Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GALERI: Maserati Levante di Malaysia, dari RM889k

    GALERI: Maserati Levante di Malaysia, dari RM889k

    Dilancarkan pada Februari lepas, kini kami membawakan galeri penuh untuk Maserati Levante. SUV pertama bagi jenama ini ditawarkan pada harga RM888,800 (termasuk cukai tempatan), dan hanya didatangkan dengan varian janaan diesel sahaja.

    Levante dijanakan oleh enjin evolusi terkini Maserati, 3.0 liter Turbodiesel 600 V6 common rail, ia menawarkan kuasa sehingga 275 hp pada 4,000 rpm dan tork 600 Nm antara 2,000 rpm hingga 2,600 rpm. Memberikannya keupayaan dengan ledakan dari 0-100 km/j dalam hanya 6.9 saat, juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 230 km/j.

    Ia juga dipadankan dengan kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan, yang menjanjikan penukaran gear yang lebih pantas dan lancar, bergantung pada mod pemanduan yang dipilih iaitu “Normal”, “I.C.E”, “Sport” dan “Off-Road”. Setiap satu mod ini adalah bersesuaian dengan karakter pintar enjin, transmisi, suspensi dan elemen elektronik yang lain. Penggunaan bahan apinya pula dianggarkan sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 km.

    Seperti mana kenderaan sport prestasi tinggi yang lain, Levante turut memiliki ciri aerodinamik yang lebih efisien iaitu hanya 0.31, terbaik dalam kelasnya.

    GALERI: Maserati Levante di Malaysia, dari RM889k

    Levante dibina dengan material yang ringan, dengan pengagihan beratnya antara 50:50 dan juga mempunyai pusat graviti paling rendah dalam kelasnya. Sekali gus memberikannya kestabilan yang cukup mantap bagi SUV mewah seumpamanya.

    Malahan ia turut menampilkan beberapa elemen teknikal yang lebih eksklusif termasuk Suspensi Udara, penyerap hendak kawalan elektronik Skyhook dan sistem Q4 AWD, yang didatangkan secara standard, dan pengkhususan yang lebih tinggi termasuk dalam dua pakej iaitu Sport dan Luxury.

    Bagi penggayaannya, Levante memperagakan rekaan sofistikated yang yang ditampilkan oleh kebanyakan model Maserati yang lain. Ini termasuklah gril radiator yang lebih langsing, lampu utama bi-xenon (dengan lampu nyalaan siang LED) berbentuk runcing dan garisan melunjur pada sisinya. Ia juga hadir dengan tingkap pintu tanpa bingkai dan tayar bersaiz 255/60 ZR18. SUV di dalam foto ini dilengkapi dengan unit Anteo 21-inci yang dibaluti tayar Pirelli P Zero bersaiz 265/40 di hadapan dan 295/35 di belakang, dengan kos tambahan.

    GALERI: Maserati Levante di Malaysia, dari RM889k

    Bagi dalamannya, ia juga hadir dengan pilihan pek Zegna Edition dengan kombinasi kulit Italian bersama material sutera Ermenegildo Zegna. Selain itu, ia turut mengetengahkan imej Human Machine Interface serta beberapa elemen yang menampilkan nilai mewah dan sofistikated termasuk Kawalan kelajuan Adaptif dengan fungsi Stop & Go, paparan skrin sesentuh 8.4-inci dengan kawalan rotary baharu, fungsi AHA, tambahan kepada Maserati Touch Control Plus dengan AM, FM dan DAB digital bersama pilihan sambungan rangkaian.

    Bagi aspek keselamatan, ia turut menampilkan ABS dengan EBD, Amaran Pelanggaran Hadapan, sistem Bantuan Brek, Amaran Ketibaan Lorong dan kamera Pandangan Sekeliling.

    Maserati Levante kini telah pun berada di bilik pameran Naza Italia di Petaling Jaya, dan turut ditawarkan dengan waranti selama tiga-tahun tanpa perbatuan terhad bersama Maserati Premium Service Plus selama tiga-tahun atau 60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

     
     
  • Mazda akan tampilkan beberapa pilihan enjin elektrik untuk semua modelnya menjelang tahun 2035

    Mazda akan tampilkan beberapa pilihan enjin elektrik untuk semua modelnya menjelang tahun 2035

    Dalam penganjuran Forum Teknologi Global di Frankfurt, Mazda telah mengumumkan semua model kenderaannya pada masa hadapan akan ditampilkan dengan beberapa pilihan enjin elektrik menjelang tahun 2035. Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna semua modelnya akan menerima enjin elektrik sepenuhnya, tetapi dengan beberapa pilihan hibrid sederhana, plug-in hybrid atau EV sifar-emisi, menurut laporan AutoExpress.

    Apa yang menariknya, dalam perancangan bagi 18 tahun ini tidak termasuk dengan kenderaan sel bahan api seperti mana model Honda Clarity, Toyota Mirai, Mercedes-Benz GLC F-Cell dan Hyundai FCEV.

    Ini susulan perjanjian yang diperbaharui bagi kerjasama antara Toyota dan Mazda, yang membangunkan model EV untuk pasaran spesifik. Di mana kita mungkin akan menyaksikan kehadiran model semua-elektrik bermula tahun 2019 – kebarangkalian dengan barisan rotary yang diperluaskan, serta model versi elektrik sederhana bagi model teras Mazda.

    Mazda akan tampilkan beberapa pilihan enjin elektrik untuk semua modelnya menjelang tahun 2035

    Pada 2021, Mazda juga akan memulakan pemasangan kenderaan plug-in hybrid (PHEV) yang memfokuskan perubahan pematuhan bagi pasaran global di mana model EV sepenuhnya semakin dianggap lebih penting, menurut Ichiro Hirose, pegawai eksekutif bagi pembangunan penjana kuasa Mazda.

    Genap sebulan lalu, Mazda juga telah mendedahkan perincian mengenai penjana kuasa SkyActiv-X yang bakal menggunakan teknologi Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang tidak menggunakan palam pencucuh, sebaliknya pembakaran akan dimulakan oleh kuasa mampatan campuran udara dan bahan api, sama seperti konsep enjin diesel empat-lejang.

    Di mana ia dikatakan dapat meningkatkan kecekapan enjin antara 20% hingga lebih 30% berbanding enjin SkyActiv-G sedia ada dan antara 35% hingga lebih 40% berbanding versi asal dengan kapasiti sama yang muncul pada tahun 2008.

    Menurut laporan itu lagi, Mazda juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan teknologi pemanduan autonomous untuk semua modelnya menjelang tahun 2015, dengan fasa pertama dijangka diperkenalkan pada tahun 2021.

     
     
  • Land Rover Experience Tour 2017 – uji pemanduan ala off-road, berpeluang menyertai ekspedisi di Peru

    Land Rover Experience Tour 2017 – uji pemanduan ala off-road, berpeluang menyertai ekspedisi di Peru

    Mulai hari ini sehingga 10 September 2017, Land Rover Malaysia menganjurkan acara Land Rover Experience Tour yang berlangsung di Waterfront, Desa Parkcity, Kuala Lumpur. Acara ini membuka peluang kepada orang ramai untuk menguji pemanduan secara ekstrem iaitu ala off-road dengan merentasi beberapa halangan yang disediakan.

    Malah pemenang yang berjaya mendapat markah tertinggi dengan melepasi semua halangan juga akan dihantar untuk menyertai cabaran terakhir di peringkat akhir serantau yang bakal berlangsung di Laos. Jika berjaya menjadi pemenang peringkat serantau, individu terbabit berpeluang menyertai ekspedisi pemanduan lasak merentasi kawasan pergunungan di Peru, Amerika Selatan.

    Menurut Land Rover Malaysia, acara ini tidak mengenakan sebarang bayaran, malah terbuka untuk sesiapa sahaja yang memiliki keyakinan tinggi waima tidak pernah mempunyai pengalaman memandu secara off-road.

    Malah hari ini, kami juga berkesempatan untuk mencuba semua halangan yang disediakan dengan memandu Range Rover Evoque dan Land Rover Discovery Sport. Ia terbahagi kepada dua cabaran, iaitu cabaran pertama menampilkan dua aktiviti dengan memandu Evoque iaitu Ring Fence dan Auto Test. Bermula dengan Ring Fence, kami dikehendaki melakukan pusingan U di dalam bulatan, sebelum keluar semula ke jalan yang sama kami masuk.

    Kedengarannya agak mudah, namun sekiranya terlanggar kon, penalti akan dikenakan. Dan jika lebih daripada tiga kon dilanggar, maka anda akan ‘tersingkir’ secara automatik, dan masa maksimum yang diberikan hanyalah sekitar empat minit untuk menyelesaikan cabaran ini.

    Aktiviti kedua pula ialah Auto Test, yang nampak dari pandangan mata, adalah sukar untuk melakukannya. Begitu juga pada hakikatnya! Di mana kenderaan perlu dipandu melalui lorong yang agak sempit sebelum membelok ke sebelah kanan, kemudian berundur di lorong yang sama sehingga ke jalan masuk yang dilalui.

    Bukan mudah untuk menentukan sudut yang paling sesuai untuk membelokkan kenderaan, jika terlanggar kon, penalti akan diberikan. Begitu juga dengan catatan masa, tidak boleh melebihi empat minit.

    Cabaran kedua pula ialah meredahi halangan dengan memandu Discovery Sport yang terbukti hebat dengan memiliki rangkaian sistem off-road yang mengagumkan termasuk Terrain Response, Gradient Release Control, All-Terrain Progress Control dan Hill Descent Control. Halangan yang disediakan pula termasuklah melalui kawasan bercerun, merentasi laluan berair, berbukit serta bumpy course.

    Sepanjang merentasi halangan ini, memang terasa ia begitu mencabar, namun perasaan takut dapat diatasi dengan bantuan daripada instruktor yang duduk di sebelah pemandu, serta panduan daripada instruktor di luar yang memberikan setiap isyarat bagi meneruskan pemanduan.

    Jika anda mempunyai masa lapang esok mahu pun lusa, bolehlah mencuba aktviti ini atau pun sekadar menjadi penonton. Untuk menyertainya atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai acara ini, anda bolehlah melayari laman web rasmi Land Rover Malaysia.

     
     
  • Jaguar E-type Zero – model klasik pacuan elektrik

    Jaguar E-type Zero – model klasik pacuan elektrik

    Di samping Future-Type, Jaguar juga memperkenalkan E-Type Zero, iaitu sebuah E-Type Roadster tahun 1968 yang telah dibaik pulih oleh Land Rover Classic. Dari luar, anda akan melihat kereta ini seperti sebuah kereta klasik biasa, tetapi badannya menyembunyikan penjana kuasa elektrik moden.

    Secara asalnya, kereta ini menggunakan enjin enam silinder sebaris 4.2 liter, tetapi telah diganti dengan motor elektrik yang memberi kuasa sebanyak 220 kW (295 hp), iaitu 30 hp lebih banyak berbanding E-Type asal. Tetapan ini dibangunkan oleh jurutera sumber elektrik khas Jaguar Land Rover.

    Motor dan reduction gear pada kereta ini terletak pada bahagian kotak gear biasa, bersama bateri lithium-ion 40 kWh. Pek bateri yang digunakan mempunyai saiz dan berat yang sama seperti enjin enam silinder asal kereta ini, jadi, suspensi dan brek masih dibiarkan tanpa modifikasi. Dari hadapan, kuasa dihantar kepada roda belakang menggunakan propshaft.

    Disebabkan motor ini lebih berkuasa dan kenderaan adalah 46 kg lebih ringan, E-Type Zero boleh memecut dari kosong ke 100 km/j dalam masa satu saat lebih pantas berbanding E-Type Series 1, iaitu mengambil masa 5.5 saat. Jarak pergerakan dengan satu cas penuh dikatakan boleh mencecah 270 km, dan dari kosong, boleh dicas dalam masa enam ke tujuh jam untuk penuh, bergantung kepada sumber kuasa yang digunakan.

    Bagi bahagian badan, Jaguar telah membiarkan kereta ini tampil klasik seperti asal, dengan badan yang diwarnakan biru muda terang dan rim jenis jejari krom, tetapi lampunya menggunakan unit LED yang mempunyai penutup kaca seperti Series 1 dulu.

    Pada bahagian dalam pula, anda akan dapat melihat papan pemuka yang direka semula untuk menempatkan panel meter digital, tetapi mempunyai paparan inspirasi klasik, skrin sesentuh di bahagian tengah dan pemilih gear berbentuk tombol yang boleh dipusing. Roda stereng pula adalah binaan daripada kayu manakala tempat duduk mempunyai bentuk klasik dan jahitan berjalur.

     
     
  • Jaguar Future-Type – kereta autonomous boleh kongsi

    Jaguar Future-Type – kereta autonomous boleh kongsi

    Semakin banyak pengeluar kereta yang berpendapat bahawa sistem perkongsian kenderaan akan menjadi penyelesaian kepada pengangkutan peribadi masa hadapan. Jaguar juga sebegitu, dan mereka telah menunjukkan sebuah kenderaan autonomous sepenuhnya yang berbentuk kompak, dinamakan sebagai Future-Type. Kenderaan ini memberi gambaran kepada kenderaan mereka pada tahun 2040 dan seterusnya.

    Dalam konsep kenderaan elektrik autonomous yang boleh dikongsi oleh Jaguar ini, anda tidak akan memiliki kereta tersebut, tetapi hanya diberi dengan roda stereng canggih yang digelarkan sebagai Sayer. Melalui roda stereng ini, anda boleh melakukan pelbagai tugas seperti memanggil kereta tersebut, memainkan muzik, menyemak jadual dan pelbagai lagi. Alat canggih ini juga boleh membantu anda membuat perancangan harian.

    Malah secara sendiri, Sayer boleh mengetahui jadual anda, mengejutkan anda, membawa kereta yang sudah dicas penuh ke depan rumah dan memberi cadangan jalan mana yang boleh dilalui. Jika anda mahu menikmati sendiri pemanduan, stereng tersebut oleh digunakan untuk mengendali Future-Type.

    Kereta ini berbentuk kurus, dan di dalamnya terdapat susunan tempat duduk 2+1. Anda juga boleh melaras tempat duduk ini untuk jadi bertentangan antara satu sama lain untuk keadaan seperti terdapat perbincangan atau kedua-duanya menghadap ke depan seperti biasa.

    Selain itu, kenderaan ini juga boleh berkomunikasi dengan Future-Type yang lain, seterusnya membenarkan perjalanan yang lebih pendek dan pergerakan di atas jalan raya dapat dilakukan dengan lebih selamat dan cekap.

     
     
  • Renault Malaysia umum kempen servis brek untuk semua modelnya kecuali bagi EV, Koleos baharu

    Renault Malaysia umum kempen servis brek untuk semua modelnya kecuali bagi EV, Koleos baharu

    Demi mengutamakan keselamatan di jalan raya, TC Euro Cars (TCEC) telah menawarkan satu kempen servis ke atas alat ganti brek dan kos buruh untuk para pelanggan Renault.

    Kempen Servis Brek Renault ini melibatkan semua model Renault, kecuali kenderaan elektrik (EV) dan Koleos baharu. Ia menawarkan pelanggan diskaun sebanyak 20% ke atas beberapa alat ganti brek terpilih iaitu pad, tapak dan cakera.

    Selain itu, ia turut menawarkan pengurangan 10% ke atas kos buruh untuk kerja-kerja servis brek berkaitan. Manakala para pelanggan RENCARE akan menikmati tambahan diskaun 10% ke atas kos buruh untuk pembaikan dan servis brek yang relevan.

    Kempen ini sah mulai 1 September hingga 31 Oktober di semua 14 pusat servis sah Renault di seluruh negara.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia lantik Auto Commerz sebagai pengedar baharu – bilik pameran sementara di KL

    Mercedes-Benz M’sia lantik Auto Commerz sebagai pengedar baharu – bilik pameran sementara di KL

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan perlantikan Auto Commerz sebagai rakan pengedar baharu pada majlis pelancaran bilik pameran sementara, Mercedes-Benz Auto Commerz Autohaus di Jalan Genting Klang semalam.

    Auto Commerz adalah sebahagian daripada Swire Group, yang juga merupakan pengedar kenderaan Mercedes-Benz di Taiwan. Syarikat ini dengan kerjasama MBM, telah melabur lebih daripada RM10 juta untuk menjalankan operasi di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

    Bilik pameran sementara ini turut mematuhi standard Mercedes-Benz Presentation System II bagi fasiliti global Autohaus, yang juga merupakan identiti korporat terkini bagi jenama ini. Ia mampu menempatkan empat model kenderaan serta sudut menjual aksesori dan cenderahati. Menurut MBM, bilik pameran kekal akan dibuka pada tahun 2019.

    “Dengan pelancaran Auto Commerz Autohaus baharu ini, kami dapat mengekalkan dakwaan sebagai rangkaian pengedar premium terbesar di Malaysia dengan memiliki 32 Autohaus di seluruh negara. Malah kami percaya dengan pengenalan pengedar baharu di Malaysia mampu memperkukuhkan lagi jenama kami di negara ini dan dapat memberikan kepuasan kepada para pelanggan kami,” ujar Presiden dan CEO MBM Claus Weidner.

    Eric Khoo yang mengetui Auto Commerz pula berkata, “Kami sangat teruja dengan kerjasama ini. Malah kami disokong oleh pengalaman dan kepakaran di peringkat global yang utuh, sekaligus membantu kami untuk mengekalkan jenama Mercedes-Benz ini serta meletakkan pengalaman pelanggan di peringkat tertinggi.”

    Mercedes-Benz Auto Commerz Autohaus beroperasi di G-1, PV128, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur. Para pelanggan boleh menghubungi bahagian khidmat pelanggan bilik pameran berkenaan di talian 03-4144 5000 untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Kia Rio 2017 – imej lebih segar

    Kia Rio 2017 iaitu dari generasi ke-empat ini telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada 20 Julai lalu. Jika anda masih belum berkesempatan untuk meninjau hatchback ini di bilik pamerdan Kia, sila tonton video ini untuk mengetahui serba sedikit mengenai pembaharuan yang ditampilkan.

    Jika dilihat sekilas, mungkin kita tidak begitu perasan dengan perubahan yang ditampilkan. Namun Rio 2017 ini memiliki perbezaan yang paling ketara berbanding model terdahulu iaitu daripada segi binaan saiznya. Jika meneliti dimensi bagi Rio versi sebelum ini, ia berukuran 4,045 mm bagi panjang, selebar 1,720 mm, setinggi 1,455 mm dan jarak rodanya pula 2,570 mm.

    Namun, bagi Rio 2017 ini, panjangnya kini bertambah 20 mm (menjadi 4,065 mm), 5 mm lebih panjang (1,725 mm) tetapi tingginya dikurangkan sebanyak 5 mm (kini 1,450 mm), manakala jarak rodanya pula lebih 10 mm (dengan 2,580 mm).

    Malah ia juga menampilkan beberapa pembaharuan yang lebih segar untuk imej dalaman dan luarannya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Rio 2017, sila tonton video ini sehingga tamat. Selamat menonton!

     
     
  • Mercedes-Benz EQ A – lakaran tunjuk bentuk seksi

    Mercedes-Benz EQ A – lakaran tunjuk bentuk seksi

    Semasa Frankfurt Motor Show yang akan berlansung minggu hadapan, Mercedes-Benz bakal memberi fokus kepada barisan kenderaan elektrik mereka yang dijenamakan sebagai EQ. Satu model yang digelar sebagai “kenderaan konsep EQ elektrik penuh pertama dalam segmen kompak” akan dipamerkan di sana, menggunakan nama EQ A.

    Selepas mengeluarkan teaser, lukisan rekaan kenderaan tersebut pula didedah bagi memberikan gambaran awal bagaimana rupanya nanti. Melalui lukisan ini, kita dapat melihat EQ A adalah sebuah hatchback tiga pintu yang nampak seperti Volkswagen Scirocco ataupun Opel Astra GTC.

    Terdapat juga beberapa gambar pandangan dekat perincian EQ A seperti lampu LED depan dan belakang. Bagi yang di belakang, ia kelihatan begitu menarik dengan pencahayaan 3D di dalamnya manakala yang di depan mempunyai nyalaan biru untuk menunjukkan penggunaan kuasa elektrik. Walaupun begitu, kita masih perlu menunggu model sebenar muncul untuk mengetahui sama ada ia masih menggunakan rim yang besar dan kedudukan rendah seperti di dalam gambar.

    EQ A akan menjadi kenderaan permulaan dan disasarkan dengan penjualan yang paling banyak bagi barisan kenderaan EQ. Ia akan berada di bawah SUV EQ C, yang akan membuat penampilan pada tahun 2020. Mercedes-Benz telah memberi gambaran awal EQ C melalui model konsep Generation EQ yang dipertonton semasa Paris Motor Show 2016.

    Laporan daripada Autocar menjangkakan EQ A akan menggunakan sumber kuasa yang lebih ringkas dan murah untuk dibangunkan, dan berkemungkinan adalah unit motor elektrik tunggal di hadapan, yang menghantar kuasa kepada roda hadapan melalui kotak gear nisbah tetap. Satu lagi kemungkinan adalah versi yang lebih berkuasa dengan satu lagi motor di belakang untuk mendapatkan pacuan 4WD.

     
     
  • NPE ditutup separuh hari ahad ini untuk acara larian

    NPE ditutup separuh hari ahad ini untuk acara larian

    Kepada mereka yang tinggal berdekatan atau kerap menggunakan Lebuh Raya Pantai (NPE), ini adalah satu maklumat penting. Ahad ini, 10 September, lebuh raya tersebut akan ditutup dari jam 2 pagi sehingga 11 pagi.

    Ini adalah bagi memberi laluan kepada acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge yang akan diadakan pagi itu. Acara ini terdiri daripada dua pusingan, iaitu pusingan pertama berlangsung di Lebuh Raya Besraya Julai lalu, dan larian di NPE ini adalah pusingan kedua yang terbahagi kepada kategori 10 km dan 21 km.

    Ia akan bermula dan tamat di Sunway Pyramid, dengan pusingan kembali dilakukan di Kuchai Lama. Selain lebuh raya itu sendiri, anda juga harus ingat, keadaan sekitar Sunway Pyramid juga mungkin sesak teruk kerana peserta akan meletakkan kenderaan mereka di kawasan tersebut. Jadi, jika ingin menikmati hari Ahad anda dengan tenang, elakkanlah jalan tersebut.

     
     
  • Kia Proceed Concept – luaran ditunjukkan lebih awal

    Kia Proceed Concept – luaran ditunjukkan lebih awal

    Selepas satu teaser ringkas, Kia kini mendedahkan bagaimana rupa kereta pameran terbaru mereka yang akan dibawa ke Frankfurt Motor Show, iaitu Proceed Concept. Kia memanggil model ini sebagai “hot-hatch yang dipanjangkan”, dan ia memberi gambaran kepada kemungkinan rupa barisan kenderaan cee’d akan datang.

    Kereta konsep ini kelihatan seperti model Stinger, yang menggunakan bentuk sebuah sportwagon, dengan muka yang agresif, bucu-bucu tajam, bukaan udara yang besar, gril ‘tiger nose‘, dan bonet hadapan yang berlekuk. Satu lagi ciri yang diketengahkan oleh Kia adalah lampu yang menunjukkan bayangan bentuk kenderaan tersebut, yang menyala apabila pemilik mendekati kenderaan mereka.

    Berbeza dengan cee’d, kereta ini tidak lagi menggunakan lampu kabus LED empat petak kecil, sebaliknya diganti dengan unit yang berbentuk segi tiga di penjuru bampar. Lampu hadapannya pula lebih nipis, dan terdapat LED berbintik empat hampir seperti model Porsche.

    Kia Proceed Concept – luaran ditunjukkan lebih awal

    Kereta konsep ini juga kelihatan menarik dari tepi, dengan garis bumbung yang rendah, serta cermin yang luas, seakan-akan ia tidak mempunyai tiang tengah. Perincian lain bagi Proceed Concept adalah pemegang pintu tenggelam, rim 20 inci, warna cat ‘Lava Red‘ dan kemasan perak.

    “Disebabkan semakin banyak pemandu Eropah yang mencari kenderaan prestasi sebagai alternatif kepada hot hatch tiga pintu, kami mula memikirkan sebuah model pengenalan yang berbeza dalam barisan model cee’d. Kereta konsep ini boleh menunjukkan bagaimana kemungkinan penampilan model cee’d akan datang,” kata ketua pereka Eropah untuk Kia Motors, Gregory Guillaume.

     
     
  • Honda City Hybrid akan dijual pada harga lebih RM100k jika tiada pelepasan cukai kenderaan hibrid

    Honda City Hybrid akan dijual pada harga lebih RM100k jika tiada pelepasan cukai kenderaan hibrid

    Honda City Hybrid telah dilancarkan pada bulan Julai yang lalu dengan harga RM89,200 – terletak di bawah varian paling atas iaitu City V pada harga RM89,240. Menurut sumber daripada Honda Malaysia, jika tiada insentif cukai kenderaan hibrid yang diberikan sekarang, harga City Hybrid boleh mencecah lebih RM100,000.

    Toyota juga mengeluarkan kenyataan yang sama pada tahun 2015, dengan mengatakan Camry Hybrid akan berharga sekitar RM250,000 jika tiada insentif cukai untuk kenderaan hibrid (kereta tersebut dijual pada harga RM175k sewaktu dilancarkan). BMW pula mengatakan harga 740Le dapat dikurangkan kepada RM599k daripada RM854k.

    Kembali kepada City Hybrid, apa yang menjadikan kereta ini lebih mahal untuk dibina berbanding kereta petrol sudah tentu adalah sistem hibrid i-DCD yang terdiri daripada motor elektrik, pek bateri lithium-ion dan transmisi klac berkembar tujuh kelajuannya.

    Barangan lain yang terlibat adalah modifikasi kepada sistem brek (sistem brek servo elektrik) yang dapat memberikan sistem penjanaan semula kuasa, compressor pendingin hawa dan nisbah stereng yang lebih pantas (meningkat sehingga 15.6%), seterusnya memberikan tindak balas lebih baik.

    Semua barangan ini menambah berat sebanyak 69 kg, yang seterusnya memberikan kesan kepada kawalan dan dinamik kenderaan tersebut. Untuk berhadapan dengan perkara ini, City Hybrid menggunakan suspensi belakang lebih besar, kerangka belakang lebih tegar dan tiang sokongan lebih kuat untuk menyokong suspensi hadapan. Menurut Honda, semua kelengkapan ini membantu kawalan City Hybrid atas jalan raya, termasuk stabiliti dan kelincahannya.

    Honda City Hybrid menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC Atkinson Cycle, dengan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 137 PS dan 170 Nm. Sebagai perbandingan, model City petrol menggunakan enjin 1.5 liter i-VEC SOHC yang berkuasa 120 PS dan 145 Nm, dengan padanan kotak gear CVT.

    Anda boleh melihat lebih terperinci berkenaan penjana kuasa hibrid yang digunakan oleh Honda di sini, dan untuk bateri hibrid tersebut, Honda Malaysia memberikan jaminan selama lapan tahun tanpa had batuan. Jika perlu pun ia untuk ditukar, kosnya cuma RM5,513, dan kadar pertukaran bateri ini di Jepun hanyalah 0.103% daripada 250,000 unit yang telah terjual.

     
     
  • Lotus Evora GT430 Sport – laju maksimum 315 km/j

    Lotus Evora GT430 Sport – laju maksimum 315 km/j

    Lotus telah mengeluarkan sebuah model baru yang dinamakan sebagai kenderaan mereka yang paling laju, iaitu Evora GT430 Sport. Walaupun namanya lebih panjang, model ini sebenarnya mempunyai kurang barangan berbanding Evora GT430 biasa termasuk sayap belakang, sirip udara di roda hadapan dan splitter yang agresif di depan.

    Evora GT430 Sport masih lagi menggunakan rim 19 inci di hadapan, dan rim 20 inci di belakangnya kurang lebar, iaitu 9.5J, berbanding 10.5J yang digunakan pada Evora GT430 biasa. Disebabkan itu, saiz tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang digunakan juga berbeza, iaitu 235/35 di depan dan 285/30 di belakang. Untuk mendapatkan rim yang mempunyai saiz sama seperti GT430 biasa, pembeli boleh menambah bayaran.

    Kelengkapan prestasi kenderaan ini walaubagaimanapun masih lagi sama, bermula dengan enjin V6 3.5 liter yang dipadankan dengan supercharger Edelbrock, menghasilkan 430 hp pada 7,000 rpm dan 450 Nm tork pada 4,500 rpm. Jumlah tork ini boleh didapati dengna penggunaan transmisi automatik enam kelajuan, tetapi apabila menggunakan transmisi manual enam kelajuan, ia sekadar menjadi 440 Nm.

    Untuk memastikan prestasinya berpadanan, GT430 Sport masih lagi menggunakan penyerap boleh laras Ohlins TTX, cakera brek berliang, angkup brek AP Racing, LSD jenis Torsen dan sistem kawalan cengkaman yang boleh dilaras. Dengan semua ini, GT430 Sport boleh memecut 0-96 km/j dalam masa 3.7 saat bagi versi manual, dan 3.6 saat bagi versi automatik. Kelajuan maksimum pula adalah 315 km/j untuk manual dan 280 km/j bagi automatik.

    Membantu prestasi kenderaan ini adalah pengurangan berat yang didapati daripada pakej aerodinamik yang menjadikannya 10 kg lebih ringan berbanding GT430 biasa. Beratnya adalah 1,248 kg bagi versi manual dan 1,259 kg untuk versi automatik. Bahagian dalam pula mempunyai tempat duduk lumba Sparco yang dibalut kulit dan Alcantara. Pemilik juga boleh menambah sistem hiburan dengan skrin sesentuh dan sambungan iPhone, Bluetooth, navigasi, serta kamera undur.

    Untuk pasaran United Kingdom, GT430 Sport dijual pada harga 104,500 pound (RM573,927), menjadikan ia lebih murah berbanding GT430 biasa yang dijual pada harga 112,500 pound (RM618,559). Model ini juga tidak mempunyai jumlah yang terhad untuk pasaran seperti GT430.

     
     
  • Adakah motosikal dibenar guna lorong kecemasan?

    Adakah motosikal dibenar guna lorong kecemasan?

    Baru-baru ini tersebar dalam media sosial menunjukkan penunggang motosikal menggunakan lorong kecemasan, dan melepaskan kemarahan kepada kereta yang menggunakan lorong sama. Dalam bahagian komen, ramai yang menyokong, menyatakan kenderaan empat tayar tidak dibenarkan melalui lorong kecemasan, sementara motosikal pula diberikan kelonggaran.

    Ini kerana motosikal tidak menggunakan keseluruhan lorong itu, tidak menjadi penyebab kepada kesesakan trafik di lebuh raya dan boleh memberi laluan secara pantas sekiranya terdapat kenderaan kecemasan yang mahu menggunakan lorong tersebut. Selain itu, penggunaan lorong kecemasan oleh penunggang motosikal juga dapat mengurangkan risiko bahaya antara penunggang dan pemandu kereta.

    Walaupun begitu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman telah memberitahu mStar Online bahawa lorong kecemasan hanyalah untuk kegunaan pihak berkuasa di waktu kecemasan. “Mana-mana kenderaan termasuk motosikal tidak dibenarkan menggunakan lorong kecemasan,” kata beliau.

    Adakah motosikal dibenar guna lorong kecemasan?

    Menurut Wan Ahmad lagi, pengguna jalan raya yang didapati menggunakan lorong kecemasan boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta JPJ 1987, di mana jika bersalah, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Dalam laporan sebelum ini, yang memetik kenyataan daripada New Straits Times, ketua polis trafik Kuala Lumpur, ACP Nadzri Hussain turut memberitahu perkara yang sama, dengan merujuk kepada penunggang motosikal yang menyepak cermin sisi kereta yang melalui lorong kecemasan sebagai melakukan dua kesalahan, iaitu merosakkan kenderaan orang lain dan menggunakan lorong kecemasan.

    Tetapi apa yang boleh dilihat sekarang, motosikal masih diberi kelonggaran untuk menggunakan lorong kecemasan demi memastikan keadaan trafik tidak bertambah teruk, termasuk di lebuh raya. Walaupun begitu, peraturannya adalah jelas, lorong kecemasan hanya untuk kegunaan pihak berkuasa sewaktu kecemasan.

     
     
  • BMW X7 Concept – imej SUV PHEV 7-tempat duduk bocor lebih awal sebelum penampilan rasmi pertama

    BMW X7 Concept – imej SUV PHEV 7-tempat duduk bocor lebih awal sebelum penampilan rasmi pertama

    Sebelum ini, BMW pernah mengeluarkan teaser di laman Twitter dengan memberi amaran kepada orang ramai supaya “bersiap-sedia untuk sesuatu yang besar.” Imej yang bocor melalui Bimmerpost ini mungkin adalah sebabnya, iaitu model BMW X7 Concept, yang akan membuat penampilan di Frankfurt Motor Show.

    Sekiranya gambar ini boleh dipercayai, anda sedang melihat kepada rekaan akhir sebuah SUV akan datang BMW yang akan terletak atas daripada X5 dalam aspek saiz dan harganya. Ia sangat besar dan gagah, dengan gril yang kelihatan seperti hidung yang kembang. Lampu hadapan yang digunakan pula lebih nipis manakala di penjuru bamparnya terdapat bukaan udara menegak.

    BMW X7 Concept – imej SUV PHEV 7-tempat duduk bocor lebih awal sebelum penampilan rasmi pertama

    Konsep yang sama, iaitu lampu nipis dan garisan menegak di penjuru bampar juga digunakan pada bahagian belakang, dan ini adalah elemen sama yang diberi kepada kebanyakan model konsep terbaru BMW seperti Z4 Concept dan 8 Series Concept. Bagi 8 Series Concept, ia juga mempunyai gril yang besar di hadapan, tetapi lebih lebar dan rendah.

    Daripada gambar ini, boleh dilihat terdapat tempat mengecas di fender kirinya, bersama lencana ‘eDrive’ pada bahagian D-pillar, memberi makna ia adalah sebuah kenderaan jenis plug-in hybrid iPerformance. Turut boleh dilihat adalah gambar papan pemuka SUV tujuh tempat duduk ini, yang kelihatan cukup menarik sekiranya diguna untuk kenderaan produksi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024