Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Baran Energy dari Indonesia dedah motosikal elektrik Anubis Cruissercross – jarak gerak 132 km, 46 hp

    Baran Energy dari Indonesia dedah motosikal elektrik Anubis Cruissercross – jarak gerak 132 km, 46 hp

    Baran Energy yang merupakan satu syarikat pengeluar barangan elektrik/tenaga dari Indonesia telah memperkenalkan produk pengangkutan pertama mereka iaitu motosikal elektrik bentuk adventure yang diberi nama sebagai Anubis Cruissercross.

    Daripada gambar yang disiarkan dalam laman web, dilihat terdapat dua versi untuk Anubis Cruissercross ini, dengan satu daripadanya menggunakan rim jenis spoked, dan satu lagi menggunakan rim aluminium dengan tayar yang lebih sesuai untuk kegunaan jalan raya.

    Setakat ini masih belum diketahui bila model sebenar akan didedahkan kepada orang ramai, dan bila ia akan mula dijual dalam pasaran, sementara untuk spesifikasi pula hanya data ringkas diberi termasuk jarak gerak 132 km (dalam bandar), laju maksimum 158 km/j, tork 106 Nm, kuasa maksimum 46 hp, 0-100 dalam masa 5.5 saat dan kapasiti nominal 63 kWh.

    Melihat kepada bentuknya, Anubis Cruissercross ini mempunyai bentuk tipikal sebuah jentera adventure dengan paruh tinggi, lampu LED, penghadang angin, pelindung fork, penghadang tangan, motor yang tertutup, serta brek cakera hadapan dan belakang.

    Daripada gambar dalam laman web itu juga kita boleh melihat kuasa daripada motor yang terletak di tengah disampaikan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat sementara bahagian belakangnya juga boleh diletak dengan beg barangan.

     
     
  • Toyota Vios 2023 didedahkan di Thailand – platform DNGA, bermula RM68k, ada Toyota Safety Sense

    Toyota Vios 2023 didedahkan di Thailand – platform DNGA, bermula RM68k, ada Toyota Safety Sense

    Seperti yang diumumkan dua minggu lalu, hari ini model generasi baharu Toyota Vios secara rasminya didedahkan di Thailand. Sama seperti sebelum ini, Vios terus dijual di Thailand menggunakan nama Yaris Ativ, iaitu model dalam versi enjin 1.2 liter bagi membolehkan ia menerima insentif kereta Eco Thai di pasaran berkenaan.

    Model generasi keempat ini diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) iaitu platform yang berkait rapat dengan Perodua Ativa dan Alza 2022, bagi menggantikan platform model generasi ketiga yang telah digunakan sejak 2013. Ia menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,425 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,480 mm dan jarak roda sejauh 2,620 mm.

    Jadi berbanding model sebelumnya, sedan segmen-B generasi terkini ini adalah 17 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan 5 mm lebih rendah. Walaupun secara keseluruhan model baharu adalah sedikit lebih pendek, namun ia menampilkan jarak roda 70 mm lebih panjang yang tentunya memberi gambaran bahawa bahagian kabinnya dapat dihasilkan lebih luas.

    Toyota Vios 2023 didedahkan di Thailand – platform DNGA, bermula RM68k, ada Toyota Safety Sense

    Dari segi rupa, muka Vios baharu ini dilihat seperti Corolla Altis dalam skala lebih kecil, dengan menampilkan rekaan lampu LED hadapan bersama jalur LED nyalaan siang bina dalam dan gril atas yang hampir sama. Namun Vios diberikan gril bampar yang lebih tinggi bersama sepasang liang udara sisi unik dengan rekaan lima segi.

    Manakala pada profil sisi, Vios generasi keempat ini jelas menggunakan rekaan garis bumbung yang sama seperti model konsep Daihatsu DN-F Sedan yang muncul pada 2017, menampilkan rupa seakan sebuah fastback empat pintu. Cermin sisi untuk model ini masih kekal diletakkan pada bahagian cermin tingkap dan bukan pada pintu. Ia juga diberikan garis badan sisi yang dilihat bersambung dari lampu hadapan melalui pembuka pintu dan berakhir pada lampu belakang.

    Bahagian belakang Vios ini diberikan lampu LED dengan rekaan nipis dan bersegi, dan jika dilihat dari video teaser tempoh hari, lampu berkenaan turut menampilkan lampu isyarat membelok jenis sequential. Dengan garis bumbung yang direka seakan fastback, penutup but pada model generasi baharu ini juga dilihat lebih pendek dan sporty, namun ia direka lebih tinggi bagi memberikan ruang kargo yang besar.

    Toyota Vios 2023 didedahkan di Thailand – platform DNGA, bermula RM68k, ada Toyota Safety Sense

    Perumah nombor pendaftaran kekal diletak pada bahagian atas, manakala bampar model generasi baharu ini menerima liang udara palsu sisi yang seiras dengan bahagian hadapan, serta diberikan diffuser pada bahagian bawah dengan sirip yang agak menonjol.

    Rekaan pada bahagian dalaman, terutamanya pada papan pemuka juga telah pun didedahkan pada teaser sebelum ini. Vios kini menerima papan pemuka dengan rekaan yang sangat minimalis, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri di bahagian tengah (bersaiz sembilan-inci untuk varian-varian lebih tinggi), serta diberikan banyak material sentuhan lembut dan juga perapi-perapi kemasan perak yang nampak premium.

    Secara keseluruhan, papan pemuka baharu ini menampilkan rekaan dengan elemen melintang, termasuk rekaan untuk liang pendingin hawa. Ia juga diberikan pad pada sebelah kanan konsol tengah, bagi ‘mengasingkan’ pemandu untuk rupa kokpit yang tertumpu kepada pemandu. Jika anda perhati dengan teliti, sedan dengan platform DNGA ini menerima roda stereng, paparan instrumen digital tujuh-inci dan tombol gear yang seiras dengan Perodua Alza dan Ativa. Malah rekaan elemen quilted pada perapi-perapi pada konsol gear Vios ini juga nampak seiras seperti elemen kemasan dalaman pada Ativa.

    Selain itu, papan pemuka model generasi baharu tersebut turut diberikan kawalan pendingin hawa digital, butang untuk sistem penapis udara (PM2.5), brek parkir elektronik (dengan fungsi auto brake hold), dua suis untuk mengawal lampu suasana kabin dengan pilihan 64-warna, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

    Yaris Ativ pasaran Thailand ini dilihat turut ditawarkan dengan kabin dua tona merah-hitam dengan upholsteri merah bersama elemen quilted, serta menyokong hubungan Android Auto dan Apple CarPlay. Varian dengan upholsteri hitam keseluruhannya juga dilihat ditawarkan.

    Untuk keselamatan, varian-varian lebih tinggi datang dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense. Pakej tersebut memberikan fungsi termasuk sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran pergerakan kenderaan hadapan, cruise control adaptif untuk semua kelajuan, kawalan salah operasi pedal dan lampu tinggi automatik – kesemuanya kelihatan sepadan dengan sistem ASA 3.0 yang ditawarkan oleh Perodua untuk Alza 2022.

    Seperti yang disebutkan tadi, Yaris Ativ pasaran Thailand ini terus dijana oleh enjin 1.2 liter NA Dual VVT-i berkuasa 94 PS pada takat 9,000 rpm dam tork maksima 110 Nm pada takat 4,400 rpm – peningkatan 2 hp/1 Nm berbanding model generasi sebelumnya. Ia digandingkan dengan kotak gear Super CVT-i bagi memacu roda hadapan.

    Tiga mod pemanduan diberikan untuk unit rangkaian kuasa ini iaitu Eco, Normal dan Sport. Menurut Toyota, gandingan berkenaan membolehkan Yaris Ativ 2023 ini mencapai penggunaan bahan ap 23.3 km/l serta memenuhi standard emisi Euro 5.

    Yaris Ativ 2023 ditawarkan dalam empat varian di Thailand, bermula dengan varian asas Sport dijual pada harga 539,000 baht (RM67,700), diikuti varian Smart berharga 584,000 baht (RM73,377), Premium berharga 659,000 baht (RM82,794) dan varian tertinggi Premium Luxury dijual pada harga 689,000 baht (RM86,563).

    Toyota turut terus memperkenalkan aksesori untuk Yaris Ativ generasi baharu ini dalam pelbagai pakej. Ia termasuk pakej Lusso menampilkan skrit sisi dua-tona bersama spoiler belakang berharga 19,900 baht (RM2,500), pakej Chiaro yang hadir dengan banyak elemen krom berharga 8,690 baht (RM1,092), manakala pakej Presto menampilkan pelekat-pelekat sporty serta jalur dua-tona pula berharga 17,500 baht (RM2,198).

    Untuk pasaran lain termasuk Malaysia, Vios berkemungkinan akan terus menerima enjin 1.5 liter. Namun dengan platform DNGA, ia tentunya tidak mempunyai masalah untuk dipadankan dengan enjin 1.0 liter turbo yang sama dengan Ativa bukan? Buat masa sekarang, apa pendapat anda berkenaan Vios baharu ini? Lebih menarik dari saingan utamanya, Honda City? Kongsikannya pada ruang komen di bawah mahupun di laman sosial kami.

     
     
  • Can-Am dedah dua versi motosikal elektrik Pulse

    Can-Am dedah dua versi motosikal elektrik Pulse

    Can-Am, satu jenama motosikal dari Amerika yang dulunya terkenal dengan jentera lumba offroad dan sekarang lebih banyak mengeluarkan jentera beroda tiga, telah mendedahkan dua buah motosikal elektrik yang dinamakan sebagai Can-Am Pulse.

    Satu daripadanya mempunyai bentuk naked dengan rim aluminium serta tayar jalan biasa sementara satu lagi mempunyai kedudukan lebih tinggi serta suspensi lebih panjang seperti motosikal dual purpose, bersama rim spoked yang bersaiz lebih besar di hadapan.

    Hanya beberapa gambar dikeluarkan oleh Can-Am untuk dua motosikal elektrik ini, sementara videonya pula lebih banyak menunjukkan imbasan kembali zaman kegemilangan jenama itu dan motosikal elektrik ini bakal menjadi penyambung legasi tersebut. Di penghujung video tertulis “Join Us 2024.”

    Tiada perincian teknikal yang didedahkan, tetapi kita masih boleh membuat beberapa andaian kerana satu-satunya pengecasan yang disebut adalah Level 2. Dengan ini, bermakna baterinya perlu mengambil masa lebih lama untuk dicas dan mungkin hanya boleh digunakan untuk jarak yang tidak terlalu jauh.

    Penggerak motosikal elektrik Pulse ini dipanggil sebagai “Rotax E-Power”, dan ia mempunyai motor elektrik yang terletak di tengah, dengan kuasa dihantar ke roda belakang melalui sistem tali sawat sementara lengan ayun pula menggunakan jenis single-sided.

    Daripada aspek penggayaan, motosikal Pulse ini banyak menggunakan garis-garis lurus dan berpetak, dan dilihat turut mempunyai skrin digital yang besar di atas pemegang. Berkemungkinan ia bukannya sahaja boleh memaparkan informasi penting termasuk tahap bateri dan baki jarak perjalanan, tetapi juga boleh disambung kepada telefon pintar.

     
     
  • GALERI: GWM Ora Good Cat EV 2022 di Malaysia — bateri 47.8 atau 63.1 kWh, jarak 500 km, bawah RM150k

    GALERI: GWM Ora Good Cat EV 2022 di Malaysia — bateri 47.8 atau 63.1 kWh, jarak 500 km, bawah RM150k

    GWM Ora Good Cat, sebuah kereta elektrik comel keluaran Great Wall Motors (GWM) yang telahpun bertapak secara rasmi untuk pasaran tempatan Julai lalu. Model ini dijangka akan tiba ke pasaran tempatan pada suku keempat tahun ini, bersama dengan SUV Haval. Ora (EV) dan Haval (SUV) ini adalah jenama di bawah GWM.

    Unit yang sedang anda lihat ini adalah unit awal ehsan daripada Flux. Syarikat langganan kenderaan itu sedang menjalankan program langganan EV mingguan untuk anda mencuba penggunaan EV selama tujuh hari. Antara model EV yang ada di Flux ialah Good Cat ini, Nissan Leaf dan Hyundai Kona Electric.

    GALERI: GWM Ora Good Cat EV 2022 di Malaysia — bateri 47.8 atau 63.1 kWh, jarak 500 km, bawah RM150k

    Ini apa yang kami tahu tentang Good Cat di Malaysia setakat ini. Empat varian akan ditawarkan, iaitu Tech, Pro, Ultra dan Ultra G. Semuanya akan dilengkapi motor elektrik yang menghasilkan 143 PS/210 Nm yang memacu roda depan, dengan laju maksimum 152 km/j. Pemanduan dengan pedal tunggal juga tersedia, dan ada lima mod — Normal, Sport, Eco, Eco+ dan Auto.

    Varian Tech dan Pro akan menggunakan bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate yang boleh memberikan jarak 400 km perjalanan dalam kitaran NEDC. Untuk cas penuh, kereta ini perlukan lapan jam melalui pengecas AC (sambungan Type 2) pada kadar input maksimum 6.6 kW. Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas 0-80% (SoC) dalam masa 46 minit pada kadar 60 kW. Kedua-dua varian Tech dan Pro dianggarkan dijual dari RM14Xk.

    GALERI: GWM Ora Good Cat EV 2022 di Malaysia — bateri 47.8 atau 63.1 kWh, jarak 500 km, bawah RM150k

    Bagi Ultra pula, harga anggarannya adalah RM15Xk. Jarak perjalanannya mampu mencecah 500 km, dengan bateri lithium 63.1 kWh. Dengan pengecas AC, ia memerlukan sekitar sejam untuk cas penuh, dan untuk 0-80% SoC ia memerlukan 40 minit. Ultra G yang paling tinggi juga sama secara mekanikal dengan Ultra, tetapi dengan tambahan kelengkapan dengan harga anggaran RM16Xk.

    Tech misalnya turut dilengkapi dengan rim 17-inci, lampu utama LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, kerusi fabrik, kluster instrumen 7.0-inci, pendingin automatik dengan penapis PM2.5, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci, empat pembesar suara, kawalan melayar, dua beg udara, ESC, sensor parkir, bantuan mula mendaki, brek kecemasan kelajuan rendah dan sistem peninjau tekanan tayar.

    Pro pula melibatkan tambahan rim 18-inci, lampu depan automatik, cermin sisi lipatan kuasa elektrik, sensor pengilap cermin, bumbung panoramik, kerusi kulit, kamera 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, slot USB untuk dashcam serta enam beg udara.

    Turut tersedia ialah ciri keselamatan aktif termasuk kawalan melayar adaptif dengan belokan pintar, bantuan kesesakan, AEB dengan sokongan di persimpangan, amaran perlanggaran depan, amaran keluar lorong, bantuan mengekalkan lorong dan bantuan ke tengah lorong.

     
     
  • UMW Toyota Motor jual 6,637 kenderaan pada Julai 2022 – 52,548 unit setakat 7 bulan pertama tahun ini

    UMW Toyota Motor jual 6,637 kenderaan pada Julai 2022 – 52,548 unit setakat 7 bulan pertama tahun ini

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjual sebanyak 6,637 kenderaan pada bulan Julai 2022, dengan 6,624 unit daripadanya adalah model Toyota, dan 13 unit pula model Lexus. Secara keseluruhannya ia adalah kurang sebanyak 2,302 unit berbanding 8,939 unit yang berjaya dijual pada Jun lalu. Walau bagaimana pun, jualan setakat Julai adalah 48% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Dalam tujuh bulan pertama tahun ini, UMWT telah mendaftar sebanyak 52,548 unit berbanding 35,561 unit pada tempoh yang sama tahun 2021. Syarikat ini juga berkata, Hilux masih kekal sebagai trap pikap paling laris di Malaysia sejak 2005 dengan 1,788 unit terjual pada Julai tetapi tidak didedahkan secara terperinci mengenai prestasi jualan bagi model lain.

    “UMW Toyota Motor komited untuk memastikan penghantaran kenderaan dapat dilakukan segera. Kami sedang berusaha sepanjang masa untuk mempergiatkan pengeluaran bagi memastikan penghantaran lebih cepat kepada pemilik kereta baharu yang telah menunggu dengan sabar. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan kami atas kesabaran mereka,” ujar Ravindran Kurusamy, presiden UMWT.

    Veloz bakal menjadi model akan datang yang bakal dilancarkan oleh UMWT pada tahun ini dan tempahannya telah pun dibuka sejak Jun lalu. Selepas beberapa minggu, UMWT makin mendedahkan lebih banuak informasi mengenai MPV tujuh-tempat duduk ini yang bakal menggantikan model Avanza. Harga jangkaannya bermula RM95,000 atas jalan tanpa insurans bagi varian tunggal 1.5 AT.

     
     
  • Empat pemenang BMW Motorrad GS Challenge 2022 ke Albania untuk GS Trophy “Follow The Trails”

    Empat pemenang BMW Motorrad GS Challenge 2022 ke Albania untuk GS Trophy “Follow The Trails”

    Hujung minggu lalu telah berlangsung BMW Motorrad GS Challenge 2022, di Putrajaya dengan melibatkan 49 penunggang yang diuji dengan pelbagai teknik serta kemahiran menunggang. Daripada semua yang terlibat, empat telah dipilih sebagai pemenang dengan mendapat hadiah perjalanan yang ditaja sepenuhnya ke Albania untuk “Follow The Trails” BMW Motorrad GS Trophy 2022.

    Mereka adalah Niranjan Visuvalingam, Rosmadi Saad, Muhairi Muhammad serta satu-satunya peserta wanita, Elis Suriani Johari. Melalui perjalanan Follow The Trails ini, mereka akan dapat melalui jalan yang sama untuk cabaran GS Trophy, tetapi tidak bertanding.

    Pada hari pertama GS Challenge di Putrajaya ini, peserta diuji melalui jalan offroad sepanjang 68 km menggunakan jentera BMW GS mereka sendiri dan dinilai berkenaan kemahiran bukan sahaja untuk menunggang, tetapi juga navigasi dan perkara lain oleh pasukan marshal GS antarabangsa yang diketuai oleh bekas peserta GS Trophy 2016, Faizal Sukree.

    Empat pemenang BMW Motorrad GS Challenge 2022 ke Albania untuk GS Trophy “Follow The Trails”

    Kemudiannya pada hari kedua, 10 peserta terbaik yang dipilih daripada hari pertama dihadapkan dengan cabaran dalam laluan khusus yang dibuat di tapak acara utama, melibatkan 13 cabaran. Pemenang dipilih berdasarkan kutipan mata tertinggi.

    Bercakap dengan ketua BMW Motorrad Asia Tenggara, Miguel Llabres-Pohl, semasa hari kedua cabaran, beliau menekankan bahawa meskipun Follow The Trails bukanlah melibatkan penyertaan langsung dalam pertandingan GS Trophy, kecergasan dan kemahiran menunggang yang bagus adalah mandatori. “Mereka akan ikut laluan yang sama dengan peserta GS Trophy, tujuh hari menunggang, semuanya offroad. Ia bukanlah mudah,” kata Llabres-Pohl.

     
     
  • JPJ laksana Ops Puspakom di cawangan Puspakom, pantau pemeriksaan kenderaan perdagangan

    JPJ laksana Ops Puspakom di cawangan Puspakom, pantau pemeriksaan kenderaan perdagangan

    Bagi mengurangkan risiko kemalangan khususnya ke atas kenderaan perdagangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula melaksanakan Ops Puspakom di semua cawangan Puspakom di seluruh negara. Operasi khas ini juga akan turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Zailani Hj. Hashim berkata, Ops Pupskom ini juga akan menumpukan perhatian kepada penilaian standard dan tahap pematuhan pemeriksaan di Puspakom berhubung kualiti penyelenggaraan teknikal kenderaan perdagangan.

    “Berdasarkan statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), mulai Januari sehingga Jun 2022, sebanyak 19,888 buah lori telah direkodkan terlibat dalam kemalangan di jalan raya seluruh Malaysia.

    “Melihat kepada angka itu, JPJ telah merancang tindakan bersepadu melalui pemantauan dan peningkatan intensiti penguatkuasaan roadworthiness termasuk memperketat Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan kenderaan dengan kerjasama PUSPAKOM selaras dengan Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mana setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan awalan dan pemeriksaan berkala di Puspakom mengikut ketetapan peraturan semasa bagi memastikan kenderaan adalah selamat semasa digunakan di jalan raya”, jelasnya.

    Tambah beliau, selain itu JPJ bercadang untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap prosedur pemeriksaan kenderaan, antaranya meningkatkan frekuensi pemantauan dan audit operasi Puspakom oleh Pasukan Kejuruteraan Automotif JPJ secara mingguan terutama di cawangan yang menjalankan pemeriksaan kenderaan berat.

    JPJ laksana Ops Puspakom di cawangan Puspakom, pantau pemeriksaan kenderaan perdagangan

    “Kita tidak akan maklum terlebih dahulu bila akan masuk bersama SPRM ke Puspakom. Ini menunjukkan suatu komitmen tinggi kita untuk memastikan kenderaan yang melalui proses pemeriksaan, apabila keluar ia dalam keadaan status yang cukup bersedia untuk digunakan.

    “Kenderaan itu (apabila selesai disemak) tanpa memberi sebarang bentuk ancaman keselamatan dari segi mekanikal dan teknikal yang tidak lengkap,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Zailani berkata, pasukan kejuruteraan automotif JPJ tidak hanya terdapat di ibu pejabat, bahkan di pejabat-pejabat negeri sekali gus berupaya melakukan pemeriksaan di Puspakom sekurang-kurangnya sekali seminggu.

    “Pemeriksaan itu bagi melihat sama ada penilaian ke atas kenderaan (oleh Puspakom) dibuat dengan lancar dan mengikut tatacara sebenar, yang sepatutnya. Pihak Puspakom diminta untuk melaksanakan operasi dalaman secara lebih kerap dan mereka ada audit sendiri, ada tatacara sendiri, jadi akan diperhatikan oleh pasukan kejuruteraan automotif JPJ,” katanya.

    Menurutnya, semakan semula mengutamakan keselamatan tinggi terhadap kenderaan lebih-lebih lagi tayar dan brek.

     
     
  • Penghantar barangan p-hailing perlu dapatkan lesen GDL, pindaan had umur penuggang dari 18 tahun

    Penghantar barangan p-hailing perlu dapatkan lesen GDL, pindaan had umur penuggang dari 18 tahun

    Penunggang penghantar makanan dan bungkusan (p-hailing) perlu mendapatkan lesen penghantar barangan (GDL), itu yang dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu sesi dialog bersama wakil penunggang penghantaran makanan susulan mogok seluruh negara oleh kalangan mereka Jumaat lalu.

    Keperluan baru untuk penunggang p-hailing ini dijangka akan berkuatkuasa selepas tiga undang-undang yang terlibat dipinda; Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715), jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. Menurut JPJ, kos untuk mendapatkan lesen GDL berkenaan ialah RM20 dan sah untuk setahun.

    Pindaan akan datang itu adalah untuk tujuan penyeliaan dan penetapan peraturan, dan akan mengambil kira pandangan daripada pihak terlibat. Keperluan terhadap GDL ini adalah bertujuan untuk mengawal selia kenderaan penghantar barangan untuk kegunaan perniagaan penghantar barangan, terutamanya p-hailing yang menggunakan motosikal.

    Penghantar barangan p-hailing perlu dapatkan lesen GDL, pindaan had umur penuggang dari 18 tahun

    Dalam memastikan daya saing jangka panjang sektor perkhidmatan ini, kawal selia berkenaan turut bertujuan mengambil berat kebajikan penunggan dan pemandu kenderaan p-hailing. Syarat untuk ini termasuklah insurans untuk penunggang dan pemandu, jelas Wee lagi.

    Selain itu, had umur untuk penunggang p-hailing juga akan diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun bagi membolehkan lebih banyak penunggang untuk bekerja dalam p-hailing. Pindaan undang-undang itu akan dibentang untuk didebat dalam sidang Parlimen seterusnya.

     
     
  • JPJ eBid: AMQ dan QCP bakal dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan terdapat dua siri nombor plat pendaftaran baharu yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Perak, AMQ ini akan mula dibuka bidaan pada 13 Ogos 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 17 Ogos. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 18 Ogos 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor plat dari Sarawak pula, QCP, bakal dibuka bidaan bermula 20 Ogos ini dan berlangsung sehingga 10 malam pada 24 Ogos 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaannya ditutup.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Pembinaan Fasa 2 projek SSLR dan LTB di S’wak, Sabah bermula seawal tahun depan; kos RM10.62b

    Pembinaan Fasa 2 projek SSLR dan LTB di S’wak, Sabah bermula seawal tahun depan; kos RM10.62b

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengesahkan Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) telah menerima kelulusan daripada kerajaan pusat dan pembinaannya akan bermula seawal tahun 2023.

    Menurutnya, penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir dengan pembinaannya dijangka mengambil masa selama tiga hingga lima tahun, laporan Bernama.

    Tambah beliau lagi, projek itu bukan saja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai laluan perhubungan utama.

    Pembinaan Fasa 2 projek SSLR dan LTB di S’wak, Sabah bermula seawal tahun depan; kos RM10.62b

    “Pengguna dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Brunei menggunakan laluan projek LTB sepanjang 96 km yang bakal ditambah baik kepada dua lorong untuk perjalanan dua hala.

    “Bagi mereka yang tidak mahu melalui Brunei, boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326 km yang juga kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77 km,” katanya.

    Jelasnya, projek membabitkan kos RM10.62 bilion itu bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.

     
     
  • JPJ Penang saman 235 penunggang motosikal untuk pelbagai kesalahan trafik dalam Op Lejang

    JPJ Penang saman 235 penunggang motosikal untuk pelbagai kesalahan trafik dalam Op Lejang

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah menyaman 235 penunggang motosikal menerusi Op Lejang yang diadakan pada malam minggu lalu. Sebanyak 675 motosikal telah diperiksa, dan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

    Antara kesalahan tersebut ialah penunggang bawah umur, tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan lnsuran, ubahsuai motosikal seperti tiada brek belakang, ubahsuai swing arm, ubahsuai ekzos, saiz tayar terlalu kecil, tidak pamer pelekat P, tiada cermin sisi dan guna nombor pendaftaran fancy.

    Op Lejang ini yang dilaksanakan di dua lokasi iaitu di Tol Juru dan Tol Jambatan Pulau Pinang ini dengan sasaran utama terhadap motosikal yang diubahsuai untuk tujuan uji kelajuan, lumba haram atau rempit, di samping kesalahan trafik lain.

    Turut bersama menyertai Op Lejang ialah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PLUS Berhad.

    Dalam masa yang sama, JPJ menasihati pemilik dan penunggang motosikal supaya patuh pada peraturan dan undang undang berkuatkuasa serta tidak terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram, rempit serta menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya yang boleh merbahayakan penunggang sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    “Pandulah dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Keselamatan di jalan raya menjadi keutamaan Jabatan serta tanggungjawab kita bersama. lngat insan tersayang,” kata JPJ Penang seperti yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasminya.

     
     
  • GALERI: Nissan Serena S-Hybrid Premium Highway Star — MPV 7-tempat duduk pada harga RM163k

    GALERI: Nissan Serena S-Hybrid Premium Highway Star — MPV 7-tempat duduk pada harga RM163k

    Nissan Serena S-Hybrid facelift baru saja dilancarkan untuk pasaran tempatan awal Julai lalu selepas diperkenalkan di Jepun pada 2019. Dua varian disediakan, iaitu Highway Star pada harga RM149,888 dan Premium Highway Star pada harga RM162,888 atas jalan, tidak termasuk insurans dan termasuk SST. Yang anda lihat di dalam galeri ini adalah versi yang paling tinggi, Premium Highway Star.

    Untuk enjin, Serena Hybrid ini masih menggunakan unit MR20DD 2.0 liter empat-silinder suntikan terus petrol dengan kotak gear Xtronic CVT. Enjin ini menjana sebanyak 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm tork pada 4,000 rpm, dan dibantu oleh motor elektrik 1.8 kW (2.6 PS) dan 48 Nm motor elektrik untuk pecutan lebih baik. Penggunaan minyak gabungan adalah 14.2 km/l dalam kitaran NEDC.

    Untuk bahagian luaran, MPV ini ditampilkan dengan gril Majestic Chrome V-Motion baharu yang lebih bergaya dan nampak agresif, bampar hadapan rekaan baharu dengan kemasan hitam berkilat, lampu utama dengan unit projektor automatik bersama larasan auto dan lampu signitur LED. Ia turut diberikan lampu kabus hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan cermin sisi yang boleh dilaras secara automatik.

    GALERI: Nissan Serena S-Hybrid Premium Highway Star — MPV 7-tempat duduk pada harga RM163k

    Nissan Serena S-Hybrid 2022 ini turut ditambahkan dengan ciri keselamatan aktif seperti brek kecemasan sendiri (AEB), amaran ketibaan lorong (LDW) dan amaran titik buta (BSW) serta kepekaan trafik lintasan belakang (RCTA).

    Ini sebagai tambahan kepada kelengkapan keselamatan aktif lain buat Serena S-Hybrid 2022 yang terdiri daripada bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, ABS, EBD dengan bantuan brek, cagak ISOFIX untuk barisan kedua tempat duduk. Untuk keselamatan pasif, kedua-dua varian menerima enam beg udara.

    Pilihan warna pula terdiri daripada Diamond Black, Tungsten Silver, Brilliant White dan Radiant Red; yang terakhir ini warna yang dikhususkan hanya kepada varian Premium Highway Star.

     
     
  • Mercedes lancar kerusi pejabat AMG – berasaskan kerusi AMG Performance dalam kereta; RM16k

    Mercedes lancar kerusi pejabat AMG – berasaskan kerusi AMG Performance dalam kereta; RM16k

    Bukan setakat keluarkan jentera, terkini Mercedes-AMG turut memperkenalkan kerusi pejabat AMG yang didakwa keselesaannya menyamai dengan tempat duduk AMG di dalam jentera prestasi model berkenaan. Kerusi pejabat ini diasaskan dari tempat duduk AMG Performance yang berada di dalam model kompak pengeluar terbabit, termasuk A 45 atau GLA 45 – dengan seberat 32 kg dan harganya setanding kualitinya.

    Harga rasminya mencecah 3,500 euro (RM15,899) dan ia dikeluarkan secara eksklusif, dengan 50 unit pertama diperuntukkan khas untuk ahli Private Lounge. Walau bagaimana pun, difahamkan pada masa hadapan, ia juga akan ditawarkan pada bukan ahli, tetapi jika anda ingin menjadi salah satu daripada pemilik bertuah ini, anda perlu mendaftarkan diri untuk mendapatkannya.

    Dengan harganya yang agak tinggi itu, kerusi pejabat AMG ini diberikan kulit buatan tangan Artico dan upholstery gentian karbon Dinamica. Ia juga dipadankan dengan jahitan kontras merah, dan dilengkapi dengan lencana AMG.

    Walau bagaimana pun, ia tidak diberikan larasan kuasa seperti tempat duduk dalam model AMG, tetapi kerusi pejabat ini memiliki perehat tangan yang boleh dilaras ketinggian, kelebaran dan pangsinya secara manual. Manakala perehat kaki juga boleh dipanjangkan dan terdapat juga larasan untuk sudut kerusi serta bahagian belakangnya, selain dibaluti kusyen yang tebal dan selesa.

     
     
  • Mazda CX-3 1.5L 2022 – harga didedahkan pengedar, bermula RM108k; model 2.0L masih ditawarkan

    Mazda CX-3 1.5L 2022 – harga didedahkan pengedar, bermula RM108k; model 2.0L masih ditawarkan

    Mac lalu, Mazda Malaysia yang diwakili oleh Bermaz Motor telah pun memperkenalkan model kemasikini 2022 untuk Mazda CX-3. Terkini, nampaknya crossover segmen-B yang diimport sepenuhnya (CBU) itu diberikan varian baharu yang lebih mampu milik untuk pasaran tempatan.

    Perkara ini diketahui selepas pembaca paultan.org menunjukkan senarai harga baharu untuk CX-3 dari pengedar, yang kini turut menyenaraikan model CX-3 1.5G dalam varian tunggal 2WD Core, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM107,870, yang jelas lebih murah dari model-model CX-3 dengan enjin 2.0 liter

    Model ini dijana oleh enjin SkyActiv-G 1,496 cc tanpa sebarang induksi paksaan, menghasilkan kuasa 114 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 149 Nm pada takat 4,000 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bagi memacu roda hadapan.

    Mazda CX-3 1.5L 2022 – harga didedahkan pengedar, bermula RM108k; model 2.0L masih ditawarkan

    Padanan unit rakgkaian kuasa ini sebenarnya sama dengan unit yang terdapat pada Mazda 2 Hatchback dan sedan. Pelanggan turut ditawarkan dengan filem penapis haba Activ-e yang berharga RM1,900, menjadikan harga penuhnya ialah RM109,770.

    Senarai harga yang ditunjukkan oleh pengedar berkenaan turut memberikan harga baharu untuk CX-3 dengan enjin 2.0 liter, bermula dengan 2.0G 2WD Core dijual pada harga RM118,159 diikuti varian 2.0G 2WD High dijual pada harga RM131,359. Pembeli untuk model 2.0G High juga ditawarkan dengan opsyen bumbung suria, dengan tambahan harga RM2,000.

    CX-3 2.0G Core dan 2.0G High ini menerima enjin SkyActiv-G 2.0 liter NA yang menghasilkan 154 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 206 Nm bermula 2,800 rpm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bagi memacu roda hadapan.

    Mazda CX-3 1.5L 2022 – harga didedahkan pengedar, bermula RM108k; model 2.0L masih ditawarkan

    Antara perincian yang sudahpun dilengkapkan untuk CX-3 2022 yang telah diumumkan Mac lalu termasuk enam beg-udara, sistem brek dengan ABS dan EBD serta BA, kawalan kestabilan, traction control, isyarat berhenti kecemasan, bantuan mendaki, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, kunci walk away, amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk semua kerusi dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Model kemaskini 2022 tersebut juga kini sudah menerima skrin sesentuh lapan-inci yang lebih besar, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi.

    Pakej bantuan pemanduan i-Activsense turut dipadankan secara standard pada model ini, termasuk sistem seperti High Beam Control (HBC), Lane Departure Warning System (LDWS), Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support (SCBS), Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

    Senarai harga baharu berkenaan turut menyebut bahawa Mazda CX-3 2022 dalan versi 1.5 dan 2.0 kedua-duanya menerima waranti selama lima-tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun 100,000 km.

     
     
  • GALERI: Honda City 1.5 V petrol sedan vs Honda City Hatchback 1.5 RS e:HEV 2022 — RM91k – RM110k

    GALERI: Honda City 1.5 V petrol sedan vs Honda City Hatchback 1.5 RS e:HEV 2022 — RM91k – RM110k

    Kereta segmen B ketika ini mempunyai penawaran yang setara dalam kalangan beberapa jenama utama yang ada. Disember tahun lalu, Honda City Hatchback mula diperkenalkan, menjadikan saingan Honda kini juga dalam “format” reka bentuk yang sama dengan pesaing lain, misalnya Toyota yang mempertaruhkan Vios dan Yaris.

    Dengan kehadiran City Hatchback ini juga, model Jazz tidak lagi ditawarkan untuk pasaran Malaysia, kerana menurut Honda, “jenama” City itu sendiri sudah cukup kuat dan dengan penampilan terkininya itu model berkenaan benar-benar membawa semangat dan penggunaan yang sangat ideal untuk warga kota.

    Untuk itu, dua versi terbaru berkenaan jugalah ditampilkan dalam galeri lengkap ini. Pertama adalah Honda City Sedan 1.5 V, dan adiknya pula diwakili oleh varian yang paling tinggi, Honda City Hatchback 1.5 RS e:HEV.

    GALERI: Honda City 1.5 V petrol sedan vs Honda City Hatchback 1.5 RS e:HEV 2022 — RM91k – RM110k

    Dari segi penampilan, wajah depan kedua-dua model sangat mirip (hanya berbeza dari sudut kemasan, misalnya bahagian grilnya bagi gred kemasan yang berlainan), dengan perbezaan paling ketara adalah dibahagian belakang; jika model sedan nampak lebih bersedia untuk memikul tugasan sebagai kenderaan keluarga, model hatchback pula menampilkan imej yang lebih sporty dan muda.

    City Hatchback ini merupakan model hibrid, dengan janaan kuasa motor elektriknya sebanyak 109 PS/253 Nm, dengan bekalan kuasa juga dari enjin 1.5 liter kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS pada 5,600 rpm dan 127 Nm dari 4,500 rpm hingga 5,000 rpm. Ruang dalamannya juga dibezakan dengan penggunaan kemasan merah.

    Dan sudah tentu kapasiti ruang barangan juga berbeza antar keduanya. Model Sedan memberikan 519 liter, sementara City Hatchback menyediakan 289 liter (841 jika kerusi belakang dilipat). Jika mengambil kira ruang sampai ke bumbung, maka ruang yang tersedia adalah 1,189 liter.

    Untuk melihat dengan lebih lanjut kelainan antara kedua model dan varian yang ada ini, galeri lengkap yang kami sediakan ini boleh dijadikan rujukan.

    Honda City Sedan 1.5 V 2022

    Honda City Hatchback e:HEV 1.5 RS 2022

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025