Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda Shuttle dipertingkatkan dengan teknologi Sensing, sistem i-DCD turut diberi penambahbaikan

    Honda Shuttle dipertingkatkan dengan teknologi Sensing, sistem i-DCD turut diberi penambahbaikan

    Honda Shuttle, atau sebelum ini dikenali sebagai Fit Shuttle, telah menerima beberapa peningkatan untuk pasaran negara kelahirannya, Jepun. Walau bagaimana pun, peningkatan ini tidak langsung melibatkan imej dalaman dan luarannya. Shuttle ini mula dijual di Jepun sejak Mei 2015.

    Ia kini didatangkan dengan teknologi Honda Sensing yang dijadikan elemen standard bagi semua variannya. Sama seperti varian tertinggi CR-V yang kita terima, ia turut menggunakan rada bergelombang milimeter dan kamera monokular yang diletakkan di atas cermin hadapan untuk Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist System, Road Departure Mitigation, Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning (FCW) dan Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi Low Speed Follow (LSF).

    Selain itu, versi hibrid bagi Shuttle kini turut menambahbaik sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive), seperti mana yang sama dengan Jazz Hybrid dan City Hybrid untuk pasaran Malaysia. Dengan ujian ketahanan yang dikendalikan di Malaysia, ia turut menerima kelebihan bagi peningkatan keupayaannya.

    Bagi enjin bukan hibrid yang menerima enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT, bagi pasaran Jepun ia turut didatangkan dengan versi AWD. Lain-lain peningkatan kecil yang dilakukan termasuklah menambah sistem infotaimen yang mampu menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta didatangkan dengan lampu kabus LED. Harga dari 1.7 hingga 2.5 juta yen (RM64,727 hingga RM95,203).

     
     
  • VIDEO: Nikolass Bertans – budak 12 tahun dengan kereta drift BMW M3 E36 berenjin LS3 6.2 liter V8

    Apa yang anda lakukan ketika berumur 12 tahun dahulu? Saya sendiri ketika umur tersebut masih lagi sibuk berlumba kereta mini 4WD Tamiya di longkang-longkang sekitar rumah. Berbeza dengan Nikolas Bertans dari Latvia ini, dimana dia telah menerima hadiah hari jadi ke-12 berupa kereta drift sebenar BMW M3 E36 oleh ayahnya.

    M3 milik Nikolass ini tidak lagi dijana enjin asal S50 3.0 liter enam silinder sebaris, sebaliknya ia kini telah digantikan dengan enjin lebih berkuasa Chevrolet LS3 6.2 liter V8, digabungkan dengan kotak gear sequential dari Samsonas. Kuasa liar tersebut dialirkan ke roda menerusi unit differential lengkap dari Winters pada gandar belakang.

    Casis M3 ini disokong dengan rollcage spesifikasi Formula Drift yang dibina oleh HGK Racing, selain dari suspensi lengkap dari Feal, angle kit hadapan dan belakang bagi mendapatkan sudut drift agresif, brek gergasi dari Wilwood serta kit badan karbon kevlar asli yang turut dihasilkan oleh HGK Racing sendiri.

    Apa yang istimewa pada jentera milik Nikolass ini adalah bagaimana HGK menghasilkan sebuah kereta yang sesuai dipandu oleh seorang budak berumur 12 tahun. Mereka memadankan bolster pada tempat duduk bucket penuh kereta tersebut, memasang paddle box (unit yang terdiri dari pedal pendikit, klac dan brek) boleh laras, serta membina kembali kolum stereng bagi mendapatkan sudut agar Nikolas boleh melihat jalan dengan jelas tanpa diganggu roda stereng.

    Kereta yang dihadiahkan kepada Nikolas ini bukan digunakan untuk perhiasan, sebaliknya Nikolas sememangnya handal dalam sukan drift dan kini menyertai kejohanan drift tempatan, bertanding dengan drifter-drifter dewasa sebenar!

     
     
  • VIDEO: Akrapovic beri penghargaan kepada superbike

    Ada sesuatu berkenaan berada atas motosikal yang tidak boleh difahami oleh orang yang tidak menunggang. Malah bagi penunggang sendiri, perkara ini sukar dijelaskan tetapi secara ringkasnya, ia diketahui memberi kepuasan yang berlainan dengan perkara lain.

    Pengeluar ekzos dari Slovenia, iaitu Akrapovic cukup faham perkara ini, dan mereka telah mengeluarkan sebuah video bagi memberi penghargaan kepada motosikal superbike. Melaluinya anda akan dapat melihat kelibat Yamaha YZF-R1, Honda CBR1000RR, Suzuki GSX-R1000R, BMW S1000RR, Kawasaki ZX-10R dan pelbagai lagi. Memandangkan ini adalah video daripada pengeluar ekzos, sudah tentu anda dapat menikmati bunyi yang boleh menaikkan bulu roma.

    Walaupun dalam video ini ia lebih fokus kepada superbike, Akrapovic sebenarnya mempunyai barisan produk yang luas, bagi pelbagai jenis motosikal. Ia adalah jenama yang boleh dikatakan sebagai antara yang paling popular di kalangan pemilik motosikal, dengan kualiti binaan serta bahan yang terbaik.

     
     
  • Kawasaki dan GIATMARA buka pusat latihan mekanik

    Kawasaki dan GIATMARA buka pusat latihan mekanik

    Selepas menandatangani perjanjian persefahaman dengan institut latihan kemahiran vokasional GIATMARA pada bulan November 2016, kini Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) melancarkan Program Latihan Superbike di pusat GIATMARA Batu Caves, Selangor. Acara ini turut menyaksikan penukaran perjanjian yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

    Acara pembukaan ini dirasmikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan program ini direka untuk menghasilkan juruteknik terlatih, yang mampu melakukan servis kepada motosikal berkuasa tinggi Kawasaki. Menurut Sabri, pelatih akan menjalani latihan kemahiran selama empat bulan di sebuah bengkel Kawasaki serba lengkap sebelum disambung dengan latihan industri selama tiga bulan di pusat servis eksklusif Kawasaki di Glenmarie.

    Kawasaki dan GIATMARA buka pusat latihan mekanik

    Apabila telah selesai dengan latihan ini, pelatih akan mempunyai pilihan untuk bekerja dengan KMSB atau pengedar Kawasaki di seluruh Malaysia, atau mendapatkan geran dari MARA untuk memulakan bengkel sendiri yang fokus kepada motosikal berkuasa tinggi. Bengkel latihan yang diguna di GIATMARA menelan belanja lebih RM100,000 dan ia lengkap dengan peralatan diagnostik, perkakasan khas dan bilik pemasangan enjin serba bersih.

    Selain daripada itu, Sabri turut menyatakan bahawa GIATMARA juga sedang dalam proses untuk melatih juruteknik elektrikal untuk memenuhi permintaan pekerjaan dalam bidang rangkaian keretapi elektrik di Malaysia. Ini termasuk MRT dan LRT, serta projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang akan menyambungkan Kuala Lumpur dan Singapura, dan rangkaian keretapi Pantai Timur.

     
     
  • Ferrari, Lamborghini tiada rancangan untuk model EV

    Ferrari dan Lamborghini, dua jenama besar bagi supercar, masing-masing sedang berusaha untuk menghasilkan versi hibrid. Walau bagaimana pun, buat setakat ini, kedua-duanya tidak perancangan membangunkan model elektrik (EV), menurut eksekutif syarikat terbabit, seperti mana yang dilaporkan oleh Automotive News.

    Michael Leiters, ketua pegawai teknologi di Ferrari berkata, “Ia memerlukan masa yang lebih lama, lebih inovasi untuk ke arah itu dengan penghasilan prestasi yang serupa. Malah ia pastinya lebih mencabar untuk kami menghasilkan sebuah jentera sebegitu dengan apa yang kami miliki sekarang. Apa pun, langkah pertama (bagi pembaharuan) adalah menghasilkan versi hibrid.”

    Kenyataan itu senada dengan CEO Lamborghini, Stefano Domenicali yang berkata, pihaknya berusaha keras untuk membangunkan versi hibrid, dalam masa yang sama mengekploitasi potensi enjin naturally-aspirated V10 dan V12 sepenuhnya.

    “Saya tidak melihat teknologi elektrik sepenuhnya boleh dibangunkan dengan kadar segera bagi segmen super sport car, tetapi hibrid memang akan dihasilkan, dalam tempoh lima tahun yang akan datang,” ujarnya.

     
     
  • Volvo XC40 bakal diperkenalkan pada 21 Sept ini

    Volvo XC40 bakal diperkenalkan pada 21 Sept ini

    Volvo XC40 baharu antara model yang dinantikan tahun ini, dan pengeluarnya telah mengesahkan model XC paling kecil ini bakal dipertontonkan di peringkat global pada 21 September ini. Menurut yang diumumkan menerusi laman Facebook rasmi mereka, penampilan perdana SUV ini akan disiarkan secara langsung dari Milan.

    Beberapa minggu lepas, pengeluar kenderaan ini telah mengeluarkan beberapa teaser dan previu bagi XV40, memberikan beberapa petanda mengenai model ini.

    XC40 merupakan kereta pertama yang dibina dengan binaan Compact Modular Architecture (CMA) terbaharu dari Volvo, dijanakan oleh enjin petrol dan diesel Drive-E 2.0 liter empat-silinder . Turut dijangkakan penjana kuasa T5 Twin Engine Plug-in hybrid, dengan menampilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder Drive-E, motor elektrik, dan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan baharu.

    Volvo berkata, ia akan diikuti dengan laluan pembangunan baharu bagi SUV bersaiz kecil, dengan memberikan kebebasan kepada para pereka untuk membentuk kereta yang bersikap individualiti dan menyeronokkan.

    Malahan material dan palet warna yang digunakan adalah refleksi bagi pendekatan ini, ditambah pula ia turut menawarkan pelbagai elemen menarik termasuk ruang storan yang diperlukan di bahagian dalamnya. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi, malah Volvo juga berkata “dibangunkan dengan cabaran bagi kehidupan bandar yang lebih moden.”

    Kami akan membawakan lebih banyak perincian mengenai XC40 baharu ini apabila ia dipertontonkan secara rasmi pada tarikh yang dinyatakan.

    GALERI: Spyshot Volvo XC40

     
     
  • UMW Toyota siarkan video peringatan tukar beg udara

    Video di atas bermula dengan ayat yang bermaksud “kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa, dan bila-bila masa sahaja.” Ini memang benar, dan apabila perkara yang tidak diingini terjadi, kita tidak mahu alat yang sepatutnya dapat menyelematkan kita berpotensi membuat perkara sebaliknya. Yang dimaksudkan adalah inflator beg udara Takata, yang apabila meletup, boleh menghamburkan serpihan besi kepada pemandu atau penumpang.

    Perkara ini boleh berlaku bukan sahaja dalam perlanggaran yang teruk, malah juga perlanggaran kecil. Ada yang telah meninggal dunia bukan kerana impak daripada perlanggaran, tetapi disebabkan serpihan besi taham yang tersembur keluar daripada beg udara tersebut.

    Panggilan semula untuk menukar inflator beg udara Takata ini adalah yang terbesar pernah terjadi dalam industri automotif dan Toyota adalah antara yang menerima kesannya. Senarai kenderaan paling baru yang dipanggil untuk penukaran ini dikeluarkan pada bulan Mac tahun ini dan ia terdiri daripada 42,000 buah kenderaan yang merupakan model Corolla Altis, Vios, Yaris dan Alphard yang dikeluarkan antara Mei 2010 hingga Disember 2012.

    Pada bulan Oktober 2016, UMWT telah memanggil semula 80,000 unit Vios, Corolla Altis, Yaris dan Alphard yang dikilangkan antara Oktober 2007 hingga Disember 2011 untuk penukaran beg udara. Kenderaan import persendirian juga termasuk dalam senarai.

    Anda mahu memeriksa sekiranya kereta anda terlibat? Masukkan nombor VIN kenderaan anda di laman web ini, dan sekiranya perlu ditukar, anda boleh terus membuat tempahan di pusat servis yang dimahukan. Selain daripada itu, anda juga boleh menghubungi pusat servis Toyota atau terus ke sana.

     
     
  • Haval H2 CKD mula dijual – 1.5T, 2 varian, dari RM99k

    Haval H2 CKD mula dijual – 1.5T, 2 varian, dari RM99k

    Go Auto baru melancarkan Haval H2 versi pemasangan tempatan CKD) bagi pasaran Malaysia, dan ia dijual pada harga RM98,950 untuk varian Comfort dan RM101,950 untuk Premium (atas jalan termasuk insurans). Model ini sudah pun berada di 14 pusat pameran Haval seluruh Malaysia, dan Go Auto turut mempunyai perancangan untuk mengeksport H2 CKD ini ke negara seperti Batam, Indonesia dan Kemboja.

    Bagi model CKD ini, spesifikasinya masih lagi sama seperti H2 yang dilancarkan untuk pasaran pada bulan Mei 2016, tetapi varian Standard telah dikeluarkan daripada pilihan, meninggalkan hanya varian Comfort dan Premium. H2 CKD datang dengan rekaan rim baru dan tambahan pilihan warna luar ‘Haval Blue.’

    Haval H2 dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 147 hp dan 210 Nm tork dari 2,200 rpm hingga 4,500 rpm. Enjin empat silinder ini dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan.

    Antara kelengkapan yang ada pada H2 CKD adalah termasuk lampu utama dan pengelap cermin automatik, lampu siang LED, lampu kabus hadapan, sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula enjin, panel meter pelbagai fungsi, butang kawalan di stereng, pendingin hawa automatik dua zon dan tempat duduk pemandu yang boleh dilaras secara elektrik.

    Pada bahagian keselamatan, kenderaan ini datang standard dengan enam beg udara, pengesan undur dan kamera belakang, sistem pemerhati tekanan angin tayar, ESP dan penyandar kepala hadapan aktif. Kedua-dua varian menggunakan kemasan dan tempat duduk yang dibalut kulit, tetapi varian Premium mempunyai dua tona warna, manakala varian Comfort serba hitam.

    Pada masa ini, pengedar kenderaan Haval sedang menawarkan skim ‘Jaminan Beli Balik’, iaitu jika kenderaan dijual kembali dalam masa lima tahun kepada pengedarnya, pemilik akan menerima nilai jualan balik 50%. Sudah tentu, skim ini mempunyai syarat dan terma yang tertentu.


    GALERI: Haval H2 Comfort

     
     
  • Nissan NV350 Urvan ditawar ciri keselamatan baharu

    Nissan NV350 Urvan ditawar ciri keselamatan baharu

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd. (ETCM), pengedar rasmi Nissan di Malaysia telah mengumumkan bahawa Nissan NV350 Urvan (High Roof) yang popular kini telah dipertingkatkan dengan ciri-ciri keselamatan baharu.

    Ciri-ciri yang telah dipertingkatkan itu termasuklah Pelaras Manual Lampu Utama dan Lampu Kabus Belakang (ECE R48: Pemasangan Lampu) yang menambah baik tahap pandangan apabila memandu pada waktu malam. Sementara Pengehad Kelajuan (ECE R89: Peranti Pengehad Kelajuan) dipasang untuk memastikan had kelajuan iaitu 100km/j untuk kenderaan penumpang >12 tempat duduk di Malaysia dipatuhi. Turut ditambah baik ialah Penutup Tangki dengan Kunci (ECE R34: Menghalang Risiko Kebakaran).

    Ia turut menampilkan ABS dan Bantuan Brek, Lampu Berhenti yang dipasangkan pada posisi lebih tinggi dan Kunci Keselamatan Kanak-kanak menjadi peralatan keselamatan standard. Sementara Zon Binaan Badan NISSAN (Zone Body Construction) memaksimumkan perlindungan penumpang sekiranya berlaku kemalangan.

    Prestasi Nissan NV350 Urvan yang berkuasa dan menjimatkan itu datang daripada enjin pengecas turbo 2.5L YD25DDTi dengan teknologi diesel bersih dan dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan untuk mencapai penjimatan bahan api yang mengagumkan iaitu 11.2km/L berdasarkan kepada kitaran ujian JC08 Jepun.

    Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata, “Nissan NV350 Urvan menjadi model pengangkut penumpang yang sangat popular kerana kemampuannya membawa sehingga 14 orang, selain sifatnya yang tahan lasak dan boleh dipercayai. Ia telah menyokong pelbagai jenis perniagaan. Kami percaya bahawa ciri-ciri keselamatan baru pada NISSAN NV350 Urvan boleh meningkatkan kejayaan perniagaan pelanggan kerana dapat membawa lebih ramai penumpang dan tempoh ‘down-time’ yang minimum.”

     
     
  • Mazda CX-8 – SUV 2.2L SkyActiv-D dengan tiga-barisan tempat duduk telah dilancarkan di Jepun

    Mazda CX-8 – SUV 2.2L SkyActiv-D dengan tiga-barisan tempat duduk telah dilancarkan di Jepun

    Mazda CX-8 telah pun dilancarkan di Jepun, dengan harga jualan antara 3.2 juta dan 4.2 juta yen (RM122k-160k). Hanya menawarkan model domestik Jepun (JDM), CX-8 ini merupakan SUV yang menampilkan tiga-barisan tempat duduk, iaitu model perdana di Jepun, di mana CX-9 tidak dijual di sana.

    Pada bahagian hadapannya, ia hampir menyamai CX-5, namun CX-5 dilengkapi dengan lampu utama dan apron hadapan yang lebih nipis. Manakala bahagian gril tiada perubahan, cuma didatangkan dengan kepingan melintang seperti mana yang didapati pada CX-9.

    Bagi bahagian tepinya, CX-8 kelihatan lebih panjang berbanding CX-5, itu sudah pasti. Ia memiliki ukuran 4,900 mm panjang, iaitu 350 mm lebih panjang berbanding CX-5, 1,840 mm lebar dan 1,730 mm tinggi. Ia juga berkongsi jarak roda yang sama dengan CX-9 iaitu 2,930 mm, lebih panjang berbanding CX-5 (2,700 mm).

    Ukuran panjangnya yang ditambah jelas kelihatan menerusi bentuk tingkap sisinya, yang membezakan antara CX-5 dan CX-9. Manakala bagi bahagian belakangnya, ia kelihatan lampu dengan kekemasan krom diletakkan sebelah-menyebelah, serta turut menampilkan dwi corong ekzos.

    Mazda CX-8 – SUV 2.2L SkyActiv-D dengan tiga-barisan tempat duduk telah dilancarkan di Jepun

    Di dalamnya, bentangan pada papan pemuka adalah sama seperti CX-5, daripada bentuk corong pendingin hawa hinggalah ke konsol tengah. Lain-lain elemen yang lebih kurang sama termasuklah rekaan roda stereng, sistem infotainmen MZD dengan skrin sesentuh tujuh-inci, suis kawalan untuk pendingin hawa dan Commander Control serta paparan head-up.

    Mazda menawarkan empat pakej dalaman untuk CX-8 di Jepun, dua daripadanya dengan kulit asli, dan dua lagi menampilkan fabrik. Pakej dalaman ini turut didatangkan dengan upholstery kulit Nappa terpiluh dan kekemasan kayuan asli. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan tujuh warna badan, termasuk Machine Gray dan Soul Red Crystal.

    Pelanggan juga boleh memilih sama ada untuk bentangan enam- atau tujuh-tempat duduk, dengan memperkenalkan tempat duduk kapten pada barisan kedua bersama kotak konsol yang besar di tengahnya. Mazda berkata barisan kedua mampu memberikan keselesaan buat penumpang berbadan besar, manakala di barisan ketiga pula boleh diduduki oleh penumpang dewasa berketinggian sehingga 170 sm.

    Mazda CX-8 – SUV 2.2L SkyActiv-D dengan tiga-barisan tempat duduk telah dilancarkan di Jepun

    Bagi ruang butnya, ia memberikan ruang berkapasiti 239 liter dengan tempat duduk pada ketiga-tiga barisan dalam keadaan normal. Jika membaringkan tempat duduk di barisan ketiga, ia boleh mencapai kapasiti sehingga 572. Malahan dalaman bagi ruang ini mampu mencecah 307 mm, sesuai untuk menyimpan barangan yang agak besar.

    CX-8 ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel dengan padanan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penjana kuasa ini mirip dengan salah satu enjin yang ditawarkan pada CX-5, namun dengan output yang telah dipertingkatkan iaitu 188 hp dan 450 Nm (dari 173 hp dan 420 Nm). Pelanggan juga boleh memilih sama ada pacuan roda-hadapan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ AWD, dengan G-Vectoring Control diberikan untuk semua varian.

    Untuk sistem bantuan pemanduan dan keselamatan, ia turut menampilkan Mazda i-Activsense untuk semua varian CX-8. Ini termasuklah Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS), Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA) dan Pemantauan Titik Buta (BSM).

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Mercedes-Benz E-Class Coupe C238 – sarat dengan kemewahan dan berteknologi tinggi

    Seperti yang sedia maklum, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) yang begitu agresif dengan pelbagai strategi pemasarannya, telah pun melancarkan E-Class Coupe baharu untuk pasaran tempatan, yang bakal menyertai barisan model Dream Car Collection.

    Hadir dengan dua varian iaitu E 200 Coupe AMG Line dan E 300 Coupe AMG Line yang turut didatangkan dengan satu lagi varian eksklusif iaitu E 300 Coupe Edition 1 yang terhad 500 unit sahaja.

    Seperti mana yang dinyatakan, harganya dikategorikan sebagai tinggi tetapi setanding dengan imej, kualiti dan prestasinya. Bagi E 200 Coupe AMG Line ditawarkan pada harga RM435,888, manakala E 300 Coupe AMG pula RM499,888 dan RM534,888 bagi memiliki E 300 Coupe Edition 1. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan (berserta GST) dan tanpa insurans.

    Mungkin harganya tidak terjangkau dengan bajet anda, maka untuk sekadar mencuci mata, atau mungkin ada yang benar-benar berkemampuan serta berminat untuk memilikinya, sila tonton video ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai E-Class Coupe C238. Selamat menonton!

    GALERI: Mercedes-Benz E 200 Coupe AMG LINE

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 Coupe AMG LINE

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 Coupe Edition 1

     
     
  • Volkswagen T-Roc R-Line guna gaya lebih sporty

    Volkswagen T-Roc R-Line guna gaya lebih sporty

    Beberapa minggu yang lalu, Volkswagen telah mendedahkan model T-Roc, dan di Frankfurt Motor Show, syarikat itu menunjukkan pula kepada orang ramai varian T-Roc R-Line, yang mengenakan gaya lebih sporty bagi SUV yang menggunakan platform MQB tersebut. Model ini muncul buat pertama kali sebagai sebuah model konsep tiga tahun lalu di Geneva Motor Show.

    T-Roc R-Line masih lagi ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dan semua roda, dan ia turut didatangkan dalam pilihan enam enjin turbo seperti model T-Roc biasa, iaitu tiga daripadanya petrol dan tiga lagi diesel. Bagi pilihan transmisi pula, ia terdiri daripada manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

    bagi model yang dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda 4Motion, ia akan dilengkapi dengan fungsi kawalan aktif, yang memberikan pilihan dua mod atas jalan biasa iaitu street dan snow, manakala untuk jalan offroad, terdapat dua lagi mod iaitu offroad dan offroad individual. Fungsi profail pemandu didatangkan standard bagi model 4Motion, namun boleh ditambah bagi model pacuan roda hadapan, seterusnya memberikan lima mod pemanduan iaitu comfort, normal, sport, eco dan individual.

    Volkswagen T-Roc R-Line guna gaya lebih sporty

    Ciri keselamatan dan bantuan pemandu agak lengkap pada T-Roc, dengan terdiri daripada Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, Adaptive Cruise Control (boleh diguna sehingga kelajuan 210 km/j), Blind Spot Monitor, Park Assist, Traffic Jam Assist, Lane Assist, Automatic Post-Collision Braking System dan pelbagai lagi.

    Untuk kelengkapan lain, di dalam T-Roc terdapat Active Info Display 11.7 inci, sistem bunyi 300-watt, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, servis sambungan Volkswagen Car Net, pengecas induktif telefon bimbit serta pelbagai lagi sistem informasi dan hiburan. Skrin sesentuh 6.5 inci diberikan standard manakala varian lebih tinggi dilengkapkan dengan sistem Composition lapan inci dengan pemain CD, atau sistem media Discover skrin sesentuh lapan inci dengan navigasi satelit.

    GALERI: Volkswagen T-Roc

     
     
  • Renault SYMBIOZ Concept – kombo kereta dan rumah

    Renault SYMBIOZ Concept – kombo kereta dan rumah

    Peneraju kenderaan elektrik di Eropah, iaitu Renault telah membawa satu konsep yang berlainan ke Frankfurt Motor Show tahun ini melalui SYMBIOZ Concept. Dikatakan sebegitu kerana kereta yang ditunjukkan ini, datang sekali dengan sebuah rumah, dan merupakan yang pertama di dalam industri. Renault memberitahu, “SYMBIOZ adalah kereta dan rumah yang boleh bekerjasama secara harmoni.”

    Bagi kereta itu sendiri, ia adalah dikuasakan oleh dua motor eletrik (dengan tahap autonomous Level 4), dan kedua-duanya berada di gandar belakang – satu bagi setiap roda. Pek bateri diletakkan di bawah lantai, dan ia bukan sahaja boleh digunakan untuk menggerakkan kenderaan, malah juga boleh memberi kuasa kepada kelengkapan di rumah atau bertindak sebagai kuasa kecemasan sekiranya rumah tiada elektrik.

    Renault meletakkan sasaran menjadikan SYMBIOZ Concept sebuah realiti pada tahun 2023, dan mempunyai perancangan untuk menggunakan beberapa teknologi padanya, pada kereta produksi lain. Ini termasuk teknologi Multi-Sense versi lebih maju (satu ciri yang digunakan pada Megane, Scenic, Talisman dan Espace), yang dapat melaras suasana dalam kereta mengikut mood pemandu. Kereta ini juga digunakan sebagai platform untuk menunjukkan teknologi “Easy Connect” dan “Easy Drive” mereka.

    Renault mempunyai perancangan untuk menunjukkan sebuah kenderaan demonstrasi dengan banyak elemen daripada SYMBIOZ, dan akan memberi peluang kepada orang awam untuk mencubanya menjelang akhir tahun ini. Ciri-ciri dalam kenderaan ini antaranya dilakukan dengan kerjasama syarikat termasuk LG, Ubisoft, Devialet, Sanef, TomTom dan IAV.

     
     
  • Volkswagen Malaysia menawarkan kadar faedah serendah 0.88% setahun untuk Jetta Comfortline

    Volkswagen Malaysia menawarkan kadar faedah serendah 0.88% setahun untuk Jetta Comfortline

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan kadar faedah baharu yang ditawarkan untuk model Jetta Comfortline iaitu serendah 0.88% setahun. Ini bermakna, Jetta telah menyertai Vento 1.6L dan Passat 1.8L, yang turut ditawarkan dengan promosi kadar faedah rendah memandangkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan.

    Promosi bagi kadar faedah terendah ini bermula semalam (13 Sept) dan bakal berlangsung sehingga 31 Disember 2017. Malah VPCM turut berkata, kadar faedah terendah bagi varian Vento dan Passat yang ditawarkan buat masa ini iaitu masing-masing 0.28% dan 0.88% dilanjutkan sehingga pada tarikh akhir yang sama.

    Kadar faedah bagi Jetta Comfortline ini ditawarkan sebanyak 0.88% setahun iaitu melibatkan pinjaman pembiayaan selama lima tahun. Manakala bagi pinjaman pembiayaan tujuh tahun pula, kadar faedah yang ditawarkan adalah sebanyak 1.28% setahun, dan untuk sembilan tahun pula 1.68%.

    Varian ini ditawarkan pada harga RM117,990 dan turut didatangkan dengan penjimatan tambahan sebanyak RM10,000.
    Selain itu, Jetta Comfortline turut didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 75,000 km penyelenggaraan percuma, mana yang tiba terlebih dahulu.

    Ia dijanakan oleh enjin generasi baharu iaitu 1.4L TSI suntikan-terus empat-silinder dengan pengecas turbo tunggal berserta teknologi BlueMotion berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500 rpm. Berbanding Jetta model sebelum ini yang dipadankan dengan enjin 1.4L TSI pengecas-berkembar (supercharger dan turbocharger) dengan kuasa 160 PS dan tork 240 Nm. Ini bermakna Jetta 2016 diturunkan kuasa sebanyak 10 PS tetapi miliki kelebihan 10 Nm.

     
     
  • Harga bahan api 14-20 Sept – terus meningkat!

    Harga bahan api 14-20 Sept – terus meningkat!

    Rasa macam ini berita yang biasa-biasa (atau dalam erti kata lain, ‘terpaksa’) diterima oleh kita semua. Pastinya ia mengenai berita kenaikan harga bahan api utama iaitu RON 97, RON 95 dan diesel yang diumumkan beberapa minggu kebelakangan ini. Ini termasuklah bagi minggu tarikh bermula 14 hingga 20 September ini, di mana harga bagi ketiga-tiga bahan api tersebut turut dilaporkan terus meningkat.

    Bagi RON 97, ia naik sebanyak 4 sen, kini menjadi RM2.52 seliter, manakala RON 95 pula, daripada RM2.20 seliter pada minggu sebelumnya, turut dilaporkan naik sebanyak 1 sen menjadi RM2.21 seliter. Untuk diesel pula, ia mengalami peningkatan harga yang agak besar iaitu mencecah 9 sen, dengan RM2.14 seliter bagi Euro 2 dan Euro 5 M pula RM2.24 seliter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024