Dasar Automotif Nasional (NAP) 2018 yang dijangka diumumkan pada suku ketiga tahun ini akan terus mendukung transformasi industri automotif ke arah mobiliti masa hadapan dan seterusnya menjadi enjin penggerak kepada ekonomi Malaysia ke tahap lebih tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, bagi merealisasikan visi ini, dasar serta peraturan perlu disemak dan diselaraskan, laporan Bernama.
“Penglibatan secara holistik, merentasi pihak berkepentingan termasuk kementerian, agensi industri automotif dan golongan belia adalah penting dalam merancang dan melaksanakan strategi industri ke arah hala tuju yang sama di samping meningkatkan daya saing industri automotif negara,” katanya semalam ketika berucap di majlis jerayawara Mobiliti Terhubung dan pelancaran Pameran Auto Malaysia 2018.
Tambah beliau lagi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama-sama Institut Automotif Malaysia (MAI) telah memulakan kajian semula NAP. Untuk NAP 2018 kali ini, ia merangkumi empat tonggak utama iaitu kenderaan generasi baharu, mobiliti, revolusi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan.
Perdana Menteri turut berkata dengan memandang jauh ke hadapan dan melangkah ke arah 2050, industri automotif bakal berkembang menjadi lebih pintar dan canggih dan kini dikenali sebagai mobiliti terhubung dengan kebolehan untuk meneroka dan menganalisis data raya.
“Semua ini dapat dicapai kerana wujudnya hubungan internet berkelajuan tinggi. Revolusi industri 4.0 merupakan faktor pemboleh kepada mobiliti terhubung. Mobiliti terhubung disasarkan akan melalui peralihan dari sebuah produk kepada sebuah perkhidmatan dan dalam jangka masa panjangnya mempunyai kapasiti yang besar untuk membuka peluang perniagaan dan pekerjaan bagi golongan yang mengambil peluang ini,” katanya.