Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perak akan tambah baik sistem pengangkutan awam

    Perak akan tambah baik sistem pengangkutan awam

    Mengikut Kajian Perancangan Struktur Perak 2040 oleh Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, sistem pengangkutan awam di negeri berkenaan akan ditambahbaik.

    Menurut ahli Exco Datuk Dr Mah Hang Soon (BN-Chenderiang), pengangkutan awam merupakan antara komponen terpenting di dalam kajian terbabit di mana ia senada dengan Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat, laporan The Sun.

    “Pihak kerajaan negeri dari masa ke masa akan mengambil langkah untuk menambahbaik pengangkutan awam bagi memastikan sistem berkenaan efisien dengan sumbangan daripada kerajaan Pusat,” ujar beliau bagi menjawab soalan dari Datuk Mohamad Kamil Shafie (BN-Manong).

    Katanya lagi, kerajaan Pusat menerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengimplementasi program transformsi bas dengan perhidmatan MyBAS di Ipoh.

    “Bukan itu sahaja, kerajaan negeri juga telah memohon SPAD untuk menukar perkhidmatan teksi dan kereta sewa yang lebih kurang sama di Lembah Klang,” ujarnya.

     
     
  • Malaysia mahu jadi hab pasaran bagi kenderaan elektrik – sasar 202k EV termasuk motosikal dan bas, 125k stesen pengecas atas jalan menjelang 2030

    Malaysia mahu jadi hab pasaran bagi kenderaan elektrik – sasar 202k EV termasuk motosikal dan bas, 125k stesen pengecas atas jalan menjelang 2030

    Malaysia bermatlamat untuk menjadi hab bagi pasaran kenderaan elektrik (EV) menjelang tahun 2030 dengan menyasarkan sebanyak 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik di jalan raya.

    Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili berkata maltamat tersebut telah ditetapkan dalam Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan Electric Mobility Blueprint (EMB), laporan Bernama.

    “Dengan sasaran itu, sektor pengangkutan kerajaan perlu memulakan langkah untuk membangunkan Sektor Teknologi Hijau dengan lebih agresif. Ini termasuklah kesedaran dalam kalangan rakyat juga amat penting untuk menghasilkan landskap mobiliti rendah karbon di Malaysia.

    Malaysia mahu jadi hab pasaran bagi kenderaan elektrik – sasar 202k EV termasuk motosikal dan bas, 125k stesen pengecas atas jalan menjelang 2030

    “Oleh itu pengguna perlu diyakinkan bahawa kenderaan elektrik merupakan salah satu pilihan yang setanding dengan kenderaan sedia ada pada masa ini,” katanya.

    Tambahnya lagi Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan EMB dilaksanakan untuk menangani isu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang memberikan tumpuan kepada pembanguanan industri kenderaan elektrik.

    “EMB adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkenalkan kenderaan elektrik bagi mengantikan kenderaan diesel/petrol. Peluasan penggunaan kenderaan elektrik adalah penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang menjadi sumber tenaga bagi semua pengangkutan udara, marin dan darat,” katanya.

     
     
  • Range Rover Velar, Disco baharu ada harapan dilancarkan di sini – terpapar di laman web JLR M’sia

    Range Rover Velar, Disco baharu ada harapan dilancarkan di sini – terpapar di laman web JLR M’sia

    Jaguar Land Rover (JLR) Malaysia telah pun memuat naik foto dan informasi mengenai Range Rover Velar dan Land Rover Discovery baharu di dalam laman web rasmi mereka. Velar serba baharu telah ditampilkan di Geneva Motor Show bulan lalu dan Disco generasi kelima pula diperkenalkan pada September tahun lepas.

    Namun, persoalannya adakah kedua-dua model SUV premium ini bakal memasuki pasaran Malaysia? Seperti mana yang pernah dilakukan terhadap Jaguar F-Pace yang ditampilkan di laman web JLR M’sia (kemudian dilancarkan setahun selepas itu), mungkin kedua-dua model SUV premium berkenaan juga ada harapan untuk dipasarkan di sini.

    Disco merupakan SUV tujuh-tempat duduk penuh (dengan susunan 5 + 2), hadir dengan imej yang cukup sporty. Ia ditampilkan dengan garisan bumbung yang agak landai, konfigurasi tempat duduk umpama stadium dan rekaan belakang yang tidak bersimetri, namun tampil dengan gaya yang cukup moden. Malahan ia juga dikatakan memiliki ketahanan yang tersendiri, setanding dengan imej yang ditampilkan, serta mampu diuji dalam pelbagai corak pemanduan termasuk di off-road.

    Range Rover Velar pula mempunyai bumbung panoramik penuh, empat pintu dan skrin yang lebar pada bahagian tengah papan pemukanya. Malah rekaan serba baharu ini diposisikan antara Evoque dan Range Rover Sport, serta menampilkan imej yang cukup “glamour” dan “elegan”.

    Ia juga memiliki ciri yang dapat membantu kenderaan ini menghadapi cabaran off-road kerana ia dikatakan sesuai untuk pelbagai kegunaan, dan pelbagai jenis permukaan jalan. Malah menampilkan beberapa elemen yang mempunyai kelas tersendiri termasuk dua skrin sesentuh 10-inci yang disambung pada permukaan di bahagian konsol tengah.

    Disco baharu dan RR Velar ini pastinya dinanti-nantikan oleh peminat SUV premium mewah dan kami menjangkakan ia bakal diperkenalkan secara rasminya di pasaran tempat pada akhir 2017 atau awal 2018 terutamanya Disco.

    GALERI: Land Rover Discovery

    GALERI: Range Rover Velar

     
     
  • SPYSHOT: Perodua Bezza dengan sikit pembaharuan

    SPYSHOT: Perodua Bezza dengan sikit pembaharuan

    Perodua Bezza baru sahaja dilancarkan tidak sampai satu tahun, dan kini sudah ada sedikit facelift tersedia untuknya. Mungkin juga boleh dipanggil sebagai tail-lift, kerana gambar yang kami terima dari pembaca bernama Ibrahim Ismail ini menunjukkan sebegitu.

    Semasa dilancarkan, Bezza melihatkan penggunaan bampar belakang yang tirus, yang sekaligus, apabila dilihat oleh orang yang memandu di belakang, boleh menampakkan bahagian bawah kenderaan tersebut, termasuk sistem gantungan serta besi torsion beam yang boleh menyakitkan mata.

    Nampaknya, Perodua sedar perkara itu, dan gambar yang diperolehi ini menunjukkan ia menggunakan bahagian yang lebih labuh, dan diwarnakan sama seperti warna badan. Walaupun begitu, kami masih belum dapat mengetahui bagaimana ia akan kelihatan secara keseluruhannya kerana tiada gambar penuh.

    SPYSHOT: Perodua Bezza dengan sikit pembaharuan

    Selain daripada itu, tiada penunjuk untuk pembaharuan lain, tetapi, satu gambar bahagian dalam varian Advance ini menunjukkan terdapat butang pengawal pendingin hawa yang mempunyai kemasan krom (sebelum ini berwarna perak), dan sekaligus menaikkan seri dalaman kereta ini.

    Kelengkapan lain juga boleh dijangka masih sama, dengan model Advance ini akan dilengkapi barangan seperti rim aloi 14 inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula, ciri start/stop, tempat duduk kulit, pengelap cermin sensitif kepada kelajuan, pengesan jarak depan dan belakang, skrin sesentuh dengan sambungan Bluetooth, Smart Link dan screen mirroring (Android sahaja), dan kamera undur.

    Untuk aspek keselamatan, semua varian Bezza sepatutnya dikekalkan dengan beg udara berkembar, ABS, EBD, cagak ISOFIX, dan Vehicle Stability Control (VSC) untuk model Advance. Begitu juga dengan enjin, iaitu pilihan unit tiga silinder 1.0 liter 1KR-VE 67 hp/ 91 Nm, dan empat silinder 1.3 liter 1NR-VE 94 hp/ 121 Nm, serta padanan sama kotak gear manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.

    GALERI: Perodua Bezza Advance

     
     
  • Grab, MDEC perkenal platform OpenTraffic di Malaysia

    Grab, MDEC perkenal platform OpenTraffic di Malaysia

    Grab bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan disertai World Bank Group telah melancarkan platform data pintar Open Traffic di Malaysia, hari ini. Usaha berkenaan akan menyediakan data lalulintas dari aliran data GPS Grab tanpa sebarang kos kepada agensi pengurusan trafik, kerajaan dan perancang bandar.

    Ini bagi membolehkan data itu digunakan bagi tujuan menambah baik aliran trafik dan membantu dalam proses membuat keputusan terhadap hal-hal berkaitan prasarana pengangkutan tempatan. Platform berkenaan akan menterjemah data GPS pemandu-pemandu Grab kepada data trafik umum, memetakan kelajuan trafik di jalan raya untuk analisa corak kesesakan lalulintas serta tempoh perjalanan.

    Agensi kerajaan tempatan kemudiannya boleh menggunakan data yang dikumpulkan ini untuk menambahbaik sistem pengurusan trafik seeprti mengoptimumkan kawalan lampu isyarat serta koordinasinya. Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan pada waktu puncak, serta turut sama membolehkan pengurangan pembebasan sisa pembakaran dari enjin dan memendekkan waktu perjalanan.

    Malaysia menjadi negara kedua yang diberikan capaian kepada platform OpenTraffic selepas Filipina, yang menerimanya pada April 2016. Sejak pengenalannya di negara itu, terdapat penambah baikan dari sudut tempoh isyarat trafik di bandar Cebu. Ini dilakukan tanpa sebarang pelaburan tambahan terhadap prasarana.

    “Di Grab, kami mengekalkan set data antara yang terbesar rantau ini yang diambil dari data GPS pemandu kami dari segenap Asia Tenggara. Sebagai pelopor perkhidmatan perkongsian kenderaan rantau ini, kami ingin menyumbang dengan cara berkongsi data kami yang sedia ada dan bekerjasama dengan agensi kerajaan tempatan untuk menjadikan pengangkutan lebih mudah dicapai oleh 620 juta orang di rantau ini,” ujar ketua Grab Malaysia, Sean Goh.

     
     
  • Audi, Porsche sah bekerjasama bina platform baharu

    Audi, Porsche sah bekerjasama bina platform baharu

    Kali terakhir Audi dan Porsche bekerjasama, hasilnya adalah model RS2 Avant, iaitu kereta RS pertama untuk Audi. Kini, kedua-dua syarikat telah diberikan lampu hijau untuk menghasilkan kereta baru yang menggunakan binaan yang dikongsi bersama. Sebelum ini kami ada menyiarkan petikan daripada CarAdvice, tetapi kini, ia telah rasmi.

    Perincian rapi projek ini masih belum disiarkan, tetapi dalam laporan, jabatan gabungan dua jenama ini akan melibatkan tenaga elektrik, pendigitalan dan pemanduan autonomous.

    “Individu terbaik daripada kedua-dua syarikat akan menetapkan hala tuju teknikal untuk masa depan kerjasama ini. Kami disatukan atas banyak nilai yang dikongsi. Paling utama adalah untuk memberikan penyelesaian serta penawaran terbaik untuk pelanggan kami,” kata pengerusi lembaga pengurusan Audi, Rupert Stadler.

    Audi, Porsche sah bekerjasama bina platform baharu

    “Bersama-sama, kami akan menjadikan ia berkembang cepat, untuk mobiliti masa hadapan. Kami akan menggunakan kepakaran kedua-dua syarikat dan mengambil manfaat daripada sinergi yang ada. Kami akan berkerjasama dalam apa sahaja perkara yang masuk akal. Tetapi, kami juga akan berhati-hati untuk memastikan masih terdapat perbezaan antara dua jenama ini.

    “Sebuah Porsche masih lagi adalah sebuah Porsche, dan itu akan kekal pada masa hadapan,” kata pengerusi lembaga pengurusan Porsche, Oliver Blume.

    Dua jenama Jerman ini telah mendedahkan bahawa kerjasama ini boleh berterusan sehingga tahun 2025, memberi fokus bukan setakat binaan kereta itu sahaja, tetapi juga modul dan komponen. Projek ini akan melibatkan kerja dalam beberapa bahagian, dan setiap satunya akan diketuai oleh wakil daripada kedua-dua syarikat.

    Perkongsian teknologi ini bukan sesuatu yang baru dalam Volkswagen Group (VW AG), seperti yang dilihat dengan penghasilan platform MQB dan MLB yang digunakan oleh pelbagai jenama di bawah kumpulan itu.

     
     
  • SPAD selaras teksi kepada hanya tiga kelas selepas ini

    SPAD selaras teksi kepada hanya tiga kelas selepas ini

    Daripada lima kelas teksi ketika ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menyelaraskannya kepada hanya tiga kelas sahaja. Seperti dilaporkan The Star, penyelarasan semula kelas lesen bagi perkhidmatan teksi akan menjadi dasar kepada penyelarasan tambang serta menyediakan situasi yang sama rata dengan perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian.

    “Kami sedang memindahkan semua kelas berkaitan hanya kepada teksi, kereta sewa dan limosin selepas had usia 10 tahun itu tamat. Mereka boleh memilih untuk menjadi teksi bermeter, kereta sewa atau jika kenderaan mereka dari jenis premium atau teksi eksekutif, maka ia akan menjadi limosin,” jelas jurucakap SPAD. Buat masa ini, lima kelas bagi teksi ialah teksi lapangan terbang, teksi bajet, teksi eksekutif, teksi premier dan teksi 1Malaysia.

    Menurut SPAD, pemegang lesen teksi yang telah mencapai had umur maksimum akan diberi tempoh ehsan enam bulan untuk memindahkannya kepada tiga kelas baru ini. Tambahan pula, terlalu banyak kategori ketika ini cenderung menyebabkan kekeliruan.

    “Semua kenderaan yang lebih tua dari 10 tahun perlu ditukar. Kami ingin pertukaran ini menjadi betul-betul baru, termasuk dalam tiga kelas ini,” jelasnya. Bagaimanapun, sekiranya sesebuah teksi itu baru berusia tiga tahun, mereka boleh kekal di dalam kelas sedia ada. “Kami tak akan ganggu. Kami tahu ia melibatkan kos yang tinggi untuk mengecat semula kenderaan. Jadi mereka dibenarkan untuk menggunakan skim lama,” ujarnya.

    Ini adalah sebahagian daripada Program Transformasi Industri Teksi oleh SPAD yang diumumkan Ogos tahun lalu untuk menyelesaikan masalah-masalah penstrukturan dalam industri berkenaan. Matlamat program ini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang adil yang dapat memberikan manfaat kepada pemandu, pengendali serta penumpang.

     
     
  • Essence E-Raw – motosikal elektrik 107 hp RM258k

    Essence E-Raw – motosikal elektrik 107 hp RM258k

    Jumlah pengeluar motosikal elektrik baru semakin bertambah kerana ia dilihat sebagai satu alternatif untuk masa hadapan. Oleh kerana itu, untuk menjadikan masing-masing lebih menonjol, syarikat-syarikat ini menggunakan rekaan yang unik, seperti boleh dilihat pada model E-Raw 3.1 hasil daripada Essence dari Perancis ini.

    Mereka mahukan satu rekaan yang ringkas, tetapi dalam masa sama ada rasa klasik dan berteknologi terkini. Perkara pertama yang menarik perhatian adalah tempat duduk tunggalnya – yang dibuat daripada lapisan kayu dan mempunyai bentuk seperti bayangan sebuah motosikal biasa yang mempunyai tangki minyak (walaupun sebenarnya tiada). Menurut Essence, ia masih lagi selesa dan boleh dilaras mengikut kesesuaian penunggang.

    Rangka utama motosikal elektrik ini adalah jenis Trellis, dan di belakangnya terdapat lengan ayun aluminium buatan khas. Terlekat di rangka ini adalah motor elektrik yang berkuasa 80 kW (107 hp)/ 180 Nm, dan ia mendapat kuasa daripada bateri 10.1 kWh. Dengan berat 167 kg, motosikal ini boleh memecut sehingga kelajuan 155 km/j dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat.

    Pek bateri yang digunakan pada E-Raw adalah rekaan sendiri Essence bersama rakan kongsinya, Pierre-Yves, dan ia turut menggunakan sistem pengecasan pantas CCS. Dalam masa tiga puluh minit sahaja, ia sudah boleh dicas penuh dan boleh bergerak sehingga jarak 185 km.

    Untuk paparan informasi, pengguna perlu menggunakan telefon pintar sendiri dan ia boleh diletakkan di satu tapak khas yang disediakan pada tengah pemegang. Tuil sebelah kanan digunakan seperti motosikal biasa untuk brek, tetapi tuil sebelah kiri pula adalah untuk sistem penjanaan semula kuasa untuk mengecas bateri, dan motosikal akan meluncur apabila ia ditarik.

    Kelengkapan lain yang ada pada motosikal ini adalah rim Excel Takasago, brek Beringer, pemegang Renthal dan suspensi Ohlins. Essence merancang menghasilkan hanya 10 unit E-Raw, yang akan dijual pada harga 55,000 euro (RM258,000), dan setiap satunya akan mempunyai kelengkapan yang diubah suai khas untuk pembelinya.

     
     
  • VW bakal pamer barisan Golf 2018 di New York

    VW bakal pamer barisan Golf 2018 di New York

    Volkswagen bakal membawa seantero barisan Golf 2018 untuk dipamerkan di New York Auto Show yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi. Ia melibatkan model asas Golf, GTI, Alltrack, SportWagen, e-Golf dan yang paling menjadi dambaan sudah pastinya Golf R.

    Bagi imej luaran Golf asas, boleh dikatakan ia telah banyak dipertingkatkan. Menampilkan lampu utama automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan juga gril krom hadapan baharu yang lebih segar. Bagi varian SE, ia dipadankan dengan roda bersaiz 16-inci, dan aloi 17-inci baharu opsyen bagi SEL. Semua elemen keselamatan standard yang ada pada model 2017 telah dikekalkan termasuklan bantuan menukar lorong, kawalan jarak parkir dan bantuan parkir.

    Manakala di dalamnya, kelihatan sistem skrin sesentuh lapan-inci yang lebih besar terletak di tengah bahagian hadapan, bagi varian SE dan ke atas, lengkap dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi varian asas S, ia didatangkan dengan skrin 6.5-inci serta menampilkan VW Car-Net App-Connect. Kuasa bagi kesemua varian dijanakan oleh enjin 1.8 liter TSI dengan output 170 hp dan tork 269 Nm.

    Manakala bagi Gold Alltrack 2018 pula, ia juga mengalami peningkatan luaran termasuk lampu belakang LED, lampu nyalaan siang LED baharu, rim aloi 17-inci bagi varian S dan SE, opsyen 18-inci untuk SEL. Sama seperi Golf asas, ia juga menampilkan skrin sesentuh 6.5-inci untu varian S dan lapan-inci bagi SE dan SEL. Golf Alltrack masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 1.8 liter pengecas turbo dengan hamburan kuasa 170 hp dan 269 Nm.

    Bagi Golf SportWagen pula, ia menawarkan pacuan semua-roda hanya untuk varian SEL. Manakala varian S dan SE hanya meneria pacuan roda-hadapan. Alltrack dan SportWagen juga didatangkan dengan opsyen transmisi manual dan automatik, dengan Alltrack menawarkan enam-kelajuan bagi manual dan enam-kelajuan baharu bagi DSG, manakala SportWagen pula dengan manual lima-kelajuan dan DSG enam-kelajuan.

    VW bakal pamer barisan Golf 2018 di New York

    Golf GTI 2018 pula kini ditawarkan dengan opsyen empat-pintu dan tiga varian iaitu S, SE dan Autobahn. Masih kekal dengan enjin 2.0 liter TSI pengecas turbo, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 220 hp dan tork 349 Nm, berbanding 210 hp pada model terdahulu. Ketiga-tiga varian juga ditawarkan dengan transmisi manual atau automatik, kedua-duanya enam-kelajuan.

    Antara elemen baharu yang ditawarkan termasuklah roda 18-inci, kamera belakang, roda stereng sport pelbagai-fungsi balutan kulit dan pencahayaan ambien. Manakala varian SE menawarkan lampu utama LED dan brek prestasi seperti Golf R, dengan tambahan elemen keselamatan seperti pemantauan titik buta dan kemasukan tanpa kunci. Bagi varian tertinggi GTI Autobahn pula, menerima sistem skrin sesentuh lapan-inci baharu, bumbung panoramik berkuasa, tempat duduk balutan kulit dan sistem audio premium Fender.

    VW bakal pamer barisan Golf 2018 di New York

    Model yang terhangat sudah pasti Golf R 2018, yang menerima lonjakan kuasa sehingga 292 hp dan tork 379 Nm menerusi padanan enjin 2.0 liter TSI. Semua kuasa disalutkan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik dwi-klac DSG tujuh-kelajuan eksklusif untuk R sahaja.

    Antara elemen lain yang turut ditawarkan termasuklah Drive Mode Select dengan Race Mode, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, lampu utama automatik dengan pengesan hujan dan juga pilihan rim aloi 19-inci.

    Volkswagen Golf 2018

    Volkswagen Golf GTI 2018

    Volkswagen Golf R 2018

    Volkswagen Golf Alltrack 2018

    Volkswagen Golf Sportwagen 2018

    Volkswagen e-Golf 2018

     
     
  • MINI Countryman serba baharu akan tiba di Malaysia

    MINI Malaysia telah mengeluarkan teaser yang menunjukkan ketibaan Countryman F60 di Malaysia tidak lama lagi. Model Countryman generasi kedua ini membuat penampilan global Oktober 016 lalu, dan seterusnya diikuti oleh versi John Cooper Works Januari tahun ini.

    Apabila anda menekan pautan yang diletakkan pada judul gambar itu, ia akan membawa anda ke laman pendaftaran minat (ROI), di mana anda juga akan dapat menonton pelbagai video yang dihasilkan oleh personaliti kreatif.

    Laman itu sendiri tidak menunjukkan banyak perkara berkenaan MINI Countryman tersebut, selain tempat duduk belakangnya yang boleh dilipat, ruang yang lebih luas serta sedikit gambaran bahagian dalam yang diperbaharui.

    Ketibaan model ini di Malaysia boleh dijangka meliputi varian Cooper dan Cooper S, sama seperti apa yang ditawarkan untuk model yang dipasarkan sekarang. Untuk varian Cooper, ia dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter, manakala Cooper S pula menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter 192 hp/ 280 Nm.

    Enjin Cooper dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, manakala versi lebih berkuasa mendapat transmisi lapan kelajuan. Sistem pacuan semua roda MINI ALL4 juga boleh didapati untuk kedua-dua varian yang disebutkan tadi, tapi untuk pasaran Malaysia, ia mungkin tidak tiba.

    Jika sebelum ini, model import akan diperkenalkan terlebih dahulu sebelum model CKD pula dipasarkan, tetapi untuk model baru ini, masih belum diketahui jika pemasangan tempatan akan dilakukan.

    Di pasaran lain, juga terdapat model plug-in hybrid Cooper S E All4, yang menggunakan enjin daripada BMW 225xe – iaitu unit tiga silinder 1.5 liter dengan kuasa 136 hp dan 220 Nm, dan dibantu motor elektrik berkuasa 88 hp/ 165 Nm. Varian ini menawarkan pemanduan elektrik penuh sehingga 40 km, pada kelajuan 125 km/j. Walaupun begitu, varian ini mungkin tidak tiba di Malaysia.

    GALERI: MINI Countryman 2017

     
     
  • Proton minta RM1.8 bilion dana tambahan daripada kerajaan, Geely kembali berunding sebagai pembida?

    Proton minta RM1.8 bilion dana tambahan daripada kerajaan, Geely kembali berunding sebagai pembida?

    Selagi Proton tidak membuat pengumuman secara rasmi berhubung rakan kongsi strategiknya, selagi itulah khabar angin dan spekulasi – ada juga berita yang betul – akan bertiup tanpa dapat dibendung.

    Untuk itu, di dalam perkembangan terkini, Proton dilaporkan meminta dana tambahan selepas setahun pinjaman mudah RM1.5 bilion diberikan oleh kerajaan. Bukan itu saja; Geely juga khabarnya kembali sebagai pembida untuk menjadi rakan kongsi strategiknya selepas laporan di dalam sebuah akhbar China bulan lalu menyatakan syarikat itu telah menarik diri.

    The Edge Malaysia di dalam sebuah laporannya, memetik beberapa sumber yang dekat dengan perkara ini, menyatakan bahawa Proton meminta tambahan antara RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion daripada kerajaan untuk menampung kerugian kos operasi syarikat. Proton dijangka mencatatkan kerugian besar bagi tahun kewangan 2017 disebabkan jualan yang perlahan, dan disandarkan juga kepada kerugian RM1.426 bilion yang dilaporkan bagi tahun kewangan 2016 yang berakhir 31 Mac.

    Proton minta RM1.8 bilion dana tambahan daripada kerajaan, Geely kembali berunding sebagai pembida?

    Permintaan ini adalah selepas kerajaan persekutuan menyalurkan RM1.25 bilion kepada Protom tahun lalu – yang terus digunakan untuk melangsaikan bayaran tertunggak kepada vendor-vendor – dan memberikan tekanan akan Proton mencari rakan strategik asing yang dapat menyuntik dana dan mengubah jenama itu untuk menjana keuntungan.

    Pencarian rakan strategik yang ideal juga menjadi goyah; khabar angin kedengaran bahawa minat PSA Group terhadap Proton juga semakin memudar – kerana tidak termeterainya sebarang perjanjian persefahaman ketika kunjungan Presiden Francois Hollande ke Malaysia bulan lalu. Seminggu sebelum itu, Presiden Geely, An Conghui memberitahu South China Morning Post bahawa syarikatnya telah menarik diri dari bidaan terhadap Proton.

    “Untuk Presiden Perancis datang ke sini dan tiada apa-apa yang ditandatangani? Ini seperti dapat menyatakan sesuatu. Jika PSA dan Proton boleh duduk berbincang diperingkat tertinggi seperti itu, mereka sepatutnya boleh menandatangani memorandum persefahaman dahulu. Perincian berikutnya boleh ditentukan kemudian,” jelas seorang eksekutif industri.

    Proton minta RM1.8 bilion dana tambahan daripada kerajaan, Geely kembali berunding sebagai pembida?

    Minat yang ditunjukkan oleh PSA itu adalah sebahagian daripada strategi global yang diusahakan di bawah kepimpinan Carlos Tavares, yang sebelum ini turut menyaksikan kumpulan itu memiliki Opel dan Vauxhall. Tavares sedang melihat untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat itu di ASEAN pasaran. Namun ada sumber menyatakan bahawa syarikat itu semakin kurang berminat untuk menggunakan Proton bagi tujuan itu, dan mungkin akan melihat kepada pilihan lain.

    Pemilik Proton, DRB-Hicom di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bulan lalu bagaimanapun menyatakan sebaliknya. “Semua pihak yang menghantar bidaan mereka terhadap Proton masih kekal dan DRB-Hicom sedang menilai bidaan mereka,” ujar Datuk Seri Syed Faisal Albar.

    Beliau juga menambah, syarikat memerlukan lebih masa untuk membuat pilihan ke atas bidaan yang ada. Terdahulu dinyatakan, Proton akan mengumumkan rakan strategiknya pada penghujung separuh pertama tahun ini, tempoh yang hampir sama dengan tarikh akhir yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat kepada pinjaman mudah yang diberikan.

    Walaupun kenyataan ini bertentangan dengan komen presiden Geely, sumber memberitahu The Edge bahawa pengeluar kenderaan China itu telah kembali kepada rundingan itu selepas prospek PSA Group juga kini menjadi samar-samar. Kini, andaiannya ialah langkah Geely untuk menarik diri seminggu sebelum lawatan Presiden Hollande itu hanyalah strategi mereka semata-mata.

    The Edge menyatakan, selepas ini, kerajaan perlu mempertimbang kos yang akan diperlukan oleh Proton sekiranya syarikat itu gagal mendapatkan rakan strategik. Tambahan pula syarikat itu kini meminta tambahan dana selepas permintaan terdahulu diluluskan, yang jelas kini hanya menjadi penyelesaian jangka pendek sahaja. Kerugian yang berterusan akan menyebabkan peralihan pinjaman mudah itu kepada ekuiti. Jika ini berlaku, kerajaan akan menjadi pemegang saham terbesar Proton.

     
     
  • Ford Focus ST generasi akan datang mungkin dipadankan dengan enjin 1.5L EcoBoost – 279 hp

    Ford Focus ST generasi akan datang mungkin dipadankan dengan enjin 1.5L EcoBoost – 279 hp

    Ford Focus generasi ketiga telah pun berada di pasaran sejak hampir setengah dekad, dan kini tibalah masanya untuk berganti yang baharu. Seperti model semasa, barisan model petrol dan diesel ST yang bakal menduduki barisan Focus generasi akan datang ini, mungkin akan ditawarkan dengan hamburan kuasa sehingga 279 hp, menurut Autocar.

    Dalam laporan tersebut, model berkuasa petrol mungkin akan dipadankan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silider yang juga ditampilkan pada Escape 2017 dan Focus semasa, bagi menggantikan penjana kuasa 2.0 liter Ecoboost (246 hp/345 Nm) pada model semasa bagi Focus ST.

    Walau bagaimana pun, unit yang dikecilkan ini mampu menghamburkan kuasa sekitar 179 hp dan tork 240 Nm pada SUV dan 177 hp dan 240 Nm untuk Focus, yang memerlukan siri pertambahan bagi mencapai unjuran yang diperlukan. Penjana kuasa berkenaan juga perlulah menepati piawaian standard CO2 2021 di Eropah dengan catatan 95 g/km.

    Ford Focus ST generasi akan datang mungkin dipadankan dengan enjin 1.5L EcoBoost – 279 hp

    Pengecas turbo berkembar, suntikan terus dan pengaktifan silinder dikatakan antara teknologi Ford yang sedang dipertimbangkan untuk penjana kuasa ini. Jika Fiesta ST terkini turut dibangunkan dengan cara yang sama, maka kuasanya tidak boleh melebihi Focus ST. Dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder bersama kuasa 197 hp dan tork 290 Nm, membuatkan ia lebih kecil berbanding adik-beradiknya yang lain.

    Bagi penjana kuasa versi ST, belum dipastikan adakah ia akan dikekalkan dengan enjin 2.0 liter Duratorq (182 hp/400 Nm), atau bertukar kepada kapasiti enjin yang dikecilkan iaitu 1.5 liter.

    Focus ST serba baharu ini dijangka akan diperkenalkan pada musim bunga 2018, iaitu enam bulan selepas model arus perdana didedahkan. Model segmen-C ini mungkin mengikut jejak langkah Fiesta yang hadir dengan beberapa varian – Trend, Active, ST-Line, Titanium dan Vignale.

    GALERI: Prototaip Ford Focus ST (generasi ketiga)

     
     
  • Ford Police Responder Hybrid – sedan hibrid pertama dengan kemampuan penuh untuk mengejar penjahat

    Ford Police Responder Hybrid – sedan hibrid pertama dengan kemampuan penuh untuk mengejar penjahat

    Di Amerika Syarikat, kebanyakan kereta polis adalah daripada model Ford, dengan syarikat itu mempunyai perkongsian pasaran (market share) sebanyak 63%. Sejak dari awal penubuhannya lagi Ford sudah bekerjasama dengan penguatkuasa untuk menghasilkan kenderaan bagi pegawai, melalui Model T.

    Sejak dari itu, pelbagai model yang dikeluarkan untuk penguatkuasa, atau secara tepat lagi, polis, dengan setiap satunya mempunyai kebolehan untuk mengejar penjenayah. Satu kriteria yang penting, sudah tentu adalah enjin yang berkuasa, dan seperti yang boleh dilihat sebelum ini, walaupun kereta itu mempunyai rupa yang biasa, di bawah hudnya terdapat enjin yang besar seperti 5.0L V8, 4.6L V8 dan pelbagai lagi.

    Terbaru, Ford menunjukkan kereta hibrid khas untuk kegunaan polis, yang menggunakan enjin Atkinson-cycle 2.0 liter, dengan motor elektrik yang dikuasakan bateri lithium-ion. Kereta ini adalah sedan hibrid pertama yang dilengkapi dengan kemampuan mengejar penuh dan diperakui oleh agensi polis mampu bertahan dalam keadaan yang digunakan oleh mereka seperti mengejar jarak jauh dengan pelbagai kelajuan, merentasi halangan seperti pembahagi jalan dan melanggar lopak.

    Ford Police Responder Hybrid – sedan hibrid pertama dengan kemampuan penuh untuk mengejar penjahat

    Walaupun begitu, kelebihan paling utama model ini adalah ia mampu menjimatkan banyak penggunaan bahan api kenderaan polis, sama ada sewaktu memandu ataupun sekadar menunggu di satu tempat. Jika dibandingkan dengan kereta polis Interceptor di Amerika Syarikat sekarang yang menggunakan enjin V6 3.7 liter, enjin hibrid ini jimat lebih daripada 50%. Untuk mengetahui perbandingan kos bahan api ini, Ford turut menyediakan kalkulator khas di laman web mereka.

    “Kereta peronda adalah pejabat bagi pegawai polis. Kami tidak sekadar mahukan ia supaya jimat dan mesra alam, tetapi juga berkemampuan untuk menentang penjenayah di kawasan metropolitan utama,” kata ketua polis Los Angeles, Charlie Beck.

     
     
  • Pengesahan perkhidmatan Grab baik untuk pemandu

    Pengesahan perkhidmatan Grab baik untuk pemandu

    Langkah kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Grab dan Uber sebagai perkhidmatan yang sah di sisi undang-undang akan memberi manfaat kepada pemandu, lapor Bernama.

    Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata, walaupun perkara itu memerlukan masa untuk dilaksanakan, industri tidak perlu tergesa-gesa untuk memperkenalkan peraturan berkenaan. “Kami sebenarnya lebih prihatin sama ada peraturan itu akan bermanfaat kepada semua,” katanya.

    Minggu lalu, pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dibentangkan buat pertama kali di Parlimen. Lesen perniagaan perantaraan dicadang untuk mengawal selia perkhidmatan seperti Uber dan Grab dari sudut undang-undang.

    Sementara itu, rang undang-undang berasingan turut akan dipinda untuk memasukkan kesalahan menghalang atau menyerang mereka yang menyediakan perkhidmatan perkongsian kenderaan itu.

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen T-Roc – SUV segmen-B baharu

    SPYSHOT: Volkswagen T-Roc – SUV segmen-B baharu

    Ini merupakan SUV segmen-B terbaharu dari Volkswagen, T-Roc, yang dijangka bakal dipamerkan di Frankfurt Motor Show tidak lama lagi. Ia bakal menyertai barisan Tigua dan Touareg dalam pasaran. Model berasaskan MQB ini berukuran 4.3 meter panjang.

    Beberapa jenis enjin telah disebut-sebut bakal dipadankan buat T-Roc ini, bermula petrol 1.0 liter tiga-silinder (115 hp), 1.5 liter empat-silinder turbo (150 hp), di samping petrol 2.0 liter turbo yang dikatakan mempunyai prestasi setara dengan GTI.

    Juga dijangkakan, ia bakal ditawarkan dengan penjana kuasa diesel, dan mungkin juga akan ada varian hibrid. Sama seperti adik-beradiknya, Tiguan dan Touareg, T-Roc juga dijangka akan menampilkan sistem pacuan semua-roda 4Motion. Model konsep yang diperkenalkan pada tahun 2014 memiliki mod pemanduan yang berbeza bagi setiap corak jalan – Street, Off-road dan Snow. Namun tidak dipastikan adakan ia akan dikekalkan bagi model produksi.

    GALERI: Volkswagen T-Roc konsep 2014

     
     
  • Prototaip Hot Wheels VW Type-2 “Beach Bomb” keluaran 1969 dinilai dengan harga RM444k – RM665k

    Bagi sesetengah orang, kereta mainan die cast bersaiz 3-inci keluaran Mattel iaitu Hot Wheels mungkin sekadar permainan. Namun Hot Wheels sebenarnya bukan sekadar kereta kecil untuk kanak-kanak, kerana ia mempunyai jumlah pengumpul yang ramai terdiri dari orang dewasa. Ini membuatkan sesetengah keluaran kereta mainan berkenaan kadang kala lebih bernilai dari emas.

    Terbaharu, sebuah model prototaip yang digelar “Beach Bomb” dihasilkan pada tahun 1969 telah dinilai dengan harga sekitar USD$100,000 hingga USD$150,000 (RM444k-RM665k) dalam rancangan Antique Roadshow. Beach Bomb tersebut adalah milik anak kepada salah seorang foreman Mattel yang bertugas pada era berkenaan.

    Beach Bomb merupakan model yang dibina berasaskan bentuk Volkswagen Type-2 (lebih dikenali sebagai Combi Van) yang diberikan dua buah papan luncur air. Model produksi Beach Bomb ini juga sebenarnya merupakan model yang dihasilkan dalam jumlah terhad serta menjadi buruan pengumpul, apatah lagi untuk model prototaip yang sememangnya tidak dijual dalam pasaran ini.

    Menurut pemilik berkenaan, versi prototaip yang dihasilkan dengan jumlah yang sangat sedikit ini diberikan papan luncur yang dimasukkan pada bahagian belakang, manakala model produksi sebenar yang dijual dipasaran mempunyai papan luncur yang diletakkan di bahagian sisi.

    Rekaan ini tidak diluluskan untuk versi produksi kerana ianya tidak sesuai untuk digunakan pada landasan Hot Wheels – terlalu berat dan juga terlalu lebar pada alat pelancar Super Charger. Antara perbezaan lain model produksi dan juga model prototaip ini adalah pada tingkapnya – versi produksi hadir dengan tingkap berwarna (mengikut warna badan) manakala untuk prototaip ia diberikan tingkap tanpa warna.

    Bagi pengumpul di Malaysia, trend terkini nampaknya model-model yang dihasilkan dalam tema JDM terutamanya model-model Datsun seperti Fugu Z (Datsun Fairlady 240Z milik bintang Hollywood Sung Kang) mendapat sambutan yang sangat hebat sehingga hampir mustahil untuk didapati di kedai-kedai biasa. Jika anda benar-benar mahukannya, terpaksalah untuk membelinya pada penjual-penjual atas talian tetapi dengan harga berganda lebih mahal.

    Jadi, untuk mereka yang hairan mengapa sebilangan rakan-rakan anda begitu menggilai mainan 3-inci ini, sekarang mungkin sedikit sebanyak anda faham tentang nilainya bukan?

     
     
  • Chevrolet Corvette Carbon 65 Edition – terhad 650 unit

    Chevrolet Corvette Carbon 65 Edition – terhad 650 unit

    Tahun ini menandakan ulang tahun Chevrolet Corvette yang ke 65 dan untuk itu, pengeluar dari Amerika Syarikat tersebut mengeluarkan model edisi terhad Corvette Carbon 65 Edition yang boleh didapati untuk model Corvette Grand Sport 3LT dan Z06 3LZ.

    Hanya 65 unit model edisi terhad ini ditawarkan kepada orang ramai dan mereka perlu membayar USD15,000 (RM66,532) sebagai tambahan kepada harga yang ditetapkan pada varian Corvette dan gaya badan (coupe atau convertible) yang dipilih.

    Pada bahagian luar, pakej edisi terhad ini melibatkan pengggunaan warna Ceramic Matrix Gray, dan bagi versi convertible, ia akan menggunakan bumbung berwarna biru. Anda juga boleh menjumpai lebih banyak barang gentian karbon yang digunakan, seperti pada spoiler belakang, side skirt, dan bukaan udara di tepi fender.

    Rim baru berwarna hitam juga menjadi sebahagian daripada sentuhan khas untuk kenderaan ini, dengan model Grand Sport akan menggunakan rekaan Cup-style manakala Z06 pula menggunakan Blade-style. Pada bahagian lain, terdapat jalur unik di fender, grafik di pintu, lencana Carbon Flash dan cermin sisi.

    Masuk ke dalam, terdapat tempat duduk Competition Sport, yang dibalut dengan kain suede Jet Black dan jahitan berwarna biru. Turut digunakan adalah kemasan gentian karbon berkilat pada bahagian tertentu, dan disudahi dengan beberapa lencana Carbon 65 Edition di tepi pintu dan roda stereng gentian karbon.

    Chevrolet juga mengumumkan beberapa pembaharuan untuk barisan Corvette 2018, di mana model Stingray kini datang dengan rim 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, iaitu satu inci lebih besar berbanding sebelum ini dan ditawarkan dalam pilihan lima rekaan baru. Stingray juga mendapat warna kemasan dalam baru untuk trim 2LT dan boleh dilengkapi dengan Magnetic Ride Control.

    Chevrolet Corvette Carbon 65 Edition – terhad 650 unit

    Sementara itu bagi varian Grand Sport pula, ia akan mendpat brek seramik (tanpa mendapatkan pakej Z07 Performance), dan naik taraf bahagian dalam yang sama seperti trim 2LT. Jalur hitam satin juga boleh didapati untuk Heritage Package. Bagi Z06 pula, ia ditawarkan dengan pilihan dua rekaan rim baru (rim Z06 hitam dengan jalur kuning dan Pearl Nickel Blade), serta kemasan dalam warna kelabu.

    Semua Corvette 2018 juga datang dengan radio digital HD secara standard, kamera pandangan belakang yang dinaik taraf, heads-up display yang diperelok dan Performance Data Recorder sebagai pilihan tambahan.

    Model convertible juga mendapat bumbung baru berwarna Spice Red, dan warna ini turut ditawarkan untuk kemasan bahagian dalam trim 3LT dan 3LZ (bersama jahitan warna kontras). Akhir sekali, turut dilengkapkan adalah kain suede di dalam dan stereng dengan kemasan gentian karbon.

     
     
  • Harga bahan api di Malaysia pasti terkesan akibat sengketa Amerika Syarikat-Syria – KPDNKK

    Harga bahan api di Malaysia pasti terkesan akibat sengketa Amerika Syarikat-Syria – KPDNKK

    Semua pasti sedia maklum tentang serangan Amerika Syarikat (USA) ke atas sebuah pangkalan udara Syria pada 7 April lalu. USA berbuat demikian atas alasan ingin membalas perbuatan jahat rejim Damsyik yang diketuai Presiden Bashar al-Assad kerana melancarkan serangan kimia sehingga membunuh ramai rakyat Syria yang tidak bersalah.

    Disebabkan serangan terbabit, kebarangkalian ia akan memberikan kesan terhadap harga minyak dunia, sekaligus turut memberikan impak terhadap Malaysia, ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Katanya, “Penetapan harga minyak di Malaysia adalah berdasarkan harga bahan api dunia, justeru sekiranya harga minyak di peringkat dunia meningkat, sudah pasti harga petrol dan diesel di Malaysia akan turut naik.

    “Bagaimanapun, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenainya (harga minyak). Kerajaan telahpun melaksanakan kaedah pengapungan terkawal secara mingguan bagi penetapan harga minyak bagi menggantikan kaedah sebelumnya iaitu secara bulanan,” seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Hamzah berkata kementerian sebelum ini mengumumkan harga runcit mingguan bagi petrol RON95 naik tiga sen kepada RM2.16 seliter, RON97 naik dua sen kepada RM2.43 seliter manakala diesel turun tiga sen kepada RM2.08 seliter berkuat kuasa 6 hingga 12 April ini.

     
     
  • Toyota Agya dan Daihatsu Ayla 2017 facelift diperkenal untuk pasaran Indonesia – enjin 1.2L 3NR-FE baharu

    Toyota Agya dan Daihatsu Ayla 2017 facelift diperkenal untuk pasaran Indonesia – enjin 1.2L 3NR-FE baharu

    Selepas brosurnya terdedah lebih awal sebelum ini, Toyota Agya facelift 2017 akhirnya diperkenalkan secara rasmi di Indonesia. Ditawarkan dalam lima varian – 1.0 G MT, 1.2 G MT, 1.2 G AT, 1.2 TRD MT dan 1.2 TRD AT – harganya bermula dari 131,500,000 rupiah (RM43,916) hingga 151,900,000 rupiah (RM50,786).

    Seperti dilaporkan sebelum ini, model hatchback kecil ini menerima enjin baru, 1.2 liter 3NR-FE empat silinder, yang juga digunakan pada Toyota Cayla dan Daihatsu Sigra. Ia menghasilkan 88 PS pada 6,000 rpm dan 108 Nm pada 4,200 rpm.

    Bergantung kepada varian, transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan dipadankan pada kereta ini. Varian paling ringkas, 1.0 G MT kekal menggunakan enjin 1.0 liter 1KR-FE tiga-silinder (67 PS/89 Nm), dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Bagi rekaan luaran lain, Agya kini dilengkapi dengan lampu utama smoked prjektor (termasuk lampu panduan LED), bampar baru (dengan lampu kabus serta sensor parkir di depan dan belakang), cermin sisi baru dengan lampu isyarat serta lampu belakang dari jenis LED.

    Semua varian di datangkan dengan rim 14 inci – kemasan warna perak pada 1.0 G dan kemasan dua tona warna pada 1.2 G dan 1.2 TRD – dengan tayar 175/65. Varian dengan lambang TRD menerima bodykit khas, termasuk spoiler belakang dan lampu brek ketiga.

    Di dalam, semua varian Agya dipasang dengan tempat duduk semi-bucket, sementara panel pintu turut menampilkan kemasan fabrik. Bagi varian 1.2 G dan 1.2 TRD, unit audio 2-DIN baru dengan sambungan Bluetooth digunakan.

    Toyota Agya dan Daihatsu Ayla 2017 facelift diperkenal untuk pasaran Indonesia – enjin 1.2L 3NR-FE baharu

    Bagi ciri keselamatan, semua varian Agya dilengkapi dengan immobiliser dan tali pinggang keselamatan disediakan untuk semua lima penumpang. Bagaimanapun, hanya model 1.2 TRD ditawarkan dengan ABS, sementara palang sisi, dua beg udara dan Isofix adalah ciri standard.

    Agya turut disertai oleh model “saudara”nya – Daihatsu Ayla – yang kini turut menerima enjin 1.2 litre 3NR-FE – tetapi dengan penggayaan dan kelengkapan peralatan tersendiri. Ia di tawarkan dalam varian yang lebih pelbagai, termasuk enjin 1.2L dan 1.0L, dengan harga di antara 92,550,000 rupiah (RM30,916) hingga 146,250,000 rupiah (RM48,855).

    Dari sudut gaya, kedua-dua model 1.2L dan 1.0L menerima rekaan bampar tersendiri, dengan versi 1.2 mirip seperti yang ada pada Agya, tetapi dengan beberapa tambahan seperti kemasan jalur lampu LED di depan dan hiasan “permata” krom. Versi 1.0L turut menerima beberapa sentuhan baru, manakala selebihnya kekal sama.

    Toyota Agya 2017

    Daihatsu Ayla 2017

     
     
  • MBSA tawar sistem Flexi Parking – bayaran parkir lebih mudah guna aplikasi telefon pintar, tanpa kupon

    MBSA tawar sistem Flexi Parking – bayaran parkir lebih mudah guna aplikasi telefon pintar, tanpa kupon

    Kita kini sudahpun berada dalam tahun 2017, tentunya bayaran parkir dengan menggunakan kad gores dilihat agak ketinggalan bukan? Justeru, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini telah melaksanakan sistem ‘Flexi Parking’ iaitu sistem bayaran tempat letak kereta pintar menggunakan aplikasi telefon mudah alih sebagai kaedah alternatif.

    Perkara ini dilaporkan oleh Bernama dan menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad dalam laporan tersebut, sistem itu adalah antara inisiatif pihaknya ke arah penambahbaikan pengurusan tempat letak kereta yang lebih efisien dan sistematik.

    “Melalui sistem ini, orang ramai boleh membuat belian kredit secara talian terus melalui perbankan Internet menggunakan telefon pintar sekali gus memudahkan proses pembayaran pengguna tanpa perlu mempamerkan kupon gores atau pas bulanan,” jelasnya dan menyatakan sistem ini telah berjaya menarik sejumlah 6,195 pengguna di bawah kawasan pentadbiran MBSA sejak ia dilaksanakan bermula Januari lalu sehingga kini.

    Shahrin turut menyatakan sistem ini juga diwujudkan bagi mengurangkan masalah dan aduan pengguna berkaitan kesukaran mendapatkan kupon, salah menggores kupon serta lambakan buku kupon bagi pengguna. Beliau turut menegaskan sistem itu turut memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi telefon pintar bagi memudahkan pengguna dan anggota penguatkuasa selain mempertingkatkan kualiti kecekapan perkhidmatan.

    Bagi anda yang mahu menggunakan sistem Flexi Parking ini, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun secara percuma di Android Play Store atau Apple Apps Store dan berfungsi secara dwibahasa. Shahrin memberitahu, para pengguna akan diberi makluman peringatan 10 minit awal sebelum tempoh letak kenderaan tamat.

    Bagi mereka yang lebih selesa menggunakan sistem kupon gores, anda jangan bimbang kerana servis berkenaan masih lagi ditawarkan buat masa sekarang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026