Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ducati V21L diuji atas litar – jentera prototaip MotoE

    Ducati V21L diuji atas litar – jentera prototaip MotoE

    Bermula pada musim 2023, Ducati telah dipilih untuk menjadi pembekal utama untuk jentera lumba FIM Enel MotoE World Cup menggantikan Energica. Petunjuk awal untuk jentera elektrik itu kini sudah boleh dilihat apabila Ducati mendedahkan prototaip yang dipanggil sebagai V21L sewaktu ia menjalani ujian litar di Misano.

    Menurut pengarah Ducati eMobility, Roberto Cane yang mengetuai projek motosikal elektrik pertama Ducati ini, ia melibatkan banyak cabaran unik terutamanya berkenaan objektif prestasi dan skala masa yang diberi. “Atas sebab ini, apa yang dilakukan oleh seluruh pasukan yang terlibat dalam projek ini adalah sangat menakjubkan dan hasil hari ini menggantikan semula segala usaha yang telah dibuat beberapa bulan lepas,” kata Cane.

    Bagi projek ini, selain prestasi, Ducati juga mahu memberikan fokus kepada kawalan berat serta ketetapan penyampaian kuasa sepanjang perlumbaan. Ia dapat dicapai melalui perhatian yang diberi kepada pembangunan sistem penyejukan yang bersesuaian dengan jentera ini.

    Ducati V21L diuji atas litar – jentera prototaip MotoE

    Pengalaman Ducati daripada perlumbaan motosikal elektrik ini akan memberi sokongan penting kepada pembangunan dan penyelidikan produk. Apabila teknologi itu sudah ada nanti, mereka mensasarkan untuk mencipta kenderaan elektrik kegunaan jalan raya biasa sendiri, yang sporty, ringan, mengujakan dan boleh memuaskan semua penggemar motosikal.

    Michele Pirro yang menguji motosikal elektrik ini menyatakan beliau sangat teruja. “Motosikal ini ringan dan mempunyai keseimbangan yang baik. lagipun, sambungan pendikit pada fasa pembukaan dan ergonomiknya adalah hampir sama seperti jentera MotoGP.”

     
     
  • UMW umum bantuan untuk pemilik Toyota terjejas banjir – tunda percuma, diskaun 25%, ansuran mudah

    UMW umum bantuan untuk pemilik Toyota terjejas banjir – tunda percuma, diskaun 25%, ansuran mudah

    Pengedar kenderaan jenama Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa mereka kini menawarkan program Bantuan Banjir Toyota untuk pemilik-pemilik Toyota yang terjejas dengan musibah banjir baru-baru ini.

    Program tersebut termasuk diskaun 25% dari bil keseluruhan pembaikkan, termasuk alat ganti ganti dan kos buruh serta perkhidmatan tunda percuma.

    Pemilik Toyota yang mahu menghantar kereta mereka untuk dinilai dan diberikan anggaran kos baik pulih, termasuk kerja-kerja menanggalkan komponen juga akan ditawarkan tanpa sebarang caj. Malah, UMWT turut menawarkan plan bayaran ansuran mudah dengan faedah 0% untuk pelanggan yang layak.

    Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy berkata walaupun apa yang dihulurkan oleh syarikatnya tidak seberapa berbanding kehilangan dan kesusahan yang dihadapi oleh mangsa banjir kali ini, beliau berharap program Bantuan Banjir Toyota ini untuk meringankan beban sebahagian rakyat Malaysia.

    “Pelanggan kami adalah sangat berharga buat kami dan menerusi program ini, kami mahu meringankan sebahagian beban mereka, walaupun hanya sedikit, bagi membantu mereka yang terkesan untuk bangkit semula. Kami amat berharap agar pemulihan untuk komuniti ini berjalan secepat mungkin dan pasukan di Toyota memanjatkan doa ikhlas kami untuk keselamatan semua rakyat Malaysia,” kata Kurusamy.

    UMWT turut menyatakan bahawa semua pusat servis serta pusat pembaikan badan dan cat Toyota akan terus dibuka ketika tempoh kritikal ini bagi memastikan pelanggan yang terjejas mempunyai akses kepada pertolongan dan servis yang diperlukan oleh kenderaan-kenderaan yang terlibat dengan banjir tersebut.

    Bagi mereka yang memerlukan bantuan, mereka boleh berhubung dengan aplikasi mudah alih 24Seven Road Assist atau menghubungi talian 1800 886 9862.

     
     
  • Pemilik kereta Subaru yang terjejas dengan banjir boleh dapat 15% diskaun untuk alat ganti – TC Subaru

    Pemilik kereta Subaru yang terjejas dengan banjir boleh dapat 15% diskaun untuk alat ganti – TC Subaru

    TC Subaru Sdn Bhd telah mengumumkan bantuan untuk para pemilik kenderaan Subaru di Malaysia yang terjejas dengan banjir kilat yang melanda sejak Sabtu lalu. Bantuan tersebut merupakan pemberian diskaun sebanyak 15% bagi semua alat ganti dan ia boleh didapati di semua pusat servis Subaru yang bertauliah di seluruh negara.

    “Kami ingin menghulurkan bantuan kepada semua pemilik kenderaan Subaru yang terjejas dengan bencana banjir pada hujung minggu lalu. Dengan tawaran diskaun tersebut, diharap ia dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh pelanggan kami, di samping memastikan kenderaan mereka terus selamat digunakan,” ujar Country Manager TC Subaru Sdn Bhd, Eugene Tay.

    Untuk pemilik kenderaan Subaru berkenaan, bolehlah menghubungi Talian Bantuan Subaru di 1800-22-9898 atau terus membawa kenderaan masing-masing ke pusat servis Subaru bertauliah yang berhampiran sebelum 31 Disember 2021.

     
     
  • Kereta baru vs terpakai — apa yang lebih dan kurang?

    Kereta baru vs terpakai — apa yang lebih dan kurang?

    Beli kereta baru atau kereta terpakai? Ini pertanyaan yang tak akan pernah selesai. Kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, dan kami senaraikan di sini sebagai panduan kepada yang mungkin sedang dalam dilema.

    Kereta baru dengan jaminan pengeluar, tapi mahal

    Kita mulakan dengan kelebihan membeli kereta baru dan menjadi pemilik pertamanya, serta menikmati jaminan pengeluar (dan juga servis percuma, jika ada). Ini tempoh usia kenderaan yang jarang-jarang ada masalah. Dan sekiranya ada pun, anda boleh menghantar semula kenderaan untuk memeriksaan atau tuntutan jaminan — semua itu akan ditanggung sepenuhnya dan percuma. Ini juga hal yang akan melegakan fikiran anda, terutama bagi mereka yang pertama kali memiliki kereta dan kurang arif tentangnya.

    Membeli kereta baru juga akan memberikan anda teknologi baru dalam pasaran ketika itu, termasuklah kelengkapan keselamatan yang ada hari ini. Tetapi semua ini ada kosnya, kerana harga kereta terbabit akan berada pada tahap tertinggi dalam hayat kenderaan itu. Nilai jualan semula juga akan berkurangan sebaik sahaja kereta itu meninggalkan bilik pameran, tidak kira dari jenama apa pun.

    Kereta terpakai lebih murah, banyak pilihan, tak perlu menunggu

    Perkara yang disebutkan itu boleh dielak dengan membeli kereta terpakai. Ia juga lebih murah, kerana ada orang lain yang telah menanggung beban susut nilai kenderaan terbabit untuk anda. Kewangan anda juga kurang terbeban disebabkan itu, dan sekiranya nanti ingin menjual semula kereta itu, kemungkinan anda juga akan dapat semula hampir keseluruhan nilai yang anda keluarkan awalnya itu.

    Pasaran kenderaan terpakai juga mempunyai banyak pilihan, termasuk kenderaan yang telah lama tidak disambung jualannya. Inginkan sebuah kereta sport yang tidak mampu dibeli beberapa tahun lalu? Maka anda boleh mengintai semula keinginan tersebut.

    Tidak lupa juga senario kita di tahun 2021 ini. Permintaan terhadap kenderaan memang makin meningkat, terutama selepas PKP dan kelonggaran berkaitan pandemik Covid-19. Ini didorong juga oleh tiadanya cukai SST untuk kenderaan. Tetapi, ada masalah lain, bekalan cip terganggu. Dan bila permintaan meningkat berbanding pengeluaran, tempoh menunggu juga akan jadi lebih lama.

    Dengan pembelian kereta terpakai, anda tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kereta. Stoknya tersedia. Anda hanya perlu sediakan dokumen, tandatangan beberapa borang dan jika ingin ambil pinjaman, tunggu kelulusan bank. Jika buat pembelian tunai, anda bahkan boleh bawa balik kenderaan tersebut terus.

    Kereta baru vs terpakai — apa yang lebih dan kurang?

    Kadar faedah tinggi, kos selenggara; masalah tersembunyi

    Tetap ada kekurangan pembelian kereta terpakai. Jika ingin ambil pinjaman, anda mungkin perlu meletakkan bayaran muka yang tinggi. Tiada pinjaman penuh untuk ini, dan kadar faedahnya juga tinggi. Bergantung kepada tempoh pinjaman, anda mungkin membayar lebih daripada apa yang anda sepatutnya bayar untuk sebuah kereta baru dalam jangka panjang.

    Anda juga tidak dapat menilai sepenuhnya keadaan kereta terbabit, melainkan anda bawa bersama mekanik. Kalau pun begitu, mungkin juga tak ada masalah yang tak boleh dikesan terus ketika pandu uji atau pemeriksaan ringkas. Juga, alatan dalaman yang mungkin sudah haus dan perlu diganti juga mungkin tidak akan dapat dikesan. Dan kalau begitu, anda tidak mempunyai jaminan pengeluar sekiranya tempoh berkenaan sudah luput dan perlu tanggung sendiri kosnya, jika ada. Kereta terpakai juga lebih susah untuk diinsurankan, terutama yang berusia lebih 10 tahun — tidak dapat manfaat dan perlindungan insuran first-party.

    Kereta baru vs terpakai — apa yang lebih dan kurang?

    myTukar AutoFair 2022 — manfaat kereta terpakai dengan kelebihan

    Anda akan dapat kurangkan risiko ketika membeli kereta terpakai seperti yang dinyatakan itu jika anda mendapatkan kenderaan anda di myTukar AutoFair 2022 — yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 Januari 2022 di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan. Ini bakal menjadi acara jualan kenderaan terpakai terbesar di Malaysia dengan lebih 1,000 unit kenderaan terpakai akan dipamerkan, dari Perodua Myvi hingga Mercedes-Benz E 350 AMG Line.

    Setiap pembelian myTukar akan disertakan sekali dengan lanjutan jaminan (tambahan kepada baki tempoh jaminan pengeluar sedia ada) serta servis percuma selama setahun — sangat jarang ditawarkan untuk pembelian kereta terpakai. Dan sekiranya ada masalah atau anda berubah fikiran tentang kenderaan, anda boleh terus pulangkannya kepada syarikat ini dengan jaminan wang dipulangkan dalam lima hari — tanpa ada soalan ditanyakan.

    Jika anda membeli kereta ketika acara ini nanti, anda juga akan menerima tambahan servis percuma selama setahun, kadar faedah serendah 1.68%, kelulusan dan serahan kenderaan pada hari yang sama dan pengalas kaki Trapo untuk semua kereta. myTukar juga ada menyediakan penilaian kenderaan untuk trade-in kereta semasa anda ketika acara ini nanti.

    Kereta baru vs terpakai — apa yang lebih dan kurang?

    Pembeli juga layak menyertai promosi myTukar Lucky Spin Wheel untuk memenangi satu daripada enam hadiah, termasuk iPad generasi kesembilan; mereka juga berpeluang untuk membawa pulang sebuah Proton X70 melalui peraduan Ulang Tahun Ke-4 myTukar.

    Pelawat juga boleh menikmati hidangan ringan dan ruang pameran jenama rakan niaga yang lain. SOP Covid-19 yang ketat juga dipraktik, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal. Maklumat lanjuta tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, dan anda juga malayari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan.

     
     
  • Brabus G700 6×6 diguna bantu mangsa banjir di M’sia

    Brabus G700 6×6 diguna bantu mangsa banjir di M’sia

    Hujung minggu ini merupakan hari yang penat buat sebahagian rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang dan Pahang kerana dilanda banjir yang begitu besar. Namun, dengan semangat muhibbah, bukan sahaja agensi-agensi kerajaan yang kini sedang bertungkus lumus menyelamatkan dan memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa, malah ia turut disertai oleh pelbagai NGO dan juga ramai individu persendirian.

    Trak pikap dengan kelegaan tanah yang tinggi antara keperluan dalam operasi-operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan seperti ini. Namun agak luar biasa apabila seorang pengguna Twitter Nedim Sujak Nazri memuatnaik sesuatu yang eksotik turut digunakan untuk membantu, iaitu Brabus G700 6×6!

    Brabus G700 6×6 ini diasaskan dari Mercedes-AMG G 63 6×6 yang pada asalnya dihasilkan hanya dalam versi pemanduan sebelah kiri. Namun atas permintaan Naza, hanya 15 unit G700 6×6 tersebut dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan dan di bawa ke pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga RM3.2 juta (sebelum cukai) ketika diperkenalkan di sini pada tahun 2015, dan unit yang dibawa untuk membantu mangsa banjir ini adalah salah satu dari 15 unit berkenaan.

    Jentera gergasi ini dipadankan dengan gandar portal bersama set roda dengan enam tayar 37-inci, membolehkan ia mendapatkan kelegaan tanah 460 mm serta meredah laluan yang tenggelam dengan air sedalam 1,000 mm. Boleh dilihat kereta disebelahnya hampir tenggelam keseluruhan tayar, namun air masih tidak mencapai running board G700 berkenaan.

    Berbanding AMG G 63 6×6 ‘biasa’ yang turut dijana oleh enjin V8 5.5 liter turbo berkembar, G700 6×6 ini ditala bagi menghasilkan 700 PS dan tork maksima 960 Nm berbanding kuasa asal 543 PS/759 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift Plus 7G-Tronic bersama lima (ya, 5!) unit differential lock. Ini membolehkan rasaksa ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, namun kelajuan maksima hanya dihadkan pada 160 km/j kerana ia menerima sistem pacuan dan tayar jenis off-road.

    Tak sayang ke kereta mahal-mahal macam ni di bawa redah banjir? Nampaknya pemilik G700 ini iaitu DS Sunny seperti yang disebut dalam hantaran Twitter tersebut tak kisah jika ia boleh membantu orang ramai yang dalam kesusahan. Syabas!

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 facelift – hanya satu di M’sia

    Honda Civic Type R FK8 facelift – hanya satu di M’sia

    Bagi sebuah kereta prestasi sepertinya, Honda Civic Type R FK8 dapat dijual dalam jumlah yang boleh dikira banyak oleh Honda Malaysia. Jadi, apabila model facelift muncul pada tahun 2020, kita menjangkakan ia juga akan dibawa masuk ke dalam negara.

    Walaubagaimanapun, ia tidak berlaku – sekurang-kurangnya melalui saluran rasmi Honda Malaysia. Sehinggalah sekarang. Hujung minggu lalu, salah satu pengedar rasmi Honda, iaitu Ban Lee Heng telah mengadakan pameran Type-R di pusat pameran mereka di Melaka, dan salah satu kenderaan yang dipamerkan adalah Type R FK8 facelift. Menurut pengedar ini, kenderaan tersebut bukanlah unit import persendirian, tetapi dibawa sendiri oleh Honda Malaysia (HMSB).

    Malangnya itu adalah satu-satu unit yang dibawa. Menurut HMSB, kenderaan ini memang diimport secara rasmi oleh mereka, tetapi syarikat tidak mempunyai perancangan untuk menambah bilangannya. Lagipun, pengeluaran model ini di kilang Honda UK Manufacturing di Swindon telah ditamatkan Julai lalu.

    Model facelift ini tidak membawa begitu banyak pembaharuan. Untuk bahagian luar, ia menerima gril yang lebih besar (untuk menambah baik sistem penyejukan), sirip sama warna dengan badan serta tambahan bukaan udara di bampar hadapan dan belakang, serta warna khas Boost Blue seperti unit yang dipamerkan ini.

    Di bahagian dalam, ia mendapat roda stereng yang dibalut Alcantara serta tombol gear dengan rekaan baru serta jarak penukaran yang lebih pendek (short shift). Turut diberikan adalah sistem Honda Sensing.

    Tiada perubahan pada enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo yang digunakan padanya, dan ia masih menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti sebelum ini – berbeza mengikut pasaran dengan 320 PS pada 6,500 rpm dan 400 Nm antara 2,500 hingga 4,500 rpm bagi pasaran Amerika Syarikat (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan bersama LSD untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Honda Civic Type R FK8 facelift – hanya satu di M’sia

    Bahagian lain yang dinaik taraf adalah brek, di mana ia mendapat cakera hadapan jenis two-piece bersama pad brek baru sementara pada bahagian suspensi, perisian kawalan untuk sistem penyerap hentak adaptif telah diprogramkan semula, suspensi hadapan menerima set bushing baru dan di belakang, bushing pada lengan-B telah dijadikan lebih keras lagi.

    Secara rasminya, kami telah diberitahu bahawa kereta ini tidak akan dijual, tetapi salah seorang jurucakap Ban Lee Heng berkata, sekiranya ia dijual, harganya tidak akan pergi jauh berbanding model sebelum facelift ini. Namun persoalannya, adakah ia benar-benar akan ditawarkan kepada pembeli?

     
     
  • ETCM panggil balik Nissan X-Trail 2.0L Hybrid keluaran Jun 2018 hingga Mei 2021 atas isu sistem pendawaian

    ETCM panggil balik Nissan X-Trail 2.0L Hybrid keluaran Jun 2018 hingga Mei 2021 atas isu sistem pendawaian

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengeluarkan notis panggilan balik untuk Nissan X-Trail 2.0L Hybrid pasaran Malaysia, atas isu yang melibatkan sistem pendawaian di bahagian enjin. Menurut syarikat itu, sistem pendawaian bahagian kuasa hibrid kenderaan yang terlibat berkemungkinan mengalami kerosakan kerana geseran dengan tapak modul pengawal transmisi atau enjin.

    X-Trail yang dijual di Malaysia dipasang di dalam negara (CKD) dan panggilan balik ini melibatkan unit yang dikeluarkan antara Jun 2018 hingga Mei 2021. Pemilik kenderaan yang terlibat akan diberitahu melalui TCEAS (Tan Chong Ekspres Auto Servis), dengan surat ataupun SMS/Whatsapp. Anda juga boleh menghubungi 1800-88-3838 untuk maklumat selanjutnya.

    Pemilik kenderaan yang dipanggil balik ini juga boleh menghubungi pusat servis TCEAS berdekatan mereka untuk membuat temu janji bagi menukar alat ganti yang diperlukan. Semua upah dan barangan yang diperlukan berkaitan panggilan balik ini akan dikira percuma kepada pemilik.

    ETCM juga memberitahu bahawa X-Trail 2.0L Hybrid yang dikeluarkan bermula Jun 2021 tidak terlibat dalam panggilan balik ini. Mereka juga menyatakan bahawa pusat servis TCEAS tertentu akan melanjutkan waktu operasi mereka, dan ada yang membuka setiap hari bagi membolehkan pemilik menghantar kenderaan untuk servis atau baik pulih termasuk hujung minggu dan cuti umum.

     
     
  • Masih boleh bayar tol dengan kad TnG, SmartTAG — RFID jadi pilhan tambahan sebagai permulaan

    Masih boleh bayar tol dengan kad TnG, SmartTAG — RFID jadi pilhan tambahan sebagai permulaan

    PLUS Malaysia menjelaskan kepada pengguna bahawa mereka masih boleh melakukan bayaran tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG di jalur utama Lebuhraya Utara-Selatan — dari Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor — walaupun dengan perancangan untuk melaksanakan kutipan tol secara radio frequency identification (RFID) bermula 15 Januari 2022.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata bayaran tol menggunakan RFID ketika ini akan menjadi pilihan tambahan kepada kaedah pembayaran sedia ada seperti kad TnG dan SmartTAG. “Bayaran melalui RFID adalah langkah pertama ke arah pelaksanaan bayaran tol tanpa adanya plaza tol (sistem aliran bebas multi-lorong, MLFF) di masa hadapan,” ujar beliau.

    “Kami dengar dan faham keresahan yang disuarakan oleh segelintir pengguna lebuhraya berkenaan penutupan lorong TnG dan SmartTAG. Di sini kami ingin menjelaskan bahawa kedua-duanya akan kekal dibuka untuk operasi dan hanya satu lorong RFID akan disediakan di plaza tol di laluan Juru-Skudai. Dengan pembukaan lorong RFID pada 15 Januari 2022, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan pembayaran,” tambahnya.

    Masih boleh bayar tol dengan kad TnG, SmartTAG — RFID jadi pilhan tambahan sebagai permulaan

    Bagaimanapun, PLUS mempelawa lebih ramai pengguna lebuh raya untuk beralih kepada sistem RFID, memandangkan ia lebih pantas dan mudah ketika melalui plaza tol. Dengan RFID, yang dihubungkan ke TnG eWallet, ia menjadi lebih mudah dan pantas untuk menambah nilai baki akaun dan tidak perlu lagi ke kaunter untuk berbuat demikian.

    RFID boleh dipasang di 39 pusat pemasangan di Semenanjung Malaysia, atau boleh juga dilakukan sediri menggunakan kit yang boleh dibeli melalui aplikasi TnG eWallet, portal TnG atau pengedar rasmi lainnya. Boleh rujuk video yang kami sediakan untuk memudahkan anda.

    Beliau juga memaklumkan penggunaan RFID untuk bayaran tol ini bagi sistem tol tertutup seperti di Lebuhraya PLUS ini pertama kali diuji di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua sejak Julai tahun lalu. Peningkatan penggunaannya membuktikan teknologi ini diterima luas. Menjelang awal tahun 2022, bayaran tol RFID akan tersedia di semua lebuhraya PLUS.

    “Untuk menjadikan sistem MLFF kenyataan, seperti dilakukan di negara lain, pengguna lebuhraya perlu terlebih dahulu beralih kepada RFID. Peralihan ini perlu dilakukan secara berperingkat dalam satu tempoh waktu untuk memberi peluang kepada pelanggan berbuat demikian,” ujarnya.

     
     
  • Subaru XV 2.0i-P EyeSight 2022 dilancarkan di M’sia; SI-DRIVE, Dual-Function X-MODE; dari RM140k

    Subaru XV 2.0i-P EyeSight 2022 dilancarkan di M’sia; SI-DRIVE, Dual-Function X-MODE; dari RM140k

    TC Subaru Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Subaru di Malaysia, telah melancarkan Subaru XV 2022 yang dipertingkatkan. Menariknya, crossover tersebut kini dilengkapi dengan teknologi EyeSight Advanced Asist yang sebelum ini tidak ditampilkan pada model pre-facelift. Sebelum ini, teknologi terbabit hanya diberikan pada SUV Forester 2019 yang diperkenalkan di Malaysia pada Ogos 2019.

    Teknologi EyeSight Advanced Asist yang dipasang menerusi kamera stereo yang ditempatkan di atas cermin hadapan, merangkumi Pre-Collision Braking, Pre-Collision Throttle Management, Adaptive Cruise Control, Lead Vehicle Start Alert, Lane Departure Warning dan Lane Sway Warning. Selain itu, suspensi bagi crossover ini juga telah ditala semula, menampilkan gegelung (coil) dan peredam (damper) yang lebih optimum untuk pengendalian yang lebih lancar dan selesa.

    Untuk memantapkan lagi pengendalian, XV 2.0i-P EyeSight 2022 turut didatangkan dengan ciri baharu SI-DRIVE (Subaru Intelligent Drive) yang membolehkan respons enjin dilaraskan untuk memberikan prestasi enjin yang lebih padu dalam apa jua situasi pemanduan.

    Bukan itu sahaja, ia juga hadir dengan Dual-Function X-MODE untuk membuatkan pengendalian sewaktu melalui off-road lebih meyakinkan. Selain itu, ciri baharu yang turut diberikan ialah Auto Vehicle Hold dan Reverse Auto-tilt Door Mirror.

    Subaru XV 2.0i-P EyeSight 2022 dilancarkan di M’sia; SI-DRIVE, Dual-Function X-MODE; dari RM140k

    XV 2.0i-P EyeSight 2022 pemasangan tempatan (CKD) ini diberikan sedikit suntikan segar untuk bahagian luarannya dengan menampilkan bampar hadapan yang disemak semula dengan sudut berbentuk-L, gril baharu dan roda aloi 17-inci dengan rekaan lebih agresif dibaluti tayar 225/60R17. Ciri lain yang dikekalkan termasuk lampu utama automatik dan bilah pengelap cermin automatik penderia-hujan.

    Untuk bahagian dalamnya pula, semuanya masih dikekalkan, tetapi kali ini, ia ditampilkan dengan tempat duduk pemandu larasan lapan-hala dengan fungsi memori bagi memberikan posisi pemanduan yang lebih optimum. Ciri kelengkapan lain yang masih kekal termasuk paparan infotainmen lapan-inci, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, brek parkir elektronik, roda stereng pelbagai-fungsi dengan pedal penukar gear, kamera pandangan belakang, dan USB port.

    Penjana kuasanya juga masih dikekalkan iaitu enjin Boxer FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder , dengan hamburan output 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga mengekalkan Lineartronic CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda Symmetrical.

    Subaru XV 2.0i-P EyeSight 2022 dilancarkan di M’sia; SI-DRIVE, Dual-Function X-MODE; dari RM140k

    Dalam masa yang sama, varian GT Edition juga diperkenalkan, di mana aksesori dengan gaya penuh sporty adalah hasil kerjasama dengan Masahiko Kobayashi, bekas Ketua Pereka di Subaru Corporation, yang memiliki 25 tahun pengalaman dalam bidang berkaitan.

    Kit aksesori luaran bagi GT Edition ini terdiri daripada lip extension bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, roda aloi bespoke dan spoiler bumbung serta roda 17-inci spesifik untuk GT Edition. Untuk kabinnya pula, ia diberikan tempat duduk balutan kulit upholstery khas dengan jahitan kontras. Selain itu, ia turut diberikan sistem Superview Around Recognition Three-Sixty untuk memudahkan urusan parkir kenderaan, yang menampilkan empat kamera pada sudut strategik untuk pandangan yang lebih jelas.

    Kedua-dua varian XV 2022 ini hadir dengan enam pilihan warna iaitu Crystal Black Silica, Magnetite Grey Metallic, Ice Silver Metallic, Dark Blue Pearl, Pure White dan Cool Grey Khaki.

    Untuk pasaran tempatan, XV 2.0i-P EyeSight 2022 ditawarkan pada harga RM139,788 dan varian GT Edition pula berharga RM146,788. Kedua-duanya adalah harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan (SST) dan tanpa insurans, yang hadir dengan waranti lima-tahun/100,000 km.

    GALERI: XV 2.0i-P EyeSight 2022

    GALERI: XV 2.0i-P EyeSight GT Edition 2022

     
     
  • Jentera WRC Toyota GR Yaris Rally1 2022 tak pakai casis produksi sebenar, guna kerangka space frame

    Jentera WRC Toyota GR Yaris Rally1 2022 tak pakai casis produksi sebenar, guna kerangka <em>space frame</em>

    Umum mengetahui, Toyota menghasilkan hot-hatch GR Yaris sebagai model homologasi istimewa kepada jentera Kejohanan Rali Dunia (WRC) sebenar selepas khidmat jentera Yaris WRC ditamatkan tahun ini. GR Yaris yang dihasilkan dari kilang memang sebagai sebuah jentera rali jalan raya dijangka bakal menjadikan ia sebagai sebuah jentera WRC yang sangat kompetitif kerana mempunyai asas yang cukup kuat dari segi struktur dan aerodinamik.

    Namun tahukah anda, jentera WRC GR Yaris Toyota untuk musim hadapan sebenarnya hanya menggunakan ‘kulit’ model produksi jalan raya, tetapi casis asas kereta lumba tersebut tiada kaitan langsung dengan versi yang dijual di bilik pameran?

    Ini kerana FIA telah mengumumkan perubahan peraturan pada penghujung 2019, di mana undang-undang WRCar yang diguna pakai untuk kategori tertinggi WRC sejak 1997 ditukar kepada regulasi Rally1 bermula musim 2022. Undang-undang Rally1 ini menampilkan perubahan yang agak signifikant kerana bukan sahaja ia perlu menggunakan teknologi hibrid elektrik, malah pengeluar diberikan kebebasan sama ada mahu menggunakan casis produksi ataupun menggunakan casis jenis space frame yang dibangunkan khas seperti jentera era Group B dahulu.

    Bagi pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), mereka telah menghentikan pembangunan jentera rali GR Yaris WRC yang sepatutunya muncul pada tahun 2021 kerana ia hanya boleh digunakan hanya satu musim, dan kemudian menghasilkan jentera Rally1 baharu yang dibangunkan semula sepenuhnya dari mula.

    Jentera WRC Toyota GR Yaris Rally1 2022 tak pakai casis produksi sebenar, guna kerangka <em>space frame</em>

    Model produksi jalan raya GR Yaris

    Menurut Pengarah Teknikal TGR WRT, pasukannya memilih untuk menggunakan kerangka space frame bagi membangunkan jentera WRC yang bakal memulakan aksinya pada Rally Monte Carlo Januari ini.

    Fowler menjelaskan bahawa mana-mana pembangunan kereta rali pastinya akan dimulakan pada bahagian paling besar dan paling asas iaitu casis.

    “Setelah sekian lama kereta-kereta rali diasaskan dari kerangka yang kita gelar sebagai berasaskan casis produksi. Jadi titik permulaan dalam menghasilkan kereta tersebut sebenarnya bermula dari casis model jalan raya secara dasarnya, dan casis tersebut kami reka semula dalam pelbagai elemen bagi memberikan kelengkapan seperti sistem suspensi dan sistem pacuan empat roda kereta rali, dan sudah pastinya elemen keselamatan yang sangat penting. Tetapi kesemua elemen tersebut bersepadu pada casis yang sudah pun dibuat untuk kegunaan kereta jalan raya biasa.

    “Melihat pula untuk 2022 casis yang digunakan sebenarnya dihasilkan khas sepenuhnya hanya untuk kereta rali, jadi dimensi-dimensi asas masih berkaitan dengan kereta asli yang akan dihasilkan untuk bentuk akhirnya, iaitu Yaris untuk kami dan model lain untuk pengeluar lain.

    “Namun kami tak mulakan proses penghasilan menggunakan casis asal tapi kami bermula dengan struktur tiub kami sendiri yang direka khas untuk digunakan untuk rali dan oleh itu semua sistem suspensi, sistem pacuan empat roda, unit hibrid dan sebagainya diintegrasikan dalam cara yang kami mahu secara spesifik dalam rali,” jelas Tom Fowler.

    Jentera WRC Toyota GR Yaris Rally1 2022 tak pakai casis produksi sebenar, guna kerangka <em>space frame</em>

    Menerusi perincian undang-undang yang telah diumumkan oleh FIA, untuk jentera Rally1 ini pengeluar masih disyaratkan untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama unit restrictor 36 mm dari jentera WRCar sebelum ini (menghasilkan sekitar sekitar 380 hp, nisbah berat kepada kuasa 3.1 hp/kg).

    Apa yang berbeza, enjin berkenaan perlu digandingkan dengan motor elektrik serta bateri dan sistem pemulihan tenaga kinetik ketika membrek, yang bukan sahaja akan membekalkan kuasa tambahan ketika sedang berlumba dalam Special Stage (SS), malah membolehkan jentera-jentera berkenaan bergerak dalam jalan raya awam/kawasan bandar dari service park ke SS, atau dari SS ke SS dengan menggunakan kuasa elektrik 100% yang lebih senyap serta mesra alam.

    Motor elektrik yang dibekalkan pada semua jentera Rally1 tersebut berupaya menghasilkan 100 kW (134 hp), membolehkan ia memecut dengan bekalan kuasa sekitar 500 hp secara keseluruhan pada masa-masa tertentu. Manakala bateri 3.9 kWj yang dibekalkan boleh di caj semula secara plug-in menerusi stesen pengecaj yang disediakan di service park setiap pusingan WRC nanti.

    Buat masa sekarang, jentera GR Yaris Rally1 ini masih sedang diuji secara ekstensif dan dibalut dengan pelekat penyamaran dengan tema warna merah-putih Gazoo Racing. Namun ia jelas diberikan kit aero yang jauh lebih agresif berbanding model standard jalan raya dengan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, serta sayap belakang yang jauh lebih besar.

    Juga dapat dilihat, ia diberikan skup udara pada kedua-dua sisi belakang badan yang cukup besar. Ini berkemungkinan bagi menyalurkan udara bagi menyejukkan sistem hibrid dan juga motor elektrik yang berada pada gandar belakang GR Yaris Rally1 tersebut.

    Ketika diperkenalkan pada 2020, model produksi jalan raya Toyota GR Yaris dikatakan telah menerima sentuhan dari prinsipal pasukan TGR WRT sebelum ini iaitu juara dunia WRC empat kali, Tommi Makinnen. Ia dijana oleh enjin 1.6 liter tiga silinder turbo yang mampu menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm, serta digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama sistem pacuan semua roda GR-Four.

    Walaupun tidak sempat tampil sebagai jentera WRC dengan casis produksi asal, GR Yaris dalam versi produksi berkenaan telah pun menjuarai Kejohanan Rali Seluruh Jepun 2021 dalam kategori tertinggi JN1 menerusi pasangan Norihiko Katsuta dan Yusuke Kimura, serta telah dijelmakan sebagai jentera rali GR Yaris AP4 oleh Toyota Gazoo Racing Australia yang layak untuk digunakan dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik.

    GALERI: Toyota GR Yaris pasaran Malaysia

     
     
  • Nio ET5 didedah – jarak gerak hingga 1,000 km, 480 PS

    Nio ET5 didedah – jarak gerak hingga 1,000 km, 480 PS

    Hampir satu tahun selepas ET7 didedah, kini Nio memperkenalkan pula ET5 sewaktu acara Nio Day 2021 di Suzhou, China. Kereta elektrik ini dikatakan boleh memberi jarak gerak sehingga 1,000 km, dan mempunyai saiz sederhana dengan ukuran panjang 4,790 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,499 mm dan jarak roda 2,888 mm.

    Saiz ET5 ini adalah lebih kecil berbanding ET7, dan ia digerakkan oleh dua motor elektrik yang terdiri daripada unit 150 kW di hadapan dan 210 kW di belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 480 PS dan 700 Nm tork. Dengannya, ET5 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat.

    Jarak gerak agak jauh, sehingga 1,000 km yang boleh dicapai oleh ET5 ini adalah hasil daripada penggunaan bateri 150 kWh, sementara pek bateri 100 kWh dan 75 kWh yang juga disediakan sebagai pilihan boleh memberikan jarak gerak masing-masing 700 km dan 550 km.

    Badan ET5 ini dikatakan mempunyai ketegaran kilas 34,000 Nm setiap darjah, dan dibuat daripada gabungan besi kekuatan ultra tinggi serta aluminium. Ia juga mempunyai titik graviti serendah 482.6 mm dengan jarak antara roda kiri dan kanan 1,685 mm.

    Menurut Nio, semua ini menjadikan ET5 menepati semua keperluan untuk tahap lima bintang dalam ujian US National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA). Ia juga dibangunkan untuk menepati tahap lima bintang Euro NCAP dan China NCAP.

    Kuasa henti ET5 datang daripada angkup empat piston yang menurut Nio, boleh memberhentikan kenderaan dari 100 km/j dalam jarak 33.9 meter. Turut membantu stabiliti dan kawalan adalah pembahagian berat badan 50:50.

    Nio ET5 didedah – jarak gerak hingga 1,000 km, 480 PS

    Di dalam kabin, ET5 mempunyai panel instrumen 10.2 inci dengan sistem yang menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR). Untuk menggunakannya, pemandu perlu memakai cermin mata khas, yang boleh memaparkan skrin bersaiz 201 inci pada jarak enam meter.

    Sistem infotainmen boleh dikawal melalui skrin AMOLED 12.8 inci yang diletakkan menegak di tengah manakala sistem bunyi pula menggunakan 23 pembesar suara dengan output keseluruhan setinggi 1,000 watt. Menurut Nio, penutup pembesar suara pada kenderaan ini juga boleh memaparkan lampu yang mengikut rentak lagu.

    Kemasan dan balutan di bahagian dalam ET5 turut menggunakan bahan mesra alam, yang antaranya terdiri daripada polymeric Clean+ yang dihasilkan dengan cara 30% kurang emisi karbon berbanding bahan biasa, serta botol PET kitar semula untuk fabrik.

    Nio ET5 turut dilengkapi dengan Nio Autonomous Driving (NAD), termasuk pakej Aquila Super Sensing dan Adam Super Computing, yang sudah sedia untuk menerima ciri pemanduan autonomous apabila ia sudah siap dibangunkan secara berperingkat nanti.

    Antara kelengkapan yang berkait dengan sistem ini adalah lidar resolusi tinggi jarak ultra jauh, yang menawarkan pemandangan 120 darjah dan jarak maksimum 500 meter. Ia turut disertai dengan 11 kamera lapan megapiksel untuk pemanduan autonomous, lima radar gelombang milimeter dan 12 sensor ultrasonik.

    Di China, harga Nio ET5 bermula RMB328,000 (RM217,315) tidak termasuk subsidi, dan boleh menjadi RMB258,000 (RM170,937) dengan pilihan BaaS (battery-as-a-service) sementara penghantaran kepada pelanggan pula dijangka bermula pada bulan September 2022.

     
     
  • Beberapa laluan di LPT, KLK masih ditutup – ANIH

    Beberapa laluan di LPT, KLK masih ditutup – ANIH

    ANIH Berhad telah memaklumkan status terkini di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur (KLK) kendaliannya. Selepas ditutup tempoh hari susulan banjir yang berlaku di kawasan berkenaan, buat setakat jam 7.30 pagi ini, syarikat konsesi berkenaan memaklumkan terdapat laluan telah dibuka kembali untuk kegunaan trafik. Laluan terbabit ialah KM198 di Srijaya-Gambang, Lancang-Temerloh (KM 114.8),

    Walau bagaimana pun, terdapat banyak laluan di lebuhraya berkenaan yang masih ditutup berikutan trend air banjir yang menaik dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan.

    Laluan terbabit ialah Lanchang-Temerloh (KM 113), Lanchang-Karak (KM 84.6), dan Temerloh (KM76-KM126) di kedua-dua hala.

    Manakala laluan di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur (KLK) yang masih ditutup melibatkan laluan ke timur dari Bentong Barat (KM62.5) ke Karak (KM75) dan Karak (KM75) ke Bentong Timur (KM68 ). Begitu juga dengan KM 74.9 menuju ke Kuala Lumpur dan terdapat lubang di lorong kiri, difahamkan laluan kontra akan dibuka di laluan berkenaan.

    Selain itu, laluan lain yang masih ditutup ialah KM74.4 (hala KL), KM71 (kedua-dua hala), KM69.5 (hala KL), KM67.8 (hala KL), KM66.4 hingga KM66.1 (hala KL) dan KM66.1 (hala KL).

    Untuk pengguna kenderaan yang melalui laluan yang dibuka, harap lebih berhati-hati dalam pemanduan dan ikut isyarat trafik yang ditetapkan oleh pihak konsesi.

     
     
  • Givi lancar kotak barangan B33NM dan B45NM – harga masing-masing RM283 dan RM445, jaminan dua tahun

    Givi lancar kotak barangan B33NM dan B45NM – harga masing-masing RM283 dan RM445, jaminan dua tahun

    Givi telah menambah lagi koleksi produk kotak barangan motosikal mereka dengan pengenalan siri Atlas baru yang terdiri daripada dua model iaitu B33NM dan B45NM. Kedua-duanya menggunakan bentuk lebih berpetak, seperti kotak barangan motosikal adventure/touring, tetapi juga boleh dipakai oleh motosikal biasa.

    Nama kotak itu sendiri menggambarkan kapasiti simpanannya, yang mana bagi B33NM adalah 33 liter dan boleh memuatkan satu helmet muka penuh di dalam sementara B45NM adalah 45 liter, dengan pengguna boleh meletakkan sehingga dua buah helmet muka penuh di dalam tanpa sebarang masalah.

    Kedua-dua kotak barang baru ini mempunyai pelekat pemantul cahaya supaya memudahkan pengguna jalan raya lain melihat motosikal pada waktu malam, tetapi B33NM ditambah lagi dengan kemasan plastk merah di atasnya (tiada lampu). Kunci pula menggunakan sistem Micro 3, dengan satu butang di atas untuk membuka penutupnya dan satu lagi butang di bawah untuk mencabut kotak daripada motosikal.

    Dibuat daripada bahan Polypropylene gred tinggi, kotak barangan Atlas ini boleh menahan impak tinggi, kalis air dan lasak untuk digunakan setiap hari. Ia boleh dipasang pada mana-mana rak Givi Monolock, yang dijual secara berasingan untuk pelbagai jenis motosikal. Jaminan yang diberi untuk kotak barangan Atlas ini adalah selama dua tahun.

    Selain kotak barangan ini, Givi turut melancarkan beberapa aksesori lain untuk penunggang motosikal seperti beg kalis air, baju hujan dan pelbagai lagi. Semuanya boleh didapati di kedai Givipoint dan pengedar mereka di seluruh negara.

     
     
  • Plaza tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam dibuka kembali kepada laluan trafik – PLUS

    Plaza tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam dibuka kembali kepada laluan trafik – PLUS

    Ekoran banjir teruk yang melanda Lembah Klang pada Sabtu lalu, PLUS Berhad mengambil keputusan untuk menutup Plaza Tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam disebabkan paras air yang tinggi dan boleh mendatangkan risiko.

    Walau bagaimana pun, pagi ini, PLUS mengumumkan plaza tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam kini dibuka semula secara berperingkat kepada trafik.

    “Berikutan paras air banjir yang telah surut, pihak PLUS segera menjalankan kerja-kerja pembersihan, pengalihan kenderaan yang terkandas, pemeriksaan menyeluruh dan kerja pembaikan ke atas aset lebuh raya serta peralatan tol yang rosak disebabkan oleh air banjir.

    “Malahan laluan yang terjejas kini telah dibuka secara berperingkat. Namun, kami menasihati para pengguna untuk tetap berhati-hati dan mematuhi papan tanda amaran kerana masih ada di beberapa bahagian jalan yang masih ditakungi air banjir”, kata Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad.

    Sementara itu, di Kuala Lumpur pula, hampir kesemua jalan yang terjejas dengan banjir kini sudah boleh dilalui semula. Namun terdapat beberapa laluan yang masih tidak boleh dilalui oleh trafik. Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Dataran Merdeka masih ditutup untuk memberi laluan kepada Alam Flora membersihkan kawasan sekitarnya.

    Dalam kemaskini sehingga jam 4 pagi tadi, Terowong Smart juga masih ditutup di kedua-dua arah. Manakala Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta), ada seksyen berhampiran jalan keluar Istana Negara telah ditutup untuk kerja-kerja baikpulih. Seperti semalam, kenderaan yang datang dari arah utara dilencongkan ke Jalan Semantan dan Lebuhraya Sprint.

    Walau pun kebanyakan laluan yang terjejas dengan banjir telah pun dibuka semula, pengguna jalan raya dinasihati memandu kenderaan atau menunggang motosikal dengan lebih berhati-hati ekoran masih banyak serpihan termasuk sampah bersepah di atas jalan dan permukaan jalan yang berlubang.

     
     
  • Mohammed Ben Sulayem kini presiden FIA, ganti tugas Jean Todt; terima undian sebanyak 61.62%

    Mohammed Ben Sulayem kini presiden FIA, ganti tugas Jean Todt; terima undian sebanyak 61.62%

    Bintang rali dari Emirah Arab Bersatu (UAE), Mohammed Ben Sulayem kini sah memegang jawatan sebagai presiden Persekutuan Automobil Dunia (FIA) bagi menggantikan bekas prinsipal pasukan Formula 1 Ferrari, Jean Todt yang telah menggalas jawatan berkenaan selama 12 tahun.

    Mohammed merebut jawatan tersebut menerusi sesi undian yang dibuat empat tahun sekali dan dimuktamadkan pada Mesyuarat Agong Tahunan badan dunia tersebut pada 17 Disember 2021. Beliau yang kini berumur 60 tahun merupakan juara Kejohanan Rali Timur Tengah FIA sebanyak 14-kali, serta telah memenangi 61 perlumbaan antarabangsa dari 1983 hingga 2002.

    Sebelum ini juga Mohammed telah memegang jawatan sebagai presiden Organisasi Sukan Permotoran Emirate (EMSO) sejak 2005 serta naib presiden Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA untuk Timur Tengah. Dengan perlantikannya sebagai presiden FIA, beliau turut melantik Carmelo Sanz de Barros sebagai Presiden Senat, bekas juru arah kepada mendiang Richard Burns iaitu Robert Reid sebagai Naib Presiden untuk Sukan dan Tim Shearman sebaha Naib Presiden untuk Mobiliti.

    Dalam pemilihan berkenaan, Mohammed menerima 61.62% undian dari Ahli-Ahli Kelab FIA bagi menewskan Graham Stoker dari Britain yang hanya menerima undian sebanyak 36.62%. Secara rasmi, beliau akan menggantikan tugas Jean Todt sebelum ini yang telah menjalankan tanggungjawabnya sejak 2009 sehingga tahun ini dalam tempoh maksimum tiga penggal.

    “Saya sangat berbesar hati untuk dipilih sebagai Presiden FIA yang dimuktamadkan ketika Mesyuarat Agong Tahunan di Paris hari ini. Saya berterima kasih untuk Ahli-ahli Kelab atas penghargaan dan kepercayaan mereka. Saya mengucapkan tahniah kepada Graham (Stoker) untuk kempen dan hubungannya kepada Persekutuan.

    “Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas nama FIA dan ahli-ahlinya kepada Jean Todt atas semua yang telah dicapai sepanjang 12 tahun yang lalu. Saya komited untuk meneruskan tugas penting dan menjadikan sukan permotoran serta mobiliti bagi terus maju lebih jauh ke hadapan,” kata Mohammed.

    “Satu bab telah sampai ke penghujungnya. Kami boleh berpuas hati secara keseluruhan dengan apa yang telah kami capai dalam sukan permotoran dan mobiliti yang selamat dan mampan dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini. Saya mahu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pasukan saya, pentadbiran dan semua Ahli-Ahi Kelab kami atas komitmen, semangat dan ketabahan mereka yang tidak berbelah bahagi. Saya mengucapkan tahniah kepada Mohammed untuk perlantikannya sebagai presiden FIA dan saya berharap beliau, pasukannya dan Persekutuan agar terus berjaya untuk tahun-tahun akan datang,” kata Jean Todt.

    FIA merupakan badan pentadbiran sukan permotoran dunia dan juga peneraju bagi organisasi mobiliti global. Organisasi bukan yang bukan berasaskan keuntungan ini ditubuhkan pada 1904 dengan ibu pejabat yang terletak di Paris dan Geneva, dan sehingga kini mempunyai 245 Ahli Organisasi dari 146 negara di lima benua. Ahli-ahli Kelab dalam FIA ini mewakili lebih dari 80 juta pengguna jalan raya dan keluarga mereka di seluruh dunia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025