Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Rimac C_Two dalam bentuk produksi diperkenal 1 Jun

    Rimac C_Two dalam bentuk produksi diperkenal 1 Jun

    Pengeluar kereta Croatia, Rimac, akhirnya akan memperkenalkan versi produksi bagi model keduanya – C_Two – pada 1 Jun ini, selepas tiga tahun jentera dua-tempat duduk pacuan elektrik ini diumumkan dalam acara Geneva Motor Show 2018.

    Pada mulanya, syarikat ini merancang untuk memperkenalkannya di Geneva Motor Show tahun lalu, tetapi disebabkan dunia dilanda pandemik COVID-19, maka perancangan itu tertunda. Krisis kesihatan itu turut menyaksikan pengeluaran produksi bagi EV terpaksa dilewatkan, berikutan pengeluaran model berkenaan yang ditunda.

    Menerusi teaser di dalam video yang dimuat naik menerusi laman Rimac, C_Two didatangkan dengan “prestasi yang lebih ekstrem, nama rasmi baharu, ciri yang lebih inovatif, teknologi yang lebih luar biasa dan kejuruteraan tanpa batasan.”

    Pastinya ramai yang ternanti-nanti nama rasmi baharunya, memandangkan nama ringkasan sedia ada, C_Two adalah singkatan bagi “Concept Two” – di mana kereta pertama syarikat ini dinamakan sebagai Concept One. Walau bagaimana pun, kena nantikan 1 Jun ini iaitu esok, untuk mengetahui nama rasminya.

    Selain itu, perincian termasuk penjana kuasanya juga akan didedahkan, adakah model produksi ini lebih kurang sama dengan prototaip yang menawarkan hamburan kuasa hingga 1,914 PS (1,888 hp atau 1,408 kW) dan tork 2,300 Nm. Jentera ini juga dilengkapi dengan empat motor elektrik yang masing-masing memacu setiap satu roda, dan didakwa mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 1.97 saat dan kelajuan maksimumnya mencecah 412 km/j. Manakala jarak pacuannya disebut-sebut lebih kurang sama dengan prototaip iaitu cecah 650 km.

    GALERI: Rimac C_Two

     
     
  • Kia Sportage generasi kelima ditunjuk dalam teaser – pengenalan rasmi bulan Julai, skrin lebar di dalam

    Kia Sportage generasi kelima ditunjuk dalam teaser – pengenalan rasmi bulan Julai, skrin lebar di dalam

    Kia telah mendedahkan gambar teaser rasmi bagi model SUV Sportage generasi kelima, yang akan diperkenalkan secara penuh Julai nanti di Korea. Melalui gambar ini, kita boleh melihat tanda konsep rekaan ‘Opposites United’ baru yang diketengahkan oleh Kia.

    Lampu DRL yang berada di bahagian tepi bersambung dari atas fender sehinggalah ke penjuru bampar, dan menggunakan garis berbentuk tajam. Gambar spyshot yang kami perolehi dari Eropah juga menampakkan sedikit lampu DRL ini, dan di tengahnya terdapat lampu utama yang menggunakan garisan melintang.

    Menurut Kia, ciri rekaan ini akan disertai oleh gril berwarna hitam yang lebar sementara bahagian belakang juga menggunakan grafik lampu yang sama seperti di depan. Lampu penunjuk arah dijangka menggunakan bentuk melintang seperti lampu utama.

    Turut disiar dalam teaser ini adalah satu gambar malap bahagian dalam yang menampakkan skrin lebar melengkung di hadapan pemandu dan corong pendingin hawa dengan jalur melintang di sebelahnya. Butang kawalan pendingin hawa berada di konsol tengah.

    Bagi pilihan enjin, Kia menyatakan unit yang akan digunakan pada Sportage baru adalah “sangat cekap”, dan ia berkemungkinan disertai tetapan hibrid dan plug-in hybrid. Melihat kepada Hyundai Tucson 2022 sebagai perbandingan, kita boleh menjangka antaranya adalah unit petrol 1.6 turbo bersama pek bateri 1.49 kWh untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 226 hp dan 350 Nm tork untuk versi hibrid.

    GALERI: Spyshot Kia Sportage 2022

     
     
  • Hyundai akan kurangkan 50% model petrol dan diesel, tingkatkan pelaburan pembangunan kereta elektrik

    Hyundai akan kurangkan 50%  model petrol dan diesel, tingkatkan pelaburan pembangunan kereta elektrik

    Hyundai telah disahkan akan mengurangkan pengeluarkan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman mereka, dalam masa yang sama meningkatkan pelaburan bagi membangunkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV). Perkara ini diberitahu oleh dua orang yang rapat dengan jenama berkenaan kepada Reuters, di mana lembaga syarikat telah bersetuju untuk mengurangkan model yang dijana oleh bahan api fosil sebanyak 50%.

    “Ia merupakan langkah peniagaan yang penting, yang mana akan mengutamakan pengeluaran untuk sumber terhadap R&D bagi menumpukan kepada perkara berikut: motor elektrik, bateri, sel bahan api,” kata sumber berkenaan tanpa memberikan garis masa.

    Hyundai kemudiannya menyatakan dalam email bahawa mereka kini sedang memperkasakan adaptasi terhadap teknologi permotoran yang lebih mesra alam seperti kenderaan sel bahan api hidrogen dan kenderaan elektrik bateri.

    Namun rancangan halatuju elektrifikasi Hyundai masih tidak agresif seperti pesaing-pesaingnya lain yang rata-rata menyasarkan untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Sumber tersebut memberitahu bahawa Hyundai mensasarkan tahun 2040 bagi peralihan penuh kepada teknologi elektrik, namun akan mula mengembangkan model-model sifar pencemaran pada pasaran penting seperti Amerika Syarikat, Eropah dan China.

    Hyundai akan kurangkan 50%  model petrol dan diesel, tingkatkan pelaburan pembangunan kereta elektrik

    Manakala rancangan jangkamasa pendek Hyundai adalah untuk menjual sebanyak sejuta kenderaan elektrik secara global menjelang 2025, atau 10% dari bahagian pasaran EV global. April lalu Hyundai menyatakan bahawa mereka akan mengurangkan satu pertiga model petrol mereka di China pada 2025, dari 21 model sekarang, kepada hanya 14 model sahaja kelak. Pada masa yang sama mereka akan melancarkan model elektrik baharu setiap tahun di negara berkenaan bermula 2022.

    “Hyundai telah menghentikan pembangunan rangkaian kuasa baharu untuk kereta dengan enjin pembakaran dalaman,” kata salah satu sumber berkenaan, dan menambah bahawa syarikat tersebut akan memuktamadkan strategi elektrifikasi dalam masa enam bulan akan datang.

    Sementara itu, Hyundai Nexo baru sahaja mencatatkan rekod dunia bagi perjalanan dalam jarak paling jauh bagi kenderaan berkuasa hidrogen siri produksi. Rekod tersebut dibuat oleh pemandu rali Australia, Brendan Reeves yang memandu Nexo tersebut dari Essendon Fields di Melbourne sehingga ke Broken Hill, meliputi jarak sejauh 887.5 km selama lebih 13 jam, dengan kelajuan purata 66.9 km/j.

     
     
  • MV Agusta F3 Rosso 2021 – kuasa 147 hp, 88 Nm tork

    MV Agusta F3 Rosso 2021 – kuasa 147 hp, 88 Nm tork

    MV Agusta memperkenalkan satu lagi varian bagi model F3, iaitu F3 Rosso. Walaupun Rosso ini membawa makna merah dalam bahasa Itali, ia sebenarnya satu nama yang diberi untuk varian permulaan dan juga digunakan pada beberapa model lain seperti Brutale, Dragster dan Turismo Veloce.

    Walaupun merupakan model versi permulaan, F3 Rosso ini tidak melibatkan sebarang pengurangan kuasa dan enjin tiga silinder 798 cc padanya masih lagi menghasilkan 147 hp pada 13,000 rpm dan 88 Nm tork pada 10,100 rpm. Bagi model baru ini juga, enjin tersebut telah melalui beberapa perubahan dan mematuhi tahap emisi Euro 5.

    Bahagian elektronik juga telah dipertingkat berbanding model terdahulu, bermula dengan penggunaan skrin TFT-LCD 5.5 inci untuk panel instrumen dan ia boleh disambung dengan fungsi seperti Bluetooth, GPS dan navigasi melalui aplikasi MV Ride. Bukan setakat itu, model ini juga mempunyai pengesan kedudukan Mobisat (Eropah sahaja).

    Untuk kawalan motosikal, F3 Rosso dilengkapi dengan empat pemetaan kawalan tork, lapan tahap kawalan cengkaman, launch control serta quickshifter untuk naik dan turun gear bagi transmisi enam kelajuannya. Suspensi menggunakan jenama Marzocchi di hadapan, Sachs di belakang dan kedua-duanya boleh dilaras secara penuh.

    Kelengkapan dan perincian lain F3 Rosso adalah termasuk brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, angkup dua piston di belakang, tangki bahan api 16.5 liter, berat kering 173 kg dan Cornering ABS.

     
     
  • Vendor Proton mahu terus beroperasi waktu PKP penuh; sokong cadangan moratorium dan manfaat lain

    Vendor Proton mahu terus beroperasi waktu PKP penuh; sokong cadangan moratorium dan manfaat lain

    Bermula esok, 1 Jun 2021, Malaysia sekali lagi akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh demi membendung penularan Covid-19. Langkah ini bakal memberi kesan besar kepada banyak perniagaan dan industri, termasuklah automotif yang kini telah dikeluarkan daripada senarai servis perlu.

    Persatuan Vendor Proton (PVA), cuba menyampaikan betapa seriusnya kesan PKP ini, dengan kebanyakan daripada mereka pada masa sekarang sudah sukar untuk terus hidup dan mempertahankan operasi. Menurut persatuan itu lagi, paling terkesan adalah syarikat yang terlibat mengeksport ke negara lain, kerana terdapat keperluan membekal tertentu dan perubahan nilai mata wang ringgit.

    “Sementara kita perlu membendung penularan Covid-19, tahap kejatuhan aktiviti ekonomi juga akan menjatuhkan keselamatan serta kedaulatan negara,” kata presidennya, Datuk Wan Mohamed. “Tiada yang sama seperti krisis ini. Sangat sukar untuk menjangka sama ada lockdown penuh ini akan dapat menstabilkan keadaan pandemik ini. Apa yang kita tidak mahu adalah krisis lain dari kesihatan sehinggalah kewangan.”

    Vendor Proton mahu terus beroperasi waktu PKP penuh; sokong cadangan moratorium dan manfaat lain

    “Melihat kepada ketidak tentuan krisi Covid-19 ini, sekiranya pandemik tidak berkurangan selepas tempoh lockdown penuh ini, ia akan membawa kepada tempoh kekangan lebih lama dan keadaan kewangan yang lebih teruk kepada kebanyakan pengilang/perusahaan serta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri,” tambah beliau.

    Pemilihan masa untuk protokol lebih ketat ini, sewaktu pertengahan perintah kawalan pergerakan ketiga adalah agak teruk memandangkan pembuat kenderaan seluruh dunia sedang bersusah payah untuk memenuhi permintaan yang sedang meningkat kerana sekatan sudah semakin longgat. Menurut PVA, penghentian operasi akan menjadi pencetus kepada pelanggaran kontrak dan membawa kepada tindakan undang-undang.

    Berkenaan perkara ini, persatuan tersebut menggesa kerajaan untuk membenarkan pembekal, terutamanya yang mengeluarkan barang untuk eksport, dikecualikan daripada lockdown dan meneruskan operasi di bawah protokol yang sangat ketat. Ia juga menyokong penuh cadangan Gabungan Pengilang Malaysia (FMM) untuk mengelak keruntuhan ekonomi sektor pengilangan.

    Vendor Proton mahu terus beroperasi waktu PKP penuh; sokong cadangan moratorium dan manfaat lain

    Antara langkah yang dicadangkan adalah termasuk moratorium pinjaman tiga bulan, pengenalan semula Program Subsidi Gaji (WSP) dan sambungan rebat elektrik enam bulan. FMM juga mahukan kerajaan menggantung atau menangguhkan tarikh bayaran sumbangan berkanun, mengecualikan cas Tuntutan Maksimum Tenaga Nasional untuk bulan Mei dan menggantung bayaran Ambil atau Bayar (TOP) Gas Malaysia dalam perjanjian pengambilan gas bagi bulan Mei.

    Sebagai tambahan, FMM juga mahukan kerajaan membenarkan syarikat yang terlibat dengan aktiviti import dan eksport seperti pelabuhan, gudang dan servis pengangkutan barangan untuk terus beroperasi, bersama penyelenggaraan kilang, kebuk pembakaran dan relau yang tidak boleh ditutup (tenaga kerja 20%).

    Menurut PVA, sifat simbiotik industri automotif membawa makna ia tidak boleh berhadapan keruntuhan ekosistem kerana akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina semula sebagai satu kitaran yang berfungsi sepenuhnya. Restorasi seperti ini akan memberi kesan negatif kepada 500,000 majikan dalam pengilangan automotif, yang menyumbang antara 4 ke 4.5% kepada GDP negara.

     
     
  • Geneva International Motor Show kembali pada 2022

    Geneva International Motor Show kembali pada 2022

    Penganjuran Geneva International Motor Show (GIMS) direncanakan bakal kembali pada tahun 2022, dengan tarikh yang ditetapkan pada 19 hingga 27 Februari, manakala hari untuk pihak wartawan membuat liputan khas pada 17 dan 18 Februari. Dalam kenyataan media rasmi yang diedarkan, pendaftaran untuk para peserta pameran sudah pun bermula, dan mempunyai masa sehingga pertengahan Julai ini untuk mengisi slot yang ada.

    “Dengan penghantaran pakej tender, kini secara rasminya kami mula mengaturkan gerak kerja untuk GIMS 2022. Pasukan kami tidak sabar untuk mempersembahkan konsep kami kepada para peserta pameran dan juga orang ramai. Kami sangat berharap agar situasi kesihatan dan juga peraturan polisi berkaitan dengan COVID-19 membenarkan kami untuk meneruskan penganjuran,” ujar Sandro Mesquita, CEO bagi GIMS.

    Krisis kesihatan global tersebut telah memberikan impak terhadap GIMS, di mana ia terpaksa membatalkan penganjuran untuk edisi ke-90 pada tahun 2020, selepas kerajaan Switzerland membuat keputusan untuk melarang semua acara umum berskala besar sejak Februari lalu.

    Manakala pembatalan acara untuk 2021 pula diumumkan pada Julai 2020, dengan pihak penganjur memilih untuk menjual pertunjukan tersebut kepada Palexpo SA. Acara 2022 pula baru-baru ini diumumkan sebagai penganjuran kali ke-91.

    GIMS merupakan salah satu acara automotif terbesar di dunia, dengan kebanyakan jenama pengeluar kenderaan mengambil kesempatan untuk memperkenalkan model terkini mereka pada penganjuran acara berkenaan. Namun buat masa ini, belum ada jenama yang mengesahkan bakal mengambil bahagian dalam acara yang akan datang. Dan ada juga jenama besar yang pernah menyatakan mereka tidak akan mengambil bahagian dalam acara terbabit sebagai usaha untuk mengurangkan kos.

     
     
  • PKP 3.0: Aktiviti jogging boleh, kayuh basikal dilarang

    PKP 3.0: Aktiviti jogging boleh, kayuh basikal dilarang

    Dengan pelaksanaan kawalan pergerakan 3.0 terbaru yang bakal berlangsung dari 1 hingga 14 June ini, jangan lupa untuk ambil maklum tentang larangan yang bakal dikenakan kepada semua. Hanya beberapa perkhidmatan dibenarkan beroperasi, sementara kebanyakan perniagaan diarahkan tutup serta peraturan larangan pergerakan juga berubah.

    Bagi aktiviti sukan misalnya, ambil maklum bahawa anda masih dibenarkan berjogging, atau sukan perseoranngan sahaja yang boleh dilakukan. Sukan berbasikal bagaimanapun tidak dibenarkan sepanjang tempoh ini.

    Bagi jogging, jarak minimum 2-3 meter perlu dipatuhi. Dan, aktiviti sukan ini hanya dibenarkan di kawasan kejiranan di mana anda tinggal, dan perlu mematuhi SOP lainnya, termasuklah tiada aktiviti luar selepas jam 8 malam.

    Kemaskini maklumat anda berkaitan peraturan yang akan dikenakan bermula esok. Antara yang penting, pergerakan satu kereta hanya boleh melibatkan dua orang sahaja (tiga orang sekiranya melibatkan urusan kesihatan) dan tidak boleh melebihi 10 km radius.

    Bagi aktiviti masjid dan surau, ia terhad kepada 12 orang ahli jawatan kuasa sahaja, dan tiada aktiviti lain yang boleh dijalankan. Peraturan ini terpakai juga untuk rumah ibadat agama-agama lain di seluruh negara.

     
     
  • Honda Malaysia tawar kamera parkir 360-darjah untuk HR-V dan BR-V — pasang berasingan, RM3,300

    Honda Malaysia tawar kamera parkir 360-darjah untuk HR-V dan BR-V — pasang berasingan, RM3,300

    Honda Malaysia kini menawarkan pilihan untuk kamera parkir bagi model HR-V dan BR-V. Sebagai aksesori rasmi, kamera ini hadir dengan perumah khusus untuk memastikan pemasangan yang sangat mudah untuk kedua-dua model.

    Sama seperti sistem kamera parkir 360-darjah yang lain, ia melibatkan kamera di depan, belakang, serta cermin sisi kiri dan kanan. Visual yang dihasilkan “dicantum” sekali untuk memberikan pandangan dari atas bagi kenderaan terbabit, dipaparkan pada head unit skrin sentuh di tengah. Ini membantu memudahkan pemandu untuk melihat ruang yang ada untuk memasuki parkir.

    Sistem kamera parkir ini ditawarkan sebagai pilihan bagi pembelian baru model berkenaan, tetapi pemasangan secara berasingan juga boleh dilakukan kepada pemilik kenderaan sedia ada. Ia boleh dipasangkan pada model HR-V (semua varian) dari model tahun 2019 ke atas — versi facelift.

    Bagi BR-V, hanya varian V boleh menerima pemasangan ini. Varian E yang paling asas tidak mempunyai skrin infotainmen untuk paparan kamera itu. Harganya ialah RM3,300 untuk semua model. Sebelum tambahan ini, BR-V dijual pada harga dari RM86,726 hingga RM93,693, sementara HR-V dari RM104,000 hingga RM118,854, atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian SST.

     
     
  • PKP 3.0: Lebih 800 SJR di seluruh negara mulai 1 Jun

    PKP 3.0:  Lebih 800 SJR di seluruh negara mulai 1 Jun

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Lockdown sepenuhnya Fasa Pertama bermula esok, 1 hingga 14 Jun 2021, sebanyak lebih 800 sekatan jalan raya (SJR) akan digerakkan di seluruh negara. Ia meningkat berbanding 600 SJR sebelum ini.

    Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pemeriksaan mengejut juga akan dilaksanakan pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bersama beberapa agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), laporan Bernama.

    “Pemeriksaan mengejut itu akan dilakukan di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya sambil menambah kira-kira 70,000 anggota polis dan agensi bawah KDN juga akan ditugaskan sepanjang tempoh terbabit.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri tempoh hari, sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal. Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

    Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan PKP seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

    Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.

     
     
  • PKP 3.0: Kebenaran rentas negeri pasangan PJJ ditangguh, kecemasan dan kematian masih dibenarkan

    PKP 3.0: Kebenaran rentas negeri pasangan PJJ ditangguh, kecemasan dan kematian masih dibenarkan

    Ketika sidang medianya untuk memperincikan prosedur operasi standard (SOP) baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyatakan bahawa kebenaran merentas negeri dan daerah bagi pasangan jarak jauh (PJJ) ditangguhkan sepanjang tempoh 14 hari Sekatan Pergerakan Penuh mulai 1 Jun ini, lapor Bernama.

    Menteri berkenaan meminta agar semua pihak termasuk golongan PJJ bersabar dan berkorban demi memastikan kejayaan melandaikan lengkuk kes baharu Covid-19.

    “Apa yang perlu hari ini semua rakyat perlu berkorban, ada yang terpaksa menutup perniagaan sementara waktu, ada yang terpaksa menutup kilang mereka sementara waktu untuk dua minggu ini.

    “Jadi untuk PJJ juga perlu berkorban untuk dua minggu ini, dan kita telah buat keputusan untuk tidak benarkan golongan PJJ merentas negeri atau daerah,” katanya.

    Namun Ismail Sabri menyatakan bahawa pergerakan rentas negeri membabitkan kes kecemasan seperti kematian serta ahli keluarga sakit, nazak dan sebagainya dibenarkan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    PKP 3.0: Kebenaran rentas negeri pasangan PJJ ditangguh, kecemasan dan kematian masih dibenarkan

    “Setakat ini, hanya PDRM sahaja yang boleh mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri atau daerah bagi tujuan kecemasan seperti kematian dan keluarga nazak,” katanya.

    Walau bagaimanapun, beliau memohon kerjasama semua pihak untuk bersikap jujur ketika memohon kebenaran di balai polis bagi tujuan merentas negeri atau daerah memandangkan perbuatan memalsukan permohonan dan memberi alasan tidak munasabah boleh memberi kesan kepada mereka yang benar-benar perlu melakukan pergerakan tersebut.

    “Saya difahamkan banyak kes yang polis terpaksa tolak kerana meragukan namun terdapat juga kes benar-benar tulen seperti mahu melawat ibu mereka yang sakit teruk. Jadi polis perlu berhati-hati dalam meluluskan permohonan kerana ada banyak permohonan palsu.

    “Saya harap kita perlu benar-benar jujur kepada pihak polis ketika membuat permohonan. Kita mungkin boleh tipu polis namun kita tidak boleh tipu COVID-19 yang ada di mana-mana sahaja,” katanya.

     
     
  • VIDEO: Toyota uji GR Yaris Rally1 Hybrid WRC 2022

    Selepas Hyundai, kini Toyota pula menyiarkan video jentera WRC untuk musim hadapan yang mula menggunakan undang-undang WRCar sedia ada bagi kategori tertinggi. Dan seperti yang ditunggu-tunggu, jentera Rally1 berkenaan dihasilkan berasaskan hot-hatch terbaharu mereka, iaitu Toyota GR Yaris.

    Undang-undang baharu ini menyaksikan perubahan besar dalam spesifikasi teknikal bagi jentera-jentera rali generasi baharu yang akan mula digunakan pada musim 2022. Selain dari struktur tubular baharu bagi meningkatkan keselamatan, jentera-jentera Rally1 juga perlu menggunakan unit rangkaian kuasa hybrid petrol-elektrik.

    Walaupun masih dibalut pelekat penyamaran dengan tema warna merah-putih Gazoo Racing, GR Yaris Rally1 ini jelas diberikan kit aero yang jauh lebih agresif berbanding model standard jalan raya dengan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, serta sayap belakang yang jauh lebih besar.

    Juga dapat dilihat, ia diberikan skup udara pada kedua-dua sisi belakang badan yang cukup besar. Ini berkemungkinan bagi menyalurkan udara bagi menyejukkan sistem hibrid dan juga motor elektrik yang berada pada gandar belakang GR Yaris Rally1 tersebut.

    VIDEO: Toyota uji GR Yaris Rally1 Hybrid WRC 2022

    “Kami telah memulakan program ujian kami di Finland. Kami buat ujian shakedown dan pemeriksaan sistem di sana. Undang-undang Rally1 untuk 2022 menampilkan berberapa perubahan besar berbanding apa yang kita lihat pada berberapa tahun kebelakangan ini. Yang pasti apa yang paling penting adalah pengenalan sistem hibrid,” kata pengarah teknikal Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Tom Fowler.

    “Jadi bersama enjin pembakaran dalaman kami juga mempunyai sistem hibrid bagi memberikan tujahan tork tambahan. Dan kedua kami mempunyai rekaan casis baharu sepenuhnya yang memperkenalkan undang-undang FIA yang maju kehadapan dari segi keselamatan terhadap kereta WRC dan kesemua perincian ini telah pun bersepadu dalam jentera Rally1 kami.

    “Ini merupakan projek yang mengujakan kerana sangat banyak perkara telah berubah. Kami perlu kembali ke papan lukisan untuk hampir semua keseluruhan bahagian kereta, untuk semua sistem dan ini adalah keseronokan sebenar untuk bekerja dengan pasukan jurutera, pereka dan juruteknik kami yang cemerlang bagi menyiapkan kereta ini,” tambahnya lagi.

    Dalam video yang disiarkan ini, jentara GR Yaris Rally1 2022 tersebut sedang diuji dalam laluan stage rali di Portugal, di atas jalan permukaan batu kelikir Eropah bagi mendapatkan data-data dan pengalaman sebenar apa yang perlu dihadapi sebuah jentera rali dunia dalam WRC.

    Menurut Fowler, data-data berkenaan akan dibawa balik ke Finland di mana jurutera-jurutera dan pereka-pereka pasukannya akan meneliti semua maklumat tersebut bagi bersedia langkah seterusnya dalam pembangunan yang akan di buat di ibu pejabat mereka berkenaan, serta kawasan-kawasan ujian lain di Eropah sehingga penghujung tahun ini, dan kemudian membuat proses homologasi serta memastikan kereta tersebut bersedia untuk pusingan pertama WRC 2022 di Monte Carlo.

    Tiada sebarang perincian lebih teliti diberikan berkenaan jentera GR Yaris Rally1 berkenaan. Namun menerusi perincian undang-undang yang telah diumumkan oleh FIA, pengeluar masih disyaratkan untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama unit restrictor 36 mm sedia ada (menghasilkan sekitar sekitar 380 hp, nisbah berat kepada kuasa 3.1 hp/kg).

    Apa yang berbeza, enjin berkenaan perlu digandingkan dengan motor elektrik serta bateri dan sistem pemulihan tenaga kinetik, yang bukan sahaja akan membekalkan kuasa tambahan (mod power boost) ketika sedang berlumba dalam Special Stage (SS), malah membolehkan jentera-jentera berkenaan bergerak dalam jalan raya awam/kawasan bandar dari service park ke SS, atau dari SS ke SS dengan menggunakan kuasa elektrik 100% yang lebih senyap serta mesra alam.

     
     
  • PKP 3.0: Hanya dua penumpang dibenarkan dalam kereta yang sama, jarak tidak lebih 10km dari rumah

    PKP 3.0: Hanya dua penumpang dibenarkan dalam kereta yang sama, jarak tidak lebih 10km dari rumah

    Menteri kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, telah mengumumkan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) utama bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk ‘lockdown’ penuh Fasa Pertama yang bakal dilaksanakan mulai 1 hingga 14 Jun 2021. Antara yang beliau umumkan ialah hanya dua orang sahaja yang mewakiti isi rumah dibenarkan untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

    Manakala maksimum, hanya tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius 10 kilometer dari kediaman.

    Beliau memaklumkan, SOP ini adalah sama yang digunapakai dalam PKP yang pertama kali dilaksanakan pada tahun lalu. Walau bagaimana pun, beliau tidak memaklumkan jumlah kompaun yang akan dikenakan sekiranya ada yang ingkar dengan larangan tersebut. Jika mengikut pelaksanaan PKP yang lalu, kompaun sebanyak RNM1,000 dikenakan untuk pesalah yang melanggar SOP terbabit.

    PKP 3.0: Hanya dua penumpang dibenarkan dalam kereta yang sama, jarak tidak lebih 10km dari rumah

    Bagi PKP 3.0 kali ini, Ismail turut mengumumkan, semua surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah terbatal mulai 1 Jun 2021. Permohonan baru bagi kebenaran perjalanan perlu dikemukakan kepada kementerian- kementerian yang berkaitan.

    “Tujuan pelaksanaan PKP ini adalah untuk mengurangkan pergerakan. Keluar hanya bila benar-benar perlu sahaja. Jadi, saya berharap semua pihak mengambil peranan masing-masing, dengan semua pihak patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, saya yakin lengkuk jangkitan kes akan dapat dilandaikan.

    “Pada masa yang sama, saya juga berharap pihak swasta juga akan mematuhi arahan kerajaan agar kita sama-sama menang dalam perang melawan COVID-19,” ujarnya dalam sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr. Noorhisham Abdullah.

     
     
  • PKP 3.0: Lockdown penuh untuk Fasa Pertama di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021

    PKP 3.0: Lockdown penuh untuk Fasa Pertama di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021

    Pejabat Perdana Menteri baru saja mengeluarkan kenyataan media rasmi dengan mengesahkan
    sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri petang tadi telah memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

    Di mana sepanjang tempoh tersebut, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali yang melibatkan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan dan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat ini.

    “Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat.

    “Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini. Dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad,” ujar kenyataan rasmi terbabit.

    Jelasnya, sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal. Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

    Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

    Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.

    “Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan. Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Yang terbaik ialah duduk di rumah atau STAY AT HOME untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19,” nasihat Pejabat Perdana Menteri,

     
     
  • Mitsubishi Triton V8 Trophy Truck didedahkan – jentera rali Finke Desert Race 2021 untuk Toby Price

    Mitsubishi Triton V8 Trophy Truck didedahkan – jentera rali Finke Desert Race 2021 untuk Toby Price

    Juara Rali Dakar dua-kali dalam kategori motosikal dan juga pelumba siri Stadium Super Trucks dan SuperUtes Australia, Toby Price telah pun mendedahkan jenteranya untuk perlumbaan rali Finke Desert Race tahun ini – ini dia Mitsubishi Triton Trophy Truck dengan enjin V8!

    Trophy Truck berkenaan dihasilkan oleh John Vance dari TSCO yang berpusat di Amerika Syarikat dengan kerangka casis binaan TSCO, dipadankan dengan enjin Dougans 6 liter V8 NA bersama unit pengurusan enjin Motec, kotak gear sequential enam-kelajuan Albins bersama pedal penukar gear serta dilengkapi suspensi dari Fox Racing dan rim bead lock dari Method bersama tayar BF Goodrich.

    Manakala badan trak ini pula direka berdasarkan Mitsubishi Triton GSR pasaran Australia dan juga Triton Concept Truck. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ini merupakan gandingan pertama seumpamanya di dunia.

    Toby Price menyatakan bahawa konsep badan Triton tersebut direalisasikan buat pertama kali pada awal 2020, kemudian dia bekerja sama rapat dengan Mitsubishi Motors Australia serta pasukan rekaan Triton di Mitsubishi Motors Corporation, dan juga Fiberwerx di Amerika Syarikat bagi membolehkan visinya menjadi kenyataan.

    Mitsubishi Triton V8 Trophy Truck didedahkan – jentera rali Finke Desert Race 2021 untuk Toby Price

    “Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat mendedahkannya kepada semua orang bagi melihat semua kerja keras yang telah dicurahkan bagi mendapatkan trak yang sama seperti Concept Ute,” kata Price.

    “Terima kasih kepada Mitsubishi Motors untuk bekerjasama bersama kami untuk merealisasikan projek ini, ia adalah salah satu perkara yang paling cool pernah dapat saya lakukan dan saya sangat sukakannya!” tambahnya lagi.

    “Ia seakan perkara yang mustahil…tetapi kami berjaya lakukannya! Kami bekerja dengan mengharungi pelbagai masalah selama 12 bulan lalu, dan ia tidak mudah – tetapi semua orang ada satu visi, bagi membina badan custom Triton untuk Trophy Truck Toby! Dia merupakan rakan salah satu rakan kerjasama kami yang penting, jadi kami sangat bangga,” kata pengurus senior komunikasi pemasaran Mitsubishi Motors Australia, Karen Bradley.

    “Rekaan badan ini adalah sangat Mitsubishi terima kasih kepada kerja rekaan khas yang dibuat oleh pasukan rekaan global Triton. Peminat akan mengenali rekaan Dynamic Shield signatur dan juga pelbagai ciri dari Triton sedia ada dan juga Concept Ute kami. Kami juga bangga untuk terlibat dalam projek pertama seumpamanya di dunia ini,” ujar Bradley lagi.

    Triton Trophy Truck Toby Price ini turut diserlahkan dengan livery Red Bull edisi istimewa dalam warna hitam dan putih. Toby Price akan dibantu oleh juruarah Mark “Dutto” Dutton dari Triple Eight Race Engineering, yang juga pengurus pasukan Team Red Bull Ampol Racing dalam perlumbaan Supercars Australia.

    Finke Desert Race 2021 akan dilangsungkan di padang pasir Alice Spring, Australia bermula 11 hingga 14 Jun nanti.

     
     
  • Cupra Born 2021 EV diperkenal – 4 varian, hingga 231 PS & bateri 77 kWh, pengecasan pantas 125 kW DC

    Cupra Born 2021 EV diperkenal – 4 varian, hingga 231 PS & bateri 77 kWh, pengecasan pantas 125 kW DC

    Selepas memperkenalkan model prestasi tinggi, Cupra kini kembali dan mendedahkan pula kereta elektrik pertamanya. Perkenalkan, Cupra Born, sebelum ini dikenali sebagai model konsep el-Born. Ada empat varian bateri ditawarkan, dengan janaan dari 150 PS hingga 231 PS.

    Direka dan dibangunkan di Barcelona, Cupra Born akan masuk produksi hujung tahun ini di kilang Zwickau milik Volkswagen Group di Jerman, yang merupakan kilang EV terbesar di Eropah. Model ini menggunakan seni bina MEB yang sama dengan barisan model Volkswagen ID, jadi kebanyakan bahagian yang digunakan, terutama janaan kuasa dan kapasiti bateri akan dikongsi.

    Model peringkat kemasukan dengan 150 PS (motor tunggal, pacuan roda belakang) dilengkapi dengan pek bateri 45 kWh, menawarkan jarak sehingga 340 km. Satu tingkat di atas pula ialah versi dengan bateri 50 kWh (dengan jarak 420 km), hadir sama ada dengan 204 PS atau 231 PS. Varian paling lengkap pula datang dengan pek bateri 77 kWh (jarak 540 km) dan output 231 PS. Tork standard ialah 310 Nm bagi setiap varian.

    Cupra Born 2021 EV diperkenal – 4 varian, hingga 231 PS & bateri 77 kWh, pengecasan pantas 125 kW DC

    Dari segi prestasi, model 150 PS boleh memecut 0-100 km/j dalam 8.9 saat. Model 204 PS memecut sama dalam masa 7.3 saat, sementara 231 PS (58 kWh) mencapai 6.6 saat. Varian yang lebih berat dengan 231 PS dengan bateri 77 kWh memecut 7.0 saat. Hanya model 231 PS yang akan menerima pek prestasi e-Boost, yang akan diperkenalkan dari tahun 2022.

    Pelanggan boleh memilih sistem kawalan casis, yang hadir dengan empat mod pemandua — Range, Comfort, Individual atau “Cupra”. Ini akan memberikan kelebihan terhada pengendalian, membolehkan pemandu untuk terus memanfaatkan agihan berat 50:50.

    Untuk pengecasan, bateri paling besar 77 kWh menjadi satu-satunya dengan sokongan pengecasan pantas DC penuh 125 kWh (CCS Combo 2). Ini membolehkan pengecasan dari 5% hingga 80% dalam masa sekitar 35 minit. Model dengan bateri 58 kWh pula, pengecasan pantas DC ialah pada 100 kW, sementara versi bateri 45 kWh pula boleh dicas pada kadar maksimum 50 kW.

    Spesifikasi pengecas bersepadu itu bagaimanapun masih belum didedahkan, tetapi melihat kepada standard oleh VW Group, ia mungkin datang dengan pengecas AC 11 kW (Type 2), dengan pilihan naik taraf kepada unit 22 kW. Mengecas bateri 77 kW (dari 0-100%) pada kadar 22 kW mengambil masa 7.5 jam, atau sekali ganda tempoh berkenaan dengan pengecas 11 kW.

    Cupra Born mempunyai dimensi 4,322 mm panjang, 1,809 mm lebar, 1,537 mm tinggi dan jarak antara roda 2,767 mm. Ini tidak jauh beza saiz dengan ID.3, dengan Cupra tampil lebih menarik dengan profil sporty. Lain-lain sentuhan yang menjadikannya unik ialah kecondongan agresif pada tiang A, cermin sisi di pintu, tiang B hitam berkilat, dengan tiang C terapung, spoiler besar, bumbung panoramik saiz besar, jalur lampu LED bersambungan di belakang serta diffuser belakang bersepadu.

    Saiz rim ditawarkan antara 18-inci hingga 20-inci, dengan kelebaran tayar 215 mm hingga 235 mm. Pilihan warna pula terdiri daripada enam — Vapour Grey, Glacial White, Geyser Silver, Rayleigh Red, Quasar Grey, dan warna ekslusif Aurora Blue.

    Cupra Born 2021 EV diperkenal – 4 varian, hingga 231 PS & bateri 77 kWh, pengecasan pantas 125 kW DC

    Di dalam, rekaannya masih kekal sama seperti yang ditunjukkan pada model konsep el-Born, dan selari dengan rekaan dalaman model Cupra lainnya. Papan pemuka bersih dan ringkas, dengan paparan skrin sentuh 12-inci di tengah, gaya terapung. Cupra Connect datang sebagai standard, dan boleh dihubungkan kepada aplikasi telefon My Cupra.

    Ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dengan sistem audio Beats sembilan pembesar suara. Pelantar pengecas telefon tanpa wayar Qi juga ada untuk semua varian. Stereng balutan kulit dan rata bahagian bawah adalah standard untuk model Cupra, begitu juga dengan panel instrumen digitalnya. Beberapa bahagian turut menggunakan bahan komposit dari plastik kitar semula. Ruang but ialah 385 liter.

    Bagi aspek keselamatan, ada sistem bantuan pemandu disediakan, seperti ciri Predictive Adaptive Cruise Control, Travel Assist, Side dan Exit Assist, Traffic Sign Recognition, Emergency Assist, dan Pre-Crash Assist. Sistem lain seperti bantuan lampu tinggi, kamera sudut atas (360-darjah), Intelligent Park Assist dan servis eCall juga ada.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025