Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Traxxas Drag Slash Chevy Pickup – trak drag kawalan jauh realistik dengan tayar Mickey Thompson sebenar!

    Traxxas Drag Slash Chevy Pickup – trak drag kawalan jauh realistik dengan tayar Mickey Thompson sebenar!

    Pengeluar kereta kawalan jauh terkenal, Traxxas kini tampil dengan satu lagi produk yang agak mengujakan – memperkenalkan, Traxxas Drag Slash iaitu kereta kawalan jauh untuk perlumbaan drag yang realistik dari segi rupa dan fungsi!

    Buat permulaan, Drag Slash dihasilkan sebagai replika kepada trak drag ikonik Amerika Syarikat iaitu Chevrolet C10 1967 atau popular dipanggil Chevy C10 Pickup.

    Ia dibina dalam skala 1:10, menampilkan perincian-perincian realistik seperti gril hadapan bersama tapak untuk lampu LED, tayar hadapan kurus dan tayar belakang yang gemuk ditenggelamkan dengan sempurna di dalam ruang roda, spoiler perlumbaan drag bersama wheelie bar, serta enam warna badan yang boleh dipilih.

    Traxxas Drag Slash Chevy Pickup – trak drag kawalan jauh realistik dengan tayar Mickey Thompson sebenar!

    Casis Drag Slash ini dihasilkan dengan titik graviti yang rendah. Bukan sahaja jarak antara casis tersebut dengan permukaan jalan dibuat cukup rapat, malah segala kelengkapan di atas kerangka berkenaan seperti bateri dan sistem elektronik turut disusun dan dibaringkan dengan cukup rendah. Ini membolehkan ia memecut kehadapan dengan stabil dan sentiasa melekat dipermukaan jalan.

    Drag Slash digerakkan dengan motor elektrik brushless Velineon 3500kV yang dikawal oleh pengawal kelajuan elektronik kalis air Velineon VXL-3s. Kuasa dihantar keseluruhannya ke roda belakang menerusi transmisi Magnum 272R Pro Series baharu. Kotak gear tersebut terdiri dari gear-gear logam bersama differential empat gear yang beroperasi dengan bendalir.

    Tayar drag Mickey Thompson bersama rim drag Weld pada Drag Slash C10 ini bukan sekadar replika. Ia sebenarnya adalah produk di bawah lesen yang sah dari jenama-jenama perlumbaan drag sebenar tersebut, dibangunkan secara serius bagi memberikan prestasi optimum kepada jentera drag yang 10 kali lebih kecil dari kereta betul ini.

    Tayar Mickey Thompson yang gemuk di belakang menampilkan rekaan web dalam yang diperkuatkan dan diisi dengan busa berketumpatan tinggi. Menurut Traxxas, tayar tersebut telahpun diuji secara ekstensif, mankala kompaun yang digunakan diformulasikan bagi memberikan keseimbangan antara ketahanan jangka masa panjang dan juga memberikan cengkaman yang maksimum.

    Wheelie bar di belakang Drag Slash ini juga bukan sekadar hiasan, dan ia benar-benar berfungsi bagi mengehadkan kadar wheelie apabila ia berlepas. Bar tersebut boleh dilaras dalam lima tahap tetap serta diberikan dua jenis roda dengan diameter berbeza bagi membolehkan anda menetapkan had wheelie yang anda mahukan.

    Drag Slash turut menerima sistem Traxxas Stability Management (TSM) yang berfungsi seakan Traction Control pada kereta sebenar. Menurut Traxxas, TSM pada Drag Slash ini ditala bagi membolehkan pemandu merasai pecutan garis lurus paling laju dengan kestabilan dan kejituan kawalan yang mengkagumkan. Sistem berkenaan boleh dilaras sendiri dari 100% sehingga 0 bagi perlumbaan sebenarnya yang tidak membenarkan fungsi berkenaan digunakan.

    Menerusi unit kawalan kelajuan elektronik Velineon VXL-3s dan juga sistem Trans Brake, jentera kawalan jauh ini juga diberikan satu fungsi seakan launch control pada kereta sebenar. Anda hanya perlu menekan butang Trans Brake dan juga menekan suis pendikit sepenuhnya – apabila butang Trans Brake dilepaskan, Drag Slash akan terus berlepas dengan Velineon memberikan tahap pendikit yang telah ditetapkan.

    Selain itu, Drag Slash juga diberikan mod Drag Race. Dengan mengkatikfkan mod ini dengan hanya menkan butang pada alat kawalan, TSM akan dimatikan bagi membolehkan pelumba melatih teknik pemanduan, dan TSM akan diaktifkan semula sebaik sahaja ia melepasi garisan penamat bagi memberikan kuasa membrek lebih baik serta mengelakkan ia daripada berpusing.

    Traxxas Drag Slash Chevy Pickup C10 1967 ini sudah pun mula dijual di laman rasmi Traxxas pada harga asas US$499.95 (RM2,070). Jika anda masih merasa tidak cukup dengan model standard ini, Traxxas juga menawarkan pelbagai aksesori opsyen seperti kit lampu LED, komponen-komponen aluminium, bendalir-bendalir untuk talaan serta banyak lagi.

     
     
  • BMW 5 Series facelift 2021 dilancar di M’sia – varian M Sport 530e dan 530i, harga RM318k dan RM368k

    BMW 5 Series facelift 2021 dilancar di M’sia – varian M Sport 530e dan 530i, harga RM318k dan RM368k

    Selepas hampir dua bulan ditunjuk sebagai teaser, kini BMW 5 Series facelift G30 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sedan eksekutif yang disegarkan semula ini ditawarkan dalam varian plug-in hybrid 530e dan 530i, dengan kedua-duanya dipasang pakej M Sport.

    Harga yang ditetapkan untuk dua model pemasangan tempatan ini adalah masing-masing RM317,534 untuk 530e M Sport dan RM368,122 untuk 530i M Sport, tidak termasuk insurans, bersama pengecualian SST dan jaminan dua tahun tanpa had batuan. Harga ini sah sehingga 30 Jun 2021, sebelum dinaikkan kepada masing-masing RM323,980 dan RM378,980 apabila ditambah SST.

    Sekiranya pemilik mahukan jaminan lima tahun dan pakej servis percuma, harga ini menjadi masing-masing RM334,354 dan RM384,942 (RM340,800 dan RM395,800 dengan SST), dan masih lebih rendah berbanding harga anggaran sebelum ini. Walaubagaimanapun, ia masih sedikit lebih mahal berbanding model yang digantinya, disebabkan peningkatan kelengkapan yang diberi.

    BMW 5 Series facelift 2021 dilancar di M’sia – varian M Sport 530e dan 530i, harga RM318k dan RM368k

    Pada model facelift ini, beberapa bahagian luar diubah termasuk gril, lampu hadapan serta lampu belakang. Melalui pakej M Sport yang diberikan standard itu pula, model ini mendapat bukaan udara lebih besar pada bampar hadapan, bampar belakang rekaan baru dengan kemasan kelabu serta muncung ekzos trapezoid. Kedua-dua model juga menggunakan rim M Style 845 19 inci. Varian 530e ditambah dengan lampu utama LED adaptif.

    Keunikan varian 530i adalah ia mendapat lampu hadapan jenis LaserLight, yang mana juga adalah pertama kali untuk 5 Series. Ia boleh dikenali melalui jalur seperti kening yang berwarna biru, dan bukannya putih. Kemudiannya, ia turut mendapat kemasan aluminium satin pada tepi tingkap dan sirip Air Breather.

    Bahagian dalam tidak banyak berubah, kecuali butang kawalan pada roda stereng, butang pada konsol tengah warna hitam berkilat, tempat duduk yang dibentuk semula supaya lebih selesa, panel instrumen 12.3 inci dan infotainmen skrin sesentuh 12.3 inci (dua inci lebih besar berbanding sebelum ini).

    Antara dua varian ini juga bahagian dalamnya hampir sama. Kedua-duanya mempunyai roda stereng M Sport, plet tepi pintu M, pedal aloi M, tempat duduk sport larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, balutan kulit Dakota, kemasan Smoke Grey Aluminium Rhombicle dan lapik bumbung hitam.

    Kedua-dua varian 5 Series facelift ini juga mendapat pakej Parking Assistant Plus yang termasuk sistem kamera 360 darjah dan pandangan tiga dimensi yang boleh diakses secara kawalan jauh. Ada sedikit kelengkapan yang lebih untuk 530i iaitu bumbung suria, head-up display, 16 pembesar suara serta sistem bunyi Harman Kardon 464 watt (530e menggunakan sistem BMW HiFi 205 watt dengan 12 pembesar suara).

    Selain daripada itu, kelengkapan biasa lain masih kekal sama, termasuklah sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal suhu empat zon, penghadang cahaya cermin belakang larasan kuasa, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri serta but bukaan elektrik tanpa sentuhan.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua model datang dengan pakej Driving Assistant yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist dan Blind Sport Monitoring dengan Rear Cross Traffic Alert. Varian 530i kemudiannya ditambah dengan Adaptive Cruise Control dengan Stop and Go.

    Secara mekanikalnya, 530i facelift ini masih lagi sama seperti model sebelumnya. Walaupun enjin empat silinder turbo 2.0 liter B48 ini mendapat sistem suntikan bahan api tekanan lebih tinggi, kuasanya masih lagi berada di 252 PS pada 5,200 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm tork pada antara 1,450 hingga 4,800 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada dua roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

    Varian 530e pula mendapat penggerak yang dinaik taraf daripada 330e. Ia terdiri daripada gabungan enjin B48 184 PS/300 Nm dengan motor elektrik 50 kW (68 PS) dan transmisi automatik lapan kelajuan. Kuasa keseluruhan masih lagi 252 PS dan 420 Nm, tetapi fungsi XtraBoost membenarkan ia mendapat tambahan lagi 30 kW (41 PS) waktu mula memecut.

    Penggunaan bateri 12 kWh yang lebih besar (sebelum ini 9.2 kWh) memberikan peningkatan pada jarak gerak elektrik penuh, menjadi 67 km daripada 48 km, dan penggunaan bahan api boleh menjadi 2.3 liter bagi setiap 100 km (pemanduan bercampur). Satu lagi ciri baru pada 530e adalah pembesar suara di luar yang boleh mengeluarkan bunyi untuk memberi amaran kepada pejalan kaki atau penunggang basikal sehingga kelajuan 30 km/j.

    Model 5 Series facelift ini ditawarkan dalam lima warna iaitu Alpine White dan metallic Carbon Black dengan balutan dalam Cognac, dan Phytonic Blue, Sophisto Grey dan Bluestone dengan kemasan dalam warna hitam. Aksesori lain yang ditawarkan juga ada pelbagai.

    GALERI: BMW 530e M Sport facelift 2021

    GALERI: BMW 530i M Sport facelift 2021

    BMW 5 Series facelift 2021 dengan M Performance Parts

     
     
  • BMW 6 Series Gran Turismo facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI G32 kekal CKD; 630i GT dari RM401k

    BMW 6 Series Gran Turismo facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI G32 kekal CKD; 630i GT dari RM401k

    Hari ini BMW Malaysia telah melancarkan model 6 Series Gran Turismo facelift (yang turut dikenali sebagai LCI), yang masih kekal sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) seperti sebelum ini. LCI G32 pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Mei lalu dan kini kita menerima model yang lebih besar daripada 5 Series, dan hanya ditawarkan dengan varian tunggal 630i GT M Sport sahaja.

    Dengan pengecualian cukai jualan (SST) yang bakal berakhir pada 30 Jun 2021, 630i GT M Sport ini ditawarkan dengan harga RM400,893. Ia turut didatangkan dengan waranti dua-tahun/tanpa had perbatuan, tetapi jika anda mahukan waranti lanjutan (lima/tahun/tanpa had perbatuan) dan pakej servis (lima-tahun/100,000 km), amaun yang perlu dibayar menjadi RM417,659.

    Jentera ini menerima enjin B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan kuasa 258 PS (255 hp) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang.

    Dengan larasan ini, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum cecah 250 km/j. Bagi penjimatannya, kadar penggunaan bahan api bagi 630i ini sekitar 7.3 liter per 100 km, sementara pelepasan CO2 pula 166 g/km. Satu perubahan dari ciri model pra-LCI yang disingkirkan ialah suspensi udara, dan ia hanya diberikan peredam pasif sahaja.

    Seperti nama variannya, pakej M Sport diberikan secara standard, ia turut ditambah dengan bampar hadapan yang lebih agresif yang turut menampilkan bukaan udara tengah yang terbahagi tiga seksyen dan bukaan tepi menegak lengkap dengan Air Curtain dan Air Breather. Manakala di belakangnya, diberikan diffuser yang disertai oleh dua corong ekzos trapezoidal, dan turut diberikan spoiler belakang aktif pada tailgate yang secara automatiknya boleh berfungsi pada kelajuan 120 km/j, dan mengendur bila kereta mula perlahan sehingga 80 km/j – ia juga boleh dikawal secara manual.

    Perubahan lain untuk model facelift ini juga termasuklah gril kidney yang agak lebar (dengan active shutter) yang berbingkaikan dengan kepingan tunggal. Ia turut menampilkan lampu utama BMW Laserlight dengan sistem LED matrix, dengan rekaan yang lebih kemas dan juga lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L sama seperti model 5 Series terbaharu.

    BMW 6 Series Gran Turismo facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI G32 kekal CKD; 630i GT dari RM401k

    Manakala di belakangnya pula, garisan kontur yang mendatar pada but kini kelihatan lebih kemas dan disambung pula ke bahagian atas lampu belakang. 630i GT M Sport kini ditawarkan dengan empat warna kemasan – Bernina Grey Amber Effect, Mineral White, Carbon Black dan Sophisto Grey Brilliant Effect – semua dipadankan dengan roda aloi-ringan M 20-inci dengan gaya jejari-bintang rekaan 817 M, dibaluti tayar 245/40 di hadapan dan 275/35 di belakang dan juga pakej BMW Individual high-gloss Shadow Line.

    Di dalamnya, perubahan yang dilakukan adalah tambahan untuk sistem BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi dua paparan 12.3-inci – satu bertindak sebagai kluster instrumen digital dan satu lagi mengendalikan fungsi Navigation System Professional. Selain itu, ciri lain yang diberikan termasuklah sistem bunyi Harmon Kardon 464-wat, 16-pembesar suara dan juga ConnectedDrive.

    Bahagian kabin turut menerima kemasan upholstery kulit Dakota, dan pelanggan boleh memilih sama ada warna Hitam atau Cognac, dengan jahitan dan piping kontras. Selain itu, ia turut diberikan anthracite headliner, pemuka Sensatec, kemasan ash trunkwood dengan serlahan Pearl Chrome dan juga kemasan iluminasi M pada ambang pintu, roda stereng dan pedal.

    Klik untuk besarkan

    Ciri lain yang turut diberikan termasuklah tempat duduk sport, sistem pencahayaan ambien dengan rekaan pencahayaan bersama enam warna, lampu karpet “welcome”, kawalan suhu empat-zon dengan corong belakang, Comfort Access, BMW Display Key, paparan utama, tirai tingkap belakang larasan kuasa dan juga bumbung kaca larasan kuasa.

    Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ciri standard yang diberikan termasuklah pakej Driving Assistant dan Parking Assistant Plus dengan kamera pandangan sekeliling. Manaka ciri yang masih dikekalkan termasuklah Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Tukar Lorong dan amaran pelanggaran hadapan dengan brek automatik, amaran lintasan trafik belakang, pengelak pelanggaran belajang dengan kawalan kelajuan aktif dan fungsi stop & go.

    Setiap pembelian bagi jentera ini melayakkan anda untuk menerima bantuan tepi jalan, aplikasi mobil BMW Group Loyalty+ dan BMW Privileges card, serta BMW Service Online.

     
     
  • Rolls-Royce Boat Tail diperkenalkan — hanya tiga unit di dunia, harga bermula RM117 juta, enjin 6.75 liter V12

    Rolls-Royce Boat Tail diperkenalkan — hanya tiga unit di dunia, harga bermula RM117 juta, enjin 6.75 liter V12

    Yang anda lihat ini ialah Rolls-Royce Boat Tail. Kereta “bespoke” yang direka dari awal untuk tiga orang pelanggan penting Rolls-Royce, yang menginginkan sebuah kereta yang lain daripada lain. Maka hadirlah Boat Tail, sekali gus menandakan kehadiran semula Rolls-Royce Coachbuild.

    Kelainannya? Kereta ini menggabungkan rekaan sebuah kapal layar mewah. Dengan hanya satu butang, bahagian decknya akan dibuka pada sudut 15-darjah. Ini, menurut Rolls-Royce, melambangkan kehalusan layanan dari tradisi British.

    Ada dua peti sejuk dibina khusus di dalamnya. Ia boleh menyejukkan hingga ke suhu enam darjah celcius. Bukan itu saja; turut termuat ialah payung kecil yang keluar secara teleskopik, serta ada juga meja koktail yang boleh dipasang dari kedua-dua sisi deck. Di bawahnya ialah kerusi kecil gentian karbon yang direka oleh pereka perabot Itali, Promemoria yang dibalut dengan kulit biru Rolls-Royce.

    Rolls-Royce Boat Tail diperkenalkan — hanya tiga unit di dunia, harga bermula RM117 juta, enjin 6.75 liter V12

    Wajah depan kereta ini bagaimanapun sangat sinonim dengan imej Rolls Royce, lengkap dengan gril dan lampu pantheon, serta cermin utama menyeluruh. Ia mungkin berkongsi sentuhan rekaan yang sama dengan Phantom, tetapi penampilan Boat Tail adalah rekaan kustom khusus. Ia menggunakan 1,813 bahagian serba baru, termasuk panel badan, lampu depan dan belakang. Sistem audio Bespoke Rolls-Royce dengan 15-pembesar suara juga dihasilkan khusus untuk optimum pada rekaan Boat Tail ini.

    Rekaan kabin pula agak minimalistik, dengan rujukan terhadap Boat Tail 1932 pemiliknya. Kebanyakan teknologi moden yang ada disembunyikan. Bahagian tengahnya turut menampilkan jam bespoke dengan dua unit Bovet 1822. Di dalam glovebox, ada bekas aluminum khusus untuk menempatkan pen Montblanc.

    Kereta ini menggunakan enjin 6.75 liter twin-turbo V2, menghasilkan 563 hp pada 5,000 rpm dan 900 Nm tork dari hanya 1,700 rpm. Transmisi ZF lapan-kelajuan automatik dengan sistem Satellite Aided Transmission (SAT) menghantarkan kuasa ke roda belakang. Kereta ini diuji dengan pendekatan yang sama seperti model-model RR lainnya dan layak digunakan di atas jalan.

    Harga bagi Boat Tail ini bermula dari £20 juta (RM117 juta).

     
     
  • PLUS ingatkan pengguna terus patuhi SOP – R&R dibuka 8 pagi-8 malam, tapau saja, tiada dine-in

    PLUS ingatkan pengguna terus patuhi SOP  – R&R dibuka 8 pagi-8 malam, tapau saja, tiada dine-in

    PLUS Malaysia Bhd (PLUS) terus mengingatkan para pengguna yang perlu melakukan perjalanan di lebuh raya supaya terus mematuhi Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bagan Serai, Kerian, Perak bermula 27 Mei sehingga 9 Jun 2021.

    Sepanjang tempoh tersebut, semua premis makanan dan minuman di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol bagi kedua-dua kawasan (Arah Utara dan Arah Selatan) dibuka dan beroperasi mulai jam 8 pagi hingga 8 malam untuk pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja, manakala makan di premis R&R tidak dibenarkan.

    Sementara itu, semua premis makanan dan minuman di lain-lain lokasi R&R di sepanjang Lebuhraya PLUS juga dibuka dan beroperasi mulai jam 8 pagi hingga 8 malam untuk pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja. Walau bagaimanapun, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam.

    “Kami menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk terus mematuhi SOP keselamatan Covid-19. Dengan semangat #KitaJagaKita, kami berharap anda semua dapat mendaftar bagi mendapatkan Vaksin Covid-19, demi melindungi diri sendiri dan semua pihak yang berada di sekeliling kita,” kata Syed Mohammed Idid, Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai waktu operasi kemudahan di lebuh raya kami, sila layari laman web PLUS di www.plus.com.my dan/atau menerusi laman media sosial Facebook dan Instagram PLUS Malaysia atau twitter@plus2u.

     
     
  • K’jaan akan pastikan insiden LRT tidak berulang – PM

    K’jaan akan pastikan insiden LRT tidak berulang – PM

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan bertanggungjawab memastikan insiden kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), pada 24 Mei lalu, tidak berulang pada masa akan datang.

    Ujarnya, kerajaan memandang serius insiden membabitkan dua tren LRT itu, sekali gus akan memastikan nahas berkenaan disiasat dengan teliti bagi mencari punca kejadian.

    “Isu perlanggaran ini sudah sampai ke peringkat jawatankuasa khas yang dibentuk agar dapat disiasat sebab musabab bagaimana ia boleh berlaku. Sudah lebih 20 tahun, belum pernah ada LRT berlanggar sesama sendiri, tetapi kerana kemalangan sudah berlaku, kita rasa sedih dan mahu ia disiasat. Nanti dalam tempoh tidak berapa lama, kita akan dapat tahu apakah sebab musabab,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut mengulas lanjut, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, telah diarahkan untuk memulihkan segera perkhidmatan LRT khususnya di kawasan kemalangan, dan memastikan perkhidmatan itu sentiasa dijamin selamat.

    “Kalau sudah selesai semuanya dan tiada lagi apa-apa bahaya, beliau (Ka Siong) kata selepas beberapa hari ini, ia (perkhidmatan LRT) akan segera beroperasi balik,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut meminta orang ramai agar bersabar jika berlaku kesulitan untuk menggunakan perkhidmatan LRT terbabit ketika ini susulan kemalangan itu.

    Pada jam 8.45 malam Isnin lalu, sebuah tren LRT yang membawa penumpang seramai 213 orang telah berlanggar dengan sebuah lagi tren lain yang melalui Laluan Kelana Jaya. Insiden yang berlaku lebih kurang jam 8.45 malam tadi di dalam terowong berhampiran Stesen KLCC telah menyebabkan seramai 213 penumpang cedera dan 47 lagi dilaporkan parah.

    Menurut Ketua Polis Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah, berdasarkan siasatan awal, pelanggaran antara KOC Tren LRT dari Stesen KLCC yang dipandu secara automatik telah bertembung dengan KOC tanpa penumpang dari Stesen Kampung Baru menghala ke Stesen KLCC yang dipandu secara manual. Di mana, pemandu KOC daripada Stesen KLCC dikatakan tidak dapat mengesan koc dari Kampung Baru kerana berlaku “misscommunication” daripada pusat kawalan.

     
     
  • Infiniti QX60 2022 – bahagian dalam ditunjuk melalui teaser – penggunaan kulit premium, naik taraf ketara

    Infiniti QX60 2022 – bahagian dalam ditunjuk melalui teaser – penggunaan kulit premium, naik taraf ketara

    Satu lagi teaser disiarkan untuk Infiniti QX60 generasi baru, dengan kali ini syarikat jenama mewah Nissan itu memberikan kita gambaran awal kepada bahagian dalamnya. SUV tiga baris tempat duduk ini akan didedahkan secara penuh 23 Jun nanti, dan tiba di pusat pameran Amerika Syarikat semasa musim luruh 2021. Lepas itu barulah ia akan diikuti pasaran lain.

    Walaupun teaser ini agak gelap, kita masih dapat melihat agak banyak bahagian papan pemuka QX60, dan ia tentunya menampilkan naik taraf yang ketara berbanding model sekarang. Perhatian kepada ciri mewah membawa kepada penggunaan lapisan kulit coklat pada hampir keseluruhan bahagian papan pemuka tersebut sementara corong udara yang lebar menggunakan kemasan warna perak.

    Pada bahagian atas papan pemuka itu, kulit yang digunakan mempunyai jahitan berlapis dan kemudiannya ia diletakkan dengan skrin infotainmen. Butang kawalan terletak di bahagian konsol tengah yang menurun ke bawah dan ia mempunyai kemasan warna hitam berkilat.

    Dalam siaran akhbar, Infiniti memberitahu QX60 akan menampilkan “penggunaan kulit premium, teknologi intuitif serta lampu suasana yang cantik.” Meskipun tidak semua ciri ini ditunjukkan dalam teaser, ia masih jelas lebih moden berbanding model yang ada sekarang.

    Untuk bahagian luar, kita sudah tahu QX60 baru ini akan mempunyai gaya hampir sama seperti QX60 Monograph yang didedahkan September lalu, tetapi disesuaikan untuk model produksi. Infiniti juga ada memberitahu sebelum ini ia akan mendapat enjin V6 3.5 liter, transmisi automatik sembilan kelajuan baru dan sistem pacuan semua roda.

    GALERI: Prototaip Infiniti QX60 2022

    GALERI: Infiniti QX60 Monograph

     
     
  • Honda Civic Mugen RR ini dijual pada harga RM529k!

    Honda Civic Mugen RR ini dijual pada harga RM529k!

    Honda Civic Type R FD2R merupakan samurai terakhir yang menerapkan nilai-nilai asli sebuah Type R Honda iaitu dengan kerangka diperkuat, menggunakan komponen-komponen lebih ringan, serta dijana oleh enjin VTEC yang meraung pada takat rpm tinggi tanpa sebarang induksi dari pengecas turbo.

    Namun antara semua Type R FD2, ada 300 unit yang lebih istimewa dari biasa dihasilkan oleh M-TEC Co.Ltd, atau lebih dikenali dengan jenama Mugen, diasaskan oleh anak Soichiro Honda iaitu Hirotoshi Honda. 300 unit berkenaan tidak dipanggil Honda Civic Type R, tetapi didaftarkan dengan nama Honda Civic Mugen RR.

    Dari luar, apa yang nyata berbeza antara Mugen RR dengan Type R FD2 biasa adalah kit penggayaannya – ia hanya ditawarkan dalam warna Milano Red, hadir dengan pelbagai komponen gentian karbon seperti pada gril hadapan dan spoiler boleh laras di belakang serta bampar hadapan dan belakang yang lebih garang.

    Manakala bonet hadapan pula bukan sahaja diberikan liang udara tambahan, ia juga sebenarnya unit baharu yang diperbuat dari aluminium. Model khas ini juga tampil dengan overfender dan skirt sisi baharu, serta rim aloi forged 18-inci asli dari Mugen, dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE070 dan menyerlahkan sistem brek yang lebih agresif.

    Kelengkapan Mugen juga memenuhi segenap sudut pada bahagian dalaman Civic istimewa ini. Antaranya set tempat duduk hadapan bucket Recaro SP-X Mugen gentian karbon, tombol gear, meter ‘tiga beradik’ di atas pemain audio, paparan meter utama, roda stereng dengan kemasan gentian karbon, lencana-lencana di tempat sepatutnya, tag produksi, dan pelbagai lagi.

    Dengan pelbagai komponen aluminium dan juga gentian karbon dipadankan, Civic Mugen RR ini berjaya diringankan sebanyak 165kg berbanding Type R standard (1,260 kg), kini ditimbang hanya 1,095 kg.

    Honda Civic Mugen RR ini dijual pada harga RM529k!

    Bukan itu sahaja, enjin K20A DOHC i-VTEC pada perut Mugen RR ini juga telah dipertingkat. Mugen memberikan komponen prestasi mereka seperti set induksi dengan kotak udara gentian karbon (disuap dengan udara terus dari corong dihubungkan pada bampar hadapan) set aci sesondol baharu dengan sudut bukaan injap lebih agresif, spring injap lebih keras, sistem ekzos baharu sepenuhnya serta talaan baharu pada kotak komputer.

    Ini membolehkan kuasa asal 222 hp/215 Nm pada FD2 Type R biasa melonjak kepada 237 hp pada takat 8,000rpm dan tork maksima 218 Nm untuk Mugen RR ini. Mugen juga menukar kesemua set suspensi asal Civic berkenaan kepada komponen dari mereka sendiri dan kemudian menalanya semula bagi memastikan ia dapat menampung kuasa tambahan yang dibekalkan.

    Unit yang anda lihat pada gambar ini adalah unit ke-24 dari 300 unit yang dihasilkan. Ia kini berada di UK dan diiklankan untuk dijual oleh laman torque-gt.co.uk. Sesuai dengan statusnya, unit yang mencatatkan perbatuan 52,946 km pada odometernya ini dijual pada harga £89,990 atau sekitar RM529k!

    Sebelum ini ada juga unit Honda Civic Mugen RR ini dibuka untuk jualan di Malaysia dengan harga hampir RM300k. Itu pun ramai yang bising cakap ‘harga Yahudi’. Demo dok kenal bare boh.

     
     
  • Honda HR-V 2022 – Sistem Air Diffusion diperincikan

    Honda HR-V 2022 – Sistem <em>Air Diffusion</em> diperincikan

    Honda Eropah telah banyak melakukan persiapan untuk memasarkan HR-V generasi ketiga yang dijangka tiba di benua berkenaan pada penghujung tahun ini. Ini turut menampilkan pelbagai ciri baharu untuk mempertingkatkan keselesaan dalaman bagi crossover segmen-B ini termasuklah memperkenalkan Sistem Air Diffusion atau Penyebaran Udara baharu.

    Dengan adanya sistem ini, corong udara berbentuk-L yang unik yang ditempatkan di sudut papan pemuka, boleh digunakan untuk menyebarkan udara ke bahagian sisi dan bumbung kereta, berbanding terus ke muka penumpang.

    Aliran udara juga bertindak sebagai penebat dan menghalang haba panas daripada memasuki ruang kabin menerusi tingkap sisi pada musim panas dan juga rasa dingin pada musim sejuk. Pengguna boleh menukar kawalan untuk pengudaraan secara terus ke hadapan menerusi tombol kawalan yang besar untuk melaras corong udara berkenaan. Malah penumpang belakang juga menerima manfaat daripada corong baharu yang ditempatkan di belakang perehat tangan hadapan, satu ciri baharu untuk HR-V.

    Honda HR-V 2022 – Sistem <em>Air Diffusion</em> diperincikan

    Diteruskan dengan konsep dalaman “light and wind”, tingkap juga direka untuk membolehkan seberapa banyak cahaya menembusi bahagian kabin. Selain menambah baik penglihatan luaran menerusi bonet yang rata dan pandangan yang jelas, membolehkan pemandu untuk mengendalikan kereta dengan lebih optimum.

    Honda turut memfokuskan posisi kawalan yang optimal, mengelakkan susun atur yang kurang kemas bagi menimbulkan rasa yang lebih tenang. Kawalan ventilasi dan audio juga telah diposisi secara lebih rapat dengan penglihatan pemandu dan ia turut direka untuk lebih mudah dikendalikan ketika sedang memandu.

    Prinsip “Man-Maximum, Machine-Minimum” yang dipegang oleh Honda tetap digunapakai untuk pembangunan HR-V ini, dengan komponen penjana kuasanya ditempatkan di antara casis dan petak enjin. Malah, tangki bahan api juga diposisikan di bawah tempat duduk hadapan, memaksimumkan ruang dalaman dengan membolehkan rekaan yang lebih “preimum” untuk luaran diketengahkan.

    Dengan penambahan dimensi ruang dalaman, tempat duduk belakang telah ditempatkan ke belakang sedikit lebih kurang 30 mm dan mempertingkatkan jarak untuk ia dibaringkan sebanyak dua darjah. Honda turut mendakwa ruang kepalanya juga setanding dengan standard kelas yang setara dengannya tetapi peningkatan sebanyak 35 mm bagi ruang kaki dan ruang bahu membuatkan ia setaraf dengan kelas SUV.

    Penambahbaikan untuk keselesaan lain termasuklah tempat duduk hadapan “menstabilkan badan’, di mana ia menggunakan struktur alas berbanding gegelung sebagai sokongan. Ia meningkatkan keselesaan untuk semua penumpang dan mengelakkan kelesuan jika berada dalam perjalanan jauh.

    HR-V ini akan ditawarkan di Eropah dengan bentuk e:HEV hybrid sahaja, menggunakan motor elektrik 131 PS/252 Nm dan enjin 1.5 liter kitaran-Atkinson i-VTEC 108 PS/127 Nm yang boleh mengecas bateri dan membantu menyalurkan kuasa yang lebih padu dalam kelajuan yang tinggi. Model ini telah dijual di Jepun, di mana ia lebih dikenali sebagai Vezel dan ditawarkan dengan varian petrol 1.5 liter yang menghamburkan kuasa 118 PS dan tork 142 Nm, dipadankan bersama CVT.

     
     
  • Polis minta orang ramai yang ambil vaksin di PWTC jangan parkir sembarangan atau tindakan akan diambil

    Polis minta orang ramai yang ambil vaksin di PWTC jangan parkir sembarangan atau tindakan akan diambil

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai yang datang ke Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) untuk menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AztraZeneca dalam bangunan berkenaan agar tidak meletakkan kenderaan masing-masing sewenang-wenangnya sehingga menghalang lalulintas di sekitar kawasan berkenaan.

    Peringatan tersebut disuarakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Hj Zulkefly Bin Yahya menerusi laman Facebook rasmi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL).

    Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya peraturan dan undang-undang tidak dipatuhi, tindakan saman atau tunda akan dilaksanakan.

     
     
  • SM Sport 110R diberi perubahan grafik – harga RM4k

    SM Sport 110R diberi perubahan grafik – harga RM4k

    Kapcai bajet SM Sport 110R yang dilancarkan buat kali pertama untuk pasaran Malaysia pada tahun 2017 sekali lagi diberikan perubahan grafik untuk model tahun 2021. Pilihan warnanya masih lagi terdiri daripada merah, hitam dan biru, tetapi diganti dengan pelekat corak berbeza.

    Harga juga ada sedikit perubahan, iaitu sekarang dijual pada RM4,018 (tidak termasuk insurans) berbanding RM3,918 bagi model tahun 2019, dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, yang mana tiba dahulu.

    Bahagian lain pada motosikal ini tidak berubah, termasuklah panel badannya, yang turut dilengkapi lampu DRl LED serta lampu penunjuk arah dan lampu brek LED. Enjin menggunakan unit satu silinder 109 cc SOHC (karburetor) yang mampu menghasilkan kuasa 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi empat gear tanpa klac tangan dan penunggang boleh menghidupkan enjin sama ada menggunakan penendang ataupun butang pemula. Brek hadapan menggunakan sistem cakera sementara belakang pula menggunakan dram.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal edaran MForce Bike Holdings Sdn Bhd ini adalah tangki bahan api empat liter, ruang simpanan 10 liter bawah tempat duduk, pengecas USB, rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang serta berat keseluruhan 105 kg.

     
     
  • Mitsubishi beri Triton untuk kerja kebajikan Insaf M’sia

    Mitsubishi beri Triton untuk kerja kebajikan Insaf M’sia

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memberi sumbangan sebuah Triton untuk Insaf Malaysia, sebuah badan bebas tidak berasaskan keuntungan untuk kegunaan mereka menyampaikan bantuan. Trak 4×4 berkenaan akan digunakan untuk beberapa program organisasi berkenaan, terutama untuk mengangkut makanan dan bantuan lain kepada warga miskin serta mereka yang terkesan akibat musibah alam.

    Insaf mengusahakan bank makanan, dan mengagihkan kotak makanan tengahari dan kampit beras kepada anak yatim hinggalah warga emas yang ditinggalkan dan hidup sendiri. Organisasi terbabit juga membangunkan tempat berlindung untuk mereka yang terkesan dengan musibah alam.

    “Visi CSR kami tahun ini adalah “Inspiring Lives Today for a Greater Future”. Dengan misi untuk melaksanakan aktiviti CSR yang menyediakan bantuan dan sokongan terhadap kanak-kanal kurang bernasib baik, serta bekerjasama dengan NGO dalam mempromosi ekonomi, masyarakat dan persekitara mapan,” ujar CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Mitsubishi beri Triton untuk kerja kebajikan Insaf M’sia

    “Dengan mengetahui bahawa usaha berterusan Insaf Malaysia yang berterusan melakukan kerja-kerja sukarela, kami ingin membantu usaha mereka dengan cara menyumbang sebuah trak pikap Triton dengan harapan mereka dapat memperluaskan lagi capaian bantuan mereka,” tambah beliau.

    “Kita telah menyaksikan corak merbahaya bagi jumlah orang terkesan, terutamanya kekurangan makanan dan nutrisi serta keselamatan makanan sepanjang pandemik ini. Kelaparan sebilangan warga semakin meningkat di Malaysia, memandangkan ramai yang terpaksa diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan, sekaligus memberi kesan kepada perolehan makanan mereka,” jelas Presiden dan pengasas Insaf Malaysia, Ishak Bin Abdul Kadir.

    “Kami sedang melakukan apa yang terdaya untuk memastikan kanak-kanak atau keluarga tidak terputus bekalan makanan. Dengan bantuan Mitsubishi ini, tentulah kami dapat memperluaskan lagi capaian bantuan. Bantuan ini sangat-sangat kami hargai,” tambah beliau.

     
     
  • Puspakom umum penutupan sementara cawangan Kota Kinabalu mulai 27 Mei akibat penularan COVID-19

    Puspakom umum penutupan sementara cawangan Kota Kinabalu mulai 27 Mei akibat penularan COVID-19

    Selepas cawangan Padang Jawa dan Taiping, hari ini giliran cawangan Kota Kinabalu pula menerima nasib yang sama kerana terpaksa ditutup sementara akibat penularan wabak COVID-19.

    Menurut Puspakom, keputusan ini diambil selepas kakitangannya telah disahkan positif COVID-19 dan proses pengesanan kontak juga sedang dijalankan. Semua kakitangan cawangan tersebut juga akan menjalani ujian saringan COVID-19, sementara mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuaratin selama 14 hari.

    “Puspakom telah mengambil langkah menutup cawangan di Kota Kinabalu, Sabah serta merta dan tiada operasi mulai 27 Mei 2021, bagi melakukan proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh.

    “Pembukaan semula cawangan ini akan diumumkan kelak melalui saluran media sosial kami. Pihak kami akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh penutupan ini. Bagi pelanggan yang mempunyai temujanji di Puspakom Kota Kinabalu, semua bayaran temujanji pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik,” ujar Puspakom menerusi kenyataan media yang dihantar.

    Dalam masa yang sama, Puspakom turut akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghadapi gejala ini.

     
     
  • Proton akan produksi enjin 1.5 Turbo di M’sia, ganti sepenuhnya tempat enjin CamPro CFE Turbo – vendor

    Proton akan produksi enjin 1.5 Turbo di M’sia, ganti sepenuhnya tempat enjin CamPro CFE Turbo – vendor

    Tidak lama lagi Proton bakal memproduksi sendiri enjin 1.5 liter tiga-silinder (dikenali sebagai Global Engine Petrol 3 atau GEP3) yang digunakan pada X50 serta X70 versi eksport (ke Pakistan), menurut laporan tahunan 2021 Sapura Industrial.

    Langkah untuk membesarkan lagi aktiviti CKD ini adalah sebahagian dari program Geely-Proton di Malaysia, yang bakal membantu perniagaan eksport Proton menerusi proses tersebut.

    Dalam laporan berkenaan, Sapura Industrial menyatakan bahawa mereka telahpun menerima surat penganugerahan bagi membekalkan berberapa komponen enjin GEP3 kepada Proton, antaranya penyerap getaran kilasan, serta aci sesondol bagi injap kemasukan dan ekzos.

    Laporan itu turut menyatakan bahawa enjin GEP3 ini bakal menggantikan sepenuhnya tempat untuk enjin 1.6 turbo CampPro CFE (dikenali dengan kod nama Phoenix), tetapi ia mungkin akan berlaku pada model-model akan datang Proton.

    Proton akan produksi enjin 1.5 Turbo di M’sia, ganti sepenuhnya tempat enjin CamPro CFE Turbo – vendor

    Sebelum ini Proton sudahpun menyatakan bahawa enjin-enjin CamPro mereka akan terus digunakan, jadi model sedia ada seperti Iriz, Persona, Exora dan Saga akan terus menggunakannya. Dengan enjin GEP3 yang lebih baru ini, Proton berpeluang untuk masuk semula ke pasaran eksport yang mengenakan standard emisi yang tinggi dan ketat.

    Enjin GEP3 ini telah dibangunkan oleh Volvo dan Geely berdasarkan Volvo Engine Architecture, kemudian dipasarkan dengan nama Drive-E dan G-Power mengikut jenama masing-masing.

    Di Malaysia, Proton sudahpun menggunakan enjin GEP3 berkenaan dalam dua versi. Versi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik yang menjana 150 PS (148 hp) dan tork maksima 226 Nm dibekalkan pada X50 varian Standard, Executive dan Premium.

    Proton akan produksi enjin 1.5 Turbo di M’sia, ganti sepenuhnya tempat enjin CamPro CFE Turbo – vendor

    Manakala versi lebih berkuasa dengan sistem suntikan bahan api terus menjana 177 PS (175 hp) dan 255 Nm dipadankan pada X50 varian tertinggi Flagship, serta X70 1.5 T-GDI yang dieksport ke Pakistan. Kedua-dua versi enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar jenis basah tujuh-kelajuan yang dibangunkan oleh CEVT (China Euro Vehicle Technology).

    Seperti yang diterangkan oleh Proton sebelum ini, enjin 1.5 Turbo berkenaan turut akan digunakan pada model-model baharu mereka untuk masa hadapan, dan dua daripadanya adalah model yang dibangunkan sendiri di Malaysia.

    “Langkah ini adalah sebahagian daripada gambaran berkaitan strategi penawaran sistem rangkaian kuasa di masa akan datang. Enjin 1.5 T berkenaan adalah variasi dari unit 1.5 TGDi, dan dibangunkan untuk memenuhi keperluan perancangan masa depan Proton. Ini merupakan pengenalannya yang pertama, dan ia akan digunakan pada model-model akan datang Proton di Malaysia,” jelas Pengarah Kejuruteraan Kumpulan, Proton, Hazrin Fazail Haroon sebelum ini.

    Proton akan produksi enjin 1.5 Turbo di M’sia, ganti sepenuhnya tempat enjin CamPro CFE Turbo – vendor

    Enjin GEP3 tersebut dijangka akan diproduksi di kilang Proton Tanjung Malim, yang sehingga kini terus dibesarkan dan ditingkat taraf serta menerima banyak suntikan dana pelaburan. Seperti yang telah diterangkan oleh Proton pada Oktober 2018, fasa pertama pembesaran kilang tersebut termasuk fasiliti body in white (BIW) baharu, sub pemasangan, trim dan kemasan akhir, serta fasiliti logistik yang dijangka akan dilengkapkan pada Februari 2019.

    Ketika itu Proton turut menyatakan bahawa proses pembesaran tambahan mungkin akan menyaksikan ia akan ditambah dengan kilang enjin, dan nampaknya ia sangat berkait rapat dengan apa yang telah disebut dalam laporan Sapura International ini, serta akan meningkatkan jumlah pelaburan dari RM1.2 bilion kepada RM3 bilion.

    Dengan pelbagai model yang telah dirancang, persediaan yang dilakukan ini akan memastikan mereka mendapat bekalan bagi memenuhi permintaan yang kritikal kepada Proton, serta dengan produksi lebih banyak komponen secara tempatan juga akan memberikan kelebihan bagi mencapai sasaran tersebut.

     
     
  • BMW 5 Series, 6 Series GT 2021 terima kawalan suhu 4-zon, penapis nano, tempat duduk pelbagai fungsi M

    BMW 5 Series, 6 Series GT 2021 terima kawalan suhu 4-zon, penapis nano, tempat duduk pelbagai fungsi M

    BMW telah mengumumkan beberapa ciri baharu untuk model 5 Series G30, 5 Series Touring G31 dan 6 Series Gran Turismo G32, iaitu sebahagian daripada peningkatan bagi barisan modelnya kali ini.

    Ciri baharu untuk ketiga-tiga model berkenaan ialah sistem kawalan suhu empat-zon (sebelum ini hanya ditawarkan secara pilihan), yang turut disertakan dengan penapis nano dengan nano-fleece dan lapisan karbon aktif. Sistem kawalan suhu ini telah pun diberikan secara standard pada model BMW X7 G07, tetapi masih kekal sebagai ciri pilihan untuk 7 Series, 8 Series, X5 dan X6.

    Sementara itu, 6 Series GT pula menerima tempat duduk pelbagai fungsi M, yang ditawarkan secara pilihan. Ia adalah untuk bahagian pemandu dan penumpang hadapan, dan tempat duduk ini turut disertakan dengan penahan kepala yang dikatakan mengoptimakan sokongan bahu dan sisi, serta diberikan larasan elektronik (termasuk sokongan paha, sudut dan lebar penyandar belakang dan ketinggian penyandar kepala).

    BMW 5 Series, 6 Series GT 2021 terima kawalan suhu 4-zon, penapis nano, tempat duduk pelbagai fungsi M

    Sama seperti peningkatan yang diterima oleh 4 Series, trio ini juga bakal menerima sistem Amaran Ketibaan Lorong yang ditambah baik, secara standard. Dalam kelajuan melebihi 70 km/j, sistem berasaskan kamera akan membantu memperbetulkan kedudukan kereta secara lebih tepat mengikut penanda jalan.

    Jika memandu di jalan yang sempit dan tidak mempunyai penanda tengah dan lebarnya pula kurang dari 2.6 meter, sistem akan menyelaras kedudukan stereng mengikut kesesuaian. Selain itu, untuk pengesan trafik yang datang dari arah depan, sistem akan menggunakan bahagian tepi luar lorong sebagai panduan bagi tujuan yang sama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025