Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Supra versi kemaskini berkuasa 382 hp bakal dilancar di M’sia? UMW Toyota sudah siarkan teaser!

    Seperti biasa, setiap model berkuasa tinggi selain dari jenama-jenama Eropah, kita di Malaysia selalunya tidak berharap untuk sampai ke sini menerusi pengedar sah. Jadi ketika UMW Toyota secara rasmi melancarkan GR Supra tahun lalu, tak sampai setahun ia didedahkan di Amerika Syarikat, ramai merasakan ia sesuatu yang ‘ajaib’.

    Dan ini mungkin satu lagi keajaiban yang mungkin sekali lagi dibuat oleh UMW Toyota – mereka telah menyiarkan satu video teaser dengan tajuk ‘Supra Improvement’, adakah ini petanda Supra versi kemaskini akan di bawa untuk di jual di semua outlet GR Garage di Malaysia?

    GR Supra kemaskini yang dimaksudkan tersebut adalah model yang telah didedahkan di Amerika Syarikat pada Februari lalu. Selain diberikan berberapa tingkat taraf seperti skrin infotainmen lebih besar bersaiz 8.8-inci dan pilihan warna badan baharu, prestasi model berkenaan turut ditingkatkan.

    Toyota Supra versi kemaskini berkuasa 382 hp bakal dilancar di M’sia? UMW Toyota sudah siarkan <em>teaser</em>!

    Ia masih dijana oleh enjin B58 3.0 liter enam-silinder sebaris yang sama, tetapi telah diberikan talaan semula bagi menghasilkan 382 hp dan tork maksima 499 Nm, atau 47 hp lebih berkuasa dari versi asal. Bagi mengekstrak 14% kuasa lebih banyak ini, enjin tersebut telah diolah semula pada berberapa bahagian dan bukan sekadar talaan semula pada kotak komputer enjin.

    Toyota telah menggantikan set omboh asal dengan unit rekaan baharu yang mampu merendahkan nisbah mampatan dalam kebuk pembakaran dari 11:1 kepada 10.2:1, bagi meningkat boost dari pengecas turbo. Kemudian, manifold ekzos juga ditelah direka semula untuk melengkapkan sentuhan semula ini.

    Enjin tersebut masih dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF, membolehkan pecutan 0-60 bsj (96 km/h) dapat dicapai hanya dalam masa 3.9 saat, berbanding 4.1 saat pada versi sedia ada.

    Toyota Supra versi kemaskini berkuasa 382 hp bakal dilancar di M’sia? UMW Toyota sudah siarkan <em>teaser</em>!

    Model dengan enjin lebih berkuasa ini turut menerima talaan lebih baik pada casis. Ia kini diberikan pendakap aluminium hadapan baharu bagi meningkatkan ketegaran sisi, serta penyerap hentak yang ditala semula dan diberikan bump stop yang mendapat rekaan lebih baik.

    Sistem stereng berkuasa elektrik, sistem suspensi adaptif, kawalan kestabilan elektronik dan LSD aktif pada gandar belakang turut diprogramkan semula bagi dipadankan dengan sistem mekanikal yang mendapat komponen baharu, membolehkan Supra 2021 lebih stabil ketika berubah arah dalam kelajuan tinggi.

    Jika benar model kemaskini ini turut dilancarkan di Malaysia, nampaknya kewujudan GR Garage di Malaysia adalah sesuatu yang benar-benar serius. Jadi, adalah harapan kita dapat sekali hot-hatch Toyota GR Yaris sekali kan?

    GALERI: Toyota GR Supra 2021 pasaran Amerika Syarikat

    GALERI: Toyota GR Supra 2019 pasaran Malaysia

     
     
  • MotoGP siar siri dokumentari pasukan Petronas SRT

    MotoGP siar siri dokumentari pasukan Petronas SRT

    Sejak dunia ibarat terhenti seketika akibat daripada pandemik Covid 19 awal tahun ini, penganjur perlumbaan MotoGP, Dorna Sports telah menyiarkan pelbagai video melalui laman web mereka termasuklah siri yang memerlukan langganan sebelum ini diberikan percuma kepada orang ramai.

    Ia memberikan peluang kepada peminat sukan ini untuk menonton pelbagai aksi, tetapi bagi kita sebagai rakyat Malaysia, ada sesuatu yang lebih istimewa. Dorna juga menyiarkan satu siri dokumentari berkenaan pasukan Petronas SRT yang kini sudah memasuki episod keenam.

    Pasukan yang diketuai oleh Datuk Razlan Razali ini mula memasuki saingan Moto3 pada tahun 2015 diikuti Moto2 pada tahun 2017 dan akhirnya MotoGP pada tahun 2019. Barisan pelumba pula ada yang terdiri daripada pelumba tempatan dan ada juga pelumba dari negara lain.

    Siri dokumentari ini melihat keadaan dari pelbagai aspek bermula dari suasana perlumbaan, kerja teknikal, latar belakang pelumba serta dalam siri terbaru, fokus kepada siapa sebenarnya Razlan sendiri.

    Siri dokumentari ini juga menarik untuk ditonton kerana kita berpeluang untuk melihat bagaimana sebuah pasukan yang terlibat dalam semua kategori perlumbaan berprestij ini membuat keputusan penting seperti pemilihan tayar, bahagian teknikal lain, pemilihan pelumba dan bagaimana mereka mengatasi konflik.

    Selain laman rasmi MotoGP, anda juga boleh menonton siri dokumentari ini melalui Youtube, dan melalui bahagian komen rata-rata ramai yang berbangga bagaimana sebuah pasukan dari negara kecil seperti Malaysia boleh berjaya mencapai tahap seperti ini.

     
     
  • LEVC VN5 buat penampilan — van EV Black Cab, jarak elektrik hingga 484 km, ruang karga seluas 5,500 liter

    LEVC VN5 buat penampilan — van EV Black Cab, jarak elektrik hingga 484 km, ruang karga seluas 5,500 liter

    London Electric Vehicle Company (LEVC) telah memperkenalkan model van komersial elektrik VN5 terbaru. Model berkenaan kini menyertai teksi TX dan kenderaan perantara lain yang ada dalam barisan model keluarannya. Syarikat itu, yang sebelum ini dikenali sebagai The London Taxi Corporation merupakan anak syarikat Zhejiang Geely Holding.

    VN5 diasaskan daripada model TX, tetapi diberikan badan lain untuk disesuaikan dengan kerja-kerja lebih pelbagai. Perubahan yang dibuat termasuk menggantikan “suicide door” di belakang kepada pintu gelongsor untuk memudahkan bawa barangan. Pintu belakang pula dibuka dengan nisbah 60:40 untuk praktikaliti memunggah kargo.

    VN5 mempunyai kapasiti kargo 5.5 kubik meter (5,500 liter), satu saiz yang memadai untuk memuatkan beban seberat 830 kg. Radius pusingan van ini juga antara yang terbaik dengan 10.1 meter. Ruang kargo juga boleh disesuaikan dengan keperluan perniagaan yang berbeza-beza.

    LEVC VN5 buat penampilan — van EV Black Cab, jarak elektrik hingga 484 km, ruang karga seluas 5,500 liter

    Dari sudut penggayaan, VN5 nampak sama seperti TX, luar dan dalam. VN5 menggunakan sistem janaan yang juga sama, terdiri daripada motor elektrik (150 PS), bateri lihtium-ion 31 kWh dan enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder. Enjin ini tidak tersambung pada mana-mana pacuan roda, melainkan bertindak hanya sebagai “range extender” sekiranya bateri lemah. Jarak perjalanan EV yang mampu dicapai ialah 93 km, atau 484 km dengan eCity “range extender” dengan bantuan tangki petrol 36-liter.

    Untuk mengecas bateri, pengecas AC 11 kW melalui port pengecas Type 2/CCS boleh digunakan. Selain itu, pengecas DC sehingga 50 kW menggunakan sambungan CHAdeMO juga boleh digunakan. Kedua-duanya datang standard dengan varian Business dan City, sebaliknya versi Ultima diberikan pengecasan AC pantas hingga 22 kW.

    Menurut syarikat itu, dengan stesen pengecas 50 kW, pengecasan sifar ke 100% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Ia juga disifatkan dapat menjimatkan kos, dengan satu cas penuh hanya menelan kos dua pound British (RM10.79). Tambahan pula VN5 dikecualikan daripada caj ULEZ di London yang menelan kos 12.50 pound British (RM67.45) sehari.

    LEVC VN5 buat penampilan — van EV Black Cab, jarak elektrik hingga 484 km, ruang karga seluas 5,500 liter

    Model ini datang dengn jaminan kilang selama lima-tahun/241,402 km, sementara bateri dilindungi sehingga lapan-tahun/241,402 km. Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan tempoh kedua-dua jaminan itu kepada enam-tahun/321,869 km untuk kenderaan dan lapan-tahun/321,869 km untuk bateri.

    Harga bagi VN5 ini bermula dari 46,500 pound British (RM250,686) bagi varian Business, 48,000 pound British (RM258,773) bagi City dan 52,000 pound British (RM280,232) bagi Ultima. Bagi aspek keselamatan, VN5 dilengkapi antaranya dengan beg udara depan, sistem pemantauan tekanan tayar, ESC, ABS, brek kecemasan autonomous dan amaran perlanggaran hadapan.

     
     
  • Honda bekerjasama dengan CATL untuk bateri EV

    Honda bekerjasama dengan CATL untuk bateri EV

    Honda dan Contemporary Amperex Technology Co Limited (CATL) telah menandatangani perjanjian untuk pakatan strategik komprehensif bagi pembuatan bateri kenderaan tenaga baharu (NEV, terma di China bagi EV dan PHEV). Ini untuk memperkukuhkan kerjasama strategik mereka dan mempopularkan kenderaan elektrik.

    Perjanjian ini membolehkan kedua-dua syarikat untuk memulakan perbincangan dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan kerjasama, bekalan yang stabil dan kitar semula serta penggunaan semula bateri.

    Perjanjian ini merangkumi syarat Honda untuk memperoleh kira-kira 1% saham CATL yang disenaraikan di Shenzhen, yang menjadikan pembuat kereta ini sebagai “rakan strategik utama CATL”. Ini juga akan membolehkan Honda mendapatkan bekalan bateri yang stabil dengan adanya daya saing produk dan kos yang lebih kompetitif, ujar syarikat berkenaan.

    Model pertama Honda yang bakal dilengkapi bateri CATL dijadualkan akan dilancarkan di China pada tahun 2022. Pakatan ini juga akan diperluaskan ke peringkat global pada masa hadapan, menurut kedua-dua pihak terbabit. Sebagai tambahan, Honda dan pengeluar bateri lithium-ion berpangkalan di Ningde akan mengendalikan pembangunan usahasama untuk bateri NEV dna menyertai R&D bagi teknologi asas untuk masa hadapan.

    “Honda merupakan pemain utama dalam elektrifikasi global. Menerusi kerjasama strategik ini, CATL dan Honda akan menjalinkan perkongsian global yang kukuh dan akhirnya akan mencapai gaya mobiliti yang diperlukan,” ujar presiden CATL Zhou Jia.

    “Pakatan ini membolehkan Honda untuk memperkukuhkan kerjasama dengan CATL. Oleh kerana kepantasan elektrifikasi kian meningkat, CATL akan menjadi rakan kongsi yang bakal memberikan kekuatan baharu kepada Honda, dan kami percaya bahawa pakatan jangka panjang ini akan membolehkan Honda meningkatkan lagi daya saing produk elektrik kami. Honda akan meneruskan cabaran untuk menawarkan keceriaan dan kebebasan mobiliti serta mewujudkan masyarakat yang mampan,” kata Toshihiro Mibe, pegawai kanan eksekutif Honda dan eksekutif yang bertanggungjawab di monozukuri.
     

     
     
  • Audi RS kekal dengan quattro, tiada pilihan RWD

    Audi RS kekal dengan quattro, tiada pilihan RWD

    Walaupun Audi R8 V10 RWD kembali, namun Audi Sport mengesahkan tiada perancangan untuk mengembangkan pilihan pacuan roda-belakang bagi keseluruhan lain-lain model. Perbincangan mengenai kemungkinan model RWD Audi ini pertama kali diperkatakan selepas penamaan semula Audi Quattro menjadi Audi Sport pada tahun 2016, walau bagaimana pun, ketua pemasaran dan jualan syarikat Rolf Michl berkata, “quattro adalah sebahagian dari warisan kami.”

    Menurut Autocar, penukaran ke konfigurasi pacuan roda-belakang akan dapat mengurangkan emisi untuk barisan Audi Sport dan membantu syarikat menepati standard emisi yang ketat. Audi telah pun mengimplementasikan sistem mild-hybrid untuk modelnya bagi mengurangkan emisi, tetapi masih dengan keputusan quattro AWD harus dikekalkan.

    “Kami menggunakan pacuan roda-belakang pada model terkini R8. Tetapi kebiasaannya, quattro menjadi sebahagian daripada warisan kami. Ia selamat, tangkas dan miliki pemanduan yang lebih kompetitif. Saya tidak mendengar sebarang pandangan yang berbeza (dari orang lain) mengenai perkara ini, walau dengan versi elektrifikasi pada masa akan datang. Kami masih kekal dengan pendekatan kami, quattro menjadi bahagian terbesar bagi model RS,” tambahnya.

    Audi RS kekal dengan quattro, tiada pilihan RWD

    Mengenai model generasi akan datang R8 yang bakal ada hibrid, atau elektrik sepenuhnya, MIchl berkata, “RS merupakan salah satu model paling penting dalam portfolio kami dan untuk keseluruhan jenama Audi. Ia adalah pembentuk jenama yang sebenar. Audi Sport begitu komited terhadap R8, dan kami akan melakukan apa saja untuk membuat model konsep pada masa hadapan.”

    Tambahnya lagi, “R8 berkongsi banyak perkara dengan jentea lumba, yang membuktikan kompetitif kereta berkenaan dan komitmen yang jelas, tetapi bagi menyesuaikan dengan pengharapan pada masa hadapan, mendorong keputusan yang agak rumit.”

    Buat masa ini, dikatakan R8 akan datang adalah model elektrik sepenuhnya, menjadi model elektrik kedua bagi Audi Sport yang akan diperkenalkan selepas e-tron GT RS. Di mana GT akan diperkenalkan dalam tempoh 12 bulan yang akan datang.

     
     
  • Sistem pendingin hawa Bugatti rekaan jurutera wanita ini pastikan anda kekal sejuk dalam kelajuan 400 km/j

    Sistem pendingin hawa Bugatti rekaan jurutera wanita ini pastikan anda kekal sejuk dalam kelajuan 400 km/j

    Hypercar moden bukan lagi dihasilkan seperti supercar hardcore era 80’an dan 90’an dahulu. Jika pada zaman berkenaan kereta sebegini bukan semua orang boleh memandunya kerana ia tidak selesa, sukar dikendali dan hanya tertumpu pada kelajuan semata-mata, hypercar zaman kini dihasilkan agar ia boleh dipandu setiap hari tanpa masalah.

    Jadi bukan hanya penawaran kotak gear automatik diberikan pada model-model hypercar moden, malah ciri mewah dan keselesaan lain seperti sistem pendingin hawa turut dititik beratkan. Cabaran untuk menghasilkan sistem untuk kereta sebegini tidak hanya perlu memastikan ia berfungsi pada kelajuan tinggi, malah ia turut perlu berfungsi dengan cukup senyap seakan kereta mewah sebenar.

    Untuk kereta yang telahpun mencatatkan kelajuan maksima lebih dari 490 km/j pada tahun lalu, Bugatti Chiron, sistem pendingin hawa model ini sebenarnya telah dihasilkan oleh seorang jurutera wanita iaitu Julia Lemke yang berasal dari Jerman.

    Lemke telah pun mula masuk industri automotif sejak tahun 2013, dan berkhidmat dengan Bugatti empat tahun kebelakangan ini. Dia bukan sahaja bertanggungjawab pada rekaan sistem pendingin hawa untuk Chiron, malah turut menghasilkan sistem untuk Bugatti Divo.

    “Chiron, Divo dan model paling ekstrm Chiron Pur Sport adalah kereta yang mudah dan selesa untuk dipandu bagi kegunaan setiap hari – ia boleh dikendalikan dengan mudah. Malah pemandu yang tidak berpengalaman pun dapat mengendalikan Bugatti walaupun memandunya buat kali pertama,” kata Lemke.

    Sistem pendingin hawa Bugatti rekaan jurutera wanita ini pastikan anda kekal sejuk dalam kelajuan 400 km/j

    Menghasilkan sistem pendingin hawa untuk hypercar mewah ini tidak sama seperti sistem pada kereta penumpang biasa. Pertamanya, Julia perlu memastikan sistem ini beroperasi dengan cukup senyap. “Sistem pendingin hawa berfungsi pada tahap terbaik ketika penumpang tidak sedar ia sedang berfungsi. kami perlu memastikan tiada sebarang gangguan atau bunyi – hanya ini yang akan membuatkan anda selesa,” jelas Lemke.

    Untuk menghasilkan sistem sebegini, Chiron dilengkapkan dengan dua buah unit condensor pada sistem pendingin hawanya. Secara keseluruhan, sistem pendingin hawa untuk kereta dengan enjin yang besar pada bahagian tengah ini memerlukan litar sekitar 9.5 meter.

    Kemudian, Julia Lemke juga perlu memastikan sistem ini tidak bermasalah untuk berfungsi pada kelajuan melebihi 400 km/j – rekaan badan yang dihasilkan untuk kelajuan yang tinggi ini sebenarnya akan membuatkan kabin kereta menjadi lebih panas dari biasa.

    Mengapa? Pertama sekali dari segi rekaan Chiron perlu dihasilkan dengan bentuk yang mengikut garis arus aliran udara. Ini memerlukan ia dilengkapi cermin hadapan rata dengan sudut condong hanya 21.5 darjah, menyebabkan bahagian permukaan cermin tersebut menjadi besar kepada 1.31 persegi.

    Sebagai perbandingan, kereta penumpang biasa hanya mempunyai cermin hadapan dengan keluasan permukaan 0.7 meter persegi dan sudut condong sekitar 30 darjah. Jadi dengan cermin hadapan lebih luas menyebabkan kabin Chiron yang terdedah pada cahaya matahari akan menjadi panas dengan lebih cepat. Dan ia akan menjadi lebih sukar sekiranya pembeli memilih opsyen bumbung kaca Sky View Bugatti.

    Sistem pendingin hawa Bugatti rekaan jurutera wanita ini pastikan anda kekal sejuk dalam kelajuan 400 km/j

    Menurut Bugatti, sistem penghawa dingin rekaan Lemke ini diberikan pemampat dengan kapasiti menyejukkan sehingga 10 kW (13 hp), dan ia sebenarnya mampu menyejukkan sebuah apartmen di Eropah dengan keluasa 80 meter persegi. Ia boleh memampatkan kira-kira 3 kg cecair penyejuk dalam masa seminit dan boleh dimampatkan dengan tekanan bermula sekitar 2 bar sehingga 30 bar.

    Apa yang lebih mencabar, pemampat sistem ini perlu berada dalam ruang enjin yang lebih panas dari kereta biasa. Julia juga perlu memastikan sistem dalam litar berkenaan berfungsi dengan seimbang bagi meminimakan penggunaan bahan penyejuk dan penggunaan tenaga.

    Bagi memastikan sistem ini berfungsi dengan baik pada setiap kelajuan dan keadaan cuaca, setiap ujian dalam proses pembangunannya akan dilakukan sendiri oleh Lemke dengan memandu sendiri kereta berkenaan.

    “Lebih dalam saya terlibat sebagai jurutera, membuatkan saya lebih mengagumi apa yang dicapai secara keseluruhan dalam pembangunan kereta ini. Kuasa yang begitu besar dihasilkan oleh enjin W16 dan juga kelajuan yang luar biasa adalah unik – ini yang membuatkan sistem yang sangat kompleks ini lain dari yang lain,” katanya lagi.

     
     
  • Kia Grand Carnival 2021 – bahagian dalam didedah

    Kia Grand Carnival 2021 – bahagian dalam didedah

    Tidak lama lagi Kia akan melancarkan Grand Carnival generasi keempat dan bagi membina minat terhadapnya, sedikit demi sedikit informasi berkenaan MPV tersebut didedah. Bulan lepas, bahagian luar kenderaan telah ditunjuk, dan kali ini bahagian dalam pula didedah.

    Memang banyak yang berubah jika dibandingkan dengan model sebelumnya. Terdapat dua skrin 12.3 inci di atas papan pemuka dengan satu adalah untuk instrumen manakala satu lagi untuk infotainmen. Di bawah corong pendingin hawa terdapat butang yang sensitif kepada sentuhan untuk kawalan sistem audio serta pendingin hawa.

    Grand Carnival baru ini juga mendapat pemilih gear jenis tombol seperti Sorento baru dan ia juga mirip seperti unit yang digunakan oleh Jaguar dan Land Rover. Tambah Kia, MPV ini akan mengekalkan pilihan tempat duduk untuk tujuh, sembilan dan 11 orang, dan disebabkan dimensi yang lebih besar, ruang dalaman juga akan bertambah luas.

    Secara spesifik, Grand Carnival baru ini lebih panjang 40 mm menjadi 5,155 mm manakala jarak roda pula bertambah 30 mm menjadi 3,090 mm. Dengan perubahan ini, Kia memberitahu ruang kaki tempat duduk baris ketiga menjadi lebih baik dan ia menyediakan ruang barangan yang terbaik dalam kelasnya.

    Model tujuh tempat duduk Grand Carnival baru akan datang dengan tempat duduk kapten yang mempunyai penyandar boleh laras, perehat tangan dan Ottoman. Ia juga akan dilengkapi dengan soket pengecas USB pada tempat duduk baris kedua, jaring penyimpan barang untuk peranti mudah alih dan laci untuk khas untuk komputer riba atau tablet di konsol belakang.

    Perincian lain termasuklah mekanikal dan pilihan enjin untuk Grand Carnival ini masih belum diberitahu dan pelancarannya cuma akan berlaku pada separuh kedua tahun ini.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R dilancar di Indonesia – dua versi, kuasa 51 PS dan 22.9 Nm, harga bermula RM28k

    Kawasaki ZX-25R dilancar di Indonesia – dua versi, kuasa 51 PS dan 22.9 Nm, harga bermula RM28k

    Setelah penungguan yang dirasakan agak lama-lama dengan banyak sekali teaser-teaser pendek, Kawasaki ZX-25R akhirnya dilancarkan buat pertama kali untuk pasaran iaitu di Indonesia. Ada dua versi yang disediakan, iaitu Standard (warna hitam sahaja) dan SE (pilihan warna hijau, biru dan putih), dengan harga masing-masing adalah 96 juta rupiah (RM28,427) dan 112.9 juta rupiah (RM33,431).

    Selain warna, versi SE bagi ZX-25R ini mempunyai kelebihan pada bahagian kelengkapan di mana ia datang dengan brek ABS, quickshifter untuk naik dan turun gear (berfungsi pada rpm atas 2,500), penutup tempat duduk belakang, cermin penghadang angin hadapan smoked, pelindung badan (frame slider) serta jalur pelekat pada rim.

    Sejak pertama kali muncul di Tokyo Motor Show, spesifikasi asas ZX-25R telah didedah, di mana ia menggunakan enjin empat silinder empat strok 249.8 cc DOHC penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 51 PS pada 15,500 rpm (dengan ram air) dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm. Laju maksimum yang diberitahu adalah 197 km/j. Pada bahagian transmisi, model ini menggunakan unit enam kelajuan bersama klac jenis assist and slipper.

    Walaupun cuma adalah model 250 cc, ZX-25R didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Sebagai keselamatan, kunci motosikal ini juga datang dengan sistem immobilizer.

    ZX-25R dibangunkan atas kerangka trellis serba baru untuk menjamin tunggangan sporty seperti siri sports bike ZX-6R dan ZX-10R, manakala brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang. Untuk pasaran Indonesia ini, tayar yang diberikan adalah Dunlop GPR300 bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Perincian lain untuk ZX-25R adalah suspensi USD SFF-BP 37 mm tanpa pelarasan di hadapan, monoshock Horizontal Back-link dengan pelarasan pra beban di belakang, berat keseluruhan 182 kg, tangki bahan api 15 liter, jarak roda 1,380 mm dan jarak dari tanah 125 mm.

    Semasa pelancaran di atas talian untuk pasaran Indonesia ini, pihak pengurusan Kawasaki telah memberitahu bahagian tempahan sudah dibuka dan penghantaran akan bermula pada bulan Ogos tahun ini. Versi yang diubah suai dengan panel badan gentian karbon serta pelbagai aksesori lain yang pernah dilihat sebelum ini pula tidak dijual, sebaliknya digunakan untuk memberi inspirasi kepada orang ramai.

    Jika mahu dilihat sebagai perbandingan, Ninja 250 biasa dijual pada harga bermula 64.1 juta rupiah (RM18,981) sekaligus menjadikan beza harganya dengan ZX-25R sebanyak sekitar RM10k.

    GALERI: Kawasaki ZX-25R di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Nissan Ariya ditunjuk sedikit sebelum dilancarkan

    Nissan telah mula menunjukkan iklan acah bagi model Ariya terbaru, sebelum pelancaran rasminya yang akan dilakukan minggu ini, menunjukkan sedikit penampilan crossover elektrik itu. Versi konsep EV ini pertama kali dipamerkan ketika Tokyo Motor Show tahun lalu.

    Dua video ringkas ini memberi petunjuk kepada aspek rekaan yang pernah dilihat pada kenderaan Nissan sebelum ini, termasuk logonya yang pernah ditunjukkan pada model konsep sebelum ini. Warna dan kemasan cat yang tampil sebelum ini juga dikekalkan, sementara slot pengecas terletak di sebelah kanan badan kenderaan.

    Lampu utama LED diberikan pembaharuan, secara keseluruhannya ia kekal sama seperti yang pernah ada pada model konsep, dengan pencahayaan empat elemen serta elemen palang yang menempatkan gril V-motion moden. Bahagian belakang juga datang dengan jalur cahaya antara lampunya, walaupun tanpa kesan 3D seperti pada model konsep.

    Di belakang, kelihatan untuk pertama kali ialah lencana e-4ORCE, yang mencadangkan sistem janaan kuasa dua motor yang ada pada Ariya. Nissan terlebih dahulu pernah mempamerkan sistem berkenaan tahun ini ketika acara Consumer Electronics Show (CES) melalui unit pembangunan Leaf.

    Tak banyak yang boleh diperkatakan tentang ruang dalamannya, melainkan butang kawalan tingkap sebelah pemandu yang dapat dilihat. Ini juga tidak jauh daripada model konsepnya. Perincian lanjut akan didedahkan sebaik Ariya diperkenalkan secara rasmi dalam minggu ini.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia tingkatkan imej terkini bagi pusat 3S Melaka dengan menampilkan identiti visual baru

    Mitsubishi Malaysia tingkatkan imej terkini bagi pusat 3S Melaka dengan menampilkan identiti visual baru

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun memperkenalkan identiti visual (VI) baharu bagi pusat 3S jenama berkenaan dan pengedar bertauliah Sing Kwung Jidosha menjadi bilik pameran pertama di Melaka yang ditampilkan dengan imej baharu tersebut. Pusat 3S berkenana terletak di 2B, Jalan IMJ1, Taman Industri Malim Jaya.

    Dengan peningkatan yang dilaksanakan di pusat 3S ini, kini sudah ada 20 bilik pameran Mitsubishi di seluruh negara yang telah ditampilkan dengan VI baharu. Sehingga kini, jenama ini telah pun mempunyai sekitar 50 bilik pameran (45 daripadanya adalah pusat 3S) dan 51 pusat servis di seluruh Malaysia. Bagi Malaysia Timur pula, MMM mempunyai 14 bilik pameran, iaitu tujuh di Sarawak dan tujuh di Sabah.

    “Dengan peningkatan imej jenama, ia mewakili komitmen kami dalam memberikan keutamaan buat para pelanggan, dengan memberikan pengalaman yang bermakna bila mereka berkunjung ke bilik pameran kami, dengan suasana yang lebih selesa,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO of MMM.

    Mitsubishi Malaysia tingkatkan imej terkini bagi pusat 3S Melaka dengan menampilkan identiti visual baru

    “Dengan kedudukan Triton di tangga pertama dalam segmen trak pikap di Melaka yang menguasai 37% perkongsian pasaran untuk tahun kewangan 2019 (April 2019 hingga Mac 2020) dan pencapaian di tangga pertama dalam carta JD Power 3019 bagi Indeks Perkhidmatan Pelanggan Malaysia (CSI), kami ingin memberikan perkhidmatan terbaik untuk semua pelanggan kami,” tambahnya lagi.

    Dibina dalam kawasan seluas 10,000 kaki persegi, pusat 3S Sing Kwung Jidosha yang diberikan nafas baharu ini turut menempatkan lounge yang lebih selesa untuk pelanggan dengan kemudahan WiFi serta ruang pameran yang mampu menempatkan empat unit kenderaan. Ia turut dilengkapi bengkel penyelenggaraan yang mampu menyelenggara sehingga lima kereta sehari dengan ruang penyimpanan alat ganti dan fasiliti badan dan mengecat.

    Pemacu jualan bagi Mitsubishi buat setakat ini ialah trak pikap Triton. Dengan peningkatan terkini pada hujung tahun lalu bersama wajah Dynamic Shield, terdapat lima varian ditawarkan – MT, AT, MT Premium, AT Premium dan Adventure X, yang berharga dari RM100,200 hingga RM137,900. Kesemua varian menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu 2.4L MIVEC turbodiesel 181 PS/430 Nm, dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

     
     
  • Warisan sejarah Proton Motorsports – patutkah ia dipandang ringan tanpa diwujudkan satu galeri khas?

    Warisan sejarah Proton Motorsports – patutkah ia dipandang ringan tanpa diwujudkan satu galeri khas?

    Sebagai peminat sukan permotoran, saya bukan sahaja berminat terhadap teknologi terkini, malah nerd seperti saya juga sangat berminat dengan warisan sejarah sukan permotoran satu-satu pasukan atau sesuatu jenama. Sejarah-sejarah dalam sukan permotoran ini tidak boleh dianggap enteng, kerana apa yang diceritakan akan menjadi imej sesuatu jenama itu pada masa hadapan.

    Kita tengok sahaja apa yang Subaru buat – dari sebuah jenama yang membangunkan sistem pacuan empat roda sinonim dengan kegunaan petani pada era 70’an, kini mereka ‘melekat’ dengan imej sistem AWD yang dihasilkan menerusi kejuaraan rali dunia setelah apa yang ditempa dalam WRC pada era 90’an, walaupun kini sudah menarik diri lebih 10 tahun dari perlumbaan berkenaan.

    Proton apa kurangnya, jenama automotif nasional kita ini pernah menjadi gergasi perlumbaan rali dalam rantau Asia Pasifik, malah kita pernah melahirkan juara dunia dalam WRC! Faktanya, selain dari memiliki Lotus, apa yang telah diusahakan oleh divisi sukan permotoran Proton ini, tidak kira dari pasukan Petronas Eon Racing Team (PERT) terdahulu mahupun oleh pasukan Proton R3 sekarang adalah antara penyumbang mengapa orang awam sentiasa mengganggap Proton sangat boleh dipercayai dalam aspek pengendalian yang mantap.

    Malah pihak Geely Motorsport sendiri mengakui Proton adalah salah satu jenama dalam kumpulan automotif tersebut sebagai jenama yang paling banyak warisan sejarah berkenaan sukan permotoran.

    Pada saya sendiri, pasukan PERT telahpun mewarnai zaman kanak-kanak sehingga remaja dalam memupuk rasa bangga terhadap jenama dan bakat tempatan, sekaligus menaikkan rasa patriotik serta menanamkan satu kepercayaan bahawa orang kita mampu melakukan sesuatu yang sama dibuat oleh orang Jepun dan Eropah sekiranya diberikan peluang yang sepatutnya, dibuktikan apa yang telah dicapai oleh PERT dan Proton R3.

    Namun, apa yang sedikit mengecewakan, dokumentasi-dokumentasi dan bahan-bahan muzium serta arkib berkaitan kejayaan Proton dalam lapangan ini agak lemah, dan sukar untuk kita menceritakan kepada generasi baharu bagaimana kehebatan orang kita seperti Karamjit Singh yang berjaya menjadi juara PWRC dalam percubaan pertamanya, serta bergelar juara APRC pada tahun yang sama.

    Ya, memang di Pusat Kecermalangan Proton ada satu sudut yang menayang berberapa kereta lumba Proton seperti Satria Neo S2000, Proton Waja Evo yang menjuarai perlumbaan Merdeka Millennium Endurance. Tapi bagaimana kita nak bercerita kejayaan yang menggegarkan dunia yang pernah dicapai oleh Karamjit Singh dan krew-krew lain termasuk bos Proton PERT ketika itu Datuk Abdul Razak Dawood tanpa kehadiran jentera-jentera PERT yang lain?

    Dan satu lagi perkara yang agak mendukacitakan, sebahagian kecil jentera-jentera bersejarah termasuk sebuah Proton PERT Evo VI, Proton Waja Evo dan juga Proton PERT Wira Turbo yang disimpan di tempat letak kereta berhadapan Garaj Warisan Proton (boleh dilihat jika anda melalui hadapan kilang Proton di Hicom Shah Alam) mungkin akan dilupuskan.

    Warisan sejarah Proton Motorsports – patutkah ia dipandang ringan tanpa diwujudkan satu galeri khas?

    Kereta-kereta tersebut sebelum ini diletakkan di ibu pejabat EON yang terletak di Glenmarie, kemudian dipindahkan dan terbiar dalam masa yang agak lama di mana ia ditempatkan sekarang. Dan menurut sumber-sumber yang dipercayai, kereta-kereta berkenaan telah pun dialihkan ke tempat yang tidak diketahui, dan mungkin akan dilupuskan tidak lama lagi.

    Antara tiga kereta tersebut, Proton PERT Evo VI dengan nombor pendaftaran ‘Proton 1880’ adalah jentera yang agak mendukacitakan peminat sekiranya ia dilupuskan. Kereta tersebut adalah kerangka yang belum sempat untuk berlumba, dan ia adalah satu contoh yang paling baik bagi menceritakan apa yang telah dicapai oleh Proton PERT diperingkat dunia.

    Untuk pengetahuan anda, jentera Proton PERT Evo VI sebenar yang dipandu Karamjit Singh dalam WRC (dengan nombor pendaftaran WU02 XFB), termasuk di Rally Safari 2002 sekarang dimiliki individu persendirian di UK – mujur pemilik tersebut sangat menghargai nilai sejarah kereta berkenaan dan masih mengenakan livery badan pasukan Proton PERT.

    Kerangka dengan nombor pendaftaran ‘Proton 1880’ tersebut mungkin satu-satunya jentera rali Evo VI yang masih dimiliki oleh Proton, dan mendengar ia mungkin akan dilupuskan agak mengguris perasaan peminatnya.

    Dua lagi jentera rali yang terbiar tersebut juga tidak kurang hebatnya. Proton Wira dengan enjin 4G63T dan sistem 4WD dari Lancer Evo berkenaan merupakan jentera yang telah memenangi Rally Ng Pilipinas di Filipina selama tiga tahun berturut-turut – 1995, 1996 dan 1997.

    Manakala Waja berkenaan pula adalah antara jentera rali terawal yang dihasilkan selepas era Proton berdiri sendiri tanpa kerjasama Mitsubishi, sebelum wujudnya Satria Neo S2000. Waja yang pernah dipandu oleh Karamjit Singh ini dijana oleh enjin dan sistem 4WD dari Mitsubishi Lancer Evo IV.

    Saya mengimpikan agar ada usaha dari Proton untuk menghimpunkan kesemua jentera-jentera lumba lagenda bermula dari era Saga generasi pertama termasuk ‘rasaksa’ Proton Iswara Group S, barisan Wira turbo, NA, pacuan 2WD dan 4WD, prototaip Proton Putra WRC, Satria Neo S2000 dan Iriz R5 sehinggalah ke jentera-jentera Proton R3 yang mendominasi litar Sepang dan Kejuaraan Rali Malaysia (MRC) dalam satu galeri.

    Saya percaya, ramai lagi diluar sana terutamanya peminat Proton Motorsports mengharapkan galeri sebegini bukan? Lagipun ini bukan sesuatu yang asing dalam pengeluar automotif, malah jenama dari Jepun seperti Nissan, Toyota dan Honda sangat berbangga untuk menunjukkan apa yang telah dikecapi mereka dalam muzium yang bersaiz besar!

     
     
  • Vespa Sprint dan GTS Racing Sixties tiba di Malaysia – gaya inspirasi perlumbaan, harga RM19k dan RM31k

    Vespa Sprint dan GTS Racing Sixties tiba di Malaysia – gaya inspirasi perlumbaan, harga RM19k dan RM31k

    Pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd telah melancarkan siri istimewa Racing Sixties untuk model Sprint 150 dan GTS 300 HPE dengan harga masing-masing RM19,100 dan RM31,400 termasuk sekali dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Model siri Racing Sixties ini mengenakan ubah suai sporty hasil inspirasi daripada perlumbaan Gentleman Riders tahun 60-an, di mana Vespa juga dipilih sebagai jentera oleh pelumba. Selain kehebatan berlumba, perlumbaan ini juga mendapat perhatian kerana jentera dihias dengan penampilan yang unik dan menyerlah.

    Ada dua warna yang ditawarkan untuk setiap model Racing Sixties moden ini iaitu hijau dan putih, dan masing-masing dihias lagi dengan grafik kuning dan merah. Rim diwarnakan emas manakala bahagian seperti tuil brek, pemegang belakang, pelindung ekzos, kemasan keliling lampu, peletak kaki dan cermin sisi yang biasanya berwarna krom diganti dengan warna hitam matte.

    Melengkapkan penampilan keseluruhan model Racing Sixties ini adalah tempat duduk baru yang dibalut dengan kulit nubuck dan disalut dengan PVC untuk menjadikannya tahan cuaca, serta lencana Racing Series berhampiran kotak letak barangan.

    Spesifikasi teknikal Sprint Racing Sixties masih sama seperti Sprint 150 yang berada dalam pasaran sekarang, iaitu menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 154.8 cc i-GET 12.7 hp dan 12.8 Nm manakala GTS Racing Sixties pula menjadi model pertama yang tiba di Malaysia dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 278 cc HPE baru yang mampu menghasilkan kuasa 22.8 hp dan 26 Nm tork.

    Enjin ini lebih berkuasa berbanding enjin model GTS yang berada dalam pasaran Malaysia sekarang, sementara model GTS biasa (bukan Racing Series) dengan enjin HPE akan dilancarkan tidak lama lagi untuk pasaran Malaysia.

    GALERI: Vespa Sprint Racing Series

    GALERI: Vespa GTS Racing Series

     
     
  • Penunggang motosikal catat kemalangan maut tertinggi di Sarawak bagi 6 bulan pertama 2020

    Penunggang motosikal catat kemalangan maut tertinggi di Sarawak bagi 6 bulan pertama 2020

    Penunggang motosikal direkodkan sebagai mangsa kemalangan maut tertinggi di Sarawak bagi enam bulan pertama 2020 iaitu melibatkan sejumlah 70 kes daripada 7,423 keseluruhan kes kemalangan di negeri berkenaan.

    Walau bagaimana pun, menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 3,147 kes, berbanding 10,570 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu. Penurunan kes tersebut disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyumbang berkurangnya jumlah pengguna di jalan raya.

    “Sebanyak 145 kes kematian membabitkan kemalangan pelbagai kenderaan dalam tempoh yang sama. Daripada jumlah itu penunggang motosikal mencatat kematian tertinggi dengan 70 kes.

    “Memandu laju dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas adalah faktor utama yang menyebabkan kemalangan jalan raya. Sebanyak 52 kes dari Januari hingga Jun tahun ini berpunca daripada pemanduan laju dan kecuaian pemandu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Tambah beliau lagi, faktor lain yang menyebabkan kemalangan jalan raya ialah memotong jalan dan melanggar lampu isyarat (25 kes), kenderaan yang keluar dari simpang jalan (17 kes), melanggar lampu jalan atau pembahagi jalan sebanyak (14 kes) dan melanggar pejalan kaki (10 kes).

    “Kegagalan mematuhi peraturan jalan raya bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi juga nyawa orang lain. Jika pengguna jalan raya di Sarawak tidak mengubah sikap mereka di dalam cara memandu maka jumlah kemalangan yang mengakibatkan kematian pasti akan terus meningkat,” katanya.

     
     
  • Harga minyak 11-17 Julai- Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga 7 sen, diesel pula naik sebanyak 3 sen

    Harga minyak 11-17 Julai- Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga 7 sen, diesel pula naik sebanyak 3 sen

    Kelegaan bila harga runcit ketiga-tiga bahan api utama turun hanya kekal dalam tempoh seminggu sahaja. Ini kerana minggu bertarikh 11 hingga 17 Julai 2020, Kementerian Kewangan melaporkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama tersebut dilaporkan kembali meningkat.

    Bagi petrol, ia dilaporkan naik sehingga 7 sen seliter, di mana harga runcit bagi RON 97 kini menjadi RM2.02 seliter, berbanding RM1.95 seliter pada minggu sebelum itu. Manakala harga untuk RON 95 pula, daripada RM1.65 seliter, menjadi RM1.72 seliter.

    Untuk diesel, harga bagi gred Euro 2M menjadi RM1.87 seliter manakala Euro 5 pula RM1.97 seliter. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 17 Julai 2020.

    Alasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan masih tidak berubah iaitu kenaikan harga ini disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Audi TT RS, RS4 Avant & RS Q8 2020 dilancarkan di Thailand – harga dari RM723k hingga RM1.5 juta

    Audi TT RS, RS4 Avant & RS Q8 2020 dilancarkan di Thailand – harga dari RM723k hingga RM1.5 juta

    Pengimport kenderaan Audi di Thailand, Mesiter Technik telah melancarkan tiga model RS untuk pasaran itu. Ia terdiri daripada TT RS pada harga 5.3 juta baht (RM723k), RS4 Avant pada harga 5.9 juta baht (RM805k), dan RS Q8 pada harga 10.9 juta baht (RM1.5 juta).

    Untuk harga tersebut, TT RS lebih murah berbanding BMW M2 Competition dengan perbezaan sejuta baht (RM136k), manakala Mercedes-AMG CLA 45 S 4Matic+ pula dijual 300,000 baht (RM41k) lebih murah berbanding TT RS.

    Sementara itu, RS4 Avant tiada pesaing secara langsung di Thailand dengan rekabentuk badan yang sama. Harganya juga lebih menarik jika dibandingkan dengan AMG C 63 S Coupe, yang dijual pada harga 10.1 juta baht (RM1.4 juta). BMW M4 Competition dan M4 CS pula masing-masing dijual pada harga 8.8 juta baht (RM1.2 million) dan 11.4 juta baht (RM1.55 million).

    Model flagship yang dijual di Thailand pula ialah RS Q8, yang berkongsi platform sama dengan Lamborghini Urus. Ia dijana oleh enjin 4.0 liter bi-turbo V8 petrol yang menjana 600 PS dan 800 Nm – hanya 50 PS dan 50 Nm kurang berbanding Urus. Bagaimanapun, RS Q8 dijual pada harga separuh lebih murah.

    Lain-lain pesaing ialah seperti BMW X6 M dan AMG GLE 63 Coupe yang belum diperkenalkan di sana. Selain itu, perlu juga diperhatikan ialah Cayenne Turbo S E-Hybrid Coupe yang dijual pada harga 18.2 juta baht (RM2.5 juta) di sana.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025