Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    2021 Ford F-150 Raptor

    Ford Raptor F-150 generasi pertama pada asalnya dijana oleh enjin V8 6.2 liter dengan kuasa 411 hp dalam varian tertinggi SVT. Model generasi kedua Raptor F-150 tersebut pula menampilkan enjin lebih berkuasa dengan janaan 450 hp/691 Nm – walaupun angka kuasanya meningkat, ia sebenarnya datang dari enjin lebih kecil EcoBoost V6 3.5 liter dengan dua pengecas turbo.

    Tiada sebarang masalah prestasi pada enjin berkenaan, malah ia menampilkan pecutan yang jauh lebih baik. Namun apa yang kurang berbanding enjin terdahulu adalah bunyinya – ia tidak lagi mengaum sama seperti enjin V8, dan mengurangkan sedikit aspek sensasi pemanduan.

    Model generasi ketiga F-150 Raptor yang baru didedahkan minggu ini masih menggunakan enjin V6 EcoBoost yang sama, namun ia kini menerima sistem ekzos yang diolah sepenuhnya bagi memberikan yang jauh lebih garang. Menurut jurutera sistem rangkaian kuasa Ford, Jeff Nichols dalam temuramah bersama portal Road & Track, mereka turut mengambil sistem ekzos Nissan GT-R R35 sebagai contoh bagi menghasilkan ekzos baharu untuk Raptor 2021 ini.

    “Kami luangkan masa yang banyak mendengar suara pelanggan. Ketika kami hasilkan trak generasi kedua, pelanggan sukar untuk menerima enjin V6. Dan ia terus sukar. Kami luangkan masa dan pelaburan yang banyak untuk sistem ekzos trak ini. Matlamatnya adalah untuk memberikan profil bunyi dan pengalaman yang sangat berbeza kepada pelanggan berbanding trak generasi kedua.

    Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    2021 Ford F-150 Raptor

    “Kami pergi dan lihat pada berberapa sistem ekzos laluan sama panjang tradisional dan berberapa karekter ekzos yang kami rasa sangat bagus dalam industri. Kami lihat sistem pada siri kenderaan Quadrifoglio dari Alfa Romeo, dan kami turut membuat tanda aras pada Nissan GT-R,” kata Nichols.

    Sistem ekzos laluan sama panjang selalunya diberi pada enjin dengan dua kepala selinder seperti V6 dan V8, dan ia juga sistem yang sama digunakan pada Nissan GT-R R35 dan Alfa Romeo Quadrifoglio. Sistem berkenaan dihasilkan dengan memastikan laluan gas ekzos pada kedua-dua kepala silinder sehingga ke hujung tip ekzos adalah sama, dan perlu diberikan laluan paip-X yang bersilang antara satu sama lain, bagi menghasilkan prestasi dan bunyi yang garang.

    Namun untuk menghasilkan sistem ekzos sedemikian yang boleh dipadankan pada trak pikap prestasi seperti Raptor ini bukanlah mudah. Ini kerana suspensi ala-rali Baja pada model ini memerlukan jarak pergerakan suspensi yang besar serta memerlukan ruang bawah dan yang banyak.

    Tambahan pula, Raptor F-150 turut ditawarkan dengan set roda opsyen berdiameter 37-inci, roda paling besar pernah diberikan pada sebuah trak pikap tugas ringan produksi. Malah kelengkapan mekanikal lain termasuk transmisi turut perlu diambil kira.

    Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    “Adalah sangat jarang untuk sebuah trak yang diberikan laluan ekzos pada bahagian tengah kenderaan. Biasanya ia hanya offset pada satu bahagian sisi. Oleh kerana itu, bila anda buat laluan ekzos pada hanya sebelah sisi ia sudah lagi tidak sama panjang apabila bertemu. Profil karekter bunyi, denyutan, telah berkurangan separuh kerana itu,” jelas Nichols.

    Jadi Ford menghasilkan satu laluan ‘gelung trombon’ 360 darjah pada laluan ekzos sebelah penumpang, bagi memastikan ia sama panjang dengan laluan sebelah pemandu sebelum sampai ke tabung tengah. “Apabila ia sampai untuk bertemu di poin-X di belakang, panjang laluan antara kedua-duanya adalah hampir sama. Ia menjajarkan denyutan ekzos dalam turutan utama, menyebabkan profil bunyi trak ini sangat berbeza,” kata Nichols.

    Raptor F-150 generasi ketiga ini juga merupakan model pertama Raptor yang diberikan sistem ekzos aktif. Ia menampilkan injap dalam paip ekzos yang dapat merubah bunyi dalam empat mod berbeza bergantung kepada mod pemanduan iaitu Quiet, Normal, Sport dan Baja.

    Kalau anda perhatikan, tabung yang berada ditengah pada sistem ekzos Raptor ini sebenarnya adalah muffler utamanya. Ia tidak boleh diletakkan pada bahagian belakang kerana akan mengganggu pergerakan gandar belakang dan jarak kelegaan tanah trak pikap ini.

    Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    2021 Ford F-150 Raptor

    “Biasanya, anda letak muffler di bahagian belakang, anda ada empat set tip ekzos, dan anda ada sebelah yang senyap dan sebelah yang bising. Kami betul-betul tak mahu ganggu sudut berlepas trak ini. Pakej yang kami buat adalah benar-benar kerana kami mahukan semuanya berada di tengah trak yang kami rasa ia adalah terbaik,” kata Nichols.

    Muffler berkenaan mempunyai dua laluan masuk tetapi ada tiga laluan keluar. Jika injap pada sistem ekzos aktif itu dibuka sepenuhnya, gas akan melaluinya dengan tebatan bunyi yang minima, dalam masa yang sama gas ekzos dari setiap kepala selinder tidak akan bertemu sebelum paip-X.

    Sekiranya injap tersebut tertutup, gas ekzos akan dialirkan ke kebuk bahagian bawah muffler berkenaan, kemudian keluar menerusi satu laluan lebih kecil yang menuju ke paip-X, memberikan bunyi yang senyap. Injap berkenaan adalah bervariasi sepenuhnya, menjadikan perubahan antara bunyi kuat dan perlahan sangat lancar.

    “Ia adalah system yang sangat bising, dan ia mengeluarkan bunyi yang sangat-sangat sedap. Saya tak pernah lagi nampak sistem yang sama, pembekal juga tak pernah lagi jumpa sistem yang sama, semua orang teruja nak mencubanya,” kata Nichols lagi.

    GALERI: Ford F-150 Raptor EcoBoost V6 2021

     
     
  • Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Selain trak pikap Frontier 2022 yang baru saja didedahkan, Nissan untuk memperkenalkan SUV Pathfinder generasi kelima dalam satu acara maya hari ini. SUV dengan kerangka monocoque flagship Nissan ini meminjam banyak kemaskini reka bentuk yang pernah dilihat pada model Patrol/Armada.

    Pathfinder menggunakan pendekatan rekaan terbaru Nissan untuk SUV, antaranya dengan gril V-motion dengan tiga jalur di bahagian atas dan rekaan lampu utama dalam bentuk C yang tersendiri. Lengkung bahagian fender depan dan belakang yang ketara menjadikan SUV ini nampak berotot dan teguh.

    Terus dengan tema ranggi dan perkasa, tiang C padanya diberikan warna badan untuk mendapatkan kesan visual bumbung terapung dalam warna hitam, pertama kali diberikan pada model ini. Di belakang, lampu LED trapezoidal disertai dengan jalur hitam, serta lencana nama model berkenaan. Bahagian nombor plat kini diposisikan lebih rendah pada kawasan skid plate bampar.

    Nissan menawarkan 14 kombinasi warna, termasuk dalam skim dua tona. Antara warna baru termasuklah Sacrlet Ember yang dilihat ini, dan Obsidian Green Pearl, tampil menyerlah dengan rim aloi rekaan segar dalam saiz 20-inci.

    Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Rekaan bersegi dan imej ranggi yang sama turut dilanjutkan ke bahagian dalamnya. Permukaan yang ada nampak kukuh, dengan rekaan pada corong udara dan penyudah pada pintu memberikan kesan visual yang teguh untuk SUV ini. Konsol tengah yang diangkat lebih tinggi pula membolehkan lebih ruang tersedia di bahagian bawahnya.

    Kelengkapan lain termasuk paparan instrumen digital 12.3-inci dan head-up display 10.8-inci, juga pertama kali ditawarkan oleh Pathfinder. Sisten infotainmen NissanConnect dengan skrin sentuh serta ciri Apple CarPlay dan Android Auto datang standard, sementara unit dipertingkat dengan skrin sembilan-inci lengkap dengan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, hotspot WiFi, pengecas Qi tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan 13-pembesar suara, NissanConnect Services, sistem tunjuk arah terperinci dan sistem kamera 360-darjah resolusi tinggi.

    Pembeli boleh memilih kemasan fabrik, kulit atau kombinasi kulit untuk balutan kerusinya, dengan pilihan warna dan material baru. Terdapat tujuh “suasana” dalaman disediakan, termasuk dengan perincian gangsa dengan sistem pencahayaan ambient yang baru.

    Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Tiga barisan tempat duduk tersedia padanya, menjadikannya SUV dengan lapan-tempat duduk dengan barisan ketiga. Untuk pertama kali, barisan kedua pada Pathfinder ini datang dengan kerusi kapten dengan konsol tengahnya boleh dialih dengan mudah. Kerusi standard barisan kedua juga lengkap dengan fungsi EZ-Flex untuk memudahkannya dilipat.

    Dengan semua kerusi dinaikkan, ruang but yang tersedia ialah 470 liter, yang menurut Nissan cukup untuk menempatkan kotak beku 114 liter atau empat beg golf. Peningkatan lain termasuk penggunaan cermin utama dengan akustik yang lebih baik, cermin barisan kedua yang lebih tebal, serta penebat bunyi pada lantai untuk menjadikan kabin lebih senyap dan selesa. Kerusi pemandu datang dengan ciri larasan elektrik 10-hala, kerusi berliang dengan pemanas di depan serta kawalan pendingin tiga-zon juga boleh dipilih untuk kerusi belakang.

    Enjinnya menggunakan unit sama, 3.5 liter NA V6, menghasilkan 284 hp dan 351 Nm tork. Bagaimanapun, transmisi CVT sebelum ini telah digantikan dengan kotak gear automatik ZF sembilan-kelajuan. Sistem Intelligent 4WD pula menampilkan tujuh mod pemanduan dan permukaan berbeza; Standard, Sport, Eco, Snow, Sand, Mud/Rut dan Tow.

    Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Nissan mendakwa pemanduannya kini lebih sporty dan stabil melalui penggunaan sistem stereng kuasa elektrik dual-pinion baru dan lebar tayar 255 mm. SUV ini boleh juga menunda beban sehingga 2,700 kg, angka yang disifatkan terbaik dalam kelasnya, dibantu dengan ciri Trailer Sway Control.

    Pathfinder baru ini juga lengkap dengan ciri keselamatan Nissan Safety Shield 360, termasuk brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki dan brek undur, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan lampu tinggi automatik antaranya lainnya.

    Varian lebih tinggi turut dilengkapi dengan ProPilot Assist, dengan tambahan ciri kawalan melayar adaptif, sementara varian Platinum yang paling lengkap turut datang dengan fungsi Navi-link yang bertindak memperlahan kenderaan ketika selekoh di lebuhraya, susur keluar atau simpang. Selain itu, 10 beg udara datang sebagai ciri standard.

     
     
  • Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

    Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

    Nissan telah mendedahkan Frontier 2022, yang merupakan sebuah trak saiz sederhana untuk menggantikan Frontier D40 (dikenali di negara kita sebagai Navara “Mother Trucker”) dalam pasaran Amerika Syarikat (AS). Navara NP300 D23 yang dipasarkan di negara kita sekarang tidak dijual di AS, dan Frontier D40 itu sudah dipasarkan sejak tahun 2005 lagi.

    Platform bagi Frontier 2022 ini masih lagi sama tetapi badannya semua adalah baru. Seperti kebanyakan trak lain, bahagian muka hadapan memainkan peranan penting dan di sini, ia menggunakan banyak rekaan berpetak berserta gril yang besar dan dua jalur lampu DRL di setiap penjuru.

    Varian Pro-4X dan Pro-X mendapat penampilan lebih agresif, dengan penambahan lampu utama jenis LED, DRL LED, lampu kabus LED dan juga kemasan pada gril yang berwarna merah. Model yang anda lihat dalam gambar ini adalah varian Pro-4X yang menggunakan warna Boulder Grey Pearl.

    Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

    Meskipun bahagian platform tidak diubah, Nissan memberitahu mereka telah membuat talaan semula kepada enjin, transmisi, stereng serta suspensi dengan fokus kepada keperluan pemilik trak di AS. Enjin V6 direct injection 3.8 liter berkuasa 310 hp/381 Nm yang diberikan sebagai peningkatan pada model tahun 2020 masih dikekalkan.

    Enjin petrol ini dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan serta bahagian lock-up yang lebih luas, sistem electro-hydraulic respon tinggi baru, syaf input panjang serta julat gear yang 99% lebih luas. Melalui peningkatan ini, transmisi tersebut dikatakan lebih pantas dan memberikan penukaran yang rasa lebih terus sepanjang gearnya.

    Untuk bahagian stereng, unit rack-and-pinion hidraulik ditala semula untuk memberikan rasa lebih baik dan mengurangkan rasa penat kepada pemandu waktu perjalanan jarak jauh. Nisbah gear stereng juga ditingkatkan 16%, yang bermakna maklum balasnya menjadi lebih pantas dengan setiap pusingan.

    Pergi kepada suspensi, tapak jenis hidraulik baru dapat mengurangkan gegaran daripada jalan sebanyak 80% sementara getah jenis urethane memberikan serapan yang lebih lancar. Stabiliser bar hadapan dijadikan lebih besar, dan di belakang juga ia dipasang dengan stabiliser bar untuk mengurangkan olengan badan dan meningkatkan cengkaman.

    Varian 4WD menggunakan sistem shift-on-the-fly, dengan mod 2WD/4HI/4LO dikawal oleh transfer case separa elektronik. Model 4WD juga boleh didapati dengan sistem limited slip pada semua roda, yang dapat membantu mengagihkan kuasa kepada roda yang memerlukan waktu kurang cengkaman. Hill Start Assist diberikan secara standard manakala Hill Descent Control pula cuma untuk model 4WD.

    Varian paling atas, Pro 4-X juga mendapat kelengkapan tambahan lain yang termasuk electronic locking differential, penyerap hentak offroad jenama Bilstein dan plet pelindung pada bahagian bawah kenderaan.

    Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

    Di bahagian dalam, Frontier 2022 ini datang dengan pelbagai kelengkapan moden yang termasuk skrin sesentuh berwarna 9.0 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, panel instrumen Advanced Driver Assist Display 7.0 inci, serta rekaan dan kemasan yang serba baru berbanding model sebelumnya.

    Ada banyak ruang simpanan di bahagian kabin, termasuklah empat liter di konsol tengah (hampir dua kali ganda berbanding saiz yang biasanya terdapat pada pikap saiz sederhana), 5.7 liter pada poket pintu belakang dan 6.5 liter pada poket pintu hadapan. Di atas papan pemuka juga ada lagi ruang simpanan kecil.

    Bagi mengurangkan bunyi bising daripada jalan, bahagian kabin turut ditambah dengan penebat, struktur pelapik lantai belakang yang diperbaiki serta tingkat hadapan jenis akustik. Tempat duduk “Zero Gravity” diberikan secara standard. Ada beberapa tema untuk kemasan dalaman termasuk Charcoal, Sandstone dan yang di dalam gambar ini adalah Lava Red.

    Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

    Untuk kelengkapan lain, semuanya ada pada model baru ini, termasuk pengecas tanpa wayar, NissanConnect dengan sambungan WiFi Hotspot, dua soket USB di hadapan (Type A dan Type C), dua soket 12V di hadapan, Siri Eyes Free, dua soket 110V dengan kemampuan 400 watt (satu di tempat duduk belakang dan satu lagi di bahagian simpanan belakang) serta sistem audio Fender dengan sembilan pembesar suara.

    Frontier 2022 ini juga datang dengan Intelligent Around View Monitor dengan pengesan objek bergerak dan mod offroad. Apabila digunakan dalam fungsi Off-Road Mode waktu bergerak perlahan dalam kedudukan 4Lo, kamera ini akan memaparkan pandangan sekeliling, memudahkan pemandu untuk mengatasi secara halangan.

    Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi dengan Nissan Safety Shield 360, yang termasuk Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian Detection, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, High Beam Assist dan Rear Automatic Braking. Satu lagi ciri istimewa untuk kelasnya adalah Intelligent Forward Collision Warning dan Tire Pressure Monitoring System dengan Easy Fill Tire Alert.

    Ciri lain adalah seperti Intelligent Cruise Control, Traffic Sign Recognition dan Intelligent Driver Alertness, Rear Door Alert serta lapan beg udara yang diberikan secara standard untuk semua varian.

    Untuk varian, pembeli boleh memilih King Cab atau Crew Cab. Bahagian barangan berukuran lima kaki adalah standard untuk semua model Crew Cab, dengan unit enam kaki disediakan sebagai pilihan pada Crew Cab SV Long Wheelbase. Bahagian barangan berukuran enam kaki datang secara standard untuk model King Cab. Jenis badan ini boleh dipadankan dengan pilihan jenis pacuan 2WD atau 4WD.

    Selain daripada keadaan standardnya, Nissan juga turut menyediakan pelbagai aksesori tambahan untuk Frontier baru ini, termasuk daripada Nismo. Ini seperti bar belakang, pemijak kaki, suspensi Nismo, lampu tambahan, tangga serta khemah. Jadi, apa pendapat anda dengan Frontier 2022 ini? Adakah ia lebih menarik berbanding Navara facelift yang diperkenalkan untuk negara ASEAN?

    GALERI: Nissan Frontier 2022 pasaran US

    GALERI: Nissan Navara facelift pasaran ASEAN

     
     
  • Toyota jangka bakal produksi 9.2j kenderaan tahun ini

    Toyota jangka bakal produksi 9.2j kenderaan tahun ini

    Menurut laporan Nikkei Asia, Toyota dijangka akan memproduksi sekitar 9.2 juta kenderaan pada tahun ini, iaitu meningkat sebanyak 17% daripada apa yang dicapai pada tahun 2020, di mana pandemik COVID-19 sangat memberikan kesan buruk terhadap industri pengeluaran kenderaan. Toyota juga mensasarkan unjuran akan menjadi sedikit tinggi sekitar 2% berbanding 2018 ketika pandemik belum melanda dunia.

    Pelan ini juga mencerminkan prestasi penjualan syarikat yang memberangsangkan pada tahun lalu, dengan pasaran utama seperti China yang menunjukkan rekod penjualan yang positif selama lapan tahun berturut-turut. Malahan permintaan pasaran Amerika Syarikat dan Jepun juga meningkat pesat tahun ini dengan negara-negara yang melancarkan program vaksinasi. Di Jepun, Toyota menjangkakan ia bakal mengeluarkan hampir 3.2 juta kenderaan, iaitu naik 9% berbanding tahun 2020 tetapi turun sebanyak 7% dari tahun 2019.

    Penerbitan ini juga menyatakan bahawa Toyota telah mendedahkan rancangan pengeluarannya kepada pembekal alat ganti teras dan secara rasmi akan memutuskan keputusan akhir pada bulan ini. Selalunya perancangan sedemikian dilakukan pada akhir Disember, tetapi disebabkan kekurangan semikonduktor ketika ini menyukarkan pembekal untuk menawarkan jaiman komponen, sekaligus mempengaruhi proses perancangan.

    “Tiada masalah untuk tahun fiskal ini (hingga Mac), tetapi pada masa hadapan, ada beberapa prospek untuk perolehan dan beberapa lagi tanpanya,” ujar seorang eksekutif Toyota kepada Nikkei Asia – tahun fiskal 2021 (FY2021) Toyota bermula dari 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. Seorang eksekutif Denso pula berkata, “tiada ada kesan pada masa ini tetapi penawaran dan permintaan terhadap produk tetap akan kukuh hingga musim panas ini.”

     
     
  • VIDEO: Jonathan Rea cuba uji Kawasaki ZX-10R 2021

    VIDEO: Jonathan Rea cuba uji Kawasaki ZX-10R 2021

    Kawasaki ZX-10R 2021 pertama kali terdedah waktu sesi ujian WSBK November lalu dan kemudian pengenalan rasminya dilakukan beberapa hari selepas itu. Model baru ini sangat mudah dikenali kerana muka hadapannya yang unik.

    Biasanya bagi model baru seperti ini, pengeluar akan mengadakan sesi tunggang uji untuk para media dan anda akan boleh melihat laporan tunggang uji melalui saluran mereka, tapi mungkin disebabkan pandemik yang melanda, apa yang kita tahu setakat ini cuma perincian spesifikasinya.

    Bagi yang betul-betul berminat, kini anda boleh mendengar sendiri pendapat daripada pelumba paling berjaya WSBK, iaitu Jonathan Rea berkenaan ZX-10R 2021 ini. Sudah tentu beliau sangat rapat dengan ZX-10R kerana sebahagian besar karier beliau dalam WSBK adalah bersama pasukan Kawasaki dan menggunakan jentera lumba yang berasaskan ZX-10R.

    Selain menceritakan sedikit berkenaan superbike ini, Rea juga membawa kita melalui satu pusingan dalam litar Jerez, Sepanyol menaiki ZX-10R 2021. Ada beberapa kali beliau menyatakan motosikal standard ini mempunyai karekter sama seperti motosikal lumba beliau, dan ada kalanya juga lebih baik.

    ZX-10R 2021 masih lagi menghasilkan kuasa 203 PS dan 114.9 Nm tork, tetapi enjin empat silinder DOHC 999 cc padanya dipertingkat dengan intake, cam dan spring injap baru, serta piston lebih ringan daripada Pankl, sekaligus membolehkan ia dikerah sehingga rpm lebih tinggi, iaitu 14,700 rpm.

    Beberapa bahagian lain turut diperbaiki, termasuk nisbah gear, kedudukan menunggang, tetapan suspensi dan geometri motosikal, kelengkapan serta aerodinamik. Pandangan yang diberi oleh Rea berkenaan motosikal ini dalam video adalah lebih kepada tunggangan dan tidak pergi terlalu mendalam kepada cirinya.

    GALERI: Kawasaki ZX-10R 2021

     
     
  • Toyota jadi jenama pengeluar kenderaan paling kerap dicari peringkat global, atasi BMW dan Mercedes-Benz

    Toyota jadi jenama pengeluar kenderaan paling kerap dicari peringkat global, atasi BMW dan Mercedes-Benz

    Walaupun tahun 2020 berlangsung penuh cabaran, Toyota tetap berhasil mengatasi Volkswagen Group untuk muncul pengeluar kereta paling laris, merebut semula kedudukan yang terlepas dari sandangan mereka sejak lima tahun lalu. Bukan itu sahaja, Toyota juga menjadi jenama yang paling kerap di Google sepanjang tahun lalu, menurut satu kajian oleh Compare the Market.

    Toyota berjaya menduduki tempat teratas dan merampasnya dari BMW, yang mendominasi pada tahun 2019, sementara Mercedes-Benz pula di kedudukan ketiga. Berdasarkan kajian tersebut, Toyota mendahului peratusan satu pertiga (34.8%) daripada semua negara yang dinilai, yang mana menjadi penambahbaikan yang besar berbanding tahun 2019 (17.7%) dan 2018 (41.1%). Sementara itu, BMW pula mendahului carian di 34 negara (21.5%) pada tahun lalu berbanding 118 negara (74.6%) tahun sebelumnya, dan 30 negara (18.9%) pada 2018.

    Bagi mendapatkan data ini, Compare the Market menggunakan data Google Trends untuk menentukan jenama kenderaan yang paling banyak dicari di 158 negara seluruh dunia, antara 2018 dan 2020. Beberapa negara bagaimanapun tidak dimasukkan kerana kekurangan atau tiada data langsung, dan beberapa jenama atau terma carian yang bukan berkaitan jenama kenderaan telah digugurkan.

    Selain daripada jenama yang disebutkan di atas, tiada jenama lain yang mencatatkan dua angka, walaupun Kia memperlihatkan lonjakan dalam carian tertinggi di tujuh negara tahun lalu dan berada di tangga keempat, berbanding tahun 2019 dan 2018. Beberapa jenama lain seperti Ford, Volvo, Audi dan Honda turut memperlihatkan peningkatan daripada 2019.

     
     
  • Lancia akan kembali menghasilkan model premium dan menarik, kongsi asas dengan Alfa Romeo dan DS

    Lancia akan kembali menghasilkan model premium dan menarik, kongsi asas dengan Alfa Romeo dan DS

    Jika Ferrari dikenali sebagai jenama yang mengungguli perlumbaan litar seperti Formula 1 dan Le Mans, satu lagi jenama Itali iaitu Lancia dikenang sebagai lagenda dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC). Lancia Stratos, 037, Delta S4 dan Integrale semuanya telah merangkul gelaran juara dunia ketika era masing-masing.

    Namun bermula pada pertengahan era 90’an, Lancia mula seakan hidup segan mati tak mahu. Mereka tidak lagi menghasilkan model-model mengujakan, dan hanya memproduksi model-model rebadge dari jenama sekutunya dalam Fiat Chrysler Automobiles (FCA).

    Buat masa sekarang, Lancia hanya ada satu model yang dijual di bilik pameran, iaitu Lancia Ypsilon generasi ketiga, dan ia hanya dijual dalam pasaran Itali. Model ini diasaskan dari Fiat 500 dan ia sebenarnya sudahpun diproduksi sejak tahun 2011, diberikan pelbagai versi dan facelift dari masa ke masa sehingga kini.

    Lancia Ypsilon facelift 2021

    Nampaknya apabila FCA bergabung dengan kumpulan automotif Perancis yang memiliki jenama seperti Peugeot dan Citroen iaitu PSA Group, serta digelar sebagai Stellantis sekarang (gabungan ini baru sahaja dilengkapkan bulan lalu), Lancia nampaknya diberikan harapan baharu. Jenama tersebut walaupun kelihatan malap, Stellantis tidak terus menutup terus operasinya, malah kini merancang untuk mengembalikan Lancia sebagai jenama premium.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Stellantis, Lancia kini yang dipimpin oleh Luca Napolitano sebagai CEO dan ia diletakkan sebaris dengan jenama premium kumpulan tersebut seperti Alfa Romeo dan divisi mewah Citroen iaitu DS, dan ia lebih tinggi dari Opel dan Peugeot yang dikelaskan lebih tinggi dari jenama arus perdana.

    Manakala untuk rekaan, Lancia diletakkan sebaris dengan Alfa Romeo, Citroen, DS, Fiat, Opel dan Peugeot serta jenama prestasi Fiat iaitu Abarth. Segala rekaan untuk kumpulan ini akan dipantau oleh ketua perekanya, Jean-Pierre Ploue.

    DS4 2021

    Menurut laporan Automotive News Europe yang dipetik oleh laman Carsoops, Stellantis kini sudah pun memulakan projek bagi menghasilkan model baru untuk Lancia, dan ia akan dibangunkan bersama Alfa Romeo dan DS. Walau bagaimanapun, perician yang lebih jelas masih belum diumumkan oleh Stellantis dan hanya menyatakan bahawa ketiga-tiga jenama tersebut akan berkongsi pilihan unit penjana serta “ciri-ciri premium”.

    “Kami sedang bekerjasama dengan rakan-rakan Itali terhadap modul premium, unit penjana dan kelengkapan yang spesifik bagi membezakan jenama-jenama premium [Alfa Romeo, DS dan Lancia] dari model arus perdana,” kata pengarah produk DS, Marion David kepada portal berita berkenaan.

    David menyatakan bahawa rancangan DS untuk melancarkan model baharu setiap tahun kini berada dalam landasan yang betul dan ia akan diteruskan. Namun selepas 2023, DS akan fokus untuk menyediakan sinergi-sinergi yang telah dipersetujui oleh FCA dan PSA dalam perjanjian gabungan. Oleh itu, model generasi seterusnya model-model premium yang dirancang oleh Stellantis ini mungkin akan muncul pada tahun 2024 atau 2025.

     
     
  • PKP 2.0: Tiada larangan kenderaan barangan guna jalan raya sepanjang Tahun Baharu Cina – MOT

    PKP 2.0: Tiada larangan kenderaan barangan guna jalan raya sepanjang Tahun Baharu Cina – MOT

    Sering kali sepanjang tempoh perayaan besar di negara ini, kenderaan berat kecuali yang membawa muatan barangan keperluan, tidak dibenarkan berada di jalan raya bagi tarikh tertentu. Ini bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan juga mengurangkan kesesakan khususnya di lebuhraya apabila orang ramai berpusu-pusu mahu pulang ke kampung halaman atau pun destinasi percutian.

    Namun demikian, disebabkan larangan rentas negeri dikuatkuasakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) di seluruh negara (kecuali Sarawak) sehingga 18 Feb ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) memutuskan tidak akan melaksanakan perintah larangan kepada kenderaan barangan daripada beroperasi di jalan raya dalam tempoh perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

    “Namun begitu, memandangkan semua negeri kecuali Sarawak masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari dan PKP Bersyarat (PKPB) di Sarawak adalah sehingga 14 Februari, pihak kementerian tidak akan melaksanakan perintah larangan itu kepada kenderaan berat dalam tempoh sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini,” ujar Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Tambahnya, “Ini selari dengan peraturan sedia ada di sepanjang tempoh PKP dan PKPB termasuk melarang pergerakan rentas negeri dan daerah kecuali bagi sektor kritikal yang telah dibenarkan. Namun segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi tanpa sebarang kompromi.”

     
     
  • Suzuki Swift facelift 2021 dilancarkan di Thailand – dua varian 1.2L CVT; 83 PS, 108 Nm; harga dari RM75k

    Suzuki Swift facelift 2021 dilancarkan di Thailand – dua varian 1.2L CVT; 83 PS, 108 Nm; harga dari RM75k

    Suzuki Swift generasi ketiga telah pun menerima peningkatan pada Mei tahun lalu, dan hatchback yang kini tampil dengan sentuhan lebih segar itu telah pun dilancarkan di Thailand. Tidak seperti model pre-facelift, hanya dua varian sahaja yang ditawarkan di pasaran berkenaan, ini termasuklah varian asas GL dan model spesifikasi penuh GLX, dengan dua varian iaitu GA dan GLX-Naxi digugurkan.

    Enjin K12M Dualjet kembali digunakan untuk memastikan Swift dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan sebagai kereta eko oleh kerajaan Thailand. Unit penjana kuasa tersebut mampu memberikan sehingga 83 PS pada 6,000 rpm dan tork 108 Nm pada 4,400 rpm. Hanya enjin ini yang ditawarkan untuk Swift di Thailand, dan unit 1.2 liter NA ini turut dipadankan dengan CVT (gear maya enam-kelajuan) yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Bagi perubahan gayanya, terdapat semakan kecil yang dilakukan termasuk melibatkan gril hadapan. Saiz dan bentuknya masih kekal, namun kemasan plastik yang diberikan pada bahagian tengah sebelum ini telah digantikan dengan jaluran krom nipis. Ditambah pula dengan kemasan dalam gril yang dengan rekaan baharu bagi menyerlahkan lagi gayanya.

    Selain itu, lampu utama dan lampu belakang masih dikekalkan seperti sebelum ini, begitu juga dengan rekaan dalaman termasuk bentangan papan pemuka juga sama. Ciri standard yang diberikan untuk varian GL termasuklah stereng kuasa elektrik, roda stereng urethane tiga-jejari dengan larasan kecondongan, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa automatik, upholstery fabrik, tempat duduk hadapan larasan manual, unit utama asas (AUX, CD dan USB), pembesar suara hadapan dan kemasan dalaman dengan rona putih.

    Untuk luaran, GL menerima roda keluli 15-inci, cermin sisi larasan kuasa, lampu utama halogen, lampu posisi LED, lampu belakang LED dan beberapa ciri keselamatan termasuk beg udara hadapan, ABS, EBD, ESP, kawalan menahan bukit, kawalan cengkaman dan sistem berhenti melahu.

    Manakala GLX pula menerima tambahan ciri larasan teleskopik untuk roda stereng balutan kulit, indikator pada cermin sisi, roda aloi 16-inci, lampu utama LED, lampu kabus hadapan, kemasan perak untuk ruang dalaman, unit utama dengan skrin sesentuh lapan-inci (HDMI menggantikan AUX; sokongan Android Auto dan Apple CarPlay), empat beg udara tambahan (sisi dan tirai), dan kamera belakang. Varian tertinggi ini juga menerima brek cakera belakang berbanding dram pada GL – cakera ventilated digunakan untuk bahagian hadapan bagi kedua-dua model.

    Harga bermula 557,000 baht (RM75,195) untuk GL, sementara GLX pula berharga 629,000 baht (RM84,915). Enam warna pilihan bagi luaran ditawarkan termasuklah Speedy Blue Metallic, Ablaze Red Pearl, Pure White Pearl, Star Silver Metallic, Mineral Grey Metallic dan Super Black Pearl.

    Aksesori Suzuki Swift facelift 2021 (pasaran Thailand)

     
     
  • Nak buka penutup radiator? Hati-hati, anda mungkin boleh tercedera kena cecair panas, tunggu sejuk dulu

    Nak buka penutup radiator? Hati-hati, anda mungkin boleh tercedera kena cecair panas, tunggu sejuk dulu

    Penulis baru sahaja ditunjukkan dengan satu video tiktok seorang influencer media sosial yang membuka penutup radiator dan kemudian cecair penyejuk di dalamnya memancut keluar. Nasib baik dik, tak terkena air tu betul-betul, kalau tak boleh melecur tangan dik oi, ini bukan main-main.

    Radiator berfungsi untuk mengekalkan suhu operasi enjin anda, jadi cecair yang berfungsi untuk memindahkan suhu berkenaan bukan sikit-sikit punya panas, ia adalah sekitar 80 sehingga 90 darjah selsius, suhu yang cukup sesuai untuk anda buat air kopi. Malah sekiranya enjin anda berada dalam keadaan overheat, ia boleh mencecah sehingga 100 darjah selsius, iaitu takat didih air biasa yang anda jerang dalam cerek!

    Malah, kuasa stim dari wap air yang terhasil juga cukup tinggi – sekitar 30 hingga 200 kPA. Sebab itulah sekiranya anda terus buka penutup radiator berkenaan ketika ia sedang panas, cecair di dalamnya akan terus memancut keluar.

    Jadi bagaimana cara yang betul untuk membuka penutup berkenaan? Kalau boleh masa tengah panas, jangan sentuh langsung penutup radiator tersebut. Kalau nak tambah air atau coolant, lebih baik anda buat menerusi satu lagi tangki tambahan (expansion tank) untuk sistem radiator yang berada berhampirannya, yang biasanya boleh dikenali kerana ada satu hos kecil yang berhubung dengan tangki utama.

    Penutup radiator utama (kiri) dan tangki tambahan/expansion tank (kanan)

    Namun sekiranya anda perlu juga untuk membuka penutup tangki utama berkenaan atas alasan-alasan tertentu, contohnya kereta anda overheat ketika dalam perjalanan dan anda perlu menambah air, lakukannya dengan cara-cara yang betul.

    Pertama, pastikan ia sejuk dahulu atau sekurang-kurangnya pada tahap ‘suam’. Kemudian, lapikkan tangan anda dengan kain tebal untuk membuka penutup berkenaan. Juga, penutup radiator ini juga sebenarnya perlu dibuka dalam dua peringkat yang boleh anda rasa ketika ia diputar.

    Ketika anda putar penutup berkenaan untuk membukanya, anda akan rasa ia tersekat pada satu tahap – ini adalah peringkat pertama. Biarkan ia pada kedudukan tersebut dan jangan pusing habis untuk terus buka, kerana sekiranya masih ada lagi tekanan stim, ia akan dibebaskan dahulu pada peringkat ini. Selepas benar-benar tiada lagi tekanan, barulah dibuka sepenuhnya penutup tangki radiator berkenaan.

    @anissa.johan

    NAIK MOTO PUN LINGKUP INI KAN PULA NAK CHECK KERETA ????????????????????????????????? ##tiktokmalaysia ##foryoupage ##fypdong

    ? original sound – Anissa ESW – ANISSA Meletup ????

     
     
  • PKP 2.0: Pusat cuci kereta, kedai gunting rambut dan pasar malam sudah boleh dibuka, perlu ikut SOP

    PKP 2.0: Pusat cuci kereta, kedai gunting rambut dan pasar malam sudah boleh dibuka, perlu ikut SOP

    Ketika sesi sidang media hariannya sebentar tadi, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa pusat cuci kereta dibenarkan untuk dibuka semula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang dijadualkan berlangsung di seluruh negara (kecuali Sarawak) sehingga 18 Februari 2021.

    Menurut beliau, keputusan ini dibuat setelah mendapat pandangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), memandangkan tiada kluster baru jangkitan Covid-19 yang wujud pada sektor ini. Namun beliau mengingatkan bahawa pengusaha perniagaan agar mematuhi SOP yang ditetapkan dan hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam.

    Dalam masa yang sama, menteri berkenaan turut menyatakan dua lagi sektor perniagaan iaitu pasar malam dan juga kedai gunting rambut turut dibenarkan untuk beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan.

     
     
  • DS4 2021 diperkenal – model generasi kedua kini lebih bergaya dan mewah, terdapat pilihan enjin PHEV

    DS4 2021 diperkenal – model generasi kedua kini lebih bergaya dan mewah, terdapat pilihan enjin PHEV

    Tiga tahun selepas pengeluaran model asalnya (Citroen DS4) dihentikan, cabang jenama mewah Citroen iaitu DS memperkenalkan kembali DS4 sebagai model generasi kedua. Menurut DS, kenderaan yang mendapat banyak inspirasi daripada model konsep Aero Sport Lounge ini direka untuk menarik pembeli crossover dan juga hatchback.

    Jika dibandingkan dengan model generasi sebelumnya, DS4 baru ini lebih panjang dan rendah, dengan ukuran dimensi 4.4 meter panjang, 1.83 meter lebar dan 1.47 meter tinggi. Ia dibina atas Efficient Modular Platform (EMP2) versi dipertingkat, yang dapat membenarkan ia menggunakan tambahan penggerak elektrik, binaan lebih ringan serta menepati keperluan keselamatan terkini.

    Dalam keadaan standard, DS4 datang dengan bumbung hitam serta kemasan krom, sementara bagi varian Performance Line, kemasan itu diganti dengan warna hitam berkilat, bersama rim hitam. Varian Cross pula dijadikan lebih ranggi dengan kemasan bampar hitam matte, bumbung sama warna dengan badan, rim rekaan khas, serta sistem kawalan cengkaman dan kawalan turun bukit yang lebih maju.

    DS4 2021 diperkenal – model generasi kedua kini lebih bergaya dan mewah, terdapat pilihan enjin PHEV

    Pemilik juga boleh mendapatkan rim 19 inci dan 20 inci yang disediakan sebagai pilihan tambahan untuk menjadikan kenderaan lebih bergaya, dan rim itu juga lebih ringan berbanding rim aloi biasa, dengan setiap satunya adalah 1.5 kg lebih ringan.

    Konsep mewah untuk bahagian dalam diteruskan, dengan terdapat beberapa tona warna yang membezakan bahagian tempat duduk dan kulit pintu, atas papan pemuka dan tengah. Corong pendingin hawa tengah kelihatan seperti tersembunyi di sebalik butang kawalannya sementara untuk bahagian tepi ia terletak di pintu.

    Kulit jenis Nappa serta kemasan kayu digunakan untuk model biasa sementara model Performance Line pula ditambah baik dengan Alcantara serta kemasan gentian karbon asli. Selain menggunakan span jenis ketumpatan tinggi untuk keselesaan, tempat duduk model ini juga dilengkapi dengan fungsi mengurut seta liang udara.

    DS4 2021 diperkenal – model generasi kedua kini lebih bergaya dan mewah, terdapat pilihan enjin PHEV

    Pintu but belakang boleh dibuka menggunakan sistem tanpa sentuhan, dan di sebaliknya terdapat ruang simpanan 430 liter. Bagi sistem infotainmen, DS4 menggunakan paparan DS Iris inspirasi daripada telefon pintar yang boleh dikawal dengan fungsi suara, sentuhan serta tulisan. Di hadapan pemandu terdapat head-up display sebesar 21 inci.

    Kelengkapan lain pada DS4 adalah termasuk 14 pembesar suara, sistem bunyi Focal Elektra 690 watt, cermin hadapan dan tepi akustik, penapis udara PM2.5 serta sistem pemanduan separa autonomous DS Drive Assist 2.0 yang boleh membantu waktu memotong, mengurangkan laju di selekoh serta mengenal pasti papan tanda jalan. Pada bahagian suspensi, sistem DS Active Scan Suspension dapat mengimbas keadaan jalan di hadapan seterusnya melakukan pelarasan kepada penyerap di setiap roda.

    Untuk enjin jenis pembakaran dalaman, DS4 disediakan dengan pilihan unit petrol PureTech 130 hp, 180 hp dan 225 hp, serta unit diesel BlueHDi 130 hp, sementara untuk plug-in hybrid pula ia menggunakan gabungan enjin petrol 180 hp bersama motor elektrik 110 hp untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 225 hp. Semua penggerak ini datang dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.

     
     
  • Husqvarna Svartpilen 125 diperkenal – 15 hp, 12 Nm

    Husqvarna Svartpilen 125 diperkenal – 15 hp, 12 Nm

    Setelah diperkenal dalam versi 200 cc, 250 cc, 401 cc dan 701 cc, kini Husqvarna melancarkan satu lagi versi bagi model Svartpilen, yang menggunakan enjin lebih kecil iaitu 125 cc. Model yang dipanggil sebagai Svartpilen 125 ini dihasilkan dengan tujuan mendekati generasi yang lebih muda.

    Tiada beza pada bentuk model Svartpilen paling kecil ini dengan model yang lebih besar, dan cuma enjinnya sahaja yang diubah untuk menggunakan unit satu silinder 125 cc yang mampu menghasilkan kuasa 15 hp dan 12 Nm tork. Ia masih dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan menepati tahap emisi Euro 5.

    Walaupun menggunakan kapasiti enjin lebih kecil, Svartpilen 125 tidak kekurangan pada cirinya, di mana ia dilengkapi dengan fork WP Apex 43 mm, monoshock WP Apex, angkup brek Bybre bersama sistem ABS two-channel oleh Bosch serta semua lampu jenis LED.

    Husqvarna Svartpilen 125 diperkenal – 15 hp, 12 Nm

    Memandangkan ini adalah model Svartpilen, ia menggunakan pemegang yang lebih tinggi berbanding Vitpilen, memberikan posisi tunggangan yang tegak, dan ciri lainnya adalah termasuk rim spoked 17 inci bersama tayar Pirelli dan berat cuma 146 kg tanpa bahan api.

    Husqvarna Svartpilen 125 akan mula memasuki pasaran bermula bulan ini tetapi penawarannya bergantung kepada pasaran dan pengedar negara masing-masing. Kami tidak menjangkakan Svartpilen 125 ini akan tiba di Malaysia kerana jika ya, harganya pasti lebih tinggi berbanding model 150 cc yang lain di pasaran. Lagipun, Husqvarna Malaysia baru sahaja melancarkan Svartpilen 250 pada harga RM24,800.

     
     
  • Toyota GT86 ucap sayonara di UK – unit akhir terjual

    Toyota GT86 ucap sayonara di UK – unit akhir terjual

    Selepas hampir sembilan tahun, Toyota GT86 yang terakhir telah pun dijual di United Kingdom, menandakan sudah tiba masanya jentera prestasi itu mengucapkan sayonara atau pun selamat tinggal di pasaran di sana. Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak hampir 7,500 unit GT86 telah dijual dan sempena dengan ‘ucapan selamat tinggal’ ini, Toyota UK telah pun menyediakan filem pendek dengan merakam momen terbaik bagi GT86 untuk hampir sedekad ini.

    Idea bagi menghasilkan GT86 (atau turut dikenali sebagai 86 di beberapa pasaran lain) dikeluarkan pada tahun 2005 apabila Toyota dan Subaru menjalinkan usahasama dan mahu membuat sesuatu sebagai simbol sempena pakatan tersebut. Kereta sport asas telah dipersetujui untuk dibangunkan bersama, maka terhasillah model konsep FT-86 sebelum coupe 2+2 versi produksi itu diperkenalkan di Toyota Motor Show pada tahun 2011.

    Dijanakan oleh enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder (boxer) dengan sistem bahan api suntikan terus dan D-4S port dari Toyota, GT86 pacuan roda-belakang ini turut ditawarkan dengan transmisi automatik dan manual. Malahan pilihan aftermarket yang besar juga menjadi platform yang popular untuk jentera ini dimodifikasi.

    Toyota GT86 ucap sayonara di UK – unit akhir terjual

    Di UK, GT86 juga menjadi pilihan untuk ditransformasi menjadi kereta lumba bagi kelas GT4 dalam British GT Championship, dan turut diolah menjadi jentera rali CS-R3 GT86 untuk British Rally Championship yang dipandu oleh Chris Harris. Bukan itu sahaja, GT86 juga pernah dibaluti dengan pelekat khas bagi meraikan jentera lumba legenda Toyota di Goodwood Festival of Speed 2015.

    Ini diikuti dengan meraikan jentera Le Mans Toyota yang terkenal yang pernah menyertai perlumbaan endurance 24 jam pada tahun 2018. Bukan itu sahaja, Toyota UK juga pernah memberikan “imej panda” pada GT86 yang menjadi ikonik dalam Toyota AE86 Sprinter Trueno dari siri animasi Initial D, sekadar untuk suka-suka.

    Selain itu, GT86 juga pernah diangkat sebagai Reasonably Fast Car pilihan Top Gear dan diiktiraf sebagai “Kereta Tahunan” oleh penerbitan yang sama pada tahun 2012, dengan menerima pujian melambung tinggi daripada Jeremy Clarkson. Kejayaan GT86 tidak terhenti begitu sahaja apabila ia dijadikan pilihan oleh juara drift Fredric Aasbo, yang menggunakan GT86 yang dimodifikasi dengan hamburan kuasa 1,150 hp, melakukan aksi drift untuk membentuk logo 86 bersaiz gergasi, yang boleh dikesan menerusi satelit orbit.

    Toyota UK turut berkata, “ini bukanlah akhir sebuah kisah: saksikannya di bab akan datang.” Bunyinya macam memberikan bayangan bahawa bakal ada pengganti bagi GT86, yang ada perkhabaran menyatakan model tersebut, GR 86, bakal tiba di pasaran UK.

    Sebenarnya, ini bukanlah perkara yang mengejutkan, kerana Toyota dan Subaru telah pun bersetuju untuk membangunkan kembar Toyobaru. Sebelum ini, BRZ baharu telah pun didedahkan, malahan imej paten bagi bampar GR 86 juga telah tersebar. Apa pun, kena nantikan perkembangan selanjutnya dari pakatan Toyobaru itu.

     
     
  • Ford F-150 Raptor 2021 didedah – enjin 3.5L EcoBoost

    Ford F-150 Raptor 2021 didedah – enjin 3.5L EcoBoost

    2021 Ford F-150 Raptor

    Generasi terbaru bagi Ford F-150 Raptor kini tiba dalam reka bentuk SuperCrew empat-pintu, menampilkan enjin 3.5 liter EcoBoost turbo diesel serta kemampuan off-road yang dipertingkatkan dengan talaan suspensi belakang jenis five-link yang menawarkan jarak pergerakan suspensi sehingga 381 mm pada gandar belakang, sementara 355 mm di depan.

    Suspensi belakang terbarunya terdiri daripada talaan trailing arm yang lebih panjang bertujuan untuk mengekalkan posisi gandar dalam permukaan kasar, rod Panhard serta gegelung 24-inci 610 mm (yang didakwa paling panjang dalam kelasnya).

    Fox kekal menjadi pembekal penyerap hentak bagi Raptor bagi versi model tahun 2021 ini, dan kini lengkap dengan unit bypass dalaman Live Valve generasi baru serta kawalan elektronik yang membolehkan larasan serapan yang sensitif terhadap kedudukan. Menurut Ford, ini penyerap hentak yang paling besar pernah digunakan oleh Raptor.

    Ford F-150 Raptor 2021 didedah – enjin 3.5L EcoBoost

    2021 Ford F-150 Raptor

    Unit penyerap hentak berkenaan terdiri daripada badan aluminium anodised berdiameter 78.8 mm, diisi dalamnya dengan cecair hentakan rendah geseran untuk mengurangkan kehilangan tenaga, sekali gus memperbaiki keselesaan dalam semua keadaan pemanduan. Injap kawalan elektroniknya juga diberikan rekaan baru, yang membolehkan daya serapan 1,000 lb bagi setiap sudut dalam kelajuan di permukaan padang pasir.

    Raptor 2021 ini dibangun menggunakan kerangka keluli berketahanan tinggi dan aluminium gred militari serta badan komposit, menjadikannya binaan keseluruhannya lebih kukuh, membolehkannya menampung penggunaan off-road yang lebih teruk.

    Trak baru ini boleh dipilih untuk dilengkapi tayar 35-inci atau 37-inci BFGoodrich All-Terrain T/A KO2; saiz kedua ini merupakan yang paling besar pernah dipasang sebagai standard pada pikap trak tugasan ringan. Jarak kelegaan yang tersedia pula ialah 305 mm dengan tayar 35-inci tersebut (dengan jarak pergerakan suspensi seperti dinyatakan di atas), sementara bagi tayar 37-inci ia menjadi 333 mm.

    Ford F-150 Raptor 2021 didedah – enjin 3.5L EcoBoost

    2021 Ford F-150 Raptor

    Ford bagaimanapun belum mendedahkan angka output rasmi bagi trak ini, sebaliknya menyatakan kadar nisbah mampatannya ialah 10.5:1 dan memaklumkan torknya disampaikan dalam rpm yang rendah, serta ia akan dilengkapi dengan kipas berkuasa tinggi baru bagi mengelak enjin terlebih panas ketika tempoh off-road yang panjang. Kapasiti tangki minyak 136 liternya mampu memberikan jarak lebih daripada 800 km.

    System ekzos baru turut diberikan, dengan sistem tiga-inci sama panjang melibatkan X-pipe binaan dalam, “trombone loop” dan pertama kali untuk Raptor, injap ekzos aktif yang disambungkan ke muffler untuk mendapatkan bunyi yang lebih menarik. Empat mod bunyi turut disediakan — Quiet, Normal, Sport dan Baja.

    Sistem saluran kuasanya pula terdiri daripada transmisi 10-kelajuan yang digandingkan bersama torque-on-demand transfer case. Limited-slip differential Torsen pilihan ada di gandar depan sementara kunci differential secara elektronik belakang datang standard, kedua-duanya dengan nisbah akhir 4:10. Trak ini mampu menampung beban 636 kg, sementara kapasiti menunda pula ialah 3,722 kg.

    Ford F-150 Raptor 2021 didedah – enjin 3.5L EcoBoost

    2021 Ford F-150 Raptor

    Di dalam, F-150 Raptor menampilkan panel instrumen digital 12-inci dan skrin tengan 12-inci sebagai standard — sama seperti barisan F-150 yang lain, tetapi dengan grafik Raptor. Turut ada untuk kemaskini over-the-air (OTA) bagi Raptor termasuk peta laluan dengan Trail Turn Assist, sementara FordPass membolehkan kawalan sistem Raptor termasuk mengunci dari jarak jauh, peninjau tekanan tayar dan tahap minyak, serta kawalan terhadap ciri seperti pencahayaan zon, penggera kecurian dan Pro Power Onboard pilihan.

    Ciri pemanduan off-road padanya termasuk Trail 1-Pedal Drive dan Trail Control. Ciri pertama ini memudahkan pemanduan off-road di permukaan mencabar dengan cara menyepadukan input pendikit dan brek ke dalam pedal pendikit, dengan sistem mengenakan brek sewajarnya ketika pemandu melepaskan pedal pendikit. Ciri kedua pula adalah seperti kawalan melayar ketika off-road, membolehkan trak ini bergerak dalam satu kelajuan yang ditetapkan, dengan pemandu hanya perlu fokus pada input stereng.

    Selain itu, sistem infotainmen SYNC 4 datang sebagai standard dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta SYNC AppLink. Sistem audionya menggunakan B&0 Unleashed dengan 18-pembesar suara oleh Bang & Olufsen. Perincian serta kemasan di dalam juga dibezakan pada model Raptor ini berbanding F-150 yang lain.

    Dipasang di Kilang Trak Dearborn di Michigan bersama barisan F-150 yang lain, Ford F-150 Raptor 2021 akan mula dijual di pasaran sana menjelang musim panas nanti. Bagi pelanggan yang inginka Raptor dengan lebih kuasa dan prestasi, versi Raptor R juga akan diperkenalkan tahun depan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025