Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Hyundai Kona 2018 – teaser baharu disiarkan

    Hyundai Kona 2018 – teaser baharu disiarkan

    Sebelum ini, Hyundai telah menyiarkan teaser untuk SUV segmen-B baharunya – Kona – memaparkan lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok yang direka tirus seolah-olah lampu utama model tersebut. Untuk menambah debaran sebelum kemunculan sulungnya tidak lama lagi, satu lagi teaser disiarkan – menayangkan muka SUV kompak baharu berkenaan.

    Menerusi teaser ini, dapat dilihat ia diberikan gril “cascading” seperti i30 baharu. Susunan lampu pada Kona juga agak unik di mana lampu utama SUV ini diletakkan pada bahagian bawah, manakala lampu tirus di bahagian atas hanya berfungsi sebagai lampu nyalaan siang dan lampu isyarat membelok – direka dengan konsep yang sama seperti Citroen C3 dan Nissan Juke.

    Turut dapat disaksikan adalah bahagian hadapan bonet Kona yang agak agresif, dan menyerlahkan rekaan yang garang dan berbeza pada SUV ini. Menurut Hyundai, “Rekaan yang garang pada bahagian hadapan dan belakang diserlahkan menerusi stance kereta berkenaan yang lebar dan juga penggayaan badan yang besar serta agresif.”

    Kona bakal bersaing Honda HR-V, Toyota CH-R dan juga Mazda CX-3 setelah dilancarkan kelak dan akan diletakkan di bawah Tucson dan Santa Fe dalam barisan SUV Hyundai. Seperti juga model-model SUV Hyundai lain, nama model baharu ini diambil dari nama tempat di Amerika – Kona merupakan satu daerah di Kepulauan Hawaii, dan ia menggambarkan imej energetik serta gaya hidup yang unik.

    Hyundai sebenarnya telah pun mempunyai SUV sub-kompak Creta/ix25 yang hanya dijual di India dan China. Untuk Kona, ia direka dengan penggayaan berbeza , menampilkan “gaya progresif yang menggambarkan gaya hidup pelanggan moden”, menurut Hyundai dan menambah ia adalah “SUV sebenar”.

    Berdasarkan imej spyshot sebelum ini juga dapat dilihat bahagian sisi Kona direka lebih sporty dari Creta, dengan bahagian belakang lebih landai. Hyundai juga mendakwa dengan kedudukan pemanduan untuk Kona yang lebih tinggi, ia akan memberikan “sudut penglihatan yang lebih baik bagi pemandu serta meningkatkan keselesaan pemanduan.”

    Lampu belakang juga dilihat menggunakan unit LED dan turut diberikan skid plate SUV tipikal. Boleh dijangkakan, Kona dihasilkan dari platform yang sama denga Creta dan dijana barisan enjin T-GDI dan CRDI Hyundai. Pacuan roda hadapan bakal diberikan secara standard manakala sistem pacuan semua roda akan ditawarkan sebagai opsyen.

    Kona bakal melambangkan satu lagi tahap yang diambil Hyundai untuk menjadi peneraju jenama-jenama dari Asia di Eropah pada tahun 2012. Usaha berkenaan turut meliputi pelancaran 30 model dan juga derivatif baharu.

    GALERI: Spyshot Hyundai Kona

     
     
  • GALERI: Mazda CX-3 2017 dengan G-Vectoring Control

    GALERI: Mazda CX-3 2017 dengan G-Vectoring Control

    Pada Februari lalu, model SUV CX-3 2017 telah disenaraikan sebagai model baharu Mazda bagi pasaran tempatan, malah ia ditampilkan dengan beberapa elemen yang diperbaharui dan juga pertambahan teknologi terkini.

    Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, tiada perubahan dilakukan pada bahagian luaran CX-3 2017 ini. Sebaliknya, ia memfokuskan peningkatan di bahagian kabinnya termasuk menampilkan roda stereng yang mirip seperti pada CX-9.

    Malah ia juga ditampilkan dengan unit paparan utama Pemanduan Aktif warna penuh, serta kecerahan, kontras dan definisi yang lebih terang. Turut ditambah adalah tempat duduk pemandu pelarasan elektronik dengan dua simpanan memori.

    GALERI: Mazda CX-3 2017 dengan G-Vectoring Control

    Lain-lain ciri standard masih dikekalkan termasuklah lampu utama dan belakang LED, rim aloi 18-inci, lampu dan pengelap cermin automatik, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, bumbung suria, pendingin hawa elektronik, kemasan campuran suede dan kulit, penukar gear di belakang pedal, kawalan kelajuan, sistem hiburan dan informasi MZD Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci, enam pembesar suara dan kamera undur.

    Ia turut mengekalkan elemen keselamatan yang sama termasuk enam beg udara, ABS dengan EBD dan BA, kawalan stabiliti, Bantuan Mula Mendaki dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

    Pertambahan teknologi pada CX-3 2017 ini paling menarik iaitu kini ia ditawarkan dengan sistem G-Vectoring Control secara standard. Ia berfungsi sebagai pengawal tork enjin supaya kenderaan menjadi lebih stabil dan meningkatkan tindak balas stereng.

    GALERI: Mazda CX-3 2017 dengan G-Vectoring Control

    Bahagian suspensi dan stereng telah disemak semula supaya menjadi lebih sesuai dengan teknologi baharu tersebut. Malahan cermin belakang yang ditampilkan lebih tebal dan kedapan bunyi juga dipertingkatkan.

    CX-3 2017 ini masih mengekalkan penjana kuasa iaitu enjin petrol 2.0 liter SkyActiv-G empat-silinder yang mampu menghasilkan 154 hp pada 6,000 rpm dan 204 Nm tork pada 2,800 rpm. Semua kuasa ini disalurkan ke dua-roda hadapan melalui kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Walau bagaimana pun, Bermaz turut mengumumkan ada pertambahan harga iaitu RM138,373 (harga atas jalan, tanpa insurans) iaitu RM3,230 berbanding model terlebih dahulu. Ia turut hadir dengan waranti selama tiga-tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma selama tiga-tahun.

     
     
  • IIMS 2017: Honda CR-V baharu kini di Indonesia – 1.5L VTEC Turbo 7-tempat duduk, 2.0L NA 5-tempat duduk

    IIMS 2017: Honda CR-V baharu kini di Indonesia – 1.5L VTEC Turbo 7-tempat duduk, 2.0L NA 5-tempat duduk

    Seperti apa yang berlaku untuk Civic pada tahun lalu yang tiba ke Thailand dahulu kemudian ke Indonesia, begitu juga yang terjadi untuk CR-V generasi baharu tahun ini. Setelah secara rasmi menerjah pasaran Thailand pada Bangkok Motor Show bulan lalu, CR-V kini dilancarkan pula di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2017 untuk pasaran Republik berkenaan.

    Berbeza dengan Thai, Indonesia menerima CR-V dengan pilihan enjin iaitu 2.0 liter NA dan juga 1.5 liter VTEC Turbo. Spesifikasi yang sama berkemungkinan akan turut ditawarkan di Malaysia (bakal dihasilkan secara CKD tahun ini), berbanding versi Thailand yang hadir dengan pilihan enjin turbodiesel 1.6 i-DTEC dan juga 2.4 liter NA.

    Untuk pasaran Indonesia, enjin 1.5 liter VTEC turbo berkenaan menghasilkan kuasa 190 PS dan tork 240 Nm, lebih berkuasa dari enjin sama pada Civic yang hanya menghasilkan 173 PS/220 Nm. Enjin berkenaan juga jauh lebih berkuasa dari versi 2.0 liter SOHC NA yang hanya mampu menjana 154 PS dan tork maksima 189 Nm pada takat 4,300 rpm.

    IIMS 2017: Honda CR-V baharu kini di Indonesia – 1.5L VTEC Turbo 7-tempat duduk, 2.0L NA 5-tempat duduk

    Kedua-dua enjin ini hanya dipadankan pada satu jenis kotak gear sahaja iaitu transmisi CVT automatik yang hadir bersama pedal penukar gear pada stereng. Tiada penukar gear jenis butang seperti yang ditawarkan di Thailand kerana sistem tersebut hanya diberikan untuk model diesel sahaja.

    Kesemua varian menerima lampu hadapan projektor bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus, bar lampu LED pada bahagian belakang, rim aloi 18-inci, cruise control, butang audio dan telefon pada roda stereng, pemain utama dengan skrin sesentuh tujuh-inci, penghawa dingin manual dengan liang kabin belakang, kamera undur, upholsteri tempat duduk fabrik, brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold, dua-beg udara, VSA serta Bantuan Mula Mendaki.

    Varian 2.0 liter diberikan konfigurasi lima tempat-duduk, manakala untuk versi 1.5 liter Turbo, ia diberikan tambahan tempat duduk baris ketiga menjadikan tujuh-tempat duduk secara keseluruhan. Model tertinggi turbo berkenaan juga diberi berberapa ciri tambahan antaranya tip ekzos berkembar, kemasan kayu pada bahagian dalaman, penghawa dingin dua zon automatik dengan pembersih udara nanoe, sistem penghawa dingin berasingan untuk kabin belakang (dengan kawalan kelajuan motor penghembus) serta sistem kunci pintar bersama suis penghidup enjin.

    Model tertinggi tersebut turut diberikan skrin sesentuh sembilan-inci bersama fungsi navigasi, kamera undur pelbagai sudut, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan hala dengan sokongan lumbar serta upholsteri kulit untuk tempat duduk, roda stereng dan tombol gear.

    Model yang dipaparkan pada gambar ini merupakan varian tertinggi 1.5L Turbo Prestige yang dibezakan pada bahagian luaran dengan lampu hadapan LED, lampu kabus LED serta rim aloi “bold” lima jejari (masih lagi berdiameter 18-inci). Ia juga menerima pintu tailgate belakang bantuan kuasa (dengan larasan ketinggian), bumbung suria panaromik, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa empat-hala, dan juga enam beg udara termasuk beg udara tirai tambahan. Walau bagaimanapun, ia tidak diberikan panel meter digital.

    CR-V dikelaskan dalam saingan SUV premium pada pasaran Indonesia dan dijual pada harga bermula 432 juta rupiah (RM141,018) untuk model 2.0 liter. Model 1.5L Turbo pula dijual pada harga bermula dari 468 juta rupiah (RM152,773) manakala varian tertinggi 1.5L Turbo Prestige dijual pada harga 508 juta rupiah (RM165,841).

    GALERI: Honda CR-V 1.5L Turbo Prestige

    GALERI: Honda CR-V 2.0L

     
     
  • Modenas perkenal khidmat bergerak di lima kawasan

    Modenas perkenal khidmat bergerak di lima kawasan

    Dalam usaha untuk mempertingkat dan memberikan nilai tambah kepada pelanggan bagi barisan motosikalnya, Modenas kini memperkenalkan perkhidmatan bergerak kepada mana-mana pemilik yang memerlukan bantuan segera atau yang tidak boleh berkunjung ke pusat servis.

    Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd Kadir memaklumkan; “Sebagai permulaan, perkhidmatan bergerak ini akan meliputi jarak lingkungan 30 kilometer sahaja dari lima buah pusat servis rasmi Modenas yang terlibat ketika ini. Namun jika ada pemilik yang mahu membuat temujanji untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan, kita juga menyediakan perkhidmatan dari pintu ke pintu.”

    Modenas perkenal khidmat bergerak di lima kawasan

    Waktu operasi perkhidmatan ini ialah dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang, lima hari seminggu. Selain itu ia menawarkan perkhidmatan servis biasa serta termasuk juga bagi motosikal yang masih di dalam tempoh jaminan. Bagi mereka yang ingin membuat temujanji bagi perkhidmatan di kediaman, mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian khidmat pelanggan 1-800-880-181.

    Lima pusat servis yang menyediakan khidmat bergerak ini bagi peringkat awal ialah di Shah Alam (03–7848 3776), Johor Bahru (07–236 1695), Ipoh (05–249 8963), Gurun (04–466 8236) dan Kuantan (09–512 3380).

    Setiap perkhidmatan bergerak ini akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM10 dan itu tidak termasuk harga alat ganti yang perlu ditukar jika motosikal mengalami kerosakan. Semua pembayaran dilakukan secara tunai dan sebarang penggantian alat ganti perlu mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak terlebih dahulu.

     
     
  • Malaysia galak guna getah untuk bina jalan – Fadillah

    Malaysia galak guna getah untuk bina jalan – Fadillah

    Pertengahan Mac lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, laporan keberkesanan penggunaan CMA (Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan) hanya akan diketahui awal tahun hadapan.

    Susulan daripada itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur turut berkata, penggunaan getah beku untuk turapan jalan raya didapati mampu memberikan prestasi yang lebih baik berbanding bahan konvensional

    Semalam, Fadillah berkata, Kerajaan Malaysia berminat untuk menggalakkan penggunaan getah dalam pembinaan jalan, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi industri getah, laporan Bernama.

    Katanya getah asli dilihat sebagai bahan keutamaan campuran asfalt dalam turapan jalan dan penggunaan bahan itu akan memperluaskan penggunaan getah dalam masyarakat juga dalam industri yang sesuai.

    Malaysia galak guna getah untuk bina jalan – Fadillah

    “Penurunan harga getah di pasaran dunia menyebabkan industri getah mempelbagaikan dan meningkatkan penggunaan getah dalam beberapa sektor lain, ini adalah selaras dengan gesaan untuk meningkatkan penggunaan bahan domestik semulajadi (getah) sehingga 10% setiap tahun,” katanya di sini hari ini.

    Fadillah berkata getah asli sebagai bahan campuran asfalt adalah reka cipta yang hebat untuk digunakan dalam turapan jalan yang lebih berkualiti.

    Beliau berkata ciptaan ini boleh mengubah prestasi jalan-jalan berturap asfalt yang semakin terbatas akibat perubahan suhu dan muatan trafik.

    Buat masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia sedang membuat penilaian berlandaskan tiga lokasi projek perintis iaitu di Tampin, Negeri Sembilan, Baling, Kedah dan Lanchang, Pahang. Malah ia juga akan diperluaskan termasuk di Segamat, Johor.

    Walau bagaimana pun, beliau turut berkata, kos pembinaan jalan menggunakan CMA lebih tinggi iaitu RM53 per meter berbanding RM29 per meter jika menggunakan kaedah konvensional, namun kos penyelenggaraan jalan CMA lebih rendah berbanding jalan konvensional.

     
     
  • Unit Perkhidmatan Bergerak Baharu Mazda dilancar

    Unit Perkhidmatan Bergerak Baharu Mazda dilancar

    Selain melancarkan Mazda MX-5 RF dan model lain yang dilengkapi dengan GVC malam tadi, Bermaz turut memperkenalkan Unit Perkhidmatan Bergerak Baharu Mazda, di mana ia menyediakan perkhidmatan menyelenggara dan membaiki kenderaan pelanggan. Buat setakat ini, perkhidmatan tersebut hanya ditawarkan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang sahaja.

    “Dengan peningkatan kenderaan Mazda di jalanraya, kami melihat keperluan program lanjutan perkhidmatan selepas jualan ini, bukan hanya menambah cawangan bengkel tetapi juga menerokai keperluan perkhidmatan selepas jualan yang lebih meluas buat kemudahan dan kesedangan para pelanggan di rumah mereka.

    “Unit Perkhidmatan Bergerak Mazda ini dikendalikan oleh mekanik dan juruteknik terlatih yang mengikut SOP yang disediakan oleh Mazda dan disahkan sepenuhnya oleh Bermaz,” ujar Datuk Seri Ben Yeoh, CEO Bermaz Motor.

    Dengan perlaburan melebihi RM500,000, Unit Perkhidmatan Bergerak Mazda ini dilengkapi dengan set kelengkapan yang diperlukan, quick-jack dengan keupayaan 2.5 tan untuk mengangkat CX-5 dan BT-50, Sistem Diagnosis Bergerak Mazda (MMDS) yang mengendalikan litar taksiran elektronik, penjana kuasa dan banyak lagi.

    Perkhidmatan yang disediakan termasuklah penyelenggaran berjadual untuk kenderaan antara tempoh penyelenggaran percuma tiga-tahun/60,000 km, pemeriksaan dan penggantian bateri, bilah pengelap cermin, pad brek, cecair brek dan cecai transmisi automatik.

     
     
  • Subaru XV 2.0i-S STI diperkenalkan di M’sia – RM123k

    Subaru XV 2.0i-S STI diperkenalkan di M’sia – RM123k

    Motor Image telah memperkenalkan varian baharu bagi model Subaru XV facelift iaitu XV 2.0i-S STI yang dilengkapi dengan aksesori STI. Kit terbabit merangkumi spoiler bumbung belakang STI, spoiler di bahagian bawah belakang STI, dan skirt sisi STI sebagai standard bagi varian ini.

    Walau bagaimana pun, pembeli mempunyai pilihan untuk menambah sedikit elemen, seperti tower bar fleksibel STI, spoiler di bahagian bawah hadapan STI, dan rim aloi 17-inci STI.

    Lain-lain elemen sama ada mekanikal mahu pun luaran dan dalamannya tiada perubahan. Model facelift ini telah dilancarkan pada Januari tahun lalu dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i-Premium.

    XV dijanakan oleh enjin boxer 2.0 liter DOHC empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,200 rpm dan tork 196 Nm pada 4,200 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan, di mana kuasanya disalurkan ke-empat-empat roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive (SAWD). Iaitu sistem ini akan menyalurkan kuasa dengan agihan 60:40 iaitu roda hadapan ke roda belakang.

    Subaru XV 2.0i-S STI ini ditawarkan dengan harga pengenalan RM122,688 (sebelum GST, tanpa insurans, yuran pendaftaran dan cukai jalan), dan harga istimewa ini boleh diperoleh selagi stok masih ada.

     
     
  • IIMS 2017: Kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya

    IIMS 2017: Kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya

    Indonesia International Motor Show (IIMS) 2017 secara rasminya telah pun dibuka pagi tadi, berlangsung di JIExpo, Jakarta dan dilancarkan oleh naib presiden Indonesia Jusuf Kalla. Seperti tahun-tahun sebelum ini, wakil kami Danny Tan hadir ke acara berkenaan untuk meninjau dan memberikan laporan mengenai model-model baharu yang menarik di terima pada pasaran negara tersebut dan juga yang relevan dengan pasaran negara kita.

    Untuk permulaan, kami bawakan kepada anda pasangan kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya, yang baharu sahaja diberikan facelift pada awal bulan ini. Kedua-dua model yang dikelaskan sebagai kereta hijau kos rendah (LCGC) di Indonesia ini diproduksi oleh satu syarikat yang sama iaitu Astra Daihatsu Motor. Bagi mereka yang belum mengetahui, kedua-dua model ini juga mempunyai satu lagi kembarnya di Malaysia iaitu Perodua Axia, yang juga telah menerima facelift pada Januari lalu.

    Namun apa yang berbeza, Ayla dan Agya kini diberikan pilihan enjin yang lebih berkuasa – 1.2 liter Dual VVT-i menjana 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 108 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin 3NR berkenaan juga merupakan enjin yang sama diberikan pada MPV tiga-baris tempat duduk kos rendah Toyota Calya/Daihatsu Sigra. Enjin empat-silinder DOHC tersebut diberikan dua pilihan transmisi sama ada lima kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.

    Pilihan enjin 1.0 liter masih lagi ditawarkan pada Ayla dan Agya, tetapi enjin siri KR berkenaan kini telah diberikan sistem VVT-i dari Toyota, sama seperti yang diterima pada Axia facelift. Sistem VVT-i tersebut mampu mengerah kuasa maksima 67 PS/91 Nm, berbanding enjin tanpa sistem injap bervariasi berkenaan sebelum ini yang hanya mampu menghasilkan kuasa 65 PS/86 Nm. Seperti juga versi 1.2 liter, enjin lebih kecil ini diberikan pilihan kotak gear sama ada manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    Daihatsu memberikan pilihan yang sangat luas untuk bakal pembeli Ayla dengan 10 varian disediakan, berbanding Toyota Agya hanya tujuh varian. Model 1.2 liter diberikan rekaan muka baharu untuk membezakannya dari model 1.0 liter, yang direka agak seiras dengan model pre-facelift. Lampu belakang turut diberi unit tambahan pada pintu tailgate untuk rupa yang lebih segar dan membezakan antara versi 1.0 liter dan 1.2 liter.

    Varian tertinggi Ayla 1.2 R Deluxe seperti di dalam gambar di atas (warna oren hanya diberikan untuk model 1.2L) hadir dengan lampu posisi LED serta lampu nyalaan siang LED, lampu kabus, lampu isyarat membelok pada cermin sisi, muffler krom serta kit badan. Model ‘R’ ini turut dilengkapi unit pemain audio utama 2-DIN dengan skrin sesentuh serta butang kawalan audio pada stereng. Walau bagaimanapun, sistem kunci pintar bersama butang penghidup serta pemegang pintu tailgate seperti yang terdapat pada Axia facelift tidak diberikan pada adik-beradiknya di Indonesia ini.

    IIMS 2017: Kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya

    Toyota Agya pula hadir dengan pilihan varain 1.0 E, 1.0 G, 1.2 G dan 1.2 TRD S. Model 1.2 liter menerima Bluetooth, butang kawalan audio, rim aloi 14-inci dua-ton dan juga visor pintu. Bagi model tertinggi TRD S, ia diberikan bampar dengan rekaan “senyuman Joker” serta kit badan lengkap yang terdiri pemanjang pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi serta spoiler bumbung lengkap dengan lampu brek serta logo TRD pada bahagian sisi dan belakang.

    Model Agya TRD ini juga satu-satunya model yang ditawarkan dengan warna kuning baharu serta sistem brek ABS (varian tertinggi Ayla turut tidak diberikan sistem ABS).

    Kesimpulannya, walaupun model-model yang ditawarkan dengan pakej rupa yang lebih menarik serta enjin yang lebih besar, namun model Axia yang dihasilkan oleh Perodua untuk pasaran Malaysia diberikan ciri keselesaan dan juga keselamatan yang lebih baik. Daihatsu Ayla dijual pada harga bermula 92,550,000 rupiah (RM30,213) hingga 146,250,000 rupiah (RM47,751), manakala Toyota Agya pula dijual pada harga bermula 131,500,000 rupiah (RM42,935) hingga 151,900,000 rupiah (RM49,596).

    GALERI: Daihatsu Ayla 1.2 R Deluxe

    GALERI: Daihatsu Ayla 1.0 X

    GALLERI: Toyota Agya 1.2 TRD S

    GALERI: Toyota Agya 1.0 G

     
     
  • Mazda MX-5 RF kini di M’sia – A/T, M/T, dari RM243k

    Mazda MX-5 RF kini di M’sia –  A/T, M/T, dari RM243k

    Pada Ogos tahun lalu, Bermaz iaitu pengedar Mazda yang sah di Malaysia telah mengesahkan model MX-5 versi bumbung fabrik atau soft top bakal dihentikan penjualannya di negara ini. Model tersebut digantikan dengan MX-5 versi RF Hardtop, iaitu model dengan bumbung logam yang boleh dilipat.

    Februari 2017, MX-5 RF ini telah pun mula berada di bilik pameran Mazda. Setelah dua bulan berlalu, barulah petang ini Bermaz mengumumkan harga atas jalan termasuk insurans di pasaran Malaysia iaitu RM248,182 bagi versi auto dan RM242,717 untuk manual.

    Sebagai pengetahuan, RF adalah akronim kepada ‘Retractable Fastback’. Ia adalah rekaan pertama seumpamanya dan berbeza sedikit dari cabriolet atau convertible biasa. Jika bumbung kereta ini terpasang, bentuk keseluruhan MX-5 RF adalah hampir kepada bentuk Fastback (seperti Ford Mustang Fastback atau Toyota Celica Fastback generasi pertama) dan tidak seperti Roadster hardtop lain.

    Mazda MX-5 RF kini di M’sia –  A/T, M/T, dari RM243k

    Selepas bumbung dibuka dan dilipat ke dalam pula, penampilan RF ini lebih kepada sebuah kereta sport ‘Targa Top‘ (seperti Toyota Supra Targa Top atau Porsche 911 Targa), dan tidak kelihatan seperti Roadster.

    Bumbung, cermin belakang dan panel sisi berkenaan dilipat dan disimpan pada bahagian belakang, dengan bantuan elektrik dalam masa hanya 12 saat, dan boleh dioperasikan pada kelajuan di bawah 10km/j.

    Beza antara MX-5 RF dengan MX-5 soft top adalah ia menggunakan bumbung besi yang boleh dilipat, dan dimasukkan ke bahagian belakang secara automatik dalam masa hanya beberapa saat dengan menekan butang di bawah tombol pengawal pendingin hawa. Bermakna pengguna tidak perlu melakukannya secara manual dan ia boleh diaplikasikan pada kelajuan sehingga 10 km/j.

    Mazda MX-5 RF kini di M’sia –  A/T, M/T, dari RM243k

    Di bawah hudnya terdapat enjin petrol 2.0 liter SkyActiv-G empat-silinder dengan hamburan kuasa 158 hp dan torque 200 Nm, sama seperti versi soft top. Selain transmisi automatik, ia turut ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan SkyActiv-MT.

    Elemen lain sama juga seperti versi soft top termasuklah lampu utama LED adaptif, lampu nyalaan siang LED, rim 17-inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin hawa automatik, kawalan kelajuan, skrin TFT berwarna-sepenuhnya 4.6-inc bagi sistem hiburan dan skrin sesentuh tujuh-inci untuk sistem informasi MZD Connect bersama sistem bunyi Bose sembilan-pembesar suara.

    MX-5 RF ini ditawarkan dengan pilihan warna iaitu Soul Red Metallic, Crystal White Pearl, Machine Grey dan Jet Black. Pembeliannya juga turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun/100,000 km dan tiga-tahun/60,000 km bagi pakej servis percuma.

    Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai MX-5 RF ini, sila layari CarBase.my.

     
     
  • Mazda 3 2017 dilancarkan di M’sia – kini dengan G-Vectoring Control, tiga varian, harga dari RM111k

    Mazda 3 2017 dilancarkan di M’sia – kini dengan G-Vectoring Control, tiga varian, harga dari RM111k

    Hari ini, Mazda 3 2017 telah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia, selepas ia mula berada di pasaran Thailand beberapa bulan yang lalu. Seperti mana Mazda 2, Mazda 3 2017 ini juga menawarkan pilihan sedan (varian Sedan High dan Sedan GL) dan hatchback yang hadir dengan imej yang lebih bergaya dan menguja. Malah bahagian mekanikalnya juga turut dipertingkatkan.

    Mazda 3 baharu ini dijanakan oleh enjin petrol 2.0 liter SkyActiv-G 4-silinder sebaris yang mampu menghamburkan kuasa 162 hp pada 6,000 rpm dan tork 210 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan bersama Manual Shift Mode.

    Peningkatan mekanikal bagi Mazda 3 unit pemasangan tempatan (CKD) ini ialah menampilkan Mazda SkyActiv-Vehicle Dynamics termasuk sistem G-Vectoring Control baharu secara standard. Sistem ini memberikan tork enjin yang berbeza mengikut respon stereng, kawalan pecutan sisi dan kuasa pendikit yang lebih langsung dan responsif.

    Mazda 3 2017 dilancarkan di M’sia – kini dengan G-Vectoring Control, tiga varian, harga dari RM111k

    Seperti mana yang disebut, imej bagi Mazda 3 2017 ini turut di pertingkatkan dengan suntikan imej yang lebih segar. Pada bahagian hadapannya yang nampak lebih sporty, grilnya telah direka semula termasuk memposisikan logo Mazda serta meletakkan krom yang lebih tebal di sekelilingnya.

    Tampak lebih segar apabila ia turut ditampilkan dengan lampu utama baharu LED (halogen bagi sedan GL) yang disambung bersama lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED bagi Sedan High dan Hatchback. Manakala lampu utama halogen dengan lampu kabus LED, tanpa ditampilkan lampu nyalaan siang bagi Sedan GL.

    Melewati bahagian belakangnya pula, versi sedan masih mengekalkan hampir kesemua identitinya seperti sebelum ini. Namun bagi versi hatchback, ia ditampilkan dengan bampar baharu dengan lampu kabus belakang LED (mentol biasa bagi Sedan GL) dan reflektor yang dibentuk semula.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, elemen baharu yang ditampilkan termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi yang direka semula, dan brek parkir elektronik, yang menggantikan brek tangan pada model sebelumnya. Selain itu, ia turut menampilkan Paparan Pemanduan Aktif (paparan unit utama) bagi varian Sedan High dan Hatchback.

    Selain itu, elemen lain yang turut ada termasuklah pendingin hawa automatik (manual bagi Sedan GL), sistem infotainmen MZD Connect yang disambung dengan paparan skrin sesentuh tujuh-inci pada papan pemuka dan tombol Commander Control pada konsol tengah. Bukan itu sahaja, elemen seperti operasi tanpa kunci, pemilih mod pemanduan dan kawalan kelajuan turut ditampilkan.

    Bagi aspek keselamatan, Mazda 3 didatangkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, bantuan brek, Kawalan Kestabilan Dinamik, kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Isyarat Kecemasan.

    Mazda 3 2017 dilancarkan di M’sia – kini dengan G-Vectoring Control, tiga varian, harga dari RM111k

    Bagi varian spesifikasi tertinggi, ia turut ditampilkan dengan i-Activsense suite, termasuk Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Paparan Titik Buta (BSM), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, Sokongan Brek Bandar Pintar (hadapan dan belakang), sistem Amaran Penukaran Lorong, Bantuan Kekal Lorong dan Kepekaan Perhatian Pemandu.

    Empat warna pilihan menarik yang ditampilkan ialah Artic White, Blue Reflex, Meteor Grey dan Aluminium Metallic.

    Mazda 3 2017 ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans ialah RM110,804 bagi Sedan GL, RM125,804 untuk Sedan High dan Hatchback pula RM128,804, ketiga-tiganya untuk warna luaran solid. Bagi yang inginkan warna metalik, perlu menambah kos tambahan sebanyak RM400 (bagi semua varian). Setiap pembelian didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan tiga-tahun/60,000 km bagi pakej servis percuma.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perincian dan spesifikasi penuh, sila klik pautan berikut bagi varian sedan dan hatchback.

     
     
  • Mazda CX-5, CX-9 generasi baharu bakal tiba di Malaysia dijangka pada September atau Oktober ini

    Mazda CX-5, CX-9 generasi baharu bakal tiba di Malaysia dijangka pada September atau Oktober ini

    Pengedar Mazda di Malaysia, Bermaz, telah memberitahu, generasi baharu bagi Mazda CX-5 dan CX-9, dijangka bakal tiba di pasaran tempatan pada bulan September atau Oktober ini. Model CX-5 tersebut hadir dengan unit pemasangan tempatan (CKD), dan pastinya akan ditawarkan dengan harga yang lebih kompetitif.

    Bagi generasi kedua SUV saiz sederhana serba baharu yang diperkenalkan di LA Auto Show pada November tahun lalu, Bermaz akan turut menawarkannya dalam warna istimewa Soul Red Crystal yang sebelum ini tiada dalam senarai warna bagi model pemasangan tempatan.

    Menurut Dato’ Ben Yeoh, Pengarah Eksekutif Bermaz berkata, disebabkan CX-5 generasi baharu ini diproduksi secara pemasangan tempatan, harga yang ditawarkan pasti lebih kompetitif, malahan ia juga akan dieksport ke negara ASEAN lain.

    Mazda CX-5, CX-9 generasi baharu bakal tiba di Malaysia dijangka pada September atau Oktober ini

    Beliau turut mengesahkan, CX-5 serba baharu ini akan ditawarkan dengan enjin petrol 2.0 liter dan 2.5 liter SkyActiv-G serta varian diesel 2.2 liter SkyActiv-D pengecas turbo, dengan transmisi SKyActic-Drive enam-kelajuan serta turut akan ditampilkan dengan sistem G-Vectoring Control.

    Dalam masa yang sama, model CX-9 yang dipertontonkan awal tahun ini, juga akan dijual secara rasminya di sini dengan menampilkan model spesifikasi Australia. Ia akan ditawarkan dengan enjin yang sama iaitu 2.5 liter SkyActiv pengecas turbo. Walau bagaimana pun, Bermaz tidak memaklumkan adakan CX-9 juga akan diproduksi secara pemasangan tempatan mahu pun tidak.

     
     
  • Kia bakal bina kilang di India, siap pada Q2 2019

    Kia bakal bina kilang di India, siap pada Q2 2019

    Kia Motors telah mengumumkan untuk membina kilang pemasangan baharunya di India, yang pertama di Republik berkenaan. Ia akan mula di bina pada suku terakhir tahun ini, terletak di wilayah Anantapur, Andhra Pradesh.

    Kilang berkenaan dibina dengan pelaburan sejumlah US$1.1 bilion, dan ia dijangka bakal memulakan operasinya bermula pada separuh kedua 2019 serta disasarkan untuk menghasilkan 300,000 unit kenderaan setahun. Kereta pemasangan tempatan untuk pasaran negara berkenaan bakal dijual pada penghujung 2019, setelah produksi secara besar-besaran bermula.

    Syarikat pengeluar automotif dari Korea berkenaan merancang untuk menghasilkan sedan kompak strategik dan SUV kompak untuk pasaran India, yang bakal menggunakan kawasan sebesar 23 juta kaki persegi yang dilengkapi fasiliti untuk proses stamping, kimpalan, mengecat dan juga pemasangan. Kawasan tersebut juga bakal menempatkan fasliti pelbagai syarikat pembekal.

    India merupakan negara dengan pasaran kereta baharu yang paling cepat berkembang dan juga pasaran kelima terbesar di dunia dengan lebih dari 3.3 juta kereta baharu dijual pada tahun 2016 – tidak hairanlah mengapa Kia tidak teragak-agak untuk melabur di negara berkenaan. Ramalan juga menyebut India bakal menjadi pasaran kereta ketiga terbesar di peringkat global menjelang akhir 2020 kelak.

     
     
  • Honda Wave 125i 2017 diperkenalkan di Malaysia – harga bermula dari RM6,263 hingga RM6,549

    Honda Wave 125i 2017 diperkenalkan di Malaysia – harga bermula dari RM6,263 hingga RM6,549

    Boon Siew Honda, pengedar motosikal Honda di Malaysia telah mengumumkan bahawa Honda Wave 125i 2017 kini telah pun masuk ke pasaran tempatan. Dua varian ditawarkan bagi kapchai ini iaitu model yang dibekalkan brek cakera hanya untuk bahagian hadapan – dijual pada harga RM6,263, manakala versi yang diberikan brek cakera hadapan dan belakang dijual pada harga RM6,549. Harga yang dinyatakan adalah termasuk GST, tetapi tanpa cukai jalan, insuran dan pendaftaran.

    Model versi 2017 ini diberikan lampu belakang baharu bersama lampu isyarat membelok yang kini telah dibina secara bersepadu. Rekaan tersebut dilihat lebih menarik berbanding rekaan pada model-model kapcai sedia ada Honda dimana lampu isyarat membelok direka berasingan dan kelihatan agak janggal.

    Wave 125i dijana enjin empat lejang satu-silinder 124.9 cc dengan sistem penyejukkan udara. Menerima suapan campuran udara dan bahan api menerusi sistem suntikan PGM-Fi, enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 9 hp pada takat 7,500 rpm serta tork maksima 10 Nm pada takat 5,500 rpm. Kuasa dialirkan ke roda belakang menggunakan rantai menerusi kotak gear klac centrifugal automatik empat-kelajuan.

    Ruang storan berkapasiti 18-liter ditempatkan di bawah tempat duduk, mampu untuk menyimpan sebuah topi keledar full-face. Tangki bahan api juga diletakkan di bawah tempat duduk, mampu untuk membekalkan 5.4 liter petrol pada satu isian penuh. Berat keseluruhan Wave 125i ini ditimbang pada 105 kg untuk versi satu cakera brek, manakala model dengan dua cakera brek adalah 2 kg lebih berat.

    Motosikal baharu ini telahpun diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan menurut Honda ia mampu pergi sejauh 300 km dengan satu isian tangki petrol penuh, berdasarkan ujian standard ECE R40. Tiga warna ditawarkan untuk model baharu ini iaitu Candy Scintillate Red, Pearl Nightfall Blue dan Sword Silver Metallic.

    Setiap pembelian Honda Wave 125i 2017 didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km, bersama tambahan setahun atau 10,000 km waranti untuk enjin. Model baharu ini bakal dipamerkan di semua bilik pameran pengedar sah Boon Siew Honda bermula esok.

     
     
  • Mitsubishi dinamakan sebagai pengeksport automotif terbesar di Thailand, dahului Toyota dan Honda

    Mitsubishi dinamakan sebagai pengeksport automotif terbesar di Thailand, dahului Toyota dan Honda

    Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah menjadi pengeksport automotif nombor-satu di Thailand buat pertama kali dalam sejarah. Jenama berkenaan telah mencatatkan jumlah eksport keseluruhan 309,915 unit untuk tempoh 12-bulan yang berakhir pada 31 Mac 2017, mendahlui pesaing-pesaingnya yang lain.

    Dengan prestasi ini, fasilitinya di Laem Chabang (hab produksi utamanya di rantau ASEAN) kini merupakan hub produksi global terbesar, dengan lebih 80% dari kesemua produksinya dieksport ke luar negara.

    Kapasiti produksi fasiliti berkenaan yang mencecah 424,000 kenderaan merupakan yang terbesar daripada keseluruhan kilang MMC di peringkat global, dan hasil produksi berkenaan dieksport ke lebih 120 negara di seluruh dunia. MMC mempunyai empat buah kilang di Thailand, dioperasikan oleh lebih dari 6,000 pekerja.

    Untuk tahun fiskal terakhir, operasi MMC di Thailand memproduksi 353,000 kenderaan, dan destinasi eksportnya adalah Eropah (28%), rantau ASEAN dan Asia (25%), Amerika Utara (21%), Oceania (12%) dan lain-lain (14%).

    Pengumuman ini telah disiarkan serentak dengan pembukaan kilang Mitsubishi di Bekasi, Jawa Barat sebelum ini. Kilang di Bekasi berkenaan mempunyai kapasiti produksi sebanyak 160,000 setahun, dan ia merupakan kilang Mitsubishi kedua terbesar di rantau ini. Kilang tersebut akan memproduksi SUV Pajero Sport dan juga MPV tujuh-tempat duduk baharu Mitsubishi yang bakal bermula Oktober ini.

     
     
  • JPJ cadang meluaskan perkhidmatan Kaunter 1JPJ

    JPJ cadang meluaskan perkhidmatan Kaunter 1JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang merancang untuk memperluaskan lagi perkhidmatan Kaunter 1JPJ iaitu kaunter bergerak yang telah sedia ada di beberapa lokasi di negara ini. Setakat ini, JPJ hanya mempunyai 14 buah van yang berfungsi sebagai Kaunter 1JPJ dan ada JPJ negeri iaitu Perlis dan Negeri Sembilan tidak mempunyai kaunter ini.

    Menurut Pengarah bahagian kewangannya, Datuk Kamarudin Mohamad Saad, JPJ memerlukan tambahan 14 buah Kaunter 1JPJ, dalam usaha memperluaskan lagi perkhidmatan jabatan berkenaan secara lebih efisien, dan berharap ia dapat diperoleh dalam masa terdekat. Ia adalah satu keperluan untuk menambah baik mutu dan memperluaskan rangkaian perkhidmatan sedia ada, laporan Bernama.

    “Kita juga sentiasa menggerakkan Kaunter 1JPJ supaya perkhidmatan jabatan dapat sampai ke semua peringkat masyarakat termasuk di kawasan pedalaman yang jauh dari cawangan JPJ bagi memberi kemudahan yang menyeluruh,” katanya .

    Dalam masa yang sama, Kamarudin berkata JPJ turut bekerjasama dengan Pos Malaysia bagi menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan dalam talian sebagai langkah transformasi sistem penyampaian dan perkhidmatan sedia ada.

    Melalui inisiatif ini, urusan perkhidmatan seperti pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan perlu dilakukan menerusi laman sesawang kita dan lesen dan cukai jalan berkenaan akan dihantar kepada pelanggan menggunakan khidmat pos laju. Ia dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat, katanya.

    Ketika ini, perkhidmatan pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan ditawarkan di kaunter Pos Malaysia.

    Bagi tahun ini, JPJ mensasarkan kutipan hasil RM4 bilion bagi semua perkhidmatan yang ditawarkan selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan iaitu peningkatan kutipan 5% setiap tahun.

    Katanya lagi, pada tahun lepas, JPJ mengutip hasil kira-kira RM3.9 bilion iaitu meningkat 6% berbanding RM3.7 billion pada tahun sebelumnya.

     
     
  • Honda Civic terima penarafan 5-bintang dari ANCAP

    Honda Civic terima penarafan 5-bintang dari ANCAP

    Bagi ujian terkini yang dijalankan, Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) telah memberi penarafan lila-bintang buat Honda Civic Sedan dan Civic Hatchback. Di mana nilai keselamatan bagi Civic Hatch adalah berdasarkan ujian pelanggaran bagi Civic Sedan, dan boleh digunapakai untuk semua varian kecuali Civic Type R.

    Civic berjaya memperoleh 14.57 daripada 16 mata penuh bagi ujian pelanggaran hadapan, dan 14.93 daripada 16 mata bagi ujian impak sisi. Dengan memiliki pengingatan tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk, kenderaan segmen-C ini menerima markah keseluruhan sebanyak 34.68 daripada 37 mata penuh, membolehkannya menerima penarafan lima-bintang.

    Bagi elemen keselamatan standard, Civic spesifikasi Australia dilengkapi dengan enam beg udara (pemandu dan penumpang, sisi hadapan, hadapan dan tirai belakang), kawalan kestabilan elektronik (ESC), ABS dengan EBD dan bantuan brek. Ia sama dengan Civic yang dijual di Malaysia, sama ada bagi varian asas 1.8 S hinggalah yang tertinggi 1.5 TC-P.

    Walau bagaimana pun, varian terpilih bagi Civic di Australia juga dilengkapi dengan brek kecemasan sendiri (AEB), pemantauan titik buta (BSM), sistem sokongan lorong (LSS) dan kawalan kelajuan adaptif.

     
     
  • Enjin 2.0 liter turbo Mercedes-AMG A45 generasi berikutnya bakal hasilkan kuasa lebih dari 400 hp

    Enjin 2.0 liter turbo Mercedes-AMG A45 generasi berikutnya bakal hasilkan kuasa lebih dari 400 hp

    Ketika Jepun mendominasi pasaran kereta sport dengan enjin 2.0 liter turbo pada era 90’an dahulu, kuasa sekitar 250 hp – 280 hp yang dihasilkan oleh enjin-enjin seperti 4G63T, EJ20T dan SR20DET dilihat sudah cukup berkuasa. Namun, kebelakangan ini pembuat automotif dari Jerman juga sudah mula menghasilkan kereta sport dengan enjin 2.0 liter turbo, tetapi dengan kuasa yang jauh lebih tinggi.

    Pada tahun 2013, Mercedes-AMG A 45 diperkenalkan, hadir dengan enjin M133 2.0 liter turbo menghasilkan kuasa 360 hp – diiktiraf sebagai enjin produksi empat-silinder paling berkuasa di dunia ketika itu. Tidak mustahil sebenarnya untuk menghasilkan enjin berkapasiti sedemikian dengan kuasa sebesar itu, tetapi enjin tersebut adalah enjin produksi kilang – bermaksud ia ditala bukan sahaja untuk prestasi puncak, malah turut mengambil kira kesesuaiannya untuk digunakan seharian serta ketahanannya untuk jangka masa panjang.

    Kebolehan AMG untuk menghasilkan enjin sedemikian tidak terhenti setakat itu di mana pada tahun 2015, A 45 facelift diperkenalkan – menggunakan enjin M133 yang sama, tetapi kali ini menghasilkan kuasa 381 hp. Terbaharu, menurut laporan CarAdvice, AMG mengumumkan bakal menghasilkan enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa lebih dari 400 hp untuk A 45 generasi berikutnya bagi bersaing dengan Audi RS3 yang dijana enjin 2.5 liter lima-silinder turbo yang kini berkuasa 400 hp.

    CEO Mercedes-AMG Tobias Moers memberitahu CarAdvice bahawa hot-hatch generasi baharu berkenaan bakal dijana oleh enjin 2.0 liter serba baharu yang lebih berkuasa, dijangka akan muncul mungkin dalam tempoh dua tahun lagi.

    Ketika ditanya adakah enjin baharu tersebut akan diberikan pengecas turbo elektrik seperti yag ditampilkan pada enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris S-Class facelift, jawab Moers, “Ya, turbin elektrik merupakan sesuatu yang kami akan kaitkan secara rapat, tetapi mungkin bukan untuk enjin versi pertama.”

    Moers menyatakan buat masa sekarang masih lagi terlalu awal untuk memperkatakan berkenaan perincian. “Kami perlu melakukan sesuatu yang istimewa,” kata Moers dan menambah enjin tersebut bakal menerima kuasa lebih dari 400 hp. “Kami tidak mahu untuk memberikan tip atau kelebihan kepada pesaing kami, tetapi kami perlu untuk menghasilkan lebih dari 300 kW (402 hp) – ini merupakan standard baharu,” jelasnya lagi.

    Selain dari itu, sistem pacuan semua roda 4Matic untuk A 45 generasi baharu ini turut bakal menampilkan elemen dari sistem 4Matic+ dengan agihan tork bervariasi sepenuhnya seperti sistem pada Mercedes-AMG E 63 baharu. Namun, memandangkan E 63 menampilkan bentangan enjin menegak manakala A 45 pula melintang, Moers menyatakan “tidak mudah sebenarnya untuk menyesuaikan teknologi AWD tersebut dari E- ke A-Class.

     
     
  • VIDEO: Honda S2000 GT Edition 100 ditampilkan

    Episod pertama bagi siri video Honda Heritage oleh Honda UK telah dikeluarkan dan di dalamnya, anda boleh menyaksikan kereta convertible paling ikonik jenama itu iaitu Honda S2000. Malah, ini bukan sekadar sebuah S2000 lama yang biasa, tetapi adalah GT Edition 100, yang dikeluarkan bagi memperingati pemberhentian pengeluaran kenderaan sports pacuan belakang Honda.

    Hanya 100 unit (kereta yang ditampilkan ini bernombor 36) kenderaan edisi istimewa ini dihasilkan, dan ia adalah khas untuk pasaran United Kingdom sahaja, manakala negara Eropah lain mendapat versi Ultimate Edition. Kereta ini juga mempunyai perincian unik dan ia dijelaskan oleh pegawai media dan penyelaras barisan kenderaan Honda UK, Tom Lynch dalam video ini.

    Beliau juga menerangkan bahawa S2000 Edition 100 ini diasaskan daripada model AP2, yang pertama kali muncul sebagai model tahun 2004. Lampu utama, lampu belakang, bampar belakang, ekzos dan talaan casis baru adalah antara perubahan yang ada bagi model ini berbanding model AP1 sebelum facelift.

    Di bawah hud kereta ini terdapat enjin empat silinder 2.0 liter VTEC N/A yang boleh dikerah sehingga 9,000 rpm dan ia mempunyai kuasa 237 hp pada 8,300 rpm dan 208 Nm tork pada 7,500 rpm. Enjin ini boleh memecut S2000 dari pegun ke 100 km/j dalam masa 6.2 saat dan ia dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan yang menyampaikan kuasa ke roda belakang dan sistem limited-slip differential.

    Pengeluaran S2000 dihentikan pada tahun 2009 dan syarikat itu setakat ini tidak menyatakan sebarang perancangan untuk mengeluarkan model pengganti. Walaupun begitu, terdapat khabar angin bahawa Honda sedang membangunkan S2000 baru, dan sekiranya mereka boleh menghasilkan NSX generasi baru, mengapa pula S2000 tidak, bukan?

     
     
  • Ford kaji kemungkinan menggunakan buluh sebagai material pembuatan komponen dalaman kenderaan

    Tahukah anda buluh merupakan material semula jadi yang paling kuat di dunia? Jika fakta ini tidak tepat, tentu tidak wujud rakit, rumah, malah ada jambatan yang di bina dari buluh bukan? Menyedari kelebihan yang ada pada buluh, Ford akan melabur untuk penyelidikan bagi pembangunan meterial baharu yang kuat seperti gentian karbon dan ringan seperti aluminium – menggunakan gabungan buluh dan plastik.

    Sejak berberapa tahun kebelakangan ini, Ford telah bekerjasama dengan pembekalnya untuk menilai kebolehan buluh bagi digunakan sebagai material untuk komponen bahagian dalaman, dan membuat komponen yang lebih kuat dengan gabungan plastik. Pasukan penyelidik berkenaan menemui bahawa buluh menunjukkan prestasi secara komprehensif lebih baik dari bahan sintetik dan semulajadi lain yang turut diuji. Antara ujian yang dilakukan termasuk ujian kekuatan tegangan, kekuatan tahan impak serta ujian suhu tinggi sehingga 212 darjah Farenheit.

    “Buluh sangat menakjubkan,” kata penyelia kejuruteraan material di Pusat Penyelidikan dan Kejuruteraan Ford Nanjing. “Ia kuat, fleksibel, boleh diperbaharui sepenuhnya, dan sangat banyak China dan di bahagian lain dalam Asia,” tambahnya. Selain senang didapati, buluh juga boleh tumbuh dan matang sepenuhnya dalam masa hanya dua hingga lima tahun.

    Selain dari buluh, Ford sebenarnya telah pun menggunakan bahan-bahan mesra alam lain untuk penghasilan komponennya. Antaraya ialah Kenaf iaitu tumbuhan tropika dari keluarga kapas yang digunakan sebagai alas pintu untuk Ford Escape, serta fabrik Repreve iaitu fabrik yang dihasilkan dari botol plastik, digunakan pada trak pikap F-150.

     
     
  • PLUS laksana sistem bayaran secara elektronik sepenuhnya di semua tol plazanya mulai hari ini

    PLUS laksana sistem bayaran secara elektronik sepenuhnya di semua tol plazanya mulai hari ini

    Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah pun melaksanakan sistem bayaran secara elektronik di kesemua 94 plaza tol di semua lebuhraya kendaliannya mulai hari ini. Ia melibatkan fasa terakhir inisiatif transaksi tol 100% elektronik yang melibatkan laluan Juru-Skudai dilaksanakan mulai jam 12 tengah hari tadi.

    Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, “Bermula hari ini, tiada lagi transaksi tol secara tunai akan dikendalikan dan orang ramai hanya boleh membayar tol secara elektronik dengan menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG yang lebih pantas dan mudah. Secara tidak langsung, langkah ini membantu orang ramai membuat transaksi tol dan melalui plaza tol dengan lebih mudah dan lebih selesa.”

    Secara amnya, sistem pembayaran tol secara elektronik adalah 300% lebih pantas daripada pembayaran tol secara manual/tunai. Satu lorong SmartTAG berupaya mengendalikan kira-kira 16 kenderaan dalam tempoh satu minit (atau 1,000 kenderaan setiap jam). Satu lorong Touch ‘n Go pula boleh mengendalikan kira-kira 10 kenderaan setiap minit (atau 600 kenderaan setiap jam). Lorong Tunai (lorong keluar) pula hanya mampu mengendalikan 3 buah kenderaan dalam masa 1 minit (180 transaksi satu jam).

    PLUS laksana sistem bayaran secara elektronik sepenuhnya di semua tol plazanya mulai hari ini

    Inisiatif transaksi tol secara elektronik sepenuhnya ini telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2008.

    “Pelaksanaan peringkat-peringkat awal telah diadakan di plaza tol dan laluan lain di utara dan selatan sejak beberapa tahun lalu dan ia mendapat respon yang positif daripada orang ramai,” kata Azman.

    Menurut Azman, lorong jualan dan tambah nilai di plaza tol akan dibuka bagi membantu orang ramai yang tidak mempunyai kad elektronik untuk memasuki lebuh raya dan membayar tol. Kad-kad PLUSMiles turut boleh diperoleh di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS yang dibuka di pejabat plaza tol yang utama.

    “Namun begitu, kami menasihatkan orang ramai yang telahpun mempunyai kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go supaya menambah nilai kad masing-masing sebelum mereka memasuki lebuh raya untuk menikmat perjalanan yang lebih selesa tanpa perlu lagi beratur di lorong-lorong Tambah Nilai.

    PLUS laksana sistem bayaran secara elektronik sepenuhnya di semua tol plazanya mulai hari ini

    “Pada ketika ini, terdapat lebih 9,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara. Ia meliputi mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam, pasaraya dan lain-lain lagi,” tambah Azman.

    Orang ramai yang tidak mempunyai kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go juga boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk transaksi tol.

    “MyKad dilengkapi dengan cip Touch ‘n Go dan ia juga boleh digunakan untuk transaksi tol. Orang ramai hanya perlu memasukkan tambah nilai pada MyKad masing-masing sebelum ia boleh digunakan untuk membayar tol dan transaksi perkhidmatan iain seperti bas, LRT, parkir, dan sebagainya” kata beliau.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026