Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Selepas 12 tahun berada dalam pasaran, akhirnya crossover kompak Mitsubishi ASX muncul dalam versi generasi baharu. Didedahkan oleh Mitsubishi Motors Europe, model ini disebut sebagai model khas yang dibangunkan untuk pasaran Eropah. Walau bagaimanapun, Mitsubishi ada menyebut model ini turut dikenali dengan nama “RVR atau Outlander Sport di pasaran lain”, yang mungkin membayangkan ia akan turut menjadi model global.

    Seperti yang sudah dilaporkan sebelum ini, dan seperti yang jelas anda boleh lihat dalam gambar, Mitsubishi ASX 2023 ini merupakan model rebadge dari Renault Captur, dibangunkan dari platform CMF-B Pakatan Renault-Nisssan-Mitsubishi yang sama.

    Rupa Captur jelas kelihatan pada ASX 2023 ini di mana ia menampilkan bentuk dan garis badan, rekaan “bumbung terapung” dengan kemasan pada tiang-C, lampu hadapan dan belakang dan kemasan seakan liang udara pada fender hadapan yang sama seperti crossover segmen-B dari Renault berkenaan.

    Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Jadi tiada rekaan lampu tirus dan tajam pada muka ASX 2023 seperti model-model terkini Mitsubishi yang lain, namun Mitsubishi masih menggelar rekaan gril hadapan bersama logo “tiga berlian” sebagai rekaan signatur Dynamic Shield mereka. Selain itu, Mitsubishi turut menampilkan rekaan bampar hadapan serta bampar dan diffuser belakang yang lebih unik pada ASX ini.

    Abjad yang membentuk nama “MITSUBISHI” diatur merentangi pintu hatch belakang, namun tiada logo Tiga Berlian diletakkan di atasnya, mungkin kerana tidak ngam dengan kamera belakang yang terletak pada bahagian tersebut (kamera berkenaan berada di tengah logo Renault pada Captur).

    Lima pilihan unit rangkaian kuasa untuk ASX 2023 ini ditawarkan untuk pasaran Eropah, di mana empat daripadanya diberikan sistem elektrifikasi. Pilihan tertinggi adalah dengan sistem plug-in hybrid (PHEV), menggandingkan enjin petrol 1.6 liter, dua motor elektrik (satu sebagai unit alternator-starter dan satu lagi motor utama), kotak gear multi-mode automatik dan bateri 10.5 kWj.

    Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Ia diikuti dengan model hibrid penuh (HEV) menampilkan enjin 1.6 liter, dua motor elektrik dan kotak gear multi-mode automatik yang sama, tetapi dipadankan dengan bateri dengan kapasiti jauh lebih kecil iaitu 1.3 kWj dan tidak boleh dicas semula menerusi pengecas EV.

    ASX 2023 ini ditawarkan dengan model hibrid ringkas menampilkan enjin petrol 1.3 liter turbo dengan sistem suntikan terus. Bagi model ini, ia hadir dengan dua pilihan transmisi, sama ada dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh kelajuan klac berkembar automatik (7DCT).

    Manakala versi paling asas, ASX 2023 ini diberikan enjin petrol 1.0 liter turbo yang dipadankan hanya dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Buat masa sekarang, Mitsubishi masih belum mengumumkan angka prestasi mahupun penggunaan bahan api untuk kesemua model ini, tetapi ia mungkin sama dengan angka-angka pada Renault Captur.

    Hanya satu imej bahagian dalaman ASX 2023 ini disiarkan. Dapat dilihat, ia masih menggunakan rekaan yang sama seperti Captur yang menampilkan skrin pada konsol tengah yang diletakkan secara menegak. Namun ASX menerima rekaan lebih tersendiri pada bahagian tombol dan konsol gear serta diberikan logo Mitsubishi bagi menggantikan logo Renault pada bahagian tengan roda stereng.

    Mitsubishi ASX 2023 didedah di Eropah – kembar Renault Captur; PHEV, Hybrid, mild hybrid & 1.0 Turbo

    Menurut Mitsubishi, Smartphone-link Display Audio (SDA) turut diletakkan pada bahagian tengah panel instrumen digital ASX 2023 ini. Ia membolehkan sistem Multi-Sense pada SDA tersebut dikawal oleh pemandu bagi memilih mod pemanduan yang sesuai. ASX ini juga menampilkan ruang kargo yang luas dan tempat duduk bench belakang yang boleh digelangsarkan memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pengguna, dakwa Mitsubishi.

    Mitsubishi ASX 2023 ini juga datang dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan MI-PILOT, yang menampilkan teknologi bantuan pemanduan satu lorong untuk pemandu yang mengintegrasikan cruise control adaptif (ACC) dan juga bantuan kekal lorong (LCA).

    Model generasi baharu Mitsubishi ASX ini akan diproduksi di kilang Valladolid milik Renault yang terletak di Sepanyol. Ia bakal dijual di pasaran-pasaran Eropah tertentu bermula pada bulan Mac 2023.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor VJU sedia untuk dibida

    JPJ eBid: Siri plat nombor VJU sedia untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VJU, telah mula dibuka bidaan hari ini, 21 September 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 25 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 26 September 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Karamjit Singh kembali ke pentas rali antarabangsa – sertai APRC Danau Toba Rally 2022 minggu ini

    Karamjit Singh kembali ke pentas rali antarabangsa – sertai APRC Danau Toba Rally 2022 minggu ini

    Lagenda sukan rali negara, Karamjit Singh bakal kembali semula ke pentas antarabangsa pada hujung minggu ini dengan menyertai Rally Danau Toba 2022 di Indonesia, yang juga merupakan pusingan kedua Kejurnas Rali Indonesia serta pusingan keempat Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) piala Asia 2022.

    Danau Toba Rally 2022 ini akan berlangsung di salah satu kawasan tumpuan pelancongan Indonesia iaitu di Aek Nauli, Parapat, Sumatera Utara bermula 23 hingga 25 September. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur berkenaan, seramai 62 pelumba telah berdaftar untuk menyertai Danau Toba Rally 2022 kali ini, melebihi kuota awalan yang ditetapkan iaitu hanya 60 peserta.

    Apa yang menarik, Danau Toba Rally 2022 akan menyaksikan pertarungan antara pelbagai jenis jentera rali dari pelbagai spesifikasi seperti Rally2 (R5), AP4, ProtoCars dan pelbagai lagi. Turun sebagai juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori produksi untuk tahun 2002 dan juara APRC tiga kali, kehadiran Karamjit Singh bersama juruarahnya, Jagdev Singh agak menarik perhatian peminat rali di Indonesia pada Danau Toba Rally kali ini.

    Masih belum memperolehi Proton Iriz R5 seperti yang dirancang sebelum ini, Karamjit masih akan memandu Proton Gen2 2.0L Turbo 4WD untuk Rally Danau Toba 2022. Proton Gen2 dengan enjin 4G63T dan sistem 4WD dari Mitsubishi Lancer Evo VI tersebut masih jentera yang sama digunakannya akhir-akhir ini di Malaysia sejak 2017, termasuk ketika menang di pusingan pertama Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 yang berlangsung di Maran, Pahang akhir Julai lalu.

    Rupa terkini Proton Gen2 4WD Turbo Karamjit Singh untuk dibawa ke Danau Toba Rally 2022. Foto ihsan laman Facebook HashrulSubzero

    Antara pemandu lain yang bakal diberikan tumpuan pada rali Danau Toba ini termasuk beberapa pelumba tempatan seperti Sean Galael yang memandu Citroen C3 R5 pasukan Jagonya Ayam, Rifat Sungkar dengan MPV Mitsubishi Xpander AP4 pasukan Xpander Rally Team dan Ryan Nirwan yang memandu Toyota GR Yaris AP4 dari pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia.

    Namun dalam Danau Toba Rally 2022, bukan Karamjit Singh sahaja yang memandu Proton. Senarai peserta menunjukkan salah seorang dari pemandu wanita yang bertanding kali ini iaitu Qanita Syahshiyah bersama juruarahnya Julian Puspa Andari dari Eurostar Racing Team bakal memulakan rali berkenaan dengan Proton Saga.

    Danau Toba Rally 2022 akan menampilkan 12 special stage (SS) di atas permukaan batu kelikir, berlangsung di kawasan Hutan Tanaman Industri PT Toba Pulp Lestari sektor Aek Nauli.

    “Danau Toba Rally APRC 2022 terbuka untuk umum. Ada beberapa tempat yang cukup menarik sebagai spectator points. Penonton dapat menyaksikan perlumbaan ini secara langsung tanpa sebarang pungutan bayaran, atau kata lainnya percuma, dengan tetap mengambil kira faktor keselamatan penonton,” kata Elwin Siregar selaku ketua penganjur Danau Toba Rally 2022.

     
     
  • Land Rover Defender 90 kini di Malaysia — versi lebih pendek, 3-pintu, dua pilihan enjin, dari RM838,800

    Land Rover Defender 90 kini di Malaysia — versi lebih pendek, 3-pintu, dua pilihan enjin, dari RM838,800

    Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) telah mengumumkan ketibaan Land Rover Defender 90 2022, versi tiga-pintu dan jarak antara roda pendek bagi Defender generasi moden L663. Model ini menyertai versi lima-pintu 110 yang dilancarkan pada Oktober 2021 untuk pasaran tempatan.

    Sama seperti versi 110, Defender 90 ini juga ditawarkan dengan dua pilihan enjin Ingenium. Unit P300 2.0 liter turbo empat-silinder yang menjana 300 PS dan 400 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,000 rpm, dan juga P400 3.0 liter enam-silinder sebaris yang menjana sebanyak 400 PS dan 550 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm.

    Lencana bagi P400 adalah menggunakan MHEV, dengan sistem mild-hybrid yang menggunakan supercharger elektrik 48-volt, motor penghidup dengan tali sawat dan bateri lithium-ion 48-volt. Kedua-dua enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gerak automatik lapan-kelajuan ZF. Defender P300 dan P400 masing-masing dijual pada harga RM838,800 dan RM1,098,800 (belum termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).

    Land Rover Defender 90 kini di Malaysia — versi lebih pendek, 3-pintu, dua pilihan enjin, dari RM838,800

    Seperti lazimnya Defender, kemampuan off-roadnya sentiasa tersedia. Model 90 ini juga mempunyai kedalaman meredah air 900 mm dan juga dilengkapi dengan transfer box dua kelajuan. Turut ada ialah suspensi udara elektronik dengan larasan ketinggian — membolehkan kedudukannya berada pada paras 40 mm lebih rendah daripada ketinggian biasa, dan boleh dilanjutkan sehingga 75 mm. Ada tambahan ketinggian 70 mm juga untuk kebolehan off-road, dengan keseluruhannya 145 mm lebih tinggi berbanding standard.

    Adaptive Dynamic dengan penyerap hentak adaptif menampung pergerakan badan hingga 500 kali sesaat, dan data ini akan digunakan untuk mengoptimumkan kawalan dan keselesaan. Tidak lupa ciri seperti Terrain Response, yang menerima pertambahan mod Wade untuk menjadikan enam mod keseluruhan (termasuk Normal, Mud and Ruts, Grass/Gravel/Snow, Sand and Rock Crawl).

    Land Rover Defender 90 kini di Malaysia — versi lebih pendek, 3-pintu, dua pilihan enjin, dari RM838,800

    Electronic Vehicle Architecture (EVA 2.0) terkini Land Rover juga membolehkan kemaskini perisian secara over-the-air (OTA) dan disertai oleh sistem infotainmen Pivi Pro. Kamera 3D pula menyediakan pandangan sekeliling, off-road dan atas jalan biasa, termasuk augmented visualisation dalam skrin ketika menggunakan Wade Sensing dan ClearSight Ground View.

    Defender 90 didatangkan dalam lima pilihan warna termasuk Pangea Green ini. Terdapat 170 aksesori berasingan ditawarkan juga, menjadi yang terbanyak pernah ditawarkan untuk model Land Rover setakat ini. Pembelian dari JLRM akan didatangkan juga dengan jaminan lima-tahun, servis percuma juga lima tahun dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

    Land Rover L663 Defender 2.0 Petrol AWD 2022

     
     
  • Honda CBR250RR diberi peningkatan – tiba di pasaran Indonesia dengan panel badan baru, kuasa 42 PS

    Honda CBR250RR diberi peningkatan – tiba di pasaran Indonesia dengan panel badan baru, kuasa 42 PS

    Diperkenalkan kali pertama pada tahun 2016 dan kemudiannya diberikan peningkatan pada tahun 2020, Honda CBR250RR kini sekali lagi diberikan naik taraf bagi model tahun 2023, dan sudah diperkenalkan di pasaran Indonesia. Di negara itu, ia dijual dalam tiga versi iaitu Standard, SP dan SP QS, dengan harga antara 62.9 juta rupiah (RM19,106) hingga 79.8 juta rupiah (RM24,259).

    Meskipun sekali imbas model ini masih nampak sama sahaja seperti sebelum ini, sebenarnya semua panel badannya adalah baru, dengan rekaan yang dikatakan nampak lebih seperti motosikal berkapasiti tinggi, dan ini termasuk fairing (sehingga ke bawah), tangki dan juga panel tempat duduk.

    Varian SP dan SP QS mendapat peningkatan pada bahagian prestasi, apabila enjin dua silinder selari 249.7 cc padanya kini mampu mengeluarkan 42 PS pada 13,000 rpm dan 25 Nm tork pada 11,000 rpm, hasil daripada perubahan yang dibuat pada nisbah mampatan enjin serta nisbah gear.

    Bahagian lain yang dinaik taraf adalah suspensi, di mana CBR250RR kini menggunakan fork SFF-Big Piston di hadapan, sementara di belakang masih menggunakan monoshock dengan sistem sambungan Pro-Link. Kelengkapan lain masih lagi sama seperti sebelum ini.

    Dalam pasaran, CBR250RR ditawarkan sebagai motosikal sports berspesifikasi tinggi dengan kelengkapan lainnya termasuk sistem pendikit ride-by-wire, tiga mod tunggangan, lengan ayun aluminium, brek cakera depan dan belakang, sistem brek ABS, semua lampu jenis LED, panel meter digital penuh, sistem ekzos sport, transmisi enam kelajuan dengan klac assist/slipper serta quickshifter.

    Berat keseluruhan model baru ini masih adalah 168 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter. Di Malaysia, CBR250RR dilancarkan pada tahun 2020 dan dijual pada harga RM25,999.

     
     
  • KTM 890 Adventure R 2023 terima naik taraf – rekaan inspirasi 450 Rally, suspensi WP XPLOR ditala semula

    KTM 890 Adventure R 2023 terima naik taraf – rekaan inspirasi 450 Rally, suspensi WP XPLOR ditala semula

    Setelah hampir dua tahun dalam pasaran, KTM 890 Adventure R kini diberi peningkatan bagi model tahun 2023. Bagi aspek penampilan, inspirasi yang diambil daripada 450 Rally membawa kepada rekaan fairing, tangki bahan api serta cowling baru serta grafik gabungan warna putih, oren dan biru. Penghadang angin hadapan juga dijadikan lebih pendek.

    Demi meningkatkan rasa tunggangan dan mengurangkan keletihan penunggang, suspensi yang terdiri daripada fork WP XPLOR dan monoshock WP XPLOR PDS telah ditala semula, dan kedua-dua bahagian suspensi ini juga boleh dilaras sendiri oleh penunggang mengikut kesesuaian.

    Panel intstrumen digital TFT lima inci pada motosikal ini telah dinaik taraf dengan soket pengecas USB, serta grafik baru yang lebih memudahkan pengguna. Untuk mendapatkan sambungan kepada telefon bimbit dan memaparkan informasi seperti navigasi, muzik dan panggilan, pemilik perlu membeli Connectivity Unit yang dijual berasingan.

    Modul ABS bagi sistem brek motosikal ini juga telah dinaik taraf, bagi menghasilkan cengkaman brek yang bersesuaian dengan pelbagai keadaan dan kemudiannya, mod Offroad ABS diselarikan dengan mod tunggangan Offroad dan Rally. Dengan ini, apabila mod tunggangan ditukar kepada Offroad atau Rally, mod ABS juga akan ditukar secara automatik kepada Offroad (tidak perlu pilih secara berasingan).

    Melengkapkan naik taraf tahun 2023 ini adalah tayar Mitas Enduro Trail+ untuk model pasaran antarabangsa dan Eropah, sementara model pasaran Amerika Syarikat akan dipasang dengan tayar Continental TKC 80. Sistem kawalan cengkaman disediakan secara standard pada 890 Adventure R, sementara quickshifter dan cruise control pula dijual secara berasingan.

    Bahagian enjin tidak diusik, dan unit dua silinder selari 899 cc bersama transmisi enam kelajuannya masih mampu menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,000 rpm dan 100 Nm tork pada 6,500 rpm.

     
     
  • BMW rai Hari Malaysia ke-59 dan ulangtahun M ke-50 dengan himpunan terbesar BMW M disertai 120 unit M!

    BMW rai Hari Malaysia ke-59 dan ulangtahun M ke-50 dengan himpunan terbesar BMW M disertai 120 unit M!

    Jika anda terserempak dengan deretan jentera BMW M pada 16 September lalu, ia adalah perhimpunan terbesar jentera BMW M bagi meraikan Hari Malaysia ke-59 dan ulangtahun M ke-50. Ia dianjurkan oleh BMW Malaysia dan Kelab Pemilik M Malaysia.

    Perhimpunan M terbesar di Malaysia ini menyaksikan lebih 120 kenderaan BMW M daripada pelbagai jenis model dan generasi yang mengambil bahagian dan berhimpun di pusat membeli-belah LaLaport bagi meraikan dua hari terpenting itu.

    “Tahun ini, bagi memperingati lima dekad sebagai satu pasukan dan semangat bersatu untuk BMW M, serta perpaduan rakyat Malaysia yang meraikan Hari Malaysia ke-59, kami meraikannya dengan perhimpunan ini. Kami berharap ia dapat memperkukuhkan lagi hubungan rapat di kalangan komuniti BMW M di sini,”kata Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

    Tambah beliau lagi, “Dalam memperingati ulangtahun ke-50 BMW M, kami benar-benar terharu dengan sokongan padu semua pemilik dan peminat jentera ini di Malaysia, yang kebanyakannya telah bersama kami selama ini, dalam usaha untuk menaikkan jenama tersebut dalam sukan permotoran.

    “Sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi adalah penting kepada kejayaan kami di sini, dan contoh sebenar perpaduan dan kebanggaan yang ditunjukkan oleh komuniti BMW M Malaysia.”

    Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia, BMW Group Malaysia juga berusaha memberi anugerah kepada model BMW M paling lama yang masih ada bagi setiap siri model di negara ini. Pencarian itu diadakan melalui peraduan seluruh negara yang diadakan pada Mei tahun ini. Enam model M berbeza dari masa lalu dan sekarang telah dianugerahkan termasuk BMW M535i E12 1981, BMW M3 E30 1988, BMW M5 E39 1991, BMW M6 E63 2006, BMW M4 F82 2015, dan BMW M2 F87 2017.

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula sejumlah 630 unit Civic FE 2022 dan 72 unit City RS Hybrid 2021

    Honda Malaysia panggil semula sejumlah 630 unit Civic FE 2022 dan 72 unit City RS Hybrid 2021

    Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ia kini sedang menjalankan panggilan semula terhadap 702 unit Honda City RS e:HEV 2021 dan juga Honda Civic 2022. Panggilan semula proaktif yang dibuat ini membabitkan 630 unit City Hybrid dan juga 72 Unit Civic FE.

    Untuk City Hybrid, panggilan semula ini adalah membabitkan masalah pada kamera sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terletak di cermin hadapan. Sekiranya kamera tersebut tidak berfungsi dengan sepatutnya, ia juga tidak dapat mengaktifkan sistem Honda Sensing yang dibekalkan.

    Manakala untuk Civic, panggilan semula ini merupakan langkah keselamatan bagi membaikpulih kimpalan pelaras gelongsor pada tempat duduk pemandu yang tidak lengkap. Masalah berkenaan mungkin akan menyebabkan tempat duduk tersebut tidak boleh berada dalam kedudukan yang tetap ketika memandu, dan akan mengakibatkan perlindungan tali pinggang keledar yang tidak sepenuhnya pada pemandu.

    “Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan dialami pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa yang lain tidak terlibat dalam panggilan semula produk ini. Sehingga hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan di Malaysia,” kata Honda Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Syarikat tersebut turut menambah bahawa panggilan semula ini adalah perlu dibuat kerana keselamatan pelanggan adalah menjadi keutamaannya, serta ia akan terus memberikan ketelusan dan kawalan yang ketat untuk pelanggan.

    Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat, yang akan merangkumi butiran panggilan semula tersebut. Pelanggan yang menerima surat berkenaan perlu menghubungi pengedar pilihan masing-masing untuk membuat temujanji.

    Honda Malaysia turut menggesa pelanggan agar memuat turun dan mengemas kini butiran mereka melalui aplikasi mudah alih HondaTouch. Segala kos pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bahagian yang terjejas dalam panggilan semula ini tidak akan dikenakan sebarang pembayaran.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Ogos 2022 naik 36%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Ogos 2022 naik 36%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan bagi Ogos 2022, menyaksikan sebanyak 66,614 unit kenderaan baharu telah dihantar pada bulan tersebut, berbanding 17,923 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Ini juga menyaksikan peningkatan sebanyak 36% berbanding Julai 2022 yang terjual mencecah 48,922 unit.

    Menurut persatuan itu dalam kenyataannya, peningkatan jualan pada Ogos 2022 berikutan memenuhi tempahan daripada syarikat kereta yang diterima sebelum 30 Jun 2022. Selain itu, MAA turut berkata jumlah jualan setakat lapan bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 62.8% kepada 447,209 unit berbanding 274,600 unit dalam tempoh sama pada 2021.

    Jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 59,769 unit pada Ogos 2022 berbanding 15,475 unit pada Ogos 2021 dan jualan kenderaan komersil naik kepada 6,845 unit pada bulan tersebut daripada 2,448 unit sebelum ini.

    Dari segi jumlah pengeluaran, persatuan itu berkata sejumlah 69,378 unit kenderaan dikeluarkan pada Ogos 2022 berbanding 13,961 unit pada bulan sama tahun lalu.

    Katanya pengeluaran kenderaan penumpang melonjak kepada 64,282 unit pada Ogos 2022 berbanding 12,897 unit pada Ogos 2021 manakala pengeluaran kenderaan komersil meningkat kepada 5,096 unit berbanding 1,064 unit sebelum ini.

    Mengenai prestasi jualan bagi September ini, MAA menjangkakan jumlah jualan akan kekal sama seperti yang dicatatkan pada Ogos 2022 berikutan masalah kekurangan cip dan komponen yang masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

     
     
  • Peronda SUKE bertugas 24 Jam, pantau lokasi panas; 100k kenderaan direkod dalam masa 24 jam pertama

    Peronda SUKE bertugas 24 Jam, pantau lokasi panas; 100k kenderaan direkod dalam masa 24 jam pertama

    Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd iaitu anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas), yang juga pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengumumkan bahawa hampir 100,000 kenderaan telah direkodkan menggunakan lebuhraya berkenaan sejak ia dibuka kepada pengguna bermula 12 tengah hari, 16 September 2022 sehingga 12 tengah hari, 17 September 2022.

    Dengan jumlah pengguna yang melangkaui sasaran purata trafik harian (ADT) Lebuhraya SUKE untuk fasa pertama iaitu 80,000 kenderaan sehari, PROLintas mengambil maklum bahawa terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi dalam Lebuhraya SUKE.

    “Kebanyakan pengguna terawal Lebuhraya SUKE terdiri daripada penduduk sekitar yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan di atas lebuh raya bertingkat terbaharu di Lembah Klang ini. Terima kasih buat pengguna Lebuhraya SUKE atas sokongan dan maklum balas yang diberikan kepada kami,”kata CEO Kumpulan PROLintas, Dato’ Mohammad Azlan.

    Peronda SUKE bertugas 24 Jam, pantau lokasi panas; 100k kenderaan direkod dalam masa 24 jam pertama

    “Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu adalah amat berbahaya bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain. Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLintas. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” tambahnya lagi

    Menurut PROLintas, beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh bahagian operasi Lebuhraya SUKE yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya. Kon-kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa Unit Polis Bantuan PROLintas atau “peronda SUKE” yang bertugas 24 jam juga melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi-lokasi panas itu. Papan tanda “Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan” juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat. Mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna.

    Peronda SUKE bertugas 24 Jam, pantau lokasi panas; 100k kenderaan direkod dalam masa 24 jam pertama

    “Bahagian operasi Lebuhraya SUKE akan memastikan penyelenggaraan lebuh raya berada di tahap optimum selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar.

    “Di setiap 1 kilometer Lebuhraya SUKE dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dengan 40 unit dipasang di sepanjang jajaran di kedua-dua hala. Bahagian operasi sentiasa memerhati pergerakan trafik dan menghubungi peronda SUKE untuk ke lokasi jika terdapat sebarang kecemasan atau gangguan,” kata PROLintas dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    PROLintas juga menyatakan bahawa sebanyak 22 telefon kecemasan dan 22 sistem pengesan kenderaan dan kemalangan (VIDS) pada tiang bersepadu telah disediakan, dan seluruh jajaran Lebuhraya SUKE juga diterangi dengan 3,377 lampu LED untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin terutama pada waktu malam.

    Peronda SUKE bertugas 24 Jam, pantau lokasi panas; 100k kenderaan direkod dalam masa 24 jam pertama

    Sekali lagi PROLintas menyatakan bahawa sebuah Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) akan dibangunkan berdekatan Persimpangan Tasik Tambahan agar pengguna boleh menikmati permandangan panorama Kuala Lumpur itu dengan selesa dan selamat pada masa akan datang. Jadi buat masa sekarang jangan risikokan keselamatan anda dan pengguna lain dengan berhenti di lorong kecemasan semata-mata untuk menikmati pemandangan di lebuhraya berkenaan.

    Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi untuk peringkat awal, jajaran Fasa 1 dibuka terlebih dahulu bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang sehinggalah ke Persimpangan Bukit Antarabangsa melibatkan jajaran sepanjang 16.6 kilometer – di mana pengguna lebuh raya mula beratur di setiap persimpangan masuk jajaran ini seawal 11.30 pagi Jumaat lalu.

    Dan ketika baru dua hari pembukaannya, satu kemalangan telah dilaporkan berlaku kira-kira 1 km dari Plaza Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur pada pagi Ahad lalu, di mana sebuah motosikal merempuh sebuah Perodua Myvi yang berhenti di lorong kecemasan kerana pemandunnya mahu menikmati pemandangan panorama Kuala Lumpur di kawasan berkenaan.

     
     
  • Pemegang lesen GDL kelas D boleh bawa kenderaan barangan “de-controlled” sehingga BTM 4,000 kg

    Pemegang lesen GDL kelas D boleh bawa kenderaan barangan “de-controlled” sehingga BTM 4,000 kg

    Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam telah memutuskan untuk memberi kebenaran khas kepada pemilik atau pemandu GDL kelas D untuk memandu kenderaan barangan “de-controlled” sehingga BTM (Berat Tanpa Muatan) 4,000 kg.

    Sebelum ini, pemegang lesen kelas itu hanya dibenarkan memandu kenderaan barangan “de-controlled” sehingga BTM 3,500 kg sahaja, sementara jika ia melebihi had tersebut, mereka perlu menaik taraf kepada lesen kelas E.

    Kebenaran khas ini berkuatkuasa serta-merta dan akan berakhir pada suatu masa yang akan ditentukan kelak. Ia dilakukan bagi tujuan membantu pihak industri mengurangkan kos perniagaan serta mendapatkan yang mempunyai lesen memandu sah.

    Secara ringkasnya, kenderaan barangan “de-controlled” adalah kenderaan barangan yang telah dikecualikan daripada mendapatkan lesen atau permit pengendali kenderaan barangan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah dan Sarawak, dan terhad kepada kenderaan barangan yang digunakan oleh pemilik kenderaan tersebut bagi mengangkut barangan perniagaannya sendiri dan Berat Dengan Muatan (BDM) tidak melebihi 7,500 kg.

     
     
  • Ford E-Transit 2024 — van EV generasi kedua terbaru

    Ford E-Transit 2024 — van EV generasi kedua terbaru

    Selepas kemunculan model van E-Transit yang pertama pada November 2020, kini Ford memdedahkan pula versi kedua van E-Transit Custom, model komersial elektrik sepenuhnya untuk pasaran Eropah.

    Antara pertambahan utama adalah jarak perjalanannya, dengan kini mampu pergi sejauh 380 km, naik lebih banyak berbanding jarak model terdahulu yang hanya memberikan 201 km perjalanan. Pengecasan AC pula sehingga 11 kW, dan ia mampu memanfaatkan pnegcasan CCS2 DC sehingga 125 kW. Pek baterinya menggunakan binaan 400V dan menampung kapasiti cas 74 kWh.

    Pek bateri berkenaan juga menyalurkan kuasa untuk soket AC dalam kenderaan, dengan output sehingga 2.3 kW. Pembeli di sana boleh memilih antara motor 217 PS atau 135 PS, yang dipasangkan di bahagian belakang van. Kalau di Malaysia, SDAC Ford pernah menjual Transit generasi ke-enam di sini sebagai sebuah van bertingkap dengan 14-tempat duduk.

     
     
  • MAA mahu lanjutan pengecualian cukai kenderaan EV

    MAA mahu lanjutan pengecualian cukai kenderaan EV

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang mewakili pengeluar kenderaan di dalam negara, mahukan sambungan terhadap pengecualian cukai untuk kenderaan elektrik (EV) dalam Bajet 2023. Pengecualian cukai EV sebelum ini diumumkan dalam Bajet 2022 dan masih lagi berjalan sekarang, menyaksikan semua EV yang diimport sepenuhnya dibebaskan daripada sebarang duti eksais dan import, serta cukai jalan.

    Perkara ini dinyatakan oleh presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad kepada Bernama, sambil menambah bahawa kelab industri sangat menghargai usaha kerajaan untuk memberi sokongan kepada pasaran EV, tetapi ia masih lagi terlalu awal untuk menamatkan insentif ini pada tahun 2023.

    “Kami mahukan pengecualian cukai import dan eksais penuh untuk EV CBU, sementara pasaran bersiap sedia untuk perkembangan EV di Malaysia. Kami harap akan ada insentif lagi sehingga 10 tahun lagi,” kata Aishah sambil memberitahu usaha untuk pemasangan EV di dalam negara sedang dijalankan.

    Dalam Bajet 2022, pengecualian penuh duti EV CBU diberikan sehingga 31 Disember 2023, sementara untuk EV CKD (pemasangan dalam negara), pengecualian penuh duti diberikan sehingga 31 Disember 2025. Tujuan insentif ini diberi adalah untuk meningkatkan penerimaan EV di dalam negara serta menggalakkan syarikat untuk memulakan pemasangan EV di dalam negara.

     
     
  • PROLintas akan sediakan R&R menghadap KL di SUKE; jangan bersantai di lorong kecemasan

    PROLintas akan sediakan R&R menghadap KL di SUKE; jangan bersantai di lorong kecemasan

    Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) baru sahaja dibuka pada tengah hari Jumaat lalu. Dan baru dua hari, semalam sudah ada kes kemalangan yang melibatkan kereta yang berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya berkenaan semata-mata untuk menikmati pemandangan indah menghadap bandaraya Kuala Lumpur.

    Lebuhraya SUKE ini unik kerana 90% jajarannya adalah “terapung” dan hanya 10% berada di atas permukaan tanah sebenar. Ini kerana terdapat laluan lebuhraya ini dibina di tengah-tengah kawasan sesak seperti di Cheras dan Ampang, untuk menyuraikan trafik di kawasan tersebut, terutamanya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang sangat-sangat padat.

    Jadi dengan di bina pada altitud yang cukup tinggi, SUKE menyajikan pandangan yang cukup indah. Jika anda menuju ke Kuala Lumpur dari Cheras-Kajang melepasi Plaza Tol Bukit Teratai, anda akan dapat melihat hampir keseluruhan Bandaraya Kuala Lumpur termasuk empat bangunan ikonik di bandaraya berkenaan iaitu Menara KL, Menara Berkembar Petronas, Menara Merdeka 118 serta Menara Exchange 106 (TRX).

    SUKE juga menampilkan lorong kecemasan yang cukup luas iaitu selebar 3.5 meter untuk sepanjang 24.4 km laluan lebuhraya tersebut bagi memudahkan kenderaan-kenderaan kecemasan seperti trak Bomba dan Ambulans menghantar pertolongan sekiranya berlaku sebarang insiden.

    Sebaik sahaja ia dibuka, seperti dijangka, dengan pemandangan yang cantik di kawasan yang dinyatakan tadi serta lorong kecemasan yang cukup lebar, akan ada pengguna jalan raya yang akan berhenti di lorong berkenaan untuk bersantai menikmati pemandangan dan mengambil gambar seperti foto yang sempat dirakam oleh pembaca paultan.org, Nic Wang di atas.

    Dan di sinilah juga sebenarnya kemalangan pertama di SUKE berlaku semalam, apabila sebuah Perodua Myvi berwarna kuning berhenti di lorong kecemasan kawasan tersebut dirempuh oleh sebuah motosikal Suzuki. Tiada kehilangan jiwa dilaporkan, namun berdasarkan gambar yang disiarkan oleh Polis Daerah Ampang Jaya, boleh tahan teruk juga kecederaan yang dialami oleh penunggang terbabit.

    PROLintas akan sediakan R&R menghadap KL di SUKE; jangan bersantai di lorong kecemasan

    Dengan berlakunya kemalangan begini, sudah tentu ada yang memberikan pendapat “kenapa tak buat tempat rekreasi kat kawasan tu?”, sama seperti setiap kali berlaku di insiden di Jalan Temiang-Pantai Negeri Sembilan bukan? Untuk pengetahuan anda, sebelum Lebuhraya SUKE ini dibuka, Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas) sudahpun mempunyai tapak untuk membangunkan tempat sedemikian.

    Kawasan yang berdekatan dengan Plaza Tol Bukit Teratai berkenaan dikenali sebagai Tasik Tambahan, dan ia bakal dibangunkan dengan sebuah fasiliti Rehat & Rawat (R&R) yang akan menyediakan “Lookout Point” untuk anda melihat dan bergambar dengan latar belakang “KL City Skyline” tersebut.

    Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah ketika majlis taklimat kepada media Rabu minggu lalu, kawasan Rehat dan Rawat berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan itu.

    Jadi buat masa sekarang, diharap kita bersabar dahulu. Jangan kerana teruja untuk melihat dan mengambil gambar pemandangan, nyawa sendiri dan pengguna jalan raya yang lain dipertaruhkan pula.

     
     
  • Projek pengangkutan awam di Malaysia masih ikut jadual, tak terkesan oleh nilai ringgit yang menyusut

    Projek pengangkutan awam di Malaysia masih ikut jadual, tak terkesan oleh nilai ringgit yang menyusut

    Kerajaan memaklumkan bahawa semua projek pengangkutan awam yang sedang berjalan, termasuk East Coast Rail Link (ECRL), tidak terkesan dengan nilai ringgit yang semakin lemah dan mengikut jadual seperti yang dirancang.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, kos yang terlibat dalam kontrak berkaitan telah ditetapkan dari awal, jadi nilai semasa ringgit tidak akan memberi kesan ketara ke atas semua projek berkenaan, lapor The Star.

    Beliau memaklumkan, projek ECRL kini sudah lebih daripada 30% di dalam pembangunannya, dan mengikut jadual untuk mencapai 37% menjelang hujung tahun ini dan menepati tarikh dijangka siap pada 1 Jan 2027. Beliau menambah, ada 1,076 tapak projek pelbagai saiz dalam ECRL yang sedang berjalan dalam masa sama.

    Projek pengangkutan awam di Malaysia masih ikut jadual, tak terkesan oleh nilai ringgit yang menyusut

    Wee juga berkata projek pengangkutan awam seperti MRT3 Circle Line, yang masih dalam proses penilaian tender, serta projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singpapura (RTS) Link juga sedang berjalan.

    “RTS ketika ini sudah 20% seiap. Saya akan bertemu dengan kerajaan Singapura dalam masa terdekat untuk berbincang berkenaan masalah teknikal projek berkenaan. Perkara yang berada di bawah perjanjian dua hala projek itu seperti penempatan semula kemudahan awam turut akan dibincangkan,” tambah beliau.

    Wee juga berkata RTS Link ketika ini mengikut jadual untuk siap pada 31 Disember 2026, dengan perkhidmatannya dijangka bermula pada 1 Januari 2027. Perkhidmatan keretapi langkau sempadan antara stesen Bukit Chagar, JB dan Woodland North di Singapura ini akan mempunyai kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan tempoh perjalanan lima minit antara dua stesen ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025