Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 pusingan kedua 16 April ini – saingan lebih sengit dijangka gegar SIC

    Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 pusingan kedua 16 April ini – saingan lebih sengit dijangka gegar SIC

    Malaysia Speed Festival (MSF) akan kembali untuk menggegar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Ahad ini, 16 April, untuk pusingan kedua bagi musim 2017. Lebih dari 160 kereta dari pelbagai kategori dijangka bakal berentap di litar berkenaan hujung minggu ini. Pusingan pertama MSF yang berlangsung pada Februari lalu menyaksikan pemandu pasukan Mayhem-Fast Autoworks MaxxOil, Keifli Othman telah mendominasi kategori Race Car Open dengan memenangi kedua-dua perlumbaan.

    Keifli dilihat lebih bersedia untuk perlumbaan kali ini untuk mempertahankan kedudukannya dengan memadankan ‘senjata’ tambahan yang terdiri daripada peralatan aerodinamik untuk Honda Civic miliknya. Keifli yang juga bekas juara Formula Asia dijangka bakal disaing sengit oleh dua pelumba yang turut menaiki podium pada perlumbaan pusingan pertama iaitu Faidzil Alang dari pasukan Fast Lap Autoworks serta Mark Darwin dari pasukan SITTY-DNT.

    Sementara itu, untuk kategori Super 1500 NA, persaingan sengit dijangka bakal terjadi antara pasangan Mohamad Shahril dan Shamir Aizan dari pasukan RAB Prodrag dan juga Keu Sian Shi dan pasukan Momentom Racing – kesemua mereka merupakan pemenang pada perlumbaan pusingan pertama. Dalam kategori Proton 1800 NA pula, Lau Seng Kiat mensasarkan untuk mengulangi prestasi yang ditunjukkan sebelum ini, di mana beliau menang dengan bergaya sambil mencatatkan rekod lap terpantas 2 minit 39 saat.

    Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 pusingan kedua 16 April ini – saingan lebih sengit dijangka gegar SIC

    Untuk kategori hangat Saga Cup, Alif Hamdan dari pasukan JNA Racing dijangka bakal memberikan tentangan hebat kepada pemenang perlumbaan pusingan pertama kelas Expert, Boy Wong dari pasukan ST Wangan. Jay Chong dari pasukan SMRT juga tidak akan berdiam diri untuk menebus kekalahan sebelum ini setelah berpusing akibat terlanggar tumpahan minyak di atas permukaan litar.

    Sementara itu bagi kategori Saga Cup kelas Novice pula, pasukan dari Johor – Ngah Motorsport – diangkat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlumbaan kali ini menerusi pemandu wanitanya yang sedang meningkat naik iaitu Boey Chai, meneruskan kejayaan yang dilakar pada pusingan sebelum ini.

    Kategori lain yang turut dipertandingkan pada MSF kali ini termasuk Special Kei, Street Tuned dan Street Tuned 1,600, Super Street serta 1,600 dan 1,800 Race Car. Tiket untuk padok dijual pada harga RM20 sebelum pukul 11 pagi pada hari perlumbaan, dan RM35 selepas waktu tersebut. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang rasmi MSF Racing atau laman Facebook rasmi mereka.

    Bagi mereka yang terlepas perlumbaan pusingan pertama, anda boleh menonton video sorotan perlumbaan keseluruhan di sini, manakala video khas sorotan kategori Saga Cup pula di sini.

     
     
  • BMW Malaysia keluarkan teaser – mungkinkah varian plug-in hybrid 740e 7 Series G12 berkuasa 326 hp?

    BMW Malaysia keluarkan teaser – mungkinkah varian plug-in hybrid 740e 7 Series G12 berkuasa 326 hp?

    BMW Malaysia baru mengeluarkan satu gambar teaser di dalam laman Facebook mereka, dan ia menunjukkan bayang jelas sebuah BMW 7 Series G12. Di tepi gambar itu, terdapat nombor ‘7’, dengan jalur berwarna biru. Ayat di tepinya tertulis “Lambang kemewahan sebenar akan tiba.”

    Model BMW 7 Series yang sekarang di Malaysia dilancarkan pada bulan Januari 2016, dan kita menerima dua varian – 730 Li dan 740 Li, kedua-duanya dengan jarak roda yang panjang. Dua enjin petrol yang ditawarkan – 2.0 liter turbo 258 hp/ 400 Nm, dan 3.0 liter turbo 326 hp/ 450 Nm digunakan untuk pelbagai varian, jadi, model baru yang akan masuk ini mungkin akan menjadi varian paling tinggi, diesel ataupun plug-in hybrid. Memandangkan terdapat garisan biru di dalam teaser tersebut, berkemungkinan ia adalah model plug-in hybrid – 740Le LWB.

    Langkah membawa model 740e iPerformance juga berpadanan dengan strategi semasa BMW Malaysia yang menawarkan model plug-in hybrid pemasangan tempatan pada harga menarik, hasil daripada insentif yang diberikan oleh kerajaan. Dengan itu sahaja, kita sudah melihat ketibaan X5 xDrive40e M Sport (Jun 2016) dan 330e (Ogos 2016, M Sport dilancarkan pada Februari 2017).

    Varian 740Le LWB dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 258 hp dan 400 Nm (sama seperti pada 730 Li), dan ia dibantu dengan motor elektrik yang mempunyai kuasa 113 hp/ 250 Nm. Secara keseluruhannya, padanan ini mampu menghasilkan 326 hp dan 500 Nm tork. Walaupun ia tidak begitu tinggi seperti 740Li, model plug-in hybrid ini boleh menawarkan penggunaan bahan api lebih baik. Kuasa ini sampai kepada roda belakang (xDrive juga ada, tetapi mungkin tidak sampai ke Malaysia) melalui kotak gear automatik lapan kelajuan.

    Adakah kita akan melihat sebuah lagi model mesra alam dengan pelbagai kelengkapan, setelah mengambil manfaat daripada insentif EEV oleh kerajaan tidak lama lagi? Memandangkan BMW telah mengatakan “Lambang kemewahan sebenar akan tiba,” kita boleh menjangkakan sebegitu. Model 730Li sekarang dijual pada harga RM598,800 manakala 740Li pula RM788,800. Mercedes-Benz S400L Hybrid, yang juga penerima insentif EEV dipasarkan pada harga RM598,888.

    GALERI: BMW 740Le plug-in hybrid

     
     
  • Porsche Panamera 2017 kini berada di Malaysia – harga bermula RM890k bagi model asas 3.0L V6 turbo dan RM1.1j untuk varian 4S 2.9L V6 biturbo

    Porsche Panamera 2017 kini berada di Malaysia – harga bermula RM890k bagi model asas 3.0L V6 turbo dan RM1.1j untuk varian 4S 2.9L V6 biturbo

    Porsche Panamera 2017 telah pun tiba di pasaran Malaysia, dengan gaya yang cukup anggun dan lebih berkarakteristik. Untuk pasaran tempatan, ia hadir dengan dua varian iaitu model asas Panamera dan Panamera 4S. Ia ditampilkan sebagai ikon prestasi untuk jentera serba mewah.

    Bagi bahagian mekanikalnya, model asas Panamera masih menggunakan penjana kuasa yang sama dengan model terdahulu iaitu enjin 3.0 liter V6 turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 330 hp pada takat 5,400 hingga 6,400 rpm, dan tork pula mencecah 450 Nm pada takat 1,340 hingga 4,900 rpm. Walau bagaimana pun, model baharu ini telah dipertingkatkan kuasa sebanyak 20 hp berbanding model sebelumnya. Enjin ini mampu memberikan kelajuan maksimum sehingga 264 km/j.

    Manakala Panamera 4S pula dipadankan dengan enjin baharu yang lebih berkuasa iaitu 2.9 liter V6 bi-turbo enam-silinder dengan output sehingga 440 hp pada takat 5,650 hingga 6,600 rpm serta tork pula mencecah 550 Nm pada takat 1,750 hingga 5,500 rpm. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 289 km/j.

    Porsche Panamera 2017 kini berada di Malaysia – harga bermula RM890k bagi model asas 3.0L V6 turbo dan RM1.1j untuk varian 4S 2.9L V6 biturbo

    Kedua-dua varian ini turut digandingkan dengan transmisi baharu seperti mana model terkini Porsche iaitu automatik Porsche double-clutch (PDK) lapan-kelajuan.

    Penggunaan bahan api bagi varian Panamera yang dipacukan oleh roda-belakang dianggarkan sekitar 9.8-9.7 liter per kilometer, sementara emisi CO2 pula 173-171 g/km. Manakala Panamera 4S yang hadir dengan sistem pacuan semua-roda dianggar menggunakan bahan api lebih kurang 10.4-10.3L/km dan emisi CO2 pula 189-187 g/km.

    Mod pemanduan pada Panamera boleh dipilih dengan Mode Switch opsyenal pada Sport Response Button. Mode Switch berkenaan diperkenalkan buat pertama kali pada model 918 Spyder, yang digunakan untuk memilih pemanduan (Normal, Sport, Sport Plus atau Individual) menerusi suis putaran pada roda stereng. Sport Response Button diletakkan pada bahagian tengah suis berkenaan.

    Porsche Panamera 2017 kini berada di Malaysia – harga bermula RM890k bagi model asas 3.0L V6 turbo dan RM1.1j untuk varian 4S 2.9L V6 biturbo

    Jentera baharu ini juga menerima stereng bahagian belakang baharu, yang diambil dari 918 Spyder dan 911 Turbo, serta prestasi brek juga dipertingkatkan. Sistem suspensi udara adaptif juga dibekalkan dengan teknologi tiga-kebuk baharu dan Porsche Active Suspension Management (PASM kawalan penyerap hentak elektronik).

    Turut ditampilkan ialah sistem Porsche Dynamic Chassis Control Sport (PDCC Sport) yang dipertingkat, Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) dan penstabilan oleng aktif serta sistem stereng elektromekanikal baharu.

    Coupe empat-pintu generasi kedua ini juga ditampilkan dengan dimensi yang lebih panjang dan dinamik, bahu yang lebih lebar dan garis bumbung yang kini 20 mm lebih rendah pada bahagian belakang. Ia juga lebih besar dari model sebelum ini, diukur dengan dimensi 5,049 mm (+34 mm) panjang, 1,937 mm (+6 mm) lebar dan 1,423 mm (+5 mm) tinggi, serta jarak roda yang telah dipanjangkan 30 mm kepada 2,950 mm.

    Walaupun ketinggiannya kini lebih rendah, Panamera nampak lebih rendah dan panjang. Ini adalah kerana garis bumbung baharu yang didakwa Porsche mengubah seluruhnya imej kereta ini. Perubahan lain yang turut dibuat adalah pada bahagian overhang, yang dikurangkan pada bahagian hadapan, dan ditambah pada bahagian belakang.

    Malahan komponen yang dibina dari bahan aluminium kini ditingkatkan bagi mendapatkan berat yang ideal, ini termasuklah bahagian luaran, sisi badan, bonet, bumbung dan dapra.

    Bagi imej luarannya, ia memang cukup sporty di samping mengekalkan elemen penuh kemewahan. Ia dilengkapi lampu utama LED dengan empat poin lampu nyalaan siang LED, dan ditawarkan dalam tiga versi. Pada bahagian belakang pula, ia hadir dengan lampu LED tiga dimensi, dan dipenuhi oleh lampu brek empat-poin. Rodanya pula ditampilkan dengan saiz 19-inci (pilihan 21-inci) yang dibaluti tayar 265/45 ZR.

    Manakala rekaan dalaman bahagian kabinnya turut dipertingkatkan, termasuk dengan Porsche Advanced Cockpit seperti yang terdapat pada model 918 Spyder turut diterapkan pada Panamera dengan perincian yang lebih tinggi. Malah ia turut ditawarkan dengan elemen pilihan termasuk bumbung panaromik boleh buka, tempat duduk dengan pengurut badan, lampu suasana dan sistem bunyi 3D dari Brumester.

    Permukaan panel dan paparan interaktif baharu menampilkan ciri permukaan sensitif-sentuh menggantikan instrumen dengan suis kawalan konvensional. Panel kawalan baharu pada konsol tengah berkenaan membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi dan liang penghawa dingin juga boleh dilaras secara elektronik dengan pengalih sensitif-sentuh.

    Untuk paparan instrumen pula, ia menampilkan paparan tujuh-inci yang di tempatkan terus di hadapan pemandu untuk ergonomik yang ideal. Takometer (masih lagi analog) yang diletakkan di antara dua paparan tadi dikatakan direka diinspirasikan dari model 356 A 1955.

    Skrin sesentuh bersaiz 12.3-inci diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka, sistem Porsche Communication Management (PCM) generasi seterusnya yang menampilkan navigasi atas talian, iaitu fungsi atas talian dari Porsche Connect, sistem telefon pintar bersepadu menerusi Apple Car Play dan sistem kawalan suara yang berfungsi dengan input bahasa semula jadi.

    Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 memberikan tahap versatil yang lebih baik. Ruang but berkapasiti 495 liter dan boleh dipertingkatkan sehingga 1,304 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Ciri bukaan elektrik untuk but juga didatangkan secara standard.

    Coupe empat-pintu generasi kedua ini ditawarkan dengan harga bermula RM890,000 bagi Panamera dan RM1,100,000 untuk Panamera 4S. Kedua-duanya adalah harga atas jalan (termasuk semua cukai dan duti eksais) tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggara percuma termasuk servis, alat ganti dan kos buruh.

    Panamera 4S 2017

    Panamera 2017

     
     
  • Toyota Vios kini dengan kamera 360°, pengecas USB

    Toyota Vios kini dengan kamera 360°, pengecas USB

    UMW Toyota Motor kini memberikan pertambahan ciri dan nilai bagi model Toyota Vios yang di jual untuk pasaran Malaysia. Menjadi penawaran standard bagi semua varian selepas ini ialah kamera dashcam yang direka semula untuk lebih kemas dengan kendalian ciri dalamannya yang lebih mudah dilakukan, serta satu slot pengecas USB yang terletak pada bahagian depan tapak tombol gear untuk memudahkan pengguna.

    Sementara itu, varian E ke atas kini turut menerima paparan monitor panoramik yang menunjukkan pemandangan 360 darjah kenderaan itu pada skrin sentuh di tengah, dengan empat kamera di bahagian luar. Cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik turut disertakan bagi varian G, GX dan TRD Sportivo.

    Selain itu, varian J juga boleh dilengkapi dengan monitor berkenaan sebagai sebahagian daripada pakej infotainmen DVD-AVX dengan kos tambahan RM4,441.90. Ciri ini ditawarkan secara standard bagi semua varian lain. Pembeli Vios 1.5E juga boleh memiliki ciri cermin sisi automatik dengan harga RM318.

    Harga pula kekal seperti sebelumnya; Vios 1.5J dijual pada RM76,500; 1.5J Auto pada harga RM79,800; 1.5E auto pada RM83,900; 1.5G pada RM89,800; 1.5GX pada harga RM92,800 dan TRD Sportivo pula dijual dengan harga RM96,400. Pembeli juga akan menerima rebat tunai sebanyak RM3,000, bermula sekarang hingga 30 April nanti.

    Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo

     
     
  • Tukar lampu depan biasa kenderaan anda kepada lampu dari jenis HID – adakah ia jadi satu kesalahan?

    Tukar lampu depan biasa kenderaan anda kepada lampu dari jenis HID – adakah ia jadi satu kesalahan?

    Teknologi lampu atau pencahayaan pada kenderaan saban hari semakin maju dan terdiri daripada pelbagai jenis. Sebagai contoh, daripada sistem lampu biasa yang menggunakan bulb halogen seperti yang terdapat pada kebanyakan kenderaan sebelum ini, perlahan-lahan pengeluar kenderaan beralih kepada penggunaan lampu-lampu dari jenis lain seperti LED serta High-Intesity Discharge (HID).

    Lampu tungsten merupakan yang terawal digunakan pada kenderaan, sejak 1960an lagi. Ia kemudian berkembang kepada teknologi tungsten-halogen yang mampu memberikan keberkesanan pencahayaan yang lebih baik dengan daya kecerahan yang mampu bertahan lebih lama.

    Dengan kos yang rendah serta jangka hayat yang boleh bertahan antara 500 hingga 1,000 jam, bulb halogen menjadi pilihan yang paling mudah dan praktikal untuk kenderaan. Namun, ia memerlukan sekitar 55 watt tenaga untuk berfungsi, juga hadir dengan kelemahan tersendiri – sebahagian daripada tenaga itu akan terbazir dalam bentuk haba panas dan bukannya cahaya.

    Tukar lampu depan biasa kenderaan anda kepada lampu dari jenis HID – adakah ia jadi satu kesalahan?

    Lampu halogen biasa yang digunakan pada Proton Saga

    Light Emitting Diodes (LED) pula bukanlah terlalu asing dari kegunaan pada peranti teknologi hari ini seperti televisyen dan telefon pintar. Dengan saiz yang lebih kecil yang membolehkannya menjadi sangat fleksibel untuk memenuhi keperluan rekaan dan penggayaan yang ingin dihasilkan, ia juga dapat mengeluarkan cahaya yang lebih jelas dan mencapai kemampuan maksimumnya dalam tempoh yang lebih singkat berbanding lampu halogen.

    Lagi perkara yang menjadi kelebihan LED ialah ada yang mendakwa jenis lampu ini mempunyai jangka hayat sehingga 15,000 jam, jauh lebih lama berbanding lampu halogen biasa. Lampu LED juga lebih cekap menggunakan tenaga – ia tidak membazirkan tenaga dalam bentuk haba dengan ketara, sebaliknya akan mengubahnya sebaik mungkin ke dalam bentuk cahaya.

    Bagi lampu HID pula, ia menghasilkan cahaya putih yang lebih cerah; sekitar dua atau tiga kali ganda melebihi cahaya dari lampu halogen (LED pula berada sedikit di belakang HID dalam aspek ini). Ia juga memerlukan tenaga yang kurang untuk beroperasi; umumnya sekitar 35 watt, dan didakwa mampu memberikan jangka hayat penggunaan sekitar 2,000 jam.

    Tukar lampu depan biasa kenderaan anda kepada lampu dari jenis HID – adakah ia jadi satu kesalahan?

    Honda City 2017 menggunakan lampu LED.

    Sistem lampu HID biasanya hadir dengan ciri auto-leveling dan hadir dengan keupayaan capahan cahaya yang lebih meluas dan terang. Pencahayaan yang lebih baik dan cerah memberi ruang kepada peningkatan faktor keselamatan terutama pada waktu malam – bukan hanya untuk penglihatan pemandu terhadap jalan raya, bahkan untuk lebih mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain, walaupun dari jarak yang jauh.

    Jika ia mampu untuk meningkatkan faktor keselamatan ketika di jalan raya, serta penawaran produk-produk aftermarket dari pihak selain daripada pengeluar asal kenderaan juga dengan mudah boleh didapati, perhatian utama yang ingin dibangkitkan oleh artikel ini ialah; adakah kita boleh menukar sistem lampu biasa kepada sistem lampu HID pada kenderaan sendiri? Adakah perkara ini boleh dilakukan atau sebenarnya melanggar undang-undang?

    Anda mungkin telah mendengar banyak versi jawapan yang diberikan berkaitan hal ini. Untuk mendapatkan kepastian, kami ajukan terus soalan ini kepada Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib, orang yang bertanggungjawab ke atas perkara-perkara berkaitan hal ini.

    Tukar lampu depan biasa kenderaan anda kepada lampu dari jenis HID – adakah ia jadi satu kesalahan?

    Hyundai Ioniq dilengkapi lampu Bi-Xenon HID.

    “Tentang headlights pada kenderaan, peraturan yang ada sangat jelas. Mana-mana lampu yang dipasang kemudian (secara retrofit) yang berlainan daripada lampu asal pada sesebuah kenderaan itu adalah salah di sisi undang-undang. Sekiranya ia memang spesifikasi daripada pengeluar, tiada masalah,” jelasnya.

    Kerana menurut beliau, di dalam United Nation Regulations 48 (UNR48) yang berkaitan lampu kenderaan, lampu utama kenderaan hanya boleh menggunakan lampu dengan kadar pancaran cahaya (brightness intensity) 4,300K maksimum. “Tapi, dalam pasaran, lampu HID yang dijual ini ada yang mencecah sehingga 16,000K.

    “Ini yang akan jadi masalah; kalau digunakan, itu yang kadang-kadang kita terserempak dengan kereta yang lampunya sangat menyilaukan mata jika terpandang ke arahnya. Ini membahayakan pengguna jalan raya yang lain, dan inilah yang ingin kita elakkan,” tambah beliau, yang turut menambah bahawa tindakan ini turut melanggar Vehicle Type Approval (VTA) yang telah diluluskan terhadap sesebuah kenderaan.

    Tukar lampu depan biasa kenderaan anda kepada lampu dari jenis HID – adakah ia jadi satu kesalahan?

    Tindakan apa yang akan dikenakan kepada pelaku, sekiranya didapati berbuat demikian? “Pertama, bagi pengguna jalan raya yang nampak perkara ini, mereka boleh membuat aduan terus melalui emel [email protected]. Nyatakan maklumat berkaitan dengan gambar sekali kalau boleh. Jika ada aduan, JPJ akan panggil kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut yang menyeluruh,” tambah beliau.

    Selepas pemeriksaan dan sekiranya didapati memang terdapat pemasangan retrofit itu, maka JPJ akan mengeluarkan Notis PG1 yang memerlukan pemilik untuk mengembalikan kenderaan mereka kepada keadaan asal dalam tempoh 10 hari.

    Bagaimanapun, bagi penambahan Day-time Running Lights (DRL) secara berasingan, ia tidak menjadi masalah jika ingin dipasang kemudian (retrofit). “Ini kerana, ia tidak melibatkan sistem yang rumit (seperti sistem pada lampu utama) dan tidak menggunakan pemantul yang boleh menyilaukan mata,” tambah beliau.

    Ikuti juga artikel berkaitan yang memaparkan maklum balas dari JPJ yang pernah kami laporkan, misalnya bagi isu penggunaan tayar kangkang serta pelekat body-wrap untuk kenderaan.

     
     
  • Teaser Mercedes-Benz S-Class W222 2018 facelift di New York, bakal tampil di Shanghai minggu depan

    Teaser Mercedes-Benz S-Class W222 2018 facelift di New York, bakal tampil di Shanghai minggu depan

    Sebelum pendedahan rasminya untuk peringkat global di Auto Shanghai minggu hadapan, Mercedes Benz terlebih dahulu menyiarkan imej teaser bagi model facelift S-Class W222 di New York International Auto Show yang sedang berlangsung.

    Imej teaser yang membayangkan bahagian hadapan kereta berkenaan menunjukkan versi yang dikemaskini tersebut menerima lampu hadapan baharu yang menampilkan tiga lampu nyalaan siang LED dan juga teknologi LED 84-diod Multibeam yang sama seperti E-Class W213. Lampu tersebut turut hadir bersama fungsi lampu tinggi Ultra Range.

    Mercedes turut memberikan gambaran awal keseluruhan kereta berkenaan menerusi sebuah video yang turut memperlihatkan pakej penampilan baharu AMG Line hadir dengan bampar hadapan yang direka semula – agak seiras dengan penampilan E-Class. Gril dua bar juga kini bukan hanya diberikan pada model V12 dan Maybach, malah turut diberikan pada semua varian dalam barisan model.

    Berdasarkan imej yang dijumpai tanpa sebarang pelekat penyamaran sebelum ini, S-Class standard juga menerima rekaan bampar hadapan baharu, manakala lampu belakang kini diberikan sistem lampu dengan “stardust effect” – yang dihasilkan menggunakan kristal optik di dalam reflektor dan juga struktur permukaan khas – ditampilkan buat pertama kali pada E-Class.

    Bahagian dalam juga menerima beberapa perubahan kecil, termasuk pelindung kaca pada skrin berkembar 12.3 inci untuk meter serta sistem informasi dan hiburan, bersama roda stereng tiga jejari yang mempunyai pad sesentuh untuk mengawal paparan pada skrin tersebut. Kedua-dua ciri ini juga pertama kali diperkenalkan pada E-Class.

    Bagi pilihan enjin pula, ia bakal diterajui enjin baharu M256 3.0 liter enam-silinder sebaris, yang turut akan menampilkan teknologi elektrikal 48V buat pertama kali seperti motor penghidup bersepadu dengan alternator 48 volt dan juga pemampat booster elektrik 48 volt. Model facelift ini juga bakal diberikan pilihan enjin M176 4.0 liter V8 turbo berkembar.

    Pilihan enjin lain termasuk enjin turbo diesel empat- dan enam-silinder yang diambil dari E-Class W213, dan juga versi hibrid plug-in yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 50 km.

    Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, S-Class yang dipertingkatkan ini turut diberikan teknologi bantuan pemanduan automatik yang disadur dari E-Class. Pakej Driving Assistance pada kereta ini dipertingkatkan lagi dengan kamera dan sistem radar yang lebih baik, dan juga Distronic Active Proximity Assist kini mampu menggunakan peta dan data navigasi untuk mengira tabiat pemanduan dan melaras kelajuan kereta dengan selesa.

    Sistem lain termasuk Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Tukar Lorong Aktif, Bantuan Berhenti Kecemasan Aktif (yang akan menghentikan kenderaan apabila Bantuan Stereng Aktif beroperasi dan sistem mengesan pemandu tidak bertindak ketika diperlukan) dan Bantuan Pengehad Kelajuan Aktif. Yang terakhir adalah sub-fungsi dari Bantuan Papan Tanda Trafik, dan mengenal pasti tanda-tanda gantri untuk mengadaptasi kelajuan kereta berdasarkan had laju yang telah dikenal pasti.

    Fungsi baharu tersebut turut termasuk Evasive Steering Assist – yang membantu pemandu untuk mengelak pejalan kaki pada zon bahaya kereta tersebut – dan juga Komunikasi Kereta-ke-X, yang akan memberikan amaran pemandu lain berkenaan kondisi yang berbahaya. S-Class turut bakal menerima Remote Parking Assist sama seperti E-Class.

    GALERI:W222 Mercedes-Benz S-Class W222 dan S63 AMG facelift

     
     
  • Subaru Ascent Concept – tiga baris tempat duduk

    Subaru Ascent Concept – tiga baris tempat duduk

    Tahun lepas, Subaru telah menunjukkan gaya awal sebuah SUV tujuh tempat duduk semasa Los Angeles Auto Show, melalui model Viziv-7 Concept. Lima bulan selepas itu, Subaru telah mendedahkan versi yang dikemas kini, dipanggil Subaru Ascent. Ini sekaligus menunjukkan secara lebih tepat bagaimana model yang akan menggantikan Tribeca pada tahun 2018 (SUV yang dijual di Amerika Syarikat sahaja).

    Bagi sebuah kenderaan konsep, kenderaan ini memang nampak cukup bergaya, dengan muka hadapan yang berpetak dan ia kelihatan seperti sudah bersedia untuk masuk ke barisan produksi. Walupun begitu, masih tidak pasti sama ada penampilan ini akan diikuti.

    Rekaan ini menampilkan konsep ‘Dynamic x Solid‘ unik Subaru, dengan gril berbentuk trapezoid, dan diapit oleh lampu utama berbentuk tajam. Lengkuk rodanya pula lebih jelas manakala lampu belakang berbentuk C. Di sepanjang pintu, terdapat lekuk seperti model Impreza, tetapi ia nampak lebih tegap di sini. Melengkapkan gayanya adalah rim aloi bersaiz 21 inci.

    Pada bahagian dalam, rekaannya mengingatkan kepada Impreza, tetapi bahagian konsol tengah bersambung terus ke bawah sehingga bonjolan transmisi. Terdapat juga panel instrumen digital, yang terletak di bahagian tengah dan tombol gear yang rendah. Berbeza dengan kebanyakan kenderaan tujuh tempat duduk lain, baris kedua tempat duduk Ascent menggunakan unit berasingan, siap dengan perehat tangan masing-masing. Di belakang, tiga orang boleh duduk.

    Perincian lain masih lagi tidak jelas, tetapi Subaru memberitahu bahawa Ascent akan dikuasakan oleh enjin boxer turbo, suntikan terus baru. Ascent akan dibina di atas platform global Subaru yang telah diubah suai, yang turut digunakan untuk Impreza dan ia berukuran 5,050 mm panjang, 1,989 mm lebar dan 1,839 mm tinggi. Ia akan dikeluarkan di Lafayette, Indiana.

     
     
  • SUV Jaguar F-Pace dinobatkan sebagai ‘World Car of The Year’ dan ‘World Car Design of The Year’ 2017

    SUV Jaguar F-Pace dinobatkan sebagai ‘World Car of The Year’ dan ‘World Car Design of The Year’ 2017

    Acara anugerah World Car of The Year tahun ini telah pun mencapai kemuncaknya apabila kesemua pemenang diumumkan pada New York International Auto Show, menobatkan SUV pertama keluaran Jaguar – F Pace – sebagai kereta terbaik WCOTY 2017. SUV mewah keluaran jenama automotif Brtish tersebut turut menggondol anugerah World Car Design of The Year 2017, membolehkan ia menerima kemenangan berganda tahun ini.

    Sebanyak 23 kenderaan dicalonkan bagi anugerah berprestij berkenaan untuk tahun ini dan kemudian disenarai pendekkan kepada hanya 10. Apa yang menarik, tiga finalis untuk anugerah tersebut untuk tahun ini kesemuanya terdiri dari SUV; F-Pace, Audi Q5 dan Volkswagen Tiguan.

    Dalam kategori World Car Design of The Year, F-Pace hanya disaingi oleh Mercedes-Benz S-Class Cabriolet. Kemenangan F-Pace ini juga menyamai apa yang dicapai oleh pemenang World Car of The Year tahun lalu iaitu Mazda MX-5, yang turut dinobatkan sebagai World Car Design of The Year 2016. Dalam pasaran Malaysia, F-Pace ditawarkan dengan dua varian iaitu Prestige (RM598,800) dan R-Sport (RM658,800).

    Sementara itu, untuk anugerah World Luxury Car of The Year 2017 menjadi milik Mercedes-Benz E-Class W213, menewaskan BMW 5 Series G30 dan Volvo S90/V90. Antara nama lain yang turut tercalon untuk anugerah ini adalah Bentley Bentayga dan Genesis G90.

    Bagi kategori World Performance Car pula, ia dimenangi oleh Porsche 718 Boxter/Cayman, menewaskan Audi R8 Spyder dan McLaren 570S. Finalis lain yang turut merebut anugerah ini termasuk Aston Martin DB11, Honda NSX, Lexus LC 500 dan Mercedes-AMG GT Roadster.

    BMW i3 (94 Ah) pula menggungguli kategori World Urban Car, menewaskan dua finalis lain iaitu Citroen C3 dan juga Suzuki Ignis. Nama lain yang turut tercalon untuk kategori ini termasuk Ford Ka+, Smart Brabus dan Suzuki Baleno.

    Untuk kategori terakhir iaitu anugerah World Green Car, ia dimenangi oleh Toyota Prius Prime, menewaskan Chevrolet Bolt dan Tesla Model X. Finalis lain yang turut disenarai pendekkan untuk kategori ini termasuk Honda Clarity fuel-cell, Hyundai Ioniq, dan juga BMW 740e iPerformance.

     
     
  • Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

    Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

    Model Kia Rio hatchback terkini telah diperkenalkan tahun lalu lagi, semasa Paris Motor Show, tetapi bagi varian sedan, ia baru sahaja muncul. Kereta empat pintu segmen B ini lebih besar dan diperhalusi berbanding sebelum ini dan akan mula dijual di Amerika Syarikat (AS) penghujung tahun ini.

    Tentunya kereta ini lebih menarik berbanding sebelum ini, dan ia mempunyai bahagian hadapan yang lebih panjang, garis cermin lebih rata, dek belakang lebih rendah dan badan belakang yang lebih pendek untuk menyumbang kepada perkadaran yang lebih seimbang. Bahagian hadapannya adalah sama dengan versi hatchback, iaitu mempunyai lampu utama memanjang ke belakang yang ditemukan di tengah dengan gril ‘tiger nose‘, dan lampu kabus yang dinaikkan sedikit ke atas.

    Di bahagian tepi pula, garis bahu yang lebih tegap membuatkan ia kelihatan seperti lebih panjang, manakala hiasan pada C-pillar membuatkan cerminnya nampak seperti lebih panjang. Pada bahagian belakang terdapat lampu yang berbentuk trapezoid dan kemasan bawah berwarna hitam siap dengan sirip seperti diffuser. Satu kekurangan bagi model yang dipasarkan di AS adalah ia akan menggunakan rim 15 inci, termasuk pada varian EX paling tinggi, sementara di pasaran lain, ada yang menggunakan rim 17 inci.

    Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

    Kereta ini bukan setakat ‘nampak’ sahaja lebih panjang dan besar, tetapi dimensinya memang bertambah – 15 mm lebih panjang menjadi 4,384 mm manakala jarak roda pula dipanjangkan 10 mm menjadi 2,581 mm. Ia juga lebih rendah dan lebar, sama seperti versi hatchback.

    Di dalam, secara keseluruhannya, Rio Sedan ini sama sahaja dengan versi hatchback, melihatkan penggunaan rekaan bergaris melintang yang menjadikan ia kelihatan seperti lebih luas. Menurut Kia, bahagian dalam ini mempunyai bahan yang lebih berkualiti, manakala ciri ergonomik juga diperbaik. Tempat duduk hadapan direka semula supaya menjadi lebih kurus, tetapi kusyen dan pelapiknya masih empuk untuk mengurangkan kepenatan dalam pemanduan jarak jauh.

    Sudah tentu, apabila ia lebih panjang dan lebar, ia juga lebih luas di dalam, dengan Kia mendakwa ia adalah yang terbaik di dalam kelasnya. Kedua-dua penumpang hadapan dan belakang dapat menikmati ruang kaki dan bahu yang lebih luas, dan walaupun kereta ini lebih rendah, penumpang hadapan juga dapat merasa ruang kepala yang lebih luas ini, hasil penggunaan bahan baru pada lapik bumbung. Profail baru bagi panel pintu dan papan pemuka yang direka semula juga turut membantu dalam aspek ini. Bahagian but, walaubagaimanapun masih lagi kecil, iaitu 388 liter – satu liter kurang berbanding sebelum ini.

    Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

    Untuk sistem informasi dan hiburan, Rio Sedan ditawarkan di AS dengan fungsi sambungan Bluetooth, enam pembesar suara dan kamera undur, manakala varian EX pula mendapat sistem hiburan UV03 dengan skrin sesentuh terapung tujuh inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Untuk aspek keselamatan, Rio datang dengan enam beg udara, ABS, stabilitiy control, hill-start assist, dan juga boleh dipilih dengan autonomous emergency braking (AEB). Kia mensasarkan penarafan keselamatan lima bintang oleh National Highway Traffic Safety Association (NHTSA) dan anugerah Top Safety Pick daripada Insurance Institute of Highway Safety (IIHS).

    Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

    2018 Rio

    Di AS juga, Rio hanya mendapat satu pilihan enjin, iaitu unit empat silinder 1.6 liter 130 hp/ 161 Nm, dan ia digabungkan dengan pilihan sama ada transmisi automatik ataupun manual untuk menyampaikan kuasa kepada tayar hadapan. Beratnya keseluruhan model sedan ini adalah 1,201 kg untuk model manual dan 1,231 untuk model automatik.

    Pada bahagian suspensi terdapat penyerap MacPherson di hadapan sementara di belakang menggunakan torsion beam seperti sebelum ini. Walaupun begitu, geometrinya telah diubah supaya pengendaliannya menjadi lebih lincah dan lebih selesa. Selain itu, tetapan penyerap dan spring juga dirujuk semula. Kereta ini didatangkan secara standard dengan brek cakera 11 inci di hadapan dan brek dram di belakang. Varian EX pula mendapat brek cakera 10.3 inci di belakang.

    Untuk Malaysia, Kia Rio hatchback dirancang tiba di Malaysia dalam suku kedua tahun ini, dengan menggunakan enjin sama iaitu unit 1.4 liter dan transmisi automatik empat kelajuan. Bagi model sedan, ketibaannya masih belum diberitahu.

     
     
  • GALERI: Audi A4 1.4 TFSI, A4 2.0 TFSI quattro baharu di M’sia – masing-masing berharga RM219k, RM315k

    GALERI: Audi A4 1.4 TFSI, A4 2.0 TFSI quattro baharu di M’sia – masing-masing berharga RM219k, RM315k

    Tahun lalu, Audi Malaysia telah melancarkan model B9 Audi A4, dengan menawarkan tiga varian iaitu 1.4 TFSI, 2.0 TFSI dan 2.0 TFSI quattro. Namun ketika itu, hanya harga bagi 2.0 TFSI sahaja yang didedahkan. Minggu ini, giliran dua lagi varian, 1.4 TFSI dan 2.0 TFSI quattro pula didedahkan harganya, dan kini kedua-duanya telah pun berada di bilik pameran Audi.

    Bagi yang berminat dengan varian A4 1.4 TFSI, ia dipadankan dengan enjin petrol 1.4 liter suntikan-terus empat-silinder turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 hp antara 5,000 hongga 6,000 rpm dan tork 250 Nm antara 1,500 hingga 3,500 rpm. Ia turut ddigandingkan dengan kotak gear dwi-klac kering S tronic tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan. Dengan pacuan dari 0-100 km/j, ia hanya mengambil masa 8.5 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah sehingga 210 km/j.

    Elemen standard yang hadir bersama varian ini termasuklah lampu xenon dengan lampu nyalaan siang LED, roda aloi rekaan kristal 10-jejari 17-inci, kawalan suhu tiga-zon, kulit upholstery, tempat duduk hadapan boleh laras secara elektronik, MMI Navigation Plus dengan MMI Touch dan sistem bunyi Audi bersama 10-pembesar suara.

    Pilihan warna luaran termasuk Glacier White, Floret Silver, Scuba Blue, Tango Red, Monsoon Grey, Argus Brown dan Mythos Black.. A4 1.4 TFSI ini ditawarkan pada harga atas jalan RM218,900 tanpa insurans.

    Manakala bagi varian tertinggi 2.0 TFSI quattro pula, dengan harga RM314,900 (tanpa insurans), ia ditawarkan dengan pilihan enjin yang lebih berkuasa; 2.0 liter turbo bersama kuasa 252 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 370 Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm. Ia juga didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda kekal quattro binaan Audi, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j (0-100 km/j dalam 5.8 saat). ia juga dipadankan dengan kotak gear dwi-klac kering S tronic tujuh-kelajuan sama seperti 1.4 TFSI.

    GALERI: Audi A4 1.4 TFSI, A4 2.0 TFSI quattro baharu di M’sia – masing-masing berharga RM219k, RM315k

    Ia dihadirkan dengan elemen termasuk lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED, sama seperti 2.0 TFSI, MMI Navigation Plus dengan MMI Touch, paparan berwarna TFT 8.3-inci, roda aloi rekaan “Star” lima jejari-berkembar 18-inci dan kulit/Alcantara upholstery. Ia juga ditawarkan dengan warna yang sama seperti 1.4 TFSi, dan menggantikan Argus Brown bagi Daytona Grey.

    Menambahkan kelainan bagi varian A4 2.0 TFSI ini, ia turut dihadirkan dengan pakej elemen pilihan Tech Pack yang merangkumi kokpit maya Audi, lampu utama Matrix LED dengan indikator dinamik, antara muka telefon pintar Audi (Apple CarPlay dan Android Auto), MMI Navigation Plus dengan MMI Touch, sambungan Audi dan kamera belakang. Tech Pack hadir dengan kos tambahan sebanyak RM25,000 bagi 2.0 TFSI, yang dijual pada harga RM248,900, kini keseluruhannya bernilai RM273,900.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan bagi penjana kuasanya, masih sama dengan unit turbo 2.0 liter yang memberikan kuasa sehingga 190 hp pada 4,200 hingga 6,000 rpm, dan tork 320 Nm pada 1,450 hingga 4,200 rpm. Pacuannya disalurkan menerusi roda hadapan dengan kelajuan maksimum sehingga 240 km/j (0-100 km/j dalam 7.3 saat) dan menerima pilihan warna sama seperti 1.4 TFSI.

    Kedua-dua varian juga berkongsi elemen keselamatan yang sama iaitu enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Hold Assist, cagak Isofix, Multi-Collission Brake Assist, lampu amaran tekanan tayar dan cermin dalaman dengan anti silau.

    GALERI: Audi A4 1.4 TFSI, A4 2.0 TFSI quattro baharu di M’sia – masing-masing berharga RM219k, RM315k

    Audi Malaysia turut mengumumkan semua varian bagi A4 kini didatangkan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had, yang dipertingkatkan berbanding sebelum ini dengan pakej waranti pengeluar empat-tahun/120,000 km. Penghantaran bagi semua varian dijangka bermula Mei 2017.

    Bagi peluang masa terhad sahaja, pelanggan kini boleh menikmati tawaran istimewa bagi barisan A4, di mana varian 1.4 TFSI hanya RM199,000 (penjimatan sehingga RM19,000); 2.0 TFSI Tech Pack hanya RM249,900 (penjimatan RM24,000); 2.0 TFSI quattro pula hanya RM294,900 (penjimatan RM20,000).

    Untuk perincian bagi setiap varian B9 Audi A4 serba baharu ini, sila layari CarBase.my.

    Audi A4 1.4 TFSI

    Audi A4 2.0 TFSI quattro

     
     
  • Kenaikan duti eksais untuk MPV dan SUV mampu milik dibatalkan serta-merta, kekal pada 60% – Kastam

    Kenaikan duti eksais untuk MPV dan SUV mampu milik dibatalkan serta-merta, kekal pada 60% – Kastam

    Rungutan orang ramai berkenaan duti eksais untuk MPV dan SUV dengan kapasiti enjin 1,500cc ke bawah yang diwartakan naik 5% menjadikannya 65% nampaknya memberi kesan kepada keputusan kerajaan setelah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan kadar lama 60% akan dikekalkan berkuat kuasa serta merta.

    Perkara ini telah disahkan dalam satu laporan berita Bernama yang disiarkan semalam. Menurut laporan tersebut lagi, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy berkata dalam satu kenyataan, pelarasan daripada 65% sebelum ini dibuat selepas mengambil kira permintaan tinggi rakyat terhadap kenderaan import dipasang siap sepenuhnya (CBU).

    “Dalam tempoh peralihan sementara bagi membolehkan pindaan itu diwartakan dan berkuat kuasa mulai 13 April 2017, langkah untuk memberi pengecualian duti eksais yang melebihi 60 peratus akan diberikan bagi kenderaan-kenderaan terlibat.

    Kenaikan duti eksais untuk MPV dan SUV mampu milik dibatalkan serta-merta, kekal pada 60% – Kastam

    “Melalui langkah ini, harga kenderaan kepada pembeli perlu dikekalkan dan syarikat pengeluar tidak boleh menaikkan harga atas alasan kenaikan kadar duti eksais yang telah diwartakan melalui Perintah Duti Eksais 2017 pada 31 Mac, 2017,” katanya.

    Susulan pengumuman kenaikan kadar duti eksais berkenaan minggu lalu, UMW Toyota telah mengesahkan harga MPV dan SUV berkapasiti 1,500cc keluarannya iaitu Sienta, Avanza dan Rush antara RM3,310 hingga RM6,010. Manakala Proton, Perodua, dan Honda belum mengumumkan apa-apa berkaitan kenaikan harga untuk model Ertiga, Alza dan juga BR-V.

     
     
  • Terengganu tampung kos RM45j baiki jalan minor

    Terengganu tampung kos RM45j baiki jalan minor

    Kerajaan Terengganu akan mempergiatkan usaha untuk membaiki atau menampal jalan-jalan raya minor yang rosak atau berlubang di seluruh negeri tersebut. Sebanyak RM45 juta akan diperuntukan bagi tujuan tersebut, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman , kerja-kerja penampalan jalan berlubang berkenaan diserahkan kepada kontraktor Permint Granite-HCM Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelenggara jalan-jalan terlibat selama lima tahun, bermula semalam hingga 2022.

    “Jalan-jalan ‘minor’ ini adalah jalan-jalan kampung, kira-kira 7,500 kilometer, di mana penyelenggaraan tidak terletak di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jalan-jalan yang tidak diwartakan sebagai jalan persekutuan.

    “Asas projek ini dilaksanakan adalah bagi membantu menghindar kemalangan jalan terhadap pengguna jalan raya terutama pada waktu hujan yang kadangkala lubang berkenaan tidak kelihatan,” katanya selepas melancarkan projek kerja-kerja penampalan jalan-jalan minor Terengganu di Dataran Permata, Seberang Takir, semalam.

    Ahmad Razif berkata pengguna jalan raya minor boleh membuat aduan secara terus kepada pihak kontraktor menerusi laman web ‘E-tapong’ jika berlaku sebaranag kerosakan di jalan terlibat dan jika maklumat yang diberikan tepat, proses pembaikan jalan akan dilaksanakan dalam masa 24 jam. Difahamkan laman web ‘E-tapong’ berkenaan akan diaktifkan dalam masa seminggu lagi.

     
     
  • Dodge Challenger SRT Demon – kereta produksi paling pantas, padat dengan 840 hp dan 1,075 Nm

    Dodge Challenger SRT Demon – kereta produksi paling pantas, padat dengan 840 hp dan 1,075 Nm

    Selepas beberapa bulan mengeluarkan satu persatu video teaser, akhirnya Dodge Challenger SRT Demon muncul di khalayak ramai semasa New York Auto Show. Antara sebab utama Dodge melakukan promosi besar-besaran berkenaan kereta ini adalah kerana ia adalah kereta produksi paling pantas di dunia.

    Catatan masa yang mampu dilakukan oleh Demon sememangnya menakjubkan iaiatu 0-30 bsj (48 km/j) dalam 1 saat, 0-60 bsj (97 km/j) dalam 2.3 saat, manakala dari statik ke jarak suku batu (400 m) dalam 9.65 saat, pada kelajuan paling tinggi 225 km/j.

    Catatan ini sangat pantas, sehinggakan ia melebihi had yang ditetapkan oleh United States National Hot Rod Association (NHRA) untuk beraksi dalam litar ahli NHRA untuk kategori kenderaan produksi OEM (9.99 saat pada 217 km/j).

    Semua nombor prestasi ini adalah hasil daripada penggunaan enjin HEMI V8 6.2 liter supercharged, yang merupakan versi ubah suai daripada enjin standard Hellcat. Daripada enjin yang sudah cukup berkuasa tu, Dodge menukar supercharger 2.7 liter yang lebih besar, dan ia boleh beroperasi pada tekanan lebih tinggi, iaitu 14.5 psi. Turut digunakan adalah valvetrain kelajuan tinggi, penyambung rod dan piston lebih kuat, serta pelincir yang lebih baik.

    Kemudiannya, terdapat kotak udara yang lebih besar, yang mana mendapat udara melalui tiga salur – atas bonet, lubang di lampu hadapan sebelah pemandu dan berhampiran roda. Hasilnya, kuasa yang dapat dihasilkan adalah berjumlah 840 hp dan 1,044 Nm tork, iaitu 133 hp dan 164 Nm lebih tinggi berbanding Hellcat yang sudah cukup berkuasa. Jumlah ini juga menjadikan enjin Demon sebagai enjin V8 paling berkuasa pernah diletakkan pada kenderaan produksi.

    Satu lagi perkara pertama kali dilakukan bagi kenderaan produksi adalah Power Chiller, iaitu sistem yang dapat menghalakan penyejuk pendingin hawa kepada sistem supercharger. Turut dilengkapkan adalah After-Run Chiller, yang membiarkan kipas penyejuk enjin dan pam penyejuk litar suhu rendah terus beroperasi selepas enjin dimatikan.

    Dari enjin, kuasa ini disampaikan kepada tayar drag (diluluskan untuk penggunaan jalan biasa) Nitto NT05R 315/40R18 di belakang melalui kotak gear automatik TorqueFlite lapan kelajuan, dengan torque converter yang dinaik taraf supaya dapat meningkatkan pembahagian tork sebanyak 18%. Penguncian transmisi juga dijadikan lebih cepat. Turut digunakan adalah prop shaft, differential belakang serta half shaft yang diperkuat.

    Dodge Challenger SRT Demon – kereta produksi paling pantas, padat dengan 840 hp dan 1,075 Nm

    Pada kotak gear ini, terdapat trans-brake, yang boleh mengunci output shaft, seterusnya membenarkan enjin meraung sehingga 2,350 rpm, sementara kereta masih kekal pegun, dan apabila penukar gear di stereng ditarik, ia dapat memberikan pelepasan pecutan pertama 30 milisaat lebih pantas berbanding perlu menekan brek.

    Sementara itu, ciri Torque Reserve pula menutup injap bypass untuk memenuhkan tekanan dalam supercharger lebih awal, dan menguruskan aliran minyak serta pemasaan percikan, seterusnya mengimbangkan kitaran enjin dan tork. Dengan semua itu, ia dapat menghasilkan pecutan pertama lebih cepat dan masa pecutan suku batu lebih pantas sehingga 1/10 saat. Ciri Drag-mode Launch Assist pula dapat mengesan sebarang loncatan pada tayar belakang dan jika ada, ia akan mengurakan tork enjin supaya komponen lain tidak rosak.

    Bagi memastikan kenderaan ini kekal stabil, Dodge menggunakan penyerap Bilstein adaptif, dengan ciri Drag Mode, yang dapat melembutkan lantunan pada bahagian depan untuk memindahkan sebanyak mungkin berat kepada bahagian roda belakang, seterusnya meningkatkan cengkaman sehingga 11%. Pemindahan berat juga telah dipertingkat dengan penggunaan spring lebih lembut dan anti-roll bar, sementara knuckle belakang khas dapat mengurangkan camber negatif sehingga 0.5 darjah untuk meningkatkan cengkaman.

    Drag Mode juga menutup ciri traction control supaya pemandu dapat melakukan burnout, tetapi masih mengekalkan stability control aktif untuk kelebihan di jalan lurus. Fungsi line lock juga dipasang, mengunci roda hadapan, tetapi membiarkan roda belakang berpusing secara bebas untuk memanaskan tayar.

    Sebagai tambahan, Demon juga 91 kg lebih ringan berbanding Hellcat, hasil daripada pengurangan barang seperti tempat duduk penumpang hadapan, tempat duduk belakang, alas kaki, pembesar suara, amplifier, mastic sealant, kolum stereng kuasa dan pengesan undur. Turut membantu adalah anti roll bar lebih ringan, angkup brek empat piston dengan cakera yang lebih kecil, serta rim yang ringan.

    Pembeli juga boleh mendapatkan pakej Demon Crate, penuh dengan komponen yang direka khas untuk perlumbaan drag. Ini termasuk modul pengawal enjin prestasi dengan kalibrasi minyak oktana tinggi, modul suis dengan butang khas untuk pilihan oktana tinggi, penapis udara prestasi dan rim drag hadapan yang lebih kurus. Turut diberi adalah jek hidraulik lantai, spanar impak tanpa wayar dan pengukur tekanan tayar.

    Kereta ini akan dihasilkan dalam unit yang terhad, dengan 3,000 daripadanya adalah untuk pasaran Amerika Syarikat, manakala 300 lagi adalah untuk Canada. Semua pembeli juga akan menerima sesi pemanduan prestasi tinggi di Bob Bondurant School of High-performance Driving, sama seperti pembeli model SRT lain.

     
     
  • Harga bahan api bagi minggu ketiga April 2017 – semua jenis naik 8 sen, RON 97 pula naik 9 sen seliter

    Harga bahan api bagi minggu ketiga April 2017 – semua jenis naik 8 sen, RON 97 pula naik 9 sen seliter

    Selepas harga bahan api petrol bagi minggu lalu naik 3 sen (RON 95) dan 2 sen (RON 97) berbanding minggu sebelumnya, trend yang sama diteruskan untuk minggu ketiga April 2017. Bermula tengah malam ini, semua bahan api – petrol dan diesel – akan menerima kenaikan sebanyak lapan sen, kecuali RON 97 yang naik sebanyak 9 sen, sehingga Rabu minggu depan.

    Ini menjadikan harga terbaru bahan api di stesen minyak sepanjang minggu depan adalah seperti berikut; petrol RON 95 akan dijual RM2.24 seliter, manakala RON 97 pula naik sembilan sen, dijual pada harga RM2.52 seliter. Bagi harga diesel pula, versi Euro 2M akan dijual RM2.16 seliter, manakala bagi diesel Euro 5 dijual pada harga RM2.26 seliter.

    Minggu lalu, harga diesel turun tiga sen berbanding minggu pertama April, iaitu pada kadar RM2.08 seliter. Semalam, Menteri KPDNKK memaklumkan harga bahan api akan naik jika harga minyak diperingkat global juga meningkat akibat faktor geopolitik semasa.

     
     
  • Lexus LS F Sport 2018 – prestasi, rupa lebih dinamik

    Lexus LS F Sport 2018 – prestasi, rupa lebih dinamik

    Lexus LS 2018 telah membuat penampilan pertama awal tahun ini, dan sekarang, versi F Sport pula diperkenalkan. Sedan empat pintu mewah yang agresif ini sedang dipamerkan di tapak pameran New York Auto Show dan ia dikatakan oleh Lexus sebagai “menusuk emosi pemanduan lebih dalam” dengan peningkatan yang diberi pada aspek pengendalian dan penampilan.

    Untuk menghasilkan grilnya sahaja, ia mengambil masa lima bulan bagi mendapatkan tekstur serta rupa yang dimahukan, dan ia dihasilkan menggunakan CAD (computer aided design). Apabila digabungkan dengan gril di bahagian tepi, gril F Sport ini juga mampu memberikan kelebihan dalam aspek penyejukan.

    Gril ini, bersama bahagian bawah pintu dan penutup but menjelaskan lagi profail tajam kenderaan ini, dan ia dilengkapkan dengan lencana F Sport di fender dan rim aloi 20 inci yang eksklusif. Bagi yang ingin tampil lebih menyerlah, warna White Nova dan Heat Blue disediakan khas untuk F Sport.

    Pada bahagian dalam, konsep hospitaliti Jepun Omotenashi pada LS dikekalkan, tetapi Lexus menggunakan kemasan serta kelengkapan yang lebih unik. Tempat duduk hadapan Sport-exclusive memberikan sokongan tambahan semasa pemanduan dinamik. Pada permukaan tempat duduk ini, terdapat corak sama seperti gril hadapan manakala di bahagian lain terdapat kemasan aluminium.

    Selain itu, turut dilengkapkan pada LS F Sport adalah roda stereng F Sport, meter yang boleh bergerak (inspirasi daripada LFA, dan juga digunakan pada IS 200t F Sport), pedal aluminium, dan tombol gear serta perehat kaki yang mempunyai liang. Bahan ultrasuede digunakan pada tempat duduk dan lapik bumbung, dan warna merah untuk bahagian dalam ini adalah eksklusif untuk model F Sport.

    LS F Sport menggunakan rim 20 inci dengan tayar 245/45 di hadapan, dan 275/40 di belakang. Di sebaliknya rim ini pula terdapat set brek yang lebih besar – empat piston di hadapan dan dua piston di belakang. Ia juga dilengkapi dengan Variable Gear Ratio Steering dan Dynamic Rear Steering, dan suspensi udara dengan talaan sport.

    Lexus telah membangunkan enjin 3.5 liter V6 khas untuk LS 500. Enjin V6 twin turbo ini menawarkan prestasi seperti enin V8, dengan kuasa sebanyak 415 hp, dan tork 600 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan. Catatan masa 0-60 mph (0-96 km/j) untuk kenderaan ini adalah 4.5 saat.

    Lexus LS F Sport 2018 – prestasi, rupa lebih dinamik

    Model LS 500h pula menggunakan sistem hibrid Multi Stage sama seperti LC Coupe, yang menggabungkan enjin N/A V6 3.5 liter Atkinson-cycle dengan dua motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion. Enjin V6 ini menggunakan sistem suntikan terus D-4S dan Dual VVT-i, untuk jumlah tork yang luas pada kelajuan yang pelbagai. Kuasa gabungan untuk sistem ini adalah 354 hp.

    Transmisi baru pada model hibrid ini menggunakan sistem CVT jenis planetary daripada Lexus Hybrid Drive, dengan kelajuan automatik empat gear. Apabila bekerja bersama, dua set gear ini boleh mengubah kuasa kepada empat tahap supaya lebih berpadanan dalam pelbagai keadaan. Dalam mod manual, dua set gear ini bekerjsama untuk menghasilkan kesan 10 nisbah.

    Sistem hibrid Multi Stage ini membolehkan LS 500h beroperasi tanpa enjin petrol tersebut sehingga kelajuan 140 km/j. Ia juga membolehkan kenderaan ini memecut 0-60 mph) 96 km/j dalam masa 5.2 saat, sama seperti LS 460 generasi sebelum ini yang dikuasakan oleh enjin V8.

     
     
  • PLUS mendapati lebih 200k penggunanya masih guna tunai, sistem elektronik sepenuhnya mulai 26 Apr ini

    PLUS mendapati lebih 200k penggunanya masih guna tunai, sistem elektronik sepenuhnya mulai 26 Apr ini

    Lagi dua minggu, iaitu pada 26 April ini, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) akan melaksanakan sistem pembayaran secara elektronik sepenuhnya di kesemua plaza tol lebuhraya kendaliannya. Walau bagaimana pun setakat ini, PLUS telah mengenal pasti, lebih 200,000 pengguna lebuhraya berkenaan masih menggunakan sistem pembayaran secara tunai, laporan Berita Harian.

    Menurut Pengurus Besar Operasinya, Norbayati Manap, golongan itu seharusnya lebih bersedia dengan pelaksanaan sepenuhnya sistem kutipan tol elektronik yang akan dilaksanakan bermula 26 April ini.

    Katanya, PLUS membelanjakan lebih RM3 juta sejak 2008 bagi meningkatkan kesedaran serta mendidik pengguna untuk menggunakan sistem kutipan tol elektronik.

    “Antara yang dilakukan PLUS termasuk pemasangan papan tanda, meningkatkan promosi selain menambah baik sistem tol dan penambahan lorong khas Touch ‘n Go.

    “Sehingga kini, terdapat kira-kira 9,200 lokasi tambah nilai kad elektronik di seluruh negara yang ditempatkan di ATM, kedai 24 jam, pusat beli belah dan stesen minyak. Malahan PLUS juga akan menambah sembilan lagi kiosk layan diri termasuk di Plaza Tol Pagoh, Dengkil, Simpang Pulai, Sungai Perak dan Gunung Semanggol,” katanya kepada pihak pemberita hari ini.

    Pada Februari lalu, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail berkata, pelaksanaan itu turut melibatkan semua transaksi tol di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

    Buat setakat ini, sebanyak 94 plaza tol di lebuh raya kendalian PLUS bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor telah dikendalikan secara elektronik

    Azman berkata pelaksanaan ETC dapat mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan transaksi di lorong pembayaran khususnya ketika musim perayaan.

     
     
  • Toyota FT-4X didedahkan sebelum pengenalan rasmi

    Toyota FT-4X Concept sepatutnya akan diperkenalkan malam ini di Pameran Permotoran New York, namun imej penuhnya mula terdedah sebelum pengenalan rasmi berkenaan – walaupun dalam resolusi yang rendah, bersama beberapa maklumat awal.

    Ia nampak ranggi, dengan rekabentuk kotak serta perincian yang minimalis. Lengkung roda, rim enam jejari serta tayar off-road yang digunakan membuatkannya kelihatan tegap. Beberapa bahagian turut menerima kemasan luaran warna putih; muka depan bumbung dan kemudiannya hingga ke pintu bahagian barangan di belakang.

    Turut disertakan ialah bahagian kaca boleh alih pada bahagian C-Pillar, serta kamera GoPro yang dipasangkan pada cermin sisi sebelah pemandu. Bahagian belakangnya lebih menarik; dengan rekaan “Multi Hatch” yang terpisah – ia boleh dibuka ke atas atau ke bahagian sisinya untuk memudahkan barangan dimasukkan.

    Empat cangkuk penunda ada ditempatkan di depan dan belakang, dengan rekaan bampar yang tinggi membantu meningkatkan sudut pada permukaan yang boleh dilalui oleh kenderaan ini. Ia nampak besar, tetapi sebenarnya FT-4X ini sedikit lebih kecil berbanding crossover segmen B, Toyota C-HR. Ia juga menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

    Dimensinya ialah 4,249 mm panjang, 1,821 mm lebar dan 1,623 mm tinggi. Ia adalah 111 mm lebih pendek, 26 mm lebih lebar dan 58 mm lebih tinggi daripada C-HR – manakala jarak antara roda keduanya kekal sama pada 2,640 mm. Toyota memaklumkan dalam hebahan media bahawa model ini mungkin akan menggunakan enjin empat-silinder berkapasiti kecil, serta sistem pacuan empat roda juga akan disertakan.

    Di dalam, FT-4X datang dengan papan pemuka horizontal yang bersih dan kemas, mirip seperti yang pernah dilihat pada Citroen C4 Cactus. Ia turut memiliki ruang meletak barangan yang luas – baik ruang yang tertutup mahupun ruang terbuka. Meter instrumen semuanya digital, dengan dock untuk telefon pintar – sebuah boombox mudah alih terletak di konsol tengah.

    Di tengah itu juga tersimpan sebuah beg tidur oleh The North Face, yang turut berfungsi sebagai perehat lengan. Pemegang pintunya juga bertindak selaku botol air. Turut melengkapinya ialah lampu suluh pada siling di belakang, slot USB dalam ruang di bawah perehat lengan serta bekas pemanas dan pendingin di belakang. Anda rasa kenderaan ini cukup menarik atau pelik?

     
     
  • BMW Motorrad Malaysia perkenal R nineT baharu, tambahan varian Pure dan Racer – harga dari RM83k

    BMW Motorrad Malaysia perkenal R nineT baharu, tambahan varian Pure dan Racer – harga dari RM83k

    BMW Motorrad Malaysia memperbaharui penawaran produk mereka dengan pengenalan model R nineT, R nineT Pure dan R nineT Racer. Semua model ini menggunakan enjin boxer penyejukan udara/air 1,170 cc dan ia mampu menghasilkan sehingga 110 hp dan 116 Nm tork. Padanan transmisi yang digunakan adalah unit enam kelajuan.

    Enjin untuk model baru ini kini melepasi tahap emisi Euro 4, hasil penggunaan pemetaan enjin baru, sistem bahan api dengan carbon canister untuk pengudaraan tangki minyak, dan sistem ekzos dengan catalytic converter yang telah diubah untuk mempunyai cross-section yang lebih besar.

    Bagi BMW R nineT, yang dijual pada harga RM101,900, antara pembaharuan yang diberi adalah panel meternya kini menggunakan unit berkembar yang lengkap dengan komputer on-board. Selain daripada itu BMW Motorrad juga kini dapat menyediakan barisan aksesori khas ‘Machined‘ yang dibangunkan bersama Roland Sands untuk R nineT.

    BMW Motorrad Malaysia perkenal R nineT baharu, tambahan varian Pure dan Racer – harga dari RM83k

    Varian R nineT Pure, yang dijual pada harga RM82,900 pula adalah sebuah model menggunakan gaya roadster ringkas, membawa ia kembali seperti model-model lama BMW sebelum ini. Perincian berkualiti tinggi digunakan pada motosikal ini, seperti yang boleh dilihat pada perehat kaki, serta tapaknya yang dibuat daripada aluminium forged dan lapisan cat akhir anodised.

    Tangki serta penghadang lumpur hadapan motosikal ini dicat dengan warna Catalano Grey, dan ia diberikan perincian lain seperti lampu bulat yang mempunyai perumah besi dan lambang BMW di dalamnya. Untuk paparan informasi, ia menggunakan meter analog bulat untuk kelajuan dan informasi lain dipapar pada skrin LCD.

    BMW Motorrad Malaysia perkenal R nineT baharu, tambahan varian Pure dan Racer – harga dari RM83k

    Varian R nineT Racer dijual pada harga RM88,900, dan harga yang lebih mahal ini ditetapkan kerana paling jelas, ia mempunyai fairing di bahagian atas, menampilkan gaya seperti sebuah cafe racer. Walaupun begitu, berat model ini secara keseluruhannya hanya lebih 1kg berbanding R nineT Pure.

    Rim dan ekzos R nineT Racer adalah sama dengan R nineT Pure, iaitu unit stainless steel dan hujungnya keluar di bahagian kiri, mendongak sedikit ke atas dan rim bersaiz 17 inci depan dan belakang. Perkara lain yang dikongsi antara ketiga-tiga motosikal ini adalah brek cakera berkembar 320 mm serta angkup empat piston di hadapan, brek cakera tunggal 265 mm serta angkup dua piston di belakang, ABS, fork teleskopik 43 mm di hadapan, monoshock di belakang dan tangki minyak 17 liter.

    Semua harga yang disebutkan tadi adalah termasuk GST, tetapi tanpa kos lain seperti insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

    GALERI: BMW R nineT

    GALERI: R nineT Pure

    GALERI: R nineT Racer

    GALERI: Aksesori ‘Machined’ BMW Motorrad-Roland Sands

     
     
  • PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E Polestar – hot hatch dengan talaan dan ubahsuai serius terus dari kilang

    PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E Polestar – hot hatch dengan talaan dan ubahsuai serius terus dari kilang

    Bila berbicara tentang prestasi dan imej ‘Boy Racer‘, jenama Volvo mungkin agak dipinggirkan kerana pengeluar automotif dari Sweden tersebut lebih sinonim dengan teknologi berkisar keselamatan. Tetapi bagi pengikut jenama berkenaan, mereka pasti tahu bahawa Volvo mempunyai warisan sejarah sukan permotoran yang agak unik dan boleh dibanggakan.

    Sejarah sayap perlumbaan rasmi Volvo bermula pada era 80’an apabila Volvo Motorsport Division (sebelum itu dikenali sebagai Volvo R-Sport) ditubuhkan, bertanggungjawab membina kereta lumba serta alat ganti yang boleh digunakan pada jentera lumba sebenar dan juga versi jalan raya biasa. Projek berkenaan telah melahirkan jentera lumba Volvo 240 Turbo Group A serta sebilangan model homologasi produksi jalan raya biasa yang telah disyaratkan pembinaannya dalam undang-undang perlumbaan kelas Group A oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

    240 Turbo berkenaan berjaya memberikan impak pada dunia perlumbaan apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Touring Car Eropah (ETCC) 1985 dan juga kejohanan DTM Jerman pada tahun yang sama. 240 Turbo juga beraksi cemerlang pada Kejohanan Touring Car Australia (kini dikenali sebagai Kejohanan V8 Supercar Australia) di bawah seliaan pasukan Volvo Dealer Team dengan menjuarai perlumbaan tersebut untuk musim 1986.

    Selain bermulanya era imej prestasi untuk Volvo pada waktu tersebut, jenama Scandinavia itu juga cuba menyampaikan mesej bahawa teknologi turbo merupakan masa hadapan untuk kereta-kereta penumpang menerusi model 240 Turbo yang dihasilkan dengan produksi besar-besaran. Imej unik ini juga diteruskan pada tahun 90’an di mana Volvo menerusi Tom Wilkinshaw Racing telah membawa model 850 Estate ke kancah perlumbaan Kejohanan Touring Car British (BTCC), menjadi model wagon pertama yang bertanding dalam sejarah perlumbaan berkenaan.
    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • VIDEO: SPAD tayang progres projek Landasan Berkembar Elektrik Subang Jaya-Skypark Subang

    Menerusi laman sosial Facebook rasminya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menayangkan video progres projek Landasan Berkembar Elektrik dari Subang-Terminal Skypark Subang yang dikatakan dalam fasa terakhir pembinaan.

    Projek ini bertujuan untuk menyediakan pengangkutan awam berasaskan rel kepada pengguna Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah serta penduduk sekitar untuk ke Pusat Bandar Kuala Lumpur dan seterusnya ke KLIA Sepang. Perkhidmatan rel yang mesra alam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sedia da serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan jaringan integrasi degan sistem pengangkutan rel antara KTMB, LRT serta MRT.

    Sambungan landasan berkembar yang bermula dari stesen Subang Jaya, meliputi jarak 8.157km dan akan tamat di stesen Terminal Skypark Subang yang terletak di hadapan Terminal 3, lapangan terbang tersebut. Projek ini telah bermula sejak 21 Februari 2013 dan awalnya dijangka tamat pada 20 Februari 2016.

    Semalam Pengerusi SPAD Tan Sri Dato Seri Dr. Syed Hamid Albar bersama Ketua Pegawai Eksekutif En Mohd Azharuddin Mat Sah serta Pengurusan SPAD telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Landasan Berkembar Subang Jaya-Stesen Terminal Skypark. Walau bagaimana pun, sehingga kini, tarikh sebenar landasan berkembar elektrik ini akan mula beroperasi tidak dinyatakan, namun dijangka pada tahun ini juga.

    VIDEO: SPAD tayang progres projek Landasan Berkembar Elektrik Subang Jaya-Skypark Subang

    Pembinaan landasan berkembar akan menggunakan sistem sedia ada di Greater Kuala Lumpur/Klang Valley yang dikendalikan oleh perkhidmatan KTM Komuter. Ia turut melibatkan sistem talian elektrifikasi 25kV, sistem persemboyanan, sistem komunikasi serta sistem kawalan tren dari Pusat Kawalan Tren (TCC) di KL Sentral, hab bandar Kuala Lumpur.

    Projek Landasan Berkembar Elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Skypark Subang merupakan satu projek di bawah Kementerian Pengangkutan bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam berasaskan rel kepada pengguna Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) khususnya serta kepada penduduk kawasan sekitar secara amnya.

    Ia akan mengguna pakai sistem sedia ada di Lembah Klang yang menyediakan perkhidmatan kereta api KTM Komuter. Di mana ia menyediakan perkhidmatan KTM Komuter dari KL Sentral ke Terminal Skypark secara ulang-alik apabila projek tersebut siap sepenuhnya kelak.

    VIDEO: SPAD tayang progres projek Landasan Berkembar Elektrik Subang Jaya-Skypark Subang

    Landasan berkembar tersebut bermula dari km17.37 di Seksyen Subang Jaya – Batu Tiga sepanjang 8.157km dan berakhir di Stesen Terminal Skypark yang terletak di hadapan Terminal 3 Lapangan Terbang SAAS.

    Projek landasan berkembar tersebut dibahagikan kepada dua (2) seksyen iaitu Seksyen atas tanah (at-grade) sepanjang 4.09km dan Seksyen landasan bertingkat (elevated) sepanjang 4.067km yang akan dibina di sepanjang jajaran Sungai Damansara. Ia turut elibatkan pembinaan satu stesen iaitu Stesen Terminal Skypark di Ch 8.000 yang turut melibatkan pembinaan platform sepanjang 150m.

    Antara kemudahan yang disediakan di stesen ini ialah medan tempat letak kereta dan motosikal, tandas OKU, tandas biasa, tanjakan berserta ‘Railing’, lif, eskalator, CCTV, sistem maklumat penumpang, sistem hebahan, gerai, surau, bilik Polis Bantuan, kaunter tiket dan mesin tiket.

    Menurut SPAD, jangkaan harga tambang perkhidmatan KTM Komuter dari Terminal Skypark ke Subang Jaya adalah antara RM1.20 hingga RM1.50 sehala. Kekerapan bagi ketibaan tren dijangka 15 minit pada masa puncak dan 30 minit bagi bukan masa puncak. Ia akan beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026