Pakar keselamatan jalan raya menyarankan pihak kerajaan untuk memperkenalkan kamera bergerak bagi meningkatkan lagi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), yang kini sebahagian daripada Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).
Dilaporkan oleh The Sun, ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia Law Teik Hua berkata langkah ini perlu diperkenalkan oleh penguatkuasa bagi mengesan pesalah trafik yang memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.
“Kesan daripada AWAS kini agak terhad, kerana pengguna jalan raya tahu di mana letaknya kamera AES tersebut, jadi mereka akan lebih berhati-hati ketika menghampiri kawasan terbabit. Jadi, daripada menggunakan kamera AES yang tetap ini, mungkin lebih baik juga kita turut menggunakan peranti yag boleh bergerak,” jelasnya.
Lim turut berharap agar pihak polis dapat memainkan peranan yang penting dana sistem mata demerit Kejara dan AWAS, ini kerana sistem yang dijalankan sekarang kini lebih terhad bagi mereka yang dikesan oleh kamera AES terbabit.
Setakat ini, sebanyak 14 kamera AES telah dipasang di seluruh negara, tetapi angkanya akan meningkat “dari masa ke masa, seperti mana yang pernah dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Bagi lima hari pertama AWAS dilaksanakan, sebanyak 13,096 saman telah dikeluarkan, di mana 11,556 daripadanya adalah disebab kesalahan memandu melebihi had laju. “Saya berpendapat ini (jumlah besar bagi pesalah trafik) disebabkan masih ramai yang tidak memahami fungsi AWAS atau mungkin mereka tidak takut dengannya (undang-undang terbabit). Jadi, inilah sebabkan pesalah trafik harus dihukum setimpal dnegan kesalahan yang dilakukan,” ujar Law lagi.
Naza Kia Malaysia telah menambah barisan model Sorento di Malaysia dengan pengenalan satu lagi varian diesel iaitu 2.2 HS Diesel. Harga yang ditetapkan untuk varian ini adalah RM191,888 atas jalan termasuk insurans dan jaminan lima tahun tanpa had batuan. Ia ditawarkan dalam pilihan empat warna iaitu Imperial Bronze, Snow White Pearl, Aurora Black Pearl dan Silky Silver.
Varian 2.2 HS Diesel ini menggunakan enjin sama seperti varian 2.2 LS Diesel, iaitu unit 2.2 liter CRDi turbodiesel, dan ia mampu menghasilkan 200 PS pada 3,800 rpm dan 441 Nm tork pada antara 1,750 hingga 2,750 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan kuasa disampaikan kepada semua empat tayar melalui sistem pacuan Dynamax.
Untuk barangan padanya, varian 2.2 HS Diesel lebih lengkap berbanding 2.2 LS Diesel, dan menghampiri seperti 2.4 HS Petrol. Antara yang diberikan standard adalah lampu utama HID dengan sistem adaptif (varian 2.2 LS Diesel menggunakan lampu halogen), lampu belakang LED, lampu kabus dengan fungsi sebagai lampu membelok, rak bumbung, antena sirip dan rim 19 inci (2.2 LS Diesel menggunakan rim 17 inci).
Di dalam, varian 2.2 HS Diesel dipasangkan dengan tempat duduk kulit, dengan dua yang di hadapan boleh dilaras secara elektrik (tempat duduk pemandu ditambah dengan fungsi sokongan belakang), panel instrumen dengan paparan Supervision tujuh inci dan pedal aloi.
Turut disediakan adalah skrin sesentuh di tengah papan pemuka seperti varian 2.4 MS dan 2.4 HS Petrol, yang mempunyai sambungan Bluetooth dan input lain, serta enam pembesar suara. Untuk memberi lebih kesenangan, akses kepada ruang but boleh dilakukan dengan membuka pintu yang dikuasakan secara elektrik.
Pakej keselamatan kenderaan ini masih tidak berubah dengan adanya enam beg udara, electronic stability control (ESC), vehicle stability management (VSM), ABS dengan EBD dan brake assist, sistem pemerhatian tekanan angin tayar (TPMS) dan cagak ISOFIX.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi serta membandingkan kenderaan ini dengan yang lain, layari CarBase.my.
Mengotakan apa yang dikatakan pada awal Februari lalu, hari ini Kia Malaysia telah pun memperkenalkan varian baharu bagi Sportage iaitu Sportage GT CRDi diesel.
Sportage GT CRDi diesel ini dipadankan oleh enjin 2.0 liter turbodiesel dengan hamburan kuasa 184 hp pada takat 4,000 rpm dan tork 400 Nm antara 1,750 hingga 2,750 rpm. Penjana kuasa ini turut digandingkan dengan kotak gear konvensional automatik enam-kelajuan. Kia mendakwa penggunaan bahan api kombinasi adalah sekitar 6.5 liter per 100 km (15.4 km/l).
Ia juga dipadankan dengan Dynamax AWD yang menawarkan penarikan agihan kuasa pintar serta topang Macpherson bagi suspensi hadapan dan Multi-Link di belakang untuk memberikan kestabilan lebih selesa.
Sama seperti varian petrol, imej luarannya juga masih dikekalkan termasuk menampilkan lampu utama berbentuk tirus yang dipadankan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk bulat bina dalam. Manakala gril utama dengan rekaan signatur “hidung harimau” Kia terletak pada bampar hadapan. Ia diapit perumah lampu lampu kabus pada kedua-dua sisi, dan turut menempatkan lampu kabus dengan empat LED berbentuk empat segi umpama ‘kiub ais’.
Malah ia turut dipadankan dengan roda aloi kemasan krom bersaiz 19-inci bagi menyerlahkan lagi sifat sporty dan elegan SUV ini.
Pada bahagian belakang, lampu kombinasi juga berbentuk tirusbersama jalur LED tiga baris turut disertakan di dalam lampu berkenaan, imej yang kelihatan sempurna bagi varian GT, sama seperti versi petrol.
Bagi bahagian kabinnya, ia dilengkapi dengan pelbagai elemen teknologi terkini termasuklah sistem infotainmen multimedia, sistem bunyi enam-pembesar suara, kluster supervision dengan skrin TFT-LCD 4.2-inci, kamera undur, pendingin hawa auto dwi-zon, cermin pandang belakang elektrokromik, serta tempat duduk balutan kulit, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan larasan elektronik.
Selain itu, ia turut menampilkan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda stereng dengan pedal penukar gear, Drive Mode Select (Eco, Normal, Sport), pengesan parkir hadapan/belakang, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan sistem pemantuan tekanan tayar.
Bagi aspek keselamatannya, dipadankan bersama enam beg udara, cagak ISOFIX serta dilengkapi dengan pakej bantuan pemanduan aktif penuh yang terdiri dari Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSM) yang menghubungkan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (MDPS) dan juga Bantuan Mula Mendaki (HAC).
Sportage GT CRDi diesel ditampilkan dengan lima warna pilihan iaitu Cherry Black, Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl dan Mineral Silver. Ditawarkan pada harga RM159,888, setiap pembeliannya juga didatangkan dengan waranti lima tahun tanpa perbatuan terhad.
Untuk mengetahui perincian dan spesifikasi penuh bagi Sportage 2.0D GT-Line ini, sila layari CarBase.my.
Liberalisasi berfasa untuk tarif kenderaan dan kebakaran yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) telah bermula untuk fasa 1 pada 1 Julai 2016, dan kini bersedia untuk ke peringkat seterusnya pada 1 Julai tahun ini.
Fasa kedua program ini, yang menuju ke arah penghapusan tarif kenderaan dan kebakaran menjelang 2019 ini akan melihatkan kadar premium untuk komprehensif kenderaan diliberalisasikan, dengan harga akan ditetapkan oleh setiap penanggung insurans dan pengendali Takaful berdasarkan sistem penilaian berasaskan risiko.
Bermula 1 Julai 2017, jumlah yang dibayar oleh seseorang untuk insurans tidak lagi berdasarkan senarai harga tetap, tetapi melihat kepada profail risiko masing-masing. Secara teorinya, ini bermaksud, harga yang ditetapkan oleh dua pemberi insurans boleh jadi berbeza.
Kadar premium bagi polisi kenderaan third-party walaubagaimanapun akan tetap diteruskan dan akan dikawal selia dan bergantung kepada kadar tarif, dengan peningkatan harga berperingkat. Industri insurans telah menyatakan bahawa segmen tersebut “terlalu murah” pada masa ini dan penentuan semula tarif akan menjadikan harganya meningkat.
Sementara syarikat insurans masih belum mendedahkan perincian bagaimana premium komprehensif kenderaan mereka akan ditentukan, dan paling penting, bagaimana harganya untuk pengguna, BNM telah mengeluarkan cadangan beberapa perincian dan bagaimana keadaan hasil liberalisasi ini.
Dalam taklimat media yang diberikan berkenaan subjek tersebut, bank pusat menyatakan bahawa langkah ke arah liberalisasi ini telah lama tertangguh, dan pertukaran kepada sistem penilaian berasaskan risiko ini akan membawa inovasi serta lebih bermanfaat kepada pengguna.
“Realitinya, premium yang dikumpul hari ini, dan tuntutan yang dibayar, terutamanya untuk kerosakan badan mempunyai perbezaan yang besar. Mengambil kira kami tidak pernah menyentuh penetapan harga sejak tahun 1978, ini boleh dikira sudah berlaku agak lama. Untuk jangka masa panjang, perkara ini tidak boleh bertahan,” kata pembantu gabenor BNM, Jessica Chew.
Beliau menjelaskan bahawa pembukaan pasaran ini “akan membenarkan pemberi insurans untuk mengambil kira faktor risiko yang lebih meluas, dan ia akan mengurangkan subsidisasi bertentangan antara kelas perniagaan serta kumpulan risiko.”
Ia juga mensasarkan peningkatan keselamatan atas jalan, memberi insentif kepada pengurusan risiko yang bagus dan memupuk sikap memandu yang lebih selamat. Hasilnya, pemandu yang tidak mempunyai sejarah tuntutan atau pemanduan melulu akan mendapat lebih ganjaran manakala mereka yang sebaliknya akan dikenakan premium lebih tinggi.
Melalui sistem baru ini juga, lebih banyak faktor risiko yang akan diambil kira untuk menentukan premium. Selain jumlah yang diinsuranskan, kapasiti enjin, serta umur kenderaan dan pemandu, premium juga boleh ditentukan melalui faktor lain. Boleh jadi, ini termasuk sistem keselamatan pada kenderaan, tempoh masa kenderaan berada di lokasi tertentu (kawasan yang mempunyai jumlah kecurian tinggi) dan rekod kesalahan trafik.
Sama seperti sistem yang digunakan di negara luar seperti UK, faktor seperti ini akan menentukan kumpulan profail risiko pemegang polisi tersebut, yang kemudiannya akan membantu menetapkan premium. Memandangkan pemberi insurans dan pengendali takaful akan mempunyai cara berbeza untuk menentukan kumpulan profail risiko, harga polisi kenderaan bermotor juga akan jadi berbeza di antara pemberi insurans.
Peningkatan terhadap perlindungan pelanggan juga akan diperkenalkan, untuk memastikan pentadbiran yang lebih baik untuk rekaan produk dan harganya. Pemberi insurans dijangka menilai risiko ini sewajarnya, dan secara konsisten supaya lebih adil bagi pelanggan. Rangkuman penilaian juga akan ditunjukkan kepada pelanggan, jadi mereka boleh membandingkannya dengan pemberi insurans yang lain.
Walaupun pemberi insurans dapat menentukan bagaimana struktur produk mereka, berserta harganya, pelanggan tidak perlu takut dengan peningkatan harga yang tinggi dengan penghapusan tarif ini. Bank pusat akan memberikan input yang berkenaan untuk memastikan harga di pasaran tidak ditetapkan sesuka hati.
“Semua syarikat insurans dikehendaki menunjukkan produk serta harga mereka dengan BNM, di mana kami kemudiannya akan memerhatikannya. Ini akan memberikan kami peluang untuk memerhatikan apa faktor risiko yang diambil kira dan bagaimana ia diterjemahkan kepada harga yang perlu dibayar. Kami akan memastikan pelarasan tersebut masuk akal dan mempunyai tahapnya. Pelarasan yang keterlaluan adalah sesuatu yang kami akan campur tangan,” jelas Chew.
Bank pusat menjangkakan tidak akan ada perubahan harga yang besar, malah mungkin harga akan turun dalam selang masa yang singkat disebabkan persaingan di antara pemberi insurans.
Untuk pengguna, ini bermakna anda akan mempunyai lebih banyak pilihan, dalam harga yang kompetitif, dan anda boleh memilih insurans yang lebih bersesuaian. “Pengguna sepatutnya akan mendapat manfaat daripada pasaran yang telah dileberalisasikan ini, di mana anda mempunyai lebih kawalan terhadap apa yang dibayar,” tambah Chew.
“Kita memerlukan suasana baru ini kerana dengannya, kita akan dapat melihat lebih banyak inovasi dalam pasaran dan ini akan memberikan pengguna lebih banyak pilihan dalam apa rangkuman insurans yang mereka mahu, berbanding produk yang standard,” kata Chew lagi.
Bank pusat pula menyarankan pengguna supaya tidak sekadar melihat kepada harga semasa ingin membeli pelan insurans kenderaan, tetapi juga perlu memberi perhatian kepada apa yang diliputi dalam pakej tersebut.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mahu membawa rekod prestasi 2016 ke tahun ini, justeru banyak perancangan telah dilakukan dan bakal disempurnakan terutamanya dalam soal jualan produknya.
Menurut Mark Raine, timbalan presiden, jualan dan pemasaran, akan ada lebih banyak model/varian yang bakal diperkenalkan pada tahun ini berbanding 2016. Pada tahun lalu, syarikat ini telah melancarkan 17 buah model termasuk W213 E-Class, C117 CLA facelift, R172 SLC, C205 C-Class Coupe (dan Cabriolet), G-Class facelift dan X166 GLS.
“Kami telah melancarkan banyak produk pada tahun lalu, namun akan melancarkan lebih banyak produk bagi tahun ini. Kami telah mencapai posisi tertinggi dan bukanlah suatu perkara yang mudah untuk kekal. Perkara yang paling berbahaya sekiranya kami berasa berpuas hati dengan apa yang ada, jadi kami tidak mahu ia terjadi,” ujarnya memberitahu paultan.org.
Raine memberitahu, syarikat ini akan memperkenalkan lebih banyak pilihan varian bagi SUV dan Dream Cars, ada antaranya tidak lama lagi.
“Portfolio produk kami hampir lengkap, ditambahkannya lagi dengan kehadiran beberapa model baharu dan yang dipertingkatkan yang bakal dimasukkan dalam barisan, dan anda boleh menjangkakan yang bakal dilancarkan ini adalah setiap satu daripada empat kumpulan produk kami,” tambahnya lagi. Setakat ini, syarikat memiliki lebih 50 model dalam portfolio produknya di pasaran tempatan.
Produk spesifik termasuklah X156 GLA facelift yang bakal tiba di sini tidak lama lagi, dan juga Mercedes-AMG E 63, mungkin akhir tahun ini. Malah turut telah diumumkan ialah pelancaran W213 E 350 e plug-in hybrid, yang bakal memasuki pasaran ini pada suku ketiga 2017.
Selain itu, beberapa model AMG 43 juga akan diperkenalkan tidak lama lagi, malah Raine turut berkata ia adalah sebahagian daripada perancangan meraikan ulang tahun ke-50 AMG. Beliau turut menambah, W222 S-Class facelift pula hanya akan diperkenalkan di pasaran tempatan tahun hadapan.
Perodua Bezza dinobatkan sebagai kereta terbaik oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi kategori produk pengangkutan dan kawasan awam 2016.
Anugerah berkenaan telah diserahkan oleh MRM dalam satu majlis Anugerah Reka Bentuk Terbaik Malaysia 2016/2017 baru-baru ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata pengiktirafan yang diberikan ini adalah sebagai satu penghargaan terhadap usaha gigih bagi menghasilkan sebuah kereta berjenama Malaysia dengan ciri-ciri standard global.
“Malahan ia juga akan membantu kami untuk terus mempertingkatkan keupayaan yang diharapkan dapat melangkaui jangkaan pelanggan. Ini kerana kami sememangnya yakin dengan pendirian untuk sentiasa menambah baik aktiviti sedia ada”, katanya.
Bahagian atas badan Perodua Bezza itu direka sepenuhnya oleh Perodua dan merupakan kereta sedan nasional pertama berstatus Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Perodua Bezza telah dilancarkan pada 21 Julai 2016 dan kini masih menjadi sedan terlaris di pasaran bagi suku pertama 2017 dengan mencatatkan jualan sebanyak 15,900 unit. Setakat ini, Bezza telah terjual sebanyak 50,900 unit sejak ia dilancarkan.
Baru-baru ini, Perodua telah mengumumkan sedikit peningkatan bagi model Bezza ini dengan memberikan suntikan lebih segar untuk bahagian belakang dan kabinnya. Di mana bampar belakangnya telah diperkemaskinikan, dengan bahagian tersebut dilabuhkan sedikit serta dicat dengan warna yang sama dengan badan.
Malahan Perodua turut memberikan sedikit penggayaan berbeza pada kabinnya yang melibatkan varian Premium X dan Advance di mana ia telah ditampilkan dengan kekemasan platinum krom baharu (sebelum ini dengan kekemasan perak) terutamanya pada butang kawalan pendingin hawa.
Selain mengeluarkan jumlah jualan keseluruhan (TIV) bulan Mac dan prestasi suku pertama (Q1) 2017, persatuan automotif negara (MAA) turut mengeluarkan jumlah jualan bagi setiap jenama untuk bulan Mac tahun ini. Kebanyakannya menunjukkan peningkatan berbanding bulan Februari.
Berada paling atas adalah Perodua, dengan catatan 19,459 buah kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 17.2% berbanding 16,603 unit yang dicatat pada bulan Februari. Proton pula berada di tangga keempat dengan jualan sebanyak 6,070 buah kenderaan, dan ini hanya satu unit lebih berbanding bulan Februari 2017.
Jenama yang paling banyak menunjukkan peningkatan dalam bulan Mac adalah Renault, iaitu sebanyak 200%, dengan jumlah jualan 66 buah kenderaan, berbanding pada bulan sebelumnya hanya 22 unit. Jenama lain yang mencatat peningkatan tinggi berbanding bulan Februari adalah Porsche (133.3%), Subaru (122.5%), Mitsubishi (114.2%), Volkswagen (78.5%), Mazda ((77.8%), Isuzu (60%) dan Nissan (45.2%).
Bagi jenama bukan nasional, Honda berada paling atas (tempat kedua secara keseluruhan) dengan jualan sebanyak 10,994 buah kenderaan pada bulan Mac, dan ini bersamaan dengan peningkatan 42.9% berbanding bulan sebelumnya. Toyota yang berada di bawahnya berjaya menjual 6,162 buah kenderaan, berbanding 4,530 buah pada bulan Februari (peningkatan 36%).
Mercedes-Benz terus mengungguli kategori kenderaan mewah dengan jualan sebanyak 1,156 buah kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 27.9% berbanding bulan Februari (904 unit), dan meletakkannya di tempat keenam secara keseluruhan.
Seteru jenama ini, iaitu BMW berada di tempat kesembilan keseluruhan, dengan jualan 850 buah kenderaan dan masih menunjukkan peningkatan lebih banyak, iaitu 30.8% berbanding jualan bulan Februari sebanyak 650 unit. Untuk kenderaan komersial, jumlah paling banyak dicatat oleh Toyota dengan 1,771 unit, diikuti Isuzu 1,111 unit dan Nissan 663 unit.
Dengan kini sudah berada di penghujung bulan April, dan jumlah jualan kenderaan pada bulan Mac telah pun dikeluarkan, prestasi setiap jenama untuk suku pertama (Q1) tahun 2017 juga sudah boleh diketahui. Secara keseluruhannya, jumlah jualan terkumpul (TIV) Q1 2017 meningkat sebanyak 7.29% menjadi 14,839 unit.
Berada pada tempat pertama adalah Perodua, dengan jualan sebanyak 50,265 unit kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 6.54% berbanding tempoh sama tahun lalu. Sekaligus, Perodua juga mencatat perkongsian pasaran paling tinggi iaitu 35.7% (tahun lalu 35.9%).
Proton pula berada di tempat ketiga, dengan jualan sebanyak 19,376 (peningkatan 0.79% berbanding tempoh sama tahun lalu) buah kenderaan, di bawah Honda yang mencatat jualan 27,283 unit kenderaan. Jumlah yang dicatat oleh Honda ini menunjukkan perbezaan agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu lebih 45.30%, tetapi masih belum dapat menyaingi Toyota yang menunjukkan peningkatan paling banyak – 61.54%. Secara keseluruhan, Toyota berada di tempat keempat dengan jualan 16,503 unit kenderaan.
Melihat kepada jumlah perkongsian pasaran, selepas Perodua, ia diikuti oleh Honda dengan catatan 19.4%, menaik berbanding 14.3% pada Q1 2016, diikuti oleh Proton 13.8% (tahun lalu 14.6%), Toyota 11.7% (tahun lalu 7.8% dan Nissan 4.3% (menurun dari 8.2% tahun lalu).
Jenama yang menunjukkan antara penurunan paling banyak berbanding tempoh sama tahun lalu adalah Nissan, iaitu penurunan 44,41%, namun masih berada di tempat kelima dengan jualan 5,989 buah kenderaan. Berdasarkan peratusan berbanding tahun lepas, jenama yang paling teruk menurun adalah Tata (97.01%), Yutong (80%), Bei Ben (78.57%), Chana (76.83%), Grand Tiger (75%), Lamborghini (66.67%), JAC (54.10%) dan MAN (46.99%).
Untuk jenama kenderaan mewah, Mercedes-Benz berada di kedudukan paling tinggi iaitu di tempat keenam keseluruhan dengan jualan 2,988 buah kenderaan, dan ini adalah peningkatan sebanyak 11.62% berbanding tempoh sama tahun lalu. Pesaing terdekat jenama itu iaitu BMW hanya berada di tempat kesembilan dengan jualan 2,138 buah kenderaan, namun masih menunjukkan peningkatan sebanyak 17.93% berbanding tahun lalu.
Sekiranya anda mahukan sebuah M4 yang lebih berkuasa daripada model standard yang dipasang dengan Competition Package, tetapi tidak terlalu ganas seperti M4 GTS, BMW menyediakan pilihan yang bersesuaian melalui model M4 CS, yang dipertontonkan pertama kali di Incheon, Korea.
Model edisi istimewa ini dikuasakan oleh enjin sama seperti M4 biasa, iaitu unit enam silinder 3.0 liter twin turbo, tetapi mempunyai kuasa sebanyak 460 hp pada 6,250 rpm dan 600 Nm pada 4,000 hingga 5,380 rpm. Jumlah ini menandakan peningkatan sebanyak 10 hp/ 50 Nm berbanding M4 biasa dengan Competition Package, dan kurang 40 hp berbanding M4 GTS (500 hp/ 600 Nm).
Kuasa ini disampaikan kepada tayar belakang melalui kotak gear M Double Clutch Transmission (M DCT) tujuh kelajuan dengan sistem Drivelogic, dan mempunyai penyejuk minyak sendiri. Menurut BMW, M4 CS ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan boleh mencecah kelajuan maksimum yang dihadkan pada 280 km/j.
Komponen pengendalian pada M4 CS adalah sama seperti M4 CP, termasuk suspensi Adaptive M, sistem DSC (Dynamic Stability Control) bersama mod Dynamic M, Active M Differential dan brek fade resistant (angkup empat piston di hadapan dan dua piston di belakang).
Supaya mudah dikenali, model ini juga mendapat ciri rekaan tersendiri yang termasuk gril kidney berwarna hitam. Splitter gentian karbon baru pada bahagian hadapan menaikkan lagi rupa sporty M4 CS, bersama bonet yang diperbuat daripada gentian karbon plastik diperkuat (CFRP).
Pada bahagian belakang, lebih banyak bahan gentian karbon digunakan termasuk pada spoiler yang terletak di atas but. Lampu hadapan kenderaan ini juga menggunakan teknologi OLED (organic light emitting diode), dan ia menghasilkan kesan 3D yang cukup menarik. Pada bahagian bawah bampar terdapat diffuser sama seperti M4 GTS dan empat muncung ekzos stainless steel.
Untuk rim, BMW telah menghasilkan rekaan unik rim aloi ringan 10 cabang – 19 inci di hadapan, dan 20 inci di belakang, dan ia disudahi dengan warna Orbit Grey dan padanan tayar Michelin Pilot Sport 2 berukuran 265/35 di hadapan dan 285/30 di belakang. Turut disediakan adalah pakej BMW Individual High-gloss Shadow Line yang memberikan kemasan warna hitam berkilat pada tepi tingkap, gril dan sirip tepinya.
Terdapat dua warna luar baru yang disediakan khas untuk M4 CS iaitu San Marino Blue Metallic dan Lime Rock Grey Metallic. Walaubagaimanapun, jika anda mahukan sesuatu yang lebih unik, terdapat pilihan Frozen Dark Blue II, yang terdiri daripada warna biru matte hasil rekaan BMW Individual. Warna itu hanya boleh didapati pada bulan November tahun ini, dan disebabkan prosesnya lebih panjang, jumlahnya adalah terhad.
Di dalam, terdapat kemasan kulit dan Alcantara pada kebanyakan bahagian, dan M4 CS menerima tempat duduk sama seperti M4 CP (dibalut dengan kulit Merino dan Alcantara). Stereng sport M kulit datang secara standard, tetapi jika mahu, anda boleh memilih balutan Alcantara dengan bayaran tambahan.
Bahagian kabin juga menerima pelbagai rekaan yang unik bagi modelnya, termasuk pada jalur kemasan dan tepi pintu. Sama seperti M4 GTS, pemegang pintu bahagian dalamnya diganti dengan penarik yang diperbuat daripada kain. Kelengkapan teknologi yang diletakkan pada kereta ini secara standard antaranya termasuk Navigation System Professional, BMW ConnectedDrive Services, aplikasi BMW M Laptimer dan lampu LED adaptif.
Honda Malaysia dengan kerjasama pengedar sah terbesarnya Kah Motor Co. Sdn. Bhd. telah melancarkan Pusat 4S Honda terbesar di Malaysia, yang terletak di Tebrau, Johor Bahru. Di mana pusat 4S ini telah diperluaskan perkhidmatannya di bawah satu bumbung, yang merangkumi jualan, penyelenggaran, alat ganti dan Pusat Cat dan Badan.
Pusat 4S Honda terbesar ini menelan kos pelaburan sebanyak RM40 juta, dibina di atas tanah berkeluasan 142,389 kaki persegi. Ia turut menempatkan 37 petak penyelenggaran yang mampu menyelenggara sehingga 36,000 unit kenderaan Honda dalam setahun. Selain itu, ia turut menyediakan ruang lounge yang besar untuk pelanggan termasuk kaunter kafe, Executive Lounge, kemudahan Wi-Fi percuma, ruang bagi kanak-kanak dan juga surau.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Roslan Abdullah berkata, “Pada tahun 2016, selatan tanahair merangkumi Jphor, Melaka dan Negeri Sembilan telah menyumbangkan 26% bagi keseluruhan jualan Honda di Malaysia, iaitu mencapai lebih 18,600 unit dan merupakan jualan kedua tertinggi di kalangan pengedar. Daripada tiga buah negeri ini, Johor telah merangkumi 70% bagi jualan di sana. Dengan tujuh model kenderaan yang ditawarkan oleh Honda Malaysia, City merupakan model terlaris di Johor.”
Katanya lagi, dengan pembukaan pusat 4S baharu ini, ia mampu memberikan perkhidmatan yang lebih memuaskan dan diperlukan oleh para pelanggannya. Malah Kah Motor meluaskan lagi kapasiti penyelenggarannya sehingga 100 unit kenderaan sehari. Pada masa yang sama Pusat Cat dan Badan turut dletakkan di satu kawasan yang sama.
Bagi suku pertama 2017, Honda Malaysia telah merekodkan 45% peningkatan dalam jualan berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Malah ia telah meletakkan jenama ini di posisi kedua dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dan pertama dalam segmen Kenderaan Bukan-Nasional.
Malahan Honda Malaysia juga telah mencapai 20.5% perkongsian pasaran pada Mac 2017 dengan pertama kalinya berjaya mencapai lebih 20% dan tertinggi dalam perkongsian pasaran setakat ini.
Geely MPV Concept telah pun dipertontonkan di Auto Shanghai 2017, yang digambarkan sebagai pengganti bagi model Emgrand EV8. Ia ditampilkan dengan rekaan yang bergaya dan futuristik termasuk beberapa elemen yang mungkin ‘di luar jangkauan’ jika dipadankan pada versi produksi.
Melihat foto yang dibidik terus dari Shanghai oleh wakil Paultan.org, kelihatan grilnya yang disambung ke lampu utama LED yang melunjur ke belakang. Pada bahagian sisinya pula, kelihatan pintu yang terbuka yang memberikan akses keluar-masuk dengan lebih mudah.
Bahagian B-pillar dan C-pillar MPV ini diwarnakan hitam dan menimbulkan rupa seperti mempunyai bumbung yang terapung dan diserikan dengan bumbung panoramik yang besar. Selain itu, garisan berkarakter pada sisi dilanjutkan hingga ke lampu belakang, bersama kekemasan krom di bahagian tengahnya.
Di dalamnya, rekaan rekaan tiga barisan tempat duduk bucket turut senada dengan tema luaran. Skrin sesentuh pada bahagian papan pemuka berfungsi dengan pelbagai suis kawalan serta dihiasi dengan kekemasan aluminium.
Rekaan MPV Concept ini adalah diilhamkan oleh Peter Horbury, timbalan presiden kanan jabatan rekaan bagi Geely Automobile Holdings, yang sebelum ini pernah bekerja dengan Volvo bagi jawatan yang sama.
Sejak Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dikuatkuasakan di seluruh negara mulai 15 April lalu, terdapat banyak desas-desus yang menyatakan pemberian mata demerit oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merupakan suatu Double Jeopardy. Di mana ada yang mempertikaikan, jika seseorang pemandu sudah mendapat mata demerit, mengapa perlu lesen memandunya digantung atau dibatalkan oleh JPJ. Ia dikatakan umpama ‘memberi dua hukuman untuk satu kesalahan yang sama’.
Sehubungan itu, semalam JPJ telah mengeluarkan kenyataan akhbar dengan menjelaskan bahawa Ketua Pengarah JPJ mempunyai kuasa untuk menggantung atau membatalkan lesen berdasarkan seksyen 35 dan seksyen 35A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Di bawah kedua-dua peruntukan ini, berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan, Ketua Pengarah boleh menggunakan budi bicaranya dalam menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu.
Di mana menerusi kedua-dua peruntukan itu juga, telah ditetapkan untuk Ketua Pengarah menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu iaitu melalui pemberian mata demerit.
Menurut kenyataan akhbar itu lagi, sistem mata demerit ini tiada kaitan dengan penetapan hukuman (sama ada kompaun atau sabitan oleh mahkamah) bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta 333 kerana kuasa Ketua Pengarah untuk menggantung atau membatalkan lesen hanya digunakan berdasarkan mata demerit yang terkumpul dan bukannya terus ditetapkan berdasarkan suatu kesalahan yang dilakukan.
Bagi mengulas perkara ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata, pengguna jalan raya tidak akan didakwa dua kali di mahkamah atas kesalahan yang sama yang didaftarkan di bawah sistem AWAS ini.
Katanya lagi, beliau telah mengarahkan JPJ untuk memberikan penerangan yang lebih jelas mengenai perkara ini agar dapat mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat, laporan The Star
“Sistem ini telah diumumkan sejak tahun lalu dan telah menjalani proses percubaan dalam tempoh yang lama. Justeru, kami mahu orang ramai memahami bahawa setakat ini ia melibatkan dua kesalahan utama iaitu melanggar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju. Dan ia akan diperluaskan lagi dengan 19 kesalahan lain pada masa akan datang.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak keliru dengan penguatkuasaan yang dijalankan oleh polis dan JPJ kerana ia adalah berbeza dengan sistem AWAS,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, ada peguam dari barisan pembangkang mendakwa AWAS adalah melanggar prinsip keadilan yang sah kerana ‘pendakwaan dua kali’ seperti yang dinyatakan dalam Perkara 7(2) daripada Perlembagaan Persekutuan.
Walau bagaimana pun, Liow menafikan “double jeopardy” berlaku dalam hukuman pesalah trafik.
“Semuanya telah dijelaskan oleh JPJ (berdasarkan kenyataan akhbar yang dikeluarkan). Tiada istilah double jeopardy, kerana Akta telah menyatakan kita boleh mengeluarkan saman dan mata demerit.
“Double jeopardy adalah apabila anda didakwa dua kali di mahkamah bagi satu kesalahan yang sama. Untuk sistem yang dilaksanakan ini, pesalah hanya didakwa sekali sahaja di mahkamah bagi satu kesalahan yang sama,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, buat masa ini, pesalah trafik yang menerima mata demerit akan dimaklumkan menerusi surat.
“Namun selepas sistem secara dalam talian dinaiktaraf, semua mata demerit ini boleh disemak menerusi dalam talian,” ujarnya.
Lanjutan daripada berita berkenaan Go Auto bakal membawa SUV segmen-C H6 Coupe dan SUV ladder frame H9, kami baru sahaja mendapat sedikit lagi pengesahan berkenaan spesifikasi dan juga harga dari CEO Go Auto En. Ahmad Azam Sulaiman semasa di Auto Shanghai 2017.
Menurut En. Azam, H6 Coupe bakal hadir ke Malaysia hanya dalam varian 2.0 liter Turbo manakala H9 juga dengan enjin 2.0 liter petrol turbo tanpa pilihan versi diesel. Kedua-dua SUV ini bakal dibawa ke Malaysia pada suku ketiga atau keempat tahun ini dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari China.
Untuk H6, ia dijangka bakal dijual pada pasaran tempatan dengan harga bermula RM115,000. Enjin 2.0 liter turbo SUV ini mampu menjana 194 hp/315 Nm, dan dipadankan dengan transmisi klac berkembar automatik DCT 6-kelajuan. Sebagai perbandingan, SUV turbo sekelasnya, VW Tiguan 1.4 TSI berkuasa 148 hp/250 Nm, Hyundai Tucson 1.6 turbo yang bakal dilancarkan tidak lama lagi berkuasa 176 hp/265 Nm, manakala CR-V 1.5 liter VTEC Turbo dijangka menghasilkan sekitar 190 hp/243 Nm.
Untuk pasaran China, H6 turut hadir dalam versi 1.5 turbo, tetapi buat masa sekarang Go Auto tidak bercadang untuk membawanya ke Malaysia – mungkin dikhuatiri bakal bertindan dengan SUV segmen-C H2 yang telah pun berada dalam pasaran tempatan buat masa ini.
Model ini turut diprebiu kepada kami ketika lawatan ke kilang Haval di Baoding. Agak mengejutkan, kualiti kenderaan keluaran terkini Haval di bina menggunakan material yang agak premium. Bahagian dalaman dipenuhi dengan material sentuhan lembut, serta upholsteri kulit yang kelihatan benar-benar premium, disamping komponen-komponen plastik yang begitu solid sama ada pada mata mahupun sentuhan.
Kami tidak diberikan spesifikasi bertulis, tetapi apa yang dapat dilihat ia dilengkapi dengan skrin paparan pelbagai informasi TFT berwarna, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, tuil gear ala-Audi bersama pedal penukar gear, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, serta pelbagai lagi.
Untuk H9 pula, ia bakal dijual pada harga sekitar RM140,000 di pasaran Malaysia. SUV ladder frame ini bakal menggantikan model H5 pada pasaran tempatan, dan akan bersaing dengan Isuzu MU-X, Toyota Fortuner, Ford Everest dan sebagainya. Enjin 2.0 liter empat silinder dengan sistem suntikan petrol terus berkenaan mampu menghasilkan kuasa 158 hp dengan tork maksima 324 Nm bermula 2,000 rpm hingga 4,000 rpm.
Enjin tersebut digandingkan bersama transmisi enam-kelajuan dari ZF. Ketika sesi prebiu berkenaan juga, kami dibawa ke litar ujian kilang Haval menaiki H9 ini. Sekali lagi kami teruja, H9 memberikan NVH yang cukup baik, tanpa ngauman dari enjin seperti SUV sekelasnya yang lain.
Seperti juga H6, H9 juga diberikan kelengkapan yang sangat premium. Ia juga turut diberikan running board yang boleh dilipat dan disorokkan, dan hanya keluar secara automatik ketika pintu dibuka. Untuk pasaran China, H9 hadir dalam tiga varian iaitu Standard, Luxury dan Super Luxury – yang mana akan dibawa ke Malaysia masih lagi belum dapat dipastikan. Tetapi, En Azam mengesahkan, unit-unit yang bakal dibawa ke Malaysia bakal menerima 99% kualiti yang sama seperti apa yang terdapat pada pasaran China.
Apabila menyebut tentang kereta MG, pasti ramai yang teringat kepada kereta yang kecil dan comel. Tetapi sebenarnya MG mempunyai banyak model lain yang lebih moden, dan semasa Shanghai Auto Show, syarikat itu membawa sebuah kenderaan konsep yang digelar sebagai E-Motion. Ia dikatakan sebagai membawa visi syarikat untuk kenderaan masa hadapan.
Rekaan yang digunakan pada kenderaan ini dikatakan mendapat inspirasi daripada warisan lama jenama itu, seperti yang boleh dilihat dengan bahagian belakang sportsback, manakala gril dan lampu hadapannya pula dikatakan adalah inspirasi daripada ‘London Eye’.
Walaupun begitu, pada mata kami, bahagian hadapan kenderaan ini kelihatan menyerupai model-model Mazda terbaru manakala bahagian belakang pula, dengan bucu lampu yang ditarik ke hadapan, ia seperti lampu hadapan model terkini Cadillac, termasuk CTS V.
MG E-motion adalah sebuah kenderaan elektrik, dan di bawah badannya terdapat platform kenderaan elektrik yang dibangunkan sendiri oleh MG. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, ia diberitahu boleh mencatat masa pecutan 0-100 km/j dalam masa jurang daripada empat saat dan boleh bergerak sehingga jarak 500 km. Turut disediakan adalah sistem informasi dan hiburan pintar, membuatkan ia sesuai untuk generasi muda.
Lensa kamera wakil Paultan.org, Mohd. Farid Awaludin, yang berada di Auto Shanghai 2017 turut sempat merakamkan foto model Mercedes-Benz Concept A Sedan ini. Ia merupakan sedan aras permulaan baharu dengan memperluaskan barisan lapan model kompak. Buat setakat ini, ia dibarisi A-Class hatchback, B-Class, CLA, CLA Shooting Brake dan GLA.
Model konsep ini mengambil ilham daripada Aesthetics A dan mewakili bahasa rekaan “Sensual Purity”. Ia dihiasi gril Panamerica di bahagian hadapan, dengan kekemasan krom dan logo bintang Mercedes. Gril terbabit juga disambung pada bonet yang tampak sporty di mana Mercedes menggelarkannya sebagai Powerdomes, yang lebih kurang sama dengan GT Concept.
Bahagian bampar bawah juga kelihatan diinspirasi oleh rekaan A-wing seperti mana model Mercedes-AMG, bersama paten berlian. Malah lampu utamanya juga lebih tajam, memberikan perubahan yang agak besar berbanding pada model A-Class hatch dan CLA, dan ia juga dicat dengan “warna berkilauan yang berbeza”.
Melewati bahagian belakangnya, lampunya masih mengekalkan grafik berbentuk-Y seperti mana model terkini A-Class hatch, malah kini ia ditampilkan dengan kluster yang lebih menyerlah (berbeza daripada CLA). Ia juga dipadankan bersama ekzos kekemasan gelap dan jaluran krom untuk “diffuser”.
Bagi dimensinya, Concept A Sedan ini berukuran 4,570 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,462 mm tinggi, di mana ia lebih lebar dan tinggi berbanding CLA (4,640 mm panjang, 1,777 mm lebar dan 1,432 mm tinggi). Walau bagaimana pun Mercedes tidak mendedahkan ukuran jarak roda, namun bagi CLA, ia sepanjang 2,699 mm.
Bagi kuasanya, A-Class Sedan ini mungkin akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan diesel empat-silinder, termasuk seperti sebelumnya dengan unit 2.0 liter pengecas turbo bersama 400 hp bagi varian A45 4Matic.
Infiniti Q60 muncul pertama kali semasa American International Auto Show (NAIAS) di Detroit awal tahun lepas, dan kini, ia telah dijumpai di Malaysia. Gambar yang kami peroleh ini menunjukkan dua buah Infiniti Q60 yang menggunakan no plet perniagaan. Model ini akan memberi saingan kepada Mercedes-Benz C-Class Coupe, BMW 4 Series, Audi A5 dan Lexus RC.
Di pasaran lain, Q60 ditawarkan dengan pilihan tiga jumlah kuasa – 208 hp/ 350 Nm daripada enjin empat silinder turbo 2.0 liter, serta 300 hp/ 400 Nm atau 400 hp/ 475 Nm yang datang daripada enjin V6 twin turbo 3.0 liter.
Memandangkan gambar yang kami terima ini resolusinya tidak begitu tinggi, agak sukar untuk membaca lencana yang terdapat pada fender hadapannya, untuk mengenalpasti lebih berkenaan enjinnya. Kami menjangkakan ia adalah unit 2.0 liter turbo (enjin diambil daripada Mercedes-Benz), tetapi kita masih perlu menunggu kenyataan rasmi daripada Infiniti sendiri.
Tanpa mengira apa jenis enjin pun yang digunakan pada Q60 ini, ia tetap dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dengan Adaptive Shift Control, yang menyampaikan kuasa kepada roda belakang, ataupun keempat-empat tayar sekiranya Intelligent All-Wheel Drive dipilih. Pada model yang dikuasakan oleh enjin 3.0 liter twin turbo, transmisi tersebut datang dengan penyejuk cecair transmisi.
Untuk aspek pengendalian, kenderaan ini menggunakan penyerap hentakan Dynamic Digital Suspension, yang boleh dikawal secara berterusan secara elektronik. Juga digunakan adalah sistem Direct Adaptive Steering dan Drive Mode Selector generasi kedua.
Mulai 1 April 2017 lalu, Proton telah memperkenalkan kempen Amazing 5 Value iaitu Perkhidmatan 5-tahun Percuma yang termasuk dengan alat ganti, pelincir dan caj buruh. Di mana para pelanggan tidak perlu bimbang tentang perkhidmatan berkala dan kos penyelenggaraan untuk lima tahun. Malah alat ganti tulen dan caj pekerja untuk perkhidmatan penyelenggaraan berkala seperti tertera pada buku panduan/perkhidmatan Proton turut dilindungi di bawah tawaran ini.
Selain itu, ia turut menawarkan waranti lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu), bagi pemilikan tanpa kebimbangan.
Bukan itu sahaja, untuk model terpilih, ia turut menawarkan penarafan lima-bintang yang merupakan penarafan keselamatan tertinggi. Malah ia juga terbaik bagi nilai untuk wang, keselamatan, ketenangan fikiran dan pemanduan yang menyeronokkan. Selain turut memberikan pengalaman pemilikan istimewa kepada pemilik Proton baharu.
Tawaran yang hanya sah sehingga 30 April ini, melibatkan semua model Proton iaitu Saga, Iriz, Persona, Ertiga, Exora, Preve, Suprima S dan Perdana.
Bukan itu sahaja, Proton turut meneruskan kempen Pandu Uji dan Menang sejak 1 Mac lalu yang berlangsung sehingga 31 mei ini. Menawarkan habuan menarik iaitu wang tunai sebanyak RM3,000 untuk pemenang bulanan dan baucer tunai pula menanti bagi pemenang mingguan, apa yang perlu anda lakukan hanya mudah.
Berkunjung ke bilik pameran Proton berhampiran, pandu uji mana-mana model baharu sepanjang tempoh kempen ini. Kemudian isi borang yang disediakan dan kongsikan pendapat anda mengenai model Proton yang dipandu uji. Pendapat yang paling bernas mungkin akan melayakkan anda sebagai pemenang.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila hubungi Customer Care di talian 1800 888 398, e-mel [email protected], www.facebook.com/ProtonCarsOfficial atau instagram@ProtonCars. Bagi kemudahan tambahan, muat turun aplikasi MyProton yang boleh didapati pada Google Play dan Apple App Store.
Penggunaan tayar celup di kalangan pemilik kenderaan dilihat suatu perkara yang biasa dan menjadi ikutan memandangkan ia lebih murah. Walau bagaimana pun, tidak semua tayar celup masih berkualiti dan selamat untuk digunakan. Namun tanpa memikirkan soal risiko, ia tetap menjadi pilihan segelintir pemilik kenderaan yang mahu berjimat dalam soal kos penyelenggaran kenderaan.
Setahun yang lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus berkata antara faktor kemalangan jalan raya ialah penggunaan tayar celup yang sememangnya berisiko tinggi kerana sukar bertahan lama dan mudah tertanggal.
“Tindakan saman boleh dikenakan kepada mereka yang menggunakan tayar celup,” ujarnya.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, tayar celup yang mendapat kelulusan piawaian SIRIM, selamat digunakan kerana dibuat mengikut spesifikasi ditetapkan kerajaan, laporan Berita Harian.
Katanya lagi, tayar celup terbabit menjalani pelbagai ujian sebelum menerima sijil pengesahan SIRIM. Justeru, pengguna perlu menggunakan tayar celup yang berkualiti kerana punca utama kemalangan adalah membabitkan tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi.
“Apa yang membimbangkan sekarang adalah industri pembuat tayar celup yang tidak berlesen yang menghasilkan tayar tidak mengikut spesifikasi ditetapkan kerajaan. Ini menjadi antara punca kemalangan kerana tayar cepat meletup dan sebatian getah mudah terkeluar,” katanya bagi mengulas kekeliruan di kalangan orang ramai berkenaan penggunaan tayar celup di negara ini.
Nadzri berharap, semua agensi termasuk Lembaga Getah Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bekerjasama dalam memastikan pengeluaran tayar celup di negara ini mengikut spesifikasi ditetapkan.
Seperti yang dimaklumkan pada Jumaat lalu, Perodua telah pun melakukan sedikit peningkatan terhadap imej luaran dan dalaman model Bezza yang baru sahaja dinobatkan sebagai ‘Kereta Tahunan Malaysia 2017’ oleh Frost & Sullivan.
Ia melibatkan sedikit perubahan di bahagian belakangnya Di mana bamparnya telah diperkemaskinikan, dengan bahagian tersebut dilabuhkan sedikit serta dicat dengan warna yang sama dengan badan. Tidak seperti sebelum ini, bahagian tersebut lebih tirus yang boleh menampakkan bahagian bawah kenderaan tersebut, termasuk sistem gantungan serta besi torsion beam.
Manakala bahagian luarannya yang lain tidak menampakkan sebarang perubahan, masih dikekalkan seperti mana model Bezza asal yang dilancarkan pada Julai tahun lalu.
Bukan setakat bahagian luaran, Perodua turut memberikan sedikit penggayaan berbeza pada kabinnya yang melibatkan varian Premium X dan Advance di mana ia telah ditampilkan dengan kekemasan platinum krom baharu (sebelum ini dengan kekemasan perak) terutamanya pada butang kawalan pendingin hawa.
Bagi varian tertinggi, Advance, satu lagi elemen yang telah dipertingkatkan iaitu rekaan tempat duduk kulit baharu yang tampil lebih elegan.
Bagi varian Advance ini, elemen lain masih sama termasuk rim aloi 14-inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula, ciri start/stop, tempat duduk kulit, pengelap cermin sensitif kepada kelajuan, pengesan jarak depan dan belakang, skrin sesentuh dengan sambungan Bluetooth, Smart Link dan screen mirroring (Android sahaja), dan kamera undur.
Harga atas jalan yang ditawarkan (tidak termasuk insurans) ialah RM49,176.89 bagi 1.3L Advance, manakala 1.3L Premium X pula RM43,342.25 (A/T) dan RM41,397.37 (M/T). Bagi varian enjin 1.0L pula, RM37,980.05 untuk A/T dan RM36,035.17 bagi M/T.