Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perodua kekalkan 35.9% perkongsian pasaran bagi Q1 2017 – 50,300 unit didaftar, naik 6.5% berbanding 2016

    Perodua kekalkan 35.9% perkongsian pasaran bagi Q1 2017 – 50,300 unit didaftar, naik 6.5% berbanding 2016

    Perodua telah mendaftar sejumlah 50,300 unit kenderaan pada suku pertama (Q1) tahun 2017, iaitu meningkat sebanyak 6.5% berbanding tempoh sama pada tahun lalu (47,200 unit). Dengan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) mencecah 140,000 unit bagi tahun ini Perodua telah mengekalkan perkongsian pasaran sebanyak 35.9%, sama seperti tahun lalu ketika TIV lebih rendah, pada 131,300 unit.

    Bagi bulan Mac sendiri, Perodua telah menjual 19,500 unit, meningkat sebanyak 13% berbanding pada Februari (17,300 unit). Ia banyak disumbangkan oleh model facelift bagi Axia, serta promosi yang lebih rancak untuk lain-lain model, menurut Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, presiden dan CEO Perodua.

    Malah bahagian lain perniagaan turut menyaksikan pertumbuhan positif pada tahun ini. Bagi jabatan selepas jualan, ia telah melonjak sebanyak satu peratus (dari 515,343 pada Q1 2016 ke 518,201), sementara perolehan untuk alat ganti dan aksesori pula naik lima peratus dari RM65 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. Manakala perolehan untuk baik pulih dan mengecat kenderaan juga turut naik sebanyak 17%.

    Perodua kekalkan 35.9% perkongsian pasaran bagi Q1 2017 – 50,300 unit didaftar, naik 6.5% berbanding 2016

    Bagi keseluruhan, Perodua telah memproduksi sebanyak 49,218 unit kenderaan pada Q1 2017, berbanding 48,300 pada tempoh yang sama tahun lalu. Daripada jumlah itu, 941 unit adalah untuk dieksport ke enam buah negara, menurun sebanyak 41% berbanding prestasi tahun lalu (1,600 unit). Walau bagaimana pun, syarikat ini yakin akan mencapai sasaran eksport sebanyak 5,000 unit – sama seperti 2016.

    “Kami mensasarkan untuk terus berkembang ke rantau ini dan akan menambahbaik operasi kami bagi lebih berdaya saing secara global,” ujar Aminar. Untuk tahun ini, Perodua telah mensasarkan keseluruhan jualan sebanyak 202,000 unit, iaitu sedikit rendah berbanding 207,100 unit pada 2016.

     
     
  • Petronas perkenal Sprinta dengan UltraFlex untuk motosikal – harga bermula RM15 hingga RM70 seliter

    Petronas perkenal Sprinta dengan UltraFlex untuk motosikal – harga bermula RM15 hingga RM70 seliter

    PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) kini memperkenalkan PETRONAS Sprinta dengan UltraFlex™, rangkaian minyak pelincir untuk motosikal yang dirumus khas untuk melanjutkan hayat enjin serta mengurangkan bebannya.

    Dihasilkan dari rangkaian ujian piawaian industri global terkini, ia turut menunjukkan bahawa PETRONAS Sprinta dengan UltraFlex™ mampu memberikan kekuatan lapisan minyak sehingga 41% lebih tinggi berbanding kadar piawai industri sedia ada.

    Ciri ini membantu enjin menahan kesan-kesan beban, kelajuan dan tekanan enjin tanpa mengalami kerosakan di samping mempertingkat tindak balas motosikal. Rangkaian pelincir baru ini juga menawarkan kawalan mendapan enjin yang lebih baik, sekaligus mengekalkan kuasa motosikal dan prestasi tunggangan.

    Ia ditawarkan dalam beberapa jenis, termasuk sebagai pelincir mineral, semi-sintetik dan sintetik penuh. Bagi harga pula, ia dijual pada harga bermula dari RM15 seliter hingga RM70 seliter.

    Tekanan motosikal boleh disebabkan oleh keadaan ricihan tinggi berpunca daripada stres mekanikal yang melampau serta suhu dalaman enjin yang boleh mencecah sehingga 33% lebih tinggi daripada enjin kereta. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berlarutan, ia berpotensi mengakibatkan bunyi getaran dan motosikal terasa berat.

    Minyak pelincir enjin motosikal terbaru ini sudah pun beredar dalam pasaran tempatan sejak awal April lalu, selepas terlebih dahulu dilancarkan untuk pasaran India.

     
     
  • Skoda Vision E Concept didedah – jarak gerak 500 km

    Skoda Vision E Concept didedah – jarak gerak 500 km

    Selepas beberapa siri teaser, Skoda Vision-E Concept akhirnya dipertontonkan secara rasmi di Auto Shanghai 2017, dan ini adalah kenderaan konsep pacuan elektrik pertama bagi syarikat itu.

    Dibina atas asas platform MEB Volkswagen Group – yang juga digunakan untuk BUDD-e Concept – Vision E dipasang dengan dua motor elektrik (satu bagi setiap gandar) dan mampu menghasilkan sehingga 300 hp (225 kW).

    Ini seterusnya membolehkan kenderaan tersebut memecut sehingga kelajuan maksimum 180 km/j dan hasil penggunaan bateri lithium ion dan sistem penjanaan semula kuasa brek, ia boleh memberikan jarak pergerakan sehingga 500 km dengan satu cas penuh.

    Skoda Vision E Concept didedah – jarak gerak 500 km

    Pek bateri kenderaan ini disejukkan dengan sistem cecair dan diletakkan jauh ke dalam bahagian lantai casis untuk melindunginya daripada sebarang kerosakan akibat perlanggaran, dan ia boleh dicas semula melalui pad yang diletakkan di bahagian lantai. Satu cas penuh dikata boleh dilakukan dalam masa satu malam menggunakan teknologi ini, dan bagi yang mahu menggunakan kabel pengecas biasa, ia boleh mencecah tahap 80% penuh dalam masa hanya 30 minit.

    Penghasilan kenderaan elektrik adalah sesuatu yang penting bagi Skoda kerana syarikat itu mempunyai perancangan untuk memperkenalkan lima kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2025. Dalam selang masa itu, Skoda juga bercadang menambah kenderaan dengan teknologi plug-in hybrid bagi tahun 2019 dan seterusnya. Kenderaan ini diberitahu mempunyai segmen sasaran berbeza dan penting untuk pertumbuhan syarikat.

    Kuasa daripada elektrik bukanlah satu-satunya perkara yang membuatkan Vision-E menyerlah. Turut tidak ketinggalah adalah kemampuan pemanduan automatik yang ada padanya, yang dikatakan memenuhi ketetapan tahap 3 bagi pemanduan autonomous.

    Skoda Vision E Concept didedah – jarak gerak 500 km

    Secara ringkasnya, kenderaan ini mampu beroperasi sendiri di dalam kesesakan trafik, melengkapkan perjalanan di atas lebuh raya melalui ciri autopilot, duduk di dalam lorong dan mengelak jika perlu, memintas kenderaan lain, mencari ruang letak kereta dan keluar serta masuk daripada tempat letak kereta secara sendiri.

    Daripada aspek penggayaan, Vision-E menyerlahkan identiti pacuan elektriknya dengan menggunakan bahagian hadapan tanpa gril yang biasanya terdapat pada kenderaan berenjin biasa. Rupa yang ‘bersih’ ini dilengkapkan dengan lampu utama jenis Matrix LED yang nipis serta garisan lampu LED yang berpanjangan dari hujung ke hujung.

    Pada bahagian sisi pula, SUV lima pintu ini menampilkan gaya seperti sebuah coupe dengan garis bumbung yang menjunam di belakang. Selain itu, seperti kenderaan konsep lain, cermin sisi juga diganti dengan kamera, dan pintunya boleh dibuka secara elektrik.

    Skoda Vision E Concept didedah – jarak gerak 500 km

    Di bahagian belakang, lampunya yang tajam dan bersegi mengingatkan kembali kepada Kodiaq dan menggunakan teknologi LED. Pencahayaan daripada lampu ini menghasilkan bentuk unik, dan ia kemudiannya bersambung dengan lampu LED lain yang terletak di bahagian yang lebih rendah. Atas sebab yang jelas, kereta ini tidak mempunyai ekzos. Secara dimensinya, SUV ini berukuran 4,645 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,550 mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,850 mm.

    Di dalam, terdapat beberapa bukaan luas yang membenarkan cahaya masuk ke dalam kereta ini, hasil penggunaan kaca termasuk pada bumbungnya. Vision-E datang dengan empat tempat duduk berasingan dan ia boleh dipusing sehingga 20 darjah seterusnya memberikan akses dan kepelbagaian kepada pengguna. Setiap satu tempat duduk ini didatangkan dengan Phonebox untuk telefon pintar.

    Bukan setakat itu, setiap penumpang juga mempunyai skrin masing-masing, dengan yang di hadapan terletak pada papan pemuka, manakala bagi yang di belakang, pada penyandar kepala tempat duduk hadapan. Skrin ini mempunyai ciri navigasi, informasi, hiburan dan pelbagai sambungan lagi. Beberapa fungsi turut boleh dikawal menggunakan pergerakan tangan sahaja.

     
     
  • Qoros akan memperkenalkan Model K-EV di Shanghai

    Qoros akan memperkenalkan Model K-EV di Shanghai

    Syarikat pengeluar kenderaan kerjasama China dan Israel iaitu Qoros akan memperkenalkan model K-EV Concept di Shanghai Auto Show, sekaligus menunjukkan langkah ke hadapan bagi syarikat tersebut.

    Daripada aspek penggayaan, kenderaan konsep ini nampak menyenangkan, dengan rekaan futuristik dan rim yang besar. Banyak bahagian kenderaan ini menggunakan kaca, selain pada bumbung, juga pada pintunya.

    Pintu ini menggunakan sistem assymmetrical, iaitu pada bahagian pemandu, ia boleh dibuka ke atas (gullwing), manakala bagi pintu penumpang, ia boleh dibuka sama ada secara biasa ataupun dilungsur ke tepi.

    Bahagian dalam juga sama futuristik seperti luar, dan Qoros memanggilnya sebagai teknologi Kabin Karbon Pintar (CCC), di mana kebanyakannya menggunakan bahan gentian karbon.

    Walaupun digunakan pada sebuah model konsep, bahagian kabin ini nampak seperti sudah sedia untuk memasuki fasa produksi. Terdapat satu skrin infotainmen yang besar di bahagian tengah papan pamuka, panel instrumen digital dan skrin ketiga di konsol tengah untuk mengawal fungsi lain kenderaan seperti pendingin hawa.

    Di belakang pula, dua penumpang akan mendapat ruang mereka sendiri dan dipisahkan dengan satu konsol tengah yang mungkin boleh mengawal ciri infotainmen atau suhu pendingin hawa. Kerangka kabin ini diperbuat daripada gentian karbon dan teksturnya boleh dilihat terdedah di bahagian dalam.

    Qoros akan memperkenalkan Model K-EV di Shanghai

    Seperti yang boleh dilihat pada namanya, K-EV tidak lagi menggunakan enjin pembakaran dalaman, sebaliknya dilengkapi dengan kuasa elektrik hasil daripada teknologi yang dipinjam daripada Koenigseggg Regera.

    Jumlah kuasa keseluruhan yang boleh didapati daripada dua motor elektrik (satu bagi setiap gandar) kenderaan ini adalah 870 hp dan ia sekaligus boleh membawa K-EV memecut dari 0-100 km/j dalam masa di bawah tiga saat. Bateri 107 kWh yang digunakan untuk memberi kuasa terletak di bawah lantai kenderaan ini, dan ia dikata boleh membawanya bergerak sehingga jarak 482 km dalam satu kali cas.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bulan Mac 2017 naik 26.5%

    MAA: Jualan kenderaan bulan Mac 2017 naik 26.5%

    Suku pertama (Q1) tahun 2017 telah pun berlalu, dengan menyaksikan jumlah jualan kenderaan di Malaysia pada bulan Januari menyusut sebanyak 31% berbanding bulan sebelumnya. Malah rekod pada bulan Februari juga kurang cantik, melibatkan penurunan sebanyak 5% iaitu sebanyak 38,881 unit kenderaan penumpang dan 3,574 unit kenderaan perdagangan dijual.

    Petang ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan penumpang dan perdagangan bagi bulan Mac 2017. Tidak seperti pada dua bulan sebelumnya, data menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 26.5% atau pun 11,262 unit berbanding pada Februari. Di mana sebanyak 48,355 unit kenderaan penumpang dan 5,362 unit kenderaan perdagangan telah dijual bagi melonjak jualan pada bulan Mac.

    Dengan jumlah jualan keseluruhan (TIV) bagi Q1 kini mencecah 53,717 unit iaitu 10% lebih tinggi, berbanding bulan yang sama tahun lalu dengan 48,788 unit. Manakala angka jualan bagi keseluruhan untuk tiga bulan pertama 2017 ini turut menunjukkan peningkatan sebanyak 7.3% iaitu mencecah 140,839 unit, berbanding 131,251 unit pada 2016.

    Malahan jumlah keseluruhan pengeluaran kenderaan pada bulan Mac 2017 juga meningkat iaitu mencecah 49,356 unit, dengan 45,124 unit kenderaan penumpang dan 4,232 unit kenderaan perdagangan. Berbanding jumlah keseluruhan pada tahun lalu iaitu 47,810 unit dengan pecahan 45,802 unit kenderaan penumpang dan 2,008 unit kenderaan perdagangan.

    MAA menyifatkan faktor kenaikan ini dipengaruhi oleh tempoh waktu bekerja yang lebih panjang bagi bulan tersebut dan juga penghantaran kenderaan yang lebih pantas oleh syarikat pengeluar yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Mac 2017.

     
     
  • Geely MPV Concept ditunjuk awal sebelum Shanghai

    Geely MPV Concept ditunjuk awal sebelum Shanghai

    Pameran Auto Shanghai 2017 hanya akan dibuka bermula esok, tetapi gambar dan informasi berkenaan model yang akan dibawa ke sana sudah mula tersebar. Salah satunya adalah model ini, iaitu Geely MPV Concept, yang kelihatan seperti penerus generasi bagi model Emgrand V8.

    Bagi sebuah MPV, kenderaan ini kelihatan cukup segak, dengan rupa hadapan modennya menampilkan gril unik Geely, dan diapit lampu yang mempunyai bentuk ke belakang, seperti kenderaan Range Rover. Turut dilihat adalah lekuk hiasan di tepi lampu dan D-pillar.

    Lekuk roda yang lebih jelas menempatkan rim yang lebih besar, sementara bahagian tepi yang mempunyai lekuk ke dalam menjadikan kenderaan ini lebih menarik. Bahagian B-pillar dan C-pillar MPV ini diwarnakan hitam dan menimbulkan rupa seperti mempunyai bumbung yang terapung dan diserikan dengan bumbung panoramik yang besar.

    Keunikan lain kenderaan ini adalah ia menggunakan pintu jenis suicide untuk penumpang belakang, dan di dalamnya terdapat tiga baris tempat duduk yang setiap satunya kelihatan seperti mempunyai bentuk bucket. Konsol tengah yang tinggi pula memudahkan pemandu untuk mencapainya.

    Untuk aspek teknikal, masih belum ada maklumat yang disiarkan, tetapi ia mungkin boleh didapati sebaik dipertontonkan pertama kali kepada wakil media esok di Shanghai.

     
     
  • Kerajaan perlu tanggung kos RM400b jika ambil alih semua lebuhraya termasuk mansuhkan tol – Rosnah

    Kerajaan perlu tanggung kos RM400b jika ambil alih semua lebuhraya termasuk mansuhkan tol – Rosnah

    Tidak dinafikan di luar sana, banyak pihak yang mendesak agar kerajaan mengambil alih semua syarikat konsesi lebuhraya termasuk memansuhkan bayaran tol. Walau bagaimana pun, tahukah anda, untuk berbuat demikian, kerajaan memerlukan kos sebanyak RM400 bilion.

    Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam persidangan Dewan Negara yang berlangsung semalam.

    Katanya, jika langkah itu dilaksanakan, ia akan memberi implikasi buruk kepada kerajaan seperti terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya dan pemansuhan kutipan tol. Justeru, buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk mengambil alih atau menasionalisasikan kesemua lebuh raya yang sedang beroperasi di negara ini, laporan Kosmo.

    Kerajaan perlu tanggung kos RM400b jika ambil alih semua lebuhraya termasuk mansuhkan tol – Rosnah

    “Hasil kajian Makmal Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) pada 2010, anggaran kos bagi menasionalisasikan kesemua lebuhraya yang sedang beroperasi adalah sebanyak RM383.30 bilion.

    “Jumlah itu dijangka telah meningkat kepada RM400 bilion setelah mengambil kira beberapa lebuhraya yang telah siap dan beroperasi selepas tahun 2010,” ujarnya ketika menjawab soalan Senator Datuk Kadzim M.Yahya mengenai cadangan pengambilalihan semua lebuhraya di negara ini.

    Kajian yang dilakukan oleh Pemandu, daripada RM383.30 bilion tersebut, kos pengambilalihan 31 syarikat konsesi lebuhraya di seluruh negara mencecah RM45.2 bilion, manakala kos pemansuhan kutipan tol pula memakan belanja sebanyak RM338.1 bilion.

    “Jumlah anggaran kos tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk kemudahan sosial yang lain,” ujarnya lagi.

     
     
  • Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

    Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

    Jika anda tidak pernah langsung menunggang motosikal untuk urusan harian, mungkin agak sukar untuk anda memahami hal atau isu-isu berkaitan mereka yang menunggang motosikal di jalan raya. Misalnya, ketika perlu mendepani sikap segelintir pemandu, yang ada ketikanya seperti langsung tidak pernah menghiraukan kehadiran penunggang motosikal disekitar mereka.

    Ini, bagaimanapun, bukanlah bermakna penunggang motosikal sentiasa bersikap munasabah ketika di atas jalan raya – ramai juga yang bersikap sambil lewa. Kemudian, hadir pula faktor cuaca yang tidak menentu, panas dan hujan, yang sudah pasti akan mempengaruhi cara dan tindak balas tunggangan. Ini belum lagi mengambil kira keadaan permukaan jalan serta laluan khas motosikal, yang sehingga kini masih terus-menerus menjadi perbualan ramai.

    Peraturan-peraturan yang ada berkaitan hal-hal yang dinyatakan di atas, walaupun tujuannya adalah untuk mengutamakan keselamatan semua pengguna jalan raya, tetap ada sebahagian penunggang yang melihatnya sebagai satu kekangan yang tidak selari dengan keperluan semasa. Sebagai contoh, yang ingin kami utarakan di sini ialah penggunaan visor gelap pada topi keledar atau helmet.

    Penghadang muka pada helmet atau visor tidak hanya berfungsi untuk melindungi penglihatan atau mata penunggang daripada dimasuki habuk, serta serpihan-serpihan lain dari atas jalan yang mungkin akan terpelanting dan terkena mata – jika ini berlaku, ia akan meletakkan penunggang dalam situasi yang sangat merbahaya.

    Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

    Dalam cuaca panas seperti di Malaysia ini pula, ramai juga penunggang yang menggunakan visor gelap untuk menghalang kesilauan pada mata. Ini boleh difahami dengan mudah, dan kelihatan tindakan itu juga sangat logik bagi mereka yang menunggang, terutama ketika siang hari yang panas terik. Ramai yang berpendapat bahawa perkara ini tidak menjadi masalah.

    Namun, mungkin anda pernah mendengar sebelum ini tentang penggunaan visor gelap pada helmet sebenarnya salah di sisi undang-undang. Adakah perkara ini benar atau sekadar salah faham yang kemudiannya menjadi viral di media sosial?

    Bagi mengelakkan sebarang keraguan, kami minta penjelasan daripada Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib untuk mengetahui duduk letak perkara sebenar berkaitan penggunaan visor gelap.

    “Di atas kertas, visor pada mana-mana jenis helmet wajib mempunyai kejelasan penglihatan 100%. Maksudnya, sebarang visor yang gelap daripada itu adalah dilarang penggunaannya,” ujar beliau, sambil menunjuk ke arah sebuah helmet yang digunakannya sendiri – helmet saiz penuh dengan visor biasa yang 100% lutsinar ketika kami perkunjung ke pejabatnya tempoh hari.

    Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

    Tetapi, atas sebab apa penggunaannya tidak dibolehkan? Bukankah visor gelap (dalam konteks tunggangan pada siang hari) lebih selamat kerana penunggang boleh menumpukan perhatian dengan keadaan mata yang lebih selesa dan redup untuk memerhatikan lalu lintas dan persekitaran dengan lebih baik?

    “Tujuannya adalah untuk menampakkan wajah penunggang di sebalik helmet itu. Lebih utama, jika mata penunggang juga dapat dilihat. Sebab apa? Ini adalah untuk membolehkan penunggang membuat eye contact dengan pengguna jalan raya yang lain, terutama dengan pemandu kereta.

    “Ini sangat berkesan terhadap apa saja yang ingin penunggang lakukan, misalnya ketika ingin keluar dari persimpangan; pandang tepat ke arah pemandu lain, serta gunakan isyarat tangan sebelum anda melintas atau mula bergerak. Cara ini adalah jauh lebih berkesan dan selamat, kerana sudah ada contact atau makluman awal di antara mereka,” tambah beliau.

    Ini bukanlah bertujuan untuk mengelak kejadian atau perlakuan jenayah dalam kalangan penunggang, walaupun itu mungkin menjadi sebahagian kerisauan pengguna jalan yang lain ketika menilai penggunaan visor gelap ini. Ia dijadikan peraturan dengan matlamat untuk menjamin keselamatan penunggang itu sendiri dalam suasana lalu lintas yang tak menentu. Perkara selebihnya yang muncul selepas itu adalah hal-hal sampingan dan terpencil.

    Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

    Ketika dimaklumkan tentang perkara ini, ia sebenarnya masuk akal juga. Saya kemudiannya membandingkan pengalaman sendiri berkayuh basikal di atas jalan raya terbuka, dengan kehadiran banyak kenderaan lain yang lebih laju. Pendekatan untuk memandang wajah pemandu atau penunggang motosikal, dan dalam masa yang sama memberi kesempatan kepada mereka untuk mengambil maklum kehadiran serta tindakan yang akan anda ambil sejurus selepas itu ketika sedang berbasikal menjadikan satu-satu situasi itu selamat untuk semua.

    Pandangan terus ke mata mereka yang mengawal stereng, diikuti isyarat tangan untuk memaklumi mereka, sebagai contoh ketika anda sedang ingin menukar lorong dan menyeberang ke laluan lain, akan membuatkan pengguna jalan raya lain sedar akan tindakan anda, dan kemudian akan memberi ruang sebaiknya untuk anda berbuat demikian. Secara peribadi, saya boleh faham sudut pandangan dari mana datangnya penetapan dan matlamat peraturan ini. Anda pula bagaimana?

    Kemudian, kita panjangkan pula kepada contoh ketika menunggang di malam hari dengan visor gelap. Ia akan menyebabkan pandangan penunggang terhad, kerana suasana di luar sememangnya sudah gelap. Ini akan membuatkan penunggang terpaksa juga menolak visor ke atas agar tidak menghalang penglihatan – dan mata akan terdedah juga kepada habuk dan lain-lain perkara.

    Ada juga argumen yang menyatakan, dengan visor lutsinar yang cerah, penunggang perlu menggunakan cermin mata hitam di dalam ketika di siang hari. Ini juga akan menjadikan matlamat asal untuk mengadakan eye contact tadi tidak bermakna – tambahan pula jika penunggang menggunakan helmet penuh (full face). Juga, sekiranya berlaku kemalangan, kemungkinan cermin mata hitam itu pecah dan menyebabkan kecederaan pada mata dan itu sangat bahaya.

    Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

    Tentang hal yang pertama, saya perpendapat, dalam apa pun situasi di atas jalan raya yang biasanya penuh curiga kini, untuk kita dapat melihat sedikit bahagian wajah penunggang motosikal akan menerbitkan rasa yang lebih menyenangkan berbanding sekiranya kita langsung tidak dapat melihat menembusi visor yang digunakan.

    Dan untuk hal yang kedua, sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan di bahagian muka tetap saja ada kemungkinan untuk berlaku, dan visor yang digunakan boleh saja pecah dan serpihannya sama juga membahayakan seperti cermin mata. Apa yang boleh kita buat untuk mengelak keadaan ini daripada berlaku? Jadilah pengguna jalan raya yang berhemat.

    Walaupun penggunaan visor gelap ini salah di sisi peraturan jalan raya, sepanjang pengetahuan kami, JPJ tidak pula pernah mengadakan operasi khas semata-mata untuk memburu penunggang dengan visor gelap. Cuma, anda perlu tahu, sekiranya nasib tidak menyebelahi dan anda ditahan di atas sebab berkenaan, undang-undang rasmi tidak menyebelahi anda. Yang tersisa ketika itu hanyalah budi bicara di antara anda dan pegawai penguatkuasa itu sahaja.

    Apa pula pandangan anda tentang perkara ini? Ikuti juga liputan yang kami lakukan terhadap isu-isu lain berkaitan jalan raya sebelum ini, seperti pertukaran lampu biasa ke HID bagi kenderaan, tayar kangkang serta penggunaan pelekat body-wrap.

     
     
  • Renault Captur CKD dilancar – lebih murah RM8,200

    Renault Captur CKD dilancar – lebih murah RM8,200

    Renault Captur sebelum ini diperkenalkan kepada pasaran Malaysia sebagai model yang diimport dengan harga RM117,200. Kini, versi pemasangan tempatan (CKD) sudah dilancarkan oleh Tan Chong Euro Cars dan prosesnya dilakukan di kilang Tan Chong Motor Assemblies di Segambut, Kuala Lumpur.

    Harga bagi Captur CKD ditetapkan pada RM109,000 termasuk GST, tetapi tanpa insurans, dan ini adalah RM8,200 lebih rendah berbanding harga bagi model import. 100 pembeli pertama Captur CKD akan menerima tambahan rebat RM11,000, dan ini menjadikan nilai sebenar crossover segmen B ini RM98,000.

    Enjin bagi Captur CKD masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu enjin empat silinder 1.2 liter turbocharged, yang mampu menghasilkan 118 hp pada 4,900 rpm dan 190 Nm tork pada 2,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada tayar hadapan melalui kotak gear automatik enam kelajuan klac berkembar. Rim yang digunakan bersaiz 17 inci, dengan tayar 205/55R17.

    Empat pilihan warna luaran ditawarkan, termasuk warna Flame Red baru, dengan bumbung Diamond Black, manakala kombinasi yang lain adalah Pacific Blue/Ivory, Ivory/Diamond Black, dan Arizona Orange/Diamond Black. Fabrik tempat duduk menggunakan warna Charcoal dan kelabu.

    Kelengkapan standard bagi Captur CKD adalah termasuk lampu siang, fabrik tempat duduk yang boleh dicabut, cruise control dengan speed limiter, sistem pemasukan tanpa kunci, kamera undur, pengelap cermin dan lampu utama automatik, pengawal suhu automatik, sistem informasi dan hiburan dengan sambungan Bluetooth, USB dan AUX, serta skrin sesentuh tujuh inci bersama navigasi.

    Captur CKD diberi jaminan selama lima tahun tanpa had batuan, dan juga boleh dibeli dengan pakej penyelenggaraan tambahan – pakej servis penyelenggaraan biasa tiga tahun bernilai RM4,212 dijual pada harga RM3,400 termasuk GST, manakala pakej servis penyelenggaraan biasa lima tahun bernilai RM6,522 ditawarkan pada harga RM5,200. Pilihan lain yang diberi adalah kemasan balutan kulit yang berharga RM3,800 termasuk GST dan lapik ruang barangan belakang pada RM200 termasuk GST.

    Spesifikasi lebih lengkap berkenaan Renault Captur CKD boleh dilihat di laman CarBase.my

     
     
  • SPYSHOT: Honda Accord 2018 dengan penyamaran

    SPYSHOT: Honda Accord 2018 dengan penyamaran

    Nampak gayanya Honda Accord akan menerima penggantian serba baharu, setelah sekian lama asyik dengan facelift sahaja. Memang sudah tiba masanya Accord didatangkan dengan pembaharuan yang lebih jitu, memandangkan model pesaingnya Toyota Camry 2018 bakal muncul tidak lama lagi. Terkini, foto spyshot diterima menunjukkan sedan segmen-D yang dibaluti penyamaran sedang diuji.

    Foto ini menunjukkan bahagian hadapannya yang kelihatan agak mirip dengan Civic terkini, ditampilkan lampu utama LED (mungkin sebagai opsyen) disambung pada bar krom besar. Imej agresifnya turut disumbang dengan penampilan gril besar seperti model semasa Accord Hybrid yang dipasarkan di Jepun.

    SPYSHOT: Honda Accord 2018 dengan penyamaran

    Di bahagian sisinya, garisan bumbungnya kelihatan menonjol, melunjur ke belakang. Menariknya, bahagian cermin belakangnya senada dengan Proton Perdana yang dibina dengan platform Accord generasi ke-lapan.

    Sepertimana Civic, Accord generasi ke-10 ini mungkin menggunakan enjin yang sama dengan CR-V di pasaran US, termasuk 2.4 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC pancitan-terus empat-silinder dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm. Honda turut mengesahkan enjin 1.5 liter DOHC VTC turbo, pada CR-V yang mampu menghamburkan kuasa pada 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 Nm dari takat 2,000 hingga 5,000 rpm.

     
     
  • VIDEO: G12 BMW 740e didedah sebelum pelancaran

    G12 BMW 740Le iPerformance dijadual akan dilancarkan di Malaysia 19 April ini iaitu esok, namun belum pun ia diperkenalkan secara rasmi, imej penuh model sedan mewah plug-in hybrid ini telah pun didedahkan menerusi rakaman video oleh Louis Siah.

    Berdasarkan penampilannya, ia kelihatan membawa beberapa ciri yang sama dengan model semasa 740Li, termasuk lampu utama Laserlight, roda aloi lima-jejari 19-inci dan pakej rekaan luaran Pure Excellence dengan menambah kekemasan krom pada corong pengambilan udara hadapan dan di sekeliling paip ekzos. Perbezaan pada model hibrid dengan varian petrol ialah dapra hadapan di sebelah kiri, bersama logo eDrive dan i.

    Tidak seperti pasaran lain, kita tidak akan menerima kekemasan biru spesifik untuk iPerformance di bahagian luaran, tetapi diikuti set yang yang telah ditetapkan pada model 330e dan X5 xDrive40e yang dijual di sini. Ia juga hadir dengan pengesan radar pada bahagian plat nombor hadapan dan kamera stereo pada bahagian atas cermin hadapan, yang dimasukkan dalam pakej Driving Assistant Plus.

    Ia juga menampilkan Kawalan Kelajuan Aktif dengan fungsi Stop & Go, bantuan kawalan stereng dan lorong dan bantuan kekal lorong dengan perlindungan perlanggaran sisi aktif untuk semi pemanduan sendiri, juga bantuan trafik lintasan hadapan dan belakang. Selain itu, ia juga didatangkan dengan fungsi Bantuan Pemanduan asas termasuklah brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, pencegahan pelanggaran belakang, amaran menukar lorong dan ketibaan lorong serta amaran trafik lintasan belakang.

    Mengintai di bahagian dalamnya, kelihatan tempat duduk upholstery dengan kulit Nappa, bersama pelarasan tambahan untuk hadapan dan belakang, sokongan lumbar dan fungsi mengurut. Kelihatan juga dua skrin hiburan 10-inci di tempat duduk belakang, kawalan suhu automatik empat-zon, Pandangan Sekeliling 360-darjah dan ruang di antara tempat duduk belakang untuk BMW Touch Command tablet (tidak kelihatan dalam foto ini).

    Dijangkakan ia juga akan menerima senarai kit 740i lain termasuk suspensi udara sepenuhnya, unit paparan utama, skrin sesentuh dengan BMW Display Key, sistem navigasi Professional dengan paparan iDrive 10.25-inci, Gesture Control dan sistem bunyi Harman Kardon 600w bersama 16-pembesar suara. BMW Malaysia juga telah menayangkan bumbung panoramik LED-lit.

    Seperti 330e, 740Le ini juga dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang dipertingkatkan kuasa sehingga 258 hp dan tork 400 Nm, sama seperti 730Li. Ia juga dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 113 hp dan tork 250 Nm bersama transmisi automatik ZF lapan-kelajuan, bersama bateri lithium-ion 9.2 kWh, menjadikan keseluruhan kuasanya mencecah 326 hp dan tork 500 Nm.

    Dari segi prestasi, 740Le mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam tempoh 5.7 saat, menjadikannya lebih pantas daripada 730Li (6.3 saat) dan hanya sedikit perlahan berbanding 740Li (5.6 saat). Bagaimanapun, 7 Series dengan ciri plug-in hybrid ini turut mampu memberikan pacuan elektrik sepenuhnya dalam jarak maksimum 48 km, dengan kelajuan maksimum dalam mod ini selaju 140 km/j. Manakala penggunaan bahan api kombinasi pula dianggarkan sekitar 2.3 liter per 100 km dan emisi karbon dioksida pula 53 gram per km. Dengan bateri yang terletak di bawah tempat duduk belakang, ruang kargo diturunkan dari 515 liter ke 420 liter.

    BMW Malaysia juga telah mengesahkan bakal memasang model 7 Series untuk pasaran eksport termasuk Vietnam dan Filipina, jadi varian CKD juga mungkin akan ditawarkan untuk pasaran tempatan.

    Jika benar, pastinya ia bakal menerima pelepasan cukai berkaitan di bawah skim Kenderaan Jimat Tenaga (EEV). Mungkin juga harganya akan berada di sekitar harga yang sama model sedan premium dengan insentif EEV seperti Mercedes-Benz S400L Hybrid, yang ketika ini dijual pada harga atas jalan RM598,888 (tanpa insurans).

     
     
  • Sistem AWAS mula diterima positif – Liow

    Sistem AWAS mula diterima positif – Liow

    Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang mula berkuatkuasa sejak 15 April lalu, dilihat telah menampakkan impak positif.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, sejak sistem berkenaan dilaksanakan, ramai pemandu didapati telah mengurangkan kelajuan kenderaan mereka, laporan Bernama.

    Katanya lagi, kementerian berpuas hati dengan perkembangan tersebut dan berharap pemandu di negara ini akan lebih mementingkan keselamatan semasa pemanduan selepas ini.

    “Sebanyak 14 kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang dipasang seluruh negara dan kita (kementerian) monitor selama dua hari ini. Didapati kelajuan kenderaan sudah menurun. Tetapi maklumat terperinci mengenainya saya akan beritahu dalam masa sebulan lagi.

    Sistem AWAS mula diterima positif – Liow

    “Saya harap pada selepas ini tidak perlu lagi kerajaan gunakan enforcement. Pemandu sendiri akan tahu mana keadaan yang dia perlu pandu dengan perlahan sebab kita bukan nak kenakan penalti atau hukuman. Kita nak selamatkan nyawa,” katanya.

    Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron memaklumkan, sebanyak 23 kesalahan jalan raya akan dimasukkan dalam AWAS di bawah sistem mata demerit, secara berperingkat menjelang akhir tahun ini.

    “Ia bermula dengan kesalahan memandu melebihi had laju dan pelanggaran lampu merah, yang akan dikuatkuasa pada 15 April ini. Selain itu, kesalahan ingkar arahan pegawai penguatkuasa seperti polis, pegawai JPJ, dan warden lalu lintas, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal juga akan dikuatkuasa secara berperingkat,” ujarnya.

    Selain itu, antara kesalahan lain yang akan dikenakan mata demerit ialah membawa lebih muatan daripada had ditetapkan dan muatan terjatuh atau tumpah sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

     
     
  • GALERI: Model dan teknologi konsep Haval di pusat penyelidikan dan pembangunan miliknya di China

    GALERI: Model dan teknologi konsep Haval di pusat penyelidikan dan pembangunan miliknya di China

    Sebelum bermulanya Shanghai Motor Show minggu ini, kami dan rombongan media permotoran Malaysia telah di beri peluang untuk melawat fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengeluar SUV dari China, Haval, yang terletak di Baoding.

    Antara yang menarik pada pusat R&D berkenaan adalah sebuah bilik yang mempamerkan kereta-kereta konsep dari Haval yang telah pun didedahkan sebelum ini serta teknologi-teknologi lain yang sedang diteroka serta ada daripadanya bakal muncul dalam bentuk produksi tidak lama lagi.

    Gambar model konsep diatas model yang digelar Haval Coupe Concept yang bakal diperkenalkan dalam bentuk model produksi sebenar pada Shanghai Motor Show nanti. Walau bagaimanapun, ia tidak akan dipasarkan dengan nama Haval, sebaliknya menerusi jenama Wey – divisi mewah seperti apa yang dilakukan oleh Toyota-Lexus atau Nissan-Infiniti, di mana nama berkenaan diambil sempena nama pengasas Haval iaitu Jack Wey.

    Tiada perincian lanjut rasmi diberitahu kepada kami berkenaan model produksi sebenar ini, namun mereka mengesahkan salah satu enjin unit janakuasa baharu yang dipamerkan – enjin 2.0 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api tunggal, dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) automatik tujuh-kelajuan dari Getrag – bakal menjana SUV mewah baharu berkenaan.

    Menerusi video pendek yang disiarkan kepada kami juga, mereka mengesahkan SUV premium baharu ini bakal diberikan pelbagai teknologi yang menyamai pesaing-pesaingnya dari Eropah termasuk sistem Lane Keeping Assist, Rear Cross Traffic Alert, Pemantau Titik Buta (BLIS) dan lain-lain. Ia juga diberikan pelbagai ciri-ciri bantuan pemanduan antaranya Adaptive Cruise Control, Emergency Autonomous Braking, sistem parkir automatik (selari dan menegak) dan pelbagai lagi.

    Selain dari SUV ini, model konsep lain seperti HR-02 dan Concept-B turut dipamerkan selain jentera perlumbaan yang dibina untuk bertanding di Rali Dakar. Haval turut mempamerkan model konsep sedan elektrik sepenuhnya dan juga keratan rentas teknologi konsep sistem hibrid pacuan-semua roda (dengan motor elektrik dipadankan terus pada gandar belakang) bersama enjin petrol turbo.

    Namun, pihak Haval dan Go Auto (pengedar Haval di Malaysia) mengesahkan mereka tiada perancangan untuk membawa Wey ke pasaran negara kita buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, dalam masa terdekat mereka dijangka bakal mendedahkan sedikit spesifikasi SUV segmen-C H6 Coupe dan SUV ladder frame H9 yang bakal menerjah masuk kepasaran Malaysia tidak lama lagi, termasuk harga anggaran kedua-dua buah model tersebut.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Audi R8 Coupe Sport Edition – hanya 200 unit

    Audi R8 Coupe Sport Edition – hanya 200 unit

    Bagi memperkenalkan divisyen Audi Sport GmbH baharu (yang menggantikan quattro GmbH), pengeluar kenderaan ini telah melancarkan model edisi istimewa bagi R8 Coupe yang diberi nama Audi R8 Coupe Sport Edition. Hanya 200 unit sahaja yang akan ditawarkan, dengan membawakan warna utama Audi Sport – perak, merah dan hitam.

    Di mana jentera ini dipadankan dengan kekemasan merah pada sideblade dan cermin sisi, sementara untuk spoiler hadapan, gril bingkai tunggal dan diffuser pula dilatari warna hitam titanium.

    Manakala kekemasan bagi paip ekzos trapezoidal dengan warna hitam berkilat dan ditampilkan bersama roda aloi rekaan Y 10-jejari 20-inci lengkap dengan logo Audi Sport, dibaluti tayar 245/30 di hadapan dan 305/30 di belakang.

    Pilihan bagi versi R8 V10 dengan kekemasan merah berkilat untuk kaliper brek, sementara R8 V10 plus pula bersama cakera brek seramik dipadankan bersama kaliper dengan kekemasan warna antrasit.

    Di dalamnya, ia menampilkan kekemasan ambang pintu ilumninasi dengan label Audi Sport sebagai inskripsi “1/200” untuk menggambarkan betapa eksklusifnya model ini. Seperti bahagian luaran, kabinnya juga ditampilkan dengan skim warna yang lebih kurang sama, termasuk pada kekemasan pintu dan tempat duduk sport balutan kulit Nappa.

    Lain-lain perincian yang kelihatan termasuklah perehat kepala pada tempat duduk dengan logo R8, jahitan kontras dan bertahtakan karbon berkilat. Roda stereng balutan kulit yang rata di bawah dengan rekaan tiga-jejari adalah standard bagi model edisi istimewa ini.

    Malah enjin standard juga ditawarkan iaitu 5.2 liter V10 dengan output 540 hp dan tork 540 Nm bagi versi R8 V10, serta 610 hp dan 560 Nm pada varian R8 V10 plus. Kedua-duanya turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan dan sistem pancuan semua-roda Audi quattro yang menyalurkan kuasa ke semua roda.

    Di Jerman, harga yang ditawarkan ialah 181,900 euro (RM852,430) untuk Audi R8 Sport Edition bagi varian V10, sementara V10 plus pula 205,800 euro (RM964,432).

     
     
  • Lynk & Co 03 sedan konsep akan dipamer di Shanghai – guna teknologi dan enjin dari Volvo, termasuk hibrid

    Lynk & Co 03 sedan konsep akan dipamer di Shanghai – guna teknologi dan enjin dari Volvo, termasuk hibrid

    Kurang seminggu selepan mengumumkan model konsep sedan 02, Lynk & Co, sebuah syarikat automotif di bawah naungan Geely mendedahkan pula model konsep sedan 03, yang dirujuk sebagai sebuah prototaip rekaan. Di dahului dengan SUV 01, kini model konsep 03 juga akan membuat penampilan sulung di pameran Auto Shanghai minggu ini.

    Persamaan dengan model ini dengan model SUV 01 dapat dilihat dengan jelas, terutama dari unsur rekaan yang digunakan, bagi kedua-dua ruang dalaman dan luaran. Kedudukan lampu utamanya sedikit tinggi serta rekaan gril yang digunakan agak kurus sama seperti pada model 01. Bahagian belakang, selain rekaan tambahan untuk but, penggayaan yang hampir sama dapat dilihat antara model konsep 01 dan 03 ini.

    Begitu juga dengan bahagian dalamannya. Konsol tengah dengan sudut yang tertumpu lebih kepada pemandu menjadi antara yang utama. Rekaan stereng yang digunakan pada 03 dilihat sama seperti stereng pada 01 juga. Manakala unit infotainmen dilengkapi dengan skrin sentuh sebagai tambahan kepada tombol kawalan yang ada.

    Sama seperti yang lain, model konsep ini juga dibangun menggunakan platform CMA daripada Volvo, platform yang sama digunakan pada siri Volvo 40 akan datang. Sistem janaan kuasa pula akan diumumkan nanti, tetapi model 03 ini dijangka akan menggunakan enjin 1.5 liter, tiga-silinder turbocaj yang dipadankan dengan motor elektrik dalam konfigurasi hibrid Volvo T5, serta enjin 2.0 liter turbocaj petrol empat-silinder.

    Sebagai tambahan kepada sistem janaan plug-in hybrid berkenaan, sedan konsep Lynk & Co 03 ini turut dikhabarkan akan menjadi peneraju kepada model elektrik sepenuhnya pengeluar itu nanti. Dengan penampilan sulung model-model dari Lynk & Co ini, Car Advice melaporkan, pemiliknya Geely berhasrat untuk mengubah cara pembelian kenderaan tradisional sebelum ini.

    Dalam langkah yang mirip diambil oleh Tesla, ada perancangan bagi kenderaan Lynk & Co dijual daripada cawangan pengedar sentral miliknya sendiri. “Matlamat kami adalah untuk memberi definisi baru terhadap bagaimana sebuah kereta dibeli, dimiliki, diservis dan digunakan,” jelas naib presiden Lynk & Co, Alain Visser.

     
     
  • DBKL bakal bina 12 lagi bangunan parkir bertingkat

    DBKL bakal bina 12 lagi bangunan parkir bertingkat

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti 12 lokasi bagi membina bangunan parkir bertingkat untuk kemudahan orang ramai, terutamanya di tempat yang menjadi tumpuan umum dan sering kali berlaku kesesakan trafik.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bangunan parkir bertingkat itu akan dibina dengan dengan menggunakan kaedah ‘Industrialised Buliding System’ (IBS) bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, laporan Bernama.

    “Bangunan parkir berkenaan akan dibina dengan kaedah IBS yang lebih berkualiti. Ia juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain termasuk dewan serbaguna dan gerai penjaja,” ujarnya sewaktu melancarkan bangunan parkir bertingkat di Taman Segar, Cheras, hari ini.

    Bangunan parkir setinggi enam tingkat bernilai RM34.89 juta tersebut mula dibuka kepada orang ramai hari ini. Ia mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar, sekali gus memberi kemudahan kepada pengguna perkhidmatan MRT di Stesen MRT Leisure Mall.

    “Bangunan parkir bertingkat di Taman Segar ini mula dibina pada 15 April 2014 dan siap pada 17 Mac lepas. Ia turut dilengkapi dengan 426 petak letak kereta dengan 32 petak untuk wanita dan 10 petak letak kereta khas untuk orang kelainan upaya (OKU), lif dan kamera litar tertutup (CCTV).

    “Bangunan ini turut mempunyai sebuah dewan serbaguna yang dapat menampung 2,000 orang serta tiga gelanggang badminton. Ia turut dilengkapi dengan 28 unit gerai penjaja bagi menghidupkan suasana di sini,” katanya.

    Tengku Adnan berkata kemudahan itu yang terletak di Jalan Manis 6, Taman Segar, Cheras, akan memberi kelegaan kepada orang awam khususnya warga penduduk Taman Segar, Taman Gemilang, Taman Mutiara dan Taman Connaught.

     
     
  • Yamaha panggil balik model MT-09 dan MT-09 Tracer

    Satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Yamaha Motor Co. Ltd., Jepun untuk memanggil balik pemilik motosikal jenis FZ-09, FJ-09 dan XSR 900 tahun 2015 hingga 2017 berikutan masalah pada bahagian pemegang. Di Malaysia, FZ-09 dan FJ-09 masing-masing dikenali sebagai MT-09 dan MT-09 Tracer, dan ia dijual secara rasmi oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd.

    Masalah yang telah dikesan pada bahagian pemegang motosikal ini adalah ia boleh menjadi longgar kerana masalah cat, serta kekurangan jumlah cecair pengunci skru (thread lock) yang digunakan pada skru yang mengikat bahagian tersebut. Ini seterusnya berkemungkinan mengakibatkan pemegang motosikal jadi longgar, dan boleh membawa kepada perkara yang tidak diingini.

    Untuk pemilik di Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor telah mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat sedang bersiap sedia untuk panggilan semula ini dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi. Sementara itu, pemilik masih boleh menunggang motosikal dan hanya perlu melakukan penjagaan seperti yang tertera dalam manual motosikal.

     
     
  • Audi e-tron Sportback konsep bakal tiba di Shanghai

    Audi e-tron Sportback konsep bakal tiba di Shanghai

    Audi telah mendedahkan nama model yang bakal dipamerkan di Auto Shanghai 2017 minggu ini, salah satunya ialah e-tron Sportback konsep yang dipertontonkan berdasarkan model fastback janaan elektrik bersama strategi serampang dua-mata EV bagi 2020.

    Syarikat ini juga telah mendedahkan beberapa imej, termasuk lakaran penuh jentera ini. Ia menunjukkan kerangkanya yang lebih kurang sama dengan model A7, dengan ketinggian pengendalian – yang dekat dengan model kontroversi BMW Gran Turismo. Ia senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi Audi Rupert Standler, yang berkata, “Kereta ini bukannya SUV, tetapi lebih kepada salon standard”.

    Bahagian hadapannya lebih kurang menyamai model R8, dengan gril bingkai tunggal yang rata, disambung pada lampu utama trapezoidal LED bersama indikator. Walau bagaimana pun, bentuk kerangka model ini memang mirip seperti SUV.

    Melihatnya dari sisi, garisan bumbung yang agak landai menjalari hingga ke bahagian belakang bersambung dengan spoiler belakang yang besar. Bahagian belakang juga dilengkapi dengan jaluran lampu yang merentangi permukaannya, kemudian melunjur ke tepi.

    Kluster LED di bawah bar lampu pula memberikan kesan iluminasi, selain ditampilkan dengan empat lingkaran lambang bulat bercahaya, putih di bahagian hadapan, merah di belakang dan logo e-tron juga di belakang memberikan tanda ia adalah bersumberkan kuasa elektrik.

    Seperti yang disebutkan sebelum ini, e-tron Sportback dijangka akan mula berada di pasaran pada tahun 2019, dan menjadi sebahagian daripada strategi jenama untuk mengeluarkan tiga kenderaan elektrik menjelang tahun 2020, menurut laporan Car. Mengikut perancangan, SUV bakal menjadi kenderaan pertama yang akan dipasarkan pada 2018, yang dipertontonkan di Frankfurt Motor Show 2015 dengan e-tron quattro konsep, sementara kereta bandar EV premium pula dijangka akan menyusul selepas Sportback pada tahun 2020.

     
     
  • Geely tayang MPV konsep untuk pameran di Shanghai

    Geely tayang MPV konsep untuk pameran di Shanghai

    Untuk pameran Auto Shanghai yang akan bermula Rabu ini, Geely akan menampilkan sebuah MPV konsep yang menjadi petunjuk kepada rekaan kenderaannya di masa hadapan. Barisan kenderaan terkini yang dikeluarkan oleh jenama itu kini tidak menyertakan rekaan sebuah MPV.

    Dari apa yang dapat dilihat melalui singkapan imej minimal yang didedahkan itu, rekaan lampu depan dan belakangnya akan menampilkan penggunaan lampu LED dalam tiga baris. Dari gambar yang sama, rekaan bumbungnya nampak terapung tanpa kehadiran bahagian pillar di belakang yang digelapkan.

    Bahagian C-pillar dan B-pillar kelihatan disepadukan bersama tingkapnya. Maklumat lanjut berkaitan model konsep ini akan diperoleh sebaik sahaja ia dipertontonkan di Auto Shanghai minggu ini, termasuk persoalan sama ada ia akan diproduksi atau sebaliknya.

    MPV terdahulu keluaran Geely – dikenali Emgrand EV8 – dikuasakan oleh enjin 2.4 liter petrol dan 2.0 liter diesel, dipadankan dengan transmisi lima-kelajuan manual atau automatik enam-kelajuan.

     
     
  • BMW 740Le iPerformance siap untuk pelancaran M’sia

    Teaser terbaru di laman Facebook rasmi BMW Malaysia kini mengesahkan ketibaan model 740Le untuk pasaran Malaysia. Bukan sekadar itu sahaja; dari iklan berkenaan juga, dua ciri inovasi terkini BMW turut akan melengkapi model berkenaan – BMW Laserlight dan BMW iPerformance.

    BMW iPerformance merujuk kepada kenderaan plug-in hybrid BMW, yang turut termasuk di dalamnya dua model lain yang sudah diperkenalkan di sini; X5 xDrive40e dan 330e. 740Le juga akan menyertai varian lain 7 Series yang dijual di sini, iaitu 730Li dan 740Li sebelum ini.

    Model terbaru ini menggunakan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 258 hp dan 400 Nm, dibantu juga oleh motor elektrik 113 hp/250 Nm untuk memberikan output akhir sebanyak 326 hp dan 500 Nm. Jika 730Li memiliki bacaan penggunaan minyak 5.8 liter per 100 km (manakala 740Li dengan pada kadar 6.6 l/100km), 740Li pula didakwa mampu memberikan bacaan 2.2 hingga 2.0 liter per 100 km.

    Dari segi prestasi, 740Le akan memberikan bacaan 0-100 km/j dalam tempoh 5.7 saat, menjadikannya lebih pantas daripada 730Li (6.3 saat) dan hanya sedikit perlahan berbanding 740Li (5.6 saat). Bagaimanapun, 7 Series dengan ciri plug-in hybrid ini turut mampu memberikan pacuan elektrik sepenuhnya dalam jarak maksimum 48 km, dengan kelajuan maksimum dalam mod ini selaju 140 km/j.

    740Le juga hadir dengan lampu utama BMW Laserlight (sebagai pilihan pada pasaran tertentu) serta bumbung panoramik Sky Lounge (standard bagi 740Li) – jika disandarkan kepada iklan awal yang didedahkan oleh BMW Malaysia itu. Walaupun harganya belum diumumkan, 740Le dilihat akan berada di sekitar harga yang sama model sedan premium dengan insentif EEV seperti Mercedes-Benz S400L Hybrid, yang ketika ini dijual pada harga RM598,888.

    GALERI: BMW 740Le plug-in hybrid

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026