Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Data jualan kenderaan ikut jenama di Malaysia untuk Feb 2021 – Proton naik 96%, Honda melonjak 201%

    Data jualan kenderaan ikut jenama di Malaysia untuk Feb 2021 – Proton naik 96%, Honda melonjak 201%

    Walaupun bulan lalu adalah bulan dengan jumlah hari yang paling sedikit, namun jualan kenderaan di Malaysia nampaknya melonjak semula dan mencatatkan angka yang jauh lebih tinggi dari bulan Januari. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sejumlah 42,784 kenderaan baharu telah berjaya dijual pada Februari 2021, naik 30.3% berbanding bulan sebelumnya dengan catatan 32,829 unit.

    Jumlah berkenaan juga sebenarnya 4.1% lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu. MAA menyatakan bahawa peningkatan jualan pada bulan lalu tersebut adalah kerana status berberapa negeri yang telah berubah dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP Bersyarat (PKPB) dan juga PKP Pemulihan (PKPP). Faktor pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun nanti juga antara faktor penyumbang peningkatan ini.

    Melihat pecahan berdasarkan setiap jenama, Perodua walaupun masih kekal sebagai jenama terlaris, namun ia satu-satunya yang berada dalam kedudukan lima tertinggi yang mencatatkan penurunan jualan. Perodua menjual 16,583 unit sepanjang Februari 2021, jatuh 1.8% berbanding bulan sebelumnya dengan catatan 16,895 unit. Ini mungkin berkemungkinan disebabkan masalah bekalan cip semikonduktor yang menyebabkan produksi model Myvi, Ariz dan Alza terjejas.

    Data jualan kenderaan ikut jenama di Malaysia untuk Feb 2021 – Proton naik 96%, Honda melonjak 201%

    Klik untuk besarkan

    Sebaliknya Proton yang berada di kedudukan yang kedua mencatatkan peningkatan yang sangat tinggi berbanding Januari iaitu 11,686 unit. Jumlah berkenaan adalah 95.9% lebih tinggi dari bulan sebelumnya dengan catatan hanya 5,722 unit. Awal bulan ini, syarikat berkenaan mengumumkan mereka berjaya menjual sebanyak 11,873 kereta sepanjang bulan lalu. Jadi lebihan dari yang direkodkan oleh data MAA tersebut adalah unit-unit yang dieksport keluar.

    Toyota yang berada di tempat pertama untuk jenama bukan nasional bagi Januari masih mengekalkan kedudukannya untuk bulan lalu. Jenama berkenaan berjaya menjual sebanyak 5,026 unit kenderaan sepanjang Februari, berbanding 3,828 unit bulan sebelumnya atau peningkatan sebanyak 31.3%.

    Honda walaupun berada di tempat keempat, ia mencatatkan jualan sebanyak 4,389 unit – naik 201.2% berbanding Januari 2021 yang hanya mencatatkan jualan sebanyak 1,457 unit. Manakala di tempat kelima pula adalah Mitsubishi dengan catatan peningkatan sebanyak 15%.

    Nissan Jatuh ke tempat ketujuh (-9.1%) di belakang Mazda (+57.6%) bulan lalu, namun secara keseluruhan tahunan ia masih berada di tempat keenam di hadapan Isuzu. Jenama-jenama lain yang mencatatkan penurunan mendadak bulan lalu adalah termasuk Renault (-20%), Subaru (-68.6%), Hyundai (-29.8%) dan Kia (-30.4%).

    Dalam segmen premium, Volvo (+161.7%) dan Lexus (+182.4%) mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan pada Januari. Porsche pula yang mencatatkan jualan hanya 1 unit pada Januari, berjaya menjual sebanyak 45 unit bulan lalu. Tiada data dari BMW Group Malaysia untuk jenama BMW dan MINI kerana mereka hanya akan berkongsi maklumat berkenaan setiap tiga bulan, manakala Mercedes-Benz pula kini sudah tidak langsung berkongsi data jualan mereka.

     
     
  • Toyota Corolla Cross rasmi dilancarkan di M’sia — dua varian, 1.8L dengan 139 PS/172 Nm, CVT, dari RM124k

    Toyota Corolla Cross rasmi dilancarkan di M’sia — dua varian, 1.8L dengan 139 PS/172 Nm, CVT, dari RM124k

    UMW Toyota Motor hari ini memperkenalkan secara rasmi model SUV terbaru jenama tersebut untuk pasaran tempatan, Toyota Corolla Cross. Ditawarkan dalam dua varian, 1.8G dan juga 1.8V, harga masing-masing ialah RM124,000 dan RM134,000. Namun, kumpulan terawal ini bakal menyaksikan hanya varian 1.8G sahaja yang dijual terlebih dahulu, dengan varian paling tinggi 1.8V turut dibuka untuk tempahan dan menyusul kemudian.

    Toyota Corolla Cross merupakan penawaran dalam segmen baru buat pengeluarnya; pada posisi yang lebih rendah daripada RAV4 dan menggantikan kelompongan yang ditinggalkan oleh model C-HR yang tidak lagi ditawarkan ketika ini di Malaysia.

    Kehadirannya sangat menarik kerana buat pertama kali sejak pesaingnya Honda HR-V berada dalam pasaran tanpa banyak cabaran, akhirnya Toyota mempertaruhkan sebuah model yang sepadan. Semua unit dalam kumpulan terawal ini adalah CBU dari Thailand, dengan versi CKD-nya dirancang untuk diperkenalkan juga dalam tahun ini.

    Toyota Corolla Cross rasmi dilancarkan di M’sia — dua varian, 1.8L dengan 139 PS/172 Nm, CVT, dari RM124k

    Toyota Corolla Cross ini memanfaatkan platform terkini Toyota New Global Architecture (TNGA), sebuah struktur yang membolehkan kejuruteraan lebih anjal dilaksanakan serta beberapa lagi manfaat lain. Berbanding Corolla Sedan, versi SUV Cross ini memiliki badan yang sedikit lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,460 mm, 45 mm lebih lebar dengan 1,825 mm dan 185 mm lebih tinggi dengan 1,620 mm. Ketinggian ini membolehkan jarak kelegaan tanah dinaikkan kepada 161 mm.

    Corolla Cross 1.8G menggunakan lampu utama jenis projektor halogen, sementara varian 1.8V pula dilengkapi unit Bi-LED yang memberikan tahap pencahayaan lebih baik. Lampu nyalaan siang (DRL) menampilkan ciri “tirai cahaya” yang menyuntik penampilan unik dan berkualiti—ciri sama turut diberikan untuk lampu belakang.

    Tema warna utama ruang kabinnya ialah hitam, dengan kemasan balutan kulit bagi tempat duduk, sementara penyudah cat satin digunakan pada bahagian perincian lain. Pencahayaan LED pada bahagian pintu depan menghasilkan suasana berkualiti tinggi dan melahirkan tanggapan menarik. Untuk kemudahan pemandu pelbagai saiz, tempat duduknya didatangkan dengan ciri larasan elektrik lapan-hala.

    Toyota Corolla Cross rasmi dilancarkan di M’sia — dua varian, 1.8L dengan 139 PS/172 Nm, CVT, dari RM124k

    Panel instrumen mempunyai rekaan sporty dengan fokus utama pada speedometer di tengah serta Multi-Information Display (MID) 4.2-inci. Panel sembilan-inci di tengah papan pemuka pula adalah untuk paparan sistem infotainmen dan audio, serta memancarkan imej dari kamera undur. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem sambungan lain termasuklah USB Mirroring, AUX dan Bluetooth.

    Selain kemudahan sistem pintar tanpa kunci untuk memudahkan lagi urusan keluar-masuk dan menghidupkan enjin, Corolla Cross juga datang dengan pintu belakang sensor kuasa elektrik yang boleh dibuka secara automatik melalui pengesanan gerak kaki pengguna. Ini membolehkan operasi tanpa menggunakan tangan sekiranya tangan pengguna penuh kerana memegang beg atau barangan lain.

    Ruang barangan yang tersedia pula mempunyai kapasiti 440 liter. Jumlah ini boleh ditingkatkan dengan merebahkan bahagian penyandar kerusi belakang. Dalam keadaan ini, lantainya akan menjadi rata sepenuhnya. Dengan kedua-dua penyandar direbahkan, pengguna boleh membawa dua buah basikal sekali gus dalam ruang berkenaan. Untuk melindungi penglihatan terhadap ruangan ini, penutup tonneau boleh gulung ada disediakan.

    Toyota Corolla Cross dikuasakan oleh enjin 1.8-liter petrol DOHC dengan Dual VVT-i. Unit enjin yang telah terbukti ini menghasilkan 139 PS kuasa pada 6,400 rpm dengan 172 Nm tork pada 4,000 rpm. Dengan sistem suapan minyak optimum, enjinnya menawarkan keseimbangan padu antara kuasa, ketahanan dan penjimatan bahan api.

    Transmisi Sequential Shiftmatic (CVT) tujuh-kelajuan yang digunakan pula diperkemas prestasinya dengan pendikit kawalan elektronik untuk memberikan maklum balas lebih berkesan, lancar dan senyap. Beberapa perkara menarik lain model ini termasuklah radius pusingan yang terbaik dalam kelasnya (5.2 meter) serta bukaan sudut 18° di bahagian depan yang memudahkan lagi SUV ini melalui bonggol dengan selesa.

    Aspek keselamatan Corolla Cross juga mengkagumkan. Ia lengkap dengan Toyota Safety Sense (TSS), merangkumi ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Sebagai tambahan, ada juga ciri Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS).

    Tidak ketinggalan ialah Perakam Video Digital (DVR) di depan (ditawarkan sebagai pilihan untuk bahagian belakang). Semua Corolla Cross baru dipasangkan dengan sistem keselamatan termasuk immobilizer enjin. Selain itu, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) boleh menjejaki kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS. Sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dengan segera dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas. Ciri terakhir ini ditawarkan dengan langganan percuma selama tiga tahun.

    Ia juga lengkap tujuh beg udara SRS (termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu) serta ISOFIX (dengan cangkuk atas) disediakan di tempat duduk belakang. SUV ini menerima penarafan keselamatan lima-bintang bagi ujian ASEAN NCAP.

    Corolla Cross datang dengan pilihan warna terdiri daripada Red Mica Metallic, Platinum White Pearl, Metalstream Metallic, Graphite Metallic dan Nebula Blue Metallic. Jaminan kilang selama lima-tahun tanpa had perbatuan disediakan, berserta jaminan sokongan lepas jualan seluruh negara dengan ketersediaan alat ganti tulen.

    Toyota Corolla Cross 1.8V

    Toyota Corolla Cross 1.8G

     
     
  • Honda HR-V 2022 – gaya baharu ala coupe, ruang dalaman dipertingkatkan, penglihatan lebih baik

    Honda HR-V 2022 – gaya baharu ala coupe, ruang dalaman dipertingkatkan, penglihatan lebih baik

    Honda Eropah telah menyiarkan imej dan perincian baharu mengenai HR-V generasi ketiga yang bakal mula dijual di benua berkenaan pada hujung tahun ini. Crossover segmen-B ini ditampilkan dengan rupa yang lebih dinamik tanpa berkompromi tentang ruang dalamannya.

    Pengeluar kereta Jepan itu akan terus menggunakan frasa “Man-Maximum, Machine-Minimum” dalam membangunkan modelnya namun dengan peningkatan dari semasa ke semasa.

    Untuk luarannya, Honda telah menyerapkan rekaan ala coupe untuk menambahkan pemandangan menerusi cermin belakang. Malahan imej yang dipertaruhkan lebih minimalis, berbanding fender yang menonjol dan garis bahu yang melunjur ke atas hingga ke hadapan dan belakang HR-V sebelum ini.

    Honda HR-V 2022 – gaya baharu ala coupe, ruang dalaman dipertingkatkan, penglihatan lebih baik

    Krom pada bahagian palang hadapan juga telah disingkirkan, digantikan dengan gril yang sama warna dengan badan, bersambung ke hujung hadapan bersama lampu utama trapezoidal yang lebih nipis.

    Perekanya juga telah mengurangkan dan mengimbangi semula segala garisan pada keseluruhan kereta, sementara pemegang pintu juga diberikan sentuhan baharu. Namun pemegang pintu belakang yang tersembunyi masih dikekalkan. Pada bahagian belakang, tailgate lebar-penuh baharu bersambung dengan lencana Honda ditampilkan.

    Honda berkata, ia memfokuskan keluasan dan keselesaan pada ruang dalaman, termasuk menambah baik pandangan dengan menggunakan cermin tingkap yang lebih besar, rekaan papan pemuka melintang dan bonet yang rata. Corong udara sudut berbentuk-L yang menarik (dengan tombol tengah yang besar) turut memberikan kesan terhadap pengaliran udara, terus ke cermin hadapan dan tingkap sisi ke bahagian bumbung.

    Honda HR-V 2022 – gaya baharu ala coupe, ruang dalaman dipertingkatkan, penglihatan lebih baik

    Posisi kawalan juga telah dioptima, dengan suis pendingin hawa dan infotainmen telah ditempatkan berdekatan dengan pandangan pemandu. Pada bahagian belakang, tempat duduknya boleh dibaringkan untuk menambah keselesaan dan ruang, dimensinya lebih kurang sama seperti sebelum ini, namun HR-V baharu telah ditambah ruang kaki dan ruang bahu. Ruang kargo juga boleh dikonfigurasi untuk menambah kapasiti penyimpanan barangan termasuk basikal dan sebagainya.

    Buat masa ini tiada perincian teknikal dikongsikan, namun telah disahkan hanya Eropah yang bakal menerima model e:HEV hibrid. Ia mampu memberikan 109 PS/253 Nm menerusi motor elektrik dan juga enjin 1.5 liter kitaran Atkinson dengan 98 PS/127 Nm yang memberikan kuasa keseluruhan mencecah 126 PS.

    Dijangkakan HR-V ini akan sedikit berat, seperti model Insight yang lebih besar yang menerima motor elektrik 131 PS/267 Nm dan enjin 108 PS/134 Nm dengan kuasa keseluruhan cecah 151 PS. HR-V baharu ini juga akan dijual di pasaran Jepun mulai bulan hadapan (di sana, ia lebih dikenali sebagai Vezel), jadi kita bakal mengetahui lebih banyak informasi mengenainya.

     
     
  • GALERI: Renault Megane RS 300 Trophy facelift tiba di Malaysia — 300 PS/420 Nm, EDC Auto, harga RM328k

    GALERI: Renault Megane RS 300 Trophy <em>facelift</em> tiba di Malaysia — 300 PS/420 Nm, EDC Auto, harga RM328k

    Renault Megane RS 300 Trophy versi facelift diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia hari ini. Ia tidak hanya menampilkan perubahan dari aspek imej atau kosmetik semata-mata, bahkan peningkatan prestasi dan kelengkapan turut diberikan.

    Antara yang utama ialah lampu depan yang kini dari unit LED sepenuhnya. Rekaan DRL juga diperkemas, serta di belakangnya datang dengan penampilan lampu LED baru. Lagi pembaharuan ialah pilihan warna Flame Red juga ditawarkan. Untuk membezakan varian ini, bilah penggayaan ala F1 pada bahagian bawah bampar datang dengan lencana Trophy.

    GALERI: Renault Megane RS 300 Trophy <em>facelift</em> tiba di Malaysia — 300 PS/420 Nm, EDC Auto, harga RM328k

    Di dalam, kluster instrumen digital baru dengan paparan TFT tujuh-inci akan menyambut pemandu untuk memaparkan maklumat kereta dan pemanduan. Skrin sentuh tujuh-inci Easylink bagi sistem infotainmen dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Unit ini menggantikan versi R-Link 2 8.7-inci yang digunakan pada model terdahulu.

    Tombol gear di konsol tengah juga diperbaharui, dan kini ada tambahan dial bulat ketiga. Stereng pula kini menampilkan bahagian atas dan bawahnya yang dibalut kulit Alcantara serta logonya. Kemaskini mekanikal pula melibatkan peningkatan kuasa dan tork. Unit enjin 1.8 liter turbocas empat-silinder ini menghasilkan 300 PS (296 hp), tambahan 20 PS berbanding model sebelumnya. Tork pula naik 30 Nm menjadi 420 Nm.

    GALERI: Renault Megane RS 300 Trophy <em>facelift</em> tiba di Malaysia — 300 PS/420 Nm, EDC Auto, harga RM328k

    Hanya ada satu pilihan kotak gear untuk model terbaru ini, iaitu Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan. Tiada lagi pilihan kotak gear manual ditawarkan. Pecutan 0-100 km/j pula dalam masa 5.7 saat. Versi Trophy ini juga menggunakan penyerap hentak dan gegelung yang masing-masing 25% dan 30% lebih keras berbanding RS 300 biasa, berserta palang anti-olengan yang juga 10% lebih keras.

    Empat pilihan warna lain turut diberikan, melibatkan Diamond Black, Pearl White, Orange Tonic dan warna hero Liquid Yellow. Dua warna terakhir ini memerlukan tambahan kos RM9,000 kos. Renault Megane RS 300 Trophy dijual pada harga RM326,476, atas jalan tidak termasuk insurans serta dengan pengecualian SST hingga 30 Jun nanti. Jaminan tiga-tahun atau 100,000 km turut diberikan.

     
     
  • PDRM dapat jentera kuasa besar Yamaha FJR1300

    PDRM dapat jentera kuasa besar Yamaha FJR1300

    Melalui satu hantaran yang dikongsikan oleh laman Facebook Two Wheels hari ini, kelihatannya seperti bahagian trafik Polis DiRaja Malaysia telah menerima unit motosikal kuasa tinggi baru untuk kegunaannya.

    Motosikal yang dimaksudkan ialah Yamaha FJR1300, yang menjadi tambahan terbaru bagi jentera peronda atau pengiring yang digunakan di Malaysia. Dalam gambar yang dikongsikan laman tersebut, kelihatan banyak unit motosikal terbabit yang telah disiapkan untuk penghantaran ke balai-balai terpilih. Menarik untuk mengetahui perincian spesifikasi atau kelengkapan jentera terbaru PDRM ini.

    Namun, polis Malaysia bukanlah negara pertama yang menggunakan motosikal Yamaha ini kenderaan tugas rasminya — negara lain seperti Amerika Syarikat juga menggunakan model yang sama. Yamaha FJR1300P (unit khas untuk kegunaan polis) di sana menggunakan enjin 1,298 cc empat-silinder sebaris, DOHC 16-injap sejukan cecair yang mampu menjana sebanyak 145.5 hp pada 8,000 rpm dan 138.3 Nm pada 7,000 rpm tork. Janaan output Yamaha FJR1300 biasa bagaimanapun sedikit lebih rendah, iaitu 141.5 hp dan 134.2 Nm.

    Berdasarkan spesifikasi umum FJR1300, enjinnya dipadankan dengan sistem transmisi enam-kelajuan klac basah dengan ciri multiplate assist-and-slipper. Menggunakan sistem suntikan minyak dengan YCC-T, kuasa motosikal ini (final drive) disampai melalui shaft. Bagi sistem suspensi pula, bahagian hadapan menggunakan fork 48 mm boleh laras sepenuhnya; jarak larasan 5.3-inci. Bahagian belakang pula menggunakan penyerap hentak tunggal dengan kadar beban dan serapan boleh laras; dengan jarak larasan 4.9-inci.

    Brek depan terdiri daripada cakera berkembar 320 mm, Unified Brake System dan ABS. Sementara itu, bahagian belakangkan dilengkapi cakera 282 mm, juga dengan Unified Brake System dan ABS. Siaz tayar yang digunakan pula adalah seperti berikut – 120/70ZR17 (depan) dan 180/55ZR17 (belakang).

    Rasanya FJR1300 PDRM ada banyak perbezaan kelengkapan dan spesifikasi? Jaga-jaga, jangan terkejut melihat penampilan motosikal ini atas jalan nanti. Patuhi undang-undang sentiasa.

     
     
  • Litar Antarabangsa Open Road akan dibuka di Langkawi pada 2023 – Nurburgring versi timur!

    Litar Antarabangsa Open Road akan dibuka di Langkawi pada 2023 – Nurburgring versi timur!

    Selepas pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa akan ada sebuah litar berprestasi tinggi dibuka di Bukit Malut Langkawi, ini perincian yang baru kami terima – litar berkenaan akan di bangunkan oleh Open Road Asia, dan bakal digelar sebagai Litar Antarabangsa Open Road (ORIC).

    Menurut kenyataan dari pengasas dan penasihat kumpulan ORIC Dato David Goh, litar sepanjang 5.8 km berkenaan bakal dibuka pada suku ketiga 2023. Namun agak berlawanan dengan kenyataan Menteri Besar Kedah yang mengatakan litar ini bukan untuk berlumba tetapi hanya untuk pemanduan berprestasi tinggi, ORIC pula menyatakan bahawa infrastruktur canggih yang bakal mereka bina ini akan memenuhi standard FIA Grade 2, FIM Grade B dan juga kelayakan CIK-FIA.

    Ini membolehkan mereka menjalankan perlumbaan empat roda di bawah seliaan FIA dan dua roda di bawah seliaan FIM, sekaligus membolehkan ORIC menganjurkan perlumbaan-perlumbaan berkelas dunia kecuali Formula 1, tulis kenyataan yang dikeluarkan.

    David Goh juga menyifatkan litar yang akan dibina berteraskan impiannya yang sudah lama dipendam ini sebagai “Nurburgring Timur” – berdasarkan gambaran litar yang dibuat, ia bukan sahaja mempunyai litar utama, malah turut mempunyai satu lagi litar pada sebelah dalam yang dipenuhi dengan selekoh hairpin berturut-turut seperti laluan jalan bukit.

    Selain dari litar, ORIC juga bakal menyediakan pusat membeli-belah yang menampilkan jenama-jenama rekaan mewah, serta hotel mewah lima-bintang lengkap dengan kolam renang persendirian.

    “ORIC menggabungkan litar yang cantik dan mencabar di atas pemandangan yang menakjubkan di Bukit Malut, Pulau Langkawi bagi menggembirakan dan mengujakan peminat sukan permotoran, pasukan lumba, pemilik-pemilik kereta dan pengeluar kenderaan dari seluruh dunia,” kata David Goh.

    Litar Antarabangsa Open Road akan dibuka di Langkawi pada 2023 – Nurburgring versi timur!

    Pulau Langkawi terkenal dengan ‘longgokan’ kereta-kereta mewah – disebabkan ia adalah pulau bebas cukai, ramai yang membeli model-model eksotik berkenaan dengan mendaftarkannya di situ bagi mendapatkan harga tanpa cukai yang lebih rendah, tetapi ia hanya boleh keluar dari pulau berkenaan mengikut jumlah kuota hari yang telah ditetapkan kerajaan.

    Menteri Besar Kedah sebelum ini ada memberitahu bahawa ketika ini terdapat kira-kira 1,600 pemilik kereta berkuasa tinggi di Langkawi yang menikmati pengecualian cukai ketika membeli kenderaan berkenaan – walaupun memiliki kereta yang hebat, namun pergerakannya agak terbatas.

    Jadi dengan adanya litar ini, mungkin akan menjadi satu lagi sebab mengapa anda perlu beli kereta sport, supercar dan hypercar yang didaftarkan di Langkawi.

     
     
  • Renault Megane RS 300 Trophy facelift kini di Malaysia — 300 PS dan 420 Nm, EDC Auto sahaja, RM326k

    Renault Megane RS 300 Trophy <em>facelift</em> kini di Malaysia — 300 PS dan 420 Nm, EDC Auto sahaja, RM326k

    TC Euro Cars secara rasminya memperkenalkan Renault Megane RS facelift di Malaysia, hadir dalam versi RS 300 Trophy. Model yang diberi pembaharuan ini turut menampilkan perubahan estetika, kelengkapan ruang dalaman serta peningkatan prestasi.

    Kelainan utamanya melibatkan bahagian lampu utama yang kini LED sepenuhnya. Rekaan DRL juga diperkemas, serta di belakangnya kini juga datang dengan penampilan lampu LED baru. Lagi pembaharuan ialah pilihan warna Flame Red juga ditawarkan. Untuk membezakan varian ini, bilah penggayaan ala F1 pada bahagian bawah bampar datang dengan lencana Trophy.

    Di dalam, kluster instrumen digital baru dengan paparan TFT tujuh-inci akan menyambut pemandu untuk memaparkan maklumat kereta dan pemanduan. Skrin sentuh tujuh-inci Easylink bagi sistem infotainmen dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Unit ini menggantikan versi R-Link 2 8.7-inci yang digunakan terdahulu.

    Renault Megane RS 300 Trophy <em>facelift</em> kini di Malaysia — 300 PS dan 420 Nm, EDC Auto sahaja, RM326k

    Tombol gear di konsol tengah juga diperbaharui, dan kini ada tambahan dial bulat ketiga. Stereng pula kini menampilkan bahagian atas dan bawahnya yang dibalut kulit Alcantara serta logonya. Kemaskini mekanikal pula melibatkan peningkatan kuasa dan tork. Unit enjin 1.8 liter turbocas empat-silinder ini menghasilkan 300 PS (296 hp), tambahan 20 PS berbanding model sebelumnya. Tork pula naik 30 Nm menjadi 420 Nm.

    Hanya ada satu pilihan kotak gear untuk model terbaru ini, iaitu Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan. Tiada lagi pilihan kotak gear manual ditawarkan. Pecutan 0-100 km/j pula dalam masa 5.7 saat. Versi Trophy ini juga menggunakan penyerap hentak dan gegelung yang masing-masing 25% dan 30% lebih keras berbanding RS 300 biasa, berserta palang anti-olengan yang juga 10% lebih keras.

    Empat pilihan warna lain turut diberikan, melibatkan Diamond Black, Pearl White, Orange Tonic dan warna hero Liquid Yellow. Dua warna terakhir ini memerlukan tambahan RM9,000 kos.
    Renault Megane RS 300 Trophy dijual pada harga RM326,476, atas jalan tidak termasuk insurans serta dengan pengecualian SST hingga 30 Jun nanti. Jaminan tiga-tahun atau 100,000 km turut diberikan.

    Renault Megane RS 300 Trophy di Malaysia

     
     
  • Kia K8 didedah perincian – 2.5L GDi 198 PS, 3.5L V6 AWD 300 PS, dan 1.6L T-GDi, dilancar di Korea April ini

    Kia K8 didedah perincian – 2.5L GDi 198 PS, 3.5L V6 AWD 300 PS, dan 1.6L T-GDi, dilancar di Korea April ini

    Kia telah mendedahkan perincian penuh bagi model K8 baharu yang direncana bakal diperkenalkan di Korea Selatan pada bulan hadapan.

    Bakal menawarkan dua pilihan enjin naturally-aspirated dan suntikan terus, bermula dengan unit 2.5 liter empat-silinder petrol dengan kuasa 198 PS dan tork 248 Nm. Manakala unit yang “berorientasikan prestasi”, 3.5 liter V6 dengan hamburan kuasa 300 PS dan 359 Nm dan akan ditawarkan dengan sistem pacuan semua-roda, sementara versi pacuan-hadapan LPG pula dengan 240 PS dan 314 Nm. Kedua-dua enjin akan dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Malah versi 1.6 liter pengecas turbo T-GDi empat-silinder juga akan ditawarkan dalam separuh pertama tahun ini, dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Untuk suspensi, ia diberikan topang MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, dan Kia telah berjanji untuk meningkatkan tahap penebat bunyi termasuk tiga lapisan pintu dan juga peredam getaran baharu.

    Kia K8 didedah perincian – 2.5L GDi 198 PS, 3.5L V6 AWD 300 PS, dan 1.6L T-GDi, dilancar di Korea April ini

    Syarikat terbabit juga telah memperincikan beberapa teknologi tambahan termasuk untuk dalaman K8, antaranya Ergo Motion Seat baharu untuk pemandu. Ia menggunakan tidak lebih dari tujuh poket udara (untuk backrest, bantal pemeluk sisi dan kusyen), untuk melaras posisi pemanduan bergantung pada situasi.

    Untuk pengalaman yang lebih sporty dan berkeyakinan, pemandu boleh mengaktifkan “sokongan pintar” dengan memilih mod pemanduan sport atau melebihi 130 km/j, merendahkan kedudukan ruang punggung dan menambah sokongan bantal pemeluk tepi. Selain itu, ia juga menampilkan “mod bantuan postur” untuk melaras postur punggung dan belakang terutamanya jika melibatkan pemanduan jarak jauh, bagi menambahkan keselesaan.

    Lain-lain ciri yang ditampilkan termasuklah tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan kuasa lapan-cara, penyangkut di belakang perehat kepala hadapan dan juga perehat tangan belakang pelbagai-fungsi dengan port pengecasan USB, pemegang cawan dan juga “peranti kawalan media”.

    Kia K8 didedah perincian – 2.5L GDi 198 PS, 3.5L V6 AWD 300 PS, dan 1.6L T-GDi, dilancar di Korea April ini

    Selain itu, ia turut diberikan panel paparan panoramik yang pertama kali digunakan oleh Kia dengan paparan infotainmen dan instrumen 12-9 inci. Serta paparan utama 12-inci dengan 50% kawasan projektor yang lebih baik. Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan sistem bunyi Meridian 14-pembesar suara dengan ciri titanium dome vibration plate tweeter bagi mengurangkan bunyi yang tidak enak didengari, serta teknologi bunyi sekeliling Horizon dan Intelli-Q vehicle.

    K8 turut diberikan ciri bantuan pemandu termasik brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan yang keluar dari simpang, penghindaran bantuan stereng, pengesan isyarat trafik dan kawalan kelajuan adaptif yang mengurangkan kelajuan untuk mengehad kelajuan dan ketika merentasi selekoh berdasarkan data navigasi. Selain itu, Highway Driving Assist 2 (HDA2) menggabungkan ACC dan bantuan kekal lorong dengan menyalurkan pemanduan pra-sendiri dan akan bertindak sekiranya ada kenderaan lain dipandu terlalu dekat dengan sisi kereta.

    Turut diberikan termasuklah AEB, sistem kamera 360-darjah dan fungsi bantuan parkir kawalan jauh. K8 dibangunkan dengan binaan keluli berketahanan tinggi untuk mempertingkatkan tahap keselamatan jika terlibat dengan kemalangan, juga ditampilkan dengan sembilan beg udara termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu dan dua beg udara sisi di belakang.

     
     
  • Kaji selidik pelupusan kereta lama – adakah perlu had umur kenderaan, bagaimana caranya? Sertai sekali

    Kaji selidik pelupusan kereta lama – adakah perlu had umur kenderaan, bagaimana caranya? Sertai sekali

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dengan kerjasama Program Penilaian Kenderaan Baru Asean (Asean NCAP) kini sedang menjalankan kaji selidik terhadap tanggapan orang awam berkenaan polisi kenderaan berusia (ELV) di Malaysia. Subjek ini muncul kembali selepas usul skim pelupusan suka rela diketengahkan pada tahun 2009, tetapi ditarik kembali akibat bantahan orang awam.

    Kaji selidik ini dibuat bagi mendapatkan pandangan orang ramai berkenaan pelupusan kenderaan – adakah patut terdapat had umur bagi sesebuah kenderaan, dan jika ya, berapa pula umur yang dibenarkan sebelum ia perlu dilupuskan? Anda boleh memilih antara sepuluh hingga 40 tahun, ataupun sepatutnya tiada had umur langsung.

    Beberapa cara untuk melaksanakan pelupusan turut dimuatkan sekali dalam kaji selidik ini dan ia termasuk seperti memberikan insentif kepada pemilik kenderaan lama untuk melupuskan kenderaan mereka, atau menawarkan rebat untuk pembelian kenderaan baru.

    Kaji selidik pelupusan kereta lama – adakah perlu had umur kenderaan, bagaimana caranya? Sertai sekali

    Selain daripada itu, kaji selidik ini juga ada memberikan soalan sama ada pemeriksaan berkala perlu dilakukan oleh pemilik kenderaan persendirian (seperti di UK), dan beberapa cadangan lain seperti meningkatkan premium insurans untuk kenderaan yang berusia lebih 10 tahun, mengehadkan umur kenderaan yang boleh digunakan atas jalan, melalui ujian Asean NCAP dan pelbagai lagi.

    Dalam salah satu muka surat kaji selidik ini, MIROS ada menyatakan, “kajian menunjukkan bahawa risiko kemalangan maut adalah lebih tinggi bagi kenderaan yang lebih berusia. Inisiatif ELV ini dilakukan dikebanyakan negara-negara bagi memastikan keselamatan pengguna dan memastikan kelestarian ekosistem industri automotif.”

    Apa pula pendapat anda tentang skim pelupusan kenderaan lama ini di negara kita? Berapa ramai yang masih menggunakan kenderaan lama sehingga sekarang? Nyatakan sendiri supaya suara anda didengari oleh pihak yang berkenaan, dengan menyertai kaji selidik ini.

     
     
  • Honda Lead 125 2021 dilancar di Thailand – enjin 125 cc PGM-Fi, ruang simpanan bawah tempat duduk luas

    Honda Lead 125 2021 dilancar di Thailand – enjin 125 cc PGM-Fi, ruang simpanan bawah tempat duduk luas

    Bersempena dengan acara Bangkok Motor Show yang sedang berlangsung sekarang di Thailand, pengedar motosikal Honda di sana telah melancarkan beberapa buah model termasuklah sebuah skuter yang dipanggil sebagai Lead 125. Harganya bermula 55,500 baht (RM7,381).

    Skuter ini menggunakan enjin yang sama seperti Click 125i (bentuk seperti Vario tetapi enjin lebih kecil), iaitu unit satu silinder suntikan bahan api PGM-Fi 125 cc penyejukan cecair 124.88 cc, bersama gabungan transmisi automatik V-Matic.

    Walaubagaimanapun, ia menyediakan keunikan tersendiri dengan ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas, berkapasiti 37 liter dan boleh memuatkan dua buah helmet pada satu masa. Kemudahan lain yang disediakan adalah seperti cangkuk barangan, tempat mengisi minyak di hadapan serta pengecas USB.

    Lampu hadapan skuter ini menggunakan unit LED sementara di bahagian dada terdapat kemasan bentuk V yang bersambung dengan lampu siang serta lampu penunjuk arah. Ada tiga warna yang ditawarkan iaitu putih, merah dan hitam.

    Kelengkapan lain pada Lead 125 adalah termasuk brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, rim 12 inci di hadapan dan 10 inci di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, tangki bahan api enam liter serta berat keseluruhan 114 kg.

     
     
  • Litar bertaraf antarabangsa akan di bina di Langkawi tidak lama lagi, terletak di Bukit Malut – MB Kedah

    Litar bertaraf antarabangsa akan di bina di Langkawi tidak lama lagi, terletak di Bukit Malut – MB Kedah

    Pulau Langkawi terkenal dengan ‘longgokan’ kereta-kereta mewah – disebabkan ia adalah pulau bebas cukai, ramai yang membeli model-model eksotik berkenaan dengan mendaftarkannya di situ bagi mendapatkan harga tanpa cukai yang lebih rendah, tetapi ia hanya boleh keluar dari pulau berkenaan mengikut jumlah kuota hari yang telah ditetapkan kerajaan.

    Ini mungkin berita baik untuk pemilik-pemilik jentera mewah yang diletakkan di pulau tersebut – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan bahawa sebuah litar kereta berprestasi tinggi dan bertaraf antarabangsa akan dibina di Langkawi, di kawasan Bukit Malut tidak lama lagi.

    Dalam berita Sinar Harian Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, litar berkenaan akan dibina menerusi kerjasama Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan sebuah syarikat swasta.

    Beliau turut memberitahu bahawa ketika ini terdapat kira-kira 1,600 pemilik kereta berkuasa tinggi di Langkawi yang menikmati pengecualian cukai ketika membeli kenderaan berkenaan – walaupun memiliki kereta yang hebat, namun pergerakannya agak terbatas.

    “Pemilik kenderaan itu hanya boleh pusing-pusing di Langkawi dan tidak boleh ke tempat lain (selain Langkawi). Kalau nak pandu di tempat lain, pemilik perlu memohon kebenaran daripada agensi tertentu terlebih dahulu termasuk untuk ke tanah besar. Tapi dalam tempoh dua bulan, kena masuk ke Langkawi semula,” kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman semalam.

    Walau bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa litar tersebut bukanlah litar lumba, tetapi ia adalah litar kereta berprestasi tinggi yang membolehkan pemilik kenderaan berkenaan menguji kenderaannya di litar terbabit dengan bayaran tertentu yang ditetapkan.

     
     
  • Modenas Pulsar RS200 dalam warna baru – RM9,990

    Modenas Pulsar RS200 dalam warna baru – RM9,990

    Pertama kali dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2017, Modenas Pulsar RS200 kini diberikan penyegaran dengan pilihan warna baru yang terdiri daripada putih, kelabu dan merah matte. Harga jualannya kini adalah RM9,990 tidak termasuk insurans.

    Selain warna utama dan grafik baru, motosikal yang mempunyai fairing penuh ini juga diserikan lagi dengan rim aloi berwarna putih, fender yang menggunakan cetakan teksur seperti gentian karbon serta logo Modenas yang dicop pada tempat duduk.

    Bahagian mekanikal motosikal ini masih lagi tidak berubah, termasuklah enjin yang menggunakan unit satu silinder empat strok SOHC penyejukan cecair 199.5 cc, mampu menghasilkan kuasa 24.5 PS pada 9,750 rpm dan 18.6 Nm tork pada 8,000 rpm. Enjin ini juga dilengkapi teknologi Triple Spark.

    Suspensi RS200 menggunakan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, sementara untuk brek, kedua-dua bahagian adalah unit cakera dengan masing-masing bersaiz 300 mm di hadapan dan 230 mm di belakang, dan ia datang dengan sistem ABS single channel.

    Kelengkapan lain RS200 adalah tangki bahan api 13 liter, rim 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang, lampu jenis projector, berat keseluruhan 155 kg dan jarak dari tanah 157 mm. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20.000 km.

     
     
  • Ho Wah Genting bakal lancar Seiyong S1 EV di M’sia — bateri 31.9 kWh, jarak 302 km, pemasangan CKD

    Ho Wah Genting bakal lancar Seiyong S1 EV di M’sia — bateri 31.9 kWh, jarak 302 km, pemasangan CKD

    Ho Wah Genting (HWGB) telah umumkan rancangan untuk memperkenalkan kenderaan elektrik sepenuhnya yang diberi nama Seiyong S1 di Malaysia. Diperkenalkan di pasaran China pada Disember 2019, hatchback keluaran Seiyong Motor ini akan di jual di sini dalam bentuk CKD. Namun, tiada perincian lanjut diberikan setakat ini.

    Jika merujuk spesifikasi di laman web jenama itu, kereta berkenaan mempunyai ukuran 3,720 mm panjang, 1,640 mm lebar dan 1,494 mm tinggi. Jarak antara rodanya pula ialah 2,390 mm. Dengan berat 1,115 kg, Seiyong S1 dilengkapi motor elektrik yang menawarkan 35 kW (47 hp) dan 150 Nm output.

    Bateri 31.9 kWh lithium yang ada padanya didakwa mampu memberikan jarak perjalanan 302 km dengan satu cas penuh, berdasarkan kitaran NEDC. Perincian pengesan bagaimanapun tidak disediakan, namun pengeluar mendakwa boleh mencapai 30%-80% dalam masa 40-50 minit melalui pengecas pantas, sementara pengecas biasa boleh mencapai tahap penuh bateri dalam masa 10 jam. Laju maksimum kereta ini ialah 110 km/j.

    Ho Wah Genting bakal lancar Seiyong S1 EV di M’sia — bateri 31.9 kWh, jarak 302 km, pemasangan CKD

    Di sana, S1 dijual dalam tiga varian dengan harga antara 70,000 hingga 90,000 yuan (RM44,300 to RM57,000). Rim menggunakan saiz 15-inci dengan tayar 175/60. Varian paling rendah menggunakan dram brek di belakang, sementara yang lebih tinggi menggunakan brek cakera keseluruhannya.

    Bagi versi paling atas, ia kelihatan diberikan kelengkapan penuh; ada head-up display, skrin sentuh lapan-inci dengan pengesanan suara (Mandarin sahaja) serta kawalan pendingin hawa zon tunggal. Turut ada ialah sistem tanpa kunci dan penghidup Push Start dan lampu utama automatik.

    Apa pun, untuk pasaran tempatan, masih belum jelas penawaran S1 yang akan diberikan. Ini perlu tunggu sehingga ia tiba secara rasmi nanti, dengan lebih banyak perincian.

     
     
  • Retro Havoc e-Showcase 2021 – ikut SOP pun meriah!

    Retro Havoc e-Showcase 2021 – ikut SOP pun meriah!

    Selepas negara diisytiharkan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19, tiada langsung acara-acara berkaitan permotoran dapat dilangsungkan di seluruh negara. Namun dengan idea kreatif bagi membolehkan acara sedemikian berjalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan jangkitan coronavirus berkenaan, Retro Havoc telah berjaya melengkapkan Retro Havoc e-Showcase 2021 semalam.

    Ia adalah acara hibrid yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan diselia oleh Retro Havoc Malaysia diketuai oleh Rosli Mohamad Said (Alie Kuoppa) serta sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) – menggabungkan acara atas talian dan bersemuka.

    Ia dimulakan dengan pembukaan penyertaan secara maya sejak Januari lalu, dan menarik minat hampir 400 penyertaan dari seluruh semenanjung Malaysia. Dari keseluruhan penyertaan berkenaan, hanya 24 jentera yang layak ke peringkat akhir mengikut lapan kategori berbeza; American Retro, American Future Retro, Malaysian Retro, Malaysian Future Retro, Euro Retro, Euro Future Retro, JDM Retro dan JDM Future Retro.

    Jentera-jentera yang layak sebagai finalis berkenaan dipilih berdasarkan dua penjurian iaitu undi juri awam sebanyak 30% yang diambil berdasarkan jumlah ‘likes’ pada laman Facebook, manakala 70% lagi adalah markah dari juri profesional.

    Kemuncak acara ini telah pun berlangsung semalam (24 Mac 2021) di perkarangan Menara KBS Putrajaya, menyaksikan kesemua finalis memenuhi sekeliling bangunan berkenaan dengan barisan jentera seperti Nissan Skyline GT-R R34, Nissan Skyline C210, Honda City Turbo II, kereta kit dari casis VW Beetle Nova Sterling, Toyota 86, Mazda RX3 dan RX7, pelbagai Ford Mustang serta banyak lagi.

    Pada peringkat akhir ini, kereta-kereta berkenaan sekali lagi diadili oleh juri-juri profesional bagi memilih kereta terbaik dari kategori masing-masing, dan satu anugerah juara untuk kereta terbaik keseluruhan. Dan bagi berkongsi kemeriahannya bersama pengunjung-pengunjung tetap Retro Havoc saban tahun, acara akhir ini juga turut disiarkan secara langsung menerusi FB live.

    Siapa kata anda memerlukan kereta mahal dan rare untuk memenangi anugerah keseluruhan terbaik? Ini kerana, anugerah berkenaan dirangkul oleh sebuah Proton Saga Magma 1989 (diberi rupa seakan Saga Orion) milik Hafiz Mohtar, tanpa sebarang pengubahsuaian, tetapi telah direstorasi sehingga ke tahap seperti baru keluar dari kilang.

    Setiap kereta yang bertanding ini juga telah ‘dibelek’ oleh menteri belia dan sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican diiringi oleh timbalannya YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta presiden MAM Tan Sri Mokhzani Mahathir. Ketiga-tiga VIP ini juga telah diberi penghormatan untuk menyampai hadiah untuk setiap pemenang diakhir acara.

    Bagi memberikan kemeriahan Retro Havoc e-Showcase ini sama seperti acara tahunan Retro Havoc, penganjur juga sebenarnya turut membuat acara cabutan bertuah yang dilangsungkan secara maya pada 20 dan 23 Mac lalu. Sebanyak 50 hadiah berupa pelbagai aksesori kereta, voucher serta barangan lain disumbangkan oleh penaja-penaja seperti Bateriku.com, Atara Racing, FTuned Suspension, Exquisite Motorsport dan BZR Racing.

     
     
  • PDRM lancar portal, aplikasi mobil MyBayar Saman; diskaun saman hingga 50% dari 25 Mac-11 April 2021

    PDRM lancar portal, aplikasi mobil MyBayar Saman; diskaun saman hingga 50% dari 25 Mac-11 April 2021

    Sempena Hari Polis Ke-214, Polis DiRaja Malaysia menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, melancarkan portal dan aplikasi mobil MyBayar Saman pada hari ini. Ia bakal disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dalam majlis yang akan berlangsung pada tengahari ini.

    Menurut PDRM, portal dan aplikasi terbabit adalah sebagai kemudahan kepada orang ramai untuk membayar saman trafik dengan lebih cepat dan pantas. Selain itu, ia adalah bagi menyokong dasar kerajaan melalui Pelan Strategik e-Pembayaran Sektor Awam dan Pelan Pelaksanaan Peningkatan Dalam Talian Kerajaan Secara End to End.

    Selain itu, MyBayar Saman juga dilancarkan selaras dengan MYDIGITAL yang merupakan sebuah inisiatif kerajaan bagi menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai menjelang tahun 2022.

    PDRM lancar portal, aplikasi mobil MyBayar Saman; diskaun saman hingga 50% dari 25 Mac-11 April 2021

    Terdapat tiga langkah yang perlu diambil untuk menggunakan portal dan aplikasi berkenaan iaitu Pendaftaran, Semakan dan Pembayaran. Di mana menerusi Pendaftaran, pengguna perlu memasukkan maklumat diri yang diperlukan, isi pengesapan OTP dan login masuk portal/aplikasi berkenaan.

    Menerusi Semakan pula, pengguna boleh menyemak saman yang hendak dibayar. Notifikasi saman juga akan dipaparkan sekiranya mempunyai saman baharu. Seterusnya pengguna boleh memilih mod transaksi dalam laman Pembayaran untuk melangsaikan saman terbabit.

    Daftarlah sebagai pengguna MyBayar Saman melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my atau aplikasi di Google playstore atau Apple store.

    PDRM lancar portal, aplikasi mobil MyBayar Saman; diskaun saman hingga 50% dari 25 Mac-11 April 2021

    JSPT juga memaklumkan sempena dengan Hari Polis ke 214 dan juga pelancaran portal dan aplikasi MySaman ini, kempen pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% turut diberikan (tertakluk pada terma dan syarat) mulai 25 Mac (hari ini sehinggalah 11 April 2021 sekiranya pengguna memilih untuk melunaskan pembayaran saman menerusi portal dan aplikasi terbabit.

    Untuk menggunakan MyBayar Saman, anda boleh melayari portal https://mybayar.rmp.gov.my atau memuat turun aplikasi menerusi Google playstore atau Apple store.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025