Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Audi A3 Sportback 40 TFSI e – PHEV berkuasa 204 PS

    Audi A3 Sportback 40 TFSI e – PHEV berkuasa 204 PS

    Audi A3 Sportback generasi keempat telah dilancarkan bulan Mac lalu, dan kini pengeluar dari Jerman itu menambah versi PHEV baginya, dipanggil sebagai A3 Sportback 40 TFSI e. Enjin pembakaran dalaman pada model ini adalah unit empat silinder 1.4 liter TFSI, yang mampu menghasilkan kuasa 150 PS dan 250 Nm tork.

    Enjin ini kemudiannya dibantu dengan motor elektrik permanently excited synchronous (lebih ringan dan kompak berbanding sebelum ini) yang disepadukan dalam transmisi klac berkembar S Tronic enam kelajuan, untuk menghasilkan 80 kW dan 330 Nm tork. Secara keseluruhannya, penggerak kereta ini menyediakan 204 PS dan 350 Nm tork dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat dan laju maksimum 227 km/j.

    Bateri lithium ion 13 kWh untuk sistem PHEV itu terletak di bawah tempat duduk belakang, dan menurut Audi, sel prismatic padanya menawarkan 48% lebih kepadatan tenaga berbanding sebelum ini dan menyediakan jarak gerak sehingga 66 km (lebih 20 km) dalam satu cas penuh. Apabila kereta dihidupkan, ia akan terus bermula pada mod EV.

    Audi A3 Sportback 40 TFSI e – PHEV berkuasa 204 PS

    Dalam mod elektrik juga, ia boleh mencecah kelajuan sehingga 140 km/j. Semasa kereta bergerak dalam kelajuan rendah, bunyi khas Acoustic Vehicle Alert System akan dikeluarkan secara automatik. Untuk penggunaan bahan api, Audi memberitahu ia boleh mencatat 1.5-1.4 liter bagi 100 km dan pembebasan CO2 31 g/km.

    Kuasa maksimum yang boleh digunakan untuk mengecas A3 Sportback 40 TFSI e ini adalah 2.9 kW dan ia akan mengambil masa sekitar empat jam untuk penuh. Terdapat juga sistem penjanaan semula kuasa brek – motor elektrik itu boleh menghasilkan kuasa memperlahankan kenderaan sehingga 0.3 g.

    Seperti kebanyakan model Audi lain, A3 Sportback 40 TFSI e ini juga mendapat pemilih mod memandu secara standard yang menyediakan pilihan Comfort, Auto, Dynamic dan Individual. Dua lagi mod hibrid tambahan adalah Battery Hold dan Battery Charge.

    Kelengkapan standard yang diberikan pada model ini adalah termasuk lampu jenis LED (boleh dinaik taraf kepada unit Matrix LED), rim 16 inci (boleh dinaik taraf kepada unit 17 dan 18 inci), serta paparan instrumen dan infotainmen khas. Pemilik juga boleh menggunakan aplikasi myAudi untuk mengetahui waktu mengecas dan mengawal suhu kenderaan dari jauh.

    Selain daripada itu, kereta ini juga boleh dipilih dengan kelengkapan seperti head-up display, tempat duduk sport serta bumbung panoramik. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi dengan Audi Pre Sense hadapan, Lane Departure Warning, Turn Assist dan Swerve Assist. Adaptive Cruise Assist pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • Proton X50 — Enjin 1.5T PFI untuk model akan datang

    Proton X50 — Enjin 1.5T PFI untuk model akan datang

    Ramai yang dah tahu, enjin yang dibangunkan oleh Geely/Volvo, kedua-dua unit 1.5 liter tiga-silinder turbocas kini digunakan pada model Proton X50. Versi pertama, 1.5 TD suntikan terus (dengan nama 1.5L TGDi untuk SUV ini) akan digunakan pada varian paling tinggi Flagship, dengan janaan 177 PS pada 5,500 rpm dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm.

    Enjin kedua ialah versi “port-injection” yang dikenali dengan nama 1.5T PFI (atau 1.5L T pada X50), yang menjana 177 PS pada 5,500 rpm dan 226 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Unit ini digunakan pada varian X50 selain daripada Flagship.

    Dalam sesi pandu uji ringkas dan pra-tonton di Litar Sepang semalam, kami tanyakan kepada Proton tentang keperluan dua enjin dengan sesaran 1.5L yang sama itu. Satu perkara menarik tentang ini ialah, unit PFI ini diperkenalkan melalui X50 ketika ini kerana ia direncanakan untuk digunakan secara meluas dalam barisan produk lain Proton akan datang.

    Proton X50 — Enjin 1.5T PFI untuk model akan datang

    “Langkah ini adalah sebahagian daripada gambaran berkaitan strategi penawaran sistem janaan kuasa di masa akan datang. Enjin 1.5 T berkenaan adalah variasi dari unit 1.5 TGDi, dan dibangunkan untuk memenuhi keperluan perancangan masa depan Proton. Ini merupakan pengenalannya yang pertama, dan ia akan digunakan pada model-model akan datang Proton di Malaysia,” jelas Pengarah Kejuruteraan Kumpulan, Proton, Hazrin Fazail Haroon.

    Boleh dijangkakan ada beberapa model yang akan menggunakan enjin tersebut kelak. Sebelum ini, Proton sendiri pernah menyatakan rancangan untuk memperkenalkan dua model yang akan dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Walaupun belum dinyatakan model yang mana, satu daripadanya kemungkinan besar ialah Persona terbaru.

    Ketika ini, Persona generasi kedua yang diperkenalkan pada 2016 dan menerima facelift tahun lalu, akan berada dalam kitaran hayat yang memerlukannya diperbaharui, dan mungkin saja akan dilengkapi dengan enjin 1.5 T PFI ini.

     
     
  • Honda H’ness CB350 diperkenal di India – enjin satu silinder 350 cc, bluetooth untuk sambungan telefon

    Honda H’ness CB350 diperkenal di India – enjin satu silinder 350 cc, bluetooth untuk sambungan telefon

    Pengedar motosikal Honda di India telah memperkenalkan sebuah model baru yang dipanggil sebagai H’ness CB350. Ini juga adalah penampilan global pertama bagi model tersebut, dan apabila memasuki pasaran ia akan bersaing dengan model seperti Royal Enfield Classic 350 di negara itu.

    Seperti yang boleh dilihat pada namanya, model ini termasuk dalam keluarga CB dan menggunakan bentuk naked klasik dengan lampu bulat di hadapan serta garis bawah tangki lurus sehingga ke tempat duduk. Walaupun bentuknya klasik, kelengkapan yang diberi adalah moden, termasuk lampu jenis LED di hadapan dan belakang. Panel meter pula menggunakan unit gabungan analog dan digital yang dapat memaparkan pelbagai informasi penting termasuk kedudukan gear.

    H’ness CB350 dikuasakan oleh enjin satu silinder 348.36 cc suntikan bahan api yang digabungkan bersama transmisi lima kelajuan (klac slip and assist) untuk menghasilkan kuasa 20.8 hp pada 5,500 rpm dan 30 Nm tork pada 3,000 rpm. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 181 kg dan ia menyediakan tangki bahan api 15 liter.

    Walaupun India menjadi pasaran pertama motosikal ini, ia tidak hanya dipasang dengan kelengkapan asas, malah boleh dikatakan cukup lengkap. Brek cakera depan dan belakangnya dilengkapi dengan sistem ABS two-channel, dan satu lagi ciri keselamatan yang diberi adalah kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC).

    Ciri menarik lain pada motosikal ini adalah ia mempunyai Bluetooth yang boleh disambung kepada telefon pintar, sekaligus membenarkan fungsi seperti panggilan telefon, petunjuk navigasi, pemain muzik, serta membaca mesej. Informasi yang dipaparkan boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.

    Kelengkapan lain H’ness CB350 adalah termasuk rim 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang dan tinggi tempat duduk 675 mm. Harga rasmi CB350 ini di India masih belum diumumkan.

     
     
  • R&R Elmina arah utara di Lebuhraya Guthrie ditutup 4 bulan mulai 7 Okt 2020 untuk kerja penambahbaikan

    R&R Elmina arah utara di Lebuhraya Guthrie ditutup 4 bulan mulai 7 Okt 2020 untuk kerja penambahbaikan

    PROLINTAS Expressway Sdn Bhd (PESB) pemegang konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) telah mengumumkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Elmina arah utara akan ditutup selama empat bulan mulai 7 Oktober 2020 untuk kerja penambahbaikan.

    Menurut PESB, R&R itu dijadualkan untuk dibuka semula pada pertengahan Februari 2021. Oleh itu, semua gerai dan kemudahan seperti tandas dan surau tidak beroperasi sepanjang tempoh berkenaan untuk memberi laluan kepada kerja penambahbaikan itu.

    Sepanjang penutupan tersebut, demi memastikan keselesaan pengguna tidak terkesan, GCE akan menyediakan kemudahan sementara di kawasan Hentian Sebelah Lagong, kira-kira 10 kilometer dari R&R Elmina arah utara. Antara kemudahan yang disediakan di Hentian Sebelah Lagong adalah tandas, surau, gerai makanan serta tempat parkir/rehat.

    R&R Elmina arah utara di Lebuhraya Guthrie ditutup 4 bulan mulai 7 Okt 2020 untuk kerja penambahbaikan

    Selain itu, enam tandas bergerak juga sudah mula disediakan sebagai tambahan kepada tandas sedia ada di hentian berkenaan. Bukan itu sahaja, bagi memastikan keselamatan pengguna di situ, pengawal keselamatan ditugaskan 24 jam sehari selain lampu limpah dipasang bagi memastikan kawasan sentiasa terang dan selamat.

    Untuk sebarang pertanyaan, hubungi talian bebas tol GCE 1-300-88-0035. Bagi mendapatkan info trafik terkini GCE, sila ikuti laman Twitter @GCEtrafik manakala untuk mengetahui maklumat lengkap berkaitan GCE, sila layari http://www.prolintas.com.my atau Facebook PROLINTAS Highways.

     
     
  • DBKL umum transaksi caj parkir di bahu jalan kini guna aplikasi, e-wallet – tiada lagi mesin pembayaran

    DBKL umum transaksi caj parkir di bahu jalan kini guna aplikasi, e-wallet – tiada lagi mesin pembayaran

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan bahawa kaedah pembayaran caj parkir di bahu jalan yang menggunakan mesin di sekitar Kuala Lumpur telah pun berakhir pada 30 September 2020 (semalam).

    Di mana bermula 1 Oktober 2020 (hari ini), kaedah pembayaran caj parkir tersebut hanya menggunakan aplikasi terpilih seperti EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash. Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan transaksi menerusi e-wallet untuk tujuan pembayaran caj parkir yang dinyatakan.

    Menurut DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk memperluaskan lagi kaedah transaksi caj parkir menerusi aplikasi Boost dan Touch ‘n Go e-wallet bagi kemudahan orang ramai.

    Selain itu, DBKL juga memaklumkan pas harian dan pas bulanan untuk parkir buat masa ini masih belum beroperasi. “Kemudahan ini hanya akan diaktifkan setelah naiktaraf sistem dilaksanakan. Walau bagaimana pun, permohonan bagi petak khas parkir masih beroperasi seperti biasa dan kadar caj TLK masih kekal seperti sedia ada,” ujar DBKL.

    Susulan dengan pengumuman ini, DBKL menasihati orang ramai agar menyesuaikan diri untuk menggunakan kaedah baharu ini bagi membuat pembayaran caj parkir di tempat letak kereta di bahu jalan sekitar Kuala Lumpur.

     
     
  • Proton X50 – talaan pengendalian yang dibuat khas untuk Malaysia diperincikan oleh ketua jurutera

    Proton X50 – talaan pengendalian yang dibuat khas untuk Malaysia diperincikan oleh ketua jurutera

    Pagi tadi ketika sesi pembentangan produk sebelum bermulanya sesi pandu uji awal Proton X50 di litar Sepang, Proton ada menyebut tentang mereka ada membuat berberapa talaan yang di buat pada X50 agar ia selesa dipandu pada jalan raya Malaysia. Dan ketika sesi soal jawab lebih lanjut dijalankan petang tadi, kami telah mendapat huraian lebih lengkap tentang proses talaan semula tersebut.

    Adakah X50 ini menerima talaan penuh ‘Proton ride & handling’ yang begitu ikonik? Menurut Ketua Jurutera untuk projek X50, Noor Hisham Ismail, ketika pertama kali mereka menerima unit Geely Binyue untuk di uji di Malaysia, dia dan pasukannya merasakan kereta tersebut diberikan sistem suspensi yang terlalu keras.

    Ini kerana di China, jalan rayanya adalah jauh lebih baik dan rata, membolehkan crossover tersebut hadir dengan suspensi yang lebih keras bagi mendapat pengendalian yang lebih sporty. Namun dengan talaan sebegini di Malaysia, pengedaliannya mungkin hanya boleh dinikmati di kawasan seperti litar lumba.

    Seperti yang kita tahu, pemandu di Malaysia bukan sahaja perlu berhadapan dengan permukaan jalan yang kadang kala berlubang, malah kita kerap melalui jalan yang ‘bergelombang’ serta lubang ‘ninja turtle’ (manhole) yang boleh membuatkan kereta ‘melambung-lambung’ dan tidak stabil jika menggunakan suspensi jenis keras.

    Proton X50 – talaan pengendalian yang dibuat khas untuk Malaysia diperincikan oleh ketua jurutera

    Jadi sudah tentu dinamik kereta ini tidak akan dapat untuk dinikmati untuk pemanduan harian di negara kita – Noor Hisham menambah, rugi sekiranya pemandu tidak dapat merasakan prestasi sebenar dari platform dan enjin yang begitu baik pada X50 ini sekiranya ia diganggu dengan ketidakseimbangan tersebut.

    Jadi Proton perlu menala semula suspensi tersebut bagi membolehkan ia lebih selesa untuk dipandu di sini. Oleh itu berbanding Binyue, X50 diberikan talaan semula yang lebih lembut pada penyerap hentak, spring, bar anti-oleng dan juga setiap bush-bush getah pada komponen sistem suspensi. Bukan itu sahaja, Proton juga memadankan tayar Continental UltraContact UC6 (untuk varian Flagship dan Premium) dengan kompaun lebih lembut berbanding tayar pada Binyue pasaran China.

    Ini bukan bermaksud pengendalian X50 ini akan menjadi lembut seperti ‘sampan’, tetapi ayat yang lebih tepat sebenarnya Proton telah menyeimbangkan aspek dinamik pengendalian dan juga keselesaan – ia masih tetap seronok untuk dipandu dalam masa yang sama masih selesa untuk membawa seisi keluarga dengan keadaan jalan raya seperti di Malaysia ini.

    Dinamik pengendalian pada X50 ini bukan disumbangkan pada suspensi yang ditala semula ini sahaja. Menurut Noor Hisham lagi, Proton turut menala semula mod pemanduan Sport pada X50 ini – ia bukan sahaja melibatkan karekter penghantaran kuasa dari enjin dan juga respon dan tukaran gear dari transmisi, malah sistem kestabilan elektronik pada model ini turut di tala semula bagi memberikan dinamik pemanduan yang lebih sporty.

    Proton X50 – talaan pengendalian yang dibuat khas untuk Malaysia diperincikan oleh ketua jurutera

    Apa yang dikatakan oleh Noor Hisham ini dialami sendiri oleh penulis ketika berkesempatan memandu X50 ini di laluan slalom siang tadi. Memang suspensi pada X50 ini terasa lembut, tetapi ia tidak menjejaskan kestabilan dan kelincahannya ketika haluan diubah pada kelajuan tinggi!

    Penulis juga bertuah kerana ketika sesi ‘hot-lap’ di Litar Antarabangsa Sepang bersama pemandu profesional dalam acara berkenaan, penulis berpeluang menaiki X50 yang dipandu oleh juara perlumbaan Sepang 1000km (S1K) untuk tahun 2018 dan 2019, Farique Hairuman a.k.a Wak Tempe.

    Menurut Farique, dia agak terkejut dengan pengendalian yang dipersembahkan oleh X50 ini ketika di belasah di Sepang. Walaupun dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi, X50 tidak mempunyai kecenderungan untuk understeer, dan bahagian belakang juga cukup stabil ketika meredah selekoh dengan laju.

    Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi dan harganya masih belum diumumkan, rupa dan spesifikasi Proton X50 sudah pun didedahkan, serta tempahannya juga telah pun dibuka. SUV segmen-B ini ditawarkan dalam empat pilihan varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Dibangunkan berdasarkan Geely Binyue/Coolray, antara ciri yang ditampilkan termasuklah sistem infotainmen GKUI 19 terkini, remote engine start dan pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

    Proton X50 – talaan pengendalian yang dibuat khas untuk Malaysia diperincikan oleh ketua jurutera

    Kesemua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

    Jadi, untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    Untuk lebih perincian Proton X50 ini dan juga pecahan spesifikasi mengikut varian, anda boleh baca artikel-artikel yang telah kami tulis sebelum ini seperti di bawah:

  • Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2
  • Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship
  • Carta warna Proton X50 didedahkan – 6 warna, merah ‘Passion Red’ hanya untuk Premium dan Flagship
  • Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI
  • Proton X50 ditala untuk keadaan jalan di Malaysia, ujian penuh libatkan 1.9 juta kilometer, 75,000 jam
  • GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • Proton X50 terima penarafan keselamatan lima-bintang dari ASEAN NCAP dan layak untuk dapat status EEV

    Proton X50 terima penarafan keselamatan lima-bintang dari ASEAN NCAP dan layak untuk dapat status EEV

    Satu lagi berita baik untuk mereka yang telah dan bakal menempah Proton X50, di mana SUV ini telah pun menerima penarafan keselamatan lima-bintang, menurut Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

    Ia bukanlah suatu kejutan memandangkan banyak ciri keselamatan telah ditampilkan pada SUV X50 ini. Bagi varian asas Standard, ia didatangkan dengan ciri standard termasuk empat beg udara (hadapan dan sisi), bersama kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, ABS, EBD, bantuan brek, hill hold assist dan drag torque control.

    Sementara itu, tiga varian lain – Executive, Premium dan Flagship – menerima sistem yang sama seperti Standard, tetapi dengan enam beg udara (hadapan, sisi dan tirai).

    Proton X50 terima penarafan keselamatan lima-bintang dari ASEAN NCAP dan layak untuk dapat status EEV

    Manakala bagi model spesifikasi tertinggi, Flagship, pula menjadi satu-satunya varian yang menerima Advanced Driver Assistance System (ADAS), dengan beberapa sistem keselamatan aktif, termasuklah bantuan kekal lorong, brek kecemasan sendiri, amaran pelanggaran hadapan dan beberapa lagi.

    Menurut ASEAN NCAP, perincian keputusan X50 untuk penarafan keselamatan ini akan dikeluarkan, jadi kita kena tunggu untuk melihat skor yang diterima oleh SUV ini dalam setiap ujian individu yang dijalankan.

    Selain penarafan lima bintang yang diterima ini, dalam acara taklimat dan sesi pandu uji ringkas X50 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pagi tadi, Proton turut mendedahkan SUV ini juga menerima status Kenderaan Cekap tenaga (EEV). Untuk pasaran Malaysia, X50 menawarkan enjin 1.5 liter pengecas turbo suntikan bahan api terus (GDI) tiga-silinder iaitu bagi varian Flagship. Sementara tiga lagi varian dipadankan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI) tiga-silinder.

    Proton mendakwa angka penggunaan bahan api SUV ini adalah sekitar 6.4 liter per 100 km (15.6 km/l) bagi 1.5 TGDi dan 6.5 liter per 100 km (15.4 km/l) untuk enjin 1.5T MPI. Dengan angka tersebut, tidak mengejutkan bila X50 berjaya menerima status EEV.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • GALERI: Hyundai Kona 2.0 MPI Mid – set gambar pertama varian NA spesifikasi tempatan, 149 PS

    GALERI: Hyundai Kona 2.0 MPI Mid – set gambar pertama varian NA spesifikasi tempatan, 149 PS

    Semalam, Hyundai Sime Darby Motors telah memberikan kami peluang untuk memandu sebentar model Kona yang akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi, dalam dua versi iaitu turbo dan NA. Peluang ini juga memberikan kami kesempatan untuk melihat SUV segmen B ini dalam versi pasaran tempatan, atau lebih tepat lagi varian 2.0 MPI.

    Varian ini terletak di tengah, dengan di bawahnya terdapat varian 2.0 MPI sebagai varian permulaan dan 1.6 T-GDI sebagai varian paling tinggi. Setakat ini, harga untuk semua varian masih belum diberitahu, tetapi Kona akan dijual dengan harga bermula sekitar RM115,000

    Dengan hanya melihat kepada unit ini, varian Mid nampaknya akan menerima kelengkapan paling banyak bagi varian T-GDI. Ia nampak sama sahaja dari luar, termasuklah untuk lampu LED, lampu kabus, skid plate warna perak dan rim 18 inci (varian asas menggunakan rim 17 inci). Hanya rel bumbung sahaja yang cuma akan diberi kepada varian paling tinggi.

    GALERI: Hyundai Kona 2.0 MPI Mid – set gambar pertama varian NA spesifikasi tempatan, 149 PS

    Bahagian dalam juga sama, di mana varian Mid datang dengan skrin sesentuh tujuh inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal suhu satu zon, tempat duduk pemandu larasan kuasa dan head-up display. Yang tiada cuma pengecas Qi tanpa wayar, cermin pandang belakang malap sendiri serta balutan kulit (varian ini menggunakan bahan kulit campuran).

    Satu bahagian yang kekurangan pada varian Mid adalah sistem keselamatan. Ia tidak mendapat pakej bantuan pemandu SmartSense seperti T-GDI, yang termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, Lane Keeping Assist dan lampu tinggi automatik. Walaubagaimanapun, ia masih dilengkapi dengan Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, kamera belakang, enam beg udara dan Stability Control.

    Sementara varian paling tinggi menggunakan enjin empat silinder turbo 1.6 liter berkuasa 177 PS/265 Nm tork dan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, varian Mid ini pula menggunakan enjin NA 2.0 liter. Ia mampu menghasilkan kuasa 149 PS pada 6,200 rpm dan 180 Nm tork pada 4,500 rpm, dengan kuasa dihantar kepada dua roda hadapan menggunakan transmisi automatik enam kelajuan.

    Pilihan warna adalah berbeza bergantung kepada varian. Varian paling asas cuma akan ditawarkan dalam warna Phantom Black dan Chalk White, manakala varian lain akan turut mendapat Tangerine Comet, Blue Lagoon dan Dark Knight seperti dalam gambar. Varian T-GDI juga akan mendapat pilihan warna dua tona Ceramic Blue.

    Varian T-GDI yang anda lihat dalam galeri di bawah pula adalah kereta sama yang dibawa ke pameran Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) pada tahun 2018, dan pelekat samaran itu digunakan bagi menyembunyikan warna Acid Yellow yang tidak dibawa masuk ke negara kita.

    GALERI: Hyundai Kona 2.0 MPI Mid

    GALLERY: Hyundai Kona 1.6 T-GDI (spesifikasi luar)

     
     
  • MINI Cooper S Countryman Sports dapat varian bumbung panoramik dan pakej Blackline-dari RM243k

    MINI Cooper S Countryman Sports dapat varian bumbung panoramik dan pakej Blackline-dari RM243k

    MINI Malaysia telah melancarkan dua versi bagi Countryman, dengan kedua-duanya adalah berasaskan varian Cooper S Sports sedia ada. Di mana salah satu daripadanya adalah model edisi terhad yang didatangkan dengan pakej Blackline, sementara satu lagi diberikan bumbung matahari panoramik.

    Bagi Countryman Sports dengan Pakej Blackline, ia ditawarkan dengan unit terhad sebanyak 38 unit sahaja. Elemen luarannya diberikan kemasan piano black berbanding krom, termasuk pada bahagian gril hadapan, lampu utama, lampu belakang dan lencananya. Model ini diberikan pilihan sama ada warna British Racing Green atau Light White, dengan pilihan padanan bumbung hitam.

    Sementara, varian Countryman Sports yang didatangkan dengan bumbung matahari panoramik pula menawarkan kenikmatan pemanduan bumbung terbuka, lantas memperkayakan lagi ambien interior dengan tembusan lebih banyak cahaya serta udara segar.

    Selain itu, ia hadir dengan lampu utama dan lampu belakang LED, roda aloi John Cooper Works Circuit Spoke 19-inci, JCW aero kit dan spoiler belakang, kawalan suhu dwi-zon, infotainmen Navigation System Professional 8.8-inci dengan MINI Connected, upholstery kulit Carbon Black Cross Punch, kemasan iluminasi piano black dan sistem bunyi Harmon Kardon 360-watt dengan 12-pembesar suara.

    Kedua-dua varian MINI Countryman Sports ini dijanakan oleh enjin 2.0L empat-silinder MINI TwinPower Turbo yang mampu memberikan kuasa hingga 192 PS (189 hp) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 280 Nm antara 1,350 dan 4,600 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Pecutan dari sifar ke 100 km/j boleh dicapai dalam masa 7.5 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 225 km/j. Manakala penggunaan bahan api pula dianggarkan sekitar 6.6 liter bagi setiap 100 km.

    Countryman Sports dengan Pakej Blackline ditawarkan pada harga atas jalan RM243,280 tanpa insurans, termasuk dengan pengurangan cukai jualan yang berlangsung sehingga 31 Disember ini. Ia adalah lebih RM4,000 berbanding Sports biasa yang berharga RM239,280.

    Manakala Countryman Sports dengan bumbung matahari panoramik pula berharga RM247,280, iaitu lebih RM8,000 berbanding versi bumbung yang tidak boleh dibuka. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti empat-tahun dengan perbatuan tanpa had serta servis berjadual percuma, termasuk juga dengan program bantuan tepi jalan lima-tahun.

     
     
  • Puspakom ketatkan polisi pemulangan bayaran balik temujanji dalam talian bagi elak tuntutan palsu

    Puspakom ketatkan polisi pemulangan bayaran balik temujanji dalam talian bagi elak tuntutan palsu

    Puspakom telah mengumumkan pihaknya akan mengetatkan polisi pemulangan bayaran balik temujanji dalam talian MyPUSPAKOM bagi mengatasi isu tempahan temujanji palsu dan tempahan temujanji secara berlebihan. Polisi baharu ini dibuat kerana siasatan Puspakom mendapati majoriti permohonan pemulangan bayaran balik adalah daripada pemilik akaun yang membuat temujanji palsu atau membuat temujanji dengan banyak pada satu-satu masa dan seterusnya membuat pembatalan pada temujanji tersebut.

    Hasil siasatan menunjukkan ada pemilik akaun MyPUSPAKOM membuat tempahan temujanji antara 100 hingga 500 tempahan dalam talian dalam masa sebulan, namun tidak hadir menjalankan pemeriksaan kenderaan pada waktu temujanji. Akibat daripada ini, slot temujanji MyPUSPAKOM kerap penuh.

    Kumpulan-kumpulan ini dipercayai adalah orang tengah atau runner, yang menjalankan aktiviti mengaut keuntungan dengan menawarkan slot-slot temujanji yang ditempah mereka kepada pelanggan yang benar-benar ingin menjalankan pemeriksaan kenderaan terutamanya di pusat pemeriksaan di Lembah Klang.

    Pengguna akaun MyPUSPAKOM yang mempunyai kekerapan menjadualkan semula tempahan, membuat pembatalan dan memohon pembayaran balik akan dipantau dan disekat oleh sistem MyPUSPAKOM secara automatik.

    Polisi pemulangan bayaran balik MyPUSPAKOM diperketatkan bertujuan untuk menghapuskan penyalahgunaan sistem tempahan oleh pengguna akaun yang tidak bertanggungjawab. Mulai 10 Oktober 2020, Puspakom tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan pembayaran balik berdasarkan beberapa situasi termasuk pelanggan tidak hadir untuk pemeriksaan kenderaan pada tarikh temujanji dan yang tidak dapat membuat pemeriksaan kerana tidak membawa dokumen yang lengkap.

    Selain itu, ia juga melibatkan pengguna yang membawa kenderaan yang berbeza dari kenderaan yang dinyatakan dalam slip pengesahan temujanji dan juga yang gagal memenuhi lain-lain terma dan syarat yang ditetapkan.

    Puspakom ketatkan polisi pemulangan bayaran balik temujanji dalam talian bagi elak tuntutan palsu

    Puspakom juga memaklumkan, pihaknya akan membenarkan maksimum sehingga tiga tempahan temujanji bagi kenderaan persendirian untuk setiap pelanggan/pengguna sehari. Menurut Puspakom, dengan langkah-langkah sebegini, akan ada lebih banyak lagi slot temujanji untuk tempahan bagi kenderaan persendirian mahupun perdagangan melalui platform MyPUSPAKOM.

    Malahan Puskakom turut memberi jaminan kepada pelanggan bahawa ketersediaan slot pemeriksaan tidak melebihi tiga hari berkerja berbanding sebelum ini iaitu tujuh hari atau lebih. Justeru, para pelanggan terutamanya pengusaha-pengusaha kereta baharu dan terpakai untuk tidak melanggan perkhidmatan runner yang tidak beretika dan berhenti membeli slot temujanji daripada mereka.

    Bayaran pemeriksaan di puspakom hanya antara RM20 hingga RM90 mengikut jenis pemeriksaan dan kenderaan. Manakala setiap temujanji melalui MyPUSPAKOM yang berjaya akan dikenakan bayaran caj pemprosesan sebanyak RM3.50.

    Untuk maklumat lanjut, para pelanggan bolehlah menghubungi 03-2052 8989 atau menghantar emel kepada [email protected] dengan segera sekiranya dihubungi oleh orang tengah atau runner yang menawarkan slot pemeriksaan, yang kebiasaanya menjual dengan harga yang amat tinggi.

     
     
  • BMW 4 Series Convertible – kembali guna bumbung fabrik, lebih ringan dan ruang barang lebih besar

    BMW 4 Series Convertible – kembali guna bumbung fabrik, lebih ringan dan ruang barang lebih besar

    Selepas 4 Series Coupe dilancarkan bulan Jun lalu, BMW kini memperkenalkan pula versi bumbung boleh buka, yang menggunakan kembali bumbung jenis fabrik. Sejak zaman 3 Series generasi E93, BMW cuma menggunakan bumbung boleh buka jenis keras, hinggalah 4 Series generasi sebelum ini.

    Melalui 4 Series Convertible baru ini, ada empat varian yang ditawarkan iaitu 420i 184 hp/300 Nm yang mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat dan laju maksimum 236 km/j, 430i yang mencatat pecutan 0-100 km.j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j, serta M440i xDrive yang menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter berkuasa 374 hp/500 Nm bersama sistem hibrid ringkas 48 volt (tambahan 11 hp) yang membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan laju maksimum 250 km/j.

    Satu lagi varian adalah 420d yang menggunakan enjin diesel turbo empat silinder 2.0 liter yang berkuasa 190 hp/400 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat dan mencecah laju maksimum 236 km/j. Dua lagi varian diesel bagi model Convertible ini akan diperkenalkan kemudian.

    Ia adalah 430d, yang akan dikeluarkan pada Julai 2021, dengan menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter berkuasa 286 hp/650 Nm (0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan laju maksimum 250 km/j), dan M440d xDrive yang akan diperkenalkan pada bulan November 2021, berkuasa 340 hp/700 Nm, boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan mencapai laju maksimum 250 km/j. Sama seperti M440i xDrive petrol, semua enjin diesel 4 Series Convertible ini mendapat bantuan sistem hibrid ringkas 48 volt yang memberi tambahan 11 hp.

    BMW 4 Series Convertible – kembali guna bumbung fabrik, lebih ringan dan ruang barang lebih besar

    Penggunaan bumbung fabrik pada 4 Series Convertible G23 ini menjadikan beratnya lebih ringan 40% berbanding bumbung besi jenis lipat pada 4 Series Convertible F33 sebelum ini. Pada masa sama, ia juga memberikan lebih banyak ruang simpanan barang; model baru ini menyediakan kapasiti 300 liter, iaitu 80 liter lebih banyak apabila bumbung dibuka, sementara apabila bumbung ditutup, ia menyediakan 385 liter (15 liter lebih banyak berbanding F33).

    Waktu yang diambil untuk membuka dan menutup bumbung fabrik ini adalah 18 saat, dan menurut BMW, ia boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j. Model 4 Series Convertible ini juga mempunyai penyandar belakang yang boleh dilipat, untuk akses ke ruang barangan belakang.

    Kelengkapan lain yang khas untuk model bumbung boleh buka dan disediakan sebagai pilihan tambahan adalah pemotong angin yang boleh disimpan pada penyandar belakang, serta pemanas tengkuk yang boleh disepadukan pada penyandar kepala tempat duduk hadapan. Sistem pemanas tambahan yang disediakan sebagai pilihan boleh dikawal menggunakan butan iDrive, Display Key ataupun aplikasi telefon pintar My BMW.

    Bumbung fabrik pada model ini ditawarkan dalam warna hitam atau Anthracite Silver, dan ia menjadikan G23 ini sedikit lebih tinggi daripada 4 Series Coupe G22 (+1 mm, menjadi 1,384 mm), sementara dimensi lain adalah sama iaitu panjang 4,768 mm, lebar 1,852 mm dan jarak roda 2,851 mm (sama seperti 3 Series sedan G20).

    Gril hadapan 4 Series digunakan semula pada model Convertible ini, sementara lampu pula adalah jenis LED penuh, diberikan secara standard. Lampu adaptif BMW Laserlight disediakan sebagai pilihan tambahan, dan ini termasuk dengan fungsi lampu membelok adaptif dan pencahayaan boleh ubah.

    Papan pemuka 4 Series Convertible ini juga menggunakan bentuk yang sama seperti model Coupe, yang mana sebenarnya diambil daripada 3 Series G20. Panel instrumen menggunakan unit digital 12.3 inci, dipadankan bersama kawalan infotainmen Control Display 10.25 inci yang menggunakan BMW Operating System 7.

    Sama seperti 4 Series Coupe G22, model Convertible G23 ini boleh dipilih dengan pakej Driving Assistant Professional, yang menambah ciri Steering and Lane Control Assistant yang boleh digunakan sehingga kelajuan 210 km/j. Ia digabungkan dengan sistem lain seperti Lane Keeping Assistant, Emergency Stop Assistant, Evasion Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Wrong-way Driving Warning, Junction Warning dengan fungsi membrek serta amaran trafik bertentangan.

     
     
  • Proton X50 Flagship — sistem ADAS diperincikan

    Proton X50 Flagship — sistem ADAS diperincikan

    Dari tontonan awal Proton X50 tempohari, kita tahu yang SUV berkenaan akan turut dilengkapi dengan ciri Advanced Driver Assistance Systems (ADAS). Dan hari ini, lebih banyak perincian berkaitan itu didedahkan secara rasmi.

    Yang pertama, pakej keselamatan ADAS ini terdiri daripada sistem maklumat titik buta. Petunjuk LED pada cermin sisi akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya ada kenderaan dalam kawasan berkenaan; satu ciri yang agak biasa ditawarkan kini.

    Kedua, kawalan lampu tinggi pintar, yang boleh menukar antara lampu tinggi dan rendah secara automatik sekiranya ada kenderaan berdekatan, mengelakkan daripada pemandu di depan silau oleh lampu X50. Ciri akan diaktifkan secara automatik sekiranya sensornya mengesan lampu atau keadaan malap di depan jika SUV ini bergerak pada kelajuan 40 km/j atau lebih.

    Proton X50 Flagship — sistem ADAS diperincikan

    Selain itu, sistem amaran perlanggaran depan (FCW) berfungsi dalam tiga peringkat dan berdasarkan tiga tiga tahap sensitiviti (low, medium dan high). Dalam peringkat pertama, amaran visual dipaparkan pada panel instrumen jika sistem mengesan kereta berada dalam jarak yang kurang selamat dengan kenderaan di depan.

    Sekiranya pemandu tetap ingin merapatkan jarak dengan kereta depan, amaran pra-pelanggaran akan diaktifkan, memberikan kedua-dua amaran audio dan visual sekali gus, termasuk peringatan kepada pemandu untuk mula membrek. Peringkat akhir pula merupakan amaran keras untuk brek, dan ketika itu sistem akan mengenakan brek untuk menghindari pertembungan.

    Ini berfungsi dengan sistem brek kecemasan autonomous (AEB), yang akan mengaktifkan bantuan brek kecemasan sekiranya pemandu gagal bertindak balas dalam masa yang sepatutnya kepada amaran FCW atau dalam daya brek yang kurang. Sistem ini berfungsi dalam kelajuan antara 4-150 km/j ketika melibatkan kenderaan bergerak, atau sehingga 80 km/j jika melibatkan kenderaan berhenti. Ia juga boleh mengesan pejalan kaki, dengan kelajuan sehingga 70 km/j sahaja.

    Selain itu, ADAS juga terdiri daripada sistem amaran pertukaran lorong (LDW), yang mengawasi kedudukan kenderaan supaya mengikut jalur garis lorong dan memberikan amaran gegeran stereng atau bunyi sekiranya pemandu lalai. X50 Flagship juga datang dengan ciri bantuan mengekalkan lorong (LKA) yang berdasarkan ciri LDW, yang akan mengawal stereng dan membelokkannya sedikit melalui kawalan tork pada stereng kuasa elektrik untuk mengawal kereta kembali ke dalam lorong.

    Sensor-sensor radar yang digunakan untuk FCW dan AEB, bersekali dengan LKA, turut digunakan untuk kawalan melayar adaptif kereta ini, dengan kedua-duanya menawarkan sistem pemanduan autonomous Tahap 2. Semua ini menjadikan penawaran X50 Flagship menjadi antara yang menarik dalam segmennya, bahkan melampaui sebahagian model-model premium. Pertanyaan paling ingin dijawab ketika ini tentulah; berapa harga jualannya nanti?

     
     
  • Proton X50 Flagship dilengkapi pemanduan semi-autonomous Level 2 – Intelligent Cruise Control, LKA

    Proton X50 Flagship dilengkapi pemanduan semi-autonomous Level 2 – Intelligent Cruise Control, LKA

    Salah satu tarikan pada varian paling tinggi Proton X50, iaitu Flagship adalah Advanced Driving Assistance System (ADAS), di mana ia datang dengan pelbagai ciri keselamatan. Salah satu daripadanya malah tiada pada X70, iaitu Intelligent Cruise Control (ICC). Ciri ini adalah lebih maju berbanding Adaptive Cruise Control pada model yang lebih besar dan mahal itu.

    Sistem ini diklasifikasikan sebagai ciri pemanduan semi-autonomous Level 2, yang memberikan separa bantuan memecut, membrek dan kawalan stereng dalam keadaan tertentu. Ia juga digabungkan sekali dengan Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist dan Lane Keeping Assist, sekaligus membolehkan kenderaan itu mengekalkan jarak dengan kenderaan hadapan dan kekal dalam lorong, pada kelajuan sehingga 150 km/j.

    Ciri Adaptive Cruise Control dipertingkatkan lagi berbanding X70, dengan tambahan fungsi henti dan jalan, yang membenarkan X50 mengikut kenderaan di hadapan dan membrek sehingga berhenti. Jika ia berhenti tidak sampai tiga saat, kereta akan kembali jalan secara automatik tanpa input daripada pemandu tetapi apabila berhenti lebih daripada tempoh itu, kami jangkakan anda perlu menekan butang (atau tekan pedal minyak sedikit) kerana kebanyakan sistem lain seperti ini menggunakan cara sebegitu.

    Proton X50 Flagship dilengkapi pemanduan semi-autonomous Level 2 – Intelligent Cruise Control, LKA

    Fungsi baru lain pada Adaptive Cruise Control X50 adalah termasuk mod bantuan memotong yang akan memecut sebagai persediaan untuk memotong apabila pemandu mengaktifkan penunjuk arah, serta Curve Deceleration Control.

    Lane Centring Assist membantu mengekalkan kenderaan di dalam lorong. Seperti yang diberitahu awal tadi, ia cuma memberikan sedikit bantuan stereng, jadi pemandu masih perlu meletakkan tangan di stereng sepanjang masa. Sistem ini akan mengeluarkan bunyi serta mesej amaran sekiranya mengesan anda mengangkat tangan daripada stereng.

    Kami juga mahu menyatakan bahawa ICC cuma akan membantu pemanduan, jadi anda sepatutnya memberi perhatian penuh kepada jalan sepanjang masa. Sistem ini juga memerlukan kawalan daripada anda sendiri. Dalam kata lain, jangan jadikan sistem ini sebagai alasan untuk anda menggunakan telefon atau peranti lain ketika memandu.

    Proton X50 Flagship dilengkapi pemanduan semi-autonomous Level 2 – Intelligent Cruise Control, LKA

    Selain daripada fungsi ADAS, varian Flagship juga akan mendapat ciri seperti warna badan dua tona, lampu LED, rim 18 inci, sistem masuk tanpa kunci dengan pemula enjin kawalan jauh, pengawal pendingin hawa dua zon, tempat duduk pemandu larasan kuasa, tempat duduk balutan kulit, panel instrumen digital dan sistem infotainmen GKUI 19 dengan skrin sesentuh 10.25 inci.

    Ia juga akan digerakkan oleh enjin paling berkuasa iaitu unit tiga silinder 1.5 liter turbo suntikan terus yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan mampu menghasilkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Model lain akan menggunakan enjin port-injected, dengan kuasa 150 PS dan 226 Nm tork. Semua varian X50 adalah menggunakan pacuan dua roda hadapan.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • Proton X50 dilengkapi Bantuan Parkir Auto – untuk parkir kenderaan secara tegak, undur atau sisi

    Proton X50 dilengkapi Bantuan Parkir Auto – untuk parkir kenderaan secara tegak, undur atau sisi

    Dalam pra-tonton bersama pihak media baru-baru ini, Proton telah memaklumkan SUV X50 dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termasuk Bantuan Parkir Auto, di mana ia mengawal pendikitan, brek, stereng dan pemilihan gear untuk membantu pemandu memarkir SUV ini. Menurut Proton, sistem berkenaan akan menggerakkan kenderaan ke ruang parkir secara berserenjang (lurus/menegak), serta masuk/keluar kenderaan dari ruang parkir selari. Ini bermakna, pemandu cuma ‘membiarkan’ sistem tersebut melakukan tugas memarkir semasa secara tegak, undur atau sisi.

    Ia adalah sebahagian daripada Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) bagi varian Flagship bagi X50 yang juga ditawarkan dengan pemanduan semi-autonomous Tahap 2, dengan fungsi seperti brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, lampu tinggi auto dan pemantauan titik buta dengan amaran pintu terbuka.

    Varian tertinggi bagi SUV segmen-B itu juga menerima hamburan kuasa yang paling tinggi di antara barisan X50, iaitu mencecah 177 PS dan tork 255 Nm dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo suntikan bahan api terus (GDI). tiga-silinder. Sementara varian lain menerima enjin yang sama tapi menggunakan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI) dengan kuasa 150 PS dan 226 Nm.

    Kesemua varian tersebut dilengkapi dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan yang dibangunkan dengan kerjasama Volvo, yang turut dipadankan pada abang kepada X50 iaitu SUV X70.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • Proton X50: Perincian, pembaharuan, prestasi bagi enjin 1.5L turbo dan 7-DCT — 0-100 km/j dalam 7.9 saat

    Proton X50: Perincian, pembaharuan, prestasi bagi enjin 1.5L turbo dan 7-DCT — 0-100 km/j dalam 7.9 saat

    Dengan berlangsungnya sesi khas bersama media hari ini di Litar Sepang, maka makin banyaklah pengesahan dan maklumat baru yang bakal kita perolehi berkaitan SUV segmen B terbaru Proton X50 yang bakal dilancarkan tak lama lagi. Antara hal yang diberi perhatian dan pembaharuan oleh Proton ialah aspek pemanduan dan kendaliannya – ia menggunakan setup suspensi baru khusus untuk X50.

    Dan, bukan itu sahaja. Lebih banyak maklumat tentang sistem janaan kuasanya juga didedahkan. Sebelum ini, kita sudah mengetahui bahawa enjin 1.5L T dan 1.5L TGDi yang digunakan pada X50 secara keseluruhannya telah menjalani ujian mencecah 1.9 juta kilometer. Lebih daripada 40 kali ujian telah dijalankan di seluruh dunia, dan ia dibangunkan dengan usahasama antara Geely dan Volvo, serta telah digunakan di dalam hampir 550,000 unit kenderaan di seluruh dunia ketika ini.

    Seperti yang sudah diketahui sebelum ini juga, unit enjin tiga-silinder 1.5 T yang digunakan pada varian selain daripada Flagship bersesaran 1,477 cc, turbocas dengan suntikan minyak port (bukan suntikan terus) yang menghasilkan sebanyak 150 PS dan 226 Nm tork. Sementara itu, bagi varian Flagship menggunakan unit yang lebih berkuasa; 1.5L TGDi 1,477 cc, turbocas dengan suntikan terus, menghasilkan 177 PS dan 255 Nm tork – dengan pecutan 0-100 km/j bagi varian tertinggi ini dicapai dalam masa 7.9 saat.

    Proton X50: Perincian, pembaharuan, prestasi bagi enjin 1.5L turbo dan 7-DCT — 0-100 km/j dalam 7.9 saat

    Kedua-dua versi ini dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan. Menariknya, beberapa info terbaru mengenai kotak gear ini juga mula didedahkan. Proton mendakwa ia memberikan peralihan gear manual dan automatik yang terbaik – cepat, lancar dan cekap bagi setiap pertukaran gear. Menggunakan dua klac basah, kotak gear ini juga mempunyai kecekapan penukaran gear dan pemindahan kuasa maksimum sehingga 97%, dengan pendekatan shift-by-wire. Selain itu, terdapat tiga mod pemanduan disediakan: Normal, Eco dan Sport, serta satu lagi pilihan mod manual.

    Menurut Proton, ada lebih daripada 10 bahagian dalam enjin ini diperbaharui untuk memberikan NVH atau kesenyapan yang lebih baik. Antara komponen yang dimaksudkan ialah pam minyak bertekanan tinggi yang senyap, kepala silinder yang lebih keras, blok lebih keras, DMF dengan CPA yang memperbaiki kebisingan ketika mematikan enjin, talam minyak yang lebih keras untuk mengurangkan radiasi bunyi, penyuntik dengan rekaan anti-gegeran, OAD dan Silent Generator yang mengurangkan bunyi terhasil, rekaan VVT dengan bulatan bukan-normal yang menghapuskan resonan sistem timing serta penambahbaikan pada tali sawat itu sendiri.

    Proton X50: Perincian, pembaharuan, prestasi bagi enjin 1.5L turbo dan 7-DCT — 0-100 km/j dalam 7.9 saat

    Ada beberapa penambahbaikan lain turut dilakukan. Misalnya bagi aspek pengurusan haba enjin. Ia menggunakan kepala silinder dengan manifold ekzos bersepadu, begitu juga dengan pam air ringan bersepadu, serta kepala silinder dengan dua lapis “water jacket”. Geseran juga dikurangkan, antaranya dengan menggunakan bearing yang dioptimumkan pada con-rod utama serta gelung omboh “tensional-force” dengan lapisan pelindung baru. Tidak lupa ialah aspek kecekapan pembakaran enjin berkenaan, yang menggunakan high tumble intake port dan sistem pembakaran lebih cekap.

    Selain itu, bagi aspek penggunaan bahan api pula, X50 bagi varian Standard, Executive dan Premium dengan enjin Turbo MPI memberikan bacaa kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km (15.4 km/l), manakala model dengan enjin 1.5L TGDi pula mampu mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu 6.4 liter setiap 100 km (15.6 km/l).

    Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025