Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis Johor tak pilih kasih – tindakan tegas untuk kenderaan asing jika didapati melakukan kesalahan

    Polis Johor tak pilih kasih – tindakan tegas untuk kenderaan asing jika didapati melakukan kesalahan

    Sejak sempadan negara kembali dibuka mulai 1 April lalu, sudah beberapa kali netizen menularkan video dan gambar warga negara jiran kita, Singapura, yang membuat onar di sini. Bukan setakat selamba mengisi petrol RON 95 di stesen minyak di Johor, bahkan video memandu laju dan secara berbahaya turut dirakamkan dan ditularkan oleh netizen kita. Perkara ini turut mendapat perhatian Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata pihaknya tidak pilih kasih atau mengamalkan ‘double standard’ terhadap mana-mana pihak, malah sentiasa tegas dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya termasuk kepada warga Singapura. Malah sekiranya wujud kesalahan seperti maklumat yang disalurkan, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut sehingga ke pertuduhan di mahkamah.

    “JSPT sentiasa menjalankan penguatkuasaan secara berterusan seperti Ops Utama (Laju) dan operasi rutin di semua lokasi iaitu lebuh raya, Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran. Berkaitan kenderaan Singapura yang memandu secara melulu, memang tidak dinafikan ada kejadian sebelum ini dan memang tindakan diambil,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Polis Johor tak pilih kasih – tindakan tegas untuk kenderaan asing jika didapati melakukan kesalahan

    Ia adalah bagi mengulas mengenai tindakan beberapa buah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dipandu laju dan memotong secara merbahaya di Persimpangan lampu isyarat Felda Gugusan Adela dari Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar pada Ahad lalu. Orang awam sempat merakamkan video aksi kenderaan terbabit sebelum dimuatnaik ke Facebook dan tular di media sosial.

    Susulan rakaman terbabit pihak polis bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Kota Tinggi membuka kertas siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kumarasan menambah, masyarakat adalah mata dan telinga kepada pihak polis. Di mana kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat banyak membantu dari segi siasatan dan kejayaan untuk pertuduhan di Mahkamah.

    “Sekiranya ada maklumat yang disalurkan kita akan jalankan siasatan lebih-lebih lagi dengan bukti video seperti kes di Kota Tinggi. PDRM khususnya JSPT memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dengan sengaja melanggar peraturan dan undang-undang,” katanya.

     
     
  • BYD tamatkan pengeluaran enjin pembakaran dalaman, beri tumpuan kepada EV dan plug-in hybrid

    BYD tamatkan pengeluaran enjin pembakaran dalaman, beri tumpuan kepada EV dan plug-in hybrid

    Pengeluar kenderaan China BYD telah menghentikan pengeluaran kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya dan mengalihkan perhatian kepada model elektrik sepenuhnya dan plug-in hybrid, lapor Reuters.

    “Di masa hadapan, BYD akan memfokuskan pengeluaran kenderaan elektrik dan plug-in hybrid,” jelas pengeluar itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Saham Hong Kong.

    Bagaimanapun, ini bukanlah pengakhiran kepada enjin pembakaran dalaman yang akan dihasilkan oleh BYD, memandangkan syarikat itu akan terus mengeluarkan enjin petrol berkapasiti kecil untuk kegunaan sistem plug-in hybrid. Langkah untuk menghentikan pengeluaran kenderaan dengan enjin biasa ini adalah selari dengan ikrar kerajaan China untuk mengurangkan pembebasan karbon menjelang 2030.

    BYD menghasilkan sebanya 104,878 unit kenderaan tenaga baru (NEV) di China pada Mac, menjadikan jualan bulan itu yang tertinggi bagi jenama berkenaan dengan jumlah yang berlipat kali ganda daripada 24,218 unit yang dicapai dalam bulan sama tahun lalu. Daripada jumlah ini, 53,664 unit merupakan kenderaan elektrik dan 50,674 unit kenderaan plug-in hybrid, serta 540 unit NEV komersial.

    Walaupun akan memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik dan elektrifikasi, syarikat ini bagaimanapun akan tetap menyediakan sokongan lepas jualan dan alat ganti kepada pelanggan dengan enjin biasa sebelum ini, sepanjang jangka hayat kenderaan terlibat.

    Model terbaru diperkenalkan oleh BYD adalah Seal, model elektrik penuh yang menggunakan e-platfrom 3.0 yang bersaing dengan Tesla Model 3. EV terbaru itu memanfaatkan struktur elektrik 800-volt, dan dengan pek bateri Blade EV-nya, akan memberikan Seal jarak perjalanan 700 km bagi setiap pengecasan.

    Versi pacuan roda belakang Seal EV datang dalam varian 204 hp dan 312 hp, sementara veri prestasi dengan dua motor menampilkan motor 217 hp di gandar depan yang disertai oleh unit 312 hp di belakang untuk menghasilkan output sistem 530 hp. Dalam konfigurasi ini, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

    Pengeluaran BYD Seal adalah dari kilang Changzhou, yang mana 60,000 unit akan dikeluarkan setahun. Syarikat mensasarkan jualan 5,000 unit Seal sebulan.

     
     
  • Geely Coolray facelift 2022 dilancar di Filipina – skrin besar 12.3″; tapi enjin 1.5L 3-silinder TGDi, 7DT kekal

    Geely Coolray facelift 2022 dilancar di Filipina – skrin besar 12.3″; tapi enjin 1.5L 3-silinder TGDi, 7DT kekal

    Geely Coolray facelift 2022 akan dilancarkan di Filipina, menerusi penganjuran Manila International Auto Show (MIAS) yang bakal membuka tirainya pada hujung minggu ini. Pengumuman tersebut dilakukan sejurus selepas Geely memperkenalkan Coolray GT Limited Edition di republik berkenaan, menjadikannya sebagai negara pertama di luar China yang menerima SUV yang dikemaskini itu.

    Model facelift ini berasaskan Binyue Pro 2021, dan bukanlah versi terkini dengan rekaan semula yang lebih sarat untuk bahagian hadapannya.

    Elemen baharu yang diberikan termasuklah gril jejaring honeycomb yang menggantikan unit kosmos terdahulu, serta lapisan tunggal bagi lip hadapan, berbanding dwi-lapisan pada model semasa. Lampu utamanya masih dikekalkan, tetapi dipertingkatkan dengan welcome light apabila dinyahkunci.

    Geely Coolray facelift 2022 dilancar di Filipina – skrin besar 12.3″; tapi enjin 1.5L 3-silinder TGDi, 7DT kekal

    Di dalamnya, model facelift bagi Coolray ini menerima skrin infotainmen yang lebih besar bersaiz 12.3-inci, dengan intrumentasi pemandu masih dalam bentuk digital. Juga diberikan sistem pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna, kemasan dalaman dwi-tona dan bumbung suria panoramik.

    Geely Filipina turut mengesahkan bahawa SUV baharu ini akan menggunakan enjin yang sama iaitu 1.5 liter TGDi tiga-silinder seperti sebelum ini, dengan kuasa 177 PS dan tork 255 Nm. Untuk makluman anda, model facelift yang terkini telah memperkenalkan enjin baharu 1.5 liter turbo empat-silinder yang mampu memberikan kuasa lebih padu mencecah 181 PS.

     
     
  • Rapid KL sedang uji penggunaan bas elektrik di sekitar Kuala Lumpur sehingga 13 Jun 2022

    Rapid KL sedang uji penggunaan bas elektrik di sekitar Kuala Lumpur sehingga 13 Jun 2022

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL telah memaklumkan pihaknya sedang melakukan percubaan pengunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan basnya di beberapa laluan bas terpilih. Percubaan ini melibatkan empat buah bas elektrik, dan berlangsung selama tiga bulan sehingga 13 Jun 2022.

    Menurut syarikat ini, dua laluan percubaan yang terlibat adalah Laluan 400 iaitu Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang, dan Laluan 650 (Taman Desa ke Hab Pasar Seni).

    “Percubaan penggunaan bas elektrik ini adalah selari dengan pelan transformasi Rapid Bus melalui Program Elektrifikasi Bas yang mana bas diesel sedia ada akan digantikan dengan bas elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohammad Yazurin Sallij.

    Rapid KL sedang uji penggunaan bas elektrik di sekitar Kuala Lumpur sehingga 13 Jun 2022

    Sebelum ini, Rapid Bus sudah mula menggunakan bas elektrik sejak tahun 2015 bagi koridor BRT Sunway dalam usaha mewujudkan persekitaran yang terkawal. Sebanyak 15 buah bas elektrik telah digerakkan dengan jumlah perjalanan lebih dari 659,000 kilometer menggunakan kaedah “overnight charging” atau pengecasan semalaman.

    “Inisiatif ini juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050,” sambung Mohammad Yazurin lagi.

    Dalam masa yang sama, beliau berharap sepanjang tempoh percubaan ini berlangsung, penumpang atau penduduk di sepanjang laluan-laluan terlibat tidak melepaskan peluang untuk mencuba perkhidmatan bas elektrik ini dan memberikan maklum balas tentang bagaimana perkhidmatan ini dapat dipertingkatkan lagi.

     
     
  • Honda City – sedan segmen-B terlaris di Malaysia

    Honda City – sedan segmen-B terlaris di Malaysia

    Honda Malaysia (HMSB) telah mengumumkan menerusi Facebook bahawa model City telah diangkat sebagai sedan segmen-B terlaris di Malaysia bagi suku pertama tahun 2022, menurut laporan data dalamannya sendiri. Ini bermakna ia telah mengatasi pencabar terdekatnya seperti Toyota Vios, Nissan Almera dan Proton Persona dalam tiga bulan pertama tahun ini.

    Walau pun HMSB tidak memberikan sebarang angka jualan, namun jualan bulanan dijangka lebih tinggi berbanding yang dicatatkan oleh Persona iaitu sebanyak 1,675 unit pada bulan Februari, di mana model itu menduduki tempat kedua dalam segmennya, seperti mana yang didakwa oleh Proton sebelum ini.

    Nampaknya Honda juga mempunyai stok tersedia buat City bagi menampung permintaan pelanggan yang ingin membelinya dalam tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) masih berlangsung. Ini merupakan bonus yang boleh dikatakan terbaik buat Honda khususnya, kerana dalam saat ini, kebanyakan pengeluar kereta lain masih bergelut dengan isu kekurangan alat ganti dan cip semikonduktor. Contohnya, Vios, yang telah kehabisan stok sehingga pengecualian SST tamat pada 30 Jun ini.

    Untuk pengetahuan, City versi sedan dilancarkan pada Oktober 2020 dengan menawarkan empat varian iaitu 1.5 S (RM74,191), 1.5 E (RM81,665), 1.5 V (RM86,561) dan RS e:HEV Hybrid (RM105,950). Varian di bawah RS iaitu 1.5 V Sensing, telah ditambah kelengkapan Honda Sensing yang menampilkan ciri keselamatan aktif (termasuk brek kecemasan sendiri dan kawalan kelajuan adaptif). Ia diperkenalkan pada hujung tahun lepas yang diposisikan di antara varian V dan RS, berharga RM90,212. Semua harga yang disenaraikan ini termasuk dengan 100% pengecualian SST.

    Model petrol dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated i-VTEC yang mampu menghamburkan kuasa 121 PS dan tork 145 Nm, dipadankan dengan CVT secara standard. Manakala varian e:HEV pula digandingkan dengan motor elektrik 109 PS/252 Nm yang dipacukan oleh penjana kuasa 1.5 liter kitaran-Atkinson 98 PS/127 Nm.

    Selain versi sedan, kini Honda turut menawarkan City dalam bentuk hatchback, walau pun kebarangkalian ia agak sukar untuk menduduki carta teratas dalam segmennya, kerana umum mengetahui Perodua Myvi kekal utuh mendominasi kendudukan tersebut.

    GALERI: Sedan Honda City RS e:HEV 2021 di Malaysia

     
     
  • PDRM bertegas rakam video guna telefon pintar ketika memandu boleh didenda RM1k atau penjara 3 bulan!

    PDRM bertegas rakam video guna telefon pintar ketika memandu boleh didenda RM1k atau penjara 3 bulan!

    Adakah anda mempunyai tabiat gemar merakam video menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu? Ini merupakan salah satu kesalahan lalu lintas yang dipandang serius. Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sekali lagi mengulangi amaran yang sama berhubung dengan pelakuan ini yang terang-terangan menyalahi undang-undang lalu lintas.

    Jika anda ditangkap sedang menggunakan telefon pintar sewaktu memandu (sama ada merakam aksi anda sendiri untuk kandungan media sosial, filem atau sebagainya), ia dianggap melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Seksyen 17A dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 yang dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah.

    PDRM berkata, jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan. Sekiranya ia adalah sabitan kali kedua, hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    “Adalah sebaiknya penumpang sahaja yang merakamkan video berkenaan atau boleh menggunakan dashcam. Sekiranya perakam yang juga merupakan pemandu kenderaan semasa itu, mereka juga dikira menggunakan telefon bimbit dan ini merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah 17A Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan 1959.

    “Ini kerana pemandu tidak peka dan boleh hilang kawalan sekiranya menggunakan telefon bimbit dan merisikokan berlakunya kemalangan,” ujar kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

    Dalam masa yang sama pengguna jalan raya dinasihati agar sentiasa menggunakan alat bebas tangan seperti earphone jika mahu menjawab panggilan. Sekali lagi, perlu diingatkan bahawa jangan menggunakan telefon untuk merakam video/live semasa memandu kerana ia menjadikan anda tidak fokus dan tidak peka kepada keadaan sekeliling semasa pemanduan.

     
     
  • Mitsubishi Colt 2023 – teaser disiar, rebadge dari Renault Clio, Hybrid EV, diproduksi di Bursa, Turki

    Mitsubishi Colt 2023 – <em>teaser</em> disiar, <em>rebadge</em> dari Renault Clio, Hybrid EV, diproduksi di Bursa, Turki

    Idea untuk menghasilkan model generasi baharu untuk Mitsubishi Colt/Mirage sudahpun disebut oleh jenama tiga-berlian berkenaan sejak 2017, selepas ia menjadi sebahagian anggota Pakatan Renault Nissan. Ia disebut bakal muncul pada 2019, namun tiada berita susulan mengenainya selepas itu.

    Kali ini bukan lagi khabar angin mahupun cakap-cakap kosong – Mitsubishi secara rasmi telah mendedahkan imej teaser untuk Colt generasi baharu yang bakal muncul tidak lama lagi! Ia bakal membuat kemunculan sempena ulang tahun ke-60 Colt selepas model generasi pertama Colt 600 muncul pada tahun 1962.

    Model tersebut juga telah disahkan akan menggunakan platform CMF-B yang sama dengan Renault Clio dan juga Nissan Micra, dan bakal diproduksi di fasiliti Pakatan berkenaan yang terletak di Bursa, Turki. Imej teaser tersebut menunjukkan bahawa Colt akan dihasilkan sebagai hatchback lima-pintu dengan bayangan badan yang hampir sama dengan Renault Clio termasuk pembuka pintu belakang yang ‘disorokkan’ untuk kelihatan seperti model tiga-pintu.

    Apa yang berbeza adalah pada bahagian hadapan yang diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi, tampil dengan elemen krom berbentuk-X pada gril hadapan dan bersambung dengan ‘kening’ yang mungkin adalah jalur lampu nyalaan siang di atas lampu hadapan utama. Ia turut diberikan emblem ‘Hybrid EV’ pada pintu hadapan, yang menandakan ia mungkin berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Renault Clio E-Tech.

    Mitsubishi Colt 2023 – <em>teaser</em> disiar, <em>rebadge</em> dari Renault Clio, Hybrid EV, diproduksi di Bursa, Turki

    Clio E-Tech menerima enjin 1.6 liter NA yang digandingkan dengan unit starter-generator serta satu lagi motor elektrik lebih besar, bersama kotak gear tanpa klac pelbagai-mod. Sistem elektrikal untuk teknologi hibrid berkenaan beroperasi dengan seni bina elektrikal 230 V, bersama bateri berkapasitu 1.2 kWj, memberikan kuasa keseluruhan 140 hp.

    Menurut Renault, sekiranya Clio E-Tech ini dipandu di kawasan bandar, 80% pemanduan boleh dibuat dengan hanya kuasa elektrik, membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api 40% lebih jimat berbanding versi petrol sepenuhnya. Clio E-Tech ini juga boleh bergerak pada kelajuan 75 km/j dalam mod elektrik penuh.

    Januari lalu, Mitsubishi turut mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan SUV kompak ASX generasi baharu. Model berkenaan juga merupakan kembar kepada Renault Captur, iaitu versi SUV untuk Clio – juga menggunakan platform CMF-B yang sama.

     
     
  • Salah guna RON95 oleh warga Singapura: dua stesen minyak di Johor Bahru sedang disiasat – KPDNHEP

    Salah guna RON95 oleh warga Singapura: dua stesen minyak di Johor Bahru sedang disiasat – KPDNHEP

    Selepas tular banyak gambar gambar-gambar kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang mengisi petrol RON95 di sekitar Johor Bahru sejurus pintu sempadan dibuka bermula 1 April lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan bahawa mereka telah menerima tujuh aduan berhubung dakwaan penyelewengan petrol bersubsidi berkenaan.

    Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam dalam laporan Bernama, kesemua kes berkenaan dilaporkan berlaku di Johor dan dua stesen minyak kini sedang disiasat, dan siasatan berkenaan sedang dimuktamadkan. Azman mengulas perkara tersebut dalam satu sidang media di Putrajaya semalam.

    “Jika kuantiti petrol RON 95 digunakan pihak yang tidak berkelayakan, ia akan menjejaskan bekalan untuk rakyat kita sendiri,” kata Azman.

    Selain dari membuat siasatan berkenaan aduan yang diterima, KPDNHEP turut telah menjalankan pemantauan rutin di stesen-stesen minyak sekitar Johor Bahru bermula 4 April lalu bagi memastikan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak menyalah guna petrol RON95 yang masih diberikan subsidi oleh kerajaan Malaysia.

    Salah guna RON95 oleh warga Singapura: dua stesen minyak di Johor Bahru sedang disiasat – KPDNHEP

    Kementerian berkenaan turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

    Buat masa sekarang petrol RON95 di Malaysia masih dijual pada harga RM2.05 seliter, di mana harga siling berkenaan boleh dikekalkan dengan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai perbandingan, petrol RON97 yang tidak diberikan subsidi kini sudahpun mencecah RM3.91 seliter.

    Manakala di Singpapura, buat masa sekarang petrol RON95 dijual pada harga sekitar SG$3 (RM9.31) seliter dan RON 98 pula sekitar SG$3.47 (RM10.77) seliter. Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna , Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan pada Sabtu lepas juga mengingatkan pengusaha stesen minyak yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing boleh dikenakan tindakan tegas.

     
     
  • Hyundai Kona Electric – 13 unit telah diserah kepada pelanggan di M’sia, 100+ unit pertama habis dijual!

    Hyundai Kona Electric – 13 unit telah diserah kepada pelanggan di M’sia, 100+ unit pertama habis dijual!

    Selepas dilancarkan pada November tahun lalu, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) kini sudahpun menyerahkan 13 unit pertama Hyundai Kona Electric kepada pelanggan di Malaysia. Penyerahan bersejarah ini dibuat di bilik pameran Hyundai di Ara Damansara, menyaksikan Kona Electric dalam semua varian – Lite, PLus dan Max – serta pelbagai warna badan telah diterima oleh pelanggan-pelanggan awal yang menempah SUV kuasa elektrik sepenuhnya (EV) itu.

    Menurut HSDM, kumpulan pertama Kona Electric yang berjumlah lebih 100 unit telah pun habis dijual dalam masa yang singkat sejurus model ini dilancarkan. Ia dijual pada harga bermula RM149,888 untuk varian asas Lite dengan bateri 39.2 kWj, RM169,888 untuk varian Plus dengan bateri yang sama tetapi diberikan kelengkapan lebih tinggi. Model dengan bateri berkapasiti paling besar 64 kWj iaitu varian Max pula dijual pada harga RM199,888.

    Bagi model Lite dan Plus, bateri berkenaan membolehkan ia bergerak sejauh 305 km untuk satu cas penuh. Ia dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS/393 Nm, bagi memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta mampu mencapai kelajuan maksima 155 km/j.

    Manakala untuk varian Max, bateri 64 kWj tersebut membolehkan SUV berkenaan bergerak sejauh 484 km dengan sekali cas. Dipadankan dengan motor 204 PS/395 Nm yang lebih berkuasa, varian tertinggi ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 167 km/j.

    “Segmen EV yang semakin berkembang terus mempunyai potensi yang luas di Malaysia dalam masa yang sama kami berusaha ke arah penyahkarbonan dalam industri automotif. Kami terus fokus untuk menyokong penggunaan EV, seterusnya menyumbang kepada Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon kerajaan. Oleh itu, kami gembira melihat maklum balas yang sangat positif daripada pelanggan terhadap Hyundai Kona Electric, jelas menunjukkan minat yang semakin tinggi terhadap kenderaan EV di kalangan rakyat Malaysia,” kata Jeffrey Gan, pengarah urusan peruncitan dan pengedaran Sime Darby Motors Malaysia.

    “Kona Electric dan Ioniq 5 telah merekodkan maklum balas yang menakjubkan. Ini sememangnya mencerminkan penerimaan pasaran yang semakin meningkat oleh pelanggan dan pengiktirafan terhadap manfaat besar EV. Kami berbesar hati untuk menyerahkan kumpulan pertama Kona Electric kepada pelanggan, dan memandangkan kadar pengambilan yang kukuh dengan tempahan masuk dengan pantas, kami menggalakkan pelanggan membuat pesanan mereka secepat mungkin!” kata Low Yuan Lung, pengarah urusan HSDM.

    Pemilik-pemilik Kona Electric kumpulan pertama ini akan menerima kad ChargEV secara percuma, yang memberikan akses kepada lebih 300 stesen pengecas di seluruh negara. Menurut HSDM, mereka mempunyai sekumpulan juruteknik untuk EV, yang telah diberikan latihan servis dan penyelenggaraan berkelas dunia oleh Hyundai. Kemahiran juruteknik-juruteknik ini ditambah lagi dengan latihan tambahan yang diberikan oleh Kolej Automotif TOC.

    Berminat dengan Kona Electric ini? Anda boleh melihat dengan lebih dekat dan memandu uji model berkuasa elektrik sepenuhnya brkenaan di bilik pameran Hyundai di Ara Damansara, Jalan Klang Lama dan juga di Citystore Pulau Pinang.

    Hyundai Kona Electric Lite 39.2 kW

    Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW

    Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW

     
     
  • Yamaha Y15ZR 2022 tiba dalam warna baru – RM8.5k

    Yamaha Y15ZR 2022 tiba dalam warna baru – RM8.5k

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini memperkenalkan penampilan baru bagi Y15ZR tahun 2022, yang terdiri daripada satu warna baru, iaitu hijau gelap dengan grafik hitam serta biru, kelabu dan cyan yang hadir dengan grafik berbeza berbanding sebelum ini. Harga untuk model ini adalah RM8,498, iaitu meningkat sedikit berbanding RM8,168 yang ditetapkan pada tahun 2020.

    Perincian lain Y15ZR V2 ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

    Harga yang dinyatakan di atas adalah harga cadangan pengeluar, dan setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Honda Malaysia lantik Hironobu Yoshimura sebagai CEO, Pengarah Urusan baru; gantikan Madoka Chujo

    Honda Malaysia lantik Hironobu Yoshimura sebagai CEO, Pengarah Urusan baru; gantikan Madoka Chujo

    Honda Malaysia telah mengumumkan pelantikan Hironobu Yoshimura sebagai Pengarah Urusan dan CEO baharu berkuatkuasa 1 April 2022. Perlantikan Yoshimura adalah bagi menggantikan Madoka Chujo, yang kembali ke Jepun untuk memegang jawatan baharu di Honda Motor Company dalam jabatan jualan bagi unit penyeliaan operasi jualan automobil.

    “Saya sangat teruja dengan peranan baharu di Honda Malaysia. Ini adalah negara unik dan merupakan pasaran penting di rantau Asia dan Oceania bagi kami di Honda. Rakan sejawatan saya yang terdahulu telah membina jenama Honda di Malaysia dengan mencapai kejayaan seperti sekarang ini; sebagai pelopor dalam memperkenalkan teknologi termaju Honda di rantau ini, melancarkan model baharu yang menarik dan menerajui segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama bertahun-tahun,” ulas Yoshimura.

    Tambah beliau, “Paling penting, Honda Malaysia telah melalui pelbagai cabaran yang mendatang sejak sekian lama. Saya berharap untuk menerajui syarikat dalam persekitaran perniagaan pasca pandemik dan menyumbang secara positif ke arah pertumbuhan syarikat.”

    Honda Malaysia lantik Hironobu Yoshimura sebagai CEO, Pengarah Urusan baru; gantikan Madoka Chujo

    Yoshimura memiliki pengalaman selama 34 tahun dan telah membina kepakarannya dalam pelbagai cabang bagi perancangan korporat, perancangan perniagaan, pemasaran dan juga perkhidmatan selepas jualan. Sebelum ditugaskan ke Malaysia, beliau merupakan Presiden dan CEO bagi Honda Atlas Cars (Pakistan) Limited dan turut memegang beberapa jawatan penting di negara lain termasuk Jepun dan Thailand.

    “Saya juga berbesar hati untuk berkongsi berdasarkan data dalaman kami, di mana tiga model Honda telah mendahului segmen masing-masing bagi suku pertama 2022. Model tersebut ialah City, City Hatchback serba baharu dan Civic serba baharu,” kata beliau lagi.

    Rakan sejawat Yoshimura yang terdahulu, Chujo, pertama kali menyertai Honda Malaysia pada April tahun lalu, walaupun dalam tempoh perkhidmatan yang singkat, syarikat tersebut telah menperoleh pencapaian yang ketara. Ini termasuk mengekalkan kedudukan teratas dalam segmen kenderana penumpang bykan nasional selama lapan tahun berturut-turut sejak 2014, serta pelancaran City Hatchback pada Disember 2021 dan Civic terbaharu pada Januari 2022. Chujo juga berkesempatan meraikan pencapaian satu juta unit pengeluaran baru-baru ini.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L biturbo diesel akan ditawarkan, 3.0L V6 untuk pasaran terpilih

    Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L biturbo diesel akan ditawarkan, 3.0L V6 untuk pasaran terpilih

    Dengan pengenalan Ford Ranger Raptor generasi kedua, model prestasi bagi trak pikap berkenaan bakal dilengkapi dengan pilihan enjin 3.0 liter turbocas petrol V6 serta enjin 2.0 liter biturbo diesel yang turut digunakan oleh Ranger versi lain.

    Bagi pasaran Australia, ada khabar angin menyatakan varian prestasi tinggi itu akan dikuasakan oleh enjin petrol di sana, dengan unit diesel akan memasuki pasaran lain, lapor Car Expert.

    “Enjin V6 petrol selalu menjadi nadi bagi Ranger Raptor bagi model generasi ini, tetapi kami juga sedia maklum yang ada pelanggan masih inginkan penjimatan dari enjin diesel. Untuk itu, penawaran enjin biturbo empat-silinder diesel untuk sesetengah pasaran akan diteruskan,” ujar Ketua Jurutera Program Ranger Raptor, Dave Burn.

    Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L biturbo diesel akan ditawarkan, 3.0L V6 untuk pasaran terpilih

    “Bukan di Australia, tetapi di pasaran lain yang mana enjin V6 kurang sesuai, enjin biturbo empat-silinder diesel akan diteruskan,” sambungnya, merujuk kepada unit 2.0 liter biturbo diesel yang menjana sebanyak 213 PS dan 500 Nm.

    Enjin 3.0 liter turbocas petrol V6 pada Ranger Raptor menghasilkan 397 PS pada 5,650 rpm dan 583 Nm tork pada 3,500 rpm, yang digandingkan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan dan pacuan empat roda — ini enjin yang sama ditawarkan pada Ford Ranger Raptor 2023 yang dijual di Thailand.

    Ranger Raptor juga dibezakan dengan kelengkapan prestasi untuk off-road, seperti penyerap hentak 2.5-inci Fox dengan ciri Live Valve serta lengan atas dan bawah aluminium ringan dan sistem kawalan Bottom-Out yang menghindari kenderaan daripada hilang kestabilan ketika memecut. Tayar yang digunakan oleh Ranger Raptor 2023 ini adalah BFGoodrich K02 dengan saiz 285/70R17.

     
     
  • Perodua minta kerajaan pertimbangkan sambungan tempoh pengecualian cukai, dapat bantu pertumbuhan

    Perodua minta kerajaan pertimbangkan sambungan tempoh pengecualian cukai, dapat bantu pertumbuhan

    Sama seperti pengeluar lain, Perodua juga tidak terkecuali menerima kesan daripada Covid-19, yang mengganggu bekalan komponen serta pengeluaran. Meskipun masalah ini masih wujud sehingga sekarang, syarikat itu memberitahu mereka dapat bekerjasama dengan pembekal dan pengedar untuk mengurangkan kesannya.

    Ini dapat dilihat melalui jumlah jualan yang bertambah baik pada suku pertama tahun 2022, di mana mereka menjual 61,624 buah kenderaan, iaitu peningkatan 6.4% berbanding jumlah 57,909 yang dicatat tempoh sama tahun lepas. Pada bulan Mac, Perodua mendaftar 26,759 buah kenderaan, dan ini bersamaan peningkatan 9.5% berbanding 24,433 unit yang dijual pada bulan sama tahun lepas.

    Sempena syarikat itu sedang cuba mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelangan sebelum pengecualian cukai berakhir 30 Jun ini, presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk menyambung lagi tempoh pengecualian cukai ini, seperti permohonan yang dibuat oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Perodua minta kerajaan pertimbangkan sambungan tempoh pengecualian cukai, dapat bantu pertumbuhan

    “Perodua juga menyokong permohonan yang dibuat oleh MAA untuk menyambung lagi tempoh pengecualian cukai jualan ini disebabkan faktor-faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor di seluruh dunia dan kes Covid-19 masih memberi impak kepada industri,” kata beliau sambil menambah bahawa langkah itu akan banyak membantu industri.

    “Buat masa sekarang, ekosistem automotif tempatan baru mula hendak pulih dan sambungan pengecualian cukai jualan ini adalah sesuatu yang diperlukan demi mengekalkan pertumbuhan dalam waktu pemulihan ini,” jelas beliau. Zainal berkata, industri automotif, termasuk ekosistem tempatannya dapat mengekalkan permintaan yang tinggi dan menyokong industri sepanjang waktu pandemik hasil daripada inisiatif cukai jualan yang dibuat oleh kerajaan ini.

     
     
  • KPDNHEP pantau stesen minyak sekitar Johor Bahru, elak kenderaan Singapura isi petrol RON95 bersubsidi

    KPDNHEP pantau stesen minyak sekitar Johor Bahru, elak kenderaan Singapura isi petrol RON95 bersubsidi

    Selepas tular gambar-gambar kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang mengisi petrol RON95 di sekitar Johor Bahru tempoh hari, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah pun melakukan pemantauan di stesen-stesen minyak sekitar bandaraya berkenaan bermula semalam.

    Menurut hantaran yang dibuat di laman Facebook KPDNHEP Johor, pemantauan rutin ini dijalankan bagi memastikan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak menyalah guna petrol RON95 yang masih diberikan subsidi oleh kerajaan Malaysia.

    Lebih dari 40 stesen minyak telah diperiksa oleh KPDNHEP bermula pukul 9.00 malam semalam, melibatkan stesen-stesen minyak di sepanjang Jalan Tebrau menghala ke Jalan Pandan, sepanjang Jalan Tun Razak menghala ke jalan Skudai, sepanjang Lingkaran Dalam, Jalan Tampoi, Senai dan Kulai.

    “Selain daripada membuat peringatan kepada pekerja di stesen minyak, teguran juga diberikan kepada pemilik kenderaan bernombor pendaftaran negara asing agar tidak membeli RON95.

    “Sehubungan dengan itu, KPDNHEP Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik stesen minyak yang gagal memantau penyalahgunaan RON95 mengikut undang-undang,” tulis KPDNHEP dalam hantaran media sosial berkenaan.

    Kementerian berkenaan turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

    Buat masa sekarang petrol RON95 di Malaysia masih dijual pada harga RM2.05 seliter, di mana harga siling berkenaan boleh dikekalkan dengan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai perbandingan, petrol RON97 yang tidak diberikan subsidi kini sudahpun mencecah RM3.91 seliter.

    Manakala di Singpapura, buat masa sekarang petrol RON95 dijual pada harga sekitar SG$3 (RM9.31) seliter dan RON 98 pula sekitar SG$3.47 (RM10.77) seliter. Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025