiap masa tidak pernah memandang ringan khususnya sukan permotoran jenis drif dan drag yang sememangnya berbahaya dan berisiko berlaku kemalangan.
Pada petang Sabtu lalu, seorang pelumba drag, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin atau dikenali sebagai Apeh Jamal maut sewaktu menyertai perlumbaan drag Battle of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Permotoran Terengganu. Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas merempuh pokok di tepi litar.
MotoGP bakal kembali dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas ia ‘direhatkan’ akibat penularan Covid-19. Bakal dianjurkan pada 21 hingga 23 Oktober ini, perlumbaan Petronas Grand Prix 2022, bagi gelaran di Malaysia ini, ditaja oleh Petronas (selepas mengambil alih tajaan daripada Shell). Malaysia bakal menjadi hos bagi FIM MotoGP World Championship sehingga 2024 selepas SIC menandatangani kontrak baharu dengan Dorna Sports.
Bagi anda yang merancang untuk menonton perlumbaan ini di hadapan mata, dan malas mahu memandu ke SIC, jangan bimbang, Rapid KL turut menawarkan perkhidmatan bas dari/ke bandaraya ke/dari Sepang, dan tiket telah mula dijual sejak 6 Oktober lalu.
Bas terbabit akan mengambil penumpang dari KLCC dan KL Sentral, serta KLIA2. Tiket untuk kedua-dua stesen pengambilan berharga RM20 untuk perjalanan sehala dan RM35 untuk pergi-balik. Manakala jika dari KLIA2, tiketnya hanyalah RM12 sehala.
Klik untuk besarkan
Untuk ketiga-tiga hari tersebut, bas pertama akan bergerak dari bandaraya pada jam 8 pagi, sementara bas terakhir pula akan ke Sepang pada jam 1 tengahari. Untuk perjalanan pulang ke KL dari Sepang, bas pertama akan bergerak pada 4 petang dan bas terakhir pula pada 7 malam. Kekerapan ketibaan bas adalah setiap 30 minit.
Untuk yang membeli tiket perjalanan, bagi stesen KLCC, anda boleh menunggu bas ini di perhentian bas di Jalan Ampang, berhadapan dengan Avenue K. Manakala bagi stesen KL Sentral, perhentiannya ialah berdekatan dengan Balai Ketibaan ERL berhadapan dengan Sooka Sentral. Untuk KLIA2 pula, tunggu di Pintu 3 di hab pengangkutan Tingkat 1.
Tiket KL-SIC sudah boleh dibeli di stesen LRT utama (KLCC, KL Sentral, Masjid Jamek, Pasar Seni) dan juga kaunter kad konsesi Pasar Seni. Manakala tiket KLIA2-SIC pula akan dijual pada minggu perlumbaan iaitu di Kaunter 10 di hab pengangkutan.
Lampu pada kenderaan bukan hanya berfungsi untuk kita menyuluh laluan gelap di hadapan, malah ia juga berfungsi untuk memberitahu pemandu lain kedudukan kenderaan yang sedang kita pandu atau tunggang. Video yang kami siarkan ini merupakan contoh mengapa anda perlu pastikan lampu belakang anda berfungsi pada waktu malam atau di mana-mana kawasan gelap.
Dalam video yang dimuat naik di laman Twitter ini, dapat dilihat sebuah kereta yang dipandu laju merempuh sebuah motosikal penghantar makanan yang ditunggang di tengah-tengah lorong lebuhraya berkenaan. Anda boleh lihat kelibat motosikal dengan lampu belakang yang tidak berfungsi berkenaan hanya kelihatan apabila kereta tersebut berada betul-betul di belakangnya.
Dan dengan kelajuan kereta yang dipandu agak laju tersebut, agak mustahil untuk mengelak motosikal berkenaan seterusnya terjadi rempuhan yang agak kuat.
Walau bagaimanapun, ada beberapa poin yang kita boleh lihat disini untuk diambil pengajaran, bukan setakat motosikal yang tidak mempunyai lampu belakang. Untuk lebih keselamatan, penunggang motosikal sememangnya digalakkan untuk memakai jaket dengan fungsi pembalik cahaya.
Manakala untuk pemandu, kurangkan kelajuan khususnya ketika keadaan gelap seperti ini; kita tidak tahu apa yang berada di hadapan, kalau tidak motosikal tanpa lampu mungkin ada lubang di tengah jalan, atau mungkin ada serpihan tayar celup dari lori yang boleh menyebabkan kemalangan.
Ingatlah, mencegah lebih baik dari mengubati, amalkan pemanduan dan tunggangan defensif. Sekiranya sudah terjadi perkara seperti ini, tidak guna lagi untuk menyalahkan sesiapa.
Mitsubishi telah menyiarkan teaser untuk kereta konsep baharunya yang bakal didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Vietnam pada 19 Oktober ini; seminggu sebelum Vietnam Motor Show 2022 berlangsung.
Imej teaser berkenaan walau bagaimanapun tidak mendedahkan banyak maklumat. Ia cuma menunjukkan bahagian ‘hidung’ kereta konsep berkenaan, yang menonjolkan logo ‘tiga-berlian’ Mitsubishi di dalam bingkai berbentuk tiga-segi.
Namun ada laporan menyatakan bahawa kereta konsep baharu ini merupakan prebiu untuk model SUV segmen-B akan datang Mitsubishi, yang akan bersaing dengan model-model seperti Hyundai Creta, Kia Seltos, Nissan Kicks, Honda HR-V, Mazda CX-3 dan sebagainya.
Mitsubishi ASX facelift
Menurut laporan AutoPro, Mitsubishi memilih Vietnam untuk mendedahkan model konsep terbahru ini kerana kejayaan Xpander di pasaran berkenaan. Selepas empat tahun dijual di Vietnam, MPV tujuh-tempat duduk tersebut telah terjual sebanyak lebih dari 65,000 unit.
Bulan lalu Mitsubishi baru sahaja mendedahkan SUV segmen-B ASX generasi baharu di Eropah. Walau bagaimanapun model yang sebenarnya Renault Captur tetapi diberikan logo Mitsubishi berkenaan mungkin hanya akan dijual untuk pasaran Eropah. Manakala pasaran lain termasuk Australia masih akan menerima ASX facelift generasi sebelumnya.
Jadi ada kemungkinan model konsep yang akan didedahkan ini adalah model pengganti ASX yang sudah pun berada lebih 12-tahun dalam pasaran. Model ini dilihat agak penting untuk Mitsubishi kerana SUV segmen-B merupakan pilihan yang agak popular untuk pengguna di rantau ASEAN.
Apa pun, kita tunggu sahaja kemunculan rasmi model konsep terbaharu dari Mitsubishi ini pada hari Rabu nanti!
Sejak hampir sedekad ini, kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita lebih cenderung memilih kenderaan utitili sukan atau SUV. Malahan kecenderungan ini menambahkan langkah syarikat pengeluar kenderaan untuk lebih giat mengeluarkan model SUV memandangkan permintaannya yang kian memberangsangkan.
Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna model sedan makin kurang mendapat sambutan, cuma kini ia seakan bukan lagi pilihan utama. Jualan beberapa model sedan di pasaran masih lagi relevan, walau mungkin ada yang tidak sekencang SUV. Antara pengeluar kenderaan yang mempunyai model sedan yang masih relevan di pasaran tempatan termasuklah Toyota menerusi model Corolla generasi ke-12.
Seperti mana yang pernah dilaporkan sebelum ini, namanya telah berubah. Corolla merupakan satu nama yang sangat dikenali diperingkat global. UMW Toyota (UMWT) juga telah menggugurkan penjenamaan Altis dari material pemasaran model ini; sebuah nama yang digunakan untuk kereta segmen-C berkenaan di pasaran Asia Tenggara sejak generasi kesembilan lagi. Namun, lencana Altis masih akan dikekalkan pada kereta in.
Sebelum saya bercerita lebih mendalam mengenai sedan ini, untuk pengetahuan anda, ulasan pandu uji ini adalah atas permintaan khas daripada UMWT yang inginkan pendapat atau perspektif daripada seorang pemandu wanita untuk pemandu wanita yang lain. Tetapi kaum lelaki pun boleh membacanya, manalah tahu ada di kalangan anda yang ingin mencari-cari kereta baharu untuk si isteri.